sejarah kadar mas kahwin di johor -...

16
ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya © Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/ Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor Muhammad Najib Abd Wakil & Che Maryam Ahmad Pengenalan Mas kahwin merupakan suatu pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami kerana akad perkahwinan. Mengikut amalan pentadbiran Syariah di Malaysia, terdapat perbezaan kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh negeri-negeri dan wilayah-wilayah di Malaysia mengikut keputusan bidang kuasa agama Islam dalam jajahan masing-masing. Negeri Johor antara negeri yang menyandarkan nilai kadar mas kahwin yang terendah kepada pasangan yang ingin berkahwin di negeri tersebut iaitu sebanyak RM22.50. Kadar ini tidak berubah sejak hampir satu abad yang lalu walaupun negeri-negeri lain sudah mengambil pendekatan mengkaji dan menukar nilai sandaran mas kahwin mengikut keperluan semasa. Kadar RM22.50 yang disandarkan sebagai nilai mas kahwin bagi negeri tersebut pada hari ini berasal daripada sandaran nilai sekati perak yang turut disesuaikan dengan mata wang dirham sekitar hampir satu abad yang lalu. Terdapat beberapa peralihan zaman atau sandaran mata wang dunia sejak kadar mas kahwin itu diperkenalkan sehingga hari ini. Kesannya, dapat dilihat kadar RM22.50 yang disandarkan kepada nilai emas dan perak ketika ia ditetapkan adalah lebih bermanfaat dan bernilai kepada manusia pada masa itu jika dibandingkan dengan kadar yang sama digunakan pada hari ini. Objektif artikel ini ialah untuk mengkaji sejarah penetapan kadar mas kahwin di negeri Johor serta perkembangannya hingga kini. Artikel ini juga bertujuan untuk mengkaji sejarah perubahan sistem mata wang di Johor dan kesannya kepada kadar mas kahwin mengikut peredaran zaman. Oleh itu, artikel ini akan meneliti sorotan sejarah mengenai kadar mas kahwin yang ditetapkan di negeri Johor sehingga kini. Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh waktu iaitu era sebelum penjajahan, semasa penjajahan dan selepas penjajahan. Kajian ini menggunakan metode kualitatif dan menggunakan reka bentuk analisis dokumen, kajian pensejarahan dan analisis kandungan. Kajian ini dilihat penting bagi menilai keperluan untuk mengekalkan atau menukar nilai sandaran RM22.50 yang masih digunakan dalam penetapan kadar mas kahwin di negeri Johor sehingga hari ini. Kajian mencadangkan juga nilai mas kahwin pada hari ini dinilai semula mengikut harga sekati perak semasa iaitu sekitar RM1782.

Upload: doque

Post on 06-Feb-2018

291 views

Category:

Documents


11 download

TRANSCRIPT

Page 1: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

ISU SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG SIRI 22 Disunting oleh: Md. Yazid Ahmad, Anwar Fakhri Omar & Mohammad Zaini Yahaya

© Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor

Muhammad Najib Abd Wakil & Che Maryam Ahmad

Pengenalan

Mas kahwin merupakan suatu pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami kerana akad perkahwinan. Mengikut amalan pentadbiran Syariah di Malaysia, terdapat perbezaan kadar mas kahwin yang ditetapkan oleh negeri-negeri dan wilayah-wilayah di Malaysia mengikut keputusan bidang kuasa agama Islam dalam jajahan masing-masing. Negeri Johor antara negeri yang menyandarkan nilai kadar mas kahwin yang terendah kepada pasangan yang ingin berkahwin di negeri tersebut iaitu sebanyak RM22.50. Kadar ini tidak berubah sejak hampir satu abad yang lalu walaupun negeri-negeri lain sudah mengambil pendekatan mengkaji dan menukar nilai sandaran mas kahwin mengikut keperluan semasa. Kadar RM22.50 yang disandarkan sebagai nilai mas kahwin bagi negeri tersebut pada hari ini berasal daripada sandaran nilai sekati perak yang turut disesuaikan dengan mata wang dirham sekitar hampir satu abad yang lalu. Terdapat beberapa peralihan zaman atau sandaran mata wang dunia sejak kadar mas kahwin itu diperkenalkan sehingga hari ini. Kesannya, dapat dilihat kadar RM22.50 yang disandarkan kepada nilai emas dan perak ketika ia ditetapkan adalah lebih bermanfaat dan bernilai kepada manusia pada masa itu jika dibandingkan dengan kadar yang sama digunakan pada hari ini. Objektif artikel ini ialah untuk mengkaji sejarah penetapan kadar mas kahwin di negeri Johor serta perkembangannya hingga kini. Artikel ini juga bertujuan untuk mengkaji sejarah perubahan sistem mata wang di Johor dan kesannya kepada kadar mas kahwin mengikut peredaran zaman. Oleh itu, artikel ini akan meneliti sorotan sejarah mengenai kadar mas kahwin yang ditetapkan di negeri Johor sehingga kini. Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh waktu iaitu era sebelum penjajahan, semasa penjajahan dan selepas penjajahan. Kajian ini menggunakan metode kualitatif dan menggunakan reka bentuk analisis dokumen, kajian pensejarahan dan analisis kandungan. Kajian ini dilihat penting bagi menilai keperluan untuk mengekalkan atau menukar nilai sandaran RM22.50 yang masih digunakan dalam penetapan kadar mas kahwin di negeri Johor sehingga hari ini. Kajian mencadangkan juga nilai mas kahwin pada hari ini dinilai semula mengikut harga sekati perak semasa iaitu sekitar RM1782.

Page 2: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 20

Mas Kahwin menurut Islam

Mahar atau mas kahwin dapat difahami sebagai satu pemberian bernilai yang disediakan oleh pihak pasangan lelaki kepada pasangan wanitanya bagi tujuan perkahwinan. Menurut Kamus al-Mu‘tamad pula, mahar merupakan pemberian harta oleh pasangan lelaki kepada pasangannya ketika perkahwinan mereka berlangsung (‘Atiyyah 2007). Menurut Kamus Tahdhib al-Lughah, mahar juga bermaksud al-sadaq yang bermaksud pemberian barang yang bernilai kepada pasangan bagi tujuan perkahwinan (al-Azhari 2007). Menurut ‘Abd al-Karim Zaydan (1993), mahar didefinisikan sebagai pemberian wajib yang berbentuk harta atau manfaat daripada pihak suami kepada pasangannya sama ada dengan sebab pernikahan atau persetubuhan. Mahar juga dirujuk sebagai saduq, nihlah, faridah, hibah, dan ajr dalam al-Quran. Namun begitu, keseluruhan istilah tersebut membawa maksud dan pengertian yang hampir sama (al-Jaziri 2001).

Majoriti ulama menyepakati dan bersetuju akan kewajiban pemberian mahar dalam perkahwinan (Zaydan 1993). Antaranya, mereka berhujah menggunakan ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ (al-Quran, al-Nisa’: 24):

Maksudnya: Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmat (setubuhi)

dengannya (setelah menjadi isteri kamu), hendaklah kamu berikan kepada

mereka maharnya (yang sempurna) sebagai suatu kewajipan.

Terdapat sebahagian ulama menganggap pemberian mahar sebagai pertukaran atau ganjaran kepada persetubuhan yang dilakukan antara pasangan (al-Zuhayli 1989). Mahar merupakan hak peribadi dan individu bagi seorang isteri. Justeru Islam memberi hak kepada isteri untuk menafikan tanggungjawab dan kewajibannya terhadap suami selagi mana mahar tidak ditunaikan (Sabiq 2000).

Para ulama sepakat menyatakan tiada batasan terendah dan tertinggi berhubung isu penetapan kadar mahar yang perlu diberikan oleh pihak pasangan lelaki kepada pasangannya (Ibn ‘Abd al-Barr 2000). Shaykh al-Islam Ibn Taymiyah (2005) menyatakan sesiapa memiliki kemampuan dan kekayaan dan ingin memberikan mahar yang bernilai tinggi kepada isterinya, maka dia tidak dilarang berbuat demikian bersesuaian dengan firman Allah dalam Surah al-Nisa’ (al-Quran, al Nisa’: 20):

Maksudnya: Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang

lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka

harta (mahar) yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali

Page 3: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 21

daripadanya walau sedikitpun. Adakah kamu akan mengambil kembali

dengan jalan tuduhan yang dusta dan menanggung dosa yang nyata?

Dalam ayat ini, Ibn Kathir (2008) menyatakan terdapat dalil pengharusan kadar pemberian mahar yang banyak dan tinggi yang dapat difahami melalui perkataan qintar yang membawa maksud jumlah harta yang besar.

Walau bagaimanapun, para ulama berselisih pendapat tentang kadar minimum mahar. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah melontarkan pendapat bahawa kadar minimum mahar adalah mengikut kadar nisab curi yang membolehkan tangan pencuri dipotong iaitu ¼ dinar atau 3 dirham menurut Imam Malik dan 10 dirham menurut Abu Hanifah. Khalifah ‘Umar RA mengatakan kadar minimum mahar tidak dihadkan oleh Islam (Mohd Som & Abdul Basir 2006). Ulama Shafi‘iyyah pula berpendapat tiada ketetapan kadar mahar sama ada dari sudut minimum atau maksimum dalam sesuatu perkahwinan (al-Nawawi 1980).

Secara umumnya, terdapat dua jenis mahar yang perlu difahami berkaitan hal penentuan kadar mahar oleh pihak lelaki terhadap pasangannya (Mohd Som & Abdul Basir 2006). Jenis pertama adalah mahr musamma. Mahar jenis ini merupakan pemberian dengan nilai yang telah dipersetujui oleh suami isteri sama ada ketika akad nikah atau selepasnya.

Jenis mahar yang kedua adalah mahr mithl iaitu nilai pemberian yang mesti diberi kepada seorang isteri dengan nilainya tidak dinyatakan semasa akad, atau boleh juga difahami sebagai suatu nilai pemberian yang mesti diberi kepada seorang isteri jika pemberian mahar yang diberikan kepadanya yang terdahulu adalah tidak sah dari sudut syarak. Contohnya, harta yang dijadikan mahar itu tidak halal dari sudut pandangan Islam.

Oleh itu, artikel ini hanya menjurus ke arah isu kadar mahar atau mas kahwin jenis musamma iaitu pemberian dengan nilai yang telah dipersetujui oleh suami isteri sama ada ketika akad nikah atau selepasnya.

Pensyariatan mas kahwin yang bertujuan memberi hak pemilikan harta kepada wanita menunjukkan bahawa mas kahwin adalah harta atau aset yang produktif dan bernilai tinggi kepada wanita (Sabiq 1977). Menurut Shamim (2007), mas kahwin bukanlah sekadar hadiah pemberian wajib oleh suami kepada isteri, tetapi ia dilihat sebagai pemberian yang bernilai dan berpotensi sebagai jaminan sosio-ekonomi wanita kerana mas kahwin pada dasarnya mestilah dengan sesuatu yang berharga dan mempunyai nilai. Menurut Abdul Ghani (2004), mas kahwin juga adalah satu pemberian sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan yang tinggi kepada kaum wanita selain bertujuan mengembirakan wanita yang dikahwini. Pendapat ini disokong pula oleh Nor Ahiasah (2010) yang berpendapat bahawa mengikut perundangan Islam, mas kahwin diwajibkan kepada suami bertujuan

Page 4: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 22

untuk meningkatkan status sosial wanita dan simbol pengiktirafan Islam kepada mereka.

Realitinya, masyarakat kini lebih mementingkan kadar hantaran yang jauh terkehadapan dan bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa. Kadar hantaran sudah melampaui kadar yang munasabah jika dibandingkan dengan kadar mahar terutamanya bagi negeri-negeri yang mas kahwinnya ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Meskipun perkara ini bukanlah suatu yang dihalang, tetapi adalah lebih wajar kadar mas kahwin dinilai kembali kerana ia merupakan hak mutlak wanita sedangkan hantaran hanya merupakan hadiah atau pemberian dan bukan hak mutlak wanita yang kebiasaannya digunakan untuk belanja perkahwinan. Jelas, wang hantaran tidak banyak memberi faedah kepada wanita berbanding mas kahwin yang disyariatkan oleh Islam dengan dalil-dalil yang jelas (Raihanah, Khairun & Raihana 2009).

Sebelum Penjajahan

Sebelum campur tangan Inggeris, Undang-undang pentadbiran di Johor adalah bersandarkan Undang-undang Johor. Menurut Abu Bakar Abdullah (1986), undang-undang yang digunakan di Johor diambil secara langsung daripada Undang-undang Melaka. Menurut Ahmad Ibrahim (1965), Undang-undang Johor sudah dibentuk sejak tahun 1523 Masihi lagi. Undang-undang Johor mengandungi peruntukan yang mencakupi bidang jenayah, kekeluargaan, muamalat, keterangan serta acara dalam perbicaraan kes (Zaini 2004). Walau bagaimanapun, pemakaian Undang-undang Johor itu kemudiannya dipercayai telah ditinggalkan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor telah digubal pada 14 April 1895 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Memandangkan Undang-undang Johor hanya mewarisi peruntukan Hukum Kanun Melaka, rujukan secara terus kepada isi kandungan Hukum Kanun Melaka telah dilakukan. Kajian mendapati undang-undang perkahwinan yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka tidak mencakupi perkara yang berkaitan mas kahwin dan kadarnya. Menurut Muhammad Yusoff (1992), Undang-undang Melaka atau Hukum Kanun Melaka hanya mempunyai empat fasal yang menyentuh soal perkahwinan atau munakahat iaitu pada fasal 25, 26, 27 dan 28 mengikut susunan Hukum Kanun Melaka. Fasal-fasal itu diberi tajuk hukum perempuan, hukum saksi pada nikah, hukum khiyar dan hukum talak (Muhammad Yusoff 1992). Dalam Hukum Kanun Melaka ini tidak ditemui perkara yang menyentuh soal mas kahwin serta kadarnya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa tiada peruntukan mengenai mas kahwin dan kadarnya melalui Undang-undang Johor. Undang-undang ini telah dicetak dalam tulisan jawi dan telah diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar.

Pada tahun 1911, Undang-undang Tubuh Kerajaan yang pertama di Tanah Melayu telah diperkenalkan oleh Johor iaitu perundangan yang memfokuskan kepada penstrukturan dan pentadbiran negeri yang

Page 5: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 23

memelihara hak istimewa agama Islam dan Melayu (Abd Jalil Borham 2002). Tiada penemuan melalui undang-undang ini yang menyentuh soal perkahwinan. Majallah Ahkam Johor diperkenalkan pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim. Perundangan ini juga tidak bersandarkan kepada Undang-undang Melaka, sebaliknya merujuk kepada Majallah al-Ahkam al-Adliyyah yang dibuat oleh kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki sekitar tahun 1869 Masihi. Menurut Abd Jalil Borham (2002), perundangan ini telah dijadikan sandaran terawal bagi sistem muamalat Islam di Malaysia sebelum kedatangan Inggeris. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa pada era sebelum pihak Inggeris menjajah Johor iaitu pada tahun 1914, tiada penemuan yang menunjukkan apa-apa peruntukan mengenai mas kahwin atau kadarnya di negeri Johor pada ketika itu. Beberapa undang-undang bertulis telah dijumpai seperti Undang-undang Johor, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor dan Majallah Ahkam Johor tetapi tiada undang-undang yang menyentuh soal perkahwinan secara mendalam dan lebih spesifik mengenai mas kahwin pada ketika itu.

Semasa Penjajahan

Johor juga melalui fasa pemerintahan di bawah pengaruh dan campur tangan Inggeris antara tahun 1855-1934 (Hanif & Izziah 2011). Menurut Abdul Kadir (1996), negeri Johor pada ketika itu ditetapkan di bawah kelompok Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bersama negeri Kelantan, Terengganu, Perlis dan Johor. Pada awal era penjajahan Inggeris di Johor, sumber perundangan diperoleh daripada kerajaan Riau dan diikuti dengan penggubalan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor iaitu di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar. Walaupun dari segi teorinya Inggeris tidak mencampuri urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri-negeri tersebut, namun begitu dari segi realitinya kehadiran orang Inggeris sebagai penasihat kepada raja-raja Melayu sedikit sebanyak telah mencampuri pentadbiran dan pengurusan agama Islam di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu ini. Sebagai contohnya, setiap enakmen pentadbiran Islam yang diperkenalkan pada ketika itu mestilah mendapat kelulusan penasihat British yang dilantik sebelum dilaksanakan. Penulisan enakmen di Negeri-negeri Melayu Tidak bersekutu dipercayai lewat diperkenalkan berbanding Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Penulisan awal enakmen di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu lebih tertumpu kepada undang-undang perkahwinan dan penceraian. Walau bagaimanapun, kedua-dua bidang perundangan ini telah dilaksanakan mengikut sistem perundangan Inggeris. Perlu untuk diberi perhatian bahawa enakmen yang digubal di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu adalah kuat dipengaruhi oleh enakmen-enakmen lepas yang telah dilaksanakan di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Boleh juga dikatakan bahawa secara umumnya enakmen-enakmen ini telah diperkenalkan selepas tahun 1909 apabila British mula menguasai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Ibrahim & Ahilemah 1985).

Page 6: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 24

Enakmen terawal yang dapat dikesan selepas campur tangan Inggeris di negeri Johor ialah undang-undang mengenai wakaf yang digubal sekitar tahun 1911 yang dikenali sebagai The Waqaf Enactment 1911. Berdasarkan penerimaan positif masyarakat Johor terhadap peruntukan The Waqf Enactment 1911 yang diperkenalkan oleh Inggeris, Enakmen Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Orang-orang Islam 1914 telah diperkenalkan. Enakmen ini diperkenalkan bagi menggubal undang-undang berkaitan pendaftaran perkahwinan dan perceraian yang telah dilaksanakan di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Undang-undang tersebut dikenali sebagai “The Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment No.15 of 1914”. Enakmen ini telah melalui beberapa pindaan seperti pada tahun 1935 yang dinamakan “Muhammadan Marriage and Divorce Registration (Amendment) Enactment, No 11 of 1935 dan pindaan terakhir pada tahun 1950. Oleh itu, melalui enakmen ini, dapat dikesan bahawa kadar mas kahwin yang ditetapkan di Johor pada ketika itu adalah pada kadar tidak kurang daripada 10 dirham dan tidak melebihi 500 dirham sama seperti peruntukan Muhammadan Law di kebanyakan negeri lain (Ibrahim 1965). Tiada jumlah mas kahwin yang spesifik dinyatakan dalam peruntukan ini, tetapi dapat difahami jumlahnya adalah anggaran antara 10 dirham ke 500 dirham. Terdapat banyak undang-undang penyokong yang digubal oleh Inggeris seperti Enakmen Kesalahan Orang-orang Islam 1919, Enakmen Memutuskan Masalah Orang-orang Islam 1919, Enakmen Mahkamah 1920, Enakmen Baitul Mal 1934 dan lain-lain lagi yang tiada berkaitan soal pernikahan (Abd Jalil 2002).

Pada tahun 1935, Johor telah menyusun satu kod undang-undang perkahwinan yang membincangkan secara terperinci mengenai perkahwinan, perceraian dan perkara yang berkaitan dengannya dan dibukukan dalam Ahkam Syar’iyyah Johor (Abd Jalil 2002). Pada tahun 1935, Ahkam Syar’iyyah Johor 1935 telah diperkenalkan. Penyusunan Ahkam Syar’iyyah Johor memperlihatkan bahawa Kerajaan Johor telah mendahului negeri-negeri Melayu lain dalam merangka satu kod undang-undang keluarga Islam sebagai rujukan dalam proses pengadilan di mahkamah. Ahkam Syar’iyyah Johor telah diterbitkan dalam dua juzuk atau jilid. Juzuk pertama diterbitkan pada tahun 1935 dengan peruntukan 468 maddah atau perkara, manakala juzuk kedua mengandungi 460 fasal yang diterbitkan pada tahun 1940. Juzuk pertama membincangkan hukum-hukum nikah dan perkara yang berkaitan dengannya, manakala juzuk kedua pula menyentuh soal poligami dan talak serta perkara yang berkaitan dengannya. Perbahasan mengenai mas kahwin dan hal yang berkaitan dengannya ada dinyatakan dalam fasal ke-30 sehingga fasal yang ke-36. Kadar mas kahwin pada ketika itu dapat dilihat penetapannya di bawah maddah atau perkara 308 dan 309 dalam Ahkam Syar’iyyah Johor. Di bawah perkara 308, tiada penetapan bagi kadar nilai maksimum mahar tetapi hukumnya adalah sunat bagi memastikan nilainya tidak kurang

Page 7: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 25

daripada 10 dirham (Abd Jalil 2002). Di bawah perkara 309, disebutkan pula kadar nilai mas kahwin bagi seluruh negeri dan jajahan Johor mestilah sebanyak sekati perak bersamaan RM22.50, tidak lebih dan boleh kurang. Setelah diamati secara mendalam, kajian mendapati seolah-olah wujud pertentangan di antara perkara 308 dan perkara 309.

Perkara 308 menyatakan bahawa tiada kadar maksimum bagi penetapan nilai mahar kepada pasangan lelaki di Johor, tetapi menurut perkara 309, kadar RM22.50 adalah nilai maksimum dalam pemberian mas kahwin iaitu dengan lafaz “tidak lebih (RM22.50) dan boleh kurang”. Justeru itu, kajian memahami bahawa nilai minimum pemberian mas kahwin adalah tidak kurang dari 10 dirham dan tidak melebihi sekati perak yang bersamaan RM22.50 pada ketika itu. Nilai RM22.50 merupakan nilai maksimum mas kahwin pada ketika itu. Melalui perkara 308 juga, kajian mendapati bahawa penetapan kadar minimum mas kahwin yang tidak kurang daripada 10 dirham merupakan pendapat fiqh dalam mazhab Hanafi seperti yang dinyatakan dalam perbahasan yang lepas. Jumpaan ini sedikit sebanyak mengukuhkan lagi fakta bahawa sememangnya sebahagian hukum yang dimuatkan dalam Majallah Ahkam Syariyyah Johor adalah berlandaskan pendapat fiqh mazhab Hanafi yang turut diaplikasikan dalam Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah. Sudah dinyatakan pada perbahasan lepas, Majallah al-Ahkam al-‘Adliyyah yang merupakan sumber perundangan negara Turki telah menjadi sandaran utama kandungan Majallah Ahkam Syar’iyyah Johor.

Tentera Jepun telah memerintah Tanah Melayu pada tahun 1942 akibat Perang Dunia Kedua. Kedudukan dan kuasa mahkamah pada zaman Jepun terikat dan mengikut cara yang dibuat oleh Inggeris. Jepun telah melaksanakan Majlis Melayu Tempatan yang juga dikenali sebagai Local Malaya Council yang bertindak memberikan urusan agama Islam kepada Sultan-sultan Melayu pada tahun 1943. Hal ini menunjukkan tiada perubahan yang dilakukan oleh pihak Jepun terhadap hal ehwal Islam melainkan seperti apa yang ditetapkan oleh Inggeris sebelum itu (Ahmad Ibrahim 1965).

Setelah itu, Jepun berundur dari Tanah Melayu sekitar tahun 1945 dan diambil kembali penguasaannya oleh Inggeris melalui pentadbiran Malayan Union pada April 1946. Beberapa enakmen telah diperkenalkan semula bagi meneruskan penjajahan undang-undang terhadap negeri Johor. Antaranya ialah Enakmen Majlis Igama Islam Johor 1949 yang juga dikenali sebagai The Council of Religion Enactment No 2 of 1949. Tugas Majlis Igama Islam adalah bagi membantu dan menasihati Sultan dalam semua perkara yang berkaitan agama Islam.

Melalui perbincangan dalam subtopik semasa penjajahan di Johor ini, dapat disimpulkan bahawa Johor sudah mula memperuntukkan undang-undang khas membincangkan hal-hal perkahwinan secara lebih mendalam dan praktikal. Beberapa peruntukan mengenai mas kahwin dan kadarnya sudah mula dinyatakan melalui Ahkam Syar’iyyah Johor

Page 8: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 26

1935 seperti melalui perkara 308 dan perkara 309. Dapat difahami bahawa kadar RM22.50 telah ditetapkan sebagai kadar maksimum dan kadar minimum mas kahwin mestilah tidak kurang daripada 10 dirham pada waktu tersebut.

Selepas Penjajahan

Menurut Ahmad (1997), bermula tahun 1948, kuasa mengenai pentadbiran Syariah di Malaysia adalah diperuntukkan dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan, Senarai Dua yang menyatakan bahawa pentadbiran Syariah diberikan amalan kuasa dan pentadbirannya mengikut negeri-negeri di Malaysia secara berasingan dan bebas daripada kuasa persekutuan. Johor juga mempunyai kuasanya yang tersendiri dalam mengurus hal ehwal Islam di negeri tersebut. Agak berlainan dengan negeri-negeri Melayu yang lain yang sudah mempunyai Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam sehingga awal tahun 1979, Johor dilihat masih mengaplikasikan enakmen-enakmen sedia ada yang wujud sejak awal kurun ke-20 lagi. Sesetengah peruntukan tidak lagi relevan untuk dikuatkuasakan di negeri tersebut kerana keadaan telah jauh berubah (Abd Jalil 2002). Kuasa Kadi dan Naib Kadi agak terhad dan tertumpu kepada undang-undang keluarga sahaja.

Menurut Mohd Aris (1983), rentetan permasalahan tersebut, Enakmen Pentadbiran Igama Islam Johor Bil. 15 1978 telah diperkenalkan. Enakmen ini setelah diluluskan dalam Dewan Negeri Johor pada 12 Disember 1978 dan dipersetujui Sultan Johor pada 31 Januari 1979, akhirnya berkuatkuasa setelah diwartakan pada 1 Februari 1979. Enakmen ini juga bertujuan menyusun undang-undang yang berkaitan pentadbiran agama Islam dan Mahkamah Syariah di negeri Johor dan meminda mana-mana peruntukan sebelumnya yang tidak lagi bersesuaian dengan keadaan ketika itu. Enakmen tersebut terbahagi kepada sembilan bahagian yang berbeza skopnya. Dalam enakmen tersebut, peruntukan dalam bahagian lima adalah bersangkut-paut soal pertunangan, perkahwinan, perceraian dan rujuk. Seksyen 117 dalam enakmen ini diberi nama mas kahwin, belanja dan hantaran. Tiada sebarang kadar mas kahwin dinyatakan dalam enakmen ini. Seksyen ini hanya menyatakan kaedah bayaran mas kahwin dan hantaran serta tugas butiran rekod yang perlu dicatat oleh pendaftar nikah. Di bawah seksyen 2 iaitu berkaitan tafsiran, mas kahwin diberi maksud sebagai sesuatu yang wajib diberi oleh suami kepada isteri disebabkan akad nikah yang sah. Justeru itu, dapat difahami secara umum bahawa tiada penetapan kadar mas kahwin yang dilakukan oleh negeri Johor melalui penguatkuasaan enakmen. Enakmen tersebut telah melalui beberapa pindaan dan pada tahun 1989 Enakmen ini ditukar nama kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Pada tahun 2003, Johor telah menggubal undang-undang baru yang diberi nama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Johor (2003). Peruntukan dalam enakmen telah diubah susunannya berbanding

Page 9: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 27

enakmen sebelumnya. Peruntukan mengenai mas kahwin ada disebutkan dalam peruntukan fasal 21. Mas kahwin disebut sebagai “pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang”. Peruntukan mengenai mas kahwin dan pemberian ini disebutkan di bawah seksyen 21 dalam enakmen tersebut. Namun begitu, peruntukan mengenai mas kahwin dan pemberian ini adalah terlalu umum dan tidak membincangkan perihal kadar mas kahwin yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin berkahwin. Seksyen ini juga ada menyentuh peranan pendaftar perkahwinan dan butiran-butiran mas kahwin atau hantaran yang perlu direkodkan sepanjang proses akad nikah berlaku. Di bawah seksyen 59 dalam enakmen yang sama, ada disebutkan mengenai hak wanita terhadap mas kahwin yang hanya akan dimiliki penuh oleh dirinya sekiranya berlaku pembubaran perkahwinan (Abd Jalil 2002).

Kajian mendapati kadar RM22.50 merupakan nilai minimum mas kahwin yang ditetapkan bagi pasangan di negeri Johor. Pasangan lelaki dibenarkan memberi mas kahwin kepada pasangannya melebihi RM22.50 dan jumlahnya akan direkodkan dalam surat perakuan nikah. Kadar ini adalah sama bagi kesemua daerah di negeri Johor (Pejabat Kadi Johor Bahru 2016). Kajian menyimpulkan bahawa kadar RM22.50 masih dijadikan sandaran nilai mas kahwin sejak Ahkam Syar’iyyah Johor diperkenalkan sekitar hampir satu abad yang lalu walaupun nilai tersebut kini telah menjadi had minimum mas kahwin di negeri tersebut. Kadar RM22.50 pada awalnya dahulu merupakan nilai maksimum mas kahwin kini telah ditukar menjadi had minimum mas kahwin di Johor. Tiada kadar sandaran lain pernah menggantikan kadar RM22.50 ini di negeri Johor walaupun kebanyakan negeri sudah menaikkan kadar sandaran mas kahwin di negeri masing-masing. Perkara ini dikhuatiri mendatangkan pandangan negatif terhadap pensyariatan mas kahwin dalam Islam.

Sandaran Mata Wang bagi Nilai Mas Kahwin

Artikel ini telah membincangkan bahawa peruntukan mengenai kadar mas kahwin di negeri Johor bertitik tolak daripada kandungan perkara 308 dan perkara 309 dalam Ahkam Syar’iyyah Johor. Melalui perkara 308, tiada penetapan bagi kadar nilai maksimum mahar tetapi hukumnya adalah sunat bagi memastikan nilainya tidak kurang daripada 10 dirham (Abd Jalil 2002). Di bawah perkara 309, disebutkan pula kadar nilai mahar bagi seluruh negeri dan jajahan Johor mestilah sebanyak sekati perak bersamaan RM22.50, tidak lebih dan boleh kurang. Justeru itu, dapat kita fahami bahawa nilai sekati perak adalah bersamaan RM22.50 pada ketika itu. Boleh juga ditafsirkan bahawa, nilai RM22.50 merupakan nilai maksimum mas kahwin pada ketika itu. Berat sandaran bagi satu kati adalah 16 tahil bersamaan 600 gram

Page 10: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 28

(PRPM 2016). Penggunaan istilah wang dirham telah wujud sebelum zaman pemerintahan Islam lagi. Penggunaan wang dirham adalah sama zaman penggunaannya dengan wang dinar. Dirham merupakan wang daripada perak sedangkan dinar pula merujuk kepada wang daripada emas (Wan Kamal 2009). Ahkam Syar’iyyah Johor merupakan undang-undang sulung yang dikeluarkan oleh kerajaan awal Johor berkaitan kod khusus undang-undang berkenaan munakahat di negeri tersebut dan diperkenalkan pada 13 November 1935.

Merujuk kepada isu sandaran nilai mata wang pada waktu Ahkam Syar’iyyah Johor dikuatkuasakan sekitar tahun 1935, era tersebut merupakan waktu terlaksananya period atau zaman wang kertas yang dilaksanakan secara sementara bermula tahun 1931 dan berakhir tahun 1944. Era tersebut adalah dalam jangka waktu 14 tahun dan merupakan sistem mata wang sementara yang turut dikenali sebagai keadaan ‘panik’. Keadaan ‘panik’ ini berlaku apabila berlakunya ketidakstabilan ekonomi atau peperangan besar. Sistem mata wang kertas kebiasaannya akan digunakan sekiranya berlakunya kemelesetan ekonomi (great depression). Antara waktu-waktu panik yang berlaku adalah semasa Perang Napoleon, Perang Saudara Amerika Syarikat, Perang Dunia Pertama (1914), Perang Dunia ke-2 (1939-1945), Great Depression (1920-an dan 1930-an), Perang Vietnam (1965-1970) dan Krisis Ekonomi Global (2009-2011). Namun begitu, menurut Salmy (2013) sistem wang kertas pada ketika itu (1931-1944) berbeza dengan sistem wang kertas pada hari ni. Wang pada waktu itu disandarkan kepada emas dan perak manakala wang pada hari ini mengikut sistem wang apungan yang disandarkan kepada nilai Dolar Amerika Syarikat.

Namun begitu, sistem wang kertas sementara ini tidak bertahan lama sehingga tahun 1944 apabila perwakilan daripada negara-negara komunis telah mewujudkan satu persidangan untuk melakukan pembentukan semula sitem kewangan antarabangsa sehingga tercetusnya sistem Bretton Woods. Menurut Salmy Edawati, Sanep Ahmad & Wan Najihah (2009) lagi, sistem Bretton Woods telah digunapakai bermula tahun 1944 sehingga tahun1971 berdurasi selama 27 tahun. Sistem ini masih mengekalkan emas sebagai nilai sandaran asas mata wang dan atas kadar tukaran tetap. Pada tahun 1971, sekali lagi sistem mata wang telah ditukar daripada sistem Bretton Wood kepada sistem mata wang apungan setelah Amerika Syarikat menghadapi defisit akibat percetakan dolar yang berlebihan daripada rizab atau simpanan emas. Sistem mata wang apungan telah berlanjutan dan kekal digunakan sehingga hari ini. Nilai wang dalam sistem wang apungan amat dipengaruhi oleh jumlah permintaan dan penawaran sesuatu mata wang. Dalam konteks masyarakat Malaysia contohnya, semakin tinggi permintaan mata wang Ringgit Malaysia akibat pelaburan asing, semakin tinggi jugalah nilai mata wang ini dan sebaliknya. Begitu juga, semakin tinggi penawaran dan lebihan mata wang Ringgit Malaysia dalam pasaran, semakin menurun nilai mata wang Ringgit Malaysia dan sebaliknya (Hussin & Zanirah 2009).

Page 11: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 29

Hakikatnya, sejak tahun 1833 lagi manusia telah menggunakan mata wang yang berasaskan emas sehingga tahun 1973 (Sanep 2009). Setelah itu, mata wang disandarkan kepada Dolar Amerika Syarikat setelah berlakunya krisis sistem kewangan dunia sehinggalah pada hari ini (Salmy 2009). Artikel ini mendapati bahawa nilai mata wang Ringgit Malaysia pada tahun 1935 dan nilainya pada hari ini mempunyai perbezaaan yang sangat ketara. Menurut Salmy, Sanep & Wan Najihah (2009), sandaran mata wang kepada nilai Dolar adalah sering berubah mengikut spekulasi pasaran wang dan kadar inflasi sedangkan sandaran wang kepada emas adalah lebih stabil dan terjamin. Pernyataan ini disokong pula oleh Hassanuddeen (2009) yang berpendapat sandaran mata wang kepada komoditi utama dunia seperti emas, perak dan minyak adalah lebih adil dan stabil. Justeru artikel ini mendapati bahawa nilai RM22.50 sebagai nilai mas kahwin yang diperkenalkan pada zaman wang sandaran emas adalah tidak sama faedah dan nilainya jika digunakan pada masa kini yang mempraktikkan sistem wang apungan walaupun dengan menggunakan nilai yang sama sebanyak RM22.50.

Kesimpulan

Setelah menyelusuri sejarah penetapan sandaran nilai mas kahwin di negeri Johor, tiada sebarang peruntukan mengenai mas kahwin serta kadarnya pada era sebelum penjajahan berlaku di negeri tersebut. Bukti menunjukkan nilai sandaran RM22.50 yang ditetapkan di negeri tersebut telah ditetapkan sejak hampir satu abad yang lalu. Penetapan kadar sandaran mas kahwin sebanyak RM22.50 mula dikesan melalui penulisan Ahkam Syar’iyyah Johor yang mula dikuatkuasakan pada tahun 1935 iaitu semasa penjajahan Inggeris di tanah Johor. Kadar RM22.50 adalah dinisbahkan kepada berat sekati perak pada waktu tersebut yang turut dinilai dalam mata wang dirham. Melalui sorotan sejarah yang dijalankan, tiada sebarang peruntukan mengenai mas kahwin di negeri Johor pada era sebelum penjajahan berlaku ke atas negeri tersebut. Johor telah diperkenalkan dengan Undang-undang Johor sekitar tahun 1523 iaitu selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis. Undang-undang Johor ada memperuntukkan fasal mengenai kekeluargaan, namun begitu tiada bukti yang dijumpai membincangkan soal mas kahwin melalui undang-undang lama tersebut.

Pada era semasa penjajahan berlaku di negeri Johor sekitar tahun 1914, Inggeris memulakan campur tangan dalam urusan perkahwinan di negeri tersebut dengan memperkenalkan The Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment No.15 of 1914. Enakmen yang turut dirujuk oleh negeri-negeri jajahan Inggeris ini menyatakan bahawa kadar mas kahwin pada ketika itu adalah digalakkan melebihi 10 dirham dan tidak melebihi 500 dirham. Seterusnya satu perundangan khusus telah diwujudkan bagi membincangkan hal perkahwinan, perceraian dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Beberapa peruntukan mengenai mas kahwin dan

Page 12: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 30

kadarnya sudah mula dinyatakan melalui Ahkam Syar’iyyah Johor 1935 seperti dalam perkara 308 dan perkara 309. Dapat difahami bahawa kadar RM22.50 yang merupakan nilai sekati perak telah ditetapkan sebagai kadar maksimum mas kahwin dan kadar minimumnya mestilah tidak kurang daripada nilai 10 dirham pada waktu tersebut. Matawang dirham dan sandaran nilai perak dalam penetapan kadar mas kahwin ketika itu adalah mengikut sistem perkembangan mata wang dunia pada ketika itu. Tahun penggubalan Ahkam Syar’iyyah Johor iaitu pada tahun 1935 merupakan ketika sistem wang fiat sementara dijalankan iaitu bermula tahun 1931 sehingga tahun 1944. Sandaran wang fiat ketika itu adalah kepada emas dan perak, berbeza dengan wang fiat pada hari ini yang bersandarkan nilai pasaran matawang Dolar Amerika Syarikat yang mudah terkesan dengan spekulasi pasaran wang. Hasilnya, wujud perbezaan nilai dan kuasa beli yang ketara antara nilai RM22.50 pada era sandaran matawang emas dan perak berbanding nilai RM22.50 kini yang bersandar kepada nilai pasaran Dolar Amerika Syarikat. Justeru itu, penetapan nilai sandaran mas kahwin sebanyak RM22.50 yang masih dilaksanakan seolah-olah tidak relevan dan memerlukan kajian semula.

Pada era selepas kemerdekaan Tanah Melayu dan pembebasan Johor daripada penjajahan Inggeris khususnya, perundangan mengenai hal ehwal Islam terus berkembang dan dikemaskini mengikut perkembangan semasa. Kuasa mengenai pentadbiran Syariah di Malaysia adalah diperuntukkan dalam Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan, Senarai Dua yang menyatakan bahawa pentadbiran Syariah diberikan amalan kuasa dan pentadbirannya mengikut negeri-negeri di Malaysia secara berasingan dan bebas daripada kuasa persekutuan. Johor contohnya telah menggunakan peruntukan kuasa tersebut dengan memperkenalkan Enakmen Pentadbiran Igama Islam Johor 1978. Enakmen ini ada membincangkan soal mas kahwin melalui seksyen 117 tetapi peruntukan yang diberikan adalah bersifat umum menerangkan prosedur pendaftaran dan kadar mas kahwin ketika akad berlangsung. Beberapa pindaan telah dijalankan terhadap enakmen tersebut, namun tiada pindaan dilakukan terhadap peruntukan mengenai mas kahwin. Enakmen tersebut akhirnya dimansuhkan dan ditukar kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Johor (2003). Masih tiada peruntukan mengenai mas kahwin dapat dijumpai melalui enakmen ini. Hanya prosedur pendaftaran mas kahwin oleh pendaftar nikah yang dimuatkan melalui seksyen 21 enakmen tersebut.

Banyak negeri telah melakukan usaha menilai semula kadar mas kahwin di negeri masing-masing. Pensyariatan mas kahwin mempunyai peranan dan tujuan yang tersendiri dalam Islam. Terdapat beberapa pembuktian dalam Islam yang menunjukkan keharusan pemberian harta yang bernilai ketika perkahwinan berlangsung. Artikel ini mencadangkan kadar RM22.50 yang menjadi nilai sekati perak suatu ketika dahulu perlu dikaji kesesuaian dan kuasa nilainya dalam masyarakat pada hari ini. Kadar RM22.50 sememangnya bernilai suatu

Page 13: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 31

ketika dahulu tetapi tidak pada hari ini. Kadar ini juga dilihat sedikit sebanyak mampu memberi tanggapan negatif kepada orang bukan Islam terhadap pensyariatan agama Islam ini. Kajian ini menggesa agar kadar sandaran RM22.50 yang masih ditetapkan hingga hari ini di negeri Johor perlu disemak semula. Artikel ini diharapkan dapat menjadi rujukan bagi pihak berautoriti di negeri Johor khasnya dalam gesaan menyemak semula kadar mas kahwin yang ditetapkan agar mengikut kesesuaian semasa. Pensyariatan mas kahwin yang antaranya bertujuan menjaga hak wanita dan lambang ketinggian sebuah perkahwinan diharapkan dapat tercapai dengan adanya usaha menyemak semula kadar mas kahwin yang ditetapkan di negeri Johor.

Rujukan

Abd Jalil Borham. 2002. Ahkam Syar’iyyah Johor. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Abd Jalil Borham. 2002. Majallah Ahkam Johor: Latar Belakang, Pelaksanaan dan Komentar. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Abd Jalil Borham. 2002. Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Abdul Bari bin Awang & Amilah binti Awang Abd Rahman.2015. Mahar dan Nafkah Sebagai Hak Pemilikan Harta Wanita Dalam Konteks Kesaksamaan Gender. TAFHIM: IKIM Journal of Islam and The Contemporary World. 8.

Abdul Kadir Haji Muhammad. 1996. Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abu Bakar Abdullah. 1986. Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaian. Kuala Terengganu: Pustaka Damai.

Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned. 1985. Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Ibrahim. 1965. Islamic Law in Malaysia. Singapura: Malaysian Sociological Research Institute.

Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Malayan Law Journal.

Ahmad Mohamed Ibrahim. 1997. Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Akta 303.

Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984

Amran Kasimin. 1995. Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan. Tesis Ph.D. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anon. 2010. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Page 14: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 32

Anon. 2010. Mahar Selangor dipinda kepada RM300. Selangor Kini. 11 November.

Anon. t.th. Falsafah Pensyariatan Mahar dan Hantaran.

Anon. t.th. Mahar Menurut Islam dan masyarakat Melayu. 2. Tesis Ph.D. Universiti Malaya.

Anon. t.th. Mahar Menurut Islam dan masyarakat Melayu: Bab 2. Tesis PhD. Universiti Malaya.

Atiyyah, Jurji Shahin. 2007. Mu‘jam al-Mu‘tamad. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Azhari, Abu Mansur Muhammad bin Ahmad. 2001. Mu‘jam Tahdhib al-Lughah. Beirut: Dar al-Ma‘rifah.

Babu Ram Verma. 1968. Mohammedan Law in India And Pakistan. India: Law Publishers.

Braddell, Ronald. 1931. The Legal Status of Malay States. Singapura: Malaya Publishing House Limited Singapore.

Farid Shufian, Tajul Aris & Mohd Hisam. 2010. Administration of Islamic Law in Malaysia. Edisi ke-2. Lexis Nexis: Kuala Lumpur.

Hasbi Haji Muh. Ali. 2013. Mahar Sebagai Satu Bentuk Jaminan Sosio-Ekonomi Wanita: Kajian di Tawau Sabah. Disertasi Sarjana, Universiti Malaya.

Hassanuddeen A. Aziz. 2009. Dinar Sebagai Mata Wang Mengatasi Krisis Ekonomi Global 2008. Prosiding Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi, hlm 109-130.

Hussin Salamon & Zanirah Mustafa. 2009. Perbandingan Ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme. Prosiding Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi, hlm 133-147.

Ibn ‘Abd al-Barr. 2000. al-Istidhkar. Beirut: Dar al- Kutub al- ‘Ilmiah.

Ibn Kathir, Isma‘il Ibn ‘Umar. 2008. Tafsir Ibn Kathir. Terj M. Abd Ghoffar & Abu Ihsan al-Atsari. Bogor: Pustaka Imam Al-Syafie.

Ibn Taymiyyah, Taqi al-Din Ahmad bin ‘Abd al-Halim. 2005. Majmu‘al-Fatawa. Mesir: Dar al-Wafa’.

al-Jaziri, ‘Abd al-Rahman. 2001. al-Fiqh ‘ala al-Madhahib al-Arba‘ah. Beirut: Dar Ibn Hazm.

Jelani Harun. 2008. Undang-undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Kamelia Othman. 2009. Mas Kahwin Selangor Dinaik Kepada RM300. The Star. 10 Disember.

Kassim Thukiman. 2011. Sejarah Johor Dalam Pelbagai Perspektif. Johor Bahru: Penerbit UTM Press.

Kumar Singh, Rakesh. 2011. Textbook on Muslim Law. New Delhi: University of Lucknow Pvt.Ltd.

M.B. Hooker. 1984. Islamic Law in South-East Asia. Singapura: Oxford University Press.

Page 15: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor 33

Mohammad Hashim Kamali. 2000. Islamic Law In Malaysia Issues and Developments. Kuala Lumpur: Ilmiah Publishers.

Mohd Aris. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. 2013. Al-Syariah “Mas Kahwin (Al Mahr)”. Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Nazri Zainuddin & Mohd Fuad Mohd Isa. 2010. al-Miftah. 4. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Mohd Salleh Abbas. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Som bin Sujimon & Abdul Basir bin Mohamad. 2006. Fikah Kekeluargaan. Selangor: Pusat Penyelidikan UIAM.

Mohd Taib Osman. 1974. Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur: Federal Publication.

Mokhyi @ Mayikhi Mohd Omar. 1993. Perkahwinan Pada Adat Undang-undang dan Syarak di Selangor Suatu Kajian Perbandingan. Disertasi Diploma Undang-undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam, Kuliyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa.

Muhammad Yusoff Hashim. 1992. The Malay Sultanate of Malacca. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

al-Nawawi, Yahya bin Sharaf. 1980. al-Majmu‘Sharh al-Muhadhdhab. Damsyik: Dar al-Fikr.

Nik Amirul Mukminin Nik Min. 2013. Tiada keperluan semak kadar mas kahwin. Sinar Harian.23 Disember.

Othman Ishak. 1979. Hubungan antara Undang-undang Islam dengan Undang-undang Adat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru. 2016. Kadar Terkini Mas Kahwin di Johor, Johor Bahru. Temu bual, 17 Oktober.

Perlembagaan Persekutuan.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu. 2016. Carian PRPM@ DBP Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raihanah Azahari, Khairun Najmi Saripudin, Raihana Abd Wahab. 2009. Hubungan di antara Faktor-faktor Demografi dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian di Perlis, Pulau Pinang dan Perak. Jurnal Fiqh. 6.

Roland Knyvet Wilson. 1928. Muhammadan law: A Digest. Lahore Pakistan: Katchery Road.

Roslina binti Hamdan. 2008. Faktor-Faktor Asas Dalam Penentuan Kadar Hantaran Perkahwinan: Kajian Kes di Daerah Bera, Pahang.

Page 16: Sejarah Kadar Mas Kahwin di Johor - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2017/01/03-Che-Maryam.pdf · Dapatan sejarah tersebut dibahagikan kepada beberapa tempoh

Isu Syariah & Undang-undang Siri 22 34

Kertas Projek Sarjana. Tesis Ph.D Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya.

S.W Jones. 1953. Public Administration in Malaya. London & New York: Royal Institute of International Affairs.

Sabiq, Sayyid. 2000. Fiqh al-Sunnah. Kaherah: Dar al Fath li al-I‘lam al-‘Arabi.

Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Wan Najihah. 2009. Kestabilan Mata Wang dalam Menangani Krisis Ekonomi: Ke Arah Penggunaan Dinar Emas. Prosiding Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi, hlm 373-388.

Salmy Edawati Yaacob. 2009. Realiti Semasa Penggunaan Dinar Emas di Malaysia. Prosiding Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi, hlm 347-360.

Sanep Ahmad. 2009. Dinar Emas: Pilihan Penuh Dilemma. Prosiding Seminar Antarabangsa Penjanaan Ekonomi Melalui Transaksi, hlm 53-66.

Shamim Aleem. 2007. Prophet Muhammad (s) and His Family: A Sociological Perspective. Bloomington: IN Author House.

al-Sharbini, Muhammad bin Muhammad. 2000. Mughni al-Muhtaj. Kaherah: al-Maktabah al-Tawfiqiyyah.

Siti Nor Ahiasah Binti Shafak Ahmad. 2011. Penetapan Kadar Mahar Masyarakat Islam Daerah Klang. Tesis Ph.D. Univeristi Malaya.

Steven M. Suranovic. 2005. Gold Exchange Rate. International Finance Theory and Policy. 80. http://internationalecon.com/Finance/Fch80/F80-0.php. [8 November 2016]

Winstedt, R.O. 1992. A History of Johore. Kuala Lumpur: The Malaysian Branch Royal Asiatic Society (MBRAS).

Yudi Safitrah. Amalan Pemberian Mahar dan Hantaran Dalam Kalangan Masyarakat Islam di Daerah Pulau Bangka Indonesia. 2012. Tesis Sarjana Universiti Malaya.

Zaini Nasohah. 2004. Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia Sebelum dan Menjelang Merdeka. Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zaydan, ‘Abd al-Karim. 1993. al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. 6. Beirut: Mu’assasat al-Risalah.

al-Zuhayli, Wahbah. 1989. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik: Dar al-Fikr.