bab 2 perluasan tafsiran harta wakaf -...

14
Bab 2 Perluasan Tafsiran Harta Wakaf Siti Syarwani Ghazali, Mohd Zamro Muda, Md. Yazid Ahmad & Noor Lizza Mohamed Said Institusi wakaf adalah salah satu institusi ekonomi Islam yang penting dan bertanggungjawab dalam menentukan hak dan pembangunan sosio- ekonomi masyarakat dan negara. Amalan berwakaf dalam Islam, yang menggabungkan elemen kerohanian dan kebendaan ini, merupakan satu bentuk tazkiyat al-nafs dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana, amalan ini membentuk diri untuk memberi manfaat ekonomi dan kebajikan kepada masyarakat serta golongan yang memerlukan. Justeru itu, ia dikatakan sebagai satu institusi pembangunan ekonomi ummah yang seimbang dan penting kepada masyarakat Islam khususnya (Abdul Hamid Yunus 1980: 12). Amalan wakaf sering disebut sebagai amalan yang memberi ganjaran pahala yang berterusan kepada pewakaf sekalipun setelah pewakaf meninggal dunia (al-Asqalani 2008: 269; al-Naysaburi 1987: 264). Oleh yang demikian, majoriti ulama menggariskan syarat-syarat yang ketat bagi membolehkan seseorang mewakafkan harta mereka. Hal ini termasuklah penetapan kepada harta wakaf yang berbentuk kekal iaitu harta tidak alih seperti tanah dan bangunan. Pandangan ini juga menjadi pegangan kebanyakan masyarakat Islam, sedangkan pemilikan terhadap aset tersebut adalah terbatas dan hanya dipunyai oleh golongan tertentu sahaja. Situasi sebegini menyebabkan pergerakan wakaf menjadi terganggu dan kurang efisien dalam menjalankan amanah pewakaf. Namun, terdapat sebahagian fuqaha telah meluaskan jenis harta yang boleh diwakafkan bukan hanya kepada harta tak alih, bahkan harta alih juga boleh dijadikan harta wakaf dengan syarat-syarat tertentu. Seterusnya, pandangan ini telah diguna pakai oleh kebanyakan negara kini termasuklah Malaysia. Sungguhpun Malaysia merupakan antara negara Islam yang mempunyai persekitaran kewangan Islam yang dinamik bertaraf antarabangsa, pembangunan harta wakaf yang menggunakan instrumen kewangan kontemporari yang terkait pada harta alih, berada pada tahap yang kurang memberangsangkan. Keadaan ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syahnaz Sulaiman (2012: 156) bahawa pembangunan wakaf tidak berkembang sepantas pertumbuhan sistem kewangan Islam. Justeru, artikel ini bertujuan membincangkan perluasan harta wakaf menurut pandangan syarak dengan mengkaji tafsiran ulama fiqh

Upload: voque

Post on 07-Mar-2019

248 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Bab 2

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf

Siti Syarwani Ghazali, Mohd Zamro Muda, Md. Yazid Ahmad & Noor Lizza Mohamed Said

Institusi wakaf adalah salah satu institusi ekonomi Islam yang penting

dan bertanggungjawab dalam menentukan hak dan pembangunan sosio-

ekonomi masyarakat dan negara. Amalan berwakaf dalam Islam, yang

menggabungkan elemen kerohanian dan kebendaan ini, merupakan satu

bentuk tazkiyat al-nafs dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah

SWT. Ini kerana, amalan ini membentuk diri untuk memberi manfaat

ekonomi dan kebajikan kepada masyarakat serta golongan yang

memerlukan. Justeru itu, ia dikatakan sebagai satu institusi

pembangunan ekonomi ummah yang seimbang dan penting kepada

masyarakat Islam khususnya (Abdul Hamid Yunus 1980: 12).

Amalan wakaf sering disebut sebagai amalan yang memberi

ganjaran pahala yang berterusan kepada pewakaf sekalipun setelah

pewakaf meninggal dunia (al-‘Asqalani 2008: 269; al-Naysaburi 1987:

264). Oleh yang demikian, majoriti ulama menggariskan syarat-syarat

yang ketat bagi membolehkan seseorang mewakafkan harta mereka.

Hal ini termasuklah penetapan kepada harta wakaf yang berbentuk

kekal iaitu harta tidak alih seperti tanah dan bangunan. Pandangan ini

juga menjadi pegangan kebanyakan masyarakat Islam, sedangkan

pemilikan terhadap aset tersebut adalah terbatas dan hanya dipunyai

oleh golongan tertentu sahaja. Situasi sebegini menyebabkan

pergerakan wakaf menjadi terganggu dan kurang efisien dalam

menjalankan amanah pewakaf. Namun, terdapat sebahagian fuqaha

telah meluaskan jenis harta yang boleh diwakafkan bukan hanya

kepada harta tak alih, bahkan harta alih juga boleh dijadikan harta

wakaf dengan syarat-syarat tertentu. Seterusnya, pandangan ini telah

diguna pakai oleh kebanyakan negara kini termasuklah Malaysia.

Sungguhpun Malaysia merupakan antara negara Islam yang

mempunyai persekitaran kewangan Islam yang dinamik bertaraf

antarabangsa, pembangunan harta wakaf yang menggunakan instrumen

kewangan kontemporari yang terkait pada harta alih, berada pada tahap

yang kurang memberangsangkan. Keadaan ini sebagaimana yang

dijelaskan oleh Syahnaz Sulaiman (2012: 156) bahawa pembangunan

wakaf tidak berkembang sepantas pertumbuhan sistem kewangan

Islam. Justeru, artikel ini bertujuan membincangkan perluasan harta

wakaf menurut pandangan syarak dengan mengkaji tafsiran ulama fiqh

10 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

klasik dan kontemporari dan seterusnya merujuk kepada kerangka

perundangan wakaf di Malaysia.

Tafsiran Wakaf Menurut Ulama Klasik

Perkataan wakaf berasal daripada bahasa Arab iaitu waqf yang merujuk

kepada sesuatu pemberian untuk tujuan keagamaan, kekeluargaan,

kebajikan dan lain-lain. Secara etimologi, perkataan waqf merupakan

kata kerja waqafa, yaqifu, waqfan adalah bermaksud al-habs iaitu

menahan. Dalam erti kata lain, ia bermaksud menahan sesuatu harta

semata-mata kerana Allah SWT demi untuk kepentingan umum. Di

Malaysia, perkataan ini sudah tidak asing lagi dalam pertuturan

seharian dan ia dieja sebagai ‘wakaf’ berdasarkan Kamus Dewan

(2013: 1796). Para ulama fiqh berbeza pandangan dalam memberi

makna wakaf sebagaimana yang tercatat dalam kitab-kitab fiqh. Kesan

perbezaan tersebut menimbulkan hukum yang berbeza malah ia

merupakan rahmat dalam penyelesaian kepelbagaian isu berkaitan harta

wakaf masa kini. Dalam mendefinisikan wakaf, para ulama merujuk

kepada imam mazhab, seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafii,

Ahmad dan ulama-ulama lain.

Secara istilahnya, menurut Imam Abu Hanifah wakaf iaitu menahan

‘ayn harta yang masih dalam pemilikan waqif dan boleh dimanfaatkan

untuk tujuan kebajikan. Waqif berhak menarik kembali wakafnya

kecuali jika ia telah mewasiatkannya (al-Farghani 2009, 3: 159; ‘Abd

al-‘Aziz 1999, 3: 1625; Ibn Qudamah 1997, 6: 206). Definisi ini

menjelaskan bahawa kedudukan harta wakaf masih tertahan di tangan

waqif itu sendiri dan perwakafan hanya berlaku ke atas manfaat harta

bukan ke atas ‘ayn harta tersebut.

Mazhab Maliki pula mendefinisikan wakaf iaitu menjadikan

manfaat suatu harta yang dimiliki (sekalipun pemilikan dengan cara

sewa) untuk diberikan kepada orang yang berhak dengan satu akad

(sighah) dalam jangka waktu tertentu sesuai dengan keinginan waqif

(al-Dusuqi t.th., 2: 187). Ini bererti hak pemilikan tidak terputus

daripada waqif, namun waqif terhalang daripada menggunanya

(tasarruf) dalam tempoh perwakafan. Menurut mazhab Hanbali, wakaf

diistilahkan sebagai menahan fizikal (‘ayn) sesuatu harta dan

disedekahkan hasilnya bagi tujuan kebajikan untuk mendekatkan diri

kepada Allah SWT (al-Sharbini 1977, 2: 98).

Seterusnya, mazhab Syafii mengutarakan pengertian wakaf yang

hampir sama iaitu menahan harta yang boleh diambil manfaat

daripadanya dengan dikekalkan zat harta (‘ayn) sedang waqif terhalang

daripada menggunakan harta tersebut bagi tujuan kebajikan serta

mendekatkan diri kepada Allah SWT (al-Mahalli 2005, 3: 98).

Berdasarkan kepada takrifan-takrifan yang diberikan, dapat

disimpulkan bahawa wakaf adalah penahanan ke atas harta yang boleh

dimanfaatkan dan penghasilan harta itu digunakan bagi tujuan

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 11

kebajikan tanpa menghabiskan harta asalnya. Takrifan ini bertepatan

dengan pandangan jumhur fuqaha (‘Abd al-‘Aziz 1999, 3: 1625; al-

Jurjani 1983: 253). Menahan harta ertinya harta itu tidak boleh dijual,

dihibah dan tidak boleh dijadikan harta pusaka, serta manfaatnya

hendaklah digunakan bagi tujuan wakaf mengikut ketentuan waqif.

Oleh itu, bagi melaksanakan suatu perwakafan, perlu dipenuhi kriteria

penting sesuatu perwakafan iaitu prinsip harta, manfaat dan pengekalan

di dalamnya.

Tafsiran Wakaf menurut Undang-undang Malaysia

Dalam konteks perundangan di Malaysia, undang-undang berkaitan

wakaf telah diperuntukkan di bawah Enakmen-enakmen Pentadbiran

Agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat

negeri yang telah menggubal undang-undang khusus berkaitan wakaf

seperti Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Namun begitu,

peruntukan-peruntukan wakaf di dalam enakmen-enakmen negeri juga

tidak bersifat menyeluruh. Ia lebih menekankan aspek-aspek

pentadbiran dan prosedur ringkas perwakafan. Aspek-aspek

substantifnya tidak ditekankan. Malah, timbul kesamaran terhadap

pemakaian beberapa tafsiran tertentu seperti definisi wakaf itu sendiri

(Siti Mashitoh Mahamood 2006).

Kesemua statut berkaitan wakaf mengiktiraf dua jenis perwakafan,

iaitu wakaf am dan wakaf khas. Akta Pentadbiran Undang-undang

Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan Enakmen

Pentadbiran Undang-undang Islam (Sabah) 1992 misalnya

mentafsirkan wakaf am sebagai “wakaf yang berkekalan atas modal

dan pendapatan daripada harta bagi maksud-maksud agama atau khairat

yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan

sedemikian”. Wakaf khas pula diperuntukkan sebagai “wakaf yang

berkekalan atau bagi suatu tempoh terhad ke atas modal harta bagi

maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak,

dan harta yang diwakafkan sedemikian, yang pendapatan harta itu

diberikan kepada orang-orang atau bagi maksud-maksud yang

ditetapkan dalam wakaf itu”.

Peruntukan yang sama sebagaimana yang dinyatakan pada dua

statut di atas, diperuntukkan juga di dalam Enakmen Pentadbiran

Undang-undang Islam (Pahang) 1991, namun sedikit perbezaan pada

pernyataan tafsiran serta tidak dimasukkan “tempoh terhad” (bagi

wakaf khas). Manakala Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor)

2003 memperuntukkan tafsiran umum wakaf di samping wakaf am dan

wakaf khas. Wakaf ditafsirkan sebagai pemberian yang berkekalan di

atas harta atau sebahagian daripadanya oleh tuan punya harta itu bagi

maksud agama mengikut Hukum Syarak tetapi tidak termasuk amanah

sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah

1949. Wakaf am pula diperuntukkan sebagai “sesuatu wakaf yang

12 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

diwujudkan bagi tujuan khairat umum menurut Hukum Syarak”.

Manakala bagi wakaf khas pula, ditafsirkan sebagai “sesuatu wakaf

yang diwujudkan bagi tujuan khairat yang khusus menurut Hukum

Syarak”.

Sementara itu, Negeri Kelantan telah menggunapakai pernyataan

“kekal” bagi kedua-dua kategori harta wakaf ini seperti yang

diperuntukkan di bawah seksyen 2(1) (Tafsiran), Enakmen Majlis

Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 sebagaimana

berikut:

Wakaf am ertinya wakaf harta modal dan pendapatan yang kekal daripada

mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui sah oleh

Hukum Syarak dan termasuk harta-harta yang diwakafkan itu sendiri.

Wakaf khas ditafsirkan sebagai wakaf harta modal yang kekal daripada

mana-mana harta bagi maksud agama atau khairat yang diakui oleh Hukum

Syarak, termasuk harta-harta yang diwakafkan itu sendiri dan pendapatan

daripada harta-harta itu diberi kepada orang-orang atau untuk tujuan yang

ditetapkan dalam wakaf itu.

Seterusnya, seksyen 2(1) Enakmen Wakaf Selangor (EWS) 1999

dan Enakmen Wakaf Melaka (EWM) 2005, pernyataan “berkekalan”

atau “kekal” tidak dinyatakan sama sekali. Sebaliknya, diperuntukkan

tafsiran umum wakaf di samping wakaf am1 dan wakaf khas.2 Wakaf

ditafsirkan sebagai “menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati

manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan kebajikan sama ada

sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi tidak

termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta

Pemegang Amanah 1949”.

Tafsiran wakaf sebagaimana yang terdapat di bawah EWS dan

EWM ini, turut diperuntukkan di bawah statut berkaitan wakaf di

negeri-negeri di Malaysia seperti Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal

Agama Islam (Terengganu) 2001M, Enakmen Pentadbiran Undang-

Undang Islam (Kedah) 2008, Enakmen Pentadbiran Agama Islam

(Perak) 2004 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang)

2004. Kesemua peruntukan tersebut di bawah seksyen 2(1) (Tafsiran),

hanya sedikit berbeza dari sudut pernyataan ayat yang digunakan. Ini

termasuklah ketiadaan pernyataan “berkekalan” atau “kekal” pada

tafsiran berkenaan. Begitu juga di Negeri Sembilan, malah tafsiran

wakaf menurut seksyen 2, Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005

berlainan daripada tafsiran wakaf negeri-negeri lain yang menjangkau

kepada perwakafan bentuk hak dan manfaat iaitu:

a) menyerahkan hak milik apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat,

faedah atau keuntungannya;

b) menyerahkan manfaat, faedah atau keuntungan yang boleh

dinikmati daripada apa-apa harta; atau

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 13

c) memberikan kepakaran dan perkhidmatan yang boleh dinikmati

manfaat, faedah atau keuntungannya,

Berdasarkan undang-undang berkaitan wakaf di negeri-negeri,

penulis mendapati bahawa tiada keselarasan dan tafsiran yang khusus

terhadap maksud wakaf dan harta wakaf. Malah, tiada tafsiran wakaf

diperuntukkan dalam Enakmen Perlis dan Sarawak. Isu berkaitan

tafsiran wakaf ini penting untuk diteliti kerana memberi implikasi

terhadap banyak aspek seperti keesahan wakaf dan harta yang boleh

digunakan untuk tujuan wakaf. Harta wakaf pula merupakan asas

penting bagi mencapai objektif wakaf iaitu memberi manfaat untuk

kebajikan masyarakat. Menurut tafsiran-tafsiran yang dinyatakan oleh

negeri-negeri yang memasukkan pernyataan “pengekalan” atau “kekal”

dalam peruntukan, fokus subjek perwakafan adalah modal dan

pendapatan daripada harta yang menjadi hak milik pewakaf. Ini

bermaksud, suatu aset yang diterima sebagai subjek wakaf haruslah

boleh mencapai maksud pengekalan di dalam wakaf.

Manakala, Negeri Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak,

Selangor dan Melaka, secara umumnya memperuntukkan harta sebagai

aset penyerahan tanpa memperuntukkan pernyataan “pengekalan” atau

“kekal”. Oleh itu, menurut penulis, segala bentuk harta yang bersifat

nyata (‘ayn atau tangible) atau melibatkan yang bersifat tidak nyata

(maknawi atau intangible) (jika diiktiraf sebagai harta) adalah termasuk

dalam tafsiran berkenaan selama mana dapat diambil manfaat secara

berterusan. Berbeza dengan Negeri Sembilan yang memperuntukkan

penyerahan hak milik dan manfaat daripada harta termasuklah tenaga.

Walau bagaimanapun, secara umumnya, dapat dikenal pasti bahawa

segala harta yang dimaksudkan adalah harta yang dapat memberi

manfaat atau faedah. Oleh itu, tafsiran harta perlu dirujuk bagi

menjelaskan jenis harta yang boleh digunakan bagi tujuan wakaf.

Prinsip Harta dalam Perwakafan

Sejarah membuktikan semenjak zaman awal Islam sehingga kini,

terdapat pelbagai jenis harta yang digunakan sebagai aset bagi tujuan

wakaf. Pengamalan ini adalah hasil ijtihad ulama fiqh berdasarkan

amalan Nabi SAW dan para sahabat (Mohamad Akram et al. 2012). Ini

kerana, Islam tidak menetapkan secara spesifik jenis harta yang boleh

diwakafkan. Pada awal Islam, amalan wakaf hanya terbatas kepada

harta ‘aqar sahaja sebagai aset wakaf seperti tanah Abu Talhah, tanah

‘Umar di Khaybar dan telaga Rawmah oleh ‘Uthman yang berbentuk

fizikal bagi menjamin ciri kekekalan serta nilai manfaat yang

berterusan kepada benefisiari. Manakala selain daripadanya iaitu harta

manqul tidak diterima sebagai harta wakaf kerana ia termasuk dalam

pendapatan yang diambil daripada hasil wakaf (Ibrahim 1986: 14).

Walau bagaimanapun, harta yang ingin diwakafkan mestilah menepati

kriteria harta dan diiktiraf oleh syarak. Ini bermakna, sesuatu yang

14 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

terdiri daripada barang yang bernilai, boleh diterima sebagai harta

benda wakaf sebagaimana harta ‘aqar yang boleh diambil manfaat.

Sehingga kini, pelbagai jenis harta telah diterima sebagai harta

wakaf. Hal ini telah diperhalusi oleh ilmuwan Islam bagi tujuan

membangunkan aset kekal dan mempertingkatkan sosio ekonomi umat

Islam dan negara. Oleh itu, transformasi harta wakaf telah berlaku yang

terdiri daripada bentuk tanah (kedai, rumah kedai dan kediaman)

bangunan sekolah, masjid, ladang pertanian, hasil sewaan, wakaf

saham, wakaf tunai, saham wakaf, wakaf jemba, wakaf korporat dan

lain-lain harta alih (Siti Mashitoh Mahamood 2007: 61-83; Asmak Ab

Rahman 2009: 113-152). Namun begitu, institusi wakaf ini kurang

mendapat perhatian masyarakat awam (Muhammad Ali Hashim 2012).

Ini kerana penerimaan harta alih sebagai harta wakaf bagi kebanyakan

masyarakat masih di tahap pemikiran lama bahawa harta wakaf hanya

terbatas kepada tanah, sedangkan peralihan harta masa kini berevolusi

dengan pantas. Hal ini termasuklah harta maknawi seperti harta intelek.

Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, tafsiran

berkaitan harta tidak diperuntukkan. Manakala, seksyen 15(1) Enakmen

Wakaf Selangor dan Melaka, hanya dijelaskan syarat-syarat mawquf

(harta wakaf) iaitu mawquf hendaklah suatu harta yang dimiliki oleh

waqif, tidak terhalang dan boleh memberi manfaat atau faedah. Namun,

merujuk kepada syarat-syarat tersebut, terdapat kesamaran terhadap

bentuk harta yang dimaksudkan sama ada harta yang bersifat nyata

sahaja (‘ayn atau tangible) atau termasuk harta yang bersifat tidak

nyata (maknawi atau intangible). Berbeza pula tafsiran harta menurut

Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 yang merujuk kepada segala

bentuk manfaat yang bernilai yang menjangkau kepada hak maknawi

sama ada ia terdiri daripada harta yang bersifat nyata iaitu wujud secara

fizikal (‘ayn) atau harta yang bersifat tidak nyata (maknawi).3 Ini

bermaksud, segala bentuk pemilikan hak dan manfaat (maknawi)

adalah diiktiraf sebagai harta menurut Enakmen Wakaf (Negeri

Sembilan) 2005 dan diterima sebagai aset wakaf.

Berdasarkan kepada kerangka perundangan sedia ada, wujudnya

ruang bagi mengoptimumkan jenis harta yang boleh digunakan untuk

tujuan wakaf. Hal ini kerana perkembangan harta di Malaysia

berevolusi begitu pantas dengan timbulnya pelbagai ciptaan baru yang

menduduki pasaran Malaysia mahupun pasaran dunia. Justeru, seiring

dengan tuntutan kebajikan masyarakat serta keperluan semasa, penulis

merasakan bahawa pertimbangan ke atas harta wakaf yang

menjangkaui hak maknawi ini perlu diberi perhatian. Oleh itu, penulis

akan membincangkan berkaitan hak maknawi, sama ada ia dinilai

sebagai harta menurut syarak atau tidak kerana hak cipta atau harta

intelek merupakan jenis hak maknawi.

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 15

Status Hak Maknawi sebagai Harta Wakaf

Persoalan hak dan manfaat ini tergolong di dalam jenis harta yang

bersifat tidak nyata (intangible) atau juga disebut sebagai hak maknawi.

Hak maknawi ada banyak jenis. Namun, artikel ini hanya menumpukan

kepada hak cipta atau harta intelek sahaja. al-Manafi‘ (jamak daripada

perkataan al-manfa‘ah) menurut Ibn ‘Arafah adalah bersifat abstrak,

namun ia dikira sebagai harta, sama dengan benda (umur ‘aqliyyah

mujarradah la hissiyyah, wa hiya mal ka al-‘ayn). Menurut pernyataan

ini, Ibn ‘Arafah menegaskan bahawa harta itu tidak sahaja berbentuk

material (maddiyyah), namun termasuklah immaterial seperti manfaat

karya intelektual sama ada berupa buku atau rekaan gambar bangunan

atau selainnya. Hasil karya tersebut menurutnya telah memenuhi al-

manat al-maliyyah atau ‘illah yang menjadi tempat bergantungnya

hukum. Tambah beliau, sesuatu harta adalah meliputi al-‘ayn dan al-

‘ard. al-‘Ard ditafsirkan dengan al-manfa‘ah iaitu al-ma‘nawi yang

tidak dapat dilihat dan disentuh dengan pancaindera (al-hissi) kecuali

disertakan dengan sumbernya seperti manfaat kereta atau manfaat

rumah (Asmuni Mth 2003: 32).

Asmuni Mth (2003) dalam kajiannya ‘Hak Milik Intelektual dalam

Perspektif Fiqh Islami’ menjelaskan, konsep harta (al-mal) yang

dikemukakan oleh ulama fiqh dapat menghubungkaitkan karya intelek

atau harta intelek dengan harta. Ini kerana harta intelek memenuhi dua

unsur yang berbentuk harta iaitu nilai dan manfaat (al-qimah wa al-

manfa‘ah). al-Durayni (t.th.: 9) mendefinisikan istilah hak cipta atau

harta intelek sebagai hasil pemikiran yang dicipta oleh seorang

ilmuwan atau sasterawan atau sebagainya. Ia datang daripada bakat

semula jadi mereka dan belum pernah dicipta oleh sesiapa pun

sebelumnya. Hak cipta atau harta intelek (intellectual property right)

tidak ada nas qat‘i (clear statemenent) yang khusus menjelaskan

perkara tersebut, dengan demikian masalah tersebut adalah masalah

ijtihadiyyah. Di sini terletak dinamika hukum Islam dalam berhadapan

dengan kemajuan dan perkembangan zaman (Abd Salam Arief 2003:

49).

Persoalan penggunaan hak maknawi bagi tujuan wakaf pula turut

dikupas oleh Shawqi Ahmad Dunya (2002) dalam kajiannya al-Waqf

Jawanib al-Fiqh. Beliau menyatakan, jenis harta yang boleh diguna

untuk tujuan wakaf telah diperluaskan dalam mencapai maqasid atau

objektif syarak. Sehubungan itu, fuqaha mazhab Maliki berpandangan

bahawa harus mewakafkan harta ‘aqar, manqul, wang dan harta yang

bernilai yang boleh diambil manfaat daripadanya tanpa berlaku

kemusnahan harta itu. Hal ini termasuklah harta maknawi iaitu harta

benda yang mendatangkan faedah yang lazimnya mempunyai nilai

ekonomi dan mempunyai manfaat. Oleh itu, menurut pandangan ini,

16 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

dibolehkan bagi seseorang mewakafkan manfaat yang dimilikinya

sekalipun dia bukan pemilik asal harta tersebut.

Hal ini membuktikan, masih terdapat ruang pengiktifaran harta

benda wakaf terhadap harta intelek berasaskan kepada teori yang

dikemukakan. Ini kerana, harta intelek sedia ada, mempunyai nilai

ekonomi dan dapat memenuhi kriteria harta. Tambahan pula, ia

mempunyai ciri-ciri subjek wakaf iaitu wujud sifat fizikal (‘ayn) dan

boleh diambil manfaat daripadanya secara berterusan. Harta intelek

merupakan sebahagian daripada harta yang bersifat tidak nyata

(intangible). Pengertian harta yang diberikan oleh ulama semasa ialah

sesuatu yang mempunyai nilai material di kalangan manusia dan harus

dimanfaatkan menurut syarak (Mohamad Sabri bin Haron 2010: 4).

Sedangkan sesuatu yang mempunyai nilai material itu tidak hanya

terbatas kepada harta yang nyata (tangible) sahaja tetapi juga kepada

harta tak ketara.

Prinsip Pengekalan dalam Perwakafan

Kontroversi berkaitan harta wakaf ini berkait rapat dengan aspek

pengekalan yang ditekankan oleh ulama. Siti Mashitoh Mahamood

(2006) di dalam Perundangan Wakaf dan Isu-isu Berbangkit telah

menyatakan implikasi pernyataan “berkekalan” atau “kekal” yang

dimasukkan dalam peruntukan tafsiran bagi wakaf. Menurutnya,

pegangan pemilikan harta tanah di Malaysia tidak keseluruhannya

bersifat kekal. Ini kerana, pegangan harta tanah dalam konteks semasa

tidak semuanya di bawah pegangan bebas (freehold) tetapi ada juga

daripada pegangan pajakan (leasehold). Pemberian milik secara kekal

atau untuk selama-lamanya tidak lagi diamalkan sejak Kanun Tanah

Negara (Pindaan) 1984 (Akta A587) digubal dan mula berkuat kuasa

semenjak 25 Mac 1985. Selepas berkuat kuasanya Akta A587, bidang

kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dalam soal pemberian pemilikan

harta tanah adalah terbatas.4

Antara lain, kesan daripada pegangan secara bertempoh itu,

memerlukan pengembalian tanah tersebut kepada pihak PBN

termasuklah kesemua binaan di atas tanah berkenaan melainkan apa-

apa pembinaan sementara dan yang boleh dipindahkan (seksyen 47(1)

KTN). Kesemua implikasi yang terhasil daripada tamatnya tempoh

pegangan tanah dalam bentuk leasehold di atas akan turut melibatkan

segala yang berkait dengan tanah-tanah yang diwakafkan. Ini

meninggalkan suatu impak yang didapati bertentangan dengan undang-

undang wakaf itu sendiri kerana wakaf memakai konsep kekal

(permanency/perpetuity) dan statusnya tidak boleh ditamatkan sama

sekali. Akhirnya di samping memberi cadangan langkah yang boleh

dilaksanakan dalam tadbir urus pindah milik harta tanah, bagi

memenuhi konsep pengekalan (permanency/perpetuity) dalam wakaf,

beliau berpandangan bahawa tafsiran bagi definisi wakaf hendaklah

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 17

dibuat secara umum tanpa membabitkan pernyataan “kekal” atau

“bertempoh” (Siti Mashitoh Mahamood 2006).

Dalam konteks di atas, jumhur fuqaha yang terdiri daripada Imam

Syafii, Imam Ahmad ibn Hanbal, serta fuqaha mazhab Hanafi dan

Zahiri bahawa elemen kekal merupakan syarat kepada keesahan

sesuatu perwakafan (Abu Zahrah 1971: 70-72). Berasaskan kepada

saranan Nabi SAW kepada ‘Umar ibn al-Khattab5 iaitu “tahanlah

modal (al-asl)” serta pernyataan “tidak boleh dijualbeli, dihibah dan

diwarisi”, secara jelas menunjukkan kepada pengekalan. Oleh itu, waqif

tidak boleh menarik kembali wakaf kerana pernyataan “tahanlah”

(harta) tersebut menafikan tempoh masa (Abu Zahrah 1971: 74).

Justeru, perwakafan yang dibuat dengan suatu tempoh masa tertentu

dianggap tidak sah (al-Zuhayli 1989, 8: 204-205). Ini kerana wakaf dari

sudut konsepnya adalah mengeluarkan harta atas dasar qurbah, maka

tidak dibolehkan menghadkannya kepada suatu tempoh masa (Abu

Zahrah 1971: 70; Basha 2006: 185).

Imam Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani memberi pandangan

yang lebih kritis dengan mewajibkan lafaz wakaf perlu membawa

maksud kekal (secara lafaz atau makna) (Abu Zahrah 1971: 71; Zaydan

2012, 10: 432). Menurut pandangan ini, sesuatu lafaz (sighah) wakaf

itu sah sekiranya digunakan lafaz selama-lamanya tanpa terikat dengan

masa atau tempoh tertentu. Justeru, golongan ini bersepakat

menyatakan bahawa harta yang hendak diwakafkan perlu dalam bentuk

yang kekal kerana ia menjadi prasyarat utama dalam menentukan

keesahan sesuatu wakaf. Ini kerana, manfaat atau hasil daripada harta

wakaf yang boleh diambil secara berterusan tanpa had masa, tidak

tercapai dengan harta yang bersifat tidak kekal (Dunya 2002: 8).

Manakala pandangan kedua, iaitu sebahagian daripada fuqaha

mazhab Maliki tidak mensyaratkan pengekalan dalam wakaf (Abu

Zahrah 1971: 73). Merujuk kepada hadis ‘Umar tersebut, Nabi SAW

ada menyatakan di awal hadis, “sekiranya engkau mengkehendaki” (in

shi’ta). Ini bermaksud, saranan tersebut disertai dengan pilihan oleh

manusia (Abu Zahrah 1971: 76). Menurut pandangan ini juga,

pemilikan harta boleh kembali kepada waqif atau selainnya sebagai

perluasan amal kebajikan yang boleh dilakukan oleh masyarakat (al-

Zuhayli 1989, 8: 205). Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu

Yusuf dalam Fath al-Qadir bahawa sekiranya mawquf ‘alayh

meninggal dunia, maka wakaf kembali kepada waris si waqif. Ini

bermaksud, Abu Yusuf tidak mengiktiraf pengekalan sebagai syarat sah

wakaf dan sebahagian fuqaha telah mengguna pakai dalil ini sebagai

fatwa (Abu Zahrah 1971: 74).

Menurut al-Dusuqi, pengekalan (ta’bid) tidak menjadi syarat kepada

sahnya wakaf (Dunya 2002: 8). Pandangan ini sependapat dengan

pandangan mazhab Maliki yang lebih longgar dan terbuka dalam

18 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

mentafsirkan maksud pengekalan. Ini kerana matlamat mendekatkan

diri kepada Allah dan manfaat secara berterusan masih dapat dicapai

sekalipun melalui wakaf secara bertempoh atau harta yang bersifat

tidak kekal. Abu Zahrah (1971) dalam Muhadarat fi al-Waqf

menyokong kedua-dua pandangan dan menyatakan bahawa wakaf

secara bertempoh adalah harus sebagaimana keharusan wakaf secara

kekal. Menurutnya, sekalipun golongan yang berpandangan bahawa

pengekalan sebagai syarat kepada keesahan sesuatu perwakafan adalah

golongan majoriti, namun yang penting untuk diperhatikan adalah

maslahah yang lebih besar.

Penulis berpandangan bahawa, konsep pengekalan dalam

perwakafan adalah berbentuk umum kerana tiada suatu ketetapan yang

jelas daripada nas. Oleh itu, timbul ijtihad di kalangan fuqaha.

Persoalan tafsiran “kekal dimanfaatkan” dalam kategori harta yang

diwakafkan, boleh direalisasikan menerusi tempoh kekal secara relatif

(al-dawam al-nisbi) termasuklah manfaat daripada wakaf yang diterima

secara berterusan. Dalam menghadapi situasi ini, meneliti kepada realiti

pemilikan dan perkembangan harta di Malaysia, pandangan Imam

Malik bahawa wakaf boleh dibuat secara sementara seharusnya

diterima. Hal ini, bagi memberi galakan kepada masyarakat untuk

berwakaf sekalipun tidak mempunyai harta bersifat kekal.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dalam wakaf, harus dipastikan bahawa harta benda

wakaf tersebut mempunyai nilai, baik ekonomi mahupun sosial, serta

memiliki nilai harga yang sesuai dengan tuntutan masyarakat secara

makro iaitu sebagai aset negara dalam rangka pembangunan potensi

ummah. Di samping dibenarkan mewakaf harta yang dimiliki dan

diambil manfaatnya dalam masa tertentu, bermakna perwakafan harta

boleh berlaku selama mana benefisiari dapat mengambil manfaat

daripada harta tersebut. Hal ini, termasuklah harta yang menjangkau

hak maknawi. Jika merujuk kepada pentakrifan wakaf yang berbeza di

kalangan para fuqaha, ia berkait rapat dengan konsep harta yang

berbeza mengikut tafsiran masing-masing. Begitu juga perbezaan

tafsiran wakaf yang diperuntukkan dalam undang-undang agama Islam

negeri-negeri.

Walau bagaimanapun, daripada definisi wakaf yang dikemukakan,

kesemuanya berpegang kepada prinsip bahawa pengekalan dalam

wakaf itu adalah pada manfaat harta benda yang diwakafkan. Oleh itu,

harta wakaf boleh terdiri daripada harta yang bersifat nyata (‘ayn atau

tangible) dan harta yang bersifat tidak nyata (maknawi atau intangible)

sama ada harta berkenaan harta alih atau tak alih. Berdasarkan kepada

perbincangan di atas, maka untuk mewujudkan harta wakaf yang terdiri

daripada harta intelek, tidaklah menjadi suatu yang bercanggah

menurut undang-undang Islam. Sehubungan itu, peruntukan berkaitan

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 19

harta atau mawquf (harta wakaf) dalam statut negeri-negeri juga perlu

diperjelas bagi mengelak kekaburan dan pertikaian.

Nota Hujung

1. Wakaf Am: “Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan umum

menurut Hukum Syarak”.

2. Wakaf Khas: “Sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan yang

khusus menurut Hukum Syarak”. Berbeza sedikit pada pernyataan

“khairat” di dalam tafsiran Wakaf Am di bawah seksyen 2(1) (Tafsiran)

Enakmen Pentadbiran Undang-undang (Johor) 2003.

3. Seksyen 2(1), Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 memperuntukkan

harta termasuklah:

a) apa-apa harta alih atau harta tidak alih dan hak dalam harta intelek;

b) apa-apa manfaat, faedah atau keuntungan dalam apa-apa harta alih atau

harta tidak alih dan harta intelek;

c) apa-apa hak, kepentingan, hak milik, tuntutan dan hak dalam tindakan,

sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan atau sama ada

terletak hak atau kontinjen atau selainnya;

d) kepakaran; dan

e) perkhidmatan,

yang mempunyai nilai menurut prinsip syariah.

4. Seksyen 76(a) KTN telah memperuntukkan tentang kuasa PBN untuk

memindah milik tanah Negeri bagi suatu jangka masa yang tidak melebihi

99 tahun (pegangan pajakan/leasehold). Pemberian untuk selama-lamanya

pula diperuntukkan di bawah seksyen 76(aa) di mana ia hanya diberi jika

Kerajaan Persekutuan mewajibkan Pihak Berkuasa Negeri menyebabkan

suatu pemberian untuk selama-lamanya kepada Kerajaan Persekutuan atau

kepada Pihak Berkuasa Awam atau apabila Kerajaan Persekutuan dan

Kerajaan Negeri bersetuju untuk membuat geran kekal kepada Kerajaan

Persekutuan. Pemberian dalam bentuk yang kedua ini boleh juga

dikurniakan jika Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati bahawa tanah

berkenaan akan digunakan untuk tujuan awam atau lain-lain tujuan khas

yang memerlukan pemberian dalam tempoh sedemikian.

5.

ر اه م ات اال: عن ابن عمر قال: أصاب عمر أرضاا خوا اارف أا ل ابياص صال ل عوا أوهااف أاف أم ؟ قاال: ر ول لف إن أص ت أرضا خوا ارف ل أصب ال قط هو أنافس عيدي ي إن »ا ت رن ب

قت ااا اات أصااهاف م تااد هااا،ف مل «شااتت ب ل ا ااا، أصااهاف مل ا ا ه ااا عماارف أناا ف قااال: أاهتااداااار ف اااارا ف مي اب ه عماااار ي ابف لف ماباااان ااااوروف مل وهاااابف قااااال: أاهتااااد مي ابرقااااابف مي اااا و

اار ا وا هااا ،بم اارممف أم ات صااد يا يااال عال اان مبواهااا أن نها ف مابااو ف ل ا و همااول اب .أو

Maksudnya: Daripada Ibn Umar r.a berkata: “Umar memperolehi tanah di

Khaybar. Dia menemui Nabi SAW dan meminta nasihat (perintah) baginda

berkenaan tanah tersebut. Beliau berkata: “Wahai Rasulullah,

20 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

sesungguhnya saya memperolehi sebidang tanah di Khaybar. Saya tidak

mempunyai apa-apa yang berharga daripada tanah ini, jadi apakah

perintahmu kepadaku mengenai perkara (tanah) ini?” Nabi SAW bersabda:

“Jika kamu suka kamu tahanlah asalnya (modal) dan sedekahkan hasilnya”.

Ibn ‘Umar berkata: “Maka ‘Umar pun memberinya sebagai sedekah dan

mewartakan bahawa tanah itu tidak boleh dijual atau diwarisi atau

dihibah.” Ibn ‘Umar berkata lagi: “Umar telah menyedekahkan hasilnya

kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba yang baru merdeka,

pejuang-pejuang di jalan Allah, ibn sabil dan tetamu-tetamu. Tidaklah

berdosa sesiapa yang mengurus atau menyelia tanah wakaf berkenaan

memakan sebahagian hasilnya sekadar yang patut, boleh juga dia memberi

makan kepada kawan-kawannya tetapi tidaklah boleh dia menjadikannya

sebagai hak milik.”

Penghargaan

Artikel ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan menggunakan

dana Penyelidikan Tindakan/Strategik 2014 PTS-2015-065.

Rujukan

‘Abd al-‘Aziz, Amir. 1999. Fiqh al-Kitab wa al-Sunnah. Kaherah: Dar

al-Salam.

Abd al-Hamid Yunus. 1980. Wakaf dan peranannya dalam

pembangunan umat. Dlm. Koleksi al-Yakin 1978-1979. Kuala

Lumpur: Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Abd Salam Arief. 2003. Konsep al-mal dalam perspektif hukum Islam

(Studi terhadap ijtihad fuqaha). Jurnal al-Mawarid (Jurnal Hukum

Islam) IX: 48-57.

Abu Zahrah, Muhammad. 1971. Muhadarat fi al-Waqf. Kaherah: Dar

al-Fikr al-‘Arabi.

Asmak Ab Rahman. 2009. Peranan wakaf dalam pembangunan

ekonomi umat Islam dan aplikasinya di Malaysia. Jurnal Syariah

17(1): 113-152.

Asmuni Mth. 2003. Hak milik intelektual dalam perspektif fiqh Islami.

Jurnal al-Mawarid (Jurnal Hukum Islam) IX: 28-47.

al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar. 2008. Bulugh al-Maram min

Adillat al-Ahkam. Kaherah: Dar al-Salam.

Basha, Muhammad Qadri. 2006. Qanun al-‘Adl wa al-Insaf fi al-Qada’

‘ala Mushkilat al-Awqaf. Kaherah: Dar al-Salam.

Dunya, Shawqi Ahmad. 2002. al-Waqf Jawanib al-Fiqh. Dlm. Nadwat

‘Ard al-Tajarub al-Waqfiyyah fi al-Duwal al-Islamiyyah. Mesir:

al-Ma‘had al-Islami li al-Tanmiyah bi Jaddah.

al-Durayni, Fathi. T.th. Haqq al-Ibtikar fi al-Fiqh al-Islami al-

Muqaran. Beirut: Mu’assasat al-Risalah.

Perluasan Tafsiran Harta Wakaf 21

al-Dusuqi, Shams al-Din Shaykh Muhammad. T.th. Hashiyat al-Dusuqi

‘ala al-Sharh al-Kabir. Beirut: Dar al-Fikr.

al-Farghani, Qadi Khan al-‘Uzjandi Fakhr al-Din al-Hasan. 2009.

Fatawa Qadi Khan fi Madhhab al-Imam al-A‘zam Abi Hanifah al-

Nu‘man. Lubnan: Dar al-Kutb al-‘Ilmiyyah.

Ibn Qudamah, Shams al-Din. 1997. al-Mughni wa al-Sharh al-Kabir.

Beirut: Dar al-Fikr.

Ibrahim, Mustapha. 1986. The concept of endownment, gifts and wills

in Islam. Accra, Ghana: Islamic Book Development and

Translation Council.

al-Jurjani, ‘Ali bin Muhammad. 1983. al-Ta‘rifat. Beirut: Dar al-Kutub

al-‘Alamiyyah.

Kamus Dewan. 2013. Ed. 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

al-Mahalli, Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad. 2005. Hashiyata

Qalyubi wa ‘Umayrah. Beirut: Dar al-Fikr.

Mohamad Akram, Mek Wok Mahmud & Mohd. Fuad Sawari. 2012.

Maqasid al-shariah dalam perlaksanaan wakaf. Dlm. Mahmood

Zuhdi Abdul Majid, Mek Wok Mahmud & Akhtarzaite Abdul

Aziz (pnyt.). Maqasid al-syari‘ah, hlm: 259-290. Kuala Lumpur:

IIUM Press.

Mohamad Sabri Haron. 2010. Takrifan mal (harta) menurut sarjana

Asia Barat dan implikasinya terhadap transaksi masakini. Jurnal

Antarabangsa Kajian Asia Barat 2(1): 4-18.

Muhammad Ali Hashim. 2012. Transformasi pengurusan wakaf di

Malaysia.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/muhammad-ali-

hashim/ wakaf-bukan-amalan-untuk-mati-sahaja-1.64761 [30

Januari 2015].

al-Naysaburi, Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qushayri. 1987.

Mukhtasar Sahih Muslim. Beirut: al-Maktab al-Islami.

al-Sharbini, Muhammad al-Khatib. 1977. Mughni al-Muhtaj. T.tp: T.pt.

Siti Mashitoh Mahamood. 2006. Perundangan wakaf dan isu-isu

berkaitan. Kertas Kerja Konvensyen Wakaf Kebangsaan. Anjuran

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan

Kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM, IKM,

JAKIM dan YADIM. The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14

September.

Siti Mashitoh Mahamood. 2007. Pembentukan dana wakaf menurut

perspektif syariah dan undang-undang serta aplikasinya di

Malaysia. Jurnal Syariah 15(2): 61-83.

22 Isu Syariah & Undang-undang Siri 21

Syahnaz Sulaiman. 2012. Isu Pembangunan wakaf menggunakan

struktur amanah pelaburan hartanah Islam di Malaysia: satu

tinjauan. Kanun 24(2): 149-177.

Zaydan, ‘Abd al-Karim. 2012. al-Jami‘ fi al-Fiqh al-Islami. Damsyik:

Mu’assasat al-Risalah.

al-Zuhayli, Wahbah. 1989. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Damsyik:

Dar al-Fikr.