definisi kurikulum

30
Suhaiman bin Mondus B.Us. Hons (UM) M.Ed. (UMS) PENGETUA SEBAGAI PEMIMPIN KURIKULUM DAN IMPLIKASINYA TERHADAP STANDARD KUALITI PENDIDIKAN MALAYSIA 1.0 PENGENALAN Perbincangan mengenai kepimpinan pengetua terutamanya dalam kurikulum merupakan perbincangan yang menjurus kepada kepimpinan sekolah pada keseluruhannya. Peranan yang dimainkan oleh pengetua sebagai pemimpin di sekolah mendatangkan kesan iaitu samada sekolah yang dipimpinnya dikatakan sebagai "berkesan" ataupun tidak. Ukuran keberkesanan sesebuah sekolah khususnya dalam konteks pendidikan di negara kita Malaysia dinyatakan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Menurut Stoll dan Fink (1996), tidak ada persoalan lagi bahawa kepemimpinan yang berkesan ialah penentu (key determinant) dalam menggerakkan perubahan yang positif di sekolah atau dalam sistem persekolahan. Manakala menurut Mohd. Salleh Lebar (1998), Ciri-ciri pengurusan sekolah yang berjaya adalah seperti mempunyai kepimpinan pengetua yang dinamis dan berkesan, pengurusan kurikulum yang tersusun, pemantauan ataupun penyeliaan yang baik dan lain-lain lagi. Ini merupakan antara elemen-elemen yang perlu ada bagi sesebuah sekolah yang mempunyai iklim pengurusan yang dianggap sebagai berjaya. Prestasi sesebuah

Upload: suhaiman79

Post on 18-Nov-2015

71 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

Definisi Kurikulum

TRANSCRIPT

DEFINISI KURIKULUM

Suhaiman bin Mondus

B.Us. Hons (UM)

M.Ed. (UMS)

PENGETUA SEBAGAI PEMIMPIN KURIKULUM DAN IMPLIKASINYA TERHADAP STANDARD KUALITI PENDIDIKAN MALAYSIA1.0PENGENALANPerbincangan mengenai kepimpinan pengetua terutamanya dalam kurikulum merupakan perbincangan yang menjurus kepada kepimpinan sekolah pada keseluruhannya. Peranan yang dimainkan oleh pengetua sebagai pemimpin di sekolah mendatangkan kesan iaitu samada sekolah yang dipimpinnya dikatakan sebagai "berkesan" ataupun tidak. Ukuran keberkesanan sesebuah sekolah khususnya dalam konteks pendidikan di negara kita Malaysia dinyatakan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Menurut Stoll dan Fink (1996), tidak ada persoalan lagi bahawa kepemimpinan yang berkesan ialah penentu (key determinant) dalam menggerakkan perubahan yang positif di sekolah atau dalam sistem persekolahan.

Manakala menurut Mohd. Salleh Lebar (1998), Ciri-ciri pengurusan sekolah yang berjaya adalah seperti mempunyai kepimpinan pengetua yang dinamis dan berkesan, pengurusan kurikulum yang tersusun, pemantauan ataupun penyeliaan yang baik dan lain-lain lagi. Ini merupakan antara elemen-elemen yang perlu ada bagi sesebuah sekolah yang mempunyai iklim pengurusan yang dianggap sebagai berjaya. Prestasi sesebuah sekolah juga sering dikaitkan dengan prestasi pengetua yang menjadi pemimpinnya (Edmonds, 1979; Hussein Mahmood, 1993; Miller, 1982; Omardin Ashaari; 1996). Hussein Mahmood (1993) menyatakan bahawa pengetua telah dikenal pasti sebagai orang yang amat penting di sekolah dan sebagai pemboleh ubah yang penting bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu inovasi pendidikan di sekolah, termasuklah prestasi pelajar.Kajian dan penulisan terdahulu menunjukkan bahawa kepimpinan pengetua mempunyai pengaruh yang besar terhadap kualiti kejayaan sekolah, pencapaian murid dan kesanggupan guru (Ibrahim Mamat, 1998). Oleh kerana sistem pendidikan hari ini lebih menekankan kepada peningkatan prestasi dan kualiti pendidikan dalam pengurusan sekolah, maka persoalan yang timbul ialah sejauh manakah komitmen pengetua sekolah terhadap kepimpinan pengajaran dalam proses pengurusan sekolah. Para penyelidik dan ahli teori dalam bidang pendidikan menyarankan bahawa peranan penting pengetua adalah untuk menyelia serta membimbing guru lain (Hussein Mahmood, 1993).

Kepimpinan pengajaran menjadi penting kerana peranan yang dimainkan oleh pengetua dalam bidang kurikulum dan pengajaran dikatakan mempunyai hubungan dengan kejayaan sekolah. Beberapa jenis peperiksaan yang dijalankan, seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM, menjadi pengukur dan penilaian prestasi pencapaian akademik para pelajar di sesebuah sekolah. Pencapaian dalam peperiksaan ini memberi gambaran dan secara tidak langsung sebagai petunjuk kualiti pendidikan di sekolah dan kualiti kepimpinan pengurusan sekolah. Hussein Mahmood (1993) turut mengakui bahawa keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan, disamping mewujudkan rasa kepuasan bekerja guru dalam sesebuah sekolah sehingga mendapat kepercayaan masyarakat.2.0DEFINISI KURIKULUM

Kurikulum merupakan skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. Lazimnya ia ditentukan oleh Kementerian Pendidikan negara masing-masing, tetapi guru juga memainkan peranan dalam menentukan kurikulum mata pelajaran yang diajarnya. (Wikipedia Ensiklopedia Bebas).

NTNC (2002) mendefinisikan kurikulum sebagai; suatu program kursus yang diambil bagi mendapatkan sesuatu sijil atau bagi memenuhi objektif tertentu. Wojtczak (2002) pula mendefinisikan kurikulum sebagai; suatu rancangan pendidikan yang diwartakan dan matlamat serta objektifnya perlu dicapai. Topik kurikulum perlu dibukukan dan kaedahnya perlu digunakan dalam pembelajaran, pengajaran dan penilaian.

Manakala Coles (2003), mengatakan bahawa kurikulum adalah lebih luas daripada itu. Kurikulum adalah lebih daripada senarai topik yang dibukukan dalam program pendidikan seperti yang biasa dikatakan sebagai 'silibus'. Pertamanya ialah, kurikulum adalah pernyataan dasar tentang sebahagian daripada pendidikan, dan kedua ialah, sebagai petunjuk untuk merealisasikan dasar pendidikan melalui tindakan-tindakan dalam bentuk program. Secara ringkas, Coles (2003) mengatakan bahawa kurikulum adalah segala aktiviti, pengalaman dan peluang pendidikan bagi sesebuah institusi atau guru yang mengambil tanggungjawab untuk menyampaikannya atau tidak.

Kurikulum juga ditakrifkan dengan takrifan yang pelbagai oleh para sarjana dalam bidang pendidikan. Tyler (1949) menyatakan, kurikulum adalah alat berfungsi untuk pendidikan. Manakala Taba (1962) pula mengatakan bahawa kurikulum adalah suatu pelan bagi pembelajaran. Menurut Marsh & Willis (1995), kurikulum adalah suatu set pelan dan pengalaman yang salingkait untuk kewajipan seseorang pelajar di bawah bimbingan di sekolah. Stenhouse (1975) pula menyatakan, kurikulum adalah suatu bentuk spesifikasi mengenai amalan pengajaran. Menurut Tanner & Tanner (1975), kurikulum adalah pengalaman pembelajaran dan hasil pembelajaran yang dirancang dan dibimbing. Pratt (1980) pula menyatakan bahawa kurikulum adalah suatu set hasrat tujuan formal pendidikan atau latihan yang tersusun.

Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1979 mentakrifkan kurikulum sebagai; Sesuatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan dan kemahiran, nilai dan norma, unsur-unsur budaya dan kepercayaan yang terpilih untuk diwariskan kepada ahli-ahli masyarakat.Manakala Akta Pendidikan 1996 mencatatkan definisi Kurikulum Kebangsaan sebagai;

... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.

Melalui perbincangan mengenai definisi kurikulum menjelaskan bahawa kurikulum merupakan aspek penting yang merangkumi keseluruhan program pendidikan yang bertujuan membantu perkembangan manusia dari segi intelek dan fizikal seterusnya membentuk sahsiah dan moral yang tinggi sepertimana yang terkandung dalam kurikulum yang ingin disampaikan.3.0KEPIMPINAN KURIKULUM

Aspek "kepimpinan" dan "kurikulum" telah tersebar luas dan diperjelaskan dengan pelbagai tafsiran di kalangan ahli akademik. Rajah 3.1 menunjukkan kewajipan utama pendidik ialah murid mereka dan pelajaran yang mereka sampaikan. Oleh itu, pendidik perlu memikirkan tentang perspektif kecil dari kurikulum dan ini dapat dilihat dari segi pembelajaran murid dalam bilik darjah (Stacey dan Norman, 2006).

Rajah 3.1 : Fokus kurikulum dari sudut guru dalam bilik darjah

Sumber : Stacey dan Norman, (2006)

Dalam kata lain, pengetua bertanggungjawab untuk mengatur keseluruhan aktiviti di sekolah dan berurusan dengan masyarakat tempatan. Pengetua juga mestilah memberi andaian yang luas mengenai perspektif "macro". Pengetua perlu melihat kurikulum bukan sahaja sebagai koleksi mata pelajaran, tetapi melihatnya sebagai satu set pengalaman keseluruhan para murid di dalam sekolah. Seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.2, pengetua mestilah memiliki kefahaman bukan sahaja mengenai apa yang berlaku terhadap murid di dalam bilik darjah tetapi juga mengenai hubungan murid dengan guru, murid dengan murid dan juga segala yang terkandung dalam persekolahan. Pengetua yang membangunkan dan memahami hubungan yang kompleks ini adalah seorang yang terbaik dan mampu untuk berfungsi secara berkesan sebagai pemimpin kurikulum (Stacey dan Norman, 2006). Rajah 3.2 : Fokus kurikulum dari sudut pengetua

Sumber : Stacey dan Norman, (2006)Idea mengenai kepimpinan pengetua dan guru serta pemikiran mereka tentang kurikulum adalah sama, oleh kerana asas pengalaman mereka yang berbeza. Kebanyakan pengetua pernah menjadi guru tetapi kebanyakan guru tidak pernah menjadi pengetua. Oleh itu, hal ini menyebabkan berlakunya kekurangan perkongsian persefahaman dalam hal-hal pentadbiran. Keadaan ini kadangkala menimbulkan pendapat yang bertentangan. Guru mengatakan pengetua sebagai "telah lupa tentang bagaimana berada di dalam bilik darjah". Manakala pengetua pula mengatakan bahawa guru tidak memahami kehendak pentadbir yang terpaksa mempertimbangkan keperluan semua pihak samada murid, guru, ibubapa dan kakitangan bawahan di dalam komuniti sekolah. (Stacey dan Norman, 2006). 4.0PENGETUA SEBAGAI PEMIMPIN KURIKULUM

Menurut Stacey dan Norman (2006), dalam dekad yang lepas, para pendidik samada guru atau pihak pentadbir telah menerima tekanan daripada pihak ibubapa, sektor swasta dan ahli-ahli politik supaya bertanggungjawab terhadap "bottom line". "Bottom line" yang dimaksudkan ialah pembelajaran murid. Pada masa kini pula, para pendidik sangat diharapkan untuk membentuk sebuah sekolah yang mampu menghasilkan murid-murid yang cemerlang dan dalam masa yang sama mengurangkan pembiayaan persekolahan, meningkatkan sumber pembelajaran dan juga mempercepatkan perubahan sosial dari segi peningkatan ilmu pengetahuan.Justeru, pengetua perlu memikul tanggungjawab yang besar ini dalam menjalankan tugas memimpin sekolah secara berkesan ke arah menyempurnakan matlamat pendidikan. Erlandson, & Witters-Churchill (1990) telah menjalankan kajian yang hebat dalam bidang pentadbiran pendidikan. Mereka kemudiannya menyatakan bahawa, pengetua yang berjaya mestilah;

1.Memahami dan melaksanakan program pendidikan / pembangunan kurikulum.

2.Memahami dinamika bilik darjah dan mengenalpasti serta mengaplikasi strategi-strategi pengajaran yang berkesan.3.Menjalankan kegiatan-kegiatan di sekolah dengan berkesan dan efisyen.

4.Mengatur promosi serta perjumpaan dengan individu-individu profesional yang ramai.

5.Menguasai dan mengkoordinasi perkhidmatan-perkhidmatan tambahan yang dapat menyokong pembelajaran.

7.Melaksanakan program-program sosial dan pembangunan dalam aspek rohani di samping program-program akademik.8.Memahami bidang tugas dan bekerja secara berkesan sesuai dengan tanggungjawab yang diberikan serta mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang.Erlandson, & Witters-Churchill (1990) turut mencadangkan bahawa fokus kepengetuaan dan pembangunan sekolah dalam suku terakhir abad ke 20 telah beralih kepada keperluan pengetua untuk menguasai kompetensi yang berkait dengan kurikulum dan pengajaran. Implikasinya ialah pengetua mestilah;1.Memahami pelbagai aspek pembangunan kurikulum pelaksanaannya.

2.Mendapat maklumat mengenai gaya pengajaran terkini3.Memahami hubungan di antara kurikulum dan tugasan.

4.Mengetahui cara untuk menyediakan pembangunan staf yang bersesuaian bagi menyokong tenaga pengajar dalam melaksanakan kurikulum dan perubahan teknik pengajaran.

5.Berkemampuan untuk menyediakan sumber-sumber yang mencukupi kepada guru bagi melaksanakan kurikulum.6.Berkemampuan untuk memberikan kerjasama dalam kesemua aktiviti dan juga memahami bahawa aktiviti yang dipersetujui tersebut akhirnya membawa kepada peningkatan pembelajaran murid.

Murphy, J. (1990) dalam kajiannya mendapati, ketika ramai di kalangan pengetua yang percaya bahawa mereka perlu meluangkan lebih masa untuk menghadiri "technical core" berkaitan kurikulum dan pengajaran, mereka pula telah meluangkan lebih masa untuk menghadiri perbincangan isu-isu yang berkaitan dengan pengoperasian, pengurusan dan perhubungan awam. Murphy (1990) juga mengatakan, sebahagian daripada alasan pengetua akibat tidak mampu bertindak secara berkesan sebagai pemimpin kurikulum dan pemimpin pengajaran adalah kerana persepsi guru berkaitan dengan peranan dan kapasiti mereka. 5.0PENGETAHUAN MENGENAI KANDUNGAN DAN PROSES KURIKULUMPakar-pakar dalam bidang kurikulum secara umumnya telah mengenalpasti 5 konsep kurikulum yang wujud di kebanyakan sekolah. Konsep yang dimaksudkan tersebut ialah (Stacey dan Norman, 2006);

1.Kurikulum rasmi yang telah didokumentasikan.

2.Pengendalian kurikulum yang dilaksanakan di dalam bilik darjah.3.Kurikulum tersembunyi iaitu termasuklah norma-norma yang tidak termaktub dan jangkaan-jangkaan pihak sekolah dari sudut sosial dan akademik.

4.Kurikulum yang tidak diterima yang terkandung dalam subjek-subjek pengajaran dan secara sedar dihilangkan dari kurikulum rasmi sekolah atau dari pengendalian kurikulum.

5.Ko-kurikulum iaitu termasuk semua pengalaman yang melibatkan murid dan guru samada sebelum, semasa dan selepas hari biasa persekolahan.

Pengetua boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan dan menginterpretasi keseluruhan bidang kurikulum tersebut. Walaubagaimanapun, pengetua perlu mempunyai asas pengetahuan tentang kurikulum dan teori-teori pembelajaran. Memahami dengan jelas tentang budaya sekolah dan kemampuan untuk mengasaskan suatu hubungan kerja yang kukuh dengan guru juga merupakan perkara terpenting bagi seseorang pengetua. 6.0PENGETUA DAN KURIKULUM RASMI

Sekolah berkesan merupakan sekolah yang menunjukkan kekuatan dalam bidang akademik, menghasilkan murid-murid yang berprestasi tinggi serta memiliki pengetua yang memainkan peranan dengan baik dan cemerlang. Sekolah seperti yang disebutkan itu berjaya mengasaskan suatu kelaziman bekerja bersama guru bagi menguji kurikulum pada setiap peringkat dan kandungan dan seterusnya mengenalpasti kekuatan kurikulum tersebut serta mengenalpasti bidang-bidang yang perlu ditingkatkan. Inilah sekolah yang mampu mengenalpasti dengan jelas perspektif-perspektif teori dalam pengajaran dan pembelajaran serta membuat pilihan dengan tepat material-material dan metodologi pengajaran yang patut digunakan (Stacey dan Norman, 2006).

Posner (1995) telah mengenalpasti 5 perspektif teori dalam kurikulum, iaitu;

1.Teori Tradisional, iaitu memfokuskan aspek-aspek penting warisan budaya yang perlu dipelihara.2.Teori Experiantal, iaitu tumpuan terhadap pengalaman yang membawa kepada pertumbuhan sihat seseorang individu.3.Teori struktur disiplin, iaitu menguji struktur disiplin ilmu sebagaimana yang difahami dan digunakan dalam dunia sebenar.

4.Teori Behavior, iaitu menyelidiki apa yang mampu dilakukan oleh murid dalam menyempurnakan kurikulum.

5.Teori kognitif, iaitu mengkaji bagaimana manusia boleh belajar untuk berfikir dengan lebih produktif dan kreatif.

Terdapat pengamal-pengamal kurikulum moden yang menumpukan satu daripada perspektif yang dinyatakan. Kebanyakannya menggabungkan beberapa perspektif tersebut, berdasarkan kepada misi dan visi sekolah, harapan komuniti setempat, peringkat kebolehan murid dan juga bidang pelajaran yang diajar kepada murid. Masalah mungkin timbul, walau bagaimanapun ia hanya berlaku jika wujud konflik di kalangan guru, atau material pengajaran yang tidak menyokong perspektif tersebut (Stacey dan Norman, 2006). 7.0PENGETUA DAN PENGENDALIAN KURIKULUM

Dalam menyediakan diri untuk menjadi pemimpin kurikulum pada peringkat pengendalian, pengetua haruslah bekerja secara akrab dengan guru. Pengetua yang memiliki sifat sebegini akan lebih menyerlah di sekolah. Mereka mengamalkan dasar pintu terbuka, mendapat maklumbalas yang baik daripada pihak ibubapa, guru, pelajar dan ahli masyarakat (Stacey dan Norman, 2006).

Kita dapat mengatakan bahawa kurikulum sekolah adalah terhasil pada peringkat pengendaliannya kerana ia diandaikan diajar kepada murid pada peringkat tersebut. Pengendalian kurikulum juga adalah merupakan pengajaran kurikulum rasmi di dalam bilik darjah. Jika pengendalian kurikulum dan kurikulum rasmi berjalan dengan baik dan dilaksanakan dengan sebenar-benarnya oleh guru di dalam kelas, maka sekolah akan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang baik. Sebaliknya, jika terdapat ruang yang muncul di antara kurikulum rasmi dan pengendaliannya, maka ini menunjukkan isyarat bahawa terdapat masalah yang berlaku di sekolah yang akan mengakibatkan kemerosotan terhadap prestasi pelajar.

Pertentangan yang wujud di antara kurikulum rasmi dan pengendaliannya mungkin disebabkan oleh pelbagai punca. Guru mungkin tidak bersetuju dengan cadangan kurikulum rasmi tersebut dan membiarkannya. Mungkin guru tidak ada ruang yang cukup ataupun bahan pengajaran untuk menyampaikan silibus pelajaran dengan betul. Ia juga mungkin disebabkan oleh kebolehan guru yang tidak memahami dengan jelas tentang cara untuk melaksanakannya, atau juga mungkin disebabkan oleh guru yang terpaksa mengajar bidang yang diluar bidangnya dan tidak mahir untuk mengajar secara berkesan (Stacey dan Norman, 2006).

Pengetua mestilah memberikan sokongan kepada guru pada peringkat pengendalian kurikulum. Ini kerana pada peringkat ini adalah keadaan di mana pengajaran sebenarnya berlaku. Hal ini adalah penting dari sudut perubahan kurikulum. Apabila kurikulum berubah, guru mungkin merungut atau berasa kurang selesa dengan perubahan tersebut dengan memberikan pelbagai alasan. Dalam hal ini, pengetua perlu memberikan sokongan padu dan memimpin guru untuk memastikan guru bukan sahaja memahami perubahan tersebut tetapi juga berasa selesa dengannya (Stacey dan Norman, 2006).Kajian mengenai pelaksanaan kurikulum oleh guru di peringkat sekolah menengah mencadangkan empat langkah yang perlu dilakukan dalam proses membuat perubahan. Setiap langkah tersebut adalah kritikal jika inovasi berjaya dilakukan. Kegagalan pada satu daripada 3 langkah pertama dapat menghalang keseluruhan pelaksanaannya. Langkah-langkah tersebut, ciri-cirinya dan juga bidang yang perlu diberi tumpuan oleh pengetua adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 7.1 berikut;Jadual 7.1 : Langkah-langkah Perubahan KurikulumLangkah-langkah dan

ciri-cirinya Fokus Pengetua

Langkah 1Kesedaran awal:Guru akan menyedari perubahan kurikulum atau inovasi melalui aktiviti pendidikan dan aktiviti pembangunan kakitangan. Memberi komitmen dari segi masa dan perbelanjaan untuk pembangunan kakitangan Peringkat persediaan semasa guru Persepsi guru mengenai untung rugi menyertai perubahan Menyediakan contoh pembangunan kakitangan

Langkah 2Peringkat munculnya tanda-tanda keselesaan:penyertaan guru dan kakitangan dalam aktiviti pembangunan staf bermula dengan kolaborasi bersama guru-guru lain dan berasa selesa dengan teknik perubahan dan aspek-aspek pedagogi. Memberikan sokongan berterusan kepada guru. Memberikan peluang kepada guru untuk berlatih dalam bentuk risiko rendah Menggalakkan kerjasama di kalangan guru Melibatkan ibubapa pelajar dalam proses perubahan

Langkah 3Tersebarnya penerimaan :kerjasama guru dan keselesaan guru dengan kurikulum akan menambahkan bilangan guru untuk mengubah amalan mereka. Peningkatan bilangan guru untuk mengubah amalan mereka Peringkat kerjasama di kalangan staf Guru akan mula mencadangkan ubahsuaian terhadap kurikulum

Langkah 4Pelaksanaan keseluruhan kurikulum:perubahan kurikulum diterima sepenuhnya dan diinstitusikan dalam organisasi. Ia menjadi bersepadu dengan bidang kurikulum lain dan perubahannya adalah sangat bermakna. Perubahan menjadi bersepadu merentasi peringkat gred atau bidang subjek

Guru mula menilai impak perubahan tersebut Prosedur penilaian menjadi lebih standard Pelaksanaan ubahsuaian penilaian

Sumber : Stacey dan Norman (2006)8.0STANDARD KUALITI PENDIDIKAN MALAYSIAPada awal tahun 2001, Jemaah Nazir Sekolah (JNS) telah memperkenalkan suatu mekanisme untuk memastikan kualiti pendidikan di institusi pendidikan meningkat secara berterusan ke tahap yang tinggi. Mekanisme tersebut dinamakan Sistem Pemastian Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (SPPSTKP). SPPSTKP dibina berasaskan kehendak sub seksyen 117(a) Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan Ketua Nazir Sekolah tanggungjawab memastikan suatu standard pengajaran yang memuaskan diwujudkan (is developed) dan dikekalkan (and maintained) di institusi pendidikan (Jemaah Nazir Sekolah, 2004). Bagi membantu sekolah dan institusi pendidikan melaksanakan SPPSTKP, sebanyak tujuh dokumen telah diterbitkan dan diedarkan ke semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seperti berikut (Jemaah Nazir Sekolah, 2004):

a) Pernyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan;

b) Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP);

c)Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (PKSBSTKP);

d) Lembaran Kerja PKSBSTKP;

e)Instrumen Pemeriksaan Peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (IPPSTKP);

f)Instalasi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan dan Pelaksanaan Audit Kualiti Dalaman;dan

g)Instalasi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan dan Pelaksanaan Audit Kualiti Dalaman (Versi Yang Dipermudahkan).

8.1Elemen Kepimpinan Dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

Terdapat pelbagai elemen yang terkandung dalam SKPM. Namun, fokus perbincangan yang berkaitan dengan tajuk kertas kerja ini adalah mengenai kepimpinan. Beberapa sub topik dijelaskan dalam elemen kepimpinan SKPM. Ia termasuklah (Jemaah Nazir Sekolah, 2004);8.1.1Guru Besar / Pengetua hendaklah menerajui dan menggerakkan seluruh warga sekolah ke arah pencapaian visi dan misi sekolah dengan cara:

(a) menetapkan dasar sekolah secara jelas dan selari dengan visi dan misi;

(b) mengamalkan gaya kepimpinan yang sesuai mengikut situasi (misalnya dengan mengambil kira latar belakang warga sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat);

(c) membina kumpulan kerja yang mantap dan dapat bekerja secara sepasukan dengan semangat kekitaan; dan

(d) mengenal pasti punca, mencegah dan menyelesaikan konflik.

8.1.2Guru Besar / Pengetua hendaklah mewujudkan sistem komunikasi yang berkesan dengan:

(a) mewujudkan suasana interaksi yang mesra;

(b) memberi peluang kepada warga sekolah untuk mengemukakan pendapat;

(c) merangsang percambahan fikiran di kalangan warga sekolah; (d) membuat sesuatu keputusan secara kolektif dan kolaboratif.

8.1.3Guru Besar / Pengetua hendaklah memberikan motivasi dan dorongan yang dapat membina dan membangunkan keyakinan serta daya maju warga sekolah secara berterusan dengan cara:

(a) memberi sokongan moral dan material;

(b) menghargai setiap sumbangan dan kejayaan;

(c)membuat penilaian secara adil; (d) prihatin dengan masalah dan kebajikan warga sekolah;

(e) memberi insentif dan ganjaran yang sesuai; dan

(f) memberi teguran membina.

8.1.4 Guru Besar/Pengetua hendaklah memainkan peranan yang berkesan sebagai pemimpin kurikulum (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001) dengan:

(a) mengajar sejumlah waktu mengikut Surat Pekeliling [Surat Pekelililing Pentadbiran 3/67 (Pind. 82)] yang sedang berkuat kuasa;

(b) menjalankan penyeliaan pengajaran dan pembelajaran;

(c) memberi bimbingan kepada guru-guru untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran;

(d) menggerakkan dan memantau perjalanan Jawatankuasa Kurikulum, Jawatankuasa Kokurikulum, dan jawatankuasajawatankuasa lain yang berkaitan dengannya; (e) memantau kemajuan murid dalam pembelajaran.

8.1.5Guru Besar / Pengetua hendaklah mengupayakan Guru Penolong Kanan, Guru Kanan Mata Pelajaran (Ketua Bidang), dan Ketua Panitia untuk membangunkan diri menjadi pemimpin yang berkesan dengan:

(a) memberi panduan yang jelas tentang sesuatu bidang tugas yang diupayakan;

(b) melatih dan memberi kepimpinan;

(c) menurunkan kuasa untuk membuat keputusan-keputusan dan mengambil tindakan tertakluk kepada bidang kuasa masing-masing;

(d) memantau dan menilai pelaksanaan tugas-tugas yang dilaksanakan; (e) memberi bimbingan dan nasihat untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan.

9.0IMPLIKASI KEPIMPINAN KURIKULUM TERHADAP STANDARD KUALITI PENDIDIKAN MALAYSIAPencapaian standard kualiti pendidikan sesebuah sekolah ditaksir dan diukur dengan menggunakan Instrumen Pemastian Standard (IPS) yang digubal oleh Jemaah Nazir Sekolah. JNS akan menggunakan Instrumen ini semasa melaksanakan tugas penaziran. Hasilnya dinamakan keputusan pemeriksaan. IPS ini dibina dengan mengelompokkan elemen-elemen SKPM kepada empat dimensi iaitu (Jemaah Nazir Sekolah, 2004): a. Dimensi 1 : Hala tuju Kepimpinan Sekolah Elemen 1 : Visi dan misi

Elemen 2 : Kepimpinan

b. Dimensi 2 : Pengurusan Organisasi Elemen 3 : Struktur Organisasi

Elemen 4 : Perancangan

Elemen 5 : Iklim

Elemen 6 : Pengurusan dan Pembangunan Sumber

Elemen 7 : Pengurusan Maklumat

c. Dimensi 3 : Pengurusan Program Pendidikan Elemen 8 : Pengurusan Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid

Elemen 9 : Pengajaran dan Pembelajaran

Elemen 10 : Pembentukan Sahsiah Murid

Elemen 11 : Penilaian Pencapaian Murid

d. Dimensi 4 : Kemenjadian Murid Elemen 12 : Kemenjadian Murid Dalam Kurikukum, Kokurikulum dan Sahsiah

Daripada keempat-empat dimensi yang terkandung dalam Instrumen Pemastian Standard bagi SKPM tersebut, jelas menunjukkan bahawa kepimpinan pengetua dalam kurikulum memberikan impak yang sangat besar terhadap penilaian Kementerian Pelajaran Malaysia kepada sesebuah sekolah.

Dalam dimensi pertama IPS, visi dan misi serta kepimpinan sekolah menjadi ukuran bagi menentukan kualiti pendidikan sesebuah sekolah. Dimensi kedua pula memerlukan pemimpin yang berkebolehan dalam bidang pengurusan sekolah. Bagi dimensi ketiga, pengurusan program pendidikan termasuk juga kepimpinan kurikulum dinilai bagi menentukan standard sekolah. Manakala dimensi keempat iaitu mengenai kemenjadian murid adalah difokuskan kepada prestasi murid dalam kurikulum dan ko-kurikulum.

Secara umum, keempat-empat dimensi yang digariskan berkait rapat dengan kepimpinan pengetua dalam kurikulum. Ini kerana kepimpinan kurikulum yang berkesan dapat menzahirkan hala tuju kepimpinan sekolah, pengurusan organisasi yang teratur, pengurusan program pendidikan yang kemas dan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang ko-kurikulum.Justeru, Y.Bhg Tan Sri Datuk Dr Zulkurnain bin Hj Awang, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia mencadangkan supaya pemilihan pemimpin sekolah dibuat berdasarkan satu kontinium mengikut penarafan status sekolah yang ditetapkan oleh Pihak Jemaah Nazir sekolah berdasarkan instrumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM ) iaitu (Institut Aminuddin Baki, 2007): Jadual 9.1 : Penarafan Status SekolahPERATUS TAHAP TARAF SEKOLAH

90% 100% 7 Sekolah Gemilang

80% - 89% 6 Sekolah Cemerlang

70% - 79% 5 Sekolah Harapan

50% - 69% 4 Sekolah Sederhana

35% - 49% 3 Sekolah Lemah

25% - 34% 2 Sekolah Lemah

0% - 24% 1 Sekolah Lemah

Sumber : Institut Aminuddin Baki (2007)

Dalam jadual 9.1 di atas, taraf Sekolah Gemilang ialah sekolah yang mendapat 90% hingga 100% markah dalam IPS dan dikategorikan pada tahap teratas iaitu tahap 7. Taraf Sekolah Cemerlang ialah sekolah yang mendapat markah penilaian sebanyak 80% hingga 89% dan berada pada tahap 6. Manakala, Sekolah Harapan ialah sekolah yang mendapat markah penilaian sebanyak 70% hingga 79% dan berada pada tahap 5. Manakala tahap 4 pula ialah sekolah yang mendapat markah penilaian sebanyak 50% hingga 69% dan diberi taraf Sekolah Sederhana. Sekolah Lemah pula adalah sekolah tahap 3 iaitu mendapat markah 35% hingga 49%, sekolah tahap 2 iaitu mendapat markah 25% hingga 34% dan sekolah tahap 1 iaitu sekolah yang mendapat markah penilaian sebanyak 0% hingga 24%.10.0KESIMPULANKepimpinan pengetua mempunyai pengaruh yang besar terhadap kualiti kejayaan sekolah, pencapaian murid dan kesanggupan guru (Ibrahim Mamat, 1998). Oleh kerana sistem pendidikan hari ini lebih menekankan kepada peningkatan prestasi dan kualiti pendidikan dalam pengurusan sekolah, maka persoalan yang timbul ialah sejauh manakah komitmen pengetua sekolah terhadap kepimpinan pengajaran dalam proses pengurusan sekolah. Para penyelidik dan ahli teori dalam bidang pendidikan menyarankan bahawa peranan penting pengetua adalah untuk menyelia serta membimbing guru lain (Hussein Mahmood, 1993). Pengetua memainkan peranan sebagai pemerhati, penyelaras, pembimbing dan sebagai resource person. Pengetua yang berkesan sentiasa mengambil bahagian dalam membuat keputusan tentang pengajaran dan bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut, termasuklah faedah mengajar, bahan pengajaran dan prosedur penilaian (Sweeney, 1982). Kesemua peranan ini merupakan ciri-ciri utama kepimpinan pengajaran. Pengkaji dan penulis tentang sekolah berkesan melabelkan peranan pengetua yang dikelaskan sebagai sekolah berkesan atau berjaya sebagai pemimpin pengajaran (DeBevoise, 1984; Hallinger & Murphy, 1983). Kepimpinan pengajaran menjadi penting kerana peranan yang dimainkan oleh pengetua dalam bidang kurikulum dan pengajaran dikatakan mempunyai hubungan dengan kejayaan sekolah.BIBLIOGRAFI

Coles, C., (2003), The development of a curriculum for spinal surgeons, Observations following the Second Spine Course of the Spinal Society of EuropeBarcelona 16th 19th September 2003, http://www.eurospine.org/Teachers%20Course/C_Coles_report_03.html

DeBevoise, W. D. (1984). Synthesis of research on the principal as instructional leader. Educational Leadership, 41(5), 14-20.Edmonds, R. (1979). Effective schools for the urban poor. Educational Leadership, 37(1), 15-24.Erlandson, D. A. & Witters-Churchill, L. J. (1990). Advances in the principalship: Performance and reflection. In Thurston, P. W. & Lotto, L. S. (Eds.) Advances in educational administration, Volume 1, (Part B): Changing perspectives on the school. (pp. 121-162). Greenwich, Connecticut: JAI Press, Inc.Hallinger, P., & Murphy, J. (1983). Instructional leadership and school socio economic status: A preliminary investigation. Administrators Notebook, 3(5), 1-4.Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan keberkesanan sekolah. Kuala Lumpur: DBP.IbrahimMamat (1998). Pengetua sekolah menangani isu dan cabaran kepimpinan. Kuala Lumpur: Budiman.Institut Aminuddin Baki (2007), Pengenalan Program Kepimpinan dan Pengurusan Sekolah Bimbingan Perunding Kanan. Artikel yang tidak diterbitkan.Jemaah Nazir Sekolah (2004), Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Sekolah, Pernyataan Standard (SKPM 1) Edisi Disember 2004 , Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001), Pembangunan Pendidikan 2001-2020, Kuala Lumpur: AG Grafik Sdn. Bhd.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pendidikan Kebangsaan 1979.

Marsh, C., & Willis, M. (1995). Curriculum: Alternative approaches, ongoing issues, Englewood Cliff, NJ. : Prentice-Hall.Miller, S. K. (1982). School learning climate improvement: A case study. Educational Leadership, 40(3), 36-37.Mohd Salleh Lebar (1998). Pengenalan Ringkas, Sosiologi Sekolah dan Pendidikan. Batu Caves: Thinkers Library Sdn Bhd.Murphy, J. (1990). Principal instructional leadership. In Thurston, P. W. & Lotto, L. S. (Eds.) Advances in educational administration, Volume 1, (Part B): Changing perspectives on the school. (pp. 163-200). Greenwich, Connecticut: JAI Press, Inc.Northeast Texas Network Consortium (NTNC), (2002), Distance Learning College Glossary. http://www.netnet.org/students/student%20glossary.htmOmardin Ashaari (1996). Pengurusan sekolah. Kuala Lumpur: Cergas.Peraturan-Peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997Posner, G. (1995). Analyzing the curriculum. New York: McGraw-Hill, Inc.Pratt, D.(1980): Curriculum: Design and Development. New York: Harcourt Brace.Stacey Marlow dan Norman Minehira (2006), Principals as Curriculum Leaders: New Perspectives for the 21st Century, Pacific Resources for Education and Learning, dimuat turun dari www.prel.org Stenhouse, L. (1975) An Introduction to Curriculum Research and Development, London, Heinemann.Stoll, L dan Fink, D. (1996), Changing our schools: Linking School EffectivenessAnd School Improvement, Buckingham, Open University Press. Surat Pekelililing Pentadbiran 3/67 (Pind. 82).Sweeney, J. (1982). Research synthesis on effective school leadership. Educational Leadership, 39(5), 346-352.Taba (1962), Curriculum Development, Theory and Practice. New York: Harcourt BraceTanner, D, & Tanner, L. (1975). Curriculum development: Theory into practice. New York: Macmillan PublishingTyler (1949), Basic Principles of Curriculum and Instruction. Chicago: University of Chicago Press.Wikipedia Ensiklopedia Bebas, http://ms.wikipedia.org/wiki/KurikulumWojtczak, A., (2002), Glossary of Medical Education Terms, http://www.iime.org/glossary.htm, December, 2000, Revised February 2002.