cadangan projek penyelidikan

16
CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN TAJUK KAJIAN Metode Penulisan Sharh Muslim Oleh Imam al-Nawawi: Analisis Teks Dengan Tumpuan Pada Kitab al-Buyu‘ OBJEKTIF KAJIAN Kajian ini diusahakan bagi mencapai matlamat dan objektif- objektif berikut: 1. Mengenalpasti kaedah syarah yang digunakan oleh Imam al- Nawawi dalam menghurai dan mengupas nas-nas hadith yang terdapat dalam Kitab Sahih Muslim. 2. Meneliti kaedah yang digunakan dalam membincangkan hukum, mentafsir nas, mentarjih pandangan dan mengupas amalan dan syari‘at Islam. 3. Meneroka pandangan dan pendirian Ulama Islam berhubung amalan jual beli dan perniagaan sebagaimana dibincangkan dalam Kitab al-Buyu‘. 1

Upload: jojo-hoho

Post on 09-Dec-2014

134 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

o

TRANSCRIPT

Page 1: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

TAJUK KAJIAN

Metode Penulisan Sharh Muslim Oleh Imam al-Nawawi: Analisis Teks Dengan Tumpuan Pada

Kitab al-Buyu‘

OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini diusahakan bagi mencapai matlamat dan objektif-objektif berikut:

1. Mengenalpasti kaedah syarah yang digunakan oleh Imam al-Nawawi dalam menghurai

dan mengupas nas-nas hadith yang terdapat dalam Kitab Sahih Muslim.

2. Meneliti kaedah yang digunakan dalam membincangkan hukum, mentafsir nas, mentarjih

pandangan dan mengupas amalan dan syari‘at Islam.

3. Meneroka pandangan dan pendirian Ulama Islam berhubung amalan jual beli dan

perniagaan sebagaimana dibincangkan dalam Kitab al-Buyu‘.

4. Membincangkan hadith-hadith yang dimuatkan dalam Kitab al-Buyu‘ dan meneliti

hubungannya dengan kefahaman fiqh al-mu‘amalah dan maqasid shari‘ah.

5. Menghuraikan manhaj syarah yang dikemukakan oleh Ulama dalam mengupas dan

merumuskan kefahaman hadith dan nas.

KEPENTINGAN KAJIAN

Antara faedah yang terpenting dan signifikan yang dirangkul dari kajian ini termasuklah:

1. Memperkukuh kefahaman hadith dan fiqh yang komprehensif.

1

Page 2: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

2. Mengemukakan kaedah syarah yang terbaik yang digarap dari perbincangan kitab Sharh

Muslim oleh Imam al-Nawawi.

3. Sebagai asas dan landasan bagi melanjutkan penerokaan kepada hadith-hadith sahih.

4. Mengemukakan pendekatan yang ideal dalam menghuraikan teks hadith.

5. Meningkatkan kefahaman terhadap ilmu syarah dan mustalah al-hadith.

6. Membandingkan manhaj yang dikemukakan dalam kitab-kitab syarah hadith yang

muktabar.

7. Memperluas kajian dan penerokaan dalam bidang syarah dan Manhaj al-Muhaddithin.

SOROTAN LITERATUR

Merujuk pada kajian perpustakaan dan penelitian semula hasil-hasil penulisan yang

berkait dengan perbahasan yang dikemukakan dalam disertasi ini, sepanjang pengetahuan

penyelidik, belum terdapat kajian yang membuat penerokaan menyeluruh tentang manhaj syarah

yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi dalam Sahih Muslim, cuma terdapat beberapa kajian

ringkas yang menyentuh secara am tentang kupasan dan syarahan beliau terhadap kitab Sahih.

Kajian yang dihasilkan banyak tertumpu pada biografi Imam al-Nawawi, dan huraian

tentang sumbangan serta pengaruhnya dalam ilmu hadith dan fiqh. Projek penterjemahan karya-

karya Imam al-Nawawi turut diusahakan oleh ramai pemikir agung dari dunia timur dan barat.

Kajian-kajian lain tertumpu pada perbincangan fatwa dan pemikiran beliau dalam ilmu hadith

dan usul yang banyak dihasilkan di Eropah. Penulisan-penulisan ini amat penting bagi

membantu penyelidik merungkai dan menggalur semula idea-idea yang terhasil dan merumuskan

penemuan dan fakta baru yang diperoleh tentang Imam al-Nawawi.

Kajian ini secara khusus akan menyumbang dalam memberikan huraian dan kupasan

2

Page 3: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

terperinci terhadap kitab Al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim al-Hajjaj. Berikut adalah beberapa

kajian yang membincangkan sumbangan Imam al-Nawawi terhadap ilmu hadith dan pemikiran

syarah yang dikemukakannya secara am:

1. Buku Sharh Sahih Muslim li al-Imam al-Nawawi. Ditahqiq oleh al-Fadil Shaykh Khalil al-

Maiys.1

Kitab Sharh Sahih Muslim ini adalah bahasan penuh kajian ini. Melalui sentuhan

komentarnya oleh Shaikh Khalil al-Maiys, beliau telah berhasil memperbaiki dan

memperbaharui tatacara penyusunan kitab Sharh berdasarkan naskhah yang disunting

sebelumnya oleh Shaikh Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi.

Shaikh Khalil al-Maiys telah mengemukakan perbahasan yang mantap dalam

menghuraikan metode penulisan hadith oleh Imam al-Nawawi. Beliau turut menyelitkan

beberapa ulasan dan keterangan tambahan yang menghuraikan pendekatan Imam dalam

mengulas dan mentakwil nas dan mentarjih pendapat mazhab. Beliau turut mengemukakan

pandangan beberapa Ulama terkenal yang turut mengupas dan menghuraikan kitab Sahih,

seperti Imam al-Suyuti, al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Dar al-Qutni dan Ibn al-Salah.

Melalui kitab Sharh Sahih Muslim ini, Imam al-Nawawi telah menyumbang dalam

meneliti dan menyingkap semula lembaran teks-teks klasik yang ternyata merupakan landasan

dan kerangka besar dalam tradisi Islam. Beliau telah memberikan penjelasan dengan kupasan

dan tafsiran menyeluruh terhadap kitab Sahih. Melalui wadah inilah, terbina pemahaman tulen

tentang khittah dan kerangka ilmu hadith yang dirangkul dari perbahasan dan kupasan kitab al-

Sahih.

1 Al-Nawawi, Muhyi al-din Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf. (1993). Sharh Sahih Muslim. Khalil al-Maiys (ed.). Beirut: Dar al-Qalam.

3

Page 4: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

Bagaimanapun kitab yang ditahqiq oleh Shaikh Khalil al-Maiys ini tidak menghuraikan

secara terperinci manhaj syarah yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-

Minhaj. Justeru penulisan ini akan membahaskan manhaj dan ittijahat syarah yang

komprehensif yang dilakarkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj dan

membandingkan pendekatannya dengan kaedah syarah yang digariskan Ulama hadith yang lain.

2. Kertas kerja berjudul Lamhat min Manhaj al-Imam al-Nawawi fi Sharh Sahih Muslim.

Tulisan Dr. ‘Abd al-Karim Mastur al-Qarni.2

Kertas yang dibentangkan ini membincangkan secara ringkas metode syarah hadith yang

dikemukakan oleh Imam al-Nawawi dalam kupasannya terhadap kitab Sahih Muslim. Ia

meneliti manhaj yang digunakan dalam mengumpul nas, merungkai kekhilafan hadith,

menghuraikan kefahaman hukum, menukil hujah mazhab, mentafsir nas al-Qur‘an, menarik

faedah hadith, merumus pandangan fiqh, dan mentakwil serta mengistinbat dalil.

Ia turut meneliti prinsip dan kaedah yang diambil dalam mentakwil dan menghuraikan

hadith-hadith musykil dalam kitab Sahih. Kertas ini turut membincangkan pengaruh dan

pengiktirafan Ulama terhadap kitab Sharh Sahih Muslim. Kajian ini sangat bermakna untuk

dilanjut dan diperluaskan skop bahasannya. Ia banyak membantu penyelidik dalam memahami

kaedah yang digunakan oleh Imam al-Nawawi dalam menghasilkan kitab Sharh dan kekuatan

manhaj yang diketengahkan dalam perbahasan.

Bagaimanapun makalah ini tidak menyentuh tentang manhaj yang dikemukakan dalam

kitab al-Buyu‘. Justeru penulisan ini akan mengungkapkan manhaj syarah yang komprehensif

2 Al-Qarni, ‘Abd al-Karim Mastur (2006), “Lamhat min Manhaj al-Imam al-Nawawi fi Sharh Sahih Muslim” (Seminar Antarabangsa al-Quran dan al-Hadith: Metodologi Tafsir dan Syarah. Kuala Lumpur: Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).

4

Page 5: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

yang dilakarkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Buyu‘ dan membincangkan faedah dan

kefahaman yang digarap dari perbahasan yang dibentangkan.

3. Koleksi Kertas Kerja Seminar al-Imam al-Nawawi, anjuran Pusat Islam Malaysia, Kuala

Lumpur.3

Koleksi kertas kerja ini menghimpunkan pandangan para ilmuwan tentang keunggulan

pengaruh Imam al-Nawawi dalam warisan pemikiran Islam. Ia memuatkan kajian ringkas sekitar

riwayat hidup dan kesan pemikiran Imam serta penulisan yang dihasilkannya dalam bidang

hadith, fiqh, tafsir, tarbiyah dan perundangan Islam. Seminar seumpama ini amat berfaedah bagi

penyelidik yang mengusahakan kajian tentang Imam al-Nawawi untuk mengkaji dan

memanfaatkan pandangan dan penemuan yang dihasilkan. Penyelidik turut terkesan dengan usul

yang diputuskan yang menyeru supaya ditingkatkan kajian tentang sumbangan dan peranan

Ulama Islam dalam pelbagai bidang pemikiran.

Sebuah tajuk khusus yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul

Shakur bertajuk Metodologi al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim turut

memberikan asas yang melakar idea yang terpancar dalam tesis ini. Kertas ini mengemukakan

perbincangan ringkas tentang uslub syarah yang diketengahkan oleh Imam al-Nawawi dalam

kitab al-Minhaj dan menghuraikan kaedah dan latar penulisan kitab Sharh. Ia meransang

penyelidik untuk melakukan penelitian serius dan melanjutkan kajian tentang kaedah syarah

yang dikemukakan oleh Imam.

Kertas-kertas kerja yang lain turut berperanan menghimbau ketokohan Imam al-Nawawi

dalam ilmu hadith dan pengaruhnya dalam pemikiran fiqh dan mazhab. Koleksi ini menampilkan

3 Bahagian Hal Ehwal Islam (1990), Koleksi Kertas Kerja Seminar al-Imam al-Nawawi. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

5

Page 6: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

perbahasan yang komprehensif tentang Imam al-Nawawi yang memberikan ruang kepada

penyelidik untuk menggarap sebaiknya idea dan hujah yang dikemukakan. Ia menguji minat dan

kesungguhan penyelidik untuk meninjau dan merujuk semula karya dan kitab-kitab yang

dikemukakan oleh para pembentang dalam setiap sesi perbincangan.

Bagaimanapun kertas-kertas kerja yang dikemukakan tidak menghuraikan manhaj dan

kefahaman yang dirangkul dari kitab al-Buyu‘. Justeru penulisan ini akan mengupas dan

menzahirkan kefahaman yang digarap dari perbahasan kitab al-Buyu‘ dan merangkul hujah dan

pemikiran yang dikemukakan dalam penelitian fiqh.

4. Disertasi sarjana bertajuk Al-Imam al-Nawawi dan Sumbangannya kepada al-Hadith: Satu

Kajian Mengenai Bab al-Tib wa al-Marad wa al-Ruqa Menerusi Kitabnya Sharh Sahih

Muslim. Penulis Mohd. Muhiden Abd. Rahman.4

Kajian ini membahaskan sumbangan Imam al-Nawawi kepada ilmu hadith menerusi

perbincangan terperinci terhadap kitabnya Sharh Sahih Muslim. Ia turut membincangkan

sumbangannya dalam ilmu hadith al-riwayah dan al-dirayah menerusi karya-karya hadith yang

dihasilkan seperti kitab Riyad al-Salihin, Matn al-Arba‘in, Al-Majmu‘ sharh al-Muhadhdhab,

al-Adhkar, al-Taqrib, Tahdhib al-Asma’ wa al-Lughat dan lain-lainnya.

Kajian ini turut membahaskan sumbangannya dalam mengangkat dan memperbaharui

kefahaman dan memartabat tradisi ilmu dan pemikiran. Imam al-Nawawi telah menyumbangkan

karya dalam segenap bidang keilmuan seperti ilmu hadith, lughah, tabaqat, fiqh, usul dan

‘aqidah Islam. Karya-karya yang dihasilkannya dalam ilmu hadith mencakup tiga bahasan

4 Mohd. Muhiden Abd. Rahman (1994), Al-Imam al-Nawawi dan Sumbangannya kepada al-Hadith: Satu Kajian Mengenai Bab al-Tib wa al-Marad wa al-Ruqa Menerusi Kitabnya Sharh Sahih Muslim. (Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya).

6

Page 7: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

penting, iaitu syarahan kepada kitab-kitab hadith yang terawal, pengenalan kepada disiplin dan

pengetahuan baru dalam ilmu hadith dan ringkasan pada karya-karya besar yang dihasilkan oleh

‘Ulama terdahulu.

Kajian ini secara khusus mengkaji sebuah bab dalam kitab al-Salam iaitu bab al-tib wa

al-marad wa al-ruqa. Ia membahaskan pandangan Islam tentang kebenaran al-‘ayn (pandangan

hasad). Ia turut menghuraikan kaedah Islam dalam menjampi dan merawat bersandarkan dalil

dan nas hadith yang muhkam.

Kajian ini amat bermakna kepada penyelidik bagi mendapatkan kefahaman tentang

kaedah syarah yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi. Ia memberikan kefahaman yang tuntas

tentang manhaj yang dilakarkan dalam perbahasan hadith dan kekuatan serta keberkesanan hujah

yang ditampilkan dalam perbincangan dan penelitian hukum dan nas.

Bagaimanapun disertasi ini hanya difokuskan pada bab al-tib wa al-marad wa al-ruqa

tanpa mengupas secara terperinci manhaj syarah yang dibentangkan dalam kitab al-Minhaj.

Justeru penulisan ini akan mengemukakan kaedah syarah yang komprehensif dan sistemik yang

ditampilkan dalam kitab al-Minhaj dan menghuraikan dalil dan hujah yang dizahirkan dalam

perbincangan nas.

5. Latihan ilmiah berjudul Metod Pentarjihan Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmu‘.

Penulis Ahmad Shahir Jiri.5

Kajian ini membahaskan metode pentarjihan yang dibentangkan dalam kitab al-Majmu‘

sharh al-Muhadhdhab oleh Imam al-Nawawi. Ia membincangkan kedudukan hukum dan

menganalisis kekuatan mazhab fiqh al-Shafi‘i serta kehandalan Imam dalam mentarjih dan

5 Ahmad Shahir Jiri (2002), Metod Pentarjihan Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Majmu‘. (Latihan Ilmiah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya).

7

Page 8: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

merumuskan pendapat Ulama fiqh yang berlainan. Beliau membandingkan pandangan dan hujah

yang dikemukakan dan mengambil pandangan yang terbaik yang diiktiraf dalam mazhab.

Buku ini menggariskan kaedah tarjih yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi bagi

memutuskan fatwa iaitu dengan mengutamakan pendapat yang lebih kuat dan terkemudian ke

atas pendapat yang terdahulu dan difikirkan lemah. Beliau mengutarakan pandangan dan hujah

Imam al-Shafi‘i dan Ulama mazhab yang lain dalam mempertahankan hukum mengikut

keperluan maslahah dan ‘uruf.

Imam al-Nawawi telah membangunkan kaedah fiqh yang ideal dan menggariskan

manhaj hukum yang berkesan yang dirangkul dari pandangan ‘Ulama-Ulama salaf yang

muktabar. Fatwa-fatwa yang dikemukakannya dimuatkan dalam Kitab Adab al-Fatwa wa’l

Mufti wa’l Mustafti dan Kitab al-Masa’il al-Manthurat susunan al-Shaykh ‘Ala al-Din ibn

al-‘Attar. Kepakaran beliau dalam mentarjih dizahirkan dengan keupayaannya menggarap dan

merumuskan pendapat ‘Ulama dan mengemukakan pandangan dan rincian tersendiri yang

ternyata telah diterima pakai dan menjadi sandaran utama dalam mazhab.

Kitab al-Majmu‘ yang dikemukakan ini merupakan syarahan besarnya dalam ilmu fiqh

yang memuatkan beberapa kritikan ke atas pendapat ‘Ulama terdahulu serta penambahan dan

analisis tentang kerajihan dan kekuatan mazhab Imam al-Shafi‘i. Kajian ini dibentangkan secara

ringkas dan tidak terlalu ghairah membicarakan keseluruhan persoalan sesuai dengan

kenyataannya sebagai sebuah latihan ilmiah peringkat Mahasiswa. Penyelidik telah mendapat

manfaat besar dari kajian ini hasil dari penerangan tentang metode pentarjihan Imam al-Nawawi

dan penemuan beberapa manhaj utama dalam pendekatan dan kaedah tarjih yang masih kekal

dan diraikan dalam perbahasan fiqh dan usul.

8

Page 9: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

Bagaimanapun kajian ini hanya difokuskan pada manhaj yang dizahirkan dalam kitab al-

Majmu‘ tanpa membandingkan pentarjihan yang dikemukakan dalam kitab al-Minhaj. Justeru

penulisan ini akan mengemukakan manhaj tarjih yang digariskan oleh Imam al-Nawawi dalam

kitab al-Minhaj khususnya dalam perbincangan kitab al-Buyu‘.

METODOLOGI PENYELIDIKAN

Metod Dokumentasi

Kajian ini dikendalikan berasaskan kaedah kepustakaan dengan merujuk kepada bahan-

bahan perpustakaan yang menyediakan data dan sumber-sumber maklumat bercetak dan

elektronik berupa koleksi tesis, kertas projek, kitab-kitab hadith klasik, makalah ‘ilmiah, jurnal,

kertas persidangan dan sumber sejarah yang signifikan yang berkait dengan tajuk kajian dan

projek penyelidikan yang dijalankan.

Penyelidikan diusahakan dari bahan terpenting kumpulan data primer dan sekunder

berupa dokumen sejarah dan penerbitan ‘ilmiah, monograf,6 mikroform7, media elektronik8

termasuk internet dan salinan dokumentasi tidak bercetak yang lain yang mampu memenuhi

keperluan penyelidikan dan menyediakan maklumat terperinci bagi tujuan dokumentasi dan

pembukuan.

Metod Analisis Data

6 Monograf berupa kompilasi kertas-kertas persidangan yang dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Islam Imam al-Nawawi (rad) anjuran JAKIM (1990) dan Persidangan Antarabangsa Al-Qur’Én dan Al-Hadith: Metodologi Tafsir dan Syarah anjuran UIAM (2006). 7 Salinan mikro filem yang dibekalkan oleh British Thesis Service, Godstone, Surrey, 1998. Tesis sarjana (M.Phil) saudari Khogali W.A. berjudul The Life and Works of Muhyi al-Din al-Nawawi dari King’s College, University of London, 1987. 8 Laman-laman web yang menyediakan rujukan dan penulisan berkaitan ImÉm al-NawawÊ seperti laman http://www.nawawi.org, http://en.wikipedia.org/wiki/Nawawi, www.islamworld.net/nawawi.html, www.central-mosque.com/biographies/nawawi.htm dan lain-lain.

9

Page 10: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

Memandangkan kajian ini bersifat deskriptif, maka kaedah yang digunakan untuk

mentafsir maklumat adalah melalui analisis kandungan. Ia membuat pemerhatian rapi pada

rangka teks dan dokumen yang dikaji. Rangka kajian dibangun mengikut kaedah saintifik yang

bersifat integratif dan tematik dan fokus kajian tertumpu pada Kitab Al-Minhaj fi Sharh Sahih

Muslim al-Hajjaj.

Kajian ini menggunakan kaedah induktif dan deduktif untuk memproses dan mengolah

data. Melalui kaedah induktif, kesimpulan dibuat dengan menilai pandangan dan pendapat yang

diutarakan oleh Imam al-Nawawi dan analisis ijtihad yang dikemukakannya. Pendekatan

deduktif pula diambil dengan meneliti teks dan fakta yang dikemuka dan membuat inferens

berasaskan teknik taakulan dan pemerhatian dan interpretasi dari kenyataan dan pandangan yang

disampaikan.

Kajian ini turut menggunakan kaedah komparatif dan kontrastif bagi meneliti persamaan

dan membandingkan perbezaan dalam pendekatan yang digunakan oleh Imam al-Nawawi

dengan ‘Ulama lain dalam menghurai Kitab Sahih Muslim. Ini berguna bagi memahami cara

penyampaian dan tafsiran hadith oleh Imam dan mengenalpasti serta mengesan pendekatan

beliau dalam merumus dan mentakwil nas.

ANGGARAN PERBELANJAAN

Jenis Spesifikasi Nilai (RM)

Alat-Alat Kelengkapan 3000.00

BekalanAlat Tulis, Disket, Dakwat Pencetak

1000.00

Perjalanan Dan Sarahidup 3000.00

Bayaran saguhati / pembantu kerja luar 3000.00

10

Page 11: CADANGAN PROJEK PENYELIDIKAN

Jumlah10,000.00

11