assignmn 5

Upload: aping-firdaus

Post on 06-Jan-2016

18 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

edu

TRANSCRIPT

1.0 Pengenalan Setiap tahun menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan yang silih berganti. Jika slogan tersebut dibaca dan diteliti, ia akan membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain serta saling membantu sesama jiran tetangga.Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya, dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia bersatu padu dalam pelbagai aspek.Pendidikan yang terdapat di Malaysia mempunyai hubung kait serta pertalian yang erat bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Di samping itu juga, pendidikan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum begitu signifikan untuk menyumbang ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju yang mengikut acuan sendiri. Selain itu juga, pendidikan dijadikan sebagai alat perpaduan antara kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956. Sesungguhnya pendidikan yang ada pada hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik hari ini telah membuktikan bahawa mereka berjaya mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.Menurut Kamus Bahasa Melayu terbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, pendidikan bermaksud sesuatu proses belajar dan juga mengajar. Perpaduan atau solidarity dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Di samping itu juga, definisi perpaduan menurut Kamus Dewan 1994 mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya.Perpaduan atau solidarity ini juga dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Hj. Samat Buang (2003) mentakrifkan perpaduan sebagai satu penyatuan tenaga, fikiran, cita-cita dan pengorbanan dalam satu ikatan yang sepadu, kuat dan maju. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama. Secara faktanya, sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidikan menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.Kesimpulannya, perpaduan merupakan satu proses menyatupadukan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Oleh itu untuk mencapai perpaduan yang seimbang guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menerapkan nilai-nilai yang boleh menyatupadukan rakyat melalui pendidikan.Isu Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum penting untuk difikirkan. Kita melihat perbezaan bukan sahaja dari segi etnik malahan dari aspek ekonomi, kebudayaan dan agama. Sesuatu etnik adalah mustahil untuk menjadi etnik yang lain. Maka struktur ekonomi, budaya dan pendidikan telah dijadikan pemangkin untuk mencapai perpaduan. Sekolah merupakan satu pusat integrasi antara pelajar pelbagai kaum. Ia bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu malah ia juga menjadi alat memupuk perpaduan di kalangan pelajar. Integrasi di peringkat sekolah rendah adalah penting untuk perpaduan. Untuk itu, pihak sekolah perlu mengambil pelbagai langkah agar perpaduan serta integrasi dapat dipupuk sejak dari bangku sekolah kepada pemimpin masa hadapan.

2.0 Usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar di sekolah.Merujuk kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, penekanan telah diberikan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan negara merupakan satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum terutama kepada sekolah dan pelajar. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik.

2.1 Semangat Muhibah dan ToleransiDalam persekitaran sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menyuburkan semangat perpaduan kaum dan membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Semangat perpaduan juga perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

2.2 Aktiviti Kokurikulum Perpaduan boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab dan persatuan serta ceramah haruslah dipergiat dan dipertingkatkan. Para pelajar harus dilibatkan dalam aktiviti di luar sistem akademik pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan dan badan beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan perpaduan dan integrasi perlu disahut oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah pelajar.Kepentingan pelaksanaan aktiviti ini setara dengan kepentingan pelaksanaan aktiviti di dalam bilik darjah kerana peranannya juga turut menjadi penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah keseluruhannya. Aktiviti-aktiviti kokurikulum membantu pelajar untuk menambah, mengukuhkan dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang telah dipelajari di dalam bilik darjah. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan di kalangan pelajar dan juga antara sekolah dengan masyarakat. Dengan ini perpaduan mula berpucuk di kalangan pelajar dan secara langsung menuju ke arah integrasi nasional.

2.3 Sukan Sukan juga menjadi salah satu daripada alat perpaduan di peringkat sekolah. Sukan dijalankan bukan semata-mata untuk kesihatan tetapi juga untuk perpaduan di kalangan masyarakat. Matlamat utama hari sukan ialah mewujudkan persefahaman, semangat kekitaan dan perpaduan di antara pelajar-pelajar sekolah. Pada hari sukan, semua pelajar akan terlibat dalam sesuatu aktiviti permainan, perarakan dan perhiasan khemah dengan bersatu padu tanpa mengira apa-apa jua tetapi sebagai satu kumpulan yang majmuk. Ini menuju ke arah perpaduan di antara pelajar.

2.4 Menerap semangat bersatu-padu melalui kerja berkumpulanGuru di sekolah juga perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah.

2.5 Membahagikan kedudukan pelajar dengan berkesan Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.

2.6 Belajar dan menghayati sejarah negaraDi samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.

2.7 Program anak angkatProgram anak angkat merupakan satu rancangan pertukaran pelajar untuk sesuatu aktiviti demi kebaikan pelajar. Selalunya ia berfokuskan kepada pembinaan perhubungan yang tidak mengira agama, bangsa dan negara atau dengan kata lain menuju perpaduan. Program anak angkat dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah, Sarawak atau Brunei agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara pelajar dan penduduk sesuatu tempat. Ia juga menjurus kepada tercapainya integrasi nasional.

2.8 PerkhemahanPerkhemahan merupakan satu aktiviti yang dijalankan oleh badan-badan beruniform seperti pengakap, pandu puteri, bulan sabit merah dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan membentuk integrasi di kalangan peserta-peserta perkhemahan. Semangat kekitaan akan mula berbunga apabila menjalankan aktiviti-aktiviti secara kumpulan dan bekerjasama untuk mengharungi segala cabaran semasa aktiviti. Kerjasama antara satu sama lain dan tolong-menolong akan membentuk sikap bersatu padu. Dengan ini wujudlah perpaduan di antara peserta-peserta perkhemahan yang datang dari sekolah yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan kebudayaan berbeza. Oleh itu, Aspek perpaduan kaum perlu diberi perhatian serius dan penekanan yang menyeluruh oleh semua pihak. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk ini. Mahu tidak mahu, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan negara kerana melalui pendidikan, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Ianya selaras dengan pepatah Melayu iaitu melentur buluh birlah dari rebungnya. Mereka ini perlu dan semestinya didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan akibat buruk yang akan timbul daripada sikap curiga mencurigai di antara mereka. Dapat disimpulkan bahawa, peranan seorang guru dalam mewujudkan perpaduan di kalangan para pelajar amatlah besar. Namun, kerjasama dari pihak yang lain juga amat diperlukan dalam merealisasikan perpaduan ini.

3.0 Keberkesanan kerajaan mewujudkan perpaduan terhadap pelajar atau golongan remaja

3.1 Kempen dan ProgramBeberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai strategi yang dirancang dari pelbagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan, penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan, Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan, Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan, Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara (PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat mahupun golongan remaja di negara ini.

3.2 Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula ke arah merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan , sambutan hari perayaan , pameran kebudayaan dan persembahan pentas.

3.3 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)Sekiranya isu ini diperincikan secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum terutamanya golongan pelajar atau golongan remaja.

3.4 Aktiviti Ko-Kurikulumusaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan, kesenian dan sukan menampakkan semangat perpaduan di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setia kawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.Secara keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasikan dan menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang boleh dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut dari sudut politik. Mereka sering berprasangka buruk sebelum menilai dan melihat dasar tersebut secara terperinci. Mereka juga sering mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan nasional. Namun demikian usaha kerajaan untuk menyatupadukan pelbagai kaum melalui dasar pendidikan dapat dilihat hasil positifnya dalam bidang ko-kurikulum. Pelajar pelbagai kaum yang terlibat secara aktif akan menjadi lebih matang dan bertoleransi dengan kaum lain hasil daripada kerjasama yang mereka lalui.

3.5 Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)Dalam aspek transformasi KSSR, Kerohanian, Sikap Dan Nilai inilah boleh mewujudkan perpaduan pelajar. Aspek ini melibatkan perasaan dalaman atau naluri seseorang pelajar itu sendiri seperti penghayatan dalam melaksanakan amalan-amalan agama, kepercayaan kepada Tuhan dan dapat memupuk akhlak yang baik serta nilai-nilai murni di dalam diri setiap individu. Penghayatan ini akan haruslah diaplikasikan menerusi Modul Asas Teras melalui mata pelajaran Pendidikan Islam bagi murid yang beragama Islam dan Pendidikan Moral bagi murid yang bukan beragama Islam kerana ianya akan menyedarkan murid-murid tentang kepentingan dan kelebihan mempercayai dan mensyukuri kepada Tuhan, berakhlak dengan akhlak yang mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni seperti nilai-nilai Islam serta nilai murni bagi masyarakat berbilang kaum supaya mereka dapat menjadi individu yang bertanggungjawab, saling hormat menghormati dan berjaya mencapai kebahagiaan diri, keluarga dan masyarakat.Selain daripada itu, kurikulum pendidikan juga menggabungkan jaringan unsur nilai moral dan agama merentasi kurikulum. Bagi mencapai hasrat ini, kurikulum telah menitikberatkan aspek kepemimpinan murid-murid melalui ko kurikulum. Kurikulum yang sama digunakan di semua sekolah di Malaysia bermatlamat untuk menguatkan hubungan sosial antara masyarakat majmuk di Malaysia. Kurikulum yang seragam dan adil dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan menyingkirkan sikap prejudis antara kaum.

3.6 Sekolah WawasanTujuan penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk mengeratkan perpaduan yang sudah sedia terjalin kukuh di kalangan rakyat Malaysia. Penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum sejak kecil lagi iaitu bangku sekolah rendah akan lebih memudahkan kerana kanak-kanak ibarat kain putih yang bebas daripada sebarang pemikiran negatif. Selain itu, tujuan penubuhan Sekolah Wawasan juga adalah untuk menghayati tujuan Penyata Razak 1956 yang di antaranya hendak menyatukan murid-murid daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran. Sekolah Wawasan menempatkan tiga aliran sekolah yang berbeza di dalam sebuah kawasan akan membolehkan pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu. Ini kerana penguasaan murid-murid SJKC masih lagi lemah akibat kurangnya peluang untuk berinteraksi dalam Bahasa Melayu di sekolah dan di rumah. Oleh itu, melalui perkongsian kawasan dan kemudahan seperti kantin, perpustakaan dan pelbagai kemudahan lagi, pelajar-pelajar akan berpeluang untuk berinteraksi dengan kaum yang lain . Namun, pelaksanaan Sekolah Wawasan ini kurang mendapat sokongan daripada masyarakat Cina khasnya kerana bimbang identiti sekolah Cina akan terhakis. Pemikiran sebegini merupakan faktor yang boleh menggagalkan usaha memupuk perpaduan. Justeru itu, rakyat Malaysia seharusnya tidak terlalu memikirkan kepentingan diri dan mula berfikir untuk kebaikan semua dalam mencapai matlamat negara untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

4.0 Kesimpulan Selain daripada pihak kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat diri sendiri turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan. Demi menjamin keharmonian negara, rakyat Malaysia perlu mengelakkan isu-isu sensitif. Biarlah peristiwa hitam 13 Mei 1969 tersimpan dalam lipatan sejarah. Biarlah peristiwa itu menjadi satu pengajaran kepada rakyat Malaysia hari ini bahawa pentingnya keharmonian dan keamanan antara kaum kepada kestabilan negara. Rakyat Malaysia jangan iri hati terhadap kejayaan dan pencapaian kaum lain, sebaliknya menjadikannya sebagai rangsangan. Kaum-kaum yang maju dalam bidang tertentu juga jangan hanya mementingkan diri sahaja. Bimbinglah kaum-kaum yang lain supaya mereka tidak ketinggalan. Jelasnya, sikap masyarakat Malaysia yang prihatin dan penyayang dapat menjamin dan mengekalkan keharmonian negara. Secara tuntasnya, rakyat Malaysia perlu bersatu padu dalam menjayakan aspirasi 1Malaysia umpama bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat. Aspirasi 1Malaysia yang membawa dasar bahawa rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan dapat direalisasikan untuk keharmonian dan kemakmuran negara. Semua bangsa Malaysia akan hidup bersama secara aman, damai dan sejahtera.Untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini bukanlah suatu tugas yang mudah. Proses untuk mencapai perpaduan dan integrasi mengambil masa yang lama serta memerlukan perancangan yang teliti, tepat dan bijaksana. Bidang pendidikan merupakan bidang yang paling penting dan sesuai untuk mencapai hasrat kerajaan menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai kaum. Oleh yang demikian, pelbagai dasar pendidikan telah dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana dan keadaan semasa untuk mencapai matlamat tersebut. Setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menghadapi tentangan dan cabaran yang berbeza daripada pelbagai kaum di negara ini. Sering kali faktor sikap mementingkan kaum sendiri melebihi kepentingan negara menjadi penghalang kejayaan sesuatu dasar. Justeru itu, untuk mencapai perpaduan kaum secara mutlak semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan kaumnya. Sekiranya sikap ini tidak dapat dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk mencapai perpaduan dan integrasi di negara ini hanya menjadi angan-angan yang tidak mungkin dapat dicapai.Kesimpulannya,pendidikan merupakan pemangkin Negara Bangsa. Usaha menyemai semangat perpaduan di kalangan rakyat hendaklah dilakukan di peringkat seawal usia lagi. Ini kerana kanak-kanak ibarat kain putih, adalah menjadi tanggungjawab kita yang dewasa untuk mencorakkannya. Semangat bersatu padu,cinta dan kesetiaan kepada negara,patriotisme,berorientasikan global, keharmonian dan toleransi,berbudi bahasa serta beradab dan memahami, menyanjung budaya dan seni bangsa bukan sahaja haris difahami tetapi diamalkan sepenuhnya.