artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

13
MENANGANI EMOSI DAN TINGKAHLAKU SAUDARA BARU Oleh; Razaleigh Muhamat @ Kawangit Abstrak Emosi dan tingkahlaku adalah dua perkara yang menjadi masalah terbesar Saudara Baru dalam mengharungi hidup sebagai Muslim. Masalah ini perlu ditangani secara bijak dan mengikut keadaan dan situasi. Kertas kerja ini melihat punca dan permasalahan emosi dan tingkahlaku Saudara Baru setelah memeluk Islam. Kajian mendapati emosi dan tingkahlaku ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Saudara Baru Kata Kunci: Emosi, Tingkahlaku, Saudara Baru, Punca, Penyelesaian 1 PENGENALAN Perubahan emosi dan tingkahlaku adalah perkara yang selalu berlaku selepas seseorang memeluk Islam. Perubahan emosi dan tingkahlaku yang dialami oleh seseorang yang memeluk Islam adalah penting untuk dibincangkan supaya dapat menjadi faktor sokongan kepada individu yang baru memeluk Islam ataupun menjadi elemen dakwah kepada seseorang yang mula berjinak dengan ajaran Islam. Kajian ini tertumpu kepada usaha mengenalpasti perubahan emosi dan tingkahlaku saudara kita setelah memeluk Islam. Kajian dilakukan ke atas bahan-bahan yang terdapat di dalam Ruangan Hidayah Ilahi, Majalah i, terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd bermula Januari sehingga Disember 2010. Ruangan ini merupakan satu wadah yang memaparkan pengalaman saudara kita memeluk Islam yang biasanya berkisar tentang faktor memeluk Islam, penerimaan keluarga selepas memeluk Islam, perubahan emosi, perubahan tingkahlaku, cabaran yang dihadapi selepas memeluk Islam dan sebagainya. Walaubagaimanapun kajian ini hanya menganalisis perubahan emosi dan tingkahlaku selepas memeluk Islam. Secara umumnya, individu yang telah memeluk Islam kurang berminat jika digelar saudara baru kerana pada mereka jika mereka telah lama memeluk Islam, maka gelaran itu sudah tidak relevan lagi. Ada juga dalam kalangan mereka yang lebih suka digelar

Upload: razaleigh-muhamat-kawangit

Post on 22-Mar-2016

241 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

 

TRANSCRIPT

Page 1: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

MENANGANI EMOSI DAN TINGKAHLAKU SAUDARA BARU Oleh;

Razaleigh Muhamat @ Kawangit

AbstrakEmosi dan tingkahlaku adalah dua perkara yang menjadi masalah terbesar Saudara Baru dalam mengharungi hidup sebagai Muslim. Masalah ini perlu ditangani secara bijak dan mengikut keadaan dan situasi. Kertas kerja ini melihat punca dan permasalahan emosi dan tingkahlaku Saudara Baru setelah memeluk Islam. Kajian mendapati emosi dan tingkahlaku ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Saudara Baru

Kata Kunci: Emosi, Tingkahlaku, Saudara Baru, Punca, Penyelesaian

1 PENGENALAN

Perubahan emosi dan tingkahlaku adalah perkara yang selalu berlaku selepas seseorang memeluk Islam. Perubahan emosi dan tingkahlaku yang dialami oleh seseorang yang memeluk Islam adalah penting untuk dibincangkan supaya dapat menjadi faktor sokongan kepada individu yang baru memeluk Islam ataupun menjadi elemen dakwah kepada seseorang yang mula berjinak dengan ajaran Islam. Kajian ini tertumpu kepada usahamengenalpasti perubahan emosi dan tingkahlaku saudara kita setelah memeluk Islam. Kajian dilakukan ke atas bahan-bahan yang terdapat di dalam Ruangan Hidayah Ilahi, Majalah i, terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd bermula Januari sehingga Disember 2010. Ruangan ini merupakan satu wadah yang memaparkan pengalaman saudara kita memeluk Islam yang biasanya berkisar tentang faktor memeluk Islam, penerimaan keluarga selepas memeluk Islam, perubahan emosi, perubahan tingkahlaku, cabaran yang dihadapi selepas memeluk Islam dan sebagainya. Walaubagaimanapun kajian ini hanya menganalisis perubahan emosi dan tingkahlaku selepas memeluk Islam.

Secara umumnya, individu yang telah memeluk Islam kurang berminat jika digelar saudara baru kerana pada mereka jika mereka telah lama memeluk Islam, maka gelaran itu sudah tidak relevan lagi. Ada juga dalam kalangan mereka yang lebih suka digelar ‘revert’ bukan ‘convert’ kerana alasannya ialah mereka kembali kepada fitrah. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w ;

مولود كل يمجسانه أو ينصرانه أو يهودانه فأبواه ، الفطرة على يولدSetiap yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci dan Islam) kemudian ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi (Hadis riwayat Bukhari, Kitab al-Janaiz, Bab 92)

Gelaran saudara baru dikatakan seolah-olah meletakkan golongan bukan Islam yang memeluk Islam di kelas kedua. Padahal ramai dalam kalangan saudara baru yang lebih fasih, mahir dan baik penghayatan Islamnya berbanding dengan orang muslim keturunan.

Page 2: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

Justeru itu usahlah dipertikaikan soal gelaran, terpulanglah kepada individu tersebut untuk dipanggil sama ada muallaf, saudara baru atau saudara kita (Anuar Puteh 2005:30).

Persoalan gelaran dan panggilan kepada mereka yang memeluk Islam bukan sejak kelahiran adalah satu perbincangan panjang yang seolahnya tiada kesudahan. Akhir-akhir ini semacam ada kecenderungan menggelar golongan ini sebagai ‘saudara kita’ bukan lagi ‘saudara baru’. Istilah ini digunakan supaya dapat menjaga hubungan baik serta tidak menyinggung perasaan individu yang memeluk Islam setelah terlebih dahulu beragama lain selain Islam.

2 EMOSI DAN TINGKAHLAKU DARI PERSPEKTIF PSIKOLOGI

Emosi adalah penting dalam kehidupan kita kerana tanpa emosi hidup akan menjadi kosong dan membosankan. Analogi hidup sedemikian samalah seperti objek-objek kaku yang tidak mengalami apa-apa perubahan yang positif ataupun negatif. Tangisan, gelak, kesedihan, kegembiraan, kemarahan, kemurungan, ketakutan, geram, iri hati, benci dan pelbagai emosi serta perasaan dialami manusia dan memberi warna kepada kehidupan kita. Haiwan juga mengalami emosi pada masa-masa tertentu. Kajian yang dilakukan oleh Harlow mendapati anak monyet yang dipisahkan daripada ibunya mengalami kesedihan. Jika haiwan mengalami emosi yang sedemikian, maka manusia juga mesti mempunyai emosi dan perasaan. Pada amnya, emosi boleh membentuk sikap serta personalitiseseorang. Individu yang sentiasa riang akan dikenali sebagai seorang yang periang. Individu yang sering bersedih, menyendiri dan pendiam sepanjang masa mungkin bersifat pemuram (Mahmood Nazar 2001:314)

Kita semua tahu betapa pentingnya emosi dalam kehidupan ini. Apabila sahabat kita mendirikan rumahtangga, kita bergembira dan mengucapkan tahniah. Apabila kita mendapat berita kematian seorang sahabat, kita bersedih. Situasi yang berbeza memerlukan kita menunjukkan reaksi yang pelbagai dan ini membolehkan kita dikenali sebagai manusia yang normal.

Perkataan ‘emosi’ adalah sukar untuk didefinisikan. Ia berasal daripada perkataan Greek ‘emovere’ yang membawa maksud ‘untuk keluar’. Oleh itu, emosi biasanya ditonjolkan keluar untuk dipuaskan oleh seseorang. Secara am, emosi adalah satu keadaan yang dialami oleh manusia iaitu beberapa perubahan pada proses fisiologi, diri dan psikologi. Chaplin dalam Mahmood Nazar (2001:315) berpendapat emosi adalah satu keadaan bangkitan (arousal) yang dialami oleh seseorang yang melibatkan beberapa perubahan pada viseral (berpeluh, menggigil, kecut perut) dan tingkahlaku. Contohnya apabila berhadapan dengan bahaya, seseorang itu akan berasa takut. Menurut Azizi et.al (2005:199) perasaan yang berhubung dengan emosi dapat dibahagikan kepada dua perasaan utama iaitu perasaan yang menyenangkan dan perasaan yang tidak menyenangkan. Emosi gementar atau takut umpamanya, menimbulkan perasaan yang tidak menyenangkan sementara emosi gembira mewujudkan perasaan yang menyenangkan.

Page 3: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

Tingkahlaku pula adalah merujuk kepada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang. Pembelajaran adalah elemen yang menyebabkan berlakunya perubahan tingkahlaku. Dalam pembelajaran, perubahan tingkahlaku menjadi kayu pengukur bagi menentukan sama ada seseorang itu telah memahami atau mempelajari sesuatu yang baru (mahmood Nazar 2001:131). Dalam konteks kajian ini, perubahan tingkahlaku adalah merujuk kepada perubahan yang dilakukan oleh seseorang yang memeluk Islam kesan kefahamannya terhadap ajaran Islam. Contohnya seseorang yang dulunya sebelum Islam minum arak tetapi setelah memeluk Islam akan menjauhi minum arak sebaliknya minum minuman yang halal menurut ajaran Islam.

3 LATAR BELAKANG RESPONDEN

Responden dalam kajian ini adalah seramai 9 orang dan mempunyai latar belakang hidup yang pelbagai. Pemilihan secara bertujuan terhadap isu yang hendak dikaji mendapati hanya sembilan sampeling sahaja dipilih lantaran menjelaskan berlaku perubahan emosi dan tingkahlaku selepas memeluk Islam. Tujuh orang daripada kalangan responden adalah lelaki dan dua orang sahaja perempuan.

Responden pertama dikenali sebagai Muhammad Saiful Chua, anak kedua daripada lima beradik. Agama sebelum Islam ialah agama Buddha dan Kristian, berumur 19 tahun (Mohd. Adib Mohd. Sidek Februari 2010:90). Responden kedua pula seorang wanita bernama Noor Adlina Gooi Binti Abdullah atau nama sebelum Islamnya ialah Agnes Adeline Gooi. Merupakan anak sulong daripada empat beradik. Berumur 46 tahun dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang pendidikan. Suami bernama Mohamad Azmi Awang dan mempunyai empat orang cahaya mata (Nor Aznina Ismail Mac 2010:89).

Seterusnya, responden ketiga merupakan seorang wanita bernama Dolly Danisya Juben Abdullah, 26 tahun, anak bongsu daripada dua beradik. Memeluk Islam pada 8 Februari 2009. Berkahwin dengan Fadli Shah pada Julai 2009 (Nor Aznina Ismail April 2010:89). Responden keempat pula bernama Mohd. Lukman al-Hakim bin Low Abdullah (Low Yit Kun) Lahir pada 6 Februari 1987, berumur 24 tahun. Memiliki ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia, berasal dari Tenom, Sabah (Mohd. Adib Mohd. Sidek Mei 2010:88).

Responden kelima bernama Muhammad Yusof Ibrahim Ong atau nama asalnya Ong

Kang Woei berumur 22 tahun. Merupakan anak sulong daripada empat adik beradik (Mohd. Adib Mohd. Sidek Julai 2010:88). Manakala responden keenam bernama Muhammad Adnan Abdullah atau nama asalnya Rejad Sukin, 30 tahun, anak ketiga daripada sebelas beradik, berketurunan Dusun Kadazan. Mendirikan rumahtangga dengan pasangannya bernama Nor Azila J.Syamsul pada April 2010 (Mohd. Adib Mohd. Sidek September 2010:86). Responden ketujuh pula bernama Mohd. Firdaus Abdullah atau nama asalnya Padilis Gimpin, berbangsa Kadazan Dusun berasal dari Tamparuli, Sabah. Memeluk Islam pada 10 Februari 2006. Berkahwin dengan Siti Ramlah Idris dan memiliki dua orang cahaya mata (Mohd. Adib Mohd. Sidek Oktober 2010:88).

Page 4: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

Responden kelapan dalam kajian ini dikenali sebagai Ng Yee Guan, penuntut Ph.D di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Kesihatan. Memeluk Islam pada 2 Julai 2004 di Jabatan Agama Islam Selangor ketika berusia 18 tahun. Tidak menukar nama sebaliknya memilih untuk kekal dengan nama asal (Mohd. Adib Mohd. Sidek November 2010:88) dan responden terakhir iaitu responden kesembilan bernama Mohammad Shafiq Wong Abdullah (Wong Siew Wah), berketurunan Cina, berumur 36 tahun. Isterinya bernama Areeethale Salleh, 37 tahun, seorang wanita daripada Negeri Thai berbangsa Melayu. Sebelum Islam, beragama Buddha. Memeluk Islam pada tanggal 18 Oktober 2003 (Mohd. Adib Mohd. Sidek Disember 2010:88).

4 PERUBAHAN EMOSI SELEPAS MEMELUK ISLAM

Perubahan emosi yang paling ketara berlaku dalam kebanyakan pengalaman saudara kita ialah mendapat ketenangan jiwa selepas memeluk Islam. Ini dapat dibuktikan melalui pengakuan saudara kita sebagaimana berikut;

Muhammad Saiful Chua : Ketika itu (saat memeluk Islam) dapat saya rasakan seperti ada angin yang bertiup, kemudian saya berasa sungguh tenang (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Februari 2010:90)

Dolly Danisya Juben Abdullah : “Perasaan saya selepas mengucap syahadah, hati saya sangat tenang, terasa diri sangat bersih, ringan, hati kecil berkata Allah Maha Besar” (Nor Aznina Ismail April 2010:90).

Mohd. Lukman al-Hakim bin Low Abdullah: Selepas memeluk Islam, hati saya yang dahulunya terasa kosong dan tercari-cari sesuatu, sudah pun tenang dan mendapatkan jawapannya” (Mohd. Adib Mohd. Sidek Mei 2010:88)

Muhammad Yusof Ibrahim Ong mengakui bahawa jiwanya sewaktu beragama Buddha terasa kosong dan hambar tetapi setelah memeluk Islam jiwanya begitu teruja dengan ayat-ayat al-Quran yang mengandungi fakta sains tentang kejadian alam dan manusia (Mohd. Adib Mohd. Sidek Julai 2010:89)

Muhammad Adnan Abdullah : “Setelah memeluk Islam, saya rasa lebih tenang dan ia merupakan sesuatu yang berbeza dengan apa yang pernah saya lalui sebelum ini (Mohd. Adib Mohd. Sidek September 2010:87)

Mohd. Firdaus Abdullah : Hari pertama sebagai seorang muslim tidak dapat dilupakan sepanjang hayatnya. Apa yang masih segar di ingatannya ialah bagaimana beban yang ditanggung sebelum ini seakan-akan hilang. Ketenangan yang dimiliki dirasakan begitu berbeza sekali, yang tidak pernah dinikmatinya sebelum ini (Mohd. Adib Mohd. Sidek Oktober 2010:90)

Ng Yee Guan : Saya dapat rasakan diri lebih tenang setiap kali selepas solat (Mohd. Adib Mohd. Sidek November 2010:89)

Mohammad Shafiq Wong Abdullah (Wong Siew Wah) : Dalam agama Islam menemui ketenangan (Mohd. Adib Mohd. Sidek Disember 2010:90)

Apa yang dialami oleh saudara kita terutamanya mendapat ketenangan hati dan jiwa setelah beriman kepada Allah s.w.t dan rasulNya adalah bertepatan dengan Firman Allah (al-An‘am 6:82)

Page 5: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

ذين إيمانهم يلبسوا ولم آمنوا ال مهتدون وهم األمن لهم أولئك بظلم

Orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik) mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk.Pengalaman Ng Yee Guan yang mengakui memperoleh ketenangan setelah

selesai mengerjakan solat adalah juga bertepatan dengan janji Allah s.w.t yang mengatakan sesiapa yang mengingatiNya akan mendapat ketenangan hati kerana solat merupakan salah satu cara mengingati Allah menerusi hubungan ritual seorang hamba secara langsung dengan penciptaNya. Ini ada dinyatakan dalam firmanNya (al-Ra’d 13:28);

ه بذكر أال القلوب تطمئن اللMaksudnya : Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteram lah hati

manusia

Pengalaman saudara kita ini dapat diperkukuhkan lagi dengan pengakuan tokoh matematik iaitu Profesor Jeffrey Lang, pensyarah dan penyelidik dalam bidang matematik di Universiti Kansas, Amerika Syarikat. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga penganut fahaman Katolik Roma di Bridgeport, Connecticut pada 30 Januari 1954. Profesor Jeffrey Lang mengakui ibadah solat memberikan ketenangan jiwa yang sangat luar biasa. Solat Subuh merupakan satu ritual yang sangat indah dalam Islam dan dapat merasakan kesan yang mendalam dari solat Subuh (Sarina Mohd. Som, Ogos 2010:85)

Robinhood Fernando Carino Padilla, salah seorang aktor popular Filipina atau nama Islamnya Abdul Aziz tururt mengakui bahawa Islam dapat memberikan ketenangan. Menurutnya, agama Islam adalah terlalu indah dan suci. Setelah bergelar Muslim, Robin dapat merasakan kedamaian hati yang sukar untuk diungkapkan. Hidupnya lebih teratur, aman dan bahagia (Sarina Mohd. Som, Oktober 2010:85)

5 PERUBAHAN TINGKAHLAKU SELEPAS MEMELUK ISLAM

Antara perubahan tingkah laku selepas memeluk Islam yang terjadi kepada saudara kita antaranya ialah ;

1. Dapat melawan nafsu marah dan keinginan makan daging khinzir

Ini berlaku kepada Mohammad Shafiq Wong Abdullah (Wong Siew Wah) yang mengaku bahawa sebelum masuk Islam beliau merupakan seorang samseng yang kerap kali masuk balai polis. Setelah memeluk Islam, beliau berubah menjadi seorang yang lebih mudah

Page 6: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

mengawal marah (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Disember 2010:90). Muhammad Saiful Chua turut mengakui tingkah lakunya telah mengalami perubahan. Jika dulu dia seorang yang cepat marah tetapi kini menjadi lebih tenang (Mohd. Adib Mohd. Sidek Februari 2010:90)

Situasi yang dialami oleh saudara kita ini menunjukkan bahawa nur Islam dapat mendamaikan hati dan hati yang damai dapat menghindarkan sifat marah. Islam begitu mengambil berat sifat marah malah Islam menggalakkan umatnya supaya mengawal marah. Ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w ;

;;د ح;;دثنا اق عب ز فيان أخبرنا ال;;ر ابن عن ط;;اوس عن ليث عن س;;اس ه رسول قال قال عب م عليه الله صلى الل موا وسل روا عل وال ويس

روا بت وإذا تعس;; كت غض;; بت وإذا فاس;; كت غض;; بت وإذا فاس;; غض;; فاسكت

Daripada Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w bersabda “Ajarkanlah olehmu, permudahkan dan jangan menyusahkan dan jika kamu marah maka hendaklah kamu diam (diulang sebanyak tiga kali) (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal. Hadis 3438)

Selain itu Mohammad Shafiq Wong Abdullah turut mengakui dulu beliau begitu gemar makan daging khinzir dan menjadi satu cabaran kepadanya setelah memeluk Islam terpaksa meninggalkan kegemaran tersebut. Beliau mengatakan bahawa hal dan urusan makan adalah paling sukar terutama daging khinzir. Setiap kali melalui restoran Cina dan terbau daging itu, keinginan untuk makan membuak-buak (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Disember 2010:90). Ketaatan Mohammad Shafiq Wong Abdullah kepada perintah Allahs.w.t termaktub di dalam al-Quran Surah al-Maidah ayat 3 ;

مت الخنزير ولحم والدم الميتة عليكم حرDiharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah yang keluar mengalir dan daging babi

2. Lebih rapat dengan keluarga

Perkara ini dialami oleh Muhammad Yusof Ibrahim Ong (Ong Kang Woei) yang mendapati selepas memeluk Islam beliau kerap pulang ke kampung menjenguk ahli keluarga di sana. Lebih menggembirakan Ong, hubungan mereka sekeluarga semakin bertambah erat biarpun berlainan agama (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Julai 2010:90)

3. Begitu berhati-hati dalam memilih makanan dan melakukan aktiviti

Ini terjadi kepada saudara Ng Yee Guan yang begitu berhati-hati dalam pengambilan makanan bagi mengelakkan termakan makanan yang diharamkan. Beliau juga enggan melakukan aktiviti ritual menyembah nenek moyang (Mohd. Adib Mohd. Sidek, November

Page 7: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

2010:89). Keengganan saudara Ng Yee Guan menyembah nenek moyang menggambarkan bahawa Ng sudah memahami ajaran aqidah Islam yang melarang umatnya melakukan syirik kepada Allah s.w.t sebagaimana tercatat dalam al-Quran Surah Luqman ayat 13 ;

ه تشرك ال بني يا يعظه وهو البنه لقمان قال وإذ رك إن بالل لظلم الش عظيم

Ketika Luqman berkata kepada anaknya iaitu menasihatkan anaknya “Wahai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang besar”.

4. Menyertai usrah dan menghadiri kelas agama

Hal ini berlaku kepada Muhammad Saiful Chua yang benar-benar mengalami perubahan tingkahlaku. Kalau dulu sebelum Islam, beliau banyak terlibat dengan aktiviti sosial tetapi setelah memeluk Islam, beliau lebih berminat mengikuti program usrah di masjid As Syafie yang diadakan setiap hari Selasa (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Februari 2010:90)

Bagi Mohd. Firdaus Abdullah pula, Islam membawa perubahan kepada tingkahlakunya di mana setelah memeluk islam, beliau tidak lagi suka membazir masa sebaliknya masa dimanfaatkan untuk menghadiri kelas agama, belajar fardu ain dan mengaji al-Quran (Mohd. Adib Mohd. Sidek Oktober 2010:90)

5. Dapat meninggalkan apa yang dilarang Islam

Meninggalkan larangan Islam berjaya dilakukan oleh Mohd. Lukman al-Hakim bin Low Abdullah (Low Yit Kun) yang mengakui dulu beliau seorang yang hidupnya agak bebas, menghisap rokok, ponteng sekolah dan pernah minum arak. Setelah memeluk Islam, beliau berjaya meninggalkan semua itu (Mohd. Adib Mohd. Sidek, Mei 2010:88).

Mohd. Firdaus Abdullah turut mengakui Islam memberikan perubahan kepada tingkahlakunya. Dulu beliau pernah mabuk dan minum arak kerana minum arak dan mabuk adalah perkara biasa dalam budaya masyarakatnya tetapi kini beliau berjaya meninggalkan amalan tersebut. Kini beliau berasa lebih sihat kerana tidak lagi minum arak (Mohd. Adib Mohd. Sidek Oktober 2010:90)

Jermaine Jackson, yang nama Islamnya dikenali sebagai Muhammad Abdul Aziz Jackson mengakui bahawa Islam mengubah tingkahlakunya. “ Setelah menjadi muslim, saya merasakan adanya perubahan besar di dalam diri saya. Saya mulai meninggalkan apa yang dilarang Islam. Namun tidak semua orang dapat menerimanya dengan hati yang terbuka” (Sarina Mohd. Som April 2010:85)

6. Mencium tangan ibu

Page 8: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

Perubahan tingkahlaku yang begitu ketara berlaku kepada saudara Mohd. Lukman al-Hakim bin Low Abdullah ialah mencium tangan ibunya setelah memeluk Islam yang selama ini tidak pernah dilakukannya. “ Sejujurnya, pertama kali saya mencium tangan ibu ketika bersalaman adalah selepas saya memeluk Islam” ( Mei 2010)

Apa yang dilakukan oleh Mohd. Lukman al-Hakim bin Low Abdullah jelas menunjukkan beliau menghayati ajaran Islam yang menyuruh umatnya supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa meskipun berlainan agama. Perkara seumpama ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w di mana Asma Abu Bakar pernah dikunjungi ibunya yang bukan beragama Islam. Asma bertanya kepada Rasulullah adakah dia masih boleh menjalinkan silaturrahim dengan ibunya. Rasulullah s.a.w mengajarnya supaya sentiasa berbuat baik kepada ibunya meskipun ibunya tidak seagama dengannya. Ini ada dinyatakan dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w daripada Asma’ Binti Abu Bakar :

أمك صلي نعم قال أفأصلها راغبة وهي قدمت أمي إن فقلتAsma’ berkata :“Ibuku datang kepadaku dalam keadaan ingin menyambung hubungan silaturrahim. Bolehkah aku menyambungkan hubungan dengannya?” Jawab Rasulullah s.a.w : Ya! Boleh.”(al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hibbah)

7. Memakai tudung dan berkelakuan lebih baik

Dolly Danisya mengakui dulu sebelum Islam beliau berpakaian seksi dan panas baran tetapi setelah memeluk Islam beliau tidak lagi berpakaian seksi sebaliknya memakai tudung dan menjaga tingkahlaku dan banyak bersabar (Nor Aznina Ismail April 2010:90). Hal yang sama turut dilakukan oleh Noor Adlina Gooi Binti Abdullah di mana beliau telah berjaya memakai tudung dan berkelakuan lebih baik (Nor Aznina Ismail Mac 2010:89)

Kesungguhan saudara kita ini menutup aurat dengan memakai tudung adalah bertepatan dengan perintah Allah s.w.t sebagaimana termaktub dalam firmanNya, surah al-Nur ayat 31;

يبدين وال فروجهن ويحفظن أبصارهن من يغضضن للمؤمنات وقل جيوبهن على بخمرهن وليضربن منها ظهر ما إال زينتهن

Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala

6 KESIMPULAN

Kajian ini mendapati perubahan emosi dan tingkahlaku yang dialami oleh individu yang memeluk Islam menunjukkan tanda-tanda positif di mana emosi yang dialami adalah emosi yang positif iaitu mendapat ketenangan. Manakala perubahan tingkahlaku yang dialami

Page 9: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

oleh mereka yang memeluk Islam juga menunjukkan tanda-tanda positif ke arah tingkahlaku yang lebih baik seperti mencium tangan ibu, meninggalkan tingkahlaku buruk seperti makan khinzir, ponteng sekolah, merokok, pergaulan bebas dan seumpamaya kepada kehidupan yang lebih baik seperti menghadiri kelas-kelas ilmu, usrah, bersedekah dan mengerjakan ibadah. Ini menunjukkan bahawa Islam mengajar umatnya supaya melakukan amalan-amalan baik dan meninggalkan amalan buruk demi mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

RUJUKAN

Al-QuranAbdul Aziz Mohd Zin. 1997. Pengantar Dakwah Islamiyyah. Kuala Lumpur: Penerbit

Universiti Malaya.Abdul Ghafar Haji Don & Zulkiple Abd. Ghani. 2009. Dakwah Kepada Non Muslim di

Malaysia: Konsep, Metode dan Pengalaman. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdul Karim Zaidan, Dr. 1988. Dasar-dasar Ilmu Dakwah. Terjemahan. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Islam

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2008. Dakwah Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.

Berhanuddin Abdullah. 1993. Pengurusan Pentadbiran Organisasi Dakwah di Malaysia. Tesis Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku Panduan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Temerloh Pahang.Ensiklopedia Islam. 1998. Jld 7. Kuala Lumpur: Pustaka Jilid Sdn Bhd.Ibnu Saad. 1980. al-Tabaqat al-Kubra’. Beirut: Dar al-FikrKamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pusataka.Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Inggeris-Melayu Melayu- Inggeris. 2004. Ed. Ke-3

Selangor: Fajar Bakti Sdn.Bhd.Ku Md Ali b. Hj. Ku Ramli. 1997. Dakwah Kepada Saudara Baru: Satu kajian Mengenai

Pendekatan Dalam Aspek Bimbingan dan Kebajikan. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Laman Web Rasmi Jabatan Agama Islam Pahang. 2011. www.jaip.pahang.gov.myMuhammad bin Ali al-Shawkani. 1973.Fath al-Qadir. Beirut: Dar al-FikrNur A’thiroh Masyaa’il Tan Bt Abdullah @ Tan Ai Pao. 2009. Cabaran Psikologi Saudara

Baru: Kajian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nur Kareelawati Abd Karim.2002. Metodologi Dakwah Kepada Saudara Baru: Kajian Khusus di Darul Arqam, Singapura. Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Oxford Advanced Learner’s Dictionary. 2000. Ed Ke-7. London: Oxford University Press.Rohani binti Abdullah. 2011. Pengerak Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh. Temu bual,

2 Februari.

Page 10: Artikel 9 menangani emosi dan tingkahlaku saudara baru

Rosmani binti Hussin. 2004. Modul Bimbingan Saudara Baru: Kajian di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). Tesis. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Said Ramadan Buti.1980. Fiqh al-Sirah. Beirut : Dar al-FikrSyamsul Bahri Andi Galigo. 2006. Anjakan Paradigma Dakwah Dalam Menghadapi

Pelampau Agama. Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Negeri Sembilan.www.facebook.com/note.php?note_id=176416819037551Yusuf al-Qaradawi. 1982. al-Sahwah al-Islamiyyah. Qatar: Risalah al-Mahakin al-Shariyyah

wa al-Shuun al-Diniyyah.