artikel

Upload: ismi-siti-khadijah

Post on 10-Jan-2016

50 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

study

TRANSCRIPT

PENGGUNAAN KAEDAH CERAKIN AYAT (KCA) DALAM MENINGKATKAN PENGUASAAN BACAAN TAHYT AKHIROlehSiti Khadijah Binti HamzahABSTRAKKajian ini dijalankan bertujuan untuk membantu meningkatkan penguasaan bacaan tahyt akhir dalam kalangan murid. Di samping itu, kajian ini juga dijalankan bertujuan membantu meningkatkan kemahiran menghafaz bacaan tahyt akhir dalam kalangan murid. Hasil tinjauan awal menunjukkan bahawa murid tidak dapat membaca dengan lancar bacaan tahyt akhir serta tidak menghafaznya dengan baik. Kaedah cerakin ayat (KCA) telah digunakan sebagai pendekatan dalam kajian tindakan ini. Kaedah cerakin ayat (KCA) merupakan satu kaedah mencerakinkan ayat yang panjang kepada beberapa ayat yang pendek. Ayat-ayat di dalam tahyt akhir telah dicerakinkan kepada beberapa kalimah bagi membantu murid membaca serta menghafaz tahyt akhir dengan baik. Peserta kajian terdiri daripada 6 orang murid Tahun 4 Arif di salah sebuah sekolah di daerah Masjid Tanah, Melaka. Instrumen pengumpulan data yang digunakan adalah ujian awal dan ujian akhir, soal selidik, temu bual serta pemerhatian. Data yang telah dikumpulkan dianalisis dalam bentuk kualitatif dan kuantitatif. Dapatan kajian menunjukkan tahyt akhir meningkat secara positif. Kesemua peserta kajian berjaya mendapatkan skor yang cemerlang iaitu dalam lingkungan 70% ke 74% (gred B) dalam ujian akhir yang telah dijalankan. Kajian ini turut membantu mengubah amalan pengajaran saya dan seterusnya membantu murid memperbaiki bacaan mereka dalam ibadah solat.

Kata kunci : tahiyat akhir, bacaan, hafazan, Kaedah Cerakin Ayat (KCA), cerakin ayat

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARANSebagai seorang Guru Pendidikan Islam, sudah menjadi tanggungjawab bagi saya untuk mengajar serta mendidik murid-murid berkaitan asas-asas fardu ain serta fardu kifayah. Oleh itu, Pada 27 Januari 2014 yang lalu saya telah menjalani praktikum fasa tiga selama tiga bulan di Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, Melaka. Sepanjang tiga bulan menjalani praktikum di sekolah ini, saya telah mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam bagi murid-murid Tahun 3 serta Tahun 4. Berdasarkan pemerhatian saya semasa mengajar tajuk Ibadah Solat bagi murid-murid Tahun 4, saya mendapati bahawa terdapat beberapa orang murid yang tidak dapat menguasai bacaan serta hafazan tahyt akhir dengan lancar dan sempurna. Seperti mana yang diketahui, bacaan tahyt akhir merupakan salah satu rukun wajib yang terdapat di dalam ibadah solat. Sekiranya ia ditinggalkan dengan sengaja atau dilakukan dengan tidak tepat akan menyebabkan solat yang dilakukan tidak sempurna atau tidak sah.

Berdasarkan latihan-latihan yang diberikan kepada murid-murid menunjukkan bahawa beberapa orang murid dari tahun 4 ini tidak dapat menguasai bacaan tahyt akhir dengan baik. Malah apabila murid-murid yang lemah ini diminta untuk mentasmk bacaan mereka dihadapan guru, saya mendapati ada diantara mereka tidak mampu menyebut kalimah-kalimah dengan baik dan sempurna. Walaupun murid-murid ini dibenarkan untuk melihat teks bacaan tahyt akhir, namun bacaan mereka tetap berada ditahap lemah. Apabila saya meminta murid-murid ini membaca tahyt akhir tanpa melihat teks bacaan tahyt akhir yang dibekalkan, mereka masih tidak mampu untuk membacanya dengan lancar. Kesukaran murid untuk membaca serta menghafaz bacaan tahyt akhir dengan baik membuatkan saya berasa risau. Hal ini kerana bacaan tahyt akhir merupakan salah satu rukun solat yang wajib dikuasai oleh seorang muslim. Menurut Mardziah et.al (2012), pengetahuan yang mendalam tentang ibadah yang difardukan oleh Allah swt sangatlah penting agar setiap perlakuan dalam solat mencapai kekhusyukkan dan ibadah yang ditunaikan diterima Allah. Cara untuk menghiburkan kesedihan jiwa, membahagiakan hati dan menguatkannya serta melapangkan dada adalah dengan menunaikan solat kerana di dalamnya terbentuk hubungan kalbu dengan Allah swt.

Selain itu, semasa menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat saya mendapati murid-murid yang tidak menguasai bacaan tahyt akhir dengan baik adalah dalam kalangan murid yang sama dalam tahun 4. Apabila saya meminta murid-murid ini memperdengarkan bacaan tahyt akhir di hadapan saya, ada diantara mereka yang tidak dapat membaca tahyt akhir dengan lancar. Malah terdapat beberapa orang murid yang sering tertukar kedudukan ayat semasa membaca tahyt akhir. Walaupun Kem Bestari Solat kerap kali dijalankan di sekolah, namun murid-murid ini masih mengalami masalah dalam membaca dan menghafaz tahyt akhir. Apabila saya bertanya kepada murid-murid yang lemah ini mengapa mereka tidak mampu membaca bacaan tahyt akhir dengan baik, ada dalam kalangan mereka yang memberi maklum balas seperti ini:Saya tidak boleh baca bacaan tahyt akhir dengan baik sebab bacaan ini susahlah ustazah. Malah terdapat juga dalam kalangan murid yang lemah ini menjadikan alasan tidak ke sekolah agama petang KAFA menyebabkan mereka tidak dapat membaca serta menghafaz bacaan tahyt akhir dengan baik. Saya tidak dapat baca dan hafaz tahyt akhir dengan baik sebab saya tidak pergi ke sekolah agama. Sebab itu saya lemah dalam membaca tahyt akhir ustazah.

Tahap penguasaan mereka yang lemah dalam membaca serta menghafaz tahyt akhir sedikit sebanyak membimbangkan saya. Pelbagai kaedah serta teknik yang telah saya gunakan bagi membantu murid-murid yang lemah dalam menguasai bacaan tahyt akhir ini. Matlamat utama saya bukan sahaja memastikan murid-murid ini dapat membaca tahyt akhir dengan baik, malah murid mampu untuk menghafal dengan baik bacaan tahyt akhir ini. Menurut Shahril (2004), pengajaran guru yang berkesan dipengaruhi oleh empat faktor iaitu kualiti pengajaran, kesesuaian aras pengajaran, insentif dan masa. Ahmad Mohd Salleh (2008), merumuskan bahawa sekiranya seorang guru tidak dapat menyampaikan ilmu dengan efektif walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, guru itu tetap dianggap tidak berjaya. Bagi saya sudah menjadi tanggungjawab seorang guru Pendidikan Islam bagi memastikan murid-murid Islam dapat menguasai rukun-rukun solat dengan sempurna. Oleh itu, saya berpendapat bahawa bimbingan yang lebih progresif perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang berlaku dalam kalangan murid yang lemah ini.

TINJAUAN LITERATURPembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan dan mengingat semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasikannya ke dalam kehidupan (Hargreaves, 1996). Kajian dalam psikologi dan pendidikan menunjukkan individu mempunyai kemahiran yang berbeza untuk memproses serta mengingati sesuatu maklumat. Proses ingatan berlaku kerana kebolehan otak manusia menyimpan data-data yang didaftarkan melalui lima deria manusia iaitu mata, telinga, hidung, rasa dan sentuh (Azizi Yahya et.al, 2005). Terdapat pelbagai jenis kaedah mengingat yang telah diperkenalkan oleh ahli-ahli psikologi dan pendidikan. Malah bidang ingatan ini sudah lama dikaji oleh pakar-pakar psikologi semenjak tahun 1885 lagi (Ainon Mohd et.al, 2005). Antara kaedah mengingat yang telah diperkenalkan adalah seperti kaedah latih tubi, kaedah ulangan, kaedah peta minda, kaedah mnemonic dan kaedah chunking atau cerakin.

Salah satu strategi untuk mengingat adalah dengan menggunakan kaedah chunking atau cerakin (Encarta, 1996). Kaedah chunking atau cerakin merupakan salah satu daripada kaedah mengingat yang mana mampu membantu murid mengingat sesuatu maklumat yang banyak dengan mudah. Menurut Mok Soon Sang (2009), kaedah chunking atau cerakin bermaksud mengumpulkan beberapa butir maklumat yang tidak berkaitan menjadi satu kumpulan mengikut keseragaman tertentu. Tambah beliau lagi, adalah agak sukar untuk seseorang individu menghafal sesuatu maklumat tanpa penggunaan kaedah yang sesuai. Miller (1956) berpendapat kaedah chunking merujuk proses penyatuan maklumat bebas bagi membentuk maklumat yang padat (Azizi Yahya et.al, 2005). Menerusi kaedah chunking atau cerakin dan disertakan dengan lagu menambahkan minat murid malahan lebih memudahkan daya penghafalan selepas menjalani beberapa sesi latihan. Manakala menurut Zakiah dalam artikelnya yang bertajuk Sistem Pembelajaran dan Kaedah Hafazan al-Quran Yang Efektif, menyatakan penggunaan kaedah chunking atau cerakin sangat membantu murid-murid menghafaz al-Quran dengan mudah. Kaedah chunking atau cerakin ini dilaksanakan melalui pemisahan ayat al-Quran kepada beberapa potong oleh guru atau memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu, cerita dan sebagainya.

Di samping itu saya turut menjalankan tinjauan literatur berkaitan ibadah solat bagi membantu saya melaksanakan kajian ini dengan lebih berkesan. Abdul Halim Mahmud (1981) dalam artikel yang bertajuk Prosiding Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI 2013) yang bertarikh 13 November 2013 menyatakan sembahyang dalam kaca mata Islam ialah tiang agama, siapa yang mendirikannya sama seperti mendirikan agama, dan siapa meninggalkannya sama seperti merobohkan agama (Mohd Ayob Awaf, 2013). Seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud

Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila berumur tujuh tahun dan apabila sudah sampai sepuluh tahun maka pukullah (sekiranya tidak solat).(Riwayat Abu Daud)Hadis diatas jelas menjelaskan kedudukan solat sebagai satu ibadah yang tinggi kedudukannya di sisi Allah. Malah Allah juga berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang menjelaskan manfaat solat dalam kehidupan manusia. Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.

Menurut Abdullah Al-Qari Hj. Salleh (2001), terdapat lima tempat bacaan yang wajib dibaca di dalam solat iaitu pada bacaan takbiratul-ihram, bacaan Al-Fatihah, bacaan tahyt akhir, bacaan selawat di dalam tahyt akhir dan bacaan salam pertama. Bacaan dalam solat atau lebih dikenali sebagai rukun qauli merupakan bacaan wajib yang perlu dijaga sepanjang solat dilaksanakan. Sekiranya rukun qauli di dalam solat tidak dijaga dengan sempurna, akan mengakibatkan solat yang dilaksanakan tidak sah. Seperti mana pendapat Nurul Azidah (2009) dalam kajiannya yang bertajuk Kajian Pembacaan Rukun Qauli Di Dalam Solat Dalam Kalangan Pelajar Muslim Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, menyatakan hampir 50% pelajar dari politeknik tidak dapat menguasai rukun qauli dengan baik. Tambah beliau, walaupun rata-rata pelajar daripada politeknik ini berumur dalam lingkungan 18 30 tahun, namun penguasaan rukun qauli mereka masih lemah.

FOKUS KAJIANKajian ini dijalankan setelah saya mendapati murid-murid tidak dapat membaca dan menghafaz bacaan tahyt akhir dengan baik. Penguasaan yang mantap dalam bacaan tahyt akhir amatlah penting kerana ianya akan menjadikan perlaksanaan solat dalam kehidupan seharian menjadi lebih sempurna. Matlamat kajian ini adalah untuk menentukan keberkesanan kaedah cerakin ayat (KCA) dalam membantu murid-murid yang lemah menguasai bacaan dan hafazan tahyt akhir dengan mantap dan sempurna.

OBJEKTIF KAJIANObjektif umumTujuan kajian ini dijalankan adalah untuk membantu meningkatkan penguasaan bacaan serta hafazan murid dalam rukun solat yang ke-10 iaitu bacaan tahiyat akhir.

Objektif khusus:1. Menguasai bacaan tahyt akhir dengan lancar menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA)2. Meningkatkan kemahiran membaca tahyt akhir mengikut urutan yang betul menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA).3. Mengukuhkan tahap kemahiran menghafal bacaan tahyt akhir menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA).

SOALAN KAJIAN1. Adakah murid mampu menguasai bacaan tahyt akhir dengan lancar menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA)?2. Adakah kaedah cerakin ayat (KCA) mampu membantu murid meningkatkan kemahiran membaca tahyt akhir mengikut urutan dengan berkesan?3. Bagaimanakah penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) mampu mengukuhkan tahap kemahiran menghafal bacaan tahyt akhir dalam kalangan murid?

METODOLOGI KAJIANKajian ini menggunakan Reka Bentuk Kajian Tindakan. Model yang digunakan ialah model Kemmis & McTaggart (1982) yang disesuaikan dengan perancangan kajian. Pendekatan kajian yang digunakan ialah pendekatan kualitatif dan kuantitaif. Reka bentuk kajian digambarkan seperti rajah 1 dan rajah 2.

Rajah 1

Rajah 2

INTERVENSI KAJIANIntervensi kajian telah digunakan untuk membantu peserta kajian menguasai bacan dan hafazan tahyt akhir dengan baik dan sempurna. Intervensi kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA). Kaedah cerakin ayat (KCA) merupakan salah satu himpunan kaedah mengingat yang membantu murid-murid untuk mengingat sesuatu fakta atau frasa yang panjang dan kompleks. Ayat-ayat yang terdapat dalam bacaan tahyt akhir telah dicerakinkan kepada beberapa potongan ayat bagi memudahkan peserta kajian membaca dan menghafal bacaan tahyt akhir. Saya menggunakan kad-kad yang berwarna warni bagi menarik minat peserta kajian membaca dan menghafal bacaan tahyt akhir yang telah dicerakinkan. Di samping itu, penggunaan kad ini juga bertujuan memudahkan peserta kajian membawanya kemana-mana sahaja. Kaedah ini juga digunakan bagi memudahkan peserta kajian membaca tahyt akhir mengikut urutan yang betul tanpa menukar kedudukan kalimah yang terdapat dalam bacaan tahyt akhir ini.

INSTRUMEN KAJIANInstrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah ujian pra dan ujian pasca, soal selidik, temu bual, rakaman audio dan pemerhatian.

DAPATAN KAJIAN1. Membantu meningkatkan penguasaan bacaan tahyt akhir menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA).Objektif kajian yang pertama ini telah terjawab apabila semua peserta kajian telah menunjukkan perubahan dan peningkatan yang sangat positif dari segi pencapaian mereka di dalam ujian pos berbanding ujian pra yang ditadbir. Malah sebelum selesai sesi rawatan dijalankan, saya mendapati bahawa terdapat perubahan yang ketara terhadap penguasaan peserta kajian dalam membaca bacaan tahiyat akhir. Perbandingan keputusan yang diperolehi kesemua peserta kajian dalam ujian awal dan ujian akhir boleh dilihat berdasarkan rajah 3 dibawah.

Rajah 3: Graf Perbandingan Keputusan Ujian Awal dan Ujian Akhir

Meneliti keputusan analisis soal selidik pertama berkaitan tahap penguasaan bacaan tahyt akhir, secara keseluruhannya keenam-enam peserta kajian setuju bahawa mereka tidak mampu menguasai bacaan tahyt akhir dengan baik. Kenyataan ini disokong dengan hasil analisis temu bual yang dijalankan bersama-sama peserta kajian. Keenam-enam peserta kajian mengaku bahawa mereka tidak mampu membaca bacaan tahyt akhir dengan baik disebabkan wujudnya tanggapan bahawa bacaan ini sukar untuk dibaca.

Menurut Mohd Najib et.al (2008), kecekapan membaca bergantung kepada kecepatan bacaan dan kefahaman. Tambah beliau lagi, terdapat tiga penentuan yang perlu dibuat untuk memanfaatkan pembacaan iaitu menentukan tujuan sebelum membaca, menilai bahan bacaan dan menentukan teknik apakah yang bersesuaian dengan bahan bacaan untuk mencapai objektif bacaan. Penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) sangat membantu peserta kajian dalam meningkatkan penguasaan mereka terhadap bacaan tahyt akhir kerana kaedah ini memerlukan peserta kajian mengulang-ulang bacaan mereka. Apabila peserta kajian mengulang-ulang bacaan mereka, ditambah pula bimbingan daripada guru secara tidak langsung membantu membaiki bacaan mereka dalam tahyt akhir. Secara tidak langsung apabila diminta untuk memperdengarkan bacaan mereka dihadapan guru tanpa melihat teks yang telah disediakan, mereka akan berasa lebih yakin. Hal ini kerana teknik pengulangan semasa membaca menjadikan mereka lebih teliti terhadap bacaan mereka. Menurut Azizah Zain (2010), antara langkah untuk menggalakkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak bagi meningkatkan kelancaran dan kefahaman ialah menggunakan kaedah bacaan berulang.

2. Membantu meningkatkan kemahiran menyusun ayat dalam bacaan tahyt akhir dengan berkesan menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA).Selain itu, penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) dalam kajian ini juga banyak membantu peserta kajian dalam meningkatkan kemahiran menyusun ayat dalam bacaan tahyt akhir dengan tepat dan berkesan. Berdasarkan hasil keputusan analisis soal selidik 3 yang dijalankan sebelum sesi rawatan bermula, kesemua peserta kajian bersetuju bahawa mereka sering tertukar kedudukan ayat ketika membaca tahyt akhir. Malah apabila melaksanakan solat fardu, mereka juga sering tertukar kedudukan kalimah-kalimah yang terdapat di dalam bacaan tahyt akhir ini. Ketika saya bertanyakan kepada peserta kajian mengapa mereka sering tertukar kedudukan ayat dalam tahyt akhir semasa sesi temu bual dijalankan, kesemua peserta kajian memberikan respon bahawa mereka keliru dengan kalimah-kalimah yang terdapat di dalam tahyt akhir ini. Bunyi kalimah yang seakan-akan sama serta berulang-ulang menyebabkan mereka keliru dan sukar untuk menyusun ayat di dalam tahyt akhir ketika membacanya.

Menurut mazhab Syafie, tasyahhud yakni bacaan dalam tahyt akhir adalah: . . Maksudnya: Segala kehormatan yang penuh berkah, rahmat dan segala yang baik hanya milik Allah, semoga kesejahteraan, rahmat dan berkah Allah di atas engkau wahai nabi. Semoga kesejahteraan atas kami dan hamba-hamba Allah yang sholih. Saya bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan saya besaksi bahawa nabi Muhammad adalah utusan Allah.Mereka berpendapat bahawa yang fardu dapat terwujud dengan bacaan ayat diatas sedangkan mambaca lebih dari itu adalah lebih sempurna. Adapun syarat sah tasyahhud adalah berbahasa arab bila mampu melakukannya, berkaitan antara kalimah-kalimahnya, dapat didengari oleh diri sendiri dan tertib (Syaikh Abdul Rahman, 2013). Salah satu syarat sah tasyahhud iaitu berkaitan antara kalimah-kalimahnya, jelas menerangkan bahawa susunan kalimah yang betul dalam bacaan tahyt akhir sangat penting. Hal ini kerana kesinambungan setiap kalimah di dalam bacaan tahyt akhir membawa maksud yang berlainan. Oleh itu, membaca tahyt akhir mengikut urutan yang betul merupakan elemen wajib dalam menunaikan rukun solat yang ke-11 ini kerana antara syarat sahnya bacaan tahyt akhir ini adalah berkaitan antara kalimah-kalimahnya.

Justeru, penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) sebagai kaedah intervensi dalam kajian ini sangat relevan dan signifikan dengan masalah yang dihadapi oleh peserta kajian. Hal yang demikian kerana perlaksanaan kaedah ini yang memerlukan peserta kajian mengulang-ulang bacaan potongan-potongan ayat yang diterima menjadikan mereka lebih peka serta fokus terhadap kedudukan kalimah-kalimah yang terdapat dalam bacaan tahyt akhir ketika membacanya. Kenyataan ini disokong dengan analisis pemerhatian yang saya jalankan semasa sesi rawatan intervensi dijalankan. Jika sebelum sesi rawatan intervensi dijalankan, peserta kajian sering kali tertukar kedudukan kalimah-kalimah yang terdapat dalam bacaan tahyt akhir. Namun setelah peserta kajian dibantu dengan menggunakan kaedah cerakin ayat, mereka dapat membaca tahyt akhir dengan lancar serta mengikut urutan yang betul. Malah ketika saya meminta mereka menyambung kembali potongan-potongan ayat yang saya bacakan, mereka mampu menyambungnya dengan tepat dan pantas. Oleh itu, saya rumuskan bahawa kaedah cerakin ayat (KCA) sangat membantu peserta kajian dalam menguasai kemahiran menyusun bacaan tahyt akhir mengikut urutan yang betul dan tepat.

3. Membantu mengukuhkan tahap kemahiran menghafal bacaan tahyt akhir menggunakan kaedah cerakin ayat (KCA). Di samping itu, penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) dalam kajian ini membantu saya mencapai objektif kajian yang ketiga iaitu mengukuhkan tahap kemahiran menghafal bacaan tahyt akhir dalam kalangan peserta kajian. Berdasarkan analisis markah yang diperolehi oleh keenam-enam peserta kajian dalam ujian awal serta ujian akhir, jelas menunjukkan perbezaan yang ketara terhadap pencapaian peserta kajian dalam menghafal bacaan tahyt akhir. Hal ini adalah kerana semasa ujian awal dijalankan, kesemua peserta kajian hanya mampu mendapat gred E. Namun apabila ujian akhir dijalankan selepas sesi rawatan intervensi selesai dilaksanakan, kesemua peserta kajian berjaya mendapat gred B dalam ujian akhir yang telah dijalankan oleh saya. Ini membuktikan bahawa kaedah cerakin ayat (KCA) sangat sesuai digunakan untuk membantu murid-murid yang lemah dalam mengingat sesuatu fakta atau ayat yang kompleks. Kenyataan ini disokong dengan hasil analisis pemerhatian berstruktur yang saya jalankan sepanjang sesi rawatan dijalankan. Hasil pemerhatian berstruktur menunjukkan bahawa secara puratanya kesemua peserta kajian berjaya menghafal potongan ayat yang diberikan dengan lancar selepas 8 kali sesi rawatan dijalankan. Malah seramai 3 daripada 6 orang peserta kajian berjaya menyambung bacaan guru dengan baik selepas menjalani 8 kali sesi rawatan. Hasil analisis ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran membaca peserta kajian dalam bacaan tahyt akhir malah kaedah ini juga membantu peserta kajian dalam menghafal bacaan tahyt akhir dengan cepat dan berkesan.

Menurut Azizi Yahya et.al (2005), ingatan adalah proses mental yang menyimpan perkara-perkara yang dipelajari dan kemudian mengeluarkannya kembali sebagai tindak balas dalam situasi yang diperlukan seperti menyelesaikan masalah dan aktiviti pengajaran serta pembelajaran yang selanjutnya. Manakala menurut Ahmad Mohd Salleh (2008), hafalan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang banyak melibatkan ingatan secara langsung. Kaedah ini dianggap penting untuk menguat dan mengembangkan ingatan. Menguasai bacaan dan hafalan bacaan tahyt akhir amat penting dalam kalangan murid khususnya murid-murid yang berada dalam lingkungan umur 10 tahun ke atas. Hal ini kerana bacaan tahyt akhir merupakan rukun solat yang wajib dilaksanakan. Sekiranya ianya dilakukan dengan sambil lewa atau ditinggalkan dengan sengaja akan menyebabkan solat yang ditunaikan menjadi tidak sah (Harun Arrasyid et.al, 2013). Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya:Hendaklah kamu mengajarkan solat kepada si kecil ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika berusia sepuluh tahun.(Riwayat Muslim)Hadis di atas jelas menerangkan kewajipan menunaikan solat seawal umur sepuluh tahun. Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa pada umur sepuluh tahun seharusnya kanak-kanak sudah menguasai dan menghafal bacaan-bacaan dalam solat. Bersesuaian dengan umur kumpulan sasaran dalam kajian ini iaitu sepuluh tahun, kajian ini amat bermakna dijalankan di sekolah. Menurut Ainon Muhammad et.al (2005), mengingat adalah satu kemahiran, oleh itu berlatih adalah penting. Justeru penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) yang merupakan salah satu daripada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran mengingat sangat membantu saya dalam meningkatkan penguasaan hafalan peserta kajian terhadap bacaan tahyt akhir.

RUMUSAN DAN KESIMPULANBerdasarkan dapatan yang diperolehi, penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) dapat meningkatkan penguasaan peserta kajian dalam membaca dan menghafaz bacaan tahyt akhir dengan berkesan. Melalui analisis data kualitatif serta data kuantitaif menggunakan pelbagai jenis instrumen, trigulasi data dapat menyokong dapatan yang diperolehi. Berdasarkan dapatan kajian, kelemahan peserta kajian dalam membaca dan menghafaz tahyt akhir dapat diatasi dengan berkesan. Ini menunjukkan penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan penguasaan murid-murid yang lemah dalam membaca dan menghafaz tahyt akhir dengan berkesan.

CADANGAN KAJIAN LANJUTAN1. Mengukuhkan lagi penguasaan bacaan tahyt akhir terhadap murid-murid yang lemah bermula dari tahun 1 sehingga tahun 6.2. Memperluaskan lagi penggunaan kaedah cerakin ayat (KCA) pada rukun-rukun solat fardu yang lain yakni yang sukar untuk dibaca serta dihafal oleh murid-murid di sekolah.3. Memilih serta menggunakan kaedah pengumpulan data yang lebih sistematik dan mempunyai kesahan data yang tinggi.

RUJUKANAhmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd. .Ahmad Sabri Osman, Sharipah Isa, Che Latif Haji Ismail Prof. Madya. (2007). Penghayatan Ibadah dan Akhlak di Kalangan Pelajar: Kajian Kes di UiTM Perlis. Jurnal Sosial , 10-17.Ainon Mohd & Abdullah Hassan. (2005). Pandai Berfikir. Pahang: PTS Milenia Sdn. Bhd.Al-Quran al-Karim. (n.d.).Amy Sharimie binti Saripudin. (2012). Pendekatan Bimbingan Rukun Solat Murid Tahun Empat Menggunakan Kaedah Mnemonik Berbantukan Multimedia. Kajian Tindakan , 8-16.Asmawati Suhid & Lukman Abdul Mutalib. (2008). Tinjauan Terhadap Kem Bestari Solat. Journal of Islamic and Arabic Education , 3-6.Azizah bt Zain. (2010). Penggunaan Bacaan Berulang Dapat Mempertingkatkan Kelancaran Dan Kefahaman Dalam Kalangan Kanak-kanak Prasekolah. Jurnal Pendidikan , 4-9.Azizi Yahya. (2005). Aplikasi Kognitif Dalam Pendidikan. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd.Dr Hassan Ali Al-Saqqaf. (2013). Sifat Solat Nabi Yang Sahih. Negeri Sembilan: Creative Publika .Hargreave, DJ. (1996). How Undergraduate Students Learn. Journal of Engineering Education , 21.Harun Arrasyid Haji Tuskan. (2013). Pendidikan dan Psikologi Rasulullah S.A.W. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd.Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012, Mei). Draf Dokumen Standard Pentaksiran Pendidikan Islam Tahun 3.Kemmis & McTaggart. (1988). Manual Kajian Tindakan (dalam Bahagian Perancangan dan Penyelididkan Dasar Pendidikan). Kuala Lumpur: Penerbit BPPDP, KPM.Mohd Ayob Awaf. (2013). Pelaksanaan Solat Fardu Dalam Kalangan Murid-murid Melalui Peranan Ibu Bapa di SK Seri Mendapat, Merlimau, Melaka. Prosididng Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI 2013) (pp. 4-6). Tidak Diterbitkan.Mok Soon Sang. (2010). Kompetensi Kecerdasan Emosi. Kuala Lumpur: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Muhammad Hazman Muhammad Din. (2009). Tahap Pengaplikasian Perisian Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Oleh Guru j-QAF: Satu Kajian Kes. Kuala Terengganu: Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail.Zakiah binti Kassim. (2006). Sistem Pembelajaran dan Kaedah Hafazan al-Quran Yang Efektif. Pengajian Asuhan Tilawah Al-Quran , 11-15.Zarina Mohd Yatim. (1994). Strategi Pendidikan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.