harta pusaka
DESCRIPTION
Isu harta pusaka di MalaysiaTRANSCRIPT
ISU-ISU SEMASA DALAM PENENTUAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DI
MALAYSIA
Mohd Zamro Muda
Prof. Madya Mohd. Ridzuan Awang
Dr. Zuliza Mohd. Kusrin
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
PENDAHULUAN
Harta warisan atau harta pusaka ialah semua harta yang menjadi milik seseorang semasa
hidup dan berkekalan pemilikannya sehingga dia meninggal dunia dan menjadi hak mutlak
waris-warisnya untuk diagih-agihkan dalam kalangan mereka yang berhak. Justeru, istilah
harta pusaka adalah umum yang merujuk kepada segala harta yang ditinggalkan selepas
kematian dan bersih daripada hutang dan wasiat. Ayat al-Quran tidak menjelaskan dengan
terperinci berkaitan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka dan nas banyak
tertumpu pada menyatakan individu yang layak mempusakai dan kadar bahagian yang
mereka berhak. Fahaman mudah mengenai pusaka merujuk kepada harta sama ada harta
alih atau tak alih yang mudah dikenal pasti seperti rumah, tanah, wang simpanan dalam
bank atau amanah saham, emas permata dan kenderaan. Bagiamana pula dengan harta-
harta lain seperti KWSP, wang derma atau sumbangan orang ramai, khairat kematian,
imbuhan, pampasan, saguhati, pencen terbitan, bayaran gantian cuti rehat, ganjaran terbitan
(ganjaran persaraan), wang PERKESO, SOCSO, insuran atau takaful, saham syarikat dan
lain lain.
Justeru, penentuan sesuatu itu sebagai harta pusaka atau bukan adalah cukup
penting ekoran kewujudan pelbagai bentuk dan jenis harta yang dimiliki oleh umat Islam
kini. Hal ini kerana sekiranya sesuatu harta itu dianggap sebagai harta pusaka maka
pembahagiannya terikat dengan hukum faraid. Manakala sebaliknya jika ia tidak dianggap
sebagai harta pusaka maka pembahagiannya tidak terikat dengan hukum faraid dan
terserah kepada penerimanya atau dilihat kepada objektif atau matlamat pemberian
berkenaan.
Perbincangan kertas kerja ini akan difokuskan kepada penentuan sesuatu itu sebagai
harta pusaka atau tidak. Tumpuan utama adalah kepada beberapa jenis harta seperti KWSP,
wang derma atau sumbangan orang ramai, khairat kematian, imbuhan, pampasan, saguhati,
bayaran gantian cuti rehat dan ganjaran terbitan (ganjaran persaraan). Walaupun hampir
kesemua jenis-jenis harta berkenaan telah terdapat fatwa mengenainya, namun semakan
semula perlu dilakukan selaras dengan perkembangan semasa, apatah lagi kedapatan
perbezaan fatwa antara negeri-negeri berkaitan dengan isu yang sama.
DEFINISI HARTA PUSAKA
Dalam mazhab Shafi’i, harta pusaka ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati pada
masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak
kepunyaan, begitu juga apa yang termasuk dalam miliknya yang dikerjakan semasa
hidupnya tetapi diperoleh setelah dia meninggal dunia (Abdul Kadir Ismail 1983).
Al-Ramli (1938) mentakrifkan harta pusaka ialah apa-apa yang ditinggalkan untuk
orang kemudian daripadanya dari sesuatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina atau iktisas,
atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari
pembunuhannya, kerana diyat itu termasuk ke dalam milikannya. Begitu juga apa yang
termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasang di masa hidupnya.
Kesimpulannya, harta pusaka adalah semua harta yang ditinggalkan oleh si mati
yang diperoleh semasa hayatnya secara halal. Harta itu membabitkan transaksi jual beli,
perniagaan dibuat secara persendirian atau perkongsian, harta yang diperoleh daripada
pusaka, kaedah hibah, pemberian sedekah daripada individu dan pertubuhan atau
pemilikan harta melalui wasiat juga termasuk dalam harta pusaka. Di samping itu, sewa
yang belum dijelaskan kepada si mati dan hutang yang belum dijelaskan adalah dikira
harta pusaka. Harta lain yang termasuk sebagai pusaka ialah dividen atau faedah yang
dihasilkan daripada harta si mati dalam pelaburan yang dibuat semasa hayat dan barang
yang dihasilkan selepas mati seseorang daripada usahanya semasa hayat.
PENENTUAN HARTA PUSAKA
Dalam sub topik ini akan dibincangkan beberapa jenis harta yang wujud pada masa kini
yang masih lagi menjadi perbahasan di kalangan masyarakat Islam dalam menentukan
sama ada ia dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya. Jenis-jenis harta berkenaan
adalah seperti berikut:
(1) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
(2) Wang derma atau sumbangan orang ramai yang diberikan selepas berlaku sesuatu
kematian dan khairat kematian.
(3) Imbuhan, pampasan dan saguhati.
(4) Wang gantian cuti rehat.
(5) Wang ganjaran/ganjaran terbitan atau wang gratuiti.
(1) Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditubuhkan pada 1 Oktober 1951 di
bawah Ordinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 untuk memberi jaminan
kewangan kepada pekerja selepas bersara. KWSP merupakan skim tabungan wajib
nasional yang menyediakan faedah persaraan bagi sektor swasta dan pekerja tidak
berpencen sektor awam.
Caruman KWSP merupakan tabungan untuk persaraan ahli dan sebahagian besar
simpanan diperuntukkan untuk tujuan ini. Simpanan ahli di KWSP adalah terdiri dari
caruman pekerja yang dipotong dari upah atau gaji pekerja dan caruman majikan serta
dividen yang dikreditkan tiap-tiap tahun pada kadar yang diisytiharkan. Bagi ahli yang
meninggal dunia sebelum sempat wang berkenaan dikeluarkan kepadanya, pembayaran
simpanan berkenaan akan dibuat kepada waris atau penama. Sekiranya pencarum membuat
penamaan maka pembayaran akan dibuat kepada penama, sebaliknya jika tiada penamaan
maka pembayaran akan dibuat kepada waris atau pemohon yang diberi surat probet, surat
kuasa pentadbiran atau perintah pembahagian (Ibrahim Talib 2005).
Secara umumnya, amalan penamaan di KWSP sudah bermula sejak tahun 1952
lagi. Sistem ini diperkenalkan untuk membantu ahli menamakan orang atau mana-mana
orang yang dikehendaki ahli untuk diberikan atau diagihkan simpanan KWSP apabila ahli
meninggal dunia. Penama yang dilantik tidak semestinya saudara mara atau kaum kerabat,
malah boleh melantik orang yang tiada kaitan langsung dengan ahli. Ia terserah kepada ahli
untuk menamakan sesiapa sahaja yang ahli kehendaki semasa hidup. Penama berhak
mendapat simpanan tersebut dan boleh membuat tuntutan terhadap wang simpanan ahli
yang meninggal dunia tanpa perlu mendapat surat kuasa tadbir.
Ahli boleh menamakan seberapa ramai penama yang difikirkan perlu dengan
menggunakan borang KWSP 4 (AHL) dan boleh mengisi lebih dari satu borang jika tidak
mencukupi. Pelantikan penama berkuat kuasa pada tarikh penyerahan borang yang lengkap
disi di mana-mana kaunter KWSP. Penamaan yang dibuat oleh ahli adalah sulit. Namun,
sekiranya ahli meninggal dunia waris boleh menyemak status penamaan dengan syarat
perlu mengemukakan sijil kematian ahli dan bukti hubungan seperti sijil kelahiran atau sijil
perkahwinan. Sekiranya jelas bahawa ahli ada membuat penamaan maka bayaran
simpanan akan dibuat kepada ahli mengikut pecahan atau peratusan yang tecatat pada
borang penamaan (Suhaida Abu Bakar 2010).
Bagi ahli yang beragama Islam, timbul isu adakah bayaran yang dibuat kepada
penama merupakan milik mutlak penama atau penama hanya dianggap sebagai wasi
(pentadbir) harta berkenaan sahaja? Dalam masalah ini, terdapat beberapa fatwa di
peringkat kebangsaan telah dikeluarkan, antaranya seperti berikut:
(i) Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang dikeluarkan
pertama kalinya pada 9 Oktober 1973 menyatakan:
“Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, wang simpanan pejabat pos,
bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang-orang yang
melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati
daripada sumber-sumber tersebut untuk dibahagi-bahagikan kepada orang-orang
yang berhak menurut pembahagian faraid”
(ii) Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-49 pada 19 September 2000 memutuskan:
“Wang KWSP yang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut
hukum faraid dan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama
hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum
faraid”.
(iii) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-61 pada 27 Januari 2004 berhubung dengan Hukum pembayaran
KWSP bagi ahli yang memeluk Islam telah memutuskan:
� Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta
orang Islam dan begitulah sebaliknya;
� Jika seseorg bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP
dan telah menamakan penama orang bukan Islam maka hendaklah menukar
penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada
waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau mati maka harta
itu tidak menjadi hak kepada penama yang bukan Islam, sebaliknya
hendaklah diserahkan kepada Baitumal; dan
� Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi
1/3 daripada hartanya.
(iv) Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-67 pada 22 Februari 2005 berhubung dengan hukum menjadikan
caruman KWSP sebagai harta sepencarian telah memutuskan:
“Wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan
menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut
hukum faraid”.
Selain dari fatwa-fatwa peringkat kebangsaan, terdapat beberapa fatwa negeri-
negeri berkaitan dengan KWSP. Fatwa-fatwa berkenaan boleh dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu (Suhaida Abu Bakar 2010):
(i) Fatwa negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan
Terengganu adalah sama dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan iaitu
penama hanya bertindak sebagai wasi (pentadbir) harta pusaka dan hendaklah
mengagih-agihkan wang KWSP kepada waris-waris yang berhak. Peletakan
penama dalam KWSP tidak bermakna ahli telah membuat wasiat. Oleh itu, harta
berkenaan adalah harta pusaka.
(ii) Fatwa negeri Perak dan Kelantan cenderung menyatakan bahawa penamaan
terhadap KWSP adalah dianggap sebagai wasiat. Justeru penama adalah bertindak
sebagai penerima wasiat. Dalam hal ini, jika penama adalah waris yang layak
mendapat bahagian dalam harta pusaka maka wasiat berkenaan bergantung kepada
persetujuan waris-waris yang lain. Manakala jika penama adalah bukan waris yang
layak mendapat harta pusaka maka harta berkenaan menjadi haknya sebagai
penerima wasiat dengan syarat tidak melebihi 1/3 keseluruhan harta si mati, dan
jika melebihi 1/3 harta pusaka si mati maka bahagian yang lebih itu bergantung
kepada persetujuan waris-waris.
Berhubung dengan perkara ini, jika dilihat kepada borang penamaan KWSP iaitu
Borang KWSP 4 pindaan 21 September 2011 bahagian maklumat penamaan ada
menyatakan: “Saya seperti nama dan nombor ahli KWSP yang tercatat di atas, dengan ini
menamakan individu seperti disebutkan di bawah untuk menerima simpanan KWSP saya
mengikut bahagian atau peratusan yang diserahkan apabila berlaku kematian ke atas diri
saya”. Berdasarkan kepada penggunaan lafaz atau akad berkenaan maka kecenderungan
mengganggap penama sebagai penerima wasiat ada kebenarannya. Selain itu, penama yang
boleh dinamakan tidak ditentukan berapa orang dan terpulang kepada ahli, sedangkan
menurut undang-undang, pentadbir harta pusaka si mati tidak boleh lebih daripada empat
orang. Di samping itu, dalam borang penamaan ini juga tidak dinyatakan secara jelas
bahawa penama bagi orang Islam hanya bertindak sebagai wasi (pentadbir). Justeru, pada
pandangan saya fatwa berkenaan perlu dikaji semula selaras dengan penggunaan borang
penamaan yang baru ini sama ada penama berhak ke atas harta KWSP atau hanya sebagai
wasi sahaja. Untuk lebih jelas lagi boleh dilihat kepada kes Wan Puziah lwn Wan Abdullah
bin Muda & Seorang Lagi [2001] JH 235, [2004] CLJ 604 mengenai penamaan dalam
Tabung Haji. Dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan
bahawa penamaan sebahagian harta berkenaan kepada anak angkatnya dianggap sebagai
wasiat dan bukan harta pusaka.
(2) Wang Derma atau Sumbangan Orang Ramai Yang Diberikan selepas Mati dan
Khairat Kematian
Orang ramai yang datang melawat kematian selalunya menghulurkan wang kepada
keluarga si mati sebagai derma. Sumbangann wang juga diberikan kpd keluarga si mati
oleh majikannya, pihak sekolah anak-anaknya dan lain-lain pihak. Tujuan sumbangan atau
derma ini bagi meringankan beban keluarga si mati untuk pengurusan jenazah dan
sebagainya.
Wang sumbangan atau derma ini tidak dianggap sebagai harta pusaka dan menjadi
milik keluarga si mati. Oleh itu, ia tidak tertakluk kepada hukum pusaka atau faraid tanpa
mengira jumlahnya. Justeru, waris-waris bolehlah menggunakan wang tersebut untuk apa
jua keperluan yang difikirkan patut berkaitan dengan pengurusan jenazah. Jika jumlahnya
banyak dan berbaki maka ia bolehlah dibahagi-bahagikan kepada waris-waris atau kaum
keluarga mengikut persetujuan mereka (Wan Abdul Halim Wan Harun 2006).
Namun pada pandangan saya, lebihan sumbangan berkenaan hendaklah diberikan
kepada keluarga terdekat si mati yang merasai kesan kematian berkenaan terutamanya
mereka yang di bawah tanggungan si mati seperti isteri, anak-anak yang belum dewasa dan
ibu bapa. Ini kerana matlamat pemberian atau sumbangan berkenaan ialah untuk
meringankan beban kaum keluarga akibat kematian. Justeru, pihak-pihak lain tidak layak
mendapat harta berkenaan walaupun mereka merupakan waris kepada si mati mengikut
hukum faraid seperti adik beradik dan bapa saudara si mati kecuali terdapat persetujuan di
antara mereka.
Begitu juga dengan khairat kematian yang mempunyai ciri yang hampir sama dgn
derma atau sumbangan. Konsep atau matlamatnya adalah sama iaitu bagi meringankan
beban keluarga untuk menguruskan jenazah. Adakalanya khairat kematian yang dibayar
oleh agensi tertentu seperti ASB, KWSP (faedah kematian) dan agensi-agensi tertentu.
Oleh kerana khairat kematian diberikan kepada keluarga si mati maka ia bukan harta
pusaka. Yuran yang dibayar oleh ahli dianggap sebagai sumbangan dan bukan simpanan.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah adalah seperti berikut:
“Wang khairat kematian adalah wang derma kebajikan dari persatuan atau pertubuhan
khairat kematian atau orang ramai bagi membantu keluarga si mati menyelenggarakan
jenazahnya dan membuat apa-apa kebajikan untuknya. Ia tiada termasuk kira harta
pusaka”.
(3) Imbuhan, Pampasan dan Saguhati
Terdapat pelbagai bentuk pampasan, imbuhan dan saguhati yang diwujudkan sama ada
melalui skim tajaan kerajaan atau swasta. Melalui skim ini, kakitangan kerajaan atau
swasta akan mendapat pampasan dalam jumlah tertentu sekiranya mereka ditimpa
kecelakaan yang mengakibatkan kecacatan atau kematian ketika bertugas. Jika pemberian
itu terus diberikan kepada pekerja berkenaan ketika masih hidup maka ia menjadi
miliknya. Namun, jika pekerja berkenaan telah meninggal dunia maka imbuhan, pampasan
dan saguhati selalunya diberikan oleh majikan kepada keluarga pekerjanya berkenaan.
Penerimanya seperti balu, anak, ibu bapa atau adik beradik si mati (Wan Abdul Halim Wan
Harun 2006).
Justeru, timbul persoalan sama ada wang imbuhan, pampasan dan saguhati
berkenaan harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid atau bukan harta
pusaka. Jika mengambil kira wang yang dibayar ini semata-mata ihsan daripada majikan
kepada keluarga pekerjanya, maka ia bukanlah harta pusaka. Tetapi jika terdapat perkiraan
tertentu bagi menetukan jumlah bayaran berkenaan seperti tempoh khidmat, pangkat, gred
gaji dan sebagainya maka kecenderungan menganggap ia sebagai harta pusaka ada
kebenarannya.
Dalam masalah ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49 pada 19 September 2000 telah membincangkan
berkenaan wang pampasan kematian pekerja yang dianugerahkan oleh kerajaan atau
syarikat swasta. Muzakarah berkenaan telah memutuskan bahawa wang pampasan yang
diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang
SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka. Dalam hal yang sama juga, Mufti
Terengganu dalam fatwanya berpendapat wang pampasan atau saguhati bukan harta
pusaka. Walau bagaimanapun, Mufti Kerajaan Johor telah memfatwakan sebaliknya di
mana wang saguhati askar yang terkorban dalam perjuangan dianggap sebagai harta
pusaka (Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang 2006).
Perbincangan mengenai pampasan ini boleh dilanjutkan lagi kepada skim ex-gratia
yang diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi anggota perkhidmatan awam. Skim ini berkuat
kuasa mulai 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 1994
dan penambahbaikan melalui Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001 yang
berkuat kuasa mulai 1 Januari 2001. Skim ex-gratia ialah skim yang memberi pampasan
kepada anggota perkhidmatan awam yang ditimpa bencana kerja semasa menjalankan
tugas rasmi hingga menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian termasuk yang
teraniaya disebabkan perbuatan balas dendam akibat daripada tindakan semasa
menjalankan tugas rasmi. Skim ini diwujudkan bertujuan menjaga kebajikan anggota
perkhidmatan awam dan orang tanggungan sekiranya terjadi sesuatu bencana semasa
pegawai melaksanakan tugas rasmi memandangkan anggota perkhidmatan awam
dikecualikan daripada mencarum kepada skim yang ditubuhkan di bawah Akta
Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Melalui skim ex-gratia, jika pegawai berkenaan meninggal dunia maka bayaran
akan dibuat kepada tanggungannya. Orang tanggungan yang ditakrifkan di bawah skim ini
ialah bagi pegawai berkeluarga orang tanggungan adalah isteri atau suami dan anak-anak,
manakala bagi pegawai bujang orang tanggungan merupakan ibu dan bapa pegawai. Ex-
gratia yang dibayar kepada tanggungan bagi anggota yang meninggal dunia dikenali
sebagai ex-gratia terbitan. Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 17 Tahun 2008 (berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009) menyatakan bahawa
pemberian ex-gratia terbitan sekaligus kepada ibu atau bapa anggota berpencen yang
meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan tanpa meninggalkan balu atau duda atau
anak. Melalui pekeliling ini juga, jika berlaku sebarang pertikaian mengenai pemberian ex-
gratia terbitan ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berhak untuk menentukan pihak
yang sepatutnya diberi ex-gratia terbitan serta kadarnya dan keputusan ini adalah
muktamad. Namun demikian, secara umumnya kadar bayaran ex-gratia terbitan
mempunyai sifir atau kaedah pengiraan yang tersendiri yang mengambil kira tempoh
perkhidmatan dan gaji anggota. Hal ini telah ditunjukkan secara jelas dalam Lampiran A
Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001 dan Lampiran A, B dan C Pekeliling
Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2008 (http://www.treasury.gov.my/index.php?option=
com_content&view=article&id=1572%3Askim-ex-gratia-bencana-kerja&catid=151%3A
bahagian-dasar-saraan-wang-awam-dan-khidmat-pengu&Itemid=306&lang=my) [1 Jun
2012] .
Bayaran ex-gratia terbitan ada kalanya dibuat secara bulanan kepada tanggungan si
mati dan ada kalanya dibayar secara pukal (sekaligus). Oleh kerana pemberian ex-gratia
terbitan ini dibuat berasaskan pengiraan tertentu terutamanya tempoh perkhidmatan dan
gaji anggota, maka sewajarnya ia dianggap sebagai harta pusaka. Ini bersesuaian dengan
takrif harta pusaka oleh al-Ramli (mazhab Shafi’i) sebagaimana yang dinyatakan sebelum
ini iaitu harta pusaka termasuk “apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah
dipasang di masa hidupnya”. Dalam hal ini, tempoh perkhidmatan dan gaji yang menjadi
perkiraan utama dalam menentukan jumlah bayaran ex-gratia terbitan merupakan usaha
yang dilakukan oleh anggota semasa hidupnya.
Berhubung dengan pemberian ex-gratia ini juga, Mahkamah Rayuan Syariah
Wilayah Persekutuan memutuskan (11 Februari 2011) dengan sebulat suara bahawa ex-
gratia sejumlah RM2 juta yang dibayar kepada balu Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman
Pawanteh adalah harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. Sebelum itu,
Mahkamah Tinggi Syariah pada 1 April 2010 memutuskan bahawa ex-gratia kepada balu
Allahyarham iaitu Puan Sri Siti Nurhayati Mohd Daud sebagai hibah (pemberian) (Utusan
Malaysia 12 Februari 2011).
Berdasarkan kepada perbincangan sebelum ini dan keputusan kes Mahkamah
Rayuan Syarian Wilayah Persekutuan mengenai ex-gratia, maka sewajarnya fatwa
mengenai pampasan perlu disemak semula. Ini kerana ex-gratia juga ditakrifkan sebagai
pampasan dan Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa ia adalah harta pusaka.
(4) Gantian Cuti Rehat (GCR)
Cuti rehat yg tidak dapat dihabiskan dalam satu-satu tahun bekerja dan dikumpulkan
sehingga maksimum 150 hari akan diganti dengan wang tunai apabila pekerja berkenaan
bersara. Pembayaran dibuat berdasarkan formula 1/30 x (gaji akhir + imbuhan tetap) x
jumlah cuti terkumpul (Perkara 3, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993).
Biasanya bayaran gantian cuti rehat dibayar dengan wang bersekali dengan ganjaran
persaraan.
Perkara 5.1(b) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993 memperuntukkan
bahawa bagi pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, bayaran kepada
tanggungan pegawai berkenaan akan dibuat sekadar segera sebaik sahaja notis
kematiannya diterima. Amalan yang ada menunjukkan ia bukan harta pusaka dan tidak
diketegorikan sebagai harta pusaka kerana bayaran dibuat hanya kepada tanggungan si
mati dan bukannya waris yang layak mendapat harta pusaka.
Namun demikian, bayaran gantian cuti rehat dibuat berdasarkan formula yang telah
ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini maka sewajarnya ia dianggap sebagai
harta pusaka. Ini kerana cuti rehat berkenaan telah wujud semasa seseorang pekerja
berkenaan masih ada dan berterusan sehingga bersara. Setelah bersara, cuti rehat yang
dikumpulkan itu dikira dan diganti dengan sejumlah wang, maka ia menjadi milik pesara
tersebut. Apabila berlaku kematian sebelum bersara, cuti rehat tersebut juga dikira dan
digantikan dengan wang. Apakah wang tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai harta
pusaka berdasarkan kepada ciri-cirinya yang telah wujud semasa hayat pekerja lagi? Oleh
itu pihak berkuasa agama perlu mengeluarkan suatu fatwa yang dapat menjelaskan hal ini
agar selari perjalanannya dengan hukum syarak (Wan Abdul Halim Wan Harun 2006).
(5) Wang Ganjaran/Ganjaran Terbitan atau Wang Gratuiti
Ganjaran ialah pemberian kerajaan atau majikan kepada kakitangannya yang telah bersara
atau dikehendaki bersara atau menamatkan perkhidmatannya dengan kerajaan. Pemberian
atau bayaran akan dibuat secara sekaligus kepada anggota yang berpencen. Ganjaran atau
gratuiti yang diberikan kepada seseorang itu dikira mengikut formula yang ditetapkan iaitu
7.5/100 x tempoh perkhidmatan (bulan) x gaji akhir. Wang bayaran akan menjadi milik
anggota berkenaan selepas persaraan wajib.
Namun sekiranya seseorang itu meninggal dunia dalam perkhidmatan, ganjaran
tersebut akan dikeluarkan kepada orang-orang tanggungannya yang dinamakan ganjaran
terbitan. Orang yang layak menerima ganjaran terbitan ialah balu/duda, anak bawah 21
tahun yang belum berkahwin dan ibu. Jika si mati tidak meninggalkan orang-orang
tersebut, maka ganjaran terbitan diberikan kepada “wakil diri” di sisi undang-undang bagi
seseorang pegawai yang mati itu (Perkara 15, Peraturan-Peraturan Pencen 1980).
Pembayarannya adalah tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen
Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia Kali Ke-21 pada 12 September 1988 memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan
pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak
tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. Walau bagaimanapun, fatwa ini
terutamanya mengenai ganjaran terbitan perlu dikaji semula. Ini kerana ganjaran terbitan
yang diberikan bersangkutan dengan khidmat seseorang di dalam kerajaan. Jumlah bayaran
yang akan diberikan kepada orang tanggungan berdasarkan kepada tempoh seseorang itu
berkhidmat. Ini bermakna perkiraan tentang ganjaran terbitan sudah sedia ada dan
jumlahnya sudah diketahui ketika seseorang itu berkhidmat lagi, begitu juga apabila
berlaku kematian. Pada pandangan saya, ganjaran terbitan ini seharusnya dianggap sebagai
harta pusaka sama seperti keputusan kes ex-gratia dan dibahagi-bahagikan kepada waris-
waris yang berhak. Apatah lagi ganjaran terbitan ini tetap diberikan walaupun si mati tidak
meninggalkan tanggungan. Namun demikian, bagi melancarkan perjalanan pembayaran
ganjaran terbitan satu kajian semula ke arah penyemakan fatwa perlu dilakukan oleh pihak
berkuasa agama.
BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH DALAM PENENTUAN HARTA
PUSAKA
Secara umumnya, setelah meneliti tentang kedudukan Mahkamah Syariah dalam
pentadbiran harta pusaka maka adalah jelas bahawa Mahkamah Syariah juga berbidang
kuasa dalam menentukan sesuatu harta yang ditinggalkan oleh si mati sebagai harta pusaka
atau tidak. Oleh itu, jika timbul pertikaian mengenai sesuatu harta itu sama ada harta
pusaka atau pun tidak maka forum yang sesuai untuk menyelesaikannya adalah Mahkamah
Syariah. Walaupun secara tersuratnya tidak terdapat peruntukan khusus dalam statut
Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri, namun oleh kerana Mahkamah Syariah berbidang
kuasa dalam menentukan waris-waris yang berhak dan bahagian masing-masing dalam
Sijil Faraid atau Perintah Faraid, maka ia juga berbidang kuasa menentukan status sesuatu
harta itu sama ada harta pusaka atau sebaliknya.
Keadaan ini telah dibuktikan dalam kes tuntutan harta pusaka Shaikh Dawood @
A.S Dawood Abdul Razak (meninggal pada 3 April 1989) yang bernilai RM1 bilion. Kes
ini telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur di hadapan Hakim
Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid pada 27 Julai 2005. Harta pusaka yang ditinggalkan
adalah melibatkan 540,000 unit saham dalam Syarikat Pasla Holding Sdn. Bhd. dan 99.55
hektar tanah. Waris-waris yang terlibat adalah terdiri daripada 23 orang iaitu isteri pertama,
kedua, ketiga, keempat dan 19 orang anak.
KESIMPULAN
Jelaslah pada hari ini kita dapat lihat bahawa pemilikan dan pemunyaan sesuatu harta itu
tidak terbatas kepada harta alih dan tak alih yang berada dalam pemilikan secara langsung
seseorang sahaja. Malah kini muncul pelbagai bentuk harta yang tetap diberikan selepas
seseorang itu meninggal dunia, seperti imbuhan, pampasan, saguhati, gantian cuti rehat dan
ganjaran terbitan.
Secara umumnya harta pusaka ialah harta yang dimiliki oleh seseorang semasa
hidup dan kekal pemilikan tersebut sehingga dia meninggal dunia, dan seterusnya harta
berkenaan akan diwarisi oleh waris-warisnya yang berhak berdasarkan hukum faraid.
Dalam konteks ini, harta pusaka juga termasuk harta yang diperolehi selepas seseorang itu
meninggal dunia tetapi dia telah berusaha untuk memilikinya semasa hidupnya, namun
belum sempat harta berkenaan menjadi miliknya, dia telah meninggal dunia. Bertitik tolak
dari takrifan harta pusaka inilah maka kewujudan sesuatu harta selepas kematian perlu
dihubungkan dengan usaha seseorang dalam memperolehi harta berkenaan. Justeru
terdapat beberapa jenis harta sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini perlu kepada suatu
penjelasan yang konkrit sama ada ianya dianggap harta pusaka atau sebaliknya. Selain itu
juga, hal berkenaan dengan penama wang KWSP jupa perlu diberi perhatian.
RUJUKAN
Abdul Kadir Ismail. 1983. Sistem Pusaka Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia.
Akta Pencen 1980 (Akta 227).
Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239).
Borang Penamaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pindaan 21 September 2011.
http://www.treasury.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1572%3A
skim-ex-gratia-bencana-kerja&catid=151%3Abahagian-dasar-saraan-wang-awam-
dan-khidmat-pengu&Itemid=306&lang=my (1 Jun 2012)
Ibrahim Talib. 2005. Harta suami: harta isteri – caruman KWSP dan peruntukan undang-
undang berkaitan. Kertas kerja Seminar Mahkamah Syariah & Isu-isu Semasa Siri
2, Anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia dengan Kerjasama Jabatan Syariah
& Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Bertempat di
Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. 9 April.
Mohd Zamro Muda & Mohd Ridzuan Awang. 2006. Undang-undang Pusaka Islam:
Pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1993.
Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 13 Tahun 1994.
Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 7 Tahun 2001.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2008.
Peraturan-Peraturan Pencen 1980.
al-Ramli, Shihab al-Din. 1938. Nihayah al-Muhtaj. Juz. 6. Mesir: Maktabah Mustafa al-
Babi al-Halabi.
Suhaida Abu Bakar. 2010. Penamaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dan Tabung Haji (TH): Satu Kajian Menurut Undang-undang Islam. Disertasi
Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Utusan Malaysia. 2011. 12 Februari.
Wan Abdul Halim Wan Harun. 2006. Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.