phd kecil tapi signifikan[1]

Upload: asha-hashim

Post on 19-Jul-2015

1.053 views

Category:

Documents


37 download

TRANSCRIPT

KANDUNGAN

Ibrahim Shah: Naib Canselor UiTM Catatan Pengarang

i iii

Bab 1: Bab 2: Bab 3: Bab 4: Bab 5: Bab 6: Bab 7: Bab 8:

Mereka yang Menyumbang Congratulation Dr Ibrahim Keinginan dan ketakutan Misteri Seorang Penyelia Berkawan Biar Seribu Viva dan Pemeriksa Luar Anda Dr PhD Penyelidikan dan Sanjungan

1 8 14 34 48 57 65 72

IBRAHIM SHAH NAIB CANSELOR UiTMSaya amat berterima kasih dan berbangga kerana diberi penghormatan untuk menulis dan memberikan pandangan ringkas tentang buku PhD Kecil tapi Signifikan. Buku ini adalah sebuah karya yang sangat bernilai dan berada di pasaran tepat pada masanya. Ada dua aspek utama yang menarik minat saya: pertama kerana buku ini menonjolkan beberapa aspek mudah, praktikal dan logik untuk diamalkan. Faktor-faktor ini sering dipandang ringan, dianggap tiada mustahak dan dilupakan walaupun boleh membantu untuk berjaya dalam pengajian di peringkat PhD. Kejayaan penulis sendiri melalui proses PhD dalam tempoh yang dianggap cemerlang telah membuktikan betapa buku ini perlu diberikan perhatian, malah perlu dipertimbangkan sebagai langkah pertama untuk memulakan pengajian. Secara peribadi saya berkeyakinan isi kandungan buku ini berguna dan perlu disampaikan sebagai sebahagian daripada kursus pra-PhD yang perlu diikuti oleh mereka yang akan memulakan pengajian. Buku ini juga berhak dibaca oleh setiap lapisan masyarakat yang gemarkan ilmu pengetahuan dan ingin berjaya dalam kehidupan secara keseluruhan. Tema yang dikemukakan menjurus kepada satu kelompok sasaran pembaca, tetapi isi yang dipersembahkan boleh dimanfaatkan oleh semua orang. Saya percaya masyarakat akademik terutamanya akan menerima buku ini sebagai bahan bacaan bermutu dan mempunyai kelainan. Kedua, buku ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan disokong dengan penyelidikan yang dijalankan ke atas mereka yang majoritinya telah berjaya menamatkan pengajian. Laluan kejayaan mereka adalah berbeza-beza. Setiap satu mempunyai jalan cerita menarik yang boleh dijadikan teladan atau panduan. Bagaimanapun, kekuatan sebenar buku ini adalah kerana kewujudan watak-watak yang mempunyai pelbagai unsur yang menarik. Pembaca dibawa bersama-sama untuk menghayati dan membenarkan perasaan mereka bermain-main ketika membaca buku ini. Tidak dapat dinafikan penulis telah berjaya memainkan perasaan pembaca kerana cara penyampaiannya yang serius, santai dan sinis, tetapi sangat berinformasi. Akhirnya saya perlu mengakui, pengajian PhD yang digambarkan melalui buku ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kehidupan yang menarik dan penuh warna-warni. Berkelulusan PhD merupakan syarat wajib yang tidak dinyatakan untuk kekal di sesebuah universiti. Rasionalnya mudah; kerana salah satu faktor penting untuk membina kredibiliti universiti adalah dengan mempunyai peratusan pensyarah berkelulusan PhD yang tinggi berbanding dengan keseluruhan kakitangan. Pernyataan tentunya bersebab. Mereka yang berkelulusan PhD telah menjalani proses latihan mental dan fizikal untuk menjadi

penyelidik, penyelia dan mempunyai asas yang kukuh untuk membina kepakaran bidang. Latihan yang diterima semasa pengajian PhD sepatutnya dapat membentuk tahap kesarjanaan individu yang kemudiannya boleh disumbangkan kembali kepada universiti, masyarakat dan negara. Bagaimanapun, saya tetap percaya bahawa kejayaan sebenar mereka yang bergelar Dr PhD adalah kerja-kerja yang dijalankan selepas dianugerahi ijazah tersebut. Sebagai Naib Canselor di sebuah universiti terbesar di Malaysia, saya sentiasa ingin melihat peratusan pensyarah yang berkelulusan PhD bertambah dengan kadar yang lebih agresif. Saya mahu setiap pensyarah yang dihantar belajar, akan pulang dengan kejayaan. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk memulakan pengajian PhD atau sedang mempersiap kekuatan mental dan fizikal, malah mencari-cari teladan untuk diikuti, maka buku ini boleh menyumbang kepada hasrat tersebut. Akhir kata, saya ingin merumuskan bahawa buku ini adalah sebuah buku yang perlu dibaca bagi mereka yang ingin berjaya dalam pengajian di peringkat pascaijazah dan kehidupan secara keseluruhan. Buku ini memberi kelainan yang boleh dimanfaatkan. Saya mengucapkan tahniah kepada penulis dan selamat membaca.

Dato Seri Profesor Dr Ibrahim Shah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Jun 2004

CATATAN PENGARANGKetika saya berkira-kira untuk mencatatkan pengalaman ini, saya sering termenung dan dibisikkan: Kisah anda bukanlah suatu kejayaan agung untuk diceritakan kepada dunia. Pengalaman yang mahu anda sampaikan bukanlah ilmu tinggi yang boleh diajar dan dimanfaatkan oleh ramai orang. Penyelidikan yang anda lakukan tidak akan mengubah segala-galanya. Namun saya mengikut gerak hati yang berkata: Sedikit usaha kadangkala boleh mengubah dunia. Saya tidak berniat untuk menyelamatkan dunia, tetapi sekadar mahu membantu rakan-rakan yang akan memulakan pengajian di peringkat PhD. Sering diceritakan bagaimana sukarnya untuk menamatkan pengajian di peringkat PhD. Apatah lagi untuk berjaya dalam masa kurang tiga tahun, satu angka rujukan yang sering memisahkan mereka yang dikatakan siap tepat mengikut tempoh pengajian dengan mereka yang tidak. Tempoh pengajian rasmi amat signifikan bagi mereka yang sedang belajar di peringkat PhD. Apatah lagi pada masa lampau tidak pernah wujud istilah gagal PhD kerana mereka boleh meneruskan pengajian secara bersendirian tanpa had masa. Ramai yang berselindung dengan kenyataan masih belum submit dan kekal begitu sampai bila-bila. Kini, sudah banyak universiti di luar negara meletakkan had tempoh pengajian. Tempoh masa pengajian sering dikaitkan pula dengan kekangan kewangan. Bagi pemegang biasiswa kerajaan yang sudah bekerja, tambah tempoh enam bulan pertama adalah lumrah dan tidak memberikan sebarang kesan besar terhadap faktor kewangan. Selepas itu tambahan tempoh mungkin diberi tanpa kemudahan biasiswa, tetapi masih bergaji penuh. Kemudian, tanpa gaji dan biasiswa. Pada ketika ini, tentu sekali kesukaran untuk menamatkan pengajian menjadi lebih terdesak, terutamanya bagi mereka yang berada di luar negara. Natijahnya lebih ramai yang mengamibl keputusan untuk pulang dan menyudahkan tesis mereka di Malaysia. Sepanjang pengetahuan saya, rekod paling lama untuk menyudahkan PhD bagi kakitangan UiTM adalah sebelas tahun. Rekod itu dipegang oleh Dr. Kamis Ismail yang belajar di sebuah IPTA tempatan. Saya memasang niat mahu berjumpa dan berbual-bual dengannya sebelum buku ini disempurnakan. Saya menyediakan satu soalan khusus yang saya mahu mendengar jawapan dari mulutnya sendiri: Apakah yang menyebabkan Ustaz sanggup menunggu begitu lama untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya? Saya mendengar jawapan dengan tekun: Saya bermula tanpa pengetahuan bidang, tetapi berniat untuk belajar dan lulus. Hubungan dengan penyelia tidak mendatangkan sebarang masalah. Pada pendapat saya, bidang penyelidikan yang dipilih

tersangat sukar dan memerlukan saya bekerja keras. Dalam proses tersebut, setiap kali saya menghantar tulisan kepada penyelia, ia akan memotong separuh. Ia berlaku berulang-ulang. Saya pula menggunakan mesin taip untuk melakukan kerja-kerja penulisan dan pembetulan semula. Pandangan saya terhadap penyelidikan dan kerja-kerja penulisan jelas saya mahu yang terbaik kesanggupan untuk melakukan sesuatu sehingga benar-benar memuaskan hati saya. Draf tesis saya telah ditolak sebanyak tiga kali. Bayangkanlah bagaimana saya terpaksa membuat pelbagai perubahan besar setiap kali tesis saya tidak diterima. Hidup saya sentiasa dipenuhi buku-buku yang kadang kala membuat rakan-rakan rapat risau dan mahu saya melupakan PhD. Salah seorang daripada mereka pernah berkata: Saya takut melihat keadaan ustaz dan saya fikir ustaz perlu mempertimbangkan cadangan untuk berhenti daripada meneruskan pengajian. Bagaimanapun jawapan saya?: Jika kamu bercakap macam itu, saya tidak suka. Saya tidak mahu dengar. Saya akan belajar sehingga lulus dan berjaya. Tentu sekali saya memberikan penghormatan besar kepada Ustaz Kamis dengan mengisahkan kesungguhannya melalui buku ini seawal Catatan Pengarang. Seorang yang lain, berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh sepuluh tahun, di luar negara kedua-dua mereka telah mempamerkan suatu usaha yang cukup gigih. Secara keseluruhan, rata-rata pensyarah UiTM berjaya bergelar Dr selepas melalui tempoh pengajian di antara tiga hingga lima tahun. Namun bukan tiada yang berjaya dalam masa yang lebih singkat. Sesekali akan muncul mereka yang pulang dengan kejayaan tanpa melebihi tempoh tara tiga tahun. Tentu sekali terdapat banyak rahsia di sebalik kejayaan mereka yang boleh dikongsi bersama, terutamanya kepada mereka yang baru bercita-cita untuk memulakan pengajian. Dr Suzana Sulaiman misalnya berjaya, menamatkan pengajian dalam tempoh 33 bulan. Jarang-jarang berlaku di fakulti perakaunan. Apakah rahsianya? Suzana berkata: Saya fikir disiplin dan fokus dengan kerja-kerja PhD banyak membantu. Di atas segala-galanya keupayaan untuk melakukan perlbagai kerja serentak berdasarkan perancangan dan strategi sendiri telah membolehkan penyelidikan saya mendahului jadual. Penyelia? OK, tapi segala-galanya bergantung pada kita sendiri. Dalam konteks yang lain, jika ada yang bertanya apakah kisah paling menarik yang telah saya temui semasa menulis buku ini? maka saya pastinya memberikan jawapan ringkas, tetapi tegas: kesemuanya. Jawapan yang menggambarkan setiap kisah yang diceritakan mempunyai jalan cerita yag unik dan bersendirian. Dr Azizul Halim Yahya misalnya, meninggalkan isteri di Malaysia dengan membawa bersama kedua-dua anak yang masingmasing berusia lima dan tiga tahun untuk meneruskan pengajian di United Kingdom (UK). Pengalamannya dan PhD merupakan kisah yang perlu diceritakan bagi memberikan gambaran kepada pembaca betapa tiada halangan yang tidak boleh diatas atau hendak seribu daya tak hendak seribu dali. Azizul bercerita: Isteri saya tidak dapat mengikut saya ke UK. Kami sama-sama bersetuju untuk beliau terus bekerja di Malaysia dan saya pula akan belajar dan menjaga anak-anak. Pada ketika itu, anak-anak kami masih lagi memakai pampers dan menyusu botol. Kenapa saya sanggup membuat keputusan itu? Pertama, saya ingin berjaya dalam pengajian tanpa menjejaskan kerjaya isterinya. Kedua, saya sanggup pula membawa anak-anak kerana ingin memberikan pendedahan dan pendidikan

bahasa Inggeris yang terbaik dan percuma. Rakan-rakan Arab menyebut Masya Allah Azizul, Masya Allah Azizul, Why? Why? dan tentunya mereka tidak memahami kenapa saya bertindak begitu. Kalau orang berpendapat sukarnya menjadi ibu tunggal, maka sebagai bapa tunggal di rantau orang, belajar pula di peringkat PhD serta berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh empat (4) tahun dua (2) bulan, tidak salah jika saya bergembira dengan kejayaan tersebut. Saya sangat berbangga menceritakan kisah ini. Sebelum tidur saya akan memasak untuk dihidangkan kepada anak-anak apabila mereka pulang ke sekolah pada keesokan harinya. Pada pukul 7.30 pagi saya akan mengejutkan mereka untuk ke sekolah setelah selesai menyiapkan sarapan dan lunch pack. Saya sendiri akan menguruskan soal mandi pagi dan berpakaian mereka. Waktu kerja PhD saya hanya bermula pada pukul 9 hingga 3 petang. Setiap petang saya akan menghiburkan anak-anak dengan membawa mereka berjalan-jalan ke TESCO. Sebelah malam saya hanya membaca ketika waktu terluang. Itulah rutin kehidupan saya dan anak-anak. Dr Zuriah Abdul Rahman tidak dapat menahan sebak apabila membaca beberapa perenggaan daripada bab Mereka yang Menyumbang. Air matanya berlinangan Akhirnya saya tahu kenapa: Ketika saya bersiap sedia untuk memulakan pengajian, ketentuan Illahi mengatasi segala-galanya. Anak sulung saya telah pergi buat selamalama. Ia berusia 17 tahun dan bercita-cita untuk belajar ke luar begara. Bayangkanlah bagaimana kegembiraan ibu dan anak yang sedang bersiap sedia untuk belajar. Itulah kegembiraan sebenar. Saya kehilangan punca, kaku dan tidak dapat menenangkan fikiran. PhD dan kehilangan anak mempunyai pertalian kisah yang rapat. Saya hampir tidak mahu meneruskan pengajian, tetapi ingatan yang sentiasa bermain-main di persekitaran rumah memerlukan saya melakukan sesuatu yang lain. PhD tidak memberi ruang untuk saya berdukacita. Malah jika ada hari yang muncul tanda-tanda kesedihan, saya tolak perasaan tersebut untuk keesokan harinya. Dan itulah yang saya lakukan setiap hari. Dalam kepayahan, akhirnya saya berjaya. Itulah hadiah bernilai buat anak saya. Bagaimana pula pandangan dan perasaan mereka yang sedang belajar? Dr Zafaran Hasan bercerita tentang perasaan suami yang mencurahkan perasaan beliau menamatkan pengajian: Suami saya berkata: kesukaran utama ialah bagaimana saya ingin membantu seorang isteri yang sedang menhadapi tekanan PhD. Apabila isteri balik dalam keadaan masam mencuka kita tidak mahu menambah beban. Apa yang bolah kami lakukan hanyalah mengambil penyapu dan cuba-cuba mengemas rumah atau cepat-cepat menukar lampin anak yang menangis kerana gelisah kebasahan. Jika orang mengatakan tekanan hanya wujud pada mereka yang sedang belajar, mereka silap kerana pasangan yang prihatin menanggung tempias tekanan tersebut.

Kisah-kisah yang diceritakan cukup merarik. Akhirnya saya sentiasa membandingkan pengalaman mereka dengan apa yang telah saya lalui. Saya sendiri bernasib baik kerana dapat menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan oleh universiti. Secara tepat, saya menyiapkan tesis genap-genap 24 bulan selepas memulakan pengajian. Saya bertenang dan tidak terus berjumpa penyelia, meminta untuk divivakan. Saya sengaja menunggu masa dan ketika yang sesuai. Tesis pula sengaja diperapkan di dalam laci pejabat sehingga lapan bulan lamanya. Saya risau takut-takut penyelia enggan membenarkan saya pulang ke Malaysia. Sebab itulah tesis saya yang satu-satunya mempunyai indeks subjek dan indeks nama yang pernah diserahkan oleh pelajar PhD kepada Universiti Wales, Bangor. Saya ingin nyatakan, begitu banyaknya masa yang terluang untuk saya membetukan dan bermain-main dengan draf awal tesis. Malah saya sempat belajar membuat pizza, mayannoise dan kebab. Bersama-sama Roslan, kami sempat menjadi tauke di sebuah kiosk, Marakas Kebab, sebuah restoran milik Arab Maghribi. Juga, laman web sendiri menjadi realiti kerana saya mempunyai begitu banyak masa sementara menunggu hari pemeriksaan lisan. Bagaimanapun, selepas sahaja tamat viva, masa berjalan begitu pantas. Dalam masa dua minggu saya sudah menerima surat rasmi menyatakan saya telah lulus. Dua bulan kemudian saya sudah berada di atas pentas sambil diiringi dengan standing ovation untuk menerima anugerah PhD daripada Pro-Canselor universiti. Saya tidak tahu sama ada hasrat untuk menulis tentang beberapa faktor kecil tetapi agak signifikan yang telah menyumbang keada kejayaan saya boleh dimanfaatkan oleh pembaca. Jika boleh sekalipun, saya masih terfikir, adakah ia boleh memberikan justifikasi yang memadai untuk diceritakan kepada umum, apatah lagi untuk dibukukan. Saya sendiri berasa khuatir sama ada usaha ini benar-benar bererti atau bermanfaat. Bagaimanapun, secara diam-diam saya berpendapat apa yang telah saya lalui cukup istimewa. Sekurang-kurangnya itulah pandangan dan perasaan sendiri. Tentu sekali apa yang ingin saya kisahkan turut dilalui oleh beberapa orang lain, malah mungkin lebih baik dan lebih menarik. Bezanya, saya mengambil inisiatif khusus untuk merakamkan pengalaman tersebut melalui buku yang menjadi tatapan pembaca. Malah, saya telah memperkaya nilai buku ini dengan melakukan beberapa siri penyelidikan walaupun kelihatan kecil tetapi signifikan bagi mengisahkan dan membandingkan beberapa pandangan dan pengalaman yang telah saya kemukakan. Hasilnya, buku yang kelihatan bersifat peribadi pada mulanya menjadi lebih universal apabila digabungkan dengan pengalaman mereka yang lain. Buku ini bukan berniat untuk mengajak pembaca mengetahui aspek penyelidikan atau hal-hal yang berkaintan dengan secara mendalam. Malah fokusnya langsung tidak ke situ. Sebagai contoh, tentu sekali saya tidak akan sekali-kali bercerita bagaimana untuk bersedia dengan sampel atau sampel kawalan, membangunkan hipotesis, ujian, metodologi, aturan empirikal, kajian kepustakaan, membina model ekonometriks atau mencadangkan langkah-langkah yang perlu dibuat untuk menyediakan soal selidik yang berkesan. Malah saya langsung tidak akan menyentuh proses-proses yang perlu dihadapi dalam melaksanakan penyelidikan bercorak saintifik. Apatah lagi untuk cuba menjadi pakar dalam penyelidikan sains dan teknologi. Topik-topik yang saya nyatakan di atas adalah topik besar dalam dunia penyelidikan. Jika itu yang diharapkan oleh pembaca, maka mereka tersalah dan tersilap memilih buku. Buku ini bertunjangkan pengalaman peribadi dalam melalui suatu kisah penghidupan. Ia sebuah buku serius tetapi disampaikan secara santai. Saya langsung tidak berniat untuk mencabar keintelektualan pembaca sasaran dengan menggunakan pendekatan ringkas dan mudah. Malah di sebalik penyampaian yang kelihatan mudah dan ringkas tersembunyi beberapa rahsia dan falsafah kehidupan yang memerlukan analisis mendalam. Niatnya, saya tidak mahu pembaca cepat jemu untuk membaca sehingga tamat.

Watak-watak yang ditulis atau digambarkan cukup ramai. Malah latar belakang penceritaan melibatkan ratusan individu yang relevan dan bersesuaian dengan konsep buku ini. Mereka yang ditemu duga secara bersemuka pula mencecah hampir 50 orang. Dalam kebanyakan kes, kenyataan yang dikeluarkan mereka adalah spontan, dilahirkan melalui perbuatan biasa tanpa mengetahui ia akan dibukukan. Bagaimanapun, keizinan telah diperolehi dan hampir kesemua mereka amat bergembira kerana dapat menyumbang kepada mereka yang bakal melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Namun tidak semua yang berbincang dan ditemu duga mahu namanya disiarkan, maka di sana-sini saya terpaksa melindungi nama dan gambaran watak mereka atas beberapa pertimbangan yang munasabah. Secara keseluruhan, nama-nama yang dicatatkan melalui penulisan ini merupakan nama sebenar dan mereka benar-benr berada bersama penulis untuk bercerita dan memberikan pendapat. Akhirnya, PhD kecil tapi signifikan mempunyai lapan bab yang disusun secara berhati-hati supaya dapat membenarkan mood dan keinginan pembaca bersama-sama dengan penulis. Saya mulakan dengan Bab 1: Mereka Yang Menyumbang. Dalam persembahan dan penulisan biasa, bab ini lebih merupakan suatu penghargaan terhadap mereka yang telah menyumbang kepada sebarang penulisan. Ia seolah-olah rutin sebuah buku. Bagaimanapun, saya mencipta sedikit kelainan dengan menyatakan penghargaan sumbangan terhadap mereka yang telah membantu pengajian di peringkat PhD, iaitu teras kepada niat buku ini ditulis. Saya cuba mengaitkan proses pengajian di peringkat PhD dengan proses kehidupan sehari-harian. Mereka yang berada di sekitar saya adalah mereka yang benar-benar menyumbang dengan hati dan perasaan, malah bersedia pula berkorban wang ringgit untuk membantu laluan kejayaan. Terlampau ramai yang menyumbang dengan cara mereka sendiri. Ada ketikanya mereka sendiri tidak tahu yang mereka begitu penting dalam kehidupan saya. Setiap mereka membawa kelainan secara tersirat saya mahu mengajak pembaca untuk turut menghargai setiap orang yang telah mewarnai kehidupan mereka. Mereka cukup angkuh untuk menyatakan kejayaan yang dicapai adalah semata-mata hasil usaha sendiri. Menyatakan penghargaan dan sanjungan kepada mereka merupakan satusatunya keinginan yang sudah lama terpendam. Buku memberi peluang untuk saya melakukannya. Itulah kepuasan sebenar yang dapat disampaikan melalui penulisan ini. Kemudian, saya menulis Bab 2: Congratulation Dr Ibrahim. Tujuan utama bab ini adalah untuk menggambarkan perasaan seorang yang telah dianugerahi ijazah kedoktoran. Saya merakamkan perasaan yang telah saya alami. Saya cuba membawa pembaca mengalami perasaan yang tempohnya cukup singkat, iaitu bermula pada saat Tahniah anda telah berjaya.. sehinggalah beberapa jam kemudian. Saya percaya ia merupakan perasaan yang bersifat universal, tetapi tahap-tahapnya berbeza mengikut individu. Apa yang saya gambarkan adalah perasaan di bawah sedar dengan menceritakan begaimana perasaan tersebut bermula dengan perasaan tidak percaya, kegembiraan, kegirangan dan kepuasan yang tidak terhingga. Malah tentu sekali saya berbohong jika menyatakan saya tidak mempunyai perasaan bangga dan sedikit riak. Saya melawan perasaan ini. Sama ada ia tertonjol keluar atau tidak hanya merreka yang berada sekeliling mampu memberikan jawapan. Kemudian, secara sepintas lalu dan perlahan-lahan saya cuba membina dan memberi sedikit gambaran awal beberapa persoalan bagaimana ingin menghadapi pertarungan besar dalam dunia akademik, iaitu perjuangan untuk mendapatkan segulung ijazah tertinggi, PhD. Keinginan dan ketakutan melalui Bab 3 cuba mengisahkan mainan perasaan sejurus selepas kita bersedia untuk memulakan pengajian-barangkali untuk tempoh sebulan dua sebelum berangkat ke universiti yang dipilih. Masa perceritaan adalah singkat, tetapi benarbenar menyusahkan fikiran ramai orang. Secara jelas, pandangan peribadi dan sedikit

catatan ringkas peristiwa sebenar yang digambarkan oleh mereka yang berada di sekeliling penulis membenarkan kenyataan bertapa perasaan takut, cuak, gementar atau gelisah memang wujud bagi setiap calon PhD. Dalam konteks penulisan buku ini, saya amat bernasib baik kerana dikelilingi oleh begitu ramai pensyarah yang menjadikan saya tempat untuk dirujuk apabila mereka berniat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Mereka yang ingin melanjutkan pelajaran sentiasa bertanya dan senang bercerita menjadikan buku ini lebih mudah dan tidak menghadapi sebarang masalah. Bahannya sentiasa mudah dicari dan selari dengan ilham dan keinginan asas yang ingin disampaikan. Malah saya sendiri sering dibayangi dengan perasaan terkejut dan tidak menyangka dan menduga untuk menerima panggilan atau pesanan ringkas telefon mudah alih daripada mereka yang berada di beberapa penjuru dunia ketika menulis buku ini. Saya membayangkan persahabatan yang tulus selalunya memberikan hati yang gembira. Dan itulah yang saya peroleh daripada rakan-rakan yang sentiasa ingin berkongsi kejayaan, kedukaan ataupun keinginan. Melalui bab ini saya simpulkan; Usah takut dengan kecelaruan perasaan sebelum memulakan pengajian kerana ia perkara lumrah dan setiap orang pasti merasainya. Hubungan penyelia-pelajar di peringkat PhD bersifat kesalingan. Masing-masing mempunyai tanggungjawab moral dan etika yang perlu disempurnakan. Dalam konteks buku ini saya memilih untuk memberikan penekanan kepada kewajipan pelajar yang bukannya penyelia. Pelajarlah yang terpaksa belajar misalnya keperluan untuk menjadi seorang ahli politik dalam membuat pencaturan perhubungan dengan penyelia. Ramai yang berpandangan, hubungan ini adalah perhubungan yang paling minimum apa dikaitkan dengan kerja-kerja penyelidikan semasa tempoh pengajian, tetapi membawa erti yang besar. Ada kajian yang menunjukkan bahawa pelajar sering menyalahkan penyelia apabila mereka menemui kegagalan. Bab 4: Misteri Seorang Penyelia cuba mengajak pembaca supaya tidak membeli gagasan yang menyatakan penyelialah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan pelajar. Jika benar sekalipun, jadikan alasan itu sebagai yang tercorot dan tidak signifikan. Saya tegaskan: Malulah untuk menyalahkan orang lain atas kegagalan kita! Ada pelajar yang dicampak keseorangan di dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan peralatan tanpa diajar menggunakannya, tetapi masih boleh berjaya menamatkan pengajian cun-cun tiga tahun. Ada pelajar yang masalah akademiknya tidak pernah diselesaikan oleh penyelia, mampu juga pulang dengan kejayaan. Hakikatnya, ada pelajar yang dibantu siang dan malam, tetapi ada yang menderita perasaan apabila bercerita tentang penyelia. Akhirnya yang berjaya dan menang adalah mereka yang berkualiti, berfikiran terbuka, melihat kesusahan sebagai peluang dan pandai merangka strategi. PhD adalah adalah pertarungan mereka yang dewasa dan bukannya permainan kanak-kanak. Saya memilih untuk menulis tetap konsep berkawan dalam Bab 5: Berkawan Biar Seribu kerana beberapa sebab. Pengalaman sendiri mengajak saya membuat takrifan semula tentang konsep berkawan atau bersahabat. Ramai orang tidak menyangka bagaimana seorang kawan boleh membantu ketika kita benar-benar hilang punca. Ia bukan setakat bantuan semasa belajar, malahan ia melibatkan kehidupan sehari-harian. Maksud sebenar, secara tersirat saya cuba menggambarkan konsep kawan yang lebih merupakan hubungan secara holistik, tanpa diduga dan mampu pula menyingkap keperibadian diri sendiri. Dalam konsep yang bebeza, kita sendiri perlu menjadi kawan kepada mereka yang memmerlukannya. Jika itu mampu kita lakukan, kita akan dapat merasai bagaimana jalan kehidupan sendiri menjadi lebih senang dan teratur. Bagaimanapun soal ini adalah soal hati, ketulusan dan kemuliaan diri. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan kita sering kecundang apabila dikaitkan persoalan memberi kejayaan kepada orang lain, meskipun ia tidak mengubah atau merugikan kedudukan diri kita sendiri. Saya benar-benar mengajak pembaca untuk mempertimbangkan: apakah perlu kita menyimpan maklumat, memberikan nasihat yang menyongsang dan berduka hati apabila melihat kesenangan mereka yang

berada di sekeliling kita? Percayalah, ketulusan dan keikhlasan akan membawa kejayaan yang lebih sempurna. Dan itulah pengalaman yang telah dialami oleh ramai orang yang telah berjaya, sama ada dalam pengajian di peringkat PhD atau dalam kehidupan secara keseluruhan. Kemudian saya kisahkan pula tentang Pemeriksa Luar dan Viva melalui Bab 6. Saya berhujah, kita boleh mencuba atau memastikan supaya pemeriksa luar mengenali dan mengetahui kewujudan kita seawal tahun pertama pengajian. Jangkaannya mudah. Jika mereka mengetahui kewujudan kita sebagai seorang pelajar PhD, maka jika ditakdirkan mereka menjadi pemeriksa luar, ia boleh membantu. Bukankah setiap orang mempunyai hati dan perasaan? Ia bukanlah faktor utama untuk kita berjaya tetapi lebih kepada faktor kecil yang boleh menjadi signifikan. Dalam masa yang sama, bab ini cuba menyatakan secara sepintas lalu beberapa asas penting untuk menghadapi viva dan melihat kesan penting daripada pemeriksaan lisan tersebut. Satu nasihat umum yang boleh dipertimbangkan: pertahankanlah tesis anda di sekitar penyelidikan sendiri yang sepatutnya menjadikan anda seorang pakar. Maksudnya, tesis anda adalah kepakaran anda. Anda seorang Dr PhD? Bagaimana pandangan masyarakat terhadap Dr PhD? Apa pula respons Dr PhD terhadap gelaran tersebut. Melalui Bab 7: Anda Dr PhD, pembaca perlu bersiap sedia untuk membaca dan mengambil iktibar dengan beberapa insiden yang kelihatan kecil tetapi amat berpengaruh terhadap pandangan masyarakat kepada mereka yang bergelar Dr PhD. Barangkali ia tidaklah begitu penting malah ia kelihatan sebagai isu kecil yang tidak perlu dipertimbangkan bagi sesetengah orang yang berada dalam kelompok aku ada PhD, lebih pandai, lebih bijak dan pedulikan orang lain. Akhir sekali, Bab 8: Penyelidikan dan Sanjungan merupakan topik khas yang berniat untuk mengajak pembaca memahami betapa kejayaan dalam kehidupan adalah kerana keinginan dan kemahuan untuk berjaya. Kita boleh membei seribu alasan jika tidak mahu melakukan sesuatu. Saya menyampaikan hasrat ini dengan sedikit sanjungan kepada mereka yang bekerja keras tanpa kemudahan mewah. Malah merreka tidak pernah bersungut untuk mengekalkan tahap kesarjanaan. Mereka, Stuart McLeay dan Rob Gray banyak mempergaruhi kehidupan akademik saya. Stuart ialah bekas penyelia, tetapi sudah menjadi rakan akademik dan keluarga yang baik. Hasil bimbingannya menyebabkan saya berminat untuk menjadi penyelidik yang aktif. Rob pula mengajar saya melihat perakaunan sebagai sebahagian daripada susurgalur kehidupan. Penulisan lampau saya yang beratus-ratus jumlahnya secara jelas dipengaruhi oleh kerja-kerja Rob dalam bidang perakaunan sosial dan alam sekitar. Saya pernah meminta Rob untuk memberikan syarahan secara percuma, iaitu dengan menceritakan konsep dan kerangka yang menjadi asas dalam bidang tersebut. Beliau segera bersetuju atas dasar minatnya sebagai seorang pakar bidang walaupun topik tersebut tidak termasuk dalam modul MAcc Universiti Dundee. Dalam perbincangan tersebut, beliau pernah bertanya, Jika diberikan pilihan antara 10 pound dengan 100 pound, yang mana satu akan pilih? Tentu sekali 100 pound! Jika saya bertanya lagi, jika dengan 100 pound tersebut anak kita buta mata, berlaku kecacatan, rumah kita roboh, gunungganang runtuh, apakan anda akan tetap memilih 100 pound itu? Buku ini disampaikan dengan menggunakan konsep penceritaan berdasarkan kisah benar dan hidup. Pembaca perlu aktif malah perlu pandai mengutip maklumat-maklumat penting untuk dimanfaatkan. Terdapat maklumat yang dinyatakan secara terus, tetapi banyak juga yang terlindung di sebalik cerita-cerita yang dikisahkan. Saya percaya inilah keistimewaan buku ini sehingga mendapat perhatian istimewa Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Dr Shireen Haron, Ketua UPENAlah yang bersungguh-sungguh mahu mempercepat penerbitan buku ini semata-mata kerana mahu ia dimanfaatkan kepada bakal pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Malah, kakitangan beliau

bekerja keras bagi menentukan buku ini dapat diterbitkan dengan cara yang cukup profesional. Saya juga perlu merakamkan ucapan penghargaan kepada Profesor Dr. Ibrahim Kamal, Profesior Dr. Syed Noh, Profesor Dr. Normah, Haslinda, Normahiran, Erlane, Jamaliah, Azhar, Khairul Anuar, Wan Adibah, Zaleha dan pelajar-pelajar pascaijazah saya di Fakulti Perakaunan, misalnya Norhazlina, Mahasuria, Nurliza, Raudah, Suhaily, Merani, Zawati, Shatari, Rodziah, Norilmiah, Asmalina, Zuraini dan Azlina (nama-nama ini tentunya tiada nokhtah) yang menyumbang secara khusus kepada penulisan ini. Perbualan dan pandangan intelektual, terutamanya kepada kesemua profesor perakaunan semasa dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat fakulti menambahkan minat saya untuk menyiapkan buku ini. Komen dan teguran mereka menjadikan buku ini lebih sempurna. Misalnya Prof. Dr. Normah dengan tegasnya menyatakan kepada saya: Tidak ada sesiapa yang ingin membayar untuk mendengar atau membaca jika kita menulis kisah kenapa orang boleh gagal PhD. Manusia boleh memberi seribu macam alasan untuk memberi justifikasi kenapa ia boleh berlaku. Saya tidak pernah dan akan mahu memberi alasan begitu. Cerita-cerita kejayaan yang sedang anda tulis sangat signifikan dan perlu diberikan perhatian. Keseluruhan buku ini di tulis ketika saya memegang jawatan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR). Ramai yang bertanya: bagaimana perasaan seseorang lulusan perakaunan menguruskan fakulti yang cukup berbeza? Jawapan saya jelas, bangga dan bersemangat, dan sepanjang enam belas tahun berkhidmat dengan UiTM, saat-saat ini yang paling menggirangkan saya. Tentu sekali saya berbangga dengan kelahiran UiTM Pusat Penyelidikan Sukan Negara yang disertai dengan 18 projek penyelidikan dalam tempoh empat bulan saya bersama-sama mereka. Bersama-sama staf FSR, kami telah melakukan sesuatu yang kelihatan sukar dan mustahil. Malah kesihatan dan kecerdasan Dekan FSR sentiasa terjamin. Hampir setiap minggu kandungan kolestrol (jahat dan baik), paras gula di dalam darah, kandungan lemak dalam badan dan jenis-jenis pemakanan diawasi. Saya menjelajah hampir ke seluruh pusat peranginan di Malaysia semata-mata mengikuti pelajar Rekreasi, berhenti rokok kerana menghormati pelajar Kesihatan dan Kecergasan, malah turut serta dalam hampir setiap kegiatan pelajar yang lain. Tentu sekali saya merasa megah dengan tepuk gemuruh mahasiswa FSR setiap kali saya menghadiri majlis mereka. Saya dianugerahkan muka yang serius tetapi hampir setiap hari senyum dan salam dengan para pelajar menjadi tugas rutin. Namun kegiatan ini tidak pernah membebankan dan membosankan. Saya tidak tahu sama ada mereka menyukai saya atau tidak, tetapi saya perasaan dan syok sendiri bahawa dengan kehadiran saya di FSR amat disenangi oleh pelajar. Ada pelajar yang menitiskan air mata apabila ditegur, tetapi masih mahu berjumpa dengan saya pada hari-hari berikutnya. Mungkin setiap detik yang saya lalui, sentiasa mempunyai kelainan. Dari satu segi, saya percaya kehidupan di FSR seolaholah bayangan jelas semasa menghadapi tempoh pengajian PhD. Mencabar, tetapi menyeronokkan. Dorongan dan sokongan moral staf FSR turut memberikan kekuatan dalaman untuk saya menyiapkan buku ini mengikut jadual. Saya amat berbangga kerana dikelilingi oleh staf yang sentiasa proaktif, tidak bermasalah dan bermotivasi tinggi. Kesannya, saya dapat meluangkan sedikit masa untuk menulis dan menjalankan pelbagai kerja penyelidikan walupun tugas-tugas seorang Dekan boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukannya. Malah, saya menjadikan buku ini sebagai sesuatu cabaran, contoh dan sumber inspirasi kepada mereka untuk menjadikan penulisan dan penyelidikan sebagai budaya kerja. Saya sering menyatakan kepada mereka kurangkan bercakap, kurangkan mencari salah orang, kurangkan sikap membawa fitnah, dan kurangkanlah sikap memperbodohkan diri sendiri

dan luangkan masa untuk menulis dan menyelidik yang akan membentuk budaya baru. Budaya inilah yang akan membezakan antara intan dan kaca. Dan saya perlu memberi dan menjadi contoh! Isteri, anak-anak dan keluarga merupakan sumber ilham untuk menulis dengan bersungguh-sungguh. Kebanggaan dan keseronokan mereka benar-benar membantu. Perasaan bangga mereka terserlah setiap kali artikel-artikel saya tersiar di media massa, sesekali muncul di kaca TV atau apabila melancarkan buku-buku tulisan saya. Kerana kesukaan saya menulis, mereka dapat mengadap dan bersantap bersama-sama Sultan Selangor. Saya bergembira kerana mereka berbangga dan bergembira mempunyai saya. Buku ini juga mendapat manafaat daripada privilege yang diberikan kepada mereka. Saya sentiasa menggunakan adik-adik sendiri untuk membuat bacaan seawal saya menulis tajuk dan format buku. Kemudian memaksa mereka untuk memberikan komen segera . komen simple adik-adik saya, bagus abe atau sedap abe, memberikan motivasi, kekuatan dan amat menggembirakan saya. Saya juga berterima kasih kepada Mohd Azhar Osman (pensyarah perakaunan UiTM Kedah) yang telah bersungguh-sungguh membaca draf pertama manuskrip ini. Ketika beliau memulangkan kembali draf tersebut diiringi dengan beberapa cadangan, beliau sempat menyebut bantuan yang sedikit tetapi berharap ia menjadikan signifikan. Daripada beliau, saya mendapat pandangan pertama bakal pembaca. Kemudian, manuskrip ini telah dibaca oleh Prof Madya Asri Abdullah secara main-main untuk selama beberapa hari semasa mengikuti kursus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Sekali lagi, beberapa cadangan yang kelihatan kecil telah dapat manfaatkan sehingga memberi kesan yang agak signifikan. Nota ringkas Congratulations! A wonderful book berserta dengan sedikit catatan daripada Dr . Fauziah Noordin juga memberikan sumbangan bermakna kepada perasaan saya. Bagaimanapun, saya benar-benar menghargai dua muka surat cadangan dan komen penilai luar yang telah dilantik oleh UPENA. Saya mengambil kira kesemua pandangan mereka, namun hasil akhir buku ini tetap menjadi tanggungjawab saya sepenuhnya. Sebahagian besar Catatan Pengarang ini merupakan baris-baris ayat yang terakhir yang ditulis sebelum manuskrip ini dihantar kpada penerbit. Bagaimanapun perasaan saya? Saya gembira kerana konsep menulis sehari semuka telah menyudahkan penulisan buku ini. Sekadar catatan, saya berkhayal untuk menulis buku ini sejurus selepas buku Ibrahim Shah: Menyingkap Pengurusan Universiti (2004) siap dicetak pada Disember 2003. Ayat pertama ditulis pada pertengahan Januari 2004 dan berakhir pada 15 Mac 2004 (tidak termasuk proses semak semula, suntingan dan bacaan kali kedua, ketiga dan seterusnya) semasa saya mengikuti pelajar-pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) menjalankan Ekspedisi Pulau Perhentian. Bagaimanapun buku ini mendapat noktah akhir penulis pada 19 Mei 2004. Tarikh ini benar-benar signifikan dalam hidup saya. Saya berdebar-debar menanti penerimaan pembaca yang lain. Saya berharap sasaran pembaca buat mereka yang ingin bergelar Dr. PhD apabila selesai membaca buku ini, anda akan menghantar e-mail kepada saya ([email protected]) atau menghubungi +966590070317 dan berkata saya seronok membaca buku ini dan mendapat manafaat, banyak membantu, menaikkan motivasi dan membakar semangat untuk memulakan pengajian di peringkat PhD secepat mungkin. Pada ketika itu saya mungkin sangat bergembira dan lebih bersemangat untuk menulis buku baru. Saya mahu hasrat itu menjadi kenyataan! Muhd Kamil Ibrahim Shah Alam 19 Mei 2004 www.muhdkamil.org

Bab 1 MEREKA YANG MENYUMBANG

Jika ada insan yang paling memberikan kekuatan untuk melakukan sesuatu yang kelihatan sukar dan mustahil maka beliau adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat. Sekadar perbandingan, PhD bukanlah sesuatu yang sukar jika dibandingkan dengan keinginan Tun yang mahu membina negara Malaysia yang maju. PhD jika sukar sekalipun bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk diperoleh dan tidak boleh dijadikan punca kepada kegagalan. Sebagaimana kata Tun; Perkara yang sukar dilakukan secara berulang-ulang, berhati-hati atau dengan disiplin yang tinggi, maka setiap orang boleh mencapai kejayaan. Mungkin dalam diam pengorbanan dan wawasan Tun kepada negara menjadi penyumbang kepada kejayaan PhD penulis. PhD merupakan suatu proses yang unik. Ramai orang mencuba untuk mendapatkannya, tetapi ramai kecundang. Mereka yang berjaya pula melalui pelbagai halangan. Ada orang menyatakan ia suatu proses yang cukup perit dan meletihkan. Misalnya, melalui catatan pengarang saya telah menggambarkan terlalu sedikit yang dapat menyiapkan pengajian mereka tepat mengikut jadual. Apatah lagi untuk mencari mereka yang tamat kurang daripada tiga tahun. Ia boleh dibilang dengan jari. Sebenarnya, hanya mereka yang telah melalui proses ini akan dapat menceritakan bagaimana perasaan mereka sentiasa berubah-

ubah mengikut masa dan ketika. Bukanlah suatu perkara yang aneh untuk berperasaan suatu hari yang penuh dengan keyakinan dan kusut-masai pada suatu hari yang lain. Proses mendapatkan PhD merupakan suatu kisah kehidupan. Ia mengakibatkan pelbagai perubahan sama ada fizikal mahupun emosi. Rambut yang hitam boleh menjadi putih atau yang lebat boleh menjadi jarang. Ada yang pergi bersama keluarga, tetapi pulang bersendirian. Ada yang kehilangan suami dan ada pula terpaksa mencari isteri baru. Ada yang pergi mempunyai seorang isteri, tetapi apabila pulang membawa dua. Ketika berangkat ke luar negara masih mempunyai ayah dan ibu, apabila berjaya sudah menjadi yatim-piatu. Mungkin cerita-cerita begini merupakan kisah terpinggir, tetapi merupakan beberapa contoh yang benar-benar berlaku di sekitar penulis. Malah PhD melibatkan pelbagai kisah menarik yang lain termasuklah kisah pengorbanan dan penglibatan mereka, jika benar-benar diperhalusi dan membawa rahsia kejayaan atau kegagalan. Buku ini ditulis dengan niat untuk merakamkan suatu kisah kehidupan supaya pembaca dapat belajar sesuatu daripadanya. Sekecil mana sekalipun, saya berharap ia akan memberi sumbangan positif. Sebagaimana proses untuk berjaya dalam pengajian PhD, penulisan buku ini juga dipenuhi pelbagai sifat seperti disiplin, kesungguhan dan pengorbanan. Secara relatif, ia tidaklah sesukar untuk mendapatkan PhD. Bagaimanapun untuk menulis dan mengisahkan suatu pengalaman yang unik sambil berharap ia memberi manfaat kepada pembaca, kita memerlukan fakta-fakta benar dan hidup. Saya perlu berterima kasih kepada ramai individu yang bersama-sama menghidupkan pengalaman tersebut. Saya selalu berkata kepada diri sendiri: Walaupun saya sentiasa berkeyakinan untuk berjaya tanpa mereka warna-warna kehidupan saya tidaklah secerah dan semenarik ini. Terdapat dua manusia yang paling saya ingat apabila dikaitkan dengan PhD. Saya tentu sekali sentiasa berhutang budi kepada Dato Seri Profesor Dr Ibrahim Shah, Naib Canselor UiTM (ketika itu beliau memegang jawatan Timbalan Naib Canselor) yang membuka ruang untuk saya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD ketika kami benarbenar menghadapi krisis di UiTM Sarawak. Malah dengan kelulusan PhD yang saya peroleh, dapat pula saya membantu pentadbiran universiti ketika beliau menjadi Naib Canselor. Bantuan kewangan dan sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui UiTM lebih memberi makna kepada perasaan dan niat saya sebagai pendidik, penyelidik dan pentadbir kepada sebuah institusi yang cukup istimewa. Tidak ramai yang ambil pusing bagaimana secara purata hampir RM 400,000 wang rakyat dikorbankan bagi melahirkan seorang pensyarah berkelulusan PhD luar negara. Dr Ibrahim banyak mengajar tentang cara terbaik untuk mentadbir sebuah IPTA. Saya sendiri memerhati dan menerima pengalaman mentadbir dan mengurus sebuah universiti semasa berada di bawah pentadbiran beliau. Rupanya ketulusan, adab dan budi bahasa seorang pentadbir yang baik akan sentiasa dikenang oleh pekerja bawahan. Begitulah sebaliknya. Kadang kala tidak semestinya seorang yang berkelulusan PhD mampu pula menjadi pentadbir akademik yang sempurna dan cekap. Ada masanya kerana bakat dan pengalaman, terlampau pandai, hutan dan pokok pun mampu ditadbir dengan baik. Tentu sekali saya harus mengingati Dr Ibrahim kerana memberikan pengajaran yang bersifat holistic. Bagaimanpun, ingatan yang sentiasa melekat di kotak minda ialah paksaan beliau supaya saya memulakan pengajian di peringkat PhD dengan kadar segera. Saya berterima kasih kepadanya. Akibatnya, secara langsung ia telah banyak mengubah pola kehidupan saya. Apatah lagi ketika bergelar Dr, universiti kami baru sahaja bertukar nama daripada Institut Teknologi MARA kepada Universiti Teknologi MARA. Makna PhD dan gelaran Dr kepada sebuah universiti bukan calang-calang. Mereka yang bergelar Dr hanyalah antara

lima hingga tujuh peratus daripada keseluruhan komuniti akademik UiTM. Saya berasa terhormat. Kedua, Profesor Stuart McLeay, penyelia saya di Universiti Wales, Bangor. Kepakaran, keyakinan, kepintaran dan kelicikannya sebagai penyelia menyebabkan saya amat mengagumi dan bersedia pula pada melihat dunia akademik dari pelbagai sudut yang berbeza. Stuart cukup baik hati sebagai seorang manusia. Pandangannya terhadap PhD, penyeliaan dan penyelidikan juga berteraskan konsep memudah dan membantu pelajar. Bagaimanapun ia mahu pelajarnya berdikari dan benar-benar menggunakan akal dan fikiran untuk berjaya. Stuart seorang yang tenang dan tidak pernah menunjukkan sebarang kegelisahan. Namun ia juga mempunyai unsur-unsur nakal dan sense of humour yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja pentadbiran. Misalnya, genap-genap setahun di bawah penyeliaanya, saya telah diminta untuk membentangkan cadangan penyelidikan dengan diberi notis sehari. Kamu bersedia?, beliau bertanya dengan muka serius. Saya bersetuju kerana itulah peluang saya untuk memberitahunya apa yang sedang saya lakukan. Keesokannya, saya mengadapnya yang turut disertai olen penyelia kedua. Saya mula berasa cuak dan tertanya-tanya kenapa suasana pembentangan nampak tidak begitu formal dan amat bersahaja. Stuart bertanya beberapa soalan berpandukan beberapa helaian kertas ditangannya. Setelah selesai bertanya barulah ia meminta saya bercerita - secara ala kadar tentang topik penyelidikan yang sedang saya lakukan. Rupa-rupanya Stuart hanya ingin mengisi borang prestasi laporan tahunan setiap pelajar di bawah jagaannya. Saya yakin David Neal (penyelia kedua) dan saya terkena dengan jawatankuasa penilaian prestasi yang telah ditubuhkan beliau. Dalam keadaan yang lain. Stuart mampu bercakap hampir 20 minit tentang penyelidikan yang sedang saya jalankan, meskipun baru selesai mendengar pembentangan yang disampaikan kepada ahli fakulti yang lain. Stuart benar-benar pengalaman dan berkeyakinan. Saya melihat suasana seperti ini sebagai tanda-tanda positif terhadap kemampuannya untuk menyumbang kepada pengajian saya. Bayangkanlah pula bagaimana ia menetapkan waktu viva pada jam 11.30 pagi, hari jumaat dengan memberi sedikit komen: Biasanya, orang British tidak akan bekerja melewati waktu makan tengah hari. Jadi saya mahu pastikan viva kamu berakhir paling lewat 12.30 tengah hari. Jika terlajak sekalipun, ia tidak sepatutnya melebihi 1.30 tengah hari. Mereka juga suka bersantai dan berhujung minggu bersama keluarga. Jadi kita pastikan supaya tidak perlu menyambung viva hingga ke sebelah petang. Cuba fikirkan bagaimana Stuart dengan selambanya bertanya kepada saya: Kamil kenapa kita perlu pergi membentang kertas kerja kamu di persidangan British Accounting Association (BAA)? Jawapan saya ringkas Entah saya tidak tahu, mungkin anda mahu membantu saya menilai hasil penyelidikan yang telah saya sempurnakan. Sambil tersenyum, ia memberikan jawapan di luar jangkaan: Kita melihat siapa yang menunjukkan minat kertas kertas penyelidikan ini. Kita mencari mereka yang bertanya, tetapi memberikan cadangan membina. Tujuan utama adalah untuk memerhati dan mencari seorang pemeriksa yang bersimpati dengan topik kamu. Mereka akan dipilih. Jika ada yang mengkritik secara bersungguh-sungguh kita perlu memberi perhatian dan mengambil tindakan apabila pulang.

Sepanjang 32 bulan bersama Stuart, saya lebih banyak belajar tentang kehidupan (tentu sekali bagaimana dan keperluan untuk memahami cara ia bekerja) dan falsafah pasca-PhD (terutamanya disiplin kerja dalam dunia penyelidikan) daripada mengharapkan bantuan langsung dalam pengajian PhD. Ia membiarkan saya berseorangan. Malah saya mencipta dunia PhD sendiri. Dalam diam, saya tahu Stuart sentiasa ada memerhati dengan tekun perkembangan yang sedang saya lalui. Kelebihan (kekurangan?) Stuart ialah tidak pernah campur tangan dengan kerja-kerja penyelidikan yang sedang lakukan. Sikap ia yang begitu mengambil mudah mematangkan saya, menjadikan saya tahu berfikir, berhati-hati apabila membuat keputusan dan bersedia pula mengharungi kesukaran dengan penuh kesabaran. Saya lebih belajar bertolak ansur, melihat kesulitan sebagai suatu peluang dan lebih tangkas bekerja tanpa memperdulikan sesiapa. Selagi saya tidak berpuas hati, saya meneruskan pencarian dengan meletakkan halangan masa sebagai garis penamat. Hidup saya sentiasa berpolitik, mencari kawan seramai mungkin, berhubung dengan pakar-pakar yang telah menjalankan penyelidikan yang sama tanpa melupai masa santai, keluarga dan pelbagai kegembiraan yang lain. Dunia PhD saya kelihatan sedikit berbeza jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. Namun, ramai yang tidak tahu bagaimana sikap, kepakaran dan keyakinan Stuartlah yang menyebabkan saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang cukup singkat. Stuart tahu apa yang patut dilakukan dengan muncul memberi bantuan yang begitu signifikan ketika saya amat memerlukannya. Ironinya, selepas menamatkan pengajian, saya mula menyedari yang berpengalaman bersamanyalah yang telah banyak mempengaruhi seluruh kehidupan akademik saya. Malah perhubungan rapat kami berterusan. Setiap kali staf universiti kami ingin melanjutkan pelajaran dan memilihnya untuk menjadi penyelia, maka sayalah yang dirujuk untuk memberi pandangan kedua. Stuart juga amat berbangga dengan perkembangan kerjaya saya. Ketika saya memohon ia menjadi penilai luar untuk kenaikan pangkat ke jawatan Profesor, Stuart tidak mahu berlengah-lengah menyatakan sokongan. Maksud saya, tidak salah untuk bersahabat, berkawan dan meneruskan perhubungan tersebut walaupun setelah berjaya bergelar Dr. Dr Nizam Mohd Said (UKM), Dr Khalil Shawkatali (USM), Mohd Fuad Abdulah (UiTM) dan Dr Nik Marzuki (UKM) memerlukan sebutan istimewa kerana hampir sepenuh masa berada dalam kedudukan yang benar-benar dapat mengesahkan betapa mereka yang berjaya memperolehi PhD tidak sentiasa melalui jalan yang sama. Pengalaman benar dan hidup bersama mereka di Bangor, North Wales membenarkan kenyataan tersebut dan dapat membuktikan pula betapa begitu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk berjaya. Antara kami, pelbagai catatan peristiwa luar dunia akademik yang menarik dan sentiasa boleh dikenang telah menjadi pengajian PhD saya cukup berbeza. Sekadar menyebut satu contoh yang signifikan ialah bagaimana pengalaman belajar bermain golf di St. Deniol Golf Club, Bangor telah membawa kesan besar kepada gaya hidup kami apabila kembali ke Malaysia. Kami berlimalah satu-satunya kumpulan orang berwarna yang diterima masuk sebagai ahli kelab. Malah, perasaan kami menyatakan yang kami telah mendapat layanan istimewa daripada Presiden dan Setiausaha kelab. Kami sentiasa dijemput menghadiri perlawanan di peringkat kelab dan beberapa majlis yang lain. Kami benar-benar kelihatan berlainan dan tahu pula menghormati mereka dengan sewajarnya. Mungkin kegilaan kami pada permainan golf mendapat perhatian mereka. Mana tidaknya kerana kumpulan kamilah yang satu-satunya memecahkan tradisi bermain golf pada pukul 4.30 pagi pada musim panas. Malah ketika salji memutih, pasti ada antara kami berada di Driving Range dan terus bersemangat untuk berlatih. Meskipun kami bermain golf hampir setiap hari, tetapi kesemua kami pulang ke tanah air membawa kejayaan. Ada yang risau dengan keseriusan kami bermain golf, tetapi telah kami buktikan ia tidak significant dalam menentukan kejayaan atau kegagalan dalam pembelajaran. Malah

kami berpendapat, suasana dan kegiatan seperti inilah yang membantu kami mengurangkan ketegangan perasaan. Kami lebih santai, bercampur dengan Mat Saleh di rumah kelab sambil minum coke dan makan fish & chips. Lapangan golf yang kehijauan dan pertarungan dengan diri sendiri menjadikan golf satu-satunya permainan yang boleh mengubah personaliti, pemikiran dan pandangan tentang kehidupan. Pengalaman lampau inilah yang menjadi pengikut kuat kepada persahabatan kami. Saya juga berterima kasih kepada Dr Roslan Abd Halim (UUM), Dr Adibah dan Salmah (UPM), Dr Mazni, Dr Mazlan, Dr Alinoor dan Dr Jumat (UKM), Dr Izzah (KUZA), Dr Zainun dan Dr Wan Mansur (UiTM), Lokmal (FRIM), dan rakan-rakan undergraduates yang pernah berkhidmat sebagai AJK Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia North Wales semasa saya memegang jawatan Presiden. Sebagai presiden dengan bantuan merekalah tentu sekali saya berbangga kerana dapat memperkenalkan Malaysia apabila berjaya menganjurkan Malaysian Food Fair kepada penduduk setempat. Setiap keluarga Malaysia menyumbang makanan dengan resipi istimewa masing-masing. Alangkah gembiranya menyaksikan Mat Saleh terkejut besar apabila berasa gula merah memancut keluar dari buah Melaka. Roza (isteri Presiden) mengajar mereka, jika makan buah Melaka ia mesti dilakukan dengan konsep sebiji mulut. Maksud saya, setiap seorang daripada rakan-rakan Malaysia menyumbang kepada kegembiraan semasa pengajian di peringkat PhD dan penulisan buku ini. Malah Dr Roslanlah yang telah menemai saya sebelum peperiksaan lisan bermula. Bagaimanapun, Dr Mustafa, Dr Rashidee, Dr Halimahton dan Dr Nash (kesemuanya daripada UiTM) merupakan rakan seangkatan yang sama-sama berjuang untuk memperoleh segulung tanda akademik yang banyak mengubah jalan kerjaya di UiTM. Semasa pengajian di peringkat PhD, masing-masing berbeza universiti, pengkhususan dan penyelia, tetapi cerita-cerita PhD yang dikongsi bersama menjadikan penulisan ini lebih menarik dan berkesan. Mereka adalah kawan karib yang mempunyai seribu watak. Sebahagian besar kegembiraan selepas remaja dilakukan bersama-sama. Malah atas dasar persahabatan eratlah kami bermain golf hampir di seluruh lapangan golf di Malaysia. Cuma, ketika saya pada saat-saat untuk menyudahkan buku ini, mereka merahsiakan suatu lawatan golf ke Jakarta semata-mata tidak mahu mengganggu penulisan buku ini. Begitulah sikap mulia rakan-rakan istimewa yang sentiasa ingin menyumbang walaupun secalit kepada kehidupan saya, terutamanya apabila dikaitkan dengan penyelidikan dan penulisan. Bagaimanapun, penghargaan istimewa adalah buat Rashidah yang sepatutnya melanjutkan pelajaran di peringkat PhD, tetapi memilih untuk mengambil program ACCA pada saat-saat terakhir dan berjaya pula dengan cemerlang kerana bersusah-payah memikirkan tajuk buku yang ringkas tetapi menarik ini. Ayah, Allahyarham Haji Ibrahim Awang tentunya orang yang paling berbangga jika dapat melihat kejayaan anak lelaki pertama bergelar Dr. Sejak kecil beliau menaruh setinggi harapan untuk saya mencapai kejayaaan cemerlang dalam dunia akademik. Saya masih ingat bagaimana saya membonceng motosikal Honda Cup dari Besut ke Pasir Puteh kerana menghadiri peperiksaan kelayakan MRSM. Setelah lulus peperiksaan, ayah menyewa kereta untuk membawa saya ke Kuala Terengganu bagi menghadiri temu duga. Jelas kekal dalam ingatan bagaimana bangganya seorang ayah yang sudah dapat membayangkan anaknya akan ditempatkan di sekolah ternama. Sebagai seorang guru lulusan darjah enam dan mempunyai 12 anak yang perlu diberi perhatian. Ayah telah berkorban segala-galanya bagi memberi pendidikan kepada kesemua anaknya. Katanya, hanya pendidikanlah yang dapat dibekalkan sebagai harta pusaka kepada anak-anak. Ketika menyambut saya pulang membawa segulung ijazah sarjana. Ayah pernah berbisik, janganlah berhenti setakat ini, orang berkelulusan sarjana bersepah di Malaysia.

Sayangnya, beliau tidak sempat melihat saya berlepas untuk memulakan pengajian di peringkat PhD. Allahyarhamah Hajah Wan Fatimah Wan Sulaiman seorang ibu sejati. Beliau memberi sepenuh kasih sayang kepada kesemua anak sehingga ke akhir hayat. Ketika saya tidak mampu membeli baju berjenama seperti rakan-rakan lain di MRSM, Wanlah yang menjadi tukang jahit dengan sedaya upaya meniru reka bentuk Orlando, Durban atu Padini. Malah beliau juga mengambil upah untuk menampung perbelanjaan keluarga. Ketika saya ingin memulakan pengajian PhD, Wan telah diserang angin ahmar. Namun, beliau bersemangat tinggi untuk melihat kejayaan anak-anak dan benar-benar berdisiplin untuk mengubah tahap kesihatannya. Beliau sentiasa berubat, berurut dan melakukan senaman semata-mata kerana ingin melihat anak bongsunya berjaya. Barangkali kesungguhan dan perasaan kasih sayang inilah yang telah memanjangkan usia kehidupannya. Ketika anak bongsu kami sudah selesa di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan adik ke 11 sudah hampir menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Wan mengucapkan selamat tinggal buat selama-selamanya. Kami semua amat merindui Ayah dan Wan. Kami 12 adik-beradik dibesarkan dalam susana kemesraan dan saling kasihmengasihi. Tentu sekali kakak-kakak saya, Shamsiah, Shalmiah dan Akma berbangga kerana mempunyai adik yang berkelulusan PhD, tetapi sebenarnya merekalah yang menjadi sumber inspirasi atas kejayaan saya. Kesemuanya telah memberikan kemesraan yang tidak pernah pernah berpenghujung. Malah mereka semua tidak lokek ingatan terhadap anak-anak saudara yang berada di rantau. Setiap kali hari lebaran mereka tidak pernah lupa menghantar Baju melayu dan baju kurung, malah turut diiringi dengan wang raya. Cik Yah, Cik Mie dan Cik Ma adalah kesayangan anak-anak kami. Bukanlah tanda-tanda sebegini pastinya menyentuh hati? Sokongan dan doa merekalah yang menjadikan saya lebih semangat untuk belajar dan pulang secepat mungkin. Begitu juga dengan adik-adik yang sentiasa memberi sokongan Shaiful, Haniza, Suhaili, Khamsiah, Afzan, Junita, Azlina dan Nur Solihah saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Ketika saya mahu mereka menjadikan saya berbagai idola untuk mereka belajar bersungguhsungguh, saya mendapat bonus yang lebih besar kerana keinginan anak-anak saudara untuk ikut menjejaki kejayaan akademik yang telah saya capai. Haji Roslan dan Hajah Rukiah (bapa dan ibu mertua) juga mendapat manfaat daripada pengajian PhD saya mereka dapat berkunjung ke negara yang pernah menjajah mereka dahulu. Bagaimanapun, kamilah yang harus menyanjungi mereka kerana membantu ketika isteri di dalam pantang dan saya pula berada di kemuncak menyiapkan draf tesis. Saya mengajar mereka makan kentang, roti, kacang panggang, susu segar, lamb, trout dan salmon, dan tanpa masalah mereka berjaya untuk selama tiga bulan di sana. Kami telah membawa mereka mengenali Amsterdam, London, Leeds, Hull, Chester, Manchester, Anglesey, dan pelbagai tempat menarik yang lain, tetapi pengalaman di car-boot-sale, memetik perlbagai berries dan epal, menginap di Bed and Breakfast lebih menarik perhatian mereka. Mereka amat bergembira, tetapi tetap membandingkan pengalaman mereka yang lebih mempersonakan di kota Makkah. Mereka benar-benar memujuk kami menuruti jejak mereka. Tentu sekali kami turut mernyimpan niat besar untuk hadir sebagai tetamu Allah. Namun di atas segala-galanya, penghargaan paling istimewa adalah buat isteri Raudzah Roslan (Roza) yang terlalu berkorban untuk memastikan kejayaan akademik dan kerjaya saya. Saya bersyukur kerana telah membuat pilihan yang tepat untuk melamarnya. Roza terpaka meminggirkan kerjaya sendiri setiap kali saya melanjutkan pelajaran. Ketika saya memanjat tangga kerjaya, ia pula menyongsang turun. Apatah lagi ia terpaksa mengorbankan massa lapang semata-mata untuk bekerja bagi memberi sedikit kesenangan ketika di rantau orang. Malah sumbangannya menjadi lebih signifikan tatakala negara dilanda krisis kewangan. Ketika tukaran berada di puncak lapan ringgit = satu pound wang gaji dan simpanan di Malaysia hampir-hampir tidak bermakna.

Dengan pound streling Rozalah kami dapat membawa anak-anak berkapal terbang ke Disneyland Paris, melihat bunga-bunga tulip di Netherland, menghayati keindahan Dublin, Ireland, menyusuri semula Lochness di Scotland, membeli cenderamata di St. Andrews Golf Club, mengunjungi kampong Shakespeare di Stradford-upon-Avon, melihat batu ajaib Stonehenge di Bath, dan beberapa kali mengunjungi Big Ben, London Bridge, Madame Tussaud, Marble Arch, Buckingham Palace, Harrod dan Trafalgar Square. Malah kami tidak pernah kesusahan untuk melawat Tommy Ball di Blackburn, mencari Royal Doulton atau Royal Albert d Stoke-on-Trent, atau mengintai Queen Anne di Dardibas, Bradford dan Bonnie Pack di Glasgow. Cuma satu yang tidak dapat kami lakukan, membawa pulang Mercedes Benz sebagaimana lumrah mereka yang lain. Tanpa isteri, mungkin tempoh pengajian PhD akan menjadi suatu ruang kehidupan yang mahu dilupakan. Sebaliknya, jika diberi peluang kami ingin mengulangi tempoh tersebut kerana ia adalah masa yang paling ceria dalam kehidupan kami sekeluarga. Tidak banyak masalah yang perlu difikirkan kecuali belajar berjalan belajar. Beliaulah yang memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak, Sara Fateha, Ahmad Haris Azrai dan Ahmad Amirul Imran (yang lahir dipenghujung pengajian PhD). Kemudian beliau menghadiahkan pula anak bongsu kami, Farah Sofea, sekembali daripada pengajian PhD. Anak-anak ini pula menjadi sumber inspirasi untuk saya terus-terusan menulis pengalaman dan pandangan yang disampaikan melalui buku ini. Saya selalu merayu kepada-nya supaya kesemua mereka yang membantu kehidupan saya mendapat balasan kemulian yang sewajarnya. Kenapa saya mengumpul dan menceritakan nama-nama mereka yang terlibat dalam pengajian saya dalam satu bab yang khusus? Secara tersirat saya ingin menggambarkan bagaimana kehidupan akan jadi lebih manarik dan bermakna jika kita mempunyai ramai insan yang menyayangi dan memberi perhatian kepada apa yang kita lakukan. Jika itu yang kita mahu, maka jangan lakukan sesuatu yang kita tidak suka lakukan kepada kita. Tidak siapa yang dapat menduga bagaimana orang-orang di sekeliling boleh memberi bantuan bagi memastikan kejayaan dalam pengajian di peringkat PhD. Mungkin juga untuk kehidupan secara keseluruhan. Saya sering menyangka proses pengajian di periongkat PhD adalah sebahagian daripada tahap pendidikan peringkat tinggi yang dimimpikan oleh sebahagian besar daripada kita. Cuma, sesuatu yang saya pelajari, PhD merupakan satu perjalanan kehidupan yang melibatkan seribu watak. Sekecil atau sejauh mana watak-watak itu membantu sangat berbeza mengikut tahap kesedaran dan telahan kita sendiri. Selalulah menghormati dan memandang tinggi watak-watak tersebut dan mudah-mudahan laluan PhD anda dipermudahkan.

Bab 2 CONGRATULATION DR IBRAHIM!

Bagaimana perasaan ketika anda telah disahkan bergelar Dr? Dr Muhd Kamil Ibrahim. Teramat girang dan mempersonakan. Saya cuba merakamkannya sebaik mungkin, tetapi ia tidak mungkin menjadi sempurna. Saya mengajak anda bersama-sama merasainya secara nyata. Jumaat 11.30 pagi 14 Mei 1999. Saya berhadapan dengan Profesor Ross McKay (pengerusi viva), Dr Shanti (pemeriksa dalam) dan Dr Alex Rusell (pemeriksa luar) bagi mempertahankan tesis Market value, Book value and Goodwill (1999). Professor Dr Stuart McLeay (penyelia) juga turut hadir atas permintaan saya. Ia hanya mendiamkan diri sesekali menguap apabila tempoh pemeriksaan lisan mencecah 60 minit. Ross bermula dengan dua soalan mudah membiarkan Alex bertanya selepas itu. Alex adalah pemeriksa luar yang baik dan nampak berniat ingin membantu. Ia mula bertanya beberapa soalan asas yang memudahkan saya mermberikan jawapan. Jika saya termenung memikirkan jawapan yang sesuai ia memberikan kenyataan isyarat yang memudahkan saya menyambung dan memberi penjelasan lanjut. Alex benar-benar memberi bantuan dan tidak menyusahkan. Hampir sejam 15 minit saya bersama mereka sehinggalah diminta beredar sementara menunggu mereka berbincang dan membuat keputusan. Sambil berjalan keluar, saya sendiri sudah dapat merasakan yang PhD akan menjadi milik saya. Cuma saya risau dengan kemungkinan pembetulan atau tambahan yang perlu dilakukan terhadap tesis yang baru dipertahankan itu. Saya menanti di bilik bersendirian yang secara kebetulan tidak begitu jauh dengan bilik pemeriksaan lisan. Masa menunggu tidaklah terlalu lama, kurang lebih lima minit. Tetapi memang benar kata orang, penantian suatu penyeksaan. Walaupun yakin, setiap saat yang berlalu terasa begitu lambat. Kemudian saya dipersilakan masuk. Saya berjalan perlahan menuju kembali ke tempat yang telah dikhaskan kepada saya, mengadap mereka berempat. Tiba-tiba perasaan baru dan asing yang tak tergambar menguasai diri saya. ia berlaku sejurus pengerusi viva menyampaikan keputusan. Sambil tersenyum dengan bola mata memandang tepat kepada saya, Ross berkata: Kami telah berbincang dan telah membuat keputusan sebulat suara. Kami berpuas hati dengan tesis yang telah anda pertahankan. Tahniah Dr Kamil Ibrahim. Anda telah berjaya memperoleh PhD tanpa sebarang pindaan isi. Cuma saya mahu anda membetulkan beberapa kesilapan taip dan memastikan ia dimaklumkan kepada penyelia. Dengan itu, nama saya boleh bermula dengan panggilan Dr! Dr Muhd Kamil Ibrahim. Dan nama saya akan sebaris dengan nama Dr Syed Noh, Dr Juhari, Dr. Ibrahim Kamal, Dr Normah, Dr Nafsiah dan Dr Fatimah pensyarah sefakulti yang lebih awal menamatkan pengajian. Hati kecil segera mengucap syukur kepada-Nya. Saya bingkas bangun dan bersalam dengan Stuart McLeay, penyelia tesis sambil mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Ia memeluk saya. Kemudian saya menghulurkan tangan kepada pemeriksa luar, pemeriksa dalam dan akhir sekali kepada pengerusi viva. Tentu sekali saya tidak dapat menceritakan kembali bagaimana reaksi spontan yang berlaku begitu pantas. Sepantas kilat. Keluar dari bilik viva, rakan-rakan dan kakitangan fakulti silih berganti mengucapkan

tahniah. Tidak cukup berjabat tangan, ada pula yang berpeluk Arab (berpeluk sambil pipi bertemu pipi dan dilakukan sebanyak tiga kali berselang-seli kiri dan kanan). Saya tersenyum dan tersenyum sambil berkata thank you thank you thank you. Tubuh terasa ringan., ibarat urat-urat kapas yang berterbangan ditiup angin. Beban berat yang digalas sebegitu lama terlucut begitu sahaja. Apabila reda perasaan dan sambutan saya segera mahu pulang ke rumah. Kepenatan kerana tension yang terkumpul dalam diam mula menguasai diri. Saya mahu bersendirian dan mahu tidur secukup-cukupnya. Itulah niat segera saya. Kedudukan bangunan universiti di puncak bukit memudahkan perjalanan pulang. Malah ia menjadi lebih mudah dan tidak meletihkan kerana jasad dan fikiran saya seolah-olah terbang membelah awan. Laluan saya melalui High Street Bangor. Saya singgah sebentar di Littlewood Superstone berjumpa isteri, Roza yang sedang melayani pelanggan. Dah dapat bibir memberi signal dua perkataan mudah berserta dengan simbol OK mengundang senyum kegembiraan isteri. Saya yakin ia juga berperasaan tidak tentu hala apabila mendapat berita tersebut. Bagaimanapun agak sukar untuk menduga sedalam mana kegembiraan Roza dengan perkhabaran tersebut. Namun kalau diukur dengan sokongan persiapan, misalnya ia dengan rela hati dan bersedia berbelanja besar untuk membeli kasut Clark, kemeja, seluar dan tali leher Mark & Spencer baru khusus untuk hari viva, tentunya Roza akan memeluk dan mencium saya dengan penuh bangga atas kejayaan saya itu. Penyataan sokongan fizikal yang bernilai hampir 100 pound sterling (RM700) tentulah bukanlah ukuran sebenar sokongan Roza terhadap saya. Jika ia berada di sisi, pastinya Roza akan menjadi khalayak tunggal penceritaan semula peristiwa viva yang baru terlangsung. Saya segera beredar kerana tidak mahu mengganggu kerja-kerjanya. Perasaan terlalu gembira tidak cepat berlalu. Mahu rasanya melompat-lompat, menyanyi, bersorak dan bertempik. Bibir sentiasa menguntum senyum, pada pokok, flora dan fauna, bangunan, jalan raya, tembok batu dan (.ah! semuanya yang dapat dipandang). Hatta kepada semua Mat, Minah, Datuk dan Nenek Salleh yang berselisih akan saya hadiahkan dengan sekuntum senyuman PhD. Sempat saya membayangkan mereka mengucapkan tahniah dan turut gembira dengan kejayaan saya. Tentu sekali itu perasaan yang melampau! Niat sebenar saya mahu lekas pulang, tetapi tanpa sedari kaki melangkah ke tengah-tengah pusat bandar. Bangor tidak sebesar mana. Jika saya katakan pusat bandar, maka sesiapa yang berjalan-jalan atau window shopping di situ mereka akan berjumpa dengan saya. Dr Muhd Kamil Ibrahim. Seorang lelaki yang baru saja diberi anugerah tertinggi akademik. Saya benar-benar gembira, girang dan seronok. Mata liar memerhati kiri dan kanan harap-harap ada rakan Melayu tersesat selepas mereka berjemaah di masjid yang berhampiran. Saya ingin menyatakan saya sudah lulus PhD! Sekali lagi kegirangan yang di luar kawalan. Tetapi itu tidak berlaku. Saya tidak berjumpa dengan orang melayu. Hanya Pak Arab yang datang bertanya khabar. Dan pastinya ia berakhir dengan peluk Arab (sesuatu yang paling ingin saya elakkan) di tengahtengah bandar, disaksikan oleh Mat Salleh yang lalu-lalang. Tentunya mereka kehairanan dengan kegembiraan yang berlaku. Saya kisahkan perasaan sebenar dan saya rakamkan setepat mungkin. Di rumah saya bersendirian. Apabila selesai menunaikan solat Zohor (gantian sembahyang jumaat), barulah perasaan mula berpijak di bumi nyata. Bersendirian membolehkan saya bertafakur dan menarik nafas kelegaan. Saya terbayang pada saat-saat awal ketika bertekad untuk memulakan pengajian pada pertengahan 1995. Pada ketika itu, persoalan yang sering menghantui fikiran saya ialah tentang penemuan baru atau sumbangan kepada ilmu yang perlu dipersembahkan pada penghujung pengajian. Bolehkah saya mendapat sinar tersebut? Adakah saya akan pulang dengan kejayaan? Saya

membayangkan PhD adalah puncak kejayaan akademik yang hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar pintar, genius dan mempunyai IQ setinggi Einstein! Adalah benar jika orang menyatakan saya adalah penulis yang prolific. Saya telah menulis beratus-ratus rencana perakaunan, motivasi, pendidikan dan pelbagai isu semasa sepanjang dua tahun sebelumnya. Kegilaan menulis pelbagai rencana umum pastinya sukar ditandingi di kalangan rakan sejawat. Bagaimanapun tanpa secalit pengalaman, saya berasa khuatir dan benar-benar ketakutan untuk memulakan kerja-kerja penyelidikan. Benar kata orang tanpa pengalaman sesuatu yang senang kelihatan sukar. Pada saat tersebut saya sama sekali tidak dapat membayangkan apa yang bakal saya hadapi, bagaimanapun cara-cara untuk membuat penyelidikan, sejauh mana kesukaran PhD atau apakah persiapan terbaik yang perlu dilakukan. Cuma sebagai seorang ahli akademik, saya memerlukan PhD dan pastinya tidak boleh gagal. Saya tidak dapat membayangkan dicemuh (sama ada secara nyata, perasaan atau bayangan) dan disebut-sebut sebagai staf yang gagal dalam pengajian di peringkat PhD bagaimana saya ingin melalui hari-hari dalam dunia akademik seandainya apa yang ditakutkan itu benar-benar berlaku. Lebih-lebih lagi bagaimana mahu menghalang perasaan sendiri yang tentunya sentiasa syak wasangka terhadap rakan sejawat; rakan tersenyum dikatakan menyindir, teman bergurau dikatakan mengutuk. Mungkinkah saya cukup bersedia untuk menerima pertanyaan: Sudah boleh dipanggil Dr? sedangkan kita bercelaru mengenangkan PhD yang belum selesai. Benar, saya berada dalam ketakutan tetapi tidak cukup kuat untuk membatalkan niat yang ingin meneruskan pengajian. Pilihan menjadi lebih mudah kerana secara peribadi saya berasa suasana kerja di UiTM Sarawak pada masa tersebut berada pada tahap terburuk. Cukuplah kalau saya katakan Selamat tinggal UiTM Sarawak! Selang beberapa hari tiba di Universiti Wales (Bangor), saya diundang menghadiri kenduri kesyukuran seorang rakyat Malaysia yang baru dianugerahkan PhD. Saya melihatnya begitu gembira. Tidak habis-habis bercerita tentang viva, kisah empat tahun yang lampau, cabaran serta kesukaran dan persiapan untuk pulang. Isterinya tersenyum lebar dan sesekali ketawa menggambarkan perasaan ria atas kejayaan suami. Bagaimana dengan perasaan saya? Diam-diam, ruang perut saya terasa ada sesuatu yang berterbangan. Kata orang Butterflies in the stomach. Hati saya kecut. Saya terfikir lambatnya masa berjalan apakah 36 bulan nanti saya mampu mengadakan kenduri seperti itu? Apakah saya terpaksa memohon tambahan tempoh pengajian seperti rakat tersebut? Berjayakah saya? Persoalan-persoalan tersebut berselang-seli dengan gambaran kegagalan. Saya sudah melalui pelbagai tahap dalam pengajian peperiksaan penilaian darjah lima, Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma, Diploma Lanjutan dan Sarjana tetapi tidak berasa sebegini tertekan. Cuma mungkin tiada rakan-rakan yang dapat menelah bagaimana perasaan tersebut sentiasa bermain-main di dalam diri. Mungkin isteri sendiri tidak menyangka bagaimana akal dan emosi saya setiasa berperang. Tekanan dalaman yang bukan dipaksa-paksa, tetapi terlindung oleh perwatakan dan wajah luaran yang sentiasa ceria dan tenang. Di rumah, saya tidak dapat tidur walaupun dipaksa-paksa. Benar kata orang jika badan keletihan atau terlampau gembira, mata pun tidak akan menurut perintah. TV juga tidak dapat membantu untuk mengosongkan fikiran yang kian lesu. Jadi saya membiarkan suasana mengusai diri. Malah saya membenarkan fikiran saya berjalan-jalan sejauh mungkin. Saya mula terkenang laluan PhD. Saya tersedar bahawa saya telah mencipta sejarah bagi fakulti sendiri apabia menamatkan pengajian dalam tempoh yang singkat berbanding dengan rakan-rakan yang terdahulu. Genap-genap 32 bulan saya sudah lulus viva. Bagaimanapun rakan-rakan yang rapat tahu bahawa saya sudah menyiapkan tesis

lapan bulan lebih awal daripada tarikh viva. Ertinya. Saya telah menyiapkan draf tesis yang lengkap hanya dalam masa 24 bulan sahaja. Fikiran saya tidak henti-henti mengingat apa telah saya lalui sepanjang dua setengah tahun yang lepas. Saya terkenang bagaimana hubungan saya dengan Stuart McLeay, penyelia tesis; bagaimana hubungan saya dengan staf akademik yang lain; bagaimana peranan isteri dan keluarga; bagaimana viva yang baru berlangsung berakhir dengan begitu mudah dan menyenangkan; bagaimana hubungan dengan rakan-rakan pascaijazah; terutamanya rakan-rakan sebangsa dan seagama dari Malaysia; bagaimana kakitangan umum universiti membantu; dan bagaimana penerimaan hubungan dengan masyarakat setempat, kediaman, persekitaran, sekolah anak-anak dan pelbagai faktor lain yang menyumbang kejayaan pengajian PhD saya. Datangnya tidak tersusun, tetapi bertali-arus. Ia merewang jauh sehinggalah kelopak mata tertutup rapat. Saya mencatatkan bagaimana perasaan seorang yang baru dianugerahkan ijazah daktor falsafah. Tiada baris-baris perkataan yang dapat menzahirkan perasaan sebenar. Cukup jika saya katakan tidak pernah berperasaan sedemikian gembira dan girang. Saya tidak sabar untuk pulang ke Malaysia, secara spesifik berjumpa dengan keluarga, rakanrakan dan bersemangat untuk berkhidmat dengan universiti sambil dalam diam-diam bermegah dengan gelaran baru di pangkal nama. 32 bulan yang telah berlalu dirasakan cukup singkat apabila kapal terbang mendarat di lapangan terbang baru KLIA pada Julai 1999. Ia amat berbeza perasaan ketika mendarat bersama perasaan takut-takut di Lapangan Terbang Manchester pada penghujung 1996. Di Malaysia soalan popular yang ditanya kepada saya sejurus pulang adalah seperti berikut: Berapa lama?, Sukar?, Supervisor?, Eh cepatnya, macam mana, apa rahsia? dan jawapan saya juga agak standard; Saya bernasib baik, Tuhan tolong, supervisor baik dan jalan yang saya lalui tidak ada sebarang halangan yang besar-besar. Bagi saya, lebih 60 peratus kejayaan yang saya capai adalah kerana faktor nasib baik, sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan faktor akademik?. Sekurang-kurangnya bukan secara langsung. Noktah! Biasanya perbualan akan berakhir dengan isu-isu lain tanpa memperincikan perkataan nasib baik yang sering saya ulang-ulangkan. Kini, hampir setiap tahun saya dikunjungi rakan sejawat yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD. Mereka mengemukakan soalan yang hampir sama; Bagaimana Dr menguruskan PhD sehingga berjaya dalam masa yang singkat. Jawapan saya pula berbeza-beza mengikut tahap keakraban mereka yang bertanya. Misalnya saya pernah memberi nasihat: Menulis satu muka surat sehari setahun akan mendapat 360 muka surat jika diskaun 50 peratus sekalipun, anda akan mempunyai 180 mukasurat. Jangan terlampau ghairah fotostat artikel. Tak perlu membuat koleksi artikel sampai menimbun hingga sukar untuk dibaca. Idea hanya akan timbul dengan membaca bukannya bergantung dengan jumlah artikel yang disimpan. Perkara paling asas yang perlu difikirkan ialah soal hati. Kita mesti berhati tulus. Tuhan akan menolong orang yang suka menolong orang lain. Bagaimanapun temu janji saya dengan Rosya, pensyarah perakaunan pada penghujung 2003 menyebabkan saya terfikir untuk bersegera menulis sebuah buku berteraskan konsep bagaimana untuk berjaya mendapatkan PhD bersandarkan

pengalaman sendiri dan penyelidikan terhadap mereka yang telah dan bakal melalui proses tersebut. Rosya menjadi pencetus kepada penulisan ini walaupun saya perlu mengaku yang saya memang berminat menulis buku-buku bercorak motivasi. Sebenarnya saya amat terkejut menerima nota yang ditulis oleh pembantu saya; Rosya-pensyarah perakaunan ingin berjumpa Dr, besok. Temu janji secara rasmi di luar jangkaan yang semata-mata ingin bertanya tentang pengalaman PhD telah menjadi penyebab utama penulisan buku ini. Malah ia menghantar sekeping kad tanda terima kasih atas kesudian saya berbincang dengannya. Rosya adalah rakan sejawat di fakulti yang sama. Kami pernah (16 tahun yang lalu) berjiran, Cuma jarang-jarang bertegur-sapa. Hampir-hampir tidak pernah. Maksud saya, temu janji dan pertanyaannya merupakan suatu sanjungan yang memberi pengeritan yang agak signifikan. Ketika saya bertekad untuk memulakan penulisan ini, saya menjangka hanya akan dapat menyiapkannya dalam tempoh yang agak panjang kerana kekangan kerja-kerja pentadbiran dan penyelidikan. Namun saya tetap berdegil untuk memulakannya dan mahu menghabiskannya secepat mungkin. Akhirnya pada setiap waktu terluang saya menulis, mencatat pada kertas-kertas nota apabila ilham tiba-tiba datang dan berbual-bual dengan beberapa orang yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat untuk buku ini. Laptop saya sentiasa bersama. Jika mesyuarat UiTM saya bermula pada 8.30 pagi, saya pastikan supaya dapat menulis sebaris dua. Malah tugas-tugas di luar kawasan saya gunakan sepenuhnya untuk menulis buku ini. Lalu, bacaan dan carian di internet yang menjurus kepada kata kunci PhD, kejayaan (success), masalah (problems), kegagalan (failures) mula saya terokai. Buku-buku untuk dijadikan panduan dan rujukan mula saya cari. Saya memastikan dapat menulis sekurang-kurangnya satu muka surat sehari sebagaimana nasihat saya kepada mereka yang akan melanjutkan pelajaran. Perjumpaan dan perbualan dengan mereka yang telah berjaya bertambah dari semasa ke semasa. Anda pasti tidak menduga jika saya nyatakan bahawa saya telah berjumpa lebih 50 orang yang bergelar Dr dalam masa dua bulan menulis. Malah prinsip semuka sehari atau sehari semuka nampaknya benar-benar berkesan. Ada masanya saya dapat menulis dengan tekun sehingga mencecah 10 muka surat sehari, tetapi ada masanya jari menjadi kaku dan ilham menjadi buntu berselang-seli dengan kesibukan sebagai seorang Dekan, menyebabkan tiada ayat yang dapat saya tulis. Secara purata saya dapat menulis lebih semuka sehari dan mampu pula menyiapkan buku ini lebih awal daripada yang dijangka. Namun di atas segala-galanya, proses penulisan inilah yang menyebabkan saya mula menilai kejayaan sebenar seorang yang bergelar Dr PhD. Dalam sedar, saya berpendapat berkelulusan PhD bukanlah segala-galanya. Ukuran kejayaan seseorang yang bergelar Dr PhD adalah atas kerja-kerja mereka selepas dianugerahkan ijazah itu. Selepas beberapa ketika, bolehkah mereka dirujuk sebagai pakar dalam bidang sendiri? Bolehkah mereka menjadi penyelia yang baik? Berapa banyakkah sumbangan penyelidikan yang telah terhasil? Berapa ramaikah pensyarah muda yang mendapat manfaat daripada pengajian mereka? Atau sekurang-kurangnya, perhatikanlah apakah tingkah laku yang dipamerkan menggambarkan tahap keintelektualan, kesarjanaan atau adab dan budi bahasa yang sewajarnya bagi seorang yang bergelar bijak pandai? Itulah cabaran yang sebenar! PhD kecil tapi signifikan memberi beberapa pandangan tambahan terhadap pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan menamatkan pengajian di peringkat PhD dan seterusnya memikul tanggungjawab memakai gelaran tersebut. Dari satu aspek, faktor-faktor kecil yang jarang diceritakan. Namun, pengalaman saya membuktikan bagaimana faktor-faktor tersebut amat signifikan, membantu dan boleh dipertimbangkan oleh mereka yang bersedia untuk menghadapi cabaran PhD. Pada tahap yang terendah, saya berharap buku ini sekurang-kurangnya mengisahkan beberapa pengalaman perasaan (walaupun ia mungkin bersifat peribadi) yang boleh dikongsi bersama pembaca. Tentu

sekali ia boleh meringan dan membantu laluan pengajian di peringkat PhD. Pengalaman kecil saya dan rakan-rakan lain mungkin boleh dimanfaatkan.

Bab 3 KEINGINAN DAN KETAKUTANSaya benar-benar ingin berjaya dalam dunia akademik. Maka memulakan pengajian di peringkat PhD adalah langkah seterusnya. Tempoh pengajian PhD menjadi kita bermain dengan perasaan. Perasaan yang berombak-ombak, berkeinginan dan ketakutan yang silih berganti tanpa mengira waktu. Saya ingin berjaya dan takut gagal. Pernah saya mahu pulang ke rumah, tetapi memandu terus ke sekolah anak. Ada masanya saya sudah mematikan komputer dan ketika berjalan keluar meninggalkan makmal, tiba-tiba mendapat ilham sehingga komputer terpaksa dihidupkan semula. Akhirnya saya memakukan diri untuk selama beberapa jam. Jadi saya memahami kenapa orang berkelakuan ganjil, tertekan dan gagal mengawal perasaan apabila dikaitkan dengan PhD. Persidangan Colmar II di Bukit Tinggi, Pahang pada awal 2004 Penstrukturan Semula Universiti mensasarkan UiTM akan mencapai tahap universiti bertaraf dunia pada 2006. Salah satu ciri penting untuk menuju maklumat tersebut ialah dengan meningkatkan nisbah bilangan pensyarah yang berkelulusan PhD berbanding dengan bilangan keseluruhan pensyarah. Ditambah pula dengan perkembangan kegiatan penyelidikan yang meningkat secara mendadak, minat dan keperluan pensyarah muda untuk memperolehi ijazah tertinggi (PhD), matlamat ini tidaklah terlalu sukar. Kini, dalam setiap pemilihan berkaitan dengan universiti, misalnya sebagai pentadbir akademik, kenaikan pangkat Profesor atau Profesor Madya dan beberapa pertimbangan lain, maka mereka yang berkelulusan PhD mempunyai kelebihan berganda. Suasana ini jelas mendadak berubah berbanding setahun dua yang lepas selari dengan pertukaran nama universiti. Di tempat yang sama sambil menikmati makan malam saya bercerita tentang keinginan untuk menulis buku ini kepada beberapa orang pensyarah yang duduk semeja. Tidak semuanya saya kenali. Kebanyakan mereka belum lagi berPhD. Salah seorang daripada mereka benar-benar memberikan tumpuan kepada apa yang saya perbualkan. Saya tegaskan pada pendapat saya bahawa kejayaan seorang dalam pengajian PhD perlu dikaitkan juga dengan faktor bukan akademik, malah terdapat faktor-faktor kecil yang sering dipandang ringan, dilupakan malah langsung tidak dipedulikan. Saya berhujah, kadang kala faktor-faktor tersebut boleh menjadi penentu kepada kejayaan untuk menamatkan pengajian. Pensyarah tersebut yang mengetuai sebuah akademik dan akan bersara beberapa bulan lagi tertarik dengan pendekatan penulisan yang ingin saya kemukakan. Malah ia sempat memberi beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan. Pada satu ketika ia merenung jauh dan dengan sura yang perlahan sambil mengusap-ngusap jambangnya yang lebat, menceritakan kisahnya dan PhD: Siapa yang tidak inginkan kejayaan dalam PhD. Pada zaman saya biasiswa umpama suatu anugerah besar. Saya dihalang untuk memperoleh biasiswa kerana saya orang kuat kesatuan. Keinginan mengatasi segala-galanya. Saya belajar secara separuh masa. Menaiki Honda kapcai untuk berulang-alik antara UiTM dengan UPM. Kertas cadangan penyelidikan telah diluluskan dan saya juga mempunyai seorang penyelia yang baik.

Bagaimanapun segala-galanya hancur apabila penyelia itu berhenti kerja. Saya diminta oleh penyelia baru supaya menukar tajuk penyelidikan. Ia mempunyai agenda penyelidikan sendiri dan tidak berminat dengan topik penyelidikan yang sedang saya lakukan. Bayangkanlah bagaimana kerja-kerja dua tahun sebelumnya hilang begitu sahaja. Pastinya saya hilang sabar. Kegagalan saya bukanlah kerana saya tidak cukup intelek untuk berjaya. Saya fikir, saya tidak mampu untuk bermula semula. Benar banyak faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan menamatkan pengajian di peringkat PhD. Keinginan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD merupakan lumrah kepada setiap kakitangan akademik. Sedikit sebanyak keinginan ini pasti ada dan terpahat di sanubari mereka. Dalam konteks saya sendiri misalnya, keinginan tersebut tidak dapat ditahan-tahan. Membuak-buak. Hasrat kuat itu saya pancarkan dengan mengisi borang permohonan biasiswa PhD hanya selepas dua tahun menamatkan pengajian di peringkat sarjana. Perasaan ini dipermudah apabila mengalami perasaan luar biasa terhadap rutin kerja. Perasaan saya benar atau tidak berpendapat suasana kerja di UiTM Sarawak pada masa tersebut (1995 1996) tersangat tidak kondusif. Produktiviti berkurang dan masa dihabiskan untuk melakukan perkara yang tidak berfaedah. PhD adalah jalan keluar terbaik. Benar, saya ingin belajar hingga ke puncak, tetapi perasaan ingin melarikan diri atau jemu dengan tugas rutin menjadi penyebab segera dan muktamad. Tidak dapat dinafikan pada masa tersebut saya benar-benar mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk belajar, tetapi pada masa yang sama amat berdebardebarkan memikirkan sama ada boleh berjaya atau tidak. Cuma dalam konteks yang berbeza, perasaan takut ini muncul dicelah-celah keghairahan untuk memulakan pengajian. Sesekali ia amat jelas melampaui sempadan positivism diri. Kenapa? Pertama, perasaan saya menyatakan, jika ingin terus berada di universiti selepas menamatkan pengajian, saya mesti memastikan misi pengajian berakhir dengan kejayaan. Sukar untuk membayangkan bagaimana berada dalam kelompok masyarakat akademik dengan label masih belum dapat PhD tergantung jelas di leher sendiri. Perasaan ini sebenarnya sukar dibendung. Saya memujuk diri sendiri dengan menyatakan: Separuh usia berlaku dengan keperluan berhadapan dengan peperiksaan sekolah dan universiti, dan kesemuanya telah berdepani dengan kejayaan. Kenapa tidak dengan PhD? Sukar untuk memujuk diri sendiri. Malah saya mula bertanya mereka telah berjaya tetapi hampir tiada yang membantu. Lebih banyak yang sukar daripada yang senang. Tiada seorang pun yang saya temui berani bertegaskan dengan menyatakan, Suatu pengalaman yang menarik, anda boleh bergembira dengannya. Kebanyakan atau hampir kesemuanya memberi komen ringkas dan pendek: Sukar tetapi boleh berjaya. Atau mungkinkah sengaja mereka ingin nyatakan, Mereka berjaya mendapatkan sesuatu yang sukar. Kedua, saya tidak pernah menjalankan penyelidikan peringkat tinggi. Bagaimana rupa sebenarnya penyelidikan PhD? Inilah soalan sebenar yang bermain-main di fikiran saya pada masa tersebut. Adakah saya mesti berjumpa sesuatu yang benar-benar tulen? Perlukah saya mencari suatu teori baru? Saya selalu menjangkakan mereka yang berjaya adalah pakar seluruh bidang. Tidak hairanlah jika mereka mempunyai PhD berambut putih dan berambut jarang. Jika itulah makna PhD, tentu saya akan sesak nafas. Sukarnya. Tidak masuk akal untuk saya berjaya. Saya khatam membaca buku yang menceritakan bagaimana untuk berjaya dalam pengajian PhD, tetapi tetap tidak dapat membayangkan keperluan dan gambaran tahap

penyelidikan sebenar. Apatah lagi untuk memikirkan sesuatu temuan baru yang tulen dalam konteks subjek atau bidang sendiri, perakaunan. Apakah yang boleh saya selidiki atau temui dalam perakaunan? Bukankah perakaunan itu debit dan kredit, kira untung dan rugi atau menyediakan penyata kewangan yang lain? Saya fikir bijak pandai terdahulu sudah selesai menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin. Perakaunan seolah-olah sudah sempurna. Tiada sesuatu yang baru perlu difikirkan. Barangkali kedangkalan inilah yang menyebaban ketakutan bermain-main di fikiran. Saya perlu belajar semula. Ketiga, apabila menerima surat tawaran daripada universiti, ketakutan lain mula muncul apabila memikirkan Stuart McLeay, nama penyelia yand dicadangkan oleh universiti. Bolehkah saya menjalin hubungan baik dengan Stuart? Bagaimana jika kami tidak sehaluan? Saya mula mencongak dan berdoa Stuart bukan English, moga-moga Scottish atau sekurang-kurangnya Irish atau Welsh. Jangan sesekali Yahudi. Bukankah cerita-cerita orang menyatakan penyelia itu penting? Jadi, kalau itu punca ketakutan, maka ia sangat bersesuaian dan tidak ada yang tidak kena. Pengalaman setahun di UK semasa belajar di peringkat sarjana telah menyakinkan saya bahawa Scottish lebih baik, merendah diri dan tidak sombong jika dibandingkan dengan English. Pada ketika ini saya telah menghukum secara pukal kepada orang English kerana beberapa pengalaman yang tidak menarik sebelumnya. Barangkali saya lupa manusia sebenarnya berbeza-beza. Ketika inilah saya mula membuat pencarian di internet dengan menggunakan kata kunci McLeay, research, empirical and accounting. Saya menerima beberapa nama McLeay, tetapi hanya satu Stuart Mcleay. Dalam diam-diam saya mula mengagumi dan berbangga dengannya. Stuart adalah Pengarah, Pusat Penyelidikan Perakaunan Eropah dan terlibat secara langsung dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan perakaunan untuk Kesatuan Eropah. Terpampang di layar komputer beberapa deret topik kertas penyelidikan yang diterbitkan di pelbagai jurnal bermutu tinggi. Saya mula menaruh harapan, tersenyum dan riang apabila melihat dengan jelas dua tajuk kertas penyelidikan mempunyai tema yang hampir sama dengan cadangan penyelidikan yang telah saya kemukakan. Fotonya juga mengambarkan Stuart seorang yang periang dan cepat mesra. Itulah lintasan hati. Pada masa tersebut separuh perasaan ketakutan terhadap penyelia mula mengundur diri. Cuma ia adalah seorang English! Pengalaman mempunyai perasaan keinginan dan ketakutan ketika bersiap untuk memulakan pengajian di peringkat PhD mengundang saya untuk memperuntukkan satu bab khusus bagi membincangkan topik ini. Saya fikir ia sangat berguna. Tujuan saya mudah, jika salah seorang daripada pembaca mengalami perasaan yang sama, anda boleh memujuk dengan menyatakan ia perasaan yang lumrah. Atau jika ada kawan yang bercerita perasaan tersebut dan meminta simpati, tunjukkanlah buku ini bagi memberi sedikit keyakinan kepadanya. Maksud saya, keinginan dan ketakutan merupakan mainan perasaan yang muncul silih berganti. Katakanlah dan anggaplah ia sebagai perasaan kecil yang memerlukan sedikit pujukan untuk meleraikannya. Membaca atau mendengar pandangan mereka yang lain mungkin boleh menaikkan motivasi untuk meneruskan niat mahu belajar. Saya cuba mengutip pandangan beberapa orang yang telah saya temui, terutamanya pensyarah yang telah, sedang dan akan belajar di peringkat PhD. Saya telah bertanya satu soalan mudah kenapa PhD? Soalan mudah dan spontan yang mengundang jawapan spontan. Secara keseluruhan, jawapan yang diberikan mereka boleh memberi gambaran awal tahap perasaan, motivasi, persediaan, keperluan dan pandangan umum tentang PhD. Bagaimanapun, saya suka memulakan petikan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Dato Dr Mohd Zaini Mohd Arif, seorang tokoh perniagaan yang berjaya. Ketika memulakan pengajian dalam usaha untuk memburu gelaran Dr, ia sudah mencapai tahap jutawan. Ia berkata:

Saya fikir mempunyai gelaran Dr lebih glamour daripada mempunyai gelaran Dato. Saya melihat trend dunia korporat mulai bergerak dan menerima mereka yang berkelulusan tinggi dan bergelar Dr. Lihatlah syarikat yang besar-besar. Di belakang mereka sudah mula ada Dr-Dr yang menjadi peneraju atau CEO. Nampak mereka lebih canggih atau pintar berbanding dengan orang kebanyakan. Mereka yang berkelulusan sarjana sudah b