harta tidak patuh syariah - · pdf filepengurusan harta tidak patuh syariah zulkifli hasan 1.0...

8

Click here to load reader

Upload: duongnhu

Post on 12-Feb-2018

223 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

PENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan dalam kehidupan. Di kala pengurusan harta menjadi kewajipan dan tuntuan, mahu tidak mahu di antara punca utama permasalahan umat Islam ketika ini ialah kegagalan untuk mengurus harta secara efisyen dan berkesan. Begitu banyak harta dalam bentuk wang tunai, saham, tanah dan bangunan yang tidak dimanfaatkan semaksima mungkin. Di Malaysia sahaja, Danaharta pernah melaporkan nilai harta yang tidak dapat dimaju dan digunakan atas halangan tertentu yang berjumlah berbilion ringgit. Ini menimbulkan satu persoalan mengenai keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan harta melalui pengurusan yang teratur dan berkesan. Secara umumnya, pengurusan harta yang diperolehi secara sah atau halal sering kali dibincangkan dan tiada banyak isu serta persoalan yang timbul menurut perspektif syariah. Hukum serta kedudukan harta sebegini adalah amat jelas dan tidak melibatkan persoalan atau pertikaian dari sudut syariah. Namun begitu, di antara harta yang sering kali tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh ramai pihak ialah kategori aset yang diperolehi melalui saluran yang tidak menepati kehendak syariah atau dalam erti kata lain didapati dari sumber yang haram. Jika ditinjau, jumlah harta yang jatuh kategori ini juga sangat banyak dan ianya perlu dimanfaatkan untuk kemaslahatan umum. Sehubungan dengan itu, artikel ini cuba membicarakan topik ini secara ringkas dengan memfokuskan kepada aspek pengurusan harta yang dikategorikan sebagai tidak patuh syariah ini. 2.0 Konsep Harta Tidak Patuh Syariah 2.1 Konsep Harta Ulama bersepakat mengatakan bahawa harta yang dimiliki oleh semua manusia hanyalah amanah oleh Allah. Manusia hanya berperanan sebagai pemegang amanah sementara untuk memakmurkan bumi Allah ini menurut kehendak dan perintahNya. Sebagai khalifah di muka bumi ini, manusia yang diamanahkan oleh Allah perlu menggunakan setiap nikmat dan harta yang dikurniakan dengan adil dan saksama. Seiring dengan amanah ini, setiap harta yang dimiliki mestilah diperolehi melalui sumber yang menepati syariah. Bukan itu sahaja ianya juga perlu dibelanjakan di saluran yang sah, malahan digalakkan untuk diinfaqkan kepada golongan yang memerlukan. Berdasarkan konsep ini, hanya harta yang sah dari segi syarak sahaja yang diiktiraf dalam Islam. Harta sebegini dibolehkan jual belinya dan apa-apa transaksi melibatkannya adalah sah dan diterima syarak. Bukan itu sahaja harta ini jika cukup nisab dan haulnya wajib pula dikeluarkan zakat daripadanya. Harta yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti wang rompakan, harta perjudian dan sebagainya tidak mendapat pengiktirafan syarak dan segala transaksi melibatkannya adalah haram.

Page 2: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

2.2 Konsep Harta Tidak Patuh Syariah Harta tidak patuh syariah merujuk kepada harta yang diperolehi melalui jalan tidak syarie sama ada mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya seperti riba dan judi atau terdapat balasan kepadanya seperti barang curi atau rompakan. Harta tidak patuh syariah ini termasuk harta riba, gharar berlebihan, perjudian, rampasan, rasuah, penipuan dan transaksi yang melibatkan perkara yang diharamkan oleh Islam. Berlainan dengan harta patuh Syariah, harta yang diperolehi melalui sumber yang haram mempunyai kedudukan yang berlainan dalam Islam. Transaksi atau jual beli yang melibatkan harta tidak patuh syariah adalah tidak diiktiraf. Bahkan ianya juga tidak dikenakan zakat memandangkan ianya tiada nilai di mata syarak. Jual beli melibatkan harta curi atau jual beli arak atau transaksi riba adalah haram dan tidak diiktiraf kesahannya oleh syarak. Secara umumnya harta tidak patuh syariah ini dikategorikan sebagai harta tidak diiktiraf oleh syarak (Mal Ghair Mutaqawwam). Ini bermakna, walaupun ianya mempunyai nilai dari sudut komersial atau ekonomi tetapi ianya tidak mendapat pengiktirafan Allah. Oleh itu, pemilik atau pemegang harta tidak patuh Syariah ini tidak dibolehkan untuk menggunakannya untuk apa saja tujuan sama ada peribadi atau selainnya. Ini memandangkan beliau tidak mempunyai hak terhadap harta tersebut dan hak terhadap harta tersebut telah berpindah kepada pihak lain iaitu:-

(i) Sekiranya harta tersebut diketahui pemilik sebenarnya seperti dalam kes curi atau rompakan, ianya perlu dikembalikan kepada pemiliknya yang asal.

(ii) Sekiranya harta tersebut diperolehi hasil daripada benda yang haram seperti perjudian, arak atau riba, hakmilik harta ini telah terpindah kepada kemaslahatan umum.

(iii) Sekiranya harta yang diperolehi adalah bercampur dengan halal dan haram, bahagian harta yang haram itu menjadi milik kemaslahatan umum.

Kedudukan harta tidak patuh syariah yang dipaparkan di atas merupakan pandangan hampir semua majoriti fuqaha tradisional mahupun kontemporari. Bahkan institusi fatwa yang membuat fatwa secara kolektif juga berpandangan yang sama. Dalam hal ini, menurut Yusuf al-Qaradawi, harta yang diperolehi secara tidak sah atau sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ianya menjadi milik kepada maslahah ‘ammah. Harta tidak patuh syariah ini tidak boleh sama sekali digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri, keluarga atau sanak saudara. 2.3 Jenis Harta Tidak Patuh Syariah Setelah membincangkan secara ringkas konsep harta tidak patuh syariah, timbul persoalan apakah jenis harta yang boleh dikenalpasti tergolong dalam kategori harta sedemikian. Bagi memudahkan pemahaman dalam hal ini, penulis menyenaraikan beberapa jenis harta tidak patuh syariah kepada beberapa kategori:- (a) Harta Diperolehi hasil daripada Benda yang Dikategorikan Haram Kategori harta tidak patuh syariah ini merujuk kepada apa-apa harta yang diperolehi hasil daripada transaksi yang bertentangan dengan syariat Islam seperti riba, judi, arak dan benda dikategorikan haram yang lain. Harta yang diperolehi melalui transaksi dalam sistem riba termasuk perbankan dan insuran konvensional insuran, perjudian, penjualan

Page 3: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

produk tidak halal dan saham-saham atau sekuriti- sekuriti yang berasaskan riba juga termasuk dalam kategori ini.

Page 4: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

(b) Harta Diperolehi Melalui Sumber yang Tidak Menepati Kehendak Syariah Harta ini merujuk kepada apa sahaja jenis aset yang pada asalnya halal dan sah serta bukan kategori haram tetapi ianya menjadi haram akibat daripada cara mendapatkannya yang tidak menepati kehendak syarak. Harta tidak patuh syariah dalam kategori ini merujuk kepada apa-apa aset yang didapati melalui penipuan atau kegiatan jenayah seperti rasuah, penyelewengan, harta curi, pecah amanah dan rompakan. (c) Harta Syubhah Harta syubhah merujuk kepada status atau kedudukan benda atau aset tersebut yang diragui. Di antara contoh harta syubhah ialah seperti bayaran pampasan lewat bayar instrumen kewangan Islam dan status pelaburan ASN dan ASB. Dalam kategori ini, terdapat fatwa yang membenarkan dan terdapat juga fatwa yang mengharamkannya. Walaupun secara umumnya kita dibenarkan untuk memilih mana-mana fatwa kerana ianya tidak mengikat melainkan sekiranya digazetkan, adalah lebih baik harta syubhah ini tidak digunakan untuk tujuan peribadi atau ianya menjadi hakmilik kita. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berkenaan dengan status harta syubhah yang bermaksud, Daripada Abu Abdullah An-nu’man bin Basyir katanya : aku mendengar Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda: ”sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itupun jelas dan di antara kedua-duanya itu (terdapat) perkara-perkara yang syubhah, ramai dari kalangan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhat, (maka) dia telah membersihkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjatuh ke dalam perkaraperkara syubhat , dia akan jatuh ke dalam perkara haram”. (d) Harta Bercampur Halal dan Haram Jenis harta tidak patuh syariah ini merujuk kepada harta yang bercampur di mana sebahagiannya adalah haram dan sebahagian lagi adalah halal. Sebagai contoh harta yang diperolehi daripada sumber yang halal dan haram seperti perniagaan yang melibatkan instrumen kewangan Islam dan dalam masa yang sama mempunyai transaksi dan pendapatan daripada perbankan konventional. Sekiranya dapat dikenalpasti daripada percampuran harta itu tadi, harta yang diperolehi sumber haram itu tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi dan ianya perlu diberikan kepada kemaslahatan umum. (e) Harta yang Tidak Diketahui Sumbernya

Di antara harta yang sering kali tidak jelas kedudukannya merujuk kepada harta yang

tidak diketahui sumbernya. Umpamanya harta seperti wang atau emas yang dijumpai di

jalan atau di mana-mana. Sekiranya diketahui pemiliknya, ianya perlu dipulangkan

semula dan jika tidak diketahui ianya perlu diserahkan kepada baitul mal atau pihak

berautoriti agar ianya boleh digunakan untuk kemaslahatan umum.

2.4 Status Harta Tidak Patuh Syariah Bagi membicarakan status harta tidak patuh syariah, terdapat dua aspek yang perlu diberikan perhatian. Pertama, adakah harta tidak patuh syariah perlu dilupuskan atau

Page 5: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

boleh digunakan? Kedua, sekiranya boleh digunakan, adakah ianya boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau ianya menjadi hak milik kemaslahatan umum. Harta Tidak Patuh Syariah Tidak Boleh DiLupuskan Sekiranya harta tidak patuh syariah ini tidak diiktiraf oleh syarak, timbul satu persoalan yang amat penting untuk dijawab iaitu apakah yang boleh dilakukan terhadap harta ini? Lebih-lebih lagi dalam keadaan apabila seseorang yang mempunyai harta tidak patuh syariah yang banyak telah dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Dalam aspek ini, isu yang akan timbul adalah adakah harta tidak patuh syariah ini perlu dilupuskan atau adakah ianya boleh digunakan? Berhubungan dengan isu ini, fuqaha bersepakat mengatakan harta tidak patuh syariah ini tidak boleh dilupuskan atau dibuang atau dibazirkan. Fuqaha tradisional mahupun kontemporari berpandangan bahawa harta ini perlu digunakan atau diagihkan demi kemaslahatan umum. Perbuatan melupuskan harta tidak patuh syariah ini juga menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha’ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan. Bahkan apabila membincangkan isu harta tidak patuh syariah berasaskan riba, Yusuf Al- Qaradawi di dalam Fatawa Muasirah berpandangan bahawa adalah haram secara yakin untuk membiarkan atau meninggalkan wang dalam akaun bank konvensional yang berlandarkan riba. Ini kerana harta ini mampu memberi sokongan kepada pengutuhan konvensional bank yang jelas haram dalam Islam. Harta Tidak Patuh Syariah Adalah Hak Milik Kemaslahatan Umum Bertepatan dengan konsep harta dalam Islam yang hanya mengiktiraf harta yang halal atau harta yang diperolehi melalui cara yang menepati kehendak syariah, harta tidak patuh syariah tidak boleh menjadi milik orang yang memiliki atau pemegang harta tersebut. Harta tidak patuh syariah ini menjadi hak milik kemaslahatan umum. Ini adalah jelas dibicarakan oleh hampir semua majoriti fuqaha termasuk institusi fatwa dan ulama kontemporari. Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir dan Majlis Fatwa kebangsaan Malaysia telah bersepakat untuk membolehkan harta tidak patuh syariah ini digunakan untuk kemaslahatan umum. Harta tidak patuh syariah ini boleh diagihkan kepada faqir, miskin atau digunakan untuk maslahat umum seperti pembinaan sekolah, infrastruktur awam dan sebagainya. Ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie juga berpandangan bahawa harta tidak patuh syariah boleh digunakan untuk pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum serta kepada faqir miskin menurut budi bicara pemerintah. Bahkan Imam Al-Ghazzali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin juga berpandangan harta tidak patuh syariah ini haram bagi pemiliknya tetapi ia boleh digunakan oleh faqir miskin. Ini secara jelas disokong oleh Yusuf al-Qaradawi di dalam Fatawa Muasirah yang berpandangan bahawa harta tidak patuh syariah tidak boleh menjadi hak milik pemiliknya tetapi ianya perlu disedekahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan untuk kemaslahatan umum.

Page 6: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

3.0 Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah Setelah memahami konsep, jenis dan hukum harta tidak patuh syariah, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memastikan harta sebegini diurus dan ditadbir secara berkesan dan mengikut hukum syarak. Pemilik harta tidak patuh syariah ini boleh menyerahkan secara terus harta ini kepada mana-mana institusi kebajikan termasuk baitul mal atau badan-badan amal untuk digunakan demi kemaslahatan umum. Institusi-institusi ini pula perlu memastikan harta tidak patuh syariah ini digunakan secara berkesan dan ianya tidak ditadbir sambil lewa serta tidak menepati kehendak syarak. Pemilik harta tidak patuh syariah ini juga boleh mengagihkan atau memberikan sejumlah harta ini terus kepada golongan yang memerlukan tanpa merujuk kepada mana-mana badan kebajikan atau pihak berautoriti seperti baitul mal. Bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang pengurusan harta tidak patuh syariah ini, penulis menyenaraikan beberapa kaedah penggunaan harta ini mengikut keutamaannya. Pemilik harta tidak patuh syariah atau penerimanya sama ada baitul mal, badan kebajikan atau orang perseorangan perlu memastikan harta ini digunakan dalam aspek atau perkara yang diklasifikasikan sebagai kemaslahatan umum. (a) Harta Tidak Patuh Syariah Perlu Dipulangkan Kepada Pemilik Asal Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Ini bersepakatan dengan pandangan Imam al-Nawawi dalam kaedah penyelesaian harta tidak patuh syariah iaitu ianya perlu dikembalikan kepada pemilik asal sekiranya diketahui atau wakilnya atau ahli warisnya jika melibatkan kematian. (b) Harta Tidak Patuh Syariah Digunakan untuk Pembinaan Infrastruktur Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah atau dibelanjakan kepada maslahah-maslahah umum umat Islam. Ini termasuk pembinaan infrastruktur awam seperti jalan, sekolah, dewan, jambatan, kenderaan pengangkutan dan masjid-masjid. Bukan itu sahaja harta ini juga boleh digunakan untuk tujuan penyelenggaraan infrastruktur termasuk pemeliharaan alam sekitar serta penjagaan kebersihan kawasan awam. (c) Harta Tidak Patuh Syariah Digunakan Untuk Memerangi Sektor Haram Merujuk kepada harta tidak patuh syariah yang diperolehi melalui sumber yang haram seperti berasaskan riba dan perjudian. Ada ulama yang berpandangan bahawa harta sebegini perlu digunakan untuk memerangi sektor haram ini. Sebagai contoh, wang hasil perjudian hendaklah digunakan untuk memerangi sektor perjudian dan wang hasil riba perlu dibelanjakan pada usaha mengatasi sektor kewangan konvesional. Menyentuh isu ini Imran Hossein berpandangan bahawa wang riba hanya boleh digunakan bagi memerangi sektor kewangan konvensional dalam apa cara sekalipun. Ini termasuk penerbitan buku-buku menjelaskan pengharaman riba, membiayai penyelidikan yang menyediakan alternatif bagi kewangan konvensional dan menubuhkan institusi yang berupaya untuk mengatasi kewangan konvensional.

Page 7: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

Walaupun Yusuf Al-Qaradawi tidak mensyaratkan harta riba ini hanya boleh digunakan untuk memerangi sektor haram, beliau berpendapat bahawa adalah haram untuk membiarkan wang di dalam akaun bank konvensional tanpa berbuat sesuatu. Ini memandangkan perbuatan membiarkan wang tersebut tanpa dikeluarkan bukan sahaja akan dapat membantu perkembangan bank konvensional malahan ianya boleh membawa kepada amalan persubahatan dengan aktiviti haram riba. (d) Harta Tidak Patuh Syariah Diagihkan Kepada Fakir Miskin Sekiranya harta tidak patuh syariah ini tidak digunakan untuk pembinaan infrastruktur atau memerangi sektor haram, harta sebegini boleh dibelanjakan atau diagihkan kepada golongan fakir miskin. Harta ini juga boleh diberikan kepada anak-anak yatim, warga emas, orang kurang upaya, muallaf, ibu tunggal yang memerlukan dan pelajar-pelajar yang memerlukan pembiayaan. Golongan ini tidak perlu gusar untuk menerima wang tidak patuh syariah ini walaupun diketahui ianya dari sumber haram kerana ulama bersepakat mengatakan bahawa mereka boleh menggunakannya kerana jatuh dalam kategori kemaslahatan umum. Isu penerimaan wang haram bagi golongan ini tidak menjadi isu. (e) Harta Tidak Patuh Syariah Diberikan Kepada Badan Kebajikan Selain daripada perkara di atas, harta tidak patuh syariah ini juga boleh diberikan kepada mana-mana badan kebajikan termasuk baitul mal, badan-badan amal, badan bukan kerajaan dan institusi dakwah. Institusi-institusi ini pula perlu memastikan segala harta tidak patuh syariah yang diterima dibelanjakan untuk tujuan kemaslahatan umum seperti usaha-usaha jihad di jalan Allah, bantuan untuk perkembangan dakwah Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan. 4.0 Kesimpulan Perbincangan ringkas dalam artikel ini yang merungkai persoalan mengenai pengurusan harta tidak patuh syariah sedikit sebanyak diharap dapat memberikan kefahaman umum terhadap konsep, status, hukum, jenis atau kategori dan pengurusan harta sebegini. Secara umumnya, masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak memahami subjek harta tidak patuh syariah ini di mana sering kali pandangan yang tidak tepat dilontarkan dalam menangani isu yang berkaitan dengannya. Penulis cuba menjelaskan topik ini secara mudah dan memperjelaskan tentang pengurusan harta tidak patuh syariah ini dalam konteks semasa. Konsep harta dalam Islam meletakkan manusia hanya sebagai pemegang amanah. Sebagai khalifah yang memegang amanah ini, manusia perlu mematuhi setiap peraturan yang ditentukan Allah. Dalam konteks ini hanya harta yang diperolehi secara halal atau menepati kehendak syarak diiktiraf oleh Islam sebagai harta yang sah. Manakala harta tidak patuh syariah mempunyai kedudukan yang berbeza di mana ianya tidak diiktiraf dalam Islam. Walaupun harta tidak patuh syariah ini tidak diiktiraf, Islam telah menetapkan bahawa harta ini tidak boleh dilupuskan bahkan perlu diurustadbir dan dibelanjakan mengikut kaedah yang dikehendaki syarak. Keperluan menguruskan harta tidak patuh syariah ini merupakan antara tuntutan yang perlu dipenuhi ketika ini. Dalam konteks masyarakat Malaysia misalnya, terdapat banyak

Page 8: Harta Tidak Patuh Syariah - · PDF filePENGURUSAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH Zulkifli Hasan 1.0 Pendahuluan Pengurusan harta merupakan satu tuntutan agama yang sangat dititikberatkan

harta tidak patuh syariah yang berpotensi untuk digunakan demi kemaslahatan umum. Sebarang usaha untuk melupuskan harta ini adalah menyalahi kaedah syarak dan berlawanan dengan ajaran Islam. Oleh itu, harta tidak patuh syariah ini perlulah disalurkan kepada institusi-institusi atau individu yang berhak untuk digunakan demi maslahah umum masyarakat. Walaupun Islam membenarkan pemilik harta tidak patuh syariah ini diagihkan terus kepada individu seperti fakir miskin, anak yatim, penulis berpandangan bahawa kaedah menyalurkan harta ini kepada institusi seperti baitul mal, badan-badan amal atau dakwah, rumah kebajikan dan institusi kebajikan yang lain merupakan yang terbaik untuk dilakukan. Ini memandangkan pengurusan harta yang dibuat oleh organisasi berstruktur dan teratur akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan harta tidak patuh syariah ini. Pengurusan harta tidak patuh syariah yang berkesan dan efisyen akan dapat memastikan keberkesanan penggunaannya dapat dioptimumkan demi kemaslahatan umum.