penulisan ilmiah pensijilan guru

19
SME 6044 ISU KONTEMPORARI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK TAJUK : PENSIJILAN GURU PENSYARAH PROF DR MARZITA BINTI PUTEH CHITRA A/P GOPALAN M20102001079 MAIMUN BINTI ALI KUTY M20101000203 MARDHIYATUL HUDA BINTI HAMDAN M20112001423 NORFAZELAWATI BINTI ABD KADIR M20112001424

Upload: huda-hamdan

Post on 21-May-2015

2.182 views

Category:

Documents


12 download

TRANSCRIPT

SME 6044

ISU KONTEMPORARI DALAM PENDIDIKAN

MATEMATIK

TAJUK : PENSIJILAN GURU

PENSYARAH

PROF DR MARZITA BINTI PUTEH

CHITRA A/P GOPALAN M20102001079

MAIMUN BINTI ALI KUTY M20101000203

MARDHIYATUL HUDA BINTI HAMDAN M20112001423

NORFAZELAWATI BINTI ABD KADIR M20112001424

1. PENGENALAN

1.1 Definisi Persijilan Guru

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, persijilan bermaksud pemberian sijil kepada seseorang

atau sesuatu pihak kerana telah mencapai piawai atau memenuhi syarat yang ditetapkan bagi

membuktikan bahawa barangan yang dikeluarkan berkualiti. Manakala definisi guru mengikut

Kamus Dewan bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh atau dalam erti kata yang

sebenarnya adalah pembimbing dalam proses pembelajaran. Selain itu seorang guru semestinya

mempunyai emosi yang stabil, ingin memajukan murid, bersikap realistik, bersikap jujur dan

terbuka, peka terhadap perkembangan, terutamanya dalam inovasi pendidikan. Maka guru harus

memiliki dan menguasai berbagai jenis bahan pelajaran, menguasai teori dan praktikal

pendidikan, menguasai kurikulum dan metodologi pengajaran. Moore (1995) pula

mendefinisikan guru sebagai pakar dalam pengajaran, iaitu merancang, memandu dan menilai

pembelajaran. Maka bakal guru perlu mengikuti latihan perguruan sebelum digelar sebagai

guru.Guru yang berkesan akan menjayakan proses pendidikan negara. Bagi Mok Soon Sang

(1996), guru merupakan tenaga ikhtisas dalam bidang perguruan untuk mendidik dan

menyebarkan ilmu pengetahuan kepada murid-murid di institut pendidikan. Latihan mengikut

Kamus Pelajar membawa maksud didikan untuk menjadikan seseorang itu mahir. Manakala

perguruan menurut Awang Had (1998), ialah satu proses untuk menjadi guru. Guru yang

dimaksudkan ialah guru yang bertugas mengajar secara formal di sekolah-sekolah rendah,

sekolah-sekolah menengah dan sekolah menengah atas bantuan kerajaan. Gabungan dua

perkataan tersebut membawa maksud proses pendidikan untuk melahirkan guru-guru yang

berkemahiran iaitu satu jangka masa untuk mempelajari teknik mengajar menurut Farrant (1977).

Moore (1995) pula mendefinisikan guru sebagai pakar dalam pengajaran, iaitu merancang,

memandu dan menilai pembelajaran.

1.2 Pendidikan Guru Malaysia

Istilah pendidikan guru mula digunakan secara rasmi pada tahun 1981 menggantikan istilah

latihan perguruan yang telah digunakan sebelumnya berikutan penukaran nama Bahagian

Latihan Perguruan (BLG) kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Maka dengan itu juga

tempoh program pendidikan guru di maktab telah dilanjutkan daripada dua tahun kepada tiga

tahun seperti dilaporkan dalam Laporan Jawantan Kuasa Kabinet, 1979. Selaras dengan itu,

pembinaan beberapa buah maktab perguruan membuktikan bahawa betapa pentingnya usaha

untuk melahirkan guru-guru yang bertauliah. Hal ini adalah kerana pendidikan guru merupakan

satu aspek yang amat penting dalam menentukan kejayaan polisi kerajaan seperti yang

ditegaskan oleh Francis Wong Hoy Kee dan Paul Chang Ming Phang (1975); “Teacher

education is perhaps the most important aspect of educational policy in Malaysia because

teachers are responsible for translating educational goals into reality”. Pendidikan guru di

Malaysia adalah satu tindakan yang dilakukan oleh kementerian Pelajaran Malaysia untuk

mendedahkan kaedah dan teknik pengajaran secara formal kepada setiap bakal guru, sama ada di

maktab-maktab perguruan atau di pusat-pusat pengajian tinggi awam bagi menyesuaikan bakal

guru dengan tugas apabila berada dalam bilik darjah nanti (Wan Harun bin Wan Yaacob, USM,

2008). Maka kursus perguruan asas adalah program pendidikan yang bertujuan memberi

pengetahuan dan kecekapan bagi membolehkan mereka menjadi guru yang berkesan.

1.3 Bahagian Pendidikan Guru (BPG)

Bahagian Pendidikan Guru memainkan peranan penting dalam pemilihan guru untuk mengikuti

kursus perguruan untuk ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Malaysia(IPGM) yang

dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan. Wan Harun bin Wan Yaacob (2008) menyatakan

institusi pendidikan guru berusaha melahirkan guru-guru yang berkualiti atau berkebolehan agar

dapat melaksanakan tugas mendidik dengan berkesan. Bahagian Pendidikan Guru menumpukan

fokus kepada urusan latihan dalam perkhidmatan dan deiletakkan di bawah penyeliaan Timbalan

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM). Syarat kemasukan guru ke profesion perguruan

adalah seperti berikut iaitu Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lulus setaraf, Sijil

Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.

1.4 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)

Institut Pendidikan Guru Malaysia merupakan sebuah institut pengajian tinggi yang melatih

bakal-bakal guru yang terdiri daripada pelajar Kurusus Perguruan Lepasan SPM ((KPLSPM),

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK), Kursus Dalam

Cuti (KDC), Kursus dalam Perkhidmatan (KDP), Program Pensiswazahan Guru (PPG), Open

University Malaysia (OUM) dan Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI). Di Malaysia, semua

Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) ini dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia

Kementerian Pelajaran Malaysia (IPGM KPM) yang bertempat di Cyberjaya.

Visi IPG ialah Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Guru dan misinya adalah untuk melahirkan

guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke

arah pendidikan sekolah bertaraf dunia. IPG mempunyai 28 kampus cawangan dan sebuah

English Language Teaching Centre. Boleh dikatakan IPG mempunyai cawangan di semua negeri

di Malaysia.

Kampus-kampus tersebut adalah:

a) Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

b) Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa

c) Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang

d) Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

e) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail

f) Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya

g) Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas

h) Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh

i) Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau

j) Institut Pendidikan Guru Kampus Kent

k) Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu

l) Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu

m) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis

n) Institut Pendidikan Guru Kampus Persekutuan Pulau Pinang

o) Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam

p) Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik

q) Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang

r) Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar

s) Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri

t) Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim

u) Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan

v) Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau

w) Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim

x) Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan

y) Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun

z) Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussien Onn

Kerangka Kurikulum Kursus KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah)

B

il

Komponen Kredit Mata Pelajaran

1 Dinamika Guru 9 1.1 Kemahiran Belajar Secara Kiritis dan Kreatif.

1.2 Teknologi Maklumat

1.3 Pendidikan Islam & Tamadun Islam atau Pendidikan

Moral & Tamadun Islam

1.4 Pendidikan Alam Sekitar

1.5 Kemahiran Komunikasi Sosial – Bahasa Melayu Kini

2 Pendidikan

Pengkhususan

13

22

Mata Pelajaran Berkaitan Pengkhususan (Elektif 1)

Mata Pelajaran Berkaitan Pengkhususan (Elektif 2)

3 Elektif 3 Mata Pelajaran Sekolah (mengikut pilihan pengajian

pengkhususan)

4 Gerakerja

Ko-Kurikulum

(GERKO)

3 Pengurus Ko-Kurikulum Unit Beruniform dan Sukan

5 Praktikum 7 Latihan Mengajar di Sekolah

1.5 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)

Institut Pengajian Tinggi Awam ialah universiti yang banyak dibiayai secara awam melalui

kerajaan negara ataupun setempat. Antara IPTA yang menawarkan ijazah pendidikan ialah:

a) Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI

b) Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM

c) Universiti Utara Malaysia, UUM

d) Universiti Teknologi Mara, UiTM

e) Universiti Malaya, UM

f) Universiti Sains Malaysia, USM

g) Universiti Teknologi Malaysia, UTM

h) Universiti Malaysia Sabah, UMS

i) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM

Kerangka Kursus Pengajian IJSM (Ijazah Sarjana Muda)

BI

L

KURSUS

1. Pengujian, Pengukuran & Penilaian Pendidikan

2. Pedagogi Pendidikan

3. Pemikiran Strategik & Inovatif

4. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum

5. Sosiologi Pendidikan

6. Hubungan Etnik

7. Psikologi Pendidikan

8. Kaedah Pengajaran & Pembelajaran ;

-Matematik Asasi, Pengajaran Matematik Sekolah Menengah (IJSMP Matematik)

2. Kualiti Pendidikan

Kualiti pendidikan bermula dengan kualiti seorang guru. Peningkatan kualiti pendidikan guru

merupakan satu usaha berterusan untuk melahirkan guru yang kreatif, berketrampilan dan

berakhlak mulia maka ini menunjukkan pentingnya latihan pendidikan guru diadakan untuk

meningkatkan kemahiran profesion guru seperti kemahiran berfikir, merancang, mengajar,

mengurus dan menilai supaya mereka dapat mendidik dan melahirkan pelajar yang berkualiti.

Kurikulum pendidikan guru adalah dinamik dan sentiasa diubahsuai supaya guru dilengkapkan

dengan pengetahuan baru dan sikap positif sejajar dengan pembentukan negara yang progresif.

Menurut Salehudin Hj. Sabar (2005) pengubahsuaian kurikulum menuntut para pendidik

membuat peranjakan minda untuk melahirkan guru permulaan yang cekap teknologi dan yakin

menghadapi perubahan dan menangani cabaran persekitaran sekolah semasa. Oleh itu, menjadi

harapan negara agar guru dapat memainkan peranan dalam mendidik anak bangsa menjadi

warganegara yang berguna (Salehudin, 2005). Sesungguhnya berdasarkan pembentangan

Rancangan Malaysia ke Sepuluh (RMK10) bab lima yang menyentuh mengenai membangun dan

mengekalkan modal insan bertaraf dunia, kualiti perguruan perlu ditingkatkan secara signifikan

kerana kualiti guru lebih mempengaruhi prestasi pelajar dan menambah baik kaedah pengajaran

dalam bilik darjah adalah cara terbaik meningkatkan pencapaian pelajar (Sanders dan Rivers

(1996).

3. Kepentingan Kursus Perguruan

Kursus Perguruan sangat penting untuk membentuk seorang guru yang berprofession, bersahsiah,

berilmu pengetahuan, berkemahiran ikhtisas, mempunyai nilai-nilai murni, melahirkan nilai

keguruan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,Falsafah Pendidikan Guru. Kursus

Perguruan juga dapat melahirkan insan yang berprofessional,berkualiti,cekap,yakin dan

kemahiran tinggi. Guru juga didedahkan dengan pengkhususan matapelajaran supaya cekap

mengajar subjek tersebut kepada pelajar. Selain itu,kursus perguruan akan menentukan skim

perjawatan mengikut pencapaian pendidikan dan juga penentu perkembangan staff untuk

menentukan guru cemerlang. Guru akan didedahkan dengan aktiviti ROS dan Praktikum untuk

memantapkan lagi bidang profession sebagai seorang guru. Konsep ROS memberi peluang

kepada guru pelatih memahami sekolah sebagai institusi pendidikan dan peranan guru dalam

bilik darjah,merupakan pendedahan awal guru pelatih tentang alam persekolahan dari perspektif

seorang guru.

Guru pelatih diharap dapat memahami tingkah laku murid, pengurusan sekolah,

pengurusan bilik darjah, proses penyepaduan teori dan amalan dalam konteks pengajaran

pembelajaran menerusi pemerhatian, interaksi dan refleksi. ROS akan diadakan selama dua

minggu supaya guru mendapat gambaran awal tentang pengurusan sekolah. Praktikum adalah

kesinambungan ROS yang memberi peluang kepada guru pelatih mengamalkan pengetahuan,

kemahiran dan nilai keguruan secara reflektif dalam situasi sebenar bilik darjah dan sekolah.

Tujuan praktikum adalah menyepadukan teori dan amali pengajaran pembelajaran, menguasai

pelbagai strategi pengajaran pembelajaran dalam bilik darjah, mengenal pasti dan menyelesaikan

masalah pengajaran pembelajaran, memupuk sikap positif, membentuk daya kefahaman,

mengamalkan dan menghayati nilai profesion keguruan, mengamalkan refleksi dan penilaian

kendiri dalam semua aspek tugas bagi memperbembangkan potensi diri,menguasai pelbagai

strategi, perancangan dan pelaksanaan gerak kerja kokurikulum dan mengoptimumkan

kegunaan sumber teknologi dalam proses pengajaran pembelajaran. Mengikut (Workshop

Reports,1970;7) ,kejayaan pelaksanaan kurikulum dalam pendidikan adalah bergantung sejauh

mana seseorang guru dapat membentuk muridnya menjadi seorang berguna kepada masyarakat

dan negara. Hal ini adalah kerana kemahiran professional seseorang guru terletak pada

keupayaannya menggunakan ilmu pengetahuan dan dengan itu membentuk sikap dan nilai yang

betul. Melalui (Cabinet Committee Reports on the implimentation of National Education

Policy,1979) juga, “the three years training program has been introduced with the primary

objective of improving the quality of teacher education in this country‟‟.

3.1 Fokus Utama Perkembangan Profesionalisme Pendidikan Guru

Peranan yang dimainkan oleh institusi perguruan iaitu Maktab Perguruan dan IPTA untuk

meningkatkan kualiti guru-guru. Melalui Dasar Pendidikan Wawasan 2020, pelbagai perubahan

yang telah dibuat dalam kurikulum pendidikan guru, latihan sistem penilaian, matapelajaran

Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah, kursus IPG dan IPTA, Lembaga Peperiksaan dan

Bahagian Sekolah, Bahagian Sukan ,Jabatan Pendidikan Teknikal, Bahagian perancangan Pusat

Perkembangan Kurikulum dan penyelidikan dasar pentadbiran, Bahagian Buku Teks dan

Jemaah Nazir Sekolah. Mengikut Kajian Oleh Hapidah et al.(2002), faktor bimbingan memberi

sumbangan yang signifikan terhadap kualiti pembelajaran dan pengajaran di maktab perguruan.

Namun guru pelatih tidak mendapat bimbingan yang setimpal serta pensyarah dan guru

pembimbing telah di persetujui bersama serta pihak sekolah dan institusi pendidikan dan maktab

khususnya proses penyeliaan pengajaran di bilik darjah (JNSP1993). Dari sudut perbincangan

Grover(1989), semua pendidik seharusnya menjadi „instructional leader „dengan membolehkan

mereka menghadiri kursus yang berkaitan dengan penguasan sesuatu mata pelajaran ke tahap

ketrampilan kerja yang lebih bermakna. Melalui Marzita Puteh (2003, menegaskan seorang guru

cemerlang selalunya sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku di persekitaran. Selaras

dengan itu segala tindakannya akan berubah selari dengan desakan keadaan agar tidak

ketinggalan dengan perkembangan semasa.

Menurut Tuner dan Bash dalam Mohd Sani (2002), Guru cemerlang menunjukkan ciri

seperti komitmen profesional yang tinggi, pakar dalam semua bidang, sedia berkongsi

pengalaman, kebolehan mengajar idea utama dan kandungan subjek dan kebolehan mengurus

pelajar. Pelbagai cadangan pembentukan program pendidikan guru yang harus Bahagian

Pendidikan Guru perlu tinjau seperti negara yang diambilkira untuk menambah baik sistem

pendidikan di Malaysia contohnya sistem pendidikan Jepun. Guru di Jepun dihormati dan

dihargai dengan pemberian segala kemudahan terutama guru sekolah rendah mendapat gaji yang

lebih tinggi berbanding dengan pensyarah universiti yang mula berkhidmat. Semua guru sekolah

rendah adalah berijazah dan sekiranya tiada (segelintir kecil sahaja), mereka digalakkan

meneruskan pelajaran mereka dan semua sekolah Jepun adalah satu sesi dan ini memang sesuai

dengan iklim di sana. Sistem pendidikan Korea juga mempunyai keunikan tersendiri di mana

Perguruan Tinggi di Korea terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu, masa pendidikan 4 tahun dan 2

tahun. Masa pendidikan 2 tahun adalah mempelajari dasar-dasar keguruan tentang mata kuliah

keahlian, berbeza dengan masa pendidikan 4 tahun yang mempelajari ilmu secara keilmuan.

Dasar tahunan Universiti terbahagi menjadi Universiti Umum, Universiti Keguruan dan

Universiti Khusus. Universiti Keguruan contohnya pendidikan, komunikasi, pembukuan, teknik

manakala Universiti Khusus meliputi perpajakan, kepolisian dan akademik. Kemasukan ke

Universiti secara umum ditentukan nilai SMU dan setiap tahun mengikuti ujian kemampuan dan

bakat. Walaupun mereka dapat masuk ke Universiti dengan ke dua-dua nilai tersebut cara

pemilihan siswa sedikit berbeza di setiap Universiti kerana di setiap Universiti mempunyai

syarat-syarat tertentu. Seperti yang dinyatakan oleh Muhtar Bin Suhaili, Uia, 2004. Selain itu,

Sistem Pendidikan Jerman pula menekankan kepada pemahaman teori dan aplikasi praktikal

secara sekaligus. Selain itu, hubungan erat di antara pusat pengajian tinggi dan industri (sekolah)

juga membolehkan graduan yang dihasilkan adalah benar-benar mahir, berkebolehan, menguasai

sepenuhnya bidang yang mereka ceburi dan secara langsung boleh mengatasi dilema siswazah

menganggur. Sistem pendidikan yang diamalkan di Negara Jerman adalah Sistem Pendidikan

Percuma.

4. Isu-isu Yang Melibatkan Pensijilan Guru di Malaysia

4.1 Tempoh Pengajian Yang Tidak Setara

Kualiti guru adalah laluan ke arah pendidikan cemerlang, sekali gus menjadi tulang belakang

pencapaian sekolah dan menentukan hasil pelajar. Maka seseorang guru perlu menerima latihan

dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang terlatih serta bertauliah. Tempoh pengajian

bagi program DPLI dan KPLI adalah ditetapkan selama setahun setengah (KPM, 2011).

Manakala tempoh bagi program ISMP di universiti tempatan adalah selama 4 tahun manakala

pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu menjalani latihan perguruan selama 5

tahun setengah. Di samping mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kuliah,

bakal-bakal guru ini juga perlu menjalani aktiviti kokurikulum sebagai sebahagian daripada

kurikulum kursus. Perbezaan tempoh ini seharusnya tidak memberikan impak yang besar

walaupun perbezaan latar belakang latihan perguruan diantara setiap bakal guru tersebut. Mereka

perlu berusaha untuk mempertingkatkan diri ke arah yang lebih baik dari segi akademik dan

profesional sekiranya latihan perguruan yang diperolehi dirasakan tidak mencukupi. Selaras

dengan pendapat Zainun (1994), peranan guru sebagai profesional adalah semakin mencabar dan

untuk menjadi seorang guru yang unggul, mereka perlu memiliki kebolehan akademik dan

profesional secukupnya untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

4.2 Penguasaan Kemahiran Isi Kandungan dan Ikhtisas

Program KPLI dan DPLI ini boleh melahirkan guru dalam tempoh pengajian kira-kira setahun

setengah dengan bidang serta pengkhususan mengenai pendidikan dengan harapan dapat

melahirkan guru yang berkualiti dan bermotivasi. Jika tempoh latihan terlalu singkat, penguasaan

ilmu pengkhususan dan ikhtisas oleh seseorang bakal guru mungkin tidak mencukupi.

Pendidikan ikhtisas adalah program pendidikan yang menyediakan matapelajaran berbentuk

ikhtisas. Di dalam Akta Pendidikan 1996 tercatat beberapa perkara penting yang disenaraikan

mengenai keperluan pendidikan termasuk maktab-maktab perguruan. Program berbentuk

pendidikan ikhtisas hanya disediakan di Maktab Perguruan, Universiti Perguruan dan dibawah

Fakulti Pendidikan di sesetengah Universiti sahaja.

Jadual di bawah menunjukkan perbezaan kursus ikhtisas yang diambil oleh pelajar program

DPLI/KPLI dan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Sumber : Buku Panduan Program UPSI, 2010)

BIL IJSMP DPLI/KPLI

1. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum Falsafah dan Perkembangan Pendidikan

Malaysia

2. Sosiologi Pendidikan Sekolah & Masyarakat

3. Psikologi Pendidikan Aplikasi Psikologi Dalam Pendidikan

4. Pedagogi Pendidikan

5. Hubungan Etnik

6. Asas Teknologi Maklumat & Komunikasi

7. Bimbingan dan Penasihatan

8. Pengujian, Pengukuran & Penilaian

Pendidikan Pentaksiran Pembelajaran

9. Etika dan Profesionalisme Keguruan

10. Pemikiran Strategik & Inovatif

11. Rekabentuk Instruksional dan Teknologi Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan

12. Teori dan Kaedah Pengajaran Keadah Pengajaran

13. Kaedah Penyelidikan Pendidikan

14. Kokurikulum Pengurusan Kokurikulum

Ikhtisas di dalam Kamus Dewan (2007:564) berkaitan dengan pekerjaan atau profesion

yang memiliki sijil yang disahkan. Ikhtisas juga didefinisikan sebagai pekerjaan yang

memerlukan latihan dan pendidikan yang mendalam, sentiasa belajar berfikir, merancang dan

menilai murid-murid, mempunyai pengetahuan yang luas, kemahiran dan kaedah penyampaian

yang cekap. Jika dilihat secara perbandingan diantara kedua-dua program ini, jelas kelihatan

terdapat kursus ikhtisas yang tidak ditawarkan kepada pelajar program diploma pendidikan.

Pelajar DPLI dan KPLI hanya mempelajari subjek yang hanya menjurus kepada buku teks

sekolah sahaja, manakala pelajar IJSMP mempelajari kursus yang jauh lebih mendalam

berbanding apa yang terkandung di dalam buku teks. Ini jelas menunjukkan pelajar IJSMP lebih

bersedia dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi untuk menghadapi alam profesion

perguruan yang mencabar masa kini. Ini kerana, setiap bakal guru haruslah mempersiapkan diri

dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi sebelum mereka layak bergelar guru yang

profesional.

4.3 Minat Kepada Profesion Perguruan

Terdapat banyak faktor pelajar DPLI dan KPLI memilih profesion perguruan sebagai kerjaya.

Minat memainkan peranan besar dalam pemilihan profesion kerana ia akan memberi impak yang

besar dalam sesuatu pekerjaan. Dengan minat yang mendalam dalam bidang perguruan, seorang

guru akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ismail (1992) menyatakan minat terhadap sesuatu perkara atau aktiviti mendorong seseorang

untuk meneroka dengan lebih jauh. Seseorang yang berminat dengan pekerjaan yang dilakukan

akan memastikan kerja yang dilakukan sempurna dan dapat diterima oleh orang ramai. Menurut

Mohamed Najib Abdul Ghafar & M. Noor Ariffin (2008) minat pelajar jurusan pendidikan

semakin berkurang setelah mengikuti kursus perguruan selama 4 tahun di Institusi Pengajian

Awam. Untuk meningkatkan minat yang tinggi, pihak fakulti seharusnya mengkaji kembali

silibus yang dicadangkan kepada pelajar agar latihan yang sempurna dan lengkap daripada

semua aspek perguruan diberikan kepada calon guru ini.

Begitu juga situasi bagi seorang pelajar DPLI dan KPLI yang memilih profesion

perguruan hanya kerana faktor kerjaya. Setelah selesai memperolehi ijazah dalam pelbagai

bidang seterusnya tidak berjaya mendapatkan kerja atau pekerjaan semasa dirasakan

membebankan, mereka akan memilih profesion perguruan sebagai kerjaya yang terakhir. Jika

keadaan ini dibiarkan berterusan berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia, bidang

pendidikan akan dihuni oleh mereka yang tidak berminat untuk menhajar di sekolah dan

akibatnya menjejaskan mutu pendidikan negara

4.4 Lambakan Guru Dan Guru Tidak Mengajar Opsyen

Ramai yang menganggap kerjaya perguruan ini merupakan salah satu kerjaya yang diceburi

sebagai batu loncatan sahaja setelah tiada pekerjaan tetap. Mereka memilih kerjaya perguruan ini

setelah gagal memasuki bidang-bidang lain dan guru menjadi pilihan mereka yang terakhir.

Apabila fenomena ini berlaku, ia menyebabkan jumlah guru tidak terkawal jumlahnya dan tidak

mengikut kekosongan dan keperluan yang sebenar. Pada tahun 2003, dilaporkan seramai 13,000

graduan Sains dan Matematik di seluruh negara tidak mengajar opsyen yang sepatutnya. Mereka

mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa

mengikuti latihan semula subjek lain. (Berita Harian, Februari 2003). Lambakan guru sains dan

matematik ini juga berpunca daripada penempatan pelajar DPLI dan KPLI daripada jurusan yang

sama yang bertaburan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Untuk mengatasi masalah tersebut Kementerian Pelajaran telah menganjurkan program

terbaru khas untuk guru-guru opsyen Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik yang kurang atau

tidak mengajar opsyen asal untuk menjalani Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

Program ini hanya dijalankan selama 12 minggu di universiti tempatan yang terpilih. Antara

bidang subjek yang ditawarkan kepada guru sains dan matematik ini ialah Sejarah, Bahasa

Melayu, Kemahiran Hidup, Pendidikan Jasmani & Kesihatan serta Geografi. Program seumpama

PITO ini juga serba sedikit akan mengubah persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan

kerana seserang guru yang tidak berkemahiran juga boleh mengajar sesuatu subjek tersebut

dengan hanya menjalani kursus dalam jangka masa yang singkat sahaja. Secara tidak langsung,

ianya menidakkan latihan perguruan yang dijalankan di Malaysia secara amnya. Seharusnya,

latihan perguruan mestilah setara tempohnya dan bermutu sebagaimana yang ditentukan oleh

badan penilai yang mempunyai autoriti serta mempunyai pengalaman dalam profesion perguruan.

4.5 Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (IJSMP) Dipinggirkan

Di antara isu dan permasalahan yang sering diperkatakan ialah kehadiran pelajar DPLI dan KPLI

ini telah menjejaskan urusan penempatan pelajar IJSMP yang sepatutnya diberi kelebihan

kerana mereka telah menjalani latihan perguruan yang lebih lama. Isu yang terbaru iaitu seramai

5,000 mahasiswa IJSMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menuntut Kementerian

Pelajaran memberi jaminan penempatan sekolah kepada mereka sama seperti Guru Sandaran

Tidak Terlatih (GSTT). GSTT ialah guru sementara yang tidak mendapat latihan perguruan dan

telah berkhidmat di sekolah kurang daripada dua tahun. Pada akhir tahun 2011, seramai 7079

orang GSTT ditawarkan program DPLI selama 18 bulan di universiti tempatan sebelum diserap

ke jawatan tetap, (Berita Harian, November 2011).

Tempoh perkhidmatan 18 bulan adalah tidak mencukupi untuk melayakkan GSTT ini

untuk diserap berkhidmat secara tetap sebagai Pegawai Pekhidmatan Siswazah. Kementerian

Pelajaran Malaysia masih mengambil iniasitif untuk menyerap masuk GSTT ini yang tempatnya

sepatutnya diisi oleh ribuan pelajar IJSMP yang masih menunggu panggilan untuk penempatan.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Afiq Fikri Mislan berkata, graduan UPSI

telah dilatih untuk menjadi guru sebenar, berkualiti serta berkelayakan dan bukannya GSTT yang

pada hematnya tidak berkelayakan untuk menjadi seorang guru yang wibawa kerana latihan

perguruan mereka tidak setanding graduan IJSMP, (Berita Harian, November 2011). Mungkin

sudah tiba masanya pelaksanaan program DPLI ini dikaji semula apatah lagi apabila terdapat

pelajar pengajian pendidikan tidak mendapat tempat mengajar kerana perlu bersaing dengan guru

lepasan DPLI ini. Sedangkan tujuan utama pelaksanaan DPLI sebelum ini adalah untuk

menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini

menjadi sebaliknya.

5. Cadangan dan Kesimpulan

Profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan

yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan

mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Pemilihan

profesion ini sebagai bidang terakhir untuk diceburi adalah satu tanggapan yang salah.

Masyarakat haruslah sedar cabaran dan bebanan tugas yang dihadapi oleh golongan guru

sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini.

Usaha Kementerian Pendidikan selama ini dalam meningkatkan mutu pensijilan guru

haruslah dipandang tinggi. Namun sekiranya Kerajaan Malaysia ingin memartabatkan Profesion

Perguruan di Malaysia, maka seharusya kualiti guru perlu diiktiraf melalui Pemberian Lesen

Guru kepada setiap guru yang mempunyai kelulusan iktisas perguruan. Pada awal Tahun 1980

dan 1990 ke arah lesen guru ini telah wujud dengan setiap guru mesti mempunyai permit (Buku

Biru) sebelum dibenarkan mengajar. Guru sementara yang tidak mengikuti latihan perguruan

hanya dibenarkan memiliki permit sementara dan perlu diperbaharui setiap tahun. Pada ketika itu

semua guru yang mengajar merasakan mereka mempunyai integriti yang tinggi kerana mereka

diiktiraf dan profesional dalam pekerjaan telah diterjemahkan dengan pemilikan sijil perguruan

dan permit guru.

Lesen guru adalah merupakan kaedah yang releven serta boleh mengekalkan integriti

guru dari mula ianya diiktiraf sebagai guru sehingga akhir hayat. Secara tidak langsung pihak

berwajib lebih senang untuk membuat kawalan standard kualiti guru, produktiviti guru disemua

peringkat pendidikan sama ada disekolah pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan

pengajian tinggi awam dan swasta. Tambahan pula Kementerian Pelajaran hari ini telah diterajui

bersama oleh golongan bukan professional perguruan terutama dari kalangan Pegawai

Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Maruah dan martabat guru akan terserlah melalui

pemilikan lessen profesional perguruan sebagaimana dinyatakan oleh YB Dato‟ Dr Fuad Zarkasi,

Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. (Berita Harian, 2011)

RUJUKAN

1. Atan Long. 1984. PendidikdanPendidikan. Petaling Jaya: Fajar Bakti, Daisy Ee (1974)

dan Obura (1974).

2. Awang Had Salleh (1998)“Latihan Perguruan untuk Sekolah Berkesan”, Universiti

Malaya, Kuala Lumpur.

3. Buku Panduan Kemasukan Ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam: Program Pangajian

Lepasan Matrikulasi Sesi Akademik 2003/2004. Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan

Malaysia.

4. Francis Wong Hoy Key and Paul Chang Min Phang (1975) “The Changing Pattern of

Teacher Education in Malaysia” di dalam Wan Harun Wan Yaakob (2008), USM.

5. Ismail Haji Reduan. 1992. Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kejayaan Pengajaran dan

Pembelajaran Matematik di Kalangan Murid Sekolah Rendah. Jurnal Akademik MPKT.

Kuala Terengganu. 137-147.

6. Kementerian Pendidikan Malaysia (1979). “Laporan Jawatankuasa Kabinet, Mengkaji

Pelaksanaan Dasar Pelajaran.” Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka.

7. Mohamed Najib Abdul Ghafar& M. Noor Ariffin(2008). Kesan Latihan Perguruan Ke

Atas Faktor Pemilihan Perguruan. Jurnal Teknologi, 48(E) Jun 2008: 15–31 ,Universiti

Teknologi Malaysia.

8. Salehudin Hj. Sabar (2005).“Kertas Konsep Faktor-Faktor Graduan Berkerjaya Memilih

Kursus Perguruan Lepas Ijazah- Pengkhususan Sekolah Rendah”. Jurnal Penyelidikan

MPBL. 6. 35-52.

9. Sanders, W.L. dan Rivers, J.C. 1996. Cumulative and Residual Effects of Teachers of

Future Students Academic Achievement.

10. Wan Harun Wan Yaacob (2008). “Pendidikan guru di Malaysia”. UniversitiSains

Malaysia, Skudai Johor, Malaysia.

11. Zainun. 1994. Profesion Guru dan Cabaran. Mestika, November.

12. RMK 10 2011-2015. Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (2012). Diperoleh

pada 20 Mac 2012 daripada http://www.moe.gov.my/.

13. Berita Harian. 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ke Jawatan Tetap (20

Disember 2011).

14. Berita harian. 13,000 Graduan Sains dan Matematik di Seluruh Negara Tidak Mengajar

Opsyen. (23 Februari 2003).

15. Kamus Dewan Edisi Keempat , (2007 : 564).