artikel 1ui

Upload: khairul-imran

Post on 08-Jan-2016

215 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

artikek

TRANSCRIPT

Membantu Murid Menguasai Operasi Penolakan Dua Nombor Hingga Tiga Digit Dengan Pengumpulan Semula Di Dalam Bentuk Lazim Menggunakan Kit Penolakan RAPUSAKhairul Imran bin Kamarul ZamanIPG Kampus Sultan Abdul HalimAbstrakPenyelidikan tindakan ini dilaksanakan bagi membantu murid menguasai operasi penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan pengumpulan semula di dalam bentuk lazim menggunakan kit penolakan RAPUSA. Kit RAPUSA ini memerlukan murid untuk melakukan operasi penolakan dengan menggunakan pembilang untuk mensimulasikan proses penolakan tersebut di dalam bentuk lazim. Seramai empat orang peserta kajian yang terlibat di mana terdiri dalam kalangan murid tahun 2. Peserta kajian ini merupakan murid yang memperoleh markah terendah di dalam ujian diagnostik yang telah dilaksanakan. Data kajian dikumpul melalui ujian pra dan pasca intervensi, semakan dokumen, temu bual dan pemerhatian. Analisis data kajian mendapati keempat-empat peserta kajian menunjukkan peningkatan dalam pencapaian markah di dalam ujian pra dan pasca intervensi. Murid juga dapat menunjukkan penguasaan kemahiran penolakan melalui lembaran kerja yang diberikan. Dapatan pemerhatian dan temu bual menunjukkan bahawa wujudnya minat murid dalam mempelajari kemahiran penolakan menggunakan intervensi ini. Ini dilihat melalui perubahan tingkah laku mereka ke arah positif dalam pembelajaran setelah melalui sesi intervensi. Keputusan kajian menunjukkan bahawa penggunaan kit RAPUSAini membantu meningkatkan keupayaan murid dalam kemahiran penolakan serta mampu menarik minat mereka untuk mempelajari kemahiran ini.Kata kunci : Kit penolakan RAPUSA; operasi tolak ; pengumpulan semula ; bentuk lazim ; Matematik Tahun 2PengenalanPada semester ketujuh, saya telah menjalani praktikum fasa ke-3 selama 12 minggu di sebuah sekolah rendah yang terletak di daerah Kuala Muda, Kedah. Di sekolah ini saya diberikan tanggungjawab untuk mengajar murid-murid tahun 2 bagi subjek Matematik. Secara khususnya murid-murid ini tidaklah menghadapi kelemahan yang serius dalam pembelajaran namun terdapat beberapa isu yang dapat saya kenalpasti sepanjang melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ini dapat dilihat sewaktu pembelajaran topik penolakan melibatkan pengumpulan semula di dalam lingkungan 1000. Saya dapat melihat bahawa terdapat segelintir murid yang tidak dapat menguasai kemahiran penolakan dengan baik terutamanya apabila melibatkan pengumpulan semula. Ini kerana, saya merasakan murid kurang memahami konsep pengumpulan semula itu dengan jelas. Penguasaan konsep penolakan ini adalah sangat penting di mana menjadi asas kepada murid untuk menguasai kemahiran Matematik pada peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, tujuan pelaksanaan kajian ini adalah bagi memperkenalkan penggunaan kit penolakan RAPUSA di dalam membantu murid menguasai kemahiran penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan mengumpul semula di dalam bentuk lazim dan keberkesanannya dalam meningkatkan penguasaan murid.Isu-isu KajianMelalui sesi P&P yang saya telah saya laksanakan sepanjang menjalani praktikum, terdapat beberapa isu yang dapat dikenal pasti. Antaranya ialah murid sukar untuk melakukan pembundaran sebarang nombor hingga 1000 kepada ratus dan puluh. Mereka seringkali cuai di dalam melakukan proses pembundaran di mana murid masih lagi tidak dapat menguasai konsep asas pembundaran ini. Ini dapat dilihat di mana murid masih lagi tidak tahu nombor manakah yang perlu ditambah dengan 1 dan 0.Permasalahan yang kedua dapat saya perhatikan ialah mengenai operasi penambahan dua dan tiga nombor hingga tiga digit dengan pengumpulan semula. Saya mendapati murid kerap melakukan penambahan dengan salah di mana mereka tidak melakukan pengiraan dengan baik. Ini dapat dilihat di mana mereka seringkali cuai dalam melakukan penambahan walaupun telah ditekankan berulang kali. Selain itu, mereka juga seringkali menganggap penambahan ini adalah senang sehingga menyebabkan kurang tumpuan dalam pengiraan.Isu ketiga yang dapat dikenalpasti ialah melibatkan masalah penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan pengumpulan semula. Saya mendapati murid benar-benar tidak dapat memahami pengumpulan semula tersebut di mana mereka seringkali salah di dalam melakukan pengiraan. Selain itu, mereka juga melakukan penolakan dengan songsang apabila tidak dapat menolak nombor yang lebih besar disebabkan tidak mengetahui dengan jelas konsep pengumpulan semula ini. Ini menimbulkan kerisauan kepada saya di mana kemahiran penolakan ini merupakan asas penting yang perlu dikuasai murid. Hal ini boleh menimbulkan permasalahan pada masa hadapan jika masalah ini tidak diselesaikan.Fokus KajianBerdasarkan isu-isu yang telah dikenalpasti, saya telah memilih isu ketiga sebagai fokus kajian iaitu melibatkan masalah penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan mengumpul semula. Ini kerana, kemahiran penolakan ini merupakan asas penting yang perlu dikuasai murid di dalam membina pengetahuan Matematik mereka sepanjang hayat. Saya merasakan adalah perlunya untuk membantu murid memahami dengan lebih jelas lagi apa yang dimaksudkan dengan pengumpulan semula agar mereka benar-benar dapat menguasai kemahiran penolakan ini. Ini kerana, pemahaman yang jelas mengenai sesuatu konsep dapat membina pembelajaran yang bermakna kepada mereka.Melalui ujian diagnostik yang dilaksanakan, saya mendapati murid seringkali mengalami masalah apabila melakukan penolakan dengan pengumpulan semula. Mereka seringkali cuai dalam melakukan pengiraan dan seolah-olah tidak tahu untuk melakukan penyelesaian walaupun telah diberikan penerangan berulang kali. Semakan terhadap lembaran kerja yang diberikan juga menunjukkan secara jelas bahawa mereka benar-benar sukar untuk menguasai kemahiran ini. Apabila saya menanyakan kepada mereka, murid menyatakan bahawa mereka tidak tahu untuk menyelesaikan soalan yang diberikan dan tidak memahami dengan jelas apa yang diajarkan.Oleh itu, berdasarkan situasi yang dihadapi ini saya mengambil keputusan untuk membantu murid-murid ini menguasai kemahiran penolakan dengan lebih mendalam. Ini adalah bagi memastikan murid yang menghadapi masalah ini dapat menguasai kemahiran asas yang diperlukan dalam Matematik agar tidak menjadi beban kepada mereka kelak.Objektif KajianObjektif pelaksanaan kajian ini adalah untuk :Meningkatkan keupayaan murid untuk melakukan proses penolakan dengan pengumpulan semula di dalam bentuk lazim menggunakan kit penolakan RAPUSAMengenalpasti sama ada penggunaan kit penolakan RAPUSA dapat menarik minat murid Tahun 2 untuk mempelajari kemahiran penolakan dengan pengumpulan semula.Soalan KajianPelaksanaan kajian tindakan ini adalah bagi menjawab soalan kajian berikut :Adakah penggunaan kit penolakan RAPUSA dapat membantu murid melakukan penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan pengumpulan semula di dalam bentuk lazim?Adakah penggunaan kit penolakan RAPUSA dapat menarik minat murid Tahun 2 untuk mempelajari kemahiran penolakan dengan pengumpulan semula?Tinjauan LiteraturOperasi penolakan merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid. Murid haruslah diberikan penerangan yang jelas mengenai konsep penolakan ini agar dapat kefahaman yang jelas dapat dibina. Menurut Stigler dan Hiebert (1999) guru kurang meluangkan masa untuk membantu murid mengembangkan penguasaan sesuatu kemahiran dan rasional sesuatu proses itu dilaksanakan. Ini akan membantu murid memahami dengan jelas serta mampu menceritakan kembali apa yang dipelajarinya. Dominick dan Kamii (2009) menyatakan bahawa murid seringkali melakukan kesalahan di dalam pengumpulan semula disebabkan mereka tidak dapat membina kefahaman yang jelas.Penggunaan bahan manipulatif secara tidak langsung membantu murid memahami sesuatu konsep dengan lebih baik. Ini membolehkan mereka membina asas kemahiran Matematik yang kukuh. Seefeldt dan Wasik (dlm Boggan, Harper dan Whitmire, 2010) mengatakan bahawa adalah penting untuk kanak-kanak belajar menggunakan pelbagai bahan dalam mengukuhkan konsep Matematik yang dipelajari. Chang (2008) menyatakan bahawa kanak-kanak dapat memahami dengan jelas apabila menggunakan bahan konkrit dalam mempelajari sesuatu. Ini selaras dengan pendapat Moyer (2001) di mana murid mendapat gambaran jelas tentang sesuatu konsep apabila mereka melakukan aktiviti secara amali.Baroody (2006) pula mengatakan penggunaan pembilang dalam pengiraan dapat membantu murid menguasai konsep asas penolakan. Penggunaan pembilang sebagai bahan manipulatif membantu murid untuk membina kefahaman fakta asas penolakan secara sendiri melalui aktiviti yang dijalankan.Melalui tinjauan yang dilaksanakan ini, saya telah merangka satu usaha untuk meningkatkan kemahiran murid dalam melakukan penolakan dengan menggunakan kit penolakan RAPUSA. Penggunaan bahan manipulatif dan pembilang di dalam kit penolakan ini dapat membantu mereka memahami dengan jelas konsep pengumpulan semula serta dapat melakukan penolakan dengan jelas di dalam bentuk lazim.MetodologiKumpulan SasaranSaya telah melaksanakan ujian diagnostik bagi mengenalpasti murid yang menghadapi masalah dalam menguasai kemahiran penolakan ini. Berdasarkan keputusan ini, saya telah memilih empat orang murid sebagai peserta kajian di mana terdiri daripada dua orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan. Murid-murid ini dipilih berdasarkan keputusan ujian diagnostik mereka pada serta melalui pemerhatian sewaktu sesi P&P dan semakan lembaran kerja yang telah diberikan.Melalui pemerhatian dan penelitian yang dilakukan, saya merasakan adalah perlunya murid-murid ini diberikan bimbingan yang lebih khusus dalam membantu meningkatkan keupayaan mereka. Ini kerana, mereka lebih menunjukkan sikap ingin belajar jika guru memberikan lebih tumpuan kepada mereka. Metodologi Pengumpulan DataDi dalam mengumpulkan data kajian ini, terdapat beberapa kaedah yang telah saya gunakan. Antaranya ialah melalui ujian pra dan pasca intervensi, temu bual, pemerhatian dan semakan dokumen. Pelaksanaan ujian pra dilakukan sebelum saya melaksanakan tiga sesi intervensi manakala ujian pasca pula dilaksanakan setelah murid melalui tiga sesi intervensi tersebut. Setiap ujian ini dilakukan selama 30 minit di mana terdiri daripada enam soalan subjektif. Ujian ini dilaksanakan bagi melihat kemajuan yang dapat dicapai murid sebelum dan selepas pelaksanaan intervensi.Saya juga telah melaksanakan beberapa sesi temu bual bersama murid-murid ini. Temubual ini dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu selepas ujian pasca, semasa pelaksanaan intervensi dan selepas ujian pasca intervensi. Temubual yang dilaksanakan ini adalah secara berkumpulan dalam tempoh 15 minit di mana soalan yang diberikan adalah berstruktur. Tujuan pelaksanaan temu bual ini adalah bagi meninjau penerimaan dan maklum balas murid terhadap penggunaan kit RAPUSA ini dalam membantu mereka menguasai kemahiran penolakan.Pemerhatian juga dilaksanakan secara tidak berstruktur melalui catatan pada nota lapangan. Ini dilaksanakan sebanyak tiga kali seperti pelaksanaan temu bual. Melalui analisis data nota lapangan ini, saya dapat melihat dengan lebih jelas lagi perkembangan murid dari segi aspek tingkah laku, minat dan respon mereka terhadap intervensi yang dijalankan.Selain itu, semakan dokumen lembaran kerja juga turut dilakukan bagi melihat peningkatan murid setelah melalui sesi intervensi. Melalui ini, saya dapat melihat adakah murid dapat mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sewaktu melakukan latihan pengukuhan pada lembaran yang diberikan.Pelaksanaan TindakanTerdapat tiga sesi yang saya lakukan sepanjang melaksanakan kajian tindakan ini iaitu :Sesi 1 :Melalui Sesi 1 ini saya telah melaksanakan ujian pra intervensi kepada empat orang murid. Tujuan pelaksanaan ujian ini adalah untuk melihat tahap penguasaan mereka di dalam kemahiran penolakan sebelum pelaksanaan intervensi. Seterusnya, saya telah memberikan pengenalan awal terhadap penggunaan kit penolakan RAPUSA ini. Murid diterangkan mengenai bahagian di dalam kit ini yang mewakili rumah sa, puluh dan ratus di dalam bentuk lazim. Ini adalah untuk memberikan gambaran jelas kepada murid di dalam mensimulasikan penyelesaian bentuk lazim menggunakan kit ini. Murid juga diterangkan penggunaan pembilang lidi di dalam kit ini untuk melakukan proses penolakan pengumpulan semula. Ini dapat dilihat dengan lebih jelas lagi melalui penerangan pada Jadual 1.Jadual 1Penerangan Penggunaan Kit Penolakan RAPUSA Penerangan Cara Penggunaan Kit Penolakan RAPUSA Kit ini terbahagi kepada tiga bahagian yang mewakili rumah sa,puluh dan ratus di dalam bentuk lazim. Murid menggunakan pembilang lidi di dalam melaksanakan proses penolakan.Petunjuk : Bahagian Atas Bahagian Bawah Guru menulis soalan pada ruangan yang disediakan di dalam bentuk lazim. Murid meletakkan pembilang lidi mengikut nilai pada bahagian atas mengikut rumah nilai digit tersebut.Contoh : 134 26 = Guru membimbing murid melakukan penolakan bermula daripada rumah sa terlebih dahulu. Murid melakukan pinjaman pada rumah puluh untuk menolak nilai yang lebih besar. Nilai yang ditolak diletakkan pada ruangan bawahSeterusnya, murid akan melakukan penolakan bagi rumah seterusnya. Jumlah pembilang yang tinggal pada ruangan atas dikira dan ditulis pada bentuk lazim yang telah dibina. Petunjuk : Hasil penolakan pada bahagian atas Nilai yang ditolak diletakkan pada bahagian bawah Setelah murid ditunjukkan penerangan dan cara penggunaan kit ini, beberapa soalan penolakan diberikan untuk diselesaikan menggunakan kit RAPUSA ini. Setiap murid diberi peluang untuk melakukan simulasi penolakan menggunakan kit ini. Murid diberikan penerangan yang jelas tentang konsep pengumpulan semula apabila mereka melakukan pinjaman untuk menolak nombor yang lebih besar.Sesi 2 :Di dalam sesi ke-2 ini aktiviti yang dijalankan adalah bersifat semi konkrit. Murid diberikan penerangan sekali lagi mengenai penggunaan kit ini untuk mengukuhkan lagi kefahaman mereka. Beberapa contoh soalan diberikan di mana pada kali ini melibatkan penolakan pengumpulan semula rumah puluh dan ratus. Saya memberikan peluang kepada setiap murid untuk melakukan penolakan menggunakan kit RAPUSA ini. Murid juga ditanyakan kembali apakah yang dimaksudkan dengan pengumpulan semula setelah mereka melakukan penolakan. Ini bertujuan untuk memastikan mereka benar-benar memahami apa yang dimaksudkan dengan pengumpulan semula ini.Lembaran kerja juga telah diberikan di dalam fasa ini di mana murid diminta untuk melakukan penolakan. Beberapa contoh soalan ditunjukkan penyelesaian menggunakan kit ini bagi membolehkan murid benar-benar menguasai apa yang dipelajari. Ini adalah untuk membolehkan murid menyesuaikan konsep yang dipelajari mereka tanpa penggunaan kit penolakan ini.Sesi 3 :Aktiviti yang dijalankan pada sesi ini lebih kepada peringkat abstrak. Ini dapat dilihat di mana murid diberikan beberapa contoh soalan untuk diselesaikan tanpa menggunakan kit penolakan RAPUSA ini. Hal ini adalah bagi menguji kemampuan murid dalam menyelesaikan masalah penolakan berdasarkan apa yang dipelajari sebelum ini. Murid juga diberikan lembaran kerja untuk diselesaikan di mana mereka boleh melakukan perbincangan dalam mencari jalan penyelesaian.Di akhir pelaksanaan sesi ini, saya telah melaksanakan ujian pasca intervensi kepada keempat orang murid ini. Hal ini bertujuan untuk menguji sejauh manakah tahap pencapaian mereka setelah menjalani sesi intervensi. Ini juga membolehkan saya untuk melihat peningkatan yang mampu dicapai mereka berbanding ujian pra terdahulu.Dapatan Dan RefleksiSoalan Kajian 1 : Adakah penggunaan kit penolakan RAPUSA dapat membantu murid melakukan penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan pengumpulan semula di dalam bentuk lazim?Melalui analisis data yang telah yang telah saya laksanakan, saya mendapati penggunaan kit penolakan RAPUSA ini dapat membantu murid melakukan penolakan dua nombor hingga tiga digit dengan mengumpul semula. Ini adapat dilihat melalui analisis pada dapatan yang telah saya perolehi iaitu ujian pra dan pasca intervensi serta semakan dokumen.Ujian Pra dan Pasca IntervensiBerdasarkan analisis ujian pra dan pasca intervensi, saya mendapati terdapat peningkatan yang positif bagi empat orang murid tersebut dalam menguasai kemahiran penolakan dengan pengumpulan semula.Ini dapat dilihat berdasarkan data pada Rajah 2 di mana pada ujian pra intervensi murid A dan B mencatatkan markah 33% manakala murid C dan D masing-masing mencatatkan markah 17% dan 0%. Setelah melaksanakan ujian pasca, kesemua murid ini mencatatkan pencapaian markah yang memberangsangkan di mana murid A dan B masing-masing memperoleh 100% dan 83%. Manakala murid C dan D pula mencatatkan markah sebanyak 67% di dalam ujian pasca ini. Melalui dapatan ini, saya mendapati murid A dan D mencatatkan peningkatan yang tertinggi bagi kedua-dua ujian ini dengan 67% manakala murid B dan C menunjukkan peningkatan sebanyak 50%.Rajah 1. Graf perbandingan pencapaian dan peningkatan ujian pra dan pasca intervensi.Oleh itu, perkembangan yang baik di dalam kedua-dua ujian ini menunjukkan wujudnya peningkatan dalam kemahiran penolakan murid-murid ini. Ini menunjukkan bahawa penggunaan kit penolakan RAPUSA ini dapat membantu meningkatkan penguasaan kemahiran penolakan murid.Semakan DokumenSaya juga telah melaksanakan semakan dokumen bagi melihat peningkatan yang dapat dicapai oleh peserta kajian. Dokumen yang dianalisis merupakan semakan terhadap lembaran kerja yang telah saya berikan sewaktu sesi intervensi dijalankan. Ini adalah untuk melihat sama ada murid dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari sewaktu sesi intervensi dalam menyelesaikan soalan penolakan di dalam bentuk lazim. Jadual 2Keputusan Analisis Lembaran Kerja Peserta Kajian Lembaran Kerja 1 Lembaran Kerja 2 Tahap Penguasaan Murid A 6/6 6/6 Menguasai Murid B 5/6 6/6 Menguasai Murid C 5/6 5/6 Menguasai Murid D 4/6 5/6 Menguasai Melalui Jadual 1 ini, analisis lembaran kerja menunjukkan murid mencatatkan penguasaan di dalam kemahiran penolakan semula sewaktu melakukan latihan yang diberikan. Ini menunjukkan murid memahami dengan jelas konsep pengumpulan semula tersebut setelah melalui sesi intervensi. Hal ini membolehkan mereka melakukan penolakan di dalam bentuk lazim dengan betul. Oleh itu, secara tidak langsung menunjukkan penggunaan kit RAPUSA ini dapat membantu meningkatkan kemahiran penolakan murid khususnya.Soalan Kajian 2 : Adakah penggunaan kit penolakan RAPUSA dapat menarik minat murid Tahun 2 untuk mempelajari kemahiran penolakan dengan pengumpulan semula?Setelah melakukan analisis dan penelitian terhadap data kajian, saya mendapati penggunaan kit penolakan RAPUSA ini dapat menarik minat murid dalam mempelajari kemahiran penolakan. Hal ini dapat dilihat melalui analisis terhadap pemerhatian dan temu bual yang telah saya jalankan.PemerhatianBerdasarkan pemerhatain yang dilaksanakan, saya mendapati murid menunjukkan tingkah laku dan respon yang memperlihatkan minat mereka dalam penggunaan intervensi ini untuk mempelajari kemahiran penolakan. Melihat kepada nota lapangan yang dicatatkan, murid menunjukkan perlakuan yang aktif sewaktu menjalani sesi intervensi. Ini dapat dilihat di mana mereka sentiasa menunjukkan kemahuan dan keterujaan untuk belajar menggunakan kit intervensi ini. Selain itu, murid juga seringkali meminta guru untuk menambah latihan pengukuhan bagi menguji kefahaman mereka.Di samping itu, murid juga memperlihatkan keseronokan mereka ketika sesi intervensi dijalankan. Mereka menunjukkan kegembiraan apabila dapat menjawab soalan yang diberikan dengan betul. Saya juga mendapati murid sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi untuk belajar melalui riak muka yang dapat diperhatikan. Murid juga menunjukkan perubahan sikap yang positif di mana mereka seringkali berebut antara satu sama lain untuk menjawab soalan yang diberikan oleh guru.Perkembangan minat murid juga dapat diperhatikan di mana mereka dapat melakukan aktiviti yang dilaksanakan secara koperatif. Ini dapat dilihat di mana murid seringkali membantu rakan mereka dalam menyelesaikan latihan yang diberikan tanpa melakukan peniruan. Mereka juga sentiasa cuba untuk membantu satu sama lain dalam menguasai kemahiran penolakan ini.Oleh itu, berdasarkan analisis yang dilaksanakan ini saya mendapati penggunaan intervensi ini dapat menarik minat murid untuk mempelajari kemahiran penolakan. Perkembangan dari aspek tingkah laku dan respon mereka menunjukkan bahawa murid meminati apa yang diajarkan kepada mereka.Temu BualSetelah melaksanakan analisis terhadap data temu bual, saya mendapati murid wujudnya perubahan positif dalam aspek minat murid untuk mempelajari kemahiran penolakan dengan mengumpul semula ini. Di dalam sesi temu bual yang pertama iaitu selepas ujian pra, murid menunjukkan bahawa mereka kurang meminati untuk mempelari kemahiran penolakan. Ini kerana murid menyatakan bahawa penolakan pengumpulan semula ini adalah sukar untuk difahami dan menyebabkan mereka sering melakukan kesalahan. Murid juga menyatakan mereka sering tidak dapat menyelesaikan kerja yang diberikan disebabkan tidak memahami konsep penolakan mengumpul semula dengan betul.Namun demikian, setelah sesi intervensi dijalankan murid menunjukkan perkembangan di dalam minat mereka untuk mempelajari kemahiran penolakan ini. Melalui sesi temu bual, murid menyatakan bahawa mereka telah memahami konsep pengumpulan semula tersebut dengan baik dan tidak lagi sesukar dahulu. Ini dapat dilihat melalui respon yang diberikan mereka seperti Saya sudah boleh menolak dengan betul cikgu dan Sekarang saya sudah tahu untuk menolak nombor lebih besar. Hal ini menunjukkan bahawa murid semakin yakin untuk melakukan penolakan setelah mempelajari konsep yang sebenar.Analisis temu bual ini juga menunjukkan bahawa murid seronok dan minat untuk mempelajari penolakan menggunakan intervensi ini. Mereka mengatakan bahawa penggunaan intervensi ini membolehkan mereka memahami dengan jelas proses penolakan pengumpulan semula ini. Respon seperti Oh tolak ini tak sesukar seperti saya rasakan dan Baru saya tahu nombor lebih besar boleh ditolak rupanya menunjukkan bahawa murid memahami dengan jelas apa yang dipelajari.Oleh itu, melalui respon positif yang diberikan oleh murid di dalam sesi temu bual menunjukkan bahawa penggunaan intervensi ini dapat menarik minat mereka untuk belajar. Secara tidak langsung,ini dapat membantu mereka memahami dan menguasai kemahiran ini dengan lebih baik.Refleksi KeseluruhanRefleksi Terhadap MuridPelaksanaan kajian ini secara khususnya memberikan impak positif kepada murid dalam menguasai kemahiran penolakan dengan mengumpul semula ini. Walaupun pelaksanaan kajian ini dilakukan dalam tempoh singkat, murid dapat memahami dengan jelas konsep pengumpulan semula serta dapat melaksanakan operasi penolakan dengan betul. Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mengatasi kelemahan mereka sebelum ini.Selain itu, pelaksanaan intervensi melalui penggunaan kit RAPUSA ini membantu meningkatkan minat murid untuk mempelajari kemahiran penolakan. Ini kerana, sebelum ini mereka seringkali kurang berkeyakinan dan malu untuk menyatakan kesukaran yang dihadapi mereka. Jadi, melalui pelaksanaan intervensi inilah mereka diberi peluang untuk mempelajari dan memahami dengan jelas konsep penolakan ini. Hal ini dapat dilihat melalui peningkatan yang dicapai mereka melalui ujian yang diberikan serta perubahan positif tingkah laku mereka.Di samping itu, pelaksanaan kajian ini juga memberikan peluang kepada murid untuk menyatakan kesukaran yang dihadapi oleh mereka. Ini membantu saya untuk melihat dengan lebih jelas lagi permasalahan yang timbul di mana bimbingan yang lebih menyeluruh dapat diberikan. Kesimpulannya, pelaksanaan intervensi menggunakan kit penolakan RAPUSA ini memberikan banyak kesan positif kepada peserta kajian.Refleksi Pembelajaran KendiriDi dalam melaksanakan kajian tindakan ini, pelbagai pengalaman dan pengetahuan baru yang dapat saya perolehi. Ini kerana, pelaksanaan kajian ini memberikan satu gambaran bahawa di dalam meningkatkan kualiti diri, seseorang guru haruslah mampu untuk mengesan kelemahan yang dihadapi muridnya dan membantu mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Secara tidak langsung ini akan membantu guru memahami dengan jelas sesuatu bidang masalah agar dapat dikongsi sesama warga pendidik.Pelaksanaan kajian ini juga memberi peluang kepada saya untuk mempelajari dan melaksanakan prosedur dalam melaksanakan kajian tindakan. Ini memberikan saya satu pengalaman baru dengan berhadapan pelbagai kekangan seperti tempoh masa yang singkat dalam pelaksanaan kajian ini. Namun demikian, ini memberikan satu pengalaman yang cukup berharga kepada saya di dalam membentuk karakter seorang guru yang unggul.Selain itu, saya juga menyedari bahawa pemahaman konsep yang jelas adalah penting di dalam memastikan murid dapat menguasai kemahiran Matematik. Ini kerana, melalui penguasaan konsep inilah murid dapat mengembangkan lagi kemahiran Matematiknya ke tahap yang lebih tinggi. Ini adalah penting untuk guru menggunakan pelbagai kaedah serta teknik di dalam membantu murid memahami dan mengaplikasikan apa yang telah dipelajarinya.Oleh itu, pelbagai perkara dapat saya perolehi sepanjang melaksanakan tugasan ini. Pengalaman dan pengetahuan baru ini diharapkan dapat membantu saya memahami dengan jelas bagaimanakah untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini dapat saya aplikasikan sewaktu menjadi warga pendidik kelak agar segala kemahiran yang saya ada dapat digunakan untuk memingkatkan kualiti pendidikan negara.Cadangan Kajian LanjutanSaya mencadangkan beberapa penambahbaikan pelaksanan kajian ini di mana kumpulan peserta kajian boleh diperbanyakkan lagi. Ini secara tidak langsung dapat meninjau keberkesanan penggunaan kit RAPUSA ini dengan lebih jelas lagi. Selain itu, saya merasakan perlunya untuk menggunakan bahan manipulatif yang lebih sesuai berbanding penggunaan ikatan lidi di dalam memberikan pemahaman konsep pengumpulan semula.KesimpulanKesimpulannya, penggunaan kit penolakan RAPUSA ini membantu meningkatkan keupayaan murid dalam melakukan penolakan dua nombor hingga digit dengan pengumpulan semula. Penggunaan kit ini juga dapat menarik minat murid untuk mempelajari kemahiran penolakan ini dengan lebih baik. Perkembangan dari segi aspek penguasaan kemahiran penolakan dan perubahan tingkah laku yang positif dapat membentuk karakter murid yang cemerlang. Ini secara tidak langsung membolehkan mereka memahami dan mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan seharian.RujukanBaroody, A. J. (2006). Why children have difficulties mastering the basic number combinations and how to help them. Teaching Children Mathematics, 13(1), 22-31. Diperolehi daripada http://schools.bvsd.org/p12/.../Baroody_struggling_with_math_facts[1].pdfBoggan, M., Harper, S., & Whitmire, A. (2010). Using manipulatives to teach elementary mathematics. Journal of Instructional Pedagogies, 3, 16. Diperolehi daripada http://www.aabri.com/manuscripts/10451.pdfChang, K. (2008). Study suggests maths teachers scrap balls and slices. Diperolehi daripada http://www.nytimes.com/2008/04/25/science/25math.html?_r=0Dominick, A., & Kamii, C. (2009). The harmful effects of carrying and borrowing. Diperolehi daripada https://sites.google.com/site/constancekamii/articles-available-for-printingMoyer, P. S. (2001). Are we having fun yet? How teachers use manipulatives to teach mathematics. Educational Studies in Mathematics, 47(2), 175-197. Diperolehi daripada http://digitalcommons.usu.edu/teal_facpub/55/Stigler, J., & Hiebert, J. (1999). The teaching gap: best ideas from the world's teachers for improving education in the classroom. Diperolehi daripada http://www.sjcoertac.org/docs/TeachingisaSystemStieglerandHiebert-316200631337PM.pdf