kesedaran untuk merdeka
TRANSCRIPT
TAJUK 2: KESEDARAN UNTUK MERDEKA
Ke arah Mencapai KemerdekaanKetika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya
orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf
(API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila
Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris
akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.
Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti
UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah
kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat,
UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949)
dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi
pilihanraya tersebut.
Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia
menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa
kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara
kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa
empat tahun.
Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh
6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri
dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak
Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong
Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan
En. Bba Ong Yok Lin. Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.
Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya
menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris
berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan.
Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan
Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti
Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini
berhadapan dengan PKM secara kekerasan.
Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian
kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di
pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan
partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata
telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan
menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan
merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul
Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik
Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik
Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian
Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman
telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada
20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh
rakyat.
Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka,
sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah
dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di
depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah
Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.
Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh
Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum
lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang
sekian lama membelenggu peribuminya.