contoh tinjauan literatur

Upload: muhammad-ashraff

Post on 04-Nov-2015

28 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

kegunaan para pengkaji membuat tinjauan litetatur

TRANSCRIPT

TINJAUAN LITERATURMatematik dilihat sebagai mata pelajaran yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan seharian dan ini menyebabkan perbincangan tentang mata pelajaran ini menjadi kaku. Fakta-fakta yang dibincangkan dianggap asing, seolah-olah ia berada di satu dunia yang lain. Bagi menjadikan mata pelajaran ini menarik, bermakna dan berguna, ramai penyelidik masa kini seperti Chien Chin dan Fou Lai Lin, (2001) Seligman, Olson, dan Zanna, (1996) Taplin, (2002) yang berpendapat bahawa aspek nilai matematik perlu disemai dan diberi penekanan dalam pengajaran matematik. Ini kerana nilai matematik membangkitkan rasa keindahan terhadap matematik, membangkitkan kefahaman tentang kepentingan matematik dan dapat membantu seseorang menguasai kekuatan matematik dengan lebih baik (National Council of Teachers of Mathematics, 1989; Kementerian Pendidikan Malaysia, 1998).

Kebolehan menyelesaikan masalah matematik merujuk kepada kemampuan murid menyelesaikan masalah matematik yang merangkumi masalah rutin dan masalah bukan rutin. Menurut Azizi (2001), sekiranya penyelesaian masalah hanya mengaplikasikan algoritma yang telah dipelajari, maka ia disebut sebagai masalah rutin. Manakala sekiranya seseorang murid perlu berfikir secara mendalam untuk mengaplikasikan konsep asas matematik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan, ia dinamakan masalah bukan rutin. Masalah yang berkait dengan kurikulum sekolah rendah lazimnya merupakan masalah rutin yang berbentuk masalah bersimbol dan masalah berayat (Ong & Yoong, 2003).

Menurut Noor Azlan (1995), dalam sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kurikulum mata pelajaran itu telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka hingga sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia peka terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Banyak usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran matematik. Justeru, pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah matematik.

Penggunaan Muzik dalam PDP

Kajian terhadap penggunaan muzik (nyanyian) dalam P&P juga telah banyak dijalankan oleh para penyelidik. Antaranya ialah kajian Edith & Kamariati (2005) tentang Keberkesanan Lagu Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran yang dijalankan di salah sebuah sekolah di negeri Sabah. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, kumpulan sasaran menunjukkan reaksi positif terhadap mata pelajaran Sains. Murid mempamerkan rasa seronok untuk mengikuti proses P&P yang menggunakan elemen muzik dan nyanyian yang disampaikan oleh guru. Mereka juga menunjukkan prestasi yang baik dalam pembelajaran dari aspek mengingati fakta-fakta Sains yang penting khususnya dalam melabel gambar rajah. Ini sekaligus dapat menarik minat murid untuk belajar.

Dalam kajian lain bertajuk Penggunaan Elemen Muzik Dan Nyanyian Dalam Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran Biologi yang dijalankan oleh Zainure (2003) pula membuktikan bahawa aktiviti P&P yang berjaya adalah bergantung kepada aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan kehendak dan minat murid-murid seperti muzik dan nyanyian. Penggunaan elemen muzik dan nyanyian bukan sahaja dapat membantu muridmurid mengenali, menyebut dan menghafal struktur, malah aktiviti P&P menjadi lebih menghiburkan dan menyeronokkan murid dan guru itu sendiri. Ini terbukti apabila kebanyakan murid yang menjadi responden di dalam kajian ini mampu melukis semula gambar rajah serta melabelkannya dengan betul.

Seterusnya, kajian yang dijalankan oleh Mohd Noor (1982) mengenai Muzik Sebagai Media Pendidikan Yang Berkesan Pada Kanak-Kanak menunjukkan bahawa pelajaran mudah diingat bila ianya dijadikan senikata lagu, misalnya pelajaran Matematik. Kaedah ini sesuai untuk murid-murid sekolah rendah terutama bagi kelas-kelas yang mundur. Melalui media muzik, guru akan menjadi mudah mengajar pelajaran tersebut. Kanak-kanak akan menjadi lebih terhibur dan berminat untuk mengikuti pelajaran itu dengan mudah. Dengan ini jelaslah menunjukkan bahawa muzik atau nyanyian dapat dijadikan sebagai satu media yang berkesan dalam pengajaran pada peringkat kanak-kanak.

Dalam kajian bertajuk The Effectiveness of Integrating Music In The Classroom yang dijalankan oleh Brewer (2007) menegaskan bahawa integrasi muzik dalam P&P adalah sangat efektif dimana pendekatan muzik sesuai digunakan untuk semua peringkat umur. Menurut kajian yang dijalankan oleh beliau ini, penggunaan kaedah muzik dan 10 nyanyian dalam P&P boleh membantu murid mengingati pengalaman pembelajaran yang dilalui disamping dapat menggalakkkan penglibatan aktif murid dalam P&P. Irama dan melodi yang digunakan dalam lagu, chant, sajak dan rap dapat menguatkan memori terhadap fakta dan isi pelajaran.

Ternyata pelbagai kajian mengenai penggunaan muzik (nyanyian) dalam proses P&P telah dijalankan selama ini dan telah menunjukkan tindak balas yang positif. Walaupun banyak kajian telah membuktikan muzik dapat meningkatkan keberkesanan P&P di bilik darjah, namun ianya tetap dipandang sepi oleh guru-guru sekolah. Justeru, pengkaji akan mengambil inisiatif untuk melaksanakan kajian mengenai keberkesanan kaedah nyanyian dalam meningkatkan ingatan murid, sejajar dengan usaha untuk menjadi seorang guru yang kreatif. Bagi murid-murid yang lemah, kaedah menghafal fakta dengan cara nyanyian didapati amat berkesan. Aktiviti ini bukan sahaja dapat membantu murid menghafal fakta, malah dapat menimbulkan suasana pembelajaran yang menghiburkan dan menyeronokkan.

Pembelajaran Koperatif Membantu Meningkat Prestasi Murid

Kaedah pengajaran yang berpusatkan guru menyebabkan pelajar kurang berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam proses pembelajaran. Hal ini disokong oleh Azmi Ismail (2004). Bonwell dan Eison (1991), Siegfried (1991) dalam Salemi, Siegfried, Kim Sosin, Walstad dan Watts (2000) menyatakan bahawa pembelajaran aktif perlu dilaksanakan untuk membantu pelajar berfikir seperti pakar ekonomi. Pelajar yang berfikir seperti pakar ekonomi berupaya memahami konsep secara kritis, meningkatkan pemikiran kritis seterusnya meningkatkan prestasi. Oleh itu, satu kaedah pembelajaran aktif yang sesuai perlu diperkenalkan.

Saya bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh Effandi Zakaria (2003) yang telah menyatakan bahawa kaedah pembelajaran yang memenuhi kriteria tersebut ialah kaedah penyelesaian masalah secara koperatif. Menurut beliau lagi, penyelesaian masalah dalam mata pelajaran di Matrikulasi misalnya boleh dilaksanakan secara pembelajaran koperatif. Prasyarat pelaksanaan pembelajaran koperatif ialah kemahiran murid berkomunikasi secara berkesan dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran berkumpulan. Kaedah penyelesaian masalah memerlukan teknik pemikiran tahap tinggi. Kamaruddin Taib (1999) telah menyatakan bahawa penyelesaian masalah mewakili satu aktiviti minda yang kompleks dan mempunyai banyak kemahiran kognitif seperti analisis, sintesis, pemahaman dan manipulasi. Setiap kemahiran ini memerlukan pengurusan dan koordinasi mental yang teratur. Aktiviti pembelajaran Matematik berkumpulan ini penting untuk menambahkan kemahiran pembelajaran pelajar dari segi pemahaman konsep penolakan. Kekuatan pembelajaran koperatif adalah memberi peluang kepada murid untuk berbincang, bertukar fikiran dan menghasilkan idea baru. Proses perubahan struktur kognitif ini dikenali sebagai akomodasi.

Kaedah penyelesaian masalah secara koperatif perlu dirancang untuk memenuhi kriteria antara pembelajaran secara mendalam (deep learning) dengan pembelajaran kritis. Mengikut kajian Leighton M.S. (1990) iaitu pelajar-pelajar yang menggunakan pembelajaran secara mendalam dapat memahami konsep dengan lebih terperinci Hal ini disokong oleh O Donnell, A.M & Dansereau, D.F. (1993) yang menegaskan bahawa penglibatan proses pemikiran dapat mewujudkan pembelajaran mendalam. Pelajar yang menggunakan proses metakognitif dapat mengintegrasikan idea baru dengan pengetahuan sedia ada untuk mencapai pemahaman yang lebih mendalam. Dalam hubungan ini, pemikiran kritis merupakan asas dalam membuka minda pelajar kepada pembelajaran secara mendalam. Keadaan ini berbeza daripada pelajar-pelajar yang menggunakan kaedah pembelajaran secara luaran (surface learning) yang melibatkan pembelajaran untuk mencapai keperluan jangka pendek. Pelajar-pelajar yang menggunakan pembelajaran secara luaran hanya berupaya mengingati fakta atau konsep ekonomi yang dipelajari untuk jangka pendek kerana ingatan fakta yang dipelajari diambil alih oleh isi kandungan pelajaran yang baru dipelajari. Satu kajian telah dijalankan oleh Maktab Perguruan Sarawak (1994) mendapati bahawa gaya pembelajaran secara luaran jenis hafalan ini tidak akan kekal dalam minda pelajar tanpa pemahaman secara mendalam tentang isi pelajaran ekonomi yang telah dipelajari. Oleh itu pembelajaran secara luaran tidak memadai bagi mempelajari.

Saya telah memilih satu cabang daripada kaedah pembelajaran kolaboratif iaitu teknik round robin sebagai satu cara kajian ini dijalankan adalah disebabkan kesempurnaan dan kelebihan teknik ini. Menurut Zawiah Abd. Shukor, Suria Baba & Nadzeri Hj. Isa (2001) teknik Round Robin dan Round Table berjaya mewujudkan keseronokan kepada para peserta. Keseronokan dalam proses p&p penting bagi mewujudkan motivasi dalaman mereka. Tingkah laku mereka yang berebut-rebut dan tidak sabarsabar untuk menurunkan pendapat memberikan gambaran bahawa mereka yakin dalam proses penulisan tersebut.

Jesteru, teknik Round Robin dalam kajian ini merupakan teknik yang boleh dilaksanakan dalam P&P Matematik malahan dalam semua bentuk pembelajaran. Terdapat banyak perkara yang perlu diberikan perhatian agar penggunaan teknik ini dapat menyumbang ke arah hasil yang optimum. Kagan, S. (1992) menyatakan perkara yang perlu diberikan perhatian ialah kawalan terhadap murid secara bijaksana dan pemantauan yang rapi terhadap maklumat yang diperoleh di samping menyamaratakan peluang murid belajar dalam kumpulan. Kedua-dua teknik ini didapati boleh memberikan motivasi kepada murid-murid saya. Keadaan ini mungkin dapat mendorong meningkatkan keupayaan murid dalam semua aspek sama ada kognitif mahupun afektif. Walau bagaimanapun, kajian mengenainya perlu dilakukan dari masa ke masa untuk membaiki cara pelaksanaannya. Sememangnya pembelajaran koperatif merupakan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan tetapi komitmen yang tinggi daripada pihak guru diperlukan.

\\

Penggunaan inovasi dalam proses P&P adalah sangat membantu murid dalam mengukuhkan lagi pemahaman. Menurut Fullan (1991), beliau menyatakan bahawa semenjak 1980an lagi banyak inovasi kurikulum telah diusahakan dan dilaksanakan lebih-lebih lagi pada era 1990an. Pada ketika itu menurutnya lagi, banyak usaha dilakukan untuk memperkembangkan kurikulum dan inovasi. Pengenalan inovasi Magic Rainbow banyak membantu dalam menyiapkan dan memudahkan murid dalam melakukan operasi tolak dengan mengumpul semula. Idea inovasi ini timbul hasil dari masalah murid semasa melakukan operasi tolak dengan mengumpul semula. Hal ini telah dibuktikan melalui kajian yang dijalankan oleh Fentersmacher (1986) yang menyatakan bahawa hasil penyelidikan dan pemikiran guru banyak membantu menambahkan pengalaman melalui masalah yang timbul. Kesimpulannya, penggunaan inovasi membuatkan murid lebih kreatif iaitu apabila mereka mencipta Magic Rainbow sendiri sekaligus meningkatkan kreativiti mereka. Perkara ini disokong oleh Noraini Mohd Salleh (1992) yang menyatakan bahawa penerapan atau aplikasi inovasi ini amat bergantung kepada keberkesanan sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif. Hal ini kerana aplikasi inovasi yang baik dalam kurikulum pendidikan mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.