726-1414-1-sm

Upload: nurnadirafatinabdulaziz

Post on 10-Mar-2016

39 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

a

TRANSCRIPT

  • PENGGUNAAN KAEDAH MID LINE BAGI MEMBANTU MURID TAHUN 3 MENAMBAH DUA NOMBOR TIGA DIGIT

    DENGAN MENGUMPUL SEMULA

    Oleh :

    Raihanah binti Sahari , Norlia Abd Aziz

    Jabatan Matematik, IPG Kampus Dato Razali Ismail [email protected] , [email protected]

    ABSTRAK

    Hasil refleksi PdP sepanjang praktikum didapati bahawa tahap penguasaan murid dalam

    topik tambah adalah sederhana terutama melibatkan kemahiran menambah dengan

    mengumpul semula. Pelbagai jenis kesilapan telah dikenal pasti melalui pemerhatian dan

    analisis dokumen serta ujian diagnostik yang telah dilaksanakan. Justeru, satu kajian

    tindakan dijalankan bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap

    kemahiran menambah dengan mengumpul semula melibatkan dua nombor tiga digit

    menggunakan kaedah Mid Line. Peserta kajian dalam kajian tindakan ini terdiri daripada dua orang murid lelaki dan dua orang murid perempuan dari Sekolah Kebangsaan Teluk

    Ketapang. Mereka dipilih berdasarkan pencapaian ujian diagnostik yang dijalankan. Data

    dikumpul melalui instrumen ujian, analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data

    kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian. Setelah mengaplikasikan

    kaedah Mid Line semasa sesi intervensi, dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah tersebut telah berjaya membantu murid menguasai kemahiran menambah dengan

    mengumpul semula dengan baik. Palang tengah yang dibina dalam kaedah ini merupakan

    kekuatan utama kaedah Mid Line. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh ditambah baik pada kajian akan datang.

    Kata kunci : Mid Line, kemahiran menambah dengan mengumpul semula

    REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

    Sepanjang menjalani praktikum di tiga buah sekolah, didapati bahawa murid-murid lemah dalam operasi

    tambah terutama melibatkan kemahiran menambah dengan mengumpul semula. Berdasarkan pemerhatian

    ketika menjalani praktikum fasa tiga di Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, Kuala Terengganu,

    masalah yang sama turut berlaku dalam kalangan murid Tahun 3. Di sekolah tersebut, pengkaji telah

    diamanahkan untuk mengajar Matematik bagi Tahun 3 Makwa di mana ia merupakan kelas keempat

    daripada lima kelas. Kebanyakan murid terdiri daripada murid yang berpencapaian sederhana.

    Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, terdapat beberapa kesilapan murid telah

    dikenal pasti dalam kemahiran menambah dengan mengumpul semula. Antara kesilapan yang sering

    dilakukan oleh murid adalah kesilapan dalam memilih nilai kumpul semula, tidak menambah nombor 1

    atau nilai kumpul semula dengan nombor-nombor yang telah sedia ada, tidak meletakkan hasil tambah

    yang lebih daripada satu digit pada nilai tempat atau rumah yang betul dan memulakan pengiraan

    dari kiri ke kanan.

  • Rajah 1 : Contoh kesilapan memilih nilai kumpul semula

    Berdasarkan lembaran kerja murid, Rajah 1 menunjukkan contoh kesilapan yang dilakukan dalam

    memilih nilai kumpul semula yang melibatkan nombor 10. Murid terkeliru untuk memilih digit yang betul

    dalam menulis jawapan.

    Rajah 2 : Contoh kesilapan tidak menambah nilai kumpul semula

    Seterusnya melalui analisis dokumen buku latihan murid, kesilapan lazim yang dilakukan oleh murid

    adalah tidak menambah nombor 1 atau nilai kumpul semula dengan nombor-nombor yang telah sedia

    ada.

    Rajah 3 : Contoh kesilapan tidak meletakkan hasil tambah yang lebih daripada satu digit pada nilai tempat atau rumah yang betul

  • Rajah 3 menunjukkan kesilapan yang turut dilakukan oleh murid dalam menjawab soalan yang diberikan

    oleh pengkaji di dalam buku latihan. Mereka menulis jawapan tanpa membuat pengumpulan semula pada

    nilai tempat puluh. Manakala Rajah 4 merupakan kesilapan murid melaukan pengiraan dari kiri ke kanan

    atau dari nilai tempat puluh ke sa.

    Rajah 4: Contoh kesilapan pengiraan dari nilai tempat puluh ke sa

    Bagi mengatasi masalah ini dan membantu murid menguasai kemahiran menambah dengan mengumpul

    semula, pengkaji telah memperkenalkan satu kaedah baru yang dinamakan sebagai Mid Line.

    SOROTAN LITERATUR

    Menurut Bahagian Pendidikan Guru, penambahan ialah operasi yang mencantumkan dua nombor untuk

    menghasilkan nombor ketiga yang dinamakan jumlah atau hasil tambah. Manakala, Braten (1998)

    menyatakan bahawa operasi tambah adalah konsep penting dalam Matematik kerana ia merupakan

    algoritma pertama yang dipelajari oleh kanak-kanak yang juga akan menjadi asas kepada pembelajaran

    mereka pada masa akan datang.

    Menurut Fuson (1990) dalam kajian yang dijalankannya, beliau menyatakan bahawa murid-murid tidak

    melihat konsep pengumpulan semula sebagai satu konsep penggabungan unit. Amar Sadi (2007) pula

    menyatakan dua kesilapan yang biasa berlaku adalah berkaitan dengan kedudukan nombor dalam bentuk

    lazim dan proses mengumpul semula. Dalam kajian lain yang dijalankan oleh Chua Lay Ing (2005) iaitu

    Jari Dan Kertas Warna Untuk Membaiki Kemahiran Penambahan Secara Kumpul Semula Di Kalangan

    Murid Tahun 2 terhadap 9 orang sampel kajian di SJK (C) Chung Hua didapati bahawa murid lemah dan

    melakukan kesilapan dalam penambahan yang melibatkan pengumpulan semula. Justeru, hal ini dapat

    disimpulkan bahawa masalah penambahan yang melibatkan kemahiran menambah dengan mengumpul

    semula adalah bukan sesuatu yang baharu.

    Teknik SeComa (Mohd Shafiq, 2012) merupakan salah satu inovasi yang telah dilaksanakan dalam

    kajian lepas. Teknik yang diperkenalkan ini menyerupai kaedah kekisi yang turut terdapat dalam buku

    teks di sekolah. Walaupun teknik ini diakui dapat membantu murid dalam melakukan pengiraan namun,

    teknik SeComa ini masih mengelirukan murid kerana setiap hasil jawapan ditulis secara menyerong.

  • TUJUAN KAJIAN

    Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk menentukan bagaimana kaedah Mid Line dapat membantu murid Tahun 3 menyelesaikan masalah melibatkan operasi tambah dua nombor tiga digit

    dengan mengumpul semula.

    Objektif

    Menentukan bagaimana kaedah Mid Line dapat membantu murid Tahun 3 menyelesaikan masalah menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula.

    Persoalan Kajian

    Bagaimanakah kaedah Mid Line dapat membantu murid Tahun 3 menyelesaikan masalah menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula?

    METODOLOGI KAJIAN

    Peserta kajian diambil dalam kalangan 23 orang murid Tahun 3 Makwa di Sekolah Kebangsaan Teluk

    Ketapang. Peserta kajian ini telah dipilih berdasarkan pemerhatian semasa proses pengajaran dan

    pembelajaran, analisis dokumen seperti lembaran kerja, buku latihan dan ujian OTI. Seramai empat

    orang murid telah dipilih sebagai peserta kajian iaitu dua orang murid lelaki dan dua orang murid

    perempuan. Mereka dipilih berdasarkan kepada pencapaian ujian diagnostik bagi topik penambahan dua

    nombor tiga digit dengan mengumpul semula di mana keempat-empat mereka mendapat markah terendah

    dalam ujian berkenaan. Pengumpulan data menggunakan instrumen pemerhatian, analisis dokumen, temu

    bual dan ujian. Data kualitatif dianalisis secara diskriptif mengikut individu.

    Pengumpulan data melalui pemerhatian tidak berstruktur dilaksanakan bagi melihat perubahan tingkah

    laku setiap peserta kajian sepanjang sesi sesi intervensi dijalankan. Hal ini bertujuan untuk menilai aspek

    tingkah laku, sahsiah serta penglibatan peserta kajian sepanjang proses tersebut dijalankan. Bagi

    menyokong dapatan kajian, analisis dokumen melalui lembaran kerja, buku latihan dan soalan latihan di

    papan putih dilaksanakan. Ini bertujuan untuk mengenal pasti kesilapan yang dilakukan oleh peserta

    kajian sebelum dan selepas intervensi dijalankan. Selain itu, hasil kerja peserta kajian sepanjang

    intervensi juga dianalisis untuk membantu pengkaji menilai tahap penguasaan mereka dalam menjawab

    soalan penambahan dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula menggunakan kaedah Mid Line.

    Bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian, temu bual berstruktur dijalankan bersama peserta kajian. Ini

    bertepatan dengan Mohd Majid (2000) dimana temu bual digunakan untuk memperoleh maklumat

    berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak mengikut keperluan persoalan kajian. Sehubungan

    dengan itu, sesi temu bual dilaksanakan selepas Ujian Pra dijalankan, setelah selesai setiap sesi intervensi

    dan juga setelah peserta kajian menduduki Ujian Pos. Manakala, instrumen Ujian Pra dan Ujian Pos

    dilaksanakan bagi melihat sejauh mana perkembangan peserta kajian dalam menguasai kemahiran yang

    difokuskan setelah menggunakan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji. Bagi kedua-dua ujian ini,

    soalan yang sama diberikan bertujuan untuk melihat sama ada peserta kajian masih mengulangi kesilapan

    yang sama sebelum kaedah Mid Line diperkenalkan atau tidak.

  • SPESIFIKASI TINDAKAN

    Kaedah Mid Line merupakan satu kaedah yang dicipta untuk membantu mengatasi masalah murid dalam menyelesaikan soalan-soalan penambahan dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula.

    Kaedah ini merupakan gabungan bentuk lazim dan kaedah kekisi di mana ia merupakan pengubahsuaian

    terhadap dua kaedah yang lazim digunakan oleh murid.

    Berikut merupakan contoh penggunaan kaedah Mid Line.

    Contoh : 689 + 246 =

    Langkah 1 : Susun nombor dalam bentuk lazim selari mengikut nilai tempat.

    Langkah 2 : Lukis garisan pada ruangan jawapan di bahagian tengah setiap nombor.

    Langkah 3 : Penambahan dimulakan dari rumah sa dengan mengira hasil tambah 9 dan 6 iaitu

    15. Hasil tambah ditulis di ruangan jawapan dengan dipisahkan antara garisan yang

    dibina. Digit 1 yang mewakili nilai puluh tidak perlu ditulis di bahagian atas rumah

    puluh.

  • Langkah 4 : Penambahan diteruskan dengan mengira hasil tambah rumah puluh iaitu 8 + 4 = 12.

    Seterusnya, hasil tambah rumah ratus iaitu 6 + 2 = 8 dan jawapannya ditulis sebagai 08.

    Langkah 5 : Bagi mendapatkan jawapan akhir, hasil tambah bagi setiap petak dikira bermula dari

    petak paling kanan iaitu 5. Seterusnya, hasil tambah petak kedua iaitu 2 + 1 = 3 ditulis di

    bahagian bawah petak yang berikutnya iaitu rumah puluh. Hasil tambah ruangan petak

    ketiga pula iaitu 8 + 1 = 9 ditulis di bahagian bawah petak bagi rumah ratus. Ruangan petak

    yang terakhir adalah 0 mewakili ribu.

  • Jawapan akhir yang diperoleh adalah 689 + 246 = 935.

  • Berikut merupakan sesi intervensi yang dijalankan ke atas peserta kajian.

    INTERVENSI

    HASIL PEMBELAJARAN

    Sesi 1

    1. Mengenali ciri-ciri kaedah Mid Line. 2. Menggunakan kaedah Mid Line untuk menyelesaikan soalan penambahan

    dua nombor tiga digit tanpa mengumpul semula.

    Sesi 2 1. Menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula menggunakan kaedah Mid Line.

    Sesi 3 1. Menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula dengan membuat lakaran 2 dimensi menggunakan kaedah Mid Line.

    DAPATAN KAJIAN

    Seorang peserta kajian dipilih untuk dianalisis secara terperinci. Ain merupakan seorang yang pendiam

    dan sering menyendiri di dalam kelas. Walaubagaimanapun, anak ketiga daripada lima beradik ini

    seorang yang rajin membuat kerja yang diberikan oleh guru. Walaupun dia sering disindir oleh rakan-

    rakan kerana salah menjawab soalan yang diberikan di papan hitam, namun Ain tidak pernah berputus asa

    untuk mencuba. Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran, pengkaji mendapati bahawa Ain lemah

    dalam topik menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula. Hal ini dapat dilihat apabila

    dia tidak dapat menjawab soalan yang diberikan di papan hitam dan lembaran kerja dengan betul.

    Bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh Ain dengan lebih terperinci, Ujian Pra telah dijalankan

    terhadap Ain. Daripada sepuluh soalan yang diberikan, Ain hanya berjaya menjawab tiga soalan dengan

    betul. Berikut merupakan kesilapan yang dilakukan oleh Ain dalam menjawab Ujian Pra.

    Rajah 5 : Contoh kesilapan tidak menambah nilai 1

    Rajah 5 menunjukkan kesilapan di mana Ain terlupa untuk menambah nilai 1 di rumah puluh dan ratus.

    Ini dibuktikan apabila Ain menyatakan bahawa dia terlupa untuk menambah nilai 1 pada rumah puluh dan

    ratus. Kesilapan yang sama turut berlaku pada beberapa soalan yang lain. Walaubagaimanapun,semasa

    diminta penjelasan, Ain menyatakan senang je cikgutambah jelah. 7 tambah 9 jadi 16, 1 tulis atas, 5 tambah 5 jadi 10, 1 naik atas, lepas tu 5 tambah 4 jadi 9 (TB01-PK01- B08). Berdasarkan kepada pengiraan yang dibuat oleh Ain, dia hanya menulis jawapan tanpa menambah nilai 1 yang ada di rumah

    puluh dan ratus.

  • Rajah 6 : Contoh kesilapan memilih nilai kumpul semula

    Rajah 6 menunjukkan kesilapan Ain dalam memilih nilai kumpul semula. Apabila ditanya, Ain

    menyatakan dia keliru untuk memilih nilai mana untk mengumpul semula. Kesilapan ini turut berlaku

    pada beberapa item lain dalam Ujian Pra.

    Bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh Ain, sebanyak tiga sesi intervensi telah dilaksanakan. Pada

    sesi internvensi 1, walaupun di awal sesi Ain kelihatan kurang yakin untuk menjawab, namun setelah

    menjalani sesi intervensi dia berjaya menjawab soalan dan mengikut apa yang diajar dengan baik. Hal ini

    dibuktikan apabila dia dapat menerangkan langkah-langkah untuk menjawab soalan penambahan

    menggunakan kaedah Mid Line dengan betul iaitu mule-mule tambah.. .tulis jawapan dalam kotak berwarne...lepas tu kite tambah nombor dalam petak berwarne tu...baru dapat jawapan. (TB02-PK01- B03)

    Seterusnya dalam sesi intervensi 2, sebanyak enam soalan penambahan dengan mengumpul semula telah

    diberikan. Jika sebelum ini Ain kelihatan menyendiri dan tidak seronok untuk belajar, namun setelah

    menjalani sesi intervensi pengkaji dapat melihat bahawa Ain semakin berminat untuk belajar. Ini dapat

    dikukuhkan dengan temu bual bersama Ain di mana dia meminta soalan tambahan lain untuk dijawab.

    Rajah 7 : Hasil kerja menambah dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula

    Dalam sesi intervensi 3, Ain dikehendaki untuk membuat lakaran 2 dimensi untuk menjawab soalan

    menggunakan kaedah Mid Line. Satu lembaran kerja yang terdiri daripada enam soalan penambahan

    dua nombor tiga digit dengan mengumpul semula telah diberikan. Melalui pemerhatian pengkaji, dapat

    dilihat bahawa Ain kelihatan lebih yakin semasa menjawab soalan di mana dia tidak lagi ragu-ragu untuk

  • membuat pengiraan. Ini dibuktikan apabila Ain dapat menjelaskan secara terperinci langkah-langkah

    untuk membuat pengiraan menggunakan kaedah yang diperkenalkan oleh pengkaji. Rajah 8 dan 9

    menunjukkan hasil kerja Ain dalam sesi intervensi 3 di mana dia berjaya menjawab kesemua enam soalan

    dengan betul.

    Rajah 8 : Contoh jawapan item 1 Rajah 9 : Contoh jawapan item 2

    Selepas menjalani ketiga-tiga sesi intervensi, dapat dilihat bahawa Ain semakin berminat untuk belajar

    terutama dalam subjek Matematik. Selain itu juga, jika sebelum ini Ain kerap tidak hadir ke sekolah,

    namun selepas menjalani sesi intervensi Ain tidak lagi ponteng sekolah. Bagi melihat tahap penguasaan

    Ain dalam kemahiran menambah dengan mengumpul semula, pengkaji telah menjalankan Ujian Pos

    terhadap Ain. Berdasarkan hasil Ujian Pos yang disemak, Ain berjaya menjawab kesemua sepuluh soalan

    dengan betul. Dia juga menunjukkan pengiraan yang kemas dan tersusun di mana secara tidak langsung

    dapat mengelakkan dirinya daripada melakukan kesilapan semasa menjawab soalan. Jadual 1

    menunjukkan perbandingan hasil kerja Ain dalam Ujian Pra dan Ujian Pos.

    Jadual 1 : Perbandingan hasil kerja Ain bagi Ujian Pra dan Ujian Pos

    Ujian Pra

    Ujian Pos

    Berdasarkan Jadual 1 dapat dilihat bahawa Ain tidak lagi cuai dalam membuat pengiraan semasa Ujian

    Pos. Melalui temu bual yang dijalankan bersama Ain selepas menduduki Ujian Pra, Ain menyatakan

    bahawa dia terlupa untuk menambah nilai 1 pada nilai tempat puluh dan ratus. Namun, setelah

  • menggunakan kaedah Mid Line dalam Ujian Pos Ain menjelaskan bahawa dia tidak lagi melakukan kesilapan dan lebih teliti untuk menjawab soalan.

    Selepas menjalankan Ujian Pos, pengkaji meminta Ain untuk menyatakan pendapatnya berkaitan

    penggunaan kaedah Mid Line yang telah diperkenalkan. Ain menyatakan bahawa dia berasa seronok menggunaan kaedah Mid Line kerana senang dan dapat mengelakkan dirinya daripada melakukan kesilapan. Berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh, jelas menunjukkan bahawa penggunaan kaedah

    Mid Line berjaya membantu murid dalam menyelesaikan soalan melibatkan penambahan dengan mengumpul semula.

    KESIMPULAN

    Melalui intervensi yang telah dilaksanakan dapat disimpulkan bahawa penggunaan kaedah Mid Line dapat membantu murid Tahun 3 menyelesaikan soalan yang melibatkan penambahan dua nombor tiga

    digit dengan mengumpul semula. Antara elemen utama dalam kaedah yang diperkenalkan ini adalah

    garisan tengah yang dibina di bahagian bawah digit. Garisan tengah ini berfungsi untuk membantu murid

    membuat pengiraan yang melibatkan pengumpulan semula tanpa perlu meletakkan nilai kumpul semula

    pada rumah puluh, ratus, ribu dan seterusnya. Selain itu juga, penggunaan alat yang berwarna untuk

    murid membuat pengiraan juga menjadi pendorong kepada murid untuk belajar. Ini bertepatan dengan

    Megat Aman Zahiri (2005), grafik pelbagai bentuk dan warna dapat mewujudkan suasana pembelajaran

    yang menarik dan mudah disampaikan kepada murid.

    Kajian tindakan yang dilaksanakan ini membantu pengkaji meningkatkan profesionalisme dalam

    keguruan terutama sewaktu bergelar guru kelak. Hal ini kerana sepanjang menjalankan kajian tindakan,

    terdapat pelbagai masalah dalam pembelajaran yang dikenal pasti dalam kalangan murid. Justeru, masalah

    tersebut menjadi pendorong kepada pengkaji untuk menerokai dan mencipta kaedah-kaedah baharu yang

    dapat membantu murid dalam menangani masalah yang dihadapi. Selain itu juga, pengkaji berpeluang

    untuk meningkatkan kemahiran komunikasi yang sememangnya amat penting bagi seorang insan yang

    bergelar guru kelak. Melalui komunikasi juga, pengkaji berpeluang untuk mengetahui dan memahami

    masalah yang dihadapi oleh setiap murid dengan lebih mendalam. Hal ini amat penting bagi memudahkan

    pengkaji untuk membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran khususnya Matematik.

    Antara kelebihan kaedah Mid Line adalah ia dapat mengelakkan murid daripada melakukan kecuaian dalam penambahan dengan mengumpul semula. Selain itu, penggunaan kaedah ini juga boleh digunakan

    untuk membuat pengiraan melibatkan nombor yang besar. Walaubagaimanapun, terdapat juga kelemahan

    di mana alat yang dibina untuk setiap murid semasa sesi intervensi agak kecil. Sebagai penambahbaikan,

    penggunaan ICT adalah digalakkan. Pengaplikasian Mid Line sebagai perisian multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan. Hal ini kerana dengan penggunaan animasi yang

    diterapkan, ianya akan menarik minat murid untuk lebih cenderung meminati subjek Matematik sekali

    gus mendorong murid untuk menguasai kemahiran yang difokuskan.

    RUJUKAN

    Abdul Razak Bin Idris, Nor Asmah Binti Salleh (n.d.). Pendekatan Pengajaran Yang Digunakan

    Oleh Guru Sekolah Menengah Di Daerah Johor Bahru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

    Matematik. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

  • Ahmad Syukran Bin Mohamed. (2012). Penggunaan ReAd Method Bagi Membantu Murid Lemah Tahun 3 Menambah 3 Nombor 4 Digit Dengan Mengumpul Semula.

    Braten, I. (1998). Cognitive strategies in mathematics, Part I: On childrens strategies for solving simple addition problems.

    Baroody, A. J. (1987). The Development of Counting Strategies For Single-Digit Addition.

    Journal for Research in Mathematics Education

    Heah Swee Ching. (1997). Keberkesanan Kaedah Pengiraan Menggunakan Teori Jari Dalam

    Membantu Pencap aian Aritmatik KanakKanak Berumur Antara 6 - 12 Tahun. Univesiti Putra

    Malaysia

    Houlihan, D. M., & Ginsburg, H. P. (1981). The Addition Methods of First and Second-Grade

    Children. Journal for Research in Mathematics Education

    Ing, C. L. (2005). Prosiding Seminar Penyelidikan Tindakan Tahun 2005. Jari dan Kertas Warna

    untuk Membaiki Kemahiran Penambahan Secara Kumpul Semula di Kalangan Murid Tahun 2

    dalam Nombor Lingkungan 1000, 48 - 57.

    Leslie M. Fredericks. Lim Soo Kheng. (n.d.). Pembelajaran Aktif KBSR : Idea-Idea Untuk

    Guru. Malaysia: Longman.

    Mohd Salihin Bin Mokhtar. (2011). Penggunaan Kaedah KuWi Untuk Mengatasi

    Masalah Penambahan Dengan Pengumpulan Semula Nombor Bulat Sehingga

    10000.

    Muhammad Sofwan Bin Mahmud. (2010). Meningkatkan Kemahiran Penambahan

    dengan Mengumpul Semula Bagi Murid Tahun 2 yang Berpencapaian Rendah

    Menggunakan Bahan Manipulatif Straw & Board.

    Noraini Idris. (2001). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur : Utusan

    Publications & Distributors Sdn. Bhd.

    Rosinah Edinin. (2012). Penyelidikan Tindakan Kaedah Dan Penulisan (Edisi Kedua).

    Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.

    Sabri Ahmad, Tengku Zawawi Tengku Zainal dan Aziz Omar. (2006). Isu-Isu Dalam

    Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.

    Sarifhudin, M. S. (2009). 6 Sebab Mengapa Pelajar Sering Menghadapi Masalah Dalam

    Menguasai Subjek Matematik. Malaysia.