kepercayaan masyarakat iban

Upload: kartini-japar

Post on 07-Oct-2015

109 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Notes

TRANSCRIPT

Kepercayaan Masyarakat Iban

Dalam kepercayaan Iban, mereka berpegang kepada adat yang diwarisi turun temurun dan besar kemungkinan ditulis di dalam 'Papan Turai' oleh 'Tuai Raban Bansa' atau "Paramount Chief" dengan berpandukan nasihat 'Manang' dan 'Lemambang'. Orang Iban percaya kepada kewujudan seorang Tuhan yang agung (Bunsu Petara) yang mencipta dunia ini dan alam semesta. Di bawah Tuhan agung ini, orang Iban percaya ada tujuh orang dewa yang sentiasa dihitung sebelum memulakan biau dan sampi dengan nama-nama berikutnya:

Sengalang Burong sebagai dewa Peperangan

Biku Imam Bunsu Petara sebagai dewa keagamaan

Menjaya sebagai dewa perubatan

Selempandai/Selempetoh/Selempeta sebagai dewa pembuatan

Sempulang Gana/Semerugah sebagai dewa pertanian dan tanah

Ini Inee/Andan sebagai pemyembuh semulajadi dan dewa keadilan

Anda Mara/Gangga Ganggong sebagai dewa kekayaan.

Menurut hikayat lisan masyarakat Iban, mereka menyembah Dewa Sempulang Gana yang memberikan keberkatan kepada kehidupan khasnya untuk hasil perhumaan. Dewa Sengalang Burong adalah dewa yang disembah kerana dewa ini adalah Dewa Perang yang menolong masyarakat Iban dalam ekspedisi memburu kepala atau ngayau. Dua watak ini merupakan dewa utama dalam kepercayaan masyarakat Iban. Namun tidak dapat dinafikan ada dewa lain seperti Raja Anda Mara Raja Tuah yang memberikan kekayaan dan kesenangan dalam kehidupan masyarakat Iban. Segindah yang mencipta tanah, Segindit yang mencipta langit dan Segindie yang mencipta air juga merupakan watak ghaib yang sering kali disebut dalam puisi tradisional masyarakat Iban.

Watak ghaib ini dapat dikesan melalui ayat-ayat suci yang dinyanyikan menerusi puisi ritual seperti pengap, renong semain dan juga leka biau. Puisi tradisional ini pula dimainkan semasa festival besar dan juga upacara ritual masyarakat Iban. Berdasarkan keadaan ini, dapat dilihat bagaimana kepercayaan berkaitan dengan budaya hidup dan juga kesusasteraan lisan masyarakat Iban. Sastera lisan ini adalah puisi ritual yang mempunyai fungsi dalam kepercayaan. Namun yang demikian, tidak semua puisi dalam sastera lisan ini adalah bersifat ritual kerana ada di antaranya adalah bercorak santai dan hiburan. Semasa puisi ritual ini dimainkan, adalah dipercayai bahawa para dewa ini akan datang ke sesuatu majlis dan festival untuk melihat masyarakat Iban yang menyeru mereka. Para ketua adat dan pemuisi ritual akan menjalankan upacara ritual yang sepatutnya mengikut kesesuaian majlis untuk menyambut kedatangan para dewa ini. Ini adalah untuk mengelakkan mereka dilanda musibah kerana gagal memberikan penghormatan kepada para dewa yang dijemput ke majlis yang diadakan. Tetapi di sini bukan bermaksud yang para dewa dapat dilihat dengan mata kasar sebab semuanya adalah berbentuk metafora dan ritual sahaja.

Semasa upacara menyambut kedatangan para dewa ini, salah satu peringkat yang penting ialah upacara miring petara. Upacara ini adalah menyediakan persembahan korban yang berbentuk makanan dan bahan-bahan lain masyarakat Iban tradisional seperti pulut, ketupat, juadah kuih muih seperti penganan iri, bertih beras, telur, rokok daun, tembakau dan sebagainya. Bahan-bahan untuk upacara miring ini adalah mengikut kawasan di Sarawak. Setiap kawasan mempunyai perbezaan dari segi bahan dan juga kuantiti yang digunakan untuk upacara miring ini. sebagai contohnya, di Bahagian Betong sebiji telur ayam dibahagi-bahagikan untuk beberapa set piring tetapi di Bahagian Kapit pula, sebiji telur ayam digunakan untuk satu set dan biasanya diletakkan di atas bertih beras dalam sebiji mangkuk. Walaupun wujudnya sebarang perbezaannya, namun semua masyarakat Iban di Sarawak percaya bahawa persembahan yang dilakukan melalui upacara miring ini adalah khas untuk Tuhan yang diharapkan untuk memberkati hidup mereka. Namun yang demikian, miring ini bukanlah semata-mata persembahan yang disediakan untuk para dewa tetapi adalah untuk kegunaan masyarakat Iban untuk menguatkan roh dan semangat individu seperti piring untuk persediaan mengembara (bejalai jauh), piring untuk keberkatan diri sendiri (ngintu diri) dan juga untuk tujuan pengampunan jika seseorang itu pernah ditimpa kecelakaan (piring ngampun).

Sistem kepercayaan masyarakat Iban juga dapat dilihat melalui penceritaan hikayat yang popular di kalangan masyarakat Iban tradisional dan diturunkan kepada generasi masa kini. Penceritaan ini mengisahkan penduduk Panggau Libau Giau Takang Isang Panggau Lendat Betungkatka Dan Sabang, Gelung Batu Nakung dan juga tempat Apai Sabit Bekait di Tisi Langit. Tempat ini boleh didefinisikan sebagai alam ghaib kerana tidak ada satu pernyataan yang khusus dalam penceritaan hikayat masyarakat Iban tentang tempat yang diceritakan ini. Dalam pada itu juga, alam ghaib khususnya Panggau Libau juga dapat dijejaki jika seorang Iban itu bernasib baik ataupun ditakdirkan bertemu dengan penduduk Panggau Libau. Watak-watak seperti Keling, Bungai Nuing, Laja, Sempurai Montegrai, Pungga, Apai Abang, Gelayan, Kumang, Lulung, Bujang Ngelai, Pandak Segatak serta Apai Sabit Bekait begitu sinonim dengan penceritaan ini.

Dalam pada itu juga, terdapat pelbagai versi penceritaan hikayat penduduk Panggau Libau ini kerana ia banyak mengisahkan pasangan yang popular iaitu Keling dan Kumang. Dalam pada itu juga, kisah penduduk Panggau Libau yang menolong masyarakat Iban dalam pelbagai perkara dan juga peristiwa peperangan Panggau Libau dan sekutunya Gelung menentang Apai Sabit Bekait yang tempatnya terletak di kaki langit. Kedudukan watak ini sukar untuk diberikan taraf kerana boleh jadi mereka manusia, separuh manusia-dewa (demigods) ataupun dewa sepenuhnya. Ini disebabkan mereka juga disebut dalam puisi tradisional yang menunjukkan darjat dan taraf mereka tinggi daripada manusia biasa. Semua ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang boleh dianggap sebagai bentuk penglipur lara dan juga sejarah lisan masyarakat Iban yang begitu kompleks untuk merungkai kesahihannya dari sudut yang lebih realisme.

Orang Iban percaya bahawa semua binatang yang hidup, tumbuhan dan barangan fizikal seperti bukit, gunung, sungai, air, ribut dan sebagainya mempunyai semengat atau roh masing-masing. Mereka juga percaya kepada orang Panggau Libau dan Gelong sperti Keling dan Laja, dan Kumang dan Lulong. Juga disembah oleh orang Iban adalah roh-roh nenek moyang yang telah meninggal untuk meminta pertolongan semasa Gawai Antu.

Ilmu firasat lama orang Iban bergantung kepada beberapa cara seperti berikut:

Mimpi yang baik atau buruk

Binatang bisa

Burung bisa yang sengaja dicari atau dijumpai tidak sengaja

Hati babi yang dibaca baik buruk maksudnya.

Contohnya apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemak terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda-petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai. Bunyi yang dikeluarkan oleh binatang-binatang ini adalah petunjuk dan alamat untuk menentukan kesesuaian tapak. Semua petanda akan ditafsirkan oleh 'Beliau' dan 'Manang' bagi mematuhi adat supaya tidak mendatangkan malapetaka.

Mimpi merupakan salah satu sumber alamat tentang sesuatu yang bakal terjadi di masa akan datang dan diterjemah oleh Beliau dan Manang. Bagi menghidar alamat yang boleh mendatangkan malapetaka, biasanya upacara 'Ngintu Burung' dan 'belian' akan dijalankan mengikut 'Adat' yang dirujuk kepada Tuai Raban Bansa

Sebab-sebab mencacah tatuKepercayaan orang Iban pada masa dahulu yang berkaitan dengan pembuatan tatu ialah untuk mengingatkan mereka bahawa Remaung ( makhluk separuh manusia separuh haiwan yang menyerupai harimau ) merupakan makhluk halus yang perlu dihormati . Sekiranya tidak mempunyai tatu ,mereka yang berjalan keseorang di dalam hutan amat mudah terjumpa dengan barang barang kepunyaan mereka sendiri . Barang barang tersebut dipercayai milik Remaung , seandainya barang itu disentuh atau dibawa pulang ke rumah maka orang yang mengambilnya akan diserang oleh penyakit dan akhirnya boleh membawa ajal . Jika ada tatu orang Iban percaya bahawa Remaung mengenali mereka manusia dan tidak akan mengganggu.

Selain itu, tatu turut menunjukkan keberanian pada seseorang dan serta status orang itu dalam kelompok komuniti orang Iban .Bagi orang Iban juga , mencacah tatu dianggap sebagai diari bagi memperingati sesuatu peristiwa yang telah berlaku .Hal ini supaya senang mengingati peristiwa penting tersebut . Masyarakat Iban pada masa dahulu juga mencacah tatu pada kanak-kanak yang berusia 10 atau 11 tahun bagi menandakan mereka baru lanjau dan sudah bersedia untuk menyertai aktiviti pemburuan .Tujuan mencacah tatu pada kanak kanak ini adalah sebagai azimat dan melindungi mereka dari roh-roh jahat serta menjadikan mereka kebal .