pembinaan negara bangsa

Upload: smid90

Post on 18-Jul-2015

1.326 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

1.0 Pengenalan Pembinaan Negara Bangsa Pembinaan negara bangsa merupakan suatu asas yang disandarkan bagi menggapai kelangsungan taraf negara maju. Melalui konsep ini, sesebuah negara akan menjadi lebih kuat dengan corak mentaliti dan kesepaduan yang ada dalam diri masyarakat tersebut. Sistem pendidikan merupakan medium yang terbaik untuk digunakan bagi merealisasikan impian ini. Hal ini demikian kerana pendidikan merupakan asas transisi kepada penghasilan modal insan untuk memacu ke arah pembinaan negara. Tanpa pendidikan, proses pembinaan negara yang diimpikan tidak akan tercapai dengan jayanya. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, pendidikan merupakan satu pendekatan yang terbaik bagi memastikan perencanaan konsep negara bangsa itu menjadi satu kenyataan. Dalam hal ini, negara memerlukan pendidik yang seimbang dari setiap aspek seperti jasmani, rohani, emosi dan intelektual. Hal ini menuntut agar warga pendidik peka dengan konsep negara bangsa yang menekankan kewujudan sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu menerusi satu identiti yang sama tanpa menghilangkan identiti asal setiap kaum. Bertunjangkan semangat perpaduan antara kaum yang diwarisi sejak separuh abad yang lalu, pendidik boleh bertindak sebagai instrumen untuk menerapkan konsep negara bangsa ke dalam sanubari setiap warganegara. Walaupun timbul pelbagai cabaran dalam usaha merealisasikan negara ke arah mencapai status tertinggi, golongan pendidik harus bersiap siaga untuk menangani setiap isu yang timbul. Antara isu yang dilihat paling ketara dalam proses pembinaan negara bangsa, termasuklah isu bahasa, kebudayaan, pendidikan dan demokrasi. Fokus perbincangan kali ini akan mengetengahkan keempat-empat isu yang sering dikaitkan berlandaskan konsep dan pengertian pembinaan negara bangsa. Selain itu, satu kupasan turut diketengahkan berkaitan cabaran dan pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dengan bersandarkan kepada perkembangan dunia pendidikan di Malaysia.

1

2.0 Konsep dan Pengertian Negara Bangsa Negara bangsa merupakan suatu keadaan tertinggi yang ingin dijelmakan oleh sesebuah negara. Konsep ini mengetengahkan gabungan makna daripada dua frasa menjadi satu pengertian iaitu frasa negara dan frasa bangsa. Berdasarkan autoriti Kamus Dewan Edisi Keempat, negara merujuk kepada suatu komuniti yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh kerajaan manakala frasa bangsa merujuk kepada suatu komuniti yang mempunyai identiti budaya, fahaman, agama dan bahasa tersendiri. Tuntasnya, konsep negara bangsa dilihat sebagai bangsa idaman yang diimpikan oleh sesebuah negara melalui konsep satu bangsa, satu identiti. Secara ilmiahnya, konsep ini menjurus kepada sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu tanpa dipisahkan oleh sentimen perkauman, keturunan, agama, bahasa, budaya, wilayah dan sebagainya yang dilihat boleh membawa kepada perpecahan. Berakarumbikan semangat perpaduan, konsep negara bangsa cuba direalisasikan melalui Wawasan 2020 yang mengimpikan Malaysia berstatus negara maju pada tahun 2020. Hal ini merujuk kepada buah fikiran yang diutarakan oleh mantan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pembentangan kertas kerja beliau yang bertajuk, Malaysia: Melangkah ke Hadapan, pada 28 Febuari 1991. Matlamat utama pembinaan negara bangsa adalah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Bagi mencapai matlamat ini, masyarakat harus sedar bahawa perpaduan adalah teras utama yang menunjangi konsep ini. Oleh sebab itu, pelbagai aspek perlu diberikan penekanan khususnya yang berkaitan dengan semangat perpaduan kerana tanpa kesepakatan dan permuafakatan dalam kalangan masyarakat, sudah pasti hasrat mencapai taraf negara maju menemui jalan buntu. Sekiranya komuniti hari ini mampu bersatu hati dalam semua perkara, maka usaha untuk memajukan negara menjadi semakin mudah. Hal ini demikian kerana kekuatan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada struktur pentadbirannya semata-mata tetapi ia turut dinilai melalui kekuatan moral yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat yang mendiami di dalam sesebuah negara tersebut. Oleh hal yang demikian, masyarakat harus bersedia untuk berfikiran liberal dengan melihat setiap perangkaan yang dirancang oleh pihak kerajaan adalah demi kebaikan bersama. Jepun merupakan satu model terbaik yang telah berjaya dalam pembinaan negara bangsa. Hari ini, Jepun merupakan salah sebuah negara termaju di dunia dan disegani oleh2

segenap masyarakat antarabangsa khususnya di benua Asia. Keupayaan yang dimiliki oleh Jepun pada hari ini adalah hasil kesepaduan masyarakat mereka yang bersedia dan sanggup berada dalam kelompok satu identiti. Oleh sebab itulah, masyarakat dunia tidak berasa hairan dengan kekuatan yang dimiliki oleh Jepun khususnya ketika Jepun menyerang Amerika Syarikat dan British pada Perang Dunia Kedua. Tanpa berjaya membina negara bangsa, sudah pasti agak mustahil untuk Jepun berani menyerang negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan British dan mencapai taraf negara maju. Melihat pada keadaan semasa, konsep negara bangsa dilihat alternatif paling efektif dalam merealisasikan impian yang dibina. Melalui konsep ini, masyarakat disemai dengan semangat patriotik yang tinggi bagi melahirkan masyarakat yang sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan dan kemajuan negara. Kesepaduan dan pemuafakatan yang terjalin dalam kalangan sejagat akan memudahkan misi dan visi untuk mencapai taraf negara maju yang hanya tinggal satu dekad sahaja lagi sebelum tempoh yang ditetapkan dalam wawasan 2020 terlaksana. Oleh sebab itu, Tun Dr. Mahathir turut meletakkan asas untuk mencapai impian ini perlu dilihat melalui kesanggupan dan kesediaan masyarakat dalam membentuk generasi yang liberal dan bertolak-ansur serta bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan agama masing-masing. Dalam hal ini, corak mentaliti umum adalah tunjang utama yang perlu diubah agar tidak wujud pertikaian dan persoalan berbangkit ketika usaha pembinaan negara bangsa dilakukan. Sememangnya tidak dapat dinafikan, banyak isu yang berbangkit sepanjang proses pembinaan negara bangsa dilaksanakan. Hal ini termasuklah isu bahasa, kebudayaan, pendidikan dan demokrasi. Isu bahasa merupakan isu yang sering dibangkitkan oleh masyarakat kita khususnya dalam kalangan yang optimis terhadap bahasa kaum masingmasing. Mereka menafikan usaha kerajaan untuk mengangkat satu bahasa sebagai satu identiti bagi satu bangsa kerana bimbang bahasa ibunda mereka tergugat. Isu kebudayaan pula menampakkan kesukaran kepada pihak kerajaan untuk menyatukan kesemua kebudayaan yang ada untuk dilabelkan sebagai satu identiti. Masyarakat kita pada hari ini masih lagi tidak memahami konsep negara bangsa kerana mereka tidak sanggup untuk berkongsi budaya dengan meletakkan kebudayaan yang ada sebagai hak milik bersama. Selain itu, isu pendidikan cuba dibangkitkan oleh sesetengah aktivis kaum yang menuduh3

kerajaan cuba memanipulasikan sistem pendidikan demi memartabatkan satu kaum sahaja. Sementara itu, isu demokrasi yang dilaksanakan melalui sistem pemerintahan di Malaysia dikatakan tidak telus dan kerajaan cuba menggunakan sistem ini untuk kepentingan sendiri. Natijahnya, wujud politik berunsur perkauman yang menyukarkan lagi proses pembinaan negara bangsa dilakukan. Justeru, konsep negara bangsa dikatakan perlu dibina dari akar umbi bagi memastikan kelangsungan proses pembinaannya berlaku secara berterusan. Sistem pendidikan dilihat menjadi wahana terbaik dalam merealisasikan hasrat ini. Hal ini demikian kerana pendidikan merupakan asas kepada pembentukan sesuatu bangsa yang berdaulat kerana bangsa yang berdaulat merupakan bangsa yang berilmu dan berjaya menggunakan akal sebaik mungkin bagi memperoleh kesempurnaan dalam kehidupan. Perkembangan dalam dunia pendidikan di Malaysia pada hari ini, menjadi jambatan terbaik dalam menjana generasi yang mampu meletakkan negara bangsa sebagai teras kemajuan negara. Hal ini merujuk kepada kapasitikapasiti yang terdapat dalam sistem pendidikan yang membolehkan penekanan diberikan secara berterusan bermula pendidikan rendah sehingga pendidikan tinggi dalam proses menjana generasi yang diinginkan. Keupayaan yang kita miliki melalui sistem pendidikan harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan. Sistem pendidikan bukanlah tempat untuk kita menjalankan ujikaji sebaliknya kita semua harus yakin bahawa perkembangan sistem pendidikan yang berlaku pada hari ini telah meletakkan keupayaan untuk kita melahirkan generasi yang betul-betul memahami konsep negara bangsa. Justeru, adalah tidak wajar kita menggunakan sistem pendidikan sebagai medium untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu kerana melalui sistem inilah akan melahirkan masyarakat yang mampu mempertahankan kedaulatan negara pada masa akan datang.

3.0 Isu-isu berkaitan Pembinaan Negara Bangsa Dalam proses pembinaan negara bangsa, gerakan yang dilakukan haruslah selari dengan setiap matlamat yang digariskan agar setiap cabaran yang mendatang dapat ditempuh dengan jayanya. Oleh itu, setiap isu yang berbangkit harus dilihat secara klinikal dan tidak4

boleh dipandang enteng kerana isu-isu ini menuntut kita melihat cabaran-cabaran yang timbul dan pendekatan yang diambil sebagai jawapan kepada setiap cabaran. Melalui kajian ini, empat isu dilihat sesuai untuk dikupas berlandaskan kepada perkembangan sistem pendidikan di Malaysia. Antara isu tersebut adalah isu bahasa, kebudayaan, pendidikan dan demokrasi yang kesemuanya berakarumbikan integrasi nasional.

3.1 Isu Bahasa Bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan oleh manusia dalam perhubungan sesama jenis. Melalui bahasa, manusia dapat menyampaikan buah fikiran, perasaan dan hasrat kepada individu lain. Menurut Ghosh (1972), manusia sebagai social being terpaksa hidup dalam sesebuah masyarakat dan untuk hidup bermasyarakat, manusia perlu menggunakan wahana bahasa untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi mengeratkan persahabatan dan persaudaraan. Isu bahasa merupakan suatu isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan negara bangsa. Hal ini demikian kerana dalam proses pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi melalui Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Dalam keadaan ini, struktur bahasa Melayu dapat dilihat pada legistimasinya sebagai bahasa pengantar tunggal dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sementara itu, bahasa Melayu turut dijadikan sebagai bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai maruah dan citra negara. Oleh sebab itu, pelbagai peruntukan sama ada dalam bentuk material (kewangan) mahupun bukan material (dasar-dasar tertentu) diwujudkan untuk tujuan pemupukan bahasa Melayu. Melihat kepada keadaan ini, bahasa Melayu dikatakan mempunyai kuasa, pengaruh dan kewibawaan untuk menentukan tempat dan kekuatannya dalam negara ini. Hakikatnya, bahasa Melayu sebenarnya ingin dijadikan medium utama sebagai alat komunikasi dalam membina negara bangsa. Hal ini selaras bagi melahirkan satu bangsa, satu bahasa. Namun begitu, apa yang dihasratkan sebenarnya kian kabur dari segi pencapaiannya. Kini, bahasa penjajah mula mengambil alih posisi bahasa ibunda. Kalau sebelum merdeka, British mentadbir negara dengan meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama,5

kemudiannya, kita telah berjaya memartabatkan kembali bahasa Melayu pada era pasca merdeka. Namun begitu, situasi ini seolah-olah mengulangi semula sejarah lampau setelah timbul persepsi serong segelintir masyarakat mengenai kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris berkaitan keperluan negara dan kepentingan antarabangsa. Konflik

kedudukan bahasa ini telah membuka ruang kepada kaum yang wujud di Malaysia untuk turut sama memperjuangkan bahasa mereka. Konflik ini tidak hanya berhenti di sini, perjuangan melalui ideologi dan sentimen perkauman digunakan dalam memartabatkan bahasa kaum masing-masing. Bahasa Inggeris dijadikan kambing hitam iaitu sebagai asas perjuangan mereka setelah negara cuba mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua demi memenuhi tuntutan semasa. Hal ini berterusan sehingga kini khususnya kepada golongan yang optimis kepada kaum sendiri tanpa mahu berfikiran terbuka demi kepentingan integriti nasional. Siddiq(1991) berpendapat bahawa konsep negara bangsa ini akan wujud apabila timbul keseragaman dan kesatuan identiti melalui salah satu kesepakatan luar akidah iaitu bahasa Kebangsaan. Pembinaan negara bangsa sebenarnya akan menghapuskan identiti bahasa sesuatu kaum kerana dalam konteks ini hanya satu bahasa sahaja yang ingin dilambangkan untuk satu bangsa. Namun begitu, penghapusan identiti bahasa ini tidak meletakkan penghapusan secara mutlak kerana ia hanya diimplementasikan dalam konteks pembinaan negara bangsa sahaja. Dalam erti kata sebenar, bahasa sesuatu kaum itu tidak akan hilang dalam penggunaan kehidupan seharian tetapi satu bahasa sahaja yang akan dijadikan identiti bagi mewakili semua kaum di Malaysia. Tuntasnya, masyarakat kita masih lagi tidak sedar bahawa pembinaan negara bangsa melalui penggunaan satu bahasa amat penting dalam mewujudkan persefahaman. Menurut Tunku Abdul Rahman, kita berhak menghendaki bahasa kita sendiri. Apabila kita mempunyai bahasa Kebangsaan sendiri, kita akan bersatu dan mempunyai watak sendiri. Isu bahasa akan terus menjadi penghalang dalam menjayakan proses pembinaan negara bangsa selagi masyarakat kita tidak cuba memahami konsep sebenar negara bangsa.

6

3.2 Isu Kebudayaan Budaya adalah sesuatu yang melibatkan perlakuan dan tabiat yang dilakukan oleh seseorang. Namun begitu, apabila perlakuan ini melibatkan ruang lingkup yang lebih besar atau melibatkan masyarakat maka keadaan ini dipanggil sebagai kebudayaan. Secara ilmiah, kebudayaan merangkumi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, akhlak, adat resam dan lain-lain keupayaan yang wujud dalam sesuatu komuniti (Mohd

Syariefudin,2009). Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang unik di dunia kerana mempunyai masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kelompok ras dan etnik atau dikenali sebagai masyarakat plural. Kewujudan masyarakat majmuk merupakan satu cabaran yang besar bagi membina sebuah negara bangsa kerana kemajmukan yang wujud akan menimbulkan pelbagai percanggahan, konflik dan paksaan. Menurut Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam tersendiri. Kenyataan ini disokong oleh seorang lagi ahli falsafah iaitu Van Den Berhe yang berpendapat bahawa masyarakat majmuk mempunyai ciri-ciri yang boleh membawa impak negatif dalam proses membina sesebuah negara yang aman dan maju. Hal ini merujuk kepada ciri-ciri setiap kaum yang mempunyai identiti masing-masing. Namun begitu, pandangan yang diutarakan oleh kedua-dua ahli falsafah ini agak bercanggah dengan realiti sebenar kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Sememangnya setiap kaum mempunyai identiti tersendiri yang harus dipertahankan, namun, keadaan ini tidak pernah menjadi batu penghalang bagi mewujudkan sebuah negara yang aman dan maju. Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kebudayaan hasil daripada kepelbagaian kaum dan etnik melihat proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi bagi mewujudkan corak hidup yang bersifat keMalaysiaan. Perancangan yang dilakukan adalah berteraskan kepada nilai-nilai murni bagi menjaga pembinaan bangsa dan keutuhan pembinaan negara. Dalam konteks ini, semua kaum dibenarkan mengamalkan adat dan kebudayaan kaum masing-masing dan anggota masyarakat diingatkan supaya saling menghormati adat dan kebudayaan kaum lain. Dasar Kebudayaan Malaysia yang digubal merupakan asas kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sesuatu kebudayaan di Malaysia. Kerajaan optimis bahawa dengan kelebihan7

memiliki masyarakat majmuk, menuntut kita untuk meletakkan nilai-nilai kebudayaan yang wujud dalam satu-satu kaum dikongsi bersama kaum lain bagi mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan sejagat. Rangkumannya, perkongsian nilai-nilai kebudayaan ini akan dapat memastikan kelangsungan proses pembangunan negara yang mengimpikan taraf negara maju pada tahun 2020. Dasar yang diwujudkan akan menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu serta mengekalkan identiti negara di pentas dunia. Namun demikian, usaha giat perlu terus dilaksanakan bagi memastikan pembinaan negara bangsa dapat direalisasikan kerana sehingga hari ini Malaysia hanya berjaya memujuk masyarakat untuk berkongsi budaya tetapi pada masa yang sama negara masih lagi gagal membentuk satu identiti kebudayaan bagi bangsa Malaysia.

3.3 Isu Pendidikan Hari ini, warganegara Malaysia perlu berbangga dengan pendidikan di Malaysia yang bertaraf dunia. Namun, dalam mengimpikan sistem pendidikan yang mulus dan cerlang, kita perlu melihat keadaan yang sebenar bermulanya sistem pendidikan di Malaysia. Bagaimana perkembangan pendidikan di Malaysia bermula dan adakah hala tuju pendidikan di Malaysia menunjukkan keadaan yang positif? Umum mengetahui bahawa sistem pendidikan di Malaysia sudah bermula dengan kewujudan sistem pendidikan yang tidak formal sebelum kedatangan British di Tanah Melayu. Perkembangan sistem pendidikan di Malaysia diteruskan lagi dengan kedatangan British sebagai kuasa Imprealisme yang memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih sistematik dan berformal. Setelah Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan barat pada 31 Ogos 1957, sistem pendidikan di Malaysia semakin berkembang untuk melahirkan bangsa yang berpengetahuan tinggi. Bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dengan memperkenalkan pelbagai dasar pendidikan. Selepas Malaysia memperoleh kemerdekaan pada tahun 1957, langkah utama yang diambil oleh kerajaan adalah mengubah dasar pendidikan di Malaysia yang dahulunya berteraskan sistem pendidikan Kolonial. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar8

pendidikan yang diwujudkan bersandarkan perlembagaan dan undang-undang di Malaysia. Dasar-dasar ini dilaksanakan bagi mengelakkan wujudnya pertikaian-pertikaian berkaitan hak kaum masing-masing malah Dasar Pendidikan Kebangsaan telah mengambil kira cadangan laporan sebelumnya iaitu Laporan Fenn-Wu dan Laporan Barnes. Atas kesedaran inilah, lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudiannya dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin tercapai serta memenuhi keperluan sumber tenaga terlatih bagi pembangunan negara. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979. Kedatangan British sebelum Malaysia merdeka telah memberi impak yang lebih positif terhadap sistem pendidikan di Malaysia. Pada zaman Kolonial ini, pendidikan formal mula diperkenalkan oleh British berasaskan Dasar Pecah Perintah. Perkara ini dapat dilihat melalui galakkan British terhadap penubuhan empat jenis aliran pendidikan sekolah mengikut kaum dan kawasan seperti sistem pendidikan sekolah Melayu, sekolah Inggeris, sekolah Cina, sekolah Tamil. Melalui Dasar Pecah Perintah, Dasar Penyekatan, Dasar Terbuka dan Dasar Memelihara Status Quo, tiap-tiap sekolah bercorak perkauman ini mempunyai dasar, tujuan, kurikulum, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, buku teks dan sekolah-sekolah yang berlainan. Apakah tujuan sebenar British memperkenalkan sekolah yang bercorakkan sistem pendidikan perkauman? Yang jelas, motif utama penubuhan sekolah ini adalah untuk mengelakkan kaum-kaum di Malaysia bersatu padu menentang dasar penjajahan yang telah digagaskan oleh pihak British di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, penubuhan sistem pendidikan bercorak sekolah perkauman menyebabkan kaumkaum terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina dan India telah berpecah belah dari segi fahaman dan ideologi. Penubuhan sekolah yang berbeza aliran ini masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini. Malah masih lagi terdapat konsep pendidikan pada zaman Inggeris digunakan iaitu sistem pendidikan di sekolah rendah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai9

bahasa pengantar utama. Sebenarnya, sistem pendidikan yang diamalkan oleh penjajah ini berjaya mencapai objektif penubuhannya kerana sehingga hari ini kerajaan masih lagi gagal menghapuskan sistem pendidikan ini untuk digantikan dengan sistem pendidikan satu aliran. Hal ini demikian kerana wujud penentangan daripada kaum lain khususnya kaum Cina yang bimbang pelaksanaan sekolah satu aliran akan menghapuskan identiti bahasa Cina. Hakikatnya, rancangan penubuhan sekolah satu aliran bertujuan untuk melahirkan satu bangsa yang mempunyai satu fahaman dan satu ideologi, masih lagi sukar diterima. Isu penghapusan identiti bahasa sesuatu kaum sepatutnya tidak relevan untuk dibangkitkan kerana walaupun kerajaan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama namun pembelajaran bahasa-bahasa lain tidak pernah disekat. Konklusinya, konsep sekolah satu aliran juga bertujuan menyeragamkan silibus dan sukatan matapelajaran yang sebelum ini diatur secara berbeza mengikut aliran masingmasing. Sukatan pembelajaran yang berbeza sebelum ini telah menimbulkan jurang antara pelajar mengikut kaum masing-masing. Kaum Cina dikatakan mempunyai pencapaian yang lebih maju berbanding kaum-kaum lain dalam bidang akademik. Hal demikian kerana pada era penjajahan lagi berlaku revolusi dan pemodenan di negara China. Natijahnya, kebanyakan sekolah Cina di Tanah Melayu mula menggunakan sukatan pelajaran yang baru iaitu ajaran Confusius dan Barat. Oleh sebab itu, kerajaan cuba menyeragamkan sukatan pelajaran yang terdahulu dengan memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di semua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara. Hal ini bertujuan memastikan semua rakyat mendapat taraf pendidikan yang sama sekali gus merapatkan jurang pendidikan antara kaum bagi merealisasikan impian membentuk negara bangsa.

3.4 Isu Demokrasi Demokrasi merupakan suatu bentuk kerajaan yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang dan struktur pentadbirannya ditentukan oleh rakyat. Sesebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan demokratik. Demokrasi secara ekstrim boleh dilihat dalam struktur kerajaan seperti Anarkisme dan10

Komunisme. Namun begitu, Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen. Sistem pentadbiran yang diamalkan ini menjadikan Malaysia sebagai salah satu contoh negara yang berjaya mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dengan baik. Sistem Demokrasi

Berparlimen merupakan suatu sistem pentadbiran yang meletakkan perlembagaan sebagai tunjang utama dalam struktur pemerintahan. Dalam hal ini, undang-undang digubal oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya yang diadakan. Secara implisitnya, sistem ini menekankan hak kebebasan asasi dan kesamarataan tanpa berlaku diskriminasi yang bersandarkan kepada perbezaan kaum, jantina, keturunan, agama dan status hidup. Namun begitu, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat kita yang menyifatkan sistem pentadbiran yang dijalankan tidak telus dan tidak berlandaskan kepada konsep demokrasi yang sebenar. Persoalan yang dibangkitkan ini ada asasnya kerana kalau dikaji dengan teliti, sistem pemerintahan yang sedia ada seolah-olah berpihak kepada sebelah pihak sahaja. Malah, masyarakat juga boleh merasakan setiap tindakan yang diambil oleh pemerintah adalah untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu. Perlembagaan Malaysia sememangnya ada memperuntukkan hak kebebasan bersuara kepada masyarakat melalui peruntukan Perkara 10. Namun begitu, peruntukan ini masih lagi tertakluk kepada beberapa syarat yang digariskan dalam peruntukan Perkara 10(2), 10(3) dan 10(4). Dari satu segi, sememangnya perlu untuk diwujudkan peruntukan ini bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara serta menjaga kedaulatan institusi di raja tetapi apabila pelaksanaan peruntukkan ini disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu maka keadaan ini menimbulkan pertikaian dalam kalangan masyarakat yang merasakan diri mereka tidak diberi hak untuk bersuara. Contohnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang merupakan salah satu undang-undang yang diluluskan di Parlimen. Akta ini telah diwartakan pada 24 Febuari 1971 dan diluluskan pada 18 Mac 1971 dan kemudiannya berlaku pindaan pada 1975 dan 1983. AUKU pada amnya digubal ekoran wujud pelbagai peristiwa bersejarah yang melibatkan perjuangan gerakan mahasiswa universiti tempatan. Pada awal tahun 1960-an, mahasiswa bergerak aktif di Universiti Malaya dengan tumpuan kepada isu-isu dalam kampus dan perkara yang melibatkan kebajikan pelajar. Hal ini termasuklah peristiwa Hamid Tuah berkaitan masalah sosial dan11

kenaikan yuran pengajian. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia pada 1969 mengukuhkan lagi pengaruh gerakan mahasiswa. Kemuncak kepada gerakan politik kampus berlaku pada 13 Mei 1969 yang menggoncangkan negara. Dalam peristiwa ini, mahasiswa secara terbuka membuat penentangan kepada pemimpin negara. Suasana kampus menjadi tegang apabila wujud semangat perkauman yang berpunca daripada krisis politik pelajar berhubung dengan isu anti-Tunku dan isu perlaksanaan bahasa Malaysia di kampus. Tuntasnya, AUKU digubal bagi menjaga kelangsungan keamanan dan keharmonian negara. Namun berapa orang anggota masyarakat yang mengetahui sejarah penubuhan AUKU? Oleh sebab itu, sehingga hari ini masih lagi wujud pertikaian mengenai sekatan yang diwujudkan di dalam AUKU sedangkan tindakan yang diambil kerajaan adalah berlandaskan kepada sistem demokrasi yang diamalkan. Masyarakat kita sebenarnya masih lagi kabur dengan konsep sebenar sistem demokrasi berperlembagaan yang diamalkan oleh Malaysia. Pada masa yang sama, masyarakat juga terikat dengan sistem politik perkauman yang wujud di Malaysia. Struktur politik yang mengamalkan konsep wakil kaum masing-masing telah menyukarkan usaha mencapai matlamat untuk menyatupadukan rakyat. Di Malaysia terdapat 31 parti politik yang kebanyakannya berunsurkan perkauman. Sebagai contoh, parti United Malays National Organization (UMNO) dan Parti Islam Semalaysia (Pas) yang mewakili golongan Melayu, parti Malaysian Chinese Association (MCA), Democratic Action Party (DAP) dan Malaysian Peoples Movement (GERAKAN) yang mewakili kaum Cina dan parti Malaysian Indian Congress (MIC) serta Parti kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) yang mewakili kaum India. Malah struktur politik di Sabah dan Sarawak turut dibahagikan mengikut kawasan tertentu seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), United

Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO), Sarawak National Party (SNAP) dan State Reform Party (STAR). Hakikatnya, kehadiran parti politik ini menyukarkan lagi usaha membina negara bangsa kerana corak dan fahaman parti politik ini adalah berlandaskan kepada kepentingan kaum yang diwakili. Kesimpulannya, secara eksplisit struktur masyarakat berpecah mengikut fahaman dan ideologi parti politik masing-masing. Walaupun dari sudut luaran negara kita aman dan masyarakat dikatakan bersatu tetapi hakikat yang sebenarnya berlaku keadaan sebaliknya12

kerana sehingga hari ini masih wujud pertikaian antara kaum berkaitan hak masing-masing. Setiap masalah yang timbul ini dibangkitkan melalui parti politik kaum masing-masing. Akibatnya, Malaysia ini hanya indah khabar dari rupa kerana secantik manapun kulit luaran ia masih tidak dapat memberi jaminan tentang kualiti isi yang tersimpan di dalam.

4.0 Cabaran berkaitan Isu-isu Pembinaan Negara Bangsa 4.1 Cabaran berkaitan Isu Bahasa Dalam pembinaan negara bangsa, isu bahasa merupakan masalah yang tidak penah selesai. Meskipun dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara telah jelas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan yang tidak boleh diganggu gugat kedudukannya, namun, kedudukan bahasa Melayu masih lagi goyah dalam keadaan semasa. Jika disingkap tabir sejarah negara, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memartabatkan kembali bahasa ibunda. Antaranya, Penyata Razak yang diangkat menjadi Ordinan Pelajaran 1957 yang mengesyorkan pengakuan matlamat akhir bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan. Usaha ini dilihat memberi kesan apabila orang Melayu sedar akan kepentingan memartabatkan kembali bahasa ibunda. Cabaran pertama yang dikenalpasti pada era globalisasi adalah berkaitan dengan kedudukan bahasa. Timbul persoalan mengenai kepentingan bahasa Melayu di dunia moden dengan keperluan bahasa Inggeris sebagai memenuhi tuntutan antarabangsa. Disebabkan tuntutan globalisasi, bahasa Inggeris kini dilihat lebih mendominasi dan mula mengambil alih kedudukan bahasa Kebangsaan. Sekalipun kedudukan bahasa Kebangsaan dijamin kedudukannya mengikut Perlembagaan Malaysia, namun, realiti sebenar dalam kehidupan seharian seolah-olah meminggirkan bahasa ibunda. Dasar yang digubal oleh pihak kerajaan tidak selari dengan tindakan yang dilakukan dan sering kali dilihat bertentangan dengan peruntukan yang disediakan. Adakah kedudukan bahasa Kebangsaan hanya terjamin di atas kertas tetapi tidak pada realiti kehidupan yang sebenar? Hal ini telah menimbulkan pertikaian dan ketidakpuasan hati banyak pihak khususnya kaum Cina. Persoalan yang dilemparkan adalah mengenai kewajaran bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa kedua negara yang kini13

hampir melampaui batas kedudukan bahasa Kebangsaan dari segi penggunaannya. Kaum Cina membuat tuntutan supaya bahasa mereka dimartabatkan seampuh peranan dan fungsi bahasa Inggeris. Rasional yang mereka perjuangkan adalah bahasa Cina dikatakan lebih relevan dalam konteks negara Malaysia kerana penduduk berbangsa Cina itu sendiri yang merupakan penduduk kedua paling ramai di negara ini. Bertitik tolak daripada isu bahasa Inggeris inilah, timbul pertikaian daripada kaum Cina yang berjuang untuk memastikan bahasa ibunda mereka mendapat hak dan jaminan daripada pihak kerajaan. Selain itu, cabaran kedua merujuk kepada dasar kerajaan pada tahun 1968 yang ingin menghasilkan 60% kepakaran dalam bidang sains dan 40% kepakaran dalam bidang

kemanusiaan. Hal ini kerana acuan kerajaan yang lebih menekankan aspek Sains dan Teknologi dilihat lebih memberi tekanan kepada kedudukan bahasa Kebangsaan. Dek kerana ingin memenuhi tuntutan global, bahasa ibunda dijadikan cagaran. Begitulah sebenarnya senario yang berlaku di Malaysia. Pelaksanaan Dasar 60:40 yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebenarnya mampu menghakis kedaulatan bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan program pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menzahirkan tindakan kerajaan yang tidak peka dengan isu semasa. Tanpa berfikir panjang, satu tindakan yang dikatakan mampu meranapkan hampir keseluruhan pelajar Melayu khususnya yang tinggal di luar bandar dilaksanakan demi memenuhi tuntutan semasa. Sedar ataupun tidak, tindakan seumpama ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan bahasa Melayu malah turut membesarkan lagi jurang pendidikan Sains dan Matematik antara pelajar luar bandar dengan bandar khususnya yang melibatkan pelajar Melayu. Umpamanya negara Jepun, meskipun mereka maju dan berjaya dalam bidang sains dan teknologi, namun, mereka tetap menjunjung bahasa ibunda sebagai bahasa utama. Secara rangkumannya, persoalan berkaitan keperluan antara memenuhi tuntutan nasional dengan tuntutan antarabangsa tidak wajar dijadikan alasan untuk meminggirkan bahasa ibunda kerana keadaan ini akan membangkitkan isu kewajaran untuk bahasa daripada kaum lain turut digunakan dalam pembelajaran Sains dan Matematik yang mampu merenggangkan lagi semangat perpaduan. Cabaran ketiga adalah berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Dalam era globalisasi kini, orang Melayu sendiri dilihat kurang memartabatkan bahasa ibunda sendiri. Hal ini jelas dapat dilihat melalui perbualan seharian14

yang lebih cenderung menggunakan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau dikenali sebagai bahasa rojak. Lebih malang lagi apabila masyarakat hari ini berasa malu bertutur dalam bahasa Melayu dan berbangga sekiranya dapat bertutur dalam bahasa Inggeris yang dikatakan melambangkan status sosial yang tinggi. Hakikatnya, semangat cinta akan bahasa ibunda sudah semakin terhakis dalam jiwa masyarakat Melayu dek pemodenan yang datang menempa. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila kaum lain terus berusaha memartabatkan bahasa ibunda mereka tanpa mengambil kira cabaran yang datang. Dalam keadaan inilah, usaha membina negara bangsa menjadi semakin sukar. 4.2 Cabaran berkaitan Isu Kebudayaan Apabila berbicara soal kebudayaan, Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya yang ada. Namun begitu, setiap budaya yang ada hanya mewakili identiti sesuatu kaum atau etnik yang wujud di Malaysia. Usaha untuk melambangkan kepelbagaian budaya di bawah satu identiti seolah-olah sukar dicapai tatkala semua kaum takut akan kehilangan identiti budaya masing-masing. Mentaliti masyarakat kita pada hari ini masih lagi dikongkong dengan pemikiran penjajah yang sengaja mewujudkan sentimen perkauman yang sebelum ini wujud melalui Dasar Pecah dan Perintah. Oleh sebab itu, usaha kerajaan yang cuba mengukuhkan semangat perpaduan melalui perkongsian budaya tidak menampakkan hasil seperti yang diharapkan kerana masyarakat masih tidak berfikiran liberal. Perkongsian satu budaya itu dilihat sekadar di mulut dan tidak dihayati sepenuhnya oleh masyarakat. Walhal, untuk merealisasikan taraf negara bangsa, semangat perpaduan perlu untuk terus dikukuhkan sebagai kubu pertahanan daripada serangan anasir-anasir luar. Cabaran yang kedua bersandarkan kepada sistem pendidikan yang langsung tidak mendokong usaha mengukuhkan perpaduan melalui perkongsian budaya. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan telah mewujudkan kelompangan berkaitan memartabatkan kebudayaan dalam kalangan pelajar. Sepatutnya, sesi pembelajaran kebudayaan yang ada di Malaysia perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan sama ada secara praktikal mahupun teori. Namun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Penekanan kepada aspek kebudayaan kepada para pelajar hanya dijadikan sebagai sampingan dan para pelajar tidak diterangkan tentang peri pentingnya perkongsian kebudayaan. Lantas kerana itulah mentaliti masyarakat kita lebih mementingkan hak dan identiti kaum masing-masing.15

4.3 Cabaran berkaitan Isu Pendidikan Dalam bidang pendidikan, kerajaan sememangnya tidak memandang sepi terhadap keperluan pendidikan semasa. Bermula dengan Penyata Razak 1956 yang diangkat menjadi Ordinan Pelajaran 1957, intisari yang ditekankan sememangnya dilihat untuk memantapkan Sistem Pendidikan Negara. Antaranya, berkenaan permasalahan sukatan pelajaran. Sebelum Laporan Razak, Malaysia tidak mempunyai satu asas atau sistem pendidikan nasional. Terdapat empat aliran pendidikan yang berbeza iaitu Sekolah Aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Kesemua sekolah ini menggunakan sukatan pelajaran yang berbeza mengikut kurikulum negara asal masing-masing. Keadaan ini dilihat menjadi penghalang kepada perpaduan dan rasa cinta kepada negara yang utuh dan tidak berbelah bahagi kerana kurikulum pelajaran yang sedia ada dilihat mendorong semangat cinta akan negara masingmasing dan bukan kepada negara Malaysia. Menyedari kelompangan ini, Ordinan Pelajaran 1957 yang dilaksanakan sebagai permulaan kurikulum sekolah yang berorientasikan Malaysia di semua jenis sekolah dilihat masih gagal untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana penghayatan para pelajar masih lagi menjadi pertikaian kerana berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran (1979) menyatakan bahawa keadaan ini berlaku disebabkan guru dan murid selalu terdesak untuk menghabiskan sukatan pelajaran

terutamanya apabila ada peperiksaan dan sesi pembelajaran juga dikatakan terlalu bergantung kepada buku teks yang disediakan oleh pihak kementerian. Akibatnya, penghayatan golongan pelajar dan pendidik tidak wujud. Jadi, perkembangan pendidikan tidak berlaku kerana pelajar hanya menghafal untuk lulus peperiksaan sahaja. Persoalannya, bagaimana kita hendak melahirkan negara bangsa sekiranya warganegara hanya cinta kepada negara sekadar di atas kertas untuk mendapat ganjaran tetapi tidak dengan sepenuh hati? Dalam merealisasikan hasrat membina negara bangsa, cabaran seterusnya adalah berkaitan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah yang masih dipraktikkan sehingga ke hari ini. Meskipun telah ada pembaharuan dalam aspek-aspek tertentu, namun, kita tidak boleh menafikan bahawa masih wujud konsep dan kaedah perlaksanaan yang diteruskan dari zaman penjajahan lagi. Umpamanya, sehingga hari ini masih wujud sekolah vernakular, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan16

Tamil (SJKT). Sekolah-sekolah ini masih menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar di sekolah. Selain itu, tidak dinafikan bahawa sebahagian besar masyarakat India dan Cina di negara ini masih berasa ragu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Keadaan ini disebabkan mentaliti mereka yang masih berasa bimbang akan kehilangan identiti dan jati diri kaum masing-masing. Pembentukan sekolah satu aliran yang menjadi agenda dalam Penyata Razak 1956 kurang mendapat sokongan daripada anggota masyarakat khususnya yang bukan Melayu. Pembinaan sekolah satu aliran ini telah disalah ertikan oleh segelintir ahli masyarakat yang menyifatkan kewujudan sekolah ini hanya untuk menjaga kepentingan kaum Melayu sahaja dan cuba menghilangkan identiti kaum-kaum lain yang ada di Malaysia. Bagaimana kita hendak mencipta negara bangsa mengikut acuan sendiri jika masih wujud sistem pendidikan yang tidak seragam? Bahkan, keadaan masyarakat yang masih berpegang kepada persepsi lama dan tidak memberi sokongan terhadap sekolah satu aliran ini masih jelas dapat dilihat hingga ke hari ini. Misalnya, isu pembinaan Sekolah Integrasi dan Sekolah Wawasan yang meletakkan Sekolah Kebangsaan serta Sekolah Jenis Kebangsaan dalam satu kawasan yang sama. Namun, setiap jenis aliran sekolah mempunyai bilik darjah dan autoriti pentadbiran masing-masing tetapi bersama-sama merancang, menyelaras, dan melaksanakan aktiviti kokurikulum serta menggunakan konsep perkongsian kemudahan sekolah. Bahasa Melayu pula dijadikan sebagai bahasa rasmi yang digunakan di luar bilik darjah sebagai bahasa pengantar dalam interaksi sosial, perhimpunan, aktiviti kokurikulum, hari penyampaian hadiah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, hasrat murni kerajaan yang ingin memupuk dan mengeratkan lagi persefahaman, semangat kerjasama dan perpaduan pelbagai kaum ini tidak begitu berkesan dek kerana mentaliti masyarakat yang takut kehilangan identiti dan jati diri bangsa masing-masing. Buktinya, terdapat penentangan daripada sesetengah pihak terutama bangsa Cina kerana takut kehilangan identiti sekolah Cina. Misalnya, penentangan ini telah dilakukan oleh Gabungan Persatuan Guru-guru dan Lembaga Pengelola Sekolah Cina serta Dong Jiao Zong, seorang pendidik. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat kita tidak bersedia untuk hidup di bawah satu bumbung. Untuk membina negara bangsa, timbul satu cabaran besar yang perlu diatasi oleh pihak kerajaan iaitu cabaran mengatasi kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat. Ilmu17

menjadi elemen penting dalam mencapai taraf negara maju. Malah, dengan ilmu jugalah masyarakat akan lebih memahami konsep sebenar negara bangsa. Oleh sebab itu, kerajaan sedar bahawa setiap warganya perlulah berilmu dan sekurang-kurangnya mempunyai penguasaan literasi. Hal ini kerana masalah penguasaan literasi merupakan masalah yang serius dalam kalangan rakyat negara ini terutama pada awal kemerdekaan dahulu. Namun begitu, masih terdapat ramai lagi ibu bapa yang tidak mementingkan pendidikan. Anak-anak tidak dihantar ke sekolah tetapi disuruh membantu ibu bapa mencari nafkah.

4.4 Cabaran berkaitan Isu Demokrasi Dalam pembinaan negara bangsa, aspek demokrasi memang tidak dapat dipisahkan. Sebagai sebuah negara berdaulat yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen, aspek demokrasi sememangnya menjadi landasan dalam menentukan corak negara bangsa yang ingin diwujudkan. Bidang politik negara sememangnya akan dipelopori oleh golongan intelektual. Jadi golongan intelektual ini seharusnya diberi pendedahan sejak awal lagi. Sebagai pelapis kepimpinan politik negara, golongan pelajar di universiti dan kolej universiti sememangnya digalakkan untuk memikul tanggungjawab bagi menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang pada masa akan datang. Namun, cabaran pertama yang dilihat dalam isu ini adalah berkaitan penyalahtafsiran AUKU. Sememangnya ramai dalam kalangan anggota masyarakat khususnya golongan mahasiswa yang menafikan sekatan-sekatan yang wujud dalam AUKU. Namun, pertikaian yang ditimbulkan ini tidak pernah dikaji oleh mereka mengenai sejarah penubuhan AUKU. Hari ini, ramai pihak yang begitu lantang dalam melontarkan buah fikiran tetapi daripada jumlah mereka, berapa orangkah yang benar-benar memahami tentang kewujudan AUKU ini pada 1971? Hakikatnya, masyarakat lebih gemar mendengar khabar angin yang menyatakan AUKU menyalahi hak asasi manusia. Tanpa membuat usul periksa, masyarakat kita terus mengkritik pihak kerajaan yang dituduh sengaja mewujudkan AUKU demi kepentingan mereka. Sekali pun wujud sekatan-sekatan yang tidak relevan dengan keadaan semasa, masyarakat masih lagi gagal dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyatakan bantahan kepada pihak kerajaan. Kini, apabila timbul persoalan tidak berpuas hati,18

masyarakat terus mengambil tindakan melulu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram di sesuatu tempat. Kegagalan masyarakat dalam memahami konsep sebenar sistem demokrasi di Malaysia hampir menutup peluang untuk kita membina negara bangsa. Hal ini kerana dalam membina negara bangsa, kita memerlukan mayarakat yang berfikiran kelas pertama dan mampu bertindak mengikut kewarasan akal fikiran. Cabaran yang kedua dalam aspek demokrasi adalah berkaitan masalah politik perkauman. Isu ini semakin ketara pada masa kini apabila parti-parti politik yang wujud dilihat lebih memperjuangkan kaum masing-masing seolah-olah menidakkan kepentingan nilai perpaduan. Umpamanya, pada hari ini kita dapat lihat parti-parti di bawah Barisan Nasional lebih memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing berbanding kepentingan bersama. MCA dilihat cenderung memperjuangkan kepentingan kaum Cina, MIC pula dengan agenda kaum India dan begitu juga UMNO yang memperjuangkan kaum Melayu. Walhal, untuk membina negara bangsa, semua warganegara perlu bersatu dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Namun begitu, permainan politik dalam kalangan parti politik ini dilihat telah mengganggu gugat usaha ke arah mencapai demokrasi yang mantap untuk membina negara bangsa. Terdapat juga ahli-ahli politik yang tidak menjunjung ketinggian perlembagaan yang melarang untuk menyentuh isu-isu yang dikategorikan sebagai sensitif seperti hal-hal berkaitan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi. Sebagai contoh, seorang ahli parlimen berbangsa Cina dari parti Democratic Action People (DAP), Teresa Kok Suh Sim, telah mencetuskan rasa tidak puas hati kaum Melayu apabila beliau menyentuh isu berkaitan agama Islam. Beliau telah membuat tuntutan supaya laungan azan diperlahankan. Jadi, ahli politik pada hari ini dilihat tidak lagi menjaga sentimen perkauman. Sedangkan untuk membina negara bangsa, kesepaduan dengan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara kaum amat penting. Tambahan pula, dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum, politik perkauman menjadi ancaman yang besar dalam agenda membina negara bangsa ini kerana dari sinilah bermulanya perpecahan ideologi berlaku.

19

5.0 Pendekatan kepada Cabaran yang timbul bagi Isu-isu berkaitan Pembinaan Negara Bangsa 5.1 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Bahasa Berdasarkan kepada cabaran yang timbul, perkembangan sistem pendidikan pada hari ini dilihat tepat pada masanya. Hal ini kerana perkembangan sistem pendidikan akan membantu dalam usaha menambah nilai kualiti masyarakat yang ada bagi menyelesaikan cabaran-cabaran yang timbul. Cabaran yang wujud berkaitan isu bahasa mampu diselesaikan melalui pendekatan sistem pendidikan. Pendekatan pertama yang boleh digunakan adalah meningkatkan pemahaman pelajar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Para pelajar boleh didedahkan secara terperinci berkaitan peruntukanperuntukan yang disediakan dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh sebab Perlembagaan Malaysia ditulis dengan menggunakan lunas undang-undang maka adalah wajar golongan pendidik memainkan peranan sebagai medium untuk memahamkan pelajar. Apabila para pelajar sudah memahami kedudukan sebenar bahasa Kebangsaan maka tidak akan timbul lagi soal kedudukan bahasa Kebangsaan yang semakin terhakis kerana kedudukan bahasa Kebangsaan telah pun dilindungi dan dijamin oleh undang-undang tertinggi negara. Selain itu, persoalan mengenai bahasa Inggeris yang dikatakan mampu menggugat bahasa Kebangsaan harus diperjelas secara terperinci kepada pelajar agar tidak timbul golongan yang anti-bahasa Inggeris. Kerajaan telah pun melancarkan satu program melalui Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu, Memantapkan Bahasa Ibunda, Mengukuhkan Bahasa Inggeris. Pendekatan seterusnya boleh diambil bagi mengatasi isu PPSMI yang sering digembar-gemburkan oleh banyak pihak. Masyarakat harus difahamkan mengenai kepentingan ilmu sains pada era kini. Kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi pada hari ini adalah berlandaskan kepada perkembangan dalam dunia sains dan teknologi. Oleh itu, sekolah menjadi elemen penting dalam menyampaikan wadah ini kepada pelajar agar kita dapat melahirkan golongan yang mampu mempelopori dunia sains sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Soal penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik harus dilihat secara positif. Kerajaan bertindak sedemikian kerana cuba memenuhi tuntutan global yang meletakkan perkembangan dalam dunia sains barat sebagai20

sandaran. Oleh sebab itu, banyak bahan dan alat yang memerlukan pengaplikasian bahasa Inggeris digunakan. Namun begitu, menyedari kelemahan dan tahap kemampuan rakyat yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, kerajaan telah pun memansuhkan program ini tetapi Dasar 60:40 masih lagi diteruskan dengan cara kerajaan cuba mengimplimentasikan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan. Malah, guru-guru yang berkelulusan dalam bidang ini turut dihantar ke kawasan pedalaman bagi menyeimbangkan perkembangan sains dan teknologi ke seluruh pelusuk negara. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga tidak boleh dipandang remeh. Agensi ini memainkan peranan penting dalam usaha ke arah pembinaan negara bangsa melalui aktiviti pemantapan dan perancangan bahasa, sastera kebangsaan dan penerbitan. DBP yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 hasil daripada persidangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Baharu dan Singapura merupakan suatu badan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menjaga kedaulatan bahasa Melayu. Masalah yang timbul berkaitan sikap masyarakat Melayu yang tidak lagi berbangga dengan bahasa ibunda merupakan suatu keadaan yang kritikal. Jadi, DBP telah pun menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti bertujuan

memartabatkan bahasa seperti pertandingan Forum Remaja, Debat Ala Parlimen, Pidato Di Raja dan sebagainya. Penglibatan pelajar dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi cuba dilibatkan agar proses memartabatkan bahasa Melayu ini dilihat secara menyeluruh. Malah, di peringkat antarabangsa juga Pertandingan Pidato Bahasa Melayu turut diadakan yang melibatkan peserta dari seantero dunia. Pendekatan yang dilakukan ini dikatakan mampu memberi rangsangan kepada semua pelajar khususnya pelajar Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu. Langkah DBP menerbitkan majalahmajalah seperti Dewan Masyarakat, Tunas Cipta, Kosmik dan lain-lain adalah amat tepat kerana masyarakat tanpa mengira kaum boleh mendapatkan banyak info berkaitan dunia bahasa dengan lebih tepat. Malah, melalui penerbitan ini jugalah, masyarakat boleh didedahkan tentang kepentingan bahasa sebagai wahana perpaduan.

21

5.2 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Kebudayaan Sejak negara kita mencapai kemerdekaan, isu tentang kebudayaan masih lagi hangat diperkatakan sehingga hari ini. Masalah ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya semua pihak mampu bersepakat menerima kebudayaan Kebangsaan sebagai kebudayaan setiap kaum di negara ini. Budaya melambangkan satu identiti bagi sesebuah negara. Amalan masyarakat majmuk di Malaysia harus dipelihara agar menjadi satu warisan kepada anak bangsa akan datang. Persoalannya, masyarakat hari ini ingin memartabatkan budaya masingmasing sehingga menimbulkan perpecahan antara satu sama lain. Langkah kerajaan untuk memperkenalkan satu kebudayaan kebangsaan amatlah wajar bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Pengenalan Dasar Kebudayaan Kebangsaaan merupakan satu medium bagi kerajaan untuk menanam semangat cinta dan sayang akan tanah air dan bangsa sendiri. Melalui dasar ini, ia dapat memupuk perpaduan menerusi satu gaya hidup dan nilai-nilai yang dipersetujui bersama oleh semua kaum. Kerajaan telah menitikberatkan pembentukan secara beransur-ansur daripada pelbagai kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat Malaysia berteraskan kebudayaan asli tempatan. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah penganjuran rumah terbuka bagi setiap perayaan di Malaysia. Sebagai contoh kerajaan telah menganjurkan majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2009 yang bertemakan Perpaduan Melalui Perayaan. Kerajaan cuba untuk mengukuhkan perpaduan melalui seni budaya warisan sesebuah masyarakat dengan penyertaan dan penglibatan semua kaum. Melalui penganjuran rumah terbuka ini, kita dapat melihat semua penduduk tanpa mengira bangsa dan agama keluar bersama-sama meraikannya dengan suasana gembira. Apabila perayaan-perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi disambut secara beramai-ramai maka ia akan mencerminkan semangat kekitaan dan perpaduan serta keharmonian sesebuah masyarakat. Pendekatan ini diambil sebagai langkah awal untuk mengubah mentaliti masyarakat tentang konsep perkongsian budaya menjadi satu identiti. Usaha sama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KPKK) dengan kementerian-kementerian lain juga dapat memantapkan lagi usaha-usaha ke arah22

memupuk perpaduan. Sebagai contoh, kerjasama antara KPKK dengan Kementerian Pelajaran (KPM). Melalui kerjasama ini subjek budaya dan warisan boleh diperkenalkan di sekolah rendah mahupun menengah. Tujuannya untuk memberi pendedahan awal mengenai budaya masyarakat Malaysia kepada golongan pelajar. Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila perpaduan ini telah pun mantap sejak dari kecil, sudah tentu ia tidak akan mudah goyah apabila berlaku sesuatu yang perkara yang boleh meleburkan ikatan perpaduan rakyat Malaysia. KPKK juga boleh membekalkan tenaga pengajar untuk mengajar subjek ini di sekolah dengan memberi peluang kepada penuntut Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan (Aswara) berkhidmat sebagai guru untuk mengajar subjek sampingan ini. Di samping itu, KPKK juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melaksanakan beberapa program atau acara yang boleh mengeratkan hubungan mahasiswa dan mahasiswi universiti yang berbilang kaum. Tambahan pula, penuntut universiti terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi agama, budaya, dan fahaman. Contohnya pada tahun 2007, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Indian Cultural Nite (ICN) yang bertujuan untuk memperkenalkan budaya masyarakat India kepada umum. Sebagai pewaris kepimpinan negara, semua mahasiswa dan mahasiswi perlu menguasai ilmu pengetahuan di samping mengetahui adat budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini supaya mereka mampu memimpin diri sendiri, agama, bangsa dan negara. Budaya menyatupadukan bangsa. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia telah lama menjadi simbol kekuatan negara. Kementerian Pelancongan dan KPKK telah memperkenalkan sejenis tarian iaitu Tarian 1 Malaysia. Tarian ini merupakan hasil gabungan beberapa tarian termasuk tarian Melayu, Cina, India serta tarian etnik dari Sabah dan Sarawak. Menurut Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,

Senator Heng Seai Kie, melalui program kebudayaan seumpama ini akan dapat menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan antara kaum ke arah mencapai matlamat gagasan 1 Malaysia. Selain itu juga, ia dapat mempromosikan keunikan kebudayaan Malaysia bagi meningkatkan industri pelancongan negara. Tarian yang julung kali diadakan di Dataran Bandaraya Ipoh itu berjaya mencatatkan penyertaan masyarakat paling ramai iaitu seramai 10 000 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Ternyata, elemen penyatuan23

dan integrasi antara kaum terserlah apabila kita dapat melihat masyarakat Cina dan India serta etnik Sabah dan Sarawak menari tarian tradisional Melayu dan begitu juga sebaliknya. Melalui seni tari, semua perbezaan dan permasalahan masyarakat bagaikan hilang dan hanyut dalam setiap gerak langkah gemalai peserta sewaktu menari.

5.3 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Pendidikan Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 merupakan tragedi hitam yang terpahat dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia. Keamanan negara tergugat seketika dek kerana kealpaan masyarakat kita sendiri. Sikap acuh tak acuh yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu, akhirnya telah memakan diri sendiri. Lantaran daripada peristiwa itu, pemimpin-pemimpin negara telah bertungkus-lumus membendung masalah ini agar tidak menjadi semakin parah. Oleh sebab itu, mantan Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah mencadangkan agar diwujudkan satu sistem persekolahan yang lebih bersifat kolektif dan bercirikan keharmonian kaum iaitu pembinaan Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan ini adalah selaras dengan cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu serta dapat hidup dengan aman dan bahagia serta sentiasa taat setia kepada negara Malaysia. Namun, pada hari ini, idea penubuhan sekolah wawasan ini tidak mendapat sambutan secara kolektif khususnya daripada masyarakat Cina. Sebenarnya masyarakat harus melihat dari sudut positif mengenai kewujudan sekolah ini. Suatu ketika dahulu kita boleh bersatu untuk menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah. Kita juga boleh bersatu dalam bidang ekonomi melalui penubuhan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Oleh itu, kita juga mampu untuk berada di bawah satu bumbung dalam bidang pendidikan. Bagi merealisasikan semula idea ini, masyarakat khusunya kaum Cina dan India harus berfikiran terbuka bahawa penubuhan Sekolah Wawasan tidak akan menghapuskan identiti SRJK, tetapi Sekolah Wawasan adalah gabungan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu SRK (Sekolah Rendah Kebangsaan), SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah ini, murid-murid akan berkongsi kemudahan seperti padang, kantin, perpustakaan, dewan serta lain-lain kemudahan yang boleh dikongsi24

bersama. Namun begitu, setiap sekolah tetap mempunyai bangunan pentadbiran mereka sendiri bagi memudahkan urusan pengurusan sekolah. Murid-murid akan dibiarkan bergaul, berinteraksi dan bermain bersama-sama. Program integrasi dan asimilasi ini akan berlaku secara semulajadi sehingga dapat memecahkan tembok pemisah serta mengurangkan jurang yang wujud di antara kaum. Kerajaan melalui KPM perlu merancang satu program yang boleh dipraktikkan dalam memastikan konsep sekolah ini berhasil dan tidak akan berkubur begitu sahaja. Perancangan, pengkajian, dan penyelidikan berterusan adalah amat perlu bagi menjamin mutu Sekolah Wawasan ditingkatkan. Pendedahan dan penjelasan secara meluas kepada masyarakat umum berkaitan Sekolah Wawasan dari aspek konsep pelaksanaan, objektif penubuhan dan faedahfaedah yang bakal diperolehi oleh murid, kakitangan sekolah dan masyarakat sekeliling perlu dilakukan dengan sistematik bagi meyakinkan orang ramai khususnya masyarakat Cina mengenai idea penubuhannya. Penubuhan Sekolah Wawasan ini adalah satu medium untuk merapatkan jurang perkauman bagi melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan Wawasan 2020. Bagi mengeratkan lagi hubungan perpaduan antara kaum, kerajaan di bawah pimpinan Dato Seri Najib Tun Abd. Razak telah merancang untuk membina asrama berkonsepkan 1 Malaysia pada tahun 2010. Idea penubuhan asrama 1 Malaysia ini diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh para pelajar khususnya yang datang dari keluarga miskin dan yang tinggal di kawasan pedalaman. Selain dari mengeratkan hubungan sesama pelajar, ia juga dapat menyelesaikan isu pembaziran yang tidak efektif dari segi bilangan muridnya seperti SRJK Tamil Ladang Sungai Timah, Teluk Intan Perak yang hanya mempunyai seorang murid sahaja. Menurut Dato Seri Mohd Najib, Kita masih belum lagi memikirkan nama asrama itu tetapi ia akan menjadi yang pertama seumpamanya yang menempatkan pelajar semua kaum hidup bersama-sama.

5.4 Pendekatan kepada Cabaran bagi Isu Demokrasi Sistem pemerintahan negara Malaysia berlandaskan kepada konsep Demokrasi Berparlimen. Melalui konsep ini, sistem kerajaan ditentukan oleh rakyat melalui proses25

pilihan raya. Wakil-wakil rakyat dipilih bagi mewakili suara mereka untuk diketengahkan di peringkat tertinggi negara. Persoalannya, bagaimanakah sistem demokrasi ini dapat menyatukan kaum di Malaysia ini melalui pendidikan? Sistem pendidikan di Malaysia seharusnya menjadi satu medium atau pemudah cara bagi memberikan maklumat atau pendedahan awal tentang amalan sistem demokrasi negara. Kerajaan boleh menggunakan pendekatan ini di semua institut pengajian tinggi awam mahupun swasta serta sekolahsekolah rendah dan menengah. Dunia kampus atau kehidupan di kampus tidak akan lengkap sekiranya tidak melibatkan pimpinan mahasiswa. Para pemimpin mahasiswa ini menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih oleh warga kampus melalui Pilihan Raya Kampus (PRK) yang diadakan setiap dua tahun sekali. Namun begitu, aktiviti pilihan raya kampus ini masih lagi tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Hakikatnya, AUKU ini telah melemahkan golongan mahasiswa kerana suara dan pandangan mereka telah disekat dan hal ini bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Namun, akibat desakan demi desakan, maka akhirnya akta ini telah dipinda sekali lagi pada tahun 2008 merangkumi Seksyen 15 dan 16. Melalui pindaan yang telah dibuat maka kelonggaran telah diberikan kepada mahasiswa untuk berpolitik tetapi mereka harus sedar tujuan asal mereka berada di universiti. AUKU sebenarnya berperanan mendidik mahasiswa mengenai hak-hak mereka untuk berhubung dengan masyarakat dan bersuara mengikut nas undang-undang. Semangat kewarganegaraan dalam kalangan mahasiswa dapat dipupuk dengan baik dan mampu melahirkan pemimpin berkualiti yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Secara amnya, pindaan AUKU ini merupakan tindak balas positif kerajaan untuk mendengar suara generasi muda supaya mereka memahami dengan jelas konsep demokrasi serta tanggungjawab mereka selaku seorang warganegara. Selain itu, pendekatan demokrasi ini juga boleh dilakukan di sekolah-sekolah bagi mendidik golongan pelajar mengenai kepentingan demokrasi. Ia dapat dilihat sebagai satu asas permulaan bagi pelajar untuk mengetahui sistem politik negara. Hal ini bukanlah bermaksud untuk mengajak anak-anak muda ini berpolitik di usia muda tetapi ia sekadar pendedahan dari aspek pendidikan mengenai sistem politik negara. Dalam subjek sejarah26

umpamanya, sudah ada tajuk mengenai politik negara tetapi ia tidak diaplikasikan secara sewajarnya di peringkat sekolah. Oleh itu, adalah lebih baik jika pihak sekolah mengikut langkah universiti dengan menjalankan pilihan raya dalam pemilihan ketua pelajar atau ketua murid di setiap sekolah. Mereka juga boleh menubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar sendiri dan peranan mereka juga adalah sama dengan badan pengawas yang bertindak membantu guru dalam aspek disiplin. Umpamanya, Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail yang telah menjalankan pemilihan ketua muridnya melalui proses pilihanraya. Tuntasnya, demokrasi ini perlu dilihat sebagai satu ruang dan peluang kepada golongan muda dan mahasiswa untuk belajar memahami serta berdepan sendiri dengan cabaran politik semasa apabila mereka berumur 21 tahun nanti. Pindaan AUKU yang dilakukan oleh kerajaan juga telah memberi nafas baru kepada golongan mahasiswa untuk lebih aktif sesuai dengan aliran politik generasi muda. Maka dengan itu pembentukan negara bangsa akan menjadi lebih mudah kerana rata-rata golongan muda ini telah boleh berfikir dan bertindak selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Di samping itu, pendedahan awal tentang sistem demokrasi ini akan membantu menjana masyarakat yang bermaklumat tentang sistem pemerintahan yang diamalkan. Secara implisitnya, masyarakat akan lebih bersatu padu di bawah sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

6.0 Kesimpulan Pembinaan Negara Bangsa Seawal pembukaan konsep membina negara bangsa, kita dapat melihat gambaran awal tentang betapa pentingnya nilai dan semangat perpaduan untuk diperkukuh dan dipertahankan. Pembinaan negara yang berteraskan kepada semangat perpaduan ketika ingin mendapatkan kemerdekaan membuktikan bahawa semangat perpaduan ini menjadi akar umbi kepada pembentukan negara. Justeru itu, adalah tidak wajar sekiranya tanah air yang telah terbentang selama lebih separuh abad ini dimusnahkan hanya kerana sikap segelintir di antara kita yang cuba menjadi hero kepada kaum masing-masing dalam realiti hidup yang sebenar. Tanpa kesepaduan dan kesepakatan sememangnya agak mustahil untuk kita mewujudkan sebuah negara yang aman dan maju. Melihat kepada pembinaan negara bangsa untuk27

kepentingan bersama, masyarakat harus berganding bahu untuk menyokong impian ini kerana kejayaan membina negara bangsa akan memberi manfaat kepada semua sejagat. Namun begitu, untuk membina sesuatu yang baik kita harus menempuh dan mengharungi liku-liku berduri. Isu-isu yang berbangkit harus segera ditangani bagi melicinkan proses pembinaan ini. Isu bahasa yang dibangkitkan kerana sering timbul pertikaian, membawa satu cabaran baru untuk diselesaikan kerana setiap kaum cuba memartabatkan bahasa ibunda masingmasing. Namun, dengan kudrat yang ada, satu pendekatan yang wajar sudah mampu untuk menyelesaikan masalah ini iaitu dengan memberi pendidikan awal kepada generasi muda tentang kedudukan bahasa yang sebenar dan kepentingan meletakkan satu bahasa melambangkan satu bangsa. Isu kebudayaan pula menampakkan suatu keadaan yang semakin runcing untuk diselesaikan kerana setiap kaum tidak mahu kehilangan identiti budaya masing-masing. Namun, melalui pendekatan yang berteraskan Dasar Kebudayaan Negara yang bertindak sebagai pelindung kepada identiti semua budaya yang ada di Malaysia, dilihat mampu untuk menyakinkan semua masyarakat bahawa perkongsian budaya tidak menghilangkan identiti sebenar sesuatu budaya. Selain itu, isu pendidikan yang dijadikan isu utama untuk diselesaikan telah pun mendapat satu pendekatan terbaik melalui penubuhan Sekolah Wawasan. Walaupun pendekatan ini tidak mendapat sokongan secara kolektif daripada masyarakat, namun, usaha yang diambil ini dilihat paling efektif dalam merapatkan jurang pendidikan antara kaum. Terakhir, berkaitan isu demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Amatlah penting sebenarnya masyarakat kita mengetahui hakikat sebenar perjalanan sistem demokrasi di Malaysia kerana salah faham tentang sistem pentadbiran boleh mencetuskan perpecahan sama ada antara interkaum mahupun intrakaum. Menyedari kepentingan dan manfaat yang bakal dimiliki melalui pembinaan negara bangsa, masyarakat tidak perlu lagi berfikir panjang untuk menyatakan sokongan tetapi sudah menjadi tanggungjawab yang perlu digalas di pundak kita bagi merealisasikan impian ini. Sesungguhnya, konsep satu bangsa, satu identiti akan membawa sejuta pengertian buat kita dan generasi akan datang.

28