keperluan pemuliharaan budaya dan warisan di malaysia

41
PENGENALAN Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai seni budaya dan kesan tinggalan sejarah yang menarik minat pelancong datang ke Malaysia. Kepelbagaian adat resam yang terhasil daripada penduduk bangsa dan etnik menghasilkan pelbagai produk budaya tradisional yang pelbagai. Kepelbagaian kaum di Malaysia mencorakkan kepelbagaian dari aspek pakaian tradisional, makanan tradisi, seni muzik, perayaan, permainan dan lain-lain (Abdul Latif Abu Bakar, 2011). Walau bagaimanapun sehingga kini, budaya dan warisan tradisional bangsa-bangsa di Malaysia masih mampu dipertahankan kerana faktor agama dan budaya masyarakat itu sendiri. Selain itu ia amat penting bagi sektor pelancongan. Bangsa-bangsa di Malaysia berbangga dengan adat budaya mereka sendiri dan berharap ia terus dipertahankan. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat 1

Upload: aimunie-husna-rienie

Post on 06-Nov-2015

185 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

KEPERLUAN PEMULIHARAAN BUDAYA DAN WARISAN DI MALAYSIA

TRANSCRIPT

PENGENALANSebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai seni budaya dan kesan tinggalan sejarah yang menarik minat pelancong datang ke Malaysia. Kepelbagaian adat resam yang terhasil daripada penduduk bangsa dan etnik menghasilkan pelbagai produk budaya tradisional yang pelbagai. Kepelbagaian kaum di Malaysia mencorakkan kepelbagaian dari aspek pakaian tradisional, makanan tradisi, seni muzik, perayaan, permainan dan lain-lain (Abdul Latif Abu Bakar, 2011).

Walau bagaimanapun sehingga kini, budaya dan warisan tradisional bangsa-bangsa di Malaysia masih mampu dipertahankan kerana faktor agama dan budaya masyarakat itu sendiri. Selain itu ia amat penting bagi sektor pelancongan. Bangsa-bangsa di Malaysia berbangga dengan adat budaya mereka sendiri dan berharap ia terus dipertahankan. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita (Abdul Latif Abu Bakar, 2011).

Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, permainan dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita semakin lenyap ditelan arus pemodenan. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keunikan permainan tradisional dari pelbagai kaum yang merangkumi pelbagai bentuk permainan yang beraneka dan kepelbagaian. Budaya dan warisan adalah merupakan salah satu aset negara yang penting dan melambangkan kepada identiti sesebuah negara (Abdul Latif Abu Bakar, 2011).

Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri. Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Oleh itu, untuk menjaga warisan budaya agar tidak ketinggalan zaman langkah pemuliharaan haruslah dilaksanakan oleh kita sebagai generasi muda yang ingin menjadikan warisan sebagai satu agenda tradisi yang tidak dilupakan oleh masyarakat kini (Noriati A. Rashid, 2011).

PENGERTIAN BUDAYAPerkataan budaya dalam bahasa Melayu berasal daripada perkataan Buddi atau Budayyah dalam bahasa Sanskrit yang bererti budi dan akal. Sementara itu, kebudayaan atau Culture dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Culure dalam bahasa Yunani yang bererti mengerjakan tanah. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa dengan mengerjakan tanah, manusia mulai hidup sebagai pengeluar makanan (food gathering). Oleh yang demikian, daripada bajak inilah dikatakan wujudnya artifak yang manusia adalah berbudaya (Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2011).

Definisi yang paling tepat dan kebanyakan definisi budaya yang dikemukakan selepas itu ialah modifikasi daripada definisi yang dikemukan adalah sesuatu keseluruhan yang kompleks yang meliputi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat resam dan kebiasaan yang diperoleh manusia sebagai anggota masyarakat. Kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Daripada kesemua pengertian ini, kebudayaan bolehlah disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat (Wendy Griswold, 1995).

Kandungan sesuatu kebudayaan itu merangkumi pelbagai unsur yang semuanya dapat digolongkan kepada dua bahagian iaitu budaya kebendaan yang merangkumi seluruh hasil ciptaan manusia seperti rumah, bangunan, perabot, alat perhubungan, pakaian, senjata, pinggan mangkuk, dan pelbagai alat buatan dan pertukangan manusia. Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang Inggeris atau orang Eskimo (Suhanim Abdullah, 2012).

Kebudayaan bukan kebendaan pula termasuklah seluruh kepercayaan, dongeng, adat istiadat, idea, ideologi, alat perhubungan, struktur sosial, bahasa, undang-undang dan peraturan, sistem politik,ekonomi, falsafah, dan sebagainya. Sebagai contoh, tabu untuk berkahwin dengan saudara perempuan sendiri adalah sebahagian daripada budaya bukan kebendaan. Budaya itu dapat dilihat dari aspek perlakuan dan hasil perlakuan anggota-anggota masyarakat. Perlakuan manusia didorongkan oleh berbagai-bagai aspek lain, seperti norma, nilai, peraturan, adat resam, kepercayaan, undang-undang dan sebagainya. Perlakuan ini adalah hasil dari berbagai-bagai proses dan ini juga yang melahirkan berbagai peralatan budaya (Ismail Yusoff, 2012).

PENGERTIAN WARISANMalaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai warisan budaya yang menggambarkan pola kehidupan masyarakat pelbagai kaum. Keunikan seni budaya di Malaysia seperti makyong, tarian singa, tarian kathak, tarian bhangra, wayang kulit, batik serta songket perlu dipertahan dan diperkukuh sebagai warisan kepada generasi muda. Menurut Jabatan Warisan Negara, warisan ialah sesuatu yang diterima secara turun temurun daripada satu generasi ke satu generasi. Sesuatu warisan itu perlu diwarisi dan dikekalkan kerana warisan tersebut menggambarkan cara hidup dan jati diri sesuatu bangsa yang pelbagai kaum. Oleh itu, warisan budaya haruslah dikekalkan agar menjadi satu pengekalan budaya secara tradisi (http://www.heritage.gov.my/index.php/ms/kenali-kami/sejarah-penubuhan).

Namun begitu, pendefinisian yang telah digariskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sudah cukup untuk menjelaskan betapa agungnya warisan kebudayaan yang terdapat dalam ruang lingkup masyarakat di negara ini. Warisan ditafsirkan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi yang terdahulu. Warisan merupakan khazanah negara yang pernah dan sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat dan manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan. Oleh itu, warisan budaya harus dikekalkan bagi mengekalkan keasliannya (http://www.jkkn.gov.my/ms/sejarah).

Warisan adalah elemen yang erat kaitannya dengan sejarah , di mana ada warisan di situ ada nilai sejarah di dalamnya. Warisan juga boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang diwarisi secara turun-temurun. Menurut kamus dewan, warisan boleh bermaksud dengan harta peninggalan, harta pusaka, sesuatu yang diwarisi, sesuatu yang turun-temurun atau peninggalan. Warisan juga adalah sesuatu yang diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Manakala menurut UNESCO pula yang bermaksud warisan kebudayaan yang merangkumi kedua-dua warisan budaya yang kelihatan dan yang tidak kelihatan. Jelaslah, warisan menunjukkan maksud yang berbeza yang boleh memberi kefahaman dan penghayatan kepada masyarakat (http://www.heritage.gov.my/index.php/warisan-tidak-ketara/pengenalan).

PENGERTIAN PEMULIHARAAN BUDAYA DAN WARISANPemuliharaan bermaksud usaha memulihkan dan memelihara sumber alam semulajadi dengan bijak dan sistematik supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Pemuliharaan merupakan satu proses menjaga dan mengawasi sesebuah warisan bersejarah dari dimusnahkan atau dibaikpulih tanpa perancangan dan pengurusan yang sistematik. Pemuliharaan melibatkan kerjakerja yang cuba mengekalkan keadaan asal sesebuah warisan bersejarah seperti mana yang asal dan dapat mengekalkan kepentingan kebudayaan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Konsep pemuliharaan warisan yang diterima dan dipraktik oleh sejagat ialah Keaslian dalam Pemuliharaan Warisan. Keaslian boleh dianggap sebagai satu aspek estetik manakala proses untuk mengembalikannya adalah perkara etika. Oleh yang demikian, dalam pemuliharaan kecantikan bukan menjadi ukuran tetapi bagaimana mengembalikan warisan seperti yang asal. Proses menjaga termasuklah pemuliharaan, pembaikan, pembinaan semula dan penyesuaian dan biasanya lebih daripada salah satu kombinasi diperlukan.Tujuan utama pemuliharaan ialah untuk menjaga kepentingan budaya dengan pengekalan fabrik melalui kaedah pemuliharaan yang betul supaya kerosakan dapat dikurangkan dan kualiti terjaga. Oleh itu, pemuliharaan warisan haruslah dikekalkan supaya generasi yang akan datang dapat mengetahui dan melihat sendiri warisan budaya yang ada di Malaysia (http://www.heritage.gov.my/index.php/ms/kenali-kami/sejarah-penubuhan).

PEMULIHARAAN WARISAN BUDAYA DI MALAYSIAPemuliharaan bangunan bersejarah di Malaysia adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Warisan Negara (JWN).Pembangunan dan perkembangan pemuliharaan bangunan warisan berada pada kepentingan negara apabila Akta Warisan Kebangssaan 2005 (Akta 645) diluluskan di Parlimen. Akta ini telah diwartakan pada 31 Disember 2005 dan berkuatkuasa pada tarikh 1 Mac 2006. Dengan adanya Akta 645 ini maka Akta Benda Purba 1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 (Akta 542) telah dimansuhkan. Akta Warisan Kebangsaan 2005 mengadakan peruntukan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan kebudayaan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan bawah air dan perkaraperkara lain yang berkaitan. Pada 1 Mac 2006 juga Jabatan Warisan Negara telah ditubuhkan. Penubuhan dan penstrukturan fungsi dan tugas di bawah Jabatan Warisan Negara telah meningkatkan lagi pembangunan bidang pemuliharaan warisan di Malaysia (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Bangunan Bersejarah Sebagaimana yang kita semua maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Namun begitu, dicelah-celah arus pembangunan yang pesat ini terdapatnya bangunan-bangunan yang penuh dengan kesan sejarah yang menarik disamping mempunyai reka bentuk seni bina yang unik seperti bangunan pentadbiran kerajaan, stesen keretapi, sekolah, masjid, istana dan lain-lain lagi. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dipulihara dengan sebaik mungkin daripada pupus ditelan arus pembangunan. Ia merupakan satu bidang yang melibatkan kerja pemuliharaan, pengekalan, dan penjagaan ke atas bangunan bersejarah dilakukan bagi memanjangkan usia bangunan berkenaan. Selain itu, ia bertujuan untuk memastikan bangunan bersejarah yang dipulihara bebas daripada sebarang masalah kerosakan bangunan dan terpulihara dari segi reka bentuk seni bina dan bahan binaannya (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Sebahagian besar daripada bangunan bersejarah ini tidak dipulihara dengan baik dan kebanyakan daripadanya berada dalam keadaan yang buruk disebabkan oleh faktor kerosakan bangunan. Lebih malang lagi ada di antara bangunan bersejarah ini sedang diancam kemusnahan kerana diabaikan oleh pemilik asal dan dirobohkan atas desakan pembangunan serta kurangnya keprihatinan masyarakat dalam usaha untuk memulihara bangunan bersejarah. Namun begitu, dengan pengiktirafan dan penyenaraian Bandaraya Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO yang juga dikenali sebagai The Historic Cities of The Straits of Malacca di bawah kategori Tapak Warisan Budaya pada 7hb Julai 2008, telah sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat umum di Malaysia tentang kepentingan untuk memulihara dan menghargai warisan yang terdapat di negara ini terutama sekali bangunan bersejarah (http://www.heritage.gov.my/sejarah-penubuhan).

Secara umumnya kesedaran terhadap kepentingan untuk memulihara bangunan bersejarah adalah merupakan satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap individu dalam masyarakat dan bukannya dibebankan ke atas pihak kerajaan semata-mata. Bangunan bersejarah yang terdapat pada sesebuah negara wajar dipulihara kerana ia memiliki nilai emosi, budaya dan kegunaan yang tidak ternilai harganya. Tanpa usaha pemuliharaan yang berterusan, dikhuatiri bangunan bersejarah ini akan terus lenyap ditelan zaman. Antara contoh bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia yang wajar dipulihara adalah seperti Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir di Melaka, Balai Besar di Alor Setar, Kedah dan Muzium Sejarah Nasional di Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Prinsip Asas Pemuliharaan Bangunan BersejarahKejayaan dalam setiap kerja pemuliharaan bangunan bersejarah menurut pendapat adalah berdasarkan kepada prinsip asas pemuliharaan itu sendiri jika ianya dipatuhi. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kerja pemuliharan bangunan bersejarah dijalankan dengan teknik dan kaedah pemuliharaan yang betul, maka pemahaman terhadap prinsip asas pemuliharaan adalah amat penting serta perlu diketahui dan dipatuhi seterusnya perlu diamalkan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Prinsip yang perlu dilakukan adalah meminimumkan gangguan seperti membaik pulih hanya struktur dan fabrik bangunan bersejarah yang rosak sahaja manakala yang masih elok perlulah dikekalkan keasliannya. Sesuatu bangunan seharusnya kekal pada tempat asalnya. Mana-mana perubahan struktur bangunan baru hanya dibenarkan sekiranya itu merupakan satu-satunya cara untuk menyelamatkan struktur berkenaan. Oleh itu, bangunan yang ingin diubahsuai haruslah mempunyai kriteria yang telah ditetapkan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Prinsip am pemuliharaan bangunan juga adalah dengan menjalankan kajian saintifik dan ujian makmal bagi mengenalpasti kandungan dan sifat bahan binaan serta tahap kerosakannya. Keputusan kajian saintifik dan ujian makmal dapat dijadikan bukti sokongan dalam membuat sebarang keputusan terhadap kerja pemuliharaan yang akan dilakukan kelak. Dengan melakukan ujian tersebut, bangunan yang ingin dipulihara akan selamat dan kekal dengan konsep asal bangunan tersebut (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Prinsip mendokumentasikan kerja pemuliharaan yang menjadi amalan penting kerana ia dapat digunakan sebagai bahan rujukan terhadap kerja penyelenggaraan bangunan bersejarah pada masa akan datang. Prinsip ini memudahkan proses mendokumentasikan maklumat sebelum membuat pemuliharaan terhadap bangunan tersebut. Oleh itu, jika berlaku keretakan pada bangunan tersebut ini akan memudahkan bagi pengkaji menilai kembali struktur asal yang digunakan dan memudahkan membuat rujukan terhadap proses penyelengaraan bangunan tersebut (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Prinsip mengaplikasikan kaedah pemuliharaan yang terbukti berkesan bagi memastikan setiap pendekatan pemuliharaan yang digunakan semasa kerja pemuliharaan tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada bangunan bersejarah yang dipulihara. Segala corak penyusunan bangunan seperti saiz, bentuk, corak binaan, bahan warna dan perhiasan mempunyai peranan dan memberi kesan imej atau identiti sesuatu bangunan tidak terjejas (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Kepentingan Pemuliharaan Bangunan BersejarahSeperti yang kita sedia maklum, Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di Pantai Timur Semenanjung. Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan ketamadunan dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Bangunan bersejarah memberi banyak manfaat dari sudut pelancongan. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah dapat menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum bahawa bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas. Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat tersebut. Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni yang tiada tolok bandingnya. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan menyaksikan monumen-monumen yang terdapat di lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Bangunan bersejarah lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia. Dengan adanya bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan hidup mereka. Sebagai contohn, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Jika kita menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Salah satu kepentingan bangunan bersejarah ialah dapat dijadikan sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku kepada generasi akan datang. Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang pernah berlaku. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga serta dilestarikan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda semata-mata. Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St. Georgetown Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18 (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Bangunan bersejarah lama juga turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya kepada para pelajar dan penyelidik. Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contoh, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan Air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Diraja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 (Syed Zainol Abidin Idid, 1995). Pemuliharaan bangunan bersejarah juga dapat mengekalkan keaslian seni bina sesuatu bangunan. Sebagai contoh, Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar yang telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917 masih kekal bentuknya seperti asal. Masjid berbentuk oktagon ini dipulihara dengan mengekalkan keaslian seni binanya supaya tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas. Menurut sejarah pembinaanya, batu marmar yang digunakan sebagai bahan binannya telah diimport dari Itali (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Permainan TradisionalKini warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, permainan tradisional pelbagai kaum yang unik dan beraneka ragam. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia (Wazir Jahan Karim, 1990). Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan masing-masing. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang masyarakat masing-masing. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Namun, permainan tradisional tidak dimainkan lagi oleh kanak-kanak zaman kini. Mereka suka kepada permainan moden dan lebih mencabar. Oleh itu, pengekalan permainan tradisional pelbagai kaum di Malaysia haruslah dipergiatkan dan tidak dilupakan oleh masyarakat kini (Wazir Jahan Karim, 1990).

Antara jenis permainan tradisional masyarakat melayu adalah batu seremban. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Biasanya ia menggunakan guli kaca, biji getah dan ketul batu yang kecil. Seterusnya, permainan congkak. Alatan yang digunakan adalah papan congkak dan buah congkak. Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja. Namun terdapat banyak lagi permainan tradisional melayu iaitu sepak takraw, gasing, dan wau. Permainan tradisional ini semakin dilupakan oleh masyarakat melayu sendiri, walaupun mereka tahu ini adalah salah satu budaya yang perlu diwarisi sejak dari dulu lagi. Mereka menganggap permainan ini adalah permainan lapuk dek zaman (http://www.jkkn.gov.my/ms/traditional-games).

Bagi permainan tradisional masyarakat Cina pula ialah mahjong atau mahjung yang merupakan permainan untuk empat orang yang berasal dari China. Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, dan pengiraan, termasuk juga satu tahap nasib. Bergantung kepada variasi yang dimainkan, nasib boleh menjadi isu remeh atau faktor utama kejayaan. Di Asia, mahjong juga popular sebagai perjudian dan sebagai permainan komputer. Selain itu, yo-yo cina ialah permainan dari China yang mempunyai dua cakera yang sama saiz dan panjang. Yo-yo cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil. Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dan mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan tradisional lain iaitu Xiang Qi dan Go juga semakin kurang dipermainkan kerana mereka menganggap permainan tradisional membosankan (Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2011).

Permainan tradisional masyarakat India ialah Kabadi. Kabadi ialah sebuah permainan yg dibentuk dalam permainan tradisional India. Dalam satu permainan, dua pasukan dibentuk yang mana terdiri daripada tujuh pemain. Satu pasukan akan menghantar penyerang kepada pasukan pihak lawan, yang mana bertujuan untuk menyentuh salah seorang daripada pemain pihak lawan sebelum patah balik kepada pasukannya. Selain itu, permainan permainan tradisional India adalah Chanturanga. Sejak awal permainan ini sudah memperkenalkan dua pihak yang bermain, perbezaan buah catur dengan kekuataan yang berbeza, dan kemenangan bergantung pada buah terakhir, atau dalam catur moden ditandai dengan tumbangnya sang raja. Dalam catur kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau lebih(Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, 2011).

Permainan tradisional ini masih diadakan sehingga kini tetapi terdapat perbezaan antara permainan dahulu dan permainan sekarang. Permainan-permainan dahulu seperti permainan wau, tarian naga atau permainan gasing mempunyai ciri-ciri kesenian yang melambangkan keindahan dan keharmonian rakyat di Malaysia. Aktiviti ini kebiasaannya akan dilakukan secara berkumpulan dimana mereka mempunyai minat yang sama. Manakala bagi permainan sekarang, biasanya adalah permainan komputer yang tidak melambangkan apa-apa dan tidak perlu dilakukan oleh sekelompok manusia serta tidak dapat mengeratkan hubungan antara manusia seperti permainan dahulu. Selain itu, permainan komputer akan menyebabkan ketagihan di kalangan pemain. Permainan dahulu biasanya bersifat harmoni berbeza dengan permainan sekarang yang berunsur ganas seperti permainan-permainan komputer seperti counter strike yang bersifat ganas yang mendapat sambutan hangat daripada golongan remaja lelaki (Wazir Jahan Karim, 1990).

Ini jelas terbukti bahawa permainan tradisional di Malaysia kini semakin kurang mendapat sambutan oleh masyarakat. Masyarakat merasakan permainan tradisional adalah salah satu permainan kuno dan membosankan. mereka juga merasakan permainan tradisional adalah permainan yang tidak memberi cabaran dan aksi yang mencabar dalam melakukann permainan. Justeru itu, untuk memartabatkan dan memulihara kembali tradisi zaman nenek moyang yang telah diwarisi ini, terdapat pelbagai kaedah dan cara bagi memulihkan kembali permainan ini dari pandangan masyarakat. Ini sekali gus dapat menonjolkan dan menaikkan lagi permainan tradisional ke peringkat antarabangsa (Noriati A. Rashid, 2011).

Pemuliharaan Permainan TradisionalArus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang rendah dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Oleh itu, pemuliharaan permainan tradisional haruslah ditingkatkan bermula daripada individu itu sendiri (Noriati A. Rashid, 2011).

Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak yang terlibat mampu memberi nafas baru kepada kesenimbungan permainan warisan budaya ini (Abdul Latif Abu Bakar, 2011).

Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ini sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisional sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal ini mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar. sekaligus, permainan tradisional tidak disisihkan oleh semua golongan anak muda kini (Zuraidah A. Majid, 2011).

Sebagai remaja, mereka perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional ini (Zuraidah A. Majid, 2011).

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang mampu untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara (Noriati A. Rashid, 2011).

Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pesta permainan tradisional pada setiap tahun. Setiap negeri mestilah mengambil bahagian untuk memeriahkan pesta tersebut. Contohnya, Festival Layang-layang di Pasir Gudang, Johor bukan sahaja disertai oleh rakyat tempatan malahan masyarakat antarabangsa. Tegasnya, pihak kerajaan haruslah memainkan peranan dan memastikan permainan tradisional diminati oleh rakyat (Noriati A. Rashid, 2011).

Remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai agar permainan tradisional ini menjadi permainan kegemaran mereka (Noriati A. Rashid, 2011).

KESIMPULANLazimnya warisan budaya atau warisan tradisonal sering dikaitkan dengan peradaban atau tamadun sesuatu bangsa. Dalam hal ini budaya tradisional melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Selain itu, budaya tradisional juga boleh memupuk perpaduan negara. Hal ini demikian kerana rakyat majmuk di negara kita memiliki nilai-nilai tradisional yang murni. Akta Warisan Negara 2005 yang dikuatkuasa pada bulan Mac 2006 akan membolehkan satu pendekatan pemeliharaan dan pemuliharaan produk warisan negara yang ketara dan tidak ketara secara lebih selaras dan bersepadu. Akta ini meliputi langkah penguatkuasaan bagi memastikan amalan pemeliharaan dan arkeologi mematuhi piawaian dunia (Zuraidah A. Majid, 2011).

Pelaksanaan akta ini akan memudahkan proses mengenalpasti dan menentukan bangunan, monumen dan tapak yang mempunyai kepentingan sejarah untuk diwartakan sebagai zon bersejarah. Selain itu, kemajuan teknologi telah membuatkan hilangnya warisan yang dulunya sangat dibanggakan. Selain itu, adakah kita sedar yang sebenarnya permainan tradisional yang kita warisi sejak dulu lagi semakin lama semakin dilupakan dan hilang bersama dengan peredaran zaman (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

Banyak faedah yang boleh diperolehi dari permainan tradisional seperti boleh mengeratkan silaturahim sesama manusia, menyihatkan badan, kerana mengeluarkan peluh dan dapat memelihara warisan budaya zaman berzaman. Selain itu, negara dapat mempromosikan permainan tersebut sebagai salah satu aktiviti yang perlu diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia. Ia juga akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sendiri (Wazir Jahan Karim, 1990).

LAMPIRAN

Bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, Melaka (1641)

Balai Besar di Alor Setar, Kedah (1735)

Muzium Sejarah Nasional di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan (1888)

Congkak Gasing Mahjong Go Kabadi Chanturanga

RUJUKAN

Abdul Latif Abu Bakar. (2011). Adat Melayu Serumpun. Kerajaan Negeri Melaka Perbadanan Muzium Melaka: Perzim.Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. (2011). 3 Ethnics Under One Roof. Managing Ethnic Relation Malaysian Style: Lambert Academic Publishing.Ismail Yusoff & Suhanim Abdullah, (2012). Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Pearson.Noriati A. Rashid & Zuraidah A. Majid. (2011). Budaya dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar.Syed Zainol Abidin Idid (1995). Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar. Kuala Lumpur: Badan Warisan Malaysia.Wazir Jahan Karim. (1990). Emotions Of Culture A Malay Perspective. Oxford New York: Oxford University Press.Wendy Griswold. (1994). Cultures and Societies In A Changing World. London: Pine Forge Press.Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Diakses pada 15 April 2015 di http://www.jkkn.gov.my/ms/Jabatan Warisan Negara. Diakses pada 15 April 2015 di http://www.heritage.gov.my/7