proposal phd-amalan guru cemerlang sains di sarawak

Upload: awangbakhtiar

Post on 15-Oct-2015

204 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

guru cemerlang sains

TRANSCRIPT

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1PengenalanMalaysia merupakan sebuah negara membangun dan giat berusaha mencapai taraf negara maju. Teras kepada negara maju adalah kepesatan industri yang mana memerlukan sumber manusia berketerampilan, berkualiti dan progresif (Ahmad Esa et al. 2012; Azizi Yahaya et al. 2010). Sumber manusia perlu diperkembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan harmonis dan seimbang. Hal ini dapat dicapai melalui sistem pendidikan yang dilihat semakin mendapat perhatian semua (Tambi Subahan Mohd Meerah & Lilia Halim 2012). Oleh itu, pendidikan adalah bidang sangat penting untuk diperkukuhkan kerana kemajuan sesebuah negara bermula daripada kejayaan sistem pendidikan yang dilaksanakan. Mata pelajaran Sains mendapat perhatian daripada kerajaan dan diterap secara khusus dalam pendidikan di sekolah (Nurzatulshima Kamarudin et al. 2009). Para guru dipertanggungjawabkan bagi mewujudkan masyarakat Saintifik yang dapat menyumbang tamadun Sains dan teknologi. Sebagai pelaksana kurikulum pendidikan Sains, para pendidik memikul tanggungjawab bersama bagi melatih bakal-bakal saintis dan mewujudkan masyarakat berpengetahuan Sains supaya seiring dengan wawasan negara. Pembelajaran Sains di sekolah memerlukan kebolehan, kemampuan, kecekapan dan kesediaan pelajar untuk memahami dan membina konsep serta pemahaman tentang mata pelajaran tersebut (YahyaBuntat et al. 2008). Kemampuan yang diperlukan pelajar dalam konteks ini tidak terbatas pada kebolehan kognitif sahaja tetapi faktor-faktor seperti minat, motivasi, persekitaran, konsep kendiri dan harga diri. Kemahiran Saintifik berkesan ditekankan bagi membudayakan Sains di peringkat sekolah. Kemahiran Saintifik merupakan kaedah asas penting dan sesuai dengan kehendak pembelajaran masa kini (Aziz Nordin et al. 2008).Kualiti pendidikan banyak bergantung kepada kualiti guru kerana guru membuatkan pembelajaran menarik dan dihargai pelajar (Azizi Yahaya et al. 2010). Penekanan kepada kualiti guru mendapat momentum besar daripada bukti-bukti empirikal yang menyokong hubungan antara kecekapan guru dan pencapaian pelajar (Institut Penyelidikkan Pendidikan Tinggi Negara 2010). Oleh itu, kerajaan berhasrat meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion perguruan lebih menarik agar dapat memantapkan pengurusan prestasi serta pembangunan bertaraf dunia. Pada tahun 1993, Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan memorandum bertajuk Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan: Cadangan Ke arah Meningkat Kualiti Perkhidmatan Pendidikan Dan Menghasilkan Guru Yang Cemerlang. Hasilnya, konsep Guru Cemerlang dijadikan sebagai satu laluan kenaikan pangkat baru mulai tahun 1994 (KPM 2013). Pemantapan kepada kualiti guru dinyatakan lagi dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh-RMK10 (Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri 2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

1.2Guru Cemerlang SainsGuru Cemerlang Sains adalah pengiktirafan diberikan kepada guru mahir ataupun pakar dalam mata pelajaran Sains. Kewujudan Guru Cemerlang ini diharapkan menjadi pemangkin bagi sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik lebih cemerlang dan gemilang (KPM 2013). Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhasrat menjadikan Guru Cemerlang sebagai role model dan sumber inspirasi serta motivasi kepada guru untuk bersaing meningkatkan lagi tahap pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Justeru, amat perlu amalan Guru Cemerlang Sains diteroka supaya amalan tersebut dapat dijadikan rujukan. Guru merupakan arkitek sosial yang memainkan peranan utama dalam melaksanakan proses pendidikan berkesan bagi melahirkan pelajar berkualiti. Sebagai agen perubahan tingkah laku pelajar, guru sememangnya harus memperbaiki proses PdP mereka sehingga mencapai tahap cemerlang. Walau bagaimanapun, tidak semua guru adalah pakar dan cemerlang serta mempunyai kesan besar terhadap pembelajaran pelajar yang mana aspek kritikal sumbangan guru adalah kualiti pengajaran seperti diterima pelajar (Hattie 2009). Oleh itu, kebimbangan awam terhadap kualiti pengajaran guru seperti dikemukakan dalam pernyataan Jemaah Nazir Sekolah seharusnya diberi perhatian serius kerana perkara ini secara tidak langsung memberi gambaran kepada peranan guru dalam pencapaian matlamat pendidikan negara (Nur Laili Lockman 2008). Pembangunan pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia ialah agenda utama KPM. Berdasarkan agenda penting ini, guru merupakan golongan terlibat secara langsung melaksanakan daya usaha dan pendekatan pengajaran untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan hasil-hasil pembelajaran maksimum diperoleh pelajar di sekolah. Oleh itu, guru perlu kreatif dan inovatif untuk memastikan sistem penyampaian menjadi efektif, menarik, menyeronokkan dan merangsang minat pelajar untuk belajar.Kurikulum Sains memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu pemerolehan pengetahuan, penguasaan Kemahiran Saintifik dan penerapan sikap Saintifik serta nilai murni. Kemahiran Saintifik merupakan asas penting dalam proses PdP berteraskan belajar melalui pengalaman yang mana tanpa pengetahuan dan kemahiran mantap dalam aspek Kemahiran Saintifik, pelajar tidak dapat melaksanakan aktiviti penyiasatan dengan berkesan (Mohd Najib Ghafar & Abdul Rauf Ibrahim 2011). Walau bagaimanapun, para pelajar lebih mengutamakan penguasaan pengetahuan serta konsep-konsep Sains dan kurang penekanan pembentukan ke atas aspek-aspek pembelajaran Sains yang lain seperti penguasaan Kemahiran Saintifik (Kamisah Osman et al. 2007). Satu pendekatan diperlukan bagi mengelak pengabaian terhadap aspek-aspek penting pembelajaran Sains dan yang utama sikap positif terhadap Sains perlu dibentuk. Bertepatan dengan hasrat kerajaan ingin menjadikan Guru Cemerlang sebagai medium perubahan meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia, maka kajian terhadap amalan Guru Cemerlang Sains dijalankan. Maklum balas diperoleh dapat diteladani dan dihayati oleh guru-guru lain untuk meningkatkan profesionalisme dan seterusnya mendukung anjakan keempat PPPM iaitu meningkatkan kualiti dan kecemerlangan para guru. Hasil kajian juga membantu para pendidik dan KPM merancang strategi PdP sesuai untuk mata pelajaran Sains dan keberkesanan pengajaran guru menjadi lebih efektif, menarik dan mencapai objektif diharapkan serta membantu mempertingkatkan mutu profesion perguruan.

1.3Pernyataan MasalahKajian terhadap amalan Guru Cemerlang Sains berkait rapat dengan kehendak dan aspirasi negara seperti dihasratkan dalam PPPM 2013-2025 iaitu menjadikan inovasi pendidikan sebagai penyumbang utama pembangunan modal sosioekonomi negara. Hasrat ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dukungan guru-guru berkualiti dan cemerlang. Sehubungan dengan itu, pada anjakan keempat PPPM, kualiti guru diberi penekanan dan ini bertepatan dengan hasrat semua yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan. Keperluan pada kajian ini juga selaras dengan keperluan guru-guru berkualiti dan cemerlang bagi meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat global. Pentaksiran pada peringkat antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) menunjukkan pencapaian pelajar kita dalam bidang Sains masih rendah berbanding pelajar di negara-negara maju (KPM 2012). Penerokaan terhadap amalan dipraktikkan oleh Guru Cemerlang Sains boleh dijadikan asas dalam menyediakan panduan untuk para guru Sains meningkat pengetahuan dan kualiti PdP Sains. Guru-Guru Cemerlang merupakan kumpulan guru yang mempunyai pengetahuan mendalam dan pengalaman luas dalam pengurusan PdP serta menjadi pemangkin meningkatkan prestasi akademik sekolah (KPM 2013). Walau bagaimanapun, adakah pengiktirafan terhadap Guru Cemerlang menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan? Atau adakah amalan Guru Cemerlang yang diiktiraf oleh KPM dapat menjadi panduan dan rujukan para guru bagi meningkatkan kualiti PdP mereka? Atau adakah amalan Guru Cemerlang hanya semata-mata kemahiran individu dan tidak dapat disebar-luaskan kepada guru-guru lain?PdP berkesan mengaplikasikan metodologi dan kepelbagaian kaedah untuk memberi pengalaman PdP bermakna dan meningkatkan motivasi pelajar (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Oleh itu, persekitaran pembelajaran menggalakkan para pelajar terlibat dalam pembelajaran harus ditekankan (Casas 2010). Guru Cemerlang Sains mempunyai kepakaran tinggi dan berupaya meningkatkan hasil pembelajaran pelajar (KPM 2007). Pemikiran terkini boleh diadaptasi dalam PdP bagi meningkatkan pembelajaran pelajar termasuk Bimbingan, Metakognitif dan konstruktivisme (Joyce et al. 2009). KPM berusaha melaksanakan PdP berpusat pelajar (Kamisah Osman et al. 2007; Nurzatulshima Kamarudin et al. 2009). Sekolah atau guru yang mengamalkan strategi berpusat pelajar akan meningkatkan pencapaian akademik pelajar serta penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran (Casas 2010; Nurzatulshima Kamarudin et al. 2009). Walau bagaimanapun, amalan PdP guru, pada keseluruhannya masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan kaedah tradisional (Effandi Zakaria & Abd Razak Habib 2006). Pengajaran Sains diamalkan oleh kebanyakan guru ialah kaedah chalk and talk, manakala kebanyakan pelajar pula lebih berminat kepada expository learning (Kamisah Osman et al. 2007; Liew-Kee Kor & Chap-Sam Lim 2009). Dari sudut pedagogi, amalan guru masih sama dengan dasar kurikulum lama (KLSM) yang menekankan kaedah hafalan dan aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian yang sewajarnya (Tengku Zawawi Tengku Zainal 2012). Kepercayaan (belief) guru amat penting dalam menentukan keberkesanan amalan guru dalam bilik darjah (Cruickshank et al. 2011). Guru mempunyai kepercayaan terhadap tugas, pelajar dan mata pelajaran diajar. Keputusan membuat pilihan berkenaan apa yang hendak diajar dan bagaimana hendak mengajar dipengaruhi oleh kepercayaan guru (Alvarado 2010). Literasi Sains merupakan salah satu objektif utama pembelajaran Sains (Shaharom Noordin & Nur Laili Lockman 2011; Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Kebanyakan kajian lepas melaporkan ramai pelajar kurang menguasai Kemahiran Saintifik (Fatin Aliah Phang & Nor Athirah Tahir 2011; Kamisah Osman et al. 2007; Kartini Abdul Mutalib et al. 2010; Mohd Najib Ghafar & Abdul Rauf Ibrahim 2011; Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Tahap penguasaan Kemahiran Saintifik pelajar di Malaysia kurang memuaskan disebabkan masalah-masalah seperti guru dan pelajar jarang mempraktikkan Kemahiran Saintifik serta corak pengajaran kurang menekankan kemahiran berfikir seperti yang dicadangkan dalam kurikulum Sains (Kamisah Osman et al. 2007). Mengikut Kamisah Osman et al., persepsi ditunjukkan oleh pelajar terhadap Sains adalah negatif atau rendah. Oleh itu, penerokaan terhadap amalan PdP Guru Cemerlang Sains amat dituntut yang mana kaedah, pendekatan dan strategi yang merupakan amalan Guru Cemerlang Sains dalam menghasilkan satu proses PdP berkesan boleh dijadikan panduan kepada guru-guru Sains lain. KPM telah mendokumentasikan Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang bagi merealisasikan hasrat untuk memperkasakan profesion keguruan. Mengikut Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang tersebut, Guru Cemerlang mempunyai ciri-ciri berikut dari segi peribadi, pengetahuan dan kemahiran, hasil kerja, komunikasi, potensi dan sumbangan kepada kemajuan pendidikan. Walaupun terma dan rujukan untuk Guru Cemerlang sudah dihasilkan, kajian ini cuba untuk meneroka dan melihat proses kecemerlangan Guru Cemerlang Sains? Bagaimana proses seorang guru mencapai kecemerlangan dalam PdP? Walaupun konsep Guru Cemerlang sudah diperkenalkan sejak tahun 1993 dan menjalani proses penambahbaikan, adalah perlu kajian berkenaan Guru Cemerlang ditingkatkan di Malaysia (Syamsul Azhan Mohd Raymi 2009). Amalan Guru Cemerlang Sains yang diakui dan diiktiraf oleh KPM, jika tidak diteroka dan disebar-luaskan akan membantutkan usaha dan aspirasi KPM untuk menjadikan Guru Cemerlang Sains sebagai penyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Justeru, amat wajarlah kajian terhadap amalan Guru Cemerlang Sains dijalankan bagi meneroka amalan sebenar yang di praktik oleh Guru Cemerlang Sains.

1.4 Kerangka Konsep KajianKerangka konsep kajian ini adalah hasil daripada kombinasi antara Model Heuristic 4P Pembelajaran (Price 2011) dan Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang (KPM 2007). Model dan terma rujukan yang dipilih telah digabungkan supaya dapat menjadi satu kerangka konsep yang bersifat khusus dan dapat menunjukkan hubungan antara faktor-faktor yang terlibat secara langsung menjadi asas kepada kecemerlangan Guru Cemerlang Sains (Rajah 1.0). Kerangka konsep yang dibina adalah merupakan kerangka kajian umum kerana kajian yang dijalankan merupakan satu kajian berbentuk kualitatif deskriptif.

INTERAKSI PERSEKITARANAMALAN PdP

GURU CEMERLANG SAINS

LITERASI SAINSKEPERCAYAAN GURU

Rajah 1.0: Kerangka Konsep KajianSumber : KPM (2007) dan Price (2011)

Kerangka konsep kajian ini di bina berdasarkan kajian literatur. Mengikut kerangka konsep ini kecemerlangan Guru Cemerlang Sains bergantung pada faktor seperti amalan PdP, kepercayaan guru dan literasi Sains. Kecemerlangan guru juga bergantung pada interaksi guru dan persekitaran (Price 2011). Teori Pengajaran Sim menyatakan bahawa konsep interaksi atau amalan PdP berkesan adalah proses saling bertindak antara guru dengan persekitarannya.

1. 4.1 Aplikasi Teori KajianKajian ini melihat faktor seperti amalan PdP, kepercayaan guru dan literasi Sains yang mana terlibat secara langsung menjadi asas kepada kecemerlangan Guru Cemerlang Sains. Teori Sosial Budaya Lev Vygotsky, Teori Pembelajaran Konstruktivisme, Teori Metakognisi, Teori bioecologikal Bronfenbrenner dan Teori Gaya Pembelajaran diadaptasi sebagai asas pembentukan kerangka konsep kajian ini.

1. 4.1.1 Amalan PdPGuru Cemerlang Sains mempunyai kepakaran tinggi dan berupaya meningkatkan hasil pembelajaran ke arah membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (KPM 2007). Ciri pengajaran berkesan dan cemerlang ialah keupayaan guru mengadaptasi metodologi dan kepelbagaian kaedah PdP serta strategi di dalam bilik darjah (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Amalan PdP berkualiti menjadi asas kepada kecemerlangan Guru Cemerlang Sains. Guru cemerlang mencurahkan pelbagai kemahiran, sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan yang diperlukan pelajar (Roehrig & Christesen 2010; Tobe 2009). Kerangka konsep kajian ini mengaplikasikan Teori Sosial Budaya yang diketengahkan oleh Lev Vygotsky. Mengikut Teori Sosial Budaya, perkembangan kognitif pelajar menjadi lebih baik melalui bimbingan guru dalam Zon Perkembangan Proksimal (ZPD). Strategi pengajaran melalui bimbingan memberi sokongan individu berdasarkan ZPD pelajar. Bantuan dan bimbingan guru sebagai orang yang berpengetahuan dan berpengalaman diperlukan bagi mendorong perkembangan kognitif pelajar. Bimbingan daripada guru memberi keupayaan pelajar untuk membina dan menyerap pengetahuan baru berdasarkan pengetahuan sedia ada.Dalam kurikulum Sains, proses PdP berteraskan pembelajaran menerusi pengalaman sendiri seseorang pelajar. Mengikut Teori Pembelajaran Konstruktivisme, pengetahuan dibina secara aktif oleh pelajar yang berfikir dan tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Pelajar akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam minda dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan guru (Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar 2005; Nizarwati Yusuf et al. 2009). Guru Cemerlang Sains hanya bertindak sebagai fasilitator membimbing proses PdP.Metakognisi juga merupakan salah satu kaedah yang boleh diadaptasi dalam PdP Sains. Metakognisi berkaitan dengan konstruktivisme iaitu pelajar cemerlang mengetahui cara belajar, mengembangkannya dan memantau kemajuan pembelajaran (Joyce et al. 2009). Dengan kata lain, pelajar mengawal strategi-strategi belajar dan tidak pasif. Dalam PdP Sains, Guru Cemerlang Sains bukan sahaja menerapkan kemahiran berfikir secara Saintifik bahkan memberi penekanan bagaimana menggunakan proses tertentu untuk belajar.

1. 4.1.2 Kepercayaan GuruSetiap guru mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap tugas sebagai seorang guru. Kepercayaan terhadap tugas, pelajar dan mata pelajaran diajar amat penting sebagai motivasi kepada seorang guru yang mana keputusan membuat pilihan tentang amalan PdP dipengaruhi oleh kepercayaan guru (Alvarado 2010). Perkaitan antara kepercayaan (belief) guru dan amalan bilik darjah amat penting dalam menentukan keberkesanan guru (Cruickshank et al. 2011; Tolbert 2006). Kerangka konsep kajian ini berpandu kepada Teori bioecologikal oleh Bronfenbrenner yang mana perubahan pendidikan paling penting tidak wujud pada tahap bahan pengajaran tetapi di peringkat kepercayaan guru sendiri (Tolbert 2006). Walaupun bahan-bahan, sumber dan program-program bermutu, nilai mereka dalam jangka masa panjang ditentukan oleh tafsiran guru dan penggunaan oleh guru. Selaras dengan Teori bioecologikal Bronfenbrenner, untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan seseorang guru, kajian yang dijalankan harus meneroka kepercayaan guru dan amalan bilik darjah. Seperti dinyatakan dalam Teori bioecologikal Bronfenbrenner, bilik darjah adalah sebuah persekitaran kompleks untuk guru-guru dan pelajar meneroka, berbincang, dan menyatakan pengetahuan masing-masing, kepercayaan dan tafsiran terhadap persekitaran melalui interaksi berterusan. Dengan meneroka pandangan guru-guru terhadap PdP iaitu menerusi penekanan terhadap kepercayaan guru dan tindakan dalam bilik darjah, kerangka konsep ini akan menghasilkan satu pandangan tentang pengalaman, persekitaran dan faktor-faktor yang menggalakkan pengajaran berkesan dan cemerlang.

1. 4.1.3 Literasi SainsKeupayaan seseorang guru dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar adalah pelbagai (Tobe 2009). Guru Cemerlang Sains ialah guru-guru yang memiliki kemahiran yang tinggi, berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik (KPM 2007). Mengikut KPM, Guru Cemerlang Sains juga berupaya menjana idea baru dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing dan berkongsi idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.Matlamat pendidikan Sains di Malaysia menekankan ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan Sains dalam setiap dimensi kehidupan (Kamisah Osman et al. 2007). Mengikut Kamisah Osman et al., seorang yang berliterasi Sains menyedari limitasi serta batas pengetahuan Sains dalam konteks isu yang dibincangkan serta diperdebatkan. Bagi mencapai tahap literasi Sains, seseorang itu bukan sahaja perlu mempunyai sikap positif terhadap Sains agar dapat menguasai pengetahuan Sains dengan baik, bahkan perlu memahirkan diri dengan kemahiran Saintifik dan membudayakan diri dengan nilai-nilai Sains dalam setiap dimensi kehidupan. Guru perlu menguasai konsep-konsep Sains yang tepat bagi memperbaiki miskonsepsi yang wujud dalam diri mereka bagi memudahkan proses PdP mereka. Oleh itu penguasaan literasi Sains penting bagi guru-guru bagi mengelakkan salah faham terhadap konsep-konsep Sains.Pembelajaran Sains sering dikaitkan dengan sikap terhadap Sains yang mana saling berhubungan dan mempengaruhi perbuatan individu (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Individu menerima atau menolak ataupun bersikap positif mahupun negatif terhadap pendidikan Sains (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Pemilihan reka bentuk pengajaran yang dilalui oleh pelajar boleh membawa perubahan sikap pelajar terhadap Sains jika sekiranya kaedah pembelajaran yang digunakan serasi dengan cara pelajar belajar. Penilaian hasil belajar Sains dianggap lengkap jika mencakup aspek kognitif, afektif, dan psikomotor (Herson Anwar 2009). Sikap Saintifik guru adalah merupakan sikap yang ditonjolkan oleh guru-guru Sains sama ada positif atau negatif terhadap pengajarannya di dalam dan di luar kelas (Kamisah Osman et al. 2007). Oleh kerana sikap ini sudah semestinya akan diperhatikan oleh pelajar, maka tingkah laku ini juga mungkin akan mempengaruhi sikap pelajar terhadap mata pelajaran Sains. Justeru sikap Saintifik guru adalah penting bagi mendorong sikap pelajar ke arah yang positif dalam Sains.Proses Sains adalah bagaimana Saintis bekerja, berfikir dan mengkaji masalah (Friedl & Koobtz 2005). Aspek penaakulan Saintifik dalam bentuk kemahiran proses Sains asas dan bersepadu serta pemikiran saintifik telah diperkenalkan di sekolah-sekolah kebangsaan mulai tahun 1997 (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Guru berperanan penting bagi memastikan KPS dan Kemahiran Manipulatif dapat dicapai melalui pembelajaran eksperimen yang dijalankan (Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Mereka perlu bertindak sebagai pengurus yang cekap dan efisien agar semua pelajar dalam kelasnya memperoleh kemahiran yang digariskan.Pembelajaran Sains amat dipengaruhi oleh penguasaan KPS pelajar (Fatin Aliah Phang & Nor Athirah Tahir 2011). Penguasaan KPS akan terbantut sekiranya guru tidak menguasai KPS. Kualiti guru Sains akan menjejaskan kualiti pelajar yang dihasilkan. Sehubungan itu, guru perlulah menguasai KPS agar kemahiran yang penting ini dapat diterapkan kepada pelajar.

1.5 Objektif KajianBerdasarkan kerangka kajian Guru Cemerlang Sains, kajian ini ingin mencapai objektif berikut: i. Meneroka amalan PdP Guru Cemerlang Sains.ii. Meneroka kepercayaan dan falsafah pengajaran Guru Cemerlang Sains.iii. Meneroka literasi Sains Guru Cemerlang Sains.iv. Membina model Guru Cemerlang Sains.

1.6 Soalan KajianBagi menyelidik objektif-objektif yang telah dirancang, maka soalan kajian berikut dibentuk:i. Apakah amalan PdP Guru Cemerlang Sains?.ii. Apakah kepercayaan dan falsafah pengajaran Guru Cemerlang Sains?.iii. Bagaimana literasi Sains diaplikasikan dalam proses PdP Guru Cemerlang Sains?.iv. Apakah model Guru Cemerlang Sains?.

1.7 Batasan KajianPemilihan Guru Cemerlang Sains sebagai peserta kajian kes ini berdasarkan kriteria ditetapkan dan melalui beberapa peringkat penapisan supaya kajian ini benar-benar mencapai matlamat dan batasan (Merriam 2009). Batasan ini memberi peluang kepada pengkaji untuk fokus terhadap Guru Cemerlang Sains yang betul-betul kaya dengan maklumat dan data yang tepu (Treese 2012). Peringkat pertama pengkaji mengambil senarai Guru Cemerlang Sains sebagaimana yang disenaraikan oleh JPN Sarawak (2013). Daripada senarai ini, pengkaji hanya membataskan Guru Cemerlang Sains yang menyandang Gred DG52 sehingga Gred JUSA C di Sarawak. Guru Cemerlang Sains yang menyandang Gred DG52 sehingga Gred JUSA C dipilih kerana dikatakan mempunyai kepakaran dan kecemerlangan yang tinggi dalam pengurusan PdP. Oleh yang demikian, hal ini dapat memastikan bahawa peserta-peserta kajian yang terpilih mempunyai maklumat yang kaya berkaitan isu-isu yang hendak dikaji.Kemudian, pengkaji mengeluarkan senarai Guru Cemerlang Sains yang bertugas sebagai pengetua dan pegawai di jabatan pendidikan dan institut pengajian memandangkan perbezaan profesion antara pengajaran dan pentadbiran bagi Guru Cemerlang Sains yang berkhidmat di jabatan pendidikan dan institut pengajian dengan Guru Cemerlang Sains yang mengajar di sekolah. Seterusnya, pengkaji hanya memilih Guru Cemerlang Sains yang diberi kebenaran oleh pihak sekolah untuk terlibat sebagai peserta kajian serta memberi persetujuan secara peribadi untuk dijadikan bahan dalam kajian ini. Selain batasan terhadap peserta kajian, pengkaji juga membuat batasan terhadap fokus kajian. Pengkaji hanya memfokuskan kajian terhadap ciri kecemerlangan Guru Cemerlang Sains serta faktor luaran yang menyokong Guru Cemerlang Sains untuk menjadi cemerlang. Apa yang paling penting batasan terhadap semua ciri ini ialah pengkaji hanya menerima data terhadap ciri-ciri yang boleh dicerap melalui pengakuan Guru Cemerlang Sains serta apa yang boleh di lihat oleh pengetua atau penolong kanan, rakan guru dan pelajar di dalam bilik darjah dan kawasan sekolah.

1.8 Rasional KajianRasional kajian ini dilaksanakan adalah untuk menjawab beberapa persoalan melalui tinjauan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan Guru Cemerlang Sains. Antara rasional kajian ini dilaksanakan adalah:i. Guru Cemerlang Sains dilaporkan ada menyimpan bahan-bahan pengkhususan bidang pengajaran, aktiviti, perancangan dan rekod-rekod kajian dan artifak ini merupakan khazanah yang bermakna yang perlu dikongsi untuk manfaat semua pihak. Oleh itu, eksplorasi terhadap Guru Cemerlang Sains diharap akan dapat mengumpul segala maklumat dan artifak-artifak bernilai yang ada pada setiap Guru Cemerlang Sains.ii. Guru Cemerlang Sains diakui oleh Jemaah Nazir Sekolah sebagai kumpulan guru Sains yang mempunyai pengetahuan mendalam dan pengalaman luas dalam pengurusan PdP Sains. Guru Cemerlang Sains dikatakan mempunyai keunikan tersendiri dan melaksanakan inovasi dalam PdP bagi meningkatkan pembelajaran pelajar. Oleh itu maklum balas diperoleh dalam kajian ini dapat diteladani dan dihayati oleh guru-guru Sains lain untuk meningkatkan profesionalisme mereka.iii. Kepakaran dan kecemerlangan dari segi prestasi pengajaran yang ditunjukkan oleh guru-Guru Cemerlang di sekolah-sekolah yang mereka bertugas adalah berbeza. Guru Cemerlang menggunakan pelbagai kreativiti dalam membentuk sahsiah pelajar yang cemerlang (Khadijah Alavi et al. 2012). Mengikut Khadijah Alavi et al. lagi, Guru Cemerlang perlu ada kualiti dan keperibadian tersendiri dalam membentuk sahsiah pelajar. Kajian ini akan mengesan sejauh manakah faktor-faktor latar belakang guru, persekitaran dan pemikiran menyumbang kepada prestasi pengajaran guru cemerlang.

1.9 Kepentingan KajianKajian ini merupakan satu sumbangan baru kepada penyelidikan tentang amalan Guru Cemerlang Sains. Ini adalah kerana kajian ini memberi fokus dan dijalankan secara mendalam tentang amalan-amalan berkesan para Guru Cemerlang Sains di sekolah-sekolah. Dapatan kajian ini boleh memberi gambaran sebenar tentang amalan Guru Cemerlang Sains yang mendapat pengiktirafan daripada pihak KPM. Hasil kajian ini dapat membantu para pendidik untuk merancang strategi PdP sesuai dan berkesan untuk mata pelajaran Sains. Diharapkan dengan adanya kajian ini, keberkesanan pengajaran guru Sains akan menjadi lebih efektif, menarik dan mencapai objektif seperti yang diharapkan.Bagi pihak KPM pula khususnya Pusat Perkembangan Kurikulum, pelbagai latihan dan modul boleh dirancang untuk membantu guru-guru Sains memperoleh pengetahuan tentang PdP yang lebih mantap dan berkesan secocok dengan pandangan ahli Sains bagi meningkatkan lagi penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sains. Di samping itu, melalui hasil kajian ini, diharapkan pihak sekolah dan KPM dapat mencari jalan terbaik bagi melahirkan guru yang sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas mereka sebagai seorang pendidik dengan penuh tanggungjawab dan komited. Hasil dari rumusan, perbincangan dan cadangan yang dikemukakan diharap dapat membantu dalam mempertingkatkan mutu profesion perguruan dan mutu pengajaran guru Sains.Melalui kajian ini juga, diharapkan para ibu bapa dan masyarakat dapat memahami bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru bukanlah ringan. Betapa sukarnya untuk mendidik anak bangsa dengan berkesan. Dengan itu Diharapkan para ibu bapa khususnya dan masyarakat amnya dapat memberikan kerjasama dalam membantu para guru menjalankan tanggungjawab mereka. Diharapkan juga, hasil dari kajian ini nanti akan dapat memberi laluan kepada bakal guru Sains menyiapkan diri mereka berdasarkan amalan berkesan Guru Cemerlang Sains agar mereka nanti menjadi guru yang disayangi dan dihormati oleh pelajar dan dapat melaksanakan pengajaran dengan berkesan juga. Tambahan pula dalam senario pendidikan sekarang, tugas guru dikatakan semakin mencabar dan ada yang berpendapat martabat seseorang guru telah diperlekehkan oleh segolongan pihak, jadi dirasakan menjadi tanggungjawab penyelidik untuk mencari yang mana pincangnya paksi hingga tersasar segala rentak dan bersama-samalah kita meningkatkan kembali martabat keguruan.Hasil kajian yang diperoleh oleh pengkaji akan memberikan kebaikan kepada pengkaji lain bagi mengkaji dengan lebih jelas lagi mengenai kajian yang telah dibuat. Selain itu, pengkaji lain boleh menggunakan hasil kajian tersebut sebagai sokongan pada kajian mereka.

1.10 Definisi IstilahPelbagai konsep dan istilah yang digunakan dalam kajian ini. Oleh itu, penerangan istilah berkaitan dinyatakan di bawah untuk menjelaskan pemakaiannya dalam konteks kajian ini.

1. 10.1 Guru CemerlangGuru Cemerlang ialah guru yang dapat melaksanakan pembelajaran pelajar yang mana perkembangan pelajar sepanjang tahunan diuji dan dinilai dengan menggunakan ujian standard (Arends 2012). Guru Cemerlang menunjukkan keupayaan dalam pencapaian hasil pembelajaran (Cooper 2006). Guru Cemerlang juga mempunyai pengetahuan tentang teori pembelajaran dan tingkah laku manusia serta mata pelajaran yang diajar, yang mana berkebolehan untuk mengendali dan mempersembahkan kandungan pelajaran mengikut pemahaman terhadap pelajar, mempunyai catatan atau rekod tentang strategi pengajaran yang digunakan untuk membantu pelajar menguasai pelbagai matlamat dan objektif pelajaran (Eggen & Kauchak 2012). Jemaah Nazir Sekolah menyatakan Guru Cemerlang sebagai kumpulan guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dan pengalaman yang luas dalam pengurusan PdP, mempunyai ciri-ciri keperibadian dan sahsiah yang cemerlang, menjadi rol model kepada pelajar dan guru-guru yang lain (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011b; KPM 2007). Khadijah Alavi (2012) pula mengatakan Guru Cemerlang sebagai kumpulan guru yang berupaya meningkatkan kualiti hasil pembelajaran, kemahiran komunikasi yang baik, mampu menyampaikan mesej dengan tepat dan jitu, sentiasa meningkatkan potensi diri melalui penyelidikan dan penulisan ilmiah bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, seseorang yang serba boleh dan boleh membawa diri yang mana semua orang boleh terima, misalnya dalam bilik darjah menjadi sanjungan pelajar; sentiasa bersedia membantu rakan setugas, di sekolah menjadi pentadbir dan bersama masyarakat menjadi tempat rujukan. Guru Cemerlang Sains dalam kajian ini adalah merujuk kepada kumpulan guru pakar Sains yang mempunyai PdP cemerlang, penguasaan ilmu tinggi, mempunyai ciri-ciri keperibadian dan sahsiah yang cemerlang, berkemahiran, berkecekapan dan bermotivasi tinggi dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang guru, menjadi rol model kepada pelajar dan guru-guru, sentiasa bersedia membantu dan menjadi tempat rujukan.

1.10.2PdP Mana-mana definisi pengajaran adalah berkaitan dengan kesan terhadap perubahan kelakuan pelajar (Vargas 2009). Mengikut Vargas pengajaran merupakan satu kontingensi secara langsung atau tidak, mengubah tingkah laku pelajar terhadap persekitaran ataupun satu usaha membantu individu mendapatkan pengetahuan melalui reka bentuk aktiviti dan maklum balas. Khadijah Alavi (2012) pula menyatakan bahawa pengajaran merupakan proses mengajarkan ilmu pengetahuan, teknologi dan keterampilan meningkat kecerdasan dan pengendalian emosinya sehingga seseorang mampu berjuang di dalam kehidupan pelajar. Pengajaran adalah satu sistem tindakan yang bertujuan untuk menggerakkan pembelajaran (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Mengikut Aziz Nordin, proses pengajaran melibatkan penyusunan dan manipulasi pengajaran sesuatu keadaan di mana terdapat rintangan atau halangan yang perlu diatasi oleh individu. Jadi, tujuan pengajaran adalah memberikan pengetahuan dan kemahiran, di samping membentuk dan mengembangkan nilai yang diperlukan oleh individu bagi melakukan tugas pembelajaran. Dalam usaha menyampaikan pengajaran, pendidik sama ada dengan secara langsung atau tidak langsung melatih pelajar mendapatkan maklumat, idea, kemahiran, nilai dan cara berfikir (Rohaila Yusof et al. 2005). Pengajaran adalah merujuk kepada amalan guru dalam bilik darjah yang bermula daripada guru mula memasuki bilik darjah, membina `rapport, memberi penerangan, arahan, tugasan, membuat penilaian dan penutup yang mana fokus pengajaran adalah ke arah pembinaan Model Insan Menyeluruh (Abd. Shatar Che Abd. Rahman 2007). Mengikut Khadijah Alavi (2012), kriteria yang diterima untuk menentukan pengajaran yang baik adalah jumlah pembelajaran pelajar yang berlaku. Ia adalah kesenian pengajaran yang menjadikan pembelajaran guru daripada novis menjadi guru berpengalaman dan cemerlang yang mana dilaksanakan dengan wawasan, tindakan dan kebijaksanaan profesional (Fraser 2012)Manakala pembelajaran boleh diertikan sebagai proses memperoleh ilmu pengetahuan atau ilmu pengetahuan (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Mengikut Aziz Nordin & Lin Hui Ling, pembelajaran, melalui stimuli-tindak balas, menghasilkan perubahan tingkah laku seseorang yang berkenaan. Pembelajaran juga merangkumi proses kognitif yang mementingkan pengalaman sedia ada, kefahaman, motif dan inisiatif belajar. Pembelajaran merupakan suatu perubahan tingkah laku manusia kesan interaksi dengan persekitaran yang mana perubahan tingkah laku agak kekal dan stabil (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011; Vargas 2009). Pembelajaran juga disifatkan sebagai satu proses adaptasi organisasi iaitu pembelajaran melalui tindak balas terhadap rangsangan luar menghasilkan adaptasi organisasi terhadap persekitarannya (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Mengikut Rohaila Yusof (2005), pembelajaran adalah satu proses yang kompleks yang melibatkan dua pihak iaitu pelajar dan juga persekitaran belajar, yang mana pada pihak pelajar perlu ada kesanggupan, motivasi dan keupayaan untuk belajar dalam keadaan persekitaran sosial dan akademik yang sesuai serta instruksi yang berkesan kepada pelajar. Proses PdP adalah satu proses yang melibatkan interaksi guru dengan pelajar (Azizi Yahaya et al. 2010). Mengikut Azizi Yahaya et al., keberkesanan pengajaran guru bergantung kepada bagaimana guru dapat menyesuaikan diri dan memahami masalah pembelajaran pelajar dan aspek-aspek yang mempengaruhi mutu pengajaran guru ialah pengetahuan dan ilmu yang dimiliki oleh guru, kaedah yang digunakan oleh guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan personaliti guru. Aspek-aspek ini mestilah dikenal pasti dan difahami. Mengikut Khadijah Alavi (2012), PdP memainkan peranan yang penting dan guru-guru perlu memastikan pelajar-pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi dari segi sahsiah dalam membentuk pembangunan modal insan. PdP dalam kajian ini adalah merujuk kepada aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran Sains yang meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran Sains kepada pelajar-pelajar dengan cara yang berkesan, iaitu menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar berlandaskan teori PdP dengan tujuan membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan para pelajar.

1.10.3Mata Pelajaran Sains Segala benda dalam alam sekitar berkaitan dengan Sains. Sains adalah kajian terhadapfenomena alam semula jadi dan harus dipelajari dengan berinteraksi secara langsung dengan alam semula jadi itu sendiri (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Sains merupakan pembelajaran sistematik tentang hubungan di antara fenomena dan formulasi tentang hubungan peraturan Saintifik yang menerang bila dan mengapa sesuatu perkara berlaku (Vargas 2009). Sains merupakan ilmu pengetahuan yang berasaskan cerapan, kajian eksperimen, uji kaji dan ia menganalisis sesuatu fenomena secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah khusus bagi mewujudkan pengetahuan baru yang boleh dipercayai (Johari Surif et al. 2007). Mata pelajaran Sains adalah terdiri daripada Sains, fizik, kimia, biologi dan merupakan mata pelajaran yang diajar oleh guru Sains (Nor Hasniza Ibrahim et al. 2006). Pembelajaran Sains seharusnya dilaksanakan bersesuaian dengan teori pembelajaran yang menjadi asas dalam pembelajaran Sains (Tambi Subahan Mohd Meerah & Lilia Halim 2012).Melalui pendidikan Sains, pelajar dapat diolah agar mereka mampu mengetahui kepentingan Sains dan kecenderungan yang lebih mendalam dalam bidang Sains, sentiasa berpersepsi positif, bertanggungjawab, bijaksana serta celik Sains (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Oleh itu, Sains perlu dikuasai oleh para pelajar agar mereka dapat menangani perubahan yang berlaku dalam kehidupan yang semakin berteraskan kepada Sains dan teknologi demi meningkatkan mutu kehidupan manusia sejagat. Dalam kajian ini, mata pelajaran Sains adalah terdiri daripada Sains, fizik, kimia, biologi dan merupakan mata pelajaran yang diajar oleh Guru Cemerlang Sains.

1.10.4Kemahiran dan Sikap Saintifik Kemahiran Saintifik adalah kemahiran yang dimiliki oleh Saintis semasa bekerja, berfikir dan mengkaji masalah (Friedl & Koobtz 2005). Saintis tidak menggunakan kaedah yang berupa step-by-step untuk menjalankan eksperimen mereka tetapi menggunakan beberapa cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam kajian saintifik. Kompilasi semua cara atau kemahiran yang berbeza ini untuk menyelesaikan sesuatu masalah secara saintifik dikenali sebagai KPS yang sering dikaitkan dengan inkuiri Sains (Fatin Aliah Phang & Nor Athirah Tahir 2011). Mengikut Fatin Aliah Phang & Nor Athirah Tahir, pelbagai kemahiran dikenal pasti sebagai KPS dan bagi pendidikan yang berbeza, mereka mempunyai set KPS yang berlainan. Sikap merupakan tingkah laku yang bersifat umum dan mempengaruhi pembelajaran pelajar (Herson Anwar 2009). Sikap adalah penting bagi menentukan keberkesanan dan kejayaan seseorang pelajar mempelajari Sains (Aziz Nordin & Lin Hui Ling 2011). Pelajar yang bersikap negatif terhadap Sains, misalnya tidak berminat atau takut mungkin akan menyebabkan mereka gagal dalam Sains. Sikap merujuk kepada perbuatan atau pandangan yang berdasarkan pada sesuatu pendapat atau fikiran terhadap orang lain, objek, perkara, peristiwa, dan sebagainya.Sikap Saintifik merupakan prasyarat diperlukan serta tingkah laku menjadi amalan seseorang ahli Sains (Kamisah Osman et al. 2007). Sikap ini dibina oleh kecenderungan, penyesuaian, penghargaan dan nilai-nilai dijangkakan serta ditonjolkan oleh ahli-ahli Sains dalam melaksanakan tugas mereka. Dalam konteks PdP Sains, Sikap Saintifik akan menyokong pembelajaran Sains dan seterusnya pelaksanaan aktiviti Sains. Sebagai contoh, sifat ingin tahu (inquisitive) akan mendorong pelajar menerokai pengalaman baru seterusnya membawa PdP berlaku secara eksplorasi. Sikap positif terhadap pembelajaran Sains akan memberikan sumbangan tinggi dalam pembentukan sikap ilmiah individu (Herson Anwar 2009).

1.11KesimpulanHuraian tentang latar belakang kajian ini telah mencetuskan beberapa persoalan kajian. Untuk menjawab soalan-soalan yang dibina pula memerlukan kerangka konseptual bagi mendasari kajian ini. Untuk membina landasan yang betul, tinjauan literatur perlu dijalankan bagi mewujudkan keselarasan antara kajian ini dan kajian lampau. Oleh itu, dalam Bab 2 akan menghuraikan tentang faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan PdP serta amalan-amalan yang dipraktikkan oleh Guru Cemerlang Sains. Tinjauan literatur juga turut menyorot hasil kajian lampau dari luar dan dalam negara yang relevan dengan kajian ini.

BAB 2

KAJIAN KEPUSTAKAAN

2.1 PengenalanBab ini mengandungi kajian-kajian, model-model dan teori-teori yang berkaitan dengan Guru Cemerlang Sains serta literatur tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan Guru Cemerlang Sains. Kajian-kajian berkaitan dari dalam dan luar negara dibincangkan bagi memahami kajian tentang Guru Cemerlang Sains. Model-model dan teori-teori yang berkaitan dengan Guru Cemerlang Sains juga dihuraikan antaranya seperti Model Heuristic 4P Pembelajaran, Teori Sosial Budaya Lev Vygotsky, Teori Pembelajaran Konstruktivisme dan Teori Kognitif. Literatur tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan Guru Cemerlang juga disentuh bagi memahami kajian tentang Guru Cemerlang Sains dengan lebih mendalam. Antara faktor-faktor yang dibincangkan ialah seperti amalan PdP, kepercayaan guru dan literasi Sains.

2.2 Guru Cemerlang di SarawakPdP yang dijalankan oleh guru cemerlang adalah jauh berbeza daripada guru kurang cemerlang (Roehrig & Christesen 2010). Mengikut Roehrig & Christesen 2010, Guru cemerlang mengajar pelbagai kemahiran, menyediakan arahan kandungan pelajaran, menyesuaikan kecekapan pelajar dengan tuntutan tugasan, memantau usaha pelajar, memberi bimbingan seperti yang diperlukan, menggalakkan pelajar untuk mengamalkan kawal-selia kendiri, dan membuat pelbagai integrasi disiplin. Guru cemerlang juga memotivasikan pelajar dengan mewujudkan keselesaan, merangsang, bekerjasama, atmosfera berfokus usaha. Mereka mencabar dan melibatkan pelajar-pelajar mereka dengan menggabungkan minat, tugas-tugas sahih serta menunjukkan cara penyelesaian strategik masalah dan memberi bimbingan. Guru-guru ini mengekalkan harapan yang sangat tinggi untuk pembelajaran pelajar mereka dan memantau pemahaman pelajar. Guru-guru cemerlang memenuhi bilik darjah mereka dengan amalan motivasi. Akhir sekali, guru-guru cemerlang merupakan pengurus bilik darjah yang cemerlang. Terdapat 475 orang guru cemerlang berkhidmat di Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah di Sarawak (JPN Sarawak, 2013). Daripada jumlah tersebut kira-kira 66 orang Guru Cemerlang Bahasa Melayu, 53 orang Guru Cemerlang Bahasa Inggeris, 95 orang Guru Cemerlang Matematik, 50 orang Guru Cemerlang Sains, 14 orang Guru Cemerlang Fizik, 20 orang Guru Cemerlang Kimia, 13 orang Guru Cemerlang Biologi dan 164 orang Guru Cemerlang bagi mata pelajaran lain-lain (Jadual 2.0).

Jadual 2.0 Guru Cemerlang Di Sarawak

Mata Pelajaran Kepakaran DG 29-38DG 44DG 48DG 52DG 54Jumlah

Bahasa Melayu66

Bahasa Inggeris143232253

Matematik464150395

Sains202910050

Fizik01031014

Kimia0945220

Biologi01120013

Lain-lain37118531164

Jumlah136292251210475

Sumber: JPN Sarawak (2013)

Hanya seorang direkodkan sebagai penyandang Guru Cemerlang Fizik dari Gred 52 hingga Gred Jusa C. Manakala, bagi mata pelajaran Kimia, terdapat 7 orang penyandang Guru Cemerlang dari Gred 52 hingga Gred Jusa C. Tiada direkodkan bagi penyandang Guru Cemerlang Biologi untuk Gred 52 hingga Gred Jusa C.

2.3Kajian Berkaitan Guru Cemerlang Kebelakangan ini memperlihatkan peningkatan dalam penyelidikan yang menyiasat ciri-ciri bagi meramalkan keberkesanan guru khususnya, bagaimana mereka berjaya dalam menyediakan kemahiran berkualiti tinggi yang menggalakkan pembelajaran pelajar (Kunter et al. 2013). Fokus perbincangan adalah terhadap ciri-ciri seperti kebolehan kognitif umum atau faktor-faktor personaliti (contohnya, Kunter et al. 2013; Yeh 2009). Kajian lepas mengkaji apa yang membuatkan seorang guru menjadi cemerlang dan terdapat kajian membandingkan guru berpengalaman dengan guru novis yang mana mendapati guru berpengalaman mempunyai catatan skrip lebih baik berbanding guru novis yang mempunyai urutan aktiviti atau maklum balas standard terhadap pelajar (Sawyer 2011). Mengikut Sawyer, guru berpengalaman melakukan dua perkara iaitu mempraktikkan banyak struktur, kemudian meningkat dan menjadi semakin mahir.Tugas utama seorang guru ialah memastikan pelajar belajar dan adakah pengajaran tersebut berkesan adalah terpulang kepada penilaian profesional guru dan pihak sekolah (Green & Leask 2009). Tanggungjawab guru sebagai pengajar dan pengurus perlu dilaksanakan agar pelajar memperoleh pembelajaran yang bermakna. Guru yang menunaikan kedua-dua peranan utama guru ini merupakan guru yang memenuhi ciri-ciri Guru Cemerlang (Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Guru cemerlang menguasai banyak pengetahuan dan kemahiran serta memahami sepenuhnya apa yang menjadikan mereka seorang guru cemerlang (Sawyer 2011). Peningkatan kualiti guru adalah penting untuk meningkatkan pencapaian pendidikan (Kunter et al. 2013). Kualiti guru serta pencapaian pelajar adalah konsep multi-dimensi dan amat sukar untuk mengukur kualiti guru dan pencapaian pelajar (Yeh 2009). Mengikut Yeh 2009, pencapaian pelajar boleh diperbaiki jika guru berprestasi tinggi. Keupayaan guru dinilai dari segi pencapaian pelajar. Oleh itu, guru-guru cemerlang iaitu guru berkeupayaan tinggi dinilai dari segi prestasi mereka, bukan ciri-ciri seperti pencapaian pendidikan atau pengalaman sebagai seorang guru. Guru-guru yang cemerlang menunjukkan ciri-ciri kognitif yang stabil (Yeh 2009). Dalam erti kata lain, keupayaan kognitif penting untuk menentukan kualiti guru kerana pengajaran sangat mencabar, kompleks, dan sememangnya merupakan tugas tidak menentu yang memerlukan fleksibiliti kognitif dan kapasiti tinggi yang mana cepat menyelesaikan sebarang masalah (Feldon 2007).Faktor guru adalah aspek penting untuk menghasilkan kecemerlangan dan keberkesanan guru yang mana ciri keperibadian guru merupakan salah satu perkara asas ciri kecemerlangan Guru Cemerlang di sekolah (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2009). Mengikut Kamarul Azmi Jasmi et al., pelajar akan lebih mudah terkesan terhadap ilmu yang disampaikan oleh guru yang menyayangi mereka serta memberi tunjuk ajar dengan penuh hikmah dan kesabaran. Adab, akhlak dan keperibadian yang boleh dilihat di dalam bilik darjah boleh dikategorikan kepada penampilan dan keperibadian Guru Cemerlang terhadap para pelajarnya yang mana penampilan merupakan ciri pertama yang perlu bagi seorang Guru Cemerlang ketika di dalam bilik darjah. Guru cemerlang mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu mata pelajaran, pelajar dan proses pembelajaran (Fraser 2012). Pengetahuan ini bukanlah pengetahuan biasa, sebaliknya, ia adalah pengetahuan khusus dalam kalangan profesional (Kunter et al. 2013). Mengikut Kunter et al. pengetahuan ini adalah formal di persekitaran pembelajaran profesional khusus dalam wacana dengan pakar-pakar. Model Persamaan Struktur (Kunter et al. 2013) mendedahkan kesan positif daripada pengetahuan pedagogi kandungan guru kepada kualiti pengajaran yang mana dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Penyelidikan membezakan antara pengetahuan kandungan mata pelajaran khusus, PPK dan pengetahuan pedagogi psikologi guru. Pengetahuan kandungan dikonsepkan sebagai kefahaman yang mendalam akan kandungan yang diajar (Baumert et al. 2010). Manakala, PPK ialah ilmu yang diperlukan untuk membuat kandungan ini boleh diakses kepada pelajar-pelajar (Krauss et al. 2008). Pengetahuan pedagogi psikologi pula ditakrifkan sebagai generik, pengetahuan merentas kurikulum yang diperlukan untuk membina dan mengoptimumkan situasi PdP (Voss et al. 2011)Aspek kritikal keupayaan guru dalam mempersembahkan pengajaran efektif dan cemerlang ialah kemahiran mengadaptasi metodologi dan kaedah PdP di dalam bilik darjah (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Mengikut Kamarul Azmi Jasmi et al. lagi, kepelbagaian dalam kaedah pengajaran bertujuan untuk memberi pengalaman PdP yang bermakna kepada para pelajar malah meningkatkan motivasi mereka untuk belajar yang mana kepelbagaian metodologi dan kaedah yang sesuai dengan situasi dan keupayaan pelajar merupakan seni pengajaran Guru Cemerlang yang berpengalaman.

2.4 Model Heuristic 4P Pembelajaran Price (2011) memperkenalkan Model Heuristik Pembelajaran Pelajar untuk memahami skop faktor-faktor dalam meramal pembelajaran pelajar. Model ini dibina dengan mengutarakan faktor-faktor penting dalam usaha meningkatkan pembelajaran pelajar dan berpendapat bahawa isu-isu sama digunakan untuk meramalkan hasil pembelajaran pelajar. Model ini dikemukakan sebagai asas untuk penyelidikan lanjutan secara holistik dalam meramalkan pembelajaran pelajar.Model ini mempunyai empat kumpulan utama pemboleh ubah iaitu Tanda, Persepsi, Proses dan Produk. Pemboleh ubah Tanda terdiri daripada faktor personologikal dan situasi seperti konteks. Pelajar dan guru mempunyai ciri-ciri mereka sendiri dan ini boleh mempengaruhi konsep pembelajaran dan konsep pengajaran, masing-masing. Konteks sosial adalah ciri-ciri peribadi pelajar manakala konteks profesional adalah khusus kepada ciri-ciri guru (walaupun mereka juga mempunyai konteks sosial yang berpengaruh). Konteks institusi pula dianggap dalam domain institusi. Pemboleh ubah Persepsi termasuk bagaimana pelajar memahami pembelajaran, bagaimana guru-guru memahami pengajaran dan konteks. Persepsi adalah anggapan atau pandangan para pelajar dan guru dan tidak dapat diperhatikan secara langsung. Walau bagaimanapun, ia amat penting kerana mempengaruhi proses pemahaman pembelajaran pelajar dan bagaimana guru-guru memahami proses pengajaran serta bagaimana kedua-dua mengalami konteks. Pemboleh ubah Proses menggabungkan pendekatan pembelajaran dalam kalangan pelajar dan pendekatan pengajaran guru-guru. Proses mengandungi pemboleh ubah personologikal dan persepsi serta interaksi bagaimana pelajar dan guru melaksanakan tugas mereka. Ini merangkumi semua proses pembelajaran dalam kalangan pelajar dan juga merangkumi proses pelaksanaan pengajaran oleh guru dari pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar. Pengalaman pembelajaran pelajar ditentukan oleh persepsi mereka terhadap konteks sosial mereka, persepsi mereka terhadap konteks institusi dan konsep pembelajaran mereka. Mengikut Price (2011), ini ditunjukkan dalam Model Heuristik Pembelajaran Pelajar iaitu hubungan antara persepsi pelajar terhadap faktor-faktor kontek, persepsi mereka terhadap proses pembelajaran dan pendekatan pembelajaran mereka. Konsep pengajaran guru dan pendekatan untuk pengajaran juga faktor-faktor penting dalam model ini. Mengikut Price (2011), terdapat banyak faktor yang saling berkaitan dan mempengaruhi hasil pembelajaran pelajar. Oleh itu, ia perlu dipertimbangkan apabila kita menguji dan meramal pembelajaran pelajar. Model Heuristik Pembelajaran Pelajar telah mengenal pasti faktor-faktor yang muncul mempengaruhi pembelajaran pelajar (Rajah 2.0).

KONTEKPERSEPSIPROSESHASIL

Ciri-Ciri Pelajar

Konsepsi Pelajar

Kontek SosialPendekatan Pelajar

Persepsi Pelajar

Kontek InstitusiHasil Pembelajaran

Persepsi Guru

Kontek ProfesionalPendekatan Guru

Konsepsi Guru

Ciri-Ciri Guru

Rajah 2.0 Model Heuristic 4P Pembelajaran (Price, 2011)

2.5 Teori-Teori Berkaitan 2.5.1 Teori Kognitif Satu lagi pandangan tentang cara manusia belajar dan memperoleh pengetahuan ialah secara Kognitivisme. Pengasas teori ini adalah Jean Piaget (1896-1980) dan Lev Vygotskys (1898-1934) yang mana kajian masing-masing dalam perspektif yang berbeza. Piaget mengkaji perkembangan kognitif dari sudut struktur perkembangan kognitif, sementara kajian Vygotskys lebih kepada peranan interaksi sosial dalam perkembangan kognitif. Idea utama Kognitivisme adalah perwakilan mental yang mana semua idea dan imej dalam minda individu diwakili melalui struktur mental yang dikenali sebagai skema yang akan menentukan bagaimana data dan maklumatyang diterima akan difahami oleh minda manusia dan jika maklumat ini secocok dengan skema yang ada, maka pelajar akan menyerap maklumat tersebut ke dalam skema ini. Sekiranya tidak secocok dengan skema yang ada, maklumat ini mungkin ditolak atau diubah suai atau skema akan diubahsuai.Teori Piaget adalah berhubung dengan perkembangan kognitif (mental) manusia. Beliau menyatakan perkembangan sahsiah manusia selari dengan pertambahan struktur kognitif. Struktur-struktur ini dijelmakan melalui pengalaman dan bagaimana kanak-kanak yang membesar menyesuaikan diri dengan pengalaman-pengalaman baru dan membentuk corak-corak pembelajaran yang kompleks. Setiap manusia akan melalui empat peringkat perkembangan kognitif melibatkan kemahiran baru yang mendefinisikan tentang apa yang dipelajari. Peringkat-peringkat tersebut adalah peringkat deria motor (0-2 tahun), peringkat pra operasi (2-7 tahun), peringkat operasi konkrit dan peringkat operasi formal (12-15 tahun). Perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat adalah dapat dilihat sehingga kanak-kanak akan berkemampuan memahami matematik, logika dan masalah moral yang abstrak, serta perkara yang akan datang. Urutan perkembangan mental membolehkan mereka menghuraikan masalah yang abstrak serta membuat hipotesis dalam menyelesaikannya.Piaget menyatakan bahawa kita mewarisi satu kaedah pada fungsi intelektual yang mampu bertindak balas dengan persekitaran dalam pembentukan struktur kognitif melalui dua mekanisme iaitu adaptasi dan organisasi. Adaptasi pula mengandungi dua unsur iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi bermaksud seseorang cuba memahami sesuatu yang belum pernah diketahui atau dipelajari daripada yang sudah diketahui. Ada kalanya sesuatu yang baru itu diubah mengikut apa yang sudah diketahuinya. Akomodasi pula bermakna seseorang yang mengubah skemanya berdasarkan keperluan baru. Ini berlaku apabila sesuatu yang baru itu tak dapat diterima oleh skema yang ada. Bagi mengimbang antara maklumat baru dengan skema kognitif, seseorang itu akan melalui proses equilibirasi. Vygotsky pula, menekankan peranan budaya dan masyarakat dalam perkembangan kognitif manusia. Menurut beliau, peringkat tertinggi dalam perkembangan kognitif manusia adalah proses mental seperti ingatan, minat dan penaakulan yang seringkali berlaku sebagai pencapaian bahasa, matematik dan teknik-teknik ingatan. Beliau telah memperkenalkan zone of proximal development iaitu perbezaan jarak antara paras sebenar perkembangan individu dengan paras tertinggi perkembangan potensi diri individu tersebut. Tahap kognitif seseorang boleh ditentukan melalui penyelesaian masalah yang dilakukan secara persendirian dan apa yang boleh dilakukan dengan pertolongan daripada orang lain. Beliau percaya pembelajaran akan berkesan apabila pengajaran yang disampaikan bersesuaian dengan tahap pemikiran seseorang pelajar. Dalam konteks sekolah, seseorang guru hendaklah mengetahui tahap kognitif dan mental pelajar-pelajarnya untuk menghasilkan proses PdP yang berkesan. Dalam keadaan tertentu, ada kemungkinan seseorang pelajar yang tidak dapat mengikut atau memahami apa yang cuba disampaikan oleh gurunya akan menimbulkan masalah sosial.

2. 5.2 Teori KonstruktivismeSatu pandangan baru tentang ilmu pengetahuan dan cara bagaimana manusia memperoleh ilmu pengetahuan telah mula menarik perhatian para pendidik seluruh dunia, yang mana pandangan ini menganggap pelajar bukan hanya menerima pengetahuan secara pasif daripada gurunya tetapi membina pengetahuannya melalui interaksi dengan persekitarannya (Sewell & George 2012). Pandangan ini dikenali sebagai Konstruktivisme yang mampu menyediakan warganegara yang berupaya menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan. Idea asal konstruktivisme berasal daripada teori Perkembangan Kognitif Piaget dan teori Zon Perkembangan Prokimal (ZPD) Vygotsky (1896-1934). Konstruktivisme didefinisikan sebagai pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar, yang mana kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain (Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar 2005).Teori pembelajaran konstruktivisme merupakan satu teori hangat diperdebatkan dan teori amat berpengaruh dalam pendidikan (Churchill et al. 2011). Mengikut Churchill et al., asas teori konstruktivisme ialah sesuatu dipelajari oleh pelajar berlandaskan pengetahuan sedia dan pengetahuan sendiri yang mana pelajar tidak menyerap secara langsung apa yang dipelajari. Pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Individu ini tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Pelajar akan menyesuaikan atau melakukan asimilasi terhadap maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan gurunya (Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar 2005; Churchill et al. 2011; Nizarwati Yusuf et al. 2009).Melalui prinsip konstruktivisme, ilmu pengetahuan baru yang ditawarkan melalui kurikulum dibina secara aktif oleh pelajar berasaskan pengalaman yang dilaluinya (Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar 2005; Burton 2009; Nizarwati Yusuf et al. 2009). Pembinaan ilmu pengetahuan seseorang pelajar adalah hasilan daripada proses modifikasi, penyesuaian, penyusunan dan pengorganisasian struktur pengalamannya yang lalu. Sosial konstruktivisme melihat pengetahuan sebagai hasil pembelajaran yang mana individu terlibat secara sosial melalui perbualan atau perkongsian Task penyelesaian masalah dan aktiviti (Churchill et al. 2011). Vygotsky melihat pembelajaran berlandaskan aktiviti sosial melalui simbol ataupun bahasa dan beliau menganggap bahasa terhasil dari keperluan untuk berkomunikasi serta pusat pembangunan pemikiran, sementara Piaget mengandaikan bahasa sebagai alat pemikiran dalam pembangunan minda pelajar (Burton 2009; Churchill et al. 2011). Pelajar membawa pengetahuan sedia ada ke dalam proses pembelajaran di bilik darjah iaitu daripada prasekolah, daripada budaya masyarakat setempat, daripada televisyen, daripada rumah dan daripada tahun sebelumnya (Hattie 2009). Pelajar menggunakan konsep, kepercayaan dan persepsi semasa untuk mengadaptasi pengetahuan baru (Friedl & Koobtz 2005). Pengetahuan sedia ada ini mempengaruhi jangkaan pelajar dan guru dalam proses pembelajaran. Kanak-kanak dilahirkan dan membesar dalam dunia jangkaan. Jangkaan ini menggalak dan meningkatkan pelajar berinteraksi dengan peluang-peluang di sekolah. Jangkaan pelajar dibentuk daripada pengalaman dalam bilik darjah. Guru memainkan peranan penting untuk mencipta persekitaran pembelajaran dengan melibatkan pelajar secara aktif dalam penyiasatan dan membuat refleksi terhadap konsep yang pelajar dapati daripada pengetahuan semasa dan mengaitkannya dengan pengetahuan baru (Friedl & Koobtz 2005). Pendekatan konstruktivisme ini menggalakkan pelajar mendapat maklumat dengan membuat aktiviti hand-on, metakognisi, berkomunikasi (penulisan dan oral) dan berbincang tentang penemuan. Pembelajaran secara konstruktivisme menjadikan PdP berpusatkan-pelajar sementara guru hanya berperanan sebagai fasilitator yang membimbing mereka membina ilmu pengetahuan ataupun menyelesaikan masalah yang dihadapi (Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar 2005; Burton 2009). Kaedah pendekatan konstruktivisme termasuk pembelajaran berasaskan inkuiri atau pembelajaran berasaskan masalah (Churchill et al. 2011).

2. 5.3 Teori Bimbingan (Scaffold) Guru Perhatian dan perbincangan meningkat pada era 1980-an mengenai idea iaitu sosial konteks mempengaruhi pembelajaran (Sewell & George 2012). Hal ini juga dipengaruhi oleh Teori Sosiologi Vyqotsky (1978). Menurut Teori Sosiologi Vygotsky, pembelajaran berlaku dalam persekitaran interpsikologi atau dipanggil dunia luar (external world) sebelum ianya diterima dan dijiwai oleh pelajar dalam persekitaran intrapsikologi (internal world). Teori ini melihat fungsi alatan teknikal sebagai membantu mengatur dunia luar manakala alatan psikologikal sebagai mekanisme dalaman bagi mengatur minda untuk berfungsi pada aras yang lebih tinggi. Dalam hubungan ini, peralatan dan proses interaksi dengan rakan bertindak sebagai perantara kepada proses pembelajaran yang berlaku dalam Zon Perkembangan Terdekat - Zone of Proximal Development (ZPD). ZPD didefinisikan sebagai julat aktiviti antara yang individu boleh buat bersendirian dan apa yang boleh individu buat dengan bantuan individu lain yang lebih mahir (Sewell & George 2012). ZPD merupakan perbezaan antara tahap keupayaan minda dengan keupayaan belajar sebenar dan berperanan untuk membantu perkembangan pelajar ketika berada pada tahap peralihan antara sosial (yang dibantu) dan tahap psikologikal (independent) (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Kajian memperluaskan idea tersebut dengan memasukan konsep Scaffolding, responsif, bantuan berpandu dalam yang mana PdP menjadi lebih jelas dan konsep pengajaran seperti bimbingan rakan sebaya, pembelajaran koperatif dan pengajaran reciprocal menjadi sebahagian amalan dalam bilik darjah (Sewell & George 2012). Proses membantu pelajar bagi menghadapi kesukaran tugasan yang lebih tinggi daripada keupayaan semasa yang dimiliki oleh mereka dinamakan perancahan (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Ianya merupakan sokongan pembelajaran secara luaran yang bertujuan untuk membantu pelajar mencapai ke satu tahap pemikiran yang lebih tinggi daripada tahap keupayaan semasa yang dimiliki oleh seseorang. Perancahan berlaku apabila pelajar dalam kumpulan koperatif saling berbincang untuk merungkaikan masalah-masalah Sains yang berasaskan kemahiran proses Sains (KPSA & KPSB) yang diberikan dalam bentuk perisian multimedia. Proses perbincangan, sokongan, pengajaran dan bimbingan rakan serta saling berhujah merupakan proses perancahan yang bermatlamat untuk meningkatkan tahap pengetahuan masing-masing berbanding tahap pengetahuan sebelumnya. Perbincangan bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan kemahiran proses Sains yang diberikan dan mencapai pembelajaran. Perancahan rakan merupakan elemen penting membantu ke arah keberkesanan dan kejayaan pembelajaran secara koperatif kerana ianya menjana perkembangan intelek di kalangan pelajar melalui interaksi sesama rakan untuk memahami kemahiran-kemahiran baru, memudahkan mereka menguasai kefahaman konsep, bersikap positif dan mencetuskan perubahan sikap di samping membina kecekapan kognitif melalui proses perancahan (scaffolding) ini.

2.6 Amalan PdP Berkesan Kajian dalam pendidikan menyatakan tiada satu faktor yang tiada kombinasi dengan pendekatan lain adalah berkesan dan meningkatkan pencapaian pelajar melainkan guru cemerlang kerana kualiti guru adalah seiring dengan kualiti pengajaran (Churchill et al. 2011; Green & Leask 2009). Faktor guru memberi kesan terhadap kemampuan guru melaksanakan pengajaran yang mana pengajaran berkualiti dapat mempengaruhi perkembangan dan pencapaian pelajar dalam pelajaran (Eggen & Kauchak 2012; Hattie 2009; Rohani Arbaa et al. 2010). Guru berkualiti akan meningkatkan komitmen pelajar dalam aktiviti pembelajaran serta menggalakkan penglibatan intelektual pelajar dalam proses PdP di dalam bilik darjah (Rohani Arbaa et al. 2010). Guru memberi pelbagai peluang dan alternatif kepada pelajar untuk membina strategi pembelajaran berdasarkan kandungan dan domain pembelajaran supaya pelajar membina kefahaman terhadap konsep-konsep yang dipelajari dan strategi tersebut akan diguna oleh pelajar dan guru untuk pembelajaran seterusnya (Hattie 2009). Perkara ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pencapaian pelajar tersebut.Guru perlu melibatkan diri secara aktif dan sentiasa sabar dalam proses PdP (Hattie 2009). Mengikut Hattie, guru perlu sentiasa sedar dan memperbaharui konsep serta jangkaan terhadap pelajar, sentiasa direktif, mempengaruhi dan kelihatan pada pelajar semasa proses pengajaran. Apa yang penting guru perlu sedar dan mengetahui pemikiran dan pengetahuan pelajar yang dapat membina pengalaman penuh bermakna berdasarkan tahap pengetahuan pelajar dan mempunyai pengetahuan mencukupi serta memahami perkembangan bermakna hasil daripada kandungan pelajaran untuk memberikan maklum balas bermakna dan sesuai.Kejayaan dan keberkesanan pengajaran guru bergantung kepada kaedah pengajaran guru di dalam bilik darjah (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Pelajar mempunyai pengalaman hidup yang berbeza dan ini menwujudkan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh guru. Bagaimana untuk berurusan dengan perbezaan ini dan menghayati perasaan pelajar memerlukan kreativiti, masa dan pengalaman. Ia adalah salah satu sebab mengapa kepelbagaian dalam kaedah pengajaran adalah penting. Guru-guru perlu mempunyai kemahiran untuk memilih kaedah PdP dengan bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan pelajar yang pelbagai kebolehan dan minat. PdP berkesan memerlukan pelbagai pendekatan sesuai merangkumi didaktik sehingga experiential (Green & Leask 2009). Kualiti pengajaran adalah bergantung pada ciri-ciri pembelajaran dalam bilik darjah yang menyokong komuniti pembelajaran (Churchill et al. 2011). Oleh itu, guru perlu mengadaptasi metodologi dan kepelbagaian kaedah PdP serta strategi di dalam bilik darjah untuk menghasilkan pengajaran berkesan (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Mengikut Kamarul Azmi Jasmi et al., kepelbagaian kaedah yang sesuai dengan situasi dan keupayaan pelajar merupakan seni pengajaran guru cemerlang yang berpengalaman. Kepelbagaian kaedah dan strategi pengajaran bertujuan untuk memberi pengalaman PdP yang bermakna kepada para pelajar malah meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Hal ini banyak ditegaskan oleh pengkaji pendidikan yang boleh disimpulkan bahawa pengalaman mengajar guru cemerlang biasanya mampu meningkatkan kemahiran pemilihan kaedah ketika proses pengajaran (Berliner 2005). Garapan kaedah yang digunakan adalah jelas dan sesuai. Biasanya, strategi guru cemerlang akan menggunakan aktiviti yang berpusatkan pelajar namun kaedah yang berpusatkan guru turut dilaksanakan (Shaharom Noordin & Nur Laili Lockman 2011; Sharifah Nor Ashikin S.A. Rahman & Rohaida Mohd Saat 2005).Strategi pengajaran merupakan pendekatan umum pengajaran yang digunakan dalam pelbagai kandungan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran (Eggen & Kauchak 2012). Dalam memilih strategi atau kaedah PdP, guru perlu sentiasa memikirkan cara untuk memastikan penglibatan pelajar agar interaksi di dalam bilik darjah menjadi aktif (Kamarul Azmi Jasmi et al. 2011a). Pemilihan strategi dan kaedah PdP perlu dipertimbangkan kerana dengannya memungkinkan pembelajaran yang lebih efektif dan efisien. Pembelajaran yang berkualiti hanya tercapai jika guru mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang luas tentang pelbagai teknik dalam pengajaran. Tindakan guru untuk mengendalikan pengajaran memerlukan penyebaran intervensi bagi memastikan terdapat perubahan kognitif pada pelajar: keutamaan diberikan terhadap perhatian pelajar pada pembelajaran, mengetahui bila pelajar berjaya memberi perhatian sepenuhnya, mempunyai kefahaman penuh tentang kefahaman pelajar memahami sesuatu pembelajaran dan mengetahui secukupnya kandungan pelajaran untuk memberi pengalaman bermakna dan mencabar dalam proses pembangunan pelajar. (Hattie 2009). Guru yang mempunyai pengetahuan tentang pelbagai strategi pembelajaran menyediakan pelbagai alternatif kepada pelajar yang tidak menguasai pembelajaran, menyediakan panduan dari segi kandungan pelajaran yang cuba difahami dan memaksimumkan maklum balas serta mempunyai kepakaran untuk menghentikan proses PdP bila proses pembelajaran menunjukkan tanda-tanda kejayaan.Setiap pelajar adalah berbeza dengan pelbagai strategi dan gaya pembelajaran yang unik bagi mencapai pelbagai tujuan. Pelajar perlu dilibatkan dalam menentukan kriteria kejayaan, menentukan jangkaan tinggi dan bersedia mengalami pengalaman berbeza dalam mengetahui dan penyelesaian masalah (Hattie 2009). Mengikut Hattie, hal ini akan menyediakan pembangunan kepercayaan dan penglibatan sendiri, penilaian sendiri, pengawalan sendiri, pembelajaran sendiri dan dalam pembelajaran mendalam. Sekolah sepatutnya menyasarkan jumlah maksimum pelajar aktif tetapi ini memerlukan guru yang dapat melihat proses pembelajaran melalui mata pelajar dan mengetahui bagaimana untuk menarik pelajar supaya sentiasa melibatkan diri dalam setiap pembelajaran. Model pengajaran dicipta sebagai panduan dan pilihan untuk guru mengadaptasikan pelbagai cara atau kaedah dalam pengajaran yang berkesan dan cemerlang. Model-model ini mempunyai rasional kukuh dan telah terbukti dalam kajian (Joyce et al. 2009). Mengikut Joyce et al., pendidik perlu mengenal pasti idea berkaitan dengan model dan cara berfikir yang dapat membantu pelajar. Model pengajaran ialah pendekatan spesifik pengajaran yang mempunyai tiga ciri (Eggen & Kauchak 2012): a) Matlamat: direka untuk membantu pelajar membina keupayaan pemikiran kritikal dan kefahaman mendalam terhadap kandungan pelajaran.b) Fasa : mengandungi langkah-langkah yang lebih dikenali sebagai fasa bagi membantu pelajar mencapai matlamat pembelajaran tertentu.c) Landasan : disokong oleh teori dan kajian tentang pembelajaran dan motivasi.Pengajaran baik melibatkan pembinaan penerangan, kritikan, membina inferens dan aplikasi penemuan (Hattie 2009). Mengikut Hattie, jika pelajar tidak mempunyai tahap pemikiran tinggi maka terdapat kekurangan serius pada proses pengajaran tersebut.

2.7 Merancang P&P BerkesanLandasan asas tugas guru ialah pengetahuan profesional guru tentang PdP, penilaian profesional tentang rutin, kemahiran dan strategi yang menyokong PdP berkesan. Guru cemerlang atau berkesan merujuk faktor ini dalam merancang setiap pelajaran dan pembelajaran untuk bilik darjah tertentu dirancang, oleh itu terdapat kesinambungan dan progresif dalam pembelajaran pelajar. Perancangan penting kepada proses pengajaran dan merupakan pusat kepada guru untuk membantu pelajar belajar (Arends 2012; Taylor 2012). Oleh itu, setiap pelajaran dirancang sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran. Pelajaran umpama bongkah ais yang mana terdapat elemen-elemen kepakaran professional guru (Jadual 2.1).Sangat mudah untuk memenuhi pelajaran dengan pelbagai aktiviti membuatkan pelajar sibuk dan berminat, walau bagaimanapun, ini tidak menyediakan cabaran pembelajaran mencukupi kepada pelajar (Allen & Taylor 2009). Keadaan ini sesuai untuk pelajar yang mana pelajar tidak memikirkan apa yang mereka lakukan atau mengapa mereka lakukannya. Pelajar menyalin dan meniru apa yang ada di atas papan hitam, buku atau lembaran kerja dengan serius tetapi aktiviti seperti ini sangat cetek dan harus dijalankan secara berhati-hati, walaupun guru boleh mengekalkan kelas yang bising.

Jadual 2.1 Peranan Guru Dalam Bilik Darjah-Tip Bongkah Ais

Peranan Guru Dalam

PerancanganMerancang pelajaran berkesinambungan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan pembelajaran tertentu

PenilaianPenilaian pelajaran sebelumnya

PersediaanPersediaan dan perancangan untuk pelajaran

RutinMembina rutin dan prosedur bagi memastikan tugas-tugas dalam bilik darjah mengikut perancangan

PersonelPersonaliti termasuk keupayaan guru mengekal minat pelajar untuk membina autoriti

Penilaian ProfessionalPenilaian profesional di bina sepanjang masa berdasarkan refleksi pengalaman

Pengetahuan ProfessionalPengetahuan seperti pengetahuan kandungan pelajaran, pengetahuan pedagogi tentang PdP berkesan, pengetahuan tentang pelajar, pengetahuan tentang konteks pendidikan setempat

Adaptasi daripada Capel et al. (2009)

Perspektif dominan yang memberi panduan terhadap pemikiran dan tindakan dalam perancangan adalah Model Perancangan Rasional-Linear (Arends 2012). Perspektif ini memfokuskan matlamat dan objektif sebagai langkah utama. Tindakan dan aktiviti kemudian dipilih daripada pelbagai alternatif sesuai. Model ini mengandaikan bahawa satu perkaitan rapat wujud antara individu yang menyediakan matlamat dan objektif dengan individu yang akan mencapainya. Berdasarkan model ini, guru akan merancang perancangan pelajaran dengan menyediakan matlamat dan objektif pembelajaran yang cuba dicapai oleh pelajar. Kemudian guru akan merancang dan memilih strategi sesuai untuk pelajar mencapai matlamat dan objektif ini (Rajah 2.1). Perancangan ini kemudian menjadi Model Tidak Linear, yang mana tindakan didahulukan untuk menghasilkan hasil pembelajaran. Guru cemerlang dan berpengalaman mengambil berat terhadap aspek linear dan tidak linear dalam perancangan mereka.

TindakanHasil PembelajaranMatlamat

Model Perancangan Rasional-Linear

Model Perancangan Tidak Linear

Rajah 2.1: Model Perancangan (Arends 2012)

2.8 Kemahiran Dan Sikap SaintifikPembelajaran Sains menular ke seluruh pelusuk dunia. Walau bagaimanapun, mempelajari Sains bukanlah seperti mempelajari subjek sejarah yang menekankan kepada fakta semata-mata tetapi memerlukan penglibatan pelajar aktif sebelum pelajar dapat menguasainya (Aziz Nordin et al. 2008). Mengikut Aziz Nordin et al., pembelajaran Sains perlu mewujudkan suasana interaktif bagi mewujudkan satu suasana sistem sosial dalam institusi dan bukannya penilaian melalui penghafalan sahaja ketika proses PdP dilaksanakan. Selain itu, pelajar yang mempelajari ilmu Sains perlu melibatkan diri dalam proses PdP dan komunikasi dua hala haruslah diterapkan. Pusat Perkembangan Kurikulum menyatakan bahawa pendidikan Sains di Malaysia digubal berdasarkan FHK yang menekankan kesepaduan antara ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai murni (Aziz Nordin et al. 2008; Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Kurikulum ini adalah teras dalam Kurikulum Sekolah di Malaysia yang terdiri daripada elemen Sains sekolah rendah, Sains sekolah menengah, fizik, biologi, kimia dan Sains tambahan. Di peringkat sekolah rendah, mata pelajaran Sains diwajibkan kepada semua murid, manakala di peringkat sekolah menengah atas, pelajar diberi pilihan untuk sama ada mengambil mata pelajaran Sains teras atau efektif. Kurikulum Sains terletak di bawah penetapan peringkat pusat. Para pelajar perlu menguasai kemahiran proses Sains yang mana KPS seperti mentakrif pemboleh ubah secara operasi, membina hipotesis, mentafsir graf, mereka bentuk penyiasatan dan pengetahuan tertentu boleh digunakan pelajar untuk menyelesaikan masalah melalui penyiasatan di makmal (Zaiton Daud & Shaharom Noordin 2008). Pusat Perkembangan Kurikulum memilih pendekatan inkuiri-penemuan sebagai pendekatan yang utama dalam kurikulum Sains sekolah rendah dan menengah di negara ini (Shaharom Noordin & Nur Laili Lockman 2011). Kurikulum Sains memberi penekanan kepada penguasaan Kemahiran Saintifik dan Kemahiran Berfikir di samping pemahaman kepada prinsip asas Sains serta pemupukan Sikap Saintifik dan nilai murni supaya melahirkan rakyat Malaysia yang progresif dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kemahiran Saintifik adalah penting bagi membolehkan pelajar menjalankan sebarang aktiviti (penyiasatan) dalam proses PdP Sains, dengan menggunakan kaedah Saintifik. Pemerolehan pengetahuan Sains tidak cukup menggambarkan sifat celik Sains dalam kalangan pelajar tetapi kemahiran untuk memperoleh pengetahuan tersebut melalui proses menyelesaikan masalah, mereka cipta atau menjana idea baru adalah lebih penting. Proses seumpama ini lazimnya menggunakan pendekatan inkuiri yang memberi peluang pelajar menguasai Kemahiran Saintifik dan Kemahiran Berfikir dalam proses penyelesaian masalah dan aktiviti Sains (Sharifah Nor Ashikin S.A. Rahman & Rohaida Mohd. Saat 2005). Kemahiran Saintifik adalah penting bagi membolehkan pelajar menjalankan sebarang aktiviti (penyiasatan) dalam proses PdP Sains, dengan menggunakan kaedah Saintifik (Shaharom Noordin & Nur Laili Lockman 2011). Kemahiran Saintifik dapat membantu pembelajaran Sains dengan lebih aktif dan efektif dengan kaedah PdP yang berpusatkan pelajar dan tidak hanya tertumpu kepada teori, selain pembelajaran yang lebih sistematik. Kemahiran Saintifik tidak diajar secara nyata di dalam sukatan tetapi merupakan sisipan dan titipan yang berlangsung sepanjang tahun dan berkekalan. Ia hanya diberikan penerapan dan penekanan di dalam aktiviti pentaksiran kerja amali pelajar (PEKA). Kemahiran Saintifik terdiri daripada Kemahiran Proses Sains (KPS) dan Kemahiran Manipulatif (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). KPS lebih menjurus kepada penilaian melalui laporan amali yang ditulis oleh pelajar manakala Kemahiran Manipulatif lebih menjurus kepada penilaian terhadap aktiviti atau pengendalian alat atau bahan semasa menjalankan amali (Shaharom Noordin & Nur Laili Lockman 2011). Kedua-dua kemahiran ini adalah saling berkaitan dan merupakan aspek terpenting dalam proses PdP Sains di semua peringkat persekolahan di Malaysia terutamanya semasa menjalankan amali.KPS merupakan nadi bagi pembelajaran Sains. Maka, pelajar mestilah menguasai kemahiran ini. (Aziz Nordin et al. 2008). KPS, seperti yang disaran oleh Science: A Process Approach atau lebih dikenali sebagai SAPA telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu KPS asas (KPSA) dan KPS bersepadu (KPSB) (Sharifah Nor Ashikin S.A. Rahman & Rohaida Mohd. Saat 2005). KPS bermula daripada kemahiran yang mudah dan kemudiannya berkembang kepada kemahiran yang lebih kompleks (Aziz Nordin et al. 2008). KPSA ialah aktiviti pemikiran Saintifik peringkat rendah yang masih berada pada tahap operasi konkrit seperti memerhati, mengelas, mengukur dan menggunakan nombor, membuat inferens, meramal, berkomunikasi, menggunakan perhubungan ruang dan masa (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Manakala KPSB pula meliputi aktiviti pemikiran Saintifik peringkat tinggi dan berfungsi pada tahap operasi formal atau memerlukan pemikiran aras tinggi seperti mentafsir maklumat, mendefinisikan secara operasi, mengawal pemboleh ubah, membuat hipotesis dan mengeksperimen. Kemahiran Manipulatif bertujuan untuk memupuk pelajar dalam mengendalikan peralatan, bahan kimia dan spesimen. Pelajar yang menjalankan eksperimen atau penyiasatan diharap dapat mengendalikan dan menggunakan alat dengan teknik yang betul dan selamat, menggunakan bahan kimia dan spesimen sama ada yang awet atau segar dengan kuantiti yang sesuai, tepat serta cermat. Banyak hasil kajian pendidikan yang mendedahkan bahawa pembelajaran lebih berkesan apabila pelajar diberi peluang melibatkan diri dengan peralatan dan bahan (Snodgrass et al. 2011). Penyediaan bahan, sumber serta peralatan yang lengkap dan sempurna amat penting dalam menghasilkan peluang pembelajaran yang berkualiti dan berinovatif kepada pelajar (Fogleman et al. 2011).Pemikiran Saintifik dapat dicapai apabila pelajar menguasai KPS (Mohamad Fadzil Che Amat 2008). Pelajar yang menguasai pemikiran Saintifik ialah pelajar yang boleh menyelesaikan masalah-masalah Sains dengan menggunakan KPSA dan KPSB.

2.9 Kepercayaan GuruPerkaitan antara kepercayaan (belief) guru dan amalan bilik darjah penting dalam menentukan keberkesanan guru (Cruickshank et al. 2011; Tolbert 2006). Semua guru mempunyai kepercayaan terhadap tugas, pelajar dan mata pelajaran yang diajar yang mana merupakan sistem kepercayaan umum (Tsangaridou & OSullivan 2003). Keputusan guru membuat pilihan berkenaan apa yang hendak diajar dan bagaimana hendak mengajar dipengaruhi oleh kepercayaan mereka (Alvarado 2010; Cruickshank et al. 2011; Tolbert 2006). Di samping tahap dan intensiti pengetahuan kandungan, kepercayaan guru lebih cenderung menentukan tindakan mereka di dalam bilik darjah (Hall 2005). Mengikut Hall, sebagai pendidik, guru dipengaruhi oleh pengalaman mereka sebagai pelajar, semasa PdP, konteks dan pengalaman semasa.Kepercayaan guru seperti pelajar bijak mudah diajar dan diurus, pelajar sama aras perlu dikumpulkan bersama untuk proses pengajaran (kumpulan homogen), kurikulum berbeza perlu untuk pelajar berbeza, pelajar yang menarik lebih berupaya dan sosial, tingkah laku pelajar perempuan lebih baik daripada pelajar lelaki, pelajar majoriti melakukan sesuatu lebih baik daripada pelajar minoriti, matematik adalah mata pelajaran untuk pelajar perempuan, lebih sesuai melaksanakan pembelajaran berasaskan pelajar daripada pembelajaran berasaskan guru, lebih sesuai mengajar pelajar bagaimana belajar daripada mengajar informasi atau kemahiran tertentu, tidak penting sama ada pelajar menjawab dengan betul sepanjang masa, menilai pelajar berdasarkan persembahan keseluruhan bukan memberi hadiah pada pencapaian mata pelajaran tertentu, keluarga adalah aset penting untuk pembelajaran pelajar dan guru perlu mempunyai kuasa untuk mengawal bilik darjah (Cruickshank et al. 2011).

2.10KesimpulanBab ini mengandungi kajian-kajian, model-model dan teori-teori yang berkaitan dengan PdP serta literatur tentang faktor-faktor yang mempengaruhi PdP berkesan serta cemerlang. Kajian-kajian berkaitan dari dalam dan luar negara dibincangkan bagi memahami kajian tentang PdP berkesan serta cemerlang. Model-model dan teori-teori yang berkaitan dengan PdP berkesan serta cemerlang juga dihuraikan antaranya seperti Model Heuristic 4P Pembelajaran, Teori Kognitif, dan Teori Konstruktivisme. Literatur tentang faktor-faktor yang mempengaruhi PdP berkesan serta cemerlang juga disentuh bagi memahami kajian tentang Guru Cemerlang dengan lebih mendalam.

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

3.1 PengenalanReka bentuk kajian, pemilihan lokasi dan peserta kajian, tata cara pengumpulan data dan penganalisisan data akan di hurai dalam bahagian ini. Aspek kesahan dan kebolehpercayaan kaedah pengumpulan data juga dibincangkan dengan terperinci bagi memastikan segala dapatan kajian adalah sah dan boleh dipercayai. Penyelidikan ini bertujuan untuk meneroka amalan Guru Cemerlang Sains.

3.2 Reka Bentuk KajianKajian ini berbentuk kualitatif deskriptif. Pendekatan kualitatif digunakan apabila data adalah penuh dengan nilai, naratif dan kaya serta sarat dengan penerangan (Yin 2009), yang mana sesuai untuk kajian meneroka amalan Guru Cemerlang Sains. Penyelidik mengunakan kajian kualitatif untuk mendapatkan pandangan bernilai, pendapat, penemuan, dan interpretasi berkenaan amalan Guru Cemerlang Sains (Merriam 2009). Reka bentuk penyelidikan kajian ini melibatkan penerokaan isu dalam sistem terbatas yang mana mempunyai sempadan biasanya ditakrifkan oleh masa dan tempat, dan juga bahagian-bahagian saling berkaitan (Creswell 2007). Sistem terbatas boleh menghadkan jumlah peserta untuk ditemu bual dan termasuk jumlah masa terhad untuk pemerhatian (Merriam 2009).Pendekatan kualitatif dipilih kerana merupakan kaedah yang sesuai dan praktikal (Robinson 2008) untuk sebab-sebab berikut. Kaedah kualitatif memberikan perspektif baru mengenai sesuatu yang sudah diketahui. Kita sedia maklum bahawa Guru Cemerlang Sains merupakan guru mahir ataupun pakar dalam mata pelajaran Sains serta mempunyai kesan positif ke atas pembelajaran pelajar kerana guru berkualiti berupaya membuatkan pembelajaran menarik dan dihargai pelajar (Azizi Yahaya et al. 2010; KPM 2013).Kaedah kualitatif berkesan dalam menyampaikan maklumat yang sukar disampaikan secara kuantitatif, terutamanya apabila saiz sampel adalah kecil (Bogdan & Bilken 2006). Saiz sampel untuk kajian ini terdiri daripada 1 guru kimia lelaki dan 6 orang guru kimia perempuan. Satu metodologi kualitatif yang menggunakan kata-kata dan pengalaman untuk menggambarkan amalan yang dipraktikkan oleh Guru Cemerlang Sains. Kaedah kualitatif melibatkan hubungan antara peserta kajian danpenyelidik (Robinson 2008). Dalam kajian kualitatif pengkaji adalah instrumen pengumpulan data untuk mencari dan menggambarkan pengalaman peserta kajian (Merriam 2009). Kaedah kualitatif melibatkan penggunaan pelbagai kaedah pengumpulan data dan menerangkan secara mendalam mengapa fenomena berlaku (Bogdan & Bilken 2006). Maklum balas temu bual dan pemerhatian memberi peluang kepada penyelidik membangun dan membina penerangan yang kaya tentang amalan Guru Cemerlang Sains (Bogdan & Bilken 2006; Reeves 2007). Kajian ini menggunakan tiga kaedah pengumpulan data iaitu kaedah temu bual, kaedah pemerhatian dan kaedah analisis dokumen yang dilakukan terhadap Guru Cemerlang Sains, pentadbir sekolah, rakan Guru Cemerlang Sains dan para pelajar (Bogdan & Bilken 2006; Creswell 2007; Merriam 2009). Nota lapangan dan diari juga digunakan untuk memperkukuhkan data yang diperoleh melalui ketiga-tiga kaedah tersebut. Data yang diperoleh daripada sumber-sumber ini menyediakan asas yang kukuh dan kaya dengan maklumat tentang amalan Guru Cemerlang Sains yang mendapat pengiktirafan daripada pihak KPM (Reeves 2007).Pendekatan naratif melibatkan temu bual Guru Cemerlang Sains dengan penyelidik yang mana hasil temubual merupakan persetujuan mengenai fenomena yang dilaporkan oleh Guru Cemerlang Sains (Phan 2013). Keputusan adalah pendapat naratif setiap Guru Cemerlang Sains yang membentangkan dan menyatakan setiap pandangan mereka.Dalam kajian kes kualitatif, penyelidik merupakan instrumen dan alat utama bagi mendapatkan data sepanjang kajian ini (Merriam 2009). Ini membolehkan penyelidik menjadi "responsif dan adaptif" semasa mengumpul dan menganalisis data. Penyelidik tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan dengan peserta kajian dan pihak sekolah. Oleh itu, bias ataupun error dapat dikawal (Treese 2012).

3.3 Peserta KajianKajian ini menyasarkan sejumlah lapan orang peserta kajian berdasarkan jumlah keseluruhan Guru Cemerlang Sains yang menyandang Gred DG52 sehingga Gred JUSA C di Sarawak yang direkodkan oleh JPN Sarawak. Walau bagaimanapun, jumlah sebenar sampel kajian ini nanti adalah dalam kalangan Guru Cemerlang Sains yang menyandang Gred DG52 sehingga Gred JUSA C di Sarawak yang diberi kebenaran oleh pihak sekolah untuk terlibat sebagai peserta kajian serta memberi persetujuan secara peribadi untuk terlibat dalam kajian ini. Guru Cemerlang Sains yang menyandang Gred DG52 sehingga Gred JUSA C dipilih kerana dikatakan mempunyai kepakaran dan kecemerlangan yang tinggi dalam pengurusan PdP. Oleh yang demikian, hal ini dapat memastikan bahawa peserta-peserta kajian yang terpilih mempunyai maklumat yang kaya berkaitan isu-isu yang hendak dikaji.

3.3.1 Pemilihan Peserta KajianDalam kajian ini, teknik penentuan dan pemilihan peserta kajian dilakukan secara persampelan bertujuan (purposive sampling) dengan menentukan beberapa kriteria yang ditentukan oleh pengkaji (Merriam 2009). Mengikut Merriam lagi, penetapan kriteria terhadap peserta-peserta kajian bertujuan untuk memastikan bahawa mereka yang terpilih mempunyai maklumat yang kaya berkaitan isu-isu yang hendak dikaji. Kriteria yang ditetapkan bagi pemilihan peserta kajian ialah (i) Guru Cemerlang Sains yang menyandang gred tertinggi iaitu Gred DG52 sehingga Gred JUSA C di Sarawak, (ii) dibenarkan oleh pihak sekolah dan (iii) bersedia untuk terlibat dalam kajian ini.Bagi langkah menentukan peserta kajian, pengkaji meminta senarai nama Guru Cemerlang Sains di Sekolah Menengah yang menyandang dari Gred DG52 sehingga Gred JUSA C di Sarawak dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak pada 21 April 2013 (Jadual 3.0). Pengkaji akan menghubungi pihak sekolah melalui telefon atau pergi ke sekolah untuk mendapatkan cadangan dan pandangan daripada pihak pentadbir sekolah (Pengetua, Penolong Kanan Atau Guru Panitia Sains) bagi mendapatkan peserta kajian yang diiktiraf sebagai Guru Cemerlang dan mengajar mata pelajaran bidang Sains. Manakala kriteria ke tiga diperoleh hasil daripada perbincangan dengan Guru Cemerlang yang dicadangkan oleh pihak sekolah bagi meminta persetujuan guru tersebut untuk terlibat dalam kajian ini. Persetujuan peserta kajian adalah penting bagi menjamin maklumat yang diperoleh adalah benar, tepat dan dalam konteks semula jadi (Phillips 2007).

Jadual 3.0: Guru Cemerlang Sains, Gred DG52 Sehingga Gred JUSA C Di Sarawak

BilNama Guru(Nama Samaran)JantinaGredMata pelajaranSekolah(Nama Samaran)

1Cikgu ALDG52FizikSMK A

2Cikgu BPDG52KimiaSMK B

3Cikgu CPDG52KimiaSMK C

4Cikgu DPDG54KimiaSMK D

5Cikgu ELDG54KimiaSMK E

6Cikgu FPDG52KimiaSMK F

7Cikgu GPDG52KimiaSMK G

8Cikgu HPDG52KimiaSMK H

Sumber: JPN Sarawak

Maklumat juga akan diperoleh daripada pelajar, rakan-rakan guru dan pihak pentadbir sekolah bagi mendapatkan maklumat yang mendalam dan kaya berkaitan isu-isu yang hendak dikaji. Dalam kajian kualitatif, tiada penetapan secara khusus terhadap bilangan peserta kajian (Merriam 2009). Namun bilangan yang sedikit sudah memadai kerana ia melibatkan penghuraian yang mendalam dan terperinci terhadap sesuatu fenomena (Hartle 2007; Norsiah Fauzan 2009).

3.4 Prosedur Pengumpulan DataDalam proses pengumpulan data, pengkaji akan membahagikannya kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan proses awal di lapangan, manakala fasa kedua adalah proses kajian sebenar yang melibatkan pemungutan data.

3.4.1 Fasa PertamaDalam fasa ini, beberapa perkara yang akan dilakukan oleh pengkaji ialah memohon kebenaran dan persetujuan daripada beberapa pihak tertentu, membuat perancangan kerja, membuat persediaan peralatan, dan memurnikan protokol temu bual dan pemerhatian (Merriam 2009). Aktiviti dalam fasa ini nanti dapat memberi panduan kepada pengkaji untuk menjalankan tatacara kajian yang sebenar, membiasakan diri dengan proses penyelidikan kualitatif, membina hubungan dengan peserta kajian yang terpilih dan membiasakan diri dalam suasana di tempat kajian. Keadaan ini penting bagi mengenali peserta kajian dengan lebih dekat dan memudahkan pengkaji untuk berinteraksi dan membuat urusan pemungutan data seterusnya.

3.4.1.1Memohon KebenaranDalam pengurusan memohon kebenaran daripada pihak terlibat, langkah pertama ialah memohon kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, KPM (B