akujanji perkhidmatan awam

17
Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009 Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 1 DAFTAR ISI 1.0 Sekapur Sirih .…………m/s 1 2.0 Definisi Surat Aku Janji ………….m/s 2 3.0 Rasional Perlaksanaan Surat Aku Janji ………….m/s 2 4.0 Intisari Dan Kandungan Surat Aku Janji 4.1 Taat Setia Kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong ……m/s 6 4.2 Cermat, Bersungguh-sungguh, Amanah….. ………….m/s 7 4.3 Tidak Membelakangkan Tugas Demi Kepentingan Pribadi ……m/s 9 4.4 Tidak Berkelakuan yang menyebabkan Kepentingan Pribadi Bercanggah Dengan Tugas ………….m/s 9 4.5 Tidak Berkelakuan Dengan Perkara Yang Boleh Menimbukan Syak.. ………… m/s 10 4.6 Tidak Menggunakan Kedudukan Sebagai Pegawai Awam Bagi Faedah Diri Sendiri ………….m/s 11 4.7 Tidak Berkelakuan Yang Boleh Mencemarkan Nama Perkhidmatan Awam ………….m/s 12 4.8 Tidak Membawa Pengaruh Luar Untuk Memajukan Tuntuan Berhubung Perkhidmatan awam ………….m/s 13 4.9 Tidak Engkar Perintah… ………….m/s 14 5.0 Kegagalan Mematuhi Kandungan Akujanji Dan Kesannya Kepada Organisasi …………m/s 15 6.0 Penutup …………m/s 16 Rujukan Lampiran

Upload: cikgu-khairie

Post on 19-Jun-2015

9.961 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

KURSUS INDUKSI

TRANSCRIPT

Page 1: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 1

DAFTAR ISI 1.0 Sekapur Sirih .…………m/s 1

2.0 Definisi Surat Aku Janji ………….m/s 2

3.0 Rasional Perlaksanaan Surat Aku Janji ………….m/s 2

4.0 Intisari Dan Kandungan Surat Aku Janji

4.1 Taat Setia Kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agong ……m/s 6 4.2 Cermat, Bersungguh-sungguh, Amanah….. ………….m/s 7 4.3 Tidak Membelakangkan Tugas Demi Kepentingan Pribadi ……m/s 9 4.4 Tidak Berkelakuan yang menyebabkan Kepentingan Pribadi Bercanggah Dengan Tugas ………….m/s 9 4.5 Tidak Berkelakuan Dengan Perkara Yang Boleh Menimbukan Syak.. ………… m/s 10 4.6 Tidak Menggunakan Kedudukan Sebagai Pegawai Awam Bagi Faedah Diri Sendiri ………….m/s 11 4.7 Tidak Berkelakuan Yang Boleh Mencemarkan Nama Perkhidmatan Awam ………….m/s 12 4.8 Tidak Membawa Pengaruh Luar Untuk Memajukan Tuntuan Berhubung Perkhidmatan awam ………….m/s 13 4.9 Tidak Engkar Perintah… ………….m/s 14 5.0 Kegagalan Mematuhi Kandungan Akujanji Dan Kesannya Kepada

Organisasi …………m/s 15 6.0 Penutup …………m/s 16

Rujukan

Lampiran

Page 2: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 2

1.0 SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG

Pada masa ini, Perkhidmatan Awam Malaysia terdiri daripada 1.2 juta orang,

iaitu nisbah 26 warganegara untuk setiap Penjawat Awam. Adalah menjadi

tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk memastikan yang aset negara ini

dapat digerakkan secara berkesan bagi mengekalkan kemajuan, keamanan dan

kemakmuran negara. Negara mengharapkan dan menuntut penyediaan perkhidmatan

awam yang cemerlang untuk kebaikan semua, dan setiap penjawat awam sewajarnya

menyahut cabaran ini bersama-sama. Kewujudan pejawat awam adalah untuk memberi

perkhidmatan kepada orang ramai. Sehubungan itu, sebagai penjawat awam, kita

sewajarnya memastikan tahap Perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi harapan

dan ekspeksasi pelanggan.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua anggota

Perkhidmatan Awam berusaha dengan sepenuh rela hati, untuk

mempertahan serta memperkukuhkan tahap profesionalisme dan

integriti perkhidmatan awam, dengan mencegah segala bentuk

perbuatan yang membelakangkan kepentingan awam dan negara.

Sebab itulah sebagai usaha berterusan untuk memperkukuhkan lagi

integriti dan akauntabiliti semua anggota perkhidmatan awam, maka

Kerajaan telah bersetuju supaya semua anggota perkhidmatan awam

menandatangani Surat Akujanji yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Tujuannya tiada lain, semata-mata untuk menzahirkan semula

komitmen kita sebagai anggota perkhidmatan awam kepada ikrar yang

sama-sama kita buat, iaitu untuk sentiasa melaksanakan tugas dengan

cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan penuh

tanggungjawab.” 1

Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN 08-03-2002

Setiap skim perkhidmatan baik sektor Kerajaan mahupun Swasta perlu

mempunyai ciri-ciri tadbir urus (governance) yang sesuai dengan organisasi masing-

masing supaya ianya dijadikan sebagai asas kawalan tatatertib terhadap pegawai-

pegawai yang sedang berkhidmat dalam organisasi berkenaan. Kawalan tatatertib

1 Y.BHG.TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMAN Tajuk : MAJLIS SANTAPAN YANG DI-PERTUAN AGONG BERSAMA PERKHIDMATAN TADBIR DAN DIPLOMATIK Lokasi :

MAYANG SARI GRAND BALLROOM, JW MARRIOTT HOTEL, KUALA LUMPUR Tarikh : 08-03-2002

Page 3: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 3

merupakan satu alat pengurusan yang penting bagi mewujudkan pentadbiran yang

cekap di dalam melaksanakan segala fungsi serta tanggungjawab ke arah pencapaian

matlamat dan objektif sesebuah Jabatan.

Perbincangan mengenai isu-isu tadbir urus telah dibincangkan dan dinilai

semula sejak awal tahun 2000 dimana JPA telah mengambil langkah proaktif

mengadakan Persidangan Perkhidmatan Awam Kelima (PPA 2000) dengan tema

'Good Governance : Issues and Challenges' atau ‘Tadbir Urus : Isu dan Cabaran’ dan

ucaputama, YAB Dato Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi, semasa itu sebagai

Timbalan Perdana Menteri menyatakan keperluan Perkhimatan Awam negara

menghapuskan imej tradisi iaitu sebagai sebuah birokrasi yang lembab dan sejajar

dengan era peralihan globalisasi.

Sejak kebelakangan ini, perbincangan mengenai tadbir urus (governance)

dalam organisasi Kerajaan telah menarik perhatian umum. Tadbir urus yang baik

dalam arena nasional, politikal, sosial dan ekonomi boleh dijadikan sebagai panduan

dan asas serta persediaan dalam menghadapi pelbagai tekanan globalisasi. Selain itu

juga, terdapat beberapa isu-isu berkaitan kelemahan dan penyalahgunaan kuasa dalam

perkhidmatan awam telah mencarik dan mencalarkan maruah dan integriti

perkhidmatan awam yang telah menarik perhatian umum antaranya penyalahgunaan

peruntukan dalam Laporan Ketua Audit Negara, Skandal pembaziran dan rasuah

berbilion wang rakyat dalam isu PKFZ, beberapa ketua jabatan dan pengarah yang

telah didapati bersalah dan yang masih di dalam perbicaraan kerana penyalahgunaan

kedudukan dan menerima rasuah.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan perkhidmatan awam yang

cekap dan berwibawa untuk menyokong program pembangunan negara, JPA pada 20

Disember 2001 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17 Tahun 2001 telah mewajibkan

setiap pegawai awam supaya menandatangani Surat Aku Janji (SAJ). Ianya adalah

bertujuan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan penjawat awam akan pentingnya

tugas dilaksanakan dengan penuh kesetiaan, kejujuran, bertanggungjawab, dedikasi

dan profesional.

Page 4: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 4

2.0 DEFINISI SURAT AKU JANJI

Surat Aku Janji adalah mengotakan ikrar dan aku janji yang telah dilafazkan

dalam pelaksanaan tanggungjawab setiap penjawat awam terhadap diri, organisasi,

perkhidmatan awam dan negara. Ianya banyak menyentuh penerapan kepada aspek-

aspek etika. Manakala pengertian etika dari sudut prespektif Pelan Integriti Nasional

pula, ditafsirkan sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah

laku individu, organisasi dan profesion.

3.0 RASIONAL PERLAKSANAAN SURAT AKU JANJI

Dari segi perlaksanaannya, Surat Aku Janji bukanlah sesuatu yang baru.

Peruntukkannya telah dipadankan daripada peruntukan Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Ia mungkin baru dari

segi bentuk sahaja iaitu dalam bentuk SURAT AKU JANJI.

Surat Aku Janji merupakan suatu dokumen tambahan yang perlu diwujudkan

disebabkan oleh faktor-faktor antaranya Kerajaan mendapati telah ada tanda-tanda

wujudnya pemikiran, sikap dan tindakan yang kurang sihat yang dilakukan oleh

segelintir anggota di dalam perkhidmatan awam. Ada di antara mereka secara terang-

terang mengambil sikap tidak setia kepada Kerajaan dan menjalankan kegiatan yang

boleh memudaratkan Kerajaan dan orang ramai.

Tidak dapat dinafikan bahawa Surat Aku Janji adalah tambahan kepada

Akuan Sumpah Berkanun, Surat Penerimaan Tawaran Pelantikan dan Akuan Sumpah

Menyimpan Rahsia Rasmi yang setiap pegawai dikehendaki menandatanganinya

semasa mereka dilantik. Namun Surat Aku Janji masih diperlukan kerana ia

mempunyai tujuannya yang tersendiri.

Surat Aku Janji diwajibkan kepada semua pegawai awam yang dilantik

secara tetap, sementara dan kontrak yang berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan,

Negeri, Badan Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Kuasa Tempatan. Bagi

pegawai yang sedang berkhidmat semasa Surat Aku Janji ini dikuatkuasakan, mereka

Page 5: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 5

perlu menandatanganinya dalam tempoh 3 bulan. Bagi pegawai yang dilantik pada

atau selepas 1.1.2002, iaitu tarikh kuatkuasa Pekeliling Perkhidmatan Bil. 17/2001,

mereka dikehendaki menandatanganinya pada tarikh melapor diri bertugas atau dalam

tempoh sebulan dari tarikh tersebut.

Kewajipan menandatangani Surat Aku Janji dalam perlantikan pegawai awam

juga ada dinyatakan dalam Peraturan 19 (1) (c) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam

(Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2005, P.U.(A) 176

Perlembagaan Persekutuan, Tambahan Perundangan yang dikuatkuasakan pada 1

Mei 2005 yang menyebut :

“calon itu hendaklah menandatangani Surat Aku Janji

sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama bahawa

calon itu akan mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai awam

(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], Perintah-

Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain

yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke

semasa sepanjang perkhidmatan calon itu dalam Kerajaan”.

Surat Aku Janji ini tidak boleh dianggap sebagai suatu bebanan sebalilknya

hendaklah dilihat secara positif dengan suatu iltizam untuk berkhidmat dengan lebih

cemerlang bagi mencapai matlamat organisasi. Ianya merupakan suatu simbol dalam

menunjukkan ketaatan setiap penjawat awam kepada Seri Paduka Baginda Yang Di

Pertuan Agong sebagai ketua negara. Oleh yang demikian segala kandungannya

perlulah dihayati semasa menjalankan tugas agar dapat melahirkan penjawat awam

yang betanggungjawab, dedikasi dan professional selaras dengan hasrat kerajaan

untuk melahirkan perkhidmatan awam yang cekap dan berwibawa bagi memastikan

negara kita terus menuju kemajuan. Surat Aku Janji ini juga perlu dilihat sebagai suatu

mekanisma dalam memberi kesedaran supaya penjawat awam tidak menyimpang dari

menjalankan tugas yang ditetapkan.

Page 6: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 6

4.0 INTISARI DAN KANDUNGAN SURAT AKU JANJI.

Perkhidmatan awam merupakan institusi penting yang bertanggungjawab

bagi melaksanakan dasar dan peraturan kerajaan ke arah pembangunan negara dan

rakyat. Kerajaan dan rakyat mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap

perkhidmatan awam supaya menjadi jentera pentadbiran gemilang dan terbilang.

Justeru itu, perlaksanaan Surat Aku Janji yang mengandungi sembilan frasa penting

yang terkandung di dalam Surat Aku Janji dilihat amat bertepatan, perlu dan wajib

dipatuhi serta dilaksanakan oleh setiap kakitangan awam. Sembilan frasa atau intisari

yang terkandung di dalam Surat Aku Janji ialah:

4.1 Akan Sentiasa Taat Setia Kepada Yang di-Pertuan Agong, Negara Dan Kerajaan.

Pegawai awam memegang jawatan selama mana ianya diperkenankan oleh

Yang di-Pertuan Agong (at the pleasure of the King). Oleh yang demikian amat

wajarlah setiap pegawai awam menumpukan taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan

Agong yang juga merupakan simbol kedaulatan negara kita. Aku Janji ini juga selaras

dengan prinsip kedua Rukun Negara iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan negara”. Dengan

mematuhi Aku Janji ini, Kerajaan berharap akan dapat melahirkan pegawai awam yang

berdedikasi, komited, bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotisme yang

tinggi untuk memajukan negara kita ini.

Perenggan 4, Perintah Am, Bab ‘D’ (1980) juga menghendaki seseorang

pegawai awam “pada setiap masa dan waktu menumpukan taat setianya yang tak

berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan”. Begitu juga

dengan Rukun Negara menghendaki setiap anggota perkhidmatan awam mendukung

prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara. Nilai ini adalah amat perlu untuk dihayati

oleh setiap anggota perkhidmatan awam demi mempertahankan kedaulatan negara

dan bangsa. Bagi menentukan nilai ini dipatuhi dalam perkhidmatan awam, setiap

anggotanya dikehendaki mematuhi tata kelakuan serta ikrar yang termaktub dalam

beberapa peruntukan yang berkenaan. Kesanggupan untuk berkhidmat dengan

Kerajaan hendaklah disertai dengan semangat keikhlasan, kerelaan dan kesetiaan

kepada Raja, negara dan kerajaan. Penjawat awam yang taat dan setia kepada Raja,

Page 7: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 7

negara dan kerajaan akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, taat setia serta patuh

kepada arahan dan mempertahankan apa juga dasar yang telah ditetapkan oleh

kerajaan dengan rela hati tanpa rasa dipaksa.

4.1.1 Contoh Perlanggaran Frasa 1 Surat Aku Janji.

1. Menghina Kedaulatan Raja-raja dan Sistem Raja Berperlembagaan

2. Bersubahat dengan musuh negara;

3. Membocorkan rahsia Kerajaan;

4. Memburuk serta memperkecilkan dasar dan tindakan Kerajaan;

5. Berlakon dalam filem yang memburukkan negara.

4.2 Akan Sentiasa Melaksanakan Tugas Dengan Cermat,

Bersungguh-Sungguh, Cekap, Jujur, Amanah Dan Bertanggungjawab.

Cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab

merupakan nilai murni yang sejagat (universal) dan telah dijadikan nilai teras dalam

perkhidmatan awam. Nilai-nilai ini amat berkesan untuk meningkatkan produktiviti,

kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan awam jika diamalkan dengan bersungguh-

sungguh dan ikhlas. Perlaksanaan Surat Aku Janji diharap dapat mendorong pegawai

awam menjalankan tugas dengan cekap, jujur, bertanggungjawab dan patuh kepada

semua peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan.

4.2.1 Contoh Perlanggaran Frasa 2 Surat Aku Janji.

Kurang cekap atau kurang berusaha:

1. gagal menguruskan penyata bank dan buku tunai

dengan teratur;

2. membuat bayaran tanpa disertakan dengan baucer, bil,

resit dan invois;

Page 8: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 8

3. tidak berkebolehan dan terpaksa diarah sepanjang

masa.

Tidak jujur atau tidak amanah:

1. tidak melaporkan harta yang dimiliki olehnya atau ahli

keluarganya;

2. membuat tuntutan palsu;

3. tidak melaporkan hutang-piutangnya.

4. Cuai dalam menjalankan tugas.

5. Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

6. Melakukan tugas-tugas peribadi dengan berselindung

disebalik yugas-tugas rasmi.

Tidak bertanggungjawab:

1. menghasut pegawai lain supaya tidak bertugas dengan

bersungguh-sungguh;

2. bercuti semasa perkhidmatannya amat diperlukan;

3. tidak melaporkan kesalahan pegawai bawahannya.

4. Tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja

sehingga ada orang lain terpaksa membantu untuk

menyempurnakannya.

5. Hasil kerjanya boleh menimbulkan kebimbangan atau

kesusahan kepada orang lain sama ada di kalangan

anggota awam atau pihak pengguna.

6. Tidak cuba memperbaiki mutu perkhidmatan supaya ia

dilihat sebagai suatu hasil yang sempurna.

Page 9: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 9

4.3 Tidak Membelakangkan Tugas Awam Demi Kepentingan Peribadi

Sebagai seorang warganegara dan anggota masyarakat, seseorang pegawai

awam, khususnya yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, tidak dapat

menolak sepenuhnya kepentingan peribadi (self interest) semasa membuat sesuatu

keputusan yang membabitkan diri mereka. Keadaan ini secara tidak langsung akan

menjadi faktor penentu sejauh mana keberkesanan keputusan yang akan

dibuatnyabagi faedah orang ramai. Dalam konteks ini pegawai berkenaan mestilah

mengutamakan tugas awamnya daripada kepentingan diri. Dalam erti kata yang lain dia

mestilah melaksanakan tanggungjawabnya dengan mengutamakan kepentingan awam

dan bukannya kepentingan peribadi.

4.3.1 Contoh Perlanggaran Frasa 3 Surat Aku Janji.

1. menguruskan perniagaan atau pelaburan sendiri, atau ahli

keluarganya, dalam waktu pejabat;

2. mengutamakan saudara-mara, rakan-rakan atau orang yang

rapat dengannya semasa menimbangkan sesuatu

permohonan;

3. menguruskan tender / sebut harga sedangkan pegawai tahu

di antara mereka yang mengemukakan tender / sebut harga

terdiri daripada saudara-maranya.

4.4 Tidak Akan Berkelakuan Dengan Cara Yang Mungkin

Menyebabkan Kepentingan Peribadi Bercanggah Dengan Tugas Awam.

Seseorang pegawai itu tidak terlepas daripada menghadapi situasi di mana

tugas awamnya bercanggah dengan kepentingan peribadinya. Apabila timbul situasi

sedemikian, pegawai hendaklah mengambil sikap tidak memihak (impartial) dan

seterusnya menghalang kepentingan peribadinya itu daripada mengatasi tugas

awamnya. Seseorang pegawai itu seharusnya boleh menjangkakan sesuatu situasi

Page 10: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 10

yang boleh menimbulkan percanggahan kepentingan dan seterusnya berusaha sedaya-

upaya mengelakkan dirinya daripada terlibat dengan situasi tersebut.

4.4.1 Perlanggaran Frasa 4 Surat Aku Janji.

1. tidak mengelakkan dirinya daripada bergaul terlalu rapat dengan

mereka yang jelas akan mendapat keuntungan daripada tugas

rasminya;

2. tidak mengelak diri daripada menerima hadiah yang berharga

daripada syarikat, ahli perniagaan atau individu;

3. memproses, menimbang atau meluluskan sesuatu permohonan

daripada ahli keluarganya.

4.5 Tidak Akan Berkelakuan Dengan Cara Yang Boleh Menimbulkan Syak Yang Munasabah Bahawa Pegawai Telah Membiarkan Kepentingan Peribadinya Bercanggah Dengan Tugas Rasmi Sehingga Menjejaskan Kegunaannya Sebagai Pegawai Awam.

Walaupun Aku Janji ini masih lagi menyentuh mengenai percanggahan

kepentingan peribadi dengan tugas awam, namun penekanannya di sini ialah

seseorang pegawai awam itu perlu mengelakkan tindak-tanduknya daripada

menimbulkan syak yang munasabah bahawa dia telah membiarkan kepentingan

peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi sehingga menjejaskan kegunaannya

sebagai pegawai awam. Syak yang munasabah (reasonable suspicion) di sini

menunjukkan terdapat rasional dan asas yang kukuh bagi mengatakan bahawa salah

laku atau tindakan yang tidak beretika telah dilakukan oleh seseorang pegawai awam

semasa melaksanakan tugas rasminya dan ini hendaklah dibezakan daripada syak

yang biasa semata-mata.

4.5.1 Perlanggaran Frasa 5 Surat Aku Janji.

Page 11: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 11

1. tidak mengambil tindakan terhadap seseorang yang telah melanggar

sesuatu peraturan dengan tujuan mendapat ganjaran daripadanya;

2. berhutang dengan seorang ahli lembaga pengarah yang syarikatnya

ada memohon tanah untuk tapak kilang di daerah yang berada di

bawah pentadbiran pegawai atau isteri pegawai adalah salah seorang

ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

4.6 Tidak Akan Menggunakan Kedudukan Sebagai Pegawai Awam Bagi Faedah Diri Sendiri

Setiap pegawai awam dibekalkan dengan kuasa tertentu sesuai dengan

kedudukan atau jawatan yang mereka sandang. Tanpa disiplin diri, kedudukan dan

kuasa yang dimiliki itu boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi pegawai

berkenaan. Dengan adanya Aku Janji ini, adalah diharapkan pegawai akan insaf

bahawa kedudukan mereka sebagai pegawai awam bukanlah merupakan satu tiket

untuk mengumpul kekayaan dan kesenangan hidup. Menggunakan kedudukan sebagai

pegawai awam untuk faedah diri sendiri merupakan satu tindakan yang tidak

bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada bangsa dan

negara. Tindakan pegawai juga boleh diertikan sebagai tidak menunjukkan

ketaatsetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

4.6.1 Perlanggaran Frasa 6 Surat Aku Janji.

1. menggunakan kenderaan jabatan sebagai kemudahan peribadi

untuk pergi dan balik pejabat, menghantar anak ke sekolah dan

sebagainya;

2. menggunakan pengaruh kedudukannya untuk mengubah lot tanah

yang telah diluluskan kepada isterinya sedangkan pegawai tidak

diberi kuasa berbuat demikian.

4.7 Tidak Akan Berkelakuan Dengan Cara Yang BolehMemburuk Dan Mencemarkan Nama Perkhidmatan Awam

Page 12: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 12

Persoalan imej atau nama baik perkhidmatan awam merupakan suatu

perkara yang penting kerana ianya sering dikaitkan dengan keutuhan dan kecekapan

perkhidmatan awam. Oleh itu menjadi kewajipan setiap pegawai agar menjaga dan

memelihara nama baik perkhidmatan awam supaya sentiasa dipandang bersih bukan

sahaja oleh rakyat jelata tetapi juga oleh pelabur asing.

Sehubungan dengan itu setiap pegawai mestilah menunjukkan ciri-ciri

sebagai seorang yang berperibadi mulia. Mereka hendaklah mengelak daripada

berkelakuan dengan cara yang boleh diertikan sebagai telah mencemarkan nama baik

perkhidmatan awam. Ini bertujuan untuk memupuk keyakinan orang ramai terhadap

keutuhan dan kewibawaan perkhidmatan awam keseluruhannya.

Dalam era yang amat kompetitif hari ini kepuasan pelanggan menjadi suatu

keutamaan sama ada bagi sektor awam atau swasta. Misalnya, kita sering mendengar

slogan yang berbunyi “Kepuasan Pelanggan Keutamaan Kami”. Di antara faktor yang dapat

memberi kepuasan kepada pelanggan kita ialah layanan yang mesra, bersopan-santun

serta perkhidmatan yang berkualiti (tanpa cacat atau zero defect). Sekiranya faktor

tersebut dapat direalisasikan imej perkhidmatan awam akan meningkat. Oleh itu,

sebagai pegawai awam kita hendaklah mengelak daripada menunjukkan kelakuan yang

boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan awam seperti kurang sopan, malas, suka

memaki-hamun dan sebagainya.

4.7.1 Perlanggaran Frasa 7 Surat Aku Janji.

1. terlibat dalam penyalahgunaan dadah;

2. disabitkan atas kesalahan jenayah / mahkamah syariah;

3. berada dalam keterhutangan kewangan yang serius;

4. sengaja melengahkan kelulusan permohonan lesen daripada orang

ramai;

5. bersikap kurang sopan seperti mabuk atau memarahi dan memaki

orang ramai yang berurusan di kaunter.

4.8 Tidak Akan Membawa Sebarang Bentuk Pengaruh Atau Tekanan Luar Untuk Menyokong Atau Memajukan Tuntutan Diri Sendiri Atau Pegawai Lain Berhubung Dengan Perkhidmatan Awam

Page 13: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 13

Sebarang masalah yang dihadapi oleh seseorang pegawai seharusnya diurus

dan diselesaikan mengikut saluran rasmi yang disediakan. Tidak ada pihak lain yang

lebih layak dan sesuai untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi semasa

menjalankan tugas rasmi selain daripada pegawai awam yang telah diamanahkan

dengan tanggungjawab tersebut. Kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam

banyak bergantung kepada kemampuan pegawainya menguruskan keperluan dan

masalah mereka mengikut saluran yang betul. Dengan lain perkataan, jentera

pentadbiran awam akan berjalan lancar tanpa campur tangan atau tekanan oleh pihak

luar. Penggunaan pengaruh luar juga boleh memberi gambaran seolah-olah

kepimpinan dalam perkhidmatan awam tidak mampu dan tidak cekap menangani

masalah yang dihadapi oleh warganya.

Penggunaan pengaruh luar menunjukkan bahawa pegawai terbabit tidak

mempunyai keyakinan terhadap kemampuan sistem pengurusan yang terdapat dalam

perkhidmatan awam untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu. Walau

bagaimanapun tindakan kesatuan membantu mana-mana anggota perkhidmatan awam

yang terkilan dengan sesuatu keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan tidak dianggap

sebagai menggunakan pengaruh luar, dengan syarat tindakan itu dibuat melalui saluran

rasmi yang telah disediakan seperti Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Majlis Bersama

Kebangsaan (MBK) dan CUEPACS.

4.8.1 Perlanggaran Frasa 8 Surat Aku Janji.

1. meminta orang kenamaan untuk menggunakan jasa baiknya

mempengaruhi Lembaga Kenaikan Pangkat bagi menaikkan

pangkatnya;

2. meminta bantuan ahli politik untuk menyokong permohonannya bagi

mendapatkan tanah Kerajaan, rumah atau jawatan.

4.9 Tidak Ingkar Perintah Atau Berkelakuan Dengan Cara Yang

Boleh Ditafsirkan Sebagai Ingkar Perintah

Page 14: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 14

Arahan atau perintah merupakan salah satu unsur terpenting dalam

pentadbiran sesebuah organisasi. Setelah sesuatu keputusan dibuat atau dipersetujui,

arahan yang jelas dan khusus adalah perlu untuk memastikan keputusan atau dasar itu

dilaksanakan bertepatan dengan matlamat ianya diputuskan. Seseorang pegawai yang

diberi tanggungjawab melaksanakan keputusan atau dasar tersebut sudah pasti tidak

mampu melakukannya secara bersendirian tanpa bantuan pegawai lain. Oleh itu beliau

tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengarahkan pegawai bawahannya

melaksanakan tugas tersebut. Sekiranya pegawai yang berkenaan enggan mematuhi

perintah yang dikeluarkan, maka pelaksanaan tugas tersebut sudah pastinya akan

terjejas. Jika sikap ini tidak dicegah segera melalui tindakan yang setimpal, ia boleh

menghakis kepatuhan pegawai yang lain.

Dalam konteks ini juga, Kerajaan dari semasa ke semasa ada mengeluarkan

arahan atau garis panduan tertentu melalui undang-undang, peraturan, pekeliling atau

surat pekeliling. Arahan ini bertujuan untuk memelihara kecekapan perkhidmatan awam

dan keadilan kepada semua warganya. Oleh itu adalah menjadi kewajipan semua

pegawai mematuhi arahan tersebut sepenuhnya. Pegawai yang enggan mematuhinya

boleh diertikan sebagai ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara yang boleh

ditafsirkan sebagai ingkar perintah.

Keperluan mematuhi arahan ini amat penting terutamanya di kalangan pegawai

dalam perkhidmatan beruniform yang tugas mereka berkaitan dengan keselamatan dan

ketenteraman negara. Sekiranya terdapat di antara mereka yang mengingkari perintah

ketua atau pegawai atasannya, sudah pasti sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.

Soal keselamatan tidak boleh dikompromi.

4.9.1 Perlanggaran Frasa 9 Surat Aku Janji.

1. membantah atau melawan pegawai atasan;

Page 15: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 15

2. membawa keluar fail terperingkat jabatan tanpa kebenaran ketua

jabatan;

3. keluar negara atas urusan persendirian tanpa kebenaran Ketua

Setiausaha Kementerian;

4. mengambil bahagian aktif dalam politik tanpa kebenaran Ketua

Pengarah Perkhidmatan Awam / Ketua Setiausaha Kementerian.

5.0 Kegagalan Mematuhi Intisari Dan Kandungan Surat Aku Janji Dan Kesannya Kepada Organisasi.

Tugas yang dilaksanakan oleh seseorang pegawai itu adalah demi

kepentingan awam (in the public interest) dalam rangka memberi perkhidmatan yang

terbaik kepada orang ramai. Oleh itu mereka hendaklah menumpukan kesetiaan dan

memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan yang memerintah (the

government of the day) serta dasarnya tanpa mengira parti yang berkuasa. Pegawai

yang menentang atau mengkritik dasar Kerajaan akan merosakkan kebolehpercayaan

dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya. Prinsip tanggungjawab bersama

(collective responsibility) dan kesatuan (unity) dalam perkhidmatan awam akan

dipersoalkan. Akibatnya kewibawaan pegawai untuk berfungsi dengan berkesan akan

terhakis. Tambahan pula, pegawai yang tidak patriotik akan dianggap sebagai tidak

berkemampuan melaksanakan dasar dan program untuk kemakmuran rakyat dan

negara.

Penjawat awam yang tidak taat dan setia akan selalu mempersoalkan dasar

negara dan arahan kerajaan, tidak menghormati institusi raja serta melakukan

penyelewengan dengan memberikan perkhidmatan yang mendatangkan faedah bagi

pihak lain yang bertentangan dengan dasar negara. Tindakan sebegini akan

menimbulkan masalah kepada organisasi, menjejaskan produktiviti negara dan boleh

dianggap sebagai satu pengkhianatan kerana sudah tentu akan menjejaskan keutuhan

dan kestabilan negara.

Peribadi taat dan setia tanpa berbelah bahagi kepada Raja, negara dan

kerajaan akan meningkatkan keikhlasan dan keberkesanan kerja di kalangan penjawat

Page 16: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 16

awam kerana berkhidmat untuk Negara adalah satu tugas murni serta menjadi

kebanggaan setiap rakyat Malaysia. Oleh itu semua pegawai awam hendaklah sentiasa

menjaga, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara, hormat

serta patuh kepada undang-undang dan sentiasa berusaha berbakti kepada negara.

Pegawai yang gagal mematuhi peraturan dan enggan mengamalkannya atau

bersifat negatif terhadap nilai murni tersebut dengan sendirinya telah memperlihatkan

sikap yang tidak bertanggungjawab. Mereka sebenarnya telah mengkhianati amanah

orang ramai yang mengharapkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Perlanggaran kepada frasa kedua kandungan Surat Aku Janji ini juga akan

menyebabkan kepercayaan masyarakat dan orang ramai terhadap organisasi dan

perkhidmatan awam terhakis. Di samping itu juga, Sikap tidak amanah, tidak cekap,

tidak jujur serta tidak bertanggungjawab bukan sahaja akan menyebabkan kerugian

yang amat besar kepada organisasi malahan boleh mengundang pelbagai aduan dan

ketidak puasan hati di kalangan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan serta

kemudahan yang disediakan oleh organisasi tersebut.

6.0 Penutup.

Menurut Ketua Setiausaha Negara dalam laporan akhbar Utusan Malaysia,

2005, mutu perkhidmatan sektor awam negara ini agak ketinggalan jika dibandingkan

dengan sebelum ini berikut masalah sikap dan prestasi kerja kakitangannya yang belum

mencapai tahap maksimum. Sehubungan itu, usaha untuk melatih anggota

perkhidmatan awam perlu diteruskan dengan lebih agresif dengan objektif untuk

memotivasikan dan menanam nilai berfikiran positif dan global. Ini bersesuaian dengan

pandangan Perdana Menteri Malaysia bahawa hanya dengan berfikiran positif dan

global serta menghayati kesemua nilai dan etika Perkhidmatan Awam, penjawat awam

akan cemerlang dan ikhlas di dalam melaksanakan tugasnya, menghasilkan kerja yang

berkualiti dan bersama mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang unggul seperti

yang diharapkan oleh negara.

SUMBER RUJUKAN

Page 17: Akujanji Perkhidmatan awam

Kursus Induksi Umum Maktab Mahmud 2009

Rubiah Bte Mat Tahir/MMY/Akujanji/2009 17

1. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17, Penguatkuasaan Surat Aku Janji Untuk Pegawai Awam, Tahun 2001.

2. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan

Penamatan Perkhidmatan) 2005, P.U.(A) 176, Perlembagaan Persekutuan (Tambahan Perundangan).

3. Dato Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad. Perkhidmatan Awam Dalam Alaf Baru:

Cabaran Dan Prospek, Jabatan Penerangan Malaysia, 2000, Kuala Lumpur. 4. Y.BHG.Tan Sri Samsudin Bin Osman, MAJLIS SANTAPAN YANG DI-

PERTUAN AGONG BERSAMA PERKHIDMATAN TADBIR DAN DIPLOMATIK, JW MARRIOTT HOTEL, KUALA LUMPUR, 08-03-2002

5. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Koleksi Tajuk-Tajuk Ceramah

Pengurusan Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: 1998. 6. Institut Tadbiran Awam Malaysia. Falsafah, Nilai dan Etika Dalam

Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur, Citra Karya, 1994. 7. MAMPU. Usaha-usaha peningkatan kualiti perkhidmatan awam dalam

konteks penerapan nilai-nilai murni: satu analisis. Kuala Lumpur. 2004.

8. Abd Rahim Abd Rashid. Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan : Menghadapi Perubahan Dan Cabaran Alaf Baru, Utusan Publications, Kuala Lumpur, 2001.