bab ii kjian literatur

Upload: cput

Post on 07-Jan-2016

223 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

bab 2

TRANSCRIPT

BAB II

KAJIAN LITERATUR

2.1 Pendahuluan

Bab ini akan membuat sorotan kepada dapatan kajian berkaitan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar sekolah secara umum dan secara khusus dalam mata pelajaran matematik. Dapatan kajian akan dibincangkan mengikut faktor-faktor dalaman dan faktor-faktor luaran yang tersenarai. Selain itu akan dibincangkan juga tentang teori yang berkaitan.

2.1.1 Teori Interaksionisme

Teori ini menegaskan pentingnya memahami keadaan sosial (masyarakat) dari sudut pandangan individu yang bertindak atau berinteraksi di dalam masyarakat tersebut. Teori ini tidak menumpukan kepada perkara-perkara berstruktur besar seperti negara, ekonomi atau kelas social. Sebaliknya yang dipentingkan ialah interaksi sosial pada setiap hari dan biasa berlaku dalam kehidupan manusia seharian (Rohana 1994). Teori interaksionisme ini dikaitkan dalam kajian ini kerana faktor-faktor yang dikaji adalah berkaitan dengan interaksi sosial manusia pada setiap hari.

Dalam kehidupan seharian, manusia sering berinteraksi dengan ahli-ahli dalam kelompok samada kelompok primer (keluarga dan rakan sebaya) atau kelompok sekunder (sekolah dan media masa). Ahli sosiologi pendidikan menggunakan pendekatan ini untuk melihat hubungan antara kumpulan-kumpulan seperti rakan sebaya, guru dengan murid dan guru dengan gurubesar ke atas sikap, pencapaian, pandangan pelajar tentang nilai, sikap kendiri pelajar, kesannya kepada inspirasi pelajar dan hubungan status sosioekonomi yang berhubung kait dengan pencapaian pelajar (Ballantine 1997).

Teori ini mempunyai dua asas pemerhatian yang penting iaitu pertama mengkaji makna simbolik atau makna yang tersirat secara subjektif. Keduanya melihat bagaimana makna yang simbolik itu digunakan dalam interaksi manusia. Blumer (1969) dipetik daripada (Rohana 1997) memberikan tiga huraian penting mengenai konsep makna iaitu kepentingan memahami makna-makna simbolik mengikut konteks penggunaanya, makna berguna semasa interaksi di mana makna berkenaan menyebabkan hubungan bertambah mesra dan akhir sekali makna adalah sesuatu yang boleh dirundingkan samada diterima atau memberi makna yang sesuai kepada sesuatu perkara.

Menurut Amir (1999) ahli interaksionisme simbolik selalunya fokus kepada hubungan bersemuka dalam konteks kehidupan seharian. Setiap hari manusia terlibat dalam pergaulan dengan orang lain. Hubungan antara sesama manusia ini melibatkan simbol. Simbol-simbol yang digunakan itu membolehkan manusia mempelajari tentang diri sendiri. Apabila berinteraksi dengan orang lain, ahli selalunya mencari petanda-petanda jenis tingkah laku dalam konteks hubungan berkenaan. Ahli-ahli dalam kelompok menginterpretasikan simbol-simbol pihak lain seperti apakah kemahuan mereka, apa mereka akan kata dan apa mereka akan buat. Mereka akan menggunakan simbol-simbol dan disesuaikan dengan perlakuan yang berhati-hati.

Oleh itu dalam kehidupan bermasyarakat, interaksi amat diperlukan dan interaksi sesama manusia adalah simbolik. Manusia berinteraksi melalui simbol seperti perkataan dan gerak-geri. Dalam kehidupan, manusia bergantung kepada interaksi iaitu kesan proses kegiatan seseorang kepada gerak balas individu lain terhadapnya dan gerak balas tersebut akan mempengaruhi semula orang yang pertama tadi. Manusia yang diberikan akal fikiran mampu menentukan arah dan cara hidup sendiri, memilih mana yang baik dan yang buruk. Sesuatu perkara yang dilakukan adalah baik mengikut persepsi mereka. Manusia hanyalah menjalankan watak-watak untuk hidup dan mengubah sedikit demi sedikit, apabila perlu dan masa yang sesuai.

2.2.2 Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pencapaian Akademik

Menurut Fatanah (1997), pelbagai teori dan dapatan kajian telah dikemukakan untuk menjelaskan faktor yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Di kalangan ahli psikologi, aspek kognitif, sikap dan motivasi pelajar lebih dipentingkan. Manakala ahli-ahli sosiologi lebih menekankan peranan latar belakang sosioekonomi. Di kalangan ahli psikologi sosial pula, mereka lebih cenderung untuk mengkaji proses mendidik anak. Tidak kurang juga yang mengaitkan faktor guru seperti kelulusan, kaedah pengajaran, faktor pengurusan dan pentadbiran, kemudahan dan insentif guru dan kakitangan, peranan masyarakat dan rakan sebaya.

Wang, Haertel dan Walberg (1990) telah membuat analisis terhadap hasil kajian yang pernah dijalankan dalam tempoh lima puluh tahun lalu berhubung dengan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar di Amerika Syarikat. Mereka menyatakan bahawa aspek sosial dan tingkah laku pelajar sebagi memainkan peranan penting. Pelajar yang tidak berdisplin atau tidak mengikut peraturan kerapkali mempunyai pencapaian akademik yang rendah, manakala para pelajar yang bertingkah laku seperti sewajarnya, lebih cenderung berpencapaian tinggi. Dalam konteks sekolah pula, aspek yang paling mempengaruhi pembelajaran adalah persekitaran dan sokongan keluarga.

Bloom (1981) menyatakan di samping persekitaran rumah, persekitaran sekolah juga memberi kesan ke atas perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Ini kerana di sekolah adalah tempat berlakunya perkembangan bahasa, motivasi dan kaedah belajar.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1992) telah membuat kajian perbandingan ke atas sekolah yang menunjukkan pencapaian yang baik dan kurang baik dalam matematik sekolah rendah. Sebanyak empat buah sekolah telah dipilih dalam setiap negeri di Malaysia yang mewakili dua sekolah baik dan dua sekolah kurang baik, lokasi bandar dan luar bandar untuk kajian ini. Dalam kajian tersebut empat dimensi telah dikaji iaitu pengurusan, guru, murid dan bahan bantu mengajar. Keputusannya didapati ada perbezaan antara kedua-dua jenis sekolah tersebut dari segi pengurusan, pengajaran, murid dan penggunaan bahan mengajar.

Hasil daripada kajian tersebut, satu rumusan kenyataan telah dikeluarkan iaitu walaupun guru di semua sekolah telah menerima latihan yang sama, tetapi pencapaian akademik antara sekolah-sekolah jauh berbeza. Didapati beberapa buah sekolah biasa, khususnya yang terletak di luar bandar telah mencapai prestasi yang baik tahun demi tahun. Perkara ini tidak berlaku secara sendiri tetapi adalah kesan daripada usaha, inovasi dan kereaktifan yang diamalkan oleh semua pihak di sekolah yang baik sehingga membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan ( Pusat Perkembangan Kurikulum 1992). Daripada kajian ini didapati perbezaan yang ketara adalah pengurusan sesebuah sekolah yang boleh menimbulkan persekitaran pembelajaran yang berbeza.

Dalam tinjauan penulisan (Azmi et al. 1995), beliau telah mengemukakan tinjauan oleh Mortimore (1995) terhadap beberapa kajian-kajian mengenai sekolah berkesan. Mortimore mendapati bahawa fokus kajian adalah berbeza-beza antara satu kajian dengan kajian lain dari segi faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar. Para pengkaji seperti Coleman (1966), telah menggunakan kajian tinjauan yang melibatkan sampel yang besar untuk mencari perkaitan antara faktor sosioekonomi pelajar dan faktor sekolah dengan pencapaian pelajar. Secara umum dapatan-dapatan ini menunjukkan bahawa ciri-ciri latar belakang sosioekonomi pelajar amat mempengaruhi pencapaian akademik pelajar manakala faktor sekolah yang diukur dari segi kemudahan material kurang menyumbang kepada pencapaian pelajar. Di Malaysia, kajian terbesar dan paling berpengaruh ialah Kajian Keciciran 1973 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan. Hasil kajian mendapati bahawa kedua-dua faktor latar belakang sosioekonomi pelajar dan juga kemudahan sekolah mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.

Menurut Marimuthu (1975), terdapat bukti-bukti yang menunjukkan kelemahan pencapaian pelajaran di sekolah adalah disebabkan oleh keadaan kemiskinan dan kekurangan kelengkapan material di rumah. Beliau menambah bahawa kemiskinan sebagai angkubah penghalang yang menyebabkan kecacatan dalam kemajuan kanak-kanak.

Menurut Creemers (1994), dipetik daripada (Azmi et al. 1995) mengatakan dengan mengambil kira faktor latar belakang yang di kawal, didapati 12% - 18% perbezaan dalam pencapaian pelajar dapat diterangkan oleh faktor sekolah dan bilik darjah. Ballantine (1997) pula mengatakan faktor minat terhadap mata pelajaran, rakan sebaya, hubungan dengan guru, keadaan persekitaran dan pengalaman yang berbeza (bangsa, jantina dan kelas sosial) adalah antara factor-faktor yang terlibat dalam proses pembelajaran.

2.2.3 Faktor-Faktor Dalaman

Faktor-faktor dalaman yang akan dibincangkan dalam kajian ini ialah minat, sikap pelajar, persepsi pelajar dan aspirasi kerjaya. Abu Zahari (1988), menyatakan bahawa minat dan kecenderungan memainkan peranan dalam mempengaruhi pencapaian pembelajaran individu. Mereka yang berminat akan menunjukkan pencapaian yang tinggi manakala yang tidak berminat akan menunjukkan pencapaian yang rendah. Manja (1990), mendapati pelajar Cina lebih berminat untuk belajar berbanding dengan pelajar Melayu dan India. Pelajar Cina juga didapati lebih cenderung dalam bidang akademik terutama mata pelajaran sains dan matematik. Husen (1967 ) dalam kajiannya mendapati pencapaian mempunyai hubungan yang positif dengan minat pelajar terhadap sains dan metematik.Kajian menunjukkan semakin tinggi minat pelajar maka semakin tinggi prestasi pencapaian mereka dalam mata pelajarn sains dan matematik.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa tidak atau kurang berminat mempelajari matematik bahkan mereka mungkin fobia dengan angka berpunca dari bebrapa faktor seperti tiada atau kurang pendedahan akan kepentingan penguasaan matematik. Anuar (Berita Harian, 1994) mengatakan bahawa usaha bagi menentukan kejayaan pelajar dalam sains dan matematik ialah mengubah sikap dan seterusnya memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut.

Gui Sew Chu (1988) dalam kajiannya berkaitan dengan sikap dan pencapaian dalam matematik telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif di antara sikap, minat dan keyakinan diri dengan pencapaian dalam matematik . Dapatan kajian ini juga menunjukkan faktor keyakinan diri pelajar merupakan pembolehubah yang berkesan terhadap pencapaian matematik.

Dalam kajian lain oleh Adnan (1980) untuk melihat pertalian di antara sikap pelajar terhadap matapelajaran tertentu dan pencapaiannya dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), mendapati terdapat hubungan yang positif. Kajian telah dilakukan terhadap 230 orang pelajar tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kampung Baru, Kuala Lumpur terhadap matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Sains dan Matematik dengan pencapaian mereka dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran.

Muskamal (1991) mendapati bahawa wujudnya hubungan yang signifikan antara persepsi dan minat terhadap sains dan matematik dengan pencapaian sains dan matematik. Begitu juga terdapatnya perbezaan persepsi antara pelajar yang berpencapaian tinggi dengan berpencapaian rendah tetapi tidak ada perbezaan persepsi antara lelaki dan perempuan.

Awang Had Salleh (1986), mengaitkan masalah pencapaian akademik pelajar dengan aspek kendiri pelajar itu sendiri. Kegagalan pelajar dilihat ada kaitan dengan fakta dalam diri pelajar yang dikatakan mempunyai aspirasi dan cita-cita yang sederhana dalam pelajaran dan kerjaya. Di samping itu juga mereka menunjukkan semangat persaingan yang rendah serta kurang mempunyai motivasi untuk belajar.

2.2.4 Faktor Luaran

2.2.4.1 Faktor Guru Dan Sekolah

Strategi pengajaran yang baik ialah memastikan pelajar mengambil bahagian dalam proses pembelajaran. Secara tradisi, budaya sekolah memainkan peranan sebagai pekerja kepada guru; guru melakukan segalanya- bercakap, berfikir, bergerak dan sebagainya, manakala pelajar merupakan produk guru yang duduk mendengar, menerima dan meluahkan kembali fakta. Secara tradisinya bilik darjah yang baik ialah bilik darjah yang guru mengajar dan murid belajar.

Rosmaria (1995) menegaskan bahawa guru merupakan orang penting yang dapat mempengaruhi minat pelajar terhadap sains dan metematik. Pengetahuan guru dalam mata pelajaran sains dan matematik secara mendalam juga amat penting dalam membantu guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ( Pidgeon 1967).

Goodlad (1984) dipetik daripada (Sharifah 2000) telah memberi gambaran mengenai apa yang diajar di bilik darjah di Amerika Syarikat. Menurut beliau guru dalam bilik darjah lebih menekankan kemahiran asas, memberi tumpuan kepada pembelajaran tahap rendah, kurang menekankan kemahiran berfikir, kurang menggunakan pelbagai penakulan, tidak mengaitkan teori dengan amalan dan guru juga kurang kreatif. Projek yang dijalankan oleh pelajar bukan bertujuan untuk mencabar intelek tetapi untuk mengasah kemahiran asas pelajar. Bilik darjah dikatakan membosankan, pengetahuan yang didapati oleh pelajar sungguh asing daripada pemahaman dan penghayatan mereka sendiri.

Bilik darjah yang membosankan seperti yang digambarkan oleh Goodlad, akan melahirkan pelajar yang mengamalkan budaya mengelak daripada belajar. Sikap ini dipanggil sebagai konspirasi convenience iaitu satu konspirasi di kalangan pelajar untuk mengelakkan daripada melakukan kerja akademik yang serius, berterusan dan mencabar. Sikap pelajar terutama kelas lemah menunjukan kadar ponteng sekolah dan ponteng kelas yang tinggi. Alasan yang diberi oleh pelajar ialah tidak menyiapkan kerja sekolah. Ini menunjukkan penglibatan yang rendah dalam pembelajaran (Kamarudin 1994).

Menurut Kamarudin (1994) suasana bilik darjah tidak kurang pentingnya untuk mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Bilik darjah yang berkeadaan cerah, berwarna-warni, selesa riang dan seronok sudah tentu akan menghasilkan pembelajaran yang lebih mudah dan kekal jika dibandingkan dengan keadaan yang sebaliknya. Persekitaran fizikal sesebuah bilik darjah merupakan sumber pembelajaran yang utama. Perhatian terhadapnya membolehkan guru meningkatkan keceriaan disamping menghasilkan satu bentuk pengajaran yang lebih berkesan. Suasana emosi lebih penting daripada suasana fizikal, kerana suasana fizikal yang ideal sekalipun tidak dapat mengubah keadaan pembelajaran yang tidak memuaskan sekiranya suasana emosi serba kekurangan.

Suasana emosi adalah gabungan daripada berbagai-bagai perkara, seperti suara guru, sikap dan ekspektasinya, sistem kepercayaannya, kemesraan dan kelucuannya, teknik mengawal bilik darjah, stail kepimpinannya dan kaedah mengajar serta penggunaan pujian. Umpamanya suara guru yang semulajadi terang, tidak tegang dan bercorak perbualan akan menimbulkan suasana bilik darjah yang tenang. Suasana emosi seperti ini sangat sesuai untuk mendapatkan interaksi pelajar dalam pembelajarannya. Kejayaan seseorang pelajar dalam suatu mata pelajaran dikaitkan dengan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Prestasi pencapaian pelajar dalam peperiksaan memberi gambaran kepada mutu pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di sesuatu sekolah. Antara faktor yang dikenalpasti menjadi punca penurunan prestasi dalam mata pelajaran matematik ialah kelonggaran dan kelemahan metodologi pendidikan dan pengajaran di sekolah.

Menurut Ballantine (1997), proses pengajaran dan pembelajaran yang baik ialah memastikan pelajar mengambil bahagian dalam proses pembelajaran. Kelonggaran dan kerapuhan metodologi pendidikan menyebabkan matematik dikaitkan dengan elemen kesukaran, kebosanan dan pelbagai factor yang menakutkan pelajar. Sulaiman (1995) juga menyatakan pengajaran guru sains dan matematik terikat dengan buku panduan kerja dan kurang menarik, menyebabkan pengajaran guru menjadi kaku dan kurang berkesan. Ini menjadikan pengajaran membosankan dan tidak memotivasikan pelajar.

Persediaan mengajar yang baik dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Untuk menilai aspek persediaan, criteria-kriteria yang merangkumi penyediaan bahan dan alat, kesesuaian bahan pengajaran, persediaan awal guru perlu diambil kira (Nik Aziz Nik Pa 1991). Leong (1990) menyatakan bahawa guru-guru yang selalu memberi ujian, mengadakan kelas tambahan, menggunakan soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun terdahulu dan buku panduan peperiksaan dalam pengajaran akan meningkatkan pencapaian pelajar. Teknik penyampaian yang berkesan daripada seseorang yang berkeinginan tinggi untuk membantu orang lain sudah pasti membawa kesan positif. Pengetahuan guru dalam mata pelajaran sains dan metematik secara mendalam amatlah penting dalam membantu mereka meyakinkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Guru yang mengambil berat akan pelajarnya yang lemah, mampu memberi motivasi kepadanya (Ballantine 1997).

Menurut Abdul Razak dan Rashidi (1997), untuk meningkatkan pencapaian sains dan matematik, adalah dicadangkan supaya para pendidik menentukan pelajar-pelajar mereka sentiasa bermotivasi tinggi dan bersikap positif terhadap pembelajaran mata pelajaran tersebut.

Selain faktor guru, faktor bilik darjah juga memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian pelajar. Ballantine (1997) menyatakan bahawa pelajar di bahagian hadapan atau tengah kelas lebih terlibat dengan pembelajarn dan seterusnya baik pencapaiannya. Mereka juga lebih dihargai oleh guru dan rakan, mereka kurang diberi peringatan tentang sebarang arahan. Ini mungkin disebabkan penglibatan mereka dalam pembelajarn adalah menonjol di dalam kelas. Atan Long (1998) menyatakan bahawa keadaan fizikal bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam pengajaran kerana pelajar akan merasa gembira di dalam bilik yang mempunyai suasana yang menyenangkan. Kebersihan bilik darjah juga dapat menambah keberkesanan disamping menjaga kesihatan pelajar dan menambah rasa estatika mereka. Menurut Ballantine (1997) kemudahan dan persekitaran sekolah yang mempunyai suasana yang kondusif untuk belajar boleh meningkatkan pencapaian.

Budaya sekolah pula menggambarkan keadaan masyarakat yang terdapat di sekitar sekolah tersebut dimana, meraka mempunyai nilai, sikap, keyakinan, norma dan adat yang tersendiri yang mungkin berbeza dari sekolah lain

Brookover (1979) merumuskan sistem sosial sekolah (iklim, struktur dan sebagainya) boleh berfungsi seperti satu keluarga atau organisasi sosial yang lain untuk mencapai metlamat tertentu. Jika matlamat sekolah ialah untuk meningkatkan pencapaian pelajar, maka sistem sosial sekolah berkemampuan bergerak ke arah pencapaian matlamat tersebut. Sesetengah pengkaji menegaskan bahawa semua pelajar tidak kira status sosioekonomi boleh belajar dengan berkesan jika sekolah menyediakan iklim sekolah yang merangsang potensi pelajar dan potensi guru sepenuhnya. Iklim pembelajaran yang berkesan boleh diwujudkan apabila guru dapat mengenalpasti tahap hubungan sosial pelajarnya (Kamarudin 1994).

Kajian oleh Mortimore (1988) menegaskan bahawa sekolah lebih berkesan daripada pengaruh keluarga dari segi peningkatan pencapaian. Ia membuktikan bahawa pengaruh sekolah dalam peningkatan matematik pelajar adalah sepuluh kali ganda lebih penting daripada pengaruh keluarga. Kajian ini membuktikan bahawa terdapat kesan sekolah terhadap pencapaian pelajar dalam mata pelajarn tertentu.

2.2.4.2 Faktor Keluarga

Keluarga merupakan agen sosialisasi yang terrpenting kerana keluarga ialah kelompok asas yang pertama bagi kebanyakan individu. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam proses pemindahan budaya terutama yang melibatkan norma dan nilai budaya tersebut. Walaupun keluarga tidak dapat menentukan sepenuhnya perkembangan dan pembentukan peribadi anak-anak mereka, namun dimensi seperti sikap, minat, matlamat, kepercayaan dan prejudis adalah diperolehi daripada ibu bapa atau keluarga (Rohana 1997)

Terdapat ahli sosiologi yang mengatakan bahawa kanak-kanak pada waktu dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa tentang kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau bersenang hati dan ketegangan. Keluarga autoritarian akan membentuk anak bersifat pasif, tiada anasiatif, submisif, tidak mahu bekerjasama dan takut mengeluarkan pendapat. Bagi keluarga laissez-faire iaitu ibu bapa yang terlalu berlembut dengan anak-anak, segala kemahuan anak dituruti dan displin diri terlalu longgar, akhirnya boleh membentuk anak-anak yang tidak menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Manakala ibu bapa yang mengamalkan kaedah sederhana dan demokrasi selalu melibatkan anak mereka berbincang dalam menghadapi masalah dalam keluarga. Mereka bersikap lembut tetapi tegas dan banyak memberi bimbingan. Displin anak tidak bergantung kepada kuasa fizikal semata-mata tetapi lebih kepada taakulan. Anak-anak daripada kelaurga ini didapati menunjukkan inisiatif, bersopan santun, yakin kepada kebolehan diri sendiri disamping kebolehan diri sendiri dan menunjukkan sikap yang positif (Rohana 1997).

Peranan keluarga terutama ibu bapa dalam menentukan pencapaian anak-anak tidak dapat dinafikan. Memandangkan masa seseorang pelajar berada di sekolah adalah singkat berbanding di rumah, maka pencapaian pelajar ada bergantung kepada dorongan dan peluang untuk belajar yang disediakan oleh ibu bapa. Angela et.al (2001) berpendapat jika keluarga melibatkan diri mereka dalam pendidikan anak-anak, anak-anak akan memperolehi gred yang lebih baik, hadir ke sekolah lebih kerap, menyiapkan kerja rumah, bersikap positif dan menamatkan pengajian dengan cemerlang. Oleh itu mempertingkatkan penglibatan keluarga dalam pendidikan anak adalah matlamat penting bagi sesebuah sekolah terutama bagi golongan keluarga yang berada pada status sosioekonomi rendah.

Walberg (1985) menyatakan bahawa penglibatan ibu bapa dalam aktiviti akademik anak-anak mereka amatlah penting untuk menjamin pencapaian yang lebih baik dalam sesuatu ujian atau peperiksaan. Rumberger (1983), mengenalpasti ibu bapa yang berpendidikan tinggi akan meluangkan lebih banyak masa untuk anak-anak. Masa yang diluangkan ini digunakan untuk mengajar, memeriksa kerja sekolah di rumah dan menjalankan aktiviti rekreasi. Aktiviti ini akan dapat meningkatkan keupayaan pembelajaran anak-anak.

Faktor taraf pekerjaan ibu bapa dan pendapatan ibu bapa juga turut dikaitkan dengan corak pendidikan dan pencapaian akademik anak (H. Lingxin 1998). Kebiasaannya pelajar yang pencapaian akademiknya baik dikaitkan dengan ibu bapa yang berpendapatan tinggi. Ini kerana ibu bapa menjadi pendorong kepada kejayaan mereka. Gui Sew Chu (1988) dalam kajiannya mendapati bahawa hanya faktor pendapatan bulanan ibu bapa mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas pencapaian akademik pelajar sedangkan faktor-faktor lain seperti saiz keluarga, peringkat pelajaran ibu bapa, minat, sikap ibu bapa terhadap pelajaran dan kemudahan dalam rumah tidak menunjukkan pengaruh yang signifikan.

Coleman dalam teorinya mengatakan tiga komponen persekitaran keluarga ialah Human capital, Financial capital dan Social capital yang boleh mempengaruhi pencapaian pelajar (Raymond 1998). Lebih tinggi status sosioekonomi keluarga pelajar maka lebih tinggi pencapaian akademik pelajar tersebut (Boocock 1972). Mitchell (1998) dalam kajiannya mendapati, walaupun peranan yang dimainkan oleh guru penting namun kedudukan sosioekonomi pelajar merupakan halangan kepada pencapaian akademik. Razali (1985) dalam kajiannya juga menunjukkan pelajar dari taraf sosioekonomi tinggi memperolehi pencapaian akademik yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa ibu bapa memberi sumbangan yang besar terhadap pencapaian akademik. Berdasarkan contoh-contoh yang dikemukakan, jelas menunjukkan wujudnya hubungan antara pencapaian akademik dengan taraf sosioekonomi keluarga.

Flond, Hasley dan Martin (1976) berpendapat peranan ibu bapa merupakan salah satu faktor penyebab kepada kewujudan perbezaan pencapaian akademik pelajar. Ini disokong oleh Fraser (1979) yang mengatakan bahwa darjah kecerdasan dan pencapaian kademik anak-anak berkait dengan peranan ibu bapa terhadap terhadap pelajar terhadap anak-anak.

Menurut Ballantine (1997), penglibatan keluarga dalam mempersiapkan anak-anak mereka ke sekolah mempengaruhi pencapaian dan prestasi merekan di sekolah. Kanak-kanak hadir ke sekolah dengan kurikulum keluarga yang didapati di rumah. Ini akan mempengaruhi pembelajaran dan seterusnya pencapaian mereka di sekolah. Ibu bapa yang terpelajar misalnya akan lebih bersedia untuk memperlengkapkan anak mereka dengan pendidikan. Semakin tinggi penglibatan ibu bapa terhadap persekolahan anak, semakin baik pencapaian anak-anak mereka dalam akademik. Ini menunjukkan ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap aspirasi dan pencapaian akademik anak.

2.2 Rakan Sebaya

Menurut Rohana (1997) rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan terhadap kehidupan. Kesannya remaja cuba menghayati norma, nilai, kod dan segala harapan rakan sebaya supaya disanjung oleh kumpulannya. Remaja merasakan dirinya perlu diterima oleh kumpulan rakan sebaya meskipun kadangkala norma dan nilai tersebut bertentangan dengan norma dan nilai keluarga atau tradisi. Ini akan memcetuskan konflik antara golongan muda dengan golongan tua. Pada masa ini ahli sosiologi berpendapat golongan rakan sebaya inilah yang paling berpengaruh dalam proses sosiolisasi kerana mereka banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan samada di sekolah atau di luar sekolah.

Rakan sebaya juga merupakan satu daripada faktor persekitaran yang mempengaruhi minat dan pencapaian pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Kesan daripada pergaulan dengan pelajar yang mempunyai minat yang tinggi terhadap sesuatu mata pelajaran, menyebabkan seseorang itu turut meminati sama. Sharifah Alawiyah (1985) dalam beberapa kajiannya mendapati bahawa pembentukan kumpulan rakan sebaya lebih membawa kesan terhadap pencapaian dan aspirasi pelajar, jika dibandingkan dengan latar belakang keluarga atau komposisi sekolah. Pengaruh rakan sebaya boleh terjadi secara positif atau negatif mengikut kebolehan kumpulan yang diwakilinya.

Ballantine (1997) menyatakan bahawa pencapaian pelajar boleh ditingkatkan dengan membantu interaksi di kalangan rakan sebaya dan kawan rapat. Bentuk interaksi juga berbeza mengikut keadaan, umpamanya pelajar perempuan interaksi adalah lebih rapat berbanding lelaki. Kumpulan pelajar yang dikelompokkan mengikut kemampuan akan menghadkan variasi dalam berinteraksi. Manakala kumpulan yang mengikut bangsa akan lebih cenderung memilih rakan sesama bangsa sahaja. Kumpulan yang pentingkan gred, kurang mengejar populariti, manakala kumpulan yang popular sering mementingkan kecantikan dan kesasaan seseorang dan kumpulan yang telah kenal lama lebih pentingkan persahabatan dalam aktiviti meraka.

2.2.4.3 Faktor Jantina

Seringkali diperkatakan bahawa pelajar perempuan lebih berkebolehan jika dibandingkan dengan pelajar lelaki dari segi pencapaian akademik. Perempuan bukan sahaja menguasai sebahagian besar enrolmen di institusi pengajian tinggi, malah komitmen mereka dalam peperiksaan peringkat sekolah juga masih tinggi.Mooney (1994) berpendapat kemungkinan pencapaian yang baik di kalangan pelajar perempuan adalah didorong oleh keperluan untuk mendapatkan pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli kaum lelaki. Untuk menentukan mereka dapat merebut peluang yang selama ini diberikan kepada kaum lelaki.

Kajian terhadap pencapaian mengikut jantina dan bidang tertentu juga telah banyak dijalankan (Flynn dan Rahbar 1994). Hasil daripada kajian-kajian ini menunjukkan pelajar daripada jantina yang berbeza berkecenderungan untuk menguasai bidang yang berlainan. Kajian Born dan Lynn (1994), mendapati skor pelajar lelaki adalah lebih tinggi dalam aspek kepintaran umum, lisan dan visual-ruang. Pelajar perempuan skor mereka lebih tinggi dalam daya ingatan dan kepantasan tanggapan. Dapatan ini seterusnya mengukuhkan lagi dapatan Hyde (1981) yang menyatakan bahawa pelajar lelaki lebih berkemampuan dalam visual-ruang, sementara pelajar perempuan didapati lebih berkemampuan dalam membuat tanggapan dan daya ingatan.

Kajian yang dijalankan Maccoby dan Jacklin (1974), menunjukkan bidang kuantitatif dikuasai pelajar lelaki dan bidang lisan dikuasai pelajar perempuan. Sementara Schunk (1984) menyatakan bahawa pelajar lelaki mempunyai efikasi diri yang lebih tinggi berbanding pelajar perempuan dari segi harapan pencapaian mereka. Kajian Flynn dan Rahbar (1994) tentang kegagalan membaca di kalangan kanak-kanak menunjukkan pelajar lelaki lebih ramai tergolong dalam kumpulan paling tidak cekap membaca (severely reading disabled). Sejumlah 12.1 peratus pelajar lelaki tahap satu dan 8.5 peratus pelajar perempuan pada tahap yang sama terlibat. Manakala bagi kumpulan tidak cekap membaca (reading disabled), peratus bagi kedua-dua jantina adalah hampir sama iaitu 20.3 peratus bagi lelaki dan 18.2 peratus bagi perempuan tahap satu.

2.3 Rumusan

Kehendak pembangunan negara seperti dinyatakan dalam Wawasan 2020, memerlukan masyarakat yang lebih berfikiran saintifik dan juga tenaga manusia yang terlatih dalam bidang sains dan teknologi. Keperluan ini mempertingkatkan lagi permintaan terhadap pendidikan matematik yang lebih baik.

Menurut Spenser (Abu Bakar, 1994) menyatakan bahawa ilmu terpenting adalah ilmu yang dapat menjamin survival individu atau kumpulan. Oleh yang demikian kesedaran tentang kepentingan menguasai ilmu sains dan matematik perlu disemai di kalangan pelajar terutama pada peringakat sekolah rendah. Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran di kalangan pelajar adalah perlu terus dilakukan agar dapat meningkatkan pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran matematik.