teks ucapan ybhg tan sri sidek hassan ketua...

7
TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA SEMPENA MAJLIS PELANCARAN HARI AUDIT SE MALAYSIA 2011 27 SEPTEMBER 2011, 2.30 PETANG AKADEMI AUDIT NEGARA Bismillaahir rahmaanir rahiim Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara Dan Y. Bhg. Puan Sri Y. Bhg. Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Y.B. Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai-Pegawai Kewangan Negeri Y. Bhg. Timbalan-Timbalan Ketua Audit Negara Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Audit Negara YBhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para hadirin yang dihormati sekalian, Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan kurnia Nya kita dapat berhimpun dalam majlis yang penuh bermakna pada petang ini, sempena Majlis Pelancaran Hari Audit Se Malaysia 2011 .

Upload: vanthu

Post on 22-Feb-2018

231 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN HARI AUDIT SE MALAYSIA 2011

27 SEPTEMBER 2011, 2.30 PETANG AKADEMI AUDIT NEGARA

Bismillaahir rahmaanir rahiim

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera

dan Salam 1Malaysia.

YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara

Dan Y. Bhg. Puan Sri

Y. Bhg. Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian dan

Ketua-Ketua Jabatan

Y.B. Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai-Pegawai

Kewangan Negeri

Y. Bhg. Timbalan-Timbalan Ketua Audit Negara

Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Audit Negara

YBhg Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan

kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan kurnia

Nya kita dapat berhimpun dalam majlis yang penuh bermakna pada

petang ini, sempena Majlis Pelancaran Hari Audit Se Malaysia 2011.

Page 2: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

1

2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara,

atas jemputan kepada saya bagi menyempurnakan Majlis ini.

Bersesuaian dengan bulan Syawal yang mulia, saya mengambil

kesempatan untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf

Zahir dan Batin” kepada semua yang hadir pada petang ini.

Saudara-saudari sekalian,

Peranan dan Fungsi Audit

3. Institusi Audit telah wujud di Malaysia lebih 100 tahun.

Sehingga kini, peranan audit telah dapat dilaksanakan secara

bebas dan profesional mengikut prinsip dan standard

antarabangsa. Sambutan Hari Audit Se Malaysia ini adalah bagi

mengingati serta menghargai peranan dan sumbangan penting

warga Audit yang bertugas di Jabatan Audit Negara serta di

kementerian dan agensi Kerajaan dalam memastikan akauntabiliti

dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir perkhidmatan

awam sentiasa terpelihara. Melalui pengauditan yang bebas,

analisis yang objektif serta penilaian yang komprehensif terhadap

pelaksanaan program, aktiviti dan projek Kerajaan, Juruaudit

membantu organisasi meningkatkan tahap akauntabiliti dan

integriti, menambah baik operasi serta memberi keyakinan kepada

rakyat dan stakeholder mengenai penggunaan dan pengurusan

dana awam secara berhemat.

4. Sebagaimana kita sedia maklum pengauditan adalah suatu

kaedah untuk menilai semula sistem dan proses yang sedia ada,

agar apa jua kelemahan yang timbul dapat diperbaiki dan diatasi.

Pengauditan merupakan satu proses check and balance yang amat

Page 3: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

2

penting dalam menentukan urusan kewangan organisasi

dilaksanakan secara efisien dan efektif. Ini adalah penting bagi

mengekang aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan

kuasa, pembaziran serta penyelewengan dana awam, yang

sekiranya tidak dibendung pastinya mempunyai implikasi negatif

terhadap imej serta proses pembangunan negara.

5. Kita harus sedar bahawasanya dasar-dasar awam yang

diperkenalkan oleh Kerajaan pada hakikatnya mempunyai niat yang

murni, iaitu untuk manfaat serta kesejahteraan rakyat dan negara.

Namun jika program dan projek bagi menterjemahkan dasar-dasar

tersebut tidak dirancang dengan teliti, tidak dilaksanakan dengan

cekap dan tidak dipantau dengan berkesan, maka akan timbul

masalah implementation gap yang boleh mencalarkan imej

perkhidmatan awam dan Kerajaan pada keseluruhannya. Oleh

yang demikian Ketua-ketua Jabatan dan Agensi haruslah sentiasa

peka dan prihatin dengan isu-isu yang dibangkitkan di dalam

Laporan Audit serta mengambil iktibar dan mempelajari daripada

pengalaman-pengalaman kurang baik yang didedahkan oleh

Jabatan Audit Negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kreativiti Dan inovasi

6. Pada hemah saya, pemilihan tema Hari Audit Se Malaysia,

iaitu “Inovasi Dan Kreativiti Memacu Pengauditan Berkualiti”

adalah amat relevan serta bertepatan sekali. Y.A.B. Perdana

Menteri semasa berucap di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan

Awam ke-11 telah menggariskan aspek membudayakan kreativiti

dan inovasi sebagai salah satu nilai asas penting yang perlu ada

Page 4: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

3

dalam usaha kita untuk mencapai status negara maju yang berdaya

saing dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

7. Pelan Transformasi Kerajaan memerlukan corak pengurusan

perkhidmatan awam yang lebih kreatif bagi menambah baik dan

memurnikan sistem penyampaian Kerajaan ke arah memenuhi

aspirasi dan harapan rakyat yang sentiasa meningkat. Dalam

usaha untuk menjayakan pelan transformasi ini, pegawai audit

mempunyai peranan penting dalam memberikan maklum balas

yang tepat, timely dan saksama kepada stakeholders. Pendekatan

ini memberi ruang untuk menghasilkan outcome dan impak positif

kerana pendedahan kepada kejayaan atau sebaliknya boleh

menjadi teladan dan iktibar kepada organisasi lain.

8. Dengan cara membetulkan yang biasa dan membiasakan

yang betul, saya percaya kelemahan dan kesilapan yang kerap kali

berulang akan dapat dibanteras, sekali gus menjana budaya high

performance dalam perkhidmatan awam. Sehubungan itu,

penjawat awam khususnya para Juruaudit hendaklah berfikiran

positif dan terbuka kepada idea-idea baru yang bernas, serta

mempunyai keazaman dan semangat yang tinggi untuk mencapai

kecemerlangan melalui pendekatan inovatif dan kreatif dalam apa

jua tindakan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

9. Saban tahun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi perbelanjaan

mengurus dan juga untuk projek-projek pembangunan yang

bertujuan menaikkan taraf hidup rakyat. Menerusi pengauditan

yang dijalankan secara profesional, maklumat tentang kedudukan

Page 5: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

4

sebenar pengurusan kewangan Kerajaan, sama ada telah diuruskan

dengan cermat dan berhemat, akan dapat dipantau. Namun apa

yang lebih penting ialah “observations” atau teguran dari sebuah

badan bebas seperti Jabatan Audit Negara akan dapat membantu

menambah baik pengurusan kewangan serta pengurusan projek

agar lebih accountable dan telus.

10. Dalam apa jua tindakan yang melibatkan kewangan serta

perbelanjaan Kerajaan, prinsip “value for money” hendaklah

sentiasa ditekankan, di samping outcome atau impak positif bagi

setiap perbelanjaan yang dilakukan. Setiap projek atau aktiviti

hendaklah dirancang terlebih dahulu dan diuruskan secara efisien,

ekonomik dan berkesan, di samping berusaha untuk mengelakkan

sebarang keborosan dan pembaziran, apatah lagi penyelewengan.

11. Saya perhatikan kebanyakan kelemahan yang dilaporkan oleh

pihak Audit boleh dielakkan sekiranya pegawai yang

bertanggungjawab, komited untuk melakukan pemantauan dan

penyeliaan yang rapi serta berterusan. Masalah yang sering kita

dengar seperti projek lewat disiapkan menyebabkan kos

meningkat, kerja yang dihasilkan tidak mengikut spesifikasi atau

tidak berkualiti, serta harga barang terlalu tinggi berbanding harga

pasaran semuanya berkait rapat dengan sikap serta keprihatinan

pegawai di dalam penyeliaan projek dan berhemat dalam proses

pembelian bagi memastikan kepentingan kerajaan dan negara

sentiasa terjaga.

12. Sebagai pelaksana utama dasar dan program Kerajaan,

adalah amat penting bagi kita mencari dan mengaplikasikan

pendekatan-pendekatan baru yang kreatif dan inovatif, seperti

strategi blue ocean bagi menggantikan kaedah konvensional yang

bukan sahaja ternyata kurang menzahirkan impak yang dihasratkan

Page 6: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

5

malah merugikan Kerajaan. Sebagai contoh, bagi memastikan

prinsip value for money di dalam pelaksanaan projek-projek

Kerajaan, pendekatan value management telah ditekankan. Melalui

penjimatan yang dihasilkan, lebih banyak projek pembangunan

akan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat. Di samping itu,

pelaksanaan sistem e-perolehan dan e-bidding memastikan

Kerajaan mendapat harga barangan yang lebih berpatutan dan

pengurusan kewangan Kerajaan adalah lebih cekap dan teratur.

Saudara-saudari sekalian,

13. Saya dimaklumkan bahawa pada hari ini beberapa

Kementerian, Jabatan dan Agensi akan menerima anugerah kerana

telah mencapai tahap kecemerlangan dalam penarafan Indeks

Akauntabiliti pengurusan kewangan di agensi masing-masing.

Saya amat berbangga apabila dimaklumkan bahawa bilangan

agensi yang menerima anugerah pada tahun ini telah bertambah

dengan ketara berbanding tahun 2010. Ini adalah merupakan satu

pencapaian yang amat menggalakkan dan harus dipertingkatkan,

sekali gus menolak persepsi umum bahawa pengurusan kewangan

Kerajaan adalah kurang cekap. Ia juga menggambarkan impak

positif Laporan Audit terhadap pengurusan kewangan di

kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada umumnya, yang

mencerminkan keupayaan sektor awam untuk berubah serta

menambah baik pencapaian mereka. Syabas dan tahniah

diucapkan kepada semua penerima anugerah pada tahun ini.

14. Namun seyogia diingatkan kepada mereka yang akan

menerima anugerah ini supaya tidak leka, sebaliknya terus

berusaha memastikan pengurusan kewangan yang cekap dan

berhemat ditingkatkan supaya sentiasa berada pada tahap

cemerlang. Perlu juga dipastikan bahawa kecemerlangan yang

Page 7: TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA …academy.jpj.gov.my/portal/var/files/Ucapan_KSN_Sempena_Hari_Audit... · dan integriti sistem penyampaian serta urus tadbir ... iaitu

6

dicapai hendaklah menyeluruh bagi merangkumi semua PTJ atau

Pusat Tanggung Jawab) di bawah kawalan Pegawai Pengawal dan

tidak terhad kepada kecemerlangan di ibu pejabat sahaja. Dalam

hal ini, peranan audit dalam adalah amat penting bagi memantau

keadaan sebenar di peringkat PTJ dan melaporkan kepada

Jawatankuasa Audit di peringkat Kementerian dan Jabatan.

Saudara-saudari sekalian,

15. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan syabas

dan tahniah kepada Ketua Audit Negara atas pencapaian cemerlang

Jabatan Audit Negara sehingga kini. Kepada seluruh warga Audit,

saya mengucapkan Selamat Maju Jaya, tingkatkan usaha dan

bekerja secara profesional, komited dan di dalam satu pasukan

bagi mentransformasikan pengurusan kewangan negara ke tahap

yang membanggakan. Dalam apa jua tindakan, integriti hendaklah

sentiasa disematkan sebagai tunjang utama. Jadikan inovasi dan

kreativiti sebagai agenda penting dalam meningkatkan

akauntabiliti serta tadbir urus sektor awam dalam negara yang

tercinta. Memetik kata-kata Edward de Bono, yang terkenal dengan

konsep lateral thinking serta penulis buku popular “Six Thinking

Hats”,

"There is no doubt that creativity is the most important

human resource of all. Without creativity, there would be

no progress, and we would be forever repeating the same

patterns."

16. Akhir kata, dengan lafaz Bismillaahir rahmaanir rahim, saya

merasmikan Hari Audit Se Malaysia Tahun 2011.

Sekian,

Wabillahittaufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.