bab 2 mmt pearson

Upload: ku-rushidi-ku-ahmad

Post on 09-Jul-2015

259 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

TAJUK 2 MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL Rohani Hj. Ab Ghani Pengenalan Masyarakat secara umumnya boleh ditafsirkan sebagai sekumpulan manusia yang hidup dalam satu kelompok, saling berinteraksi dan mengamalkan nilai hidup yang sama. Dalam disiplin sosiologi, takrifan mengenai masyarakat adalah luas dan pelbagai. Terdapat pandangan mengenai maksud masyarakat yang merujuk kepada kumpulan manusia yang hidup bersama dan menggunakan satu sistem peraturan yang seragam bagi mencapai matlamat yang sama (Ismail, 2003). Para ahli antropologi sosial pula selalunya merujuk masyarakat pada kumpulan manusia yang buta huruf, menghasilkan pengeluaran sendiri, mempunyai adat istiadat, mempunyai tempat tinggal khusus dan mempertahankan peraturan sosial. Manakala Koentjaraningrat (1970), berpandangan bahawa masyarakat adalah sebuah kesatuan hidup makhluk-makhluk manusia yang terikat oleh satu sistem adat-istiadat yang tertentu. Sementara itu istilah Melayu dari segi bangsa pula merujuk kepada satu kelompok masyarakat yang mewarisi kumpulan manusia pertama yang wujud di negara ini. Terdapat pelbagai pandangan mengenai asal kewujudan masyarakat di Malaysia. Setengah pengkaji berpendapat bahawa kumpulan manusia pertama yang menetap di negara ini dikenali sebagai bangsa Yunan. Mereka dikatakan mengembara melalui jalan laut menerusi Formosa, Filipina dan Indonesia. Walau bagaimanapun terdapat kemungkinan mereka melalui jalan darat dengan merentasi Vietnam, Kemboja dan Siam untuk sampai ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya merebak ke Filipina, Indonesia dan gugusan kepulauan lain di Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak persamaan antara tamadun awal manusia di Malaysia dengan beberapa kawasan di Tanah Besar Asia Tenggara dan Indonesia. Namun begitu kajian mutakhir di Malaysia mendapati bahawa masyarakat pertama yang mendiami negara ini merupakan penduduk asal dan bukan merupakan kumpulan penghijrah dari kawasan luar. Pandangan ini berasaskan kepada penemuan kajian arkeologi yang dijalankan oleh sekumpulan pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam eskavasi pada lebih 100 buah tapak di seluruh Malaysia. Hasil kajian itu didedahkan Ketua Penyelidik Arkeologi UKM, Profesor Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman semasa membentang kertas kerjanya bertajuk 38 Tahun Arkeologi di UKM pada Seminar Penanda Aras Penyelidikan Arkeologi di Bangi yang berakhir kelmarin (Utusan Malaysia, 14 Julai 2010). Kajian menunjukkan bahawa penduduk asal di Malaysia telah wujud lebih dari 40 ribu tahun dahulu. Pandangan ini menolak teori-teori sebelum ini termasuk teori yang menyatakan bahawa manusia yang berhijrah ke negara ini merupakan mereka yang datang dari utara Tanah Besar Asia Tenggara.

1

Sementara itu istilah tradisi pula sering berkaitkan dengan pelbagai perkara seperti sesuatu yang bersifat asal, lama, teradat, diamalkan sejak turun temurun dan lain-lain. Manakala masyarakat tradisi pula merupakan masyarakat atau kelompok manusia yang hidup dalam nilai-nilai lama dan kehidupan mereka sangat terikat dengan budaya dan adat resam setempat. Walaupun pengertian masyarakat tradisi dikaitkan dengan kehidupan masyarakat yang terpinggir, pencapaian teknologi yang rendah dan terdiri dari kumpulan manusia yang menghuni kawasan-kawasan tanah tinggi sebagaimana yang dinyatakan oleh Marshall (1998), namun dalam konteks masyarakat Melayu tradisi, ketradisionalan yang menjadi ciri utama mereka bukan membawa konotasi keciciran, mundur dan tidak bertamadun. Sebaliknya masyarakat pada zaman tersebut merupakan kelompok yang telah mempunyai sistem politik, ekonomi dan sosial yang lengkap dan boleh dicirikan sebagai telah maju dalam ertikata pencapaian masyarakat pada zaman tersebut. Faktor sejarah dan kebolehan mengadaptasikan diri dengan perubahan telah menyebabkan bangsa Melayu berjaya membentuk tamadun Melayu berbanding dengan kumpulan lain (A. Aziz, 1994). Perkara yang membezakan antara masyarakat Melayu tradisional dengan masyarakat selepasnya ialah cara hidup dan nilai-nilai yang diamalkan oleh mereka merupakan cara hidup dan nilai yang murni, indah dan tersendiri dan ia merupakan gambaran utama kepada akal budi orang Melayu. Contohnya amalan hidup masyarakat yang berlatar belakangkan sikap berkerjasama, tolong menolong, gotong royong. Manakala sifat individu yang tulus, sopan santun, hormat menghormati dan sebagainya. Pendek kata, amalan hidup masyarakat Melayu tradisi adalah dilingkungi oleh adat-adat Melayu yang berteraskan kepada kesopanan dan kesusilaan dalam semua urusan kehidupan. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu tradisi juga begitu mementingkan prinsip hidup, kebenaran, berpegang kepada janji dan harga diri.Nilai dan amalan kehidupan masyarakat Melayu tradisional digambarkan dalam pantun-pantun dan puisi-puisi Melayu lama Keadaan ini berbeza dengan cara hidup dan amalan masyarakat Melayu kini yang lebih terbuka kepada pengaruh barat yang disifatkan sebagai moden dan ia sebenarnya tidak mengambarkan nilai-nilai masyarakat Melayu yang sebenarnya. Pemodenan juga dikatakan telah menghakis cara kehidupan Melayu. Perkembangan materialisme yang telah menjadikan masyarakat lebih menumpukan perhatian dalam mengejar kesenangan hidup telah menjadikan banyak nilai-nilai murni yang menjadi amalan turun temurun masyarakat telah diketepikan dari masa ke semasa. Malah usaha-usaha pengekalan amalan-amalan tradisi seperti amalan sepanjang tempoh berpantang bagi wanita lepas bersalin, amalan bercukur jambul bagi bayi yang baru lahir, merisik bagi frasa awal sebelum acara peminangan ke atas seseorang gadis dianggap sebagai kuno dan ketinggalan zaman. Berbalik kepada soal siapa orang Melayu, ia merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu berkemungkinan berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai2

Melayu di hulu Sungai Batang Hari dalam kerajaan Sumatra. Menurut setengah sumber, di sana wujud sebuah kerajaan Melayu sekitar 1500 tahun yang lalu sebelum atau sewaktu kemunculan kerajaan Srivijaya. Merujuk kepada istilah bangsa Melayu juga, menurut Abdullah (1993), pembahagian istilah Melayu sebagai satu istilah yang berfungsi sebagai nama kolektif bagi merujuk kepada suatu kesatuan bahasa dan bangsa iaitu Melayu berdasarkan kepada kerajaan-kerajaan Melayu yang pernah wujud seperti kerajaan Melayu di Jambi dan lain-lain kerajaan Melayu semasa dan selepas kerajaan Srivijaya, kerajaan Melayu Melaka dan selepas kejatuhannya, pemerintah dan orang-orang Melayu Melaka, bahasa Melayu yang dipertuturkan di Melaka dan rantau ini pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Sementara itu, istilah Melayu ditakrif oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar. Sementara itu Abdul Rahman (2000) menyatakan bahawa konsep Melayu lebih dekat dengan elemen kebudayaan berbanding dengan elemen bangsa. Beliau selanjutnya berpandangan bahawa terdapat tiga pendekatan dalam membincangkan konsep Melayu iaitu: i. Persamaan akar budaya iaitu bangsa Melayu yang secara fizikal mempunyai kulit yang sawo matang yang terdiri dari pelbagai suku bangsa yang mendiami alam Melayu. Mereka secara linguistik menuturkan bahasa yang pada asasnya dikenali sebagai bahasa Melayu-Polinesia. Berdasarkan kepada asas nama Melayu yang dilihat sebagai satu kontruksi sosial. Berdasarkan kepada buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, Melayu merupakan mereka yang menjadi pengikut raja yang berketurunan Bukit Siguntang yang mengasaskan kerajaan Melayu Melaka pada abad yang ke 15. Berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957 Fasal 160 dan Fasal 89 (6) iaitu mereka yang berbahasa Melayu, mengamalkan agama Islam dan kebudayaan Melayu.

ii.

iii.

Dari segi pentakrifan antropologi pula, menurut Syed Husin Ali, orang Melayu seringkali merupakan mereka yang berkulit sawo matang dari segi zahirnya, berbadan sederhana besar dan tegap serta selalu brsifat lemah-lembut dan berhemah tinggi. Manakala bahasa Melayu pula ialah bahasa yang berasal dari bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa Indo-Melayu atau Austronesia yang datang ke alam Melayu menggunakan bahasa yang dikenali sebagai bahasa Melayu Proto yang merupakan asal kepada bahasa Melayu hari ini. Bahasa Melayu yang asal juga telah berkembang kepada beberapa bahasa Melayu yang lain seperti bahasa Jawa, bahasa Batak, Minang dan lainlain. Cabang bahasa yang dihasilkan oleh bahasa Melayu Proto dikatakan berjumlah kira-kira 150 cabang bahasa.

3

Pemantapan sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu adalah jelas apabila beberapa kerajaan Melayu Tua seperti Kerajaan Kedah Tua, Gangganegara, Ganggayu atau Klang Kiu, Langkasuka, Pan Pan, Chih Tu dan Temasik. Sementara itu kesultanan yang pernah muncul di Semenanjung Malaysia seawal kurun ke 14 seperti Kerajaan Naning, Kerajaan Negeri Sembilan, Kerajaan Perlis, Kesultanan Johor, Kesultanan Kedah, Kesultanan Kelantan, Kesultanan Perak, Kesultanan Pahang, Kesultanan Patani, Kesultanan Selangor, Kesultanan Terengganu dan Kesultanan Melaka. Walaupun terdapat banyak kerajaan yang telah wujud, namun kerajaan Melayu Melaka sering dijadikan sebagai rujukan dalam perbincangan-perbincangan, kupasan dan analisis mengenai masyarakat Melayu tradisional. Ini kerana ia mempunyai susunan politik, corak pentadbiran serta sistem ekonomi dan sosial yang telah lengkap bersesuaian dengaan zamannya. Kerajaan Melayu Melaka juga merupakan permulaan tradisi sosiopolitik orang Melayu di negara ini (INTAN, 1991). Kepentingan kerajaan Melayu Melaka sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdul Rahman (1996; 3) yang antara lain menyatakan; Melaka sesungguhnya mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah pembentukan dan pemantapan negara-bangsa Malaysia. Walaupun sejarah orang Melayu telah bermula lama sebelum Melaka, jatidiri, keabsahan dan keunggulan kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Melayu menjadi jelas, mantap dan sempurna hanyalah setelah kemunculan Melaka. Kelahiran Melaka pada waktu agama Islam sedang berkembang di rantau Nusantara membuahkan suatu peradaban Melayu baru yang hidup dan berbeda daripada kemelayuan sebelum Melaka. Sistem Politik dan Kemasyarakatan Corak serta sistem pemerintahan kerajaan masyarakat Melayu tradisi banyak mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakatnya. Terdapat dua golongan utama yang dalam masyarakat Melayu tradisi iaitu golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada raja, kerabat diraja dan pembesar. Golongan ini boleh dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil lagi berdasarkan taraf kedudukan dan fungsi seseorang dalam masyarakat. Manakala golongan yang diperintah pula ialah golongan rakyat. Mereka juga boleh dikelaskan kepada beberapa kategori mengikut taraf dan fungsi masing-masing. Berdasarkan kepada taraf dan kedudukan serta fungsi seseorang dalam masyarakat maka dapat juga dikatakan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat yang berkelas-kelas. Selain dari itu, kelas sosial dalam masyarakat Melayu juga boleh ditentukan melalui pola demografi yang wujud. Ia juga ditonjolkan melalui jumlah pemilikan harta, jumlah hamba yang dimiliki, rekabentuk rumah atau tempat tinggal, gaya berpakaian, hubungan dengan piohak atasan dan penggunaan istilah dalam pertuturan seharian. Unit Politik dan Pentadbiran Negeri dan Raja

4

Unit politik yang terbesar dalam masyarakat Melayu tradisional ialah negeri. Pada zaman Kesultanan Melaka, perkataan negeri membawa maksud bandar raya. Tetapi menjelang abad ke-19 ia merujuk kepada sebuah kawasan di bawah pemerintahan yang merdeka. Perkataan negeri biasa digunakan sebagai kata awalan seperti negeri Perak, negeri Selangor, negeri Kedah dan lain-lain lagi (Gullick, 1958). Kawasan negeri biasanya berkait dengan keadaan geografi Semenanjung Tanah Melayu dan menggunakan sungai sebagai alat perhubungan dan perdagangan. Ibu negerinya terletak di muara-muara sungai. Tujuannya bagi mengawasi pergerakan orang yang masuk atau keluar dari negerinya, mengutip cukai ke atas barang import atau eksport dan mempertahankan negeri daripada serangan luar. Sementara itu dari aspek politik pula, kerajaan Melayu tradisional berbentuk sistem feudal yang membawa maksud raja ataupun sultan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak. Menurut Ali (1977), pemerintahan kerajaan Melayu disifatkan sebagai berbentuk feudal kerana ia tidak mementingkan pandangan dan hak rakyat. Dari segi teorinya dalam sistem politik yang mengamalkan sistem feudal, raja terletak di puncak kuasa. Baginda memiliki dua unsur utama iaitu kuasa dan wibawa (Idris, 1975). Ketua negara yang digelar sebagai raja merupakan istilah yang berasal dari perkataan Sanskrit. Institusi beraja bertapak dalam masyarakat Melayu seiring dengan pengaruh Hindu-Buddha yang mula meresap masuk serta menguasai organisasi politik alam Melayu ini. Konsep raja yang berkembang dalam masyarakat Melayu adalah sebagai ketua kerajaan dan raja dikatakan sebagai berketurunan dewa-dewa atau tuhan-tuhan yang disebut sebagai Devaraja. Hal ini terkandung di dalam Hikayat Pendawa Lima yang merupakan saduran dari kitab Mahabhrata (Shellabear, 1961). Sistem politik Melayu tradisional yang menerima pengaruh Hindu telah meletakkan kedudukan raja di tempat yang paling tinggi dan mempunyai kuasa mutlak tanpa dapat dipersoalkan oleh manamana pihak. Walau bagaimanapun berikutan dengan kedatangan Islam tanggapan raja-raja sebagai berketurunan dewa-dewa telah tidak lagi relevan dengan ajaran Islam. Manakala gelaran raja telah digantikan dengan gelaran sultan yang berasal dari perkataan Arab yang bermaksud pemerintah. Sesuai dengan ajaran Islam, kedudukan sultan tetap pada tingkat yang paling atas dalam sistem politik Melayu dan dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi ini serta menjadi ketua serta pelindung agama Islam. Seterusnya apabila dunia politik Melayu telah semakin kukuh khususnya apabila kerajaan Melayu Melaka telah bertapak dan berkembang di seluruh Nusantara, institusi kesultanan telah menjadi antara identiti penting bagi sistem politik Melayu tradisional. Sehubungan dengan peranan mereka yang sangat signifikan, Khoo Kay Kim (1972) menyatakan bahawa sultan ataupun raja merupakan punca kewibawaan dalam sistem politik tradisional. Kekuasaan raja dalam institusi pemerintahan Melayu dalam masyarakat tradisional merupakan suatu bentuk kuasa yang unggul dan terpelihara melalui unsurunsur spiritual dan material. Unsur spiritual secara umumnya merujuk kepada sistem nilai dan tanggapan masyarakat terhadap raja itu sendiri. Sehubungan dengan itu dalam

5

masyarakat Melayu, raja dianggap sebagai wakil Allah di muka bumi ini. Tanggapan ini telah diperkukuh lagi oleh konsep daulat dan derhaka yang diletakkan ke atas diri raja itu sendiri. Raja pada pandangan masyarakat Melayu dahulu adalah merupakan subjek yang sangat mulia dan hampir tidak ada cacat celanya. Malah walaupun terdapat sebarang kekurangan sama ada dari segi tingkah laku mahupun kewibawaan sebagai pemerintah, mereka tidak boleh dipertikaikan apalagi dicela. Sementara itu apa sahaja perintah raja merupakan sesuatu yang wajib dituruti walaupun ia bercanggah dengan hukum agama mahupun nilai-nilai kemanusiaan. Konsep daulat yang mendasari unsur spritual terhadap kemuliaan dan kedaulatan raja merupakan kualiti yang dimiliki oleh raja-raja ataupun sultan Melayu. Menurut Zainal Abidin bin Abdul Wahid (1971), daulat memberikan raja-raja Melayu banyak hak dan kemudahan serta meletakkan mereka di tempat yang lebih tinggi daripada masyarakatnya. Ia telah menyebabkan mereka tidak boleh ditegur ataupun dicela. Tanggapan daulat juga bermakna kesetiaan yang mutlak daripada rakyatnya. Daulat juga merupakan perlambangan terhadap kuasa dan keutuhan serta kewibawaan yang dimiliki oleh mereka. Ini kerana daulat adalah konsep tradisi Melayu yang memperkukuhkan kedudukan raja. Ia merupakan satu sumber kuasa dan hak yang penting bagi raja-raja Melayu. Daulat juga telah meletakkan kuasa raja sebagai kuasa yang paling unggul dan ia bersesuaian dengan kedudukan raja dalam hirarki yang paling atas dalam kelas sosial masyarakat Melayu tradisi. Kedaulatan raja juga diasaskan kepada kebendaanatau material seperti yang dinyatakan dalam petikan ini; Apabila seseorang raja hendak ditabalkan, biasanya baginda mestilah ada alat-alat kerajaan supaya upacara pertabalan itu dianggap sah. Antara alat-alat Kerajaan ialah keris atau pedang, lembing, mahkota atau cop mohor dan lain-lain mengikut tradisi sesebuah kesultanan. Alat-alat kerajaan bukanlah cuma untuk hiasan sahaja. Pernah berlaku dalam sejarah Melayu, seorang bakal raja tidak dapat ditabalkan kerana ketiadaan alat-alat kerajaan (Zainal Abidin, 1997; 7). Dalam pada itu juga, daulat seseorang raja itu bukan sahaja terhad dari segi undang-undang sahaja malah ia turut mengaitkan aspek kebudayaan dan agama. Konsep daulat sering dipadankan dengan konsep derhaka. Kedua-dua konsep ini berasal dari perjanjian ataupun waadat antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba apabila Sang Sapurba ingin mengahwini Wan Sendari iaitu anak Demang Lebar Daun (Shellabear, 1975). Dalam perjanjian ini, Demang Lebar Daun yang boleh dianggap sebagai mewakili golongan rakyat memohon agar pihak raja menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dan berlaku adil terhadap mereka mengikut hukum syarak. Manakala di pihak Sang Sapurba pula yang boleh dianggap sebagai mewakili pihak raja meminta agar rakyat iaitu anak cucu Demang Lebar Daun tidak menderhaka kepada pihak raja. Demang Lebar Daun bersetuju dengan permintaan tersebut dan menegaskan sekiranya pihak raja yang terlebih dahulu mengingkari perjanjian ini, maka pihak rakyat juga akan turut mengingkarinya. Mana-mana pihak yang mengingkari perjanjian ini akan ditimpa bencana. Persetiaan ini disifatkan oleh Haron Daud sebagai satu persetiaan yang longgar kerana kedua-dua pihak iaitu pihak raja dan pihak rakyat tidak sanggup untuk memainkan peranan masing-

6

masing. Namun begitu waadat atau persetiaan ini boleh dianggap sebagai satu kontrak sosial antara raja dengan rakyat. Bangsa dan negara Melayu, khususnya Melaka, menurut Sejarah Melayu adalah terbina di atas satu persetiaan yang longgar di antara pemerintah yang diwakili oleh Sang Sapurba dengan golongan yang diperintah yang diwakili oleh Demang Lebar Daun. (Haron Daud, 1996; 3). Daulat juga membawa maksud bahawa rakyat jelata mesti taat dan mematuhi segala perintah raja. Unsur ini telah diindoktrinasikan oleh masyarakat Melayu sendiri ke dalam pemikiran mereka. Ia telah mencetuskan satu lagi nilai di kalangan mereka iaitu kepantangan menderhaka kepada raja disebabkan oleh daulat tadi. Legenda raja-raja Melayu memperkuatkan unsur daulat yang ada pada mereka. Menurut Salalatus-Salatin, raja-raja Melayu berasal dari keturunan Raja Iskandar Dzulkarnain dari Makaduniah. Bahawa kami ini bangsa manusia, asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar DzulKarnain, nisab kami daripada Raja Nushirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, dan pancar kami daripada Raja Sulaiman alaihis-salam Falsafah yang cuba disampaikan ialah pemerintah Melayu merupakan mereka yang berketurunan agung dan bukannya dari kalangan rakyat biasa. Manakala derhaka pula ialah satu perbuatan yang disifatkan sebagai ingkar terhadap perintah raja ataupun membelot. Perbuatan tersebut merupakan satu perkara yang tidak dapat dimaafkan dan merupakan satu kepantangan dalam masyarakat Melayu tradisional. Ia juga dianggap sebagai satu dosa dan akan mendapat ketulahan kerana dianggap sebagai mencabar daulat raja (Cheah Boon Kheng, 1985). Beberapa peristiwa yang digambarkan dalam magnum opus mengenai Kesultanan Melayu iaitu SalalatusSalatin mengenai perkara ini. Contohnya bagaimana Sang Rajuna Tapa dan keluarganya telah menjadi batu akibat belot dan menyebabkan Singapura jatuh ke tangan kerajaan Majapahit. Pembelotan ini disebabkan oleh tindakan raja Singapura pada masa itu iaitu Raja Iskandar Syah yang telah termakan fitnah dan memerintahkan anak Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik raja dihukum sula di hujung pasar. Sang Rajuna Tapa pun terlalu amat malu nya melihat hal anaknya itu. Maka katanya ,Jika sungguh sekalipun anak hamba berbuat jahat, bunuh saja; mengapakah diberinya malu demikian? (Shellabear, 1996). Walau bagaimana pun selari dengan persetiaan yang telah termetrai antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun bahawa perlu wujud perimbangan yang adil antara raja dengan rakyat iaitu rakyat perlu patuh dan setia kepada raja dan raja pula perlu berlaku adil kepada rakyat, maka berikutan dengan kezaliman raja Singapura itu, negaranya telah jatuh ke tangan tentera Majapahit. Sementara itu unsur material pula ialah peruntukan-peruntukan istimewa yang dikhususkan untuk raja-raja seperti adat-istiadat, bahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian, jenis-jenis perhiasan diri dan senjata, warna-warna dan pakaian dan lain-lain lagi. Contohnya, dari segi ungkapan yang dipertuturkan oleh golongan raja seperti santap, beradu, bersiram dan berangkat tidak boleh dipertuturkan oleh rakyat biasa. Malah dari segi kepantangan warna-warna, telah termaktub dalam Hukum Kanun

7

Melaka mengenai larangan ke atas rakyat biasa terhadap pemakaian dan penggunaan warna kuning yang dikhaskan hanya untuk golongan raja sahaja. Sehubungan dengan itu juga adalah telah menjadi ketetapan dalam adat-istiadat diraja Melayu sejak zaman dahulu bahawa rakyat kebanyakan tidak boleh ataupun dilarang memakai sebarang pakaian kuning ataupun kekuning-kuningan walaupun mereka terdiri dari para pembesar melainkan pakaian tersebut merupakan kurniaan raja. Selain dari itu golongan rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian yang nipis hingga menampakkan kulit badan seperti memakai pakaian yang diperbuat dari kain kasa semasa berada di balairong kecuali atas perintah raja. Namun demikian pakaian ini boleh dipakai di majlis-majlis keraian di tempat lain. Selanjutnya, rakyat biasa juga ditegah dari memakai keris yang hulunya diperbuat dari emas melainkan mereka merupakan anak cucu raja, anak-cucu Bendahara ataupun anak-cucu Temenggung. Keengkaran terhadap larangan ini juga membolehkan senjata tersebut dirampas. Ringkasnya dalam keseluruhan aspek dalam masyarakat Melayu tradisi samada aspek material dan spiritual, raja ataupun sultan serta keluarganya telah diberikan keutamaan yang begitu tinggi walaupun kumpulan mereka merupakan kumpulan yang terkecil dari jumlah keseluruhan masyarakat Melayu pada masa itu. Segala peruntukan yang telah diberikan ini pula jarang sekali dipersoalkan kerana perkara ini telah diterima oleh pihak rakyat sejak turun-temurun. Secara umumnya kedudukan raja-raja Melayu dalam politik masyarakat Melayu tradisional sebenarnya telah diperkukuhkan oleh nilai-nilai semulajadi yang telah wujud dalam institusi raja itu sendiri. Ia dipengaruhi oleh tanggapan budaya masyarakat yang terikat dengan konsep daulat dan derhaka sebagai mana yang telah dibincangkan sebelum ini yang telah mencetuskan kesetiaan yang yang tidak berbelah bagi dalam kalangan rakyat terhadap raja-raja mereka. Kedudukan status yang kedua tertinggi selepas sultan ialah golongan anak raja dan kerabat diraja. Hak-hak istimewa politik sebahagian besarnya dikhaskan untuk golongan ini. Dalam sesebuah kerajaan Melayu dahulu terdapat ramai anak-anak raja kerana sebahagian besar dari pemerintah Melayu dahulu mengamalkan poligami. Dari segi adat-istiadat, sesuai dengan kedudukannya yang merupakan kedudukan yang tertinggi dalam hirarki masyarakat Melayu, sultan dan keluarga mereka juga mendapat peruntukan yang khusus dan istimewa dalam adat istiadat Melayu. Dari segi penggantian raja, pada kebiasaannya sistem perwarisan takhta adalah mengikut sistem patrimonial iaitu keturunan ataupun jurai sebelah bapa yang lebih dipentingkan. Dalam hal ini, sudah tentu sekali anak lelaki yang akan mendapat keistimewaan dan dipentingkan dalam semua perkara berhubung dengan hak dan perwarisan takhta kerajaan. Merujuk kepada perkara ini, kerajaan Melayu Melaka contohnya telah mengamalkan ketetapan mengikut Adat Temenggung yang diwarisi dari Palembang. Dari segi strukturnya jawatan pemerintah biasanya akan digantikan oleh putera sultan itu sendiri ataupun oleh adik lelaki seseorang sultan itu tidak baginda tidak mempunyai putera.

8

Sesuai dengan kedudukannya yang berada di hirarki tertinggi dalam sistem politik tradisional, tugas utama raja ialah sebagai ketua pemerintah dan berkuasa penuh dalam pentadbiran. Malah titah perintah raja merupakan undang-undang bagi sesebuah negara. Selain dari itu raja juga berkuasa dalam menjatuhkan hukuman mati. Baginda juga berkuasa melantik para pembesar negeri. Selain dari itu kebanyakan dari raja-raja Melayu yang terulung seringkali mengepalai tenteranya dalam melancarkan serangan ke atas negeri lain dan juga mengetuai rakyatnya dalam mempertahankan negeri dari serangan musuh. Dalam hal-ehwal agama Islam peranan sultan bukan hanya sebagai ketua agama sahaja. Sultan sebenarnya boleh dikatakan sebagai pemangkin serta memainkan peranan yang cukup penting terhadap perkembangan penyebaran agama Islam. Sebagai contoh, penyebaran dan pengukuhan ajaran Islam di Melaka telah berlaku dengan giat berikutan dengan penabalan Sultan Muzafar Shah sebagai pemerintah Melaka. Baginda sangat berperanan besar dalam kebangkitan Islam kerana telah menjadikan hukum Islam sebagai asas dalam pemerintahan baginda. Sehubungan dengan perkembangan ini dan juga galakan serta sokongan yang telah ditunjukkan oleh baginda serta sultan-sultan yang selepasnya maka Melaka telah muncul sebagai pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terunggul di Asia Tenggara pada zaman kegemilangannya. Daerah dan Pembesar Unit politik seterusnya ialah daerah atau jajahan. Seperti juga negeri, daerah menggunakan sungai sebagai alat perhubungan. Daerah biasanya didirikan di kedua-dua tebing sungai negeri atau di kuala-kuala sungai seperti lembah tepi yang bertemu pada kuala sungai yang besar. Daerah mengandungi beberapa buah kampung yang merupakan unit politik kecil yang terletak di tebing-tebing sungai. Mengenai kuasa pembesar, menurut Amarjit Kaur (1991), kuasa pegangan para pembesar daerah ditauliahkan oleh pemerintah. Demikian juga dengan hak mengawal ke atas sesebuah kawasan tertentu dan juga kuasa memungut hasil dari kawasan mereka tadbir. Daerah ditadbir oleh seorang pembesar dan tugasnya secara umum ialah menjalankan keadilan, memungut hasil dan menjalankan perintah raja ataupun sultan. Beliau dibantu oleh beberapa orang penolong lain yang mana perlantikan mereka turut mendapat persetujuan dari pihak istana. Selain daripada berperanan besar dalam pentadbiran sama ada di peringkat pusat mahupun daerah-daerah yang diberikan kuasa kepada mereka, mereka juga turut beberapa keistimewaan tertentu seperti mempunyai peruntukan yang khusus dalam masyarakat termasuk soal-soal pemilikan harta dan adat-istiadat. Walau bagaimanapun peruntukan tersebut tidaklah setinggi dan semulia peruntukan yang dikhususkan kepada golongan raja. Pembesar negeri juga merupakan golongan pemerintah yang memegang kuasa politik dan menuntut cukai, ufti dan buruh paksa daripada rakyatnya. Pembesar negeri merupakan sebahagian dari pemerintah negeri. Menurut J.M. Gullick terdapat tiga unsur dalam golongan pemerintah iaitu kerabat diraja, kerabat am dan rakyat. Kerabat diraja dan kerabat am mendapat kedudukan daripada keturunan sedangkan rakyat merupakan

9

golongan yang mendapat keistimewaan melalui jawatan tertentu dan juga ulama (Gullick, 1969; Amarjit Kaur, 1991). Golongan pembesar dalam masyarakat Melayu tradisional merupakan individu yang dilantik oleh sultan melalui pemberian surat tauliah. Pemilihan seorang pembesar ditentukan oleh dakwaan zuriat, biasanya anak lelaki atau sanak saudara nisab sebelah bapa kepada pembesar yang terdahulu. Misalnya di Melaka, jawatan Bendahara yang disandang oleh Tun Perak diwarisi oleh anaknya, adiknya dan anak saudaranya. Pembesar-pembesar yang diberi hak untuk mentadbir daerah biasanya dapat mempertahankan daerahnya dengan kekuatan sendiri tanpa sebarang sokongan daripada sultan dan kebanyakan daripada mereka lebih kaya daripada sultan (Gullick, 1978). Situasi ini mungkin disebabkan oleh kelemahan sultan sendiri dan juga sistem perhubungan yang kurang baik. Sebagai orang kuat dalam sesebuah kerajaan, kebanyakan daripada pembesar Melayu mendapat banyak keistimewaan seperti penguasaan terhadap daerah yang tertentu dan hak mengutip cukai sebagai sumber mendapatan tetap mereka. Selain dari itu, setiap pembesar Melayu mempunyai pengikut masing-masing. Mengikut Gullick (1978), kekuatan pembesar bergantung kepada bilangan pengikutnya dan mereka akan dianggap sebagai lebih berkuasa dan berwibawa sekiranya mereka mempunyai jumlah pengikut yang lebih ramai. Para pengikut mereka boleh terdiri dari kaum kerabat sendiri, hulubalang atau askar-askar, petani, pelombong dan juga hamba. Mereka merupakan penyumbang tenaga yang paling utama bagi golongan pembesar Melayu. Kebanyakan dari pengikut para pembesar ini secara sukarela akan bekerja untuk para pembesar iaitu tuan mereka tanpa sebarang upah. Kesanggupan ini berlaku adalah disebabkan oleh nilai dan ketaatan dari rakyat iaitu pengikut tadi terhadap para pembesar tersebut. Namun begitu mereka diberikan perlindungan dan ada di antara mereka disediakan kemudahan tempat tinggal, makan minum dan sara hidup yang lain. Para pengikut ini biasanya sangat taat kepada para pembesar dan adakalanya mereka sanggup mati demi mempertahankan tuan mereka. Dari segi demografi, tempat tinggal para pembesar dan juga golongan bangsawan ini selalunya terletak berhampiran dengan kawasan istana sultan dan kerabat-kerabat diraja yang lain. Kawasan tempat kediaman mereka biasanya merupakan kawasan yang eksklusif dan setiap kediaman mereka dikelilingi oleh rumah-rumah para pekerja masingmasing. Sebenarnya golongan ini berada dalam dua keadaan yang berbeza dari segi hirarki sosialnya dalam masyarakat Melayu tradisi. Dalam konteks hubungannya dengan golongan raja dan para kerabat, mereka merupakan kumpulan yang diperintah manakala dalam konteks hubungan mereka dengan golongan rakyat, mereka merupakan golongan yang memerintah. Sebagaimana yang dinyatakan di bahagian awal, golongan pembesar ini merupakan kumpulan yang memainkan peranan yang sangat penting sebagai penggerak jentera pentadbiran dan pemerintahan negara. Dalam konteks ini, Kerajaan Melayu Melaka mengamalkan sistem Empat Lipatan iaitu sistem terawal dalam sejarah perkembangan politik tradisional Melayu. Sistem ini dimulai dengan Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Seterusnya Pembesar Empat ini akan dibantu oleh Pembesar Lapan, Pembesar 16 dan Pembesar 32 serta Pembesar 64 Lapis.

10

Dalam sistem politik dan pentadbiran di Melaka, sistem pembesar di negeri itu diketuai oleh Bendahara. Pada kebiasaannya Bendahara merupakan tokoh yang agak berusia dan sangat berpengalaman dalam hal ehwal negeri dan selok belok politik negeri yang berkenaan. Contohnya Tun Perak iaitu Bendahara Melaka yang mula dilantik menjadi Bendahara Melaka sejak Sultan Muzaffar Syah. Beliau merupakan anak kepada tokoh Bendahara Melaka yang bertanggungjawab terhadap pengasasan sistem pentadbiran Melaka iaitu Bendahara Seri Wak Raja. Tun Perak juga merupakan abang kepada Tun Kudu iaitu permaisuri Sultan Muzaffar Syah yang kemudiannya dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja Tun Ali (Shellabear, 1996). Ketokohan dan perkaitan tali kekeluargaan dengan raja yang memerintah ataupun keturunannya merupakan faktor penting dalam menjamin hubungan raja dengan Bendahara. Hal ini penting kerana Bendahara merupakan tokoh pentadbir yang paling berperanan dalam menasihati raja dalam segala urusan pemerintahan dan pentadbiran negara. Selain daripada menjadi penasihat Sultan, tugas utama Bendahara ialah sebagai ketua eksekutif atau sebagai Perdana Menteri. Seseorang Bendahara juga merupakan tokoh yang paling berpengaruh sama ada ke atas raja mahupun di kalangan pembesar ataupun di khalayak rakyat. Malah dikatakan juga Bendahara turut memberi kesan ke atas perlantikan raja. Contohnya ialah Sultan Mansor Syah telah menghantar puteranya Raja Muhamad ke Pahang apabila Bendahara Tun Perak seolah-olah berjauh hati terhadap Raja Muhamad yang telah membunuh anak Tun Perak dalam satu peristiwa permainan sepak raga. Bendahara merupakan tonggak jentera pentadbiran negara. Bendahara juga bertanggung- jawab menyelia hampir kesemua hal ehwal negara dan dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain. Taraf Bendahara juga sangat tinggi dan sekiranya ketiadaan raja, Bendahara bertanggjawab memangku jawatan tersebut dengan dibantu oleh Penghulu Bendahari. Bendahara juga mengepalai angkatan tentera dalam sebarang peperangan ke atas negeri lain atau pun menangkis serangan dari luar. Pada kebiasaannya Bendahara merupakan tokoh yang berani dan mempunyai darah kepahlawanan yang tinggi. Dalam hal ini tokoh yang paling sesuai dijadikan contoh ialah Tun Perak. Malah kepahlawanan dan kebijaksanaan beliau telah menjadi faktor kepada kebangkitan Melaka sebagai sebuah empayar yang terkenal di Nusantara pada zamannya. Hirarki kedua dalam sistem pembesar negeri diduduki oleh Penghulu Bendahari. Jawatan ini biasanya merupakan jawatan yang diwariskan. Penyandang jawatan ini berasal dari keluarga diraja Melaka dan memakai gelaran Seri Nara Diraja. Tugas utama Penghulu Bendahari ialah menjaga dan menyelia kewangan dan hasil mahsul negara. Dalam urusan menjaga hasil-hasil kerajaan, Penghulu Bendahari juga bertanggungjawab terhadap bendahari-bendahari, syahbandar-syahbandar dan hamba-hamba raja. Penghulu Bendahari juga berfungsi sebagai wakil pemerintah bagi menerima ufti dari wilayah-wilayah jajahan. Beliau juga bertanggungjawab menjaga bangunan istana, menyelia dan memeriksa senarai jemputan diraja sekiranya terdapat acara-acara rasmi sultan serta menguruskan perhiasan istana dan juga jamuan keraian. Di samping itu,

11

Penghulu Bendahari juga bertindak sebagai ketua istiadat dan ketua acara rasmi diraja. Dalam hal ini boleh dikatakan bahawa di kalangan para pembesar, Penghulu Bendahari merupakan tokoh yang paling berperanan dalam segala perjalanan dan protokol istana. Selain dari itu Penghulu Bendahari juga merupakan setiausaha kepada Sultan yang memerintah. Dalam sspek keselamatan pula tanggungjawab dalam bidang ini dipikul oleh Temenggung. Ia berfungsi sebagai Ketua Polis Negara dan bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara. Sehubungan dengan tugas ini juga, Temenggung juga bertanggungjawab penuh dalam memastikan perjalanan dan perlaksanaan undang-undang dalam negara. Temenggung turut memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan keamanan dalam negeri kekal dan stabil bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri. Oleh yang demikian, soal-soal seperti kecurian di pasar, orang mengamuk, hal timbang menimbang dan ukur mengukur dalam hal ehwal perdagangan adalah di bawah bidang kuasa Temenggung. Ia juga turut berfungsi sebagai Ketua Majistret. Dari segi bidang kuasanya Temenggung dapat disifatkan sebagai Menteri Dalam Negeri dan bertanggungjawab dalam kebanyakan hal keselamatan negeri. Semasa menjalankan tugas, Temenggung boleh membunuh seseorang tanpa mendapat kebenaran dari pihak raja. Dalam Hukum Kanun Melaka terdapat penerangan mengenai kuasa Temenggung seperti menafahus (menyelidik dengan teliti dan menggeledah) barang yang ada di dalam negeri serta menangkap orang-orang jahat di dalam negeri. Dalam sejarah Kerajaan Melayu Melaka, salah antara Temenggung yang sangat terkenal dalam kecekapan serta keberaniannya menjaga keselamatan negeri Melaka ialah Temenggung Seri Maharaja. Malah dalam Sejarah Melayu dengan jelas menyatakan bahawa Temenggung Seri Maharaja yang telah bertanggungjawab membenteras kegiatan mencuri yang sedang berleluasa di Melaka pada zamannya dan beliau juga dikatakan telah berperanan besar dalam mengembalikan semula keamanan di Melaka pada masa itu. Selain dari soal-soal keselamatan dalam negeri, Temenggung turut berfungsi sebagai ketua adat-istiadat dalam urusan jamuan di istana. Temenggung juga berperanan dalam memilih individu dan menentukan tugas-tugas mereka sekiranya terdapat apa-apa urusan rasmi. Dari segi perlantikan, adakalanya penjawat jawatan Temenggung ini dipilih dari kalangan hulubalang negeri. Sebagai satu jawatan yang tinggi dan terhormat, ia menjadi idaman kebanyakan satria dan hulubalang Melayu dahulu. Berhubung dengan tugas dalam mengawal sepadan dan perairan negara, peranan ini dipikul oleh Laksamana. Pada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, Laksamana yang paling terkenal dengan kebijaksanaan dan kepahlawanannya ialah Laksamana Hang Tuah. Beliau bertanggungjawab mempertahankan jajahan takluk, sungai dan pelabuhan dari serangan perompak dan lanun serta serangan dari kuasa luar sama ada Siam, Jawa dan lain-lain. Sebenarnya jawatan Laksamana telah diwujudkan pada awal pemerintahan Sultan Melaka yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah. Jawatan ini diadakan atas kesedaran Sultan pada zaman itu terhadap kepentingan pertahanan laut Melaka sebagai sebuah negeri yang mempunyai sempadan perairan yang luas. Sementara itu, kepentingan

12

peranan Laksamana dalam angkatan tentera terutamanya angkatan laut dikatakan lebih besar dari jawatan Bendahara sendiri. Sebagai sebuah kerajaan agung dan mempunyai jajahan takluk yang luas maka tidak dapat dinafikan bahawa peranan Laksamana dalam aspek pertahanan negara serta strateginya sangat besar. Ini kerana perluasan kuasa Melaka banyak bergantung kepada kekuatan angkatan tenteranya dan kebijaksanaan Laksamana itu sendiri. Dalam lapisan golongan pembesar, terdapat satu golongan yang tidak kurang penting peranannya iaitu ulama. Pada peringkat awal perkembangan dan penyebaran agama Islam di Tanah Melayu, kebanyakan ulama terdiri dari para mubaligh dan saudagar-saudagar Arab. Mereka telah tiba di sini disebabkan oleh tujuan perdagangan dan juga penyebaran agama Islam. Pada zaman sebelum agama Islam bertapak kukuh dan diterima menjadi agama rasmi bagi negeri-negeri Melayu, peranan ulama tidak begitu penting dan hanya khusus bagi penyebaran agama Islam sahaja. Namun demikian, apabila Sultan Muzaffar Shah menaiki takhta kerajaan Melaka dan menerima Islam sebagai agama rasmi, peranan ulama telah menjadi penting sama dengan kepentingan politik dan pentadbiran negara yang lain. Pada masa inilah kita dapati peranan ulama istana di Melaka seperti Maulana Sadar Jahan dan Maulana Abu Bakar sangat menonjol terutama dalam memberikan pandangan nasihat mengenai perkara yang berkaitan dengan agama kepada Sultan. Sejarah Melayu banyak mencatatkan peranan-peranan yang dimainkan oleh golongan ini di sepanjang sejarah kegemilangan Melayu Melaka. Contohnya peranan seorang yang berbangsa Arab yang bernama Sidi Arab yang tinggal di Melaka yang telah membantu kerajaan Melaka dalam membunuh panglima Siam iaitu Cau Pandan yang dikatakan akan menyerang Melaka (Shellabear, 1976).

Kampung dan Penghulu Unit politik yang terkecil ialah kampung. Kampung membawa maksud satu kelompok atau satu kumpulan. Biasanya kampung merupakan unit tempat kediaman, masyarakat, ekonomi dan unit penguasaan politik. Ketua kampung ialah penghulu kecuali di Negeri Sembilan. Penghulu menjadi perantaraan di antara anak buahnya dengan pembesar daerah. Peranan utama penghulu ialah menjaga keamanan dan menjadi lambang perpaduan sesebuah kampung. Mereka merupakan orang pengantaraan di antara golongan atasan dengan rakyat. Jawatan penghulu biasanya dipenuhi secara askriptif atau warisan. Penghulu berperanan menyelesaikan pertikaian, menjaga keamanan kampung, memungut cukai, mengarah rakyat melaksanakan tugas pembesar dan raja serta sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Oleh kerana penghulu merupakan wakil raja di sesebuah kampung dan perlantikannya juga dibuat oleh raja, maka bersesuaian juga dengan tugasnya sebagai pemimpin setempat, maka kita dapati bahawa penghulu juga boleh dikategorikan sebagai golongan pembesar dalam masyarakat Melayu tempatan. Susunan dan keluasan kampung itu ditentukan oleh kehendak penghidupan kampung tersebut. Rumah kampung didirikan di sepanjang tebing sungai kerana sungai

13

merupakan jalan, sumber bekalan air, tempat mandi dan parit. Keluasan kampung juga berbeza-beza iaitu dari perkampungan yang kecil yang terdiri daripada lebih kurang lima buah rumah sampai ke perkampungan yang besar yang terdiri daripada beratus-ratus buah rumah. Dalam sistem masyarakat Melayu tradisi, perkampungan yang kecil biasanya terdiri daripada satu kumpulan saudara-mara yang dipimpin oleh seorang daripada anggota yang tertua dan berpengalaman. Manakala sesebuah perkampungan yang besar biasanya terdiri daripada kumpulan asas dan beberapa keluarga saudara-mara yang berasingan. Mereka tinggal bersama-sama dalam satu kelompok. Kebiasaannya, jikalau sebuah kampung yang cukup besar dan istimewa, ia merupakan tempat tinggal seorang pembesar. Golongan Rakyat Golongan rakyat merupakan jumlah terbesar penduduk dan mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan pertama terdiri daripada petani, nelayan dan utas. Kumpulan kedua terdiri daripada kumpulan pedagang manakala kumpulan ketiga terdiri daripada hamba.Sebagai kumpulan terbesar dalam kependudukan sesebuah negeri, golongan rakyat merupakan asas kepada kekuatan bagi sesebuah kerajaan. Sehubungan dengan hal ini juga kita dapati bahawa setiap kerajaan akan dianggap sebagai kuat dan berkuasa sekiranya jumlah rakyat negeri tersebut lebih ramai berbanding dengan negerinegeri lain. Contohnya Sejarah Melayu ada mencatatkan bahawa jumlah rakyat Melaka pada awal kurun ke 16 adalah seramai sembilan belas laksa ataupun 190,000 orang. Jumlah ini adalah bagi bandar Melaka sahaja dan tidak termasuk jumlah kesemua rakyat jelata di seluruh jajahan takluk Melaka (Zainal Abidin, 1996). Dalam masyarakat rakyat terdapat tentera kerajaan, pedagang, petukang, petani dan nelayan. Rakyat harus patuh dan setia kepada pemerintah. Segala permintaan raja mesti dijunjung dan kerja sendiri ketepikan. Hal ini jelas dilihat di bawah sistem kerah di mana rakyat terpaksa menyumbangkan tenaga kerja secara percuma. Dalam sistem kerah rakyat boleh disuruh membina masjid, parit, benteng dan membersih sungai tanpa dibayar gaji. Pengendalian sistem kerah yang sewenang-wenang banyak mengganggu kegiatan lain misalnya pengeluaran pertanian terjejas akibat kerja paksa yang tidak tentu masanya. Keadaan ini juga menimbulkan tekanan di- pihak rakyat. Namun demikian mereka tidak mampu untuk membantah sebaliknya akan berpindah ke tempat lain bagi mengelakkan diri dari terlibat dalam sistem ini. Secara umumnya, walaupun mereka terlibat dalam sistem kerah, mereka adalah orang awam yang bebas dan merdeka. Malah golongan ini juga kadangkala dikenali sebagai orang merdeheka. Kebanyakan dari orang awam ini melakukan tugas-tugas biasa untuk menyara diri dan keluarga mereka seperti bertani, bertukang dan berdagang. Dalam masyarakat Melayu tradisi di Melaka, terdapat sekumpulan rakyat yang sangat giat dan mahir menjalankan urusan jual beli yang dikenali sebagai kiwi (Zainal Abidin, 1996). Mereka merupakan golongan pertengahan dalam kumpulan yang diperintah. Selain dari itu golongan pertengahan ini terdiri dari saudagar-saudagar tempatan, nakhoda, pegawai kerajaan, sida-sida, bentara, ceteria, hulubalang, pemungut cukai dan anak-anak tuan serta saudagar asing.

14

Sementara itu golongan yang diperintah dari kelompok rakyat pula terdiri daripada dua kumpulan iaitu rakyat peribumi dan rakyat asing. Rakyat peribumi terdiri dari mereka yang merupakan suku-sakat keturunan bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Mereka antara lain adalah orang Melayu jati, Minangkabau, Jawa, Mendahiling, Orang Laut dan Orang Asli. Manakala rakyat asing pula ialah mereka yang terdiri dari penghijrah luar dan datang bermaustautin di negeri-negeri Melayu. Contoh yang paling jelas ialah orang-orang Arab, India, Cina, Farsi dan lain-lain lagi. Kehadiran mereka ke negeri-negeri Melayu adalah untuk tujuan perdagangan dan pengembangan agama Islam. Kebanyakan dari mereka mudah dikenalpasti kerana perbezaan yang sangat ketara dari segi fizikal serta budaya berbanding dengan masyarakat tempatan. Kumpulan ini juga merupakan golongan minoriti dalam masyarakat tempatan dahulu. Mereka kemudiannya berjaya mengasimilasikan diri dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan dengan wanita-wanita tempatan. Hasil dari perkahwinan mereka inilah kemudiannya lahir generasi-generasi yang dikenali sebagai darah keturunan Arab, darah keturunan Keling dan lain-lain lagi. Golongan Hamba Golongan yang menduduki hiraki terbawah dalam masyarakat Melayu tradisional ialah golongan hamba. Golongan ini adakalanya merupakan satu kelas yang terpisah dan merupakan kelas yang khusus dan adakalanya tergolong dalam golongan rakyat biasa. Dari segi pengertian, hamba pada umumnya merujuk kepada individu iaitu rakyat biasa yang telah kehilangan taraf kebebasan disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Faktorfaktor inilah yang nanti akan menentukan kategori hamba. Hamba dianggap sebagai keupayaan orang lain dari segi undang-undang dan adat, tidak mempunyai sebarang hak dan dianggap sebagai barangan yang boleh dipindah-pindahkan (Mohd Taib, 1989). Institusi perhambaan merupakan amalan kemasyarakatan yang dilakukan sejak zaman pra-Melaka lagi. Perhambaan dalam masyarakat Melayu dahulu bukanlah merupakan perhambaan yang berlaku dalam rupa bentuk yang berlaku di Eropah. Ia sebaliknya lebih merupakan satu bentuk ikatan sosial yang berlaku terutamanya di antara golongan pemerintah dengan rakyat (Hanapi, 1982). Tugas seorang hamba meliputi segala kerja yang disuruh oleh tuan mereka seperti menanam padi, melombong, menjalankan kerja-kerja rumah-tangga dan lain-lain. Selain menjadi buruh, pengasuh bagi hamba-hamba perempuan, hamba-hamba juga merupakan tentera-tentera bagi pemerintah-pemerintah Melayu dalam zaman tradisional. Sesetengah dari hamba-hamba wanita yang cantik telah menjadi gundik kepada pembesar dan juga raja Melayu dahulu. Dalam masyarakat Melayu tradisi, hamba telah digunakan oleh pembesar untuk melambangkan status dan kuasa mereka. Perhambaan merupakan sebuah institusi yang kukuh dalam masyarakat Melayu tradisional. Dua jenis hamba yang biasa terdapat dalam masyarakat Melayu dahulu iaitu hamba abdi dan hamba berhutang. Hamba abdi ialah hamba yang diperolehi dari beberapa cara seperti tawanan perang. Hamba ini juga dikenali sebagai hamba tawanan.

15

Hamba abdi juga mungkin diperolehi dari kumpulan manusia yang ditangkap secara paksa seperti Orang Asli dan Batak. Mereka seringkali ditangkap oleh lanun-lanun dan dijual sebagai hamba-hamba abdi (Amarjit, 1991). Terdapat juga hamba-hamba abdi yang terdiri dari bangsa kulit hitam yang dibawa dari benua Afrika dan diperdagangkan oleh pedagang-pedagang ke negeri-negeri Melayu. Mereka yang ditangkap secara paksa dan dijadikan sebagai hamba ini juga dikenali sebagai Hamba Diranggah. Selain dari itu Hamba Abdi juga merupakan mereka yang melakukan kesalahan berat dan dihukum menjadi Hamba Abdi. Berbanding dengan hamba-hamba yang lain, hamba berhutang dikatakan lebih tinggi statusnya berbanding dengan hamba abdi kerana mereka masih diakui sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuan mereka selepas hutangnya dijelaskan. Sejenis hamba lain iaitu Hamba Serah iaitu mereka yang sangat miskin dan tidak mampu untuk menyara hidup sendiri. Oleh yang demikian mereka telah memilih jalan dengan cara menjadi hamba terhadap orang yang sanggup memberi makan dan minum serta menyediakan tempat tinggal untuk mereka. Sementara itu bagi Hamba Berhutang pula terdapat empat kategori yang utama iaitu Orang Berhutang iaitu mereka akan menjadi hamba selagi tidak berjaya melunasi hutang mereka. Jenis hamba yang lain ialah Anak Mas iaitu orang yang menjadi abdi melalui perkahwinan dengan abdi wanita dan terikat kepada tuan abdi wanita yang menjadi isterinya. Sementara itu Hamba Waris terdiri dari isteri dan anak-anak hamba berhutang. Manakala Hamba Bayar ialah abdi yang diserahkan oleh tuannya kepada orang lain sebagai membayar hutang tuannya terhadap orang itu. Keunikan yang terdapat dalam institusi perhambaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional ialah hanya orang bukan Islam boleh dijadikan hamba abdi dan orang muslim dilarang memperhambakan orang muslim yang lain. Sementara itu seorang pembesar yang berhutang kepada penaungnya biasanya tidak dianggap orang berhutang. Hal ini merupakan satu contoh penebusan konsep status dalam sistem sosial orang Melayu (Gullick, 1978). Berdasarkan kepada penerangan di atas, didapati masyarakat Melayu tradisi memperlihatkan sebahagian daripada unsur-unsur masyarakat feudal. Semua fungsi eksekutif iaitu politik, ekonomi dan sosial telah dimonopoli oleh golongan pemerintah. Oleh yang demikian, terdapat jurang yang luas di antara rakyat jelata dengan golongan pemerintah. Jurang ini telah dipertahankan oleh faktor-faktor adat dan kuasa. Di samping itu, perkahwinan campur jarang berlaku di antara golongan atasan dengan golongan bawahan. Begitu juga dengan kenaikan pangkat seorang anggota kelas yang diperintah kepada kelas pemerintahan. Kedudukan individu dalam masyarakat selalunya secara taraf tersedia ataupun secara warisan keluarga. Walau bagaimanapun ada juga status seseorang boleh berubah secara taraf capaian kerana kebolehan istimewa yang dimilikinya tetapi ini jarang terjadi. Kenaikan pangkat seseorang diperolehi apabila seseorang menerima anugerah sultan berdasarkan khidmat istimewa dan baktinya kepada Sultan atau pembesar. Ini jelas dilihat seperti apa yang berlaku kepada Hang Tuah yang berasal dari rakyat biasa telah dilantik menjadi Laksamana. Adat dan Undang-Undang

16

Masyarakat tradisional dikawal oleh adat dan undang-undang. Ia sama ada bertulis atau tidak telah menjadi amalan dan wajib dipatuhi. Adat merupakan amalan yang diperturunkan sejak zaman berzaman dan dianggap penting sebagai satu alat pengawalan hubungan masyarakat dan tingkah laku ahlinya. Masyarakat Melayu tradisional merupakan kelompok masyarakat yang sangat mementingkan adat. Ia digambarkan dengan jelas melalui pepatah yang dipegang kuat oleh mereka dan berbunyi biar mati anak, jangan mati adat. Dalam masyarakat Melayu terdapat amalan adat yang dilakukan bagi setiap tahap dalam proses kehidupan individu. Proses perubahan hidup ini diistilahkan sebagai The Rites of Passage oleh Arnold Van Gennep (dalam Wan Hashim dan Ismail, 1998). Pengamalan adat adalah sepanjang hayat kehidupan manusia dan ia membawa kepada falsafah bahawa kehidupan manusia mempunyai aturan, kawalan dan kekangan tertentu demi untuk kebaikan manusia itu sendiri. Oleh yang demikian masyarakat Melayu tradisional mengamalkan banyak adat antaranya ialah adat melenggang perut bagi ibuibu yang hamil, menyambut kelahiran bayi, mencukur rambut, berkhatan, merisik, bertunang, adat-adat perkahwinan dan adat-adat berkabung apabila seseorang ahli keluarga atau ahli masyarakat meninggal dunia dan lain-lain. Adat-adat ini menjadi sebahagian dari kehidupan mereka dan yang paling penting sekali ialah melambangkan nilai hidup dan pemikiran masyarakat Melayu tradisional. Dari segi pengamalannya pula sebahagian dari adat-adat ini menyalahi hukum-hukum agama Islam kerana ia bercampur baur dengan kepercayaan animisme yang dipegang kuat oleh masyarakat Melayu pada zaman tersebut. Manakala undang-undang pula merupakan peraturan yang diterima dan dipakai oleh sesebuah masyarakat dan ianya termaktub dalam bentuk yang bertulis. Undangundang dalm masyarakat Melayu lama biasanya merangkumi semua aspek dalam kehidupan masyarakat. Aspek-aspek tersebut ialah hak raja dan pembesar serta rakyat, kekeluargaan, jenayah, perniagaan dan perdagangan serta undang-undang laut. Dari segi pembentukan undang-undang pula ia digubal atas perintah raja. Biasanya ciri-ciri undang-undang tersebut disesuaikan dari amalan-amalan biasa masyarakat yang diamalkan sejak zaman turun temurun. Oleh kerana penggubalan satu-satu undangundang itu atas perintah dan kehendak raja maka seringkali didapati bahawa golongan raja mendapat banyak peruntukan istimewa dalam undang-undang tersebut. Raja juga tidak boleh didakwa tetapi baginda merupakan hakim tertinggi dalam mana-mana pengadilan ke atas kesalahan yang dibuat oleh rakyat jelatanya. Undang-undang yang terdapat dalam masyarakat Melayu tradisi mempunyai banyak pengaruh Hindu. Namun demikian, berikutan dengan kedatangan Islam, maka undang-undang Melayu telah diubah-suai mengikut hukum-hukum Islam. Apa yang penting ialah baik adat mahupun undang-undang, kedua-duanya merupakan gambaran pemikiran masyarakat Melayu pada zaman itu. Kebanyakan ahli masyarakat pula menerima baik adat mahupun peraturan sebagai sebahagian dari kehidupan mereka. Masyarakat Melayu tradisional mempunyai undang-undang sendiri untuk menjamin keamanannya. Terdapat banyak adat yang diamalkan dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Antaranya ialah Adat Perpatih dan Adat Temenggung manakala undang-

17

undang yang paling terkenal ialah Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka.

Adat Perpatih Adat Perpatih dipercayai berasal dari Sumatera dan dibawa oleh orang-orang Minangkabau yang telah berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu di sekitar abad yang ke 12 dan ke 13. Adat Perpatih telah diperkenalkan di Semenanjung Malaysia oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang. Menurut Norhalim (1995; 46); Tujuan orang Minangkabau merantau selepas abad 13 telah berubah. Sebelum abad tersebut mereka adalah pelarian tetapi selepas tersusunnya Adat Tuah Disakato oleh Sultan Balun (atau lebih dikenali sebagai Datuk Perpatih Nan Sebatang) menggantikan Undang-undangTariek Balieh, dan terbuktinya (daripada pelarian dan perantau lain yang balik ke kampung) akan kejayaan merantau, motif pergi merantau telah berubah. Merantau secara tidak disedari telah dijadikan suatu in stitusi dalam budaya Minangkabau. Masyarakat Minangkabau sememangnya dikenali sebagai masyarakat yang suka merantau. Selain dari memperkenalkan adat Perpatih, mereka juga dikatakan sebagai telah memulakan pertanian padi sawah di beberapa kawasan di Negeri Sembilan seperti Rembau dan juga di Naning. Di Malaysia, Adat Perpatih merupakan undang-undang atau peraturan yang diamalkan di Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Ia juga mempunyai dua buah teks utama iaitu Undang-Undang Sungai Ujung dan Undang-Undang Adat dari Rembau. Dari Melaka terdapat sebuah teks iaitu Minangkabau Custom- Malacca. Dari Perak pula terdapat An Old Minangkabau Legal Digest from Perak dan Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan yang lebih merupakan campuran daripada undang-undang Adat Perpatih dengan Adat Temenggung (Abu Hasan dan Mariyam, 1995). Selain dari itu, terdapat juga undang-undang yang terdapat di Sumatera khususnya dari Tanah Minangkabau seperti Undang-Undang Adat dan Undang-undang Minangkabau . Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan kawasan tertentu terutama di Melaka seperti Naning. Adat Perpatih merupakan sekumpulan pepatah dan hukumhukum dalam Adat Perpatih tidak bertulis tetapi dihafal oleh Ketua Adat. Adat ini sangat disanjungi dan diikuti. Susunan hukum dan adat ini dikenali sebagai Ketua Pembilang Adat. Hukum dalam Adat Perpatih berdasarkan dua sumber iaitu: a. Resam dan adat-temurun yang diwarisi. b. Hukum syarak yang dipetik daripada Mazhab Shafie.

18

Adat Perpatih bukanlah sekadar kebiasaan cara hidup sahaja bahkan meliputi bidang yang lebih luas yang merangkumi seluruh aspek yang berkait rapat dengan keperluan dan tindakan-tindakan serta perilaku individu serta masyarakat. Pada umumnya, Adat Perpatih ini merupakan satu peraturan hidup yang berlandaskan kepentingan hidup bersama, bergotong royong dan berdemokrasi, merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuklah undang-undang pentadbiran dan pembahagian kuasa politik, pembahagian harta pusaka, penyusunan prinsip-prinsip nikah kahwin dan lain-lain lagi. Oleh kerana segala peraturan yang terdapat dalam adat ini begitu terperinci maka ia juga boleh dikategorikan sebagai sebuah perlembagaan. Di antara perkara penting yang diutamakan dalam Adat Perpatih termasuk soal-soal pemerintahan, bentuk hukuman, jurai keturunan dan perwarisan harta. Selain dari itu adat ini juga amat mementingkan prinsip demokrasi dan permuafakatan. Dalam soal kepimpinan, tidak ada satu kuasa yang boleh memegang teraju perintahan secara mutlak kerana setiap jawatan akan dilantik oleh jawatan yang lain contohnya: a. Yamtuan Besar akan dilantik oleh Empat Undang b. Undang yang dipilih oleh Lembaga c. Lembaga yang dipilih oleh Buapak d. Buapak akan dipilih oleh anak buahnya Dari segi hirarki pemerintahan yang terkandung dalam Adat Perpatih, puncak kuasa pentadbiran dan pemerintahan dipegang oleh Yamtuan Besar. Yamtuan Besar dipilih secara demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang. Dari segi kedudukannya, Yamtuan Besar dianggap sebagai raja yang memerintah alam dan peranan baginda juga sama seperti raja-raja Melayu yang lain. Walaupun dari segi bidang kuasa Yamtuan Besar merupakan pemerintah yang tertinggi namun baginda tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan orang besar negeri yang lain. Ini kerana perlantikan tersebut akan dibuat oleh pembesar-pembesar yang berada dihiraki yang lebih ke bawah dari Yamtuan Besar iaitu Undang, Lembaga, Buapak dan Perut. Selain dari itu setiap keputusan yang diambil oleh Yamtuan adalah juga berdasarkan kepada keputusan yang dibuat bersama dengan Undang. Undang pula ialah satu hiraki politik dalam Adat Perpatih yang terbentuk hasil gabungan dari beberapa penghulu dari beberapa daerah. Gabungan ini juga dikenali sebagai Lembaga Penghulu. Di Negeri Sembilan, Undang juga dikenali sebagai Luak. Antara tugas utama Undang ialah menentukan siapakah yang akan dilantik sebagai Yamtuan Besar. Manakala Undang sendiri dipilih oleh Lembaga. Undang merupakan pemerintah seluruh Luak dan menjadi raja di daerahnya dan Undang yang terbesar ialah Undang Sungai Ujung (Zainal Abidin, 1978). Lembaga pula merupakan sekumpulan wakil suku ataupun keluarga yang mendapat kuasa melalui pemilihan yang dibuat oleh Buapak. Lembaga juga berperanan memilih individu yang layak menjadi Undang ataupun Penghulu. Selain dari itu, Lembaga juga berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah-masalah yang bersabit dengan adat dan hukuman (ringan) yang berlaku di kalangan suku mereka. Buapak pula merupakan Ketua Perut dan setiap anggota Perut akan dikenali sebagai anak buah Buapak. Sebagai ketua dalam kumpulannya, peranan

19

Buapak yang paling penting ialah menjadi tempat rujukan kepada setiap masalah terutamanya yang berkait dengan soal adat dan hukum yang berlaku dalam kumpulannya. Hukuman dalam Adat Perpatih pula bertujuan membaiki keadaan dan tidak bertujuan menghukum pesalah. Pesalah akan dihukum mengikut kesalahannya dan mangsanya akan diberi ganti rugi. Contohnya sekiranya seseorang didapati bersalah atas kesalahan membunuh maka keluarga si pesalah itu dituntut supaya membayar ganti rugi kepada keluarga si mangsa. Hubungan antara ahli-ahli suku dalam masyarakat Minangkabau sangat rapat dan mereka dianggap bersaudara. Oleh yang demikian perkahwinan sesama suku dilarang dalam Adat Perpatih. Ia juga mementingkan konsep kerjasama dan jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih mengutamakan kaum perempuan dalam banyak hal. Perempuan menjadi ketua keluarga dan perwarisan harta diberatkan kepada pihak perempuan. Adat Temenggung Sebagai mana Adat Perpatih, Adat Temenggung juga dibawa ke negara ini dari Palembang dan dikatakan juga berasal dari Minangkabau. Adat Temenggung telah diasaskan oleh Dato Ketemenggungan dari Minangkabau iaitu saudara kepada Dato Perpatih Pinang Sebatang. Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 15 dan telah berkembang di seluruh Negeri-Negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat Temenggung bukan merupakan adat yang berasal dari negeri-negeri Melayu. Adalah dipercayai bahawa adat ini mengalami pengubahsuaian untuk disesuaikan dengan suasana, cita rasa dan adat Melayu yang telah sedia diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu. Mengenai penyebarannya ke seluruh negeri-negeri Melayu, menurut Azmah Manaf (2001; 188), Bermula dari Melaka, Adat Temenggung ini kemudiannya disebarkan ke tempattempat lain. Penguasaan raja-raja Melaka ke atas negeri-negeri Melayu yang lain memudahkan penyebaran dan pengamalan Adat Temenggung ini di kalangan masyarakat Melayu di negeri-negeri berkenaan. Ia bukan sahaja terbukti melalui undang-undang adat yang diamalkan oleh mereka sehari-hari tetapi juga melalui penggubalan dan perlaksanaan undang-undang di negeri masing-masing. Pada awalnya adat ini banyak menerima pengaruh unsur-unsur Hindu terutamanya dalam Undang-Undang Manu. Apabila Islam berkembang, Adat Temenggung menerima pengaruh Islam melalui hukum-hukum syarak dalam Mazhab Syafie. Kebanyakan negerinegeri Melayu mengamalkan Adat Temenggung dalam hal ehwal politik dan pentadbiran mahupun dalam adat-adat seharian. Dalam adat ini pihak yang mahir melaksanakan hukum ialah Tok Sidang, Tok Penghulu atau Tok Penggawa. Dari aspek politik, Adat Temenggung merupakan satu sistem pemerintahan yang berbentuk dari atas ke bawah iaitu puncak pemerintahan dan kekuasaan terletak di tangan pemerintah. Sehubungan dengan bidang kuasanya setiap pemerintah dalam Adat Temenggung diberikan gelaran masing-masing mengikut negeri-negeri tertentu iaitu

20

gelaran Sultan. Dalam Adat Temenggung terdapat banyak peruntukan yang khusus mengenai hak dan bidang kuasa Sultan. Hukum Kanun Pahang misalnya menyatakan bahawa Raja diumpamankan sebagai khalifah di muka bumi dan bertanggungjawab terhadap semua hal-ehwal rakyat jelata di alam ini. Sesuai dengan kedudukannya yang begitu tinggi maka Adat Temenggung juga turut memuatkan keistimewaan khusus Raja seperti unsur-unsur daulat dan derhaka, Raja-Raja yang dikatakan mempunyai kuasa sakti dan sesiapa yang melanggar perintah Raja akan dihukum dengan hukuman yang begitu berat termasuklah hukuman bunuh. Seterusnya terdapat banyak pantang-larang yang ditujukan terhadap rakyat jelata dalam aspek hubungan mereka dengan raja ataupun sultan. Contohnya Hukum Kanun Pahang turut memuatkan larangan diraja terutama dari segi pemakaian warna kuning dan penggunaan emas. Sesiapa yang melanggar larangan ini akan dihukum dan barangannya akan dirampas. Sebagai ketua pemerintah, seseorang sultan itu merupakan ketua pemerintah dan pentadbiran, ketua agama dan juga simbol kedaulatan sesebuah negeri dan perpaduan rakyatnya. Secara keseluruhannya, kuasa yang dimiliki oleh sultan adalah bersifat otokratik iaitu baginda memiliki kuasa yang hampir mutlak dalam kebanyakan urusan. Sehubungan dengan itu, sultan berhak melantik pembesar-pembesar sama ada di peringkat negeri, jajahan mahupun di peringkat mukim mahupun kampung. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, kuasa tertinggi dalam Adat Temenggung ialah raja. Seseorang raja ataupun sultan dilantik melalui istiadat pertabalan. Apabila seseorang raja itu mangkat, pewaris takhta biasanya merupakan putera sulung yang dilahirkan oleh permaisuri ataupun isteri raja yang merupakan berketurunan raja juga atau dikenali sebagai anak gahara. Dalam konteks ini biasanya anak lelaki raja ataupun sultan yang bukan berketurunan raja akan diketepikan. Bagi mengelakkan kesulitan dan pertelingkahan dari segi pewarisan takhta, biasanya perlantikan raja muda dibuat terlebih dahulu semasa raja yang memerintah masih ada. Gelaran untuk penganti raja pula berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Contohnya terdapat negeri yang menggunakan gelaran Raja Muda, ada juga yang menggunakan gelaran Tengku Besar dan ada juga yang memakai gelaran Yang Dipertuan Muda. Perlantikan Raja Muda juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Negeri Perak contohnya, membentuk satu pusingan pengantian raja yang istimewa iaitu apabila seseorang raja itu mangkat, penggantinya ialah Raja Muda dan kemudiannya diikuti oleh Raja Bendahara dan seterusnya oleh Raja Di Hilir. Apabila Raja Muda dilantik menjadi Sultan, Raja Bendahara akan mengambil tempat baginda sebagai Raja Muda dan seterusnya Raja Di Hilir akan dilantik menjadi Raja Bendahara dan putera Sultan pula akan mengambil tempat sebagai Raja Di Hilir. Kebanyakan dari Sultan dilantik dari keturunan sebelah ayah dan secara turun temurun. Selain dari mengenai raja atau sultan serta para pengantinya, Adat Temenggung turut menggariskan peranan-peranan yang dimainkan oleh para pembesar dalam membantu sultan untuk mentadbir negeri. Para pembesar yang kadangkala dikenali sebagai menteri ini terbahagi kepada beberapa lapisan yang membentuk satu piramid

21

hiraki. Mereka ialah Orang Besar Berempat, Orang Besar Berlapan, Orang Besar Enam Belas dan akhir sekali ialah Orang Besar Tiga Puluh Dua. Dari segi perlaksanaan hukuman, jika dalam Adat Perpatih kita dapati fungsi hukuman adalah lebih bertujuan untuk mendidik tetapi dalam Adat Temenggung ia bertujuan untuk menghukum. Oleh yang demikian perlaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas. Ia bertujuan memberikan iktibar kepada orang lain dan merupakan pembalasan kepada seseorang yang bersalah. Secara umumnya Adat Temenggung merupakan satu adat yang memberikan peruntukan melakukan kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang kerana ia difikirkan dapat memberikan kesan kepada orang lain iaitu sebagai amaran dan pengajaran. Sesetengah pandangan juga menyatakan bahawa elemen kekerasan yang terkandung dalam perlaksanaan undang-undang dalam adat ini adalah kerana ia banyak mengambil contoh-contoh yang terkandung dalam perundangan yang terdapat dalam agama Hindu. Dalam Adat Temenggung, hukuman yang paling berat ialah hukuman bunuh. Pada kebiasaannya, hukuman ini dikenakan terhadap pesalah yang didapati bersalah melakukan kesalahan seperti membunuh, mencuri, menfitnah, menikam, tidak menurut perintah raja dan menderhaka. Namun demikian sebahagian besar dari bentuk-bentuk hukuman ini tidak diikuti dengan sewenang-wenangnya tetapi telah diubahsuai mengikut kesesuaian masyarakat setempat. Contohnya dalam Hukum Kanun Melaka telah melonggarkan hukuman bagi seseorang yang didapati bersalah mencuri sedikit wang dari dihukum bunuh kepada potong tangan atau kaki sahaja. Walaupun undang-undang dalam adat ini telah mendapat pengaruh Islam namun ia tetap mengutamakan golongan atasan. Contohnya seseorang rakyat ataupun pembesar boleh membunuh dirinya atau meminta orang lain membunuhnya sekiranya ia didapati melanggar perintah raja walaupun perintah tersebut merupakan satu ketidakadilan. Ia terjadi terhadap Bendahara Tun Mutahir sekeluarga apabila Sultan Mahmud telah murka terhadap beliau kerana tidak mempersembahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Sehubungan dengan itu baginda Sultan mencari kesalahan Bendahara dan berkebetulan Bendahara telah difitnah menerima rasuah dan sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara sekeluarga kecuali Tun Fatimah yang baru berkahwin dengan Tun Ali. Satu contoh lain yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka iaitu sekiranya seseorang hamba abdi didapati bersalah kerana menyerang orang merdeka maka hukumannya ialah dipatahkan tangan hamba tersebut. Dari segi pembuktian terhadap kesalahan pula, undang-undang dalam Adat Temenggung hanya memerlukan bukti yang berbentuk circumstantial ataupun keterangan terhadap sesuatu kesalahan yang mempunyai butir-butir yang kuat walaupun tanpa bukti-bukti yang kukuh dalam membuktikan seseorang itu bersalah ataupun tidak. Contohnya dalam Undang-Undang 99 Perak menyatakan walaupun bukti terhadap sesuatu kesalahan itu tidak jelas namun sekiranya keterangan yang diberikan oleh para saksi itu kuat dan diterima oleh pihak yang berkuasa walaupun tanpa bukti-bukti yang kukuh maka pesalah itu tetap akan menerima hukuman. Dari segi bidang kuasa pula kesemua pembesar termasuk juga sultan hinggalah kepada penghulu mendapat mandat

22

dalam melaksanakan hukuman. Namun untuk setengah-setengah kesalahan yang disifatkan serius akan diserahkan kepada sultan untuk membuat keputusan. Sementara itu dari segi kekeluargaan, mengikut Adat Temenggung, perkahwinan dengan sesiapa sahaja dibenarkan kecuali dengan orang yang ada pertalian darah. Adat ini mengutamakan pihak lelaki dan perempuan tetapi pihak lelaki dilebihkan kerana mengikut hukum syarak. Lelaki akan dilantik menjadi ketua keluarga dan berhak mewarisi harta lebih banyak daripada perempuan. Dalam adat ini tidak ada sistem kekeluargaan yang bersifat kesukuan. Hukum Kanun Melaka Hukum Kanun Melaka merupakan satu dokumen yang pernah diwujudkan dalam sebuah kerajaan Melayu bagi mengatur pentadbiran negeri. Ia juga merupakan rangka dasar yang sangat penting bagi kebanyakan undang-undang di negeri-negeri Melayu yang lain seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Inderagiri, Undang-Undang Riau dan lain-lain lagi. Dari segi teori, wilayah-wilayah dalam empayar Melaka itu tertakluk kepada Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Kelautan Melaka. Kedua-dua hukum ini adalah meliputi semua keadaan kemasyarakatan dalam kurun ke-15. Walaupun boleh didapati kejadian yang menunjukkan kuasa itu disalahgunakan dan keadilan tidak dijalankan namun ia memberikan pengertian yang mendalam tentang kehidupan masyarakat pada masa tersebut turut tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Hukum Kanun Melaka (Undang-Undang Melaka) adalah teks undang-undang yang mempunyai 44 fasal yang dipecahkan kepada tambahan-tambahan dan pecahanpecahan yang lebih kecil. Ia merupakan satu cara pemerintahan yang ditulis semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422-44) dan telah diperkembangkan oleh Sultan Muzaffar Syah (1445-58). Terdapat beberapa bahagian dalam Hukum Kanun Melaka dikenali sebagai: a. b. c. d..e. f.

Isi utama Hukum Kanun Melaka Undang-Undang Laut Undang-Undang Perkahwinan Muslim Undang-Undang Jualan dan Peraturan Muslim Undang-Undang Negeri Undang-Undang Johor

Hukum Kanun Melaka menunjukkan tentang keadaan pertanian di kalangan masyarakat pada zaman itu. Hukum Kanun Melaka misalnya turut mementingkan perkara seharian masyarakat pada masa itu umpamanya mengenai soal perlunya diawasi kerbau, lembu dan kambing kepunyaan seorang supaya jangan merosakan tanaman padi di sawah. Satu lagi yang penting mengenai Hukum Kanun Melaka ialah tentang perakuannya akan kedudukan hamba abdi. Ia adalah bertentangan dengan sangkaan orang

23

ramai kerana hamba-hamba itu tidak diperlakukan seperti barang tetapi mereka mempunyai hak yang tertentu. Sebenarnya ada disebut di dalam Sejarah Melayu bahawa seorang daripada Bendahara Melaka telah menyangkakan seorang daripada hambanya sebagai seorang saudaranya kerana hamba itu berpakaian cukup elok.Walaupun demikian, mungkin disebabkan dalam hirarki masyarakat hamba merupakan individu ataupun kumpulan yang menduduki tempat yang paling bawah maka dalam menerima hukuman, hamba merupakan kumpulan yang paling berat menerima hukuman berbanding dengan kumpulan masyarakat yang lain sekiranya mereka melakukan kesalahan. Selain dari itu Hukum Kanun Melaka juga turut memberikan peruntukan yang jelas mengenai kesalahan mencuri hamba orang lain. Hukuman bagi kesalahan ini adalah mengikut taraf tuan bagi setiap hamba yang telah dicuri. Semakin tinggi taraf tuan hamba itu, maka semakin berat hukuman yang bakal diterima oleh orang yang mencuri hamba tersebut. Contohnya, sekiranya seseorang nakhoda itu mencuri hamba raja maka ia akan menerima hukuman bunuh. Manakala pencuri kepada hamba Bendahara akan didenda sepuluh tahil sepaha (Ronkel dalam Abu Hasan dan Mariyam, 1995). Dalam Hukum Kanun Melaka, sebahagian besar dari peruntukan yang terdapat di dalamnya membincangkan mengenai undang-undang perhambaan. Kebanyakan dari peruntukan tersebut memperlihatkan pengaruh Hindu dan tempatan tetapi apabila membincangkan mengenai hukum syarak, ia berdasarkan kepada hukum Islam. Undang-Undang Laut Melaka Undang-undang Laut Melaka dikatakan telah disusun pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Undang-undang ini dinamakan sebagai Undang-undang Laut Melaka kerana kebanyakan naskah versi ini merupakan bahagian kedua daripada UndangUndang Melaka. Peraturan dan pentadbiran dalam Undang-undang Kelautan Melaka hampir sama dengan pentadbiran dalam sebuah negeri kerana mempunyai beberapa orang pembesar yang memainkan peranan penting. Antara pembesar-pembesar di laut termasuklah : a. b. c. d.e.

Nakhoda (Sultan/Raja) Jurukemudi (Bendahara) Pengawas Disiplin (Temenggung) Pegawai (Pembesar) Anak-anak kapal (Rakyat jelata)

Manakala ciri-ciri utama dalam Undang-Undang Kelautan Melaka merangkumi paraturan pelayaran dan tugas-tugas serta bidang kuasa pegawai pelayaran. UndangUndang Kelautan Melaka juga menerangkan tentang kuasa nakhoda dan hak anak-anak kapal. Peraturan undang-undang yang khas ini juga menunjukkan kewujudan satu kumpulan pedagang dan peraturan yang mengawasi kegiatan mereka. Bagi perdagangan tidak terhad kepada kumpulan orang-orang ini sahaja tetapi adalah juga dijalankan oleh nakhoda dan anak-anak kapal.Undang-undang Kelautan Melaka sangat penting kerana

24

Melaka terlibat dalam perdagangan antarabangsa dengan pedagang asing. Undangundang ini memastikan segala pelayaran dapat diatasi mengikut undang-undang. Perhubungan Melaka dengn negeri lain telah wujud bagitu lama dengan mengenakan peraturan yang tertentu. Tatatertib protokol mengenai sambutan utusan yang datang dari negeri luar telah mula digunakan. Utusan dari Pasai atau Haru umpamanya akan disambut dengan upacara sambutan yang mengandungi nobat besar dan perutusan serta bingkisan mereka akan diarak di atas gajah tetapi sesetengah utusan daripada negeri lain mungkin disambut dengan nobat kecil sahaja dan perutusan serta bingkisannya dibawa dengan kuda sahaja. Tempat duduk semasa mengadap raja turut diatur. Setengah raja dari negeri yang kecil hanya dibenarkan duduk setimpal dengan Bendahara sementara seorang raja pula telah diletakkan bersama dengan Temenggung. Selain itu, tiap-tiap satu jajahan yang baru ditakluki itu ditadbirkan oleh seorang wakil ataupun gabenor yang dilantik oleh Raja Melaka. Panggilan kepada gabenorgabenor itu adalah Mandulika. Menurut Winstedt, terdapat catatan oleh Tome Pires memberitahu menyatakan bahawa ada dilantik Mandulika-Mandulika Cinyojum (Sungai Ujung), Kelang, Selangor, Bernam, Mjmjam (Manjong), Beruas dan Perak (Winstedt, 1965). Tiap-tiap seorang Mandulika itu adalah berkuasa penuh di dalam kawasan yang ditadbirkan. Ia hanya dikehendaki membayar bayaran tahunan kepada kerajaan pusat atau menyediakan tenaga buruh demi kepentingan sesuatu. Ini adalah penyataan kepada tanggungjawab tadi. Tetapi bukanlah pula bererti yang raja itu berkuasa di atas semua aspek kehidupan orang-orang di kawasan luaran itu. Sistem Kepercayaan Kepercayaan beragama telah menjadi agen pengubah sosial yang sangat penting bagi masyarakat Melayu tradisional terutama dalam membetulkan akidah mereka. Kepercayaan pertama orang Melayu ialah animisme. Animisme membawa maksud kepercayaan kepada makhluk-makhluk halus. Ia merupakan asas kepercayaan agama yang mula-mula tumbuh dalam pemikiran manusia primitif (Aziz dan Wan Ramli, 1995). Animisme meletakkan masyarakat Melayu tradisional kepada kepercayaan terhadap kuasa-kuasa dan alam ghaib. Ia antara lain seperti kepercyaan terhadap jin, dewa, semangat dan hantu. Pada pandangan mereka kuasa-kuasa ini boleh samada memberikan rezeki ataupun membinasakan mereka. Kepercayaan ini wujud disebabkan oleh pergantungan yang kuat masyarakat Melayu dahulu terhadap alam dan pada masa yang sama masih belum ada sebarang perkembangan agama di kawasan ini. Pergantungan yang kuat oleh masyarakat Melayu dahulu terhadap alam boleh dilihat contohnya dalam usaha penanaman padi. Bagi memastikan hasil padi mereka sentiasa banyak dan bertambah, mereka telah mengadakan upacara memuja semangat padi.

25

Selain dari itu juga, penduduk tempatan pada zaman dahulu seringkali mengadakan upacara-upacara pemujaan seperti puja pantai bagi mengelakkan sebarang bala bencana yang akan menimpa mereka dan boleh menjejaskan mata pencarian mereka. Adakalanya upacara-upacara begini menjadi amalan tahunan dan dituntut oleh kepercayaan mereka dan mesti diadakan setiap musim bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Oleh kerana kepercayaan yang mendalam terhadap kuasakuasa ghaib ini maka muncul satu pihak yang berperanan menjadi perantara bagi penduduk dengan kuasa-kuasa tersebut. Mereka dikenali sebagai bomoh dan pawang. Mereka mempunyai kebolehan dalam menghubungkan kuasa-kuasa ghaib dengan orang yang memerlukannya dan juga mententeramkan gangguan yang dilakukan oleh kuasakuasa itu terhadap anak-anak kecil contohnya. Peranan yang dimainkan oleh golongan pawang dan bomoh boleh disamakan dengan peranan doktor dalam masyarakat sekarang. Oleh kerana kepentingan peranannya dalam agak besar maka kedudukan mereka juga menjadi penting dan dihormati. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganut agama Hindu dan Buddha yang berasal dari India. Sebahagian dari mereka juga mengamalkan kepercayaan animisma. Sehubungan dengan kemunculan dan perkembangan agama Islam pada abad ke 13M maka kita dapati pengaruh Hindu-Buddha dan animisme telah mulai luntur dan akhirnya hampir luput dari masyarakat Melayu. Dari segi kemasukan Islam pula, terdapat banyak pandangan yang diberikan mengenai kemasukkan Islam ke Tanah Melayu khususnya dan alam Melayu amnya. Namun demikian boleh dikatakan bahawa kemasukan Islam ke negara ini adalah melalui dua cara utama iaitu perdagangan dan gerakan dakwah. Dari segi dakwah Islamiah di Tanah Melayu banyak pandangan yang menyatakan bahawa peranan ini dimainkan dengan begitu berkesan oleh para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab. Walaupun begitu, sebenarnya hubungan antara bangsa Arab terutamanya di kalangan para pedagang ini dengan penduduk di Kepulauan Melayu telah wujud sebelum kemunculan agama Islam lagi. Pada masa ini juga para pedagang Arab telah merentasi jalan darat dan laut untuk datang berdagang ke rantau ini. Peranan utama mereka dalam konteks perdagangan adalah sebagai orang tengah di antara saudagar-saudagar Eropah dengan Asia dari Benua India dan Barat Kepulauan Melayu (Abdullah, 1989). Bukti terawal kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu adalah berikutan dengan penemuan Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303/702H dengan tulisan Melayu Arab (A. Aziz, 1994). Ramai pengkaji sejarah telah bersetuju bahawa perhubungan ArabParsi dengan rantau ini telah berlaku sejak sekian lama dan menyumbang kepada penyebaran agama Islam walaupun kepentingan perniagaan merupakan tujuan utama dalam hubungan ini. Sejarah Melayu (1996) mencatatkan mengenai kedatangan Islam ke Melaka pada awal kesultanan kerajaan tersebut: Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah sebuah kapal dari Judah. Serta ia berlabuh, maka turunlah makdum dari kapal itu, Saiyid Abdul Aziz namanya, lalu ia sembahyang di pantai Melaka itu. Maka hairanlah segala orang Melaka melihat dia. Maka kata segala orang Melaka, Mengapa ia ini tunggangtonggek

26

Maka berebutlah orang melihat dia penuh sesak, tiada bersela lagi, dan haru- birulah bunyinya sampai ke dalam. Maka raha pun segera naik gajah lalu berangkat keluar, diiringkan oleh segala orang besar-besar. Maka dilihat rajalah kelakuan makdum sembahyang itu nyatalah seperti yang di dalam mimpinya itu. Maka titah raja kepada Bendahara dan segala orang besar-besar, Nyatalah demikian seperti di dalam mimpiku itu. Setelah sudah makdum sembahyang, maka raja pun menderumkan gajahnya. Maka makdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa masuk ke dalam. Maka Bendahara dan segala orang besar-besar pun semuanya masuk Islamlah, dengan sekelian besar kecil, tua muda, dan perempuan laki-laki, semuanya disuruh baginda masuk Islam (W.G. Shellabear, 1996; 56) Apabila Melaka telah muncul sebagai pelabuhan entrepot yang paling utama menjelang pada 14 dan ke 15M maka peranan pedagang-pedagang Islam Arab ini menjadi sangat penting terutama dalam meluaskan ajaran Islam di kalangan penduduk Melayu di Melaka dan kawasan sekitarnya pada masa itu. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal tadi, kedatangan Islam telah memberikan kesan yang sangat besar terhadap masyarakat Melayu. Selain dari memperbetulkan akidah orang-orang Melayu, agama Islam juga telah berjaya mengubah sistem politik dan pentadbiran masyarakat Melayu. Kedatangan Islam telah memperbetulkan doktrin sistem pemerintahan Hindu yang menganggap ketua negara sebagai manusia luar biasa atau berketurunan dewa-dewa. Berikutan dengan kedatangan Islam juga, gelaran pemerintah-pemerintah Melayu telah ditukarkan dari raja kepada sultan. Selain dari itu dalam aspek pentadbiran, Islam telah memainkan peranan yang sangat penting. Kesultanan Melayu Melaka telah memperlihatkan dominasi Islam dalam banyak aspek contohnya dalam Hukum Kanun Melaka. Antara yang disentuh dalam hukum tersebut ialah aspek-aspek seperti hukuman yang bersabit dengan perbuatan zina, membunuh, memfitnah, minum arak, murtad dan lain-lain. Banyak faktor yang telah menyebabkan masyarakat Melayu menerima Islam sebagai agama anutan mereka. Antara lain ialah sifat ajaran Islam itu sendiri yang menekankan keadilan, kesamaan dan bersifat sederhana. Selain dari itu peranan pemerintah juga penting . Contohnya, berikutan dengan pemelukan agama Islam oleh Parameswara, maka kita dapati langkah ini diikuti oleh sebilangan besar rakyat Melaka. Faktor-faktor lain ialah peranan dan sikap gigih para pendakwah Islam juga turut mempengaruh penyebaran dan penerimaan agama Islam oleh masyarakat setempat. Sistem Ekonomi Dan Perdagangan Antarabangsa Sistem ekonomi tradisional terbahagi kepada dua iaitu pertanian dan perdagangan. Ratarata kegiatan ekonomi di zaman ini dijalankan dalam bentuk secukup hidup. Perdagangan dijalankan dalam bentuk sistem barter atau kaedah tukar barang. Pertukaran adalah dalam bentuk yang ringkas samada secara terus ataupun melalui perantara. Sistem ekonomi di zaman ini juga banyak dihidupkan oleh semangat gotong royong yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Masyarakat Melayu

27

tradisional juga merupakan masyarakat pertanian dan bidang pengeluarannya bergantung kepada unit keluarga sebagai satu unit asas pengeluaran dan kerana itu penghasilan akan juga bergantung kepada keluasan tanah (A.Aziz , 1994). Sementara itu bagi penduduk yang tinggal di pedalaman kegiatan utama mereka ialah mengumpulkan hasil-hasil hutan. Hasil-hasil ini juga merupakan menyumbang kepada perkembangan perdagangan antarabangsa di rantau ini kerana sumber-sumber semulajadi di kepulauan Melayu telah memperuntukkan banyak barang dagangan dalam kegiatan perdagangan khususnya di Melaka. Kebanyakan dari mereka merupakan orangorang Asli yang mempunyai kemahiran mengenali spesis pokok dan menentukan kegunaannya. Sumber yang paling penting sekali ialah hasil-hasil hutan seperti kayukayan yang dijadikan sebagai bahan pewangi seperti kayu cendana, rotan dan hasil-hasil yang lain. Orang-orang Melayu pula bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan bekalan hasil-hasil hutan ini daripada orang Asli dan seterusnya menjual kepada pedagang-pedagang. Adalah dipercayai satu saluran perdagangan dalaman sudah wujud di antara hutan dengan kawasan luar. Selain daripada hasil-hasil hutan, tanah-tanah Melayu juga kaya dengan bahan-bahan galian terutamanya emas dan bijih timah. Oleh itu, banyak penduduk tempatan menjadi pelombong-pelombong. Pada masa itu, kepulauan Melayu adalah sangat terkenal dengan pengeluran emasnya dan sehubungan dengan itu ia juga dikenali sebagai Golden Khersoness atau Semenanjung Emas. Sementara itu bagi penduduk yang tinggal di sepanjang pinggir sungai atau laut pula, mereka biasanya mencari rezeki dengan menangkap hidupan laut. Salah satu jenis hasil laut yang cukup penting ialah karang. Permintaan terhadap hasil-hasil laut semakin bertambah akibat perkembangan pasaran China. Perdagangan antarabangsa mula menjadi menjadi salah satu bidang ekonomi yang penting di kalangan masyarakat Melayu tradisional pada awal abad ke-15. Ia juga menjadi penyumbang besar terhadap kebangkitan Melaka sebagai sebuat pusat kuasa bagi empayar Melayu-Islam di Nusantara. Duarte Barbosa, seorang pengarang Portugis telah mengatakan bahawa Melaka merupakan sebuah pelabuhan yang mempunyai bilangan pedagang dan kapal yang banyak sekali di dunia ini. Dalam tulisannya beliau mencatatkan ...this city of Malacca is the richest seaport with the greatest number of wholesale merchants and abundance of shipping and trade that can be found in the whole world... (Barbosa; Zainal Abidin, 1997). Dalam Sejarah Melayu banyak bahagian yang menyatakan mengenai kemasyhuran Melaka kepada dunia luar. Kegemilangan dan kemasyhuran ini juga menyebabkan Melaka telah mendapat pelbagai gelaran dari pedagang-pedagang asing. Orang-orang Arab memanggil Melaka sebagai Malakat yang bermaksud tempat perhimpunan segala dagang. Ada juga di kalangan mereka menggelarkan Melaka sebagai mulagah yang memberikan maksud yang sama. Dalam dokumen-dokumen persejarahan China sumber-sumber mengenai Melaka juga banyak dibincangkan. Antaranya ialah nama Melaka di kenali sebagai Man La Chia. Dalam sumber-sumber pensejarahan China juga dihuraikan mengenai kedudukan Melaka pada zaman awalnya. Menurut sumber ini, Melaka pada mulanya merupakan

28

sebuah pulau kecil yang menjadi tempat berjual-beli. Keadaan Melaka pada masa itu sempit dan tidak banyak kawasan yang sesuai untuk kegiatan pertanian. Kemudian kedudukan Melaka telah dialihkan ke kawasan baru iaitu di muara Sungai Bertam atau Sungai Melaka yang merupakan tempat yang lebih luas dan sesuai untuk aktiviti pertanian juga begitu strategik bagi kegiatan perdagangan. Menurut sumber China lagi, Melaka kemudiannya semakin berkembang dan diketahui oleh para pedagang luar serta menjadi sebuah pelabuhan entrepot. Antara barangan yang giat diperdagangkan di sini seperti timah, cendana, gading, lada hitam dan bahan-bahan hutan. Pada masa ini juga logam timah telah digunakan sebagai matawang dan ukuran menilai harga. Namun demikian perniagaan yang menggunakan sistem tukar barang ataupun sistem barter juga merupakan cara perniagaan yang digunakan secara meluas. Kejayaan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot bermula apabila Parameswara yang kemudiannya bergelar Iskandar Syah memeluk agama Islam. Langkah ini telah berjaya menarik pedagang-pedagang Islam telah datang berniaga di pelabuhan Melaka. Langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pemerintah Melaka seterusnya seperti Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah seperti menjemput alim ulama dan cendikiawan-cendikiawan Islam ke Melaka juga telah menjadi daya tarikan utama terhadap tumpuan para pedagang Islam ke negeri itu. Faktor Islam telah menarik ramai saudagar Islam ke Melaka kerana perdagangan di Lautan Hindi dikuasai oleh orang Islam seterusnya membawa kepada pengembangan Islam ke seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Selain daripada faktor agama Islam, corak pentadbiran kerajaan Melaka yang sistematik, cekap dan stabil turut memberi sumbangan terhadap perkembangan perdagangan antarabangsa di Melaka. Perlantikan pegawai-pegawai khas dan syahbandar untuk menguruskan hal-hak perdagangan memberi banyak kemudahan kepada para pedagang dan kepentingan mereka adalah terjamin. Cukai ke atas perdagangan adalah tetap dan adil iaitu 6% untuk kapal-kapal asing dan 3% untuk kapal-kapal tempatan.manakala pedagang dari Timur seperti China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak perlu membayar cukai tetapi dikehendaki memberikan hadiah (Zainal Abidin, 1997). Hubungan diplomatik yang diasaskan dengan negeri China memberi jaminan keselamatan kepada Melaka kerana berhubungan rapat dengan sebuah kuasa besar di rantau ini. Penguasaan politik Melaka ke atas negara-negara sekitar telah menyebabkan wilayah-wilayah naungannya turut menyumbang kepada perdagangan negeri ituDi samping itu, faktor geografi yang meletakkan Melaka di Selat Melaka, iaitu jalan utama bagi jalinan perdagangan timur-barat telah menjadikan Melaka sebuah pelabuhan yang paling strategik kedudukannya. Pelabuhan Melaka juga terlindung daripada angin monsun dan selat yang sempit memudahkan angkatan laut empayar Melaka mengawal kegiatan pelanunan di kawasan itu. Kegemilangan Melaka semasa kerajaannya berada di puncak kekuasaan telah menjadi daya tarikan utama kepada pedagang, cerdik-pandai serta ulamak serta masyarakat biasa untuk datang dan bermaustautin di Melaka. Orang-orang asing yang datang ke Melaka pada masa ini terdiri dari pelbagai kaum dan mereka antaranya berasal

29

dari China dan Arab serta India. Jumlah penduduk Melaka dikatakan pada awalnya hanya berjumlah 1,000 orang meningkat kepada 40,000 orang dan dikatakan sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis, jumlah penduduk Melaka adalah seramai 190,000 orang. Ciri kosmopolitan yang terdapat di Melaka juga digambarkan oleh Tome Pires dalam Suma Oriental yang menyatakan bahawa terdapat 84 bahasa yang dipertuturkan di Melaka dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan dan pentadbiran. Selain dari itu, bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai lingua franca di rantau ini pada zaman tersebut (Zainal Abidin, 1997). Kegemilangan empayar Melaka dalam kegiatan perdagangan antarabangsa di rantau ini telah dikekalkan untuk lebih kurang seratus tahun. Perdagangan antarabangsa di Melaka telah merosot akibat kemerosotan kerajaannya. Pada masa itu, hubungan dengan China telah merosot kerana kerajaan Melaka ya