kepentingan-penguasaan-usul-fiqh.pdf

Upload: muminah-talib

Post on 07-Aug-2018

220 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    1/14

      1

    KEPENTINGAN PENGUASAAN USUL FIQH: SATU ANALISIS UMUM 

    Oleh:

    Mustafa Shamsuddin

    Jabatan Fiqh & Usul Fiqh, UIAM

    PENDAHULUAN:

    Hakikat bahawa semalam adalah berbeza dengan hari ini dan hari ini adalah tidak sama dengan esok

    merupakan titik tolak dalam menelusuri kertas kerja ini. Dengan penuh rasa percaya kita menerima dan

    mentaati firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan hari - hari itu kami pergilirkan di antara manusia”

    (Ali Imran: 140), bahawa di dalam penggiliran ini ada perubahan. Perubahan yang mendatang ini

    memaksa kita untuk bergerak bersamanya supaya kita tidak terasing dari realiti yang mencorak suasana

    dan kehidupan.

    Sebagai seorang Muslim, kita mempercayai bahawa Islam adalah panduan yang sesuai untuk

    semua tempat, masa dan orang. Islam tidak terbatas untuk tempat, masa dan orang yang tertentu yang

    mana perubahan pada ketiga - tiga unsur ini boleh menyebabkan Islam dikesampingkan. Penafian

    keatas perkara ini memerlukan satu metodolgi yang kukuh yang mana ia berdiri di atas dasar dan

    sumber yang diterima.

    Perubahan yang kita hidup bersamanya telah mengajukan banyak persoalan, sedangkan

     jawapan - jawapannya masih belum di temui. Permasalahan - permasalahan yang kita tiada pilihan

    melainkan menghadapinya menggoyahkan diri kita dari mengambil pendirian tertentu dalam

    keadaannya yang belum terjawab.

    Maka dengan memberi perhatian kepada Ilmu Usul Fiqh dan mengambil kiranya sebagai

    metodologi untuk menghadapi perubahan, kertas kerja ini membincangkan kepentingan Ilmu Usul Fiqh

    dalam mendepani arus perubahan semasa. Dalam menggariskasarkan topik yang akan dipelajari di

    mukasurat - mukasurat akan datang penulis ingin mengetengahkan beberapa perkara, pertama: 

    Pengaplikasian Usul Fiqh dalam kehidupan seharian kita, kedua: Kepentingan penguasaan Usul Fiqh

    dalam mendepani arus semasa, ketiga: Contoh kepentingan penguasaan Usul Fiqh pada masa kini.

     Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Usul Fiqh anjuran KUIM pada Disember 2005. 

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    2/14

      2

    ILMU USUL FIQH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN:

    Secara sedar atau tidak ada beberapa amalan seharian kita yang bertepatan dengan disiplin - disiplin

    Ilmu Usul Fiqh, atau dengan kata lainnya Ilmu Usul Fiqh telah terjemah di beberapa aspek kehidupan

    kita. Apa yang penulis maksudkan di sebalik perkara ini ialah untuk menunjukkan sesungguhnya Usul

    Fiqh itu berpijak di alam yang nyata, dan ia terselit di celah - celah kehidupan yang kita hayati.

    Untuk membawakan satu - persatu gambaran bagi penghayatan Ilmu Usul Fiqh ini

     berkehendakkan helaian yang berbilang, sedangkan bukan ini yang menjadi fokus utama dalam kajian

    ini. Penulis berharap beberapa contoh yang akan dikemukakan di bawah ini memadai untuk mereka

    yang berkeras menafikan kenyataan ini sebagai bukti salahnya tanggapan mereka, dan mencukupi bagi

    mereka yang bersungguh mengiakan kenyataan ini sebagai penguat sokongan mereka.

    Kepelbagaian bidang tugas dengan masing - masing mengkhususkan dirinya untuk satu

     profesien kerja yang diminati adalah di antara citrawarna kehidupan seharian kita. Dari setinggi - tinggi

     jawatan yang disandang hinggalah serendah - rendahnya, kita bersama - sama membentuk satu sistem

    kemasyarakatan yang saling berkaitan. Seandainya satu daripada tugas masyarakat ini kosong tidak

    dipikul oleh mana - mana inidividu kesejahteraannya pasti akan bergoyah. Apakah yang akan terjadi

    sekiranya mereka yang ditugaskan untuk mengutip sampah tidak menjalankan kewajipan mereka? Pasti

    semua akan menerima akibatnya. Di dalam Usul Fiqh tanggungjawab ini diletakkan di bawah makna

    Fardu Kifayah yang membawa konsep kewajipan khusus yang mesti dilaksanakan oleh orang yang

    memikulnya demi memelihara kestabilan umum.1 

    Di dalam menjalani kehidupan, kita mempunyai kewajipan yang begitu banyak, sejak awal

    hari sehinggalah ke malam kita tertakluk kepada tugas dan tanggungjawab. Kita lakukan semua ini

    adalah kerana melihat kesan yang akan terjadi akibat pelaksanaan atau pengabaian kewajipan -

    kewajipan ini. Kebiasaannya, natijah dari pelaksanaan adalah kebaikan, manakala natijah dari

     pengabaian adalah keburukan. Tetapi satu perkara yang kita tidak nafikan ialah kewujudan kerja - kerja

    yang tidak bersifat tugasan atau kewajipan yang mana kita mempunyai pilihan untuk melaksanakan

    atau mengabaikannya. Kita adalah bebas - dalam keadaan yang biasa - untuk meneguk segelas air atau

    menjamah sepinggan nasi, pelaksanaan atau pengabaiannya adalah di satu tingkat tuntutan. Seandainya

    ada di antara kita yang cuba meletakkan perlakuan seperti ini di peringkat kewajipan yang mana

     pelaksanaan dan pengabaian terikat dengan kemestian, maka dengan langsung kita akan menyangah

    usahanya. Sandaran yang kita gunakan telah begitu jelas terkandung di dalam Usul Fiqh, bahawa

    keharusan (al-Ibahah) tidak termasuk di dalam ruang lingkup tuntutan dan pertanggungjawaban (al-

    Taklif).2 

    Kita menerima banyak arahan (al-Amr) untuk melakukan sesuatu dan larangan (al-Nahy)

    untuk meninggalkan sesuatu. Perintah dan larangan yang kita terima dan fahami memerlukan tindakan

    yang semestinya bertepatan dengan maksudnya demi mengelakkan perlanggaran. Tindakan yang

    sewajarnya ialah memenuhi maksud perintah dengan melakukan perkara yang diperintahkan, dan

    1 Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut, Darul Fikr, cetakan ke 2, 2001. Jld. 1. m/s. 62.2 Al-Amidi, Ali bin Muhammad, Al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, tahqiq: Sayyid Al-Jumayli, Beirut, Dar al-Kutub Al-‘Arabi, cetakan ke 3, 1998. Jld. 1. m/s. 170.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    3/14

      3

    memenuhi maksud larangan dengan meninggalkan perkara yang dilarang. Di dalam memberi timbal

     balas kepada perintah dan larangan ini kita mungkin mempersoalkan; adakah perintah untuk melakukan

    sesuatu itu mengandungi larangan untuk meninggalkan lawannya, atau adakah larangan untuk

    meninggalkan sesuatu itu mengandungi perintah untuk melakukan lawannya? Dengan penuh yakin kita

    akan menjawab ya. Persoalan ini telah disentuh oleh Ilmu Usul Fiqh ketika membicarakan perintah dan

    larangan Syara’ terhadap manusia. Jawapan yang diberikan oleh jumhur ahli Usul adalah sama dengan

     jawapan yang kita berikan sebentar tadi.3 

    Kita sering melihat simbol - simbol atau tanda - tanda yang memenuhi kehidupan kita. Tanpa

    mengira tempat, simbol - simbol ini diletakkan sebagai panduan kepada kita untuk sampai kepada

    maksud tertentu. Apakah kita pernah bertanya bagaimana kita menafsirkan simbol - simbol ini dan

    kenapa kita mesti mengikutinya untuk sampai kepada tujuan kita? Adakah kita boleh dipersalahkan

    kerana memandu dengan kelajuan 80 km sejam sedangkan di kiri kita terdapat simbol 60 km/s? dan

    apabila dipersalahkan kita berhujahkan bahawa tiada pemberitahuan tentang itu secara perkataan atau

    tulisan. Tetapi kita tetap dipersalahkan. Kita memahami di sebalik kejadian ini bahawa simbol itu boleh

    menggantikan perkataan, tuntutan untuk mematuhi simbol itu adalah sama dengan tuntutan mematuhi

     perkataan. Simbol boleh menggantikan perkataan. Kita mendapati perkara ini menepati beberapa sudut

    dari salah satu cara istinbat hukum yang terdapat di dalam Ilmu Usul Fiqh, iaitu Isharat al-Nass. Ia

     bermaksud cara yang menunjuk kepada maksud melalui kelaziman maknanya,4  ini termasuklah

    menggunakan simbol dan tanda kerana simbol itu melazimkan kita kepada maknanya.

    KEPENTINGAN ILMU USUL FIQH:

     Neraca yang biasanya digunakan dalam memberi nilai kepada sesuatu itu ialah kepentingannya, jika

     banyak kepentingan sesuatu ilmu itu maka tinggilah nilainya. Dengan tidak bermaksud melebihkan

    Ilmu Usul Fiqh keatas ilmu - ilmu yang lain penulis di sini ingin menyenaraikan sedikit sebanyak

    kepentingan Ilmu ini. Penulis mengakui bahawa setiap ilmu mempunyai kepentingannya sendiri dalam

    membentuk peradaban dan pemikiran umat Islam, tetapi penulis juga mengakui bahawa Usul Fiqh

    mempunyai apa yang tidak ada pada ilmu - ilmu yang lain.

    Sekiranya penerimaan ini yang kita cernakan di dalam langkah pertama untuk memasuki

     perbincangan mengenai kepentingan Ilmu Usul Fiqh, maka kita akan bebas dari belenggu kesempitan berfikir yang mengatakan bahawa inilah satu - satunya ilmu yang hak. Apa yang lebih penting ialah

    kita dapat sampai kepada matlamat utama penciptaan kita iaitu pengabdian kepada Allah yang Esa

    dengan cara yang dikehendaki olehNya.

    3 Al-Sarakhsi, Abu Bakr Muhammad bin Ahmad, Usul al-Sarakhsi, tahqiq: Rafiq al-‘Ajm, Beirut, Dar al-Ma’rifah,

    cetakan ke 1, 1997. Jld. 1. m/s. 109.4 Al-Durayni, Muhammad Fathi, al-Manahij al-Usuliyah Fi al-Ijtihad Bi al-Ra’y Fi al-Tashri’ al-Islami, Beirut,Muassasah al-Risalah, cetakan ke 3, 1997. m/s. 226, 229.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    4/14

      4

    Penulis bukanlah orang yang pertama dan terakhir dalam mengenengahkan topik ini, bahkan

    ia disedari oleh mereka yang menerima bahawa Usul Fiqh itu menyampaikan manusia kepada hukum

    Allah. Dan inilah kepentingan yang paling asas dalam Ilmu Usul Fiqh.5 

    Kepentingan Penguasaan Ilmu Usul Fiqh Pada Suasana Semasa:

    Sebagai Muslim kita berbangga dengan kekayaan khazanah ilmu yang kita miliki sekalipun ia

    lebih tergambar sebagai satu sejarah yang sukar berulang. Dunia telah terhutang budi dengan ilmuan -

    ilmuan Islam dalam segala bidang kerana berjaya membina sebuah tamadun ilmu yang telah menjamin

    keberlangsungan peradaban manusia setelah runtuhnya tamadun - tamadun purba dan sebelum

    terbinanya tamadun barat. Kita juga berbangga kerana Ilmu Usul Fiqh merupakan di antara ilmu - ilmu

    yang telah mengasah pemikiran umat Islam.

    Bagi mereka yang sering membelek - belek hasil tulisan ahli Usul akan melihat satu

    metodologi penggabungan beberapa ilmu yang lain di dalamnya iaitu: ‘Ilm al-Lughah, ‘Ilm al-Mantiq,

    ‘Ilm al-Falsafah, ‘Ilm al-Kalam, ‘Ulum al-Quran, ‘Ulum al-Hadith, ‘Ilm al-Fiqh, ‘Ilm al-Jadal, dan

    ‘Ulum al-Insan. Asas penggabungan yang di atasnya terbina metodologi ini ialah pencapaian hukum

    Syara’, ini bererti ada beberapa sudut dari ilmu - ilmu tersebut yang dititikberatkan oleh ahli Usul

    untuk membantunya dalam menggeluarkan hukum dari Nusus.

    Walaubagaimanapun, ini tidaklah bermaksud Ilmu Usul Fiqh itu tidak mempunyai identiti

    sendiri tetapi hanya penciplakan ilmu - ilmu lain. Dan ini juga tidak bermaksud Ilmu Usul Fiqh itu

    menjadikan kita tidak berhajat untuk mendalami dan menguasai ilmu - ilmu ini.

    Perkembangan corak pemikiran semasa serta permasalahan yang timbul darinya sedikit

    sebanyak memberi kesan dalam penulisan Ilmu Usul Fiqh. Kesan yang tampak jelas ialah penekanan

    terhadap cabang - cabang ilmu yang tergarap di dalam Ilmu ini, di mana ahli Usul terkemudian telah

    menggugurkan beberapa cabang ilmu ini dan meluaskan beberapa cabang ilmu yang lain.6 Ilmu - ilmu

    yang telah diketepikan dalam penulisan Ilmu Usul Fiqh semasa ialah ‘Ilm al-Falsafah, ‘Ilm al-Kalam,

    dan ‘Ilm al-Jadal, manakala ilmu - ilmu yang diutamakan ialah ‘Ilm al-Fiqh dan ‘Ulum al-Insan.

    Dalam melakukan pengenepian dan penekanan ini ahli - ahli Usul telah mengambil kira

    tuntutan terkini dari kehidupan manusia. Ini kerana semua perkara baru memerlukan hukum dan

    Muslim berkehendakkan untuk mengetahui dimensi Syara’ yang menilai hasil pemikiran dan

     penemuan mereka. Untuk sampai kepada hukum - hukum ini dengan mengembalikannya kepada Nas

    memerlukan Ilmu Usul Fiqh. Inilah asas perkaitan dua ilmu; Fiqh dan Usul Fiqh, 7  dan ia menjadi

     penggerak utama dalam penekanan Ilmu Fiqh dalam pengajian Ilmu Usul Fiqh semasa.

    5 Al-Syawkani, Muhammad bin Ali bin Muhammad,  Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq Ilm al-Usul, tahqiq: Abu Mus’abMuhammad Sa’id al-Badri, Beirut, Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyah, cetakan ke 6, 1995. m/s. 22.6  Lihat perkembangan penulisan Ilmu Usul Fiqh di: Abu Sulayman, Abdul Wahab Ibrahim,  Al-Fikr al-Usuli:

     Dirasah Tahliliyah Naqdiyah, Jaddah, Dar al-Syuruq, cetakan ke 2, 1984.7  Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad, al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul,  I’tina’: Najwa Dawwu, Beirut, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke 1, 1997. Jld. 1. m/s. 15.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    5/14

      5

    Ilmu kedua yang telah diluaskan penekanannya di dalam Ilmu Usul Fiqh semasa ialah ‘Ulum

    al-Insan. Tentu tidak asing bagi mereka yang mempelajari Usul Fiqh perbahasan al-Mahkum ‘Alayhi

    yang menjadikan manusia sebagai subjek pokoknya.8 Inilah salah satu sudut dari ‘Ulum al-Insan atau

    lebih dikenali sebagai Sains Kemasyarakatan (Human Sciences) yang dikaji oleh Ilmu Usul Fiqh

    dengan mengaitkan manusia itu sebagai pelaku hukum - hukum Syara’.

    Penulis tidak bermaksud dengan perenggan - perenggan ini untuk lari dari tajuk perbincangan,

    tetapi penulis melihat perkara ini memerlukan pembuka kata yang agak panjang supaya pemahamannya

    segera hadir di pemikiran kita. Di beberapa baris akhir di perenggan yang lalu memperlihatkan kepada

    kita bagaimana persediaan yang dimiliki oleh Ilmu Usul Fiqh untuk mendepani perubahan semasa, dan

     juga keselarian yang terkandung di dalamnya dengan apa sahaja bentuk permasalahan yang timbul

    akibat perubahan hidup.

    Usaha kita menjadikan Ilmu Usul Fiqh sandaran untuk menghadapi perubahan akan sedikit

    tergoyah seandainya kita terpedaya dengan soalan - soalan ini: Apakah kepentingan penguasaan Ilmu

    Usul Fiqh pada era teknologi maklumat? Adakah kita terlalu lekeh berpegang dengan kaedah - kaedah

    usang Ilmu Usul Fiqh dan pada masa yang sama orang lain ghairah dengan kecanggihan sains? Adakah

    tanpa Ilmu Usul Fiqh kita tidak mampu memberikan hukum untuk perkara - perkara baru pada zaman

    ini? Jawapannya Insya Allah terkandung di perenggan - perenggan yang berikut.

    Pertama:  Kita mengakui bahawa perubahan melahirkan permasalahan, permasalahan

    memerlukan jawapan, dan jawapan berkehendakkan cara mendapatkannya. Menentukan jawapan

    dengan tidak bersandar dengan sebarang cara dan sebab adalah mustahil, ini bertepatan dengan kaedah

    mantik “al-Tarjih bila Murajjih Muhal” yang bermaksud melebihkan sesuatu keatas yang lain tanpamenyatakan sebab kelebihannya adalah mustahil.9 Untuk mengelakkan diri dari menyalahi kaedah ini

    kita mengakui dengan terpaksa atau tidak kemestian memiliki cara untuk mendapatkan jawapan bagi

     permasalahan hidup kita. Dengan kelebihan penggarapan beberapa bidang ilmu yang dimiliki, Usul

    Fiqh dilihat lebih terkedepan dalam membekalkan cara - cara yang diperlukan untuk menyelesaikan

     permasalahan - permasalahan baru. Oleh itu kita sewajarnya menerima kenyataan bahawa pentingnya

    menguasai Ilmu Usul Fiqh pada masa sekarang. Inilah yang telah cuba dipertahankan oleh Al-Imam

    Al-Syafie dalam kata - kata beliau “setiap apa yang berlaku keatas Muslim itu maka padanya hukum

    yang melazimi”,10  dan ini termasuklah segala permasalahan semasa yang kita hadapi. Cuba kita

     perhatikan dengan teliti bagaimana fatwa - fatwa semasa yang dikeluarkan oleh Ulama’ berlaku.

    Contoh yang terdekat ialah isu pengharaman peraduan SMS yang diwartakan oleh Majlis Fatwa

    Kebangsaan baru - baru ini, dengan cara apa hukum ini disandarkan kepada nas - nas Syara’?11 

    Kedua: Keadaan semasa yang kita alami menyaksikan ummat Islam semakin mensia-siakan

     Nusus Syara’, dengan beralasankan ketidaksesuaiannya pada masa sekarang mereka membelakangkan

    8 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 199.9  Al-Maydani, ‘Abdul Rahman Hasan Habnakah,  Dawabit al-Ma’rifah wa Usul al-Istidlal wa Al-Munazarah, Dimashq, Dar al-Qalam, cetakan ke 4, 1993. m/s. 320.10  Al-Syafie, Muhammad bin Idris,  Al-Risalah,  tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Beirut, al-Maktabah al-

    ‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun, m/s. 477.11  Hukum pengharaman peraduan SMS telah difatwakan oleh beberapa orang ulama’ seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sebelum pengharamannya diwartakan di Malaysia. Sila layari laman web: http://mufti.perak.gov.my.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    6/14

      6

    Al-Quran dan Al-Sunnah dan menggantikannya dengan akal dan hawa nafsu ataupun kepentingan

     peribadi. Sebab yang paling kuat menyokong pendapat ini ialah dakwaan mereka bahawa Nusus Syara’

     bercanggah dengan Maslahah,12  oleh itu Maslahah mesti diutamakan. Bagaimana kita hendak

    menyakinkan golangan ini bahawa satu - satunya rujukan dalam Islam bagi segala perkara ialah Nusus?

    Tiada cara yang penulis rasakan lebih berkesan untuk membuktikan kepada mereka bahawa Nusus

    adalah segala - galanya melainkan dengan apa yang diajarkan oleh Ilmu Usul Fiqh. Matlamat untuk

    menjadikan Nusus yang terbatas sumber hukum bagi masalah - masalah yang tidak terbatas bilangan

    dan rupanya mendominasi pengajian Ilmu ini. Bermula dari kaedah - kaedah istinbat yang begitu

     berbilang dan terperinci sehinggalah kepada dalil - dalil hukum yang disepakati dan tidak disepakati,

    semuanya cuba membuktikan bahawa hanya Nusus yang boleh memberi hukum bagi sebarang perkara

    lama atau baru. Istihsan contohnya adalah salah satu dalil hukum yang tidak disepakati, sekalipun ia

    secara zahirnya tidak bersandar kepada Nas tetapi sebenarnya ia berdiri diatas tuntutan Nas khas untuk

     berkecuali dari kaedah umum Syara’.13 

    Ketiga: Di samping golongan yang meninggalkan Nusus ini ada satu golongan lain yang kita

    temui pada masa ini iaitu mereka yang tidak meninggalkan Nusus tetapi menyesuaikannya dengan akal

    dan hawa nafsu mereka. Mereka dengan sewenang - wenangnya menghukum dengan beristidlalkan

     Nusus tanpa bersandar kepada mana - mana metod yang benar dan diterima. Lalu hukum yang

    dikeluarkan jauh melangkaui dan jelas menyalahi Maqasid Syara’ kerana kepincangan dalam cara

    mengeluarkannya. Dengan dakwaan memiliki kelayakan Ijtihad mereka memporak - perandakan sistem

    Hukum Islam sehinggakan masalah yang jelas hukumnya menjadi kabur dan dipertikaikan. Di sini kita

    melihat perlunya diletakkan disiplin - disiplin yang kukuh dan diterima dalam mengeluarkan hukum

    dari Nusus Syara’, dan bukannya mengikut akal, nafsu dan kepentingan. Kekukuhan displin - disiplin

    dalam mengeluarkan hukum dari Nas ini telah dikaitkan oleh Al-Imam Al-Syatibi dengan Ilmu Usul

    Fiqh, beliau bertkata: “Sesungguhnya Usul Fiqh dalam Agama itu adalah qat’iyah dan bukan

    zanniyah”.14  Isu aurat wanita Islam yang digembar - gemburkan tidak lama dahulu boleh dijadikan

    contoh bagi ketempangan mengistinbat hukum dari Nas akibat kelemahan dalam menguasai Ilmu Usul

    Fiqh.

    Keempat: Setelah menerima kemestian menguasai disiplin - disiplin yang diperlukan untuk

    mengembalikan permasalahan kepada penghukuman Nusus, kita mempersoalkan adakah hanya Ilmu

    Usul Fiqh yang memiliki disiplin - disiplin ini? Apakah ilmu - ilmu lain terlepas pandang dari memilikiapa yang dimiliki oleh Ilmu Usul Fiqh? Ahli Usul yang sebenar tidak pernah mendabik dada dengan

    menyatakan bahawa Usul Fiqh itu adalah segala - galanya, ia adalah sekadar ilmu yang berdiri diatas

     pengiktirafan Syara’ dan disokong dengan hujah - hujah, sebegitu juga dengan ilmu - ilmu lain. Ahli

    Usul yang sebenar juga tidak mengatakan bahawa ilmu - ilmu lain langsung tidak memiliki apa yang

    dimiliki oleh Usul Fiqh. Bahkan Ilmu Usul Fiqh seperti mana yang dinyatakan dahulu menggarap

    12  Al-Raysuni, Ahmad dan Muhammad Jamal Barut, al-Ijtihad: al-Nass, al-Waqi’, al-Maslahah, Beirut, Dar al-Fikr, cetakan ke 1, 2000. m/s. 27.13 Ia berlaku kebiasaannya dengan meninggalkan Qiyas kerana tuntutan pengecualian dari Nas, Ijma’ atau Darurah.

    Rujuk: Al-Sarakhsi, Usul al-Sarakhsi, sumber terdahulu. Jld. 2. m/s. 192.14 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa,  Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, tahqiq: ‘Abdullah Daraz, Beirut,Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun. Jld. 1. m/s. 19

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    7/14

      7

     beberapa ilmu yang lain. Apa yang dimaksudkan di sini ialah penekanan, penumpuan dan penelitian

    terhadap disiplin - disiplin istinbat ini, dan inilah yang mengakar tunjang di dalam Usul Fiqh. Disiplin -

    disiplin ini diselidiki dengan penuh mendalam dan mendirikannya di atas Nusus. Penggunaan disiplin -

    disiplin ini keatas Nas Syara’ berlaku dalam dua cara: al-‘Itibar bil-Mabna dan al-‘Itibar bil-Ma’na.15 

    Dengan cara pertama muncullah cara - cara istinbat seperti ‘Ibarat al-Nas yang mengambil kira zahir

     Nusus, dan dengan cara kedua muncullah cara - cara istinbat seperti Dilalat al-Nas dan dalil - dalil

    hukum seperti al-Qiyas yang menitikberatkan makna Nusus. Ahli Usul telah memberi penekanan yang

    lebih terhadap cara yang kedua kerana potensinya yang lebih dalam mendepani perubahan. Isu

     pengharaman rokok yang mendapat sanggahan hebat daripada penagih - penagihnya tidak mungkin

    disandarkan kepada Nas dengan cara yang pertama, dan amat mungkin untuk disandarkan kepada

     beberapa cara istinbat dan dalil hukum dari cara yang kedua.

    Kelima: Pada zaman yang serba canggih ini manusia telah menobatkan akalnya sebagai raja

    yang berkuasa melakukan segala - galanya. Kepelbagaian hasil pemikiran akal yang kita nampak hari

    ini menguatkan lagi dakwaan ini. Kita merasakan seolah - olah akal kita bebas melakukan apa sahaja

    terhadap dunia ini termasuklah agama. Fahaman ini jika diterima amat berbahaya terhadap kesucian

    agama kita. Ini tidaklah bermaksud menafikan seratus peratus peranan akal dalam memahami Syara’,

    tetapi kita sewajarnya mengerti akal kita amat terbatas. Oleh itu kita berhajatkan satu garis sempadan

    yang jelas dalam membatasi ruang lingkup pemikiran akal manusia khasnya dalam perkara Agama.

    Ada tiga pasang teori yang dibincangkan oleh Ilmu usul Fiqh berkemampuan menjadi garis sempadan

    ini, iaitu: teori al-Thubut dan al-Taghayyur, teori al-Ta’abbud dan al-Ta’lil, dan teori al-Qat’ dan al-

    Zann.16  Bahagian pertama dari setiap pasangan teori ini mewakili kawasan yang dilarang akal dari

    memasukinya, manakala bahagian kedua adalah kawasan yang dibenarkan akal memasukinya dengan

     bersyarat. Apa yang kita lihat sekarang akal manusia telah mula memasuki kawasan larangan ini, dan

    mengakibatkan ketidakharmonian sistem Hukum Islam. Contohnya, pada tahun 1961 Presiden Tunisia

    Al-Habib Borqibah telah melarang penduduk Islam negaranya daripada berpuasa Ramadhan demi

    menjaga ekonomi negara yang dikatakan temasuk di dalam Jihad yang besar.17 

    Keenam: Di antara perkara yang ditangisi kehilangannya oleh ummat Islam hari ini ialah

     pangamalan Ijtihad. Sejak beberapa dekad lamanya ummat Islam terhimpit di dalam cengkaman Taqlid

    dan kesempitan berfikir. Kepesatan pembangunan Ilmu yang pernah dimiliki dahulu telah terkubur.

    Suara - suara yang mengajak kearah menggilapkan kembali sinar Ijtihad di akhir - akhir inimenunjukkan keinginan ummat Islam untuk membangun semula. Untuk menyahut seruan ini kita

    memerlukan persediaan dan alat, persediaan untuk memulakan usaha ini dan alat untuk

    meneruskannya. Apakah ilmu yang menyediakan kita persediaan ini, dan apakah ilmu yang

    membekalkan kita alat ini? Perbahasan yang penuh terperinci mengenai Ijtihad telah terbentang luas di

    helaian - helaian buku Usul Fiqh, bahkan ia telah disentuh oleh Al-Imam Al-Syafie di dalam kitabnya

    15 Cara yang pertama menjadi asal dan asas bagi semua kaedah istinbat, ini kerana menyalahi zahir Nas Syara’adalah khilaf al-Asl dan memerlukan qarinah. Cara yang kedua menjadi pendokong cara yang pertama dengan

    memahami maksud zahir Nas Syara’. Rujuk: Al-Durayni, al-Manahij al-Usuliyah, sumber terdahulu. m/s. 49. 275.

    16 Sekalipun ketiga - tiga teori ini berbeza di antara satu sama lain dari segi cara dan tempat pengaplikasiannya,namun ada titik persamaan, iaitu pembatasan campur tangan manusia dalam menentukan hukum - hukum Syara’.17 Al-Raysuni, Al-Ijtihad, sumber terdahulu, m/s. 39.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    8/14

      8

    Al-Risalah. Beliau menyebut “dan daripadanya (Al-Bayan) apa yang telah difardukan Allah keatas

    makhluqNya berijitihad di dalam menuntutnya”.18  Persediaan yang dimaksudkan di sini meliputi

    konsep sebenar Ijitihad, prasyarat - prasyarat untuk memikul tanggungjawab ijtihad dan perkara -

     perkara yang diijtihadkan.19  Manakala alat yang dimaksudkan di sini merangkumi cara - cara

     berijitihad bagi perkara yang dinaskan dan perkara yang tidak dinaskan, serta pemahaman terhadap

    manusia dalam keadaannya sebagai penyebab dan pelaksana hukum yang diijtihadkan.20 Ini bermakna

    kita sewajarnya menjadikan penguasaan Ilmu Usul Fiqh sebagai langkah pertama dalam usaha

    menghidupkan semula Ijtihad pada masa kini.

    Ketujuh:  Saban hari kita menggunakan hasil kecanggihan teknologi untuk menyokong

    kehidupan semasa kita. Persoalannya, apakah kita tidak boleh mengeksploitasi keupayaan teknologi ini

    dan menjadikannya sebagai alat untuk menyempurnakan maksud dalam Agama kita, setelah kita

    menerimanya untuk hidup kita? Sekiranya boleh, dengan pendekatan apa yang kita perlukan untuk

    mengadaptasi teknologi ke dalam dimensi Agama kita? Kita merasakan kejanggalan untuk bersikap

    menerima terhadap kemampuan teknologi dalam membantu amalan Ijtihad mendapatkan hukum.

    Rentetan daripada itu kita berasa aneh mendengar kenyatan bahawa perlunya pengamal Ijtihad itu

    mengetahui dan mengikuti arus sains dan teknologi, dan menguasainya jikalau mampu demi

    memastikan hukum yang terhasil berpijak di alam yang nyata. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah

    menyuarakan perkara ini, kata beliau: “dan bagaimana seorang al-Faqih Muslim itu mampu untuk

    memberikan fatwa dalam permasalahan penguguran atau pemindahan janin atau penentuan jantina

     janin, dan selainnya daripada isu - isu baru sekiranya dia tidak memiliki pengetahuan yang ditemui oleh

    ilmu Sains tentang sperma dan ovum, cara pencantuman sperma dan ovum, pembentukan sel -sel

    daripadanya, isu genetik dan faktor - faktor warisan dan sebagainya …”21  Ilmu Usul Fiqh mendidik

     pengkajinya untuk bersikap terbuka dalam perkara ini, dan memberikannya ruang yang cukup luas

    untuk melakukan pengadaptasian ini. Beberapa orang Ahli Usul dengan jelasnya memasukkan syarat

    memiliki ilmu pengetahuan semasa di dalam senarai syarat - syarat kelayakan Ijtihad.22  Contohnya,

    fatwa pengharaman bahan makanan dan minuman yang dihasilkan melalui teknik Bioteknologi yang

    diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 12 Julai 1999 tidak mungkin berlaku tanpa

    mengendahkan pandangan Ilmu Sains.23 

    Kelapan: Unsur yang dititikberatkan oleh pengkaji - pengkaji Nusus Syara’ dalam

    mendapatkan pemahaman yang tepat ialah al-Waqi’ atau keadaan persekitaraan. Oleh kerana itu kitamelihat adanya ilmu Asbabun Nuzul dan ilmu Asbabul Wurud yang membahaskan al-Siyaq al-Khariji

    al-Ijtima’i (keadaan masyarakat) yang melazimi Nas. Maksud yang ingin dicapai di sebalik kita

    mengetahui keadaan persekitaran yang mana turun keatasnya Ayat al-Quran dan keluar di dalamnya

    18 Al-Syafie, Al-Risalah, sumber terdahulu, m/s. 22.19 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu, Jld. 4. m/s. 169.20 Ilmu Usul Fiqh telah membekalkan peralatan yang lengkap untuk kita berijithad, walaupun begitu ada beberapa

    alat ini yang tidak disepakati oleh Ahli Usul dalam menggunakannya.21  Al-Qaradhawi, Yusuf, al-Ijtihad fi al-Syari’ah al-Islamiyah, Ma’a Nazarat Tahliliyah fi al-Ijtihad al-Mu’asir,  

    Kuwait, Dar al-Qalam, cetakan ke 1, 1985. m/s. 48 - 49. 

    22 Sano, Qutb Mustafa,  Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud fi Daw’ al-Waqi’ al-Mu’asir, Beirut, Dar al-Fikral-Mu’asir, cetakan ke 1, 2000. m/s. 130 - 149.23 Sila layari laman web: http://ii.islam.gov.my/e-fatwa/default.asp.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    9/14

      9

    Hadis al-Rasul ialah memberikan keadaan persekitaraan ini ruang dan peluang untuk bersama - sama

    Mujtahid dalam mendapatkan hukum Syara’ dari Nususnya. Ini tidaklah bermaksud memperhambakan

     Nusus Syara’ yang suci di bawah kemahuan keadaan, tetapi mengambil kira keadaan ini ketika

     pemahaman maksud Nas dan pelaksanaan tuntutannya. Di samping itu, kita perlu peka dengan keadaan

    hidup manusia yang menjadi pelaksana hukum, penyesuaian Nas dengan keadaan semasa dalam ruang

    lingkup yang terhad dan syarat yang ketat seharusnya diambil kira sebelum berijtihad. Ilmu Usul Fiqh

    yang menggariskan ruang lingkup ini dan menyenaraikan syarat - syarat ini sewajarnya dikuasai, lebih

    - lebih lagi pada keadaan hari ini yang begitu meruncing. Contohnya, teori al-Darurah dan konsep al-

    Maslahah di dalam Usul Fiqh ternyata berkemampuan dalam menyesuaikan pelaksanaan tuntutan Nas

    dengan keadaan semasa. Isu pemindahan organ yang satu ketika dahulu menjadi isu polemik boleh

    dijadikan contoh di sini. Larangan yang jelas daripada Nas Syara’ mengenai haramnya merosakkan

    tubuh mayat difahami oleh mereka yang bersetuju dalam pemindahan organ sebagai satu tuntutan yang

     perlu dinilai melalui teori dan konsep ini dan keadaan hidup manusia semasa.24 

    Kesembilan:  Pendirian yang kita ambil terhadap kemajuan dan pembangunan semasa

    seharusnya tidak merugikan kita di dunia dan akhirat. Kita akan rugi di dunia sekiranya kita

    memejamkankan mata dari mengikutinya, dan kita akan rugi di akhirat seandainya kita hanyut di

    lambung ombaknya. Pendirian yang sebenarnya ialah menggariskan kriteria - kriteria untuk menerima

     perkara baru dalam kehidupan Muslim. Setelah menyakini kesyumulan Agama kita, kita perlu

    membuktikan bahawa segala perkara yang kita lalui adalah sebahagian dari Agama, dan kita akan

    diganjari dengan sebabnya. Menyempitkan Agama dengan beberapa perbuatan ritual dan tempat -

    tempat tertentu mewujudkan fahaman sekularisme yang tidak disedari. Apakah kerja yang kita lakukan

    di pejabat atau di kedai tidak dikira sebagai tuntutan Agama? Apakah kita hanya berdiam diri dari

    sebarang pandangan apabila bertemu dengan perkara - perkara baru? Untuk tidak dikatakan ‘seperti

    katak bawah tempurung’ kita mesti menerima hasil perubahan kehidupan hari ini yang tiada pada

    semalam, tetapi dengan mengikuti kriteria - kriteria yang telah disebut oleh Ilmu Usul Fiqh agar kita

    tidak terjerumus kedalam lingkungan Bid’ah yang dikecam oleh Syara’. Apakah kita boleh menerima

     pakai transaksi - transaksi terkini dalam jual beli dan menggantikannya dengan aqad - aqad yang kita

    warisi? Adakah segala Nas Syara’ yang berkaitan dengan jual - beli atau dengan kata lainnya ekonomi

    hanya terbatas pada zaman penurunannya? Lalu kita menolak semua pembaharuan yang berlaku dalam

    sistem ekonomi semasa hanya kerana tidak dinaskan penghalalannya! Penapisan yang disediakan oleh

    Ilmu Usul Fiqh untuk menilai perkara - perkara baru dan mengiktirafnya sebagai satu aspek dalam

    Agama amat jelas dan terperinci. Sebagai contohnya, perkara baru yang memiliki maksud

    kemaslahatan umum dan tidak dinaskan secara khusus pada dirinya tetapi dinaskan secara umum pada

    maksudnya adalah diterima dengan bersyarat. Dengan kriteria inilah kita mendapati Ulama’ semasa

    menghukumkan halal bagi penggunaan wang kertas di dalam urus niaga seharian kita sekalipun ia tidak

    dinaskan, dan menghukumkan haram riba dengan wang kertas ini sekalipun ia tidak dinaskan.

    24 Yasin, Muhammad Nu’aim, Abhath Fiqhiyah fi Qadaya Tibbiyah Mu’asirah, Amman, Dar al-Nafais, cetakan ke3, 2000. m/s. 135 - 187.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    10/14

      10

    Kesepuluh: Ilmu Usul Fiqh mengajar kita tentang al-Kulliyat dan al-Usul yang tidak mungkin

    manusia berbeza pendapat dalam menerimanya. Apa yang boleh kita manfaatkan dari perkara ini pada

    zaman Ummat Islam berpecah - belah dan masing - masing mementingkan diri seperti seperti hari ini?

    Ya, kita boleh mewujudkan langkah - langkah untuk menyatukan Ummat Islam dengan menjadikan al-

    Kulliyat dan al-Usul ini sebagai titik tolak yang pertama. Seandainya semua Muslim bersepakat untuk

    menerima ini, maka jurang perpecahan itu sekurang - kurangnya boleh dikecilkan. Bahkan al-Kulliyat

    dan al-Usul yang diperkatakan oleh Ilmu Usul Fiqh mendapat penerimaan daripada ummat yang bukan

    Islam. Ini memudahkan lagi kerjasama dan persefahaman di antara Ummat Islam dan bukan Islam

    dalam beberapa perkara yang dibenarkan Syara’. Kita mengakui sebab yang paling utama bagi segala

    masalah global yang melanda Ummat Islam ialah ketiadaan penyatuan, ataupun jika ada penyatuan,

    kita bersatu di atas dasar yang tidak termasuk di dalam al-Kulliyat dan al-Usul ini. Dari sini kita

    merasakan perlunya dikuasai al-Kulliyat dan al-Usul ini agar matlamat menyatukan Ummat Islam

    dapat disegerakan dan dijayakan. Ummat Islam pada era semasa pernah bersatu dalam beberapa

     perkara samaada yang melibatkan soal politik ataupun agama. Isu pengklonan manusia contohnya,

    serata dunia Islam tanpa mengira perbezaan mazhab dan fahaman telah bulat suara mengharamkan

     perbuatan mengklonkan manusia. Keputusan ini juga telah disokong oleh ilmuan - ilmuan bukan Islam

    yang berpegang dengan sandaran saintifik, agama dan moral.25 Persepakatan ini terbina di atas dasar

    memelihara diri manusia daripada menjadi bahan kajian akal manusia lain. Memelihara unsur diri (al-

     Nafs) adalah di antara al-Kulliyat al-Khams yang menjadi teras di dalam al-Daruriyat, tingkat maslahah

    yang tertinggi di dalam Maqasid al-Syar’.26 

    Sepuluh sebab mengapa pentingnya menguasai Ilmu Usul Fiqh pada masa kini yang penulis

     bentangkan di kertas kerja ini dirasakan memadai, masih ada lagi beberapa sebab lain yang tidak dapat

     penulis kemukan di sini. Sebenarnya cukup satu sebab sahaja mengapa kita perlu menguasai Ilmu ini,

    iaitu ia adalah warisan kita yang perlu dipertahankan demi membina semula kegemilangan tradisi

    ilmuan Islam.

    25  Zawawi, Majdah, The Legal and Ethical Aspects of Human Cloning: A Comparative Study,  Tesis Master,

    Kulliyah Undang - Undang, Universiti Islam Antarabangsa, April 2000. m/s. 132 - 147.26 Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa,  Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, syarah: ‘Abdullah Daraz, Beirut,Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun. Jld. 2. m/s. 8.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    11/14

      11

    Contoh Kepentingan Penguasaan Usul Fiqh Pada Masa Kini:

    Beberapa contoh yang disebut terdahulu disentuh secara tidak mendalam, dan ini memaksa

     penulis memperuntukkan dua tiga helaian di akhir kajian ini untuk membawakan contoh - contoh

    kepentingan penguasaan usul Fiqh pada era semasa dengan lebih terperinci. Satu persoalan yang

     penulis rasakan berpotensi menterjemahkan maksud ini ialah bagaimana Ilmu Usul Fiqh melihat

    manusia. Ini kerana manusia adalah unsur yang paling penting dalam pembangunan yang kita kecapi

    sekarang. Ini bertepatan dengan tujuan Allah menciptakan manusia di atas muka bumi ini, sebagai

    wakilNya yang berusaha memakmurkan alam ciptaanNya.

    Jika kita amati dengan penuh cermat kandungan Ilmu Usul Fiqh, kita dapati bahawa manusia

    adalah subjek yang paling asas dan utama yang dibicarakannya melalui pelbagai teori, kaedah dan

    konsep. Setiap segi, sudut dan dimensi kehidupan manusia diletakkan oleh Ilmu Usul Fiqh dibawah

     penilaian dan pengamatan Syara’. Boleh dikatakan hanya beberapa helaian dari ilmu ini yang

    dikecualikan daripada tertakluk kepada unsur manusia, yang lainnya berkaitrapat secara langsung atau

    tidak dengannya.

    Ilmu Usul Fiqh menitikberatkan soal diri manusia itu sendiri atau secara istilahnya (al-

    Mahkum ‘Alayhi) di samping memberi perhatian kepada perbuatan manusia atau secara istilahnya (al-

    Mahkum Fihi). Sebelum seseorang itu dipertanggungjawabkan dalam setiap perbuatannya, dia mestilah

    layak dan mampu untuk bertanggungjawab. Mempertanggung-jawabkan seorang yang tidak layak dan

    mampu bertangungjawab adalah satu ketidakadilan dan kezaliman, Maha Suci Allah daripada sifat ini.

    Teori al-Ahliyah merupakan pembahasan yang penting dalam al-Mahkum ‘Alayhi atau diri

    manusia sebagai pelaksana hukum Syara’. Secara umumnya, al-Mahkum ‘Alayhi bermaksud “individu

    yang perbuatannya tertakluk kepada khitob Allah Taala”.27 Syarat kedua bagi al-Mahkum ‘Alayhi ialah

    keadaan individu itu layak untuk ditaklifkan, dan inilah yang diertikan sebagai teori al-Ahliyah.28 

    Persoalannya, kenapa kita harus menguasai teori ini secara sempurna pada masa kini? Apakah

    sumbangan Ilmu Usul Fiqh dalam mengembangkan teori ini sehinggakan ia perlu dikuasai oleh mereka

    yang berkecimpung dalam institusi Ijtihad dan Fatwa pada masa kini?

    Manusia, walau bagaimanapun keadaannya dan walau di manapun letaknya berhajatkan

     perhubungan dengan manusia lain. Kecanggihan teknologi sekalipun tidak mampu membatalkan fitrah

     penciptaan manusia ini, iaitu hidup secara berkait sesama jenisnya. Ini memberi implikasi di dalam diri

    manusia sebagai pemilik hak diri sendiri dan pemikul kewajipan keatas orang lain, di mana manusia

    tidak mungkin terlepas dari dua perkara ini. Untuk menjadi pemilik hak dan pemikul kewajipan yang

    diiktiraf oleh Syara’ manusia mesti memenuhi syarat - syaratnya. Istilah Ahliyah al-Wujub digunakan

    oleh Ilmu Usul Fiqh bagi perkara pertama, manakala istilah Ahliyah al-Ada’ bagi perkara kedua.29 

    27 Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 158.28 Al-Ghazali, al-Mustasfa, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 84.29 Al-Sarakhsi, Usul al-Sarakhsi, sumber terdahulu. Jld. 2. m/s. 305, 311.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    12/14

      12

    Persoalan manusia sebagai pemilik hak dan pemikul kewajipan sangat penting untuk

    dibincangkan pada masa manusia melaungkan slogan pembelaan hak - hak manusia (Human Rights)

    seperti yang kita lihat di akhir - akhir ini. Persoalan - persoalan yang bersifat global seperti hak - hak

    ummat manusia sejagat sehinggalah yang bersifat peribadi seperti hak - hak bayi dalam kandungan

    diletakkan oleh Ilmu Usul Fiqh di bawah pembahasannya dengan mengaitkan semuanya dengan

     penilaian dan pengamatan Syara’. Seandainya boleh untuk penulis kemukan beberapa permasalahan

    semasa yang berkaitan dengan teori al-Ahliyah ini, maka ia adalah seperti: masalah pelaburan dan

    simpanan untuk bayi dalam kandungan, masalah jenayah dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan

     bawah umur, masalah jenayah dan kesalahan yang dilakukan oleh golongan tua, dan masalah

     penjagaan dan pengurusan harta golongan yang tidak berupaya. Semua masalah ini memerlukan

     penyelesaian dan hukum yang mana sandaran yang diberikan oleh Usul Fiqh bagi tujuan ini termaktub

    dibawah pembahasan al-Ahliyah.

    Di antara soal diri manusia yang dititikberatkan oleh Ilmu Usul Fiqh ialah kemampuannya

    memikul tanggungjawab Syara’ (al-Taklif). Ini kerana, pada ketika - ketika tertentu manusia

     berhadapan dengan situasi atau keadaan yang mendatang yang menyebabkan tanggungjawabnya berat

    untuk dipikul. Syara’ yang Maha Bijaksana meletakkan manusia yang berkeadaan ini di satu ruang

    khas, di mana dia dibolehkan untuk berlepas dari tanggungjawab ini dengan syarat - syarat tertentu.

    Konsep ini dihuraikan dengan terperinci oleh Ilmu Usul Fiqh dengan mengistilahkannya sebagai al-

    Rukhsah atau keringanan, bahkan syarat - syaratnya juga dibahaskan dengan penuh mendalam.30 

    Apa yang kita fahami mengenai al-Rukhsah sebenarnya adalah lebih bersifat praktikal dan

     bukan teoritikal. Secara automatik gambaran - gambaran seperti; memendekkan (al-Qasr) solat atau

    menggumpulkannya (al-Jam’) ketika bermusafir, meninggalkan puasa Ramadhan kerana sakit,

    mendirikan solat dengan cara duduk atau berbaring kerana sakit, mengambil makanan dan minuman

    yang haram ketika keadaan terpaksa dan bertayamum ketika ketiadaan air untuk mandi atau berwuduk

    menjadi garis batasan bagi ruang lingkup pemahaman kita mengenai al-Rukhsah. Memang tidak

    dinafikan bahawa perkara -perkara yang disebut lalu adalah contoh - contoh al-Rukhsah di dalam

    Syara’, tetapi bukan ini sahaja yang dibahaskan oleh Ilmu Usul Fiqh mengenai konsep ini. Pemahaman

    yang cetek inilah yang telah menyebabkan beberapa orang terjerumus kedalam kepincangan membuat

    Hukum Syara’ sehingga menyebabkan keporak - perandaan sistem pensyaria’tan Hukum Islam.

    Sebagai contoh, mereka menjadikan perkara al-Rukhsah ini asal bagi perkara baru untuk diqiyaskanhukumnya, sedangkan perkara ini disanggah oleh ahli - ahli Usul.31 Lalu keluarlah hukum dari mereka

     bahawa tidak wajib menutup kepala dan rambut bagi wanita Muslimah, dan hukum ini diperolehi

    dengan mengqiyaskannya kepada hukum tidak wajib bagi wanita yang sudah berumur untuk menutup

    aurat.

    30 Al-Syatibi, al-Muwafaqat, sumber terdahulu, Jld. 1. m/s. 224.31 Al-Amidi, Al-Ihkam, sumber terdahulu. Jld. 3. m/s. 217, 218.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    13/14

      13

    Contoh yang ketiga berkisar di ruang lingkup perbuatan manusia atau al-Mahkum fihi, di

    mana Ilmu Usul Fiqh membahaskan perbuatan - perbuatan yang dilakukan oleh manusia dari segi

     perkaitannya dengan Hukum Syara’.32 Ahli Usul telah meletakkan syarat dalam menentukan kesahihan

     pertanggungjawaban manusia keatas perbuataannya, dan salah satu daripadanya ialah kemungkinan

    manusia untuk dipertanggungjawabkan keatasnya.33

     

    Satu perbahasan lain yang timbul rentetan dari syarat ini ialah masalah dhihab mahal al-hukm

    (hilangnya perkara yang dihukum). Apabila perkara yang dihukumkan hilang, maka adalah tidak

    mungkin seorang mukallaf itu dituntut untuk mendapatkan dan melaksanakan maksudnya. Contohnya,

    tidak dikenakan had potong tangan keatas pencuri jika anggota yang wajib dipotong hilang samaada

    kerana sakit atau qisas atau jenayah.34  Ini kerana perkara yang dihukumkan itu telah hilang, maka

    hukumnya juga hilang (gugur) bersamanya. Inilah hujah yang sering diperdengarkan oleh beberapa

     pihak yang bermaksud menggugurkan hukum - hukum Syara’ seperti yang kita lihat pada hari ini.

    Dengan mengatakan hukum - hukum Syara’ hanya lebih bersifat sejarah dan budaya, dan ia telah

    hilang bersama peralihan masa dan tempat, mereka menyatakan bahawa hukum jenayah Islam adalah

    tidak sesuai dengan tempat dan suasana sekarang, ini kerana hukum ini adalah untuk orang Arab yang

    hidup di padang pasir dan tidak bertamadun.

    32 Al-Ghazali, al-Mustasfa, sumber terdahulu. Jld. 1. m/s. 86.

    33 Al-Syawkani, Irsaydal-Fuhul, sumber terdahulu, m/s. 29.34 Abu Rakhiyah, Majid, al-Wajiz fi Ahkam al-Hudud wa al-Qisas, Amman, Maktabat al-Aqsa, cetakan ke 1, 2001.m/s. 148.

  • 8/20/2019 Kepentingan-Penguasaan-Usul-Fiqh.pdf

    14/14

      14

    RUJUKAN:

    Abu Rakhiyah, Majid, al-Wajiz fi Ahkam al-Hudud wa al-Qisas,  Amman, Maktabat al-Aqsa,

    cetakan ke 1, 2001.

    Abu Sulayman, Abdul Wahab Ibrahim, al-Fikr al-Usuli: Dirasah Tahliliyah Naqdiyah, Jaddah, Dar

    al-Syuruq, cetakan ke 2, 1984.

    Al-Amidi, Ali bin Muhammad, al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, tahqiq: Sayyid Al-Jumayli, Beirut, Dar

    al-Kutub Al-‘Arabi, cetakan ke 3, 1998.

    Al-Durayni, Muhammad Fathi, al-Manahij al-Usuliyah Fi al-Ijtihad Bi al-Ra’y Fi al-Tashri’ al-

    Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, cetakan ke 3, 1997.

    Al-Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad, al-Mustasfa Min ‘Ilm al-Usul, 

    I’tina’: Najwa Dawwu, Beirut, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke 1, 1997.

    Al-Maydani, ‘Abdul Rahman Hasan Habnakah, Dawabit al-Ma’rifah wa Usul al-Istidlal wa Al-

    Munazarah, Dimasyq, Dar al-Qalam, cetakan ke 4, 1993.

    Al-Qaradhawi, Yusuf, al-Ijtihad fi al-Syari’ah al-Islamiyah, Ma’a Nazarat Tahliliyah fi al-Ijtihad

    al-Mu’asir, Kuwait, Dar al-Qalam, cetakan ke 1, 1985.

    Al-Raysuni, Ahmad dan Muhammad Jamal Barut, al-Ijtihad: al-Nass, al-Waqi’, al-Maslahah, Beirut,

    Dar al-Fikr, cetakan ke 1, 2000.

    Al-Sarakhsi, Abu Bakr Muhammad bin Ahmad, Usul al-Sarakhsi, tahqiq: Rafiq al-‘Ajm, Beirut, Dar

    al-Ma’rifah, cetakan ke 1, 1997.

    Al-Syafie, Muhammad bin Idris, al-Risalah, tahqiq: Ahmad Muhammad Syakir, Beirut, al-Maktabah

    al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun.

    Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa, al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah, syarah: ‘Abdullah Daraz,

    Beirut, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, tanpa cetakan dan tahun.

    Al-Syawkani, Muhammad bin Ali bin Muhammad, Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq Ilm al-Usul, tahqiq:

    Abu Mus’ab Muhammad Sa’id al-Badri, Beirut, Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyah, cetakan ke

    6, 1995.

    Al-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh al-Islami, Beirut, Darul Fikr, cetakan ke 2, 2001.

    Sano, Qutb Mustafa, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansud fi Daw’ al-Waqi’ al-Mu’asir, Beirut,

    Dar al-Fikr al-Mu’asir, cetakan ke 1, 2000.

    Yasin, Muhammad Nu’aim, Abhath Fiqhiyah fi Qadaya Tibbiyah Mu’asirah,  Amman, Dar al-

     Nafais, cetakan ke 3, 2000.

    Zawawi, Majdah, The Legal and Ethical Aspects of Human Cloning: A Comparative Study, Tesis

    Master, Kulliyah Undang - Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, April 2000.