~full aseimen group~
Post on 19-Jan-2016
144 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1.0 PENGENALAN
Malaysia telah mencapai pembangunan sosioekonomi yang memberangsangkan dan
telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan
bandar baru, infrastruktur dan kemudahan awam seperti empangan, lapangan terbang,
pelabuhan, jalan raya, hospital, sekolah jambatan dan sebagainya telah dirancang dan
dilaksanakan hasil komitmen pihak kerajaan. Pembangunan dari aspek fizikal yang semakin
berkembang ini telah memberi implikasi yang besar kepada perubahan landskap negara.
Walaupun proses pembangunan sesuatu bandar penting dalam menaik taraf hidup masyarakat,
namun sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab telah membawa kepada
kesan negatif terhadap alam sekitar dan kualiti hidup kita. Proses pembangunan yang rancak
dilaksanakan kadang kala tidak mengambil kira impaknya kepada alam sekitar. Akibatnya,
beberapa masalah berkaitan alam sekitar muncul selari dengan pembangunan tersebut. Isu-isu
alam sekitar global seperti kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber asli, pemanasan global,
penipisan lapisan ozon, penebangan hutan dan pelbagai masalah pencemaran alam sekitar
merupakan isu yang semakin meruncing dan meningkatkan cabaran dalam pengurusan alam
sekitar.
Pencemaran air adalah antara masalah serius yang berlaku disebabkan oleh
pembangunan yang tidak efisien dan tanpa perancangan yang berkesan. Masalah pencemaran
air yang berlaku menyebabkan negara kita kekurangan sumber air yang bersih untuk kegunaan
harian dan pada masa yang sama sumber protein dan hidupan laut turut terjejas.
Perkembangan pembangunan terutama dalam sektor perindustrian dilihat menjadi agen utama
kepada masalah pencemaran air apabila sisa industri ini dialirkan ke dalam sungai dan pantai
yang berdekatan. Di Malaysia, antara sungai yang mengalami pencemaran yang teruk ialah
Sungai Juru, Sungai Klang, Sungai Pontian Besar, dan Sungai Sepang. Pencemaran merujuk
kepada sebarang perubahan kualiti alam sekeliling yang berpunca dari kegiatan manusia yang
boleh memudaratkan manusia sendiri dan alam sekitar. Pencemaran air pula bermaksud
sebarang unsur yang menyebabkan atau menggalakkan keadaan tercemar di dalam mana-
mana sumber air yang mendatangkan kesan negatif terhadap sebarang bentuk kegunaan
sumber air tersebut (Klein, 1957, dipetik oleh Aiken et al., 1982 dan dipetik pula oleh Mohamad
Suhaily, 2006).
1
Perkembangan Pembangunan di Pulau Pinang
Pulau Pinang adalah antara negara yang dilihat sedang membangun dari segi
pertumbuhan ekonominya. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar
yang dikenali sebagai Seberang Perai. Pulau Pinang merupakan antara negeri yang
mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu sebanyak 1,611,100 orang (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2012). Maklumat tentang pembangunan di Pulau Pinang boleh dilihat
melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) yang merupakan peringkat kedua
dalam sistem perancangan fizikal negara yang berperanan menterjemahkan dasar-dasar
Rancangan Fizikal Negara (FRN). Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyasarkan
pembangunan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju selaras dengan wawasan 2020. Oleh
itu, data-data semasa serta unjuran dan sasaran 2010-2020 negeri Pulau Pinang telah
dibandingkan dengan beberapa petunjuk atau kriteria negara maju bagi meninjau pencapaian
semasa. Secara keseluruhannya, Pulau Pinang didapati telah mencapai beberapa petunjuk
kriteria negara maju dan mempunyai kedudukan yang baik.
Walau bagaimanapun, negeri Pulau Pinang berdepan dengan cabaran dan persaingan
global dalam mempertingkatkan lagi pertumbuhan ekonominya. Antara sektor utama yang
dikenal pasti mempunyai kesan terhadap persaingan global ini ialah sektor perindustrian,
pelancongan, perkhidmatan serta perhubungan dan pengangkutan. Bagi mengatasi masalah
ini, pembangunan sektor perindustrian akan memberi penekanan kepada penyediaan
sokongan ICT bagi menjana peralihan ekonomi negeri daripada P-ekonomi kepada K-ekonomi
yang akan meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri. Perkembangan pembangunan
perindustrian di Pulau Pinang telah memberi kesan limpahan kepada negeri-negeri
bersempadan, misalnya pembangunan kawasan Hi-Tech Park dan kawasan perindustrian
Sungai Petani. Manakala, pembangunan yang berlaku di kawasan sempadan pula dapat
memperkukuhkan peranan yang dimainkan oleh negeri Pulau Pinang sebagai Pusat Wilayah
Utara yang menawarkan kemudahan perkhidmatan kepada kawasan sekitarnya.
Pembangunan secara besar-besaran di sektor-sektor pembinaan, pelancongan dan
perindustrian telah mengakibatkan pengurangan keluasan tanah pertanian di Pulau Pinang.
Sekiranya masalah ini tidak dikawal secara seimbang, akan berlaku kekurangan green cover di
negeri Pulau Pinang yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem. Oleh sebab
kekurangan tanah pamah di Pulau Pinang, para pemaju telah membangunkan tanah berbukit
dan menyebabkan banyak kawasan bukit ditarah untuk tujuan pembangunan. Keadaan ini
2
boleh menjejaskan kawasan tadahan air hujan yang terdapat di Pulau Pinang seperti Air Hitam,
Guillemard, Sungai Pinang, Teluk Bahang dan Batu Feringghi. Seperti yang berlaku di George
Town, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM)
melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang kerana telah meluluskan
banyak projek pembangunan sehingga menjejaskan kehidupan penduduk setempat dan alam
sekitar. Kualiti alam sekitar di Pulau Pinang semakin merosot berikutan pelaksanaan projek
pembangunan yang dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti. Contohnya, pembinaan
kondominium di lereng Bukit Gambir (Utusan Online, 4 Jun 2012).
Pencemaran air adalah masalah utama yang membelenggu negeri Pulau Pinang baru-
baru ini. Menurut Turk et al. (1974) dalam Mohamad Suhaily (2006), pencemaran air dianggap
sebagai sebarang penambahan benda asing yang tidak diperlukan yang menyebabkan
kemerosotan kualiti air. Sesuatu sumber air juga dikatakan mengalami pencemaran apabila
berlaku sesuatu perubahan secara langsung di dalam kandungan air. Perubahan yang
berpunca daripada kegiatan manusia mengakibatkan ketidaksesuaian sesuatu sumber air untuk
sesuatu tujuan dalam seperti asalnya. Air juga dikatakan tercemar apabila dibuktikan
mengandungi beberapa mikroorganisma tertentu atau sebatian-sebatian kimia, menyebabkan
air itu tidak boleh digunakan. Masalah pencemaran yang berlaku di Pulau Pinang bukan sahaja
dirasai oleh penduduk setempat tetapi juga oleh hidupan yang menghuni di persekitaran
berkenaan.
Pada awal tahun ini, media massa dan elektronik banyak melaporkan tentang
pencemaran air yang berlaku di Pulau Pinang. Walaupun Pulau Pinang mempunyai lembangan
saliran yang banyak dan dikatakan mampu menampung keperluan air pada masa hadapan
penduduk negeri itu, namun persepsi itu berubah apabila pulau ini menjadi tumpuan
pembangunan sektor industri dari setahun ke setahun terutamanya selepas diiktiraf sebagai
Penang Cyber city oleh Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia). Penggunaan air di
Pulau Pinang amat tinggi iaitu sebanyak 285 liter/kapita/hari. Pembangunan pesat yang berlaku
di Pulau Pinang kini memberi impak negatif kepada sungai-sungai di Pulau Pinang. Sebagai
contoh, Sungai Pinang yang berada di hulu lembangan Sungai Pinang telah mengalami kadar
pencemaran kekal dan paling kotor. Walaupun sudah sekian banyak usaha program
pemuliharaan dilakukan namun sehingga kini air sungai tersebut tidak sesuai untuk tujuan
minuman (Laporan Kualiti Alam Sekitar 2004).
3
Kebanyakan daripada sungai yang tercemar teruk ini terletak di daerah timur laut iaitu
sebahagiannya kawasan George Town. Sungai-sungai ini tercemar dengan kumbahan sisa
pepejal domestik, kumbahan daripada ladang ternakan khinzir, kumbahan daripada aktiviti
perindustrian dan daripada aktiviti projek pembangunan dan pembukaan tanah secara besar-
besaran serta tidak terkawal. Pada tahun 2002, bilangan sumber pencemaran air di Malaysia
dianggarkan sebanyak 13, 540 (Jabatan Alam Sekitar 20002). Pencemaran air sungai Batu
Feringghi misalnya dikatakan berpunca daripada syarikat pembetungan Indah Water
Konsortium Sdn Bhd (IWK). Sebahagian air laut di pantai itu bertukar menjadi kehitaman yang
dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan dan siasatan awal JAS menemukan elemen
bakteria E-coli dalam sampel air yang diambil dari sungai Batu Feringghi (Berita Harian, 9
Februari 2014). Gambar 1 di bawah menunjukkan pantai Batu Feringghi yang tercemar.
Gambar 1: Keadaan air laut di pesisiran Pantai Batu Feringghi yang dicemari bakteria e-coli (Escherichia
Coli) berhampiran muara sungai Batu Feringghi di George town
Hakisan yang terjadi di lembangan sungai akibat pembangunan memburukkan lagi
keadaan kerana mengurangkan kedalaman serta memperlahankan pengaliran air daripada
sistem saliran ke laut apabila berlaku hujan. Sebagai contoh, Sungai Pinang, Sungai Balik
Pulau dan Sungai Keluang mengalami kadar hakisan yang teruk. Jadual 1 di bawah
menunjukkan indeks kualiti air lembangan sungai, Pulai Pinang bermula tahun 2008 hingga
tahun 2012 yang mengalami pencemaran.
4
Jadual 1: Indeks Kualiti Air Lembangan Sungai, Pulau Pinang 2008 – 2012
SUNGAI INDEKS KUALITI AIR MENGIKUT TAHUN
2008 2009 2010 2011 2012
Juru 57 (T) 62 (ST) 58 (T) 54 (T) 60 (ST)
Pinang 60 (ST) 60 (ST) 46 (T) 62 (ST) 60 (ST)
Jejawi 59 (T) 59 (T) 58 (T) 71 (ST) 71 (ST)
Keluang 69 (ST) 78 (ST) 77 (ST) 84 (B) 83 (B)
Perai 66 (ST) 69 (ST) 61 (ST) 66 (ST) 79 (ST)
Kerian 76 (ST) 79 (ST) 80 (ST) 78 (ST) 80 (ST)
Nota:
IQA = Indeks Kualiti Air / Water Quality Index
IQA 81 – 100 : B (Bersih)
IQA 60 – 80 : ST (Sederhana Tercemar)
IQA 0 – 59 : T (Tercemar)
Sumber: Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (www.penang.gov.my)
2.0 SEKTOR EKONOMI DI PULAU PINANG
Pulau Pinang atau dikenali sebagai Pulau Mutiara yang mempunyai pelbagai jenis
kegiatan ekonomi seperti sektor Perindustrian, Pelancongan, Pertanian, Pembuatan dan
sebagainya. Sektor ekonomi ini dijalankan adalah bermatlamat untuk mencapai negeri maju
menjelang tahun 2010. Setiap sektor ekonomi di Pulau Pinang memainkan peranan penting
dalam memajukan ekonomi negeri sekali gus meningkatkan ekonomi negara. Sebagai negeri
yang mempunyai jaluran pantai yang mengelilingi pulau dan pantai sepanjang Seberang Perai,
pelbagai kegiatan ekonomi yang dijalankan di sepanjang pantai negeri Pulau Pinang seperti
sektor pelancongan, penempatan, aktiviti nelayan, pelabuhan dan sebagainya. Selain itu, pantai
di Pulau Pinang juga terkenal sebagai pusat Pelancongan yang utama di negeri ini, di samping
itu, tempat ini dijadikan sebagai pusat rekreasi bagi penduduk setempat.
5
Sektor Perindustrian
Perubahan global yang melibatkan pergerakan keluar firma pembuatan daripada negara
industri dan kemudiannya kemunculan beberapa Negara Perindustrian Baru (NPB) merupakan
titik awal kepada kemunculan sektor industri Barangan Elektrik dan Elektronik (BEE) di
Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Sejarah awal perkembangan industri BEE bermula di
Pulau Pinang dan Lembah Klang sejak tahun 1970 an dan telah berkembang maju dari segi
produk dan aktiviti pengeluarannya. Sektor BEE adalah penting kepada pertumbuhan ekonomi
Pulau Pinang kerana sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Selain itu
turut juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan juga telah menarik
ramai tenaga buruh dari negeri lain untuk bekerja di negeri ini.
Pertumbuhan pesat sektor ini telah menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu negeri
termaju dan tersenarai sebagai antara lokasi pilihan utama pelaburan asing di Malaysia. Hal ini
disebabkan oleh daya tarikan lokasi negeri tersebut. Selain itu, dominasi asing dalam sektor
industri BEE sangat ketara khususnya di Pulau Pinang. Kawasan perindustrian Bayan Lepas di
Pulau Pinang telah dikenali pada peringkat global sebagai pengeluar produk elektronik
terkemuka di Malaysia sekali gus telah membina reputasi yang tinggi dalam industri tersebut
dan telah diintegrasikan dalam Rangkaian Pengeluaran Global. Perubahan global industri BEE
yang telah membawa kepada aliran masuk pelaburan langsung asing ke negeri ini dan
meningkatkan ekonomi Negara. Walaupun PLA telah membawa banyak perubahan kepada
negeri ini dan juga kepada Negara, pembangunan yang berlaku masih lagi memperlihatkan
beberapa kelemahan yang boleh memberi kesan terhadap pembangunan di negeri ini, selain
daripada beberapa cabaran yang harus diatasi oleh Pulau Pinang dalam usaha untuk terus
menjadi negeri yang menarik kepada pelaburan asing di rantau ini.
Sektor Pembuatan
Sektor Pembuatan juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi
Negara seperti pembuatan lampu LED, tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga solar,
avionik dan aeroangkasa, peranti perubatan dan bioteknologi. Transformasi sektor pembuatan
dan pengekalan daya saingnya terus menjadi antara faktor utama yang menentukan kepesatan
aktiviti ekonomi negara. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8), sektor
pembuatan terus memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan pengeluaran, eksport
6
dan pewujudan pekerjaan sungguhpun ekonomi dunia mengalami kelembapan pada awal
tempoh Rancangan dan meningkatnya persaingan di peringkat antarabangsa.
Penambahbaikan dasar dan inisiatif yang berterusan telah memperkukuh lagi sektor tersebut
bagi menghadapi persaingan dan integrasi yang lebih hebat dalam ekonomi dunia. Inisiatif
tersebut telah menyumbang ke arah penyediaan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif
kepada pelaburan asing dan tempatan termasuk enterprise kecil dan sederhana (EKS).
Sektor Pelancongan
Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Pelancongan
merupakan satu aktiviti ekonomi di mana ia mampu membawa rezeki dan kebaikan kepada
komuniti. Setiap tahun jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja
pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi
tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan
ini juga mempunyai potensi yang besar dan mampu dijadikan sebagai sumber ekonomi baharu
yang menguntungkan negeri dan juga Negara. Peningkatan ekonomi yang melibatkan sektor
pelancongan ini adalah disebabkan oleh banyaknya tempat-tempat yang menarik untuk
dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung
ke negara kita. Sebagai contohnya, Pulau Pinang yang memiliki kawasan rekreasi di Pulau Batu
Ferringhi, Tanjung Bungah, Taman Negara, dan Taman Botani. Di kawasan ini, para pelancong
dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman
hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika.
Selain tempat rekreasi, terdapat juga kawasan pelancongan yang unik dan menarik
seperti Bandar-bandar bersejarah iaitu di George Town. Produk utama yang dipromosikan di
kawasan Bandar George Town ialah warisan sejarah, kebudayaan dan seni bina yang
terpelihara memandangkan George Town merupakan satu-satunya bandar yang mempunyai
kawasan pemuliharaan yang terbesar di Malaysia sebanyak enam zon. Setiap pelancong
mempunyai motif melancong yang berlainan. Dalam kes tertentu, kemudahan membeli-belah
telah dibangunkan sebagai satu motif utama melancong. Oleh itu, pembangunan dari segi
tarikan kemudahan membeli-belah telah menjadi satu alat yang penting untuk mempromosikan
pelancongan. Sebagai contohnya, terdapat kepelbagaian barangan dari pihak penjual
terutamanya dari segi keunikannya, mempunyai pelbagai jenis kedai yang memaparkan imej
kualiti tinggi, mempunyai kemudahan sokongan seperti restoran, pubs dan kemudahan hiburan,
7
mempunyai kawasan pejalan kaki, kemudahan letak kereta, dan kepelbagaian fungsi alam
sekitar yang menjamin kawasan tersebut mempunyai rasa hidup.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh
keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat
digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara
Eropah dan Amerika Syarikat. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para
pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan
tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita. Pada
masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan
budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki
masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya
masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke
Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum
Cina pula terkenal dengan tarian naga.
Industri pelancongan merupakan sumber pendapatan yang penting bagi negeri Pulau
Pinang memandangkan ia menyumbangkan lebih kurang 34.5% daripada KDNK di negeri
Pulau Pinang. Sumbangan daripada industri pelancongan memberi kesan pendaraban kepada
industri-industri lain dan sekali gus meletakkan industri pelancongan sebagai pemangkin
kepada pertumbuhan industri-industri sokongan yang berkaitan. Menurut Ng Yen Yen, sektor
pelancongan akan kekal menjadi peneraju utama pembangunan ekonomi Malaysia. Sektor
yang mampan dan menjana pulangan tinggi ini akan terus memacu ekonomi Malaysia dengan
menyediakan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada Rakyat. Hari ini, Malaysia mencapai
kedudukan yang kukuh dalam pelancongan global. Malaysia merupakan negara ke-9 yang
paling banyak dikunjungi dan memperoleh RM1 bilion penerimaan daripada pelawat asing
setiap minggu. Kelebihan dan kedudukan kukuh yang dimiliki oleh Malaysia dalam industri
pelancongan pada peringkat global. Namun begitu, pihak kerajaan bersama-sama dengan
sektor swasta bagi memajukan lagi sektor ini serta memberi manfaat kepada seluruh Rakyat di
Malaysia.
Pada tahun 2020, dianggarkan sebanyak 36 juta dan penerimaan sebanyak RM168
bilion pelancong yang tiba di Malaysia. Ini bermaksud bahawa industri pelancongan akan
berkembang sebanyak tiga kali ganda dan pelancongan akan menyumbang penerimaan
berjumlah RM3 bilion setiap minggu kepada negara pada tahun 2020. Hasrat yang strategik ini
8
bakal dicapai menerusi 12 inisiatif yang dicadangkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) Pelancongan. Menurut Murphy 1985 pula, menyatakan bahawa pembangunan
pelancongan harus menemui keseimbangan keperluan antara (individu dan peniaga) dengan
pelancong supaya sektor ini dapat dikekalkan dan meningkatkan ekonomi Negara.
Sektor pelancongan ini merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang
kepada ekonomi negara. Namun begitu, industri ini masih perlu diterokai kerana sekiranya tidak
diterokai, sektor ini tidak berkembang dengan maju. Oleh itu, peranan kerajaan dan agensi
pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan.
Sektor Pertanian
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi yang ada di Pulau Pinang iaitu
penanaman padi. Penanaman padi ini menyumbangkan kepada peningkatan ekonomi Negara.
Padi merupakan tanaman yang penting untuk negara Malaysia malah untuk ngara-negara jiran
yang lain. Beras merupakan makanan ruji penduduk Malaysia sehingga kini kadar pengeluaran
beras Negara sebanyak 75%. Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah
penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi
dan mengurangkan padi angin.
Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA) adalah sebuah
agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian Malaysia dan Industri Asas Tani Malaysia.
Matlamat utama IADA adalah tertumpu kepada pembangunan sektor tanaman padi dan pada
kawasan jelapang padi di Pulau Pinang untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi purata
daripada 5.6 m./t/ha kepada 6.5 m/t/ha. menjelang 2015 (RMK10). Sesetengah kawasan telah
dilaksanakan dan ini banyak membantu dan memudahkan kerja-kerja petani dari segi kegunaan
jentera moden di sawah. Bermula dari menggunakan jentera menebas tunggul padi hinggalah
mengangkut padi ke kilang. Di Pulau pinang ini terdapat empat skim secara langsung
dibangunkan sebagai Jelapang Padi iaitu di Skim Sungai Muda (SPU), Skim Sungai Kulim
(SPT), Skim Sungai Aceh (SPS) dan Skim Sungai Burung di Barat Daya. Pembangunan dari
sektor pertanian in mampu meningkatkan ekonomi negeri sekali gus membangunkan ekonomi
Negara. Namun begitu, sektor-sektor ini telah memberi impak yang besar kepada alam sekitar
contohnya berlakunya pencemaran air.
9
3.0 PUNCA-PUNCA PENCEMARAN AIR DI PULAU PINANG
Penyumbang utama pencemaran sungai di Pulau Pinang ialah berpunca daripada loji
kumbahan dan kegiatan sektor perindustrian. Isu pencemaran sebahagian pantai Batu Ferringhi
yang menyebabkan air laut bertukar menjadi hitam dan berbau didakwa berpunca daripada
saluran paip loji kumbahan milik Indah Water Konsortium SDN BHD (IWK). Maklumat awal yang
diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati adanya elemen bakteria (escherichia coli) e-
coli dalam sampel air yang diambil dari sungai Batu Feringghi. Kira-kira 70% sisa buangan dari
bengkel kenderaan dan industri telah dibuang secara terus ke dalam sungai. Kebanyakan
kilang dibina di sepanjang sungai untuk memastikan bahan-bahan buangan disalirkan ke dalam
sungai-sungai berkenaan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai
tidak dirawat dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Kajian
menunjukkan bahawa tidak kurang dari 1 juta kilogram buangan sisa dimasukkan ke sungai
setiap hari akibat daripada kumbahan, industri kelapa sawit dan industri getah (Maheswaran,
1982).
Punca pencemaran air berikutnya ialah pembuangan sampah sarap. Di kawasan
Seberang Perai telah menerima tempias kerana sebahagian sisa buangan penduduk di
bahagian pulau dibawa dengan tongkang menggunakan jalan laut dari Batu Maung ke Tapak
Pelupusan Sampah Pulau Burung untuk dilupuskan setiap hari. Manakala, sampah sarap dari
sekitar Seberang Perai diangkut menggunakan berpuluh-puluh lori sampah. Pihak pengurusan
tapak pelupusan sampah turut melakukan penyelewengan apabila mengalirkan air sisa
buangan ke laut pada waktu malam menyebabkan kualiti air laut terjejas lebih teruk. Ekoran
keadaan itu, Pulau Burung yang merupakan sebuah kawasan nelayan turut menghadapi
masalah kekotoran dan pencemaran akibat kewujudan tapak pelupusan sampah sejak tiga
tahun lepas. Setiap hari tapak pelupusan tersebut akan mengendalikan sekurang-kurangnya 1
300 metrik tan sampah dan sisa buangan seluruh penduduk Seberang Perai dan bahagian
pulau. Sejak tapak pelupusan itu mula beroperasi, penduduk Pulau Burung yang
kebanyakannya nelayan menganggap mereka sebagai mangsa kepada masalah pencemaran
dan kekotoran di negeri itu. Sumber pendapatan mereka terjejas teruk berikutan kekurangan
hasil tangkapan dan bau busuk yang berpunca dari pusat pelupusan itu.
10
Contoh lain ialah di Sungai Pinang, Georgetown Pulau Pinang. Pada ketika dahulu,
sungai ini membentuk sistem pengangkutan air utama tetapi kini telah menjadi ‘sungai mati’
setelah kualiti air yang diakui teruk pada 1980-an, kini menjadi semakin teruk disebabkan
segala bahan buangan dicampakkan ke situ sebelum mengalir ke laut. Laporan Kualiti Alam
Sekitar 2004 menyebut Sungai Pinang terus kekal sebagai paling kotor dan tercemar sepanjang
tahun sepanjang tahun di Malaysia walaupun sudah sekian banyak program pemulihan sungai
itu dilakukan sehinggakan airnya langsung tidak sesuai untuk tujuan minuman. Walaupun kerja-
kerja pembersihan Sungai Pinang sepanjang 3.6 kilometer sedang giat dijalankan sehingga
hampir mencecah kos RM500 juta, namun sehingga kini masih banyak lagi sampah yang
terapung di permukaan sungai, selain kualiti air yang begitu teruk tercemar. Kekotoran dan
pencemaran sungai di Pulau Pinang antara lain berpunca daripada perbuatan golongan yang
tidak bertanggungjawab iaitu mereka yang dianggap tidak menitikberatkan kebersihan alam
sekitar dan kepentingan masyarakat awam lain yang turut mempunyai hak terdapat sungai
tersebut. Selain itu, ia turut disumbangkan oleh minda dan sikap pihak berkuasa dan orang
ramai yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar. Sikap penduduk
yang tidak mengendahkan langsung aspek kebersihan malah menjadi masalah kepada kerja-
kerja pembersihan sungai itu. Justeru, walaupun kerja-kerja seperti mengorek lapisan endapan
dan perangkap sampah dilakukan, masih terdapat sampah sarap yang terus dibuang ke sungai
tersebut.
Selain itu, emas telah dikenal pasti antara punca berlakunya pencemaran di salah
sebuah sungai paling tercemar teruk di Pulau Pinang iaitu Sungai Pinang. Perindustrian
mencuci dan membentuk emas di sepanjang Sungai Pinang antara yang dikenal pasti sebagai
lokasi punca pencemaran di sungai berkenaan. Hal ini ekoran daripada bahan kimia yang
digunakan untuk mencuci emas melibatkan sejenis bahan seperti merkuri yang mampu
membersihkan kotoran yang terdapat pada emas. Namun demikian, merkuri berkenaan dapat
mendatangkan penyakit dan merosakkan paru-paru selain menjadi penyumbang kepada
pencemaran udara dan air. Menurut kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Pembangunan
Perindustrian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIDO) juga menganggarkan 15 juta pelombong
emas serta ahli keluarga mereka yang terlibat dengan kerja memproses emas telah
menyebabkan kerosakan dan kematian otak.
11
Punca berikutnya ialah aktiviti pembangunan tanah serta sumber asli dan pembuangan
sisa ke dalam air. Aktiviti pembangunan tanah dan sumber asli melibatkan pembukaan
kawasan penempatan dan pertanian baru, pembalakan, pembinaan infrastruktur fizikal seperti
jalan raya, pembangunan bandar dan pembinaan projek-projek fizikal seperti perumahan dan
perindustrian. Semua aktiviti ini menimbulkan masalah hakisan tanah yang mencemar air
sungai dari segi kandungan bahan terampai, warna, kekeruhan, bahan organik dan masalah
pemendapan sungai. Menurut Penolong Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pulau
Pinang, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi menyatakan bahawa darah haiwan dari pusat
penyembelihan haiwan berhampiran juga dikenal pasti menjadi punca kepada pencemaran
Sungai Pinang. Darah haiwan menyebabkan warna sungai berubah daripada coklat asal
kepada warna hitam. Pencemaran biologi seperti najis binatang yang menyebabkan
kemunculan bakteria seperti E-coli.
Aktiviti pertanian juga merupakan antara punca utama pencemaran sungai terutama jika
dijalankan di kawasan tanah tinggi. Air hujan yang mengalir dari kawasan pertanian
mengakibatkan hakisan dan meningkatkan kandungan zarah terampai dalam air sungai. Selain
itu, bahan kimia yang terdapat dalam racun rumpai, racun serangga, racun herba serta baja
kimia turut mencemar air sungai. Aktiviti perlombongan juga menjadi penyebab pencemaran air
sungai kerana air dari kawasan perlombongan mengandungi kandungan zarah terampai dan
bahan logam yang ada kaitan dengan mineral yang dilombong yang membahayakan kesihatan
pengguna. Buangan sisa kotoran daripada kawasan perindustrian, perbandaran, perumahan,
perniagaan dan kilang turut mencemarkan air sungai. Lumpur dan tanah liat yang disebabkan
oleh proses hakisan merupakan bahan pencemar yang tidak boleh dipecahkan secara semula
jadi. Pengumpulan dan pemendapan bahan ini dalam saluran air akan mengeruhkan air.
Sekiranya terlalu banyak berlaku pemendapan, maka ia akan mendatangkan kesan buruk
terhadap hidupan air.
Di samping itu, pencemaran air akibat air limbah mentah bukanlah satu masalah baru di
pusat-pusat bandar di Semenanjung. Norris dan Charlton (1962) melaporkan pencemaran air
yang sederhana hingga teruk bagi sampel-sampel air yang diambil daripada beberapa buah
sungai yang telah dikenal pasti pertumbuhan penempatan setinggan di sekitar pusat bandar di
Semenanjung dan perkembangan yang cepat tanpa kemudahan pembetungan yang selari. Sisa
daripada sistem pembetungan Pulau Pinang tidak dipulihkan dan dilepaskan secara mentah ke
dalam laut. Di bahagian-bahagian Georgetown yang tidak disediakan pembetungan, sisa isi
rumah dibuangkan dengan pelbagai kaedah. Di bandar yang lebih besar, sebilangan besar isi
12
rumah dan premis lain mempunyai tandas tarik yang disambungkan kepada setiap tangki tetapi
di bandar kecil sistem angkut dan lubang digunakan. Di kebanyakan kampung bandaran dan
penempatan setinggan, air limbah dibuang secara langsung ke dalam sungai atau ke dalam
lubang tandas yang lazimnya sangat hampir dengan badan air. Tangki septik selalunya
mempunyai reka bentuk yang tidak memuaskan dan sentiasa dibiarkan, melimpah dan kerap
kali rosak (Sivarajah, 1975).
4.0 KESAN PENCEMARAN AIR TERHADAP ALAM SEKITAR DAN KEHIDUPAN
MANUSIA
Air yang tercemar akan memberi berbagai-bagai-bagai kesan kepada benda hidup. Hal ini
disebabkan air merupakan sumber utama kepada semua organisma. Oleh itu, sekiranya
tercemar, air akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja. Pencemaran air akan memberi
kesan kepada kesihatan manusia. Air yang tercemar mengandungi bahan kimia seperti sodium,
nitrat, merkuri dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia. Sebagai
contohnya, sodium boleh memberi masalah kepada jantung, nitrat pula mampu menyebabkan
masalah darah. Merkuri dan plumbum boleh mengakibatkan masalah saraf.
Sesetengah bahan pencemaran boleh menyebabkan barah. DDT (racun serangga)
adalah toksik kepada manusia dan boleh mengubah kromosom. Polychlorinated biphenyls
(PCB) boleh merosakkan hati dan sistem saraf, gangguan kulit, muntah-muntah, demam panas,
cirit-birit dan keadaan tidak normal yang berbahaya. Disentri, Salmonela, Cryp-tosporidium dan
Hepatitis antara penyakit yang berjangkit menerusi keracunan air minuman dan air untuk mandi.
Oleh itu, sesetengah sungai tidak baik untuk dijadikan lokasi bersantai kerana bahan buangan
kilang mencemari kawasan itu.
Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga. Jutaan
manusia mendapatkan air minuman daripada kawasan yang dicemari dengan bahan buangan
manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap
tahun kerana cirit-birit, kebanyakan mangsanya terdiri daripada kanak-kanak. Kesan utama
pembuangan efluen dari sektor perindustrian dapat dilihat secara pemerhatian dan estetik. Air
sungai tidak lagi bersih seperti semula jadi, warnanya mungkin menjadi lebih keruh, berbau dan
airnya menjadi lebih toksik. Keadaan ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat ketara
13
terhadap hidupan akuatik seperti ikan, udang, ketam, plankton dan lain-lain hidupan yang
menggunakan air sebagai medium pernafasan. Hidupan akuatik sangat sensitif terhadap
sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Sesetengah spesies hidupan akuatik
yang tidak dapat menyesuaikan diri dan akhirnya mati akibat pencemaran. Pencemaran air turut
memberi kesan kepada tumbuhan. Dengan peningkatan pencemaran kimia seperti nitrat dan
fosfat, hal ini boleh menyebabkan kerosakan rumpair dalam sistem air, sekali gus mengubah
habitat tumbuhan akuatik.
Perkara ini dapat dilihat melalui kes pencemaran Sungai Juru di Seberang Perai dan
kemerosotan industri perikanan di Kuala Juru telah diberi publisiti yang luas, khususnya melalui
usaha yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (1976). Antara lewat tahun
1960-an dengan 1975, terdapat 40 kilang yang dibina sebaik sahaja ke utara Sungai Juru di
Kawasan Perindustrian Perai. Sebilangan kilang ini melepaskan efluen secara langsung ke
dalam sungai dan ini telah mencemari sungai tersebut terutamanya pada waktu air surut
kerana pada masa ini kadar aliran adalah rendah.
Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang pada tahun
1976, kandungan minyak dan gris, pepejal larut, raksa, plumbum, kromium dan kadmium yang
tinggi ditemui. Kilang tekstil dan kerja-kerja kimia adalah pesalah utama. Tidak menghairankan
bahawa populasi ikan di Sungai Juru telah menerima kesan buruk apabila 30 spesies ikan telah
lenyap. Selain itu, para nelayan juga tidak dapat menjual beberapa spesies yang masih tinggal
kerana rasa dan baunya berminyak. Akibatnya, purata pendapatan daripada penangkapan ikan
para nelayan telah jatuh. Oleh itu, badan-badan penguasa yang berkenaan telah mengarahkan
efluen terus dibuang ke dalam laut dengan itu dapat mengelakkan Sungai Juru terjejas teruk
walaupun gagal menyelesaikan masalah tersebut.
Jika dilihat sejak dahulu kala lagi, manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan
sungai. Dengan berkembangnya bandar dan kegiatan perindustrian, sungai yang mengalir
melalui kawasan bandar mengalami kemerosotan apabila berlakunya hakisan, pemendapan
dan pencemaran pada anugerah alam tersebut. Keadaan ini turut memutuskan hubungan
antara masyarakat dengan sungai kerana sungai bandar tidak lagi boleh digunakan untuk
menangkap ikan, mandi-manda, membasuh dan berekreasi. Penggunaannya terhad kepada
fungsinya sebagai laluan pengangkutan sungai sahaja. Dengan itu, masyarakat tidak lagi
mengunjungi sungai kecuali kerana fungsi pengangkutan sahaja.
14
Kesimpulannya, pencemaran air telah menyebabkan kepupusan kepada hidupan
akuatik di dalam sungai dan seterusnya menjejaskan pembekalan sumber protein kepada
manusia apabila populasi ikan semakin berkurangan. Kesihatan manusia juga terganggu akibat
daripada tindakan sesama manusia itu sendiri iaitu golongan yang tidak bertanggungjawab
memulihara alam sekitar dengan baik dengan melepaskan pelbagai jenis efluen ke dalam
sungai sehingga air sungai sukar dirawat dengan berkesan untuk kegunaan seharian manusia.
5.0 KES-KES PENCEMARAN AIR DI PULAU PINANG
Sungai Batu Feringghi
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti kebocoran daripada saluran paip loji
kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) merupakan penyumbang utama kepada masalah
pencemaran air laut di Sungai Batu Feringghi. Air laut di kawasan itu bukan sahaja bertukar
menjadi warna hitam bahkan juga mengeluarkan bau yang busuk yang didakwa berpunca
daripada saluran paip loji kumbahan milik IWK. Selain daripada pihak IWK, tiga buah premis
makanan, tiga buah kedai dobi dan sebuah kedai cuci kereta juga turut menyumbang
berlakunya pencemaran air di sungai tersebut. Kertas siasatan terhadap IWK berdasarkan
peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 telah dibuat oleh JAS negeri berhubung
dengan masalah pencemaran air di Sungai Feringghi. Aktiviti pemantauan dan pengambilan
sampel air untuk diuji telah dijalankan oleh JAS dalam usaha mengawal pencemaran tersebut.
Mesyuarat yang melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wakil IWK telah diadakan bagi memutuskan
beberapa perkara yang perlu diambil tindakan oleh IWK. Loji sedia ada IWK dikatakan tidak
mampu untuk menampung keperluan semasa dan pihak tersebut seharusnya menaik taraf loji
kumbahan tersebut dalam menangani masalah pencemaran air di Batu Feringghi.
Perkara yang lebih membimbangkan ialah apabila maklumat awal yang diperoleh oleh
JAS mendapati terdapatnya elemen bakteria (Escherichia Coli) E-Coli dalam sampel air yang
diambil dari Sungai Batu Feringghi. Hal ini secara langsung telah mengancam hidupan laut dan
sekali gus menjejaskan kesihatan para pengunjung yang mandi manda di kawasan pantai
tersebut. Kes pencemaran ini telah mendapat perhatian umum memandangkan kawasan
tersebut merupakan antara destinasi pelancongan yang popular di Pulau Pinang.
15
Sungai Juru
Sungai Juru terkenal sebagai sebuah kawasan nelayan dan penternakan kerang. Walau
bagaimanapun, Sungai Juru telah menjadi salah satu sungai di Pulau Pinang yang tercemar
teruk iaitu kualiti airnya berada di antara kelas 3 hingga 4 yang mencerminkan kualiti air sungai
tersebut dalam keadaan tercemar. Antara punca berlakunya pencemaran air di sungai tersebut
ialah kewujudan penempatan setinggan di atas sepanjang tanah rizab Sungai Juru yang tidak
mempunyai sistem pembetungan yang sempurna hingga menyebabkan sisa kumbahan
sewenang-wenangnya dilepaskan ke dalam sungai. Sebilangan besar penduduk di kawasan
setinggan tersebut merupakan pekerja asing yang mahu menetap di kawasan setinggan
tersebut kerana kedudukannya yang berdekatan dengan kawasan perkilangan Perai.
Pembukaan kawasan baru serta kegiatan menambun tanah bagi projek perumahan besar
seperti Projek Bandar PERDA telah menyebabkan air berlumpur mengalir masuk ke dalam
parit dan sungai dan seterunya mengakibatkan Sungai Juru menjadi cetek. Hal ini turut
mengakibatkan banjir kilat mudah berlaku ketika hujan lebat di kawasan tersebut.
Selain itu, pencemaran berlaku disebabkan oleh sikap pengusaha kilang yang tidak
bermoral. Kebanyakan kilang dari Kawasan Perindustrian Perai membuang sisa toksik dari
kilang ke dalam sungai. Masalah berlaku apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai
tidak dirawat terlebih dahulu dan mengandungi bahan toksik yang mencemarkan air sungai. Air
Sungai Juru didapati telah bertukar menjadi warna hitam pekat apabila sampai di laut.
Pencemaran tersebut bukan sahaja telah menjejaskan kualiti alam sekitar malah turut
mengakibatkan mata pencarian kira-kira 300 orang nelayan di kawasan tersebut terjejas apabila
hasil tangkapan ikan dan ternakan kerang telah semakin berkurangan.
Projek ternakan udang seluas 40 hektar yang mempunyai lebih 50 kolam telah
mendatangkan pencemaran air di Sungai Juru apabila sisa kolam ternakan tersebut dibuang ke
dalam sungai dan lama kelamaan sungai tersebut mungkin tertimbus dan menjadi cetek akibat
bahan buangan tersebut. Keadaan sungai yang tercemar menyebabkan pokok-pokok bakau
yang terdapat di sepanjang sungai ini juga mungkin mati dan secara langsung memusnahkan
tempat pembiakan ikan, udang, ketam dan lain-lain hidupan termasuk bekalan makanan
ternakan kerang yang menjadi sumber rezeki nelayan kawasan tersebut. Siasatan serta
tindakan segera perlu dilakukan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan
Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menangani masalah
tersebut.
16
Sungai Pinang
Sungai Pinang yang terletak di Lembangan Sungai Pinang telah terjejas teruk akibat dari
pelbagai aktiviti manusia sama ada yang dirancang dengan baik atau secara haram.
Berdasarkan Laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun 2000, sungai ini dikategorikan
sebagai Kelas V iaitu Sangat Tercemar di bawah Piawaian Indeks Kualiti Air Negara. Oleh itu,
sungai ini tidak lagi sesuai dijadikan sebagai sumber bekalan air harian kerana boleh
membahayakan kesihatan manusia. Aktiviti-aktiviti yang bersangkut paut dengan air seperti
sukan air juga tidak lagi digalakkan untuk dijalankan di sungai ini. Sungai Pinang merupakan
kawasan yang menjadi tarikan penempatan dan ekonomi utama apabila wujudnya bangunan-
bangunan penginapan pencakar langit, bangunan-bangunan lama, kampung tersusun dan tidak
terkecuali kawasan perumahan setinggan di kawasan tebing sungai tersebut. Aktiviti-aktiviti
ekonomi juga giat dijalankan di kawasan tersebut kerana bayak premis perniagaan yang
berskala besar dan kecil didirikan di kawasan sungai tersebut. Aktiviti penternakan dan
pertanian turut dijalankan di beberapa bahagian di sepanjang sungai tersebut.
Secara keseluruhannya, aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh penduduk di sepanjang
sungai tersebut telah menyumbang kepada berlakunya pencemaran air apabila sisa kumbahan
domestik, kumbahan atau efluen industri dan sisa penternakan telah disalurkan ke dalam
sungai tersebut. Kesedaran daripada setiap anggota masyarakat juga penting iaitu mereka
haruslah segera meninggalkan tabiat lama mereka yang gemar membuang sampah sarap ke
dalam sungai sengaja dalam usaha membantu pihak kerajaan mengatasi masalah pencemaran
sungai. Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua kilang perindustrian emas yang
menjalankan aktiviti mencuci dan membentuk emas antara punca sungai tersebut terjejas
dengan teruk. Hal ini terjadi apabila bahan kimia yang digunakan bagi mencuci emas iaitu
merkuri tersebut telah disalurkan ke dalam sungai.
Selain itu, Pangkalan Nelayan Sungai Pinang berhadapan dengan masalah
pencemaran air apabila sisa sembelihan babi dan darah yang disalirkan dari pusat sembelihan
haiwan yang terletak kira-kira 200 meter dari pangkalan berkenaan. Keadaan air di pangkalan
tersebut kelihatan sangat tercemar apabila terdapatnya sisa sembelihan seperti lemak babi
telah terapung dan melekat di bot nelayan manakala air sungai yang mengalir pula berwarna
hijau pekat dan berbau amat busuk. Pencemaran tersebut secara langsung menjejaskan
pendapatan para nelayan apabila banyak hidupan laut mati akibat pencemaran tersebut.
Mereka juga tidak lagi dapat menjalankan penangkapan ikan di kawasan kuala tetapi terpaksa
17
ke kawasan jauh sehingga melepasi Jambatan Pulau Pinang. Penyakit kulit turut dialami oleh
nelayan tersebut akibat terkena air toksik berkenaan.
Golongan nelayan telah mengadu kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang
(MPPP) supaya memperbaiki sistem pembuangan sisa sembelihan babi tersebut sekiranya
tidak berupaya memindahkan pusat sembelihan berkenaan. JPS juga telah mengambil tindakan
dengan mengarahkan pihak berkenaan menggunakan sistem yang lebih baik bagi mengelakkan
darah ini daripada masuk terus ke dalam sungai.
6.0 LANGKAH MENGATASI PENCEMARAN AIR
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi pencemaran air di Pulau Pinang adalah
dengan menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan pengawasan yang berkesan. Antara
undang-undang yang berkaitan dengan usaha mengatasi pencemaran air adalah seksyen 69
dan seksyen 70 akta kerajaan tempatan 1976. Kedua-dua seksyen ini mempunyai larangan
seperti larangan membuang efluen kuari atau industri pembuatan, sampah sarap, kumbahan ke
dalam sungai, dan termasuklah larangan terhadap perbuatan menggunakan sungai, terusan,
dan longkang awam sebagai tempat membasuh pakaian. Larangan ini mempunyai kepentingan
kerana ia dapat menyemai nilai menghargai sungai dalam kalangan masyarakat, mengelakkan
dari memberi gangguan kepada ekosistem hidupan akuatik dan lain-lain. Namun,
penguatkuasaan undang-undang masih belum berkesan untuk mengatasi pencemaran sama
ada air atau pun udara. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu
dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengatasi pencemaran air. Sebagai contoh, pesalah
seksyen akta kerajaan tempatan 1976 boleh dikenakan denda sebanyak RM2 000,00 atau
penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, dan tidak melebihi RM5 00.00 setiap hari
kesalahan itu diteruskan setelah didapati bersalah. Larangan membuang efluen kuari juga
dilihat tidak diendahkan oleh pengusaha kilang dan kerajaan sewajarnya mengenakan
kompaun yang lebih tinggi dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan sebatan mengikut jenis
kesalahan yang dilakukan.
18
Selain itu, mengulas mengenai Akta Kerja Perparitan 1954, seksyen 11 dan 12,
antaranya melarang pencerobohan seperti penyambungan terusan, longkang atau kolam yang
baru dibina kepada sistem perparitan yang sedia ada dan akhirnya masuk ke dalam sungai
sama ada untuk tujuan mengalirkan sisa industri, penternakan dan lain-lain yang akan
mengakibatkan pencemaran sungai terjadi. Akta ini menyatakan bahawa pesalah akta ini boleh
dikenakan denda sebanyak RM500 atau penjara 6 bulan. Denda sebanyak RM500 atau penjara
6 bulan tidak begitu berat bagi seseorang pengusaha kilang untuk menanggung kesalahan
kerana ia bersifat ringan. Dari segi penguatkuasaan undang-undang, pihak berkuasa
sewajarnya mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pesalah dengan meninggikan kadar
denda sehingga RM20 000 dan penjara selama 5 tahun dan juga dikenakan 3 kali sebatan. Di
samping itu, pengawasan yang berkesan boleh dilakukan melalui pemasangan CCTV dan juga
membina kemudahan gerai untuk menempatkan penjaja di sepanjang sungai. Segala kegiatan
sungai tersebut akan dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan yang
selanjutnya. Tuntasnya, langkah yang boleh diambil bagi mengatasi pencemaran air adalah
penguatkuasaan undang-undang dan pengawasan yang berkesan.
Dalam usaha mengurangkan pencemaran air yang berpunca daripada kumbahan
domestik dengan berkesan, kerajaan telah menswastakan sistem pembetungan bagi kesemua
143 kawasan PBT pada tahun 1993. Kegiatan lain yang dijalankan termasuklah Program
Sepuluh Tahun Pemuliharaan Sungai dan Kempen Cintailah Sungai Kita. Beberapa kajian telah
dijalankan bertujuan memperkemas peruntukan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan
dan Efluen-efluen Perindustrian), 1979 bagi mengurangkan jumlah sisa buangan daripada
industri yang dikenal pasti mengeluarkan beban pencemaran yang tinggi. Usaha telah dirintis
bagi mengkaji kesan eksploitasi air bawah tanah yang tidak dikawal untuk menentukan tahap
pencemaran, mendakan tanah dan potensi pengaliran masuk air masin ke darat.
Langkah seterusnya ialah mengadakan program pendidikan. Program pendidikan
termasuklah mengadakan kempen, pengedaran risalah, dan ceramah. Tujuan program
pendidikan diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat
mengenai kepentingan pemuliharaan sungai. Terdapat banyak kempen yang telah diadakan
oleh kerajaan, antaranya adalah melalui jabatan pengairan dan saliran. Jabatan ini telah
melaksanakan kempen cintai sungai kita sejak tahun 1993 dan ia diteruskan sehingga kini.
kempen ini merupakan salah satu usaha JPS untuk memberi kesedaran, empati dan penjagaan
terhadap sungai kita. Selain itu, kempen ini turut menyemai rasa bertanggungjawab sama ada
individu mahupun masyarakat agar bekerjasama memelihara dan memulihara khazanah
19
warisan negara. Kempen ini diadakan pada setiap tahun dan mempunyai tema yang berbeza
pada setiap tahun. Di samping itu, pengedaran risalah dan flyers boleh dipergiat lagi dengan
memberi pendedahan mengenai akibat dari pencemaran air yang berpunca dari kerosakan
manusia sendiri. Kawasan tumpuan yang boleh dijadikan sasaran untuk mengedar flyers dan
risalah adalah seperti kawasan rekreasi, perhentian bas, kompleks membeli belah dan lain-lain.
Selain dari mengedar risalah, sukarelawan hendaklah memberi sedikit penerangan mengenai
punca dan langkah yang boleh diambil untuk membantu pihak berkuasa mengatasi
pencemaran air.
Selain itu, langkah lain yang boleh diambil bagi mengatasi pencemaran air adalah aktiviti
gotong-royong membersihkan sungai. Aktiviti gotong-royong bertujuan untuk menanam nilai
kerjasama antara penduduk dan sebagai langkah menjaga kebersihan kawasan dan alam
sekitar. Aktiviti ini juga boleh diadakan pada setiap bulan dan aktiviti lain seperti melepaskan
anak ikan, pertandingan mewarna dan gotong-royong boleh dijadikan inisiatif dalam usaha
pemuliharaan sungai. Selain itu, pihak berkuasa juga boleh menganjurkan pertandingan
membersihkan dan mencantikkan sungai di peringkat kampung dan juga setiap negeri.
pertandingan ini terbuka kepada semua dan kampung mana yang menjadi pemenang
pertandingan ini akan mewakili negeri masing-masing untuk merebut gelaran juara
pertandingan mencantikkan sungai.
Seterusnya, langkah yang boleh diambil bagi mengatasi pencemaran air adalah melalui
kurikulum pendidikan negara. Pendidikan dan kesedaran yang lebih mendalam dan lebih baik
tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari dapat membentuk sikap
keprihatinan terdapat alam sekitar (Mazalisah & Muhammad Rizal, 2003). Pendidikan alam
sekitar yang formal dan tidak formal yang menyeluruh dan strategi latihan serta program
penyebaran maklumat akan di rumus dan diperkenalkan. Alam sekitar dan pembangunan akan
diintegrasikan ke dalam aktiviti pendidikan dari peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Pendidikan alam sekitar telah menjadi pendidikan yang merentas kurikulum pelbagai bidang
walaupun pada dasarnya ia berkait rapat dengan bidang geografi. Kaedah dan kurikulum
geografi yang berkesan perlu bersifat dinamik, fleksibel dan boleh diubah-ubah dari semasa ke
semasa apabila diperlukan. Justeru itu, pendidikan merentas kurikulum dan penyemakan
semula kurikulum geografi telah dilaksanakan agar bidang geografi menjadi lebih relevan dan
sealiran dengan bidang-bidang lain dalam merealisasikan falsafah pendidikan negara.
Sehubungan dengan ini, elemen alam sekitar semakin mendapat perhatian dalam sistem
pendidikan kerana konsepnya yang mudah di cerakinkan dalam pelbagai bidang ilmu.
20
Malangnya, kurikulum pendidikan negara hanya berfokus kepada aspek teoritikal dan
pengayaan ilmu yang dihayati hanya pada pemikiran dan percakapan sahaja dan jarang sekali
disusuli dengan amalan yang berterusan. Oleh itu, kurikulum pendidikan negara perlu
menerapkan unsur pendidikan yang bukan hanya boleh menimbulkan kesedaran, tetapi juga
persepsi, sikap dan amalan yang berpatutan untuk tempoh yang bukan sahaja di peringkat
sekolah tetapi sepanjang hayat.
Pihak sekolah turut memainkan peranan yang penting dalam menimbulkan kesedaran
tentang alam sekitar. Beberapa tahun lepas, pendidikan sivik dan kewarganegaraan telah
diperkenalkan di peringkat sekolah menengah untuk menyemai kesedaran sivik dalam kalangan
pelajar. antara kesedaran sivik yang hendak disemai adalah nilai mencintai tanah air,
perpaduan kaum, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, dan lain-lain. Melalui
pendidikan sivik dan kewarganegaraan, guru atau persatuan-persatuan seperti persatuan
geografi dan kelab alam sekitar boleh menganjurkan kem dan pameran kepada masyarakat
awam mengenai kepentingan mencintai alam sekitar terutama isu pemuliharaan sungai. Antara
aktiviti yang boleh diadakan adalah ekspedisi sungai, pengindahan sungai seperti membina
landskap dan menanam pokok dan sebagainya. ekspedisi sungai adalah aktiviti lasak yang
mempunyai check point yang harus ditempuhi peserta sepanjang menjejaki sungai yang ingin
dituju. Objektif mengadakan ekspedisi sungai adalah dapat menyemai nilai cintakan sungai dan
menjaga kebersihan kawasan. Selain itu, membina landskap dan menanam pokok dapat
mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk kerjasama dalam memelihara dan
memulihara sungai.
Selain itu, pameran dan ceramah kesedaran hendaklah dianjurkan di peringkat sekolah,
kampung dan ke peringkat yang lebih tinggi seperti persidangan kebangsaan dan
antarabangsa. Ceramah ini boleh diadakan pada setiap hari minggu dan diselitkan dengan
aktiviti kuiz tentang penjagaan sungai. Para pemenang aktiviti kuiz diberi ganjaran sama ada
berupa hadiah atau wang tunai untuk memberi penghargaan kepada mereka. Konklusinya,
program pendidikan antara salah satu langkah bagi menyemai rasa tanggungjawab masyarakat
terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.
Langkah seterusnya yang boleh mengatasi pencemaran air adalah melalui peranan
media sama ada media cetak atau media elektronik. Media dapat membantu memberi
kesedaran kepada masyarakat kerana media memberi pengaruh besar kepada masyarakat.
Media elektronik seperti TV dan radio boleh memperbanyak iklan-iklan seperti iklan 1 negeri 1
21
sungai terbitan Filem Negara dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah
kementerian sumber asli dan alam sekitar. Iklan yang bertemakan sungaiku hidupku, bersama
kita pelihara yang disiarkan saluran TV1 yang menggambarkan kepada kita bahawa punca air
sungai tercemar adalah disebabkan sikap kita yang tidak bertanggungjawab membuang
sampah merata-rata. Iklan tersebut juga menceritakan bahawa antara punca lain yang
menyebabkan pencemaran air adalah akibat pembuangan straw, batang air krim, sudu dan
plastik, dan lain-lain. Selain itu, iklan ini menyeru masyarakat supaya bersama-sama
memelihara dan memulihara sungai kerana menjaga kebersihan sungai adalah tanggungjawab
kita. Selain media elektronik, media cetak juga berpengaruh dalam memberi kesedaran
terhadap masyarakat mengenai penjagaan sungai. Akhbar misalnya boleh menyiarkan gambar-
gambar pembuangan sampah dan akibat dari pencemaran air yang berlaku supaya masyarakat
lebih terkesan akan hal ini. Di samping itu, media cetak lain seperti majalah dan akhbar ilmiah
hendaklah menyiarkan artikel yang menyarankan cadangan mengenai langkah-langkah yang
boleh diambil dalam mengatasi pencemaran air.
Selain itu, langkah lain yang boleh dijadikan inisiatif untuk mengatasi pencemaran air
adalah membangunkan semula tebing sungai. Pihak berkuasa boleh menjadikan tebing sungai
sebagai tumpuan kegiatan ekonomi. Di luar negara seperti San Francisco, pelbagai kemudahan
telah disediakan dan antaranya adalah restoran, kedai runcit dan sebagainya untuk menarik
perhatian pelancong. Selain itu, kawasan tebing sungai boleh juga dibina kemudahan seperti
hotel, pusat maklumat, pusat pameran, pusat persidangan, akuarium, perkhidmatan feri/bot,
lorong pejalan kaki dan taman. Kemudahan ini mampu menggalakkan pelancong untuk tinggal
lebih lama di kawasan tersebut. Seterusnya, tebingan sungai di Malaysia boleh dimajukan
sebagai kawasan rekreasi dan alam semula jadi. Di Chicago dan Broncx pula lebih tertumpu
pada pemuliharaan sungai iaitu membersihkan sungai daripada pencemaran, menanam semula
pokok di sekitarnya, penyediaan kemudahan rekreasi dan mengembalikan peranan sungai
kepada masyarakat. Antara kegiatan rekreasi air yang boleh dilakukan di Malaysia adalah
seperti kayak, kenu, pelayaran, dan berperahu serta ekspedisi sungai. Aktiviti ini mampu
membantu pelancong lebih menghargai akan keindahan alam semula jadi.
Langkah lain yang boleh diambil bagi mengelakkan pencemaran air adalah proses
penapisan semula air. Proses penapisan semula air adalah salah satu kaedah untuk merawat
air tercemar. Penapisan akan diletakkan di tempat kemasukan air yang diambil daripada
sumber air seperti sungai dan berfungsi untuk menyingkirkan sampah besar dalam sungai bagi
mengelakkan masalah tersumbat dan kerosakan di stesen pengepam.
22
Pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, syarikat swasta , pertubuhan bukan kerajaan
(NGO), agensi-agensi dan pakar-pakar serta individu yang mahir berkaitan alam sekitar perlu
bekerjasama dan berperanan penting dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, meningkatkan
kesedaran dan membantu mendidik orang awam tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Terdapat pelbagai kaedah ke arah memberi pendidikan kepada orang ramai. Ini termasuklah
melalui penulisan artikel di surat khabar, internet, menyumbang tenaga mahir dalam bengkel,
seminar atau forum nasional dan memperbanyakkan program-program yang interaktif dan
menarik. Di samping itu, meningkatkan strategi penggunaan iklan dan promosi melalui media
sama ada media elektronik atau media cetak. Tindakan dan amalan di lapangan seperti
ekspedisi, lawatan sambil belajar, pengujian di lapangan, latihan secara praktikal dan
sebagainya perlu juga diimplementasikan agar aktiviti yang dilakukan lebih berkesan.
7.0 KESIMPULAN
Pencemaran air merupakan satu masalah sosial yang memerlukan kerjasama semua pihak
untuk menanganinya. Pengurusan alam sekitar melalui sistem perundangan di dalam
pendidikan merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar
yang semakin meruncing. Setiap negara mempunyai undang-undang yang telah
dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keamanan masyarakat
sejagat. Pencemaran alam sekitar yang berlaku secara berterusan akan menjejaskan kualiti
hidup dan mengganggu kehidupan seharian masyarakat. Oleh itu, kemusnahan alam sekitar
yang berpunca daripada masalah pencemaran yang teruk menyebabkan generasi akan datang
tidak dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar. Keberkesanan pemakaian
undang-undang dalam pendidikan alam sekitar dapat menangani pencemaran alam sekitar dan
sangat sesuai diguna pakai pada masa kini.
Selain itu, pelbagai jabatan kerajaan, pihak swasta, pihak NGO dan individu perlu
bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menawarkan pendidikan secara berterusan
sepanjang hayat dan boleh dipelajari sepanjang masa dan sesiapa jua tanpa mengira umur,
jantina dan bangsa. Sistem pendidikan ini perlu merangkumi semua peringkat ilmu secara
terperinci bermula dengan mengenal pasti punca pencemaran sehinggalah kepada tindakan
dan amalan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah berkenaan. Gabungan pendidikan dan
pandangan serta keadaan sebenar akan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan
meningkatkan kefahaman mengenai alam sekitar yang kompleks ini. Apabila sudah ada
23
pendidikan dan penghayatan maka tindakan dan amalan akan menyusul dengan serta-merta
dan secara sukarela agar pencemaran sungai dapat ditangani pada masa hadapan.
Setiap individu perlu sedar bahawa alam sekitar ialah anugerah yang tidak terhingga
yang harus dipelihara agar warisannya akan kekal untuk tatapan generasi akan datang.
Tanggungjawab menjaga dan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab setiap anggota
masyarakat. Persekitaran yang bersih dan selamat amat penting dalam meneruskan kehidupan
yang aman dan sejahtera.
24
BIBLIOGRAFI
Hamidi Ismail & Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, 2006. Isu-isu Pengurusan Alam
Sekitar. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
Jamaluddin Md. Jahi,1996. Impak Pembangunan Terhadap Alam Sekitar. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Jamaluddin Md. Jahi dan Ismail Ahmad, 1998. Pengantar Geografi Fizikal. Kuala Lumpur:
Tropical Press.
Maheswaran, A.,1982. Water Pollution in Malaysia: Problem Perspectives and Control,
Development and the Environment Crisis. Pulau Pinang: CAAP
Mazdi Marzuki dan Mohamadisa Hashim (2006). Geografi alam sekitar dalam pendidikan
negara. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Hairy Ibrahim, Mohmadisa Hashim dan Nasir Nayan, 2006. Isu-Isu & Pengurusan Alam
Sekitar Fizikal. Perak : Universiti Pendidikan Sultan Idris
Nasir Nayan, Mohd Hairy Ibrahim, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah, Mohamadisa Hashim
dan Azmi Ahmad Baharom (2009). Persekitaran Fizikal di Malaysia : Isu dan cabaran
semasa. Tanjung Malim : Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Noraini Misnan dan Main Rindam (2012). Morfometri Lembangan Sungai-sungai Utama di
Pulau Pinang. Malaysia Journal of Society and Space 8 Issue 3 (71-81). USM: Pulau
Pinang.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), 1976. Pencemaran: Kuala Juru Berjuang Untuk
Hidup. Pulau Pinang: CAP
Sulung Mohamad (1994). Pembangunan dan persekitaran di Semenanjung Malaysia. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Sulung Mohamad, Mohd. Ekhwan Toriman, Kadaruddin Aiyub, Mokhtar Jaafar, 2005. Sungai &
Pembangunan: Tebingan Sungai Bandar Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Surtahman Kastin Hasan & Abd. Ghafar Ismail, 1997. Alam Sekitar, Permasalahan dan
Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
25
Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, 1999. Punca-Punca Pencemaran Kualiti Air Lembangan
Sungai Jeloh, Kajang Selangor. Latihan Ilmiah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Laporan Siasatan Pencemaran Pantai Batu Feringghi Diserah Esok. Berita Harian, 9 Februari
2014. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my
Pinang Abai Alam Sekitar. Utusan Online, 4 Jun 2012. Diperoleh pada 20 Mac 2014 daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120605/dn_03
Perairan Pulai Pinang Tidak Selamat. Berita Harian, 6 Februari 2014. Diperoleh daripada
http://marcomm.upm.edu.my/imarcomm/v1/storeNewsClip/20140206131808.pdf
Tanggungjawab Kerajaan Negeri: Jas. Berita Harian, 10 Februari 2014. Diperoleh daripada
http://marcomm.upm.edu.my/imarcomm/v1/storeNewsClip/20140210104641.pdf
Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang: www.penang.gov.my
26
top related