di sini hilanglah pandan

15
Di sini hilanglah pandan Penjahit penebas lalang, Di sini hilanglah badan, Sudah ghaib mata memandang. Zaman dahulu bertikar pucuk, Zaman ini bertikar mengkuang, Zaman dahulu kita dipujuk Zaman ini kita dibuang. Mengkuang kononnya kayu Petani, Tersandar di kayu kelat , Terbuang sudah rupanya kami, Bagai ikan di luar belat -Hikayat Awang Sulung Tasawwur Kebudayaan Secara ringkas Sebagai suatu pernyataan adalah dikatakan bahawa kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ertinya ia seharusnya difaham sebagai suatu penjelmaan corak dan gayahidup yang dapat dilihat secara zahir dalam keseluruhan kehidupan sesebuah bangsa . Dengan maksud itu, kebudayaan adalah lambang zahir yang dapat ditonjolkan dalam kehidupan bangsa yang terjelma dalam pelbagai aspek kehidupan. Dari soal bahasa, pakaian, makanan, kelakuan dan interaksi sosial, cara berhibur, kelakuan (tabiat dan fe’el),

Upload: amir

Post on 25-Dec-2015

228 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

bahan bantu mengajar

TRANSCRIPT

Page 1: Di Sini Hilanglah Pandan

Di sini hilanglah pandan

Penjahit penebas lalang,

Di sini hilanglah badan,

Sudah ghaib mata memandang.

Zaman dahulu bertikar pucuk,

Zaman ini bertikar mengkuang,

Zaman dahulu kita dipujuk

Zaman ini kita dibuang.

Mengkuang kononnya kayu Petani,

Tersandar di kayu kelat ,

Terbuang sudah rupanya kami,

Bagai ikan di luar belat

-Hikayat Awang Sulung

Tasawwur Kebudayaan Secara ringkas

Sebagai suatu pernyataan adalah dikatakan bahawa kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ertinya ia seharusnya difaham sebagai suatu penjelmaan corak dan gayahidup yang dapat dilihat secara zahir dalam keseluruhan kehidupan sesebuah bangsa .

Dengan maksud itu, kebudayaan adalah lambang zahir yang dapat ditonjolkan dalam kehidupan bangsa yang terjelma dalam pelbagai aspek kehidupan. Dari soal bahasa, pakaian, makanan, kelakuan dan interaksi sosial, cara berhibur, kelakuan (tabiat dan fe’el), kesenian, tulisan dan karya-karya sastera, acara kemasyarakatan (perkahwinan, kelahiran, sambutan hari kebesaran , …dll) cara berekonomi, corak dan cara pengurusan sumber alam sehinggalah dalam soal urusan membangun keluarga.

Page 2: Di Sini Hilanglah Pandan

Dengan yang demikian kebudayaan menjadi simbol jati diri sesuatu bangsa.

Jelas sekali peranannya yang amat penting dalam proses pembangunan negara, yang sepatutnya menjadi jiwa dan pembentuk keperibadian sesebuah negara itu sendiri. Dalam hal ini proses pembangunan sesebuah Negara itu sangat bergantung kepada sejauh mana ia mampu memupuk kualiti keperibadian rakyatnya. Dalam ertikata lain bagaimana budaya bangsa dan warganya dizahirkan dalam usahanya untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik rakyatnya. Jika ini mahu dijayakan tentunya ia memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.

Sudah tentu juga dalam realiti Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan. Lantaran itu perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.Untuk apa DKK diujudkan?

Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal dengan tujuan untuk membentuk identiti negara sebagai suatu pengenalan diri, pernyataan dan penegasan kedaulatan budaya sendiri ditengah-tengah landskap kebudayaan yang sedang ujud diperingkat antarabangsa.. Dasar ini diharap akan dapat menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di tengah-tengah arus globalisasi yang kini sedang menghanyutkan segala budaya yang lain selain dari yang telah didominasi oleh kuasa Barat.

Dalam konteks ini, penggubalan dasar ini dirangka awalnya dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau.

Peranan Negara ini sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan prosesinteraksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.

Yang dikata 3 prinsip penting DKK

Dengan yang demikian, sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia dikatakan akan terus berlandaskan 3 prinsip dan unsur yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik

Page 3: Di Sini Hilanglah Pandan

(Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca). Kebudayaan serantau ini digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Dengan yang demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima. Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan kerana itu patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara, di samping telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.

Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Apa yang hendak dicapai dari DKK?

Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka dirasakan amat penting untuk mewujudkan sebuah Negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

Page 4: Di Sini Hilanglah Pandan

Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;

Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan

Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Strategi dan Pelaksanaan Objektif DKK

Dasar ini dirancang untuk dicapai melalui strategi-strategi berikut:

Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;

Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;

Mewujudkan komunikasi yang berkesan kearah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;

Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan

Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, penglibatan pihak lain juga dikatakan penting dalam pelaksanaan dasar ini. Mereka termasuklah Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, badan-badan berkanun dan pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan kebudayaan.

Peranan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KKKW) dalam pelaksanaan matlamat dan strategi dasar ini dianggap sangat utama. Antara lain Kementerian ini menguruskan penyelidikan, pembangunan dan penggalakan, pendidikan dan pengembangan kesenian dan perhubungan ke arah kemajuan kebudayaan kebangsaan.

Usaha-usaha itu dicapai melalui aktiviti-aktiviti pembangunan, persembahan seni oleh Kompleks Budaya Negara sebagai pengelola dan urusetia perhubungan kebudayaan antarabangsa, Majlis Kebudayaan Negeri, memberi khidmat nasihat bagi mengukuhkan pertubuhan-pertubuhan kebudayaan dan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa.

Page 5: Di Sini Hilanglah Pandan

Kerajaan-kerajaan Negeri dan badan-badan berkanun yang lain adalah sama penting dalam melaksanakan strategi dasar ini di dalam pengurusan harian dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan pertubuhan pertubuhan kebudayaan kian diperlukan di mana badan-badan ini boleh memainkan peranan menjalankan usaha pembinaan dan kemajuan kebudayaan di peringkat organisasi masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau projek-projek kebudayaan.

Realiti Kebudayaan Rakyat Masakini.

Dalam pernyataan yang terungkap dalam pelbagai dokumen resmi permerintah, sering dicatat keperluan rakyat memulihara nilai-nilai murni sebagai sebuah acuan membentuk watak Negara.Namun tidak dapat dinafikan betapa pernyataan ini tidak lebih dari hanya pernyataan retorik.Malah mereka yang mengulang-ulangkannya dalam ucapan itu sendiri ramai yang tidak sepenuhnya komited dengan menjaga kebudayaan murni bangsa yang menjadi teras DKK itu sendiri.

Di peringkat peribadi apa yang jelas terjadi ialah sebuah kontradiksi antara pernyataan dan amalan. Tergambar kepada tabiat dan corak dan gaya hidup kebanyakan golongan elit di Negara ini yang sebenarnya tenggelam dalam budaya Barat yang menjadi intisari budaya global masakini.Kalaupun ada saki baki dari apa yang dikatakan DKK itu dalam faham mereka ia hanya merupakan kosmetik semata-mata yang menyaluti isi budaya yang sudah berkiblat dan cenderung kepada kebudayaan moden-Barat.

Persoalan asasnya ialah faham dan tanggapan kebudayaan itu sendiri telah terbatas dan didangkalkan kepada hanya persoalan kesenian dan rupa zahir yang dipakej sedemikian cara sehingga budaya bangsa hanya tinggal urusan seni semata. Rakyat benar-benar sedang menjalani suatu perubahan budaya yang selama ini sudah mencengkam minda dan sentimen mereka sejak penjajah dikatakan telah dinyahkan dari tanah air..

Dalam konteks ini juga pihak berwewenang itu sendiri telah membataskan isu kebudayaan kepada hanya persoalan seni.Lantaran itu budaya bangsa tidak lagi dilihat sebagai suatu cara hidup. Malah budaya bangsa hanya tinggal soal seni lagu dan tarian untuk dipentaskan sebagai penglipur lara.

Bertolak dari hal demikian maka berlakulah assimilasi budaya Barat yang sekian lama sudah ditanam benihnya dalam akar sanubari mereka yang maseh belum memahami erti kemerdekaan sebenar. Penjajahan minda dan kegersangan kesedaran yang semikian mendalam adalah antara kejayaan yang amat utama dicapai oleh Inggeris di tanah air ini. Demikian juga yang berlaku pada seluruh penjajahan yag sedang dialami oleh warga dunia ketiga.Demikian berkesannya agenda penjajahan

Page 6: Di Sini Hilanglah Pandan

budaya ini sehingga terdokumen kata-kata Lord Macaulay ketika beliau mengusulkan agenda penjahan Inggeris ke atas India iaitu “pendidikan yang akan kita perkenalkan ialah untuk melahitkan rakyat India pada kulit tetapi Inggeris pada jiwa dan minda” .

Ini jualah yang telah diprogram ke atas insan Melayu dirantau ini.Setelah kemerdekaan politik dicapai pada tahun 1957, penjajahan budaya terus dikekalkan sehingga hari ini.

Ini malangnya diperkukuhkan dan dapat dilihat dalam keghairahan pihak berkuasa menyerapkan segala nilai dan “kemajuan” Barat yang dianggap lebih superior dari budaya pribumi. Natijahnya atas nama pembangunan masyarakat Melayu sebagai sebuah bangsa merasa kerdil dengan tulisan, bahasa, makanan, senibina, pakaian, corak hidup, adab dan gaya hidup sendiri yang sebenarnya banyak tercorak oleh Islam.

Kini hal ini terus mengukuh atas nama “persaingan”. Bahawa masyarakat Melayu hanya boleh bersaing dengan cara menyerapkan amalan budaya lain dari yang ada pada diri sendiri. Bahawa segalanya harus “bertaraf dunia”, mempunyai “jenama dunia”. Soal budaya sendiri tidak lebih hanya soal sentiment dan khazanah untuk hanya diperagakan buat dinikmati pelancong semata-mata.

Dimana kedudukan budaya bangsa dalam pembangunan negara?

Untuk memahami status budaya bangsa dalam proses pembangunan negara lebih mudah kami membentangkannya dengan menganalisis secara umum mengikut sektor pembangunan

1. Sistem pendidikan.

Walapun ujud acara-acara yang cuba ditonjolkan sebagai unsur budaya dalam sistem pendidikan negara namun ia tidak lebih hanya penonjolan kulit tanpa penghayatan kebudayaan yang sebenar.Generasi muda yang melalui sistem pendidikan arus perdana ternyata semakin terhakis nilai budaya dan akar adat resam bangsanya sendiri.Bukan sahaja persoalan tulisan dan bahasa Melayu semakin tersisih malah kandungan pendidikan yang tidak memberi perhatian kepada soal unsur sejarah bangsa dan budaya bangsa itu sendiri.Buku teks yang menjadi tatapan guru dan pelajar dari peringkat rendah sehingga tiggi hampir gersang dari pendidikan budaya bangsa. Akibatnya citarasa dan aspirasi bukan sahaja pelajar malah pendidik itu sendiri tidak mengambilkira soal kebudayaan bangsa.

Page 7: Di Sini Hilanglah Pandan

2. Dalam dunia hiburan.

Kini paling ketara ialah hampir lusuhnya budaya bangsa dalam dunia hiburan yang kini sedang mewabak dalam diri anak bangsa sendiri. Hiburan yang berisi, bercorak, bergaya, berkonsep dan berwajah Barat itulah yang menjadi budaya dominan.Keghairahan anak muda yang sangat mudah diheret dalam budaya Barat yang miskin malah gersang moral itu diperkukuhkan pula oleh semacam restu dan redha pihak pemerintah dikalangan pemimpin elit yang memerintah atas nama kemajmukan citarasa dan kehendak berbilang bangsa. Unsur akhlaq dan adat ketimuran hanya menjadi lafaz bibir sebagai penghias bicara pemimpin negara. Malah lebih menyedihkan lagi ialah pemimpin negara semacam merasa bangga dapat menjadikan tanah air yang bergelar Negara Islam ini untuk menjadi tapak dan pusat hiburan bertaraf dunia dengan istilah yang menjadi kegilaan mereka iaitu “world class entertainment hub”. Jika adapun hiburan yang bersantunkan dan berbudaya Melayu dan berbenihkan tassawur Islam ia hanya menjadi pendamping budaya dan tidak semasekali menjadi teras budaya. Tanda-tanda kegilaan kepada apa sahaja yang berbau Barat dapat dilihat dengan acara-acara anugerah seni yang disajikan mengikut ala Barat semada dalam persembahan maupun tabiat para artisnya

3. Dalam sektor sosio-ekonomi.

Budaya mempunyai pengaruhnya yang kuat dalam mencorakkan pola pembangunan negara. Sistem pembangunan ekonomi dapat diukur dengan cara kita meneliti penekanan yang diberi kepada aspek-aspek pembangunan sosio-ekonomi. Ekonomi yang memberi penekanan kepada budaya ialah sistem ekonomi yang tidak ghairah dengan hanya persoalan pertumbuhan KDNK atau turun naik saham maupun FDI (Pelaburan Asing Langsung). Apa yang menjadi persoalan ialah sejauhmana rakyat tidak terheret dengan ekonomi global yang terlalu mementingkan pertumbuhan dan longgokan kekayaan tetapi menyisihkan soal jurang pendapatan antara rakyat. Kini tanah air kita sedang menghadapi fenomena mendidik rakyat menjadi materialistik dan komersialistik. Tanda-tanda ini jelas dapat dilihat dengan ujudnya petunjuk jurang pendapatan yang semakin meluas sehingga berlaku kecemburuan sosial yang semakin berleluasa. Jenayah, rasuah, salahgunakuasa, rosak akhlaq adalah antara natijah yang berlaku akibat dari kegersangan budaya murni dalam ekonomi negara..

4. Dalam sektor pengurusan

Walaupun pernah suatu ketika dahulu soal nilai insan dan budaya ditekankan dalam bidang pengurusan namun kini akibat dari suntikan dan asakkan persaingan yang menjadi inti keprihatinan pihak pemerintah menyebabkan pengurusan yang berteraskan budaya bangsa dan asas Islam semakin tenggelam.Program pembangunan insan semakin terpinggir kerana apa yang menjadi

Page 8: Di Sini Hilanglah Pandan

keghairahan ialah soal produktiviti. Diperingkat sektor swasta apa yang ketara ialah unsur ugama dalam kepengurusan tidak menjadi penting. Malah kebudayaan kebangsaan bukan menjadi perhitungan samasekali dalam sebarang proses membuat keputusan dalam badan korporat. Malah pembangunan manusia dalam sektor korporat sering tidak mengendahkan kepentingan budaya dalam pengurusan. Semakin jelas bahasa Melayu amat tersisih dalam sektor korporat ditanah air ini.

5. Dalam sektor media

Media tanah air ternyata paling berkesan dalam meminggir dan melesukan DKK.Tidak terdapat sebarang usaha untuk menyubur dan menyegarkan rakyat mengenai DKK. Penyisihan tajuk ini terang-terangan berlaku dengan hampir tidak ada persoalan yang dibangkitkan mengenai DKK dalam akhbar maupun majalah. Begitu juga media elektronik kini semakin sarat dengan acara hiburan berbudaya asing yang mempercepatkan lagi penghakisan budaya tempatan.Media hiburan dalam bentuk cetakan seperti majalah , novel dan akhbar hampir semuanya memaparkan budaya sensate yang samasekali tidak membantu memulihara moral masyarakat. Asakkan media luar yang menjadi semakin popular di tanah air tidak dapat dihalang kerana pihak berkuasa nampaknya selesa dengan polisi sensor sendiri.

6. Dalam penghayatan Islam

Islam sebagai agama resmi nampaknya bukan lagi menjadi pengukur budaya bangsa .Walaupun prinsip DKK adalah meletakkan Islam sebagai asas kebudayaan kebangsaan namun dari segi penghayatannya ia sering terpinggir. Malah dalam pengamatan umum Islam tersudut hanya sebagai persoalan individu dan peribadi semata. DKK yang menjadikan Islam sebagai teras budaya tidak dapat memberi pengaruh kepada dasar-dasar yang lain.Kefahaman sekular dikalangan golongan elit perintah dan sebahgian besar kalangan kelas menengah Melayu telah menjadikan Islam hanya terbatas kepada persoalan hubungan manusia dengan Tuhan semata.

7. Dalam penyelidikan dan pembangunan warisan

Warisan dan khazanah bangsa kini hanya menjadi bahan musium untuk tontonan dan bukan dijadikan alat untuk mencari rasional bagi memikirkan alternatif kepada kehidupan moden yang menghakis segala budaya bangsa.Lantaran itu jika adapun kajian yang dilakukan untuk menggali semula warisan bangsa ia tidak lebih dari hanya persoalan khazanah untuk menjadi produk pelancongan.. Sayang sekali pelbagai warisan yang hilang tidak dilihat sebagai asas untuk membina budaya bangsa hanya kerana pembangunan Negara perlu dipacu setaraf dengan kehendak global.

Page 9: Di Sini Hilanglah Pandan

8. Dalam dunia perundangan

DKK yang memasukkan unsur bahasa dan kaedah rakyat mengendalikan kehidupan nampaknya disisihkan dalam sektor perundangan Negara. Sudah beberapa kali perbahasan diangkat untuk memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam perjalanan mahkamah, namun ia hanya berakhir bagaikan angin berlalu tanpa makna.Malah penulisan prosedur dan segala urusan perundangan Negara maseh banyak menggunakan bahasa penjajah. Ini tidak termasuk gelagat pakaian yang diperagakan dimahkamah dikalangan pengamal undang-undang , tidak ada yang memberi keutamaan kepada budaya bangsa .

9. Dalam sektor pembangunan senibina dan infrastruktur.

Kebudayaan merentas segala aspek kehidupan.Termasuk bagaimana manusia melihat senibentuk yang disesuaikan dengan suasana dan iklim tempatan. Namun nampaknya senibina di tanah air semakin kering dari unsur budaya kebangsaan. Kegilaan kepada senibina moden yang sebenarnya tidak cocok dengan budaya dan nilai tempatan telah berkembang dengan pesat dalam pembangunan Negara. Nilai tersendiri dalam pembinaan bangunan hampir luput dari sebarang pertimbangan budaya.

10. Dalam pendidikan keluarga dan kemasyarakatan

Kebudayaan kebangsaan dalam kekeluargaan dan kemasyarakatan ternyata juga semakin menipis. Tabiat dan gelagat serta perangai dan tingkahlaku anggota masyasrakat kini tercemar dengan unsur keBaratan. Segala khazanah kesatunan dan ketertiban berbahasa dan beradab dalam kalangan rumahtangga dan masyarakat kini berubah kepada kebudayaan asing. Pengaruh media TV dan segala filem Barat yang masuk dalm setiap rumah keluarga Melayu telah menghakiskan tabiat budaya bangsa itu sendiri.Ini melimpah ke luar dalam interaksi masyarakat baik dalam bergaul, berbahasa, berpakaian dan berekreasi.

11. Dalam pembangunan bandar dan desa.

Pembangunan yang kini dipacu juga tidak menghiraukan semasekali keperluan memulihara Kebudayaan Bangsa. Dalam pembangunan bandar yang cuba menciplak apa yang ada di dunia maju kini mengakibatkan kesan sosial yang parah kepada masayarakat.Bukan sahaja rupa bentuk dan seni

Page 10: Di Sini Hilanglah Pandan

fizikal pembangunan kota tidak mengambilkira budaya tempatan malah seluruh warganya telah terheret dan dipaksa hidup dalam kota berwajah Barat. Demikian juga pemupusan desa yang semakin pantas menyebabkan warga desa menerima tempiasan budaya kota yang tidak terkawal. Kini fenomena pelenyapan kampung tradisional amat ketara atas nama urbanisasi yang dikatakan tidak dapat di sekat.

12. Dalam amalan kesihatan

Budaya juga sangat rapat dengan amalan kesihatan rakyat tempatan. Tatkala segala kaedah moden mengambilalih dan menyahkan segala yang bersifat tradisional maka rakyat turut menjadi mangsa kepada proses prubatan dan perawatan sebagai suatu komoditi yang amat amat mahal. Kerana asakan budaya hidup moden keBaratan terus kencang maka sistem kesihatan tradisional yang berakar dari budaya bangsa zaman berzaman dibunuh walaupun manfaatnya tidak dapat dinafikan oleh masyarakat.

13. Dalam amalan pertanian dan tanah.

Demikian juga pelbagai budaya bertani dan mengusahakan tanah kini sudah berubah sehingga menjadi sangat komersial dan berteknologi tinggi.Walupun sudah ada bukti saintifik yang menunjukkan teknik pertanian moden mempunyai kesan sampingan yang buruk bukan sahaja kepada alam sekitar malah juga kepada petani dan pengguna hasil tani namun pembangunan mengasak sistem moden ini diguna pakai tanpa mengiraukan kesannya terus memberi bekas kepada gaya dan budaya hidup bangsa.Tanah yang dahulunya adalah khazanah penyambung warisan bangsa dan tapak pembangunan tamadun umat, kini sudah berupa menjadi produk dan komoditi komersial untuk dijual beli tanpa berfikir kesan jangka panjangnya.

14. Dalam pengurusan alam sekitar

Kebudayaan bangsa yang mengajar orang Melayu untuk menghormati alam dan hidup secara lestari dengan alam kini telah berubah. Pembangunan tidak lagi mengambilkira soal nilai kudus dan hormat kepada alam sebagai amanah.Apa yang berlaku sekarang ialah pemerkosaan alam yang tidak mengenal batas. Walhasil kebudayaan bangsa yang murni itu telah lenyap dan apa yang dipertimbangkan kini hanya soal nilai komersial yang dapat dikaut keuntungan maksima darinya.

15. Dalam amalan kepenggunaan

Page 11: Di Sini Hilanglah Pandan

Budaya konsumerisme kini jelas telah mengambilalih budaya kebangsaan. Budaya membeli tanpa had dan mengguna tanpa batas adalah doktrin yang sudah menguasai kehidupan bangsa. Kecanggihan sektor pengiklanan yang semakin menguasai citarasa bangsa sudah dapat mengkondisikan hampir semua kehendak masyarakat. Apakah sesuatu produk itu tidak secocok dengan budaya tempatan, itu tidak lagi menjadi persoalan.Mengguna tanpa mengiraukan kesan budaya kerana ingin mengikut trend semasa adalah kegilaan budaya konsumerisme kini.

16. Dalam dunia politik.

Dunia politik yang kini sangat kuasa-sentrik kini telah menjadikan politik sebagai bidang perebutan yang jelek dan gersang dari budaya murni dan akhlaq.Lantaran kegilaan terhadap kuasa , budaya bangsa diketepikan akibat mahu mendapatkan kuasa untuk wang dan wang untuk kuasa. Tanah air kita kini sedang melihat jenayah politik dan permainan kuasa yang amat memualkan sehingga budaya saling hormat dan nilai kejujuran semakin menjadi asing.Yang berlaku ialah budaya wang, politik kembiri, politik cantas dan fitnah serta politik elitism yang terputus malah mengkhianati budaya tempatan.

AKHIR KALAM

Apakah DKK punyai relevan lagi? Jawapannya tergantung kepada pejuang bangsa yang seharusnya tidak lesu menengahkan kembali isu kebudayaan kebangsaan ini. Kami mempunyai harapan bahawa jika para pemikir dan para aktivis bangsa jujur dan akhlas dalam perjuangannya untuk menyelamatkan budaya bangsa , maka kita punya harapan. Jika tidak maka kita tidak harus jengkel bila berlaku tudingan generasi masa depan yang akan kesal dan kecewa terhadap kecuaian generasi sebelum mereka.