istiqlal al-qada -...

13
ISTIQLAL AL-QADA: WUJUDKAH PELAKSANAANNYA DALAM SISTEM KEHAKIMAN MALAYSIA? Nur Aina Abdulah 1 Ibnor Azli Ibrahim 2 Abstrak Istiqlal al-qadaialah kebebasan badan kehakiman melalui pengasingan kuasa daripada badan eksekutif dan legislatif serta jauh daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang boleh memesongkannya daripada kebenaran untuk menegakkan keadilan. Sistem kehakiman yang terdapat dalam Islam datang dalam bentuk pakej lengkap yang mana mestilah mengamalkan konsep istiqlal al-qadadalam pentadbirannya. Persoalan yang wujud di sini ialah sejauh manakah sistem kehakiman di Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan di dalam perlembagaan telah mengamalkan konsep istiqlal al-qadaini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja ini bertujuan mengkaji dan menganalisis sejauh manakah konsep istiqlal al-qadaini telah diamalkan dalam sistem kehakiman di Malaysia. Kajian ini menggunakan sepenuhnya kaedah kualitatif, yang mana kajian kepustakaan telah dijalankan dengan merujuk kepada rujukan-rujukan turath, kontemporari dan peruntukan undang-undang Malaysia. Kajian ini mendapati bahawa sistem kehakiman di Malaysia masih belum sepenuhnya mengamalkan konsep istiqlal al-qada, namun secara praktisnya kritikan terhadap sistem kehakiman tersebut membayangkan wujudnya kebebasan badan kehakiman (independent of judiciary) di sini, cuma ianya memerlukan kepada pengubahsuaian semula terhadap pengasingan kuasa. Kata Kunci: Istiqlal al-qada’, Sistem kehakiman Malaysia, Pelaksanaan, Kebebasan kehakiman, Pengasingan kuasa. Pengenalan Istiqlal al-qadaadalah suatu istilah yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebebasan badan kehakiman. Ia merupakan syarat terpenting dan rukun kepada institusi kehakiman dalam sesebuah negara bagi membicarakan dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah dan penjenayah dengan adil tanpa mengira pangkat, kedudukan, jawatan, harta dan keturunan seseorang itu dalam masyarakat. Keamanan dan kedaulatan sesebuah negara itu sangat berkait rapat dengan kebebasan badan kehakiman ini sama ada ia ditadbir dengan baik dan bebas dari campur tangan mana-mana pihak ataupun sebaliknya. Istiqlal al-qadatelah disyariatkan oleh Allah SWT sejak dahulu lagi, zaman berzaman berkurun lamanya. Ia bukanlah suatu perkara yang baru dan juga bukan suatu prinsip 1 Pelajar sarjana tahun akhir di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 2 Pensyarah kanan di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Upload: truonghanh

Post on 06-Feb-2018

261 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Page 1: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

ISTIQLAL AL-QADA’: WUJUDKAH PELAKSANAANNYA DALAM SISTEM

KEHAKIMAN MALAYSIA?

Nur Aina Abdulah1

Ibnor Azli Ibrahim2

Abstrak

Istiqlal al-qada’ ialah kebebasan badan kehakiman melalui pengasingan kuasa daripada

badan eksekutif dan legislatif serta jauh daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak

yang boleh memesongkannya daripada kebenaran untuk menegakkan keadilan. Sistem

kehakiman yang terdapat dalam Islam datang dalam bentuk pakej lengkap yang mana

mestilah mengamalkan konsep istiqlal al-qada’ dalam pentadbirannya. Persoalan yang

wujud di sini ialah sejauh manakah sistem kehakiman di Malaysia yang meletakkan

Islam sebagai agama persekutuan di dalam perlembagaan telah mengamalkan konsep

istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja ini

bertujuan mengkaji dan menganalisis sejauh manakah konsep istiqlal al-qada’ ini telah

diamalkan dalam sistem kehakiman di Malaysia. Kajian ini menggunakan sepenuhnya

kaedah kualitatif, yang mana kajian kepustakaan telah dijalankan dengan merujuk

kepada rujukan-rujukan turath, kontemporari dan peruntukan undang-undang

Malaysia. Kajian ini mendapati bahawa sistem kehakiman di Malaysia masih belum

sepenuhnya mengamalkan konsep istiqlal al-qada’, namun secara praktisnya kritikan

terhadap sistem kehakiman tersebut membayangkan wujudnya kebebasan badan

kehakiman (independent of judiciary) di sini, cuma ianya memerlukan kepada

pengubahsuaian semula terhadap pengasingan kuasa.

Kata Kunci: Istiqlal al-qada’, Sistem kehakiman Malaysia, Pelaksanaan, Kebebasan

kehakiman, Pengasingan kuasa.

Pengenalan

Istiqlal al-qada’ adalah suatu istilah yang berasal daripada bahasa Arab yang

bermaksud kebebasan badan kehakiman. Ia merupakan syarat terpenting dan rukun

kepada institusi kehakiman dalam sesebuah negara bagi membicarakan dan

menjatuhkan hukuman kepada pesalah dan penjenayah dengan adil tanpa mengira

pangkat, kedudukan, jawatan, harta dan keturunan seseorang itu dalam masyarakat.

Keamanan dan kedaulatan sesebuah negara itu sangat berkait rapat dengan kebebasan

badan kehakiman ini sama ada ia ditadbir dengan baik dan bebas dari campur tangan

mana-mana pihak ataupun sebaliknya.

Istiqlal al-qada’ telah disyariatkan oleh Allah SWT sejak dahulu lagi, zaman berzaman

berkurun lamanya. Ia bukanlah suatu perkara yang baru dan juga bukan suatu prinsip

1Pelajar sarjana tahun akhir di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 2Pensyarah kanan di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Page 2: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

120

ciptaan manusia walaupun konsep ini dilihat seolah-olah datang dari Barat kerana

dibawakan oleh Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani (Abu al-Basal, cAbd al-Nasir

Musa 2000). Hakikat yang sebenarnya, konsep istiqlal al-qada’ ini telah terlebih dahulu

termaktub dalam ayat al-Quran dan hadis Nabi yang mana membuktikan bahawa

istiqlal al-qada’ adalah sebahagian daripada syariat Islam yang telah ditetapkan dan

wajib dilaksanakan dalam sesebuah badan kehakiman. Antara bukti bahawa konsep

istiqlal al-qada’ ini telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w adalah daripada hadis berikut

(Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-hudud, Bab qat’ul al-sariq al-sharif wa ghayrihi wa

al-nahyu an al-shafacah fi al-hudud, hadis no. 4387, Jil. 11);

Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang Quraisy sedang berasa resah gelisah tentang kes

kecurian yang melibatkan seorang wanita berbangsa Makhzum (yang

berketurunan mulia) pada hari pembukaan kota Mekah. Mereka berkata:

“Siapakah yang berani membawakan kes ini kepada Rasulullah SAW?” Lalu,

ada yang menjawab: “Siapa lagi yang berani selain Usamah bin Zaid, pemuda

kesayangan Rasulullah saw.” Maka, Usamah pun pergi berjumpa dengan

Rasulullah SAW untuk meminta syafaat pertolongan (pengecualian hukuman)

dalam kes tersebut. Lantas berubahlah wajah Rasulullah s.a.w. kerana marah

dan bersabda: “Apakah kamu memohon syafaat pertolongan dalam kes hudud

yang Allah telah tetapkan?” Lalu Usamah berkata: “Maafkan aku wahai

Rasulullah” Kemudian Baginda Rasulullah SAW berdiri dan menyampaikan

khutbah ringkas: “Wahai manusia! Sesungguhnya umat-umat sebelum kamu

yang terdahulu telah dimusnahkan kerana perkara seperti ini. Mereka telah

mengecualikan hukuman hudud terhadap golongan yang berkuasa dan

berkedudukan dalam masyarakat. Namun, apabila rakyat biasa yang lemah dan

tiada kedudukan di antara mereka mencuri, maka barulah mereka melaksanakan

hudud. Demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya, sesungguhnya sekiranya

Fatimah binti Muhammad didapati telah mencuri, nescaya aku akan potong

tangannya”. Setelah itu diperintahkan wanita yang mencuri tadi dipotong

tangannya.

Page 3: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

121

Hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW sendiri yang akan memotong

tangan anaknya, Fatimah, sekiranya didapati bersalah mencuri. Pendalilan kepada hadis

ini menunjukkan bahawa para hakim hendaklah berlaku adil dan tidak mengira

kedudukan dan darjat seseorang dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan perkataan

nabi (pasti akan memotong) yang didatangkan dengan huruf lam ( ) penegasan

) ( yang menunjukkan perbuatan memotong itu pasti akan dilakukan(al-Rajihi, cAbduh, 2004 ). Ini jelas membuktikan bahawa istiqlal al-qada’ itu telah diamalkan oleh

Rasulullah SAW sebagai hakim dan ketua negara Madinah ketika itu.

Kebebasan kehakiman merupakan antara tiga konsep utama dalam ‘Rule of Laws’ yang

diamalkan dalam undang-undang Perlembagaan oleh sesebuah negara demokrasi (Tun

Salleh Abas 1989). Malaysia adalah salah sebuah negara demokrasi yang meletakkan

Islam sebagai agama Persekutuan juga tidak ketinggalan menjadikan kebebasan

kehakiman sebagai prioriti dalam Perlembagaan.

Definisi Istiqlal al-Qada’

Mengikut kamus al-Mu’jam al-Wasit, perkataan istiqlal )استقالل( berasal daripada kata

dasar istaqqala )استقَل( yang memberi maksud infarada )انفرد( iaitu tersendiri (Mucjam

Wasit 1972). Manakala perkataan al-qada’ )القضاء( pula adalah perkataan Arab yang

didatangkan dengan tambahan huruf alif maqsurah di belakangnya, iaitu قضى عليه، يقض

yang membawa makna menghukum, memisahkan dan memutuskan يقضيا وقضاء، وقضية

.(al-Bikir, Muhammad cAbd al-Rahman 2006) (الحكم والفصل والقطع(

Istiqlal al-qada’ )استقالل القضاء( tidak disebutkan secara jelas dalam mana-mana kitab

turath atau kitab empat mazhab. Walau bagaimanapun, pemahaman kepada maksud

istiqlal al-qada’ itu tetap ada dalam kitab-kitab tersebut cuma istilah istiqlal al-qada’

itu sahaja yang belum wujud. Takrif-takrif istiqlal al-qada’ ini lebih banyak dibawakan

dan dipopularkan oleh ulama’ kontemporari. Antara takrif istiqlal al-qada’ yang

diberikan oleh ulama’ kontemporari ialah, ‘Para hakim mestilah tidak terletak di bawah

pengaruh pemerintah atau individu tertentu yang mana boleh memesongkannya

daripada mencapai matlamat kehakiman yang tertinggi, iaitu menegakkan keadilan

antara manusia dan mengembalikan hak yang sepatutnya kepada pemilik hak’(Abu

Faris, Muhammad cAbd al-Qadir 1995).

Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa kekurangan yang terdapat dalam takrif-

takrif terdahulu yang telah dikemukakan, maka kajian ini telah memberikan satu takrif

yang lebih lengkap dan jelas yang merangkumi maksud, cara dan matlamat istiqlal al-

qada’ iaitu, ‘Kebebasan dalam kehakiman melalui pengasingan kuasa daripada badan

eksekutif mahupun badan legislatif yang diberikan kepada para hakim dalam

memutuskan kes dan menjatuhkan hukuman demi menegakkan keadilan dan menjaga

maslahat umat’.

Istiqlal al-Qada’ (Kebebasan Kehakiman) Dalam Peruntukan Undang-Undang

Perlembagaan Persekutuan atau dikenali juga dengan nama Perlembagaan Malaysia

telah memperuntukkan beberapa perkara yang memberi jaminan kepada para hakim

dan kebebasan badan kehakiman. Perlembagaan ini pula diturunkan kepada akta-akta

parlimen yang lebih terperinci dalam penghuraian dan penjelasan mengenainya.

Peruntukan-peruntukan ini adalah bertujuan untuk menjaga dan melindungi

Page 4: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

122

kepentingan para hakim dan badan kehakiman daripada campur tangan pihak lain.

Perkara-perkara kebebasan kehakiman yang dilindungi itu ialah:

i. Pertukaran Hakim

Perlembagaan Persekutuan telah menjamin dan melindungi hak seseorang hakim

daripada pertukaran yang tidak wajar dan berniat buruk melalui Perkara 122C,

Pertukaran hakim dari suatu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi lain.

Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan tersebut, ia membawa maksud bahawa

seseorang hakim Mahkamah Tinggi itu tidak boleh ditukarkan sesuka hati atau tanpa

kewajaran yang munasabah dari suatu Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Tinggi yang

lain. Walau bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dilakukan sekiranya pertukaran itu

adalah pertukaran Hakim Besar atau pertukaran sebagai Hakim Besar (Abdul Aziz Bari

2004). Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan boleh untuk memerintahkan

pertukaran seseorang hakim Mahkamah Tinggi selepas mendapat syor yang daripada

Ketua Hakim Negara yang mana syor itu dibuat setelah meminta pandangan daripada

Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo.

Peruntukan ini menunjukkan bahawa pertukaran seseorang hakim Mahkamah Tinggi

adalah suatu perkara yang mustahil melainkan atas sebab-sebab yang tertentu sahaja.

Ia tidak mudah dilakukan sewenang-wenangnya. Manakala pertukaran hakim bagi

Mahkamah Rendah pula, diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan

Perundangan (Tun Mohamed Suffian 1978).

Oleh yang demikian, peruntukan mengenai perkara pertukaran hakim yang termaktub

dalam Perlembagaan Persekutuan ini dilihat bertepatan dan selari dengan konsep

istiqlal al-qada’ yang terkandung dalam syariat Islam. Larangan penukaran hakim

tanpa kewajaran ini termasuklah dalam prinsip pelaksanaan istiqlal al-qada’ yang

disebutkan dalam perkara ‘Jaminan Kedudukan Para Hakim’( ) dan

‘Perlindungan Hakim daripada Sembarangan’ () . Sembarangan

( ) atau arbitrariness yang dimaksudkan ialah perbuatan yang dilakukan dengan

mengikut hawa nafsu semata-mata tanpa bersifat rasional (Faruqi’s Law Dictionary

1991). Pertukaran hakim dengan sewenang-wenangnya dari suatu Mahkamah Tinggi

ke Mahkamah Tinggi yang lain ini termasuklah dalam perkara sembarangan. Syariat

Islam sememangnya sangat menitikberatkan dan menjaga hak-hak seseorang hakim

daripada kezaliman pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh sebab itu, para hakim

tidak boleh ditukarkan sesuka hati hanya kerana untuk mencapai matlamat pihak-pihak

tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk menang dalam sesuatu kes.

ii. Tempoh Jawatan dan Pemecatan Hakim

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kedudukan para hakim

dan melindunginya daripada dipecat atau dibuang melalui Perkara 125, Tempoh

memegang jawatan dan saraan bagi hakim Mahkamah Agung.

Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan tersebut, seseorang hakim Mahkamah

Persekutuan itu boleh memegang jawatan hakim sehingga umur enam puluh enam

tahun. Hakim juga berkhidmat atas konsep berkelakuan baik (good behavior). Oleh

sebab itu, dia tidak boleh dilucutkan jawatannya atau dipecat melainkan anggota

Page 5: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

123

jemaah tribunal berjaya membuktikan bahawa hakim itu telah melakukan kelakuan

yang tidak baik (Tun Salleh Abas 1989).

Malah, mengikut peraturan perlembagaan, ahli jemaah tribunal hendaklah terdiri

daripada para hakim yang berpengalaman besar dan berwibawa dari dalam dan

mungkin juga luar negara sekiranya difikirkan perlu (Tun Salleh Abas 1997). Ini

membuatkan pemecatan jawatan seseorang hakim itu tanpa sebab-sebab yang

munasabah atau dengan sewenang-wenangnya amatlah sukar dilakukan.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang perkara jaminan kedudukan hakim

daripada pemecatan ini bertepatan dengan konsep istiqlal al-qada’ yang terkandung

dalam syariat Islam. Perkara ini telah digariskan oleh para fuqaha’ dalam prinsip

pelaksanaan istiqlal al-qada’ iaitu ‘Jaminan Kedudukan Para Hakim’ ( ضمانات

) dan ‘Perlindungan Hakim daripada Sembarangan’ ( ) .

Pemecatan hakim tanpa sebab-sebab yang wajar termasuk dalam perkara sembarangan

( ) yang membawa kepada suatu penindasan, kezaliman dan pencabulan hak ke

atas mereka. Kedudukan para hakim sangat dilindungi dan dijamin oleh Islam kerana

hakim merupakan orang yang paling penting dalam menyelesaikan pertelingkahan dan

menegakkan kebenaran. Mereka tidak boleh dipecat daripada jawatan tanpa sebab-

sebab yang munasabah. Oleh sebab itu, para hakim tidak perlu untuk berasa takut dan

gentar dalam penghakiman semata-mata kerana bimbang akan ‘periuk nasi’ mereka.

iii. Gaji Para Hakim

Jaminan gaji para hakim juga telah disebutkan dalam beberapa peruntukan dalam

Perlembagaan melalui Perkara 125(6), Tempoh memegang jawatan dan saraan bagi

hakim Mahkamah Agung.

Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut, jaminan gaji

seseorang hakim itu adalah terjaga dan kukuh di sisi undang-undang. Ini kerana gaji

para hakim ditetapkan oleh Akta Parlimen dan dibayar pula oleh Kumpulan Wang yang

Disatukan. Malah, gaji seseorang hakim itu juga tidak boleh dikurangkan setelah dia

dilantik dan selama mana dia memegang jawatan hakim (Abdul Azizi Bari 2004).

Gaji hakim juga merupakan liabiliti atau tanggungan kerajaan. Oleh sebab itu, ia tidak

perlu dibahaskan dalam Parlimen pada setiap tahun sewaktu Parlimen meluluskan

belanjawan tahunan. Ia cukup sekadar disebutkan angkanya sahaja (Tun Salleh Abas

1989).

Jaminan gaji para hakim seperti mana yang dijelaskan dalam Perlembagaan

Persekutuan adalah selari dengan konsep istiqlal al-qada’ yang terkandung di dalam

syariat Islam. Ia termasuk dalam kriteria pelaksanaan istiqlal al-qada’ ini yang

disebutkan sebagai ‘Jaminan Kebajikan Para Hakim’)تأمين القضاة على مقومات حياتهم(.

Kebajikan para hakim termasuklah jaminan pembayaran gaji kepada mereka dengan

bayaran yang sistematik setiap bulan. Malah, di dalam syariat Islam, para fuqaha’

menetapkan bahawa gaji para hakim hendaklah dalam jumlah yang tinggi melebihi

daripada had kecukupan mereka (Zaydan, Abdul Karim 2009). Perkara ini sangat

penting dan perlu diambil berat demi menjamin keadilan dan maslahat umat. Ini

disebabkan faktor gaji yang tinggi dan sistematik dapat mengelakkan para hakim

daripada terpedaya dengan sogokan rasuah mahupun terlibat dengan aktiviti perniagaan

yang boleh melarikan fokus mereka dalam bidang kehakiman.

Page 6: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

124

iv. Dakwaan terhadap Hakim

Seseorang hakim diberi jaminan yang mana mereka tidak boleh didakwa di sisi undang-

undang berkaitan keputusan mahkamah yang dibuatnya. Perkara ini disebutkan dengan

jelas dalam Ordinan Prosiding Kerajaan, Seksyen 6 (3) dan Akta Mahkamah

Kehakiman, Seksyen 14 (1) melalui perkara Perlindungan Hakim dan pegawai

kehakiman yang lain.

Berdasarkan peruntukan dalam Ordinan Prosiding Kerajaan dan Akta Mahkamah

Kehakiman di atas, seseorang hakim itu tidak boleh didakwa dan dikenakan tindakan

undang-undang ke atasnya disebabkan keputusan mahkamah yang dibuatnya atau apa-

apa yang berkaitan dengan pelaksanaan proses kehakiman. Ini kerana para hakim

mempunyai kuasa dalam bidang itu dan mereka berhak membuat keputusan dan

menjatuhkan hukuman dengan adil dan tulus berdasarkan hujah daripada kedua-dua

pihak. Walau bagaimanapun, disyaratkan bahawa keputusan mahkamah yang

dibuatnya itu adalah keputusan yang datang dari hati yang suci tanpa ada niat khianat,

balas dendam atau niat-niat lain yang tidak wajar.

Larangan dakwaan terhadap para hakim yang disebutkan dengan jelas dalam Ordinan

Prosiding Kerajaan dan Akta Mahkamah Kehakiman ini adalah bertepatan dengan

konsep istiqlal al-qada’ dalam syariat Islam. Perkara ini dijelaskan dalam jaminan

istiqlal al-qada’ iaitu ‘Jaminan Penghormatan terhadap Mahkamah’)ضمانات هيبة القضاء(

yang melarang seseorang hakim itu dipersoalkan atau dipertanggungjawabkan kembali

atas keputusan mahkamah yang dibuatnya selepas tamat perbicaraan sesuatu kes.

Larangan ini adalah bertujuan untuk menjaga kewibawaan institusi kehakiman dan

membina rasa hormat dan percaya masyarakat terhadap para hakim. Malah, Islam

menetapkan sekiranya memang benar telah berlaku kesilapan yang tidak disengajakan

oleh hakim dalam keputusan mahkamah yang dibuatnya, seseorang hakim itu tetap

tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atasnya, sebaliknya, keputusan mahkamah

itu ditarik balik. Walau bagaimanapun, pelepasan ini hanya terpakai kepada para hakim

yang telah berusaha menjalankan tanggungjawabnya itu dengan jujur dan tanpa campur

tangan pihak lain.

v. Paksaan terhadap Hakim

Selain daripada seseorang hakim itu diberi jaminan tiada dakwaan boleh dikenakan ke

atasnya atas keputusan mahkamah yang dibuatnya, paksaan juga tidak boleh dilakukan

terhadap hakim seperti mana peruntukan dalam Akta Keterangan, Seksyen 121.

Berdasarkan peruntukan di atas, seseorang hakim itu tidak boleh dipaksa untuk

menjawab sebarang persoalan yang berkaitan dengan kelakuannya sendiri dan

tindakannya dalam mahkamah atau apa jua maklumat yang sampai kepada

pengetahuannya sebagai hakim. Meskipun begitu, hakim boleh diperiksa tentang

perkara lain yang berlaku di hadapannya ketika dia melaksanakan tugas kehakimannya.

Larangan paksaan terhadap para hakim yang termaktub dalam Akta Keterangan ini juga

dilihat selari juga dengan konsep istiqlal al-qada’ yang terkandung dalam syariat Islam.

Perkara ini turut dijelaskan dalam jaminan istiqlal al-qada’ iaitu ‘Jaminan

Penghormatan terhadap Mahkamah’)ضمانات هيبة القضاء( yang mana seseorang hakim itu

tidak boleh dipaksa untuk menjawab apa-apa persoalan yang dikemukakan kepadanya

Page 7: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

125

mengenai tindakan dan kelakuannya dalam mahkamah sebagai hakim. Hal ini bertujuan

memberi kebebasan kepada hakim dalam tindakan dan keputusannya dan menjaga

privasi maklumat-maklumat dalam mahkamah.

vi. Penghinaan terhadap Mahkamah

Ketinggian institusi kehakiman sebagai kuasa besar dan penting dalam sesebuah negara

dijamin dalam Perlembagaan Malaysia melalui Perkara 126, Mahkamah Persekutuan,

Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi adalah berkuasa menghukum sesiapa yang

melakukan apa-apa penghinaan terhadapnya dan turut disebutkan dalam Akta

Mahkamah Kehakiman, Seksyen 13.

Berdasarkan peruntukan tersebut, mahkamah mempunyai kuasa dan hak untuk

menjatuhkan hukuman kepada sesiapa sahaja yang melakukan penghinaan terhadap

mahkamah. Penghinaan ini termasuklah penghinaan terhadap hakim dan institusi

kehakiman serta pencabaran terhadap keputusan mahkamah (Abdul Aziz Bari 2004).

Ini bertujuan untuk menjaga kredibiliti para hakim dan kehormatan badan kehakiman.

Peruntukan undang-undang yang menghukum mereka yang melakukan penghinaan

terhadap mahkamah seperti mana yang disebutkan dalam Perlembagaan Malaysia dan

Akta Mahkamah Kehakiman ini adalah bertepatan dengan konsep istiqlal al-qada’

dalam syariat Islam. Perkara ini telah dijelaskan dalam perkara jaminan istiqlal al-

qada’ yang disebut sebagai ‘Jaminan Penghormatan terhadap Mahkamah’ ضمانات هيبة(

dan sokongan terhadap pelaksanaan istiqlal al-qada’ iaitu ‘Perlindungan melaluiالقضاء(

hukuman’ )الحماية الجزائية(.

Islam sebagai agama kesejahteraan sememangnya menjaga dan mengambil berat

persoalan maruah dan kehormatan serta melarang sebarang penghinaan yang berniat

buruk dan bertujuan untuk menjatuhkan. Larangan penghinaan terhadap mahkamah ini

adalah bertujuan menjaga kredibiliti dan ketinggian institusi kehakiman dan

kewibawaan para hakim. Di samping itu, ia bertujuan untuk membina rasa hormat dan

percaya masyarakat terhadap badan kehakiman sebagai institusi yang melindungi hak-

hak mereka dan menegakkan keadilan. Walau bagaimanapun, kritikan dan teguran

secara baik dan beradab terhadap badan kehakiman itu perlu bagi memperbaiki dan

menambah baik kualiti badan kehakiman (Farid Sufian Shuaib 2007). Ini kerana

mahkamah mengiktiraf kebebasan bersuara dan dalam masa yang sama mengiktiraf

kepentingan menjaga kredibiliti dan ketinggian mahkamah.

Pengasingan Badan Kehakiman dalam Sistem Pemerintahan Malaysia

Sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia

meletakkan badan legislatif, eksekutif dan kehakiman di bawah bidang kuasa Yang di-

Pertuan Agong (YDPA). Manakala Yang di-Pertuan Agong menurunkan kuasanya

kepada Yang di-Pertua (Speaker) kedua-dua Majlis Parlimen dalam badan legislatif,

Perdana Menteri dalam badan eksekutif dan hakim-hakim dalam badan kehakiman

(Malike Ibrahim 2012).

Kebebasan kehakiman adalah antara matlamat utama dalam pengasingan kuasa

kehakiman daripada kuasa badan eksekutif dan legislatif. Berdasarkan kepada teori

pertindanan kuasa yang dibenarkan dalam Doktrin Pengasingan Kuasa, badan

kehakiman tetap diasingkan daripada pengaruh kedua-dua kuasa badan tersebut demi

Page 8: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

126

menjamin keadilan dan kebebasan kehakiman. Persoalannya di sini, adakah Malaysia

yang mendakwa mengguna pakai Doktrin Pengasingan Kuasa ini benar-benar telah

mengasingkan kuasa badan kehakiman dan menjadikan badan kehakiman sebagai suatu

badan yang bebas daripada campur tangan dan pengaruh badan eksekutif dan badan

legislatif? Maka, kertas kerja ini akan menjawab persoalan ini dengan mengemukakan

lima isu seperti berikut:

i. Pindaan Kuasa Mahkamah Persekutuan

Hak kuasa Mahkamah Persekutuan dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan telah

dipinda dengan suatu usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 17hb Mac

1988. Ia adalah susulan kepada kemarahan beliau kepada para hakim yang dianggap

telah menyalah gunakan kuasa mentafsir undang-undang dalam beberapa kes yang

tidak berpihak kepada kerajaan. Sebelum pindaan Perlembagaan, kuasa kehakiman

adalah luas dan terletak sepenuhnya di bawah dua Mahkamah Tinggi; iaitu Mahkamah

Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo. Seterusnya Perkara 121 ini telah

diperincikan kepada Akta Mahkamah Kehakiman yang mana menyatakan

bahawasanya para hakim mempunyai hak dan kuasa untuk menyemak akta-akta

Parlimen yang digubal oleh badan legislatif dan juga tindakan serta perbuatan kerajaan,

iaitu badan eksekutif (Tun Salleh Abas 1989).

Walau bagaimanapun, hak kuasa Mahkamah Persekutuan telah dihadkan selepas

pindaan. Mahkamah Persekutuan tidak lagi menjadi kuasa kehakiman yang utama

dalam perlembagaan. Kuasa ini telah dihadkan atau tertakluk kepada kuasa yang

diberikan oleh Parlimen di bawah undang-undang Persekutuan. Dalam erti kata yang

lain bahawasanya Parlimen adalah kuasa utama dalam Perlembagaan Persekutuan

(Parliament Supremacy). Badan kehakiman tidak lagi berfungsi sebagai pemantau

efektif kepada badan legislatif dan badan eksekutif. Proses semak dan imbang (check

and balance) dalam Doktrin Pengasingan Kuasa juga tidak dapat dilaksanakan lagi.

Pindaan kuasa Mahkamah Persekutuan ini membuktikan bahawa pelaksanaan istiqlal

al-qada’ di Malaysia telah menjadi kucar-kacir. Malah, peristiwa pindaan

Perlembagaan tentang kuasa Mahkamah Persekutuan ini juga dikenali sebagai ‘Krisis

Perlembagaan 1988’. Pindaan ini telah meletakkan kuasa Parlimen lebih tinggi

daripada kuasa kehakiman dalam undang-undang perlembagaan dan bukannya

meletakkan Perlembagaan sebagai kuasa utama (Constitution Supremacy) (Badan

Peguam Malaysia 13 Februari 2010). Oleh sebab itu, mana mungkin badan kehakiman

dapat mencapai kebebasannya sekiranya mahkamah sudah terikat dengan Parlimen,

iaitu badan legislatif.

ii. Perlantikan Hakim

Perkara mengenai perlantikan hakim telah disebutkan secara jelas dalam Perlembagaan

Malaysia dalam perkara 122B. Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan

Persekutuan tersebut, hakim-hakim Mahkamah Atasan, seperti, Ketua Hakim Negara,

Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi adalah

dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Walau bagaimanapun, sebagai raja

berpelembagaan, Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat daripada

Perdana Menteri selaku ketua badan eksekutif dan selepas berbincang dengan Majlis

Raja-raja tentang pelantikan hakim itu.

Page 9: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

127

Oleh sebab itu, peruntukan undang-undang ini jelas menunjukkan bahawa pengasingan

kuasa badan kehakiman belum benar-benar diamalkan dalam doktrin pengasingan

kuasa di Malaysia ini. Ini kerana, pengaruh dan campur tangan ketua badan eksekutif,

iaitu Perdana Menteri, masih wujud dalam menentukan perlantikan seseorang Hakim

Mahkamah Atasan (Malike Ibrahim 2012). Perdana Menteri juga merupakan individu

yang membuat keputusan akhir dalam pelantikan ini.

Campur tangan eksekutif dalam pelantikan hakim ini telah dibuktikan lagi pada tahun

2007 apabila Malaysia digemparkan dengan penyebaran satu rakaman video perbualan

telefon antara seorang peguam dengan seorang hakim kanan berkaitan dengan urusan

pelantikan Ketua Hakim Negara pada tahun 2002 (Badan Peguam Malaysia 22

September 2007). Rentetan daripada itulah, suatu suruhanjaya khas yang dikenali

sebagai Suruhanjaya Pelantikan Hakim telah ditubuhkan dan berkuat kuasa di bawah

Akta Suruhanjaya Pelantikan Hakim (SPK) 2009 bagi menangkis tohmahan dan

memperbaiki persepsi masyarakat terhadap badan kehakiman. Walau bagaimanapun,

fungsi suruhanjaya ini hanya memilih dan menerima permohonan daripada orang yang

berkelayakan untuk pertimbangan Perdana Menteri (Suruhanjaya Pelantikan Hakim

2014). Ia sekadar untuk membantu melicinkan gerak kerja pelantikan hakim yang mana

keputusan akhir pelantikan tetap daripada Perdana Menteri.

Sehubungan dengan itu, sewajarnyalah pelantikan mahupun pemecatan para hakim ini

dikendalikan oleh suatu suruhanjaya khas yang bebas daripada politik kepartian dan

dianggotai oleh para hakim dan peguam yang berpengalaman dan sudah lama

berkhidmat demi menjamin ketelusan dan kebebasan badan kehakiman. Ini kerana,

merekalah yang lebih arif dalam bidang kehakiman dan mereka jugalah yang lebih tahu

siapakah orang yang paling layak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Presiden

Mahkamah Rayuan dan keseluruhan hakim-hakim lain. Para hakim juga dapat

menjalankan tugas dengan bebas dan adil dalam kes-kes yang melibatkan pihak

eksekutif (Farid Sufian Shuaib 2007).

iii. Pemecatan Hakim

Perkara pemecatan hakim telah dijelaskan sebelum ini tentang peruntukan undang-

undang terhadap kebebasan kehakiman. Walau bagaimanapun, pengkaji ingin

membawakan kembali perkara ini dan kaitannya dengan pengaruh dan campur tangan

kuasa lain dalam isu pemecatan hakim. Mengikut peruntukan undang-undang dalam

Perlembagaan Persekutuan, seseorang hakim itu tidak boleh dipecat daripada

jawatannya kecuali atas beberapa sebab tertentu.

Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut, seseorang hakim

itu boleh dipecat sekiranya Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas

berunding dengan Perdana Menteri merayu kepada Yang Di-Pertuan Agong dengan

menyatakan sebab-sebab seseorang hakim itu patut dipecat. Sebab-sebab pemecatan itu

ialah pelanggaran mana-mana kod etika kehakiman, atau tidak berupaya menjalankan

tugas disebabkan kelemahan tubuh badan atau otak, atau apa-apa sebab lain yang

menghalang seseorang hakim itu menyempurnakan tugasnya dalam kehakiman.

Oleh yang demikian, peruntukan ini juga turut membuktikan bahawa badan kehakiman

di Malaysia ini belum benar-benar diasingkan daripada pengaruh dan campur tangan

badan eksekutif. Ini kerana Perdana Menteri selaku ketua badan eksekutif sekali lagi

mempunyai kuasa dan pengaruh terhadap badan kehakiman dalam perkara pemecatan

Page 10: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

128

hakim. Perdana Menteri boleh dan berhak merayu kepada Yang di-Pertuan Agong

dengan mengemukakan alasan-alasan tertentu yang sabit dengan pemecatan seseorang

hakim. Ini dibuktikan melalui kes pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara

pada tahun 1988.

Menurut Tun Salleh Abas, kebanyakan negara-negara Dunia Ketiga seperti Malaysia,

lebih menumpukan tenaga mereka terhadap pembangunan ekonomi dan sosial serta

memberikan keutamaan kepada keduanya sehinggakan sanggup menjejaskan

kepentingan orang perseorangan yang lain. Oleh sebab itu, apabila tindakan sesuatu

eksekutif dicabar oleh keputusan mahkamah yang memihak kepada orang perseorangan

itu, ia akan dianggap sebagai sesuatu yang menghalang kuasa eksekutif melaksanakan

polisi mereka. Pertentangan inilah yang mewujudkan hubungan buruk atau konfrontasi

antara badan eksekutif dan badan kehakiman (Tun Salleh Abas 1989). Maka, dalam

konfrontasi inilah, prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman sering kali menjadi

mangsa yang akan dikorbankan apatah lagi apabila Perdana Menteri selaku ketua

eksekutif mempunyai kuasa dan hak dalam perkara pemecatan hakim yang telah

disebutkan dengan jelas dalam Perlembagaan Malaysia.

iv. Kelakuan Hakim

Kelakuan seseorang hakim itu tidak dibenarkan untuk diperbincangkan dan dibahaskan

dalam Parlimen kecuali dengan syarat-syarat tertentu seperti mana yang disebutkan

dalam Perlembagaan melalui Perkara 127. Berdasarkan peruntukan tersebut, Majlis

Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara dilarang untuk membincangkan

kelakuan seseorang hakim Mahkamah Atasan. Walau bagaimanapun, perbincangan itu

hanya dibenarkan sekiranya satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis

Parlimen itu telah bersetuju dan memberikan satu usul khas dan notis yang berkaitan

dengannya. Manakala, Dewan Negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk

membincangkan kelakuan seseorang hakim Mahkamah Atasan (Tun Mohamed Suffian

1978).

Perbincangan mengenai kelakuan hakim dalam Majlis Parlimen adalah bertujuan untuk

menyingkirkan atau memecat seseorang hakim daripada jawatannya. Ini adalah

disebabkan oleh tempoh perjawatan seseorang hakim Mahkamah Atasan itu adalah atas

konsep selama mana dia berkelakuan baik (good behavior). Maka, seseorang hakim

perlu dibuktikan bahawa dia telah berkelakuan buruk sebelum dia dipecat.

Satu cadangan untuk membincangkan kelakuan hakim yang bertujuan untuk

menyingkirkannya pernah dibawa dalam persidangan Dewan Rakyat pada tahun 1987

oleh Perdana Menteri ketika itu.3 Ia adalah disebabkan perasaan marah, kecewa dan

tidak puas hati dengan beberapa keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepada

kerajaan.4 Walau bagaimanapun, cadangan itu terpaksa ditinggalkan begitu sahaja

kerana sokongan daripada sekurang-kurangnya satu perempat daripada Ahli Dewan

3Cadangan penyingkiran Hakim Harun Hashim turut dilaporkan dalam majalah Asiaweek pada 16hb

September 1987. 4Ia melibatkan beberapa kes seperti; Kes pembatalan permit kerja John Berthelson dari akhbar Asia Wall

Street Journal yang tidak sah di sisi undang-undang, kes pembebasan Karpal Sigh dan yang paling utama

adalah kes UMNO 11.

Page 11: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

129

tidak diperoleh. Dalam masa yang sama, berita Asiaweek melaporkan bahawa kerajaan

telah pun membuat kajian tentang kaedah yang terbaik sama ada pemecatan hakim

melalui Parlimen di bawah Perkara 127 atau dengan cara Tribunal di bawah Perkara

125 Perlembagaan Persekutuan (Tun Salleh Abas 1989).

Sir Kenneth Robert-Wray, seorang pengarang undang-undang Perlembagaan British

berpandangan bahawa pemecatan melalui cara Parlimen adalah suatu yang lapuk dan

tidak patut dipakai lagi. Namun, di sesetengah negara seperti di England, India dan

Australia, pemecatan hakim tetap melalui Parlimen. Bagaimanapun, di Malaysia,

pemecatan hakim adalah melalui Tribunal dan bukan melalui Parlimen. Hujahnya ialah

dibimbangi sekiranya pemecatan melalui Parlimen berlaku adalah disebabkan oleh

kehendak politik dan bukannya atas dasar undang-undang(Tun Salleh Abas 1989).

Hakikatnya, menurut Tun Salleh Abas pemecatan melalui Parlimen adalah lebih telus

dan lebih adil daripada pemecatan melalui tribunal. Beliau memberikan tiga hujah atas

pandangan ini. Yang pertama; Pergolakan politik tetap akan wujud meskipun

pemecatan itu melalui Parlimen ataupun Tribunal, kerana kuasa yang memulakan usul

pemecatan adalah di tangan Perdana Menteri. Yang kedua; Persetujuan yang diperlukan

untuk penyingkiran hakim dalam Parlimen adalah ramai, iaitu tidak kurang daripada

dua per tiga jumlah Ahli Dewan, sedangkan, persetujuan dalam ahli Tribunal adalah

sedikit sahaja kerana jumlah ahlinya yang tidak kurang daripada lima orang hakim.

Pastinya jumlah bilangan ahli Dewan yang ramai membuatkan pemecatan melalui

Parlimen lebih sukar. Yang ketiga; Parlimen bersidang dalam keadaan terbuka

sedangkan Tribunal bersidang dalam keadaan tertutup. Oleh sebab itu, persidangan

secara terbuka itu adalah lebih telus.

v. Perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan

Pemerluasa) 2013 (POCA)

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang sebelum ini mengambil kuasa badan

kehakiman dalam menjatuhkan hukuman dengan memberi kuasa kepada Menteri

Dalam Negeri, selaku badan eksekutif untuk menahan seseorang tanpa bicara telah pun

dimansuhkan pada 15 September 2011 yang lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri

Najib Tun Abdul Razak (Utusan online 16 September 2011). Walau bagaimanapun,

akta itu telah diganti pula oleh satu akta lain yang mana hampir sama iaitu Akta

Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasa) 2013 atau nama singkatannya POCA.

Berdasarkan kepada peruntukan dalam akta ini, Lembaga Pencegahan Jenayah berhak

menjatuhkan hukuman tahanan 2 tahun tanpa bicara kepada mana-mana orang yang

disyaki. Lembaga Pencegahan Jenayah adalah dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong

atas nasihat Perdana Menteri (Harakahdaily 2 April 2014). Malah, hukuman tahanan

itu tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah sama seperti ISA (Tun Salleh

Abas 1997). Selain itu, menjatuhkan hukuman tahanan kepada seseorang tanpa

dibuktikan bersalah oleh mahkamah merupakan suatu yang bercanggah dengan Perkara

10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa 1948(Harakahdaily 2 April

2014).

Oleh yang demikian, jelaslah menunjukkan bahawa POCA telah mengambil fungsi

mahkamah dalam menjatuhkan hukuman. Fungsi kehakiman telah diberikan kepada

badan eksekutif kerana Lembaga Pencegahan Jenayah adalah dilantik atas nasihat

Perdana Menteri. Pelaksanaan istiqlal al-qada’ masih belum sempurna dilaksanakan di

Page 12: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

130

Malaysia apabila pengaruh dan campur tangan badan eksekutif masih lagi wujud dalam

badan kehakiman.

Kesimpulan

Istiqlal al-qada’ dalam sistem kehakiman di Malaysia didapati wujud tetapi, masih

belum dilaksanakan sepenuhnya. Namun begitu, usaha ke arah mencapai kebebasan

kehakiman itu dilihat ada melalui beberapa peruntukan undang-undang yang digubal di

Malaysia. Walau bagaimanapun, perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik

adalah pengubahsuaian dalam pengasingan kuasa. Badan kehakiman sepatutnya benar-

benar diasingkan daripada badan eksekutif dan legislatif. Campur tangan, kuasa dan

pengaruh daripada badan eksekutif dan legislatif tidak boleh wujud sama sekali dalam

badan kehakiman. Hanya dengan pengasingan kuasa yang menyeluruh ini sahajalah

yang akan menjadikan para hakim bebas membuat keputusan dan menjatuhkan

hukuman demi menegakkan keadilan.

Rujukan

al-Quran al-Karim.

Badan Peguam Malaysia. 22hb. September 2007.

http://www.malaysianbar.org.my/bar_news/berita_badan_peguam/klip_video_p

m_arah_siasat.html [2014].

al-Bikir, Muhammad cAbd al-Rahman. 2006. al-Sultah Qada’iyyah wa Shakhsiyyat al-

Qadi fi Nizam Islami. cArab Sacudi: Afaq Publishing & Distribution.

Farid Sufian Shuaib. 2007. Pentabiran Keadilan: Artikel Terpilih. Ampang: Dawama

Sdn. Bhd.

Faruqi’s Law Dictionary. 1991. Bayrut: Librairie Du Liban.

Harakahdaily. 2014. Pewartaan poca 2013 simbol kekebalan kerajaan.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/26850-pewartaan-poca-2013-

simbol-kebebalan-kerajaan [2 April 2014].

Lembaga Penyelidikan Undang-undang. 2011. Perlembagaan Persekutuan. Selangor:

International Law Book Services.

Malike Ibrahim. 2012. Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Petaling Jaya: IBS

Buku Sdn. Bhd.

Mucjam Wasit. 1972. t.tp.: t.pt.

al-Qurtubi, Abi cAbd Allah bin Muhammad al-Ansari. 1935. al-Jamic li Ahkam al-

Qur’an. Jil. 15. Cetakan kedua. al-Qahirah: Dar al-kutub al-Misriah

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. 2014. http://www.jac.gov.my/index.php?option=

com_content&view=article&id=56&lang=ms [2014].

Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran. 1996. Ed. Ke-13. Kuala

Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.

Page 13: ISTIQLAL AL-QADA - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/10-Nur-Aina... · istiqlal al-qada’ ini melalui pengasingan kuasa. Oleh sebab itu, kertas kerja

131

Tun Mohamed Suffian. 1978. Perlembagaan Malaysia: Perkembangannya 1957-1977.

Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Tun Mohamed Suffian Hashim. 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Cetakan

Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tun Mohd. Salleh Abas. 1997. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tun Salleh Abas. 1989. Kebebasan Kehakiman. t.tp.: Penerbitan Pena Sdn. Bhd.

Tun SallehAbas. 1989. May Day For Justice. Kuala Lumpur: Magnus Books.

Tun Salleh Abas. 1989. The Role of The Independent Judiciary. Kuala Lumpur:

Promarkeeting Publications.

Utusan Online. 16 September 2011. http://www.utusan.com.my/utusan

/info.asp?y=2011&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg

=mh_01.htm.

Zaydan, cAbd al-Karim. 2009. Nizam Qada’ fi Sharicah Islamiyyah. Cetakan ketiga.

Dimashq: Mu’assasah al-Risalah al-Nasyirun.