konstruktivisme dan proses membaca 2

4
KONSTRUKTIVISME DAN PROSES MEMBACA Dr Yahya Othman Membaca merupakan teras kepada segala keupayaan untuk meneroka alam ini dengan diperkukuhkan oleh faktor kepentingan budaya ilmu (Wan Mohd. Noor Wan Daud, 1994). Untuk memenuhi keperluan insan berilmu, membaca merupakan wahana yang paling berkesan terutama dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai. Konstruktivisme dalam membaca menegaskan bahawa pembaca membina pengetahuan melalui proses perkembangan mental yang aktif. Pembacalah yang membina, mencipta makna dan pengetahuan (Smith, 1993). Golongan konstruktivis juga percaya bahawa pembaca mampu membina pengetahuan berdasarkan pembelajaran yang diperoleh sama ada melalui pengalaman ataupun pendedahan (Briner,1999). Pengetahuan adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi, proses pembelajaran bertindak melalui fungsi penyesuaian. Pembaca mampu menguasai pengetahuan dengan menyesuaikan dengan keperluan pembelajarannya. Dalam konteks proses membaca, teori ini dikaitkan secara komprehensif dengan pembinaan makna teks yang dibaca. Teori konstruktivisme mengaitkan pembaca dengan pembinaan makna dengan cara mensintesiskan pengalaman baru dan dikaitkan dengan perkara yang mereka telah fahami sebelum ini (Bruner, 1966). Pembaca membentuk pemahaman melalui refleksinya berdasarkan interaksi dengan objek dan idea yang dipaparkan dalam teks. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna, mereka akan menginterpretasikan apa yang dilihat supaya selaras dengan pemahaman yang dibentuk. Di samping itu, mereka akan menyesuaikan pemahaman mereka agar dapat menerangkan maklumat baru dengan lebih baik (Tierney,1990). Di samping itu, konstruktivisme juga ditafsirkan sebagai satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuannya

Upload: manja-khani

Post on 15-Feb-2015

51 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Konstruktivisme dalam membaca menegaskan bahawa pembaca membina pengetahuan melalui proses perkembangan mental yang aktif.

TRANSCRIPT

Page 1: Konstruktivisme Dan Proses Membaca 2

KONSTRUKTIVISME DAN PROSES MEMBACA

Dr Yahya Othman

Membaca merupakan teras kepada segala keupayaan  untuk meneroka alam ini dengan diperkukuhkan oleh faktor kepentingan budaya ilmu (Wan Mohd. Noor Wan Daud, 1994).  Untuk memenuhi keperluan insan berilmu, membaca merupakan wahana yang paling berkesan terutama dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai.   Konstruktivisme dalam membaca menegaskan bahawa pembaca membina pengetahuan melalui proses perkembangan mental yang aktif.  Pembacalah yang membina, mencipta makna dan pengetahuan (Smith, 1993). Golongan konstruktivis juga percaya bahawa pembaca mampu membina pengetahuan berdasarkan pembelajaran yang diperoleh sama ada melalui pengalaman ataupun pendedahan (Briner,1999). Pengetahuan adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi,  proses pembelajaran bertindak melalui fungsi penyesuaian. Pembaca mampu menguasai pengetahuan dengan menyesuaikan dengan keperluan pembelajarannya.  

Dalam konteks proses membaca, teori ini dikaitkan secara komprehensif dengan pembinaan makna teks yang dibaca. Teori konstruktivisme mengaitkan pembaca dengan pembinaan makna dengan cara mensintesiskan pengalaman baru dan dikaitkan dengan perkara yang mereka telah fahami sebelum ini (Bruner, 1966). Pembaca membentuk pemahaman melalui refleksinya berdasarkan interaksi dengan objek dan idea yang dipaparkan dalam teks. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna, mereka akan menginterpretasikan apa yang dilihat supaya selaras dengan pemahaman yang dibentuk.  Di samping itu, mereka akan menyesuaikan pemahaman mereka agar dapat menerangkan maklumat baru dengan lebih baik (Tierney,1990).

Di samping itu, konstruktivisme juga ditafsirkan sebagai satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuannya sendiri (Angela, 1997). Ini bermakna sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif dari luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan secara langsung daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih (Nik Azis Nik Pa,1999). Pengetahuan yang terbina adalah kesan langsung keupayaan seseorang menggunakan sumber-sumber yang sesuai. Dalam konteks proses membaca, pembaca berusaha membina pengetahuan tersebut secara aktif dengan menjadikan teks yang dibaca lebih bermakna.

Sementara itu, Spiro (1980) menghuraikan bahawa teori konstruktif menekankan perlunya peranan pembaca diberikan keutamaan dalam sesi pembelajaran. Ini kerana pembacalah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa yang dialaminya serta memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pembaca membina sendiri pemahaman dan membuat penyelesaian kepada masalah yang dihadapi semasa membaca. Autonomi dan inisiatif yang

Page 2: Konstruktivisme Dan Proses Membaca 2

ditunjukkan oleh pembaca untuk memahami hendaklah diterima dan perlu digalakkan.  Jika dikaitkan dengan proses pemahaman membaca, konsep ini sangat sesuai kerana pembaca akan menentukan kesesuaian teks yang dibaca dengan matlamat membaca yang dirancang sendiri oleh pembaca.Menurut teori konstruktif, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu dengan menggunakan pemikirannya (Ausubel, 1968). Dalam konteks pemahaman membaca, pembaca tidak menyerap secara pasif sebarang maklumat yang diperoleh dari teks.  Oleh itu, semasa membaca, maklumat dan pengetahuan yang diperoleh melalui teks diproses secara aktif dan melibatkan aspek mental serta strategi membaca yang sesuai. Pembaca akan menyesuaikan sebarang maklumat baru berdasarkan pembacaan dengan melibatkan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan-rakan  dan guru-gurunya.

Penggunaan teori konstruktif dalam proses pemahaman membaca  menghuraikan proses pembelajaran yang dilalui pembaca.  Teori ini juga menerangkan cara pengetahuan diperoleh melalui pembacaan dan  penyusunan idea dari teks  melalui minda manusia. Pembaca dapat membina pengetahuan yang diterima mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran terhasil dan dicirikan melalui usaha pembaca tersebut. Dalam konteks proses membaca teks, pembaca membina makna teks berdasarkan pengalaman yang telah dialami serta pengetahuan lalu yang dimiliki. Binaan asas untuk membentuk makna teks yang dibaca perlu berasaskan skema aktiviti mental yang digunakan dalam  proses renungan atau refleksi kandungan teks tersebut.

Berdasarkan kerangka teoretikal konstruktif Bruner (1966), pembelajaran dikatakan sebagai proses aktif dengan pembaca membina idea atau konsep berasaskan pengetahuan terkini atau yang lalu.  Melalui  proses membaca,  pembaca dapat memilih dan mengalihkan maklumat, membina hipotesis, dan membuat keputusan berkaitan struktur kognitif serta tugasan semasa membaca teks tersebut.  Struktur kognitif seperti skema bacaan, model mental yang menyertakan makna, dan organisasi teks untuk mewujudkan pengalaman serta menjadikan individu agar lebih luas capaian maklumatnya berbanding  maklumat yang terdapat dalam teks.

Pembaca pada asasnya telah memiliki satu set idea dan pengalaman yang boleh membentuk struktur kognitif berdasarkan persekitaran mereka. Perkara yang terdapat di dalam fikiran pembaca tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitarannya (Mahoney,1991).  Menurut Mahoney lagi, realiti yang diketahui pembaca adalah berdasarkan pengalaman yang terdapat dalam pemikirannya yang dibina sendiri oleh pembaca. Oleh itu, usaha pembaca untuk memahami teks mempunyai kaitan dengan pengalaman membaca mereka yang akan memberikan gambaran kandungan teks untuk membentuk realiti tersebut.

Di samping itu, untuk membantu pembaca membina konsep atau pengetahuan baru melalui proses membaca, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada pelajar. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru berkaitan huraian teks yang dibaca dapat dibina (Stanovich, 1994). Stanovich menekankan pentingnya pembaca membina pemahaman secara bermakna agar dapat digunakan dengan berkesan apabila diperlukan. Pembelajaran melalui pembacaan yang bermakna bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada pembaca. 

Page 3: Konstruktivisme Dan Proses Membaca 2