tadabbur al-quran dan implikasinya terhadap …

15
99 TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP KESEJAHTERAAN FIKIRAN SERTA EMOSI DALAM SITUASI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN Noornajihan Jaafar i & Nuraini Ilyas ii I Prof. Madya, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected] ii Nuraini Ilyas, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected] Abstrak Situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia yang bermula 18 Mac 2020 bertujuan baik bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Namun demikian, ia memberikan implikasi kurang baik kepada kesejahteraan fikiran dan emosi sekiranya tidak diuruskan dengan bijak. Aspek spiritual atau peneguhan rohani, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui aktiviti Tadabbur al-Quran merupakan salah satu sarana bagi mengatasi masalah tersebut. Penulisan kertas kerja konsep ini akan memberikan gambaran awal kepentingan Tadabbur al-Quran dalam kehidupan seseorang muslim dan implikasinya dalam menjamin kesejahteraan fikiran dan emosi. Antara aspek yang akan dibincangkan dalam penulisan ini ialah senario semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) serta cabarannya, kepentingan tadabbur al-Quran bagi seseorang individu muslim serta langkah-langkahnya. Seterusnya, penulisan ini membincangkan bagaimana aktiviti tadabbur al-Quran memberikan kesan kesejahteraan fikiran dan emosi kepada pentadabbur, khususnya dalam situasi perintah kawalan pergerakan. Penghasilan penulisan ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada setiap manusia supaya kembali kepada manual Allah SWT yang menciptakan setiap makhluk iaitu al-Quran. Panduan yang dibekalkan Allah SWT melalui wahyuNya dan telah disebarkan oleh junjungan besar Nabi SAW perlu diberikan perhatian dan keutamaan dalam mencari solusi kehidupan yang bahagia iaitu salah satu indikatornya ialah kehidupan individu yang fikiran dan emosinya dalam kondisi sejahtera. Kata kunci: Tadabbur, al-Quran, kesejahteraan diri, emosi dan fikiran. PENDAHULUAN Peranan qalb yang melibatkan perasaan dan emosi pasti tidak akan lari daripada fungsi akal yang membabitkan rasionaliti, logik dan pemikiran (Zainorah Kadri, 2015). Hal ini telah dibuktikan dengan beberapa ayat al-Quran yang banyak mengandungi perkataan-

Upload: others

Post on 16-Oct-2021

15 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

99

TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP KESEJAHTERAAN

FIKIRAN SERTA EMOSI DALAM SITUASI PERINTAH KAWALAN

PERGERAKAN

Noornajihan Jaafari & Nuraini Ilyasii

I Prof. Madya, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected] ii Nuraini Ilyas, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected]

Abstrak

Situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia yang bermula 18 Mac 2020 bertujuan

baik bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Namun

demikian, ia memberikan implikasi kurang baik kepada kesejahteraan fikiran dan emosi sekiranya

tidak diuruskan dengan bijak. Aspek spiritual atau peneguhan rohani, iaitu mendekatkan diri

kepada Allah SWT melalui aktiviti Tadabbur al-Quran merupakan salah satu sarana bagi

mengatasi masalah tersebut. Penulisan kertas kerja konsep ini akan memberikan gambaran awal

kepentingan Tadabbur al-Quran dalam kehidupan seseorang muslim dan implikasinya dalam

menjamin kesejahteraan fikiran dan emosi. Antara aspek yang akan dibincangkan dalam

penulisan ini ialah senario semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) serta cabarannya,

kepentingan tadabbur al-Quran bagi seseorang individu muslim serta langkah-langkahnya.

Seterusnya, penulisan ini membincangkan bagaimana aktiviti tadabbur al-Quran memberikan

kesan kesejahteraan fikiran dan emosi kepada pentadabbur, khususnya dalam situasi perintah

kawalan pergerakan. Penghasilan penulisan ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada

setiap manusia supaya kembali kepada manual Allah SWT yang menciptakan setiap makhluk

iaitu al-Quran. Panduan yang dibekalkan Allah SWT melalui wahyuNya dan telah disebarkan

oleh junjungan besar Nabi SAW perlu diberikan perhatian dan keutamaan dalam mencari solusi

kehidupan yang bahagia iaitu salah satu indikatornya ialah kehidupan individu yang fikiran dan

emosinya dalam kondisi sejahtera.

Kata kunci: Tadabbur, al-Quran, kesejahteraan diri, emosi dan fikiran.

PENDAHULUAN

Peranan qalb yang melibatkan perasaan dan emosi pasti tidak akan lari daripada fungsi

akal yang membabitkan rasionaliti, logik dan pemikiran (Zainorah Kadri, 2015). Hal ini

telah dibuktikan dengan beberapa ayat al-Quran yang banyak mengandungi perkataan-

Page 2: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

100

perkataan berkaitan qalb dan akal yang sering dinyatakan secara seiring kerana kedua-

dua komponen ini fungsinya sangat penting bagi setiap manusia untuk menjalani

kehidupan sebagai khalifah di bumi Allah dalam menuju kehidupan akhirat yang baqa’.

Secara tidak langsung, dapat difahami bahawa emosi dan fikiran berupaya untuk

diuruskan secara harmoni dengan menjadikan al-Quran iaitu mukjizat teragung Nabi

Muhammad SAW sebagai al-huda serta al-syifa’ bagi seluruh umat manusia. Ini

sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah dalam surah Yunus ayat 57 yang

bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang

menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi

penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah

petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang

beriman.”

Ayat suci di atas telah menjelaskan bahawa al-Quran itu merupakan bentuk

nasihat dari Allah SWT melalui hidayaNya. Ia juga penawar bagi segala bentuk penyakit

terutama penyakit batin (keraguaan terhadap hakikat-hakikat kebenaran) yang berpunca

dari qalb maridh (hati yang sakit). Jika qalb dalam keadaan yang salim (sejahtera) dan

mutmain (tenang), maka fikiran dan emosi juga akan baik dan tenang. Kunci bagi

memiliki kondisi qalb salim (hati sejahtera) adalah dengan melazimi tadabbur ayat-ayat

suci al-Quran. Ayat-ayat Allah ini mampu meresap ke dalam hati manusia sehingga

sampai ke jiwa seperti air meresap ke dalam tanah sehingga ia sampai ke dalam biji benih

(Rohana Zakaria & et al., 2018). Tambahan pula, antara tuntutan utama al-Quran buat

umat manusia adalah tadabbur makna tersirat disebalik ayat-ayat suci tersebut. Hal ini

telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran melalui surah al-Shad ayat 29, surah al-

Nisa’ ayat 82, surah al-Mukminun ayat 68 dan pelbagai lagi ayat-ayat lain yang berkaitan

dengan sarana Allah SWT agar manusia mentadabburkan ayat al-Quran.

Melalui ayat-ayat ini, dapat difahami bahawa tadabbur itu penting bagi memberi

manfaat dan pedoman untuk setiap insan tanpa mengira kaum dan agama kerana al-

Quran diturunkan buat seluruh umat manusia. Tanpa tadabbur al-Quran, manusia sukar

untuk memahami bahkan menerima pengajaran dan ibrah untuk diimplementasikan

dalam kehidupan seharian (Mohd Salleh, 2011) malah Allah juga mencela hamba-hamba-

Nya yang tidak melaksanakan tadabbur al-Quran melalui surah Muhammad pada ayat

24 yang bermaksud:

“Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran?

Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup?”

Page 3: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

101

Ayat di atas bukan sekadar mencela insan berakal yang tidak berusaha

mentadabbur al-Quran malahan menjadi satu ayat gesaan buat semua agar membaca al-

Quran dengan penuh penghayatan dan kefahaman (Al-Syanqithi, 2010). Al-Quran itu

seperti air hujan yang mampu menyuburkan tanah gersang bahkan mampu memberi

kesan kepada batu yang keras (Al-Khalidi, 1994). Perumpamaan ini menjadi lambang

bahawa hati sekeras batu mampu dilembutkan dengan al-Quran yang berperanan seperti

air. Begitu juga fikiran dan emosi yang bercelaru mampu menjadi tenang dengan ayat

suci yang penuh keajaiban ini.

Justeru itu, tadabbur al-Quran bertepatan sebagai solusi pengawalan emosi dan

fikiran dalam situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana al-Quran sentiasa

menjadi petunjuk bagi segala permasalahan. Penulisan ini akan mengupas beberapa

aspek seperti senario semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) serta cabarannya,

kepentingan tadabbur al-Quran bagi seseorang individu muslim serta langkah-

langkahnya. Seterusnya penulisan ini akan membincangkan bagaimana aktiviti tadabbur

al-Quran memberikan kesan kesejahteraan fikiran dan emosi kepada pentadabbur,

khususnya dalam situasi perintah kawalan pergerakan.

SENARIO SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Tidak dinafikan PKP yang telah mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 merupakan

langkah positif ke arah pencegahan penularan wabak ini. Namun demikian, menurut Dr.

Firdaus Abdul Ghani, setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), situasi ini turut

mengundang implikasi kurang baik kepada kesejahteraan fikiran dan emosi sekiranya ia

tidak diuruskan dengan bijak (Astro Awani, 28 Mac 2020).

Selain daripada itu, ketidaktentuan tentang isu semasa berkaitan wabak serta

ekonomi juga mendatangkan kebimbangan kepada psikologi masyarakat serta individu.

Menurut R. S. Sarada Devi dan Azlan Shah Nazrudin yang merupakan Pegawai

Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan

Pemangku Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga (Harian Metro, 8 April 2020),

kajian psikologi daripada pandemik yang sebelum ini seperti Severe Acute Respiratory

Syndrome (SARS) mendapati tempoh PKP atau kuarantin sepanjang tempoh pandemik

mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti keresahan, ketakutan,

kekecewaan, kebosanan dan kemurungan.

Menurut Dr Firdaus Abdul Ghani (Astro Awani, 28 Mac 2020) tumpuan kepada

komunikasi secara maya juga turut memberikan kesan kepada kesejahteraan diri

individu. Kecenderungan terdedah kepada pelbagai jenis isu dan maklumat yang tidak

Page 4: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

102

benar, selain penggunaan waktu secara maksimum dan tidak terkawal terhadap

komunikasi maya berupaya memberi kesan kepada kecelaruan fikiran dan ketidak

stabilan emosi.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Pusat

Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti

Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Norhayati Ibrahim (Berita Harian Online, 26 Mac 2020)

berkata bahawa adalah amat penting bagi ibu bapa serta keluarga untuk kekal rasional

dan sentiasa positif bagi mengelakkan mereka terjerumus kepada impak psikologi

negatif sepanjang menjalani PKP.

Terdapat pelbagai panduan mahupun cadangan yang diutarakan oleh pelbagai

agensi bagi menjamin kesejahteraan fikiran dan emosi seseorang individu pada musim

PKP ini. Dr Norhayati Ibrahim (Berita Harian Online, 26 Mac 2020) turut menyarakan

agar menjalankan aktiviti keagamaan serta kerohanian di rumah. Ia dapat dilakukan

secara individu seperti mengaji atau bersama-sama; contohnya solat berjemaah. Aspek

spiritual atau peneguhan rohani telah dikenalpasti sebagai salah satu cara yang berkesan

untuk mengurangkan tekanan.

Aspek pengukuhan rohani sebagai kaedah mengurangkan tekanan, yang telah

jelas disebutkan dalam al-Quran seperti firmanNya:

“Bukankah dengan mengingati Allah SWT, jiwa menjadi tenang” (Surah al-Ra’du: 28),

perlu diambil perhatian. Dalam konteks kajian ini, pendekatan mengingat Allah SWT

yang dipilih ialah dengan Tadabbur al-Quran.

CABARAN SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) norma kehidupan sesebuah keluarga

berubah terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja. Menurut Wan Ya Shin, Pengurus

Penyelidikan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

(https://www.ideas.org.my., 8 April 2020) tuntutun kerja serta tumpuan yang perlu

diberikan kepada anak-anak yang mengikuti sesi persekolahan secara maya turut

menuntut kebijaksanaan ibu bapa dan keharmonian emosi agar tugasan dan

tanggungjawab sebagai pekerja dan pembantu kepada para guru dapat diselaraskan

dengan baik. Keadaan ini hanya dapat diselaraskan dengan baik sekiranya seseorang

individu itu, mempunyai fikiran dan emosi yang sejahtera.

Menurut pandangan setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr. Firdaus

Abdul Ghani (Astro Awani, 28 Mac 2020) apabila PKP ini dilaksanakan bermakna ramai

yang terpaksa meneruskan untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh tersebut. Adalah

Page 5: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

103

menjadi cabaran bagi seseorang untuk menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan

apabila bekerja dari rumah. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor:

1) Perubahan dari segi rutin harian atau kebiasaan. Banyak aktiviti atau tugasan yang

tidak dapat dilakukan seperti biasa.

2) Menyesuaikan diri untuk bekerja dari rumah memerlukan disiplin yang tinggi.

3) Kurang interaksi dengan dunia luar.

4) Sumber yang terhad untuk menjalankan tugas.

Selain daripada itu, ketidaktentuan tentang isu semasa berkaitan wabak serta

ekonomi juga mendatangkan kebimbangan kepada psikologi masyarakat serta individu.

Menurut R. S. Sarada Devi dan Azlan Shah Nazrudin yang merupakan Pegawai

Psikologi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan

Pemangku Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga (Harian Metro, 8 April 2020),

kajian psikologi daripada pandemik yang sebelum ini seperti Severe Acute Respiratory

Syndrome (SARS) mendapati tempoh PKP atau kuarantin sepanjang tempoh pandemik

mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti tekanan emosi. Secara

psikologi, individu mungkin akan menghadapi corak pemikiran negatif yang boleh

menjejas emosi mereka sepanjang PKP dilaksanakan. Emosi negatif di sini merujuk

kepada segala pemikiran negatif berkaitan diri sendiri, tidak berpuas hati mengenai masa

depan, kesulitan dalam hubungan rumah tangga, kesukaran dalam menyampaikan

emosi positif, perasaan terasing dari ahli keluarga dan rakan-rakan.

Antara perasaan yang timbul dalam diri individu semasa PKP ini ialah:

1) Keresahan dan ketakutan dijangkiti virus;

2) Kecewa serta bosan menghadapi keadaan seperti terkurung di rumah, perubahan

dalam rutin harian serta kekurangan dalam perhubungan sosial atau fizikal.

Menurut Dr Firdaus Abdul Ghani (Astro Awani, 28 Mac 2020) tumpuan kepada

komunikasi secara maya juga turut memberikan kesan kepada kesejahteraan diri

individu. Kecenderungan terdedah kepada pelbagai jenis isu dan maklumat yang tidak

benar, selain penggunaan waktu secara maksimum dan tidak terkawal terhadap

komunikasi maya berupaya memberi kesan kepada kecelaruan fikiran dan ketidak

stabilan emosi.

Perubahan corak hidup dengan batasan gaya hidup bermasyarakat sudah tentu

memberikan kesan kepada keupayaan memberikan tumpuan penuh (mindfulness)

kepada satu-satu pekerjaan bagi mereka yang melakukan kerja dari rumah. Langkah

Page 6: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

104

meningkatkan fokus pada perkara yang positif untuk menikmati ketenangan dalaman

juga adalah teknik mengalihkan pemikiran yang efektif. Pensyarah Kanan Program

Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan

(H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr

Norhayati Ibrahim (Berita Harian Online, 26 Mac 2020) berkata bahawa adalah amat

penting bagi ibu bapa serta keluarga untuk kekal rasional dan sentiasa positif bagi

mengelakkan mereka terjerumus kepada impak psikologi negatif sepanjang menjalani

PKP.

Terdapat pelbagai panduan mahupun cadangan yang diutarakan oleh pelbagai

agensi bagi menjamin kesejahteraan fikiran dan emosi seseorang individu pada musim

PKP ini. Antaranya panduan yang disarankan oleh Dr Firdaus Abdul Ghani (Astro

Awani, 28 Mac 2020) seperti berikut:

1) Kenal pasti ruangan khusus di rumah untuk bekerja. Ruang tersebut haruslah selesa

serta kurang gangguan daripada persekitaran.

2) Memastikan jadual harian yang teratur setiap hari. Bangun awal seperti waktu bekerja

biasa serta jalankan tugasan mengikut waktu bertugas yang sebenar.

3) Penjagaan diri yang baik. Pastikan pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang,

bersenam, tidur secukupnya serta kurangkan pengambilan minuman yang

mengandungi kafein.

4) Dapatkan rehat yang secukupnya. Cari waktu untuk melakukan aktiviti yang seronok

untuk merehatkan minda dari tekanan. Teknik relaksasi seperti teknik pernafasan dalam,

mendengar muzik, urutan serta teknik relaksasi otot dapat membantu mengurangkan

stres dan kegemuruhan sesorang.

5) Pendedahan yang terhad kepada gajet dan media termasuk media sosial. Peruntukan

masa yang khusus setiap hari untuk untuk melayari internet atau media sosial.

6) Teruskan untuk berhubung dengan rakan serta keluarga yang lain melalui talian atau

media sosial.

7) Gunakan masa lapang yang ada untuk melakukan perkara yang selama ini ingin anda

lakukan tetapi tidak dapat dilakukan sebelum ini disebabkan oleh kekangan masa seperti

memasak, membuat kuih, berkebun atau membaca.

8) Gunakan masa terluang ini untuk aktiviti peningkatan kerjaya seperti mengikuti

kursus / belajar dalam talian.

Page 7: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

105

9) Pastikan anak-anak juga diberikan jadual yang teratur bagi memudahkan mereka

menjalankan aktiviti harian yang merangkumi sesi belajar, bermain serta berehat.

10) Berikan sokongan dan bantuan kepada orang lain yang memerlukan mengikut

kemampuan diri.

11) Menjalankan aktiviti keagamaan serta kerohanian di rumah. Ia dapat dilakukan

secara individu seperti mengaji atau bersama-sama; contohnya solat berjemaah.

TADABBUR AL-QURAN DAN KEPENTINGANNYA

Al-Quran memberikan kefahaman kepada para pembacanya dalam dua peringkat.

Peringkat pertama ialah Tazakkur iaitu al-Quran memberikan peringatan, teguran dan

nasihat (Israr Ahmed, 1992). Ini seperti yang difirmankan Allah SWT dalam surah al-

Qamar ayat 17 yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi

peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil

peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Manakala peringkat kedua ialah peringkat Tadabbur iaitu memikirkan secara

lebih mendalam setiap ayat al-Quran, melakukan refleksi diri atas pengajaran yang

diperolehi dan meneroka khazanah lautan ilmu yang terdapat di dalamnya. Ini seperti

yang difirmankan Allah SWT dalam surah a-Sad ayat 29 yang bermaksud:

“Al-Quran itu sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai

Muhamad SAW), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka

memahaminya dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang

yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Amalan tazakkur dan tadabbur al-Quran yang dilakukan secara berterusan akan

memberikan kesan baik kepada fikiran dan juga emosi para pembacanya. Selain

daripada fadhilat membaca ayat al-Quran iaitu 10 ganjaran pahala bagi setiap huruf,

pendekatan mendampingi al-Quran dengan tadabbur amat sesuai diamalkan secara

lazim, terutama sekali pada musim PKP.

Perkataan “tadabbur” berasal daripada perkataan “tadabbara” yang membawa

maksud berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya, serta

menangkapi makna-maknanya, hukum-hukumnya dan maksud yang dikehendakinya

Page 8: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

106

(al-Suyuti, 1996). Al-Quran merupakan kitab yang dipermudahkan (muyassar) untuk

tilawah, hafaz, faham dan tadabbur. Allah SWT telah berfirman maksudnya:

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi

peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil

peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah Al-Qamar:17)

Maka wajib atas setiap muslim tadabbur al-Quran dan cuba memahaminya

dengan membaca secara perlahan-perlahan dan cuba memahami ayat-ayatnya.

Sesungguhnya al-Quran adalah kitab hidayah bagi mereka yang bertaqwa (Surah al-

Baqarah: 2). Oleh demikian, bagaimana seseorang yang tidak memahaminya akan

mendapat hidayahnya. Sekiranya dia musykil atau tidak mengerti maksud sesuatu ayat,

hendaklah dia merujuk kepada tafsirannya. Dia hendaklah mengumpulkan seluruh

tumpuannya ketika membaca dan menghadirkan hatinya dengan memerhati apa yang

dinyatakan di dalam ayat yang dibaca itu; ancaman, ugutan, harapan, rahmah, hal

keadaan umat terdahulu dan lain-lain. Allah berfirman maksudnya:

"Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-

Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya

daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

(Surah Muhammad:24)

PRINSIP DAN LANGKAH-LANGKAH TADABBUR AL-QURAN

Pelbagai prinsip dan langkah-langkah tadabbur al-Quran yang telah digariskan oleh para

ilmuan bagi memudahkan umat Islam mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Antara langkah-langkah utama atau konsep dasar bagi tadabbur al-Quran yang telah

digariskan oleh Abas Asyafah (2014) dalam buku beliau yang berjudul “Konsep

Tadabbur Al-Quran” adalah seperti berikut:

i. Tilawah (membaca atau mengikuti) yang berfungsi sebagai informasi agar tahu;

ii. Tazkiyah (penyucian) berfungsi untuk membersihkan hati dan memotivasi diri

agar mahu;

iii. Ta’lim (pengajaran, pengkajian mendalam) berfungsi meningkatkan kapasiti diri

agar mampu mengamalkan ilmu.

Bahkan, beliau juga menambah pandangan bagi langkah-langkah atau

metodologi tadabbur yang lain seperti:

i. Pendekatan Integratif: hubungkaitkan ayat-ayat al-Quran dengan kehidupan

realiti agar lebih terpandu;

Page 9: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

107

ii. Pendekatan Tematik: merumuskan topik dan tema utama seperti tema akidah,

akhlak dan lain-lain agar lebih mudah mencari jalan penyelesaian bagi

permasalahan yang dihadapi;

iii. Pendekatan Komparatif: membuat analisa perbandingan ayat, surah, masa dan

perkara lain bagi mencari perbezaan dan persamaan untuk dikaitkan dengan

kehidupan;

iv. Pendekatan Paradigmatik: merumuskan paradigm atau cara pandang setiap tema

untuk mewujudkan teori atau kefahaman yang lebih jelas;

v. Pendekatan Empirik: mempraktikan teori dan kefahaman dalam kehidupan

nyata.

Al-Sunaidi (2002) dalam bukunya bertajuk “Tadabbur Al-Quran” menjelaskan

sembilan perkara bagi menerangkan prinsip tadabbur, iaitu (a) al-fahm, (b) al-fiqh, (c) al-

bashîrah, (d) al-fikr, (e) al-tafakkur, (f) al-tadzakkur, (g) al-ta`ammul, (h) al-i’tibar dan (i) al-

istibshar. Setiap perkataan ini berkait rapat dengan kaedah tadabbur yang memegang

akal fikiran dan hati sebagai kunci utama. Sembilan perkara ini memberi maksud berikut:

(a) Al-Fahm (الفهم): memahami ilmu;

(b) Al-fiqh (الفقه): mendalami ilmu;

(c) Al-bashîrah (البصيرة): kebijaksanaan atau penyempurnaan ilmu;

(d) Al-fikr ( الفكر): kehadiran kefahaman di dalam hati bagi membuahkan ilmu;

(e) Al-tafakkur ( التفكر): menggunakan akal fikiran bagi menghadirkan kefahaman;

(f) Al-tadzakkur ( التذكر): peringatan atau gambaran ilmu yang diingati hadir di dalam

hati akan membuahkan amalan atau praktikal;

(g) Al-ta`ammul (التأمل): melakukan penelitian atau ulangkaji secara berulang kali

sehingga menjadi jelas dan tersingkap makna disebalik ayat bagi menetapkan hati;

(h) Al-i’tibar ( عتبار��): mengambil pengajaran atau iktibar tentang sesuatu ayat;

(i) Al-istibshar ( ستبصار��): perbuatan atau perihal penelitian bagi menjelaskan sesuatu

perkara atau menyingkap serta menjadikannya jelas sebagai hujah atau dalil.

Beliau juga menggariskan beberapa langkah tadabbur dalam kitab beliau seperti:

i. Menghidupkan makna ayat dengan mengaitkan makna tersebut di alam realiti;

ii. Membaca al-Quran dengan jelas, tartil, tarannum dan tajwid yang betul;

iii. Membaca al-Quran di dalam solat;

iv. Memberi respon terhadap ayat-ayat yang dibaca seperti menggambarkan kisah

yang diceritakan dalam al-Quran;

v. Yakin dan menjiwai ayat-ayat yang dibaca beserta maknanya;

Page 10: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

108

vi. Berusaha mengkhatam al-Quran dalam satu tempoh masa yang ditetapkan;

vii. Membaca al-Quran berulang kali;

viii. Mengetahui uslub al-Quran seperti larangan, perintah dan sebagainya;

ix. Mempelajari al-Quran.

Tambahan pula, Al-Lahim (2007) dalam bukunya yang bertajuk “Mafatih Tadabbur

al-Qur’an wa al-Najah fi al-Hayah” juga ada menerangkan beberapa langkah bagi

mentadabbur al-Quran seperti:

i. Mencintai al-Quran;

ii. Mengingati ayat al-Quran;

iii. Mendengarkan bacaan al-Quran;

iv. Mengulang-ulang bacaan al-Quran;

v. Merancang membaca al-Quran dalam satu tempoh tertentu dengan membuat

pembahagian berdasarkan hizb atau juzu’;

vi. Mewujudkan hubungkait antara ayat al-Quran dan kehidupan realiti melalui

pemahaman dan hafazan (ingatan).

Selain itu, terdapat beberapa etika bagi sesuatu proses tadabbur yang mencakupi

etika dalaman dan luaran. Etika luaran ialah seperti pemilihan masa, tempat, berada

dalam keadaan sedia, membaca doa-doa tertentu, mohon doa petunjuk daripada Allah

SWT, pembacaan al-Quran secara tartil dengan irama yang sesuai, fokus pada ayat yang

dibaca, berusaha untuk menjiwai ayat-ayat yang dibaca dan menjaga adab-adab bersama

al-Quran. Manakala etika dalaman yang perlu diberikan perhatian ialah merasakan

kebesaran Allah SWT, menyucikan jiwa, menyerahkan segala tumpuan kepada proses

tadabbur, mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang menyebabkan

kefahaman terhalang, menjadikan diri sendiri sebagai objek tumpuan semasa proses

tadabbur, memberikan fokus dan menjadikan al-Quran medium berkomunikasi dengan

Allah SWT (Al-Qaradhawi, 1999).

Tuntasnya, terdapat pelbagai langkah mahupun prinsip tadabbur yang telah

digariskan oleh para ulama’ agar insan yang lain lebih jelas dan mudah untuk

melaksanakan tadabbur dengan benar.

TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP KESEJAHTERAAN

FIKIRAN SERTA EMOSI

Tadabbur al-Quran terbukti mampu memberi kesan terhadap fikiran dan emosi. Proses

tersebut mampu mensucikan hati bahkan menambah ketaatan kepada Allah SWT.

Penyucian hati hanya mampu diraih dengan sentiasa memahami, memikirkan serta

mentadabbur ayat-ayat Allah demi meluruskan pemikiran dan membersihkan qalb. Hal

ini semakin menjelaskan bahawa kesejahteraan fikiran dan emosi dapat diwujudkan

Page 11: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

109

melalui hati yang bersih dan ketaatan kepada Allah SWT yang mendalam (Umar Salim

2008). Bahkan dalam al-Quran juga secara jelas telah menyatakan bahawa qalb yang

tenang mampu diraih dengan mengingati Allah SWT melalui surah al-Ra’d ayat 28 yang

memberi maksud:

“Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.

Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram”.

Kesibukan sesetengah individu muslim dengan pekerjaan dan rutin aktiviti

seharian kadangkala membuatkan mereka lupa akan diri bahkan lupa akan Penciptanya

yakni Allah SWT. Ini membuatkan hidup mereka tidak keruan dan dalam kebingungan.

Maka, cara yang diajarkan Allah SWT untuk menyelamatkan mereka dalam keadaan itu

adalah dengan memperbanyakkan mengingati Allah SWT. Tadabbur al-Quran yang

merupakan salah satu bentuk mengingati Allah yang sudah tentu memberikan satu

bentuk ketenangan kepada pentadabburnya (Asmuni, 2018).

Terdapat juga beberapa kajian empirikal yang munujukkan bahawa tadabbur al-

Quran memberikan implikasi positif kepada kesejahteraan fikiran dan emosi. Antaranya

kajian bertajuk “Tadabbur Surat Al-Insyirah untuk Menurunkan Stres Akademik

Mahasiswa” (Ansyah, 2019). Hasil kajian menunjukkan bahawa pembacaan surah Al-

Insyirah dapat menurunkan stres akademik sehingga menjadi satu bentuk cadangan bagi

seorang pelajar untuk menghadapi tentangan dan kesulitan di kampus dengan sikap dan

pikiran positif. Manakala kajian yang dijalankan oleh Yuliani et al. (2019) yang bertajuk

“Pengaruh Kebiasaan Tadabbur al-Quran Terhadap Kecerdasan Spiritual Anggota

Komunitas Tadabbur Quran” telah menunjukkan bahawa kebiasaan Tadabbur al-Quran

memberikan pengaruh positif terhadap kecerdasan spiritual peserta kajian sebanyak

49%.

Bahkan kajian yang dijalankan oleh Dini A.P. Prapto & et. al (2015) dengan judul

“Al-Quran Tadabbur Therapy to Reduce Anxiety on the First Delivery” juga memaparkan

keputusan yang positif dengan menyatakan perasaan cemas bagi kelompok ibu hamil

yang mendapatkan terapi tadabbur al-Quran rendah berbanding kelompok yang tidak

mendapatkan terapi ini. Hasil penelitian ini juga secara langsung telah menyokong teori

yang menyatakan bahawa al-Quran dapat menyembuhkan berbagai penyakit jasmani

mahupun rohani seperti kegelisahan, kecemasan mahupun kejiwaan (Hawari, 1997;

Najati, 2004 & Mulyadi & et al, 2012) malah juga menguatkan teori tentang terapi

berasaskan keagamaan terutama psikoterapi Islam dapat meningkatkan kesihatan jiwa

seseorang (Qadri, 2003; Nashori, 2005; Kuchan, 2007; Breslin & Lewis, 2008; Mardiyono

& Songwathana, 2009; Trimulyaningsih, 2009; Shaleh, 2010; Purwoko, 2013; Maimunah

& Retnowati, 2011 dan Mulyadi & et al, 2012 in Dini A. P. Prapto, 2015).

Page 12: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

110

Selain itu, Abas Asyafah (2014) dalam buku beliau yang berjudul ”Konsep

Tadabbur Al-Quran” telah menggariskan beberapa kayu ukur atau indikator bagi

mencapai objektif tadabbur. Antaranya adalah:

i. menyatukan fikiran dan hati dengan bacaan al-Quran;

ii. menyentuh emosi;

iii. khusyuk; dan

iv. meningkatkan iman.

Indikator ini secara tidak membenarkan lagi hakikat bahawa tadabbur yang benar

mampu melahirkan kesejahteraan fikiran dan emosi kerana kaedah tadabbur

menyatukan hati dan akal supaya lebih terbimbing dengan kalam cinta Allah.

Abas Asyafah (2014) menjelaskan berdapat tujuh karakteristik orang yang

mentadabbur al-Quran dengan benar iaitu:

i. penyatuan hati dan fikiran saat membaca;

ii. menangis kerana takut kepada Allah;

iii. meningkatnya kekhusyukan;

iv. bertambahnya keimanan;

v. bahagia dan semangat;

iv. ketenangan jiwa;

iiv. mengagungkan Allah dengan bersujud.

Karakteristik ini menunjukkan orang yang mentadabbur al-Quran pasti fikiran

dan emosinya sentiasa terkawal kerana keimanan dan ketaatan yang mendalam kepada

Allah SWT.

PENUTUP

Al-Quran merupakan mukjizat teragung yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW

sebagai pedoman umat Baginda SAW sehingga akhir zaman. Barang siapa yang

membacanya dengan penuh penghayatan tidak akan merasa bosan walaupun dibaca

berulang kali. Ia akan menunjukkan kemukjizatannya dari aspek memberikan

kefahaman demi kefahaman, ketenangan demi ketengan, pengajaran demi pengajaran

dan insprirasi demi inspirasi. Al-Quran akan memberikan jawapan kepada yang

mempunyai persoalan kehidupan. Ia akan menunjukkan jalan kebenaran kepada sesiapa

yang dalam kebuntuan. Sekaligus gesaan yang acap kali diulang oleh Allah SWT untuk

metadabburi setiap ayat suciNya merupakan petunjuk, penawar rahmat dari Allah SWT

dengan menatijahkan fikiran dan emosi yang sejahtera kondisinya. Sekaligus ia

merupakan solusi utama kepada gangguan fikiran dan emosi secara umum dan

khususnya semasa dalam keadaan tertekan seperi semasa PKP.

Page 13: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

111

RUJUKAN

Al-Quran

Abas Asyafah. 2014. Konsep tadabbur al-Quran. Bandung: CV Maulana Media Grafika.

Abdul Muhsin. 2017. Mabadi’ tadabbur al-quran al-karim. Riyadh:Al-Dairi al-Syarqi

Abu Hayyan, M. 1999. Al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir. Beirut: Dar al-Fikr.

Al-Khalidi, S. A. F. 1994. Mafatih lil ta’ammul ma’a al-Qur’an. Damsyik: Darul Qalam.

Al-Lahim, K. A. K. 2007. Mafatih tadabbur al-Qur’an wa al-najah fi al-hayah. Riyadh: Al-

Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah.

Al-Qaradhawi, Y. 1999. Berinteraksi dengan al-qur’an (trans: Abdul Hayyie Al-Kattani).

Jakarta: Gema Insani Press.

Al-Sunaidi, S. U. 2002. Tadabbur al-quran. Riyadh, Arab Saudi: Maktabah Malik Fahd.

Al-Suyuti, J.A.R. 1996. Al-Itqan fi ulum al-quran. Muassasah al-Kutub al-Thaqafiah.

Al-Syanqithi. 2010. Tafsir adhwa’ul bayan tafsir al-Quran dengan al-Quran. Takhrij Syaikh

Muhammad & Abdul Aziz Al-Khalidi. Pustaka Azzam.

Ansyah, E. H., Muassamah, H., & Hadi, C. 2019. Tadabbur Surat Al-Insyirah untuk

Menurunkan Stres Akademik Mahasiswa. Jurnal Psikologi Islam dan Budaya, 2(1), 9-

18.

Asmuni, A. 2018. Zikir Dan Ketenangan Jiwa Manusia (Kajian Tentang Sufistik-

Psikologik). Prophetic: Professional, Empathy and Islamic Counseling Journal, 1(01).

Breslin, M. J & Lewis, C. A. 2008. Theoritical models of the nature of prayer and health: a

review. Journal of mental health, Religion and Culture. 11 (1), 9 – 21.

Daris T. 2016. Aplikasi bimbingan dengan pendekatan tadabbur al-quran dalam

membangun generasi emas 2045 berkarakter sabar. Seminar Nasional: “Konseling &

psikoterapi untuk mengatasi dampak pasar bebas dunia”. Proseeding Seminar dan

Workshop Internasional Bimbingan dan Konseling Karir, Universitas PGRI

Yogyakarta (pp. 1-18). Lombok, Indonesia.

Daris T. 2017. Kerangka kerja bimbingan dengan pendekatan tadabbur al-quran untuk

pengembangan karakter sabar remaja (Ph.D’s thesis). Universitas Pendidikan

Indonesia, Bandung, Indonesia.

Page 14: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

112

Dini A.P. Prapto, H. Fuad, N. & Rumiani. 2015. Al-Qur’an tadabbur therapy to reduce

anxiety on the first delivery. Jurnal Intervensi Psikologi, 7(2), 131-142.

Fathor R. 2017. Kitab tadabbur al-qur’an karya bachtiar nasir dalam perspektif epistemology

(Master’s tesis). Universitas Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia.

Hawari, D. 1997. Ilmu kedokteran jiwa dan kesehatan jiwa. Yogyakarta: PT. Dhana Bakti

Prima Yasa.

Ina L. 2019. Pengembangan media video pembelajaran fisika diperkaya tadabbur al-qur’an.

(Master’s tesis). Universitas Islam Negeri Raden Intan Lampung, Indonesia.

Ishak A. M., Ridzuan, A., Ab Halim, T. & Khadijah, A. R. 2017. The concept of tadabbur

and the impacts of the 5 minutes program with al-quran: a case study among

student teachers in IPG KSAH. Jurnal Tinta Artikulasi Membina Ummah 3(1), 100-

114.

Israr, A. 1992. The obligations muslims owe to the qur’an (5th ed.)(trans: Mohamad Ibrahim).

Lahore, Pakistan: Markazi Anjuman Khuddam-Ul-Quran.

Kuchan, K. L. 2007. Prayer as therapeutic process toward aliveness within a spiritual

direction relationship. Journal of Religion Health. 47, 263 – 275.

Maimunah, A. & Retnowati, S. 2011. Pengaruh Pelatihan Relaksasi dengan Dzikir untuk

Mengatasi Kecemasan Ibu Hamil Pertama. Psikoislamika, Jurnal Psikologi Islami.

8(1), 1-22.

Maisarah Thuhuda, M. J., Mohd Faizulamri M. S. & Sabri, M. 2018. Keutamaan amalan

tadabbur al-quran terhadap pelajar tahfiz. Jurnal al-Turath 3(2), 16-21.

Mardiyono & Songwathana, P. 2009. Islamic Relaxation Outcome: A Literature Review.

The Malaysian Journal of Nursing. 1(1), 25-30.

Mohd Salleh, Ab. R. 2011. Sehingga al-Quran terpahat di hati. Telaga Biru Sdn. Bhd.

Muhammad Umar, S. 2008. Tadabbur al-Quran wa atharuhu fi tazkiyati al-nufus. Qahirah:

Jumhuriyah Mesir al-‘Arabiyyah.

Mulyadi, Hidayah, R & Mahfur, M. 2012. Model psikoterapi AlQur’an dalam

menanggulangi kecemasan santri lembaga tinggi pesantren luhur dan pondok

pesantren Baiturrhamah di kota Malang. Jurnal Universitas Islam Negeri Maulana

Malik Ibrahim.

Najati, M, U. 2004. Psikologi dalam Perspektif Hadits. Jakarta: Pustaka Al Husna Baru.

Page 15: TADABBUR AL-QURAN DAN IMPLIKASINYA TERHADAP …

113

Nashori, F. 2005. Hubungan antara kualitas dzikir dengan suasana hati negatif

mahasiswa. Penelitian Individu. (Tidak Diterbitkan). Yogyakarta: Universitas

Islam Indonesia.

Nurul Husna, M. S. & Sahlawati, A. B. 2018. Konsep Tadabbur Al-Quran. Proceedings of

the International Conference on Contemporary Issues in al-Quran and Hadith

(THIQAH), (pp. 153-158). ILIM, Bangi, Selangor.

Nurul Zakirah, M. S. 2018. Analisis prinsip tadabbur: qawai’id al-tadabbur al-amthal dan

aplikasinya dalam tafsir ma’arij al-tafakkur wa daqa’iq al-tadabbur (Ph.D tesis).

Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Purwoko, S.B. 2013. Terapi Refleksi AlFatihah. Jurnal Psikologika. 18(2), 129-141.

Qadri, M. A. 2003. Quranic Therapy Heal Yourself. USA: Islamic Cultural Research

Center of North America.

Rohana, Z., Shaharuddin, P. & Shaharuddin, S. 2018. Elemen tadabbur al-quran dalam kursus

i’adah hifz al-quran pengajian tahfiz al-quran dan al-qiraat KUIS. Proceeding of 4th

International Conference on Islamiyyat Studies (IRSYAD), (pp. 194-202). Bangi,

Selangor.

Sholeh, A.Y. 2010. Berdzikir untuk Kesehatan Syaraf. Jakarta: Penerbit Zaman.

Trimulyaningsih, N. 2009. Terapi Kognitif Perilakuan Religius untuk Menangani

Depresi. Tesis. Yogyakarta: Universitas Gadjah Mada.

Yuliani, F., Djamal, N. N., & Endi, E. 2019. Pengaruh kebiasaan Tadabbur Al-quran

terhadap kecerdasan spiritual anggota Komunitas Tadabbur Quran. Jurnal

Psikologi Islam, 6(2), 37-50.

Zainorah, K. 2015. Elemen pemikiran kritis menurut perspektif al-Quran: kajian surah al-Rum

(PhD tesis). Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi

Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Berita Harian Online, 26 Mac 2020

Astro Awani, 28 Mac 2020

Harian Metro, 8 April 2020

https://www.ideas.org.my., 8 April 2020