2. ucap utama dr. badriyah hj salleh

Upload: mahadzir-bin-mahdini

Post on 07-Jul-2015

202 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

TAHUN 1945-57 DALAM SEJARAH MALAYSIA: ISU NASIONALIS KIRI / KANAN; SEJARAH DARI ATAS / BAWAH; SEJARAH YANG PATUT / TIDAK PATUT Oleh Badriyah Haji Salleh Jabatan Sejarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Dibentangkan pada 26 Oktober 2010 Universi Sains Malaysia, Pulau Pinang

I Muqaddimah Tahun 1945-1957 memang merupakan tempoh sejarah Malaysia yang mempunyai banyak titik tolak sejarah yang penting. Jepun baharu sahaja terpaksa pulang ke negara asal, bukan kerana mereka kalah dalam peperangan tetapi kerana mereka diperas ugut Amerika Syarikat (dan Negara-negara Bersekutu lain) yang akan meletupkan 1-2 biji bom atom lagi bagi memusnahkan negara mereka jika tidak berundur. Dengan pengunduran tersebut British segera kembali semula ke Semenanjung Tanah Melayu dan lain-lain kawasan yang pernah mereka jajah selama lebih satu setengah abad tetapi telah menyerah kepada Jepun dalam beberapa minggu sahaja semasa Perang Asia-Pasifik.

Tahun 1945-1957 adalah juga tempoh British menjanjikan kemerdekaan kepada Semenanjung Tanah Melayu. Dengan lain-lain perkataan mereka mengakui bahawa semenjak 1786 sehingga 1957 mereka telah membelenggu negeri-negeri Melayu ini dan sekarang mereka akan memberikan taraf berkerajaan sendiri kepada negara ini. Kali ini mereka bukan ingin menyelamatkan negeri-negeri Melayu daripada kacau bilau seperti pada kurun ke-18 dan 19 yang membenarkan mereka secara beransur-ansur menubuhkan Negeri-Negeri Selat (1824) dan kemudian Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (1896), tetapi mereka kembali berselimutkan kemurahan hati mereka untuk mengembalikan

1

semula marwah negeri-negeri (yang mereka telah jajah) dan

memerdekakannya.

Mereka tidak mahu terang-terang menampakkan bahawa mereka telah kalah dari segi fizikal dan psikologinya akibat desakan sentimen politik di negara sendiri dan kuasa antara bangsa lain untuk berbuat demikian. Mereka masih mahu kembali ke negeri-negeri yang mereka jajah dengan ego pelindung kepada yang dilindungi. Namun pada masa yang sama pejuang nasionalis tempatan telah sedar bahawa Great Britain tidaklah segreat seperti yang digahkan selama ini.

Tahun 1945 juga merupakan peluang bagi para nasionalis untuk melaksanakan perjuangan pembebasan mereka yang telah mereka mulakan semenjak awal kurun ke-20 (Roff, 1967) bahawa mereka masih ada marwah untuk menegakkan semula tanah air dengan jiwa raga mereka. Tempoh ini merupakan kemuncak perjuangan mereka yang sebenarnya dalam mengenali siapa mereka berhubung isu negara dan soal kenegaraan. Tempoh ini juga membuka pintu kepada pelbagai soalan yang jawapannya atau tafsirannya menajdi asas kepada pembentukan negara Malaya (kemudian Malaysia) yang dalam tempoh 12 tahun selepas itu (1957) diberikan kemerdekaan.

Kertas kerja ini akan mengehadkan perbincangan kepada beberapa isu tertentu sahaja mengenai sejarah dan penulisan Sejarah Malaysia dalam tempoh 1945-1957. Ia akan ditumpukan kepada hal-hal berhubung sejarah Semenanjung Tanah Melayu sahaja kerana walaupun 1945 adalah tarikh umum pengunduran Jepun dari tanah jajahan British (termasuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak), tetapi tahun 1957 semata-mata merujuk kepada tarikh kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

Beberapa isu yang akan dikemukakan adalah berhubung dengan isu perjuangan kemerdekaan para nasionalis kiri ataupun kanan, pendekatan penulisan sejarah dari atas ataupun bawah dan isu mengenai sejarah yang patut / tidak patut ditulis. Kertas kerja ini juga tidak bertujuan untuk memberikan jawapan mahupun menyelesaikan masalah yang ditimbulkan. Ia sekadar ingin membangkitkan beberapa isu yang

mengganggu penulis selama ini dan berkongsi pandangan.

2

II Nasionalis kiri dan kanan Sebelum Jepun kalahkan British pada hujung 1941, negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu merupakan unit-unit negeri dan kerajaan yang terdiri dari i) Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) iaitu, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, setiap satunya dirajai Sultan / yang DiPertuan Besar, dan ditadbir oleh Residen masing-masing yang bertanggung-jawab pula kepada seorang Residen Jeneral yang berpusat di Kuala Lumpur; ii) Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) yang ditadbir seorang Gabenor merangkap Pesuruhjaya Tinggi NNMB; dan iii) Negeri-Negeri Melayu yang menerima penasihatan British (Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) yang masing-masing dirajai Sultan / Raja.

Penulisan sejarah Tanah Melayu selepas Jepun kerap berkisar kepada tujuan British untuk memberikan taraf berkerajaan sendiri (kemerdekaan) kepada Tanah Melayu. Soalnya apakah yang dimaksudkan dengan Tanah Melayu yang mempunyai konsep yang sangat umum, atau lebih tepat lagi Semenanjung Tanah Melayu yang masih tiada penyatuan politik? Seperti yang dijelaskan di atas, jika British bermaksud untuk memberikan taraf berkerajaan sendiri, mereka harus tujukan kepada siapa, sedangkan negeri-negeri dalam semenanjung itu bukan merupakan satu entiti politik? Ini dapat dibuktikan betapa rapuhnya penyatuan dalam negeri-negeri di Semenanjung pada masa itu. Benar, selepas pembubaran Malayan Union (1946) dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (1948) masih terdapat percubaan oleh Pulau Pinang, Johor dan Kelantan untuk keluar daripada Persekutuan Tanah Melayu di antara 1948-1956 (Mohamed Nordin Sopiee, 2007: 59-94).

Seawal 1943 Britain sudah merasai betapa pentingnya penyatuan secara utuh semua negeri dalam Semenanjung Tanah Melayu yang walaupun mempunyai unit-unit politik yang berasingan, telah mempunyai satu faktor penyatuannya, iaitu pengaruh British. British menyalahkan keadaan perpisahan unit-unit politik itu sebagai faktor utama mereka mudah dikalahkan Jepun. Perbincangan telah dibuat dalam kalangan

3

pegawai-pegawai British di Pejabat Tanah Jajahan dan Jawatankuasa Kabinet di London untuk menyatukan negeri-negeri ini. Sesungguhnya bentuk penyatuan yang difikirkan terbaik, kemudian telah dimanifestasikan dalam Malayan Union pada April Fools Day, (1hb April) 1946 dengan mudah. Betapa senangnya mereka dapat persetujuan dari RajaRaja dan amat kurangnya bantahan dari masyarakat Melayu tempatan telah mengejutkan British. Tetapi apa yang lebih mengejutkan mereka kemudian ialah perisytiharan itu menghadapi tentangan paling hebat dari kalangan orang-orang Melayu sendiri yang sebelum ini memang tidak pernah dirujuk, justeru, tidak pernah disangka. Sebenarnya juga pihak British yang membentuk Malayan Union melalui Order in Council di London memandang ringan tentang kebangkitan nasionalisme dalam kalangan orang-orang Melayu. Sebenarnya juga pembentukan / penyatuan Malayan Union yang memusatkan pentadbiran di tangan British pada 1946 itu, menjadikan mereka penjajah baru di seluruh Semenanjung sebelum berjanji untuk memberikan kemerdekaan kepada negeri-negeri Melayu itu (Mohamed Nordin Sopiee, 2007:17). Adakah pendekatan British untuk menjajah semula negeri-negeri Melayu Semenanjung dengan cara yang terlalu cepat dan mudah itulah yang berjaya menyentakkan masyarakat Melayu dari lena yang terlalu panjang?

Kertas kerja ini tidak akan membincangkan kenapa Malayan Union gagal akibat dari bantahan orang-orang Melayu dan kemudian dibatalkan, kerana isu tersebut telah banyak ditulis oleh ahli-ahli sejarah (Lihat Albert Lau, 1991; T.N.Harper, 1999; Mohamed Nordin Sopiee, 2007). Walau bagaimanapun kita harus sedar bahawa tujuan British untuk membentuk sebuah negara di Semenanjung Tanah Melayu (atau menjajahnya semula dengan halus) sebenarnya berjaya juga dicapai dalam bentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 yang menggantikan Malayan Union.

Isu yang akan dibancangkan di sini ialah tentang perjuangan orang-orang Melayu di Semenanjung dan juga di rantau gugusan pulau-pulau Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan bagi Bangsa Melayu dan negara Melayu mengikut tafsiran mereka. Yang dimaksudkan adalah pejuang-pejuang Melayu-Raya yang berpaksikan konsep Bangsa Melayu yang lebih luas. Bagi mereka Bangsa Melayu adalah mereka yang mengikut

4

keturunan mempunyai persamaan budaya, bahasa dan mungkin juga agama, iaitu Islam, walaupun terdapat juga sesetengah orang dari Bangsa Melayu yang bukan Islam. Kumpulan pejuang nasionalisme ini adalah mereka yang tidak mahu menjadikan sempadan geografi-politik yang dicipta oleh British dan Belanda pada 1824 sebagai sempadan untuk memecahkan Bangsa Melayu kepada dua kelompok yang tinggal dalam kawasan yang dikenali sebagai the British sphere of influence khususnya Semenanjung Tanah Melayu, dan the Dutch sphere of influence, iatu Indonesia. Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohammad, dan lain-lain yang sepemikiran dengan mereka mahukan sebuah negara Melayu-Raya yang memasukkan kedua kawasan politik tersebut ke dalam satu entiti politik. Dan mereka sangat sedar tentang kegemilangan dan ketamadunan kerajaan-kerajaan Melayu sebelum penjajahan seperti Seriwijaya, Majapahit, Melaka, Johor-Riau, Aceh, Pasai dan lain-lain. Mereka ini sedar dengan ketiadaan penjajah British, inilah masanya mereka dapat kembalikan semula marwah Bangsa Melayu jika Melayu Raya berjaya diperjuangkan. Namun selepas Jepun,

sememangnya ramai orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai pengertian dan sikap nasionalisme Melayu yang berbeza. Dalam kalangan mereka terdapat kumpulan yang merasai Bangsa Melayu patut disempadani oleh lingkungan geografi yang lebih terhad, iaitu, bukan sahaja mengikut sempadan geografi-politik British-Belanda, malah mengikut sempadan negeri-negeri dan sultan masing-masing. Anehnya, kebanyakan orang Melayu dalam perjuangan kemerdekaan amat suka merujuk dan mengimbas kepada kebesaran dan kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dalam kurun ke-15 dan 16 bagi menyuntik semangat nasionalisme baru dalam memperjuangkan kemerdekaan daripada British. Malah Tunku Abdul Rahman sengaja memilih Melaka untuk mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sempena keagungan sejarah Melaka itu sendiri, iaitu, merujuk kepada Melaka dalam kurun 15 dan 16 tadi. Di atas keruntuhan Kota Melaka didirikan Malaya merdeka.

Jika keagungan sejarah kegemilangan Melaka boleh dijadikan suntikan perjuangan nasionalisme bangsa Melayu, maka ini adalah selaras dengan perjuangan Melayu-Raya tadi. Sememangnya kuasa dan pengaruh Melaka pada zaman itu bukan terhad kepada sempadan negeri Melaka sekarang, mahupun Semenanjung Tanah Melayu

5

sahaja. Ia merentasi sempadan Selat Melaka ke kawasan-kawasan Sumatra yang sememangnya merupakan sebahagian dari empayar Melaka, seperti Rokan, Siak, Kampar dan Indragiri. Kawasan-kawasan lain yang tidak diperintah Melaka tetapi berada di bawah pengaruh atau bersahabat dengan Melaka adalah Brunei, Patani, Aceh, Pasai, dan sebagainya. Sultan Mahmud mangkat di Kampar (Sumatra) selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis (1511), bukan sebagai seorang pelarian seperti King William of Orange dari Belanda berlindung di Britain selepas dikalahkan Napoleon pada 1795. Sultan

Mahmud hanya memindahkan kerajaannya ke Kampar, kerana Kampar adalah negeri takluknya juga. Justeru apabila Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Dr Burhanuddin al-Helmy, dan lain-lain anggota Kesatuan Melayu Muda, memperjuangkan Melayu-Raya, tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa mereka mahu mengembalikan kegemilangan Bangsa Melayu seperti yang lumrahnya dirujuk oleh orang-orang Melayu khususnya di Semenanjung sebagai zaman kegemilangan Melayu. Namun perjuangan berkonsepkan Melayu-Raya itu gagal berkembang dan mendapat sambutan kebanyakan masyarakat Melayu sendiri, kerana memang ada kumpulan orangorang Melayu lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Kumpulan yang tidak akur dengan konsep Melayu-Raya ini adalah juga yang lebih berpengaruh dan dikatakan sebagai main stream nasionalists atau nasionalis kanan. Mereka adalah seperti Dato Onn, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain yang juga lebih disenangi pihak British. Kertas kerja ini tidak mengatakan bahawa yang main stream itu lebih nasionalistik atau kurang nasionalistik berbanding dengan pejuang Melayu-Raya yang dianggap sebagai the radical Malay nasionalists atau yang dikatakan berhaluan kiri. Isunya di sini ialah ahliahli sejarah telah memberikan label pejuang nasionalis ini sebagai nasionalis kiri ataupun kanan. Di negara ini umumnya yang dilabel sebagai kiri atau radical itu dan bukan dalam lingkungan main stream dianggap mempunyai konotasi yang negatif, justeru mereka dipinggirkan.

Mengikut teori penulisan sejarah, sejarah seharusnya ditulis secara objektif. Dalam hal ini ahli-ahli sejarah yang telah menentukan sabjek yang mereka tulis itu sebagai kiri, radikal mahupun kanan, juga boleh mempertahankan keobjektifan mereka melalui pembuktian-pembuktian yang wajar dan berwibawa. Dan kita tidak dapat

6

menafikan bahawa tulisan ahli-ahli sejarah yang berwibawa akan juga mempengaruhi pengertian dan penerimaan umum tentang sejarah yang mereka tulis. Biasanya tulisan yang berpengaruh itulah yang akan juga mempengaruhi pemikiran awam dan pemerintah.

Dalam contoh tentang perjuangan nasionalisme dalam kalangan orang-orang Melayu di Semenanjung, dan jika mereka mengimbas kepada kegemilangan Bangsa Melayu, jelas sekali mereka merujuk kepada kegemilangan Melaka dalam kurun ke-15 dan 16. Tidak mungkin mereka merujuk kepada Melaka di zaman penjajahan kerana Melaka dalam zaman itu sudah jatuh. Malah institusi kesultanannya juga telah musnah sama sekali. Justeru, tidak wajarkah pejuang-pejuang nasionalisme Melayu-Raya yang menginginkan kembali kegemilangan bangsa Melayu seperti di zaman empayar Seriwijaya, Empayar Melaka, Empayar Johor-Riau, diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagai pejuang nasionalisme yang juga berpandangan luas dan

berwawasan? Dalam perayaan-perayaan kemerdekataan, tidak ada satu namapun yang disebut-sebut, apatah lagi dicadangkan untuk menerima gelaran Dato, Tan Sri, Tun, walaupun secara posthumously (selepas mati)?

Malangnya mereka tetap dianggap kiri atau radikal lalu dipinggirkan kepentingan mereka dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia. Jarang sekali tulisan sejarah Malaysia memberikan ruang dan pengiktirafan yang sewajarnya kepada pejuang-pejuang Melayu-Raya ini dan juga kumpulan-kumpulan lain yang bukan main stream, seperti golongan ulama dan Hizbul Muslimin. Buku-buku teks sekolah dan lain-lain buku

sejarah memberikan tumpuan yang jauh lebih berat kepada pejuang-pejuang nasionalis Dato Onn, Tunku Abdul Rahman, UMNO, sebagai pejuang kemerdekaan yang unggul (seolah-olah yang lainnya tidak). Jika kita kembali kepada falsafah penulisan sejarah, bahawa sejarah hendaklah ditulis sepertimana ia benar-benar berlaku kita wajar bersikap adil kepada semua pejuang kemerdekaan Tanah Melayu itu. Dan jika kita masih memegang kepada falsafah penullisan sejarah supaya kita elakkan daripada membuat pengadilan moral dalam tulisan sejarah, maka keobjektifan dalam penulisan sejarah itu patut dijadikan prinsip kekal ahli-ahli sejarah. Saya bukan mengatakan bahawa

perjuangan nasionalis radikal ini tidak dikaji atau ditulis oleh ahli-ahli sejarah, tetapi

7

dalam sejarah nasional, dalam memperingati perjuangan kemerdekaan, mereka kerap dilupakan.

Jika kita imbas perjuangan mereka, kita tahu bahawa mereka telah memperjuangkan kemerdekaan semenjak 1930-an lagi. Kesatuan Melayu Muda yang ditubuhkan pada 1938 telah diketuai oleh Ibrahim Yaacob dan setiausahanya adalah Abdul Karim Rashid. Di antara pemimpin-pemimpin yang lain adalah Dr. Burhanuddin al-Helmy, Onan Haji Siraj, Ishak haji Mohammad, Sultan Djenain, Ahmad Boestamam, dan lain-lain. Sebelum Jepun menduduki Semenanjung, orang-orang ini telah membantu Jepun dengan maklumat mengenai Tanah Melayu dan membantu Jepun mengumpulkan penyokong-penyokong Aceh di Selangor untuk menentang Belanda di Sumatra (Farish A.Noor, 2005:75). Perjuangan mereka diteruskan di zaman Jepun kerana inilah peluang mereka meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada 1942 Gunsei Kambu (Pentadbiran Superintenden Ketenteraan) di Tanah Melayu pernah melantik Ibrahim Yaacob sebagai ketua untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) dalam perjuangan mereka. Namun ini tidak berkekalan dan kesatuan itupun telah dimansuhkan (Akashi Yoji & Yushimura Mako, 2008: 5). Namun melalui Ibrahim Yaacob juga Jepun berjaya mendapatkan sokongan orang-orang Melayu sebagai anggota tentera sukarela Giyugun dan menjadikan mereka tentara sokongan, Giyutai dan Heiho. Jepun menjanjikan bahawa sokongan mereka dikehendaki dalam persediaan untuk mendirikan kerajaan yang merdeka kelak. Pada 1945 mereka dibenarkan menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KERIS) dan cita-cita untuk mendapatkan kemerdekaan itu hampir tercapai dengan pertemuan Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 Ogos 1945. Namun cita-cita mereka musnah kerana Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan mereka 5 hari selepas itu tanpa merujuk kepada pemimpin-pemimpin KERIS. Isunya sekarang ialah, adakah KMM dan KERIS dianggap kiri kerana menyokong Jepun, sedangkan mereka berbuat demikian untuk mencapai kemerdekaan daripada British? yang kanan? Jika Jepun merupakan penjajah di negara kita, bukankah British demikian juga? Siapakah nasionalis kiri dan siapa pula

8

Walau bagaimanapun, soalan timbul lagi mengenai keupayaan seorang ahli sejarah untuk berlaku adil dan objektif dalam tulisan mahupun penyelidikannya? Sebagai manusia biasa mungkin kita tidak boleh 100% berbuat demikian. Tetapi jika kita sentiasa sedar akan tanggungjawab kita untuk mencari kebenaran dalam tulisan dan penyelidikan kita, sekurang-kurangnya mungkin kita dapat mencapai objektif kebenaran itu dengan sebaik-baiknya. Justeru, suara ahli-ahli sejarah kepada masyarakat amat dinanti-nantikan untuk melaungkan bahawa sejarah adalah sepertimana ia benar-benar berlaku. Pandangan tentang sejarah dalam media-media main stream dalam negara ini selalunya amat berat sebelah kepada yang kanan sahaja.

Berbanding dengan perjuangan Melayu-Raya itu adalah tuntutan ahli politik main stream atau yang kanan, seperti perjuangan Dato Onn, Tunku Abdul Rahman, UMNO, dan lain-lain yang juga patut diakui telah bertungkus lumus untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negeri-negeri Melayu yang sebelumnya memang belum bersatu. Penyelidikan telah membuktikan bahawa perjuangan mereka ini sangat berat menyokong atau mengikut acuan pihak British yang mengambil kira sentimen politik dan ekonomi Raja-Raja Melayu, orang-orang Melayu, dan juga orang-orang bukan Melayu, dan yang jelas bersempadankan Semenanjung Tanah Melayu sahaja. Mereka sudah memisahkan Tanah Melayu atau bangsa Melayu itu mengikut ketetapan Perjanjian British-Belanda 1824. Melayu-Raya sudah tidak lagi relevan bagi mereka. Memang beberapa perbincangan yang melibatkan pegawai-pegawai British dan wakil-wakil orang-orang Melayu dan bukan Melayu memperlihatkan pencapaian beberapa kompromi berhubung dengan isu-isu kewarganegaraan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu. Inilah yang menjadi asas kepada struktur politik masyarakat berbilang kaum di zaman Malaya (kemudian Malaysia) yang merdeka sehingga sekarang. Dan pada masa tersebut

mungkin inilah jalan yang paling praktikal dan realistik. Namun beberapa orang pengkaji sejarah masih meragui kejayaan dan keberkesanan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu itu sendiri (Lihat: A.J.Stockwell, 1979; J. de Vere Allen, 1967). T.N.Harper dalam bukunya, The End of Empire and the Making of Malaya membuktikan peranan British dalam era lepas Perang Dunia Kedua di semua peringkat masyarakat berbilang

9

kaum di Malaya adalah untuk membentuk sebuah negara-bangsa yang baru mengikut acuan atau aspirasi mereka sebagai neo-colonialists (T.N.Harper, 1999).

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu acuan British inilah yang masih diragui keberkesanannya oleh sesetengah penulis walaupun telah lama selepas kemerdekaan dicapai dan Malaysia telahpun dibentuk, kerana masih ada yang menuduh bahawa pentadbiran Tunku [yang pro-British] itu hanya merupakan gaya dan rupa tetapi tiada pengisian berhubung dengan kuasa [roh] orang Melayu (Abdullah Ahmad, 1985: 21-22). Walau bagaimanapun oleh kerana pejuangan nasionalis kanan yang masih mempertahankan status quo masih dianggap sebagai yang lebih benar, maka ia diberikan pemberatan sejarah yang amat ketara terutama dalam sukatan pelajaran sejarah di negara ini dan di muka akhbar-akhbar tempatan main stream, seolah-olah perjuangan kemerdekaan itu adalah hasil perjuangan mereka sahaja.

Perkara ini membawa kita kepada sekelompok manusia lain yang juga pernah memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, iatu Parti Komunis Malaya (PKM). Kebanyakan tulisan telah membuktikan bahawa ramai ahli PKM adalah orang-orang Cina yang berkiblatkan Negara China. Ini tidak dapat disangkal. Namun dalam kalangan ahliahlinya terdapat juga orang-orang Melayu dan India yang mungkin tidak berkiblatkan negara China. Peranan ahli-ahli yang bukan Cina ini amat sedikit diberikan perhatian apatah lagi dikaji dengan mendalam, kecuali tulisan-tulisan biografi bekas ahli itu sendiri. Lewat pada tahun 2009, banyak isu berhubung dengan PKM dan ahli-ahlinya, terutama yang berbangsa Melayu diperkatakan dalam akhbar-akhbar tempatan. Wartawan The Star dan akhbar mingguannya the Sunday Star, seperti Martin Vengadesan, sebagai contoh, telah dapat mengesan ahli-ahli Melayu PKM yang membuat perkampungan di Chulabhorn di Daerah Narathiwat di Selatan Thailand. Di antara ahli-ahli yang berjaya ditemui dan diwawancara ialah Abdullah C.D.yang pernah menjadi pengerusi PKM, isterinya Suriani (asalnya Eng Ming Ching), Rashid Maidin, Abu Samah Mohd. Kassim, Ibrahim Chik, Abdullah Sudin, Liau Chin Sun @ Mamat Abdullah, Ramasamy Letchumanan, dan lain-lain (Sunday Star, 29 Nov.2009). Kebanyakan mereka berasal

10

dari Temerloh, Pahang. Ini juga merupakan satu maklumat yang menarik bahawa Temerloh merupakan wadah penyibaran PKM dan perlu dikaji.

Salah seorang bekas ketua Regimen ke-10 PKM, Awang Ismail @ Shukor, menjelaskan bahawa dia asalnya seorang petani yang sangat kecewa di atas kembalinya pemerintah British selepas Jepun. Dia telah bertahan dengan melalui banyak

kesengsaraan semasa Jepun dan menjadi ahli Angkatan Pemuda Insaf (API) untuk memperjuangkan kemerdekaan. Namun API telah diharamkan. Dia merasai ia tiada pilihan kecuali masuk ke dalam hutan dan meneruskan perjuangan bersama-sama PKM. Rakannya, Mamat Abdullah (nama asalnya Liau Chin Sun) juga mengalami kekecewaan yang sama. Dia telah menyertai Tentera Tani dan dipenjara British selama 40 hari, tetapi berjaya melepaskan diri dan masuk ke hutan dan menjadi ahli Regimen ke-6 PKM. Di situ dia menemui Siti Mariam yang juga dari Temerloh dan mengahwininya. Bagi Siti Mariam, yang semasa diwawancara berumur 83 tahun, apa yang dilakukannya tidak salah kerana dia berjuang untuk negara, bangsa dan tanah air. Malah perjuangannya direstui ibunya yang sanggup menjaga dua orang anaknya yang ditinggalkan. Pandangannya disokong oleh Awang Yaakob, juga dari Temerloh, seorang alim yang berpandangan bahawa sebagai ahli PKM, ia tidak bercanggah dengan agama dan ideologinya. Dia semata-mata tidak mahu menerima British lagi.

Rencana yang ditulis dalam akhbar-akhbar tempatan sebagai alternative history seperti di atas, telah mendapat reaksi yang berbeza dari kalangan ahli akademik dan juga masyarakat umum. Seorang sarjana sejarah yang terkenal mengatakan bahawa pandangan ahli-ahli PKM itu sangat sempit. Sistem politik mereka telah runtuh di seluruh dunia.1 Dalam akhbar yang sama seorang sejarawan yang lain yang tidak kurang kesarjanaannya mengatakan bahawa PKM-lah yang telah membantu mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.2 Ini diperkukuhkan oleh seorang ahli politik dari parti Sosialis Malaya yang berpandangan bahawa ahli-ahli PKM merupakan pejuang-pejuang tulin kemerdekaan yang menuntut kesaksamaan hak yang merentasi batasan bangsa dan agama tetapi tidak

1 2

Prof. Emeritus Tan Sri Dato Khoo Kay Kim dalam Sunday Star, 29 Nov. 2009. Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin, ibid.

11

pernah diiktiraf kerana menentang status quo.3 Pandangan yang akhir ini dikritik oleh orang-orang lain dari golongan masyarakat umum. Ada juga yang berpendapat bahawa kajian mengenai perkampungan bekas PKM itu tidak sepatutnya diberi liputan langsung. Komen-komen itu lebih diasaskan kepada emosi dan sentimen benci terhadap ahli-ahli komunis keseluruhannya. Malah, beberapa orang yang pernah menjadi mangsa keganasan komunis dan telah tercedera, mengancam untuk membunuh orang seperti Chin Peng (Setiausaha Agong PKM yang bertemu dengan Tunku pada 1955 di Baling) dan lain-lain jika mereka dibenarkan pulang ke Malaysia.

Reaksi ke atas kajian dan tulisan mengenai bekas ahli-ahli PKM berbangsa Melayu, dan lain-lain itu jelas menunjukkan bahawa umumnya masyarakat (mungkin bukan sejarawan) belum dapat memisahkan keobjektifan penulisan sejarah dari emosi yang masih menguasai pengadilan moral mereka. Alternative history tiada makna bagi mereka. Ini bukan kesalahan pengkaji sejarah yang mahu mengenalkan penulisan sejarah alternatif tersebut. Tetapi ini juga menjadi petunjuk kepada kita bahawa pemilihan tajuktajuk penyelidikan dan penulisan sejarah dalam negara masih amat terkongkong kepada yang kiri mahupun yang kanan mahupun yang rapat dengan status quo. Soalnya ialah, siapakah pula yang menentukan kecondongan kiri dan kanan itu dan mengekang kebebasan penyelidikan dan penulisan sejarah? Adakah penerbit-penerbit buku sejarah bebas untuk menerbitkan kajian-kajian yang bukan main stream? Bebaskah ahli-ahli sejarah menyelidik dan menulis sejarah yang berbeza daripada yang main stream di negara ini tanpa dipengaruhi oleh sentimen politik dan prejudis masyarakat? Hakikatnya juga terdapat dokumen-dokumen yang telah lama diletakkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kerahsiaan Rasmi (Official Secrets Act) yang sudah tidak lagi mengancam keselamatan dan tidak lagi rasmi, namun masih belum dibuka kerana belum mendapat kebenaran dari Perdana Menetri. Malah ada juga dokumen-dokumen yang selama ini tidak mengancam mana-mana pihak, tetapi kerana dibangkitkan sebagai isu politik oleh pembangkang, juga diletakkan di bawah kawalan dan tidak dibuka kepada penyelidik. Demikianlah juga halnya di zaman British selepas Perang Dunia Kedua dan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pejuang-pejuang kemerdekaan yang mengikut3

Dr. Nasir Hashim, ibid.

12

acuan British dianggap kanan dan main stream, sebaliknya yang alternatif itu dianggap kiri dan radikal. Nampaknya ciri-ciri ini masih diwarisi dalam negara ini sehingga sekarang.

III Penulisan Sejarah Dari Atas atau Bawah Sehubungan dengan konsep nasionalis kanan dan kiri adalah tulisan sejarah dari atas dan bawah. Tajuk-tajuk penyelidikan dan penulisan sejarah yang berasaskan kepada pihak yang berkuasa dalam bidang politik, ekonomi, mahupun sosial, yang dilihat dan dianggap penting, yang masyhur, dan yang mempunyai kesan-kesan sejarah yang dapat dibuktikan dengan penggunaan sumber-sumber rasmi dan sebagainya, dianggap sebagai sejarah dari atas. Demikianlah maka kita dapati banyak tulisan mengenai rajaraja, sistem pentadbiran, parti-parti politik, tokoh-tokoh politik yang besar-besar, rancangan-rancangan pembangunan dan industeri yang hebat-hebat. Sejarah dilihat dari kacamata pemerintah (kerajaan), pentadbir dan pembuat dasar. Namun berhubung dengan isu-isu kemerdekaan, sejarah dari ataspun masih ada lagi yang perlu dikaji. Contohnya, apakah perbincangan secara terinci yang berlaku di antara wakil-wakil British di London dan setiap wakil kaum dari Malaysia? Secara umum kita juga tahu bahawa terdapat bekas pegawai-pegawai British di Malaya yang menyokong ataupun membantah penubuhan Malyan Union. Kerajaan British pada masa itu juga terdesak untuk memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahannya kerana tekanan politik Amerika Syarikat. At the end of the war it seemed as though the disestablishment of the British Empire was the first object of American Policy (Northedge, F.S. 1962:182). Perkara ini hanya disebut tetapi belum dikaji.

Di Tanah Melayu pula, beberapa jawatankuasa telah dibentuk untuk membincangkan hal-hal asas, seperti soal pertahanan dan keselamatan, kewangan dan perkhidmatan awam, tentang perubahan-perubahan perlembagaan serta hal-hal

berhubung dengan me-Melaya-kan Perkhidmatan Awam dan peranan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Semua perbincangan yang kerap dipengerusikan oleh Setiausaha

13

Kerajaan jarang dikaji secara terperinci. Saya beranggapan setiap ahli yang menjadi Ahli Jawatankuasa yang tersebut mempunyai dokumen-dokumen peribadi dan rasmi yang amat penting. Dokumen-dokumen ini penting untuk menjelaskan perincian semua

perbincangan yang menuju kepada kemerdekaan. Jangan sampai kita terlepas dokumen peribadi seperti itu ke negara luar.4

Sebaliknya tulisan sejarah dari kacamata yang diperintah, yang ditadbir dan yang menerima dasar pula, iaitu, mengenai orang-orang bawahan, masih banyak yang belum dilakukan. Mujur juga ada jabatan-jabatan sejarah di universiti-universiti yang

menggalakkan pelajar-pelajar tahun akhirnya membuat latihan-latihan ilmiah atau tesis Sarjana dan Kedoktoran mengenai golongan bawahan ini.

Sejarah dari bawah adalah mengenai sejarah orang-orang kecil, yang tiada nama, tiada kedudukan dan tiada pengaruh yang ketara. Mereka semata-mata merupakan wajah-wajah di khalayak ramai (faces in the crowd)5. Mereka adalah seperti anggota tentera dan pasukan keselamatan, petani-petani, penoreh getah, penarik beca, nelayan penjaja-penjaja, suri-suri rumah tangga, jururawat, bidan-bidan kampung dan sebagainya. Tulisan mengenai mereka dalam tempoh 1945-1957 jarang dijumpai. Namun sejarah mengenai buruh dan perburuhan banyak juga dilakukan. Itupun mungkin kerana ia dihubungkaitkan dengan gerakan PKM dan Kesatuan-Kesatuan Sekerja.

Sejarah mengenai pasukan keselamatan, seperti Angkatan Laut, Darat dan Udara dalam tempoh ini juga jarang dikaji. Sejarah PKM banyak juga diselidik dan ditulis. Sebaliknya sejarah pasukan yang melawannya amat kurang, sedangkan kita tahu bahawa peranan dan sumbangan mereka amat penting. Tanpa mereka Darurat tidak mungkin tamat. Kita semua tahu bahawa Semenanjung Tanah Melayu menghadapi tentangan dari PKM yang merusuh dan mengganas. Yang menjadi mangsa adalah pentadbir-pentadbir British dan orang-orang awam di kampung-kampung, khususnya yang berada di kawasan4 5

Dokumen-dokumen peribadi Tun H.S.Lee telah terlepas kepada kerajaan Singapura. Istilah ini dikenalkan oleh George Rude, salah seorang sejarawan sejarah dari bawah. Lihat tulisannya dalam, (1988). The faces of the Crowd. Studies in Revolution, Ideology and PopularProtest, disunting oleh Harvey J.Kaye. New York: Harvester, Wheatsheaf.

14

pedalaman. Dharurat yang diisytiharkan pada 1948 dan berlanjutan sehingga 1960 telah mengeruhkan perhubungan di antara kaum di Tanah Melayu. Walaupun sebuah Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat (Communities Liaison Committee / CLC) telah dibentuk pada 1949, keadaan ini tetap menyulitkan langkah-langkah keselamatan. Sejauh manakah CLC berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam tempoh ini? Apakah strategi pasukan keselamatan untuk mengatasi rusuhan-rusuhan tersebut? Bagaimanakah setiap pasukan diarahkan untuk menentang pengganas-pengganas? Siapakah anggota-anggota pasukan keselamatan itu, latar belakang mereka, keluarga mereka, pendidikan mereka dan iltizam mereka? Di sepanjang tempoh Dharurat kira-kira 13,000 orang telah terbunuh. Apakah yang terjadi kepada keluarga-keluarga yang ditinggalkan? Malah, hal-hal keselamatan itu dibantu juga oleh orang-orang kampung sendiri, dalam bentuk pasukan Home Guard, dan Special Constables (SC) yang dilatih oleh anggota tentera ataupun polis secara ad hoc. Mereka terdiri daripada kaum lelaki dan juga wanita. Peranan mereka jarang dikaji oleh ahli-ahli sejarah. Kita juga pernah mendengar tentang kumpulan-kumpulan pertahanan yang diketuai oleh orang-orang alim yang dikatakan kebal. Tanya sahaja orang-orang kampung yang sezaman dan masih hidup tentang kumpulan-kumpulan ini, mereka dapat menceritakannya semula. Malah peristiwa-peristiwa dharurat itu juga masih jelas dalam peringatan kebanyakan mereka.

Beberapa buah nukilan orang-orang yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan tanah air, seperti yang ditulis Lt.Commander Linus Lusang Janti, Commanding Officer di Sungai Terendak Military Camp di Melaka amat penting dalam sejarah tentera yang menjaga dan mempertahankan keselamatan dalam negara. Bukunya, The Little Iban in the Mountain (The Star, 29.5.2010) boleh dianggap sebagai sumber primer. Demikian juga dengan anggota tentera Gurkha dari Nepal yang terkenal kerana kegagahan mereka dan telah gugur semasa Dharurat bersama-sama dengan tentera dari Australia, New Zealand, Britain, India, dan sebagainya.

[Saya sendiri masih terbayang pada awal 1950-an, bagaimana rentetan bom dijatuhkan dari kapal terbang ke kawasan-kawasan hutan yang dipercayai menjadi tempat persembunyian musuh-musuh. Saya masih mendengar terngiang-ngiang bunyi tembakan

15

yang bertalu-talu dan sejurus selepas itu beberapa orang dari pasukan keselamatan diusung keluar dari arah Banir (kampung bersebelahan) berlumuran darah melalui jalan keretapi dekat sekolah saya, Sekolah Melayu Temoh. Sebutir peluru yang tidak meletup masuk dalam bilik darjah. Namun, nampakanya (dari pandangan saya seorang kanakkanak) guru-guru dan ibu-bapa tidak risaukan keselamatan anak-anak mereka. Kami tidak disuruh pulang, mahupun dijemput oleh ibu-bapa selepas kelas tamat. Apakah perasaan orang-orang kampung, guru-guru dan ibu-bapa semasa itu? Saya yang baru berumur 9 tahun merasakan peristiwa itu macam lakonan sandiwara sahaja, yang kadangkadang dilakonkan oleh murid-murid senior semasa majlis penyampaian hadiah. Saya dan rakan-rakan juga tidak berasa takut. Jika semua ini dikaji dan ditulis, ia akan menjadi sejarah politik dan sosial yang amat menarik].

Soal keselamatan di zaman Dharurat merupakan isu yang sangat penting. Kerajaan British dan kemudian kerajaan merdeka membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk hal-hal pertahanan dan keselamatan. Malah telah menjadi tujuan

penting dalam Deraf Rancangan Pembangunan Tanah Melayu dan Rancangan Malaya Pertama (1950-1960) peruntukan yang terbesar diagihkan untuk sektor ini. Ini adalah yang dikehendaki oleh kerajaan British sebelum memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. The attainment of full self-government implies the principle of financial self-sufficiency; and that the Federation should go forward to full selfgovernment in circumstances that will give a fair assurance of its future financial stabilityBut if the vitally important position of the Federation in the world-wide struggle against communism was to be secured, then operations in the military sphere must be backed by a sound and vigorous programme of economic and social developments. (London Constitutional Conference 1956).6

6

Dalam Badriyah Haji Salleh (2007). Jejak-Jejak Pembangunan 1957-2007. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, hlm. 20.

16

Kita memang tidak boleh menafikan kepentingan pertahanan dan pasukan keselamatan dalam tempoh ini (dan juga tempoh-tempoh lain dalam mana-mana negara), tetapi dalam kajian sejarah, peranan pasukan keselamatan, termasuk polis, tentera laut, darat dan udara, kerap terabai. Kepentingan mereka memang diakui, tetapi sumbangan mereka jarang direkodkan. Inilah kedudukan orang-orang bawahan dalam sejarah. Mereka sering dipinggirkan. Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Radio Malaya pada 22hb Februari 1956 menyatakan bahawa Pasukan Keselamatan Persekutuan, termasuk Tentera Laut dan Udara akan dikembangkan untuk menunjukkan kepada orangorang yang cenderung untuk menguasai Tanah Melayu bahawa kita bukan sahaja akan terus berjuang mempertahankan kemerdekaan kita, tetapi juga keselamatan Komonwel (Tunku Abdul Rahman, 2007: 122). Jelas, cita-cita Tunku berhubung dengan peranan pasukan keselamatan bukan terhad kepada Tanah Semenanjung, tetapi merentasi kawasan negara-negara bekas jajahan British dahulu.

Dalam mempertahankan tanah air, Orang-Orang Asli juga telah digunakan, seperti dalam pasukan Senoi Prag. Kajian mengenainya sangat wajar dibuat dan dicatatkan dalam sejarah pertahanan tanah air. Malah, dalam tempoh ini, apakah perkembangan atau rancangan yang dilaksanakan kerajaan dalam pembangunan Orang Asli umumnya, kerana mereka yang kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman juga dipergunakan oleh PKM untuk faedah komunis. Untuk mengelakkan keadaan ini berterusan pihak British telah mengarahkan Orang-orang Asli ini berpindah ke kawasan lain, sepertimana juga ribuan orang-orang Cina dari kawasan pedalaman. Sebagai contoh, Orang Asli dari Kampung Sunggala dekat Port Dickson yang telah tinggal selama beberapa keturunan diarah pindah ke tempat lain dan sekarang mereka mahu menuntut hak ke atas tanah adat di tempat asal mereka (The Star, 25.3.2010).

Dalam masa Dharurat banyak keganasan dilakukan oleh PKM seperti pembakaran kenderaan awam, tempat-tempat dan bangunan-bangunan penting bertujuan untuk menakutkan masyarakat dan memporak-purandakan keadaan. Tujuan mereka memang dapat dicapai. Peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 telah mengorbankan 25 nyawa amat mengharukan. Sebaliknya peristiwa pembunuhan 25 orang petani Cina oleh

17

askar Scot / British di Batang Kali, Selangor, juga amat mengejutkan (The Star, 17.4.2010). Peristiwa-peristiwa ini perlu penyelidikan teliti oleh ahli-ahli sejarah.

Banyak pihak telah berkorban untuk keselamatan negara atau diri masing-masing di zaman rusuhan. Sebagai contoh juga, adalah kumpulan pasukan Malayan Volunteers Group (MVG) yang ahli-ahlinya terdiri dari golongan elit. Pasukan ini ditubuhkan secara sukarela oleh orang lelaki Melayu, Cina, India dan juga Eurasian yang mempunyai jawatan penting sebagai guru, peniaga, saudagar, dan profesyen yang lain. Mereka juga adalah orang-orang berwang. Tujuan asal mereka adalah untuk mempertahankan diri dari Jepun, tetapi berterusan ke zaman selepasnya. Jumlah sukarelawan keseluruhannya

dikatakan seramai 18,000 orang. Hal ini dikisahkan oleh anak-anak dan saudara mara sukarelawan tersebut yang kebanyakannya terkorban semasa Jepun atau selepasnya kerana mempertahankan diri dan negara. Seorang anak saudara (Andrew Hwang) kepada dua orang ahli MVG menceritakan bagaimana dua orang bapa saudaranya, Captain Cho Siew Lim dan seorang lagi Company Quarter Master Sergent (CQMS) Tan Kim Tee dari Melaka telah terkorban pada awal pemerintahan Jepun. Captain Cho telah dibunuh sedangkan CQMS Tan yang ada isteri dan dua orang anak perempuan, meninggal dunia semasa cuba melepaskan diri dari musuh. Kebanyakan yang lain jika ditangkap dengan berpakaian uniform dipenjara sebagai tawanan perang dan yang lain sebagai tawanan awam (The Star, 20.2.2010). Badan Warisan Malaysia patut dipuji kerana berjaya mengumpulkan saudara mara ahli-ahli MVG ini untuk mengisahkan peranan saudara mara mereka.

Tunku juga dalam ucapannya di Melaka sekembalinya dari rundingan kemerdekaan di London pada 2hb Februari 1956 mengucapkan jutaan terima kasih kepada ribuan orang Melayu, lelaki, wanita dan kanak-kanak yang telah memberikan sokongan kepadanya dan rombongannya dengan semangat dan wang ringgit. Dengan sokongan tersebut beliau dapat mencapai kejayaan yang tiada bandingannya di dunia (Tunku Abdul Rahman, 2007: 111-112). Siapakah ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang disebut Tunku? Pernah diceritakan bahawa wanita-wanita dengan sukarela telah menanggalkan gelang dan rantai emas mereka secara spontan untuk membiayai Tunku

18

dan rombongannya ke London. Dalam kisah-kisah seperti ini, di antara nama-nama yang muncul ialah Puan Dasimah Dasir, ustazah Khairon Mohammad Ali dari Pulau Pinasng, Aishah Ghani, Hajah Zain Sulaiman, dari negeri-negeri lain di Semenanjung. Siapakah mereka sebenarnya yang begitu bersemangat dan dapat mempengaruhi wanita-wanita lain untuk berkorban bagi mendapatkan kemerdekaan tanah air? Tan Sri Hajah Aishah Ghani kemudian menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat. Hajah Zain atau Ibu Zain, merupakan seorang pendidik dan juga ahli politik yang berpengaruh dalam UMNO. Tetapi banyak wanita bawahan masih perlu dikaji.

Sebagai contoh, di antara 1946 hingga 1957, wanita-wanita biasa seperti Khairon Mohamad Ali yang berasal dari Jelutong Pulau Pinang adalah seorang kanak-kanak yang menjadi dewasa di zaman Malayan Union dan sebelum kemerdekaan. Beliau yang mendapat pendidikan lewat kerana pendudukan Jepun, mula celek huruf atas jasa seorang guru agama, Ustazah Shaharom Bee Sheik Mohammad, yang pernah mengajar di Madrasah A-Masyhur di Pulau Pinang. Selepas Jepun, barulah Khairon dapat

meneruskan pelajarannya secara formal di Madrasah al-Masyhur yang sama, sehinggalah dia menjadi tenaga pengajar di situ juga. Tahun 1946 1957 menjadikan Khairon seorang pelajar dan kemudian guru agama yang sangat nasionalistik, kerana dia juga merasai bahang tuntutan kemerdekaan yang dilaung-laungkan dalam tempoh tersebut. Dia dan rakan-rakan seperjuangannya yang baru berumur awal belasan tahun (13-14 tahun) segera menjadi dewasa dan telah bersama-sama menyuarakan semangat kebangsaan mereka melalui debat yang kerap diadakan dalam kalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah agama / madrasah-madrasah. Semangat seperti ini biasanya disemai oleh guru-guru lepasan sekolah-sekolah / madrasah di Indonesia dan ustaz-ustaz dari Timur Tengah. Sememangnya kawasan-kawasan tersebut telah terlebih dahulu melaung-

laungkan kemerdekaan dan reformasi sosio-politik dan ekonomi. Perjuangan wanitawanita seperti Khairon telah juga dinukilkan dalam majalah-majalah seperti Hiboran. Mereka telah meluahkan perasaan nasionalis mereka melalui sajak-sajak. Sebagai contoh sajaknya ialah:

19

Termenung

Aku termenung sembari berfikir Aku sahajakah wanita pelupur! Aku seorangkah puteri perjuangan? Ah, tidak. Banyak bilangannya. Tetapi mengapa nasibku begini Setiap perjuangan kecewa bersilang Mala petaka menimpa diri Jiwaku mengeluh! Oh, dunia! Sungguh banyak ragam fitnah Hasratku terasa lemah Hampirkan tewas Tetapi semangatku kembali tegak Bila teringat sepatah kata Kebahagian takkann tercipta Sebelum menderita!

Hiboran, Jld 218, 20.10. 1951, hlm 6.

Sajak di atas jelas menyuarakan kekecewaan dan juga harapan seorang yang sedang menunggu hari kebebasan./ kemerdekaan. Mungkin dia tidak sabar melihat orangorang lain yang tidak seghairah sepertinya. Semasa mewawancara Khairon Mohamad Ali, banyak isu disebut tetapi tidak diberikan tekanan. Isu-isu ini boleh dikaji lagi secara mendalam. Di antaranya ialah, peranan guru-guru agama yang menyuntikkan semangat nasionalisme dalam kalangan murid-murid mereka, khususnya wanita-wanita (Badriyah Haji Salleh, 1997: 74-88). Apakah bentuk perjuangan lain yang diusahakan oleh wanitawanita seperti Khairon? Apakah bentuk-bentuk pengorbanan kaum ibu yang kebanyakannya tidak mempunyai pendidikan tinggi, malah mungkin ada yang buta huruf,

20

dalam tuntutan kemerdekaan, tetapi dengan sukarela menghadiahkan barang-barang kemas mereka untuk membiayai pemimpin-pemimpin kemerdekaan? Kajian juga boleh dibuat mengenai kesedaran kumpulan kanak-kanak (awal belasan tahun) yang sudah matang dan bersama-sama memperjuangkan dan melaungkan kemerdekaan. Semangat mereka dapat dikaji dari pertubuhan-pertubuhan seperti Sahabat Pena, Hiboran, dan lainlain yang mempunyai ratusan ahli dari semua negeri dan lapisan masyarakat. Mereka inilah yang mungkin dianjurkan ucapan terima kasih Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Melaka. Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu menyeluruh, dari atas ke bawah dan sebaliknya.

Namun, malang sekali kerana apabila Akta Universiti dan Kolej dikuatkuasakan pada pertengahan 1970-an, pelajar-pelajar universiti dan kolej yang puratanya berumur awal 20 tahun telah disekat daripada aktiviti politik. Bayangkan pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang berpendidkan tinggi dan mempunyai semangat berkobar-kobar, dinafikan kebebasan mereka untuk bersuara, kecuali suara yang dibenarkan! Bandingkan mereka dengan gadis-gadis sunti dan belia-belia belasan tahun yang amat kurang pendidikan di zaman 1945-1957 yang bersama-sama pemimpin-pemimpin

memperjuangkan dan merealisasikan kemerdekaan! Tunku Abdul Rahman dalam perjalanan pergi dan kembali dari London pada 1956 telah singgah dan disambut oleh 114 orang pelajar Melayu di Mesir yang masing-masing memberikan sokongan padu kepada rombongannya (Tunku Abdul Rahman, 2007: 115). Siapakah pelajar-pelajar ini dan apakah peranan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan?

Apa yang saya sebutkan di atas semata-mata mengenai segelintir golongan bawahan dalam perjuangan kemerdekaan. Apa pula halnya dengan peranan orang-orang bawahan dalam pembangunan sosio-ekonomi? Semasa Jepun dan Dharurat ribuan

penduduk bandar telah berpindah ke kawasan-kawasan luar bandar untuk menjadi petanipetani dan meneroka ribuan ekar tanah setinggan. Ini telah menyebabkan perubahanperubahan penting dalam sejarah penduduk dan kependudukan. Francis Loh Kok Wah dalam kajiannya telah meneliti perkembangan kampung-kampung setinggan dalam

21

tempoh 1940-an dan 1950-an di daerah Kinta Perak (lihat, Francis Loh Kok Wah, 1988). Apa pula halnya dengan ribuan kawasan yang lain di seluruh Semenanjung? Di zaman peperangan dan dharurat kerajaan mungkin membiarkan mereka terus mengerjakan tanah-tanah ini kerana kekurangan makanan. Apakah perkembangannya? Apakah status petani-petani ini? Hal ini ada kaitannya juga dengan pembukaan kampung-kampung baru di bawah Rancangan Briggs yang menunjukkan perpindahan ribuan orang dari luar bandar ke kawasan-kawasan kampung-kampung baru yang dikawal, dan kemudian ada yang menjadi bandar, seperti Petaling Jaya? Sejarah perkembangan bebrapa buah

kampung baru ini telah dikaji dan ditulis, namun masih banyak lagi yang belum (lihat, Wong Siew Kuon, 1999).

Apabila kita kaji tentang perkembangan sejarah, sewajarnya kita kaji juga sejarah perkembangan keluarga. Dalam tempoh 1945-1957 banyak keluarga melalui pelbagai pengalaman. Ada yang bernasib baik, dari segi keselamatan, kesihatan, ekonomi dan juga sosial. Namun ada juga yang bernasib sebaliknya, seperti apabila terdapat salah seorang atau beberapa orang ahlinya terbunuh, mati kerana penyakit, miskin kerana berpindah randah, atau berubah cara hidup secara mendadak kerana berubah tempat tinggal. Penelitian kajian tentang perubahan-perubahan di dalam keluarga, seperti daripada petani, menjadi penjaja, daripada guru kepada nelayan, daripada seorang penoreh getah menjadi ketua kampong, dan sebagainya, akan mewujudkan satu gedung sejarah masyarakat yang penting dan menarik.

Tempoh 1945-1957 adalah tempoh yang penuh dengan sejarah politik, ekonomi dan sosial yang penting. Tidak kira sama ada ia ditulis mengenai yang radikal mahupun yang berkuasa, ataupun mengenai pahlawan-pahlawan yang tidak disanjung.

IV Sejarah yang Patut / Tidak Patut Kamus Dewan mengertikan patut sebagai baik dan elok. Jika ditambahkan dengan penambahan se-patut-nya, maka ia bererti tidak lebih dan tidak kurang. Dalam

22

penulisan sejarah, perkataan patut boleh digunakan dengan makna yang disebutkan dalam Kamus Dewan itu. Ia juga boleh digunakan dengan penambahan senya dengan maksud yang sama, bererti sejarah memang patut atau elok ditulis dan dalam hal yang lebih penting, sejarah memang sepatutnya atau sewajarnya ditulis tidak lebih dan tidak kurang. Sebaliknya adakah terdapat sejarah yang tidak patut ditulis, kerana istilah patut tidak patut ini pula sangat subjektif sifatnya.

Sebagai contoh, Perlembagaan Malaysia menentukan mengikut Klaus (2) Artikel 181 bahawa kecuali dalam Mahkamah Khas7 yang ditubuhkan di bawah bahagian XV, tidak ada prosiding di mana-mana mahkamah boleh dilakukan ke atas seorang Raja yang memerintah sebuah negeri dalam kapasiti peribadinya (Tun Mohamed Suffian, 2007:43). Dalam tempoh 1945-1957, terdapat tanggapan yang tidak jelas menyatakan ada Raja yang pro-Jepun, ataupun juga yang pro-British. Pernyataan tersebut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan-kenyataan bahawa Raja-Raja amat mudah tunduk kepada kuasa-kuasa tertentu untuk kepentingan mereka sendiri, contohnya dalam pembentukan Malayan Union. Adalah difahamkan juga bahawa Raja-raja telah dipersepakati dalam perbincangan mengenai kemerdekaan. Peranan mereka penting dan patut direkodkan secara terperinci. Soalnya, sejauh manakah ahli sejarah boleh menyelidik dan menulis secara objektif tentang peranan Raja-Raja itu? Atau, oleh kerana adanya perlindungan imuniti ke atas Raja mengikut Klaus (2) Artikel 181, maka ahli sejarah hanya boleh menulis tentang yang patut dan mengelakkan yang tidak patut!

Sehubungan dengan itu juga Perlembagaan Malaysia telah menentukan mengikut Artikel 160 (2) bahawa seorang Melayu adalah yang beragama Islam, yang pada kebiasaannya berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya dan adat istiadat Melayu (Tun Mohamed Suffian, 2007: 363). Artikel ini boleh dihubungkan dengan Artikel 153 mengenai Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu dan juga Artikel 89 berhubung dengan Tanah Simpanan Melayu. Saya fikir definisi Melayu mengikut Artikel 160 (2) yang longgar itu sebenarnya bijak. Jika kita ikuti perkembangan sejarah mengenai bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, beberapa perdebatan hangat dalam akhbar7

Mahkamah Khas ini hanya diwujudkan pada 1993.

23

akhbar dan di kalangan pertubuhan-pertubuhan Melayu pada 1930-an mengenai siapakah orang Melayu itu, telah meretakkan hubungan dalam kalangan orang-orang dari keturunan Melayu, DKA (Darah Keturunan Arab) dan DKK (Darah Keturunan Keling). Namun selepas 1946 isu tersebut secara perlahan-lahan menjadi perkara yang bukan isu lagi. Sesiapa sahaja yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan berbudaya Melayu adalah orang Melayu dan boleh menjadi ahli UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Sudah tidak menjadi isu lagi jika pemimpin-pemimpinya dari orang yang mengikut keturunan darahnya adalah Melayu, DKA ataupun DKK. Perkembangan ini juga selaras dengan perubahan penerimaan dan tafsiran British secara rasmi mengenai orang Melayu. Banci Penduduk Persekutuan Tanah Melayu 1947 menjelaskan, for the Malays themselves are, to a large extent, descended from the Malays of the East Coast of Sumatrafrom whom they are ethnographically indistinguishableall but a handful of them are of the Muslim faith and speak the Malay languagethey tend to form a single community8 UMNO sebenarnya lebih luas penerimaan definisi mengenai Melayu itu mengikut yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan bukan mengikut definisi Banci Penduduk 1947 yang menganggap Melayu sebagai mereka yang dari keturunan Melayu dan juga datang dari Sumatra Timur. Sejarah evolusi Bangsa Melayu patut diteliti dan dijelaskan kerana definisi mengikut Perlembagaan ada implikasinya ke atas Artikel 153 dan Artikel 89.

Kajian mengenai sejarah perkembangan evolusi Bangsa Melayu memang patut dijalankan kerana definisi Melayu sudah menjadi lebih berliku-liku. Sebagai contoh, Rehman Rashid9,dilahirkan pada 1955, adalah seorang ketua penulis dalam New Straits Times, kemudian menganggotai Asiaweek, dan lain-lain majalah antarabangsa, adalah anak seorang guru Melayu berketurunan India utara, Punjab dan Afghanistan yang dikatakan ada juga hubungan dengan nasab Nabi Muhammad.S.A.W. Datuknya telah berhijrah ke Tanah Melayu selepas Pemberontakan India 1857, adalah orang yang kuat pegangan agama Islam. Dia menetap di Taiping, Perak dan berkahwin dengan orang Melayu. Ibu Rehman pula berketurunan keluarga India yang berasal dari Tamil Nadu,8

Federation of Malaya (1949). A Report on the 1947 Census of Population of Malaya comprising the Federation of Malaya and Singapore .London: Malaya House, hlm 72. 9 Rehman Rashid (1997). A Malaysian Journey. Petaling Jaya: Rehman Rashid, hlm 39-43.

24

yang berhijrah ke Semenanjung pada awal kurun ke-20. Datuk Rehman di sebelah ibu bernama Ratnam dilahirkan di Teluk Anson (Teluk Intan) adalah seorang yang beragama Hindu. Dia bekerja dengan syarikat Telekom dan Keretapi Tanah Melayu, dan berkahwin dengan seorang Serani lalu menukarkan agamanya kepada Katholik. Nenek Serani ini pula adalah anak seorang wanita China di Pulau Pinang yang berkahwin dengan seorang Melayu berketurunan Aceh yang kemudian menukarkan agamanya kepada Kristian. Ibu Rehman diasuh dan dididik oleh neneknya yang berketurunan Serani tadi bersama bapanya seorang yang berketurunan India dan beragama Kristian. Apabila berkahwin dengan bapanya, Rashid Ismail, dia masuk Islam dan menukar namanya daripada Rita Lucy Rukumani Ratnam kepada Rosna binti Abdullah. Berasaskan perjalanan hidup sedemikian, Rehman Rashid menegaskan bahawa negaranya (Tanah Melayu, sekarang Malaysia) merupakan penggembelingan pelbagai arus sejarah, dari pengaruh Hindu dan Eropah kepada India dan China, yang bertembung dan bersatu mengikut arus zaman, akhirnya mewujudkan budaya Melayu (dalam dirinya), walaupun bahasa penyatuan bapa dan ibunya sendiri (masih di zaman kolonial British) adalah Bahasa Inggeris. Bagi Rehman Rashid yang sedang menentukan identitinya dalam negara ini, jenerasi ibubapanya adalah Malayan (Rehman Rashid, 1997: 42).

Dari pengalaman di atas, beberapa isu boleh dikemukakan, iaitu, seorang yang berketurunan Melayu-India-China-Afghanistan-Arab, dan lain-lain, yang menjiwai ketaat-setiaan kepada negara, tetapi lebih menggunakan bahasa bukan bahasa Melayu, adakah dia kurang nasionalistik, atau tidak lagi boleh dianggap Melayu, sedangkan syarat-syarat Melayu yang lain ada? Justeru, seorang yang berbudaya Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam, tetapi bukan berketurunan Melayu, bolehkah dianggap Melayu? Soalan-soalan ini merupakan soalan-soalan akademik yang menarik. Kerana sebab itu jugalah maka kajian tentang sejarah keturunan-keturunan atau keluarga boleh menjadi penting dan juga menarik, dan patut dilakukan. Konsep Malayan seperti yang disebut Rehman Rashid mungkin boleh dipertimbangkan asalkan tidak bercanggah dengan Artikel Perlembagaan (Pindaan), 1971, yang tidak sepatutnya menimbulkan rasa tidak senang berhubung dengan perkara-perkara tertentu yang sensitive.

25

Mengenai sejarah perkembangan dan perubahan berhubung pengertian Melayu, Anthony Reid telah menghujahkannya secara terperinci dalam kajiannya (Anthony Reid, 2004: 1-24). Mengikut pandangannya dalam membincangkan nasionalisme Melayu, secara teorinya memang terdapat perbezaan di antara nasionalisme Melayu yang berteraskan bangsa dan nasionalisme Melayu yang berteraskan sivik. Nasionalis Melayu yang berteraskan bangsa tidak mempunyai sempadan kawasan yang jelas, justeru, mereka cuba mewujudkan sempadan-sempadan dan status politik. Konsep ini diikuti oleh pejuang-pejuang Melayu-Raya. Mengikut model teritori pula, ia bersempadankan kawasan geografi dan cuba membentuk satu bangsa yang mempunyai kesepaduan budaya. Konsep ini pula adalah ikutan nasionalis kanan. Justeru, dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, bangsa Melayu / Bumiputera dijadikan teras kepada konsep Bangsa di Malaysia (Johan Saravanamuttu, 2004:95). Masih membincangkan sejarah yang patut atau yang tidak patut, saya ingin beralih pula kepada isu-isu pendekatan dalam penulisan sejarah. Mengikut Dr. Hamidin Abdul Hamid, seorang sejarawan tempatan, terdapat dua kumpulan ahli sejarah di Malaysia, iaitu, dari kelompok Rankean dan konvensyional (kebanyakannya dari jabatan Sejarah Universiti Malaya), serta kelompok minoriti sejarawan sosial (dari Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia).10 Saya termasuk dalam kelompok yang kedua. Saya tidak menyangkal kewajaran dan kewibawaan kumpulan Rankean tadi, saya hanya ingin hendak menggalakkan supaya ahli sejarah juga meneroka dan mencuba pendekatanpendekatan lain mengikut perkembangan intelektuel semasa. Saya masih teringat apabila saya mengenalkan teori sejarah dari bawahdalam sejarah Malaysia (Badriyah Haji Salleh, 1996: 154-174) dan menggunakan cerita-cerita rakyat sebagai sumber untuk meneliti sejarah pemikiran masyarakat tradisional, seorang sejarawan Rankean memberi komen secara lisan, sejarah hanya boleh ditulis jika boleh dibuktikan dengan sumbersumber dokumen. Ia bermaksud sejarah yang saya tulis dengan menggunakan ceritacerita rakyat itu tidak patut digunakan. Respons saya terhadap komen tadi ialah, jika

10

Dipetik dari Cheah Boon Kheng (2007). New Perspectives and Research on Malaysian History.Puchong Jaya Selangor: MBRAS, hlm. 1.

26

tiada sumber dokumen, mungkinkah sabjek yang dikaji itu tiada sejarah? Pendekatan penulisan sejarah dari bawah itu diasaskan kepada pendekatan multi-disiplin.

Sebenarnya pendekatan multi-disiplin dalam penulisan sejarah bukan sesuatu yang baru. Ada sejarawan-sejarawan lain termasuk dari luar negara yang menggunakan pendekatan yang sama untuk mengkaji sejarah Malaysia. G.L.Koster, contohnya, telah menulis tentang sejarah politik Johor-Riau dalam kurun ke-19 dengan menggunakan cerita Raja Tedung dan Raja Katak dan mentafsirkannya sebagai sindiran pembesarpembesar Melayu ke atas pemerintahan Sultan Suleiman yang sangat bergantung kepada penasihat-penasihat Bugis (G.L.Koster, 2002:32-53).

Penulisan sejarah Malaysia, khususnya untuk tempoh 1945-1957, patut dilakukan dengan menggunakan teori-teori penulisan sejarah yang pelbagai itu. Apabila beberapa cara pendekatan atau methodology digunakan, pelbagai tafsiran sejarah juga akan dapat dilahirkan. Bertitik tolak kepada teori bahawa sejarah itu merupakan tindak tanduk manusia, dan ia sepatutnya ditulis sepertimana ia benar-benar berlaku, mengikut Leopold von Ranke wie es eigentlich gewesen, maka ahli sejarah patut menerima hakikat tidak ada satu jawapan dalam pentafsiran sejarah itu sendiri, walaupun sabjek yang dikaji dan ditulis adalah yang sama.

Mengikut Cheah Boon Kheng, kebanyakan ahli sejarah di Malaysia tergulung dalam dua kumpulan, iaitu, i) kumpulan Rankean / objektif-empirisis dan ii) kumpulan konstruksionis-analitikal (Cheah Boon Kheng, 2007:137).

Mereka yang dalam kumpulan pertama telah dilatih mengikut teori Ranke dan percaya tentang wajib adanya keobjektifan dalam penulisan sejarah. Sejarah patut ditulis sebagaimana ia benar-benar berlaku. Mereka juga berpendapat bahawa penulisan berpendekatan empirisis, deskriptif dan naratif itu adalah adil, saintifik dan benar. Namun mereka dikritik kerana tulisan mereka dikatakan tidak analitikal kerana tidak menonjolkan suara pelaku-pelaku sejarah, bahasa mereka dan peranan ahli sejarah itu

27

sendiri dalam penulisannya. Keobjektifan dalam penulisan sejarah itu juga sebenarnya bersifat sabjektif, kerana ahli sejarah sendiri yang menentukannya.

Bagi mereka dalam kumpulan yang kedua dan dipengaruhi oleh teori-teori sains sosial, mereka berpandangan bahawa pendekatan konstruksionis dan analitikal itu perlu digunakan. Mereka percaya pendekatan mereka lebih komprehensif dan lebih berupaya menjelaskan kebenaran sejarah itu sendiri. Selain dari menggunakan kaedah deskriptifnaratif seperti dalam kumpulan Rankean, mereka juga menggunakan kaedah statistik dan teori-teori analisis dan konstruksionis seperti yang digunakan dalam disiplin sains sosial. Mereka mendakwa bahawa pendekatan ini adalah lebih saintifik berbanding penulisan deskriptif-naratif yang digunakan kumpulan Rankean. Pendekatan mereka juga mengambil kira teori-teori linguistic, sastera dan budaya.

Terpulanglah kepada ahli-ahli sejarah untuk menentukan teori yang mana yang lebih selesa mereka gunakan. Apa yang saya ingin cadangkan dalam kertas kerja ini ialah, ahli-ahli sejarah sepatutnya tidak mengehadkan cara penulisan mereka kepada satu dua pendekatan sahaja. Mereka patut berani mencuba pelbagai teori atau kaedah yang dapat memperkayakan lagi penulisan sejarah Malaysia. Justeru, saya ingin

mencadangkan supaya jenis sumber yang digunakan juga dipelbagaikan. Sumber yang bukan dalam bentuk dokumen patut juga dipertimbangkan supaya penulisan sejarah alternative dapat dicapai. Contohnya, sumber kartun yang diterbitkan dalam akhbarakhbar dan majalah tempatan, seperti The New Straits Times, Utusan Zaman, Majalah Hiboran, dan lain-lain, dalam tempoh 1945-1957 sangat banyak. Kita tidak boleh

menafikan bahawa pelukis-pelukis kartun itu juga adalah pengkritik dan pemerhati masyarakat semasa. Demikian juga ratusan sajak yang dinukilkan oleh penyajak-

penyajak semasa Dharurat dan sebelum kemerdekaan. Malah suara hati mereka banyak dicoretkan dalam detik-detik menunggu bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan tanah Melayu dikibarkan (Kamaruzzaman Abd.Kadir, 1987). Tidak

sepatutnya diabaikan sebagai sumber sejarah adalah gambar-gambar yang merekodkan peristiwa-peristiwa bersejarah dalam tempoh tersebut. Bagi saya penulisan sejarah akan menjadi lebih berstruktur, jika ia berpandukan teori-teori penulisan sejarah yang mantap.

28

V Kesimpulan

Tempoh 1945-1947 merupakan tempoh sejarah baru dalam penulisan sejarah Malaysia. Dari segi politik, ekonomi dan sosial, tempoh ini menjadi asas kepada semua dasar pembangunannya. Dari segi kajian dan penulisan sejarah kita patut menyorot kembali tentang kecondongan-kecondongan dan kecenderungan ahli sejarah dalam memberikan pemberatan mengenai sabjek yang dikaji dan ditulisnya. Ahli-ahli sejarah sepatutnya berani mentafsir semula sejarah. Penafsiran semula ini pula patut diasaskan kepada teori-teori penulisan sejarah tertentu sama ada yang memang biasa digunakan ataupun yang belum biasa digunakan. Justeru, kajian dan penulisan sejarah, sama ada yang ke kanan atau ke kiri yang patut ataupun tidak patut hendaklah ditulis dengan tujuan supaya apa yang sebenar-benarnya berlaku dipaparkan secara adil.

Rujukan Abdullah Ahmad (1985). Tunku Abdul Rahman and Malaysias Foreign Policy, 19631970. Kuala Lumpur: Berita Publishing co. Allen, J. de Vere (1967). The Malayan Union. Yale University, Southeast Asian Studies, Monograph Series No.10. New Haven Connecticut. Badriyah Haji Salleh (1996). Sejarah Dari Bawah: Sejarah rakyat dalam masyarakat Melayu Tradisional. Dlm. Badriyah Haji Salleh dan Tan Liok Ee (peny.) (1996). Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Badriyah Haji Salleh (1997). Ustazah Khairon Mohamad Ali. Dlm. Badriyah Haji Salleh (peny.). Sejarah Islam Pulau Pinang. Tokoh dan Sumbangan. Jurnal Penyelidikan dan Sejarah Islam Pulau Pinang. Jld III, Pulau Pinang: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, hlm. 74-87. Badriyah Haji Salleh (2007). Jejak-Jejak Pembangunan 1957-2007. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Cheah Boon Kheng (ed.)(2004). The Challenge of Ethnicity. Building a Nation in Malaysia. London: Marshall Cavendish.

29

Cheah Boon Kheng (2007). New Perspectives and Research on Malaysian History. Puchong Jaya, MBRAS. Federation of Malaya (1949). A Report on the 1947 Census of Population. Malaya comprising the Federation of Malaya and the Colony of Singapore. London: Malaya House. Farish A. Noor (2005). The Other Malaysia. Writings on Malaysias Subaltern History. Kuala Lumpur: Silverfishbooks. Harper, T.N. (1999). The End of Empire and the making of Malaya.Canbridge: Cambridge University Press. Hiboran. Jld. 218, 20.10.1951. Johan Saravanamuttu (2004). Malaysia Muticultural policy and Practices: Between Communalism and Consociationalism. Dlm Cheah Boon Kheng (ed.)(2004). The Challenge of Ethnicity. Building a Nation in Malaysia. London: Marshall Cavendish. Kamaruzzaman Abd. Kadir (1987). Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 19331957. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan (1970). Disusun oleh Teuku Iskandar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Koster, G.L. (2002). A Nineteenth Century Political Lampoon: The Poem of the Cobra King and the Frog King. Dlm. Mohd. Hazim Shah, Jomo K.S. dan Phua Kai Lit (eds.) (2002). New Perspectives in Malaysian Studies. Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia. Hlm. 32-53. Lau, Albert (1991). The Malayan Union Controversy 1942-1948. Singapore: Oxford University Press. Loh Kok Wah, Francis (1988). Beyod the Tin Mines. Coolies, Squarters and New Villagers in the kinta Valley, Malaysia. C. 1880-1980. Singapore: Oxford University Press. Mohamed Nordin Sopiee (2005). From Malayan Union to Singapore Separation. Political Unificationin in the Malaysia Region 1945-1965. Kuala Lumpur: University of Malaya Press. Northedge, F.S. (1962). British Foreign Policy. London: George Allen & Unwin. Rehman Rashid (1997). A Malaysian Journey. Petaling Jaya: Rehman Rashid.

30

Reid, Anthony (2004). Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities. Dlm. Timothy P.Barnard (ed.)(2004). Contesting Malayness. Malay Identity Across Boundaries. Singapore: Singapore University Press, hlm. 1-24. Roff, William R. (1967). The Origins of Malay Nationalism. New Haven: Yale University Press. Rude, George (1988). The faces of the Crowd. Studies in Revolution, Ideology and Popular Protest. Ed. By Harvey J.Kaye. New York: Harvester, Wheatsheaf. Stockwell, A.J. (1979). British Policy and Malay Politics during the Malayan Union Experiment, 1942-1948. Kuala Lumpur: MBRAS. The Star, 25. 3.2009; 29.5.2009; 20.2.2010; 17.4.2010. The Sunday Star, 29.11.2009. Tun Mohamed Suffian (2007). An Introduction to the Constitution of Malaysia. Ed. By Tunku Sofiah Jewa, Salleh Buang & Yaacob Hussain Merican. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (2007). Malaysia. The Road To Independence. Intro. By Bruce Gale. Subang Jaya: Pelanduk Publications.Wong Siew Kuon (1999). MasalahMasalah setinggan Cina Di Daerah Ulu Langat Selangor 1948-1960. Kuala Lumpur: MBRAS. Yoji, Akashi & Yoshimura Mako (eds.)(2008). New Perspectives on the Japanese Occupation in Malaya and Singapore 1941-1945. Singapore: NUS Press.

31