ringkasan artikel 2

Upload: syahmi-syafiq

Post on 09-Oct-2015

103 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

artikel

TRANSCRIPT

TUGASAN 2

Penggunaan Bahasa Baku Kurang Diberi Perhatian di Sekolah Rendah

Bahasa baku ialah bahasa standard, mempunyai struktur yang lengkap dan sempurna dari segi sistem ejaan, tatabahasa, dan kosa kata. Bahasa Melayu baku mempunyai keseragaman dalam empat sistem yang utama iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Sebutan baku pula mencakupi aspek fonologi sahaja.Menurut Awang Sariyan (2004), sebutan baku di Malaysia telah ditetapkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-3 (1956) yang memutuskan bahawa sebutan baku ialah sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan bukan berdasarkan kelaziman sebutan menurut dialek Riau-Johor. Pelaksanaan sebutan baku di institusi pendidikan khususnya sekolah berjalan serentak dengan KBSM pada tahun 1988. Namun, sebagai bahasa yang hidup dan berkembang, bahasa Melayu khususnya bahasa Melayu baku telah melalui banyak proses sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pada hari ini. Kini, bahasa Melayu baku menghadapi cabaran dan tekanan ekoran arus pemodenan dan globalisasi. Penggunaan bahasa baku kurang diberi perhatian di sekolah rendah. Berdasarkan pernyataan yang diberikan ini saya amat setuju sekali bahawa murid dan guru di sekolah rendah kurang mempraktikkan atau menggunakan bahasa baku sebagai bahasa pertuturan, khususnya semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Berdasarkan perkembangan kanak-kanak yang normal, sebutan atau lisan merupakan aspek kemahiran yang amat penting kerana ia merupakan bahasa pertama yang dipelajari dan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Kegagalan seseorang murid menguasai aspek sebutan menimbulkan banyak masalah kepadanya untuk memahami pertuturan orang lain. Taraf penguasaan berbahasa yang rendah juga menimbulkan kesulitan untuk berkomunikasi secara berkesan. Sememangnya wujud pengabaian penggunaan bahasa baku di sekolah rendah. Seperti yang kita sedia maklum, mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran yang wajib lulus dalam ujian atau peperiksaan, khususnya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Berdasarkan keputusan UPSR Tahun 2013 telah menunjukkan bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu telah menunjukkan kadar peningkatan berbanding tahun sebelumnya dengan pencapaian yang paling baik dalam tempoh empat taun. Bahasa Melayu merupakan penyumbang utama kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun 2013 (http://moe.gov.my). Walau bagaimanapun, pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak menunjukkan bahawa murid mempraktikkan penggunaan bahasa baku di sekolah, biarpun dalam Ujian Bahasa Melayu Penulisan mereka menggunakan bahasa Melayu baku tanpa menggunakan perkataan dialek tempatan. Namun, murid-murid hanya menjawab Ujian Bahasa Melayu hanya sekadar lulus sahaja tetapi tidak mempraktikkannya semasa berkomunikasi di sekolah atau di luar sekolah.Antara faktor yang menyebabkan penggunaan bahasa baku kurang dipraktikkan di sekolah rendah ialah kurangnya sokongan daripada pihak sekolah. Pelbagai kempen yang dilakukan oleh pihak sekolah, seperti cintailah Bahasa Melayu. Namun, matlamat kempen yang dijalankan oleh pihak sekolah tidak tercapai kerana pengisian dalam kempen tersebut tidak menekankan tentang kepentingan bahasa baku yang menjadi lambang bahasa Melayu asli. Malah, pengabaian bahasa baku juga adalah disebabkan oleh kurang kepedulian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya setiap sekolah memberikan penekanan dalam penggunaan bahasa Melayu baku di sekolah, khususnya semasa proses P&P. Sebagai contoh, proses pembakuan bahasa dalam kalangan murid di sekolah didapati tidak merentas kurikulum dan hanya terhad semasa pembelajaran bahasa Melayu semata-mata. Rentetan daripada hal itu, pihak sekolah telah bersikap acuh tak acuh dalam penggunaan bahasa baku di sekolah, khususnya di sekolah rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui pengamatan dan pemerhatian yang saya lakukan terhadap sekolah saya mengajar, saya mendapati bahawa kebanyakan guru di sekolah berkenaan tidak menggunakan bahasa baku ketika mengajar atau berkomunikasi semasa di sekolah, khususnya guru bahasa Melayu itu sendiri. Malah, bagi guru mata pelajaran lain pula, guru telah mengamalkan 'gaya bebas', kerana yang penting ialah ilmu yang disampaikan itu dapat diterima dan difahami oleh pelajar. Maka, di sekolah tugas pembakuan bahasa hanya terletak pada bahu guru bahasa Melayu sahaja, manakala guru-guru lain bebas menggunakan bahasa rojak dan juga dialek daerah dalam proses penyampaian ilmu. Perkara ini juga diteruskan sehingga di peringkat pengajian tinggi.

Di samping itu, tanggapan rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu baku yang hanya digunakan semasa berada dalam situasi formal dan rasmi sahaja menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bahasa baku tidak digunakan atau dipraktikkan secara meluas, terutamanya dalam kalangan guru di sekolah. Antara aktiviti atau kegiatan yang ditakrifkan formal ialah ucapan, pidato, ceramah, mesyuarat, wawancara, siaran melalui media elektronik. Namun, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga merupakan satu aktiviti formal kerana proses P&P dijalankan di sekolah yang merupakan tempat rasmi kita menimba ilmu. Oleh hal yang demikian, cara untuk menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur, mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat adalah dengan menerapkan penggunaan bahasa baku dalam pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, khususnya di peringkat sekolah rendah. Tambahan lagi, punca pengabaian penggunaan bahasa baku di sekolah juga adalah disebabkan oleh guru yang tidak menitikberatkan terhadap penggunaan bahasa baku. Guru merupakan pemangkin atau penggerak utama dalam penggunaan bahasa baku kerana guru merupakan penyampai ilmu kepada anak-anak murid. Namun, sekiranya guru menggunakan dialek tempatan, maka murid-murid juga akan terikut-ikut. Keadaan ini akan menyebabkan murid-murid tidak dapat membiasakan diri mereka dengan bertutur menggunakan bahasa baku. Hal ini dapat dibuktikan lagi melalui hasil temubual saya terhadap dua orang guru bahasa Melayu di sekolah yang saya mengajar, iaitu Guru A dan Guru B. Guru A: Saya tidak pernah menggunakan bahasa baku sepanjang 15 tahun saya menjadi guru Bahasa Melayu semasa P&P, kecuali semasa saya mendeklamasikan sajak dan pantun kepada murid-murid. Apabila saya menggunakan bahasa baku semasa mengajar di dalam kelas, saya akan berasa kekok dan malu dengan anak murid saya. Sekiranya saya menggunakan bahasa baku juga, berkemungkinan anak murid saya tidak akan faham tentang perkara yang saya terangkan kepada mereka. Sebab itu saya bertutur menggunakan dialek tempatan sahaja agar mereka mudah faham.Guru B: Kadang-kadang sahaja saya menggunakan bahasa baku, khususnya semasa melatih murid-murid dalam pertandingan pidato, pantun dan sajak.. Bagi pendapat saya, bahasa baku hanya digunakan semasa acara formal sahaja. Kelihatan janggal sekiranya menggunakan bahasa baku sebagai gaya pertuturan seharian dan semasa proses P&P berlangsung. Saya juga pernah mencuba semasa mengajar, tetapi ia telah menyukarkan saya ketika bertutur menggunakan bahasa baku ketika mengajar kerana saya kerap tersasul menggunakan dialek tempatan.

Berdasarkan hasil temubual dengan guru Bahasa Melayu di sekolah rendah, saya mendapati bahawa guru bahasa Melayu sendiri yang tidak menggunakan bahasa baku sebagai bahasa komunikasi di sekolah, khususnya semasa proses P&P. Bahkan mereka masih berpegang kuat kepada dialek negeri masing-masing. Sebagai contoh, rakyat di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia seperti negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai pengaruh dialek yang kuat. Oleh hal yang demikian, ia merupakan antara masalah utama yang mempengaruhi prestasi kemahiran lisan atau sebutan guru dan murid. Walaupun murid telah menerima pendedahan penggunaan bahasa Melayu standard sejak peringkat awal persekolahan, namun masalah dialek menimbulkan pengaruh yang negatif terhadap penguasaan sebutan bahasa Melayu standard di sekolah (Farid M.Onn dan Ajid Che Kob, 1981: 67). Masalah ini seterusnya telah mempengaruhi keputusan peperiksaan para murid apabila mereka memasuki sekolah menengah, khususnya dalam mata pelajaran bahasa Melayu, misalnya pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Buktinya, sesetengah calon telah gagal memperoleh markah yang cemerlang kerana terlalu banyak melakukan kesalahan bahasa (Awang Sariyan,1989: 263).Selain itu, sikap komuniti dalam sekolah itu sendiri yang bersikap acuh tak acuh terhadap penggunaan bahasa baku ketika berkomunikasi juga menjadi punca pengabaian penggunaan bahasa baku di sekolah rendah. Hal ini telah dibuktikan lagi melalui kajian Farid M. Onn dalam kertas kerja yang bertajuk Masalah Sebutan Bahasa Malaysia: Yang ini, Yang itu, atau Yang Mana dalam Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia (1989: 79). Beliau menyatakan bahawa kesalahan-kesalahan sebutan yang telah dilakukan merupakan akibat daripada kejahilan atau tidak mahu memahami cara sebutan bahasa Melayu yang sebenar. Kebanyakan kalangan penutur mengambil sikap dingin terhadap bahasa Melayu dan mereka tidak mahu berusaha dengan mengambil pelbagai inisiatif untuk memperbaiki atau mempertingkatkan taraf penguasaan bahasa Melayu mereka. Malah, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Abdul Hamid Mahmood dalam kertas kerja yang bertajuk Masalah Penguasaan Bahasa Malaysia Baku Di Kalangan Pelajar dalam Guru dan Bahasa Melayu (1997: 104) telah mengatakan bahawa ujian lisan yang dilakukan terhadap pelajar-pelajar kelas persediaan (matrikulasi) yang terdiri daripada pelajar Cina, India, Melayu, Benggali, Kadazan dan lain-lain telah menunjukkan ketidakseragaman dari segi sebutan. Berdasarkan kajian yang dilakukan, pengkaji mendapati bahawa terdapat pelbagai loghat daerah yang dituturkan oleh pelajar-pelajar dari Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Begitu juga dengan pelajar-pelajar bukan bumiputera pula bertutur dalam pelat atau telor bahasa ibunda masing-masing.Pengabaian penggunaan bahasa baku di sekolah sememangnya memberikan banyak impak negatif sehingga boleh menjejaskan usaha pihak kerajaan memartabatkan bahasa Melayu. Namun, langkah pencegahan dan penyelesaian perlu diambil melalui inisiatif-inisiatif yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu diambil ialah peranan yang perlu diambil oleh pihak KPM dalam mengatasi masalah pengabaian pembakuan bahasa. Sebagai contoh, tempat-tempat latihan perguruan perlu menekankan kepentingan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku. Malah, KPM perlu menambahkan lagi kemahiran kepada bakal guru tentang cara pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku. Tenaga pengajar yang berkemahiran tinggi juga amat diperlukan di institut pengajian tinggi dan maktab-maktab perguruan agar mampu melahirkan bakal-bakal guru yang mahir dan berpengetahuan tinggi agar pelaksanaan bahasa Melayu baku di sekolah berjalan dengan lancar dan berkesan. Pihak KPM dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu mengambil langkah proaktif dengan mengambil cakna akan prestasi lisan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Pihak yang terlibat boleh mengarahkan pegawai-pegawai jabatan untuk menyelia dan memastikan proses P&P bahasa Melayu terutamanya aspek sebutan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan daripada pengaruh dialek tempatan. Bukan itu sahaja, peranan yang sewajarnya perlu diambil oleh pihak sekolah terutamanya Guru Besar atau Pengetua bagi memastikan guru tidak menggunakan langsung dialek tempatan sewaktu P&P. Di samping itu, pihak sekolah perlu menetapkan peraturan dengan menguatkuasakan larangan murid bertutur menggunakan dialek tempatan ketika berada dalam waktu persekolahan termasuklah sewaktu aktiviti kokurikulum. Malah, pihak pengurusan sekolah terutamanya melalui Panitia Bahasa Melayu perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku di sekolah. Misalnya, pihak Panitia Bahasa Melayu boleh menganjurkan kursus-kursus dalaman yang berkaitan dengan sebutan bahasa Melayu baku. Kursus tersebut perlu diadakan dengan lebih kerap agar para guru mendapat pendedahan berkenaan dengan bahasa baku dari aspek cara sebutan bahasa Melayu baku dan hal yang paling penting, para guru dapat membiasakan diri dengan penggunaan bahasa baku. Pihak pengurusan juga perlu memastikan setiap majlis formal yang diadakan di sekolah bebas daripada penggunaan dialek. Individu yang terlibat dalam sesuatu majlis tersebut sama ada pihak pengurusan, para guru, murid-murid dan ibu bapa seharusnya menggunakan sebutan bahasa Melayu yang baku.Langkah seterusnya yang perlu dilakukan ialah para guru di sekolah perlu memainkan peranan masing-masing. Berdasarkan pengamatan saya, tidak adil sekiranya di sekolah hanya menekankan penggunaan Bahasa Inggeris sahaja, misalnya penggunaan Bahasa Inggeris semasa perhimpunan di sesetengah sekolah yang dilakukan sekali seminggu. Namun, penggunaan bahasa Melayu baku telah dipinggirkan oleh pihak sekolah. Oleh hal yang demikian, rakan guru perlu lebih bersikap prihatin dan proaktif dalam menangani masalah ini dengan lebih mengutamakan bahasa Melayu, khususnya bahasa Melayu baku yang betul dari segi sebutan dan ejaannya. Impak yang diperoleh hasil pembelajaran juga menjadi kurang berkesan apabila penggunaan dialek tempatan yang begitu ketara dalam pertuturan bahasa Melayu dalam kalangan guru, lebih-lebih lagi sekiranya guru tersebut merupakan penduduk tempatan dan lebih selesa bertutur menggunakan dialek tempatan. Oleh itu, kerjasama daripada semua guru terutamanya guru-guru mata pelajaran yang lain adalah sangat diperlukan dalam mencapai matlamat pelaksanaan sebutan bahasa Melayu baku di sekolah. Pelaksanaan ini amat sesuai dengan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum agar semua guru seharusnya dapat menyampaikan pengajarannya dengan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku tanpa mencampuradukkan dialek dalam sesi P&P. Perkara paling mustahak ialah para guru perlu melakukan penilaian kendiri sebagai langkah menilai tahap kepatuhan mereka terhadap aspek penggunaan sebutan bahasa Melayu baku.

Tambahan lagi, murid perlu bersikap lebih positif dengan menukar cara pemikiran dengan menganggap bahawa sebutan bahasa Melayu baku perlu dituturkan dalam urusan seharian sama ada di sekolah, di rumah atau sewaktu berkomunikasi bersama masyarakat setempat. Melalui langkah ini, ia dapat melatih dan membiasakan murid dengan gaya sebutan bahasa Melayu yang betul tanpa pengaruh dialek tempatan sebagaimana lazimnya. Malah, murid juga dicadangkan agar selalu mendengar ucapan, pidato, sajak, pantun, berita dan seumpamanya untuk dijadikan sebagai contoh dalam penggunaan sebutan bahasa Melayu baku yang betul. Murid-murid perlu membuang tanggapan bahawa bahasa Melayu sangat mudah dan mereka memandang enteng akan bahasa ibunda negara ini kerana kemahiran bertutur menggunakan sebutan bahasa Melayu baku memerlukan jangka masa yang panjang dan banyak latihan diperlukan sehingga ia menjadi satu kelaziman. Begitu juga dengan peranan yang diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menggalakkan penggunaan sebutan bahasa Melayu baku ketika berkomunikasi di rumah dengan memastikan anak-anak mereka mengulang kaji mata pelajaran bahasa Melayu, khususnya dari aspek lisan. Latihan dan latih tubi sebutan bahasa Melayu yang baku perlu diadakan dari masa ke semasa terutama sekali sewaktu menduduki Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) yang mensyaratkan para pelajar lulus ujian tersebut.

Secara tuntasnya, kita sebagai rakyat Malaysia, khususnya golongan pendidik perlu meningkatkan lagi kedudukan bahasa Melayu seterusnya memartabatkan bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya. Pada hari ini jelas mencerminkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan rakyat Malaysia yang menggambarkan negara telah mengalami pembangunan pesat sehingga berlaku pengabaian bahasa Melayu baku. Justeru itu, sikap rakyat Malaysia tidak kira ibu bapa, murid, guru dan masyarakat sekeliling perlulah mengambil berat akan bahasa Melayu baku ini yang semakin diabaikan. Pihak kerajaan dan pihak swasta perlu berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu baku ke peringkat yang sepatutnya. Oleh itu, barulah bahasa Melayu asli dapat terjamin dan terpelihara dengan sewajarnya melalui penggunaan bahasa Melayu baku yang betul sama ada di sekolah atau di luar sekolah sehingga menjadi gaya pertuturan seharian atau dalam situasi tidak formal. Oleh itu, usaha semua pihak perlu digembleng daripada sekarang agar bahasa Melayu baku tidak di tenggelam zaman dek arus pemodenan.

Rujukan

Abdul Hamid Mahmmod. (1997). Guru dan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Media Printext (M) sdn. Bhd.

Awang Sariyan. (1988). Sebutan baku bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.Awang Sariyan. (1989). Pembakuan bahasa Melayu: Falsafah, Sejarah dan Aspek-Aspeknya. Dewan Bahasa, Jilid 33.

Awang Sariyan. (2004). Isu bahasa rojak. (Siri Bicara Bahasa Bil. 20). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.Farid M.Onn dan Ajid Che Kob. (1993). Simposium dialek, penyelidikan dan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Farid M. Onn. (1989). Masalah Sebutan Bahasa Malaysia: Yang ini, Yang itu, atau Yang Mana dalam Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustka. Halaman 79.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Diperoleh daripada http://moe.gov.my. Dipetik pada 12 Mac 2014.

TUGASAN 3

Inventori Vokal Dialek Melayu Kelantan: Satu Penilaian Semula oleh Adi Yasran Abdul Aziz. (2010). Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia. Jurnal Linguistik. Jilid (11): 1-16.

Tujuan kajian dan kaedah pengumpulan dataArtikel ini berkenaan dengan Jurnal Linguistik, iaitu Inventori Vokal Dialek Melayu Kelantan: Satu Penilaian Semula. Ia ditulis oleh Adi Yasran Abdul Aziz daripada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikas, Universiti Putera Malaysia. Kajian yang dibuat dalam jurnal ini adalah bertujuan untuk membuat penelitian semula berdasarkan kepada kajian-kajian lepas tentang inventori vokal dalam dialek Kelantan yang masih lagi wujud kekeliruan dan tidak jelas dalam kalangan para pengkaji linguistik. Selain itu, pengkaji juga mahu memberikan penjelasan tentang inventori dialek Melayu Kelantan dengan lebih jelas lagi agar orang ramai dapat lebih memahami tentang dialek Kelantan. Oleh hal yang demikian, pengkaji ingin mencari penyelesaian terhadap kekeliruan ini dengan membuat perbandingan antara hasil kajian daripada pengkaji terdahulu.Bagi menjalankan kajian ini, pengkaji telah menggunakan sumber sekunder sebagai kaedah pengumpulan data, iaitu melalui kajian perpustakaan. Hal ini bermaksud bahawa pengkaji telah mengkaji jurnal-jurnal, buku-buku ilmiah dan sumber-sumber lain, khususnya kajian-kajian lepas yang telah dilakukan oleh pengkaji yang telah membuat kajian berkaitan dialek Kelantan.

Dapatan KajianBerdasarkan kepada hasil dapatan kajian yang dianalisis menggunakan kaedah fonologi generatif yang merujuk kepada kajian-kajian lepas, pengkaji mendapati bahawa terdapat enam vokal dalam inventori fonem dialek Kelantan dan bukan lapan vokal seperti yang dikatakan sebelum ini. Hal ini berikutan wujud perselisihan hasil kajian dalam kajian inventori vokal dialek Kelantan daripada pengkaji-pengkaji lepas. Antara pengkaji yang mengatakan terdapat lapan vokal atau lebih daripada lapan vokal dalam inventori fonem dialek Kelantan ialah Nik Safiah (1965, 1966) dan Ajid (1985) dengan mengatakan bahawa sebanyak lapan vokal /a, e, i, o, u, , , / a dalam dialek Kelantan. Begitu juga dengan pengkaji Hashim (1974), Abdul Hamid (1982) dan Ahmad Ramizu (2009) yang mengatakan bahawa terdapat 15 fonem vokal dalam inventori fonem dialek Kelantan yang terdiri daripada 8 lapan vokal oral dan 7 vokal nasal. Namun, ahli fonologi generatif (FG) telah menidakkan pendapat yang dikemukakan oleh Hashim (1974) dan Abdul Hamid (1982). Bagi pendapat ahli FG, mereka mengatakan bahawa kewujudan sengau yang terdapat pada vokal sebenarnya merupakan satu proses nasalisasi vokal. Proses nasalisasi vokal merupakan vokal yang mendahului segmen sengau yang disengaukan bagi menggantikan huruf sengau yang telah digugurkan. Malah, kajian yang dilakukan oleh Farid (1988), Teoh dan Yeoh (1982) telah menunjukkan bahawa dalam DK, vokal nasal tidak dianggap sebagai fonem kerana ia berasal daripada fonologi dan fonetik. Tambahan pula, mereka juga mengatakan bahawa berlaku kesilapan pada kontras atau dikenali sebagai perbezaan bunyi kerana penggunaan lambang transkripsi yang salah dan dibuat pada tahap fonetik seperti //. Walau bagaimanapun, ahli FG telah mengkritik dengan mengatakan bahawa kontras wujud berdasarkan tahap fonemik dan ia tidak hadir pada peringkat representasi dalaman. Namun, hasil analisis fonologi generatif menunjukkan bahawa kontras yang terdapat dalam DK tidak dapat ditentukan sama ada bersifat fonem atau tidak walaupun terdapat berbezaan bunyi pada sebutan.Seterusnya, bagi menentukan representasi fonemik pula, Zaharani (1993) telah mengatakan bahawa fonologi generatif (FG) telah membahagikannya kepada lima bahagian, iaitu kebolehramalan, kemunasabahan, kealamiahan atau kesejagatan, kesederhanaan atau keitlakan, keselarasan pola dan lingkungan penyebaran. Hasil analisis menunjukkan bahawa vokal sengau bukan dikategorikan sebagai fonem atau fonemik. Berdasarkan inventori dialek Kelantan, pengkaji seperti Teoh (1994) mengatakan bahawa terdapat enam fonem vokal dalam DK, namun terdapat perbezaan dengan ahli tatabahasa struktural yang mengatakan bahawa susunan inventori vokal adalah berdasarkan kepada ciri fonetik yang terkandung di dalam the International Phonetic Alphabet (IPA). Tetapi, berdasarkan analisis fonologi pada hari ini, kedudukan tinggi, tengah, rendah, depan dan belakang tidak perlu diberikan penerangan tetapi melalui susunan fonem itu sahaja. Selain itu, bagi hasil analisis fitur distingtif bagi fonem vokal telah menunjukkan bahawa fonologi dalam DK seperti // berfitur [+ATR] dan /a/ berfitur [-ATR] adalah selaras dengan pendapat daripada para pengkaji seperti Spencer (1996), Howe (2003), Teoh (1994) dan ia selaras dengan bahasa-bahasa lain yang terdapat di dunia. Namun, dalam analisis matriks fitur tidak perlu diletakkan fitur tengah dan fitur depan kerana dalam analisis fonologi tidak diletakkan bersama. Tetapi, jika diamati semua fonem mempunyai fitur yang berbeza-beza. Hal ini menunjukkan bahawa fitur-fitur lain tidak diperlukan dan ia dapat menjelaskan bahawa carta inventori fonem di susun secara tiga barisan melintang.Berdasarkan hasil analisis penyebaran fonem vokal menunjukkan bahawa semua fonem vokal terletak pada bahagian nukleus suku kata pada awal kata, akhir kata (suku kata akhir terbuka), suku kata awal (selepas onset), dan suku kata akhir tertutup kecuali fonem vokal tengah //. Hal ini demikian kerana, vokal tengah // hanya terletak pada nukleus di awal kata dan terletak terkemudian selepas onset dalam suku kata awal. Bagi vokal DK seperti [, , ] ia bukan dikategorikan sebagai fonem dan dianggap sebagai vokal terbitan kerana sukar dikembangkan dan mudah diramal dalam sesuatu kata.Seterusnya, analisis yang dilakukan terhadap vokal terbitan DK mendapati bahawa terdapat tiga vokal yang wujud iaitu [, , ]. Bagi analisis vokal terbitan, pengkaji memecahkannya kepada dua bahagian, iaitu analisis vokal terbitan [, ] dan analisis vokal terbitan []. Hal ini demikian kerana pengkaji dan Teoh (1994) berpendapat bahawa kedua-dua vokal ini merupakan vokal terbitan dan tidak dikategorikan sebagai fonem dalam DK. Perkara ini dapat dibuktikan lagi melalui generalisasi fonologi yang menunjukkan bahawa dalam fonem vokal dialek Melayu berasal daripada fonem vokal bahasa asal, iaitu bahasa Melayu. Hasil generalisasi fonologi menunjukkan bahawa wujud persefahaman antara penutur dialek serta gaya fonetik yang terhasil juga adalah daripada bentuk fonemik yang sama. Hasil generalisasi fonologi ini juga bersependapat dengan Asmah (1995, 2008). Hasil generalisasi fonologi kedua pula menunjukkan bahawa kehadiran vokal [, ] dalam sesuatu perkataan sangat mudah dikesan. Hasil kajian perpustakaan yang dilakukan pengkaji melalui kajian lepas ahli DK dan pengamatan pengkaji sendiri, pengkaji mempunyai pandangan yang sama mengenai perealisasian segmen vokal [I, ]. Pandangan yang dikemukakan oleh Teoh (1994) amat berbeza sekali kerana berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pengkaji telah mendapati bahawa vokal I dan tidak digunakan semasa pertuturan oleh penutur asli DK. Oleh hal yang demikian, ini menunjukkan bahawa terdapat kekeliruan dan percanggahan mengenai pendapat dan kajian yang dikemukakan oleh Teoh (1994). Namun, pendapat yang diberikan oleh Hoffman (1973) dalam Casali (1996) pula mendapati bahawa dalam bahasa Okpe, vokal seperti [I, ] berada dalam bentuk fonologi dan vokal seperti [e, o] pula wujud dari segi fonetik. Hal ini demikian kerana kewujudan vokal-vokal ini adalah disebabkan oleh harmoni vokal.Setelah dianalisis, harmoni vokal merupakan vokal-vokal yang terdapat dalam fonologi yang berkongsi fitur yang sama seperti [ATR]. Namun, Teoh (1994) telah mengatakan bahawa terdapat vokal dalam DK yang menjadi [-ATR] dalam suku kata akhir tertutup kata dasar berdasarkan rumus fonologi. Walau bagaimanapun, hasil kajian yang dikemukakan oleh Teoh menunjukkan bahawa vokal dalam suku kata pertama [i, u] adalah berfitur [+ATR] dan suku kata kedua [I, ] adalah berfitur [-ATR] dan ia menunjukkan bahawa kedua-dua suku kata ini tidak harmoni. Namun, kita tidak boleh melanggar harmoni vokal dalam DK kerana ia bersifat kekal. Sekiranya terdapat harmoni vokal yang berkongsi fitur [-ATR], ia akan menyebabkan berlakunya pengenduran vokal. Pengenduran vokal juga dikenali sebagai harmoni pengenduran seperti yang berlaku di dalam bahasa Perancis, Kimatuumbi dan beberapa dialek di Jerman. Tambahan pula, apabila dalam sesuatu kajian gagal meramalkan bentuk dalaman yang betul dalam harmoni vokal, maka ia akan memberi kesan ke atas hasil kajian kerana bentuk dalaman dapat menentukan wujud atau tidak pengenduran atau perubahan pada fitur-fitur lain pada bentuk permukaannya. Penggunaan kaedah analisis bagi menentukan fitur dalaman fonem vokal dengan berdasarkan kepada harmoni vokal dapat memberikan hasil kajian yang lebih baik kerana metod kajian ini digunakan ke atas DK bagi menentukan fitur dalaman bagi vokal /i, e, o, u/ yang berfitur [+ATR] pada suku kata akhir tertutup. Berdasarkan harmoni vokal ini, kita perlu mengikut syarat yang telah ditetapkan dengan mengekalkan bentuk harmoni yang terdapat di dalam input seperti /i, e/ yang berasimilasi pada fitur [+ATR]. Perbezaan antara vokal [i] dan [e] dalam suku kata akhir tertutup DK ialah ia diperoleh daripada vokal /i/ dan /e/ di peringkat dalaman. Begitu juga dengan vokal [u] dan [o] dalam suku kata akhir tertutup DK yang diperoleh daripada dua vokal yang berbeza /u/ dan /o/. Bagi hasil analisis data 1b menunjukkan bahawa harmoni vokal /e/ dalam suku kata akhir tertutup DK tetap kekal di dalam output. Begitu juga dengan hasil analisis data 2b yang menunjukkan harmoni vokal bagi /o/ dalam suku kata akhir tertutup menunjukkan bahawa gabungan harmoni vokal /o/ berada pada kedudukan yang sama. Oleh itu, pengkaji menyimpulkan bahawa data 1b dan data 2b merupakan bentuk dalaman bahasa Melayu kerana bentuk dalaman DK dan BM adalah sama.Seterusnya, bagi analisis vokal terbitan [a] pula menunjukkan bahawa ia berfitur [+rendah], [+belakang] dan [tegang]. Berdasarkan cara sebutannya, ia merujuk kepada kedudukan lidah tinggi-rendah yang berfungsi sebagai fitur distingtif dalam kajian fonologi. Vokal terbitan [a] adalah berasal daripada fonem vokal /a/ sahaja dan bunyinya berbeza mengikut kedudukannya dalam perkataan yang terdapat di dalam bahasa Melayu (Mardian & Zaharani, 2009). Namun, terdapat kekeliruan dalam penggunaan simbol []. Misalnya, Teoh (1994), Trigo (1991) dalam Howe (2003) telah menggunakan simbol [] bagi merujuk vokal [a]. Jika dikaji, simbol [] adalah vokal tengah hampir luas (IPA), dan dalam kajian fonologi pula disebut sebagai vokal rendah dan mempunyai fitur [+belakang], manakala mengikut sudut fonetik pula ia merupakan vokal tengah. Berdasarkan kajian yang dilakukan, pengkaji mendapati terdapat perbezaan bunyi antara bunyi [] dan [a] di akhir kata DK. Berdasarkan generalisasi fonologi yang telah dilakukan bagi menjelaskan perbezaan pandangan telah menunjukkan bahawa kehadiran fitur [+bundar] boleh diuji dengan menambahkan imbuhan akhiran /-an/. Seterusnya, kesukaran untuk menjelaskan punca asal kewujudan fitur [+bundar] yang berasal daripada fonem vokal /a/ yang mempunyai fitur [-bundar] dari sudut fonologi. Akhir sekali, jika vokal /a/ dan /o/ dapat ditukarkan menjadi [] ia akan sukar diramal dan bersifat fonemik. Keadaan ini tidak sehaluan dengan fonologi DK dan BM yang menunjukkan bahawa vokal [] bersifat tidak fonemik.

KesimpulanSecara kesimpulannya, inventori fonem sesuatu bahasa atau dialek perlu dikaji dan dianalisis menggunakan kaedah fonologi dan fonetik bagi menunjukkan perbezaan bunyi berdasarkan sesuatu kata. Oleh hal yang demikian, terdapat sembilan segmen bunyi vokal yang terdapat dalam DK, iaitu ia terbahagi kepada enam fonem seperti /i, e, , a, o, u/, dan tiga vokal terbitan seperti [e, , ]. Hasil daripada kajian yang dilakukan ini adalah mengambil kira persamaan dan perbezaan hasil kajian pengkaji-pengkaji terdahulu. Oleh itu, segala kekeliruan dapat dirungkaikan dari sudut fonologi dan fonetik kerana sebelum ini banyak kesilapan yang telah mengelirukan para pembaca, khususnya penutur bahasa Melayu. Perkara yang paling penting sekali adalah fonologi DK berasal daripada bahasa induk, iaitu bahasa Melayu yang telah mempengaruhi dialek-dialek di Malaysia, khususnya dialek Kelantan.

5