catatan refleksi mingguan -int8

Upload: anizai-tun-wahab

Post on 03-Mar-2016

46 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

REFLEKSI INTERNSHIP

TRANSCRIPT

CATATAN REFLEKSI MINGGUANMINGGUCATATAN REFLEKSI

Minggu 110 Ogos 2015

hingga

14 Ogos 2015Ini adalah minggu pertama saya akan menjalankan internship di sekolah saya, iaitu Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 yang terletak di Bandar Baru Bangi. Program ini akan dijalankan selama empat minggu bermula 10 Ogos 2015 sehingga 5 September 2015. Pelbagai perasaan saya pada ketika ini, bercampur-baur antara suka, risau dan gementar. Suka kerana program ini dijalankan di sekolah sendiri tanpa pemantauan dari pihak luar, risau sebab kekangan masa yang sentiasa menghambat aktiviti seharian saya dan sangat gementar memandangkan saya perlu mencipta satu inovasi untuk membantu murid dalam menguasai kemahiran yang diajar dalam kelas. Saya sangat berharap agar semuanya berjalan lancar seperti yang saya rancangkan.

Langkah pertama yang saya lakukan adalah memaklumkan kepada pihak sekolah akan perkara ini, terutamanya Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Petang kerana saya mengajar sesi petang. Tidak dilupakan rakan-rakan guru juga turut dimaklumkan akan hal ini dengan harapan mereka akan memberi kerjasama yang baik selama empat minggu ini. Saya juga ada berbincang dengan mentor saya, Puan Rozina bt Mohd Yusoff yang juga mengajar mata pelajaran Matematik tahun tiga. Selain itu, saya membuat perbincangan ringkas bersama guru-guru Matematik tahun tiga yang lain iaitu Encik Abdurrahman dan Cik Aeryza berkenaan kesesuaian bahan yang saya cipta, iaitu Kad Ajaib. Saya telah menyediakan satu kertas kerja berkaitan dengan satu inovasi yang akan saya jalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran nanti yang bertajuk Meningkatkan Kemahiran Membundar Nombor Bulat Kepada Ratus Terdekat Murid Tahun 3 Ibnu Qayyim Menggunakan Kaedah Kad Ajaib. Bahan inilah yang akan digunakan untuk membantu murid-murid kelas 3 Ibnu Qayyim dalam proses membundarkan nombor bulat kepada ratus yang terdekat. Kelas ini adalah kelas kesepuluh daripada sebelas kelas tahun tiga. Sebahagian daripada muridnya adalah murid LINUS dan mereka selalu mengalami kesukaran dalam membundarkan nombor bulat.

Minggu 217 Ogos 2015

hingga

21 Ogos 2015Pada minggu kedua ini, saya telah mula merangka Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk sesi pengajaran dan pembelajaran nanti berdasarkan kertas kerja yang telah saya sediakan. RPH ini akan mengambil masa selama satu jam. Dalam minggu ini juga saya ada menerangkan serba sedikit tentang penggunaan Kad Ajaib ini kepada murid-murid 3 Ibnu Qayyim sebelum sesi pengajaran sebenar berlangsung. Segala persediaan saya buat dengan rapi agar rancangan pengajaran itu dapat berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Lembaran kerja juga dirangka dan diperbanyakkan untuk penggunaan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran itu nanti. Sepanjang minggu ini, sesi pengajaran dan pembelajaran Matematik dijalankan seperti biasa. Bermula dengan hari Isnin yang sibuk, saya perhatikan murid-murid saya juga agak kepenatan. Kami sedang membuat persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan, jadi banyaklah aktiviti yang dirancang. Jadi, tidak banyak kemahiran yang diajar sepanjang minggu ini kerana saya sangat faham, badan yang letih tidak akan membantu otak menjadi cergas. Saya khuatir apabila saya memperkenalkan kemahiran yang susah, mereka tidak faham dan tidak dapat menjawab soalan yang diberi dengan betul. Hal ini akan menyebabkan mereka hilang semangat dan minat dengan Matematik. Dalam minggu ini, hanya kemahiran-kemahiran mudah yang diajar di samping membuat sedikit ulangkaji tentang kemahiran-kemahiran yang lepas.

Minggu 324 Ogos 2015

hingga

28 Ogos 2015Saya menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti yang dirancang pada hari Rabu bersamaan 26 Ogos 2015. Ini adalah kerana pada minggu hadapan, semua jadual waktu guru akan dirombak dan diberi jadual yang baru. Pergerakan ramai guru yang pindah keluar dan pindah masuk menyebabkan semua jadual perlu diubah semula agar ia seimbang dengan keperluan sekolah. Jadi, untuk mengelakkan apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik saya menyempurnakan tugasan ini lebih awal. Mentor juga ada bersama semasa sesi rakaman ini berlangsung. Pada awalnya, kelihatan murid agak keliru dan terkial-kial semasa menggunakan kad tersebut. Namun, selepas beberapa kali penerangan dan contoh diberikan, mereka sudah agak mahir. Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, saya dapati murid lebih berminat dan seronok menggunakan kad itu kerana ianya lebih cepat dan mudah untuk difahami. Daripada tiga set soalan yang diberi, kebanyakan murid dapat menjawab sepuluh soalan dengan betul dari dua belas soalan kesemuanya. Ada juga yang dapat menjawab dengan betul kesemua sekali soalan yang diberi. Berbanding sebelum ini, saya dapati kebanyakan murid kelas ini selalu menghadapi kesukaran semasa membundar nombor bulat. Mereka mengambil masa yang agak lama semasa membundar, namun jawapan yang diberi juga salah. Kad ini membantu murid untuk membundar dengan lebih cepat di samping dapat mengurangkan kesilapan. Murid juga akan lebih yakin semasa membundar kerana pada kad tersebut ditulis dengan nota kecil sebagai panduan semasa membundar. Mereka juga kelihatan sangat teruja apabila diberi Kad Ajaib tersebut.Satu kepuasan buat diri saya apabila saya dapati murid-murid yang saya ajar dapat menjawab soalan yang diberi dengan tepat sambil tersenyum girang. Mereka bersorak sambil bertepuk tangan kegembiraan apabila dapat membundar dengan betul.

Minggu 431 Ogos 2015

hingga

4 September 2015Pada minggu terakhir internship ini, saya hanya memantau perkembangan murid-murid kelas 3 Ibnu Qayyim. Sepanjang seminggu ini, saya juga ada memberi beberapa soalan bundar kepada mereka untuk menguji sejauh mana kefahaman mereka tentang tajuk ini dan sejauh mana keberkesanan Kad Ajaib yang telah saya perkenalkan. Didapati murid-murid yang lemah dahulu sudah boleh menjawab soalan bundar dengan yakin dan betul. Namun, masih ada yang menggunakan Kad Ajaib yang diberi untuk mencari jawapan. Walaupun mereka memerlukan masa untuk memberi jawapan yang tepat, namun usaha mereka yang gigih dengan mengaplikasikan Kad Ajaib yang saya cipta itu amat menyentuh hati saya. Ini adalah perkembangan positif yang saya tunggu-tunggu selama ini. Apabila usaha kecil kita dihargai oleh murid-murid, ia merupakan satu kepuasan bagi diri saya. Selepas sebulan menjalani internship, banyak perkara baru yang telah saya pelajari. Saya sedar yang sikap seseorang guru itu sangat-sangat mempengaruhi hasil, iaitu pencapaian murid-murid di sekolah. Seorang guru yang berkesan harus sentiasa rajin memikirkan tentang kesesuaian bahan untuk membantu kefahaman murid dalam sesuatu kemahiran yang diajar. Tidak semestinya bahan yang mahal sahaja yang sesuai untuk digunakan, kadang-kadang bahan buangan yang ada di sekitar juga boleh menjadi alat yang efektif jika kita pandai mengolahnya. Saya berharap, saya akan terus istiqomah dalam mendidik anak bangsa tanpa ada rasa jemu. Semoga sedikit ilmu ini dapat membantu anak-anak didik saya dalam mengharungi masa depan mereka nanti, insha Allah.