seni ukiran kayu

Upload: hairileqhwan-firdaus

Post on 17-Jul-2015

566 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

1.0

PENGENALAN

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

2.0

SEJARAH SENI UKIRAN KAYU DI MALAYSIA

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan. Sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah awal ukiran kayu. Namun demikian catatan sejarah dari perjumpaan di zaman batu Neolitik di Asia Tenggara menunjukkan terdapatnya pengukir-pengukir handal telah wujud di zaman dahulu. Ini terbukti ukiran yang terdapat pada belanga, gelang, kendi dan pinggan mangkuk. Sejarah awal mengenai ukiran kayu di negara ini boleh diketahui setelah kita membaca buku Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Buku yang dikarang oleh Tun Sri Lanang itu ditulis pada abad ke-17. Dalam tulisan Tun Sri Lanang, tercatat keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga tahun 1477. Istana berukir indah itu digelar oleh rakyat Melaka sebagai Istana Hawa Nafsu. Seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan mengenainya. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756 - 1780). Di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dan Kedah adalah negeri yang mempunyai pengukir dari turun temurun. Dikata bahawa kebanyakan ukiran kayu adalah terpengaruh dengan motif ukiran negara Siam, kerana pada suatu masa dahulu negeri ini di bawah pengaruh Siam. Ini adalah berdasarkan corak ukiran masjid, wakaf, istana dan rumah-rumah lama banyak persamaan dengan seni ukir

negeri Siam. Tidak menghairankan kalau dikatakan bahawa seni ukir di negara ini telah didatangi dari selatan negeri Thailand iaitu Patani. Contoh-contoh seni bina yang terdapat di Malaysia pada masa kini yang masih menerapkan seni ukiran kayu tradisional ialah: Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Masjid Kampung Keling, Melaka.

Istana Balai Seri Besar, Kedah.

Istana Kenangan Kuala Kangsar, Perak.

3.0

BENTUK-BENTUK SENI UKIRAN KAYU 3.1 Ukiran Kayu Hanyut

Ukiran ini di anggap masih baru. Ukiran idi diperkenalkan oleh Perbadanan Kraf tangan Malaysia. Ukiran ini hanya sebagai hiasan semata-mata. Ukiran kayu hanyut diukir pada bahagian-bahagian tertentu dan dibentuk menyelupai ikan, burung dan sebagainya. Kayu induknya di ambil dari kayu atau akar yang terdapat dalam sungai. 3.2 Ukiran Arca

Ukiran ini banyak terdapat pada ulu senjata seperti ulu keris, kepala tongkat, kukur kelapa, kotak nelayan dan sebagainya. Bunga ukirannya sama seperti ukiran timbul tetapi lebih halus dan kecil.

4.0

KEPERCAYAAN DAN FALSAFAH SENI UKIRAN KAYU

Di dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata tetapi mempunyai fungsi yang lain yang disepadukan pada rumah-rumah tersebut. Hiasan seperti ukiran tebuk digunakan di tempat-tempat pengaliran udara sebagai unsur permukaan yang memisahkan antara ruang dalam dengan ruang luar. Di samping itu, ukiran tersebut dapat melahirkan pola-pola yang menarik kalau dilihat dari luar dan dalam rumah. Ukiran pola-pola tersebut juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pola biasa, pola tebuk dan terukir. Motif yang digunakan pada pola-pola tersebut mempunyai beberapa pengertian yang tertentu dan ada kaitan dengan aspek spiritual. Di Tanah Melayu, motif-motif ukiran lebih cenderung kepada penghayatan seni yang berteraskan prinsip keislaman dan ada juga yang berunsurkan tumbuh-tumbuhan, geometri dan kaligrafi. Namun begitu, dalam keadaan yang terbatas, pelbagai pola yang menarik telah dihasilkan . Ada di antara penggunaan pola-pola ini masih lagi terdapat pada rumah tradisional hingga kini. Hasil ukiran ini jelas menunjukkan kehalusan seni dan kemahiran pengukir kayu yang masih dikekalkan hingga kini. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, rumah tradisional telah pun hampir pupus dan tidak lagi banyak didirikan. Rumah yang tinggal sudah pun uzur dari segi pemeliharaannya. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan tukang kayu yang mahir seperti zaman dahulu. Perkembangan dan pengaruh seni bina moden banyak mempengaruhi rupa bentuk rumah-rumah di Malaysia. Rumah-rumah moden yang dibuat daripada batu bata dan konkrit telah banyak didirikan berbanding dengan rumah kayu. Keadaan ini juga menjadi lebih buruk lagi apabila kayu dijadikan sebagai bahan komoditi mentah untuk tujuan eksport. Mengikut kajian, motif ukiran kayu tradisional berlandaskan ajaran kesufian. Masyarakat Melayu tidak melihat alam ini dari sudut kebendaan semata-mata, tetapi dari sudut yang lebih luas.

Bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai warna dan rupa itu mempunyai fungsi yang jauh lebih besar daripada keindahan semula jadinya. Seni ukiran kayu termasuk dalam seni mukaddas, iaitu seni yang mengandungi maksud simbolik selain maksud zahirnya. Sebagai contoh: Kuntum bunga yang berkembang melambangkan kesegaran dan

kegembiraan. Ukiran motif ini sering digunakan untuk menghias rumah, masjid atau surau sebagai tanda ketenangan hati. Kuntum bunga yang menguncup melambangkan kesayuan dan kematian. Bunga yang dijadikan motif ini biasanya bunga yang wangi seperti bunga melur, cempaka dan sebagainya. Ukiran motif ini sering dijadikan hiasan batu nisan atau dinding kepungan pusara. Kebanyakan motif bunga yang berbentuk bulat melambangkan alam semesta atau alam yang melingkungi bumi. Orang-orang Melayu mempercayai bahawa alam terbahagi kepada dua, iaitu alam nyata dan alam ghaib. Bahagina atas kuntuman bunga (kelopak) melambangkan alam nyata manakala bahagian bawah bunga melambangkan alam ghaib. Rahim atau ovari bunga melambangkan inti kejadian diri manusia. Motif awan larat tanda sifat kehalusan budi pekerti manakala liuk-lintuk bunganya melambangkan sopan-santun orang Melayu. Hujung daun yang tidak pernha mencecah batang melambangkan sifat orang Melayu yang tidak perlu menegur sesuatu kesalahan orang lain atau menyampaikan hasrat hati secara terbuka.

5.0

TOKOH-TOKOH SENI UKIRAN KAYU DI MALAYSIA 5.1 Wan Su Othman

Wan Su Othman dilahirkan di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau merupakan seorang pengiat seni ukiran kayu yang telah banyak menghasilkan ciptaannya di dalam mahu pun di luar negara. Wan Su juga merupakan dari keturunan pengukir terkenal di daerah Besut Terengganu. Ukirannya sangat halus dan mempunyai unsur tradisi. Wan Su cukup mahir dengan motif-motif ukiran kayu. Sehingga kini beliau telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru bagi ukiran kayu. Pengiktirafan ini adalah diperingkat tertinggi oleh kraftangan Malaysia. Bengkel beliau terletak di Besut Terengganu dan banyak menerima tempahan dari dalam dan luar negara. Karya beliau yang pernah tersirat falsafah keilmuan yang tinggi menjadikan karya beliau begitu agung dengan menitikberatkan motif tradisional seperti awan larat yang tersembunyi dan menceritakan keagungan Illahi. Setiap lekuk ukiran beliau tidak bertindih dan tidak menikam antara satu sama lain mencertiakan kehidupan manusia yang memerlukan semangat saling hormat-menghormati. Motif sulur kacang tidak mendongak ke langit mengajar kita erti merendah diri dan sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t..

6.0

PENUTUP

Seni begitu memain peranan penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan. Sejarah telah membuktikan bahawa seni amat memain peranan dalam pembentukan ketamadunan manusia. Mengenali bangsa yang berjaya ialah melalui seni selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru seni memainkan peranan penting dalam dunia pendidikan kita hari ini. Seni ukir Melayu yang tinggi nilai budayanya ini perlu dipelihara dan dikembangkan untuk generasi muda supaya boleh memahami dan menilainya dengan lebih baik. Lebih beerti lagi sekiranya masyarakat dapat menilai kembali keunggulan seni ukir tersebut dan diterapkan dalam arus pembangunan masyarakat moden. Melalui inisiatif kerajaan iaitu mewujudkan subjek Pendidikan Seni dan Visual yang menjadi salah satu subjek yang ditawarkan kepada para pelajar ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini. Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan. Memang benar apabila seni dikatakan sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.