pendekatan koperatif meningkatkan pengajaran bahasa melayu tahun 5

Upload: lily-kong

Post on 29-Mar-2016

225 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Pendekatan Koperatif Meningkatkan Pengajaran Bahasa Melayu Tahun 5

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Mengikut sejarah pendidikan di Malaysia, baik Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961 mahupun Laporan Kabinet 1979, penegasan dan penekanan yang lebih dan berterusan diberikan kepada asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan dalam merealisasikan cabaran keenam Wawasan 2020, iaitu untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Konvesyen Nasional PIPP 2008 yang diadakan di Institut Aminudin Baki, Menteri Pelajaran ada menyatakan bahawa kecemerlangan dan kemajuan sesebuah negara di dunia mempunyai kaitan dengan kemantapan sistem pendidikan dan perancangan pendidikan yang dilaksanakan dengan betul dan berjaya. Beliau juga ada menyatakan bahawa Malaysia dikenali sebagai negara membangun kerana sistem pendidikan cemerlang. Selalunya kecemerlangan pendidikan ini akan memberikan hasil yang bermutu dan memenuhi keperluan guna tenaga manusia untuk memajukan sesebuah negara. Kemahiran asas ini boleh dipelajari melalui interaksi manusia sesama manusia dalam kehidupan seharian. Ini adalah kerana pemahaman terhadap pelbagai kandungan dan penyataan bermakna dalam bahasa terbina daripada pemahaman manusia sesama manusia melaui interaksi yang berlaku (Davis dan Hersh, 1986).

Kepentingan lisan, bacaan dan menulis dalam kehidupan seharian memang tidak dapat dinafikan. Kurikulumnya yang teratur dari segi struktur dan kandungannya yang tersusun secara hierarki memerlukan seseorang murid menguasai asas berbahasa sebelum mereka boleh menguasai bahasa Melayu untuk berinteraksi (PPK 2000).

Oleh itu walau apa pun tajuk dan kemahiran dalam bahasa Melayu Penulisan, yang pasti untuk memastikan input maksimun diterima oleh murid, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu Penulisan di dalam kelas perlu kepada strategi yang kemas berkesan dan teratur supaya semua objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai sepenuhnya.

Strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling sesuai ialah melalui pengalaman aktif, reflektif dan pengabstrakan (Nik Azis, 1992). Ketiga-tiga unsur di atas melibatkan penguasaan kemahiran, di samping menggunakan pengetahuan yang tertumpu pada, penyelesaian masalah, pemikiran logik, kritis, analitis dan bersistem serta pemupukan nilai murni.

Menurut Khalid (1993), pembelajaran berkesan bermakna satu usaha yang teratur, bersistem, bertertib serta optimum yang menyatupadukan dan memanfaatkan kesemua komponen pembelajaran untuk kejayaan yang paling maksimum.

Oleh yang demikian, untuk mencapai kecemerlangan yang berterusan, semua ini harus diikuti dengan sistem yang betul dan teratur. Proses pengajaran dan pembelajaran diuruskan dengan cara yang lebih sistematik terutamanya dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tanpa proses pengajaran yang sistematik, pengajaran dan pembelajaran berkesan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya.

1.2 Latarbelakang Kajian

Bahasa Melayu Penulisan merupakan satu mata pelajaran yang penting dan mencabar bagi kebanyakan murid. Bahasa Melayu Penulisan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan harian. Oleh sebab itulah bahasa Melayu Penulisan perlu diberi penekanan terhadap keupayaan memahami sesuatu tajuk dan perkembangan idea dalam pelbagai bentuk penulisan.

Sepertimana selalu guru mengajar secara lisan atau chalk and talk (Osborne, Bell and Gilbert, 1983) bagi tajuk bahasa yang abstrak tidak dapat membantu pelajar memahami konsep bahasa dengan mendalam. Kaedah koperatif merupakan salah satu kaedah yang dikenal pasti sebagai cara yang terbaik dapat membantu guru dan pelajar di dalam kelas untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mereka dalam tajuk yang diajar.

Hasil temubual bersemuka dengan seorang guru yang berpengalaman mengajar bahasa Melayu Penulisan selama lapan belas tahun di Sekolah Kebangsaan Gong Balai iaitu Puan Noraini Sulaiman, beliau menyatakan bahawa kebanyakan murid tahun lima masih tidak menyedari bahawa mereka sudah melangkah ke tahap dua. Cara dan budaya pembelajaran murid tahap satu adalah berbeza dengan murid tahap dua. Murid-murid ini tidak menunjukkan kesediaan yang cukup untuk menjalani kehidupan sebagai murid tahap dua. Secara tidak langsung, murid ini tidak bersedia untuk menghadapi tajuk dan kemahiran yang lebih mencabar.

Apabila keadaan ini berlaku, secara tidak langsung murid ini tidak akan dapat memahami isi kandungan pelajaran dengan sepenuhnya dan mereka tidak akan dapat menguasai kemahiran yang diajar dengan sempurna. Menurut Mok Soon Sang dalam bukunya Psikologi Pendidikan Kesediaan belajar adalah faktor yang penting untuk membawa murid ke arah menjalankan aktiviti pembelajaran dengan mudah , seronok dan berkesan.

Menurut Puan Noraini lagi, ramai murid tahun lima yang telah lupa atau tidak mengingati teknik atau konsep yang telah dipelajari sebelum ini. Ini terutamanya berlaku di awal penggal persekolahan. Kesannya, akan menjadikan mata pelajaran bahasa Melayu Penulisan satu matapelajaran susah bagi murid. Guru perlukan kemahiran dan pengetahuan untuk menarik semula minat murid-murid. Untuk mempelajari sesuatu ilmu, pelajar hendaklah menguasai kemahiran asas atau pengalaman yang berkaitan.(Mok Soon Sang . 2002).

Bilangan murid yang ramai di dalam sesebuah kelas juga menyumbang kepada tahap kefahaman murid sewaktu pengajaran dan pembelajaran. Bilangan murid yang ramai juga akan mengakibatkan guru tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada seluruh kelas. Ini akan mengakibatkan murid yang pasif akan tertinggal sewaktu pembelajaran. Oleh yang demikian, seseorang guru itu perlu merancang pengajaran yang akan berlaku supaya murid lebih bersedia untuk belajar. Oleh itu , pembelajaran secara koperatif adalah kaedah yang paling berkesan untuk memenuhi kehendak pelbagai tahap kebolehan murid.

1.3 Pernyataan Masalah

Dalam setiap kelas, murid yang boleh dikategorikan kepada pelbagai tahap mengikut kebolehan,iaitu cemerlang,sederhana dan lemah. Hasil daripada temubual dangan guru didapati murid kurang kesediaan untuk belajar di dalam kelas.

Proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu penulisan sering berhadapan dengan masalah yang melibatkan pencapaian murid yang rendah. Ini merupakan satu cabaran bagi guru-guru. Mungkin kerana ramai murid akan merasa bosan dengan pembelajaran bahasa Melayu Penulisan, proses pembelajaran perlu dipelbagaikan dari masa ke semasa. Oleh itu kajian yang dilakukan akan membantu meningkatkan pencapaian murid. Salah satu cara pengajaran yang akan dilakukan adalah pengajaran secara koperatif.

Begitu juga dengan kesukaran murid untuk memahami kemahiran-kemahiran bahasa Melayu Penulisan. Ini memerlukan pelbagai usaha dan penambaikkan yang sesuai dilaksanakan untuk mengatasi atau mengurangkan masalah tersebut. Pendidikan bahasa Melayu Penulisan di peringkat sekolah menekankan penguasaan terhadap kemahiran lisan, bacaan dan menulis. (Noor Azlan , 2004)

Pengajaran koperatif adalah pengajaran yang dilakukan melibatkan murid secara kumpulan kecil. Cara pengajaan adalah berbeza dengan pengajaran secara tradisional. Oleh itu kajian akan membuktikan bahawa pendekatan pengajaran koperatif dalam mata pelajaran bahasa Melayu Penulisan akan meningkatkan pencapaian mereka.

1.4 Tujuan kajian

Tujuan kajian ini adalah untuk melihat sejauh peningkatan pencapaian bahasa Melayu penulisan terutama untuk Bahagian B bagi murid tahun lima. Diharap dengan adanya kajian sebegini akan dapat membantu meningkatkan pencapaian penulisan di sekolah pada masa hadapan.

1.4.1 Sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri dan menjadi lebih kritis tentang amalan dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuari yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru lain.

1.4.2 Membuat kajian ke atas satu amalan sosial yang dilihat sebagai satu tindakan yang paling stratejik yang sentiasa boleh diaplikasikan.

1.4.3 Mengetahui minat murid tentang kaedah sesuai dengan kemampuan dan kebolehan murid.

1.5 Objektif Kajian

Objektif-objektif kajian adalah seperti berikut:

1.5.1 Untuk meningkatkan pencapaian murid dalam bahasa Melayu Penulisan.

1.5.2 Untuk meningkatkan minat murid dalam bahasa Melayu Penulisan.

1.5.3 Untuk melihat perbezaan kefahaman pelajar lelaki dan perempuan dalam penulisan tahun lima.

1.6 Persoalan Kajian

1.6.1. Adakah pendekatan koperatif meningkatkan bahasa Melayu penulisan tahun lima bagi kumpulan rawatan berbanding kumpulan kawalan.

1.6.2 Adakah pendekatan koperatif menarik minat murid tahun lima dalam bahasa Melayu penulisan bagi kumpulan rawatan.

1.6.3 Adakah pencapaian murid perempuan lebih tinggi berbanding murid lelaki bagi kumpulan rawatan dalam pembelajaran koperatif di kalangan murid tahun lima.

1.7 Kerangka Konsep

Rajah 1.0 : Kerangka konsep

1.8 Kepentingan Kajian

Dapatan kajian ini diharap dapat membantu meningkatkan pencapaian murid dalam pengajaran dan pembelajaran.

1.8.1 Kepentingan kepada guru.

Semasa kajian ini dijalankan, akan terjadinya komunikasi pelbagai hala di antara murid dan juga antara guru. Dalam masa yang sama juga , pelbagai aktiviti yang dijalankan akan mewujudkan satu persekitaran belajar yang seronok dan ceria di dalam kelas. Ini akan mewujudkan sikap yang bertanggungjawab serta kerjasama yang baik di antara ahli kumpulan. Pada masa yang sama, guru juga dapat melatih rakan pembimbing untuk murid-murid lain.

1.8.2 Kepentingan kepada guru besar.

Selain itu,kajian ini juga diharap akan dapat membantu guru besar dan pihak pentadbir sekolah dalam usaha meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Dapatan kajian ini diharap akan dapat digunakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan semua guru di sekolah.

1.8.3 Kepentingan kepada jabatan pelajaran.

Kajian ini dapat membantu pihak-pihak yang tertentu seperti Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dalam usaha memberi pendedahan kepada guru-guru lain tentang pelbagai kaedah dan gaya pengajaran terkini selaras dengan perkembangan dan perubahan pesat dalam dunia pendidikan semasa.

1.8.4 Kepentingan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kajian ini juga diharap dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam menggubal kurikulum yang sesuai dan selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu agar mampu bersaing dalam era globalisasi yang serba mencabar ini.

1.9 Batasan Kajian

Kajian ini mempunyai batasan seperti berikut:

1.9.1 Menggunakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Gong Balai. Mereka bukan merupakan sampel perwakilan sebenar untuk sesuatu kawasan. Oleh itu, hasil dapatan kajian ini tidak dapat digeneralisasikan kepada semua murid tahun lima.

1.9.2 Jumlah murid lelaki ialah 20 orang dan murid perempuan seramai 10 orang. Kumpulan kawalan seramai 15 orang sementara kumpulan rawatan seramai 15 orang.

1.10 Definisi Operational

1.10.1 Pendekatan Koperatif

Pembelajaran Koperatif merupakan pembelajaran di dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 4 hingga 5 orang daripada pelbagai kemahiran serta jantina. Setiap ahli tersebut akan saling bantu membantu sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan satu tugasan demi mencapai sesuatu tujuan. (Slavin , 1995). Di dalam kajian yang telah dibuat, murid telah dibahagikan kepada dua kumpulan.

Pembelajaran Koperatif ialah satu proses pembelajaran yang melibatkan pelajar yang belajar dalam kumpulan kecil. Setiap pelajar dalam kumpulan ini dikehendaki bekerjasama unutuk memperlengkapkan dan memperluaskan pembelajaran diri sendiri dan juga ahli yang lain. (Esah Sulaiman , 2003).

1.10.2 Murid-murid tahun lima

Murid-murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Gong Balai iaitu tempat kajian dijalankan. Sekolah ini adalah sebuah sekolah luar bandar. Semua murid berusia lebih kurang sebelas tahun. Kelas yang dijalankan ialah kelas 5 Baiduri iaitu kelas yang sederhana dan terlibat dalam kalian ini. Murid di dalam kelas ini bercampur lelaki dan perempuan. Kebanyakan murid kelas ini terdiri daripada keluarga petani dan nelayan.

1.11 Rumusan

Bab ini menghuraikan latar belakang, tujuan, objektif, soalan kajian, kepentingan dan batasan kajian. Kemahiran asas membaca dan menulis amat penting kepada murid mengusai sebarang tajuk dan kemahiran yang akan diajar. Ketidakbolehan dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis akan menjejaskan pengusaan murid dalam kemahiran seterusnya. Bagi memastikan kemantapan murid mengusai kemahiran asas ini, proses pengajaran dan pembelajaran harus diuruskan dengan cara yang lebih sistematik terutamanya dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tanpa proses pengajaran yang sistematik, pengajaran dan pembelajaran berkesan tidak mungkin dapat dilaksanakan. Ini akan mengyebabkan murid akan mudah berasa bosan dan hilang tumpuan sewaktu proses pembelajaran Bahasa Melayu Penulisan dijalankan. Oleh itu kajian yang dilakukan akan membantu meningkatkan pencapaian murid. Di akhir kajian kita akan dapat melihat perbezaan kemajuan murid dalam menguasai kemahiran menulis karangan Bahasa Melayu. Ini semua akan berlaku selepas sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah pembelajaran koperatif dijalankan..

BAB II

TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Dalam bab ini, akan membincangkan tentang kajian-kajian yang berkaitan dengan pembelajaran koperatif. Pembelajaran koperatif adalah satu kaedah pembelajaran yang melibatkan murid secara aktif. Kajian ini merupakan satu kajian yang akan menentukan hubungan pengajaran koperatif dengan pencapaian murid. Di dalam satu kumpulan, murid akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil. Bab ini memberikan tinjauan penulisan oleh individu atau kumpulan yang telah membuat kajian dan mempunyai kaitan dengan keberkesanan pembelajaran koperatif dalam pembelajaran bahasa Melayu Penulisan dalam kelas Tahun 5.

2.2 Literatur Yang Berkaitan

Terdapat beberapa tokoh yang menyokong kaedah pembelajaran Koperatif.

Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982). Sasaran adalah tahap pembelajaran yang maksimum bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan yang lain. Pembelajaran koperatif secara keseluruhannya mampu menilai ``kebestarian'' seseorang individu dengan lebih ``bestari''. Kebestarian dalam penilaian pembelajaran koperatif bukan hanya bergantung pada sejauh mana seseorang murid dapat meluah kembali apa yang dipelajari tetapi memberi peluang menggunakan pelbagai idea rakan sebaya untuk menjana pemikiran dan mencipta idea baru yang lebih kreatif. ( Ismail Zain) dalam members.tripod.com/skypin/pendik/pendidik12

Lima unsur asas dalam pembelajaran koperatif adalah:

1. Saling bergantung antara satu sama lain secara positif.

2. Saling berinteraksi secara bersemuka.

3. Akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri.

4. Kemahiran koperatif.Pemprosesan kumpulan.

Ganjaran diberi kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini.Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan peranan berbeza bergilir-gilir. Kemahiran sosial dan pemprosesan kumpulan digalakkan. Beberapa cara pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division),Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan Meja Bulat (Round Table).

2.2.2 Ciri-ciri Pembelajaran Koperatif

Menurut Mok Soo Sang (2002) terdapat beberapa ciri-ciri pembelajaran koperatif. Antaranya ialah :

i. Pelajar-pelajar melibatkan diri secara aktif dan koperatif dalam pembelajaran kumpulan.

Pembelajaran koperatif merupakan satu kaedah yang boleh digunakan untuk menggalakkan pelajar berfikir secara aktif. Pelajar digalakkan berfikir sendiri kemudian berbincang secara berkumpulan. Para pelajar juga diminta memberi pendapat atau pandangan dan banyak bertanyakan soalan mengenai topk pembelajaran yang telah dipelajari. Pelajar juga digalakkan mencari maklumat tambahan atau bahan rujukan lain bagi memantapkan lagi pemahaman dalam bahasa Melayu Penulisan.

ii. Pelajar dilatih dengan akauntabiliti diri dan bertanggungjawab berkongsi.

Dalam pembelajaran koperatif sikap akauntabiliti dan tanggungjawab berkongsi adalah tinggi. Pelajar yang lemah akan sentiasa dibantu oleh pelajar kumpualan koperatif lain. Antara ahli kumpulan akan berkongsi maklumat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.

iii. Kemahiran sosial dapat dipupuk dalam pembelajaran koperatif.

Pembelajaran koperatif merupakan satu sosial. Ini adalah disebabkan pembelajaran kopertif berupaya menghasilkan perasaan yang positif antara satu sama lain, mengurangkan rasa tersisih dan kesunyian, membina perhubungan saling membantu, meningkatkan pencapaian melalui aktiviti-aktiviti kognotif sera memperbaiki kemahiran sosial.

iv. Kesedaran bahawa pembelajaran koperatif adalah kunci pencapaian yang

lebih baik daripada pembelajaran diri sendiri.

Di dalam pembelajaran koperatif , kesedaran motivasi dapat ditingkatkan melalui perbincangan bersama ahli kumpulan yang lain. Pelajar akan mudah faham menerusi pembelajaran koperatif kerana jika maklumat atau konsep yang tidak fahami asalah seorang ahlli kumpulan, ahli kumpulan yang lain akan menolong menerangkannya.

2.2.3 Model-model Pembelajaran Koperatif

Terdapat pelbagai kaedah pembelajaran koperatif yang telah digunakan dalam pendidikan. Beberapa cara pembelajaran koperatif telah diperkembangkan oleh tokoh-tokoh pendidikan, misalnya Jigsaw, TGT (teams-games-tournaments), STAD (Students Teams- Achievement Division),Belajar Bersama (Learning together), Permainan Panggil Nombor (Numbered Heads), dan Meja Bulat (Round Table) yang dipetik daripada www.usm.my/ education /kaunseling /tips/Kaedah Pembelajaran Koperatif .Menurut dapatan Unversiti John Hopkin Amerika Syarikat (Nor Azizah Salleh,1995) terdapat tiga jenis pembelajaran kumpulan kecil iaitu:

i. Student Teams Achievement Divisions (STAD) (Slavin 1980)

Kaedah ini melibatkan guru mengajar seluruh kelas , diikuti dengan pe;ajar belajar dalam kumpulan heterogenus yang telah ditetapkan. Kemudian kumpulan kumpulan tersebut diberi tugasan serta diminta membuat perbincangan.

ii. Teams Games Tournament (TGT) ( De Vries & Slavin 1978)

Kaedah ini pula guru akan mengajar seluruh kelas. Guru akan memberi beberapa soalan kepada pelajar. Pelajar akan belajar dan berbincang dalam kumpulan masing masing dengan soalan yang diberikan. Kumpulan mestilah heterogenus. Kemudian salah seorang daripada kumpulan duduk dalam kumpulan homogenus untuk menjawab soalan dan akhirnya pelajar tadi akan kembali ke kumpulan yang asal untuk member laporan markah. Pemenang dikira melalui markah yang paling tinggi.

iii. JIGSAW ( kaedah cantuman )

Menurut Esah Sulaiman ( 2003) kaedah JIGSAW terbahagi kepada dua bahagian iaitu cantuman I oleh Aronson dan Snapp dan cantuman II oleh Robert E.Salvin.

a. Cantuman 1

Kumpulan-kumpulan kecil dibentuk. Setiap ahli kumpulan hendaklah mengamalkan sikap saling bergantung antara satu sama lain dan tolong-menolong dalam mendapatkan bahan , maklumat dan menyiapkan tugasan.

b. Cantuman II

Setelah masalah dapat diselesaikan dan tugasan diserahkan kepada guru, ahli-ahli kumpulan akan diberikan kuiz.

2.3 Review Kajian-kajian Lepas.

Terdapat banyak kajian-kajian yang lepas yang ada berkaitan dengan pembelajaran koperatif yang dijalankan oleh penyelidik samada dari dalam negara dan luar negara. Kajian-kajian lepas yang telah dijalankan merupakan kajian yang berkaitan dengan tahap amalan pembelajaran kopertif di sekolah-sekolah.

2.3.1 Kajian Dalam Negara

Dalam konteks di Malaysia, hasil kajian S-L Gan (1992), menyatakan murid berpendapat pembelajaran serta aktiviti dalam Pembelajaran Koperatif adalah menyeronokkan. Beliau juga mendapati pendekatan Pembelajaran Koperatif dapat membantu dalam membentuk nilai murni, mengeratkan hubungan antara kaum yang berbeza dan meningkatkan pencapaian akademik di kalangan murid, maka Pembelajaran Koperatif adalah amat sesuai dilaksanakn di sekolah-sekolah di Malaysia.

Dalam kajian Zulkifli bin Abd Wahab daripada Universiti Putera Malaysia yang telah menjalankan kajian tentang keberkesanan pembelajaran koperatif dalam matapelajaran bahasa Melayu Penulisan adalah berkisar di tiga buah sekolah di sekitar Daerah Muar. Kajian ini dilakukan pada 2007. Menurut beliau,tahap amalan pembelajaran koperatif dikalangan murid adalah tinggi dan manakala menurut perspetif guru adalah sederhana. Bagaimanapun, pembelajaran ini dapat meningkatkan pencapaian murid.

Menurut Cheah dan June (1998/99), kelebihan dalam Pembelajaran Koperatif ialah murid dilatih untuk berkomunikasi, mengurus konflik, memimpin dan membuat keputusan, semuanya merupakan kemahiran sosial yang amat penting dalam dunia bekerja pada masa depan.

Kajian Cheah, Adlan, Baskaran dan Lim (2002), mendapati kesan kaedah Pembelajaran Koperatif dalam meningkatkan bacaan pemahaman teks dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil adalah ketara dan dicadangkan supaya sukatan pelajaran kursus Diploma Pendidikan Malaysia terus memberikan penekanan dalam kaedah Pembelajaran Koperatif .

Pembelajaran Koperatif mempunyai kesan yang positif terhadap sikap murid dalam pembelajaran bahasa Melayu Penulisan. T. H. Gan (1999). D. W. Johnson dan R. T. Johnson (1989) dari tiga ratus tujuh puluh lima kajian luar negeri yang dijalankan dalam jangka masa sembilan puluh tahun mendapati pendekatan Pembelajaran Koperatif adalah paling berkesan dalam situasi yang memerlukan pemikiran aras tinggi, idea-idea kreativiti, applikasi dalam dunia sebenar dan melibatkan banyak penyelesaian masalah. Selain itu, juga didapati hubungan antara individu menjadi lebih positif termasuk mereka yang berbeza dari segi kebolehan intelek, kumpulan ethnik, kelas sosial dan keadaan fizikal. Jurnal Penyelidikan IPBL, Jilid 8, 2008 54

Kajian yang dibuat terhadap kesan Pembelajaran Koperatif dalam matapelajaran bahasa juga menunjukkan kesan yang positif. Sherman & Thomas (1986), mendapati Pembelajaran Koperatif dapat meningkatkan pencapaian murid cergas, sederhana dan lemah dalam bahasa. Kajian Slavin (1990), Davidson (1985) dan Webb (1985), mendapati murid lebih bersikap positif terhadap bahasa dan kebolehan untuk menjawab soalan penulisan juga meningkat.

Dapatan Nellson (1996) yang telah melaksanakan Pembelajaran Koperatif dalam mata pelajaran Kimia, Sains dan Teknologi menunjukkan amalan Pembelajaran Koperatif menyebabkan murid menjadi lebih gigih dan menghasilkan tugasan yang lebih berkualiti. Dees (1991), melaporkan murid dapat mencari isi untuk penulisan dengan baik apabila dapat bekerja dalam kumpulan kecil. Selain itu, beliau juga mendapati Pembelajaran Koperatif adalah sangat sesuai untuk mereka yang tidak yakin dan lemah dalam mencari isi untuk tajuk-tajuk penulisan.

Di dalam persidangan Tech Prep , menurut Wan Absah (1997), menyatakan bahawa pendekatan pembelajaran koperatif adalah antara kaedah pembelajaran yang berkesan dalam pendekatan pengajaran konteksual. Kaedah pembelajaran koperatif boleh digunakan secara berkesan dalam banyak matapelajaran terutama kelas yang mempunyai pelajar yang memiliki kebolehan yang sama. (Roshidi dan Abdul Razak, 1995)

2.4 Rumusan

Daripada tinjauan litature yang dibuat, ketidakbolehan menguasai teknik menulis karangan memang merupakan suatu fenomena yang perlu diatasi sebelum murid mempelajari sesuatu ke peringkat yang lebih lanjut. Berdasarkan kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa pembelajaran koperatif mampu memberikan kesan yang positif terhadap murid. Ini adalah kerana pembelajaran koperatif ini dapat membentuk sifat keyakinan pada diri sendiri dan ini membantu para murid untuk mempertingkatkan lagi prestasi pelajaran. Guru juga dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Kesimpulan yang dapat kita buat di sini ialah peningkatan pencapaian murid dalam bahasa Melayu Penulisan adalah bergantung kepada kesesuaian kaedah yang digunakan.

BAB III

METODOLOGI KAJIAN

3.1 Pengenalan

Kajian ini adalah bertujuan untuk menguji sejauh manakah keberkesanan kaedah pembelajaran koperatif dapat meningkat minat serta prestasi murid dalam tajuk Penulisan Karangan Bahasa Melayu Tahun Lima. Kajian ini juga akan membuktikan bahawa koperatif adalah salah satu cara pembelajaran yang berkesan di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kajian ini juga membincangkan mengenai reka bentuk kajian, sampel kajian, prosuder pungutan data, responden kajian dan teknik penganalisis data.

3.2 Rekabentuk kajian

Kajian ini berbentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan kelas Tahun 5 iaitu kumpulan pertama disebut sebagai kumpulan rawatan dan kumpulan kedua disebut sebagai kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan diberi ujian pra sebelum kajian dijalankan. Masa kajian dijalankan ialah selama 5 minggu dan pengkaji akan menjalankan pengajaran kedua-dua kumpulan agar dapat mengurangkan ralat dalam kajian ini. Untuk menjalankan kajian eksperimen ini, pengkaji memilih murid dari satu kelas, kumpulan rawatan menerima pembelajaran secara koperatif manakala kumpulan kawalan akan menerima pengajaran secara kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et. Al (2007), kumpulan eksperimen biasanya menerima atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian, manakaala kumpulan kawalan menerima kawalan yang berbeza ataupun dikekalkan dalam bentuk biasa. Kedua-dua kumpulan tersebut akan diberi ujian pra dan ujian pos sebelum dan selepas kajian dijalankan. Walaupun sampel tidak dipilih secara rawak, pengkaji akan memastikan bahawa sampel bagi kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai taraf pencapaian yang hampir sama berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun bagi mata pelajaran bahasa Melayu.

Tujuan reka kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk mengenal pasti perbezaan pencapaian bahasa Melayu bagi kemahiran membina ayat tanya bagi kedua-dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Di dalam reka bentuk kuasi eksperimen ini terdapat dua pembolehubah yng dikaji iaitu pembolehubah bersandar dan pembolehubah tidak bersandar.Di dalam kajian ini pembolehubah bersandar ialah pencapaian Kajian Tempatan bagi tajuk Kepentingan Rumah yang diperoleh melalui ujian pra dan ujian pasca, manakala pembolehubah tak bersandar ialah kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahya et.al (2007), satu bahagian daripada persekitaran yang dimanpulasikan adalah pembolehubah tak bersandar manakala kesan tingkah laku manipulasi adalah pembolehubah bersandar.

Selain pembolehubah bersandar dan pembolehubah tidak bersandar, terdapat pembolehubah-pembolehubah luaran yang mengganggu keputusan kajian, seperti kaedah pemilihan sampel, interaksi antara kumpulan, jangka masa kajian dan penyediaan soalan. Bagi mengawal pembolehubah ekstranus tersebut, beberapa langkah wajar diberi perhatian. Antaranya pemilihan sampel yang terdirri daripada dua kumpulan pelajar mestilah berada pada tahap pencapaian yang hampir sama. Selain itu, min ujian pra untuk kedua-dua kumpulan akan dianalisis melalui ujian pos untuk melihat bahawa tidak wujud perbezaan yang signifikan dari segi kebolehan atau pencapaian Kajian Tempatan sebelum kajian dijalankan.

Kajian ini juga berdasarkan jadual di bawah. Kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan diberi ujian pos sebelum dilakukan kepada pendedahan kaedah koperatif. Jawapan pelajar akan diproses untuk mencari min selepas dilakukan rawatan selama 5 minggu dan dilakukan ujian pos. Selepas itu, dicari perbezaan min skor ujin pos berbanding dengan ujian pra bagi melihat keberkesaanan terhadap kemahiran membina ayat-ayat gramatis. Ujian-ujian ini dijalankan untuk 16 orang murid yang telah dipilih untuk kumpulan rawatan dan 14 orang telah dipilih untuk kumpulan kawalan.

KUMPULAN UJIAN PRA UJIAN POS BEZA

PRA-POS

Rawatan Tahun 46.1 66.1 20

5 Bestari

Kawalan Tahun

5 Bestari 78.6 88.3 9.7

Jadual 3.1 : Perbandingan kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan

3.3 Populasi dan Persampelan

Sampel kajian ini terdiri daripada tiga puluh orang pelajar murid Tahun Lima Baiduri daripada Sekolah Kebangsaan Gong Balai, Marang Terengganu. Kumpulan ini akan diajar tajuk penulisan Bahagian A yang sama oleh guru yang sama dengan kaedah yang berbeza bagi setiap sesi pembelajaran. Sampel yang dipilih adalah berdasarkan pencapaian prestasi dalam bahasa Melayu yang agak setara. Mereka ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 16 orang dalam kumpulan rawatan dan 14 orang dalam kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun keputusan kajian ini tidak boleh digunakan sebagai satu generalisasi kerana ia merupakan satu kajian kes sahaja.

3.4 Instrumen Kajian

Pelbagai instrument kajian telah digunakan dalam kajian ini. Dalam kajian ini ada dua jenis soalan ujian iaitu ujian pra dan ujian pos. Soalan ini diambil daripada soalan OTI 1 yang mengandungi bahagian A, iaitu memindahkan maklumat daripada gambar. Borang kaji selidik juga merupakan salah satu insrtrumen dalam kajian ini. Lembaran kerja yang dibuat untuk mendapatkan maklamat tentang kefahaman murid sebelum dan selepas pembelajaran dilakukan. Gred pencapaian murid mengikut gred di dalam UPSR sebenar. Murid pula akan menulis lima ayat berpandukan gambar yang diberi bagi mendapat maklum balas mengenai kaedah pembelajaran yang diikuti.

3.4.1 Borang Kaji Selidik

Borang kaji selidik ini mengandungi maklumat latar belakang sampel kajian. Maklumat yang dikehendaki ialah nama, umur, bangsa, jantina , alamat rumah, pekerjaan ibu/ayah /penjaga dan keputusan PKBS 4 ( Tahun 4 - 2011). Dalam soalan selidik yang dibuat soalan yang dibina berdasarkan soalan untuk menjuruskan kepada minat murid terhadap pembelajaran yang dipelajari. Berikut adalah sebahagian contoh pengumpulan data dalam borang soal selidik.

BIL ITEM SOALAN Ya Tidak

1. Anda suka belajar bahasa Melayu.

2. Anda kenali rakan anda.

3. Anda kenali keluarga rakan anda.

4. Anda kenali guru anda.

5. Adakah cara belajar meningkatkan

6. Anda suka cara guru BM mengajar .

7 Adakah guru mengenali kebolehan murid.

8 Anda suka belajar berkumpulan

9. Anda suka belajar secara individu

10. Anda suka BBM yang guru sediakan

1 : Ya 2 : Tidak

Jadual 3.2 : Borang soal selidik

3.4.2 Soalan Ujian

Dua set ujian yang sama iaitu ujian pra dan ujian pos. Ujian ini akan diberi kepada kesemua murid. Ujian pra yang diberikan kepada murid ialah soalan yang diberi sebelum pembelajaran berlaku. Ujian ini mengandungi soalan karangan. Ujian ini bertujuan untuk mengetahui tahap kefahaman murid sebelum pembelajaran koperatif berlaku. Ujian pos pula ujian yang diberikan kepada murid setelah pembelajaran berlaku. Ujian pos yang dilakukan adalah bertujuan untuk melihat peningkatan pencapaian murid dalam bahasa Melayu Penulisan menggunakan pembelajaran koperatif di dalam bilik darjah.

3.4.3 Pemerhatian

Pemerhatian yang dilakukan sepanjang pembelajaran berlaku. Pemerhatian ini dibuat untuk melihat minat dan kesungguhan murid belajar semasa pembelajaran koperatif dibuat. Perubahan tingkahlaku akan diperhati dan direkod oleh pengkaji.

3.5 Prosedur Kajian

Pada mulanya, kelas ini telah diberikan ujian pra terlebih dahulu sebelum pendekatan pembelajaran secara koperatif dijalankan. Ujian ini hendaklah dijawab secara individu dan murid tidak dibenarkan berbincang. Setelah itu, ujian pasca pula diberikan. Pada akhir kajian, kelas ini dikehendaki menduduki satu ujian pasca. Bentuk ujian pasca ini adalah sama dengan ujian pra. Peningkatan pencapaian akademik akan diukur berdasarkan perbezaan pencapaian mereka dalm ujian pra dan ujian pasca. Masa yang diberikan untuk menjawab ujian pra dan pasca ialah 30 minit.

Dalam melaksanakan kajian, murid akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada dua atau empat orang. Kumpulan tersebut adalah ditentukan sendiri oleh guru supaya murid yang lemah dapat dibimbing oleh murid yang pandai. Jangka masa untuk kajian ini adalah selama lima minggu iaitu kumpulan ini akan didedahkan dengan kaedah pembelajarn koperatif.

Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah dikendalikan mengikut prinsip-prinsip pembelajaran koperatif yang disarankan oleh Slavin (1990) iaitu:

i. Penyampaian isi kandungan pelajaran oleh guru.

ii. Pembentukan kumpulan murid.

iii. Setiap kumpulan bekerjasama menyempurnakan tugasan yang diberi.

iv. Setiap murid mengambil bahagian dalam kuiz.

v. Pasukan yang memperoleh purata skor kumpulan yang tinggi akan diberi pengiktirafan.

3.6 Prosedur Pengumpulan Data

Kajian ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsan Gong Balai, Marang, Terengganu. Kajian ini melibatkan 16 orang sampel kumpulan rawatan dan 14 orang sampel kumpulan kawalan. Pengkaji akan meminta kebenaran daripada Guru Besar dan guru kelas untuk menjalankan kajian ini. Setelah mendapat kebenaran daripada Guru Besar dan guru kelas, kedua-dua kumpulan dikehendaki menduduki ujian pra. Pengkaji akan meminta bantuan guru kelas untuk menjalankan kajian ini kerana ia melibatkan dua kumpulan. Setelah selesai ujian pra, pengkaji akan menyemak skor yang diperoleh oleh sampel kedua-dua kelas.

Kumpulan kawalan akan diajar menggunakan kaedah konvensional manakala kumpulan rawatan menggunakan kaedah pembelajaran koperatif. Kedua-dua pengajaran ini di jalankan dalam tempoh 5 minggu. Pada hari terakhir kajian, semua pelajar dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan menduduki ujian pasca, dengan mernggunakan set soalan yang sama dengan ujian pra. Seterusnya skor ujian pasca akan dikumpulkan untuk dianalisis oleh pengkaji.Kedua-dua kumpulan yang terlibat akan mengikut langkah-langkah pengumpulan data berikut:

Bagi mendapatkan min minat murid tentang kaedah pembelajaran koperatif, pengkaji telah membina sepuluh soalan soalselidik tentang kajian. Soalan soalselidik ini diberikan pada akhir kajian. Soalan ini hanya diberikan kepada kumpulan rawatan sahaja. Soalan-soalan hanya bertumpukan kepada minat murid mengenai kaedah pembelajran koperatif dan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji mengumpul segala maklumat yang didapati dan membuat analisis.

3.7 Prosedur menganalisis data

Data-data yang dikutip bagi ujian pra dan ujian pos akan diproses dengan perisian Microsoft Excel-Data Analisis untuk tujuan deskriptif itu mendapatkan peratus, min dan perbezaan min.

3.8 Rumusan

Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kuasa eksperimen. Sesi tradisonal dan koperatif terdiri daripada murid tahun lima seramai tiga puluh orang. Pelbagai instrumen dipilih bagi memastikan kajian ini berjaya. Segala data yang diperolehi dari murid akan membuktikan peningkatan pencapaian dan minat murid terhadap pembelajaran kopertif. Reka bentuk kajian digunakan untuk membuat justifikasi kepada peningkatan pencapaian dan minat murid menggunakan pembelajaran koperatif dalam tajuk penulisan karangan Bahagian A Bahasa Melayu Tahun Lima.