tajuk 10-komunikasi tradisional

18
1 KOMUNIKASI TRADISIONAL TAJUK 10 KOMUNIKASI TRADISIONAL HASIL PEMBELAJARAN Diakhir unit ini, anda diharapkan dapat; 1. Menghuraikan apakah media tradisional, pantun, seloka, gurindam dan peribahasa. 2. Menilai dan mengesyorkan langkah-langkah yang sesuai bagi mengekalkan kerelevanan media komunikasi tradisional masyarakat Melayu. 3. Menghuraikan halangan-halangan yang dihadapi oleh media komunikasi tradisional masyarakat Melayu. 4. Menganalisis mesej dan maksud pantun, seloka, gurindam dan peribahasa dengan baik. MEDIA TRADISIONAL Sejak zaman berzaman media komunikasi tradisional memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Melalui media inilah segala bentuk maklumat disampaikan. Dalam masa yang sama, ia juga menjadi sumber hiburan, pendidikan, kesenian dan sebagainya lagi. Media ini dikenali juga sebagai media rakyat dan sesetengahnya pula menyebutnya sebagai kesenian rakyat. Secara umumnya, media tradisional dapat dikatakan sebagai komunikasi bentuk-bentuk verbal, gerakan, lisan dan visual yang dikenal atau diakrabi rakyat, diterima oleh mereka dan diperdengarkan atau dipertunjukkan untuk mereka dengan tujuan untuk menghibur, memaklumkan, mengajar dan mendidik. Sejajar dengan definisi ini, media rakyat tampil dalam bentuk nyanyian rakyat, tarian rakyat, muzik, instrumental rakyat, drama rakyat, pidato rakyat, semua hasil sastera rakyat, visual, pertunjukan yang diteruskan dari satu generasi ke satu generasi (http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html ). Media tradisional sering juga disebut sebagai folklor yang merangkumi; a. Cerita prosa rakyat (mitos, lagenda, dongeng) b. Ungkapan rakyat (peribahasa, perumpamaan, pepatah) c. Puisi rakyat d. Nyanyian rakyat e. Teater rakyat f. Gerak isyarat (menggenyitkan mata tanda cinta) g. Alat pengingat (menghantar sirih pinang sebagai tanda meminang) h. Alat bunyi-bunyian (kerantong, gong, beduk, kompang) (http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html ).

Upload: muhamad-sufian

Post on 31-Oct-2015

139 views

Category:

Documents


8 download

TRANSCRIPT

Page 1: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  1  KOMUNIKASI TRADISIONAL

TAJUK 10

KOMUNIKASI TRADISIONAL

HASIL PEMBELAJARAN Diakhir unit ini, anda diharapkan dapat;

1. Menghuraikan apakah media tradisional, pantun, seloka, gurindam dan peribahasa. 2. Menilai dan mengesyorkan langkah-langkah yang sesuai bagi mengekalkan

kerelevanan media komunikasi tradisional masyarakat Melayu. 3. Menghuraikan halangan-halangan yang dihadapi oleh media komunikasi tradisional

masyarakat Melayu. 4. Menganalisis mesej dan maksud pantun, seloka, gurindam dan peribahasa dengan baik.

MEDIA TRADISIONAL

Sejak zaman berzaman media komunikasi tradisional memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Melalui media inilah segala bentuk maklumat disampaikan. Dalam masa yang sama, ia juga menjadi sumber hiburan, pendidikan, kesenian dan sebagainya lagi. Media ini dikenali juga sebagai media rakyat dan sesetengahnya pula menyebutnya sebagai kesenian rakyat. Secara umumnya, media tradisional dapat dikatakan sebagai komunikasi bentuk-bentuk verbal, gerakan, lisan dan visual yang dikenal atau diakrabi rakyat, diterima oleh mereka dan diperdengarkan atau dipertunjukkan untuk mereka dengan tujuan untuk menghibur, memaklumkan, mengajar dan mendidik. Sejajar dengan definisi ini, media rakyat tampil dalam bentuk nyanyian rakyat, tarian rakyat, muzik, instrumental rakyat, drama rakyat, pidato rakyat, semua hasil sastera rakyat, visual, pertunjukan yang diteruskan dari satu generasi ke satu generasi (http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html).

Media tradisional sering juga disebut sebagai folklor yang merangkumi;

a. Cerita prosa rakyat (mitos, lagenda, dongeng) b. Ungkapan rakyat (peribahasa, perumpamaan, pepatah) c. Puisi rakyat d. Nyanyian rakyat e. Teater rakyat f. Gerak isyarat (menggenyitkan mata tanda cinta) g. Alat pengingat (menghantar sirih pinang sebagai tanda meminang) h. Alat bunyi-bunyian (kerantong, gong, beduk, kompang)

(http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html).

Page 2: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  2  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Apakah Fungsi Utama Media Tradisional?

Dalam masyarakat Melayu, media tradisional berfungsi sebagai;

a. Alat Penguat Kuasaan Undang-undang dan Peraturan Rakyat dipersembahkan dengan pelbagai cerita dongeng supaya mereka mengetahui implikasi sesuatu perbuatan yang menyalahi peraturan dan amalan hidup masyarakat. Contohnya, tidak boleh menderhaka kepada raja, hormat kepada orang tua, patuh kepada pemimpin, dan sebagainya lagi. Adat istiadat pula menjadi pedoman dan peraturan masyarakat. Adat mempunyai tatacara komunikasi iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan (http://uitm.academia.edu/wiramanja/papers/440258/Komunikasi-Dalam-Adat-Melayu-Tradisional). Komunikasi lisan dilakukan secara bersemuka dan komunikasi bukan lisan menggunakan simbol-simbol, lambing, isyarat dan sebagainya lagi.

b. Alat Pendidikan Dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah rakyat dipersembahkan dengan watak Si Putih yang jujur, baik dan berakhlak mulia manakala Si Merah merpakan seorang yang pendendam, khianat dan dengki. Walaupun menerima berbagai pengkhianatan daripada Si Merah dan ibunya, akhirnya Si Putih telah dapat berkahwin dengan anak raja dan duduk di istana. Mesej yang ingin disampaikan ialah supaya masyarakat berakhlak mulia, jujur dan yang baik itu akhirnya akan memperolehi kemenangan dan kebaikan juga. Dalam cerita-cerita rakyat seperti inilah, nilai-nilai tertentu diajarkan dan di didik kepada rakyat supaya menjadi manusia yang berguna kepada Negara, agama dan bangsa.

c. Sebagai Penguatkuasa Adat Media tradisioanal memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat mengenai amalan dan perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu dan diperturunkan dari satu jenerasi ke satu jenerasi. Sama ada pantun, cerita-cerita rakyat, gurindam mahupun syair semuanya menjadi media penyampai tentang adat, norma dan amalan masyarakat. Pada zaman dahulu ibu bapa bercerita dongeng terhadap anak-anak mereka bukan hanya bertujuan untuk berkumpul tetapi dalam masa yang sama untuk menanamkan nilai-nilai dan norma sosial.

d. Sebagai Sistem Penyampai Maklumat Maklumat dikomunikasikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk media tradisional. Umpamanya kerantong kalau dipukul mengikut irama-irama tertentu akan memberikan makna-makna tertentu. Biasanya ia digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang waktu solat, ancaman dan bahaya seperti banjir, kebakaran dan kecurian serta kematian. Gong pada zaman dahulu merupakan alat komunikasi penting kepada raja untuk menghimpunkan rakyat baginda. Apabila gong dipalu mengikut irama yang khusus untuk memanggil rakyat berhimpun, maka berduyun-duyunlah rakyat datang ke istana untuk mendengar pengumuman raja. Beduk mempunyai fungsi yang sama seperti kerantong, iaitu untuk menyatakan waktu solat telahpun masuk manakala nafiri digunakan sebagai isyarat untuk berperang dan meminta rakyat supaya siap siaga untuk mempertahankan Negara. Selain itu Nafiri juga digunakan menyatakan berburu (http:www.cleenos.com/node/76).

Page 3: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  3  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Keistimewaan Media Tradisional

Media tradisional berkembang dan berakar umbi dalam masyarakat kerana peranannya yang begitu luas. Ia terdapat dalam pelbagai kegiatan masyarakat dan wujud dalam berbagai corak dan jenis seperti syair, gurindam, cerita-cerita rakyat, peribahasa, seni dan sebagainya lagi. Jadi, ianya begitu akrab dengan rakyat dan kosnya yang secara relatifnya amat rendah memang sesuai dengan taraf hidup dan kemampuan masyarakat waktu itu. Apatah lagi apabila ianya mudah difahami kerana menggunakan bahasa tempatan atau dalam lingkungan masyarakat itu. Media tradisional juga mempunyai ciri-ciri fleksibal iaitu mudah diubahsuai dan diselarikan dengan kehendak dan cita rasa masyarakat, boleh diulang-ulang dan kerap berbentuk komunikasi dua hala.

Media tradisional mempunyai jangkauan yang luas dan meliputi seluruh populasi yang terdapat di sesuatu wilayah itu. Penggunaan bahasa dan ungkapan serta simbol-simbol yang mudah difahami dan dihayati disamping terdapatnya unsur-unsur hiburan dan jenaka, menjadikannya mudah didekati rakyat. Selain itu, komunikasi yang digunakan lebih bersifat interpersonal menjadikan ia bukan sahaja mudah untuk mendapatkan maklum balas tetapi juga mempunyai keberkesanan yang tinggi dalam menyampaikan mesej. Media tradisional ini juga mempunyai makna-makna tertentu yang khusus kepada masyarakat tersebut. Setiap symbol, lambang, isyarat dan peralatan yang digunakan memberi makna tertentu kepada masyarakat dan dapat difahami mereka dengan baik. Masyarakat luar sukar untuk mengesan dan memahaminya. Ini merupakan satu keunikan kepada masyarakat itu. Oleh itu, perkara-perkara yang berkait dengan kerahsiaan dapat dikomunikasikan dalam kalangan masyarakat itu dengan lebih mudah dan berkesan.

Cabaran Media Tradisional

Perkembangan penggunaan media komunikasi moden, secara perlahan-lahan mengancam dan menghakis kesignifikanan media tradisional. Dewasa ini terdapat beberapa jenis media tradisional yang tidak lagi atau kurang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat seperti cerita-cerita rakyat, syair, gurindam dan beberapa jenis alat seni rakyat. Terdapat beberapa sebab kenapa fenomena ini berlaku. Pertama, Perkembangan media massa seperti radio, tv, kemudahan-kemudahan ICT seperti internet, blog dan talipon bimbit. Kemunculan alat-alat komunikasi moden ini telah mencabar kewibawaan alat-alat dan kaedah komunikasi tradisional dalam menyebarkan luaskan maklumat. Didapati alat-alat komunikasi moden ini lebih pantas dalam menyebar luaskan maklumat dan mempunyai jangkauan yang lebih luas dan berkesan. Penyampaian mesejnya lebih langsung (direct) dan boleh dilakukan berulang-ulang kali.

Kedua, media komunikasi tradisional semakin tidak mendapat perhatian golongan muda sedangkan golongan tua telah berkurangan kerana meninggal dunia. Dalam masa yang sama golongan tua tidak lagi berminat untuk memperturunkannya kepada generasi seterusnya kerana kurang mendapat sambutan. Dengan itu, sedikit demi sedikit komunikasi tradisional ini terhakis dan tersisih dari perhatian masyarakat, sehingga ada antaranya yang tinggal sebagai bahan kajian sahaja seperti cerita-cerita rakyat dan beberapa jenis seni tradisional.

Page 4: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  4  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Ketiga, sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang kurang memberi tempat dalam mempelajari dan menghayati komunikasi tradisional turut menyumbang kepada kemerosotannya. Ini diburukkan lagi dengan penggunaan bahasa asing dalam sistem pendidikan itu. Contohnya, Philipina menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah mereka manakala Malaysia menggunakan sistem vernacular. Oleh kerana banyak perkara-perkara yang tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk bahasa yang terkandung di dalam media komunikasi tradisional itu, dan tidak pula dimengerti oleh orang lain, menyebabkan sukar untuk memperturunkannya ke generasi seterusnya.

Keempat, proses modenisasi yang melanda masyarakat, menjadikan media tradisional kurang diberikan tumpuan dan penghayatannya juga terjejas. Manusia khususnya orang Melayu, mula memikirkan bagaimana mahu meningkatkan status sosio-ekonominya, masalah pendidikan anak-anak, pembangunan kesihatan dan kerohanian, politik dan sebagainya bagi membolehkannya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain. Dalam masa yang sama muncul media moden yang lebih canggih dan berwibawa sehingga mengancam kedudukan istimewa media tradisional dalam kalangan masyarakat.

Kelima, terdapat tokoh-tokoh intelektual dan kalangan masyarakat yang agak pesimistik terhadap penggunaan media tradisional sebagai wahana mesej-mesej pembangunan kepada masyarakat. Mereka khuatir sekiranya media tradisional ini memainkan fungsi sebagai media penyampai mesej-mesej pembangunan, boleh melenyapkan nilai-nilai seninya dan seterusnya mengubahnya ke bentuk yang baru. Lantaran itu, hilanglah nilai tradisionalnya itu.

Prospek Media Tradisional

Walaupun kita telah memperkatakan bahawa media tradisional Melayu telah banyak tergugat dan terancam akibat proses modeniksasi, namun, dengan semangat dan jati diri serta keinginan politik (political will) yang kuat boleh membantu dan menyelamatkan situasi ini. Malahan, didapati bahawa media moden dalam sesetengah keadaan dan situasi kurang berjaya menembusi masyarakat berbanding dengan media tradisional. Ini kerana media moden kurang berupaya menginterpretasi perkara-perkara yang terpendam di dalam budaya itu terutamanya aspek-aspek bukan lisan. Lantas menghadapi kesukaran untuk menembusi mereka. Kerana itu, pada tahun 60an timbul semula perhatian terhadap media tradisional.

Kajian-kajian yang dibuat pada tahun 60an mendapati bahawa media tradisional boleh dijadikan sebagai wahana untuk mengkomunikasikan mesej-mesej pembangunan kepada khalayak khususnya di Negara-negara yang sedang membangun di Asia dan Afrika. Dengan itu, pada tahun 1972, UNESCO telah menyarankan supaya media tradisional digunakan secara sistematik untuk memotivasi dan mengubah fikiran rakyat bagi membawa kemajuan ekonomi, sosial dan budaya. Strategi komunikasi moden akan mengalami kerugian yang besar jika tidak disokong oleh media tradisional. Malahan, perjuangan untuk mendapatkan kebebasan, pengisian-pengisian kemerdekaan dan integrasi masyarakat, turut boleh disisipkan di dalamnya (http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html).

Sifat-sifat hiburan yang dibawa oleh media tradisional mampu terus menambat hati masyarakat dan dalam masa yang sama dapat menyampaikan mesej-mesej pembangunan, kerohanian,

Page 5: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  5  KOMUNIKASI TRADISIONAL

akhlak, etika dan norma sosial, pendidikan, falsafah dan seterusnya menambahkan pengetahuan dan nilai-nilai budaya. Apatah lagi apabila media tradisional ini boleh dipertontonkan dan dipersembahkan melalui media moden seperti radio, tv dan internet, menyerlahkan lagi kekuatan dan kehebatannya. Marilah kita cuba meneliti beberapa media komunikasi msyarakat Melayu tradisional yang telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian mereka dalam usaha mereka menjadikan generasi-generasi seterusnya sebagai manusia yang berguna dan bertamadun tinggi.

PANTUN

Pantun merupakan puisi tradisional orang Melayu dan dihasilkan oleh orang Melayu tanpa adanya adaptasi atau pengaruh bangsa asing seperti Arab, Parsi mahupun Jawa. Dikatakan pantun tumbuh menyubur dalam kalangan orang Melayu sudah begitu lama iaitu sebelum orang Melayu pandai menulis dan membaca. Ia dicipta sebagai kaedah untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara. Ia juga digunakan untuk menyindir, berjenaka, memberi nasihat dan bersuka-suka.

Pantun banyak dikaitkan dengan unsur-unsur alam sekeliling atau semulajadi seperti laut, hutan, tumbuh-tumbuhan, ladang, sawah padi, sungai, gunung ganang dan binatang. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu begitu peka terhadap sekelilingnya dan sering berinteraksi dengannya. Alam semulajadi menjadi sumber ilham dan inspirasi kepada mereka untuk berkarya dan menggunakannya sebagai simbol dan lambang untuk membawa maksud-maksud tertentu kepada masyarakat.

Dengan itu pantun menjadi begitu sebati dengan masyarakat Melayu sehingga hampir setiap aspek kehidupan mereka disisip dan diserikan dengan pantun. Contohnya, di majlis-majlis pertunangan, perkahwinan, gotong royong, kenduri kendara, majlis ilmu, cerita-cerita rakyat, hiburan, majlis-majlis rasmi dan sebagainya sentiasa kedapatan penggunaan pantun sebagai penyeri dan pembawa maksud-maksud tertentu kepada masyarakat Melayu.

Harun Mat Piah (1989) membahagikan pantun kepada dua aspek iaitu dalaman dan luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur-unsur estetika dan isi iaitu tema dan persoalan. Menurutnya, unsur estetika pantun terbahagi kepada dua perkara, iaitu penggunaan lambang-lambang tertentu mengikut persepsi dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua, hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

Dalam bahasa Sunda, pantun dikenali sebagai ‘toen’ dan tergolong dalam puisi Melayu Indonesia. Dalam bahasa Tagalog pula, pantun dikenali sebagai ‘tonton’ bermaksud, mengucapkan sesuatu dengan susunan yang tertentu. Dalam kalangan masyarakat Jawa, pantun dikenali sebagai ‘tuntun’ yang membawa erti sebagai benang, ‘atuntun’ teratur dan ‘matuntun’ bermaksub pemimpin. Bagi masyarakat Bisaya, pantun bererti mendidik dan dalam bahasa Toba atau Batak, pantun membawa erti sebagai kesopanan atau kehormatan.

Terdapat banyak jenis pantun. Penjenisan atau pengklasifikasianya dilakukan berdasarkan kepada tema-tema yang dikemukakan. Contohnya, pantun percintaan, kasih sayang, nasihat,

Page 6: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  6  KOMUNIKASI TRADISIONAL

agama, adat, puji-pujian, telatah dan corak hidup masyarakat. Dalam mengutarakan tema atau maksud-maksud yang ingin disampaikan, pencipta dan pemantun menyelitkan unsur-unsur alam sekeliling sebagai pembayangnya. Maka wujudlah kombinasi yang begitu mesra dan harmoni antara maksud dan pembayang pantun iaitu unsur-unsur alam sekitar tadi.

Ciri-ciri Pantun

Ciri-ciri pantun dapat dilihat dari dari segi luarannya iaitu strukturnya dimana pantun mempunyai rangkap-rangkapnya secara tersendiri dan berasingan. Di dalam setiap rangkap itu mempunyai 2, 4, 6, 8 dan sehinggalah 16 baris atau kerat. Sering kita dengar orang menyebut pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat dan sebagainya. Namun begitu, pantun yang lebih popular dalam kalangan masyarakat adalah pantun empat kerat. Terdapat juga pantun yang berkait antara satu rangkap dengan rangkap yang brerikutnya. Ini disebut sebagai pantun berkait.

Setiap rangkap pantun mempunyai kata dasar empat ke lima patah perkataan dengan jumlah suku kata antara lapan hingga 10. Namun begitu, terdapat juga rangkap pantun yang sampai 12 suku kata. Pantun mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b, a-b dengan sedikit variasi a-a, a-a, a-b, a-a, a-b, b-a dan sebagainya. Namun begitu rima hujung yang lazim digunakan ialah a-b, a-b.

Pendeta Za’ba menyatakan bahawa pantun adalah karangan berangkap yang menjadi milik bangsa Melayu dan mempunyaim semangat Melayu. Pantun ialah wadah orang Melayu dalam menggambarkan pencapaian kognitif atau fikiran, falsafah, sikap dan perasaan mereka. Rangkap-rangkap pantun itu merangkumi perasaan hiba, suka, duka, sindir, giat, berkasih sayang, pujuk rayu dan sebagainya. Secara ringkas, pantun bolehlah dianggap sebagai karangan berangkap atau puisi milik masyarakat Melayu yang terdiri dengan kehadiran sampingan atau pembayang dan mempunyai pola rima tertentu.

Pantun Sebagai Alat Komunikasi Tradisional Orang Melayu

R. J Wilkinson dan R. O Winstedt pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, terlebih dahulu difahami pantunnya. Mereka berpendapat bahawa satu daripada perkara yang penting yang boleh membawa seseorang itu berjaya memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan dan aliran fikiran orang-orang Melayu sendiri ialah melalui pantun. Malahan seseorang itu tidak akan dapat menduga aliran fikiran orang Melayu sekiranya tidak memahami pantunnya (Mohd Rosli Saludin, 2007).

Dalam masyarakat Melayu, pantun memainkan peranan yang amat besar dan mempunyai pengaruh yang kuat. Pada zaman dahulu, mesej untuk meminang atau melamar seseorang anak dara dikomunikasikan melalui pantun. Begitu juga dengan upacara pernikahan dan kenduri kendara. Contohnya;

Page 7: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  7  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Tanah licin perahunya kolek, Ubi keling di tanjung teluk, Tangga lian rumahnya molek, Beri izin kami nak masuk. Dalam pencak silat, pantun digunakan ketika hendak memulakan pertarungan. Mesej cabar mencabar, sindir menyindir, perli memerli dan menyatakan kehebatan dirinya sebagai pesilat atau pendekar dikomunikasikan melalui pantun. Malahan ketika bertarungpun dan setelah tamat pertarungan, pantun digunakan untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu. Dalam acara-acara rasmi dan adat istiadat, pantun sememangnya menjadi penyeri majlis. Pantun digunakan sebagai bahan penyeri, pemujuk dan penghibur bagi sesuatu ucapan. Pantun juga digunakan untuk meluahkan perasaan. Dalam memenuhi fingsi ini, pantun itu diolah dengan menggunakan kata-kata yang menarik dan lembut. Melalui pantunlah rasa hati, cita rasa, perasaan dan keinginan diluahkan untuk difahami dan dihayati bersama. Contohnya,

Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pisang emas dibawa berlayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati. Pantun juga memainkan peranan dalam mengkomunikasi informasi yang berkait dengan keagamaan. Orang Melayu menggunakan pantun untuk menerapkan aspek akidah, hukum hakam Islam, keimanan, ketakwaan dan akhlak kepada masyarakat. Seruan-seruan terhadap pematuhan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya banyak terdapat di dalam pantun. Contoh pantun berunsur keagamaan ialah; Redup bulan nampak nak hujan, Pasang pelita sampai berjelaga, Hidup mati di tangan tuhan, Tiada siapa dapat menduga. Selain itu pantun juga sering digunakan dalam kesenian Melayu. Masyarakat Melayu tradisional hinggalah kepada masyarakat Melayu sekarang sering menggunakan pantun sebagai lirik lagu mereka. Ini kerana ianya mudah dicipta, indah seni katanya dan mempunyai fungsi dan nilai-nilai estetika. Dalam permainan rakyat, pantun sentiasa mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional. Pantun dijadikan media untuk meluahkan rasa, isi hati dan keluhan jiwa. Begitu juga dalam tarian-tarian rakyat, pantunlah digunakan sebagai media penyaluran seni kata dan lagu-lagunya. Sebagai contoh, tarian ‘Lotah” di Perak, “Dondang

Page 8: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  8  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Sayang” di Melaka dan tarian “Oh La” di Langkawi yang menggunakan sepenuhnya pantun dalam persembahan tarian-tarian ini. Dari segi bahasa, pantun banyak menggunakan bahasa berkias. Sesuatu mesej itu disampaikan secara tidak langsung dan sentuhan-sentuhannya yang lembut kadang kala sukar difahami penerima. Ini menunjukkan betapa orang Melayu tidak mahu menyinggung perasaan orang lain. Namun begitu, tidak bermakna yang orang Melayu tidak mampu mengkomunikasikan sesuatu mesej secara langsung dan berterus terang, tetapi dengan menggunakan pantun, nilai dan norma masyarakat dapat dikekalkan atau dipelihara.

SELOKA Perkataan seloka merupakan perkataan yang dipinjam daripada bahasa Sankrit, shloka yang bermaksud suatu bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris (dua kerat, dua hemistichs). Tiap-tiap satunya mengandungi 16 suku kata, tersusun dalam empat unit. Unit yang terakhir biasanya berbentuk ‘diambus’ sementara unit-unit yang lain dalam bentuk-bentuk yang digemari daripada susunan suku-suku kata panjang dan pendek (Mohd Rosli Saladin, 2007). Dalam kesusasteraan Melayu, seloka dimaksudkan sebagai sejenis puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk-bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama atau tidak (http://resam-melayu.com/2010/01/seloka-melayu.html). Za’aba menyataka seloka adalah sejenis karangan yang lebih kurang sama seperti gurindam. Sebab itu kebanyakan sifat-sifat gurindam ada kepadanya. Cuma perbezaan seloka ialah ada tercampur kelakar, menggeli hati, gurau senda, giat, ejek dan terkadang perasaan nyanyi, asyik, berahi, hiba, rawan, khayal, dan mimpi. Zuber Usman juga nampaknya sealiran dengan Zaab yang mengatakan, seloka hampir sama dengan gurindam tetapi dalam seloka yang dipentingkan ialah kelucuannya (dlm. Mohd Rosli Saladin, 2007). Kamus Dewan, Edisi ke-4 mendefinisikan seloka sebagai sejenis puisi yang mengadungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Seloka biasanya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris.

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas dapatlah dikatakan bahawa seloka adalah sejenis puisi Melayu tradisional yang menyerupai gurindam dan memaparkan kelucuan sebagai ciri-ciri utamanya. Walupun begitu, terdapat juga unsur-unsur mengejek, menyindir dan mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang atau kelompok-kelompok tertentu (http://resam-melayu.com/2010/01/seloka-melayu.html).

Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang. Ini digambarkan dalam seloka seperti Seloka Pak Kaduk yang diterjemahkan sebagai cerita yang memberi akibat kepada segenap lapisan masyarakat bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat daripada kejahilan dirinya sendiri (http://resam-melayu.com/2010/01/seloka-melayu.html). Dalam erti kata lain, mesej yang ingin disampaikan ialah ilmu pengetahuan, ketelitian dan kejujuran adalah penting bagi mengelakkan musibah dan malang diri. Malangnya Pak Kaduk kerana sifat yang bodoh, tamak dan gelojoh. Cuba kita amati Seloka Pak Kaduk ini;

Page 9: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  9  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Aduhai malang Pak Kaduk Ayamnya menang kampong tergadai Ada nasi dicurahkan Awak pulang kebuluran Mudik menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri dibunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sauh dilabuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk Perhatikan pula seloka Emak Si Randang ini; Baik budi emak Si Randang Dagang lalu ditanakkan Tiada berkayu rumah diruntuh Anak pulang kelaparan Anak dipangku diletahkan Kera di hutan disusui Mesej utama yang ingin disampaikan ialah membuat kebaikan secara membuta tuli dan tanpa perhitungan merugikan diri sendiri. Emak Si Randang mempunyai sifat kebodohan, mementingkan orang lain dan membelakangi kepentingan diri dan keluarganya. Seloka ini sebenarnya merupakan satu sindiri kepada mereka yang ingin berbuat kebajikan tetapi tidak mengkaji apakah implikasinya terhadap dirinya sendiri. Satu lagi seloka yang masyhur ialah Seloka Pak Pandir. Mari kita teliti secara terperinci; Anak dipijak dagang dijinjing Kucing dibunuh tikus dibela Harta habis bawaan tergadai Mendengar gelagak dagang Tak sedar bertelanjang Mendengar guruh di langit Air di tempayan dicurahkan Mulut kena suap pisang Buntut kena cangkuk onak Gunting makan di hujung Pak Pandir juga yang menanggung Apa didengar gelagak dagang Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berbungan Orang berbuah dia haram Kilat memancar hujan tak jadi

Page 10: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  10  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Awak juga berkecundangan Demikianlah juga cerita Pak Pandir iaitu membuat sesuatu pekerjaan tanpa pertimbangan yang waras dan kurang ketelitian, akhirnya merugikan diri sendiri. Pak Pandir terperangkap atas kejahilannya. Apakah Fungsi Seloka? Fungsi seloka dalam masyarakat Melayu tradisional ialah;

a. Menyindir seseorang atau masyarakat. Sebagai sindiran dan jenaka terhadap seseorang atau masyarakat disamping untuk berhibur dan bersuka-suka. Ia juga dijadikan sebagai pengajaran dan panduan kepada anggota masyarakat dalam menghadapi sesuatu keadaan. Sindiran itu dilakukan supaya anggota masyarakat bertingkah laku dengan baik dan patuh kepada norma-norma masyarakat.

b. Mengejek kelakuan manusia Sekiranya timbul perselisihan dan ketidakpuasan hati seseorang terhadap seorang yang lain, maka seloka digunakan untuk mengejek orang itu supaya ia tahu akan kesalahannya dan memperbaiki dirinya.

c. Menempelak seseorang Seloka digunakan dalam menempelak seseorang apabila perbuatan dan tingkah lakunya menjadi melampau dan perlu diperingatkan. Tujuannya supaya ia sedar dan dapat memperbaiki percakapan dan tingkah lakunya itu. Contohnya, sekiranya ada orang yang menghina orang lain secara berlebih-lebihan, maka seloka digunakan untuk menempelak atau memcercanya agar berhenti menghina orang kerana perbuatan itu tidak baik dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.

d. Melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia Tingkah laku yang dianggap janggal, tidak baik bertentangan dengan nilai dan norma masyarakat Melayu tradisional, adalah dibenci dan dihina. Kaedah yang digunakan untuk menunjukkan kebencian itu ialah melalui seloka. Contohnya, sikap Emak Si Randang yang lebih mengutamakan orang lain berbanding dengan diri dan keluarganya adalah dibenci oleh masyarakat. Maka, digunakan seloka untuk mengkomunikasi rasa kebencian masyarakat itu.

e. Memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang. Seloka juga digunakan untuk memberi pengajaran dan panduan kepada seseorang bagi mengelak dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Begitu juga dengan mereka yang telah terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan, dengan mesej yang dibawa oleh seloka itu, akan menyebabkan ia kembali ke pangkal jalan.

GURINDAM Gurindam dikatakan telah digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional sejak zaman Hindu lagi. Malahan, perkataan gurindam itu sendiri datangnya dari bahasa Tamil iatu “Kirandam”

Page 11: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  11  KOMUNIKASI TRADISIONAL

yang bermaksud “asal” atau “perumpamaan”. Menurut Raja Ali Haji (1809-1870), gurindam adalah satu bentuk puisi Melayu, terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berima dan memberikan idea yang lengkap atau sempurna dengan pasangannya. Baris pertama gurindam dapat dianggap sebagai syarat (protasis) dan baris kedua sebagai jawab (apodosis). Za’ba pula menjelaskan gurindam seperti berikut; “perkataan gurindam itu daripada bahasa Sankrit menerusi bahasa Tamil. Ertinya Biasa difahamkan “rangkap yang telah jadi bidalan” atau sebutan biasa pada orang Ramai, ataupun, “sesuatu pepatah berangkap yang disebut berpadanan dengan Tempatnya” (Abdullah Hassan et.al, 2004). Harun Mat Piah menjelaskan bahawa gurindam adalah sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris serangkap, mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dan rima akhirnya aa. Dalam Kaedah Karang Mengarang Melayu, gurindam ialah suatu jenis syair melarat yang tiada tetap sukatannya atau rangkapnya, isinya mengandungi fikiran-fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian (Abdullah Hassan et.al, 2004). Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu, terutamanya di Sumatera. Di Sumatera, gurindam juga dikenali sebagai Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang dan sebagainya lagi. Wilkinson menyatakan gurindam sebagai “suatu pepatah berangkap yang disebutkan berpadan dengan tempatnya” (Abdullah Hasan et.al, 2004). Menurut Za’aba, antara ciri-ciri gurindam ialah bahasanya seperti bahasa menyanyi atau sekurang-kurangnya membawa imbas-imbas nyanyian, serta menunjukkan ada kesempatan boleh melengah-lengahkan masa dan menyuka-nyukakan hati. Selain itu, perkataan dalam gurindam juga banyak menggambarkan keindahan alam dan mengambil perbandingan daripada keindahan itu seolah-olah untuk melukis isinya dengan warna yang cantik. Perasaan yang ditonjolkan di dalam gurindam kebanyakannya perasaan suka dan terkadang perasaan bermain-main dan jenaka. Isi dan maksud gurindam juga terus-menerus seperti syair dan tidak ada apa-apa yang dikatakan pembayang maksud (Abdullah Hassan et.al, 2004). Gurindam tidak mengandungi unsur-unsur sihir sepertimana Teromba. Mesej utama yang ingin dikomunikasi oleh gurindam adalah nasihat, pengajaran dan kebenaran. (http://ms.wikipedia.org/wiki/gurindam. 13/9/11). Ianya cuba menonjolkan pengajaran-pengajaran yang berguna dan membimbing manusia untuk mencapai kehidupan yang baik dan sempurna. Oleh itu mesej-mesej agama, kebersihan hati dan kawalan diri, sifat-sifat murni dan terpuji seperti berbudi bahasa, merendah diri, bertimbang rasa, menghormati ibu bapa dan golongan tua, berbuat baik dan berjasa adalah antara seruan-seruan dan nasihat-nasihat yang sering terdapat di dalam gurindam. Cubalah kita amati Gurindam ini;

1. Beragama atau beribadah Barang siapa meninggalkan sembahyang Seperti rumah tidak bertiang.

Page 12: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  12  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Barang siapa meninggalkan puasa Tidaklah terdapat dua termasa. Barang siapa meninggalkan zakat Tiadalah hartanya beroleh berkat. Barang siapa meninggalkan haji Tidaklah ia menyempurnakan janji.

2. Memelihara anggota dan hati daripada melakukan kejahatan Apabila terpelihara mata Sedikit cita-cita. Apabila terpelihara kuping Khabar yang jahat tidaklah damping. Apabila terpelihara lidah Nescaya dapat daripadanya faedah. Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan Daripada segala berat dan ringan. Hati itu kerajaan di dalam tubuh Jikalau zalim segala anggotapun roboh. Mengumpat dan memuji hendaklah fikir Disitulah banyak orang tergelincir. Pekerjaan marah jangan dibela Nanti hilang akal di kepala. Jika sedikit berbuat bohong Boleh umpamakan mulutnya itu pekong.

3. Berbudi bahasa berperangai mulia

Jika hendak mengenal orang berbangsa Lihat pada budi dan bahasa Jika hendak mengenal orang yang mulia Lihatlah kepada kelakuan dia

Page 13: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  13  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Jika hendak melihat orang yang berbahagia Sangat memelihara yang sia-sia.

4. Memelihara diri dari perbuatan yang tidak baik

Apabila banyak berkata-kata Di situlah jalan masuk dusta. Apabila banyak berlebihan suka Itulah tanda hamper duka. Apabila kita kurang siasat Itulah tanda pekerjaan hendak sesat. Apabila anak tidak dilatih Jika besar bapanya letih.

5. Hormat, bertimbang rasa dan berbuat jasa

Dengan ibu hendaklah hormat Supaya badan dapat selamat. Dengan anak janganlah lalai Supaya boleh naik ke balai. Dengan isteri dan gundek janganlah alpa Supaya kemaluan jangan menerpa.

6. Taat setia dan bertanggung jawab antara raja dan rakyat

Raja muafakat dengan menteri Seperti kebun berpagarkan duri. Betul hati kepada raja Tanda jadi sebarang kerja. Kasihkan orang yang berilmu Tanda rahmat atas dirimu. Hormat akan orang pandai Tanda mengenal kasa dan cindai. (Netsher, 1948 dlm. Abdullah Hasan et.al, 2004).

Page 14: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  14  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Fungsi Pantun, Seloka dan Gurindam Sebagai Alat Komunikasi Tradisional Melayu Secara umumnya dapatlah kita rumuskan bahawa pantun, seloka dan gurindam memainkan peranan penting dalam menyampaikan pelbagai mesej dalam masyarakat Melayu tradisional. Antaranya:

a) Tujuan adat istiadat dan menyatakan perasaan Puisi biasanya digunakan oleh rakyat jelata terutamana di dalam majlis-majlis dan bertujuan untuk mengindahkan lagi majlis dan ucapan. Pantun diajukan untuk berseloroh dan dapat melahirkan suasana riang dan mengkomunikasikan sesuatu mesej tertentu seperti salam perkenalan, pembuka bicara dan sebagainya. Lihat contoh pantun ini: Suji-suji daun delima Disuji anak Sultan Bantan Kalau sudi minta terima Diharap jangan tuan lupakan Maaksud pantun ini ialah salam perkenalan dan persahabatan yang dihulurkan itu adalah ikhlas dan diharap dapat diterima dengan hati terbuka. Dari Jepang ke Bandar China Singgah berlabuh di Singapura Bunga yang berkembang siapa punya Kami teringin memetiknya. Pantun ini biasanya digunakan semasa merisik. Mesej yang dibawa merupakan pengluahan hasrat hati untuk meminang wanita itu dan pertanyaan sama ada wanita itu masih belum dimiliki.

b) Nasihat dan pengajaran

Salah satu fungsi utama puisi tradisional ialah untuk memberikan nasihat kepada masyarakat dan generasi muda. Cuba lihat pantun di bawah; Burung kenek-kenek Terbang dalam semak Pesan datuk nenek Cari harta jangan tamak. Burung kenek-kenek Terbang dalam hutan

Page 15: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  15  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Pesan datuk nenek Emak marah jangan lawan.

c) Memberi pendapat serta menjelaskan maklumat

Pantun, seloka dan gurindam sering juga digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional untuk menyampaikan pendapat, hujah-hujah dan pandangan mereka. Contohnya, seperti di bawah; Ditenun kain dengan kapas Bermacam-macam warna lagi Perahu lilin layar kertas Berani kulanggar lautan api. Pantun ini menghantar mesej bahawa si pemantun sanggup berhadapan dengan apa jua rintangan demi untuk mempertahan dirinya atau pendapatnya.

d) Menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih

Berbudi dan berjasa sangat tinggi nilainya dalam masyarakat Melayu tradisional. Dirasakan, tidak cukup dengan hanya memberikan ucapan terima kasih bahkan ia dirasakan ibarat hutang yang tidak mampu untuk dibayar. Demikianlah mereka menilai dan menyanjung budi, jasa dan bakti seseorang terhadap diri mereka. Inilah mesej yang disampaikan oleh pantun ini. Pisang emas dibawa berlayar Masak sebiji di atas peti Hutang emas boleh dibayar Hutang budi dibawa mati.

e) Mencabar fikiran dan juga sebagai hiburan

Ia berlaku dalam komunikasi harian. Tujuannya semata-mata untuk berhibur, usik-mengusik dan mewujudkan suasana riang ria dan seronok. Perhatikan pantun ini: Elok rupanya pohon belimbing Tumbang di dekat limau tungga Elok berbini oarng sumbing Bila marah tertawa juga. Bawa perahu ke Tanjung Badar Juru mudi duduk berkemas Tak tahu akan untung badan Awak tembaga dikatakan emas.

f) Menyerlahkan kreativiti orang Melayu

Page 16: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  16  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Orang Melayu Berjaya menunjukkan betapa kreatifnya mereka dalam menghasil puisi dan menjadikan unsur-unsur alam sekeliling mereka sebagai sumber inspirasi mereka. Pantun, gurindam, seloka, Taliban, teromba, mantera, peribahasa, kiasan, bidalan, certa-cerita rakyat, seni rakyat dan sebagainya menjadi media penting dalam menyampaikan pelbagai mesej kepada masyarakat. Pengluahan mesej sama ada luahan rasa hati, kritikan, teguran, pendidikan, keagamaan, hukum-hakam dan tata susila dan sebagainya lagi dilakukan secara berhati-hati, menggunakan bahas yang indah-indah, lemah-lembut, bersopan dan berhikmah.

g) Artifak budaya Melalui media komunikasi tradisional ini kita dapat membuat telahan-telahan tepat dan ampuh tentang civilisasi masyarakat Melayu tradisional. Segala kegiatan sama ada ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, perundangan, keagamaan dan sebagainya lagi dapat kita gambarkan dengan jelas. Media komunikasi tradisional masyarakat Melayu tradisional ini merupakan warisan bangsa yang patut dikekalkan dan dipelihara hingga bila-bila supaya ia tetap subur dan menjadi kebanggaan bangsa Melayu.

PERIBAHASA Za’aba (1965) mendefinisikan peribahasa sebagai segala susunan cakap pendek yang melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya. Peribahasa juga mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan reality kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Sulaiman Zakaria (dlm. Abdullah Yusof et.al, 2009) menyatakan, peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus. Manakala Rubiah Aksah (dlm Abdullah Yusof et.al, 2009) menyebutnya sebagai satu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu dan maksud yang dibawa itu berlainan daripada makna asalnya. Berdasarkan kepada defisi-definisi ini dapatlah dikatakan bahawa peribahasa merupakan kaedah berkias dan santun yang mengaitkan alam sekeliling dan persekitaran masyarakat bagi menyatakan sesuatu mesej dan disampaikan melalui komunikasi lisan. Dalam peribahasa, banyak terkandung pandangan dan pemikiran masyarakat berhubung dengan kehidupan seharian mereka. Sumber inspirasi mereka adalah pengalaman dan alam sekeliling yang diperhatikan, diamati, dikaji dan diteliti dengan pandangan yang tajam dan jitu. Dari sinilah diwujudkan lambang-lambang yang boleh dikategorikan sebagai alatan, haiwan, manusia, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya lagi yang membawa mesej-mesej tertentu kepada masyarakat. Terdapat beberapa jenis peribahasa iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, perbandingan, pepatah, bidalan dan kata-kata hikmah (http://m.s.wiktionary.org/wiki/Wiktionary:peribahasa)

Page 17: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  17  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Kepentingan Peribahasa

1. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat atau ingatan secara kiasan atau sindiran terhadap seseorang atau masyarakat tanpa menimbulkan rasa marah, dendam dan kecil hati dan kecewa.

2. Untuk menegur tingkah laku dan mengubah sikap seseorang bukanlah merupakan satu perkara mudah kerana akibat dan risikonya adalah tinggi dan sukar untuk melakukannya cesara berulang-ulang laki. Ia mungkin boleh mencetuskan perselisihan, pertengkaran, pergaduhan dan sebagainya. Oleh peribahasa memberi laluan yang baik untuk menyampaikan mesej itu.

3. Penggunaan alam sekeliling masyarakat sebagai perbandingan dan dapat merangkumkam penyampaian mesej secara lebih padu dan jitu tanpa menimbulkan masalah.

Tujuan Peribahasa Berikut adalah antara tujuan-tujuan peribahasa:

1. Untuk member pengajaran kepada masyarakat. 2. Mengawal tingkah laku dan sosial 3. Mudah untuk membuat teguran

KESIMPULAN Kita telahpun meneliti bagaimana pentingnya peranan media tradisional seperti pantun, seloka, gurindam dan peribahasa dalam pembangunan insan dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional. Walaupun media komunikasi ini telah lama digunakan, namun kebanyakannya masih relevan diaplikasikan dewasa ini walaupun terdapatnya cabaran-cabaran getir daripada media komunikasi moden seperti radio, tv, ICT dan sebagainya lagi. Tugas kita ialah bagaimana kita boleh menggembelingkan media komunikasi tradisional ini dengan media komunikasi moden supaya kedua-duanya saling lengkap melengkapi dan member impak yang besar terhadap pemabangunan insan.

1. Huraikan dengan terperinci apakah yang anda faham tentang media komunikasi tradisional.

2. Dengan mengambil mana-mana satu daripada gurindam yang diberikan di dalam bab ini, ulas dengan jelas akan mesej yang ingin disampaikannya.

3. Pada hemat anda, sejauh manakah media komunikasi Melayu tradisional boleh bertahan?

4. Bincangkan tiga langkah yang anda rasakan relevan dalam mempertahankan kesinambungan media komunikasi Melayu tradisional ini.

Page 18: Tajuk 10-Komunikasi Tradisional

  18  KOMUNIKASI TRADISIONAL

Bibliografi Abdullah Hassan, Aripin Said dan Ainon Mohd. (2004). Pantun dan Gurindam Untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan, Pahang. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. Abdullah Yusof, Alias Mohd. Yatim, & Mohd Ra’in Shaari (2009). Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Mohd Rosli Saludin, (2007), Puisi Melayu Tradisional. Pulau Pinang. Goal Intelligent Publishing Sdn. Bhd. Zainal Abidin Ahmad (Za’aba) (1965). Ilmu MEngarang Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.  http://adiprakosa.blogspot.com/01/media-tradisional.html. 10/9/2011. http://uitm.academia.edu/wiramanja/papers/440258/Komunikasi-Dalam-Adat-Melayu-Tradisional.  10/9/2011.  http://resam-melayu.com/2010/01/seloka-melayu.html.  10/9/2001. http://ms.wikipedia.org/wiki/gurindam. 13/9/11