esei sayang sekolah

Upload: ayong-nomie

Post on 06-Jan-2016

252 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

contoh karangan pendek

TRANSCRIPT

Kempen Sayangi Sekolah

- Program Moral Bina Insan -Pendidikan Khas IntegrasiSek.Keb.Ladang Sapong

ESEI: CARA MENUNJUKKAN KASIH SAYANG AKAN SEKOLAH...!

Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hasrat ini dapat direalisasikan jika murid-murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.

Seseorang murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama dengan murid-murid lain selain memerlukan bajet yang tinggi untuk menyediakannya. Jika murid-murid melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta benda sekolah, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki kerosakan tersebut. Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa diambil untuk membaik pulih kerosakan tersebut.

Selain itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik murid supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna. Segelintir murid menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Mereka menganggap jiwa remaja tidak harus disekat dan mereka bebas untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi tuntutan remaja. Tanggapan sedemikian adalah salah kerana peraturan yang digubal mampu membina jati diri murid yang kukuh. Peraturan yang dirangka oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid serta mengelakkan murid terlibat dengan salah saku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar bergaduh di sekolah dan kes tersebut tersebar di media sosial, sudah tentu murid tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah. Kes tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan murid dan pada masa yang sama telah mencemarkan nama baik sekolah. Oleh itu, murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah. Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, murid-murid juga perlu menaikkan nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti.

Kesimpulannya, murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk menjadi insan yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi keutamaan murid-murid. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang guru sekolah.

Aktiviti: Guru membimbing murid baca esei di atas semasa perhimpunan sekolah.