strategi memartabatkan warisan budaya di negeri melaka

24
STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA Sempena: Seminar Pengembangan Dan Pemeliharaan Warisan Budaya Indonesia dan Malaysia Sesi: Masalah, Perspektif dan Strategi Masa Depan Oleh: Azhar Abdul Latiff 1 1.Pengenalan Negeri Melaka kaya dengan pelbagai warisan budaya yang memiliki nilai estetika yang tinggi terutama dalam bidang seni muzik seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin dan Rebana Keras. Walaupun kesenian-kesenian tradisional ini pernah popular di kalangan masyarakat tempatan pada satu masa dahulu, 1 Azhar Abdul Latiff M.A. (Malay Studies) UM, BEng. (Electrical- Electronics) UTM, BEM (Graduate Engineer), ABRSM Certificate (Violin) merupakan Ketua Kumpulan Seniman Muda ISMMA, bersama-sama dengan ISMMA sejak tahun 2001 sebagai pemuzik, jurulatih seni budaya dan konduktor Orkestra. Menjadi penggiat seni budaya di negeri Melaka sejak daripada tahun 1994 dan masih aktif sehingga sekarang. Berpengalaman sebagai Jurutera Operasi Penyiaran Radio di stesen radio komersial Malaysia sejak tahun 2004. Sedang membuat kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah terhadap Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka.

Upload: aalazhar

Post on 10-Jun-2015

4.125 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKASempena: Seminar Pengembangan Dan Pemeliharaan Warisan Budaya Indonesia dan MalaysiaSesi: Masalah, Perspektif dan Strategi Masa DepanOleh: Azhar Abdul Latiff

TRANSCRIPT

Page 1: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI

NEGERI MELAKA

Sempena: Seminar Pengembangan Dan Pemeliharaan Warisan Budaya Indonesia dan

Malaysia

Sesi: Masalah, Perspektif dan Strategi Masa Depan

Oleh: Azhar Abdul Latiff1

1. Pengenalan

Negeri Melaka kaya dengan pelbagai warisan budaya yang memiliki nilai estetika yang tinggi

terutama dalam bidang seni muzik seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin dan Rebana

Keras. Walaupun kesenian-kesenian tradisional ini pernah popular di kalangan masyarakat

tempatan pada satu masa dahulu, kini kesenian-kesenian ini semakin dilupakan dan kurang

diminati oleh golongan muda.

Pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai

2008 telah memberi nafas baru kepada kesenian-kesenian tradisional di Melaka untuk

menjadi pengisian kepada Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) yang menjadi

nadi dan penggerak kepada sektor pelancongan negeri Melaka. Satu perancangan yang

1 Azhar Abdul Latiff M.A. (Malay Studies) UM, BEng. (Electrical-Electronics) UTM, BEM (Graduate Engineer), ABRSM Certificate (Violin) merupakan Ketua Kumpulan Seniman Muda ISMMA, bersama-sama dengan ISMMA sejak tahun 2001 sebagai pemuzik, jurulatih seni budaya dan konduktor Orkestra. Menjadi penggiat seni budaya di negeri Melaka sejak daripada tahun 1994 dan masih aktif sehingga sekarang. Berpengalaman sebagai Jurutera Operasi Penyiaran Radio di stesen radio komersial Malaysia sejak tahun 2004. Sedang membuat kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah terhadap Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka.

Page 2: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

sistematik dan tersusun perlu direkabentuk bagi memastikan masyarakat di Melaka bersedia

untuk menghadapi arus kepesatan serta gelombang pembangunan IKSBW ini pada masa akan

datang.

Menyedari hal ini, tiga strategi utama dikenalpasti dalam memastikan warisan budaya

terutama seni muzik tradisional di negeri Melaka dimartabatkan iaitu 1) Mengenalpasti dan

Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2) Membina Jatidiri Generasi Muda, dan 3)

Perindustrian Seni Budaya dan Warisan. Strategi-stategi ini dijangka dapat membantu sektor

awam, swasta dan komuniti untuk merancang urus tadbir warisan budaya di negeri Melaka

supaya tidak pupus ditelan arus pembangunan dan pemodenan.

Perancangan-perancangan yang bakal dilaksanakan juga akan menitik berat pendekatan

glokal yang bermula dengan pendekatan lokal yang menfokus kepada seni budaya dan

warisan negeri Melaka dan disusuli dengan pendekatan global yang menfokus kepada seni

budaya dan warisan di rumpun nusantara. Di dalam pendekatan glokal ini kerjasama di antara

dua negara yang berjiran iaitu Malaysia dan Indonesia dapat dipererat bukan sahaja dari segi

bidang seni, budaya dan warisan malah turut melibatkan kerjasama di dalam IKSBW yang

memiliki nilai ekonomi yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

2. Seni Muzik Melayu Tradisional: Warisan Budaya di Negeri Melaka

Seni muzik tradisional negeri Melaka telah menerima pelbagai pengaruh budaya luar sejak

dahulu lagi hasil daripada pertembungan budaya dengan wilayh-wilayah lain di rumpun

Melayu dengan dunia luar seperti China, India, Arab, Parsi dan Eropah melalui satu sejarah

yang panjang. Bermula dengan penaklukan wilayah Melaka oleh Empayar Sriwijaya pada

kurun ke 7 masihi dengan empayarnya dipercayai berpusat di Palembang, Sumatera,

Indonesia. Ini diikuti pula dengan pengaruh Empayar Majapahit yang berpusat di Singahsari

pada kurun ke 14 masihi. Pembukaan Melaka oleh seorang putera raja daripada Palembang

yang bernama Parameswara pada akhir kurun ke 14 telah menjadi asas penubuhan Empayar

Kesultanan Melayu Melaka.

Page 3: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Kedudukan Melaka ditengah-tengah Selat Melaka menjadikannya sebuah lokasi yang

stategik untuk pusat perdagangan dunia yang menghubungkan wilayah Timur dan Barat di

antara negara China dan India. Kepesatan Melaka sebagai sebuah pelabuhan perdagangan di

Timur telah menarik minat para pedagang dari serata dunia termasuk China, India, Eropah,

Arab dan Rumpun Melayu. Peristiwa pemelukan Islam Parameswara sekitar tahun 1414

melalui seorang Ulama berasal dari Jeddah telah meletakkan asas kepada kemajuan Empayar

Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan dan perkembangan agama

Islam yang terulung di rantau ini.

Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah berakhir pada tahun 1511

apabila bangsa Portugis daripada Eropah telah datang menyerang dan menawan Melaka.

Penguasaan Portugis di Melaka berakhir pada tahun 1641 setelah 130 tahun memerintah dan

bertukar tangan pula kepada Belanda melalui peperangan di antara kekedua-dua pihak.

Perang Napoleon di Eropah telah menyebabkan Melaka diserah oleh Belanda kepada Inggeris

pada tahun 1795 sementara waktu dan dikembalikan semula kepada Belanda melalui

Perjanjian Venice pada 1818. Pada tahun 1824 penguasaan Melaka bertukar tangan pula

kepada penjajah Inggeris melalui Perjanjian London menjadikan Melaka sebagai sebahagian

wilayah jajahan Inggeris di Timur. Melaka telah menjadi sebahagian daripada wilayah

taklukan Jepun apabila tentera Jepun menakluki Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua

pada tahun 1941–1945.

Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 telah membuka lembaran baru kepada

sejarah negeri Melaka apabila pemerintahan negeri ini dikembalikan daripada pihak Inggeris

semula kepada penduduk asalnya dan dikuti dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Diawal abad ke 21, Melaka telah muncul sebagai sebuah negeri yang sedang maju

membangun di Malaysia dengan pelbagai projek--projek pembangunan selaras dengan

gagasan Melaka Maju 2010. Tahun 2008, telah membuka lembaran baru kepada negeri

Melaka apabila Bandaraya Melaka diiktiraf UNESCO (2008) sebagai Bandaraya Warisan

Dunia.

Page 4: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Kepelbagai pengaruh luar yang telah mempengaruhi seni budaya dan warisan negeri

Melaka telah membawa kepada kewujudan seni muzik tradisional yang ada pada masa kini di

negeri Melaka. Berdasarkan klafikasi muzik tradisional Melayu oleh Mohd. Ghouse

Nasuruddin (1992) kesenian-kesenian tradisional di Melaka boleh dibahagikan kepada

kumpulan- kumpulan utama berdasarkan jenis-jenis alat muzik yang digunakan di dalam

ensambel muzik seperti di berikut:

Kumpulan 1: Muzik yang diiringi ensambel yang melibatkan kombinasi alat muzik jenis

rebana, biola dan gong seperti 1) Dondang Sayang, 2) Joget Lambak, 3) Zapin, dan 4) Inang.

Muzik ini biasanya diiringi dengan nyayian yang berbentuk pantun menggunakan melodi dan

rentak yang tertentu dengan iringan ensambel muzik di atas.

Kumpulan 2: Muzik yang diiringi ensambel pergendangan yang didominasi oleh alat muzik

membranofon rebana seperti 1) Rebana Keras, dan 2) Dabus. Puisi tradisional akan dilagukan

menggunakan melodi tertentu dan diiringi rentak dengan pukulan rebana oleh penyanyi dan

pemuzik.

Klafikasi muzik oleh Mohd. Ghouse Nasaruddin terbatas kepada jenis muzik yang

dimainkan dengan iringan ensambel muzik yang menggunakan alat muzik tradisional

Melayu. Walaubagaimanapun, terdapat juga jenis muzik di negeri Melaka yang tidak

menggunakan alat muzik di dalam ensambelnya. Menurut sistem pengklafikasian muzik di

Malaysia (Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng, 1997) alat muzik tersebut boleh

dikategorikan kepada kumpulan ke-tiga seperti di bawah.

Kumpulan 3: Muzik Vokal dan Intrumental Solo iaitu Nazam. Puisi tradisional akan

dinyanyikan dengan menggunakan melodi tertentu dan iringan alat muzik.

Ketiga-tiga kumpulan muzik tradisional di atas memiliki ciri-ciri khas dan identiti budaya

masyarakat Melayu Melaka walaupun telah menerima pelbagai perubahan hasil daripada

Page 5: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

pengaruh dan difusi budaya daripada luar. Penggunaan alat muzik pergendangan telah

bermula di Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti yang disebut di dalam

buku Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang. Nyanyian pantun yang dimelodikan diiringi

dengan alat muzik rebana menjadi asas kepada kewujudan Dondang Sayang. Budaya Istana

telah membawa kepada kewujudan muzik inang iaitu muzik yang menjadi hiburan puteri-

puteri dan dayang-dayang di Istana Kesultanan Melayu Melaka. Kedatangan agama Islam ke

Melaka juga telah membawa masuk pengaruh kesenian Islam ke atas seni muzik di Melaka

dengan terhasilnya muzik Nazam yang menggunakan rangkap-rangkap yang berasaskan

ajaran Islam sebagai pengisian. Kedatangan pedagang Arab di Melaka juga telah membawa

masuk muzik zapin yang diadaptasi daripada kesenian masyarakat Arab di Timur Tengah.

Penjajahan bangsa Eropah di Melaka telah membawa masuk pengaruh budaya mereka

termasuk seni muzik ke dalam seni muzik masyarakat Melayu Melaka. Muzik Joget Lambak

yang ada di Melaka telah menerima pengaruh melodi, rentak , dan bentuk muzik daripada

Portugis. Alat muzik biola yang berasal daripada Eropah yang telah diterima menjadi alat

melodi di dalam ensambel muzik Dondang Sayang, Joget Lambak, Inang dan Zapin kerana

karektor bunyi alat muzik tersebut yang bersesuaian dengan melodi lagu-lagu Melayu.

Elemen rentak di dalam muzik Joget Lambak juga diperkemaskan lagi dengan penggunaan

gendang Tambur yang berasal daripada barat.

Kini, muzik tradisional Melayu Melaka yang menjadi tradisi rakyat tempatan sejak zaman

kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka semakin dilupakan dan kurang diminati

oleh generasi muda. Pengaruh budaya daripada barat daripada pelbagai saluran terutama

media massa dan elektronik hasil daripada kesan globalisasi telah menjajah minda generasi

muda hasil dan mengancam usaha mengekalkan Warisan Budaya Negeri Melaka. Menyedari

hakikat ini, strategi yang bersepadu dan menyeluruh perlu dikenalpasti dan dirancang bagi

memastikan warisan budaya seperti seni muzik tradisional Melayu Melaka terus

dimartabatkan.

Page 6: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

3. Memartabat Warisan Budaya di Negeri Melaka

Usaha memartabatkan Seni Budaya dan Warisan terutama seni muzik tradisional di Melaka

memerlukan perancangan yang bersepadu dan tersusun yang melibatkan kerjasama sektor

awam, pihak swasta dan komuniti-komuniti masyarakat. Menurut Rais Yatim2 (2005),

pembentukkan sesuatu bangsa yang bertamadun dalam erti kata berbudi bahasa dan

mengamalkan nilai-nilai murni, adalah suatu proses membina negara bangsa yang tidak

mungkin tercapai tanpa perancangan dan pupukan yang terancang. Pelaksanaan perancangan

kebudayaan, kesenian dan warisan perlu disertai pendekatan praktikal yang lebih menyeluruh

hingga sampai ke akar umbi.

Tiga strategi perlu disusun secara terancang dalam usaha memartabatkan Warisan

Budaya di negeri Melaka iaitu 1) Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2)

Membina Jatidiri Generasi Muda, dan 3) Perindustrian Seni Budaya dan Warisan.

Strategi-strategi ini dikenalpasti berdasarkan penelitian, pemerhatian dan penglibatan penulis

terhadap usaha-usaha pengembangan dan pemelaharaan Warisan Budaya di negeri Melaka

sepanjang tahun 2001-2008 oleh Kerajaan Negeri Melaka menerusi kegiatan-kegiatan di

Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)3. Fokus diberikan terhadap ketiga-tiga kumpulan

seni muzik tradisional negeri Melaka iaitu:

a) Kumpulan 1: Muzik Dondang Sayang dan Joget Lambak.

b) Kumpulan 2: Muzik Rebana Keras

c) Kumpulan 3: Nazam

3.1 Strategi 1: Mengenalpasti dan Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan

2 Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim merupakan mantan Menteri di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.3 ISMMA pada awalnya dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama Akademi Seni Melaka (ASM) pada tahun 1994. Aktiviti yang dijalankan pada masa itu ialah mengurus tadbir Kumpulan Kebudayaan Briged Seni dan menjalankan kursus kemahiran seni jangka pendek. Bermula 1996 ASM telah menjalankan program Diploma dalam bidang seni. Pada tahun 1997 nama ASM ditukar kepada Institut Teknologi Seni Malaysia (ITTSM) dan insitusi ini berperanan mengembangkan program Diploma yang menjurus ke arah teknologi seni. Bagi merealisasikan pembangunan yang seimbang nama ITTSM telah ditukar kepada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) pada tahun 2001 dengan harapan dapat melahirkan warga seni Melaka yang mempunyai jati diri dalam pelbagai bidang yang diamalkan penuh dengan disiplin dan kesopanan.

Page 7: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Warisan

Usaha memartabatkan seni muzik tradisional di Melaka perlu bermula dengan mengenalpasti

dan memperkukuh identiti seni budaya dan warisan tersebut.

Identiti Warisan Budaya sangat penting sebagai alat memartabatkan Seni, Budaya

dan Warisan di Malaysia dan khususnya di negeri Melaka. Menurut Wan Abdul Kadir4

(2008), matlamat pembangunan budaya kebangsaan Malaysia yang dapat dianggap amat

penting dan perlu diberikan perhatian serius ialah mempertingkatkan dan memperkukuhkan

kedudukan identiti, terutama identiti budaya. Menyedari tentang pentingnya identiti dan

melaluinya akan dapat memperkukuhkan intergrasi antara kaum. Identiti itu memberikan

kesedaran terutama kepada generasi muda tentang sejarah peradaban negara. Dengan

kesedaran itu dapat memupuk semangat kebangsaan dan cintakan negara.

Melalui strategi ini, identiti seni muzik tradisional seperti Dondang Sayang, Joget

Lambak, Rebana Keras dan Nazam akan dikenalpasti melalui aktiviti kajian ilmiah dan kerja

lapangan terhadap kesenian tersebut dari segi sejarah, teori dan praktikal oleh kumpulan

penyelidikan ISMMA yang ahli-ahlinya terdiri daripada ahli akademik, para pelajar Intitusi

Pengajian Tinggi (IPT) dan profesional yang pakar dalam bidang seni budaya dan warisan.

Pendekatan utama yang digunakan oleh kumpulan penyelidik ISMMA dalam

penyelidikan seni budaya yang dijalankan ialah dengan mendapatkan maklumat primer

melalui kaedah mendekati seniman-seniman tradisional negeri Melaka yang pakar dalam

kesenian-kesenian tradisional masing-masing seperti yang ditunjukkan pada Jadual 1.

Seniman-seniman ini dikenalpasti melalui telah memainkan peranan aktif di dalam Warisan

Budaya negeri Melaka menerusi proses peralihan ilmu serta pengetahuan yang diturun

daripada satu generasi melalui pewarisan dari satu generasi ke satu generasi, perguruan dan

pengalaman praktik. Mereka juga telah diiktiraf ISMMA sebagai Tokoh Seni Budaya

4 Prof. Dr. Wan Abdul Kadir merupakan Profesor di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Page 8: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Negeri Melaka sebagai mengenang jasa-jasa mereka yang bersama-sama berusaha

memartabatkan Warisan Budaya di negeri Melaka.

Jadual 1: Seniman-seniman Tradisional Seni Budaya dan Warisan

Nama Tokoh Kegiatan Seni Budaya Kepakaran

1. En. Baharim Shariff (Pak

Baharim)

Muzik Dondang Sayang dan

Joget Lambak

Muzik biola dan

pergendangan

Pantun

2. En. Daud Abdul Ghani (Pak

Daud)

Muzik Dondang Sayang Pantun

3. En. Rahmat Muzik Rebana Keras Muzik dan puisi

tradisional

4. Tuan Hj. Mohammad

Yassin

Nazam Puisi tradisional

5. Pn. Nona (Kak Nona) Muzik Dondang Sayang Pantun

Maklumat penyelidikan seni budaya ISMMA diperolehi daripada menerusi kerja

lapangan iaitu temuramah dan rakaman audio visual persembahan seni muzik seperti

Dondang Sayang, Joget Lambak, Rebana Keras dan Nazam oleh tokoh-tokoh seni budaya.

Daripada kerja lapangan maklumat primer yang diperolehi dianalisis and didokumentasi

dalam bentuk teks dan skor muzik.

Hasil penyelidikan kumpulan penyelidik ISMMA dikumpul dan diterbitkan dalam

bentuk buku serta medium audio visual kaset dan DVD untuk rujukan ahli-ahli akademik,

para pelajar, seniman-seniman dan para peminat Warisan Budaya negeri Melaka. Selain itu

hasil penyelidikan ini digunakan sebagai rujukan untuk merangka sukatan pembelajaran seni

budaya ISMMA yang menfokus kepada pembinaan jatidiri generasi muda.

3.2 Strategi 2: Membina Jatidiri Generasi Muda

Page 9: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Generasi muda merupakan golongan yang memainkan peranan yang penting dalam usaha

memartabatkan seni budaya dan warisan di dalam sesuatu masyarakat dan ketamadunan.

Mereka adalah golongan pelapis yang akan menjadi penerus, pengembang dan pemeliharaan

Warisan Budaya Negeri Melaka. Menyedari hakikat ini ISMMA (dan sejak penubuhannya)

telah berusaha memartabatkan Warisan Budaya Negeri Melaka melalui pendekatan

membinaan jatidiri generasi muda menerusi saluran pendidikan seni budaya dan warisan.

Menurut Abdul Latiff Abu Bakar5 (2006), kaedah pengajaran berdasarkan Teori

(pemahaman) dan praktikal subjek seni budaya, perlu menjadi dasar utama Institusi Seni

Budaya yang ingin memartabatkan dan memperkasakan Warisan Malaysia. Pelajar seni

budaya perlu dididik menjadi insan seni yang berilmu serta dapat menghayati ilmu seni

budaya dengan gigih melalui pendekatan perbincangan dan pengajaran seni budaya.

Kombinasi kaedah Teori dan Praktikal menjadi asas kepada proses pembinaan jatidiri

di ISMMA sejak tahun 2001 dan pelaksanaannya ialah melalui perancangan stategik yang

menyeluruh, melibatkan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO seni budaya

budaya. Usaha yang dilaksanakan melibatkan pelaksanaan rangka aktiviti bersifat

pendidikan seni budaya, intelektual serta hiburan masyarakat yang terbahagi kepada aktiviti-

aktiviti seperti 1) Latihan Seni Budaya ISMMA, 2) Perkampungan Seni Budaya ISMMA,

3) Seminar Seni Budaya, 4) Persembahan Pentas, 5) Konsert Perdana Seni Budaya, dan 6)

Penerbitan Seni Budaya. Di ISMMA rangka aktiviti ini dikenali sebagai Program Konsert

Orkestra Warisan ISMMA dan projek ini menjadi acara tahunan sejak tahun 2007. Projek

ini ialah sebahagian daripada pelaksanaan dan usaha Kerajaan Negeri Melaka (menerusi

ISMMA) mengembangkan dan memelihara warisan budaya di negeri Melaka (Azhar Abdul

Latiff, 2009).

Pengisian rangkaian aktiviti ISMMA melibatkan proses pembelajaran teori dan

praktikal kesenian tradisional negeri Melaka iaitu Dondang Sayang, Joget Lambak, Rebana

Keras dan Nazam. Tokoh-tokoh seni budaya juga diberi peranan dalam proses membina

jatidiri generasi muda. Proses pengajaran dan pewarisan ilmu seni budaya daripada tokoh-

5 Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar merupakan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka.

Page 10: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

tokoh seni budaya disampaikan kepada para pelajar melalui pendekatan asuhan terus dan

pengantara. Melalui pendekatan asuhan terus, pelajar diberi peluang untuk menerima tradisi

lisan melalui pembelajaran terus daripada tokoh-tokoh seni budaya yang dilantik sebagai

Jurulatih Seni Budaya ISMMA. Manakala melalui kaedah pengantara pula, pelajar akan

diajar oleh Jurulatih Seni Budaya yang profesional yang memperolehi pengetahuan melalui

rujukkan kepada Tokoh-tokoh Seni Budaya ISMMA.

Sejak penubuhan ISMMA pada tahun 2001, institusi ini telah berjaya menghasilkan 3

golongan seniman muda di negeri Melaka iaitu 1) intelektual, 2) profesional, dan 3)

peminat seni budaya melalui progam-program pengembangan serta pemeliharaan seni

budaya dan warisan negeri Melaka. Golongan intelektual ialah seniman muda yang telah

melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi (Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah

Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah) dan mendalami bidang seni budaya. Golongan

profesional pula ialah seniman muda yang telah menjadikan bidang seni budaya dan warisan

sebagai karier dengan menyertai institusi profesional seni budaya (negeri dan nasional)

seperti Briged Seni Melaka, Kumpulan Persembahan Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah,

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka serta Kumpulan Kesenian Seni

Persembahan Petronas. Golongan terakhir yang dihasilkan ISMMA ialah peminat seni

budaya, iaitu seniman muda yang menghargai dan menghormati Warisan Budaya Negeri

Melaka dan mereka ini ialah golongan yang bakal menjadi generasi pelapis di negeri Melaka.

Seniman Muda Negeri Melaka merupakan produk utama ISMMA yang menjadi

penyumbang kepada sumber manusia dan K-Ekonomi di dalam sektor pelancongan dan

Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) yang sedang berkembang pesat di negeri

Melaka. Proses pembinaan jatidiri generasi muda melalui pendidikan seni budaya dan

warisan dilihat sebagai langkah yang paling sesuai bagi menghasilkan seniman muda yang

akan terus memperkembang dan memelihara Warisan Budaya Negeri Melaka. Cabaran

seterusnya ialah merangka satu pelan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan bagi

memastikan modal insan yang dihasilkan (seniman muda) dapat terlibat secara aktif di dalam

membangunkan ekonomi negeri Melaka.

Page 11: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

3.3 Strategi 3: Perindustrian Seni Budaya dan Warisan

Negeri Melaka memilki potensi yang besar untuk memperkukuhkan ekonomi negerinya

melalui sektor pelancongannya. Bilangan pelancong yang masuk ke negeri Melaka

meningkat dari tahun ke tahun. Sejak tahun 1999 hingga 2006, seramai 26.8 juta pelancong

telah melawat Melaka dengan purata peningkatan hampir 20% setahun dan purata tempoh

bermalam selama 1.77 malam. Dalam tempoh lapan tahun tersebut, sebanyak 70.3% yang

datang ke Melaka adalah pelancong domestik dan bakinya 29.7% adalah terdiri daripada

pelancong asing. Pada tahun 2007 seramai 6.0 juta pelancong berbanding 5.1 juta pada tahun

2006 iaitu peningkatan sebanyak 18.1% dengan tempoh bermalam selama 1.87 malam. Dari

segi pasaran asing pula, Singapura terus menjadi the market leader dengan syer sebanyak

19.3%, diikuti oleh China (17.0%), Indonesia (9.4%), Hong Kong (4.4%) dan Arab Saudi

(4.3%) (Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka, 2008).

Kedatangan pelancong daripada dalam dan luar negeri Melaka telah membantu menjana

ekonomi penduduk tempatan, pihak swasta dan kerajan negeri melalui industri pelancongan

yang terbahagi kepada sebelas cabang iaitu 1) Sejarah, 2) Budaya, 3) Rekreasi, 4) Sukan, 5)

Membeli-belah, 6) Konvensyen, 7) Kesihatan, 8) Pendidikan, 9) Makan-makan, 10) Melaka

Sebagai Rumah Kedua, dan 11) Pelancongan Belia. Kesemua cabang-cabang di atas mampu

memangkinkan Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) sebagai industri yang

berkait rapat dengan sektor pelancongan. Warisan Budaya Negeri Melaka seperti Dondang

Sayang, Joget Lambak, Rebana Keras dan Nazam amat berpotensi untuk menjadi pengisian

kepada IKSBW.

Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) dilihat sebagai industri yang

berpotensi besar di Malaysia pada masa hadapan seperti yang dinyatakan oleh Rais Yatim

(2006) seperti di bawah.

“Daripada penulisan, penerbitan buku dan majalah hingga ke penerbitan bahan muzik,

daripada pementasan hingga kepada teater, nyayian, kraf tangan, sinema, fotografi, produksi

televisyen dan puluhan subjek, Malaysia harus menjana kemampuan mengindustrikan seni

Page 12: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

budaya dan warisan. Untuk itu, pendidikan Seni Budaya dan Warisan perlu diperjuang

dengan realistik supaya produk seni khususnya dapat membantu menyemarakkan industri

seni budaya dan industri seni kreatif yang bernilai RM 5.2 billion hingga RM 6 Billion

setahun.” (Rais Yatim, 2006:5)

Krisis ekonomi global pada awal tahun 2009 turut membawa kesan negatif kepada

ekonomi negeri Melaka yang bergantung kepada sektor pembuatan sebagai sumber

pendapatan utama. Yang terus mendapat kesan langsung ialah rakyat tempatan yang

bergantung kepada pekerjaan di sektor pembuatan untuk menyara hidup. Bagaimanapun,

perkara yang sebaliknya berlaku di dalam sektor pelancongan. Pengiktirafan Melaka

Bandaraya Warisan Dunia oleh badan dunia UNESCO6 telah meningkat lagi potensi

peningkatan pendapatan dan pembangunan di dalam IKSBW. Pembangunan pesat IKSBW di

dalam sektor pelancongan negeri Melaka bakal membuka beribu-ribu peluang pekerjaan

kepada penduduk tempatan. Rancangan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan yang

tersusun perlu dirangka bagi memenuhi tuntutan tersebut. Berdasarkan pemerhatian penulis,

Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka boleh dilaksanakan melalui empat

pelaksanaan iaitu 1) Kajian Strategik, 2) Penyediaan Sumber Manusia dan Latihan

Tenaga Kerja, 3) Pembinaan Infrastruktur, dan 4) Intensif, polisi dan dasar Kerajaan.

Langkah pertama pelaksanaan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di Melaka ialah

melalui kajian strategik. Melalui kaedah ini kajian yang menyeluruh dibuat ke atas peranan

dan aplikasi IKSBW di dalam sektor pelancongan. Kaedah terbaik kerjasama antara IKSBW

dengan sektor pelancongan dikenalpasti bagi memastikan IKSBW dapat mendapat manfaat

ekonomi daripada sektor pelancongan negeri Melaka.

Sumber manusia dan latihan tenaga kerja amat diperlukan bagi menampung keperluan

sumber manusia IKSBW pada masa akan datang di Melaka. Peluang pekerjaan di dalam

IKSBW boleh diisi oleh Seniman Muda Negeri Melaka yang dididik melalui program latihan

seni budaya di ISMMA. Satu program latihan peringkat lanjutan berasaskan pendidikan seni 6 UNESCO, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization telah mengiktiraf Melaka sebagai Bandaraya Warisan dunia pada7 Julai 2008. Dokumen UNESCO, Melaka and George Town (Malaysia) No 1223 dirujuk.

Page 13: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

budaya dan pelancongan perlu diwujudkan bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir dan

profesional di dalam sektor pelancongan dan IKSBW.

Pembinaan infrastruktur IKSBW yang boleh menampung keperluan sektor pelancongan

juga perlu diberi perhatian. Antara infrastruktur yang diperlukan ialah panggung

persembahan, permis-permis perniagaan berasaskan produk IKSBW, rangkaian kemudahan

pengiklanan media elektronik dan pusat-pusat sehenti IKSBW. Kerjasama agensi-agensi

kerajaan dan sektor swasta amat diperlukan bagi menyediakan infrastruktur IKSBW di

Melaka.

Pelengkap kepada pelaksanaan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di Melaka ialah

insentif, polisi dan dasar kerajaan. Kerajaan negeri Melaka melalui agensi-agensinya harus

menyediakan insentif, polisi dan dasar yang membantu IKSBW. Antara yang boleh

dilaksanakan melalui pelaksanaan ini ialah:

1) mewajibkan permis-permis pelancongan seperti hotel dan restoran-restoran di negeri

Melaka menyediakan kemudahan IKSBW,

2) memberi insentif seperti pengurangan cukai kerajaan tempatan dan menyediakan

kemudahan infrastruktur kepada perniagaan yang berasaskan produk IKSBW dan

3) mengambil kira IKSBW di dalam setiap projek-projek pembangunan negeri.

Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka haruslah seimbang dalam

memenuhi tuntutan pembangunan budaya dan ekonomi negeri. Shamsul Amri Baharuddin

(2005), telah membuat dua tafsiran tentang pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan di

Malaysia iaitu:

Page 14: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

Satu bersifat idealistik, yang berasaskan tamadun Melayu.

Satu lagi bersifat pragmatik, yang berasaskan tuntutan pasaran dan keuntungan

kewangan.

Dalam konteks ini, yang pragmatik sering menjadi cabaran kepada yang realistik. Bagi

memastikan Warisan Budaya negeri Melaka terus dimartabatkan, pelaksanaan Perindustrian

Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka yang bertujuan memenuhi tuntutan ekonomi

rakyat haruslah dibangunkan tanpa menjejaskan identiti asli warisan tersebut.

4. Penutup

Cabaran dan usaha memartabatkan Warisan Budaya Negeri Melaka haruslah dipandang

serius oleh pelbagai pihak samaada sektor awam, pihak swasta dan komuniti masyarakat

kerana pelaksanaannya membawa banyak manfaat kepada rakyat negeri Melaka. Tiga strategi

memartabatkan Warisan Budaya di negeri Melaka iaitu 1) Mengenalpasti dan

Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2) Membina Jatidiri Generasi Muda,

dan 3) Perindustrian Seni Budaya dan Warisan boleh dijadikan panduan dalam

mengembangkan dan memelihara Warisan Budaya di negeri Melaka dalam usaha mencapai

Wawasan Melaka Maju 2010.

Pengembangan strategi-strategi ini boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas dan

glokal iaitu Dua Melayu Dunia Islam dan Rumpun Melayu. Antara rakan kongsi strategik

negeri Melaka di dalam merealisasikan matlamat ini ialah negara Indonesia. Menyedari

potensi yang ada, penulis ingin membuat beberapa saranan tentang kerjasama di antara

Malaysia (Melaka) dengan negara jiran Indonesia di dalam memperkembangkan dan

memelihara Warisan Budaya bersama iaitu:

1) Satu rangkaian komuniti berasaskan intelektual perlu diwujudkan di antara Malaysia-

Indonesia di dalam bidang Seni, Budaya dan Warisan Serumpun bagi menjalankan

kajian dan penyelidikan bertujuan mendapatkan kaedah terbaik dalam melaksanakan

kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Page 15: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

2) Rangkaian kerjasama yang diwujudkan perlu mengambil kira penyertaan generasi

muda dan menggunakan pendekatan baru seperti Teknologi Maklumat (ICT) sebagai

alat kerjasama.

3) Projek-projek pembangunan wilayah antara Malaysia-Indonesia perlu mengambil kira

kerjasama kedua-dua pihak di dalam Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan serta

sektor pelancongan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat.

4) Kepakaran kedua-dua negara perlu dikongsi dan digembeling bagi memperkembang

dan memelihara Warisan Budaya Serumpun.

5. Rujukan

1) Abdul Latiff Abu Bakar. 2006. Pendidikan Seni Budaya dan Warisan – Satu Gagasan

dan Perjuangan. Kertas Kerja: Persidangan Seni Budaya dan Warisan. Kementerian

Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa).

2) Azhar Abdul Latiff. 2009. Kertas Konsep Konsert Orkestra Warisan ISMMA 2009 –

Memartabatkan Seni, Membina Jatidiri, Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Institut Seni

Malaysia Melaka (ISMMA), Melaka.

3) Institut Seni Malaysia Melaka. 2008. Laman Web Rasmi ISMMA.

http://ismma.melaka.gov.my/.

4) Kerajaan Negeri Melaka. 2008. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka. Statistik

Kedatangan Pelancong diperolehi pada 9 Januari 2009 menerusi laman web

http://www.melaka.gov.my/.

5) Mohd. Ghouse Nasuruddin. 1992. The Malay Tradisional Music. Dewan Bahasa dan

Pustaka, Kuala Lumpur.

Page 16: STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI NEGERI MELAKA

6) Mohd. Yusoff Hashim. 2005. Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Institut Kajian

Sejarahdan Patriotisme Malaysia (IKSEPS), Melaka.

7) Patricia Martusky & Tan Sooi Beng. 1997. Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan

Sinkretik. The Asian Centre, Pulau Pinang.

8) Rais Yatim. 2005. Seni Budaya dan Warisan. Beringin: Jurnal Akademi Seni

Kebangsaan. Bil. 1/2005.Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur.

9) Rais Yatim. 2006. Hala Tuju Pendidikan Seni Budaya dan Warisan. Beringin: Jurnal

Akademi Seni Kebangsaan. Bil. 3/2006. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan,

Kuala Lumpur.

10) Shamsul Amri Baharuddin. 2005. Antara ‘Bangsa Idaman’ dan Kebudayaan

Kebangsaan. Beringin: Jurnal Akademi Seni Kebangsaan. Bil. 1/2005.Akademi Seni

Kebangsaan, Kuala Lumpur.

11) UNESCO. 2006. Dokumen : Melaka and George Town (Malaysia) No. 122. Laman

web: http\\: www.unesco.org.

12) Wan Abdul Kadir. 2008. Perubahan dan Identiti Seni Muzik Kebangsaan. Seminar Seni

Muzik Kebangsaan 2008, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan(ASWARA),

Kuala Lumpur.