seminar sekolah seni
TRANSCRIPT
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS35900 TANJONG MALIM, PERAK
FAKULTI SENI DAN MUZIK
SEMINAR DALAM PENDIDIKAN MUZIKSPM 6443
TUGASAN
KERTAS KERJA SEMINAR DALAM PENDIDIKANSEKOLAH SENI MALAYSIA ANTARA HARAPAN DAN CABARAN
Oleh :
ABDUL RAZAK BIN ABD RAHMAN(M20071000072)
Pensyarah :
DR. MOHD HASSAN B HJ ABDULLAH
SEKOLAH SENI MALAYSIA
________________________________________________________________
SEKOLAH SENI MALAYSIA ANTARA HARAPAN DAN CABARAN
Oleh
Abdul Razak b. Abd Rahman
Abstrak
Mata pelajaran pendidikan muzik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
pada tahun 1995 sebagai satu kesinambungan dari pendidikan muzik di sekolah
rendah yang telah bermula seawal tahun 1982. Hasil dari kesinambungan ini
maka pihak kerajaan melihat pendidikan seni dan muzik perlu diberi perhatian
yang lebih serius sehingga tertubuhnya Sekolah Seni Malaysia. Penulisan ini
akan membincangkan tentang harapan serta cabaran yang bakal dihadapi oleh
pelajar, guru, masyarakat serta pihak kerajaan dalam merealisasikan hala tuju
Sekolah Seni Malaysia. Fokus penulisan ini memberi tumpuan terhadap program
pendidikan muzik dari aspek syarat-syarat kemasukan pelajar, pelaksanaan
kurikulum, ujian dan pengukuran serta cabaran-cabaran yang dihadapi.
Metodologi yang digunakan dalam kertas seminar ini menggunakan kaedah
temu bual informal bersama pegawai muzik di Bahagian Sekolah, seorang guru
pendidikan muzik yang mengajar di Sekolah Seni Malaysia serta rujukan
perpustakaan. Kertas kerja ini diharapkan dapat memberi sedikit gambaran apa
yang terjadi terhadap perkembangan pendidikan muzik di Malaysia.
ABTRACT
Music Education in Integrated Curriculum for Secondary School was
introduced by Malaysia Ministry of Education in 1995 as a continuation of
Primary Music Education which started in early 1982. The government sees that
music and arts education needs to be given serious attention and this has led to
the setting up of Malaysia Arts School. This paper will discuss the hopes and
challenges which will be faced by the students, teachers, society and the
government to make this project a reality. This write up will be focusing on music
education programme from the aspects of students' enrollment qualifications,
curriculum execution, tests and evaluation and other forthcoming challenges. The
methodology applied in this seminar paper is through informal interviews
conducted with Music Education Officer at Schools Department, a music
educator teaching at Malaysia Arts School. A library research was also done to
get a framework on how the write up is supposed to be structured. This seminar
paper is hoped to give a general description of what will happen to the
development of Music Education in Malaysia in the future.
PENGENALAN
Pendidikan Muzik di sekolah rendah (KBSR) telah diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1982 dan ini bermaksud setiap
murid di sekolah rendah wajib mengikuti mata pelajaran ini. Sebagai satu
kesinambungan, Pendidikan Muzik (KBSM) diwujudkan pada tahun 1995 di
peringkat sekolah menengah namun ia hanya satu mata pelajaran elektif. Hanya
pelajar-pelajar yang berminat dan melepasi uji bakat akan mengikuti mata
pelajaran ini. Tujuan diadakan mata pelajaran ini dalam Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah adalah untuk membantu memperkembangkan sahsiah
pelajar dari aspek estetik, kreatif dan persepsinya supaya dapat mengamalkan
pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam urusan hidupnya serta
mengenali identiti bangsa. Pendidikan muzik di sekolah menengah juga
menekankan pemupukan semangat kewarganegaraan dan nilai murni
masyarakat Malaysia. Peranan Pendidikan Muzik juga adalah untuk memberikan
penekanan ke arah pembentukan kualiti diri dan sahsiah kanak-kanak
merangkumi aspek perasaan, kreativiti, nilai sosialisasi, estetika, dan etika. Di
samping itu, Pendidikan Muzik mengambil kira aspek budaya untuk pemupukan
perasaan cinta dan bangga terhadap Negara ( Mohd Salleh Lebar 1996).
Pendidikan Muzik peringkat sekolah menengah juga bertujuan
memperkembangkan tahap pencapaian pelajar dalam bidang akademik iaitu
penggunaan seimbang di antara otak kiri dan kanan seseorang pelajar i tu di
samping dapat mencungkil bakat dan juga kemahiran yang terpendam dalam
kalangan pelajar. Muzik meliputi segala bentuk maklumat, kemahiran, sikap dan
ia sepatutnya dapat memperlihatkan kreativiti dan ekspresi setiap individu
( Charles R. Hoffer 1991).
Tahap pencapaian murid di sekolah yang mempunyai muzik sebagai mata
pelajaran utama adalah lebih baik daripada sekolah yang meluangkan masa
yang sedikit untuk mata pelajaran muzik. Muzik dapat membantu proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan (Zoltan Kodaly, 1995). Penglibatan
kanak-kanak dalam muzik amat penting. Muzik merupakan satu bahan
perantaraan yang dapat melancarkan sesuatu pembelajaran dan didapati
sembilan daripada sepuluh orang bangsa Amerika menyatakan bahawa kanak-
kanak mereka lebih kreatif dan mempunyai imaginasi yang kuat, lancar bertutur,
dan dapat menguasai kemahiran menulis melalui penglibatan mereka dalam
muzik ( Louis Harris Poll 1996).
Menyedari akan kepentingan pendidikan muzik yang mampu
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang serta
membuka pelbagai cabang peluang kerjaya yang berkaitan dengan bidang ini ,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah yang positif dengan
menubuhkan Sekolah Seni Malaysia. Berita gembira ini amat bermakna serta
merealisasikan harapan ramai pendidik seni terhadap perkembangan pendidikan
seni serta masa depan bidang tersebut di Malaysia. Justeru pihak Kerajaan
Malaysia berharap penubuhan Sekolah Seni dapat dilaksanakan mengikut
perancangan yang telah dirancang supaya dapat memberi sumbangan serta
memenuhi aspirasi dan harapan negara. Manakala pelbagai pihak seperti guru,
pelajar serta masyarakat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam
merealisasikan harapan kerajaan. Cabaran-cabaran yang perlu dilalui perlu
diterjemahkan dalam melaksanakan MISI dan VISI penubuhan Sekolah Seni
Malaysia.
LATAR BELAKANG
Cadangan penubuhan Sekolah Seni telah diputuskan dalam Persidangan
Perancangan Strategik KPM tahun 2004 yang diadakan di Hotel Pan Pacific,
KLIA, Sepang pada 30 Oktober hingga 1 November 2004.
Y.B. Menteri Pelajaran telah mengumumkan rancangan penubuhan dua
buah sekolah menengah seni di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Sekolah
tersebut akan dibina masing-masing sebuah di negeri Johor (Sekolah Seni Johor
Baharu) dan Sarawak (Sekolah Seni Kuching Sarawak).
Mesyuarat Mengkonsepsikan Sekolah Seni telah diadakan oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum (PPK) pada 9 -12 Mei 2005 dan beberapa contoh
model pelaksanaan kurikulum Sekolah Seni telah dihasilkan. Ahli panel terdiri
daripada guru, pegawai kementerian, pensyarah dan penggiat kesenian dari
beberapa institusi dan universiti seperti Institut Kraf Tangan Negara, Yayasan
Warisan Johor, Kolej Yayasan Melaka, Unversiti Pendidikan Sultan Idris,
Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Malaysian Philharmonic
Orchestra. Manakala, Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) adalah mewakili
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sekolah Seni Bil.2/2006 yang
dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato’ KPPM telah menerima pada dasarnya
Cadangan Kertas Konsep Sekolah Seni yang dikemukakan dengan beberapa
pindaan. Lanjutan itu, pada 10 hingga 13 Oktober 2006 satu bengkel pemurnian
kertas tersebut telah diadakan bagi membincangkan pindaan seperti yang telah
diputuskan dalam Mesyuarat Bil.2/2006. Panel bengkel ini terdiri daripada
antaranya Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, pegawai-pegawai kanan
KPM, pegawai-pegawai daripada JPN Johor dan Sarawak serta para penggiat
seni yang diundangkan khas.
Sebagai persediaan pelaksanaan Sekolah Seni 2007, pihak PPK telah
mengambil inisiatif memberi Kursus Orientasi kepada guru-guru Pendidikan
Kesenian untuk Sekolah Seni. Guru-guru tersebut telah didedahkan kepada
kurikulum mata Pelajaran Pendidikan Kesenian yang disediakan khas untuk
Sekolah Seni. Mata pelajaran Pendidikan Kesenian merangkumi disiplin Seni
Visual, Seni Tari, Seni Teater dan Seni Muzik.
Mesyuarat Hal-hal Profesional Kementerian Pelajaran Bil 09/2006 pada
24 November 2006 bersetuju dengan Dasar-dasar Pelaksanaan Sekolah Seni
yang telah dibentang dan mengesyorkan supaya kertas tersebut diangkat ke
Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran.
KERTAS DASAR MESYUARAT PENGURUSANKEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIASEKOLAH SENI MALAYSIA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2006
ASAS-ASAS PERTIMBANGAN
Konsep Sekolah Seni
Sekolah yang membangunkan potensi dan bakat kesenian murid.
Falsafah Pendidikan Kesenian
Suatu usaha membangunkan potensi individu secara seimbang dan
bersepadu melalui pendidikan kesenian yang dilaksanakan secara terancang
dan sistematik. Usaha ini adalah bagi melahirkan insan yang bertanggungjawab
dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa yang luhur dan
beridentiti Malaysia.
Falsafah Sekolah Seni
Sebuah institusi yang membangunkan potensi individu secara seimbang
dan bersepadu melalui pendidikan kesenian bagi melahirkan insan yang berilmu,
berketerampilan dan berkeperibadian mulia dalam mengamalkan budaya bangsa
yang luhur dan beridentiti Malaysia.
Visi
Pewaris Budaya Bangsa
Misi
Misi sekolah seni ialah:
i) Memupuk bakat dan mengembangkan potensi kesenian di
kalangan murid.
ii) Menggalakkan penyertaan aktif murid dalam aktiviti kesenian.
iii) Mewujudkan kerjasama dengan pelbagai institusi dan penggiat
seni.
Objektif
Objektif sekolah seni ialah:
i) Melahirkan murid yang seimbang dalam pencapaian akademik dan
kesenian.
ii) Melahirkan murid yang berilmu dan berketerampilan dalam bidang
kesenian.
iii) Menjadi tapak semaian kecemerlangan pendidikan kesenian yang
beridentiti di peringkat antarabangsa.
iv) Melahirkan penggiat seni dan pengamal budaya yang bersahsiah
tinggi.
v) Melahirkan individu yang berjiwa seni dan dapat memelihara
budaya bangsa.
Pengurusan dan Pentadbiran
Pengurusan dan pentadbiran sekolah seni adalah seperti sekolah harian
biasa kecuali dalam bidang-bidang berikut:
i) Norma Perjawatan
Norma perjawatan guru dan bukan guru akan mengambil kira
bidang dan kurikulum yang ditawarkan. Ini termasuk jawatan luar
norma yang sedia ada seperti penolong kanan seni dan
pentadbiran, ketua bidang kesenian (visual, teater, muzik, tari),
instruktur / jurulatih kesenian, staf sokongan mengikut disiplin
kesenian yang ditawarkan. Sekiranya jawatan tersebut tidak dapat
diisi atau belum wujud di bawah Kementerian Pelajaran maka ia
perlu diatasi dengan mendapat pegawai khidmat luar secara
sambilan atau di bawah program pegawai pinjaman (secondment).
ii) Pengurusan Kewangan
Selain menggunakan peruntukan sedia ada (Belanja Mengurus),
KPM menyediakan peruntukan khas bersesuaian dengan program
pendidikan yang ditawarkan seperti elaun khidmat kepakaran,
perolehan kelengkapan dan peralatan, utiliti, program ‘attachment’,
penyertaan peringkat nasional dan antarabangsa, lawatan
benchmarking / penandarasan dan sebagainya.
iii) Penyediaan guru
Kursus latihan perguruan sama ada pra atau dalam perkhidmatan
perlu mengambil kira program pendidikan kesenian yang
ditawarkan.
iv) Pengurusan kurikulum
Murid Sekolah Seni mengikuti kurikulum pendidikan kesenian yang
digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Seperti pada
Lampiran.
v) Pengurusan Pembangunan dan Perolehan
Kemudahan fizikal dan infrastruktur Sekolah Seni disediakan
dengan mengambil kira ciri-ciri kesenian setempat. Bagi perolehan
peralatan dan perkakasan ia perlu mengikut spesifikasi yang
ditetapkan berdasarkan subjek yang ditawarkan.
Akademik/Kurikulum
Struktur Akademik/Kurikulum sekolah seni adalah seperti berikut:
i) Murid Sekolah Seni mempelajari Mata Pelajaran Teras dan
Pendidikan Kesenian.
ii) Norma guru akademik dan guru mata pelajaran Pendidikan
Kesenian di Sekolah Seni ialah 2.0 bagi setiap kelas.
iii) Bilangan murid Sekolah Seni tidak melebihi 25 orang bagi setiap
kelas.
iv) Murid Sekolah Seni mempunyai jadual waktu persekolahan yang
fleksibel. Walau bagaimanapun, jadual waktu yang standard.
v) Semua murid Sekolah Seni akan menduduki peperiksaan PMR dan
SPM seperti murid sekolah biasa.
vi) Kementerian Pelajaran Malaysia disyorkan mengeluarkan Sijil
Kemahiran Seni kepada murid Sekolah Seni yang berjaya
menamatkan persekolahan mereka di sekolah ini.
Pengambilan Murid
Kemasukan murid adalah berdasarkan syarat dan kaedah berikut:
i) Warganegara Malaysia;
ii) Kelulusan minimum 3A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR);
iii) Permohonan ibu bapa;
iv) Talent Scouting/Searching;
v) Cadangan oleh badan kesenian negeri atau kebangsaan; DAN
vi) Semua murid yang disenarai pendek akan melalui sesi uji bakat
oleh Panel Pemilih KPM sebelum ditawarkan ke Sekolah Seni.
Murid Sekolah Seni adalah duta kecil negara untuk mempromosi negara
di peringkat antarabangsa. Ia juga dapat menggalakkan industri pelancongan
berasaskan seni warisan bangsa.
Para pencinta seni digalakkan menyumbang idea dan khidmat nasihat
dalam program pembangunan seni di Sekolah Seni.
Murid Sekolah Seni digalakkan memberi khidmat sosial dalam majlis-
majlis utama negara atau Kementerian Pelajaran Malaysia.
Murid Sekolah Seni diberi keutamaan melanjutkan pelajaran kesenian
mereka ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) sebagai sebuah program kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia
dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Apa sebenarnya yang berlaku di sekolah ?
i) Sukatan
Menurut En. Ahmad Nazri bin Nordin selaku jurulatih (guru) Sekolah Seni
Johor Baharu Johor apa yang berlaku di sekolah seni adalah seperti yang
dirancang. Peruntukan masa 12 waktu adalah amat mencukupi untuk
menghabiskan sukatan pelajaran mengikut peruntukan masa dalam jadual
waktu. Sukatan pelajaran yang disediakan oleh pihak Pusat Perkembangan
Kurikulum yang mencakupi bidang konsep muzik, teori muzik, apresiasi muzik,
pengurusan produksi serta kemahiran asas kibod dapat menyediakan asas
muzik yang kukuh kepada pelajar-pelajar. Menurut beliau yang berpengalaman
mengajar muzik KBSM di sekolah harian biasa, perkara tidak dapat
menghabiskan sukatan pelajaran tidak berlaku di sekolah seni walaupun pada
mulanya beliau bimbang akan masalah tersebut. Aktiviti kokurikulum yang di
jalankan pada waktu petang dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang pada setiap hari
dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu yang mereka
pelajari secara praktikal . Ini disebabkan kegiatan kokurikulum di sekolah seni
lebih tertumpu kepada aktiviti yang berkaitan dengan bidang seni yang mereka
ceburi.
ii) Penilaian dan Penaksiran
Semua murid Sekolah Seni dinilai secara berterusan berdasarkan tugasan
amali individu dan berkumpulan. Kemahiran praktikal diberi keutamaan dengan
pemberatan 70% praktikal manakala 30% menunjukkan pelajar-pelajar lulusan
Sekolah Seni Malaysia mempunyai kelebihan dari aspek praktikal amali
mengikut bidang aliran mereka seperti seni muzik, seni teater, seni visual dan
seni tari. Penilaian pencapaian kemajuan dibuat berasaskan sekolah. Pelajar
juga diberi tugasan berbentuk pengurusan produksi yang dilakukan secara
berpasukan. Murid juga digalakkan menduduki peperiksaan luar yang relevan
yang menawarkan sijil atau diploma dalam bidang-bidang tertentu.
iii) Kemudahan dan Prasarana
Sekolah Seni dilengkapi dengan kemudahan asas Sekolah Berasrama
Penuh termasuk bangunan kompleks seni, bilik dan peralatan-peralatan khas
kesenian serta landskap dan persekitaran yang bersesuaian dengan imej
Sekolah Seni. Penyediaan kemudahan yang mencukupi membuatkan
pengajaran dan pembelajaran secara teori dan praktikal dapat dijalankan dengan
berkesan. Kemudahan asrama yang disediakan menjadikan pelajar-pelajar dapat
memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran serta latihan praktikal
sama seperti sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain. Namun sehingga kini
pelaksanaannya masih belum menjadi realiti sebagai contoh, Sekolah Seni Johor
Bahru masih lagi berstatus menumpang di Maktab perguruan Muhamad Khalid.
Prasarana serta kelengkapan peralatan bagi tujuan pengajaran dan
pembelajaran serta latihan sudah pasti terganggu. Walaubagaimanapun pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia memandang serius perkara ini dan telah
mengambil langkah dengan mengenal pasti tapak baru bagi tujuan pembinaan
Sekolah Seni selaras dengan justifikasi kemudahan dan prasarana seperti yang
terkandung dalam Keras Dasar Mesyuarat Penubuhan Sekolah Seni Malaysia.
Kelewatan penyediaan kemudahan dan prasarana ini sudah pasti akan memberi
kesan yang negatif kepada ambilan pertama yang bakal menamatkan
persekolahan mereka pada 2010.
iv) Penglibatan Pihak Luar
Menurut temu bual bersama En. Ahmad Nazri bin Nordin, Sekolah Seni
Johor Baharu mendapat kerjasama yang baik daripada agensi kerajaan negeri
mahupun pihak swasta. Yayasan Seni dan Warisan Johor banyak memberikan
khidmat kepakaran dalam aspek melatih pelajar-pelajar bidang muzik dan seni
tari yang mencerminkan seni warisan negeri Johor seperti muzik Ghazal, Asli
serta Zapin. Tidak ketinggalan juga tarian-tarian tradisional yang popular di ngeri
Johor diajar dan diperkenalkan kepada pelajar melalui kegiatan kokurikulum.
Menurut beliau lagi bengkel vokal yang dikendalikan sendiri oleh tokoh pendidik
yang terkenal dalam bidang vokal iaitu Pn. Siti Hajar telah diadakan secara
percuma kepada pelajar-pelajar. Pengalaman seperti ini amat ditunggu-tunggu
oleh pelajar. Lebih berkesan lagi jika penglibatan sepenuhnya dari Kementerian
Perpaduan dan Warisan, dahulunya Kementerian Kesenian dan Warisan
memberi khidmat kepakaran secara berterusan dengan mengadakan bengkel-
bengkel yang berkaitan dengan seni dan budaya yang terdapat di Malaysia.
Dengan ini keseimbangan pengetahuan serta kemahiran pelajar tidak hanya
tertumpu kepada budaya kesenian masyarakat setempat di mana letaknya
sekolah berkenaan. Contohnya pelajar dari Sekolah Seni Johor Baharu
mempunyai pemberatan terhadap budaya negeri Johor manakala Sekolah seni
Kuching Sarawak hanya mencerminkan budaya dan Seni masyarakat Sarawak.
Perkara ini amat penting supaya pelajar lulusan Sekolah Seni Malaysia
mempunyai input yang seimbang dan menyeluruh. Walau bagaimanapun
sekolah yang mempamerkan identiti imej budaya negeri di mana letaknya
sekolah tersebut amat digalakkan. Jika usaha sama semua pihak daripada
kementerian, kerajaan negeri, pihak swasta serta individu-individu yang terkenal
dengan kepakaran mereka amat menyumbang serta memberi impak yang besar
dalam memperkasa perkembangan pendidikan seni di Malaysia.
v) Peranan Ibu Bapa dan Masyarakat
Peranan masyarakat sekeliling memainkan peranan yang penting dalam
menjayakan misi dan visi Sekolah Seni Malaysia. Kefahaman masyarakat
terhadap pendidikan seni amat perlu terutama di kalangan ibu bapa pelajar.
“Muzik merupakan salah satu komponen utama dalam budaya
sesebuah negara yang boleh menyatupadukan rakyatnya”.
(Johami Abdullah 1993 ).
Kata-kata di atas boleh diaplikasikan seandainya golongan ibu bapa
pelajar memahami muzik yang diterapkan kepada anak-anak mereka adalah
berlainan daripada muzik komersial yang dianggap mengkhayalkan oleh
sesetengah golongan masyarakat. Program pendidikan seni dan muzik di
Malaysia dapat menyatupadukan anak-anak mereka serta hasrat kerajaan untuk
melahirkan Bangsa Malaysia akan menemui jalan yang lebih mudah. Selain itu
sikap keterbukaan ibu bapa terhadap bidang seni pada hari ini telah memberi
ruang yang cerah terhadap bidang kerjaya yang boleh menjamin masa depan
anak-anak mereka. Justeru keadaan ini diharap dapat memberi gambaran positif
kepada masyarakat sekali gus sambutan terhadap penerimaan Sekolah Seni itu
akan lebih berjaya. Bagi pelajar, dengan sokongan ibu bapa, mereka lebih yakin
dan selesa serta mempunyai fokus hala tuju hidup mereka dalam bidang kerjaya
seni. Pihak kerajaan dan swasta telah menyediakan pelbagai peluang kerjaya
dalam bidang seni berbanding suatu ketika dulu. Kementerian Perpaduan
Kesenian dan Warisan menyediakan peluang pelbagai perjawatan manakala
pihak swasta terutama sektor penerbitan dan penyiaran juga telah menjadikan
bidang seni ini satu bidang kerjaya yang profesional dan pilihan kerjaya masa kini.
Perbincangan dan Cadangan
Adalah sangat murni hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan
Sekolah Seni. Walau bagaimanapun banyak perkara yang perlu diambil tindakan
untuk memastikan hasrat kerajaan dapat dicapai dengan jayanya. Di sini saya
mempunyai beberapa pandangan yang boleh difikirkan untuk memastikan
kewujudan Sekolah Seni Malaysia dapat memberi sumbangan yang besar
terhadap perkembangan pendidikan kesenian di Malaysia. Antara kelemahan-
kelemahan yang dapat dilihat;
1. Melihat pada visi sekolah seni iaitu Pewaris Budaya Bangsa,
perkara yang perlu di beri perhatian ialah pengisian ilmu yang bakal
disampaikan kepada pelajar perlulah tepat mengikut matlamat asal penubuhan
Sekolah Seni Malaysia. Pihak Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) adalah
merupakan badan yang bertanggungjawab dalam hal ini. Pihak PPK perlu
memastikan pengisian kurikulum dalam membentuk masyarakat pewaris budaya
bangsa itu harus tepat dan tidak terpesong. Melalui pendidikan muzik KBSR dan
KBSM kita masih lagi terikat dengan orientasi muzik barat western music.
Menurut (Johaimi Abdullah 1993) sistem pendidikan muzik seperti yang wujud
sekarang dikatakan mempunyai banyak ciri yang telah diwariskan daripada
sistem pendidikan yang telah diwujudkan pada zaman penjajah British. Muzik
tradisional Malaysia termasuk bentuk-bentuk muzik daripada budaya lain kurang
menerima penekanan dalam kurikulum muzik di sekolah-sekolah umum di
Malaysia hingga sekarang. Justeru pengisian sukatan pelajaran yang lebih
mencerminkan budaya Malaysia perlu diberi pemberatan untuk memastikan visi
Sekolah Seni Malaysia tercapai.
2. Penggunaan teknologi komputer pada masa kini adalah menjadi
suatu kemestian dalam era pendidikan moden. Penggunaan komputer di dalam
pendidikan muzik sekarang adalah seiring dengan kepesatan penggunaan
komputer dalam pelbagai bidang pendidikan umum masa kini. Pendidik muzik
telah memainkan peranan yang penting di dalam pengajaran muzik berbantukan
komputer (Higgins, 1992). Bagi memastikan pelajar-pelajar sekolah seni tidak
ketinggalan dalam dunia teknologi, pengajaran berbantukan komputer perlu
dilaksanakan. Hari ini pelbagai perisian muzik yang amat membantu pelajar
menerokai bidang ilmu, terdapat banyak di pasaran. Pihak kementerian perlu
menyediakan prasarana seperti makmal teknologi muzik, studio rakam muzik,
studio komputer grafik, lighting computer studio dan sebagainya. Persidangan,
perbincangan, forum berbentuk video conference juga dapat dijalankan dan ini
amat membantu pelajar bertukar-tukar pengalaman dan pendapat sekiranya
teknologi Internet dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan laman web yang berkaitan dengan memuat turun bahan-bahan
audio video serta bahan-bahan bacaan secara online adalah sumber
pembelajaran yang hidup dan bercirikan pendidikan masa kini. Dalam hal ini cita
rasa dan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat yang menguasai ilmu teknologi
seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020, tidak diketepikan.
3. Kolaborasi dengan sekolah-sekolah seni sekitar negara jiran juga
amat membantu dalam meningkat pengetahuan ilmu kepada pelajar dan secara
tidak langsung dapat menjalinkan hubungan yang sihat sesama anggota negara
ASEAN. Saya mencadangkan agar pelajar-pelajar Sekolah Seni Malaysia diberi
peluang untuk mengadakan lawatan serta membuat persembahan dalam rangka
lawatan sambil belajar ke sekolah-sekolah seni seperti sekolah seni di Indonesia
dan sekolah seni di Thailand. Perkara ini harus dipandang serius kerana pelajar-
pelajar kita dapat menilai seni yang dipertontonkan oleh pelajar dari negara jiran
dan bagaimana mereka dapat memelihara seni dan warisan negara mereka
pada tahap yang tinggi. Perbandingan ini dapat memberi suntikan semangat
serta membuka mata pelajar Sekolah Seni Malaysia supaya mengetahui di
manakah standard mereka berbanding rakan-rakan dari negara jiran. Dengan
cara ini kita pasti akan dapat menerapkan ke dalam diri pelajar supaya cinta
akan warisan serta budaya masyarakat Malaysia itu sendiri.
4. Penggabungjalinan empat bidang dalam satu subjek kesenian dari
tingkatan 1 hingga 3 memberi kesan yang mendalam dan amat membebankan
pelajar. Menurut En. Ahmad Nazri bin Nordin, pelajar-pelajar tidak dapat
menyesuaikan diri dengan program yang telah ditetapkan. Sebagai contoh
pelajar muzik yang tidak meminati seni visual atau seni teater merasa amat
tertekan sewaktu proses P&P mata pelajaran tersebut. Rata-rata di kalangan
pelajar tidak dapat memberi tumpuan dengan mata pelajaran bukan pilihan
mereka. Minat pelajar akan mula hilang seta pencapaian akademik akan merosot
jika emosi mereka tidak stabil akibat dari tekanan ini. Menurut Goleman (1991),
hanya 20% daripada kejayaan seseorang dipengaruhi oleh kecerdasan kognitif
dan selebihnya bergantung kepada kecerdasan emosi, sosial dan nasib. Saya
mencadangkan adalah lebih baik jika pelajar diberi kebebasan untuk membuat
pilihan mereka. Contoh, pelajar jurusan seni muzik diberi peluang memilih satu
mata pelajaran seni yang lain sebagai mata pelajaran elektif mereka. Pihak
Kementerian Pelajaran menetapkan pelajar sekolah seni harus memilih bidang
kesenian mereka (major subjek) serta satu bidang elektif (minor subjek) seperti
yang berlaku di universiti. Dengan ini pelajar-pelajar dapat memberi fokus serta
tumpuan yang sepenuhnya terhadap bidang pilihan mereka. Perkara ini harus
diteliti dan diperhalusi supaya tidak memberi kesan negatif bila mereka mula
menjurus dalam aliran bidang masing-masing semasa di tingkatan empat.
Rumusan
Tidak dapat dinafikan kewujudan Sekolah Seni Malaysia menjadi titik tolak
dalam perkembangan pendidikan muzik di Malaysia pada hari ini. Kerajaan telah
mula memandang seni itu suatu perkara serius dan bidang seni itu perlu diberi
perhatian secara khusus dari aspek persembahan serta pendidikannya. Apabila
berbicara mengenai ilmu pendidikan kurikulum yang terancang adalah
merupakan antara aspek yang utama dalam menentukan hala tuju sesebuah
mata pelajaran. Pihak yang bertanggungjawab di kementerian iaitu Pusat
Perkembangan Kurikulum perlu memastikan pembinaan kurikulum bagi sekolah
seni perlulah bertepatan dengan matlamat sebenar penubuhan sekolah seni.
Jika gagal maka impian dan hasrat untuk melihat Sekolah Seni Malaysia sebagai
pusat pewaris kepada kesenian dan warisan budaya tidak akan mencapai
matlamat asalnya. Saya mencadangkan agar pihak kementerian perlu mengkaji
secara mendalam tentang pengisian dan keperluan yang perlu disampaikan
kepada pelajar selaras dengan matlamat kerajaan. Pengisian yang terlalu
membebankan pelajar akan membuatkan tenaga pengajar serta pelajar merasa
tertekan untuk melaksanakannya. Dari aspek pelaksanaannya pihak
kementerian juga perlu menyediakan tenaga pengajar yang benar-benar
berkelayakan serta menyediakan prasarana yang mencukupi bagi memastikan
pengajaran dan pembelajaran tidak akan terganggu.
Bibliografi
Kertas Dasar. Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (2006). Sekolah Seni Malaysia: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Johami Abdullah (1993). Pendidikan Muzik Semasa. Kuala Lumpur.Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mohd. Salleh Lebar (1996). Perkembangan dan Haluan Kurikulum Pendidikan Malaysia: Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn. Bhd.
Pusat Perkembanga Kurikulum (1996). Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah Pendidikan Muzik. Kementerian Pelajaran Malaysia.
R. Hoffer, C. (1983). Teaching music in the secondary schools. California.Wadsworth.
Rosnani Hashim (1995). Pembaharuan Dalam Strategi Penilaian.
Choksy, Lois 1974. The Kodaly Method. New Jersey. Prentice Hall.
Louis Harris poll (1996).
Higgins, W. (1992). Technology. In R. Colwell (Ed.), Handbook of Research on Music Teaching and Learning . New York: Schirmer Books.
Sidek Mohd Noah (2002). Reka bentuk penyelidikan. Serdang. UniversitiPutra Malaysia.
Goleman, Daniel (1995). Emotional Intelligence: Why it can matter more than
IQ. New York. Bantam Books.