sejarah perkembangan bahasa melayu semester 6.docx
Post on 24-Dec-2015
65 Views
Preview:
TRANSCRIPT
SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
1.0 PENGENALAN
Sejarah perkembangan Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut etimologi kata “Melayu”.
Asal usul perkataan ini sebenarnya masih belum disahkan oleh ahli sejarah. Apa yang dapat
dilakukan ialah meneliti beberapa bukti yang dapat dikaitkan dengan kata Melayu, iaitu
catatan Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan
hasil bumi kepada Maharaja Cina sekitar tahun 644-645 Masihi. Ada juga yang
berpandangan bahawa kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera yang
diberikan namanya berdasarkan sebatang sungai bernama Sungai Melayu. Satu catatan
orang Cina ialah seorang sami Buddha yang bernama I-Tsing menggunakan perkataan
tersebut apabila menceritakan tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar tahun 675
Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau
mengembara. Ini dapat dikaitkan dengan kedatangan Indo-Melayu (Austronesia) yang
dikatakan bergerak dari Yunan ke Tanah Melayu.
Istilah Melayu dapat dilihat dari dua segi, iaitu pengertian yang sempit dan pengertian
yang luas (Asmah,1985:37). Bagi pengertian pertama, istilah ini merujuk kepada bangsa-
bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu dan kawasan tradisional
yang disebut sebagai gugusan pulau-pulau Melayu, yakni pulau-pulau yang meliputi
Indonesia hari ini.
Pada tahun 1972, pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk
kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu,
pantai timur Sumatera dan beberapa tempat lagi yang berdekatan. Bahasa yang digunakan
oleh penduduk di kawasan ini ialah Bahasa Melayu. Bahasa ini menjadi bahasa kebangsaan
di Malaysia, manakala di Indonesia dikenal pula sebagai Bahasa Indonesia yang merupakan
bahasa kebangsaan di negara itu juga.
1.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU
Beberapa orang sarjana bahasa Barat telah membuat penyelidikan tentang bahasa-
bahasa yang tersebar di kepulauan Melayu dengan membandingkan antara satu bahasa
dengan bahasa yang lain. Antara pengkaji yang terkenal termasuklah R.H. Geldern, J.H.C.
Kern, Wilhem Von Humboldt, Van Der Tuuk, Otto Demwolff, P.W. Schmidt, Brandstetter,
William Marsden dan lain-lain. Sarjana tempatan yang turut memberi sumbangan terhadap
usaha ini ialah Asmah Haji Omar, Amat Juhari Moain, Harun Aminurrashid, Ismail Hussien
dan lain-lain.
Bangsa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Nusantara (kepulauan
Melayu). Ini berdasarkan dua teori yang dikemukakan oleh para pengkaji, iaitu R.H. Geldern,
iaitu seorang ahli pengkaji prasejarah yang mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari
Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap kapak tua (beliung batu) yang
ditemui. Kapak tua tersebut ditemui di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Hwang,
Salween dan Yangtze yang didapati serupa dengan kapak tua yang ada di kawasan
Nusantara. Beliau menyimpulkan bahawa kapak tua di Nusantara itu dibawa oleh
masyarakat dari Asia Tengah bersama-sama dengan bahasanya sekali.
Pengkaji seterusnya ialah J.H.C. Kern, seorang ahli filologi Belanda juga mengatakan
bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Asia Tengah berdasarkan persamaan beberapa
perkataan. Beliau mendapati ada beberapa perkataan yang terdapat di kepulauan Nusantara
itu terdapat juga di Madagaskar, Taiwan, beberapa pulau di kepulauan Pasifik dan di Filipina.
Beliau juga mendapati bahawa perkataan yang digunakan berasal daripada induk yang
sama, iaitu Asia.
Selain dua tokoh tersebut, William Marsden yang membuat kajian terhadap Bahasa
Melayu mendapati Bahasa Melayu dan bahasa Polinesia itu merupakan bahasa serumpun.
Pendapat yang kedua mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Nusantara yang
bermaksud Bahasa Melayu itu bermula dari Nusantara. Dalam kajian ini, istilah filum
digunakan bagi menggambarkan kelompok bahasa yang menjangkau lebih 5,000 tahun.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji, Bahasa Melayu didapati
tergolong dalam filum bahasa-bahasa Austris yang mempunyai tiga rumpun utama: Bahasa
Austroasia, Tibet-China dan Austronesia (Rajah 1.1).
Rajah 1.1: Pembahagian Filum Austris
FILUM AUSTRIS
AUSTROASIA AUSTRONESIA TIBET-CINA
1.1.1 Keluarga Bahasa-Bahasa Austronesia
Perkataan Austronesia merupakan gabungan dua perkataan, iaitu austro dan nesos.
Perkataan w berasal daripada bahasa Latin, yang bermaksud selatan; manakala perkataan
nesos berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud pulau. Oleh itu, istilah austronesia
membawa pengertian “pulau-pulau selatan” (Asmah,1985:35). Istilah ini diperkenalkan
oleh P.W. Schmidt, manakala istilah Malayo-Polenesia digunakan oleh Wilhem von
Humboldt, ahli bahasa yang telah mengkaji aspek keserumpunan bahasa antara Bahasa
Melayu dengan bahasa-bahasa di daerah Polinesia. Bahasa Austronesia ialah satu rumpun
bahasa yang tergolong dalam satu filum Bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun
bahasa Austroasia dan Tibet–China. Istilah rumpun digunakan bagi menggambarkan
sekelompok bahasa yang mempunyai tempoh masa antara 2,500 – 5,000 tahun.
Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat rumpun, iaitu bahasa-bahasa di
kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa di Hawaii, Tonga
dan New Zealand iaitu di kalangan bangsa Maori), Melanesia (bahasa-bahasa di Fiji, Irian
dan New Caledonia), dan Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert, Carolina, Marshall
dan Marianna) (Rajah 1.2).
Rajah 1.2 : Pecahan Rumpun Bahasa Austronesia
RUMPUN BAHASA AUSTRONESIA
BAHASA NUSANTARA(KEPULAAN MELAYU
BAHASA MALANESIA
BAHASA MIKRONESIA
BAHASA POLINESIA
1.1.2 Rumpun Bahasa Melayu
Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa
Austronesia. Asal-usul Bahasa Melayu adalah dari filum Austris. Filum Austris terpecah
kepada tiga rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia
(dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia), dan rumpun Tibet-China. Rumpun Austronesia
pula dipecahkan kepada empat keluarga, iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia
dan Polinesia (Rajah 1.2). Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-kira 200 hingga
300 bahasa. Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada golongan tertentu
seperti golongan Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Muna-Butung,
Gorontalo, Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi selatan, Bima-Sumba, Ambon-Timul,
Sula-Bacon, dan Halmahera selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong ke dalam
kumpulan bahasa Sumatera.
Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur Bahasa Melayu berasal
daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah
Yunan dan telah turun dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara.
Golongan pertama disebut Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi.
Tidak dijelaskan mengapa mereka berpindah. Mereka tinggal di kuala-kuala sungai dan
pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan. Golongan kedua disebut Melayu
Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Perpindahan mereka juga
tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut jalan
dan laluan yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak golongan
pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke tempat-tempat
yang terpencil, manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah pamah, tanah rendah,
lembah sungai dan di tepi laut.
Selain daripada itu, terdapat teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari
Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat. H. Kern
menyatakan bahawa penduduk di kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian
timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat persamaan-
persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam
seperti suku Naga di India. Henry Yule pula berpendapat seperti J.R. Logan iaitu tentang
wujudnya persamaan adat resam antara penduduk-penduduk di daratan Asia Tenggara
dengan yang terdapat di kepulauan Melayu. Persamaan-persamaan ini menunjukkan
bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama.
Berdasarkan kajian-kajian ini boleh dikatakan bahawa penduduk-penduduk kepulauan
Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Tetapi tidak
dapat dipastikan dari mana. Ada yang mengatakan dari Yunan, di barat daya negeri China;
dari Assam, India; dari Asia Tengah; dan ada juga yang mengatakan dari bahagian selatan
tanah besar Asia Tenggara. Seorang lagi sarjana yang membuat kajian perbandingan
bahasa ialah Mees. Beliau membuat kajian bertitik tolak daripada pembahagian oleh
Schmidt dengan sedikit perubahan dan data yang lebih perinci. Menurut Mees lagi, bahasa
dan dialek di Tanah Melayu tidak dapat tidak, mempunyai hubungan dengan bahasa yang
digunakan di pantai Timur Sumatera, iaitu Bahasa Melayu. Malah, daerah Bahasa Melayu di
luar Tanah Melayu merangkum kepulauan Riau, Palembang, Kampar, Jambi dan Medan.
Bahasa Melayu-Sriwijaya memperlihatkan sisa-sisa tua daripada salah satu Bahasa
Austronesia berdasarkan prasasti yang terdapat pada batu bersurat Talang Tuwo bertarikh
680 Masihi. Di bahagian utara pula, terdapat kelompok bahasa Aceh, bahasa Batak seperti
Karo, Toba, Simalungan, dan Angkola-Mandiling, Nias, Mentawai, Minangkabau dan
Lampung.
Rajah 1.3: Keluarga Bahasa Melayu
Istilah keluarga digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang kurang
daripada 2,500 tahun. Berdasar Rajah 1.3, kita dapati bahawa keluarga Bahasa Melayu juga
mempunyai pecahannya tersendiri. Kumpulan Bahasa Melayu Johor mempunyai induknya
yang bermula daripada Bahasa Melayu Johor kemudian Bahasa Melayu Tengah sebelum ke
Bahasa Melayu induk yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Proto yang juga
merupakan kumpulan Bahasa Austronesia.
Daripada keluarga Indonesia (Nusantara), Bahasa Melayu terpecah kepada 16
subkeluarga atau bahasa, iaitu Bahasa Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak,
Gorontalo, Tomini, Toraja, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Muna-Butung, Bima-
Sumba, Ambon-Timur, Sula-Bacon, Halmahera Selatan-Irian Jaya. Dalam subkeluarga
Sumatera termasuk Bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Melayu, Nias, Lampung, dan orang
Laut.
Osman Omar (1961:3) mengatakan bahawa percabangan Bahasa Indonesia begitu
tersebar luas kerana dikembangkan oleh suku bangsa yang seketurunan dengan bangsa
Melayu dan penyebaran ini terjadi disebabkan sifat semula jadi bangsa Melayu sendiri
sebagai ahli pelayaran dan perantau yang masyhur. Ciri-ciri pelaut dan perantau bangsa
Melayu ini mengakibatkan berlakunya dua pertembungan penting pada induk Bahasa
Indonesia menjadi berbagai-bagai bahasa lain. Menurut Asmah (1985) kawasan penyebaran
bahasa-bahasa Indonesia dianggap sebagai pusat keseluruhan kawasan Austronesia atas
beberapa sebab. Antara lain, keluarga bahasa ini melebihi mana-mana keluarga bahasa dari
segi bentuk-bentuk bahasanya. Malah daripada keluarga bahasa inilah terdapatnya Bahasa
Melayu, iaitu bahasa yang pesat perkembangannya sehingga dijadikan bahasa kebangsaan
bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Malah kerajaan yang memerintah
alam nusantara semuanya terdapat di kawasan Indonesia, misalnya Kerajaan Sriwijaya-
Melaka dan kerajaan Melayu-Johor.
Hal ini diperjelaskan oleh Ismail Hussien (1948:5) yang mengatakan bahawa Bahasa
Melayu hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan
Melayu. Oleh sebab bentuknya yang amat sederhana dan kemungkinan menerima unsur
asing dan sifatnya yang dapat dilentur buat memenuhi keperluan semasa, maka jadilah
Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di
kepulauan Melayu.
Ahli bahasa membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada beberapa tahap, iaitu
Bahasa Melayu Kuno, Bahasaa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden ;
1) Bahasa Melayu Kuno
i. Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga bahasa Nusantara di bawah golongan
bahasa Sumatera. Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad
ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya. pada waktu itu, Bahasa Melayu kuno telah
menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana sifat bahasa Melayu yang
bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu juga
tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem
yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
ii. Oleh sebab agama Hindu menjadi pegangan orang Melayu ketika itu, bahasa
Melayu banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit yang menyumbang
kepada pengayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa
Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap sebagai bahasa sarjana dan digunakan oleh
bangsawan. Bahasa Melayu juga mudah dilentur mengikut keadaan dan
keperluan.
iii. Bukti penggunaan Bahasa Melayu kuno boleh dilihat pada batu-batu bersurat
abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Palawa iaitu ;
a. Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
b. Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
c. Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
d. Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
iv. Berpandukan isinya, penulisan di batu bersurat tersebut dibuat atas arahan Raja
Srivijaya, sebuah kerajaan yang mempunyai empayar meliputi Sumatera, Jawa,
Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra dan Sri Lanka. Oleh itu, ini
menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa rasmi dan
bahasa pentadbiran kerajaan Srivijaya, sekaligus meluaskan penyebaran Bahasa
Melayu ke tanah jajahan takluknya . Walaupun bahasa pada batu bersurat itu
masih berbahasa Sanskrit, akan tetapi masih terdapat pengaruh Bahasa Melayu
Kuno di dalamnya.
v. Istilah “Melayu” timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina pada tahun 644 dan
645 Masehi. Tulisan ini menyebut mengenai orang “Mo-Lo-Yue” yang
mengirimkan utusan ke Negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi
keada Raja China. Letaknya kerajaan “Mo-Lo-Yue” ini tidak dapat dipastikan tetapi
ada yang mencatatkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Jambi, Sumatera.
vi. Selain bukti penggunaan bahasa Melayu kuno di atas,batu bersurat di Gandasuli,
Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Bahasa Melayu kuno mempunyai beberapa ciri iaitu ;
Terdapat unsur-unsur pinjaman daripada bahasa Sanskrit.
Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan – wulan)
Tidak wujud bunyi e pepet (Contoh dengan – dngan atau dangan)
Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat – niparwuat)
Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h
(Contoh: sukhatshitta)
Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)
2) Bahasa Melayu Klasik
2.1 Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
i. Pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13 turut
memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu. Kedatangan Islam ke Tanah
Melayu telah banyak mengubah sistem bahasa Melayu terutama dari aspek kosa kata,
struktur ayat dan sistem tulisan.
ii. Terdapat tiga batu bersurat yang penting, ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan
bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kuno kerana selepas abad
ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.
iii. Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)- ditulis dalam huruf India dan
mengandungi prosa Melayu kuno dan beberapa baris sajak Sanskrit. Bahasanya
berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
iv. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)- masih memakai abjad India dan buat
pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan
rahmat
v. Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)- ditulis dalam tulisan Jawi
dan membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada
abad itu.
2.2 Bahasa Melayu Klasik
Abad ke –13 merupakan waktu bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu
dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Ini telah mempengaruhi bangsa dan
bahasa di sini, terutamanya bangsa dan bahasa Melayu. Pengaruh India sedikit demi sedikit
mula digantikan dengan pengaruh Islam dan Arab. Kegemilangannya bahasa Melayu klasik
boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan
Acheh dan zaman kerajaan Johor-Riau. Zaman penting bagi Bahasa Melayu ialah pada
zaman Kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka yang telah menerima Islam dan
berjaya membina empayar yang luas telah dapat meningkatkan kemajuan dan
perkembangan Bahasa Melayu di rantau ini. Bahasa Melayu telah digunakan dalam
pentadbiran dan aktiviti perdagangan serta menjadi “lingua franca” para pedagang. Bahasa
Melayu juga telah menjadi alat penyebaran agama Islam ke seluruh Kepulauan Melayu.
Bahasa Melayu telah mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan Jawi. Perbendaharaan kata
juga telah bertambah dengan wujudnya keperluan untuk mengungkapkan idea-idea yang
dibawa oleh peradaban Islam. Keagungan Kesultanan Melaka jelas tergambar di dalam
“Sejarah Melayu” oleh Tun Seri Lanang, sebuah karya dalam Bahasa Melayu yang sangat
tinggi nilainya. Kedatangan orang-orang Eropah dan kejatuhan Kesultanan Melaka ke
tangan Portugis pada tahun1511 masehi tidak menamatkan pengaruh Bahasa Melayu.
Ramai di antara mereka yang menjalankan penyelidikan dan menyimpan catatan mengenai
bahasa dan kesusasteraan Melayu. Beberapa contoh usaha mereka ialah :
a. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama
Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada
tahun 1521. Kamus ini merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh
orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan
daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh
daripada tempat asal Bahasa elayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu
tersebar.
b. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia
antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah
Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap
sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.
c. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah
bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah
menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut ;
“Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut,
tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri
Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.”
Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu dan luas penggunaanya di wilayah
ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-raja di Kepulauan Melayu.
Antaranya ialah ;
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London.
Dalam abad ke-17, terdapat banyak usaha oleh sarjana-sarjana Eropah untuk menyusun
kamus dan daftar kata, yang kemudiannya diteruskan kepada bidang morfologi, sintaksis
dan fonologi. Tokoh-tokoh tempatan juga tidak ketinggalan memberikan sumbangan.
Kebanyakan usaha mereka berkisar tentang agama dan sastera. Palembang dan Acheh
telah menggantikan Melaka sebagai pust keintelektualan Melayu. Tokoh-tokoh di Acheh
antaranya ialah ;
a. Sheikh Nuruddin Al-Raniri (“Bustanul Salatin”)
b. Shamsuddin Al-Sumaterani (“Mirat Al-Mukmin”)
c. Abdul Rauf Singkel (“Mirat Al-Tullab”)
d. Hamzah Fansuri (“Syair Perahu”)
Di Palembang pula terdapat Abdul Samad Al-Falambani dengan kitab “Hikayat Al-
Salakin”. Selain daripada Acheh dan Palembang, beberapa tokoh juga timbul di tempat-
tempat lain. Di Brunei, Pengiran Syahbandar Muhammad Salleh (Pengiran Indera Muda)
telah menghasilkan “Syair Rakis”, manakala di Banjarmasin pula terkenal dengan Arshad Al-
Banjari dengan kitab “Sabil Al-Muhtadin”. Sheikh Mohd Ismail Daud Al-Fatani di Pattani pula
menghasilkan “Matla’al Badrain” dan “Furu’ Al-Masail”.
Bahasa Melayu Klasik membawa ciri-ciri berikut ;
Ayatnya panjang, berulang, berbelit-belit dan banyak menggunakan struktur ayat
pasif.
Menggunakan bahasa istana: contoh tuanku, baginda, bersiram, mangkat dsb.
Kosa kata arkaik dan jarang digunakan ; ratna mutu manikam, edan kesmaran
(mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah,
hatta, adapun.
Banyak menggunakan ayat songsang: pendepanan predikat
Banyak menggunakan partikel “pun’ dan `lah’
3) Bahasa Melayu Moden
Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi
Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang
dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik. Sebelum penjajahan
British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa
perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan,
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan yang menyebut bahawa, “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa
Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan
dengan undang-undang Parlimen”.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa
rasmi negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan persekutuan,
negeri, tempatan dan badan berkanun). Laporan Razak 1956 mencadangkan agar bahasa
Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan menjadi
alat utama perpaduan antara kaum.
2.0 Kedudukan, Isu dan Memartabatkan Bahasa Melayu
Kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia melalui beberapa peringkat perkembangan yang
pastinya sentiasa menerima tamparan dan bual bicara daripada pelbagai pihak. Di Malaysia,
bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan
yang mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkara ini
dapat dibuktikan lagi melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, jelas
menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”. Namun, Bahasa Melayu
juga telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak tahun 1957 dan seterusnya
menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang merdeka.
Namun, selepas lebih dari 50 tahun negara menyambut kemerdekaan, penggunaan
bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan perdebatan yang tidak berkesudahan. Paling
menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda dari kaum Cina yang
tidak tahu berbahasa Melayu. Malah lebih banyak jawatan yang di antaranya memerlukan
kefasihan dalam bahasa Cina dan Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam sektor swasta.
Dari segi undang-undang Malaysia, bahasa Melayu diperkukuhkan lagi melalui Akta
Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal.
Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa
di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara itu juga tidak boleh dipinda tanpa
persetujuan Majlis Raja-Raja. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu
pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan
kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem
pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.
Pengecualian penggunaan bahasa Melayu di institusi pendidikan yang bahasa pengantar
utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut di bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa
Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah
menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia
turut digunakan secara rasmi di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan
Negeri. Hanya di peringkat mahkamah, penggunaan bahasa Melayu tidak dimartabatkan
sepenuhnya lagi. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan bahasa
Melayu sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah
Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di Malaysia
adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan
sebahagiannya dalam Bahasa Melayu dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.
Di Malaysia juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap
kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan sehingga kini. Demikian juga peranan
penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis
dan sastera di negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan. Perkara tersebut berlanjutan sehingga kini namun caranya sedikit berbeza.
Malahan, peranan akhbar juga mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu di Malaysia.
Memang diakui kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan
perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang
berkesan di Malaysia. Walau bagaimanapun kini di Malaysia, telah munculnya pelbagai
akhbar berbahasa Melayu seperti akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan
lain-lain lagi. Namun ia kurang mendapat sambutan daripada ahli korporat untuk
mengiklankan jawatan professional dan peluang pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan
walaupun pembaca akhbar-akhbar tersebut di Malaysia adalah paling ramai. Berbeza
dengan akhbar bahasa asing di Malaysia seperti The Star, New Straits Times, The
Sun dan Nanyang Siang Pau, ia dilihat walaupun jumlah pembaca tidak seramai pembaca
bagi akhbar berbahasa Melayu tetapi pengiklanan jawatan professional dan peluang
pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan dilihat lebih banyak dan jauh melimpah ruah
berbanding akhbar berbahasa Melayu.
Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di negara ini telah
direndahkan ekoran salah tanggapan penuturnya. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa
yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa Melayu dianggap hanya
seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala
kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi
dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris. Demikian juga kebanyakan ahli
politik Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran'
termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis rapat rakyat, persidangan dan
sebagainya. Namun yang menyedihkan hati apabila rata-rata orang yang menghadiri
wawancara atau majlis tersebut adalah orang Malaysia tidak kira berbangsa apa sekalipun,
sepatutnya pemimpin Malaysia apabila berbicara bersama rakyat seharusnya menggunakan
bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan yang sepatutnya semua rakyat wajar
menerimanya dengan baik.
Kewajaran menguasai bahasa Inggeris memang tidak boleh disangkal kerana bahasa
Inggeris adalah medium terbaik yang diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah,
wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea,
Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai
'Bahasa Jiwa Bangsa' dan ‘Cintailah Bahasa Kita’ perlu diterapkan dalam setiap sanubari
rakyat Malaysia.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia lebih cenderung menggunakan bahasa
Inggeris bagi menamakan taman perumahan, khususnya di sekitar bandar utama. Tindakan
mereka jelas tidak membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya
membuktikan minda serta tindak tanduk mereka masih terjajah walaupun negara ini sudah
lebih 55 tahun mencapai kemerdekaan. Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan
seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka seolah-olah tidak langsung
mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT. Sikap mereka terhadap pengiktirafan
bahasa Melayu sebagai bahasa utama amat mendukacitakan.
Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam pengiklanan
dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa
pengiklanan utama. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa
kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan
komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan
bahasa Inggeris.
Terdapat juga usaha kerajaan Malaysia untuk membudaya kembali penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, antaranya pada tahun 2009, kerajaan
memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan,
memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia. Menurut portal rasmi
DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan
Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia
kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-
1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu
Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)
dan kini dikenali sebagai BBK.
Dalam bidang pendidikan pula, isu kedudukan bahasa Melayu di Malaysia paling hangat
mendapat liputan dan buah mulut oleh pelbagai pihak bermula dari dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dimana melalui dasar
ini, kabinet Malaysia telah menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa
kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di
semua peringkat pendidikan, dengan memulakan langkah perintisnya untuk diajar kepada
pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; namun dasar PPSMI
sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun
Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Banyak forum, desakan dan demonstrasi telah
berlangsung dengan objektif untuk memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin
dan mengembalikan hak-hak istimewa bahasa Melayu yang semakin nazak di Malaysia.
Akhirnya kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memansuhkan
sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah kerana
pelaksanaannya telah terbukti gagal mencapai sasaran yang diinginkan. Maka dasar
tersebut diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa
Inggeris (MBMMBI).
Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman, Pengarah Institut Hadhari UKM menyifatkan
sebagai seorang saintis beliau amat yakin bidang sains dan teknologi perlu di ajar dalam
bahasa kebangsaan. Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang
sains dan teknologi hanya akan membawa padah dan ia akan membuat kesilapan yang
sama yang telah dibuat oleh Barat. Sains di Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau
kerohanian manakala Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah
membantu dalam banyak situasi.
Menurut Prof Dr Awang Sariyan pula yang juga tokoh bahasa dan Penyandang Pertama
Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian
Asing Beijing, di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-
satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam
pelbagai bidang. Ia dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun
kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu
menjadi bahasa ilmu tinggi.
Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, jelas menunjukkan institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar utama. Namun kini di Malaysia IPTS dilihat lebih cenderung sepenuhnya
mengajar pengajian ilmiah dalam bahasa Inggeris dan menidakkan hak bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmiah dengan begitu jelas sekali. Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah
teras di IPTS, iaitu subjek Bahasa Kebangsaan, Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Islam
atau Pendidikan Moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan
IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali sesetengah IPTS seperti Universiti Multimedia,
Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.
Dalam pelbagai usaha yang dibangunkan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya
kembali memainkan peranan utamanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Malaysia, masih terdapat juga pelbagai lekak lekuk dan ketandusan yang berlaku di
Malaysia kerana usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak menyeluruh malah hanya
tertumpu pada sesuatu bidang atau landasan tertentu. Kekhuatiran terhadap bahasa Melayu
di Malaysia jelas mendapat kebimbangan besar dari pakar, pejuang dan pencinta bahasa
Melayu menerusi pelbagai ketetapan yang dimeterai sepanjang sidang Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu sehingga tahun 2011.
3.0 Perkembangan Sistem Ejaan Jawi dan Rumi
-Bajuri, mintak tolong buatkan
bahagian ni
4.0 Grafik
i. Sumber kewujudan Bahasa Melayu
Kesimpulan ;
Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa Austronesia.
Asal-usul Bahasa Melayu adalah dari filum Austris. Filum Austris terpecah kepada tiga
rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia (dulu dikenali
sebagai Malayo-Polinesia), dan rumpun Tibet-China. Rumpun Austronesia pula dipecahkan
kepada empat keluarga, iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia dan Polinesia
(Rajah 1.2). Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-kira 200 hingga 300 bahasa.
Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada golongan tertentu seperti
golongan Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Muna-Butung, Gorontalo,
Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi selatan, Bima-Sumba, Ambon-Timul, Sula-Bacon,
dan Halmahera selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong ke dalam kumpulan bahasa
Sumatera.
ii. Peta Pergerakan Bahasa dan Bangsa Melayu di Nusantara
Petunjuk : Pergerakan bangsa Melayu yang
Kesimpulan ;
Pergerakan adalah berdasarkan 2 teori iaitu ;
i- Penutur-penutur Bahasa Melayu berasal daripada golongan yang diberi nama
Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun dalam dua
gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara. Golongan pertama disebut
Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi. Mereka tinggal di
kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan.
Golongan kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500
sebelum Masihi. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut jalan dan laluan
yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak golongan
pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke
tempat-tempat yang terpencil, manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah
pamah, tanah rendah, lembah sungai dan di tepi laut.
ii- Bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung
oleh pengkaji-pengkaji Barat. H. Kern menyatakan bahawa penduduk di
kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India.
Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat persamaan-persamaan
adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam
seperti suku Naga di India. Henry Yule pula berpendapat seperti J.R. Logan iaitu
tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk-penduduk di daratan
Asia Tenggara dengan yang terdapat di kepulauan Melayu. Persamaan-
persamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang
sama.
iii- Memartabatkan Bahasa Melayu
BIBLIOGRAFI
1. Abdul Rashid Daing Melebek dan Amat Juhari Moain [2006], Sejarah Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
2. Abdul Rashid Daing Melebek [2010], Sejarah Penyelidikan Barat Tentang Bahasa dan
Bangsa Melayu, Shah Alam,Selangor: Maya Press Sdn. Bhd
3. Ismail Jusoh dan Mat Nor Hussin [2008], Perancangan Bahasa, FBMK ; UPM
4. Abdul Chaer [2007], Kajian Bahasa: Struktur Internal, Pemakaian dan
Pemelajaran,Jakarta: PT Rineka Cipta
5. Asmah Haji Omar. (1985). Susur galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
6. Abdul Rashid Melebek, Amat Juhari Moain. (2006). Sejarah Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia Pub. & Distributors.
top related