masalah disleksia.docx
Post on 17-Jan-2016
28 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1.0 PENGENALAN
Pendidikan merupakan agenda utama dalam membangunkan sesebuah negara dan sistem
pendidikan yang baik mampu memberikan pendidikan kepada semua. Oleh itu, pendidikan
yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai
disediakan. Pendidikan Khas adalah pendidikan yang direka cipta dan dirancang serta
dilaksanakan diperingkat rendah dan menengah bagi kanak-kanak istimewa. Selaras
dengan usaha dan hasrat murni Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil
langkah-langkah untuk memastikan program yang telah dirancang iaitu Integrasi Pendidikan
Khas di sekolah-sekolah kerjaan dilengkapi dengan kemudahan yang mencukpi dan tenagar
kerja guru yang terlatih.
Falsafah Pendidikan Khas ialah satu usaha berterusan untuk menggalakkan
perkembangan optima seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan,
berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta
menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang
dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas,
2005). Sehubungan dengan itu juga kerajaan dibawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9)
telah menaiktaraf 405 projek Pendidikan Khas, 176 projek Integrasi Pendidikan Khas
diperluaskan dan antara lain menaiktaraf 59 buah projek Integrasi Pendidikan Khas
(Disleksia).
Bermasalah pembelajaran merupakan murid-murid yang mempunyai masalah
yang nyata dalam penggunaan deria mendengar, bertutur, membaca, menulis, mengira dan
menaakul. Masalah ini adalah berpuncadari sistem saraf pusat. Pertumbuhan dan
perkembangan yang tidak senormal kanak-kanak biasa kerana kecacatan yang dialami.
Ketidakupayaan berbahasa merupakan antara faktor penyebab yang mana ini memberi
kesan kepada konsep kendiri, daya ingatan dan keupayaan memahami sesuatu. Selaras
dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan kepada perkembangan jasmani,
emosi, rohani, intelek, murid-murid pendidikan khas ini turut tidak dipinggirkan yakni mereka
dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu bermasalah pembelajaran, bermasalah penglihatan
dan bermasalah pendengaran. Kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran pula terdiri
daripada kanak-kanak yang mengalami sindrom down, autism, attention deficit hyperaktif
disorder, terencat akal minimum, dan bermasalah pembelajaran spesifik (Disleksia).
2.0 DEFINISI DISLEKSIA
Menurut Vijayalatechumy A/P Subramaniam (2003) dalam kajiannya
mengenai disleksia, melalui penulisan (Newton, Thomson, 1974) menyebut perkataan
‘dyslexia’ berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud kesukaran
menggunakan leksikon atau perkataan. Seterusnya (Newton, et al, 1979) memperluaskan
lagi sebagai kecelaruan berbahasa di kalangan murid yang mengalami pembelajaran dalam
kelas biasa tetapi gagal untuk memperolehi kemahiran membaca, menulis, atau mengeja
separa dengan kebolehan intelektual yang ada pada mereka.
Seorang pakar perubatan dan ‘ophalomotologist’ iaitu Profesor Berlin pada tahun
1887, telah memperkenalkan perkataan ‘Disleksia’ (Hammond and Hugges, 1996 :3). Di
Malaysia (New Straits Times, 2000 bertarikh 28 Disember:30) perkataan ‘disleksia’ merujuk
kepada masalah yang berkaitan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengeja.
Contoh yang diberi ialah ketidakupayaaan dalam membezakan huruf ‘B’ dengan angka ‘8’,
atau menulis huruf dengan cara terbalik. Siapa yang mempunyai cirri demikain dikatakan
menghidap disleksia (Vijayalatechumy A/P Subramaniam, 2003).
Begitu juga menurut Persatuan Disleksia Malaysia, disleksia ialah kesukaran
mengenal, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup
dan peluang budaya yang sempurna. Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukan
dikategorikan tidak pandai apatah lagi digolongkan dalam golongan orang kurang upaya
(OKU), namun mereka hanya mengalami masalah pembelajaran. Mereka juga mengalami
kecelaruan berbeza dari satu individu dengan individu yang lain, namun pada kebiasaannya
mereka sukar mengeja, memproses fonologi (bunyi) dan tindak balas visual-verbal.
3.0 ETIOLOGI
Menurut Dr. Kasmini Kassim, etiologi bagi kanak-kanak disleksia yakni kanak-
kanak ini menghadapi rencatan perkembangan bahasa dan percakapan yang khusus
sebenarnya mengalami kelewatan perkembangan neurologi dan punca khusus lain tidak
dapat dipertikaikan. Kelewatan perkembangan neurologi sukar hendak diberi penjelasan.
Antara kanak-kanak ini ada yang menunjukkan sejarah trauma kepada otak (trauma
serebrum) sama ada semasa atau sebelum dilahirkan. Kanak-kanak lelaki yang mempunyai
kromosom 47 XXY juga lebih kerap menghadapi masalah bahasa dan percakapan.
Sekiranya seseorang itu mengalami gangguan pendengaran yang teruk pada kedua-dua
belah telinga semasa perkembangan bahasa bermula, ia akan menjejaskan persepsi
percakapan dan seterusnya perkembangan bahasa dan percakapan.
Radin Mas (IPG Melaka) melalui kajian yang telah dijalankan oleh Singleton
(1999) iaitu kajian yang berbentuk ‘digit span tasks’ ke atas kanak-kanak yang mengalami
disleksia dengan kumpulan kanak-kanak normal yang merangkumi aktiviti mengulangi siri
nombor yang diberi secara hafalan ke hadapan atau ke belakang. Selain itu juga kajian
David (2003) ke atas 184 orang kanak-kanak disleksia juga menunjukkan ciri-ciri persamaan
dengan kenyataan Singleton (1999) dan Riddick Wolfie, serta Lumsdon (2002) iaitu pelupa,
gagal mengikuti satu siri arahan yang diberi, kesukaran untuk mengingati nama rakan, rima
lagu, sifir dan apa-apa informasi.
Sofia (2002) menyatakan bahawa disleksia dapat disembuhkan dengan bantuan
rawatan BOLD (2000). Hasil daripada kajian pakar perubatan mendapati kanak-kanak
disleksia dari segi fizikal adalah aktif (Zabidi, 2000). Manakala kajian Musa Abd Wahab
(2002) telah merumuskan bahawa hasil kajian yang dijalankan terhadap 153 orang murid
pemulihan di Zon Pudu Wilayah Persekutuan mendapati 36.3% daripadanya mempunyai
masalah disleksia pada tahap yang serius. Sementara individu murid yang mengalami
masalah disleksia pada tahap yang sederhana dan ringan pula adalah 30.2% dan 33.5%.
Kajian ini hanya memberi tumpuan khusus terhadap masalah 3M dalam kalangan murid
pemulihan. Hynd dan Cohen (1983) pula memetik hasil kajian yang dilakukan oleh Critchley
pada tahun 1978 yang mendapati bahawa masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak
lelaki adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan. Kajian beliau terhadap 1633
kes yang dikenal pasti mengalami masalah pembelajaran disleksia mendapati 1367
daripadanya adalah kanak- kanak lelaki dan 266 sahaja adalah perempuan. Ini
menunjukkan peratusan murid lelaki melebihi 80% berbanding dengan murid perempuan.
4.0 JENIS-JENIS DISLEKSIA
Melalui analisa yang dilakukan Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :
4.1 Disleksia visual (penglihatan)
Kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengigat dan mengenal abjad serta konfugirasi
perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan.
Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara
terbalik.
4.2 Disleksia auditori (pendengaran)
Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan
dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi
percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk
membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi oleh disleksia auditori.
4.3 Disleksia visual-auditori
Kesukaran mambaca yang amat teruk dan ini disebabkan oleh kelemahan untuk
memproses tulisan secara visual dan audio.
5.0 PUNCA-PUNCA KECACATAN
Menurut Mercer 1997; Hammond dan Hughes, 1996 dan Spaafford dan Grosser, 1996
menggariskan beberapa punca disleksia. Untuk memastikan stuktur dan fungsi otak, para
penyelidik telah menggunakan teknologi imejan terkini seperti CAT skan (computerised
resonance tomopgrafic) dan MRI (magnetic resonance imaging). Kedua-dua peralatan
imejan ini digunakan untuk memperolehi imej atau gambar otak dengan lebih terperinci.
Tujaun menggunakan peralatan ini ialh menentukan fungsi otak dikalangan mereka yang
mempunyai masalah pembelajaran taupun tidak. Bagaimanapun keputusan kajian ini tidak
konsisten dan seorang pendidik harus berhati-hati membuat kesimpulan tentang struktur
dan fungsi otak dengan masalah pembelajaran.
Rajah-rajah di bawah menunjukkan beberapa gambaran tentang otak manusia.
Pandangan Sisi Kawasan Pemprosesan Bahasa Dalam Hemisfera Kiri Otak
Pandangan Atas Kawasan Pemprosesan Bahasa Dalam Kedua-Dua Hemisfera Otak
Yang Normal.
Perbandingan Isyarat Saraf Diantara Manusia Normal Dan Mereka Yang Mempunyai Disleksia.
5.1 Cara kerja otak yang berbeza
Kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai pelbagai deficit atau kekurangan
yang disebabkan oleh kurang fungsian (dysfunction) otak. Bukan sahaja bermakna kanak-
kanak itu mengalami kecederaan atau kerosakan dibahagian otak tetapi otak kanak-kanak
disleksia beroperasi berbeza daripada kanak-kanak yang bukan mengalami disleksia
(Rourke, 1991). Punca disleksia dipercayai akibat cara kerja yakni otak yang berbeza
daripada keadaan yang normal (Rajah 1). Melalui imbasan yang dijalankan ke atas mereka
yang mengalami disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat contohnya
ketika membaca adalah bebeza daripada kebiasaannya. Faktor ini mungkin disebabkan oleh
kecacatan yang berlaku semasa beada dalam kandungan mahupun kemalangan.
Rajah 1
Disleksia perkembangan merupakan salah satu gangguan perkembangan fungsi
otak. Disleksia dianggap suatu masalah yang disebabkan oleh gangguan dalam daya ingat
(memori) dan pemprosesan central yang disebut kesulitan membaca. Gangguan
perkembangan hanya terjadi pada bahagian otak yang berhubungan dengan bahasa
khususnya jalur membaca (jalur yang menghubungkan antara pusat penglihatan dengan
pusat bahasa). Namun, walau perkembangan di pusat bahasa terganggu, otak individu
disleksia mampu membuat kompensasi dengan perkembangan pada pusat lainnya.
5.2 Faktor Keturunan ( Genetic / Hereditary Influence)
Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai
latar belakang keluarga juga turut menghidap sindrom yang sama dalam erti kata lain faktor
keturunan ataupun genetik. Kajian yang dijalankan membuktikan, disleksia disebabkan oleh
kromoson 15, 1 dan 16 boleh diperturunkan secara turun temurun yakni daripada genetik ibu
bapa. Menurut kajian Decker dan Defries (1980, 1981), kajian yang dilakukan terhadap 125
keluarga murid yang mempunyai masalah pembelajaran dan 125 murid yang tidak
mempunyai masalah pembelajaran mendapati kadar yang baik terhadap kanak – kanak
masalah membaca terdiri daripada keluarga kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah
pembelajaran. Seperti yang sudah diutarakan di atas, disleksia disebabkan oleh kelainan
genetik. Berbagai genetik sudah ditemui merupakan penyebab disleksia. Daripada kajian-
kajian mendapati bahawa seorang kembar monozigot atau kembar seiras menghadapi
masalah membaca, kembarnya juga menghadapi masalah yang sama.
5.3 Pemakanan
Pemakanan adalah penting untuk pertumbuhan yang normal. Pemakanan yang
cukup dan seimbang mestilah dapat membekalkan kalori yang mencukupi, di samping
bahan-bahan makanan yang tertentu seperti protein, vitamin, zat galian(mineral) dan
sebagainya. Bekalan kalori yang cukup bergantung pada fasa pertumbuhan kanak kanak.
Sekiranya pemakanan tidak mencukupi semasa peringkat kanak-kanak sedang membesar
dengan pesat, pertumbuhan akan terencat (Bernet,2005). Contohnya,kanak kanak pada
tahun pertama dan remaja yang sedang mengalami pertumbuhan pada kadar yang pesat
mesti mendapat bekalan kalori yang mencukupi ada fasa pertumbuhan yang lain. Tanpa
bekalan kalori yang mencukupi pada fasa pertumbuhan cepat ini, proses pertumbuhan akan
terganggu. Daripada jumlah 105 kanak-kanak yang diukur antropometri, hanya terdapat
separuh daripada golongan tersebut mempunyai masalah pemakanan di awalnya.
Namun demikian, orang ramai harus berhati-hati dengan pengambilan pelbagai jenis
vitamin yang dikatakan boleh mengurangkan masalah pembelajaran. Melalui Akademi
Pediatrik Amerika (The America Academy of Pediatricks) telah mengumumkan terapi vitamin
tidak wajar dijadikan rawatan bagi masalah pembelajaran. Hingga kini tidak ada bukti kukuh
dan konsisten bahawa sesuatu ubat-ubatan atau makanan atau minuman dapat
mengurangkan masalah pembelajaran (Abdulla Yusof, Safani Bani, 2006).
Selain itu juga faktor penting dalam pemakanan lebih merujuk kepada pemakanan
ibu semasa mengandung. Hal ini dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan oleh Gold dan
Sherry (1984) mendapati ibu yang mengambil alkohol semasa mengandung berisiko
menyebabkan berlakunya masalah pembelajaran learning difficulties kepada anak yang
dilahirkan. Ia juga dikuatkan dengan kajian oleh Shaywitz et al. (1980) menyatakan
pendedaha kepada cocaine akan menyebabkan kepada perkembangan neuro receptors dan
transmitters serta menyebabkan ketidakfungsian terhadap central nervous systems.
5.4 Biologi
Selain itu juga sejarah kanak-kanak disleksia adalah dilahirkan dalam keadaan tidak
cukup bulan. Ini memungkinkan faktor biologi ini menjadi punca ketidaksempurnaan
perkembangan seorang kanak-kanak kerana kekurangan bekalan oksigen semasa
dilahirkan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang berlaku akan menyebabkan kanak-
kanak ini mengalami masalah belajar yakni disleksia. Terdapat andaian bahawa Biochemical
Abnormalities juga disebabkan oleh sel-sel. Kekurangan dalam pengeluaran
neurotransmitters seperti serotin, neropinephrine, acetylcholine dan bahan kimia yang lain
diandaikan juga antara penyebab kesukaran di dalam neural impulse transmission dan
kesan pembelajaran serta masalah tingkah laku.
5.5 Kematangan
Bahagian tertentu dalam sistem saraf kanak-kanak boleh mempengaruhi
kematangan mereka. Menurut kajian yang dijalankan kanak-kanak perempuan mempunyai
tahap kematangan yang lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki. Faktor ini boleh
menyebabkan berlakunya disleksia pada kanak-kanak tersebut.
6.0 CIRI-CIRI PERKEMBANGAN FIZIKAL, KOGNITIF, SOSIAL
Drake (1989) menyatakan bahawa masalah disleksia dirujuk kepada beberapa ciri,
antaranya: kesukaran belajar berbahasa, ketidakseimbangan dan kebolehan intelektual,
tidak lancar membaca sesuatu bahan bercetak, tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat
(kesukaran meniru tulisan dari papan hitam atau buku), mata menjadi penat setelah
beberapa minit menumpu pada tulisan, dan tumpuan yang terhad (pendengaran dan
pengamatan visual). Murid yang lemah dalam pembelajaran seperti mengalami disleksia
perkembangan ialah kanak-kanak yang membaca kurang baik berbanding dengan kanak-
kanak yang lebih muda darinya kerapkali ditempatkan ke dalam kelas pemulihan khas.
Kelas pemulihan khas diwujudkan bagi mengatasi kegagalan menguasai kemahiran 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira.
Perkembangan kognitif menurut Rosana (1998), kanak-kanak disleksia dapat
dikesan melalui 8 ciri utama iaitu melalui tulisan kosa kata yang tidak seimbang dengan
kosa kata lisan, lambat dalam tindakan berlisan, lemah dalam menyusun isi barangan, tahu
pada sesuatu ketika dan lupa pada hari berikutnya, kurang kemahiran mengeja pada tahap
yang sepatutnya, faham bahan pengajaran di dalam kelas tetapi merosot dalam ujian, tidak
tepat dalam bacaan dan tidak terancang. Dari segi perkembangan fizikal pula, murid-murid
yang mengalami masalah disleksia tidak mempunyai sebarang kecacatan anggota dan
tahap kecerdasan mereka juga adalah normal. Mereka boleh berbual dan bergaul seperti
murid lain. Ini menyebabkan tiada sebarang tindakan diambil bagi membantu kanak-kanak
tersebut dalam pelajaran. Akibatnya, murid-murid ini berkemungkinan besar disalah labelkan
sebagai sama ada murid pemulihan atau bermasalah pembelajaran yang umum sahaja
(Sofiah Ali, 2000; Zabidi Husin, 2000). Perkembangan fizikal mereka juga dilihat, tidak
berminat dalam pelajaran dan selalu dilabelkan sebagai pemalas dan bodoh. Pakaian yang
dipakai sentiasa bersih tetapi tidak kemas dan butang baju sentiasa salah butang. Mereka
juga mempunyai daya pengamatan.pendengaran dan penglihatan yang lemah. Kekeliruan
juga timbul di mana mereka sukar untuk membezakan kiri dan kanan.
Ciri-ciri perkembangan kanak-kanak disleksia ini juga boleh dilihat dari peringkat pra-
sekolah, peringkat sekolah rendah, peringkat sekolah menengah. Pada Kanak-kanak pada
peringkat pra-sekolah, didapati kanak-kanak ini mempunyai kemahiran bertutur yang lambat
dan sukar memahami arahan, suka mengganti perkataan dan hiperaktif, mempunyai
kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah, sering terlupa nama benda-benda atau
pelajaran yang dipelajari, tidak melalui proses merangkak semasa bayi dan suka mendengar
bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri. Pada peringkat sekolah rendah pula, iaitu
seawal dari umur 6 hingga 9 tahun, masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia ini
adalah kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan
perkataan, huruf dan nombor, menggunakan jari untuk mengira dan membaca, sering kali
keliru dengan kiri dan kanan dan mempunyai gaya tulisan cermin atau terbalik.
Apabila umur meningkat kepada 9 hingga 12 tahun pula, masalah lainya akan timbul,
yakni kanak-kanak ini akan melakukan kesilapan ketika membaca, mengeja dan lemah
dalam kefahaman, masa yang lama diambail untuk menyiapkan tugasan atau latihan yang
diberikan dan kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks. Selain itu juga
mereka sangat sukar mengikuti arahan lisan yang panjang dan kelihatan tidak terurus
semasa berada dirumah atau sekolah. Mereka juga mempunyai keyakinan yang kurang dan
menghadapi masalah tekanan jiwa. Apabila meneruskan pelajaran ke sekolah menengah
pula, mungkin masalah ini akan timbul seperti kesukaran menulis karangan, keliru dengan
nombor-nombor dan arahan oral, dan kesukaran mempelajari bahasa lain. Kanak-kank ini
juga tidak mempunyai ramai kawan dan mempunyai perwatakan senyap dan kurang
kemahiran dalam bersosial.
Menurut Rubiah Kulop (1997) dalam satu kajian tentang Guru Khas Pemulihan,
masalah disleksia yang wujud dalam kalangan kanak-kanak pemulihan dapat dilihat melalui
tiga aspek. Pertama, kanak-kanak ini lemah dari segi perkembangan mental dan kadang-
kadang mengalami kecacatan lain seperti gangguan kesihatan, pengalaman yang terhad
serta gangguan emosi. Kedua, kanak-kanak tersebut selalu ponteng sekolah dan
mempunyai latar belakang masalah kemiskinan, dan yang ketiga, kanak-kanak ini
mengalami kesukaran dalam kemahiran bacaan dan penulisan sehingga mengakibatkan
pencapaian yang rendah dalam pelajaran (Rajesvari Ramasamy, 2008).
(Vijayaletchumy A/P Subramaniam, 2003)
7.0 KESAN-KESAN UTAMA KANAK-KANAK DISLEKSIA TERHADAP PEMBELAJARAN
Kanak-kanak yang menghidapi disleksia memberi kesan kepada proses pembelajaran
mereka terutamanya di sekolah. Kesan-kesan utama ini bukan sahaja menggangu
keberkesanan pengajaran yang disampaikan oleh guru, namun yang paling menyedihkan
ialah mereka tidak dapat melalui proses pembelajaran yang lebih berkesan seperti kanak-
kanak normal yang lain. Kesan-kesan utama yang dapat dilihat ialah :
7.1 Membaca
Kebolehan membaca adalah sangat penting bagi membolehkan murid mempelajari
apa yang tersenarai di dalam kurikulum sekolah dan dapat menerima ilmu pengetahuan
yang disampaikan bukan sahaja di sekolah, malah pembelajaran yang berlaku di sekeliling
mereka. Kesukaran membaca menyebabkan murid tidak dapat belajar sendiri. Murid rasa
rendah diri dan tidak berkeyakinan tentang kebolehan sendiri. Rasa rendah diri ini
menjadikan mereka tidak mahu bergaul dengan rakan-rakan yang lain.
7.2 Mengeja
Pada jangka panjang, kebolehan mengeja akan memberi kesan yang lebih negatif
daripada kelemahan membaca. Kelemahan mengeja merupakan faktor kepada kegagalan
murid untuk membaca. Kelemahan mengeja akan menghadkan kebolehan murid untuk
menyampaikan pengetahuan yang telah dipelajari di dalam kelas. Kelemahan ini juga akan
menyebabkan murid sentiasa mendapat markah yang rendah dalam ujian dan peperiksaan.
7.3 Menulis
Masalah utama adalah perbezaan antara kebolehan murid untuk menyampaikan
pengetahuannya secara lisan dan bertulis. Kesukaran-kesukaran oleh murid disleksia akan
memberi kesan negatif terhadap penguasaan kemahiran menulis mereka. Antara kesan
yang dapat dilihat tulisan kanak-kanak ini terbalik iaitu b menjadi d, q menjadi p, 6 menjadi 9
dan sebagainya.
7.4 Tulisan
Tiga aspek tulisan perlu diambil kira iaitu boleh membaca, kepantasan menulis, dan
kematangan menulis. Kelemahan dalam mana-mana aspek ini akan menyebabkan kanak-
kanak menghadapi masalah dalam pembelajarannya.
7.5 Nombor
Kesukaran yang dihadapi dalam numerasi adalah sama dengan kesukaran yang
dihadapi dalam literasi. Murid menghadapi masalah untuk membaca teks, menulis bentuk
digit dan menulis digit bagi sesuatu nilai nombor.
7.6 Bahasa
Kebiasaannya murid mengalami kesukaran untuk menyampaikan pengetahuan,
menggunakan perkataan, menamakan benda, mengingat suku kata bagi perkataan yang
panjang. Ia juga dikenali sebagai kecacatan tersembunyi dan kesan negatifnya juga
merentas kurikulum.
7.7 Emosi/Tingkah Laku
Pencapaian prestasi yang rendah menyebabkan murid rendah diri dan kecewa. Ini
boleh menyebabkan masalah tingkah laku yang lebih teruk, diikuti dengan pencapaian
akademik yang rendah dan seterusnya. Selain itu, masalah tingkah laku menyebabkan
murid menghadapi masalah sosial seperti tidak boleh berinteraksi dengan rakan sebaya.
8.0 LANGKAH PENCEGAHAN
Perlaksanaan Dasar Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 melalui perintah
Pendidikan (Pendidikan Wajib) 2002 yang memberi peluang kepada semua warga Malaysia
yang berumur 6 tahun untuk mendapat pendidikan di institusi yang disediakan oleh pihak
kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia. Peluang diberikan kepada semua
rakyat dalam lingkungan umur agar mendapat pendidikan secara percuma. Dasar
Persekolahan Wajib merupakan antara rentetan dasar-dasar Kementerian Pendidikan
Malaysia yang telah dimurnikan melalui Dasar Pendidikan Untuk Semua, serta Dasar
Pendemokrasian Pendidikan yang telah dilancarkan sebelum ini. Akta Pendidikan Khas
1997 Bahagian II 3(2) seksyen 41. Mengikut akta tersebut semua pelajar bekeperluan khas
yang boleh dididik dan mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan
orang lain-boleh diterima bersekolah. Selain itu,terdapat pelbagai tahap pendidikan yang
disediakan oleh kerajaan kepada murid murid bekeperluan khas di Malaysia antaranya
I. prasekolah,
II. sekolah harian biasa rendah dan menengah
III. sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan
pengajaran berasingan dan separa inklusif.
IV. pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran,
penglihatan, dan pendengaran.
Pendidikan Khas semakin diberi perhatian sejak penggubalan semula Akta
Pendidikan 1991 kepada Akta Pendidikan 1996. Melalui Akta Pendidikan 1996, Seksyen 40:
Menteri hendaklah mengadakan Pendidikan Khas. Menteri hendaklah mengadakan
pendidikan khas di Sekolah Khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34 (1)(b) atau di
mana-mana sekolah rendah dan menengah yang difikirkan oleh Menteri suaimanfaat. Akta
Pendidikan 1996, Bab 8, Seksyen 41, Subseksyen (1)(b) dan Peraturan 4, Peraturan-
peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 iaitu : Dalam melaksanakan kurikulum
pendidikan khas, guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan
pembeljaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu
mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.
Oleh yang demikian, langkah-langkah yang wajar perlu diambil untuk menangani
masalah ini. Jika terdapat masalah disleksia yang dikenal pasti dalam diri seseorang murid,
maka kita boleh salurkan mereka ke program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran
(PKBP). Di sini, sekolah ataupun kelas khas diwujudkan bagi mengumpul dan menempatkan
murid-murid keperluan khas iaitu murid-murid yang mempunyai masalah dalam
pembelajaran. Jika tidak, murid-murid ini akan meneruskan pelajaran mereka sama seperti
murid lain. Setiap tahun mereka akan meningkat dari darjah satu hingga ke sekolah
menengah tanpa dapat menguasai kemahiran 3M. Murid ini akan mengikuti arus
perkembangan pendidikan tanpa dapat menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
sepatutnya mereka kuasai dalam tempoh tersebut. Mereka datang ke sekolah hanya untuk
mengisi masa lapang. Akhirnya mereka akan merasa hampa, terbiar, menjadi tempat
cemuhan guru, dibuli oleh rakan dan sebagainya. Faktor-faktor ini akan menimbulkan rasa
rendah diri yang sukar untuk diatasi oleh murid tersebut.
Antara pendekatan-pendekatan lain yang digunapakai bagi membantu kanak-kanak
disleksia ialah dengan membawa mereka berjumpa dengan psikologi pembelajaran atau
psikologi klinikal bagi mengesan tahap atau peringkat awal kanak-kanak disleksia ini dan
mencari jalan penyelesaian bersesuai dengan tahap disleksia mereka. Kanak-kanak ini juga
akan dibantu dari segi emosi dan kaunseling agar mereka sedar bahawa mereka berbeza
tetapi tetap diterima dan disayangi oleh orang lain. Keprihatinan dari para guru diperlukan
bagi mengesan kemahiran istimewa atau kebolehan semulajadi yang dimiliki oleh mereka
agar kemahiran tersebut dapat digilap dan digalakkan. Guru juga perlu mengambil langkah
agar tidak selalu memarahi mereka tetapi memberi pendekatan yang bersifat kasih sayang,
contohnya dengan memberi mereka hadiah, galakkan dan konsep ganjaran dilakukan bagi
menarik minat mereka untuk terus belajar.
Bagi ibu bapa pula, apa yang penting ialah sentiasa bersabar dengan karenah
mereka walaupun mereka sering gagal dalam melakukan sesuatu perkara. Disamping itu
juga ibu bapa boleh mengambil insiatif dengan memberi pendidikan awal kepada anak-anak
mereka yang mengalami disleksia sebelum memasuki alam persekolahan yang pertama
iaitu tadika mahupun prasekolah. Suasana yang harmoni diperlukan oleh kanak-kanak ini
bagi membantu mereka menjalani hidup yang lebih bermakna. Apa yang penting ialah ibu
bapa digalakkan mengikuti persatuan sokongan ibu bapa atau penjaga bagi kanak-kanak
yang mengalami disleksia.
Selain itu juga, langkah pencegahan disleksia bukan hanya melibatkan kanak-kanak
yang telah disahkan menghidapi disleksia tetapi pencegahan pada peringkat awal yang
melibatkan ibu. Pada peringkat atau proses ini ibu bapa diberikan beberapa panduan dan
maklumat pencegahan bagi mengelakkan anak yang dikandungkan menghidapi masalah
pembelajaran seperti disleksia. Berikut merupakan antara saranan dan pendekatan yang
diberikan kepada ibubapa terutamanya ibu :
1. Pencegahan pelalian rubella kepada ibu sebelum proses kehamilan
2. Ibu yang dijangkiti siflis dapat melahirkan anak melalui pembedahan caeseran
3. Ibu-ibu dinasihatkan mengurangkan pengambilan alcohol terutamanya di peringkat 12-18
minggu mengandung iaitu semasa sel otak sedang terbentuk
4. Sering berjumpa doctor sewaktu proses kehamilan. Ujian-ujian penyaringan seperti
penyaringan metabolic, air kencing, dan ujian darah dapat dilakukan untuk mengesan
kewujudan penyakit.
5. Umur ibu sewaktu mengandung/melahirkan anak biarlah dibawah usia 45 tahun keatas
kerana risiko mendapatkan anak cacat adalah 1:16 kelahiran.
6. Menjarakkan kelahiran untuk menentukan ibu bapa mampu menyara hidup anak-anak
dengan diri mereka.
7. Selepas kelahiran kanak-kanak mereka perlu diberi perhatian untuk proses perkembangan
dan pertumbuhan mereka.
8. Keselamatan perlu dijaga untuk mengelakkan diri daripada mendapat kemalangan tertentu
dibahagian kepala.
9. Permainan yang bahaya seperti permainan kasut roda yang tidak digalakkan
10. Penggunaan yang tidak memakai tali pinggang kaledar yang direka khas kepada bayi
apabila membawa mereka bersiar-siar.
9.0 PENUTUP
Penubuhan program disklesia telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak
pengambilan kumpulan pertama guru-guru untuk menjalani kursus disleksia selama empat
belas minggu. Program ini telah dapat direalisasikan pada 13 Mac 2004 dan memilih
Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2) sebagai sekolah pertama yang memulakan
program ini. Program ini dilancarkan secara rasmi di peringkat kebangsaan pada 16 Jun
2004 oleh Yang Berbahagia Puan Hajah Siti Zaharah binti Mat Akib iaitu Timbalan Ketua
Pelajaran, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Murid-murid yang menghidap disleksia seringkali merasa ketinggalan dalam kelas
kerana masyarakat sering mengaitkan kelancaran membaca dan menulis dengan kepintaran
seseorang murid. Murid-murid disleksia yang mempunyai masalah membaca dan menulis
dianggap murid-murid yang lemah tanpa mengambil kira faktor bahawa murid-murid
tersebut mempunyai kecerdasan otak yang tinggi. Oleh sebab murid-murid disleksia berfikir
dalam bentuk imej, bukan huruf atau angka, maka mereka menghadapi masalah untuk
menyesuaikan cara pembelajaran mereka dengan sistem pembelajaran yang sedia ada.
Menjadi peranan dan tanggungjawab guru dan ibu bapa bagi membantu kanak-
kanak yang yang dikategorikan menghidap disleksia. Kegagalan kita sebagai masyarakat
yang paling hampir dengan kanak-kanak ini boleh menghancurkan masa depan mereka
utntuk menjadi seorang yang berguna. Mungkin kanak-kanak disleksia ini mampu menjadi
personaliti yang terkenal. Sebagai contoh personaliti yang terkenal seperti Albert Einstein,
Henry Ford, Alexander Graham Bell, Walt Disney, Cher, Whoopi Goldberg, General George
Patton, Robin Williams' dan Leonardo da Vinci pada asalnya merupakan individu disleksia.
Contoh beberapa personaliti yang dikemukakan ini menunjukkan bahawa individu disleksia
mempunyai kelebihan dalam 1 atau 2 bidang yang tertentu seperti yang disyorkan oleh
International Dyslexia Association (2003).
Kesungguhan golongan professional berusaha membantu kanak-kanak disleksia.
Usaha ini dapat dilihat melalui tiga orang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM)
menghasilkan perisian baharu berbentuk cakera padat iaitu Phonics Tutor Software untuk
kanak-kanak disleksia visual. Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy
Subramaniam dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra
Malaysia berkata penemuan teknologi itu membantu kanak-kanak disleksia visual
menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Beliau berkata perisian itu
menggunakan enam kaedah mengeja berteraskan Orton-Gillingham Phonogram serta
membantu mereka mencungkil kebolehan dalam aspek berbeza. Produk yang dianggarkan
berharga RM250 di pasaran kelak menekankan aspek bacaan bahasa Melayu berteraskan
Teori Levinson yang sesuai untuk murid disleksia berumur empat hingga sembilan tahun.
Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin menyatakan bahawa
kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap
disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia.
Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam
kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran
berbeza. (Kosmo Online, 2011)
top related