buli

11
Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007 Tingkah Laku Buli dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak oleh Mahadi bin Hj. Khalid Institut Perguruan Batu Lintang ABSTRAK Kajian bertujuan untuk mengenal pasti tingkah laku buli dalam kalangan pelajar SMKA di Sarawak. Seramai 400 orang responden dipilih berdasarkan kaedah persampelan rawak berstrata. Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik. Statistik deskriptif iaitu peratus dan min digunakan untuk menganalisis data kajian. Hasil kajian menunjukan tingkah laku buli dari jenis verbal merupakan tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pelajar- pelajar. Ciri-ciri tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan ciri-ciri tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pembuli dan mangsa buli. Hasil kajian juga mendapati bahawa punca tingkah laku buli fizikal yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli adalah untuk menunjukkan dirinya kuat, manakala dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli adalah seperti umurnya yang lebih muda. Kesan fizikal yang wujud dalam kalangan pembuli adalah seperti suka melanggar peraturan sekolah manakala dalam kalangan mangsa buli pula adalah seperti suka ponteng sekolah atau kelas. Beberapa cadangan seperti kerjasama pihak luar seperti Polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan penglibatan masyarakat adalah perlu untuk mencegah dan menghentikan tingkah laku buli dari terus berleluasa. PENGENALAN Laporan akhbar mengenai kes-kes pelanggaran disiplin, keganasan dan buli yang berlaku di sekolah-sekolah menengah kebangsaan merupakan perkara biasa pada hari ini dan merupakan satu masalah disiplin yang utama pada ketika ini. Terdapat lebih 35 kes pelajar sekolah mati atau cedera akibat dibelasah yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini iaitu dari 1999 hingga 2003 (Berita Minggu, 14 Julai 2005). Kebanyakan kes-kes ini berpunca daripada perbuatan buli. Para pengkaji telah mengenal pasti tiga jenis tingkah laku buli yang terdapat dalam kalangan pembuli iaitu fizikal, verbal dan antisosial. Jenis tingkah laku buli fizikal, verbal dan anti sosial termasuklah tindakan-tindakan seperti mengejek, pemulauan dan memukul (Olweus, 1991; Thompson dan Sharp, 1998). Tingkah laku buli fizikal dan verbal merujuk kepada tingkah laku buli secara langsung. Tingkah laku buli anti sosial pula merujuk kepada tingkah laku buli secara tidak langsung. Definisi yang dinyatakan mempunyai persamaan dengan definisi oleh Connel dan Farrington, 1996; Espelage et al. (2000) iaitu jenis tingkah laku buli termasuklah serangan fizikal seperti menumbuk, menendang dan menolak. Jenis tingkah laku buli verbal adalah seperti cemuhan, hinaan, panggilan nama, ejekan dan ugutan, manakala jenis tingkah laku buli antisosial (secara psikologi) seperti pemulauan, menyebabkan gossip dan memanipulasikan hubungan sosial. Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan 1

Upload: norazah-mohamad

Post on 09-Aug-2015

65 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Page 1: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

Tingkah Laku Buli dalam Kalangan PelajarSekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

oleh

Mahadi bin Hj. KhalidInstitut Perguruan Batu Lintang

ABSTRAK

Kajian bertujuan untuk mengenal pasti tingkah laku buli dalam kalangan pelajar SMKA di Sarawak. Seramai 400 orang responden dipilih berdasarkan kaedah persampelan rawak berstrata. Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik. Statistik deskriptif iaitu peratus dan min digunakan untuk menganalisis data kajian. Hasil kajian menunjukan tingkah laku buli dari jenis verbal merupakan tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pelajar-pelajar. Ciri-ciri tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan ciri-ciri tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pembuli dan mangsa buli. Hasil kajian juga mendapati bahawa punca tingkah laku buli fizikal yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli adalah untuk menunjukkan dirinya kuat, manakala dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli adalah seperti umurnya yang lebih muda. Kesan fizikal yang wujud dalam kalangan pembuli adalah seperti suka melanggar peraturan sekolah manakala dalam kalangan mangsa buli pula adalah seperti suka ponteng sekolah atau kelas. Beberapa cadangan seperti kerjasama pihak luar seperti Polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan penglibatan masyarakat adalah perlu untuk mencegah dan menghentikan tingkah laku buli dari terus berleluasa.

PENGENALAN

Laporan akhbar mengenai kes-kes pelanggaran disiplin, keganasan dan buli yang berlaku di sekolah-sekolah menengah kebangsaan merupakan perkara biasa pada hari ini dan merupakan satu masalah disiplin yang utama pada ketika ini. Terdapat lebih 35 kes pelajar sekolah mati atau cedera akibat dibelasah yang dilaporkan dalam tempoh lima tahun ini iaitu dari 1999 hingga 2003 (Berita Minggu, 14 Julai 2005). Kebanyakan kes-kes ini berpunca daripada perbuatan buli.

Para pengkaji telah mengenal pasti tiga jenis tingkah laku buli yang terdapat dalam kalangan pembuli iaitu fizikal, verbal dan antisosial. Jenis tingkah laku buli fizikal, verbal dan anti sosial termasuklah tindakan-tindakan seperti mengejek, pemulauan dan memukul (Olweus, 1991; Thompson dan Sharp, 1998). Tingkah laku buli fizikal dan verbal merujuk kepada tingkah laku buli secara langsung. Tingkah laku buli anti sosial pula merujuk kepada tingkah laku buli secara tidak langsung.

Definisi yang dinyatakan mempunyai persamaan dengan definisi oleh Connel dan Farrington, 1996; Espelage et al. (2000) iaitu jenis tingkah laku buli termasuklah serangan fizikal seperti menumbuk, menendang dan menolak. Jenis tingkah laku buli verbal adalah seperti cemuhan, hinaan, panggilan nama, ejekan dan ugutan, manakala jenis tingkah laku buli antisosial (secara psikologi) seperti pemulauan, menyebabkan gossip dan memanipulasikan hubungan sosial.

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

1

Page 2: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

Kejadian buli yang dilaporkan ini semakin menular di sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Malaysia. Akhbar di Malaysia telah melaporkan bahawa seorang pelajar tingkatan empat sekolah menengah agama meninggal dunia akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior. Gejala tingkah laku buli ini yang membabitkan pelajar aliran agama amat memeranjatkan masyarakat kerana falsafah SMKA yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk melahirkan insan yang berperibadi mulia tidak mencapai matlamat yang diharapkan.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, keseriusan masalah buli dalam kalangan murid sekolah perlulah ditangani dengan segera. Jika tidak, ianya mungkin menjadi satu masalah besar kepada negara pada masa hadapan. Peningkatan jumlah kejadian jenayah yang dilakukan oleh pelajar sekolah, seperti kes rogol, seks bebas, kumpulan samseng, buli dan bunuh telah menimbulkan kebimbangan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

Pernyataan Masalah

Kebanyakan pelajar yang terlibat dengan tingkah laku buli tidak menyedari bahawa tingkah laku-tingkah laku yang sering dilakukan dalam kalangan mereka sendiri adalah merupakan tingkah laku buli. Jenis-jenis tingkah laku ini dianggap tingkah laku yang biasa berlaku dalam kalangan mereka seperti suka bertanyakan soalan-soalan yang bodoh, tidak memperdulikan orang lain, mengusik seseorang, membohongi seseorang dan sebagainya. Justeru itu, pelajar-pelajar terbabit tidak sedar bahawa tingkah laku yang telah dilakukan oleh mereka merupakan salah satu jenis tingkah laku buli seperti yang telah didefinisikan dalam kajian ini.

Selain itu, pelajar yang terlibat dengan tingkah laku buli sering menggunakan ciri-ciri dan kelebihan yang ada dalam diri mereka masing-masing untuk bertingkah laku buli. Ciri-ciri pembuli yang secara fizikalnya kuat dan penghargaan kendiri yang baik ingin mengawal dan mendominasi serta tidak mampu memahami dan menghargai rakan sebaya antara penyebab utama tingkah laku buli ini berleluasa. Ciri-ciri mangsa buli yang pasif, kurang bertindak balas dan mempunyai penghargaan kendiri yang lemah akan menyebabkan pembuli merasa ‘seronok’ untuk membuli mangsa.

Disebabkan pembuli dan mangsa buli tidak menyedari bahawa kelebihan dan kelemahan masing-masing boleh menjadi penambah baik sesama mereka sendiri, maka kelebihan dan kelemahan itu telah menjadi antara faktor pendorong kepada mereka terbabit sebagai pembuli dan mangsa buli.

Seterusnya, tingkah laku buli yang berpunca dari pelbagai faktor seperti faktor biologi dan perangai, pengaruh keluarga, rakan sebaya dan persekitaran telah menyebabkan masalah ini terus berleluasa dalam kalangan para pelajar, khususnya pelajar sekolah menengah. Pada peringkat usia ini, mereka sedang mengalami krisis identiti iaitu mencari identiti tersendiri untuk berhadapan dengan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling. Justeru itu, pelajar masih mentah dalam kehidupan ini sering terpengaruh dengan persekitaran yang akan memesongkan mereka dari landasan yang sebenar, seterusnya terlibat dengan gejala tingkah laku buli ini.

Wujud kesan-kesan negatif akibat bertingkah laku buli terutamanya terhadap pembuli seperti suka melanggar peraturan sekolah, bersikap lebih angkuh dan pelbagai lagi kesan-kesan negatif yang akan merosakkan diri pembuli. Manakala kesan negatif terhadap mangsa buli pula adalah seperti takut hendak ke sekolah, suka menyendiri dan sebagainya. Kebanyakkan pelajar

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

2

Page 3: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

yang terbabit dengan tingkah laku buli ini tidak sedar kesan-kesan buruk akibat bertingkah laku buli. Apabila ianya telah berlaku, kebanyakkan sudah terlambat. Kesan-kesan negatif ini juga akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran remaja terbabit akan terbantut, dan seterusnya bakal merosakkan masa depan mereka sendiri.

Masalah tingkah laku buli jika tidak ditangani dengan berkesan akan mendatangkan kesan yang negatif kepada pelajar dan juga institusi sekolah. Kesedaran serta kefahaman yang mendalam tentang tingkah laku buli di sekolah oleh guru dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan amat perlu dalam usaha mengawal serta mengatasi masalah ini.

Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah untuk menentukan:

1 Jenis tingkah laku buli yang kerap dilakukan dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

2 Ciri-ciri pembuli dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

3 Ciri-ciri mangsa tingkah laku buli dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

4 Punca-punca tingkah laku buli dalam kalangan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

5 Kesan tingkah laku buli terhadap pembuli di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

6 Kesan tingkah laku buli terhadap mangsa buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

7 Keberkesanan program pencegahan sedia ada dalam mengatasi masalah tingkah laku buli dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak

Kepentingan Kajian

Kajian ini diharap akan menghasilkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan tingkah laku buli. Dapatan daripada kajian ini juga akan dapat menjelaskan lagi tentang tingkah laku buli dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama terutama jenis-jenis tingkah laku buli, ciri-ciri pembuli dan mangsa buli, kesan tingkah laku buli terhadap pembuli itu sendiri dan mangsanya serta program-program pencegahan yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah khususnya di Sekolah Menengah Agama di Sarawak.

Di samping itu, dapatan ini juga diharapkan membolehkan pelajar yang menjadi pembuli dan pelajar yang menjadi mangsa buli mendapatkan bantuan daripada pihak yang berkenaan seperti pihak guru, kaunselor dan sebagainya bagi menyelesaikan konflik dalaman dan luaran yang dialami mereka.

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

3

Page 4: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

Dapatan kajian ini juga akan dapat digunakan sebagai garis panduan serta asas kepada pembentukan polisi bagi menangani dan mencegah tingkah laku buli di sekolah seperti polisi antibuli.

Para guru khususnya guru-guru kaunseling akan mendapat faedah daripada dapatan kajian ini. Dapatan kajian ini akan dapat membantu guru untuk mengatasi dan mencegah masalah buli yang berlaku di kelas atau di sekolah. Ianya juga akan membekalkan maklumat-maklumat berkenaan tingkah laku buli yang boleh digunakan oleh guru bagi menangani masalah buli yang berlaku di kelas mereka.

Batasan kajian

Kajian ini melibatkan hanya pelajar tingkatan 2 dan 4 di semua 8 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Sarawak. Dapatan yang terhasil daripada kajian ini hanyalah hasil daripada analisis daripada bilangan yang terhad ini sahaja. Responden yang dipilih dalam kajian ini adalah daripada kalangan pelajar-pelajar yang pernah terlibat dengan aktiviti tingkah laku buli.

Aspek-aspek yang menjadi persoalan dalam kajian ini seperti jenis-jenis tingkah laku buli, ciri-ciri pembuli, ciri-ciri mangsa buli, punca tingkah laku buli, kesan tingkah laku buli dan keberkesanan program pencegahan sedia ada adalah terbatas kepada apa yang didefinisi secara operasional dalam kajian ini sahaja.

METODOLOGI KAJIAN

Rekabentuk Kajian

Reka bentuk kajian Tingkah Laku Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Di Sarawak adalah berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah tinjauan.

Populasi dan Sampel Kajian

Populasi kajian ialah jumlah keseluruhan pelajar tingkatan dua dan tingkatan empat SMKA di Sarawak iaitu seramai 2460 orang. Menurut Krejcie dan Morgan (1970), bagi populasi bersaiz 2460 orang, maka 384 orang sampel kajian perlu diambil. Namun pengkaji memilih sampel seramai 400 orang iaitu melebihi jumlah ditentukan. Ini disebabkan penambahan saiz sampel boleh mengurangkan ralat apabila sampel tidak mewakili atau tidak mempunyai ciri-ciri populasi. Pelajar-pelajar yang menjadi sampel dalam kajian ini merupakan pelajar yang pernah terlibat dengan aktiviti tingkah laku buli.

Instrumentasi

Bagi mencapai objektif kajian, satu set borang soal selidik dirangka bagi mendapatkan maklum balas dari responden. Instrumen yang digunakan dalam kajian adalah berbentuk soal selidik. Instrumen kajian seperti ini lazim digunakan dalam kajian deskriptif. Instrumen berbentuk soal selidik merupakan cara yang paling berkesan bagi mendapatkan maklumat daripada responden (Tuckmen, 1978).

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

4

Page 5: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

Satu set soal selidik telah dibina oleh pengkaji dengan disesuaikan item-item daripada Soal selidik Hubungan Rakan Sebaya (Peer Relations Questionnaire) yang dibangunkan oleh Rigby dan Slee (1995) dan Skala Pelbagai Dimensi Pemangsaan Rakan Sebaya (Multidimensional Peer Victimization Scale) yang dibina oleh Mynard dan Joseph (2001) bagi mengumpul maklumat dan seterusnya menjawab persoalan kajian Soal selidik ini mengandungi enam bahagian iaitu bahagian :

i. Bahagian A iaitu Maklumat Diri Pelajarii. Bahagian B iaitu Jenis Tingkah Laku Buliiii. Bahagian C iaitu Ciri-Ciri Pembuli Dan Mangsa Buliiv. Bahagian D iaitu Punca Tingkah Laku Buliv. Bahagian E iaitu Kesan Tingkah Laku Bulivi. Bahagian F iaitu Program Pencegahan Tingkah laku Buli Di Sekolah

Kajian Rintis

Responden dalam kajian rintis ini adalah terdiri daripada 30 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching. Pengkaji memilih mereka kerana mereka mempunyai persamaan dari segi sosio-demografi dengan sampel kajian, tetapi mereka tidak terlibat dalam kajian sebenar.

Hasil dari kajian rintis yang telah dijalankan dapat membantu pengkaji memperolehi petunjuk awal tentang mana-mana bahagian kajian yang mungkin tidak tepat atau gagal. Kajian rintis yang dijalankan juga bertujuan menguji instrumen dari segi tatabahasa, isi kandungan, kesahan dan kebolehpercayaan item soalan dari segi kefahaman pelajar-pelajar sebelum kajian sebenar dilaksanakan. Ianya juga membolehkan pengkaji mengenal pasti apa-apa kekurangan dalam instrumen kajian dan seterusnya memperbaikinya. Berdasarkan kajian rintis yang telah dijalankan, pengkaji mendapati bahawa pelajar terlibat memahami dan menjawab keseluruhan instrumen kajian dengan mudah dan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Kebolehpercayaan Instrumen

Pengkaji telah menjalankan kajian rintis untuk melihat kebolehpercayaan item-item soal selidik. Kaedah uji ulang uji digunakan di mana seramai 30 orang pelajar yang terlibat dengan kajian rintis diminta menjawab soal selidik tersebut pada minggu pertama bulan September 2006 dan seterusnya, 2 minggu kemudian mereka diminta menjawab soal selidik yang sama sekali lagi. Data yang diperolehi melalui soal selidik kali pertama telah dikorelasikan dengan data yang didapati bagi kali yang kedua. Kaedah uji ulang uji digunakan di mana nilai korelasi yang diperolehi bagi soal selidik Hubungan Rakan Sebaya adalah 0.790 dan Skala Pelbagai Dimensi Pemangsaan Rakan Sebaya pula adalah 0.810. Ini menunjukkan soal selidik yang dikemukakan mempunyai kebolehpercayaan yang baik dan dengan itu sesuai digunakan dalam kajian ini.

Data yang diperolehi dalam kajian rintis juga dianalisis untuk mendapatkan nilai kebolehpercayaan (Alpha Cronbach) di mana nilai keseluruhan darjah kebolehpercayaan kajian rintis bagi soal selidik tersebut ialah 0.908 dan 0.900. Ini merupakan nilai yang sangat tinggi dan ini menunjukan bahawa soal selidik ini boleh digunakan dalam kajian ini. Menurut Mohd Salleh dan Zaidatun (2001), sekiranya nilai kebolehpercayaan (Alpha Cronbach) kurang dari 0.600,

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

5

Page 6: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

maka instrumen yang digunakan dalam kajian tersebut bolehlah dianggap mempunyai nilai kebolehpercayaan yang rendah. Manakala menurut Mohd Najib (2003) , nilai kebolehpercayaan yang melebihi 0.800 merupakan nilai “Alpha Cronbach” di mana kebolehpercayaan sesuatu item itu adalah sangat tinggi dan boleh diterima.

Analisis Data

Data-data yang diperolehi dianalisis berdasarkan objektif kajian. Analisis deskriptif min dan peratus digunakan untuk menentukan taburan jenis dan kekerapan tingkah laku buli dalam kalangan pelajar SMKA yang dikaji. Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan komputer. Program yang digunakan adalah `Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 14.

DAPATAN KAJIAN

Berdasarkan hasil analisis data mengenai persoalan-persoalan kajian yang dikemukakan, dapatan kajian dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Tingkah laku buli dari jenis verbal merupakan tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pelajar-pelajar SMKA di Sarawak. Ia diikuti oleh tingkah laku buli fizikal dan seterusnya tingkah laku buli antisosial

2. Tingkah laku “mentertawakan seseorang” merupakan tingkah laku buli fizikal yang paling kerap berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar SMKA. Seterusnya, tingkah laku buli verbal yang paling kerap berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar SMKA adalah tingkah laku “memanggil seseorang dengan nama yang tidak disukainya” manakala tingkah laku “menjadikan seseorang sebagai bahan ejekan” merupakan tingkah laku buli antisosial yang paling kerap berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar SMKA di Sarawak

3. Ciri-ciri tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan ciri-ciri tingkah laku buli yang paling dominan dilakukan oleh pelajar-pelajar yang menjadi pembuli berbanding ciri-ciri tingkah laku buli emosi pembuli

4. Ciri-ciri fizikal seperti suka mengawal orang lain, suka berbangga tentang dirinya dan tahap umur yang lebih tua merupakan ciri-ciri fizikal utama dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli. Manakala ciri-ciri emosi bagi seorang pelajar yang menjadi pembuli adalah seperti selalu dimarahi guru, pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak suka belajar

5. Ciri-ciri tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan ciri-ciri tingkah laku buli yang paling dominan dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli berbanding dengan ciri-ciri tingkah laku buli emosi mangsa buli

6. Ciri-ciri fizikal seperti bertubuh kecil, mempunyai kecacatan dan memiliki wajah yang hodoh merupakan ciri-ciri fizikal utama dalam kalangan pelajar-pelajar mangsa buli. Seterusnya, ciri-ciri emosi utama dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli ialah tahap umur yang lebih muda, seorang yang pendiam dan disayangi guru

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

6

Page 7: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

7. Punca-punca tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan punca-punca tingkah laku buli yang paling dominan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli berbanding punca-punca tingkah laku buli emosi, pengaruh luar dan lokasi

8. Punca tingkah laku buli fizikal yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli adalah untuk menunjukkan dirinya kuat, umurnya lebih tua dan suka berbangga dengan dirinya. Manakala punca tingkah laku buli emosi yang sering dilakukan oleh pembuli adalah untuk membalas dendam, untuk keseronokan dan tidak suka kepada pelajar tersebut iaitu mangsa buli. Seterusnya, punca tingkah laku buli pengaruh luar yang sering dilakukan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli di SMKA adalah dipengaruhi rakan, juga disebabkan semua rakan suka membuli orang lain dan pembuli pernah dibuli oleh pelajar lain sebelumnya. Punca tingkah laku buli lokasi yang tertinggi dilakukan dalam kalangan pembuli adalah seperti kawasan asrama yang jarang dilawati warden, kelas yang tidak diawasi guru dan kawasan kantin yang terlalu sesak

9. Punca-punca tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan punca-punca tingkah laku buli yang paling dominan dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli berbanding dengan punca-punca tingkah laku buli emosi, pengaruh luar dan lokasi

10. Punca tingkah laku buli fizikal yang sering berlaku dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli adalah seperti umurnya yang lebih muda, tubuh badan yang nampak kelakar dan tidak disukai oleh pelajar tersebut (pembuli). Manakala punca tingkah laku buli emosi yang sering berlaku dalam kalangan mangsa buli dalam kalangan pelajar SMKA adalah untuk membalas dendam, bersikap pendiam dan suka berbangga dengan dirinya. Seterusnya, punca tingkah laku buli pengaruh luar yang berlaku dalam kalangan mangsa buli adalah seperti tidak mempunyai kawan dalam kelas, keluarganya miskin dan guru yang tidak pernah marah kepadanya. Punca tingkah laku buli lokasi yang berlaku dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli di SMKA adalah kawasan asrama yang jarang dilawati oleh warden, kelas yang tidak diawasi guru dan guru tidak mengawasi pelajar ketika bermain di padang permainan.

11. Kesan tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan kesan-kesan tingkah laku buli yang paling dominan dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli berbanding dengan kesan tingkah laku buli emosi

12. Kesan-kesan fizikal akibat bertingkah laku buli dalam kalangan pembuli adalah seperti suka melanggar peraturan sekolah, suka mencederakan orang lain dan terlibat dengan jenayah. Manakala kesan-kesan emosi yang wujud dalam kalangan pelajar yang menjadi pembuli di SMKA pula adalah bersikap lebih angkuh, menjadi lebih berani dan suka menekan rakan sebaya.

13. Kesan tingkah laku buli dari jenis fizikal merupakan kesan-kesan tingkah laku buli yang paling dominan dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli berbanding dengan kesan tingkah laku buli emosi

14. Kesan-kesan fizikal yang wujud akibat tingkah laku buli dalam kalangan mangsa buli di SMKA adalah seperti tidak mahu datang ke sekolah, suka ponteng sekolah dan tidak suka melakukan aktiviti berkumpulan. Manakala kesan-kesan emosi seperti selalu risau apabila berada di sekolah, malu bergaul dengan rakan-rakan dan rasa ingin bunuh diri

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

7

Page 8: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

merupakan kesan-kesan yang wujud dalam kalangan pelajar yang menjadi mangsa buli di SMKA

15. “Program sekolah angkat melalui kerjasama Polis” merupakan program pencegahan yang paling tinggi keberkesanannya mengikut pandangan responden dalam kajian ini. Seterusnya, “Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti di sekolah” merupakan program pencegahan kedua tertinggi dari aspek keberkesannya, manakala “Program anak angkat pelajar dalam kalangan guru” merupakan program pencegahan ketiga paling tinggi keberkesanannya dalam mengatasi masalah tingkah laku buli dalam kalangan pelajar-pelajar SMKA di Sarawak.

CADANGAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

Pengkaji mencadangkan beberapa langkah yang perlu bagi mengatasi masalah tingkah laku buli dalam kalangan pelajar SMKA di Sarawak iaitu

1. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tingkah laku buli masih berlaku di SMKA di Sarawak. Justeru itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, JPN, PPG, pentadbir sekolah dan guru-guru tidak boleh memandang ringan masalah atau gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Tindakan dan program yang berterusan mencegah aktiviti buli di sekolah perlulah dilipat gandakan serta dinilai keberkesanannya. Pelbagai pendekatan harus dilakukan demi mencegah tingkah laku buli dari terus berleluasa. Salah satu contoh pendekatan iaitu dicadangkan oleh Rigby (1996) di mana beliau menggunakan tiga pendekatan untuk menangani masalah tingkah laku buli iaitu;

i- Pendekatan moral iaitu pendekatan ini menghendaki pelajar-pelajar mematuhi semua peraturan dan nilai yang ditetapkan oleh sekolah. Secara unggul, pendekatan ini menegaskan bahawa semua salah laku dan pembuli akan dikenakan tindakan yang serius.

ii- Pendekatan undang-undang iaitu berdasarkan kepada peraturan atau undang-undang yang ditetapkan dalam Ordinan Pelajaran dan melalui pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran atau peraturan sekolah itu sendiri. Ianya disampaikan kepada pelajar melalui buku undang-undang sekolah.

iii- Pendekatan kemanusiaan iaitu lebih bersifat kemanusiaan. Ia satu pendekatan di mana pembuli akan bertemu dengan guru disiplin atau kaunselor dalam perbincangan tertutup untuk mendengar alasan, perasaan dan motif tindakan pembuli. Kaunselor menggunakan pendekatan ini supaya pembuli dapat mengubah tingkah laku, perasaan dan pemikirannya ke arah kebaikan. Pendekatan kemanusiaan dalam bentuk keagamaan seperti solat berjemaah, tazkirah dan sebagainya dalam kalangan pentadbir, guru dan pelajar perlu dilaksanakan.

2. Dapatan kajian juga mendapati bahawa jenis tingkah laku buli verbal merupakan perlakuan buli yang lebih kerap berlaku dalam kalangan pelajar SMKA. Dalam kebanyakan kes, tingkah laku buli verbal akan berterusan dan menjurus ke arah tingkah laku buli fizikal dalam kalangan pembuli terhadap mangsa buli. Ini disebabkan tindak balas mangsa buli terhadap tingkah laku membuli oleh pembuli. Oleh itu, peranan pihak guru juga dirasakan penting selain penglibatan ibu bapa untuk mengenal pasti punca

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

8

Page 9: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

sebenar berlakunya aktiviti buli secara verbal. Program-program pengukuhan kepada setiap pelajar iaitu pendedahan kepada aspek-aspek tertentu untuk meningkatkan harga diri, emosi, konsep kendiri daripada negatif kepada positif dan sebagainya perlu sentiasa diterapkan.

3. Dapatan kajian mendapati bahawa bilik darjah merupakan salah satu lokasi tingkah laku buli ini berlaku. Ini memberi gambaran yang membimbangkan kerana bilik darjah kini tidak lagi selamat untuk pelajar. Justeru itu, pemantauan boleh dilakukan oleh guru di dalam kelas serta mengawasi pergaulan atau aktiviti-aktiviti pelajar serta bagaimana mereka berkomunikasi. Penggunaan CCTV (Close-Circuit Television) atau kamera litar tertutup dirasakan sesuai untuk tujuan pemantauan lokasi-lokasi tertentu seperti bilik darjah, kawasan koridor sekolah dan kawasan asrama terutama bagi sekolah berisiko tinggi kerana peralatan ini dapat membantu pihak sekolah mengawal aktiviti tingkah laku buli dan lain-lain masalah disiplin dari terus berleluasa dalam kalangan pelajar.

4. Kementerian Pelajaran perlu merangka serta membentuk program latihan kepada guru-guru tentang bagaimana untuk mengenal pasti dan menangani masalah perlakuan buli dalam kalangan pelajar sekolah. Guru hendaklah sentiasa bersikap lebih terbuka dan merapatkan hubungan dengan mangsa buli supaya mereka lebih bersedia untuk melaporkan kejadian buli kepada guru yang mereka percayai. Ini dapat membantu pihak guru mengenal pasti tanda-tanda awal masalah tingkah laku buli seterusnya dapat bertindak atas arahan pihak sekolah untuk mencegah dan membantu pelajar yang mengalami masalah tingkah laku buli.

5. Kajian ini menjelaskan pelbagai punca yang menyebabkan tingkah laku buli berlaku dalam kalangan pembuli dan mangsa buli. Justeru itu, pihak pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa perlu mengenal pasti punca-punca tingkah laku buli terlebih dahulu, kemudian rancangan pencegahan perlu dibuat berdasarkan kepada punca-punca tersebut. Pihak terlibat terutama pihak sekolah dan guru juga dicadangkan agar mengadakan lebih banyak aktiviti yang berbentuk motivasi untuk meningkatkan keyakinan dalam diri para pelajar. Perkhidmatan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah-sekolah sedia ada perlu dikaji dari segi keberkesanannya. PRS merupakan salah satu unit sokongan kepada pelajar-pelajar untuk meluahkan masalah yang mereka hadapi. Menurut Zuraidah (1988), konsep asas program ini ialah ‘rakan bantu rakan’. Dalam konteks ini, pelajar yang telah mendapat latihan khas akan berusaha memberikan bantuan kepada rakan-rakan di sekolah yang menghadapi pelbagai masalah disiplin dan sosial. Seterusnya, pelajar yang mempunyai keyakinan dan motivasi yang tinggi lebih cenderung untuk melakukan perkara yang berfaedah dan tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti salah laku seperti tingkah laku buli.

6. Kajian mendapati “penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah” merupakan antara program yang tinggi keberkesanannya. Justeru itu, sebagai orang yang paling rapat dengan pelajar, penglibatan ibu bapa dalam setiap program pencegahan yang dijalankan oleh pihak sekolah adalah sangat diperlukan. Disamping dapat memantau perilaku anak-anak di rumah, ibu bapa juga perlu diberikan maklumat dan kesedaran tentang masalah tingkah laku buli ini. Gejala tingkah laku buli di sekolah-sekolah menunjukkan bahawa pelajar semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah. Setiap kali berlaku insiden negatif seperti bergaduh, membunuh dan lain-lain jenayah disekolah, banyak pihak akan menunding jari kepada ibu bapa sebagai penyumbang utama. Ibu bapa akan dipersalahkan kerana mereka adalah orang yang bertanggungjawab bukan sahaja melahirkan, tetapi juga

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

9

Page 10: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

membesarkan dan mendidik anak-anak dengan sempurna. Aspek yang perlu ditekankan ialah pendekatan seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling, kemahiran mendengar, kemahiran mengenal pasti masalah dan sebagainya. Oleh itu, kemahiran-kemahiran ini harus diperkenalkan, dimiliki dan diaplikasikan dalam sesebuah keluarga agar pembentukan sahsiah dan perkembangan anak-anak dapat dikawal dan dibimbing secara lebih efektif.

7. Memandangkan tingkah laku buli ini tidak hanya berlaku di dalam kawasan sekolah sahaja, maka kerjasama pihak luar seperti pihak Polis, pihak Berkuasa Tempatan dan penglibatan masyarakat keseluruhannya adalah perlu untuk memantau kegiatan para pelajar terutama sekali ketika mereka berada di luar kawasan sekolah. Kawalan disiplin bukan hanya dalam kawasan sekolah semata-mata, tetapi remaja juga perlu dididik untuk mematuhi peraturan dan undang-undang ketika berada di luar kawasan sekolah. Penglibatan semua pihak amat diperlukan demi membentuk peribadi remaja yang lebih gemilang.

PENUTUP

Masalah jenayah di sekolah bermula dengan masalah buli. Keseriusan masalah buli dalam kalangan murid sekolah perlulah ditangani dengan segera. Jika tidak, ianya mungkin menjadi satu masalah besar kepada negara pada masa hadapan.

Daripada hasil kajian yang telah dikemukakan, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tingkah laku buli verbal merupakan tingkah laku buli yang paling kerap dilakukan berbanding tingkah laku buli fizikal atau antisosial dalam kalangan pelajar-pelajar di SMKA Sarawak. Oleh itu, bagi mangsa buli, ketakutan dan kesakitan bukan sahaja dirasai semasa dibuli, tetapi apabila diancam akan dibuli lagi pada masa hadapan. Dengan cara demikian, mangsa buli akan menghadapi masalah dari segi nilai diri, psikologi, akademik dan perhubungan dengan orang lain.

BIBLIOGRAFI

Connel, A., & Farrington, D. P. (1996). Bullying among incarcerated young offenders: Developing an interview schedule and some preliminary results. Journal of Adolescence, 19, 75-93.

Espelage, D. L., Bosworth, K., & Simon, T. R. (2000). Examining the social context of bullying behaviours in early adolescence. Journal Counselling Development, 78, 326-333.

Krejcie, R. V. & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research. Educational and Psychological Measurements, 30, 607-610.

Mohamad Najib Abdul Ghafar (2003). Reka bentuk tinjauan soal selidik pendidikan. Skudai: Penerbit UTM.

Mohd Salleh Abu & Zaidatun Tasir (2001). Pengenalan kepada analisis data berkomputer: SPSS 10.0 for windows. Kuala Lumpur: Venton Publishing.

Mynard & Joseph (2000). Development of the Multidimensional Peer-Victimization Scale. Aggressive Behavior, 26, 169-178.

Olweus, D. (1991). Bully/victim problems among schoolchildren: Basic facts and effects of a school-based intervention programme. Dalam Pepler, D., & Rubin, K. (Eds.). The development and treatment of childhood aggression. Hillsdale, NJ: Erlbaum.

Rigby, K., & Slee, P. T. (1995). Manual for peer relations questionaire. Underdale: University of South Australia.

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

10

Page 11: Buli

Seminar Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Batu Lintang Tahun 2007

Rigby, K. (1996). Bullying in schools and what to do about it. Melbourne: The Australian Council For Educational Research Ltd.

Thompson, D., & Sharp, S. (1998). The dynamics of victimisation and rejection in school. improving schools: Establishing and integrating whole school behaviour policies. London: David Fulton.

Tuckmen, B. W. (1978). Conducting educational research (3rd ed.). New York: Harcourt Brace Jovanovich.

Zuraidah Abdul Rahman (1988). Boleh saya tolong anda? Kuala Lumpur: Times Books International.

Pembudayaan Penyelidikan Ke Arah Kecemerlangan Profesionalisme Keguruan

11