sejarah perkembangan linguistik

20
PENGENALAN Pada hakikatnya, perkembangan ilmu linguistik sebagai satu disiplin kajian bahasa secara ilmiah berlangsung menerusi beberapa peringkat yang panjang. Setiap peringkat ini merujuk kepada zaman yang memperlihatkan adanya cetusan pemikiran pemikir asli dalam zaman berkenaan. Huraian seterusnya akan memaparkan secara ringkas beberapa siri zaman yang menyerlahkan sejarah perkembangan ilmu linguistik. T T o o p p i i k k 2 2 Sejarah Perkembangan Linguistik HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menerangkan zaman linguistik India; 2. Menyatakan zaman linguistik Yunani; 3. Membincangkan zaman linguistik Romawi; 4. Menghuraikan zaman linguistik Arab; dan 5. Merumuskan zaman linguistik Moden.

Upload: norhana-bt-bakhary

Post on 19-Jan-2016

306 views

Category:

Documents


5 download

DESCRIPTION

Membicarakan sejarah perkembangan Linguistik

TRANSCRIPT

Page 1: Sejarah Perkembangan Linguistik

PENGENALAN

Pada hakikatnya, perkembangan ilmu linguistik sebagai satu disiplin kajian bahasa secara ilmiah berlangsung menerusi beberapa peringkat yang panjang. Setiap peringkat ini merujuk kepada zaman yang memperlihatkan adanya cetusan pemikiran pemikir asli dalam zaman berkenaan. Huraian seterusnya akan memaparkan secara ringkas beberapa siri zaman yang menyerlahkan sejarah perkembangan ilmu linguistik.

TTooppiikk

22

Sejarah Perkembangan Linguistik

HASIL PEMBELAJARAN

Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Menerangkan zaman linguistik India;

2. Menyatakan zaman linguistik Yunani;

3. Membincangkan zaman linguistik Romawi;

4. Menghuraikan zaman linguistik Arab; dan

5. Merumuskan zaman linguistik Moden.

Page 2: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

31

ZAMAN LINGUISTIK INDIA

Robins (1990) menegaskan bahawa linguistik di India bermula lebih awal dari negara-negara Eropah. Sewaktu Eropah baru mengenali ilmu linguistik, sarjana India telah pun memiliki mazhab tertentu dengan doktrin yang berbeza-beza, di samping memiliki teks dan sumber yang diakui, diiringi pula dengan ulasan dan penjelasan terperinci tentang isi teks berkenaan. Teks yang dimaksudkan ialah teks Vedik (kitab-kitab Veda yang merupakan teks keagamaan dan kesusasteraan Sanskrit tertua yang diketahui).

Kesarjanaan India khususnya dalam bidang linguistik berkait erat dengan bahasa Sanskrit. Sejak abad ke-5 sebelum Masihi lagi, dikatakan telah wujud sebanyak 46 huruf bahasa Sanskrit. Huruf-huruf ini terkenal dengan nama huruf Brahmi. Andaian-andaian awal menyatakan bahawa huruf-huruf ini dicipta oleh cerdik pandai India kuno iaitu kaum Brahmana (Mansoer Pateda, 1988).

Topik-topik huraian ahli-ahli bahasa India kuno mencakupi hampir keseluruhan huraian lingustik moden. Unsur nahu yang antara lainnya meliputi bidang fonetik, fonologi, semantik, dan perayatan telah diolah dengan panjang lebar berdasarkan prinsip menjaga kemurnian bahasa kitab Veda.

2.1.1 Fonetik dan Fonologi

Menurut linguistik India kuno, bahasa dipelajari untuk tujuan upacara keagamaan. Dengan mempelajari bahasa secara terperinci, mereka dapat mengucapkan doa-doa yang terdapat dalam kitab-kitab Veda dengan lebih baik lagi (Emeneau, 1980). Pada hakikatnya, bunyi-bunyi bahasa dipelajari dengan mendalam bukan atas tujuan untuk mengetahui hakikat bahasa tetapi semata-mata untuk memelihara kesucian dan ketulenan kitab-kitab keagamaan mereka. Sebutannya dideskripsikan secara terperinci dengan harapan ia tidak akan berubah mengikut zaman (Samsuri, 1972).

Menurut Robins (1990), linguistik India zaman tradisi melihat fonetik sebagai penyambung tatabahasa dengan ujaran. Huraian fonetik disusun di bawah tiga tajuk besar iaitu proses artikulasi, segmen-segmen (konsonan dan vokal) dan sintesis segmen ini dalam struktur fonologi. Organ pertuturan dibahagikan kepada intraoral (merujuk kepada organ-organ pertuturan di dalam rongga oral) dan ekstraoral (merujuk kepada organ-organ pertuturan di luar rongga oral). Organ-organ ekstraoral meliputi glotis, paru-paru dan rongga hidung. Ketiga-tiga organ ini membezakan sifat bersuara dan tidak bersuara, aspirasi dan bukan aspirasi, dan bukan nasal pada bunyi-bunyi bahasa.

2.1

Page 3: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 32

Sarjana India kuno membezakan bunyi bersuara daripada bunyi tidak bersuara berdasarkan mekanisme di glotis. Bunyi bahasa bersuara merujuk kepada keadaan glotis tertutup manakala bunyi bahasa tidak bersuara dikatakan merujuk kepada keadaan glotis yang terbuka. Huraian tentang konsep penyuaran (berdasarkan mekanisme di glotis) ini adalah satu kejayaan terpenting linguistik India kuno.

Organ-organ artikulasi dalam rongga oral (intraoral) pula dihuraikan berdasarkan posisi dari belakang (kerongkong) ke depan (bibir). Penyaringan arus udara di rongga oral didasarkan kepada empat kategori iaitu sekatan penuh rongga oral, geseran, geluncuran separuh vokal dan tiada sebarang sekatan atau sempitan. Mekanisme artikulasi dihuraikan dengan merujuk kepada titik artikulasi (sthana) dan artikulator (karana) (Robins, 1990).

Unsur-unsur prosodi seperti nada juga turut diberi penelitian terperinci. Terdapat penggunaan istilah udatta, anudatta dan svarita yang masing-masing merujuk kepada maksud nada tinggi, nada rendah dan nada menurun.

2.1.2 Semantik

Kajian semantik pada zaman itu lebih terarah pada aspek makna kata. Perdebatan seringkali wujud dalam kalangan ahli-ahli bahasa tentang persoalan aspek makna kata ini. Antara persoalan yang sering ditimbulkan ialah sejauh mana makna kata itu jelas dan benar dalam mencirikan sesuatu objek atau kabur dalam membezakannya dengan objek-objek lain.

Pemahaman tentang sifat kata dan makna ayat dibahaskan dari pelbagai sudut pandangan. Mereka meneliti persoalan tentang sejauh mana makna boleh dianggap sebagai sifat semulajadi kata-kata atau sejauh mana onomatopia boleh diterima pakai sebagai model untuk menghuraikan hubungan di antara kata dengan objek (Robins, 1990).

Sarjana India kuno mengkaji dan mempelajari konsep makna menerusi pengamatan (keperihalan keadaan penggunaan sebenar kata-kata itu dalam ayat), dan kenyataan-kenyataan langsung yang diberikan oleh orang-orang tua dan para guru tentang kata-kata tertentu dan penggunaannya.

Page 4: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

33

2.1.3 Kajian Perayatan

Prinsip asas tentang struktur ayat juga turut diserlahkan. Prinsip ini menghendaki supaya kata-kata yang akan membina sesuatu ayat itu memenuhi tiga syarat. Istilah Sanskrit bagi ketiga-ketiga syarat ini ialah akanksa, yogyata dan samnidhi (Robins, 1990).

(a) Akanksa merujuk kepada maksud kata-kata itu. Ia mestilah merupakan golongan kata tertentu yang bersesuaian dengan binaan ayat berkenaan (kalau tidak ia hanya merupakan senarai kata-kata yang tidak memberikan apa-apa pengertian lanjut);

(b) Yogyata pula bermaksud kata-kata dalam binaan ayat haruslah bersesuaian atau berhubung erat antara satu sama lain (kalau tidak maka akan terhasillah ayat yang seakan-akan gramatis tetapi tidak bermakna/tidak difahami langsung); dan

(c) Samnidhi pula membawa maksud kata-kata itu harus wujud dalam dunia nyata (kalau tidak ia tidak mungkin diingati atau dianggap sebagai ujaran).

Perlu juga dinyatakan di sini bahawa huraian tatabahasa zaman India juga turut meliputi aspek penggolongan dan pembentukan kata. Pada zaman itu, kata-kata digolongkan kepada empat jenis iaitu kata nama, kata kerja, kata depan dan partikel. Ahli-ahli bahasanya juga dikatakan amat menitikberatkan konsep pemajmukan kata.

Zaman linguistik India ternyata menyerlahkan kehebatan ahli-ahli bahasanya menerusi teori dan analisis nahu bahasa Sanskrit. Antara penahunya yang terkenal ialah Panini.

2.1.4 Panini

Panini merupakan salah seorang pendita kaum Brahman. Beliau dikatakan berasal dari perkampungan Salatura di India Barat dan hidup sekitar abad ke-5 sebelum Masihi (Raja Masittah Raja Ariffin, 1990). Kajian dan huraiannya yang begitu teliti dan terperinci tentang bahasa Sanskrit telah menjadikan beliau begitu popular dalam kalangan penganalisis bahasa khususnya pengkaji Barat.

Page 5: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 34

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Panini merupakan ahli tatabahasa pertama di dunia yang menganalisis bahasa Sanskrit. Tatabahasa Sanskrit Panini merupakan kemuncak karya-karya sarjana India kuno yang terdahulu daripadanya. Tatabahasa Sanskrit ini dikatakan telah dihasilkan lebih 2,000 tahun dahulu. Karangan tatabahasa ini dikenali dengan nama Sanskritnya sebagai astadhyayi (lapan buah buku). Barangkali nama ini merujuk kepada pembahagian huraian dalam karangan tersebut yang mana ia dikatakan terbahagi kepada lapan bahagian besar (Robin, 1990).

Karangan Panini berhubung dengan tatabahasa Sanskrit dikatakan hampir menyamai huraian dan konsep linguistik yang telah maju seperti mana yang terdapat dalam abad ke dua puluh (Abdullah Hassan, 1983).

Tatabahasa Sanskrit Panini mengandungi huraian yang terperinci tentang rumus pembentukan kata bahasa Sanskrit. Rumusan ini diungkapkan menerusi pernyataan secara ringkas yang lazimnya diiringi dengan pentakrifan dan proses pembentukan kata. Rumusan ini disebut sebagai sutra yang membawa maksud benang. Seperti mana yang ditegaskan oleh penahu generatif zaman linguistik moden, penerapan setiap sutra haruslah menurut peraturan-peraturan tertentu.

Meskipun, tatabahasa Sanskrit dalam versi Inggeris telah diterbitkan buat pertama kalinya pada awal abad ke-19, namun pendedahan tentang kandungannya bermula lama sebelum itu. Pemahaman terhadap karya Panini ini secara tidak langsung telah mengajar pengkaji-pengkaji barat tentang ilmu linguistik perbandingan. Ia berjaya mengubah pandangan ahli-ahli bahasa Eropah tentang kaedah menganalisis bentuk-bentuk bahasa bagi bahasa serumpun.

Usaha-usaha Panini mencerakinkan tatabahasa Sanskrit telah dijadikan sebagai pedoman bagi memajukan ilmu linguistik di Eropah. Hasil kajian Panini dianggap sebagai satu-satunya yang diketahui paling menyeluruh, konsisten dan ekonomik yang pernah dilakukan oleh manusia dalam sejarah perkembangan bahasa. Bloomfield pernah menggambarkan hasil karya tatabahasa Panini sebagai „one of the greatest monuments of human intellingence‰ (Robin, 1989).

Sejarah linguistik India merupakan catatan yang amat penting bagi perkembangan linguistik seluruh dunia khususnya perkembangan linguistik moden di Barat. Pengaruhnya terhadap linguistik Barat amat mendalam, malah tidak terhenti sehingga ke hari ini. Sarjana India kuno memperlihatkan minat yang mendalam terhadap analisis bahasa lisan mereka. Situasi ini membezakannya mereka dengan perhatian yang diperlihatkan oleh sarjana bahasa Yunani kuno. Analisis fonetik dan deskripsi bahasa lisan mereka (sarjana India) amat besar dan menakjubkan (Crystal, 1994). Hakikat ini terbukti dengan hasil karya penahu mereka iaitu Panini.

Page 6: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

35

ZAMAN LINGUISTIK YUNANI

Orang-orang Yunani kuno telah mempelajari bahasa mereka sejak dari abad ke-5 sebelum Masihi lagi. Namun demikian, cara mereka memerhatikannya agak berbeza dengan yang diusahakan oleh sarjana India kuno. Ini kerana segala huraian mereka tentang bahasa adalah berlandaskan ilmu falsafah. Ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana sarjana-sarjana Yunani ini sememangnya terdiri daripada ahli falsafah (Samsuri, 1972).

Cendekiawan Yunani dikatakan telah lama maju dalam pengkajian ilmu falsafah. Mereka melihat bahawa segala unsur dalam kehidupan manusia amat berkait erat dengan bidang falsafah. Justeru, bahasa turut menjadi sebahagian daripada kajian mereka. Sarjana Yunani kuno beranggapan bahawa bahasa adalah lambang ketamadunan yang tinggi. Mereka juga beranggapan bahawa bahasa perlu diteliti bagi memerihalkan segala kejadian alam.

Perkembangan kajian bahasa zaman Yunani dapat dibahagikan menurut kelompok-kelompok kaum tertentu. Secara umumnya, ia terpecah kepada tiga kaum utama iaitu kaum Sofis (abad ke-5 sebelum Masihi), kaum Stoik (permulaan abad ke-4 sebelum Masihi) dan kaum Iskandariah (akhir abad ke-2 Masihi).

Kaum Sofis memulakan kajian bahasa pada abad ke-5 sebelum Masihi. Mereka cuba menentukan semua unsur bahasa secara pasti dengan berlandaskan ukuran-ukuran tertentu. Memandangkan bidang retorik amat penting bagi mereka, maka aspek bahasa juga dinilai dari sudut pandangan ilmu retorik. Salah seorang tokoh terawal dan terkenal kaum ini ialah Protagoras. Kaum Stoik pula merupakan kelompok ahli falsafah dan logika pada permulaan abad ke-4 sebelum Masihi. Meskipun pandangan kaum ini terhadap bahasa dikatakan terlalu bersifat falsafah namun sumbangan besar mereka terhadap bidang bahasa tetap tidak dinafikan. Antara tokoh popular kaum ini ialah Aristotle. Hasil usaha kaum Stoik ini seterusnya dilanjutkan pula oleh kaum Iskandariah (akhir abad ke-2 sebelum Masihi). Kaum ini yang mewujudkan konsep yang pada masa kini dirujuk sebagai „tatabahasa tradisional‰. Kaum ini cuba menyusun pola undang-undang dalam bahasa. Karya utama yang muncul pada masa itu ialah Techne Grammatike hasil karangan Dionysius Thrax. Ia dikatakan buku tatabahasa pertama yang bersifat komprehensif dan sistematik di dunia Barat (Lynos, 1968).

2.2

Page 7: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 36

2.2.1 Bahasa: Pertentangan Pendapat Sarjana Yunani

Memandangkan ahli fikir Yunani klasik amat mementingkan ilmu falsafah, maka kajian mereka terhadap bahasa menjadi cenderung ke arah aspek etimologinya. Dengan kata lain, pengkajian mereka tertumpu kepada persoalan-persoalan bagaimana kata-kata terbentuk. Huraian tentang etimologi bahasa ini telah mewujudkan beberapa kelompok fahaman tertentu (setiap kelompok akan memegang fahaman masing-masing yang tersendiri tentang bahasa dan fahaman bagi setiap kelompok bagi setiap kelompok lazimnya akan saling bertentangan). Ia meliputi kelompok naturalis, konvensionalis, analogi dan anomali.

2.2.2 Naturalis dan Konvensionalis

Terdapat sebilangan ahli falsafah Yunani yang sering mengemukakan persoalan tentang sama ada bahasa ini hasil penentuan alam atau hasil penentuan manusia menerusi pelbagai tatacara budaya. Natijahnya, wujud dua kelompok ahli bahasa dengan fahaman yang bertentangan. Dengan kata lain, mereka sering mempersoalkan sama ada kata-kata terbentuk dengan cara semulajadi atau dibentuk oleh manusia menerusi kebudayaan. Fahaman yang pertama di pegang oleh kelompok naturalis manakala fahaman kedua dijulang oleh kelompok konvensionalis (Crystal, D, 1994).

Kelompok naturalis beranggapan bahawa makna bahasa diperoleh secara alamiah/semulajadi. Secara umumnya, mereka beranggapan bahawa semua kata mengungkapkan benda yang dirujuk. Justeru, pasti ada hubungan antara penstrukturan bunyi-bunyi dengan apa yang dimaksudkan. Dalam hal ini, struktur fonetik dilihat sebagai lambang struktur benda. Berlandaskan prinsip ini, maka lahir usaha manusia untuk mencari asal-usul atau sumber sesebuah kata (etimologi), menyusun satu daftar kata-kata hasil peniruan bunyi (onomatopia), metafora dan sebagainya.

Kelompok konvensionalis pula berpendapat bahawa makna bahasa diperoleh hasil kelangsungan budaya dan kebiasaan-kebiasaan yang berupa persetujuan secara senyap-senyap atau diam (tacit agreement). Memandangkan ia tidak lebih daripada sekadar hasil kebiasaan atau budaya, maka sudah pasti ia boleh dimanipulasikan, diubahsuai atau berubah menurut peredaran zaman. Justeru, kelompok ini menegaskan bahawa makna diperoleh secara konvensional. Sekalipun ada beberapa kata onomatopia, namun ia berlaku secara kebetulan dan dalam jumlah yang kecil.

Page 8: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

37

2.2.3 Analogi dan Anomali

Pertentangan fahaman antara kelompok naturalis dan konvensionalis terus berlanjutan sehingga menimbulkan persoalan-persoalan dalam bentuk lain pula. Persoalan-persoalan yang bertentangan ini akhirnya mewujudkan dua kelompok ahli bahasa yang dikenali sebagai kelompok analogi dan anomali. Kelompok analogi mempertahankan pendapat yang mengatakan bahawa bahasa memiliki sifat keteraturan/keseragaman (regularaties). Bahasa itu teratur dan tersusun secara teratur. Disebabkan sifat keteraturannya, manusia/ahli bahasa dapat menyusun satu bentuk tatabahasa. Fahaman yang berlawanan pula diungkapkan oleh kelompok anomali. Kelompok ini menegaskan bahawa bahasa wujud sebagai bentuk-bentuk yang tidak teratur (irregular). Terdapat banyak bukti yang menyerlahkan sifat ketidakseragaman bahasa. Antaranya termasuk kata-kata sinonim dan homonim.

2.2.4 Sarjana Terkemuka Yunani dan Sumbangannya

Zaman linguistik Yunani memperlihatkan kehadiran beberapa tokoh bahasa terkenal yang menjadi perintis kajian bahasa dalam abad-abad seterusnya. Tokoh-tokoh bahasa ini ialah Socrates (469-399 sebelum Masihi), Plato (429-437 sebelum Masihi), Aristotle (384-322 sebelum Masihi) dan Thrax (170-90 sebelum Masihi).

Socrates merupakan seorang ahli falsafah Yunani yang kuat berpegang pada fahaman analogis. Sepertimana kelompok analogis yang lain, beliau berpendapat bahawa nama bagi sesuatu benda tidak dibuat secara sewenang-wenangnya. Beliau berpendapat bahawa wujud sesuatu hubungan/pertalian di antara nama dan benda, dan ia dapat dikesan menerusi bentuknya (Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam, 1986). Meskipun tidak banyak yang diketahui mengenai Socrates namun menerusi kenyataan-kenyataan beliau ditemui beberapa pandangan Plato tentang bahasa (Robin, 1990).

Menurut Socrates, Plato melihat bahasa sebagai pernyataan fikiran seseorang dengan perantaraan onomata (kata nama) dan rhemata (kata kerja) yang merupakan bayangan idea seseorang dalam arus udara yang keluar menerusi mulutnya. Plato dikatakan mentakrifkan ujaran sebagai rentetan kata memiliki pemikiran yang lengkap (logos). Logos dianggotai oleh onoma dan rhema. Aristotle mengembangkan pemikiran Plato dengan menambah satu lagi kelas kata dalam logos iaitu syndesmoi (kata hubung). Di samping itu, beliau telah menunjukkan perbezaan jenis-jenis kata berdasarkan jantina (gender) iaitu maskulin, feminin dan neutral. Sumbangan Aristotle yang paling bermakna ialah penjelasannya tentang konsep penanda kala (tense) dalam bahasa Yunani.

Page 9: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 38

Selepas Aristotle, muncul pula Dionysius Thrax yang terkenal dengan karyanya yang bertajuk Techne Grammatike. Grammatike bermaksud huruf atau belajar mengenal huruf-huruf bahasa Yunani. Menerusi karya ini, Thrax telah menggambarkan perspekstif kajian tatabahasa menurut pemahaman kaum Iskandariah. Antara usahanya yang terserlah menerusi Techne Grammatike ialah menggolongkan kata kepada lapan iaitu onoma, rhema, metoche, arthron, protesis, epirrhema dan syndesmoi (Robin, 1990).

2.2.5 Penutup

Dari segi sejarah, pertikaian yang wujud antara kelompok ahli bahasa Yunani dianggap penting (khususnya dalam peringkat awal perkembangan teori linguistik) kerana sewaktu mengkritik atau mempertahankan hujah, mereka akan terpengaruh atau dirangsang untuk berfikir dan meneliti secara lebih mendalam lagi akan struktur dan makna perkataan serta pola-pola formal yang ditunjukkan oleh perkataan. Hasil suasana rangsangan dan penelitian seperti itu yang memungkinkan permulaan analisis linguistik yang jitu.

Tiga aspek utama yang mendapat perhatian khusus sarjana Yunani kuno ialah etimologi, fonetik dan tatabahasa. Amat jelas kelihatan bahawa terdapatnya minat yang amat kuat oleh sarjana Yunani terhadap bidang etimologi. Pertikaian terhadap asal-usul bahasa oleh pihak naturalis dan konvensionalis telah menggalakkan usaha-usaha penyelidikan dan spekulasi bahasa. Sejak awal-awal lagi, kajian etimologi tertumpu kepada percubaan untuk mensusur-galurkan bentuk-bentuk perkataan hingga ke bentuk perkataan lain yang diandaikan mampu memerihalkan makna perkataan yang disusurgalurkan. Menerusi bidang fonetik pula, didapati beberapa siri percubaan untuk membuat penggolongan artikulasi. Mekanisme pertuturan digambarkan sebagai kesan gangguan artikulasi dengan udara dikeluarkan dari paru-paru. Secara deskriptif, penjelasan tentang abjad Yunani dilakukan menerusi penyebutan huruf-hurufnya.

Di samping huraian tentang etimologi dan fonetik, sarjana Yunani dikatakan amat popular dalam penghasilan karya tatabahasa yang terbaik. Huraian tatabahasa sarjana Yunani kuno tertumpu pada analisis penggolongan perkataan-perkataan yang wujud dalam Yunani. Ahli tatabahasa seboleh mungkin cuba mencari unsur-unsur dalam bahasanya dan kemudian dibahagikan atau digolong-golongkan mengikut kategori tertentu. Bagaimanapun, semua huraian ini harus berasaskan kepada satu model bahasa, iaitu bahasa ideal, yang dianggap baik dan lengkap segala-galanya. Bagi mereka, bahasa yang menjadi model ini ialah bahasa Yunani iaitu bahasa yang menjadi bahan kajian ahli falsafah terkenal Yunani seperti Plato dan Aristotle.

Page 10: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

39

ZAMAN LINGUISTIK ROMAWI

Tamadun ilmu zaman Yunani dibangunkan oleh tangan-tangan sarjana Yunani hampir 600 tahun yang lalu dan tamadun Romawi sebenarnya juga memanfaatkan kelebihan-kelebihan yang ada pada intelektual Yunani. Robin (1990) mengatakan bahawa orang-orang Rom telah lama dipengaruhi oleh kebudayaan dan idea intelektual Yunani. Orang-orang Rom juga mempelajari cara-cara menulis daripada orang-orang Yunani. Justeru, pada saat akhir empayar Yunani, tradisi keilmuan mula berpindah sedikit demi sedikit ke Itali (pusat pentadbiran kerajaan Rom). Menjelang abab ke-2 sebelum Masihi, empayar Yunani jatuh ke tangan pemerintah Rom.

Tradisi keilmuan yang wujud pada zaman pemerintahan Rom, khasnya ilmu linguistik, boleh dikatakan kesinambungan nilai ilmu linguistik pada zaman Yunani. Robin (1990) mengatakan bahawa linguistik Romawi dan sebahagian besarnya merupakan penerapan linguistik Yunani, kontroversi Yunani dan penerapan kategori Yunani dalam bahasa Latin. Dalam bab ini, anda akan menghalusi tradisi-tradisi linguistik yang wujud dan berkembangan pada zaman Romawi. Perbincangan akan menyentuh dua hal utama, iaitu:

(a) Pengangkatan martabat dan perkembangan bahasa Latin; dan

(b) Perkembangan linguistik Romawi, iaitu penekanan kepada idea-idea linguistik Varro (116-27 sebelum Masihi) dan Priscian (500 Masihi).

2.3.1 Martabat dan Perkembangan Bahasa Latin

Pada zaman Yunani, bahasa Yunani menjadi bahasa pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan sebagainya. Penguasaan empayar Yunani yang mencakupi Tanah Besar Yunani, Kepulauan Aegean, Pantai Timur Sicily dan beberapa tempat di selatan dan timur Itali menyebabkan penggunaan bahasa ini diutamakan. Sebelum kejatuhan empayar tersebut, di bahagian barat Itali yang kemudiannya menjadi tapak pentadbiran kerajaan Rom, bahasa Latin sudah pun digunakan tetapi hanya sekadar bahasa biasa sahaja. Ini bermakna, bahasa Latin belum lagi terangkat sebagai bahasa pentadbiran atau bahasa pendidikan. Namun begitu, setelah empayar Yunani jatuh ke tangan pemerintahan Rom, maka nasib bahasa Latin mula terbela dan mula pula dianalisis berdasarkan pendekatan linguistik. Justeru, Varro dan Priscian merupakan tokoh penting dalam zaman Romawi dalam meletakkan satu konsep perancangan dan pembinaan bahasa Latin moden. Varro dan Priscian mampu merancang bahasa Latin dari segi tatabahasa, manakala pemerintah Romawi pula telah meletakkan status bahasa Latin sebagai bahasa pentadbiran, perniagaan, undang-undang, pembelajaran dan sosial.

2.3

Page 11: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 40

Selain itu, penguasa Romawi juga bersifat fleksibel, ertinya selain bahasa Latin yang menjadi bahasa utama kerajaan tersebut, bahasa Yunani masih boleh digunakan, khususnya di bahagian timur Itali. Ini kerana bahagian timur Itali sebelum ini berada di dalam penguasaan kerajaan Yunani. Dalam menjalankan tugas pentadbiran kerajaan Romawi di timur Itali ini, pegawai-pegawai Romawi sering mempelajari dan menggunakan bahasa Yunani. Dalam masa yang sama, hasil-hasil kesusasteraan dan falsafah Yunani disanjung tinggi oleh mereka. Oleh kerana ketamadunan Yunani masih meninggalkan tamadun ilmunya di bahagian timur Itali, maka pegawai-pegawai Rom yang menjalankan pentadbiran di wilayah tersebut boleh menguasai dua bahasa dengan baik, bahasa ibundanya, iaitu bahasa Latin dan keduanya ialah bahasa Yunani. Tahap pemahaman bahasa yang cukup tinggi dalam kalangan penguasa Romawi terserlah berdasarkan catatan Gellius (Robin, 1990), iaitu Raja Muthridates boleh berbual dengan mana-mana rakyatnya yang datang daripada lebih dua puluh komuniti bahasa.

Sewaktu Eropah di bawah penguasaan Rom, pertembungan bahasa, iaitu bahasa Latin dengan bahasa-bahasa lain di wilayah tersebut pasti terjadi. Misalnya di sekitar abad ke-3 SM, wujud kegiatan penterjemahan di mana hasil-hasil kesusasteraan Yunani telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Kegiatan pengajaran dan pembelajaran bahasa Latin dan bahasa Yunani (khasnya di timur Itali) diperkembangkan di peringkat persekolahan. Pada zaman ini juga, jurubahasa diberi kedudukan yang cukup tinggi sebagai penghargaan atas sumbangan kegiatan bahasa yang telah dilakukan oleh mereka. Sebagai contohnya, Varro telah dilantik oleh Julius Caesar sebagai seorang pustakawan. Selanjutnya, semasa Rom di bawah pemerintahan Augustus, Varro sekali lagi menerima penghormatan daripada rajanya, iaitu dengan pembinaan statue di perpustakaan awan pertama di Rom. Statue ini sempat disiapkan oleh Augustus sebelum Varro meninggal dunia.

2.3.2 Perkembangan Linguistik Romawi

Tradisi linguistik Romawi berkembang dengan pesat kerana wujudnya dua tokoh besar Romawi. Mereka ialah Marcus Terentius Varro (116-27 sebelum Masihi) dan Priscian (500 Masihi). Mereka mencetuskan pelbagai idea tentang linguistik dilontarkan di khalayak rakyat. Tatabahasa Latin dan selok belok bahasa tersebut dihurai dan dianalisis oleh mereka. Walaupun idea linguistik ini merupakan kesinambungan daripada idea linguistik tokoh Yunani, tetapi cara olahan kedua-kedua tokoh ini memiliki kelainannya yang tersendiri. Perbincangan mengenai sumbangan idea linguistik kedua-kedua tokoh tersebut dapat diikuti seperti di bawah.

Page 12: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

41

2.3.3 Marcus Terentius Varro (116-27 Sebelum Masihi)

Varro dilahirkan di Reati, sebuah bandar kecil yang terletak di wilayah Sabine bahagian timur laut Rom. Pada awalnya, beliau merupakan seorang tentera, tetapi kerjaya ini tidak memberi kepuasan kepadanya. Justeru, beliau telah memilih bidang kesarjanaan untuk meneruskan kehidupannya. Varro merupakan seorang ahli linguistik tulen pada zamannya. Pandangan linguistik Varro dalam beberapa aspek yang tertentu terus berkembang sehingga ke hari ini.

Selama hayatnya, Varro berjaya menerbitkan sepuluh karya utama tentang sains bahasa dan lebih daripada 60 topik berkaitan dengan drama pentas, pasang surut air laut, undang-undang sivil, falsafah, pertanian, hal-ehwal kota, dan hal-hal tentang perpustakaan. Varro juga berjaya menghasilkan buku berilustrasi yang pertama, kamus biografi dan penyenaraian hasil-hasil sastera Latin. Hasil karya Varro dalam bidang sains bahasa (linguistik) dapat disenaraikan seperti berikutnya:

(a) De Antiquitate Litterarum;

(b) De Origine Lingue Latinae;

(c) De Similitudine Verborum;

(d) De Utilitate Sermonis;

(e) Peri Kharakteron;

(f) De Sermone Latino;

(g) De Lingua Latina;

(h) Quaestiones Plautinae;

(i) Epitome de Lingua Latina; dan

(j) Disciplinarum Liber I de Grammatica.

Page 13: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 42

Sifat kesarjanaan yang ada pada Varro mendapat sanjungan dan pujian daripada pengikut-pengikutnya dan juga penulis-penulis sezaman dengannya. Namun begitu, hasil karya Varro banyak yang telah hilang dan musnah. Hanya De Lingua Latina sahaja yang dapat diselamatkan. De Lingua Latina sebenarnya memiliki 25 bab atau buku, tetapi hanya enam bab atau buku sahaja yang dapat diselamatkan. Bab atau buku yang membincangkan tentang sintaksis telah musnah. Oleh sebab itu, pandangan linguistik Varro yang dikemukakan dalam penulisan ini hanya menyentuh aspek etimologi dan morfologi sahaja. Namun begitu, pandangan beliau tentang hal ini sudah cukup komprehensif untuk sama-sama kita memahaminya. De Lingua Latina terbahagi kepada tiga bahagian utama, iaitu etimologi, morfologi dan sintaksis. Dalam bahagian etimologi dan morfologi, Varro terlebih dahulu melihat aspek teori dan kemudian disusuli dengan amalinya.

2.3.4 Etimologi

Secara ringkas, etimologi boleh ditakrifkan sebagai satu kajian mengenai asal-usul sesuatu kata, perubahan-perubahan sesuatu kata tersebut, khususnya dari segi bentuk dan makna. Varro berpendapat bahawa bahasa berkembang daripada satu set kata primer terhad bertaraf asli yang digunakan untuk merujuk benda-benda tertentu. Set kata primer terhad yang bertaraf asli ini kemudiannya menjadi satu sumber kewujudan kata-kata lain melalui perubahan dalam bentuk huruf (fonetik). Varro mengemukakan contoh kata seperti: duellhum > bellum „perang‰. Selain perubahan bentuk huruf (fonetik), Varro juga berpendapat bahawa makna pada sesuatu kata juga akan turut berubah seiring dengan perubahan masa. Sebagai contohnya, Varro mengemukakan datanya seperti berikut: hostis „orang asing‰ > hostis „orang asing‰.

Satu kelemahan Varro dalam menyampaikan idea etimologinya ialah menganggap bahawa semua kata-kata Romawi yang sama bentuk dan maknanya dengan bahasa Yunani merupakan pinjaman langsung Romawi daripada Yunani. Untuk menguatkan hujahnya, Varro mengemukakan data pinjaman langsung Romawi daripada bahasa Yunani, iaitu Latin [fero] < Yunani [phero] dan Latin [feretrum] < Yunani [pheretron]. Jika sejarah linguistik dijadikan dasar untuk menguji kesahihan maklumat data di atas, maka kebenaran Varro terhadap argumentasinya itu hanya wujud pada contoh data yang kedua sahaja. Data Varro yang pertama sebenarnya bukan bentuk pinjaman langsung Romawi daripada Yunani, sebalik kedua-dua data bahasa tersebut merupakan refleks kata kerja Indo-Eropah, iaitu * bher.

Sebenarnya, pada hari ini kita tidak boleh mempersalahkan Varro atas pandangannya itu kerana pada zaman tersebut, konsep refleksi daripada bahasa induk, khususnya bahasa Indo-Eropah belum lagi wujud dalam pemikiran

Page 14: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

43

sarjana-sarjana Romawi ataupun Yunani. Menurut Robin (1990) kecenderungan Varro mengemukakan argumentasinya seperti di atas adalah disebabkan oleh faktor mitos berbanding faktor ilmiah. Ini kerana pada waktu itu segala bentuk kebudayaan Yunani amat dikagumi dan diagungkan oleh sarjana-sarjana Romawi, selain kaitan mitos wira Yunani dalam cerita pengasasan empayar Rom.

2.3.5 Morfologi

Dalam bidang morfologi ada baiknya kita membincangkan dahulu mengenai kata. Menurut Varro, kata ialah verbum dico orationis vocalis partem, quae sit indivisa et minima, si declination naturalem habet (kata ialah bahagian daripada ucapan yang tidak dapat dipisahkan). Varro juga mengakui bahawa kata boleh berbentuk analogi dan anomali (dua prinsip linguistik yang berasal daripada zaman Yunani yang dianut oleh Plato dan Aristotel). Dalam erti lain, kata boleh berdiri daripada bentuk berperaturan (regular) dan tidak berperaturan (irregular). Kedua-dua prinsip ini mesti diiktiraf dan diterima pakai dalam proses pembentukan kata sesuatu bahasa dan sekali gus juga makna yang hadir bersama kata tersebut.

Bagi Varro, prinsip analogi mesti dikaitkan dengan sifat pragmatik bahasa, ertinya pembentukan sesuatu kata itu harus mempertimbangkan soal kebudayaan penutur bahasa yang berkenaan. Dalam bahasa Latin, kata /kuda/ memiliki dua bentuk yang berbeza, iaitu satu bentuk merujuk kepada jantina jantan /equus/ dan satu yang lain merujuk kepada jantina betina /equa/. Begitu juga kata yang merujuk kepada burung merpati, jantina jantan memiliki kata /columbus/, manakala jantian betina memiliki kata /columba/. Keberadaan dua bentuk kata ini disebabkan oleh faktor kebudayaan, ertinya perbezaan dua bentuk kata ini diperlukan oleh penutur bahasa yang tersebut. Lain halnya dengan kata /carvus/ „gagak‰ di mana kata ini tidak memiliki perbezaan jantina kerana pada pandangan Varro penutur bahasa tersebut tidak memerlukan perbezaan itu. Berkaitan dengan hal anomali pula, Varro lebih menekankan aspek puisi. Dalam puisi terdapat variasi (anamoli) yang kadang kala melampaui had yang dibolehkan, tetapi perkara ini harus diterima kerana dipakai secara majoriti oleh penyair.

Dalam penyusunan kelas kata pula, Varro membahagikan kelas kata bahasa Latin dalam empat bahagian. Kelas kata yang dimaksudkan ialah:

(a) Kata nama, termasuk kata sifat, iaitu kata yang disebut berinfleksi kasus;

(b) Kata kerja, iaitu kata yang membuat pernyataan dan kata ini berinfleksi kala;

Page 15: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 44

(c) Partisipel, iaitu kata yang menghubungkan (dalam sintaksis menghubungkan kata nama dan kata kerja) dan kata ini berinfleksi kasus dan kala; dan

(d) Adverba, kata yang mendukung (anggota bahawa dari kata kerja) dan kata ini berinfleksi.

Selain menyusun kelas kata dalam bahasa Latin, Varro juga cuba untuk mengkategorikan kata kerja. Varro membezakan kata kerja Latin ke dalam tiga paradigma, iaitu paradigma kala (tense), paradigma rujukan masa (time) dan paradigma aspek (aspect). Untuk menggambarkan ketiga-tiga jenis paradigma ini, sila rujuk Jadual 2.1.

Jadual 2.1: Tiga Jenis Paradigma

Aspek Masa Lampau Kini Depan

Aktif Tidak Sempurna

Discebam saya sedang belajar

Desco saya belajar Discam saya akan belajar

Sempurna Didiceram- saya telah belajar

Didici saya sudah belajar

Didicero saya akan/sudah belajar

Pasif Tidak Sempurna

Amabar saya disayangi

Amor saya disayangi

Amabor saya akan disayangi

Sempurna Amatus eram saya telah disayangi

Amatus sum saya telah disayangi

Amatus ero saya telah disayangi

Berkaitan dengan kasus, Varro mengajukan pendapatnya dengan mengatakan bahawa dalam bahasa Latin terdapat enam jenis kasus. Kasus yang dimaksudkan ialah:

(a) Nominativus bentuk primer atau pokok;

(b) Genetivus bentuk yang menyatakan kepunyaan;

(c) Dativus bentuk yang menyatakan menerima;

(d) Akusativus bentuk yang menyatakan objek;

(e) Vokativus bentuk sebagai sapaan atau panggilan; dan

(f) Ablativus bentuk yang menyatakan usul.

Page 16: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

45

Dari sudut deklinasi pula, Varro telah membezakan dua jenis deklinasi, iaitu deklinasi bentuk kata asas (declinatio naturalis) dan deklinasi bentuk kata spontan (declinatio voluntaria). Deklinasi bentuk kata asas ialah perubahan yang bersifat alamiah dan berpola. Varro memberikan contoh data seperti berikut; ovis „kambing biri-biri‰ > ovile „kandang biri-biri‰ dan sus „babi‰ > suile „kandang babi‰. Perubahan bentuk kata ini sudah bersifat alamiah ataupun sudah berpola (regular). Ini bererti setiap penutur bahasa Latin dapat meramalkan bentuk terbitan seterusnya ataupun jika kita meminjam kata-kata Robin (1990), „... kita boleh membuat kesimpulan bagi bentuk-bentuk lain yang terbit daripadanya‰. Sebaliknya, deklinasi bentuk kata spontan perubahan yang terjadi secara morfologis bersifat selektif dan manasuka, atau tidak berperaturan. Sebagai contoh, dalam bahasa Latin „lembu‰ disebut sebagai bos, manakala „kandang lembu‰ disebut sebagai bubile, tetapi ada penutur Latin menyebut „kandang lembu‰ sebagai bovile. Perubahan bubile kepada bovile dianggap sebagai satu perubahan yang spontan.

2.3.6 Tatabahasa Priscia (500 Masihi)

Buku tatabahasa Priscia yang terdiri daripada 18 jilid, iaitu 16 jilid mengenai morfologi dan dua jilid tentang sintaksis dianggap sebagai buku tatabahasa Latin yang cukup penting. Kepentingan buku ini berdasarkan kenyataan yang berikut:

(a) Ia merupakan buku tatabahasa Latin yang paling lengkap yang dituturkan oleh penutur aslinya; dan

(b) Teori-teori tatabahasanya merupakan tonggak-tonggak utama pembicaraan bahasa secara tradisional.

Oleh kerana buku tatabahasa ini begitu lengkap, maka ia dijadikan model penulisan buku tatabahasa bahasa-bahasa lain di Eropah. Dalam buku ini, semantik atau makna dijadikan perkara asas dalam pembahasan bahasa. Untuk memudahkan pemahaman pelajar, di bawah ini aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dihuraikan secara ringkas berdasarkan apa yang terdapat dalam buku tatabahasa bahasa Priscia ini.

Page 17: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 46

2.3.7 Fonologi Priscia

Dalam bidang ini, Priscia membicarakan soal tulisan atau huruf dan Priscia menyebutnya sebagai litterae. Definisi litterae bagi Priscia ialah bahagian yang terkecil daripada bunyi yang dapat dituliskan. Nama bagi huruf-huruf ini ialah figure dan nilai daripada bunyi ini disebut sebagai potestas. Berkaitan dengan bunyi, Priscia membahagikannya kepada empat jenis „vox‰. Pertama, vox artikulata, iaitu bunyi yang diucapkan untuk membezakan makna. Kedua, vox inartikulata, iaitu bunyi yang tidak diucapkan untuk menunjukkan makna. Ketiga, vox litterata, iaitu bunyi yang dapat dituliskan, sama ada ia wujud sebagai bunyi artikulata atau inartikulata. Akhir sekali ialah vox illiterata iaitu bunyi yang tidak dapat dituliskan.

2.3.8 Morfologi Priscia

Menurut Priscia, kata ialah bahagian yang paling minimum daripada sebuah ujaran dan harus diertikan terpisah dalam makna sebagai satu bentuk keseluruhan. Sebutan kata secara otonom disebut sebagai dictio. Satu penemuan Priscian yang paling unggul ialah „golongan kata‰. Priscia menemukan lapan golongan kata atau disebut juga sebagai partes orationis, yang kemudiannya disebut oleh orang Inggeris sebagai „part of speech‰. Lapan golongan kata tersebut ialah;

(a) Nomen (kata nama dan kata adjektif): Sifat kata nama ialah ia menunjukkan benda/kualiti;

(b) Verbum (kata kerja): Ia mempunyai bentuk kala dan modus, tetapi tidak berfleksi untuk kasus;

(c) Participium (partisipel): Satu golongan kata yang dalam bentuk terbitan boleh dirujuk sebagai kata kerja;

(d) Pronomena (kata ganti): Khas kepada orang pertama, kedua dan ketiga;

(e) Adverbium (adverba): Bentuk subordinat kepada kata kerja dari segi sintaksis dan semantik;

(f) Praepositio (kata depan): Sejenis kata yang tidak mengalami infleksi dan digunakan sebagai kata yang terletak di depan bentuk yang berkasus;

(g) Interiectio (kata seru): Sejenis kata yang menunjukkan perasaan dan keadaan fikiran; dan

Page 18: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

47

(h) Coniunctio (kata penghubung), secara sintaksis menghubungkan anggota daripada mana-mana golongan kata untuk menyatakan hubungan antara sesamanya.

2.3.9 Sintaksis Priscia

Priscia menamakan bidang ini sebagai Oratio. Menurutnya, „Oratio estordinatio dictionem congrua, sententiam perfectam demonstrans‰ (Oratio ialah tata susun kata yang berselaras dan menunjukkan ayat itu selesai). Satu penemuan Priscia yang unggul ialah satu patah perkataan pun boleh menjadi satu ayat penuh. Sebagai contohnya, oratio yang baik dan sempurna ialah jawapan yang diberikan kepada pertanyaan seseorang: „Apakah kebaikan terbesar dalam hidup?‰ Sekiranya jawapan yang diberikan ialah honour (kehormatan), maka ia adalah sebuah ayat yang sempurna.

2.3.10 Kesimpulan

Dalam zaman Romawi, perkembangan idea linguistik cukup mengagumkan. Sumbangan Varro dan Priscian, khas dalam aspek fonologi, mofologi dan sintaksis tidak sahaja berguna dan dimanfaatkan pada zaman tersebut, malah idea linguistik mereka terus digunakan dan diperkembangkan sehingga ke hari ini. Kita boleh mengatakan bahawa tapak sains bahasa telah dirintis oleh mereka dan kini menjadi menjadi tanggungjawab sarjana-sarjana linguistik moden untuk memperkukuhkan lagi tapak sains bahasa tersebut. Kalau Varro terkenal dengan De Lingua Latina, maka Priscia terkenal dengan buku nahunya yang berjudul „Priscia Instituones GrammaticeÊÊ. Karya Varro merupakan pembuka tirai keagungan zaman Romawi, manakala karya Priscian menjadi penanda tamatnya era ketamadunan linguistik Romawi, khasnya bahasa Latin. Dengan jatuhnya era tamadun Romawi, maka Eropah menuju ke zaman kegelapannya.

ZAMAN LINGUISTIK ARAB

Setelah kejatuhan Yunani dan Romawi, tradisi keilmuan di Eropah mula menjadi sepi dan seolah-olah wujud satu kelompongan budaya ilmu. Dikatakan bahawa tempoh zaman kegelapan Eropah bermula sejak kejatuhan empayar Rom sehingga zaman perbandingan bahasa pada abad ke-18 dan ke-19. Memang tidak dinafikan bahawa sepanjang tempoh kegelapan tersebut, wujud sedikit budaya berilmu di dunia sana, namun pencapaian sangat rendah. Keruntuhan zaman Rom menyebabkan ilmu linguistik berkembang pesat atau berpindah pusat ke Baghdad (Iraq) yang pada masa itu merupakan pusat pengajian tinggi zaman Islam. Pada zaman ini, ilmu linguistik berkembang melalui ilmu falsafah Islam

2.4

Page 19: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK 48

yang didominasikan oleh dua sarjana Islam iaitu Al-Khalil dan Al-Masri. Pada masa ini, linguistik Arab bertumpu pada fonetik bahasa Arab khususnya dalam menghasilkan sebutan ayat-ayat Al-Quran yang tepat. Proses ini seterusnya menghasilkan kamus-kamus bahasa Arab.

ZAMAN LINGUISTIK MODEN

Linguistik pada zaman moden (bermula tahun 1900 hingga kini) telah mengalami perkembangan yang sangat pesat. Kajian bahasa tidak lagi tertumpu pada bahasa-bahasa di Eropah, sebaliknya bahasa-bahasa asing serta bahasa pribumi telah menjadi fokus kajian utama linguistik moden. Selain itu, pada zaman moden telah berlaku gabungan ilmu linguistik iaitu satu bidang ilmu linguistik seperti ilmu morfologi bergabung dengan ilmu sintaksis untuk menghasilkan bidang morfo-sintaksis.

Linguistik pada zaman moden telah memperlihatkan lahirnya ramai tokoh linguistik, dan antara yang tekenal ialah Bloomfield dan Chomsky. Bloomfield telah menerbitkan buku An Introduction to Linguistic Science pada tahun 1914. Selain itu, beberapa artikel penting belia telah diterbitkan dalam jurnal Language terbitan Linguistic Society of America tahun 1924. Seterusnya, pada tahun 1933 beliau menerbitkan buku Language yang mengungkapkan pandangan behaviourisme beliau tentang fakta bahasa, iaitu stimulus-response atau rangsangan-tindak balas. Fahaman beliau dikategorikan sebagai aliran Struktural.

Seorang lagi tokoh yang paling penting pada zaman moden ialah Noam Chomsky. Beliau dilahirkan pada 7 Disember 1928 dan merupakan ahli linguistik yang paling terkenal dalam sejarah linguistik moden. Beliau mengasaskan teori transformasi generatif melalui bukunya yang penting iaitu Syntactic Structures (1957). Beliau seterusnya menerbitkan buku Aspects of the Theory of Syntax (1965). Pada tahun 1968, beliau menerbitkan buku Extended Standard Theory. Selanjutnya pada tahun 1980, beliau menerbitkan buku Government and Binding Theory. Manakala pada tahun 1995, beliau menerbitkan buku Minimalist Program. Chomsky telah memainkan peranan yang penting dalam hala tuju linguistik aliran generatif. Teori-teori beliau telah digunakan secara meluas dalam kajian bahasa di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

2.5

Page 20: Sejarah Perkembangan Linguistik

TOPIK 2 SEJARAH PERKEMBANGAN LINGUISTIK

49

Linguistik di India bermula lebih awal daripada negara-negara Eropah.

Orang-orang Yunani kuno telah mempelajari bahasa mereka sejak dari abad ke-5 sebelum Masihi lagi.

Linguistik Romawi dan sebahagian besarnya merupakan penerapan linguistik Yunani.

Keruntuhan zaman Rom menyebabkan ilmu linguistik berkembang pesat atau berpindah pusat ke Baghdad.

Linguistik zaman moden didominasi oleh Bloomfield dan Chomsky.

Linguistik

Linguistik zaman Arab

Linguistik zaman India

Linguistik zaman Moden

Linguistik zaman Romawi

Lingusitik zaman Yunani

Alias Mohammad Yatim. (1998). Mengenali Bahasa Melayu. Kedah: Percetakan

Paavai.

Arbak Othman. (1983). Permulaan ilmu linguistik satu pengenalan konsep dan bidang kajian secara teoritis. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise.

Concise Dictionary of Linguistics. (1997). Oxford University Press.

Mohd RaÊin Shaari, Alias Mohd Yatim, & Abdullah Yusof. (2010). Penyelidikan bahasa dan linguistik. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.