pengajaran al quran minoriti muslim di selatan vietnam final

26
PENGAJARAN AL-QURAN KEPADA GOLONGAN MINORITI : SOROTAN PENGALAMAN MASYARAKAT ISLAM CHAMPA DI SELATAN VIETNAM Mohd Ali bin Mohd Yusuf Dr. Rohaizan bin Baru Wan Hishamuddin bin Wan Jusoh Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Darul Iman Malaysia 21300 Gong Badak Kuala Terengganu ABSTRAK Umum mengetahui terdapat banyak golongan minoriti Islam yang hidup terasing di negara bukan Islam. Bagi menerus kelangsungan akidah dan syariat Islam yang dianuti, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Dasar kerajaan pula sudah pasti tidak meyebelahi umat Islam di negara tersebut. Justeru kertas kerja ini cuba melihat kehidupan satu golongan minoriti Islam di Vietnam yang semakin dilupakan kehadiran mereka oleh masyarakat dunia. Perbincangan dimulakan dengan menyorot sejarah kerajaan melayu Champa dan kewujudan bangsa Cham sebagai golongan minoriti di Vietnam. Seterusnya penulis akan melihat mengapa Islam kekal bertapak di sanubari bangsa Cham dan kaitannya dengan pelaksanaan pengajaran al-Quran di kalangan masyarakat Islam tersebut. Fokus diberikan kepada kaedah pengajaran al-Quran, masalah dan kekangan yang dihadapi oleh mereka di dalam menyampaikan wahyu itu kepada generasi berikutnya. Melalui kertas ini diharap dapat mendedahkan kepada masyarakat mengenai perjuangan golongan minoriti di dalam memartabatkan al-Quran sebagai asas untuk

Upload: mohd-ali-mohd-yusuf

Post on 29-Jul-2015

59 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Untuk Seminar SQ2010

TRANSCRIPT

Page 1: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

PENGAJARAN AL-QURAN KEPADA GOLONGAN MINORITI :

SOROTAN PENGALAMAN MASYARAKAT ISLAM CHAMPA

DI SELATAN VIETNAM

Mohd Ali bin Mohd YusufDr. Rohaizan bin Baru

Wan Hishamuddin bin Wan JusohFakulti Pengajian Kontemporari Islam

Universiti Darul Iman Malaysia21300 Gong BadakKuala Terengganu

ABSTRAK

Umum mengetahui terdapat banyak golongan minoriti Islam yang hidup terasing di negara bukan Islam. Bagi menerus kelangsungan akidah dan syariat Islam yang dianuti, mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran. Dasar kerajaan pula sudah pasti tidak meyebelahi umat Islam di negara tersebut. Justeru kertas kerja ini cuba melihat kehidupan satu golongan minoriti Islam di Vietnam yang semakin dilupakan kehadiran mereka oleh masyarakat dunia. Perbincangan dimulakan dengan menyorot sejarah kerajaan melayu Champa dan kewujudan bangsa Cham sebagai golongan minoriti di Vietnam. Seterusnya penulis akan melihat mengapa Islam kekal bertapak di sanubari bangsa Cham dan kaitannya dengan pelaksanaan pengajaran al-Quran di kalangan masyarakat Islam tersebut. Fokus diberikan kepada kaedah pengajaran al-Quran, masalah dan kekangan yang dihadapi oleh mereka di dalam menyampaikan wahyu itu kepada generasi berikutnya. Melalui kertas ini diharap dapat mendedahkan kepada masyarakat mengenai perjuangan golongan minoriti di dalam memartabatkan al-Quran sebagai asas untuk mengekalkan ajaran Islam yang dianuti walaupun terpaksa menempuh arus pertentangan politik dan iklim setempat.

Page 2: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

ISLAM DI VIETNAM

Kewujudan minoriti masyarakat Cham Islam di Vietnam merupakan satu catatan sejarah

yang panjang dan penuh berliku. Teori bagaimana Islam sampai ke Vietnam dan diterima

oleh masyarakat Cham masih menjadi kajian ahli sejarah sehingga kini.

Menurut Mohamad Abu Bakar (2000: 24), siapakah yang membawa risalah Islamiah dan

daerah manakah yang terlebih dahulu menerima agama Islam merupakan satu polemik

yang tidak dapat diputuskan. Namun begitu, beliau merumuskan bahawa rantau (Asia

Tenggara) ini telah menerima pengaruh Islam dari pelbagai penjuru - Tanah Arab, Benua

China, Benua Kecil India dan Parsi.

Menurut Steinberg et. al. (1975: 37), anutan awal penduduk selatan Vietnam ialah agama

Buddha Hinayana yang turut dianuti oleh penduduk di India, Sri Lanka, Burma, Thailand,

Kampuchea dan Laos.

Manakala Islam pula mula sampai ke kawasan sejak abad ke-10 M lagi dan mula

berkembang pada abad ke-11 M sebagaimana catatan sejarah oleh dinasti Song China

(Siddik Taouti 1985 : 197). Namun agama Islam mula diterima oleh masyarakat Cham

apabila pemerintah Kerajaan Champa iaitu Bo Tri Tri yang memerintah pada tahun 1478

dan para penggantinya menerima ajaran Islam yang dibawa masuk melalui pelabuhan-

pelabuhan Panduranga dan Kauthara (Mohd Zain Musa 2003: 23).

MASYARAKAT CHAM DI VIETNAM

Sejarah Masyarakat Cham di Vietnam bermula dari kerajaan Champa sebuah empayar

Melayu yang agung pada suatu masa dahulu. Ia muncul pada abad ke-2 M hingga abad

ke-15 M (Hassan Suhaimi, 2003: 6 dan 9).. Nama Champa disebut buat pertama kalinya

dalam 2 inskripsi bahasa Sanskrit satunya bertarikh 658 M yang ditemui di bahagian

tengah Vietnam dan satu lagi di Kampuchea bertarikh 668 M (Mohd Zain Musa, 2003:

2

Page 3: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

14). Wilayah Champa mencapai tahap kemuncak perluasan pada abad ke-8 M. Ia bermula

dari gate of Annam di utara hingga ke lembah Donnai di selatan Vietnam.

Kerajaan Champa sentiasa menghadapi konflik politik dengan Kerajaan Nam Viet (kini

dikenali sebagai Vietnam). Champa mula tergugat apabila Kerajaan Nam Viet berjaya

membebaskan diri daripada cengkaman China pada tahun 939 M (ibid : 23). Kerajaan

Nam Viet telah melakukan banyak serangan ke atas Kerajaan Champa dan secara

beransur-ansur mereka berjaya menakluki wilayah-wilayah Champa. Menurut Mohd

Zain Musa (2003: 24), sehingga tahun 1653, Kerajaan Champa hanya tinggal negeri

Panduranga. Pada tahun 1832, Kerajaan Nam Viet di bawah pemerintahan Raja Minh

Menh telah menyerang Panduranga dan berjaya menamatkan pemerintahannya.

Dengan kekalahan kerajaan Champa pada peperangan ini maka lenyaplah sebuah

kerajaan yang pernah menjadi kuasa besar dan masyhur pada suatu ketika dahulu

daripada peta dunia buat selama-lamanya (lihat Abdul Rahman al-Ahmadi 1989: 644). Ia

merupakan satu titik hitam dalam sejarah umat Islam Asia Tenggara kerana sejak

kedatangan Islam ke Champa hampir keseluruhan rakyat Champa sama ada di Vietnam

atau di luar Vietnam adalah orang-orang Islam (Mohd Zain Musa 2003: 13).

Selepas kehancuran kerajaan Champa, orang-orang Cham telah melarikan diri malah

menjadi pelarian di negara sendiri. Mereka sentiasa diburu oleh musuh-musuh dalam

usaha melenyapkan terus ketamadunan Champa dan semangat untuk mengembalikan

semula kerajaan tersebut. Orang Cham pada asalnya menghuni di kawasan pesisir pantai

telah berpecah. Sebahagian mereka telah melarikan diri ke kawasan pergunungan dan

sebahagian lagi telah berasak ke selatan sehingga sampai ke Kemboja (Kampuchea).

Justeru pada hari ini, masyarakat Islam Cham di Vietnam telah berpecah menjadi dua

kelompok kecil. Satu kelompok masyarakat yang tinggal di dataran tinggi dan kawasan

pergunungan (montagnards) dan satu kelompok masyarakat lagi mendiami tanah rendah

di bahagian tengah Vietnam (Mohd Zain Musa 2003: 35). Kawasan tanah tinggi terletak

dalam wilayah Na Trang, Phan Rang, Phan Ri, dan Phan Thit berhampiran pesisir pantai

3

Page 4: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

(kawasan asal kerajaan Champa yang terdapat sejumlah kecil peninggalan arkeologi

terutama di Phan Rang), manakala kawasan tanah rendah menganjur dari kawasan

lembah di Vietnam tengah ke selatan hingga ke sempadan kemboja dalam wilayah An

Giang.

Menurut Prof. Kamal Hassan (2003: 1), pada hari ini, Vietnam dan negara-negara

jirannya seperti Thailand, Filipina, Kampuchea, Singapura, Myanmar dan Laos

merupakan negara minoriti muslim di Asia Tenggara. Mereka tidak bernasib baik

sebagaimana saudara seagama mereka di negara majoriti muslim. Secara normalnya,

mereka menghadapi ketidakpastian dalam aspek politik dan ekonomi selain daripada

masalah untuk mengekalkan identiti Islam mereka di negara majoriti non muslim yang

sudah tentu non muslim yang menjadi pihak majoriti mempunyai agenda politik,

ekonomi dan budaya tersendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak menghadapi

kesulitan besar dalam mempraktikkan kewajipan agama seharian seperti solat, puasa dan

haji.

Laporan yang dikeluarkan oleh International Religious Report pada tahun 2004

(http://www.state.gov/g/drl/rls/irf/2004/35433.htm) menunjukkan populasi rakyat

Vietnam ialah seramai lebih kurang 80 juta orang. Penganut Agama Islam hanya meliputi

kira-kira 0.1% daripada keseluruhan jumlah penduduknya, maka dianggarkan terdapat

kira-kira 65,000 orang Islam yang hidup berselerak meliputi barat wilayah An Giang,

bandaraya Ho Chi Minh, ibukota Hanoi dan wilayah pesisir pantai Selatan Vietnam.

Menurut Siddik Taouti (1985 : 198) sebelum kejatuhan Vietnam Selatan ke tangan regim

komunis dari utara terdapat lebih 60,000 orang Islam di seluruh Vietnam Selatan, namun

kini jumlahnya hanya tinggal lebih kurang 10,000 orang.

Masyarakat Cham merupakan menganut Islam teramai. Laporan oleh International

Religious Report pada tahun 2004 turut menyebut bahawa 50% daripada orang Islam

adalah menganut fahaman ahli sunnah wal-jamaah yang tertumpu di lima tempat iaitu

kira-kira 15,000 orang di Tan Chau barat wilayah An Giang yang bersempadan dengan

Kemboja, kira-kira 3,000 orang di barat wilayah Tay Ninh juga bersempadan dengan

4

Page 5: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

Kemboja, 5,000 tinggal di bandaraya Ho Chi Minh, 2,000 orang lagi di wilayah Dong

Nai dan 5,000 di pesisiran pantai Selatan di bahagian tengah Vietnam iaitu di wilayah

Ninh Thuan dan Binh Thuan. Manakala 50% lagi adalah penganut Cham Bani atau Islam

Bani.

Ajaran Islam Bani adalah anutan Islam yang diwarisi secara turun temurun kepada

masyarakat Cham di dataran tinggi dan kawasan pergunungan. Di peringkat awal

kehancuran kerajaan Champa, ajaran Islam yang diamalkan oleh mereka adalah ajaran

Islam yang benar dan tidak menyeleweng. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini,

demi menyelamatkan diri dari musuh, mereka telah melarikan diri bersembunyi di

kawasan tanah tinggi dan pergunungan. Mereka juga memutuskan hubungan dengan

orang Islam dari negara luar kerana takut persembunyian mereka diketahui musuh.

Justeru, setelah generasi yang pertama meninggal dunia dan digantikan oleh generasi

demi generasi selepasnya, ajaran Islam yang diwarisi dari nenek moyang mereka telah

menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Penganut Islam Bani hanya mengupah imam

mereka dalam melaksanakan ibadat. Di bulan Ramadhan contohnya, hanya imam yang

berpuasa dan mengambil upah berpuasa dari orang ramai. Orang awam tidak perlu

berpuasa dan hanya membayar upah kepada imam. Mereka juga mengadakan upacara

perayaan tradisional orang Cham di mana antara acara yang dirayakan ialah

penyembahan tuhan hindu, Upacara pengebumian juga tidak lagi menurut ajaran Islam

kerana mayat tidak ditanam, tetapi dibakar sebagaimana agama hindu.

Al-Quran yang dibaca oleh orang Islam Cham Bani juga berbeza dengan Al-Quran

sebenar. Al-Quran mereka hanyalah manuskrip tulisan tangan cham kuno setebal 20

halaman. Alunan al-Quran mereka tidak jelas, walaubagaimanapun masih boleh didengar

sebutan seakan-akan ayat-ayat lazim dari surah al-ikhlas, al-fatihah dan lain-lain.

Ringkasnya walaupun jumlah komuniti Islam di Vietnam pada hari ini sekitar 65,000

orang, tetapi masyarakat yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam hanyalah separuh

5

Page 6: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

darinya. Ini menjadikan masyarakat Islam Cham di Vietnam amat minoriti dan amat

terpencil.

USAHA MENJAGA KESUCIAN ISLAM

Sebagaimana yang telah ditegaskan, hanya sebahagian masyarakat Islam Cham yang

masih mengamalkan ajaran Islam sebenar dan tidak menyeleweng. Mereka adalah orang

Cham yang melarikan diri sehingga ke negara Kemboja. Manakala sebahagian kecil

menetap di sempadan Vietnam Kemboja di wilayah An Giang. Antara faktor yang

menyebabkan komuniti Islam Cham ini dapat mengekalkan anutan Islam tulen ialah

kerana adanya hubungan dengan orang Islam luar terutama dari negara Islam lain di Asia

Tenggara.

Menurut Mohd Zain Musa (2003: 37) ramai orang Cham meninggalkan tanahair tercinta

disebabkan Nam tien iaitu pergerakan Vietnam ke selatan. Mereka mencari tempat

perlindungan yang selamat untuk terus hidup. Kebanyakan mereka menetap di

Kampuchea (Kemboja). Di Kampuchea mereka bertemu dengan saudara mereka iaitu

orang melayu yang datang dari nusantara. Sejak kedatangan mereka di Kampuchea,

orang Melayu dan Cham disebut secara mudah masyarakat Melayu-Cham, hidup aman

damai bersama masyarakat Khmer yang membentuk masyarakat majoriti Kampuchea.

Kenyataan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa, masyarakat Champa yang

berhijrah ke selatan Vietnam (sempadan Kemboja) atau menetap di dalam Kemboja telah

mengadakan perhubungan dengan orang melayu Islam dari kepulauan melayu. Hubungan

ini secara tidak langsung dapat menyelamatkan anutan Islam mereka agar kekal

terpelihara dan tidak menyelewang seperti saudara mereka Cham Bani yang melarikan

diri ke kawasan tanah tinggi dan pergunungan. Hubungan antara orang Cham dan Melayu

juga telah disebut secara terperinci oleh Danny Wong Tze Ken melalui artikel beliau

Vietnam-Champa Relations And The Malay-Islam Regional Network In The 17th–19th

Centuries (http://kyotoreview.cseas.kyoto-u.ac.jp/issue/issue4/article_353.html)

6

Page 7: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

Menurut Hajjah Syarifah, pada mulanya komuniti Cham di sempadan Vietnam Kemboja

juga telah menyeleweng dari ajaran Islam sehinggalah datang seorang Islam dari luar

daerah (dikatakan dari tanah melayu) bernama Muslim yang digelar Tok Sayed oleh

masyarakat setempat. Beliaulah yang mula mengembalikan ajaran Islam tulen kepada

komuniti berkenaan. Tok Sayed juga telah meninggalkan tiga orang anak lelaki iaitu

Mustafa, Yahya dan Salleh. Makam beliau masih kekal wujud sehingga hari ini di Ko’

Kin. Salah seorang anak beliau iaitu Mustafa telah mengahwini wanita Cham di

Kemboja, manakala Yahya telah mengahwini wanita Cham di sempadan Vietnam dan

dari merekalah telah bercambah keturunan Melayu-Cham. Anak beliau yang ketiga iaitu

Salleh tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. (Temuramah dengan Hajjah Syarifah,

2008)

PENDIDIKAN MASYARAKAT CHAM VIETNAM

Hubungan masyarakat Cham di An Giang dengan saudara seagama mereka dari tanah

melayu telah mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sebenar. Dalam usaha

menjaga akidah agar tidak menyelewang, masyarakat di sini telah memilih untuk tinggal

di satu penempatan berhampiran sungai Mekong di kawasan pekan Chau Doc. Terdapat

lebih sepuluh perkampungan kesemuanya yang dihuni masyarakat Cham dan dinamakan

kampung itu dengan bahasa Cham di antaranya Long San, Koh Ghia, Koh Ghoe, Pulau

Bha, Koh Ghebuak, Koh Temboung, Puk Pe’oa’, Kin, Ko’ Kin dan Manjeru’ (lebih

dikenali dengan nama Chao Giang). Kesemua penempatan ini bersempadan dengan

Kemboja yang berjiran dengan saudara mereka dikalangan orang Cham Kemboja.

Masyarakat di sini telah menghantar anak-anak mereka untuk belajar agama di pondok-

pondok di wilayah Pattani, Kelantan dan Terengganu sejak lebih sedekad yang lalu.

Pondok Sheikh Daud Pattani, Pondok Tok Kenali dan Pondok Tok Ku Pulau Manis

7

Page 8: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

(Sheikh Abdul Malek) merupakan antara institusi pengajian penting yang dikunjungi oleh

anak-anak masyarakat Cham di Selatan Vietnam. Setelah tamat pengajian dan kembali ke

kampung halaman, mereka membuka kelas-kelas agama untuk mengajar Al-Quran dan

Fardhu Ain.

Menurut bekas penduduk Cham di penempatan Koh Temboung, sehingga awal tahun

1950, anak-anak masyarakat Cham tidak dihantar belajar secara formal di sekolah-

sekolah kebangsaan Vietnam sehingga majoriti masyarakat Cham di selatan Vietnam

pada masa itu tidak mampu membaca dan menulis bahasa Vietnam. Pendidikan yang

diterima hanyalah pengajian tradisional yang disampaikan oleh guru-guru Cham

berhubung dengan al-Quran dan fardhu ain. Sekiranya anak tersebut berpotensi dan

berminat, mereka akan dihantar untuk meneruskan pengajian Islam di pondok-pondok di

semenanjung tanah melayu (Temubual dengan Tuan Haji Mohd Yusuf Ahmad, 2008).

Oleh kerana guru-guru mendapat pendidikan dari tanah melayu, kitab-kitab yang

digunakan adalah dalam bahasa melayu tulisan jawi. Menurut Hajjah Syarifah yang

ditemui, semasa kecil beliau pernah mengaji kitab Sifat Dua Puluh, kitab Faridah al-

Faraid (asal dikarang oleh Syiekh Ahmad Al-Fatani), Munyatul Musholli (asal dikarang

oleh Syiekh Daud Al-Fatani), kitab Afrah (pada pandangan penulis kitab yang

dimaksudkan mungkin Wishahul Afrah karangan Muhammad bin Ismail Daud Fatani)

dengan guru-guru tempatan (temubual dengan Hajjah Syarifah, 2008).

Pengaruh bahasa melayu dan tulisan jawi yang ada di dalam kitab-kitab yang dipelajari

menyebabkan orang Melayu-Cham di Selatan Vietnam dan di Kemboja telah

menggunakan perkataan jawi sebagai medium untuk menulis bahasa Cham. Sebelum itu,

tulisan Cham adalah tulisan sanskrit kuno sebagaimana yang digunakan pada 2 inskripsi

bahasa Sanskrit satunya bertarikh 658 M yang ditemui di bahagian tengah Vietnam dan

satu lagi di Kampuchea bertarikh 668 M (lihat Mohd Zain Musa, 2003: 14). Masyarakat

Melayu-Cham juga menggunakan kata pinjaman bahasa melayu-arab untuk percakapan

seharian seperti perkataan salam, bilal, imam dan lain-lain.

8

Page 9: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

PENGAJARAN AL-QURAN DI MASJID, MADRASAH, SURAU DAN DI

RUMAH

Sebagaimana yang telah dijelaskan, masyarakat Islam Cham di Selatan Vietnam telah

kembali kepada ajaran Islam sebenar sekitar 150 tahun lampau melalui saudara mereka

dari tanah melayu. Mereka telah didedahkan dengan pendidikan Al-Quran dan fardhu ain

sejak dari itu supaya ajaran Islam yang dianuti tidak menyeleweng seperti saudara

mereka yang menganut Cham Bani. Setelah penghijrahan ke selatan Vietnam (sempadan

Kemboja), masyarakat Melayu-Cham di selatan Vietnam juga tidak berhubung dengan

saudara mereka dari golongan Cham Bani.

Kehidupan masyarakat Islam juga tidak dapat dipisahkan dari masjid. Justeru, setiap

perkampungan Melayu-Cham di sini akan dibina masjid untuk tujuan solat. Di

penempatan Menjeru’ (Chao Giang) sahaja terdapat dua buah masjid didirikan. Selain

dari itu, masjid juga menjadi tempat perayaan, perjumpaan dan perbincangan. Di

serambi-serambi masjid inilah kelas-kelas al-Quran telah diwujudkan. Bagi memberi

keselesaan kepada para pelajar mempelajari al-Quran, bangunan-bangunan tambahan

seperti madrasah dibina melalui kutipan derma dan gotong royong oleh masyarakat

setempat di dalam kawasan masjid. Selain dari itu kelas-kelas al-Quran juga telah

diadakan di surau-surau malah di rumah-rumah guru al-Quran.

TENAGA PENGAJAR AL-QURAN

Tenaga pengajar al-Quran terdiri daripada dua golongan. Pertama ialah tenaga mahir

yang dikenali masyarakat setempat sebagai Tun (atau Tuan bermaksud ustaz). Mereka

biasanya yang berkelulusan pondok di tanah melayu atau telah menghabiskan tahap

tertinggi menadah kitab dengan guru-guru tempatan. Para pelajar menggelar mereka

sebagai Oang Tun (bermaksud tok guru). Mereka mengajar al-Quran dan kelas fardhu ain

di masjid, madrasah dan surau.

9

Page 10: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

Kedua ialah tenaga pengajar biasa yang mengajar al-Quran di rumah-rumah. Majoriti

adalah kaum wanita yang telah kematian suami. Mereka hanya mengajar al-Quran kepada

kaum wanita, remaja perempuan dan kanak-kanak sahaja. Walaupun kurang mahir,

mereka tetap dihormati oleh penduduk tempatan dan digelar Mai Tun (bermaksud

ustazah).

Tenaga pengajar al-Quran ini, sama ada Oang Tun atau Mai Tun tidak mengharapkan

sebarang upah daripada anak murid mereka. Kelas-kelas dibuat secara percuma. Jika ada

pihak ibu-bapa yang perihatin dan ingin menghulurkan derma, maka ia akan diterima

dengan ikhlas. Sesetengah dari mereka mengabdikan diri sebagai guru al-Quran secara

sepenuh masa dan keperluan harian ditampung sepenuhnya melalui pemberian

masyarakat. Sebahagian yang lain melakukan kerja sampingan untuk menampung

keperluan hidup dengan menanam padi dan menangkap ikan.

KAEDAH PENGAJARAN AL-QURAN YANG DILAKSANAKAN

Memandangkan guru-guru al-Quran yang mahir mendapat pendidikan di sekolah-sekolah

pondok di tanah melayu, maka penerapan pengajaran al-Quran adalah menurut acuan

pendidikan yang dilalui mereka semasa di sekolah pondok. Justeru al-Quran diajar secara

Talaqqi atau secara mendengar terus dari guru dan seterusnya bacaan tersebut diulang

oleh pelajar sehingga lancar kemudian barulah guru akan pindahkan ke ayat-ayat yang

lain.

Seperti yang dikatakan, guru-guru al-Quran amat dihormati oleh masyarakat Melayu-

Cham. Mereka mendapat tempat yang teristimewa semasa perayaan, jamuan dan aktiviti

kemasyarakatan. Anak-anak yang dihantar kepada guru-guru akan disertakan dengan

akujanji untuk menyerahkan hak mendidik (ta’dib) kepada mereka tanpa rasa ragu. Ia

dilakukan melalui simbolik menyerah sebatang rotan kepada guru semasa anak dihantar

ke kelas al-Quran pada hari pertama. Satu perkara menarik, pendekatan sebegini

10

Page 11: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

menyebabkan guru amat digeruni oleh anak-anak murid. Adat ini turut dipraktikan oleh

masyarakat melayu dahulukala.

Kebiasaannya, para pelajar yang hadir ke kelas al-Quran dibahagikan kepada dua

kumpulan. Kumpulan pelajar lama yang telah khatam muqaddam dan telah beralih

kepada mushaf, kumpulan kedua ialah pelajar baru yang belum mengenali huruf

hija’iyyah dan belum khatam muqaddam. Bagi membantu melancarkan kelas al-Quran,

pelajar-pelajar yang telah lancar membaca al-Quran akan menolong rakan mereka yang

masih belum mampu membaca al-Quran dengan lancar.

Bagi peringkat permulaan, para pelajar menggunakan muqaddam sebagai medium

pembelajaran. Mereka akan menghafal huruf-huruf hija’iyyah dan mengenali baris-baris

al-Quran (Dhab). Setelah itu baru beralih membaca ayat-ayat lazim. Setelah Khatam

muqaddam, sudah menjadi tradisi masyarakat Cham untuk mengadakan sedikit jamuan.

Kemudian, para pelajar akan berpindah membaca mushaf al-quran.

Sebelum tahun 90 an, masyarakat Melayu-Cham hanya menggunakan mushaf imla’i

untuk membaca dan mempelajari al-Quran. Namun setelah kehadiran pendakwah Arab

dan pihak berwajib yang mewakili berbagai institusi dari Arab Saudi, Kuwait dan UEA

menyebabkan orang Melayu-Cham telah didedahkan dengan mushaf Rasm-Uthmani.

Pada hari ini, mushaf Rasm-Uthmani telah mula digunakan sebagai mushaf al-Quran bagi

menggantikan mushaf imla’i yang secara berperingkat-peringkat.

11

Page 12: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

MASALAH DAN KEKANGAN

Masalah dan kekangan yang dihadapi oleh masyarakat Cham di dalam melaksanakan

pengajaran al-Quran ini boleh dibahagikan kepada beberapa faktor berikut :

i. Tenaga Pengajar

Sistem pendidikan Islam yang tidak teratur menyebabkan berlakunya kekurangan guru al-

Quran kepada masyarakat Cham di selatan Vietnam. Sejak duhulu sehingga sekarang,

madrasah yang didirikan untuk menyampaikan ajaran Islam kepada anak-anak

masyarakat Cham tidak mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan (temubual

dengan Ap Do Romal, 2007).

Sebelum tahun 60an, guru-guru al-Quran yang mahir sebahagiannya adalah dari kalangan

anak-anak tempatan yang telah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah pondok di tanah

melayu. Setelah tercetusnya perang saudara di antara Vietnam Selatan dan Utara,

hubungan ini menjadi malap dan guru-guru al-Quran yang ada adalah dari kalangan

penduduk tempatan yang tidak mendapat pendidikan secara formal. Kekalahan Vietnam

Selatan dalam peperangan saudara tersebut menyebabkan ramai tenaga pengajar al-Quran

kepada masyarakat Cham lari meninggalkan kampung ke negara-negara ketiga di

antaranya ke Malaysia (lihat Mohd Zain Musa, 2003).

Menurut Ap Do Ramal, melihat kepada keperluan pendidikan Islam kepada generasi baru

masyarakat Cham di Vietnam Selatan masa kini, pihaknya telah berusaha menubuhkan

sebuah madrasah di bandaraya Ho Chi Minh. Pihak madrasah telah berusaha untuk

mendapatkan dana dan biasiswa bagi menghantar pelajar-pelajar Cham menyambung

pengajian di institusi-institusi swasta dan kerajaan di Malaysia. Menurut beliau, hasil dari

usaha tersebut, terdapat sebahagian pelajar Cham berjaya melanjutkan pengakian di

UIAM dalam pelbagai bidang. Walau bagaimanapun pihak madrasah masih kekurangan

guru, kewangan. Masalah kewangan menyebabkan guru-guru tidak dibayar gaji dengan

sempurna dan ini menyebabkan ramai yang tidak berminat untuk mengajar. (temubual

dengan Ap Do Romal, 2007).

12

Page 13: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

ii. Infrastruktur

Kelas-kelas al-Quran dijalankan di serambi masjid, madrasah, surau dan rumah.

Infrastruktur seperti masjid, madrasah dan surau dibina dengan hasil kutipan derma dan

gotong royong penduduk setempat tanpa mendapat bantuan dari pihak berkuasa. Keadaan

ini menjadikan kemudahan fizikal kelas-kelas pengajian al-Quran tidak selesa.

Hasilnya, kebanyakan pelajar tidak memilih untuk meneruskan pengajian di dalam

bidang ini ke peringkat yang lebih tinggi. Kelas-kelas al-Quran diikuti hanya sebagai

memenuhi tuntutan fardhu ain semata-mata. Selepas khatam al-Quran, kebanyakkan

pelajar akan menamatkan pengajian mereka di dalam bidang agama.

Di zaman moden yang serba canggih, para ibubapa lebih berminat menghantar anak-anak

mereka mengikuti pengajian kebangsaan Vietnam di sekolah-sekolah yang lebih moden

dan canggih. Persaingan sekolah kebangsaan Vietnam dengan kelas-kelas agama

walaupun tidak melenyapkan terus kewujudan kelas-kelas tersebut buat masa ini, tetapi

impaknya tetap di rasai oleh generasi baru masyarakat Cham.

Menurut Ap Do Ramal, keadaan ini harus ditangani segera oleh masyarakat Islam

antarabangsa supaya generasi minoriti Cham yang ada tidak terpinggir dari Islam di kala

orang Vietnam nampak mula berjinak dengan agama Islam.

iii. Sistem pengajaran

Sistem pengajaran al-Quran yang dilaksanakan di madrasah masih lagi secara tradisional

tatkala negara-negara Islam tetangga telah berubah. Contoh yang jelas ialah penggunakan

medium pengajaran. Kanak-kanak masyarakat Champa masih lagi menggunakan

muqaddam sebagai bahan pembelajaran, hanya terdapat segelintir kecil yang

menggunakan teknik terkini pengajaran al-Quran seperti IQRA’ dan BARQI melalui

guru-guru Cham yang pernah menetap di Malaysia.

Kebanyakkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara tidak formal terutama di

masjid-masjid, surau-surau dan di rumah. Ini bermakna para pelajar tidak terikat dengan

disiplin masa dan peraturan tertentu. Justeru komitmen untuk menghadiri kelas adalah

tertakluk kepada keinginan dan semangat para pelajar. Ia menuntut pengorbanan dari

ibubapa agar lebih peka dan sensitif dengan agama demi mengekalkan tradisi untuk anak-

anak menghadiri kelas al-Quran.

13

Page 14: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

Kelas-kelas yang tidak formal juga menyebabkan guru-guru tidak membuat persediaan

sewajarnya dari segi alatan bantuan mengajar. Lebih kepada pengajaran yang diwariskan

secara turun temurun, mereka hanya mengajar al-Quran sebagaimana kaedah yang

mereka warisi dari guru-guru mereka terdahulu. Dengan lain perkataan, guru-guru al-

Quran tidak ada kreativiti untuk merubah sistem sedia ada kepada satu sistem yang baik.

Ia adalah cabaran maha hebat untuk mengekalkan keseronokan mempelajari al-Quran di

era siber dan kemudahan teknologi maklumat.

iv. Pengaruh persekitaran

Pada tahun 1986 Kesatuan Sosialis Rakyat Vietnam telah mengamalkan dasar (doi Moi)

atau dasar pasaran bebas selepas menutup pintu kepada masyarakat luar sejak dari tahun

1975. Dasar ini telah membawa perubahan besar kepada ekonomi Vietnam.

Asiafoundation.org dalam laporannya telah menyebut bahawa Vietnam sedang

mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat setelah malaksanakan dasar ini, pada tahun

2005 selama 10 tahun berturut-turut ekonomi Vietnam tumbuh pada purata 8.4%.

Kesan pertumbuhan ekonomi ini telah berjaya merubah generasi baru Vietnam kepada

kehidupan yang lebih moden. Ini memberi kesan secara tidak langsung kepada generasi

muda masyarakat Melayu-Cham yang turut tidak mahu ketinggalan di dalam arus

pembangunan. Tempiasnya turut dirasai kelas-kelas al-Quran yang tidak lagi mendapat

sambutan sebagaimana dahulu.

Pembangunan negara yang lebih tertumpu di kawasan bandar besar menyebabkan

berlakunya penghijrahan masyarakat Islam ke kota bagi mencari peluang yang lebih baik.

Ini menjadikan masjid, madrasah dan surau-surau di penempatan masyarakat Melayu-

Cham di selatan Vietnam kurang dikunjungi. Akibatnya ada kelas-kelas al-Quran yang

terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan dari generasi baru.

14

Page 15: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

KESIMPULAN

Masyarakat Islam Cham memperlihatkan kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan

dan memelihara identiti walaupun mereka menghadapi pelbagai rintangan selepas

kejatuhan kerajaan Islam Champa sejak 300 tahun lampau. Lebih menarik, dan amat

perlu dibuat kajian lebih mendalam oleh ahli akademik ialah pengekalan identiti ini

adalah kerana faktor agama. Sama ada Cham Bani di bahagian tengah Vietnam atau

Melayu Cham di selatan Vietnam semuanya mengaku menganut agama Islam. Cuma

yang membezakan mereka ialah Islam yang dianuti oleh orang Cham Bani telah

menyeleweng manakala Islam yang diamalkan oleh orang Melayu-Cham adalah ajaran

benar dan terpelihara. Ini adalah kerana orang Melayu-Cham di selatan Vietnam

mempunyai hubungan dengan saudara Islam lain di nusantara.

Kertas ini juga secara jelas memperlihatkan keutuhan Islam itu terletak kepada usaha

mengekalkan al-Quran sebagaimana yang telah dilakukan oleh masyarakat Melayu-Cham

di selatan Vietnam sejak 150 tahun lampau. Walaupun hidup di negara musuh dan

berstatus terpencil, Islam tetap hidup di sanubari mereka kerana mengekalkan al-Quran

sebagai wadah pendidikan. Al-Quran perlu diajar kepada anak-anak dan diwariskan

kepada generasi seterusnya tanpa mengira kekangan atau rintangan hatta di negara yang

majoritinya adalah bukan Islam.

Sehingga kini, minoriti Islam Melayu-Cham di selatan Vietnam masih memperlihatkan

kesungguhan untuk terus memartabatkan pendidikan al-Quran dan usaha ini perlu

mendapat sokongan saudara seagama mereka dari negara lain. Jika dibiarkan golongan

minoriti ini sendirian, ditakuti 200 tahun akan datang mereka akan turut tewas

sebagaimana tertewasnya sebahagian masyarakat Cham (Cham Bani yang menyeleweng)

kerana mengharungi cabaran secara sendirian demi mempertahankan anutan mereka. Ini

adalah kerana cabaran dan kekangan semasa amat berat untuk ditempuhi oleh generasi

muda masyarakat Melayu Cham di Vietnam.

15

Page 16: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

SENARAI RUJUKAN

Abdul Rahman al-Ahmadi. 1989. Campa dalam beberapa naskhah sastera Melayu tradisi. Dlm. . Ismail Hussein et. al. (pnyt.). Tamadun Melayu. Jilid 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Abu Talib Ahmad. 1991. Sejarah Tanah Besar Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Asiafoundation 2008 (http://asiafoundation.org/resources/pdfs/VNEconomicDev.pdf) download pada 13 Ogos 2008, 12:30 pm

Danny Wong Tze Ken, Vietnam-Champa Relations And The Malay-Islam Regional Network In The 17th–19th Centuries (http://kyotoreview.cseas.kyoto-u.ac.jp/issue/issue4/article_353.html) download pada 23 April 2007, 5:57 pm

International Religious Report 2006 (http://www.state.gov/ g/drl/rls/irf/2006/71363.htm)download pada 24 April 2007, 12:55 pm

International Religious Report 2004 (http://www.state.gov/g/drl/rls/irf/2004/35433.htm)download pada 24 April 2007, 12:41 pm

Kahin, George M. T. 1982. Kerajaan dan politik Asia Tenggara (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Kamal Hassan. 2003. Islam in South East Asia today. Kertas kerja Conference on Eastern- Western Dialogue anjuran Casa Asia, Madrid. 29 Oktober.

Mohamad Abu Bakar. 2000. Islam dalam pembinaan tamadun di Malaysia. Dlm. Mohd. Taib Osman & A. Aziz Deraman (pnyt.). Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Mohd Zain Musa. 2003. Sejarah kerajaan Campa. Dlm. Mohamad Zain Musa dan Nik Hassan Suhaimi (pnyt.). Masyarakat Cam sepanjang zaman. Selangor: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

______________. 2003. Kehadiran orang Melayu dan Cam di Kemboja. Dlm. Mohamad Zain Musa dan Nik Hassan Suhaimi (pnyt.). Masyarakat Cam sepanjang zaman. Selangor: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

______________. 2003. Masyarakat Cam di Kemboja selepas zaman Khmer Rouge. Dlm. Mohamad Zain Musa dan Nik Hassan Suhaimi (pnyt.). Masyarakat Cam sepanjang zaman. Selangor: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

16

Page 17: Pengajaran Al Quran Minoriti Muslim Di Selatan Vietnam Final

Nik Hassan Suhaimi. 2003. Peradaban Campa dan Melayu lain sezaman di Timur Laut. Dlm. Mohamad Zain Musa dan Nik Hassan Suhaimi (pnyt.). Masyarakat Cam sepanjang zaman. Selangor: Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Po Dharma. 1989. Peranan tamadun Melayu dalam masyarakat Campa. Dlm. Ismail Hussein et. al. (pnyt.). Tamadun Melayu. Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Seddik Taouti 1985. "The Forgotten Muslims of Kampuchea and Viet Nam". Dlm. Datuk Ahmad Ibrahim, Yasmin Hussain, Sharon Siddique (pnyt.) Reading Islam in Southeast Asia : Singapore Institute of Southeast Asian Studies.

Temubual dengan Hajjah Syarifah Bt. Haji Abdul MalekLatarbelakang : Lahir pada tahun 1941 di Chau Doc, wilayah An Giang, Vietnam Selatan (ketika itu). Dikatakan beliau adalah generasi ke lima dari keturunan Tok Sayed (Muslim). Telah melarikan diri ke Malaysia pada tahun 1978 dan kini menetap di Kampung Pelar, Ajil Hulu Terengganu. Temuramah pada : 18 Julai 2008, jam : 4.00 ptg dan 31 Julai 2008, jam : 9.00 mlm).

Temubual dengan Tuan Haji Mohd Yusuf bin AhmadLatarbelakang : Lahir pada tahun 1944 di Chau Doc, wilayah An Giang, Vietnam Selatan (ketika itu). Telah berhijrah diri ke Malaysia pada tahun 1978 dan kini menetap di Kampung Pelar, Ajil Hulu Terengganu. Temuramah pada : 18 Julai 2008, jam : 5.00 ptg).

Temubual dengan Ap Do RomalLatarbelakang : Seorang Islam keturunan Cham di Vietnam. Guru di sebuah Madrasah yang terletak di A57B/22 Duong Ba Trac, F.A-Q.8 Ho Chi Minh City, Vietnam Temuramah pada : Julai 2007, jam : 4.00 ptg.

17