cabaran memartabatkan bahasa melayu

14
“Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu” 1.0 Pengenalan Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa paling ramai penutur di dunia. Berdasarkan kenyataan ini dapat diandaikan bahawa bahasa Melayu telah memalui perjalanan yang panjang sehingga berkembang seperti yang ada sekarang ini. Walau bagaimanapun perdebatan mengenai asal usul bangsa dan bahasa Melayu masih lagi berterusan sehingga ke hari ini Melayu berasal dari Campa dan telah tersebar luas ke seluruh Nusantara. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa asal usul orang Melayu ialah dari Kepulauan Borneo yang kemudiannya berhijrah ke serata Asia Tenggara (Nik Safiah Karim dll, 2009:3). 2.0 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Dalam membicarakan sejarah perkembangan bahasa Melayu para pengkaji cenderung untuk membuat tahapan berdasarkan perubahan-perubahan signifikan yang berlaku dalam bahasa Melayu. Disebabkan itu kita sering terbaca tahapan-tahapan seperti bahasa Melayu, kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. Selain daripada itu ada juga pengkelasan berdasarkan perkembangan politik di Kepulauan Melayu misalnya zaman kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya. Ada juga yang mengambil kira pengaruh kebudayaan seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit. 2.1 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Klasik Menurut Ismail Hussein (1984:25), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14. Tetapi beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut sejarah 1

Upload: mohaspa-mohd-hassan

Post on 30-Jan-2016

135 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Bahasa Melayu tercabar di tanah airnya sendiri. Status sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dibayangi oleh sikap masyarakat yang mengutamakan bahasa asing

TRANSCRIPT

Page 1: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

“Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu”

1.0 Pengenalan

Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa paling ramai penutur di dunia. Berdasarkan

kenyataan ini dapat diandaikan bahawa bahasa Melayu telah memalui perjalanan yang

panjang sehingga berkembang seperti yang ada sekarang ini. Walau bagaimanapun

perdebatan mengenai asal usul bangsa dan bahasa Melayu masih lagi berterusan sehingga ke

hari ini Melayu berasal dari Campa dan telah tersebar luas ke seluruh Nusantara. Ada juga

pendapat yang menyatakan bahawa asal usul orang Melayu ialah dari Kepulauan Borneo yang

kemudiannya berhijrah ke serata Asia Tenggara (Nik Safiah Karim dll, 2009:3).

2.0 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

Dalam membicarakan sejarah perkembangan bahasa Melayu para pengkaji cenderung untuk

membuat tahapan berdasarkan perubahan-perubahan signifikan yang berlaku dalam bahasa

Melayu. Disebabkan itu kita sering terbaca tahapan-tahapan seperti bahasa Melayu, kuno,

bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. Selain daripada itu ada juga pengkelasan

berdasarkan perkembangan politik di Kepulauan Melayu misalnya zaman kerajaan Srivijaya,

Majapahit, Melaka, dan sebagainya. Ada juga yang mengambil kira pengaruh kebudayaan

seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan

Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya

pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha,

menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera

India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.

2.1 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Klasik

Menurut Ismail Hussein (1984:25), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-

14. Tetapi beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan

kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut

sejarah diperoleh pada tahun 1292 M sewaktu Marco Polo melawat Sumatera Utara dan

catatannya tentang pengislaman Pasai. Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik

1

Page 2: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang

kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Seiring dengan

kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang sedikit demi sedikit

sehinggalah ke abad ke-15.

Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah

penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan

sebagai lingua franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu

Klasik ini jelas dalam aktiviti perdagangan dan penyebaran agama Islam. Bukti tentang

penyebaran agama islam menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah penghasilan kitab-kitab

agama. Kandungan kitab-kitab ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-

quran, tasawuf, di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan

Melayu, bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan. Secara

ringkasnya bahasa Melayu Klasik meluas dalam kalangan orang bukan Melayu dari kelompok

Asia, juga dalam kelompok orang Eropah dan Asia Barat yang datang ke Asia Tenggara.

Pada zaman peralihan dalam abad ke-13 dan ke-14 telah dijumpai beberapa prasasti dalam

bahasa Melayu yang ditulis menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah terdapat

pengaruh bahasa Arab. Di sini bermulanya bahasa Melayu klasik. Dalam masa yang sama

bahasa Melayu Klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu

Melaka. Bahasa Melayu menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan,

dan penyebaran agama Islam. Ketika itu juga bahasa Melayu mendapat tulisan baru, iaitu

tulisan Jawi, iaitu dengan meminjam dan menyesuaikan abjad bahasa Arab. Sebelumnya,

pada tahap bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu menggunakan dua jenis tulisan, iaitu tulisan

rencong dan lampung yang tidak terpengaruh oleh tulisan dari India walaupun bahasa Sanskrit

sudah bertapak di Nusantara.Tulisan yang disesuaikan dengan tulisan Pallava dan Nagiri

seperti yang terdapat pada batu-batu bersurat antara abad ke-7 hingga abad ke-14.

Kedatangan pengaruh agama Islam dan bahasa Arab,telah menyebabkan bahasa Melayu

melangkah setapak lagi dengan satu lagi tulisan, iaitu tulisan Jawi. Bahasa Melayu Klasik

mula pada abad ke-16 sampai pula pengaruh dari Barat dengan kedatangan penjajah dari

Eropah seperti Portugis, Belanda, dan Inggeris. Sekali lagi bahasa Melayu bertembung

dengan bahasa dan kebudayaan yang baru yang turut mempengaruhi bahasa Melayu. Tulisan

rumi mula digunakan dengan penggunaan yang pertama dalam bahasa Melayu oleh David

2

Page 3: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

Barbosa pada tahun 1516 Masihi setelah Melaka ditawan oleh Portugis, kemudian pada tahun

1521 Masihi seorang pengembara Itali, Antonio Pigfafetta membuat catatan perkataan Melayu

dalam tulisan rumi dengan padanannya dalam bahasa Itali Abdul Rashid Melebek Amat

Juhari Moain (1992:1062) .

2.2 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu Pramoden bermula pada abad ke -19. Buktinya ialah kedatangan pendatang

luar ke Asia Tenggara untuk menguasai Asia Tenggara.Pendatang bangsa barat ini bukan

sahaja menguasai ekonomi, tetapi politik. Bagi mengukuhkan kedudukan di tanah Melayu,

mereka telah mengkaji bahasa dan budaya pribumi. Hasil kajian ini telah mewujudkan pusat-

pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya pribumi terutama Melayu. Manuskrip-

manuskrip Melayu dan bahan-bahan tinggalan sejarah,budaya dan sastera Melayu telah

dikumpulkan di perpustakaan- perpustakaan barat ini.

Zaman bahasa Melayu Moden telah mula pada abad ke-19 iaitu setelah kedatangan penjajah

Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap

sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu

mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran,

kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua,

British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem

pendidikan. Namun semasa Malaysia mencapai kemerdekaan kedudukan bahasa Melayu

diangkat ke persada paling tinggi iaitu ditetapkan sebagai bahas rasmi dan bahasa kebangsaan

negara, seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.

Semenjak itu banyak perubahan telah berlaku dalam bahasa Melayu. Penubuhan Dewan

Bahasa dan Pustaka, sebagai sebuah organisasi yang diamanahkan memperkasa bahasa

Melayu telah menjalankan banyak usaha untuk memantapkan bahasa Melayu. Antara

kemajuan yang dicapai oleh bahasa Melayu ialah pengenalan sistem ejaan baharu,

penghasilan buku tatabahasa yang komprehensif, sebutan baku, perkamusan, penterjemahan,

penghasilan istilah dalam pelbagai bidang, penerbitan bahan-bahan cetak berkualiti.

Mengadakan sayembara dan pertandingan berasaskan bahasa Melayu dan banyak lagi.

3.0 Cabaran Masa Depan Bahasa Melayu

3

Page 4: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

Dalam menongkah arus globalisasi, bahasa Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran getir

untuk mengekalkan bukan sahaja statusnya sebagai bahasa utama negara tetapi juga

kelangsungan hidupnya (survival). Bahasa Melayu menghadapi cabaran untuk terus releven

dan berupaya menjadi bahasa ilmu, dan bahasa yang mampu diguna pakai dalam semua

bidang. Antara cabaran-cabaran yang dihadapi ialah dari segi pendidikan, bahasa pengantar

dan keupayaannya menjadi bahasa yang mempunyai nilai ekonomi. Walau bagaimanapun

cabaran terbesar yang dihadapi oleh bahasa Melayu ialah sikap penutur natifnya sendiri.

Apalah gunanya ada bahasa sekiranya tiada penuturnya. Bagaimana sesebuah bahasa boleh

dimartabatkan sekiranya penutur asalnya sendiri tidak yakin akan kemampuan bahasanya

sendiri.

3.1 Cabaran Bahasa Melayu Menangani Sikap Penuturnya

Cabaran sebenarnya bahasa Melayu terletak pada sikap yang diamalkan oleh penuturnya.

Senario yang ada pada hari ini memperlihatkan kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak

mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah

terdidik dalam bahasa Inggeris dan lebih selesa bercakap bahasa Inggeris. Akibatnya, mereka

yang tidak mahu menggunakannya telah membentuk satu sikap tidak ‘kisah’ terhadap bahasa

ibunda. Peristilahan dan tutur kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan

bahasa Melayu. Apabila disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur

dalam bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa rojak atau bahasa rancu, bahasa bercampur aduk

dengan bahasa Inggeris begitu berleluasa. Justeru, permasalahan ini iaitu sikap penutur

merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati agar bahasa Melayu tidak

dipandang rendah

3.2 Cabaran dalam Pendidikan dan Bahasa Pengantar

Bahasa Melayu melalui zaman paling gelap apabila peranannya sebagai bahasa pengantar

untuk mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah diambil alih oleh bahasa Inggeris. Pada

masa itu begitu banyak justifikasi untuk merendah-rendahkan bahasa Melayu sebaliknya

menjulang bahasa Inggeris sebagai penentu kemajuan dan kehebatan sesuatu bangsa.

Mujurlah pada tahun 2010, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah

mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan diajar

4

Page 5: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan

diperkasa. Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman

sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda. Negara Jepun, Korea Selatan dan

banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua bidang tetapi mereka

mencapai kemajuan yang sangat membanggakan. Sebaliknya banyak negara yang menjadikan

bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti India dan Pakistan masih tidak mencapai status

negara maju.

3.3 Cabaran Bahasa Melayu Perniagaan dan Pasaran Kerja

Penggunaan bahasa Melayu dalam perniagaan boleh dilihat dari banyak aspek. Salah satunya

ialah dalam bidang pengiklanan. Semakin banyak syarikat yang lebih suka menggunakan

bahasa Inggeris atau Mandarin sebagai bahasa dalam iklan-iklan produk mereka. Kalau

dibandingkan jumlah pengiklan yang mengiklankan produk mereka di akhbar-akhbar atau

majalah-majalah berbahasa Melayu jauh lebih rendah berbanding dengan di dalam media

cetak bahasa Inggeris. Dalam bidang pekerjaan pula kini semakin banyak syarikat yang

mengenakan syarat mahir berbahasa Inggeris dan Mandarin sebagai prasyarat untuk diterima

bekerja dengan mereka (Abdul Halim Yusoff & Azrina Ahzan, 2006). Begitulah kedudukan

bahasa Melayu yang semakin hilang peranannya.

3.4 Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu

Kebelakangan timbul satu gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan

bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari

segi pertuturan, ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa

Melayu yang paling teruk berlaku dalam kalangan anak muda atau remaja. Pada masa kini

seolah-olah sudah menjadi satu trend atau ikutan dalam kalangan remaja untuk berkomunikasi

menggunakan bahasa rojak. Hal ini cukup ketara jika dilihat cara mereka berinteraksi melalui

pesanan ringkas menggunakan bahasa penulisan yang cukup pelik dan asing dalam bahasa

Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah

pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi.

Sikap pengamal media seperti pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam

pengendalian sesuatu program juga menyumbang kepada kecelaruan bahasa Melayu. Sudah

5

Page 6: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

menjadi kewajiban kepada mereka untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam

mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal

menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam

pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa

Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan

penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.

4.0 Usaha-Usaha untuk Memartabatkan Bahasa Melayu

.Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu titik

mula yang terbaik ialah di sekolah. Rakyat Malaysia seawal kanak-kanak lagi mestilah

disemai dengan bibit-bibit mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara. Profesor

Dr. Awang Sariyan dalam Majlis Bicarawara Bahasa di Institut Pendidikan Guru Kampus

Perempuan Melayu, Melaka yang lalu menyarankan agar pembudayaan bahasa Melayu

melalui sistem pendidikan perlu dimantapkan semula iaitu bermula daripada prasekolah

hinggalah ke pengajian tinggi. Menurut beliau lagi, penegasan perlu diberi kepada usaha

pembudayaan bahasa sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Melayu dalam dua aspek iaitu:

i) Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses

pemerolehandan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan Jawatankuasa

Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman

Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 serta Akta Pendidikan 1996

dan

ii) Pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui

kegiatan kokurikulum sehingga ragam bahasa tidak rasmi seperti bahasa sembang

intenet dan bahasa khidmat pesanan ringkas (sms) tidak sampai menggugat bahasa

yang mewakili budaya teras.

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan pada bulan Oktober 2011

telah menggariskan lapan ketetapan yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha

memartabatkan semula bahasa Melayu (Saifulizam Mohammad, 31/10/2011). Ketetapan-

ketetapan tersebut ialah:

6

Page 7: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

i) Sistem pendidikan – Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran hendaklah

bertegas iaitu dengan berlandaskan Perlembagaan serta akta berkaitan menegakkan

bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi. Sebarang dasar

yang melanggar undang-undang seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan

Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) hendaklah dilarang.

ii) Kerajaan tempatan – Kerajaan negeri dikehendaki menyeragamkan peruntukan

undang-undang berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan nama

jalan, bangunan dan iklan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu dan begitu juga urusan

meluluskan permit dan lesen hendaklah selaras dengan kedudukan bahasa kebangsaan.

iii) Ekonomi dan kewangan – Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara

hendaklah melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

dalam semua urusan ekonomi dan perniagaan serta menjadikan bahasa itu sebagai penggerak

utama sistem ekonomi negara.

iv) Pengajian tinggi – Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah

melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua tahap pendidikan selain berusaha

menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam semua bidang keilmuan.

v) Perkhidmatan awam – Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan dalam semua tadbiran negara dan menjadikan JPA sebagai pelindung bahasa

kebangsaan.

vi) Media, komunikasi dan penyiaran – Kerajaan melalui Kementerian Penerangan,

Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan pemimpin negara

sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada seluruh rakyat.

vii) Perlembagaan – Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa

memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua tahap mahkamah

7

Page 8: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi menegakkan keadilan

berasaskan undang-undang.

iv) Pemasyarakatan Persuratan Melayu: Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan

jabatan hendaklah sentiasa berusaha memperbanyak penerbitan dalam bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan dalam semua bidang ilmu.

5.0 Peranan-Peranan Organisasi dan Individu Tertentu dalam Usaha

Memartabatkan Bahasa Melayu

Perkembangan bahasa Melayu moden khususnya selepas merdeka berjalan baik atas usaha

beberapa organisasi dan individu. Antara organisasi dan individu yang banyak berjasa dan

berperanan penting dalam usaha memodenkan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa

ilmu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Kebangsaan Malaysia, Majlis Bahasa

Brunei, Indonesia dan Malaysia, Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba) dan lain-lain lagi.

i) Dewan Bahasa dan Pustaka

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 oleh kerajaan bertujuan

untuk mengembangkan Bahasa Melayu yang bakal dijadikan bahasa kebangsaan bagi

Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka. Sejak penubuhannya, DBP telah menyumbang

kepada pemerkasaan bahasa Melayu dalam semua aspek seperti dalam aspek memperbaiki

dan mengemas kini sistem ejaan, tatabahasa, pembentukan istilah, perkamusan, penerbitan

dan persetakan buku-buku dan majalah berbahasa Melayu yang berkualiti. DBP ditubuhkan

bagi memenuhi enam objektif yang telah ditentukan oleh kerajaan iaitu:

a) Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains

dan teknologi.

b) Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan.

c) Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku,

d) majalah, risalah dan bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan

bahasa lain.

8

Page 9: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

e) Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa f)

kebangsaan.

f) Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

g) Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya dapat digunakan secara meluas

bagi segala maksud mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

ii) Universiti Kebangsaan Malaysia

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan pada 18 Mei 1970 adalah Universiti

ketiga

Ditubuhkan di Malaysia selepas Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Pada awal

penubuhannya UKM mempunyai Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera

(diubah kepada Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan pada 1974). UKM lahir dari

hasrat dan aspirasi orang-orang Melayu yang telah wujud semenjak tahun 1930-an

menyarankan agar sebuah Universiti yang bertaraf kebangsaan dan menggunakan bahasa

Melayu sebagai bahasa pengantarnya ditubuhkan. Hasrat ini tercapai apabila timbulnya

keperluan untuk menampung pelajar-pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan

meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi selepas negara mencapai kemerdekaan.

(Portal Pelan Transformasi UKM)

Sejarah penubuhan UKM bermula dengan iltizam dan aspirasi kerajaan di bawah pimpinan

Perdana Menteri pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Datuk Hussain untuk

menyediakan tempat pengajian tinggi di peringkat universiti kepada pelajar lepasan sekolah

khususnya untuk pelajar aliran Melayu. Atas dasar dan sifatnya yang memartabatkan bahasa

kebangsaan sebagai bahasa ilmu, maka itu institusi ini dinamakan Universiti Kebangsaan.

Tambahan pula ia merupakan perintis, pendokong dan kemuncak kepada sistem pendidikan

kebangsaan negara kita. Hasilnya UKM tampil sebagai universiti pertama yang menggunakan

bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran. Pun begitu, ia

tetap unggul sebagai institusi penjana ilmu dan profesionalisme. (Azmy Mohamed, Utusan

Online).

iii) Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM)

9

Page 10: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

MABBIM ialah badan bahasa serantau, dianggotai oleh Brunei Darussalam, Indonesia, dan

Malaysia. Awalnya bernama Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), yang dibentuk pada

29 Desember 1972. Pada 4 November 1985, MBIM berubah menjadi MABBIM setelah

Brunei Darussalam menyertainya; sementara Singapura menjadi negara pemerhati. Majlis ini

dibentuk untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia di rantau

ini. Di antara tujuan dan fungsinya ialah:

(a) Meningkatkan semangat kebersamaan dan persaudaraan;

(b) Meningkatkan peranan bahasa kebangsaan/rsmi sebagai alat komunikasi;

(c) Mengusahakan pembangunan dan pengembangan bahasa kebangsaan/rasmi;

(d) Mengusahakan penyesuaian bahasa melalui penulisan ilmiah dan kreatif; dan

(e) Mengadakan pertemuan kebahasaan demi penyesuaian dan pendekatan bahasa

kebangsaan/rasmi.

iv) Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba)

Pendeta Za’ba merupakan seorang sarjana dan ahli fikir Melayu yang banyak menyumbang

kepada perkembangan bahasa Melayu. Beliau telah menghasilkan beberbapa buah buku

tentang peraturan bahasa Melayu yang dijadikan rujukan utama ahli bahasa selepasnya.

Antara hasil penulisan beliau ialah:

.

a) Ilmu Mengarang Melayu (1934)

Buku memuatkan hal-hal mengarang, gaya bahasa Melayu dan bukan Melayu,

pemindahan bahasa, ragam bahasa, peribahasa, puisi dan prosa, kata-kata

pinjaman daripada bahasa asing, dan loghat daerah.

b) Pelita Bahasa Melayu I (1940)

Buku ini membicarakan nahu Melayu dalam tulisan Rumi..

c) Pelita Bahasa Melayu II (1940).

Buku ini membuat huraian tentang karang-mengarang bagi peringkat rendah..

d) Pelita Bahasa Melayu III (1940).

Buku ini membuat huraian tentang karang-mengarang bagi peringkat tinggi.

. e) Daftar Ejaan Melayu (1941)

10

Page 11: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

Buku ini memuatkan daftar perkataan Melayu dengan ejaan Jawi dan Rumi,

serta peraturan ejaannya. Beliau juga pernah ingin menerbitkan “Kamus

Bahasa Melayu” tetapi digagalkan oleh O.T. Dussek.

(Klik Web DBP)

6.0 Cadangan-Cadangan untuk Memartabatkan Bahasa Melayu

Usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang memenuhi aspirasi

dan fungsi sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, usaha yang ikhlas dan berterusan

hendaklah dilakukan. Harapan untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan kesampaian

sekiranya tidak ada kesungguhan dan langkah berani oleh semua pihak. Beberapa perkara

wajar diberi perhatian agar cita-cita melihat bahasa Melayu menjalankan fungsinya dengan

berkesan, antaranya:

i) Pihak kerajaan sebagai selaku pembentuk dasar hendaklah mempunyai iltizam

yang tinggi dalam merealisasikan perkara ini. Bagaimanakah masyarakat

Malaysia boleh berbangga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan

bahasa kebangsaan sedangkan dalam masa yang sama istilah bahasa Malaysia

(satu bahasa yang sebenarnya tidak wujud) masih lagi digunakan di sekolah-

sekolah. Kalau hal inipun tidak dapat ditangani bagai mana hendak menangani

perkara yang lebih besar.

ii) Pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat mestilah menjadi contoh kepada

masyarakat dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam

menyampaikan sesuatu perkara. Dewasa ini dapat dilihat terlalu ramai

pemimpin politik yang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris untuk

menyampaikan sesuatu perkara. Lebih malang lagi apabila hal ini berlaku juga

di dalam sidang Parlimen Malaysia sendiri. Wajarkah ketam menyuruh

anaknya berjalan betul sedangkan si bapa ketam tetap jalan menyerong?

iii) Pihak berkuasa seperti pihak berkuasa tempatan hendaklah menguatkuasakan

peraturan penggunaan bahasa Melayu dengan betul agar semua pihak tidak lagi

bersikap sambil lewa terhadap penggunaan bahasa Melayu.

iv) Guru-guru di semua sekolah sewajarnya boleh menggunakan bahasa Melayu

dengan baik agar murid-murid tidak terkeliru antara apa yang diajar dengan

11

Page 12: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

apa yang diguna pakai oleh penutur. Ketrampilan berbahasa dalam kalangan

guru mestilah dipertingkatkan sekurang-kurangnya menguasai aspek

tatabahasa, ejaan dan kosa kata yang betul.

v) Kempen-kempen untuk mempromosi penggunaan bahasa Melayu dalam

urusan seharian hendaklah diaktifkan semula. Sekitar tahun 80-an kempen

penggunaan bahasa baku mendapat tindak balas positif dalam kalangan

masyarakat. Pada masa kini kempen seumpama itu dilakukan hanya sekadar

asal ada sahaja.

7.0 Kesimpulan

Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa tua yang telah mengalami banyak

transformasi sehingga begitu berbeza jika dibandingkan dengan bahasa Melayu asal.

Transformasi itu jugalah yang memungkinkan bahasa Melayu terus releven dan

mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa lain. Namun,

cabaran besar sedang dihadapi oleh bahasa Melayu, cabaran yang datang bukan dari

orang luar, tetapi oleh penutur aslinya. Sikap penutur asli bahasa Melayu yang

memandang rendah kepada bahasanya sendiri, tidak ada keyakinan, dan berasa rendah

diri untuk berbahasa dengan sempurna. Perkara ini merupakan ancaman yang besar

kesannya dan jika dibiarkan kelangsungan hidup bahasa Melayu pastinya tergugat.

Justeru itu langkah-langkah proaktif hendaklah diambil demi memartabatkan semula

bahasa Melayu dalam setiap hati penuturnya.

12

Page 13: Cabaran Memartabatkan Bahasa Melayu

BIBLIOGRAFI

Abdul Halim Yusoff & Azrina Ahzan. (01 Jun, 2006). Taktik Halus Tutup Peluang: Swasta Wajibkan Kemahiran Bahasa Mandarin Sekat Bumiputera Dapat Kerja. Dalam Berita Harian.

Dewan Bahasa dan Pustaka Online. (t.t). Sejarah MABBIM. Diperoleh pada 21 Oktober 2014 dari http://dbp.gov.my/mab2000/sejarah.htm

Ismail Hussein. (1984). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Klik Web DBP. (t,t). Pendeta Za’ba:”Pelita yang Tak Pernah Padam”. Diperolehi pada 21 Oktober 2014 dari http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1950

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2009). Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Portal Pelan Transformasi UKM. (t.t). Sejarah. Diperolehi pada 1 Oktober 2014 dari http://www.ukm.my/transformasi/?page_id=14

Saifulizam Mohammad. (31 Oktober 2011). Martabatkan Semula Bahasa Melayu.Dalam Utusan Online. Diperolehi pada 21 Oktober 2014 dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

13