bab 1 fonologi kata pinjaman arab dalam bahasa melayu: analisis teori optimaliti

16
BAB 1 PENDAHULUAN 1.1 PENGENALAN Bahasa merupakan satu anugerah kepada manusia yang digunakan untuk tujuan berkomunikasi antara satu sama lain. Oleh itu, bahasa bukanlah merupakan hak milik seseorang individu tertentu sebaliknya merupakan satu perkongsian dalam masyarakat (Asmah 1993). Perkongsian ini terjadi apabila manusia bertembung antara satu sama lain dan berkomunikasi. Menurut Hockett (1958), apabila dua bahasa bertembung, maka bahasa tersebut akan saling mempengaruhi. Dalam komunikasi dua hala dan berlaku secara langsung, penutur dijangka meniru ciri-ciri pengucapan antara satu sama lain, manakala dalam hubungan secara tidak langsung misalnya ketika membaca, pengaruh bahasa akan tersebar dalam bentuk satu hala sahaja. Suasana mempengaruhi antara satu sama lain akibat pertembungan manusia ini dinamakan sebagai peminjaman bahasa. Bahasa dipinjam apabila diucapkan oleh penutur bahasa lain yang dipengaruhi oleh bahasa yang baru itu. Definisi peminjaman yang dicadangkan oleh Hockett (1958: 402) adalah seperti di bawah; The feature which is imitated is called the model; the idiolect (or language) in which the model occurs, or the speaker of that idiolect, is called the donor; the idiolect (or language) which acquires something new in the process is the borrowing idiolect (or language). The process itself called “borrowing,” but this

Upload: umimaira

Post on 02-Jul-2015

486 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Bahasa merupakan satu anugerah kepada manusia yang digunakan untuk tujuan

berkomunikasi antara satu sama lain. Oleh itu, bahasa bukanlah merupakan hak milik

seseorang individu tertentu sebaliknya merupakan satu perkongsian dalam masyarakat

(Asmah 1993). Perkongsian ini terjadi apabila manusia bertembung antara satu sama lain

dan berkomunikasi. Menurut Hockett (1958), apabila dua bahasa bertembung, maka

bahasa tersebut akan saling mempengaruhi. Dalam komunikasi dua hala dan berlaku

secara langsung, penutur dijangka meniru ciri-ciri pengucapan antara satu sama lain,

manakala dalam hubungan secara tidak langsung misalnya ketika membaca, pengaruh

bahasa akan tersebar dalam bentuk satu hala sahaja.

Suasana mempengaruhi antara satu sama lain akibat pertembungan manusia ini

dinamakan sebagai peminjaman bahasa. Bahasa dipinjam apabila diucapkan oleh penutur

bahasa lain yang dipengaruhi oleh bahasa yang baru itu. Definisi peminjaman yang

dicadangkan oleh Hockett (1958: 402) adalah seperti di bawah;

The feature which is imitated is called the model; the idiolect (or language) in

which the model occurs, or the speaker of that idiolect, is called the donor; the

idiolect (or language) which acquires something new in the process is the

borrowing idiolect (or language). The process itself called “borrowing,” but this

Page 2: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

2

term requires some caution. Thus, that which is “borrowed” does not have to be

paid back; the donor makes no sacrifice and does not have to be asked for

permission. Indeed, nothing changes the hands: the donor goes on speaking as

before, and only the borrower’s speech is altered.

Pertembungan tidak semestinya menjanjikan peminjaman antara satu bahasa

dengan bahasa yang lain. Hocket (1958) memberikan dua keadaan yang perlu ada dalam

proses peminjaman iaitu yang pertama, seseorang penutur itu perlu yakin bahawa dia

memahami sebutan atau pengucapan penutur bahasa yang dipinjam. Pendapat ini tidak

bertentangan dengan Weinreich (1964) dan Bloomfield (1933) yang menyatakan bahawa

proses peminjaman biasanya bermula dengan kedwibahasaan (bilingualism), di mana

penutur dwibahasa akan mengalami gangguan bahasa (interference phenomena). Keadaan

yang kedua pula, penutur tersebut mesti mempunyai motif untuk meminjam sama ada

secara jelas atau terselindung.

Menurut Hockett (1958) dan Abdullah (1974) dua faktor utama bahasa dipinjam

adalah untuk kemegahan dan keperluan. Bahasa-bahasa di dunia ini seolah-olah

mempunyai taraf atau darjat yang berbeza. Contohnya, imigran yang berhijrah ke

Amerika akan cuba berbahasa Inggeris dalam percakapan mereka kerana bahasa Inggeris

adalah bahasa yang penting dan dianggap mempunyai taraf yang tinggi di negara tersebut.

Di Malaysia misalnya, kosa kata bahasa Inggeris dan bahasa Arab dipinjam dan diselitkan

dalam ujaran dan percakapan seharian kerana kedua-dua bahasa ini mendapat tempat

yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Ada juga kemungkinan seseorang itu

berbuat demikian untuk mengelakkan dari disisih oleh masyarakat dan menunjukkan

bahawa dia juga boleh berbahasa lain selain bahasa ibunda. Pendek kata, penggunaan

bahasa asing yang tinggi tarafnya turut mengangkat prestij seseorang individu atau

masyarakat itu. Disebabkan faktor inilah, Bloomfield (1933) menyebut dalam bukunya,

“…it is the lower language which borrows predominantly from the upper.”

Faktor kedua, mengapa berlakunya peminjaman adalah faktor keperluan.

Keperluan yang dimaksudkan di sini adalah untuk memberi nama kepada sesuatu objek

Page 3: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

3

atau konsep yang baru, yang masuk melalui pertembungan budaya yang berlaku. Sebagai

contoh, kedatangan pengaruh agama Hindu dan agama Islam ke Semenanjung Tanah

Melayu suatu ketika dahulu membawa konsep-konsep keagamaan sehingga menyebabkan

peminjaman daripada bahasa Sanskrit dan bahasa Arab diperlukan. Antara perkataan-

perkataan yang dipinjam untuk memenuhi keperluan tersebut, seperti raja, dewa,

pancaindera, ugama, kadi, naib, mukim, rezeki, dan hadir. Pengaruh politik oleh penjajah

Inggeris di tanah Melayu pula meninggalkan perkataan-perkataan bahasa Inggeris seperti

gomen, stesen, motokar, feri dan lain-lain (Abdullah 1974). Sesuatu bangsa yang ingin

membina tamadun juga perlu berusaha untuk maju dalam pelbagai bidang. Desakan

pembangunan ini menyebabkan istilah-istilah asing dipinjam misalnya istilah-istilah

perubatan, kejuruteraan, dan teknologi maklumat. Mohd. Isa (2009) dalam makalahnya

ada menyebut bahawa seorang pengkaji Jepun menyatakan bahawa orang Jepun tidak

berasa malu meminjam istilah daripada bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahawa

peminjaman unsur bahasa asing oleh sesuatu bahasa merupakan perkara biasa. Malah,

peminjaman bersistem dianggap satu tanda kemodenan dan kedinamikan bahasa.

1.2 KESAN PEMINJAMAN TERHADAP SISTEM FONOLOGI

Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, peminjaman bahasa adalah bersifat

semulajadi. Kemasukan kata-kata asing hasil peminjaman ini bukan sekadar kata leksikal

semata-mata, tetapi kata tersebut turut membawa bersama sistem nahu bahasa sumber

khususnya sistem fonologi. Apabila bahasa meminjam antara satu sama lain, maka salah

satu daripada tiga fenomena akan berlaku terhadap bahasa tersebut. Fenomena yang

pertama ialah Kata Pinjaman Penyerapan Penuh (Well-Integrated Loan Words) (Repetti

2009). Apa yang dimaksudkan dengan penyerapan penuh ini adalah kosa kata yang

dipinjam itu masuk dengan semua ciri linguistik bahasa sumber tanpa sebarang

perubahan. Oleh yang demikian, ciri linguistik bahasa sumber terpaksa diterima masuk ke

dalam bahasa penerima walaupun terdapat ciri linguistik yang nyata bertentangan dengan

sistem nahu bahasa penerima tersebut.

Page 4: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

4

Fenomena kedua pula ialah Kata Pinjaman Penyerapan Separa (Partially-

Integrated Loan Words) (Repetti 2009). Apa yang berlaku dalam fenomena kedua ini

adalah sebahagian ciri linguistik bahasa sumber tersebut diterima oleh bahasa penerima

tetapi sebahagian ciri yang lain akan dimodifikasikan mengikut sistem bahasa penerima.

Misalnya, bahasa penerima menerima konsonan asing yang dibawa oleh bahasa sumber,

namun penyukuan kata tetap mengikut sistem bahasa penerima. Fenomena peminjaman

yang ketiga pula ialah Kata Pinjaman Penyerapan Terubah (Modified-Integrated Loan

Words). Dalam suasana ini, kosa kata bahasa sumber dipinjam tetapi dimodifikasikan

mengikut sistem bahasa penerima. Bahasa penerima tidak akan menerima sebarang ciri

linguistik asing yang ada pada perkataan tersebut.

1.3 KEMASUKAN BAHASA ASING KE DALAM BAHASA MELAYU

Dalam konteks peminjaman bahasa di Malaysia, kajian ini akan menyelidiki

fenomena penyerapan unsur linguistik Arab ke dalam bahasa Melayu. Secara ringkas

diutarakan sorotan sejarah kemasukan bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Bahasa

Arab mencorakkan bahasa Melayu selepas kelunturan pengaruh bahasa Sanskrit iaitu

sekitar akhir abad ke-10. Kemasukan pengaruh bahasa Arab ini datang bersama dengan

pengaruh agama Islam yang dibawa masuk oleh para pedagang dan mubaligh-mubaligh

Arab. Misalnya, pengembara Arab Abu Dulaf Misa (940 M) dalam perjalanannya ke

negeri China singgah di Kedah dan sekali lagi singgah di tempat itu pada waktu hendak

pulang dari negeri China ke negeri asalnya (Slametmuljana 1922 dlm. Asmah 1993)

Seterusnya ramai lagi pedagang dan pengembara Arab yang singgah dengan tujuan

menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia. Persinggahan pelayaran dahulu kala

bukanlah seperti pelayaran hari ini, sebaliknya persinggahan itu memakan masa yang

lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Oleh yang demikian, hubungan dan

komunikasi yang terjalin dengan penduduk setempat adalah sangat rapat sehinggakan ada

pedagang dan pengembara Arab tersebut yang berumahtangga dengan wanita tempatan.

Komunikasi dan hubungan yang rapat itu bukan sahaja mempengaruhi kepercayaan dan

budaya penduduk tempatan malah bahasa percakapan mereka juga telah dipengaruhi

dengan unsur-unsur Arab.

Page 5: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

5

Walaupun pengaruh bahasa Arab ini dikatakan masuk ke Tanah Melayu pada

akhir abad ke-10 namun kekuatan pengaruh bahasa Arab ini hanya terserlah beberapa

abad kemudian. Kerajaan Melayu Melaka yang bangkit bersama-sama dengan peradaban

Islam menegakkan agama Islam dalam pemerintahannya. Kedatangan Islam secara

langsung membawa banyak kosa kata Arab ke dalam bahasa Melayu (Zaharani 2009).

Bukti kukuh akan pengaruh bahasa Arab terhadap bahasa Melayu terdapat pada Batu

Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 yang ditulis dengan huruf Jawi

dalam bahasa Melayu (Mohd. Isa 2009). Pengaruh bahasa Arab ini memberi kesan

kepada perkembangan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu mendapat satu bentuk

tulisan baru iaitu tulisan Jawi dan perbendaharaan kata bertambah dengan pesat, terbit

daripada keperluan untuk memperkatakan idea-idea baru yang dibawa oleh peradaban

Islam (Nik Safiah et.al 2008).

1.4 PERMASALAHAN KAJIAN

Penyelidikan bermula dengan permasalahan untuk diselesaikan. Permasalahan ini

merupakan pencetus agar penyelidikan dilakukan. Sesuatu bidang yang dikaji sebenarnya

mempunyai banyak lompang yang harus dipenuhi, namun seseorang pengkaji itu mestilah

bersifat selektif dalam memilih permasalahan yang ingin dijawab dalam kajiannya.

Bidang kata pinjaman juga tidak terlepas daripada kelompangan atau

permasalahan yang perlu diselesaikan. Para sarjana dan penyelidik di Malaysia khususnya

sentiasa giat membuat kajian berkenaan penyerapan unsur linguistik asing ke dalam

bahasa Melayu. Fenomena peminjaman yang telah berlaku sejak berkurun-kurun lamanya

ini sememangnya tidak dapat dihalang kerana sifatnya yang semulajadi. Kajian-kajian

lepas tentang kata pinjaman Arab (seterusnya KPA) yang dilakukan oleh (Ismail 1970),

(Beg 1977), (Amran 1987), (Awang 1993), (Nor Hayati 2005), (Kamariah dan Pabiyah

2007) adalah bersifat deskriptif, iaitu kajian berbentuk pemerhatian terhadap fenomena

yang berlaku apabila bahasa Arab diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Para pengkaji

menemui pelbagai perubahan dari segi struktur suku kata bahasa sumber, perubahan kelas

Page 6: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

6

kata, mahupun perubahan segmen yang berlaku akibat peminjaman tersebut. Namun

demikian, pemerhatian yang dilakukan tidak disertakan bersama penjelasan mengapakah

perubahan-perubahan tersebut berlaku. Penjelasan tersebut pula seharusnya berlandaskan

suatu teori yang kukuh. Walau bagaimanapun, pemerhatian yang dilakukan oleh para

pengkaji ini sememangnya bermanfaat dan menjadi permulaan yang baik kepada kajian

dalam bidang kata pinjaman. Nurdekawaty (2006) memulakan langkah dalam mengkaji

KPA secara teoritis dengan menggunakan Teori Templat bagi morfologi kata jamak dan

Teori Relevans dalam mengkaji peluasan makna KPA. Namun, kajian dalam bidang

fonologi masih belum dilakukan.

Permasalahan yang seterusnya ialah penggunaan data yang tidak kontemporari

sifatnya. Data yang biasa digunakan dalam kajian kata pinjaman yang terdahulu adalah

data daripada kamus ataupun perbendaharaan kata pinjaman yang telah disenaraikan dan

dibukukan. Kamus yang digunakan termasuklah Kamus Dewan (1970/1991/2002),

Kamus Arab-Indonesia (1973), Kamus Melayu-Arab (1992), Kamus Al-Hamidi (1951),

dan kamus-kamus yang telah disusun oleh Wilkinson (1908/1961), Winstedt (1952/1964),

serta kumpulan perbendaharaan kata oleh Shellabear (1902), Swettenham (1910), dan

Winstedt-Linggi (1921).

Masalah yang timbul di sini ialah, KPA yang dimuatkan di dalam kamus-kamus

yang ada ini sebahagian besarnya tidak lagi digunakan dalam pertuturan atau penulisan

masyarakat hari ini. Sememangnya kosa kata ini pernah dipinjam oleh bahasa Melayu

suatu ketika dahulu, terutamanya sewaktu perkembangan ilmu agama Islam. Pada waktu

itu, istilah-istilah yang berkaitan dengan falsafah, perundangan, ekonomi, politik, dan

berbagai-bagai bidang lagi dicedok daripada bahasa Arab dalam jumlah yang besar.

Seterusnya, kewujudan dan keaktifan perkataan-perkataan ini dalam penggunaan seharian

masyarakat telah menyebabkan kosa kata ini didaftarkan di dalam kamus. Kamus-kamus

ini seterusnya diulang cetak sehingga ke era ini sedangkan tanpa disedari banyak kosa

kata Arab ini yang tidak lagi aktif dalam penggunaan penutur bahasa Melayu malah ada

sesetengah perkataan yang tidak lagi difahami maknanya oleh generasi hari ini.

Page 7: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

7

Berdasarkan kelompangan-kelompangan yang ditemui ini, maka kajian yang akan

dilakukan oleh penulis akan mengaplikasikan Teori Optimaliti (selepas ini TO) dalam

analisis KPA yang bakal dilakukan. Penggunaan teori adalah penting, sesuai dengan

pendapat Sulaiman Masri (2005), penyelidikan ilmiah memerlukan teori. Teori ialah

dasar dan rangka ilmu pengetahuan yang merupakan sekumpulan binaan konsep, definisi,

bukti atau dalil dan saling berkaitan secara sistematis tentang fenomena dengan

menetapkan hubungan sebab-akibat antara beberapa variabel bagi maksud menjelas serta

meramalkan fenomena berkenaan.

TO akan bertindak sebagai alat kepada penyelidikan ini dan diharap dapat

menjawab segala persoalan tentang mengapakah berlakunya perubahan apabila unsur-

unsur linguistik Arab menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu. Penerangan tentang

kerangka teori akan dihuraikan dalam subtopik 1.8 Kerangka Teori Kajian. Permasalahan

data pula akan diatasi dengan penggunaan data korpus yang lebih kontemporari sifatnya

iaitu data korpus berkomputer DBP-UKM berjumlah sebanyak 5 juta patah perkataan.

Data korpus ini memiliki sifat keseimbangan dan autentik kerana diambil daripada

pelbagai genre dan merupakan data sebenar. Oleh yang demikian, isu data yang tidak

kontemporari tidak akan berbangkit. Penghuraian yang lebih terperinci tentang data

korpus akan dibincangkan dalam bab 3.

1.5 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian aspek fonologi KPA dalam bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti ini

mempunyai beberapa objektif untuk dilestarikan. Antara objektif kajian ini adalah:

1. Mengenal pasti fenomena fonologi yang berlaku dalam kata Arab apabila

menyerap ke dalam bahasa Melayu.

2. Membuat pemerhatian dan penghuraian terhadap fenomena perubahan yang

berlaku dalam KPA.

3. Menjelaskan sebab-sebab perubahan fonologi KPA berlaku berlandaskan

Teori Optimaliti.

Page 8: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

8

4. Membuktikan bahawa TO adalah sebuah teori yang bersifat universal dan

mampu menyelesaikan masalah fonologi yang pelbagai.

5. Menambah baik kajian KPA sedia ada dengan melakukan kajian bersifat

teoritis.

1.6 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian yang baik adalah sebuah kajian yang signifikan kepada masyarakat dan

dapatannya boleh dipertanggungjawabkan. Hal ini penting kerana sesebuah kajian itu

perlu dimasyarakatkan dan tidak hanya tinggal sebagai kajian semata-mata. Idris Aman

(2007) menyatakan bahawa penyelidikan tidak terhenti setelah sesuatu penemuan

diperolehi dan perlu disampaikan atau disebarkan kepada masyarakat. Salah satu

kepentingan kajian ini ialah melakukan penambahbaikan dalam kajian KPA dalam bahasa

Melayu dari segi analisis yang dilakukan. Kajian-kajian KPA yang terdahulu tidak

mencakupi tiga ciri penyelidikan saintifik iaitu kepadaan pemerhatian (observational

adequacy), kepadaan penghuraian (descriptive adequacy) dan kepadaan penjelasan

(explanatory adequacy) (Chomsky 1970). Sebaliknya kajian ini akan memenuhi ketiga-

tiga ciri tersebut. Tidak sekadar membuat pemerhatian terhadap fenomena yang berlaku

akibat proses peminjaman sesuatu perkataan itu, dengan penggunaan TO, kajian ini turut

berjaya menentukan perkaitan sebab-akibat sesuatu fenomena itu berlaku. Kajian-kajian

sebelum ini rata-ratanya hanya sekadar menyatakan apakah fenomena yang berlaku akibat

proses peminjaman tanpa menjawab mengapakah ianya terjadi.

Penggunaan data korpus dalam kajian ini juga sangat besar signifikannya kepada

bidang perkamusan. Penyenaraian KPA dalam bahasa Melayu yang dibuat menggunakan

data korpus dapat menyelongkar lebih banyak lagi KPA dalam bahasa Melayu yang tidak

ditandakan dengan etimologi Arab. Perkataan Arab yang tidak aktif lagi di kalangan

masyarakat Melayu juga boleh ditandakan dengan penandaan arkaik. Penemuan ini boleh

digunakan untuk penambahbaikan dalam bidang perkamusan di negara ini.

Page 9: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

9

1.7 BATASAN KAJIAN

Batasan atau ruang lingkup dalam sesebuah kajian adalah sangat penting demi

mengelakkan kajian tersebut menjadi tidak terkawal. Batasan kajian ini juga membantu

penyelidik dalam menemukan permasalahan kajian yang patut diselesaikan. Kajian ini

juga mempunyai batasan yang tersendiri.

1.7.1 Fonologi

Ilmu linguistik adalah sangat luas dan merangkumi beberapa disiplin, antaranya fonologi,

sintaksis, semantik dan leksikografi. Walaupun isu kata pinjaman ini boleh juga dikaji

dalam pelbagai disiplin, namun kajian ini hanya tertumpu dalam bidang fonologi.

Fonologi merupakan cabang linguistik yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan

fungsinya dalam sistem bunyi bahasa tersebut (Kamus Linguistik 1997). Teori yang

digunapakai adalah Teori Optimaliti, sebuah teori linguistik yang muncul pada era 90-an.

1.7.2 Kata Pinjaman Arab

Para penyelidik bahasa dewasa ini tidak lagi memberi tumpuan kepada kajian linguistik

bahasa Melayu natif sahaja. Fenomena kemasukan kosa kata asing ke dalam bahasa

Melayu yang telah berlaku sejak sekian lama menggamit minat para penyelidik bahasa

untuk mengkaji perilaku kata pinjaman asing yang masuk ke dalam bahasa Melayu.

Antara bahasa yang dipinjam oleh bahasa Melayu adalah bahasa Sanskrit, bahasa Arab,

bahasa Inggeris, bahasa Cina, dan bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, demi memberikan

dapatan yang jitu hasil daripada analisis yang mendalam, kajian ini akan memberi

tumpuan kepada kata pinjaman Arab sahaja. Data diperolehi daripada data korpus 5 juta

DBP-UKM yang telah dibersihkan.

Page 10: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

10

1.7.3 Kata Dasar

Dalam kehidupan kita seharian, penggunaan bahasa adalah bersifat automatik dan

semulajadi sehingga menyebabkan kita tidak memberi perhatian kepada aktiviti

berbahasa ini, seperti mana kita bernafas dan jantung kita berdegup (Hockett 1958).

Apabila bahasa Arab menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu, masyarakat Melayu

telah meminjam kata leksikal bahasa Arab dalam jumlah yang agak besar. Kata pinjaman

Arab ini juga dapat meresap dengan baik ke dalam bahasa Melayu dan tanpa disedari,

kata pinjaman tersebut dapat digabungkan dengan imbuhan-imbuhan bahasa Melayu dan

digunakan dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, kajian ini dihadkan kepada

analisis kata dasar KPA sahaja tanpa melibatkan sebarang KPA yang mengalami

pengimbuhan. Keterbatasan ini perlu supaya fenomena yang berlaku tidak menjadi terlalu

rencam sehingga mengganggu proses analisis sekaligus dapatan yang dihasilkan.

1.7.4 Struktur Suku Kata

Fenomena fonologi KPA yang dikenal pasti daripada data korpus adalah pelbagai, namun

penulis hanya akan meneliti dan menganalisis fenomena yang melibatkan perubahan

struktur suku kata sahaja. Struktur suku kata antara bahasa sumber dan bahasa penerima

yang agak ketara membolehkan kajian dalam permasalahan tersebut dilakukan secara

mendalam.

1.8 KERANGKA TEORI KAJIAN

Sesuai dengan permasalahan kajian yang diutarakan, kerangka teori kajian amat

penting dalam kajian ini. Sejak kemunculan pertamanya dalam University of Arizona

Phonology Conference di Tucson pada tahun 1991 semasa Alan Prince dan Paul

Smolensky membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Optimality’, pendekatan fonologi tanpa

rumus (non derivational) semakin berkembang maju (Archangeli dan Langendoen 1997).

Tarikan daripada pendekatan ini adalah masalah fonologi dapat diselesaikan di peringkat

permukaan tanpa memerlukan sebarang rumus atau derivasi. Teori yang telah memberi

Page 11: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

11

impak yang besar kepada bidang fonologi dan mula mendominasi dunia linguistik ini

dikenali sebagai Teori Optimaliti.

Seperti mana model linguistik yang lain, analisis TO juga melibatkan input

(representasi dalaman), output (representasi luaran) dan hubungan antara keduanya.

Dalam TO, hubungan antara input (representasi dalaman) dengan output (representasi

luaran) diperantarakan oleh dua mekanisme yang dinamakan sebagai PENJANA (GEN)

dan PENILAI (EVAL). Fungsi PENJANA (GEN) adalah untuk menjanakan seperangkat

calon output yang munasabah dari segi kepurnaan bentuknya daripada satu bentuk input.

PENILAIAN (EVAL) yang mengandungi satu sistem tatatingkat kekangan yang

berhierarki adalah untuk meneliti dan menilai kepurnaan bentuk setiap calon yang ada.

Calon terbaik yang paling berharmoni dengan sistem kekangan ini ataupun yang paling

rendah mengingkari sistem kekangan tersebut dianggap sebagai calon optimal dan

merupakan representasi output sebenar (Prince dan Smolensky 1993). Setiap bahasa

mempunyai tatatingkat kekangan yang tersendiri yang terdiri daripada set kekangan

universal. Rajah 1.1 di bawah menunjukkan representasi grafik TO.

Rajah 1.1 Grafik Representasi TO

Sumber: Davenport dan Hannahs 1998

Menurut Zaharani (1996) gagasan utama TO ialah nahu itu terdiri daripada

seperangkat kekangan kepurnaan bentuk (a set of well-formedness constraints) yang

bersifat universal dan tersusun dalam satu tatatingkat yang berhierarki (hierarchical

ranking). Kekangan yang berada pada tatatingkat yang rendah boleh diengkari secara

Input PENJANA

Calon 1

Calon 2

Calon 3

Calon 4

Calon n

PE

NIL

AI

Output

Page 12: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

12

minimal untuk mematuhi kekangan yang berada pada tatatingkat yang lebih tinggi. Lima

prinsip asas TO adalah seperti yang berikut (McCarthy dan Prince 1994:3):

(a) Kesejagatan (Universality) – Nahu sejagat (Universal Grammar) menyediakan

seperangkat kekangan yang bersifat sejagat dan wujud dalam setiap nahu.

(b) Keteringkaran (Violability) – Kekangan-kekangan ini boleh diingkari, tetapi

pengingkarannya adalah pada tahap minimal.

(c) Tatatingkat (Ranking) – Kekangan-kekangan ini disusun secara bertatatingkat dan

bersifat khusus bahasa, dan gagasan pengingkaran minimal adalah berdasarkan

tatatingkat ini. Nahu ialah satu penyusunan seperangkat kekangan secara

bertatatingkat.

(d) Keterangkuman (Inclusiveness) – Tatatingkat kekangan menilai seperangkat calon

yang pada dasarnya dianggap munasabah menurut struktur kepurnaan bentuk.

(e) Keselarian (Parallelism) – Yang terbaik mematuhi tatatingkat kekangan ini

dinilai secara menyeluruh, yakni meliputi keseluruhan tatatingkat dan juga

kesemua jumlah calon. Derivasi secara berperingkat-peringkat tidak wujud.

Dalam TO, pematuhan dan pengingkaran kekangan dalam tatatingkat kekangan

berhierarki serta hubungan antara input dengan output diringkaskan dalam bentuk tablo

(tableau). Dua (atau mungkin lebih) senarai output hendaklah diletakkan secara vertikal

atau ke bawah manakala tatatingkat kekangan pula disusun menegak atau secara

horizontal bermula dari kiri ke kanan. Hubungan antara input dengan output diringkaskan

dalam bentuk tablo seperti contoh di bawah:

Senarai Calon A B

☞ calon1 *

calon2 *!

Rajah 1.2 Tablo kekangan, A >> B, /ink/

Sumber: Zaharani 1996

Page 13: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

13

Tablo 1.2 di atas menunjukkan bahawa kekangan A lebih tinggi kedudukannya

atau lebih dominan daripada kekangan B (secara konvensinya direpresentasikan sebagai

A >> B). Daripada bentuk dalaman /ink/ terhasil dua bentuk output yang dikenali sebagai

calon1 dan calon2. Calon pertama mematuhi kekangan A tetapi mengingkari kekangan B,

manakala calon kedua pula mengingkari kekangan A tetapi sebaliknya mematuhi

kekangan B. Dalam konflik seperti ini, calon pertama dianggap lebih optimal kerana

kekangan yang diingkarinya adalah kekangan yang berada pada tatingkat yang lebih

rendah. Oleh yang demikian, bentuk output calon pertama adalah output sebenar bagi

input /ink/. Interpretasi konvensi yang digunakan dalam TO adalah seperti yang berikut:

i. Kolum dari kiri ke kanan menunjukkan susunan tatingkat kekangan

ii. Pengingkaran ditandai oleh lambang “*”.

iii. Pematuhan ditunjukkan oleh kotak kosong.

iv. Lambang “!” bermaksud kegagalan – calon tewas dalam pemilihan

v. Lambang “☞” menandakan calon yang optimal.

Kadang-kala berlaku calon berada pada kedudukan seri dalam tingkat-tingkat

kekangan tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, maka proses penilaian bergantung

kepada kekangan yang seterusnya. Contohnya dalam tablo 1.3 kedua-dua calon mematuhi

kekangan A, manakala dalam tablo 1.4 pula mengingkari kekangan A. Oleh itu, calon-

calon tersebut berada pada kedudukan seri. Penilaian perlu dilakukan pada kekangan yang

berikutnya dan calon pertama terpaksa disingkirkan kerana mengikngkari kekangan B.

Penyingkiran ini membuatkan calon kedua dianggap sebagai calon yang optimal kerana

paling berharmoni dengan tatatingkat kekangan tersebut.

Senarai Calon A B

calon1 *!

☞ calon2

Rajah 1.3 Tablo kekangan, A >> B. /in1/

Page 14: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

14

Senarai Calon A B

calon1 * *!

☞ calon2 *

Rajah 1.4 Tablo kekangan, A >> /inm/

Rajah di bawah pula menunjukkan proses penilaian untuk memilih calon yang

paling optimal daripada seperangkat calon setelah melalui tatatingkat kekangan yang

disusun secara berhierarki.

>> >>

Calon a >

Calon b

Input Calon c

Calon d Output

Calon …

Rajah 1.5 Proses pemilihan calon optimal

Sumber: René Kager 1999

1.9 KESIMPULAN

Proses peminjaman bahasa merupakan satu proses yang semulajadi kerana bahasa

itu bersifat dinamik. Peminjaman bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu bukan sahaja dari

segi leksikalnya malah unsur-unsur linguistiknya juga. Penyelidikan tentang KPA yang

tidak berlandaskan teori telah membuka ruang kepada kajian ini untuk melangkah setapak

lagi dalam melihat permasalahan yang perlu diselesaikan. Oleh yang demikian, Teori

Optimaliti digunakan untuk menerangkan fenomena yang berlaku akibat kemasukan kosa

kata Arab dan unsure linguistiknya ke dalam bahasa Melayu.

C1 C2 Cn

Page 15: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

15

Selain itu, penggunaan data korpus juga dapat membantu para penyelidik bahasa

dalam membuat kajian. Data korpus yang berketerwakilan dan kontemporari sifatnya,

dapat mengatasi masalah data kamus yang tidak lagi aktif dalam penggunaan masyarakat.

Data korpus juga merupakan data bahasa sebenar masyarakat penutur natif bahasa

Melayu. Jadi, diharap pengaplikasian teori terkini yang bersesuaian dalam analisis dan

data yang terjamin kualiti dan kuantitinya akan menghasilkan sebuah kajian yang autentik

dapatannya dan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat amnya dan pengguna

dan pengkaji bahasa Melayu khasnya.

Page 16: Bab 1 Fonologi Kata Pinjaman Arab dalam Bahasa Melayu: Analisis Teori Optimaliti

16