wan_anor_bin_wan_sulaiman.pdf kaunseling keluarga isu dan cabaran

Upload: mazfa-murat

Post on 07-Jan-2016

236 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

Wan_Anor_Bin_Wan_Sulaiman.pdf Kaunseling Keluarga Isu Dan Cabaran

TRANSCRIPT

  • 1

    ISBN : 978-967-0582-32-0

    Kaunseling Keluarga : Isu Dan Cabaran

    Wan Anor Bin Wan Sulaiman, Risalshah Latif Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

    ABSTRAK

    Artikel ini berkaitan dengan isu-isu keluarga yang begitu mencabar pada masa

    kini. Tujuan kertas konsep ini ialah untuk memberi pendedahan tentang isu-isu

    yang berlaku di dalam keluarga yang boleh meruntuh institusi keluarga. Isu-isu

    yang dititikberatkan ialah tanggungjawab suami terhadap anak isteri, nafkah,

    penceraian, masalah poligami, anak luar nikah, sumbang mahran, kecurangan,

    dan berkaitan dengan keibubapaa. Memberi pendedahan juga bagaimana

    pandangan teori tentang masalah yang wujud dalam sesebuah keluarga. Antara

    teori yang akan dibincangkan ialah teori keluarga berstruktur yang diperkenalkan

    oleh Salvador Minuchin. Di dalam kertas konsep ini diberikan penekanan kepada

    kaunseling keluarga yang merupakan suatu pendekatan yang boleh digunakan

    dalam proses untuk memulihkan institusi keluarga daripada kehancuran.

    Berdasarkan kes kaunseling, bagaimana kaunseling keluarga dapat

    menyelesaikan masalah yang timbul antara pasangan dan ahli keluarga. Apakah

    teknik-teknik yang digunakan untuk mengatasi masalah dalam keluarga. Peranan

    kaunselor dan pendekatan serta kemahiran yang perlu digunakan untuk

    membantu ahli keluarga dalam usaha mencapai matlamat keluarga itu sendiri.

    Ciri-ciri kaunselor yang efektif juga diterapkan dalam proses kaunseling keluarga

    bagi memantapkan lagi usaha kaunselor untuk membina perhubungan dalam

    kaunseling dan membina semua sesebuah keluarga dengan lebih tersusun dan

    mencapai rukun damai dalam keluarga.

    Kata Kunci : Kaunseling keluarga, kaunselor, cabaran

    Pembentang:

    Wan Anor Bin

    Wan Sulaiman

    Sesi :

    2.30 4.30 Ptg BT 6

  • 2

    PENGENALAN

    Fenomena semasa dan trend dalam masyarakat semakin mencabar keutuhan institusi perkahwinan dan

    kekeluargaan. Ia secara langsung atau tidak disedari sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti

    perhubungan suami isteri. Perubahan konteks dan susunan masyarakat dunia telah mencetuskan

    kepelbagaian dalam hidup berkeluarga. Pola dan jangkaan perkahwinan telah berubah, fungsi &

    bentuk keluarga semakin mengelirukan serta corak perhubungan intim menjadi semakin kompleks. Di

    Malaysia, kerapuhan & kepincangan institusi keluarga semakin bertambah & membimbangkan.

    Kebanyakan masalah pada hari ini berpunca daripada kepincangan keluarga & struktur masyarakat itu

    sendiri. Kebanyakan masalah hari ini disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan &

    kemasyarakatan. Kita perlu memperbetulkan punca sebenar masalah yang dihadapi iaitu kepincangan

    keluarga terlebih dulu bagi memastikan wujudnya masyarakat penyanyang (Prof. Jamilah Ariffin,

    Berita Harian, 24 Jun, 2003). Dalam konteks Negara Malaysia ke arah mencapai wawasan 2020,

    semestinya kedaulatan keluarga diambil kira bagi membantu mencapai wawasan tersebut.

    Konsep Keluarga

    Keluarga merupakan unit asas dalam masyarakat di mana setiap ahli keluarga menjalankan peranan

    dan tanggungjawab sendiri serta tanggungjawab bersama, demi untuk mencapai kesejahteraan dan

    keharmonian keluarga. Setiap ahli keluarga saling berinteraksi dan bergantung sesama sendiri dan

    dengan ahli masyarakat yang lain. Keluarga Asas (Nuclear Family) merupakan unit keluarga yang

    paling kecil dan asas. Keluarga asas terdiri daripada suami, isteri dan anak. Lazimnya adalah bersaiz

    kecil sebagai penyambung tradisi dan budaya bagi generasi akan datang. Keluarga Luas (Extended

    Family) pula merujuk kepada keluarga asas dan ahli keluarga yang lain yang mempunyai hubungan

    darah yang sah. Keluarga luas terdiri daripada ibu, bapa, anak-anak, datuk, nenek, dan saudara mara.

    Lazimnya mereka tinggal dalam rumah yang sama atau berdekatan atau saling berhubungan. Keluarga

    jenis ini sering terdiri daripada dua atau lebih generasi.

    Duvall (1977) mengemukakan bahwa keluarga adalah sekumpulan orang yang dihubungkan

    oleh ikatan perkahwinan, adopsi dan kelahiran, yang bertujuan menciptakan dan mempertahankan

    budaya yang umum, meningkatkan perkembangan fisik, mental, emosi, dan sosial setiap anggota.

    Menurut Bailon dan Maglaya (1978) mengemukakan bahwa keluarga adalah sebagai dua atau lebih

    individu yang berhubungan berdasarkan hubungan darah, ikatan perkawinan, atau adopsi, hidup

    dalam satu rumah tangga, berinteraksi satu sama lain dalam persekitarannya, menciptakan dan

    mempertahankan suatu budaya (dalam Supartini, 2004).

    Isu-isu dan Cabaran keluarga/ keibubapaan

    Dalam memperkatakan isu-isu dan cabaran keluarga pada masa kini sangat luas. Pelbagai isu dapat

    dilihat dalam situasi sekarang sehingga memberi kesan yang besar dalam proses pembinaan sesebuah

    keluarga dan Negara khususnya. Antaranya ialah isu pengabaian nafkah kepada isteri dan anak-anak.

    Seramai 12,300 suami ingkar membayar nafkah kepada isteri (berita Harian, 20 Mac 2010). Di dalam

    agama Islam suami dituntut memberi nafkah untuk meneruskan kelangsungan hidup isteri dan anak-

    anak dibawah tanggungan mereka. Dalam Alquran jelas menunjukkan bahawa suami wajib memberi

    nafkah seperti dalam surah An-Nisa ayat 34, Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri apabila isteri telah menyerahkan dirinya untuk suami (tidak menolak permintaan suami untuk melakukan

    istimta dan isteri mengikut/tinggal ditempat/kediaman yang dipilih suami.

    Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Prof Madya Datin Noor Aziah

    Mohd Awal berkata maklumat itu diperoleh daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan

    Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2011. Ini berikutan terdapat purata 70 kes penceraian

    dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun

    2011. Isu kes penceraian ini boleh dikatakan telah meningkat setiap tahun. Statistik perceraian

    daripada Jakim dari tahun 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkkan peningkatan kes penceraian

    setiap tahun," katanya kepada Bernama. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,

    Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dalam tempoh antara Januari hingga Jun lalu, sebanyak

  • 3

    22,306 kes perceraian direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara. Daripada 22,306 kes perceraian itu,

    22,165 kes merupakan perceraian kalangan pasangan yang beragama Islam. Ini satu petanda yang

    tidak berapa baik. Bukan Islam pula pada 2012, 1,062 kes. Januari hingga Jun tahun ini 141 kes, katanya.

    Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Progam: November Bulan Keluarga

    1Malaysia dengan tema Jom Pentingkan Keluarga di ibu negara. Statistik tahunan pula kata Rohani didapati terus meningkat dari tahun ke tahun. Pada 2012, jumlah kes perceraian adalah sebanyak 47,

    779 kes, 43,137 kes (2011) dan 38,000 kes pada 2010. Datuk Seri Rohani menjelaskan, terdapat

    pelbagai punca kepada kes perceraian dan antara yang paling ketara ialah tiada kesefahaman, tidak

    bertanggungjawab, curang, campur tangan keluarga mentua juga faktor kahwin muda dan enggan

    dimadukan suami.

    Di dalam kes penceraian ini terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada kes ini

    berlaku. Antaranya ialah Tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan. Tahap

    kefahaman agama berhubung dengan kehidupan suami isteri kurang atau keluar dari tuntutan Islam

    yang sebenar (kesan kepada nilai dan personaliti). Pengurusan ekonomi rumahtangga tidak ikut lunas

    yang betul. Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam spt minum arak, judi,

    berzina dan lain-lain. Pengurusan hubungan dan komunikasi pasangan & keluarga tidak lancar. Tidak

    ambil berat tentang kesihatan, pendidikan, dan keperluan emosi dalam keluarga. Menghadapai

    masalah peribadi yang tidak boleh dikongsi bersama pasangan spt emosional, cemburu buta, mendera,

    & pentingkan perasaan sendiri.

    Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan spt penyakit yang menghalang

    hubungan jenis terlalu lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi dan rendah. Gagal

    mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kpd pasangan dan rumah tangga, lebih mementingkan

    kerja dan kegiatan luar rumah serta tidak memahami budaya kerja pasangan. Pasangan juga tidak

    dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan mereka. Factor kecurangan juga memainkan

    peranan penting dalam usaha merosakkan hubungan dalam keluarga. Kecurangan bermaksud

    perbuatan seseorang suami atau isteri dalam bentuk menjaling hubungan secara diam-diam dengan

    seseorang di luar perkahwinan dengan alasan untuk memperolehi perlakukan atau cinta dari orang

    lain yang bukan pasangan sahnya. Merasaai tidak dicintai, tidak dihargai, tidak difahami lagi oleh

    suami atau isteri. Mengikut Asnawi (2002) berlakunya kecurangan adalah disebabkan kehilangan

    ghairah untuk berhubung rapat dengan suami atau isteri, adanya kekerasan dalam keluarga , sarana

    untuk membalas dendam, suami tidak mampu memberi keturunan, gangguan seksual pada suami,

    mencari variasi hubungan seksual dan adanya masalah ekonomi.

    Keperluan hidup bersama orang lain (pasangannya). Individu hidup dengan orang lain untuk

    mendapat kegembiraan, memperolehi pertolongan, menjalinkan keakraban, berbagi keintiman

    seksual, mendapat pujian dan lain-lain (Baron , 2007). Masih mendapat perhatian orang lain, menguji

    pasaran, mudah terpikat dan tidak segan melayan orang lain ( Datuk Zaidi Zain, Peguam Syari e, 2011).

    Masalah poligami juga merupakan isu yang sangat hangat diperkatakan. Boleh dikatakan

    keseluruhan golongan wanita tidak dapat menerima konsep poligami dalam kehidupan mereka

    berkeluarga. Suami yang ingin berpoligami semestinya menghadapi msaslah yang rumit untuk

    memenehui keperluan mereka terutamanya yang kurang berkemampu untuk berpoligami. Dalam

    konteks Islam, poligami satu keharusan seperti mana dalam Alquran menyatakan poligami satu

    keharusan bersyarat dalam Islam (Surah An-Nisa : 3). Poligami mempunyai syarat-syarat tertentu seperti kemampuan dalam soal nafkah zahir (makan minum, pakaian, kediaman) dan nafkah batin

    (kasih sayang & hubungan kelamin). Konsep keadilan seperti menyediakan tempat kediaman, giliran

    bermalam, dan giliran bermusafir.

    Isu sumbang mahran juga merupakan factor penting yang mempengaruhi keruntuhan institusi

    keluarga. Ia ikenali juga dengan istilah inses iaitu perbuatan zina yang dilakukan oleh seseorang yang

    ada pertalian atau nasad (keturunan) dengan mangsa. Hubungan jenis antara mereka yang ada tali

  • 4

    persaudaraan dan perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang

    oleh adat resam dan agama. Faktor yang mendorong berlakunya sumbang mahran ialah Kegagalan

    isteri memenuhi kehendak suami, tahap iman yang lemah, pengaruh bahan lucah, tidak menjaga batas

    pergaulan antara ahli keluarga, keruntuhan institusi keluarga atau perkahwinan dan pakaian tidak

    menutup aurat.

    Isu seterusnya ialah isu anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang semakin bertambah

    berlaku dinegara ini. Anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al zina yang

    bermaksud anak zina atau luar nikah. Para Fuqaha berpendapat bahawa anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau persetubuhan

    syubhah. Mengikut Berdasarkan laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara, melaporkan terdapat

    lebih 257,000 sijil kelahiran didaftar tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan

    Julai 2008. Ini bermakna secara purata 2,500 kes anak luar nikah direkod pada setiap bulan. Timbalan

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie telah menyatakan

    bahawa antara tahun 2008 hingga 2010 terdapat seramai 152, 182 orang anak luar nikah diseluruh

    Malaysia. Negeri Sabah antara yang paling tinggi mencatatkan kelahiran anak luar nikah iaitu 41,490

    orang diikuti Selangor (18,983 orang), Sarawak (17,570 orang), Johor (16,298 orang) dan Wilayah

    Persekutuan Kuala Lumpur (12,095 orang). ntara punca timbulnya gejala tersebut disebabkan

    beberapa faktor antaranya menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, ingin

    mencuba, pengaruh rakan sebaya dan rela melakukan hubungan seks. Faktor-faktor lain ialah tidak

    mempunyai pengetahuan berhubung kesihatan repoduktif dan seksual, kurangnya perhatian ibu bapa

    serta diperkosa saudara sendiri dan kesemua faktor ini adalah hasil daripada kerja kes yang dijalankan

    oleh pihak Pegawai Kebajikan (Utusan Melayu, November 2011).

    Isu keibubapaan juga merupakan isu yang sangat penting dan banyak cabarannya serta perlu

    diberi perhatian oleh semua pihak. Rata-rata hasil penyelidikan berkaitan dengan keruntuhan moral

    dan gejala sosial sejak tahun 1980 an hingga kini membuktikan bahawa faktor utama keruntuhan

    moral dan pelbagai gejala sosial berpunca daripada krisis keluarga. Kegagalan ibu bapa

    menyempurnakan amanah, tugas, dan tanggungjawab masing-masing menjadi titik tolak keruntuhan

    institusi kekeluargaan.

    Kaunseling keluarga atau Kaunseling Perkahwinan

    Kaunseling merupakan sebagai suatu proses hubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip

    psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan

    dan penyesuaian peribadi klien, yang baik, dan menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat

    berlandaskan etika kaunseling (PERKAMA). Mengikut akta kaunselor 1998 (Akta 580) kaunseling

    merupakan proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi

    yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu

    perubahan, kemajuan dan penyesuaian secara holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya

    perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.

    Goldenberg & Goldenberg (2002) mengatakan bahawa kaunseling keluarga adalah satu

    teknik psiko terapeutik untuk meneroka dan cuba mengubah masalah emosi masa kini yang saling

    berkait dalam sesebuah keluarga dengan membantu ahli-ahli dalam sistem keluarga untuk mengubah

    corak interaksi mereka yang tidak berfungsi. Boleh ditakrifkan sebagai satu perjumpaan bersemuka

    antara seorang kaunselor keluarga dengan ahli-ahli keluarga dalam satu-satu sesi tertentu

    Di luar negara kaunseling keluarga merupakan perkhidmatan kaunseling keluarga yang dapat

    meningkatkan daya saing sesebuah keluarga, membantu mengurangkan salah laku pelajar sekolah dan

    membantu proses pemulihan pelajar (Milliren & Barrett-Kruse, 2002).

  • 5

    Teori Keluarga Berstruktur

    Intipati kepada pendekatan keluarga berstruktur adalah berdasarkan konsep dimana sesebuah keluarga

    itu melebihi Biopsychodynamics seseorang indidvidu mahupun ahli-ahli keluarga itu sendiri. Setiap

    ahli sesebuah keluarga berhubung-kait antara satu sama lain berlandaskan pola tertentu dan pola inilah

    yang mengawal-tadbir transaksi dalam keluarga berkenaan. Pola ini yang biasanya tidak dinyatakan

    atau tidak dikenalpasti merupakan pembentuk kepada struktur keluarga.Namun perlu diingat bahawa

    pada zahirnya susun-atur struktur sesebuah keluarga adalah berbeza jika dibandingkan dengan susun-

    atur ahli-ahlinya (Minuchin, 1974). Sebagaimana organisma lain yang melakukan adaptasi, sesebuah

    keluarga juga memerlukan suatu bentuk organisasi dalaman yang dapat mengatur bagaimana, bila dan

    kepada siapa untuk merujuk; Pola transaksi yang akhirnya terhasil, akan membentuk struktur sesebuah

    keluarga itu. (Colapinto, 1991).Struktur sesebuah keluarga adalah set tuntutan fungsi atau kod yang

    menyusun-atur bagaimana ahli sesebuah keluarga itu berinteraksi antara satu sama lain (Minuchin,

    1974).

    Pengamal struktur juga memberi perhatian khusus terhadap pola transisi kerana berpendapat

    bahawa pola inilah yang dapat memberi petunjuk terhadap struktur sesebuah keluarga, keanjalan

    persempadanan sub-sistemnya serta samada wujud pakatan dan komplotan dalam keluarga berkenaan.

    Bagi structuralist, faktor-faktor yang disebutkan tadi merupakan perkara yang amat berpengaruh

    dalam menentukan samada sesebuah keluarga itu berupaya untuk kekal tegar dalam mengekalkan

    kestabilan walau terpaksa melakukan sesuatu perubahan. Perkara yang diambil kira oleh pengamal

    teori ini ialah bagaimana komponen sesebuah struktur itu berinteraksi, keseimbangan dan homeostasis

    dapat dicapai, mekanisma timbal-balas dalam sesebuah keluarga beroperasi, pola komunikasi yang

    tidak berfungsi terbentuk, sesebuah keluarga menangani tugasan dalam perkembangan sesebuah

    keluarga menuju kematangan dan sesebuah keluarga sebagai suatu sistem yang kompleks melakukan

    adaptasi untuk sesuatu perubahan.

    Dapat disimpulkan bahawa struktur sesebuah keluarga adalah keseluruhan peraturan operasi

    yang diguna-pakai oleh keluarga berkenaan untuk menjalankan fungsi-fungsi utama yang penting. Ia

    membentuk kerangka bagi memahami bagaimana sesebuah keluarga itu diuruskan terutama dalam

    mengekalkan kestabilan atau melakukan adaptasi ketika sesuatu perubahan perlu dilakukan. Ini

    dilakukan dengan mengenal-pasti pola-pola yang terbentuk akibat perlakuan yang berulang-ulang,

    konsisten dan berpanjangan Pola-pola yang dimaksudkan apabila telah terbentuk biasanya amat sukar

    untuk berubah kecuali berlaku perbalahan yang menyebabkan ketegangan dimana keadaan tersebut

    mengakibatkan sistem keluarga terbabit menjadi tidak stabil seterusnya membolehkan perubahan

    boleh berlaku.

    Proses kaunseling Keluarga

    Dalam proses kaunseling keluarga, Adler telah mengemukakan empat tahap atau peringkat dalam

    proses kaunseling keluarga yang kini menjadi asas kepada amalan proses kaunseling keluarga. Empat

    peringkat dalam kaunseling keluarga iaitu a) perhubungan (Relationship) b) penilaian dan analisis

    (Analysis and Assessment) c) Celik akal (Insight) dan d) Orientasi semula/pendidikan semula

    (reorientation/reeducation).

    Saedah (2004) dan Petrocelli (2002), mendapati lima peringkat sesi kaunseling keluarga

    perlu dilaksanakan dalam amalan proses kaunseling yang bertujuan untuk menolong klien membuat

    perubahan dalam mencapai matlamat kehidupan mereka. Saedah (2004) mengatakan proses

    kaunseling keluarga adalah dalam lima tahap iaitu i) pembinaan perhubungan antara kaunselor dengan

    ahli keluarga, ii) pemahaman permasalahan dan struktur keluarga, iii) penstrukturan pola transaksi

    keluarga dan pengubahan tingkah laku, iv) pengukuhan tingkah laku dan pendidikan mengenai

    perubahan keluarga dan keibubapaan, dan v) penamatan. Begitu juga kajian yang dibuat oleh

    Norhayati Mohd. Noor, Zuria Mahmud, dan Saemah Abd. Rahman (2012) menyatakan bahawa

  • 6

    terdapat lima peringkat dalam proses kaunseling keluarga iaitu peringkat pembinaan hubungan,

    peringkat analisis dan menilai masalah keluarga, peringkat kesedaran emosi dan celik akal , peringkat

    penstrukturan semula keluarga dan orientasi pembelajaran semula keluarga dan akhir sekali peringkat

    penamatan.

    Kesimpulannya ialah kaunseling keluarga sangat penting perlu diberikan penekanan dalam

    usaha pihak tertentu untuk menangani atau mencegah isu-isu yang berkaitan dengan keluarga dapat

    dikurangkan dalam masyarakat bekeluarga khususnya dan amnya pada sesebuah Negara.

    Memandangkan isu dan masalah keluarga telah meningkat setiap masa walaupun beberapa aktiviti dan

    program telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Namun begitu untuk meningkatkan lagi keberkesanan

    bagi mencegah dan mengurangkan permasalahan dalam sesebuah keluarga dan sekaligus

    meningkatkan kualiti keluarga maka perkhidmatan kaunseling keluarga sangat penting harus diberi

    perhatian oleh semua pihak.

    RUJUKAN

    Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)

    Asnawi, S. (2002). Teori motivasi. Jakarta. Studia press.

    Berita Harian, 20 Mac 2010

    Berita Harian, 24 Jun, 2003

    Evelyn Ruth Millis Duvall (1977) Marriage and family development. Lippincott. University of

    Michigan.

    Goldenberg & Goldenberg (2002). Family Therapy: An Overview. Amazon.com.

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). (2011)

    Mohd Noor, Norhayati and Mahmud, Zuria and Abd. Rahman, Saemah (2012) Proses kaunseling

    keluarga di Malaysia UKM.

    Milliren, A., & Barrett-Kruse, C. (2002). Four phases of Adlerian counseling: Family resilience

    in action. The Journal of Individual Psychology, 58, 225-234.

    Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA)

    Petrocelli, J. V. (2002). Processes and stages of change: Counseling with the transtheoretical model of

    change. Journal of Counseling and Development, 80, 22-30.

    Salvador Minuchin (1974) Families and family therapy. Harvard University Press

    Utusan Melayu, November 2011

    Yupi Supartini. Buku ajar konsep dasar keperawatan anak. Jakarta. EGC. 2004.