modul hubungan etnik

7
http://www.academia.edu/8416624/Modul_Hubungan_Etnik_Edisi_ke- 2-libre BAB 4 Perlembagaan Persekutuan: Tiang Seri Hubungan Etnik Hasil Pembelajaran Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat: 1. Menjelaskan sikap akomodatif yang wujud dalam kalangan pelbagai etnik semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan. 2. Membahaskan peranan dan kepentingan unsur-unsur tradisi dan permuafakatan sosial dalam konteks hubungan etnik di Malaysia. 3. Menganalisis rasional unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia. Pengenalan Tiada satu negara memiliki bentuk dan struktur perlembagaan yang sama. Di dunia ini terdapat pelbagai bentuk dan struktur perlembagaan. Perkara ini berlaku kerana perlembagaan sesebuah negara adalah hasil perjalanan sejarah sosial setempat hasil interaksi dengan proses migrasi dan globalisasi. Perlembagaan negara ini dipengaruhi oleh perjuangan nasionalisme Melayu dan bumiputera serta penglibatan etnik-etnik lain yang berunding sesame mereka dan dengan Sultan negeri-negeri dan British. Perlembagaan Malaya dan Malaysia memperuntukkan kedudukan anak watan dalam kalangan Melayu dan bumiputera, Orang Asli dan juga etnik-etnik lain. Perlembagaannya bersifat mengurus etnonasionalisme anak watan dan keperluan masyarakat pelbagai etnik yang sivil. Pengalaman pemerintahan persekutuan di Negeri Sembilan dijadikan asas untuk membina negara moden Malaya dan Malaysia. Kepentingan setiap rakyat, negeri dan kumpulan minoriti diambil kira dan dilindungi oleh

Upload: iqbal

Post on 23-Jan-2016

241 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Modul Hubungan Etnik

http://www.academia.edu/8416624/Modul_Hubungan_Etnik_Edisi_ke-2-libre

BAB 4

Perlembagaan Persekutuan: Tiang Seri Hubungan Etnik

Hasil Pembelajaran

Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:

1. Menjelaskan sikap akomodatif yang wujud dalam kalangan pelbagai etnik semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

2. Membahaskan peranan dan kepentingan unsur-unsur tradisi dan permuafakatan sosial dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.

3. Menganalisis rasional unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia.

Pengenalan

Tiada satu negara memiliki bentuk dan struktur perlembagaan yang sama. Di dunia ini terdapat pelbagai bentuk dan struktur perlembagaan. Perkara ini berlaku kerana perlembagaan sesebuah negara adalah hasil perjalanan sejarah sosial setempat hasil interaksi dengan proses migrasi dan globalisasi. Perlembagaan negara ini dipengaruhi oleh perjuangan nasionalisme Melayu dan bumiputera serta penglibatan etnik-etnik lain yang berunding sesame mereka dan dengan Sultan negeri-negeri dan British. Perlembagaan Malaya dan Malaysia memperuntukkan kedudukan anak watan dalam kalangan Melayu dan bumiputera, Orang Asli dan juga etnik-etnik lain. Perlembagaannya bersifat mengurus etnonasionalisme anak watan dan keperluan masyarakat pelbagai etnik yang sivil. Pengalaman pemerintahan persekutuan di Negeri Sembilan dijadikan asas untuk membina negara moden Malaya dan Malaysia. Kepentingan setiap rakyat, negeri dan kumpulan minoriti diambil kira dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh setiap negeri.

Page 2: Modul Hubungan Etnik

Definisi dan Konsep Perlembagaan

Perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang mustahak bagi penubuhan dan kewujudan sesebuah negara dan sistem politiknya. Perlembagaan menjadi sumber kepada undang-undang dalam negara berkenaan. Semua undang-undang lain tidak boleh bertentangan dengan undang-undang dan prinsip-prinsip perlembagaan dan jika bertentangan, maka undang-undang perlembagaan yang lebih unggul diterima pakai sebagai undang-undang yang lebih utama. Undang-undang perlembagaan dengan itu dapat membatalkan mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengannya (Mohd Salleh 1984). Hashim (1983) pula berpendapat perlembagaan lebih daripada apa-apa perkara yang hanya berkenaan dengan urusan kerajaan, rangka-rangka demokrasi dan perlindungan akan hak-hak rakyatnya.

Perlembagaan juga ialah sebuah dokumen yang mengandungi peruntukan-peruntukan asas tertentu yang secara tersendiri mencerminkan pertimbangan suasana muhibah, penerimaannya yang murni dan kesefahaman antara rakyatnya. Perlembagaan bukan sekadar satu dokumen undang-undang tetapi ialah dokumen yang tidak terpisah daripada sejarah, perkembangan dan tradisi sesuatu negara khususnya di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik. Berdasarkan takrifan ini, terbentuk beberapa kesimpulan tentang makna perlembagaan iaitu:

i. Undang-undang dasar yang menjadi teras panduan pemerintahan negara.

ii. Kerangka asas yang membentuk dan memandu sistem pemerintahan sesebuah negara.

iii. Undang-undang tertinggi dan asas kepada semua undang-undang lain di dalam negara.

iv. Rujukan tentang aspirasi dan pelan induk pemerintahan negara. 

v. Mengawal pemerintah dan yang diperintah dalam mempertahankan kewujudan dan kesinambungan negara.

Page 3: Modul Hubungan Etnik

Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengamalkan perlembagaan bertulis. Badan perundangan, kehakiman dan eksekutif mendapat kuasa daripada perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan mengandungi 15  Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Secara ringkas, Perlembagaan Persekutuan menyentuh bidang kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain. Perlembagaan adalah penting kerana kesemua perkara dalam perlembagaan adalah sama dengan mana-mana perlembagaan di dunia. Namun, Perlembagaan Persekutuan adalah unik kerana mengekalkan unsur-unsur tradisi seperti agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan pemerintahan beraja. 

Manakala pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan melalui:

i. Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan tanpa mendapat persetujuan sesiapa seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli-ahli Dewan Negara dan meliputi perkara-perkara yang tidak disebut dalam perkara lain.

ii. Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui olehYang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi yang melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeridan kedudukan istimewa bumiputera.

iii. Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang melibatkan perkara-perkara seperti kedaulatan raja-raja, kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan

Perlembagaan Persekutuan juga mengguna pakai konsep ketertinggian perlembagaan. Melalui konsep ini, tidak terdapat institusi yang mengatasi ketertinggian Perlembagaan Persekutuan. Malahan ketiga-tiga badan kerajaan, iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutifmahupun Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan (Mohamed Sulan 1987). Sebagai contoh, kuasa perundangan hendaklah dijalankan tertakluk kepada peruntukan yang dikenakan oleh perlembagaan. Malah, undang-undang persekutuan atau negeri mengenai sesuatu perkara boleh diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah jika undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan setakat mana ia bercanggah. Hal ini kerana perlembagaan memperuntukkan dengan nyata Perkara 4(1) bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah

Page 4: Modul Hubungan Etnik

undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.

Kerjasama Antara Etnik dalam Menuju Kemerdekaan

Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kerjasama antara etnikMelayu dan bukan Melayu mula terjalin. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Kaum 1949 yang terdiri daripada pelbagai etnik telah berusaha menyelesaikan sesetengah masalah perlembagaan, politik dan ekonomi yang wujud akibat permintaan yang berlainan daripada pelbagai etnik. Maka, pada Pilihan Raya Umum 1955, Parti Perikatan telah bertanding dalam pilihan raya dengan meletakkan calon bagi semua 52 kerusi iaitu Parti Negara sebanyak 33 kerusi dan PAS sebanyak 11 kerusi. Jika dilihat dari segi pembahagian kerusi dan calon, ternyata Perikatan yang diterajui oleh UMNO telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa melalui pembahagian kerusi dalam pilihan raya ini. Hal ini kerana walaupun pada Persidangan Perwakilan UMNO, ahli UMNO meminta 40 kerusi diberikan kepada UMNO atas alasan jumlah pengundi Melayu ialah 84.2 peratus, tetapi demi perpaduan dan mengamalkan konsep perkongsian kuasa, UMNO diperuntukkan 35 kerusi sahaja, MCA 15 kerusi dan MIC sebanyak dua kerusi. Berasaskan kekuatan mengundi, UMNO sepatutnya menuntut tidak kurang daripada 90 peratus daripada jumlah kerusi. Gambaran ini dapat dilihat dalam Jadual 4.1.

Satu perkara yang menarik semasa Pilihan Raya Umum 1955 ialah penolakan sikap perkauman dalam kalangan orang Melayu. Jika orang Melayu bersikap perkauman, mereka boleh menubuhkan kerajaan Melayu dan menggubal satu perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka. Pastinya perlembagaan tersebut akan menjamin kekuasaan orang Melayu dengan cara yang berterusan. Pada Julai 1954, Perikatan dan pihak British telah bersetuju untuk mengadakan sebuah Majlis Perundangan Persekutuan yang mempunyai 98 orang ahli, 52 daripadanya adalah dipilih dan 46 orang lagi dilantik. Daripada 46 ahli yang dilantik ini, lima orang daripadanya dicalonkan oleh parti politik yang mendapat majoriti dalam pilihan raya. Dalam pilihan raya ini, pengundi Melayu adalah majoriti dalam 50 daripada 52 kawasan pilihan raya kerana 84 peratus daripada pengundi adalah daripada pengundi seluruh negara. Selain itu, daripada 46 orang ahli yang dilantik terdiri daripada orang Melayu iaitu sembilan orang Menteri Besar (Zainal Abidin 1996).

Page 5: Modul Hubungan Etnik

Oleh yang demikian, sekiranya orang Melayu bersikap perkauman,mereka boleh memenangi 50 kerusi yang dipertandingkan dan boleh mencalonkan lima lagi ahli Melayu daripada 46 ahli yang dilantik. Maka, orang Melayu akan mendapat 65 ahli termasuk seorang wakil OrangAsli. Jumlah ini adalah lebih 2/3 daripada jumlah ahli dalam Majlis Perundangan. Hal ini juga bermakna orang Melayu mempunyai cukup majoriti untuk meminda perlembagaan atau menggubal perlembagaan baru yang menguntungkan orang Melayu. Namun demikian, orang Melayu tidak menggunakan peluang ini demi kepentingan perhubungan dan perpaduan antara etnik. Pengorbanan yang telah dibuat oleh orang Melayu pada masa itu adalah sangat besar yang mendorong kepada semangat toleransi antara etnik. Dalam konteks ini, isu mengenai kemerdekaan melewati batas perkauman dan mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Perkara ini membolehkan mereka mengetepikan pandangan sempit perkauman dan bekerja ke arah menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Setelah berunding dengan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald Mac Gillivray, Tunku membentuk Kabinet yang terdiri daripada komposisi berbilang kaum iaitu enam orang Melayu, tiga orang Cina, dan seorang India. Pemilihan Kabinet ini menunjukkan satu kerjasama yang baik dengan pelantikan tiga orang Cina dan seorang India untuk memberikan keseimbangan etnik yang lebih diterima dalam Majlis Legislatif.