professionalisme guru
DESCRIPTION
Cabaran Semasa GuruTRANSCRIPT
Pendidikan merupakan aset penting kepada semua individu dan aspek penting
dalam pembangunan sesebuah negara. Dalam proses membentuk manusia yang
seimbang dalam menghadapi kesan globalisasi, kita memerlukan kepimpinan yang
sesuai dengan keperluan semasa. Modal insan yang perlu dibangunkan perlu seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) yang telah dikemukakan
dalam Falsafah Pendidikan negara. Ini bertepatan dengan salah satu matlamat
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu, menyediakan sumber tenaga manusia
bagi memenuhi keperluan kemajuan negara di masa hadapan. Maka, bagi
merealisasikan hasrat KPM, sebahagian besar usaha terletak di atas bahu guru. Tugas
guru bukan hanya bagi mempersiapkan para pelajar bagi menghadapi masa depan
yang penuh cabaran, malahan, guru juga perlu melengkapkan diri mereka dengan
pelbagai pengetahuan dan kemahiran, menunjukkan kesungguhan dan mempunyai
iltizam yang tinggi dalam melaksanakan usaha-usaha bagi meningkatkan kualiti pelajar
yang bakal dihasilkan. Sehubungan itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah
membangunkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang merupakan penanda aras bagi
menilai pencapaian guru-guru sekarang dalam tiga aspek, iaitu, nilai profesionalisme
keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan
pembelajaran. Guru haruslah menguasai ketiga-tiga aspek kompetensi tersebut bagi
menjamin pendidikan yang berkualiti dan melahirkan generasi yang pandai daripada
saat ini.
Lantaran itu, bagi mencapai matlamat utama pendidikan, setiap guru harus menjadi
pemimpin guru di sekolah mereka. Pemimpin guru ialah guru biasa tetapi mereka
mampu membimbing atau mendorong guru lain untuk bersama-sama berusaha
meningkatkan amalan professional. Pemimpin guru tidak akan menunggu arahan bagi
melaksanakan sesuatu inovasi pengajaran tetapi mereka bijak menggunakan peluang
yang ada bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan. Seorang guru pemimpin
harus melaksanakan pelbagai aktiviti atau tugas yang dapat memberi impak baik
kepada pendidikan dan juga murid-murid pada jangka masa yang panjang. Sebagai
seorang guru pelatih, saya harus mempraktikkan sikap pemimpin guru ini dari sekarang
bagi memudahkan saya apabila saya menjejak kaki dalam alam persekolahan tidak
lama lagi. Sebagai seorang pemimpin guru, saya harus melakukan beberapa perkara
penting sepanjang saya berada dalam perkhidmatan di sekolah.
Pertama, seperti yang sedia maklum, guru pada hari ini haruslah peka terhadap
perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan dan sentiasa bersedia menyesuaikan
diri dari pelbagai aspek termasuk penambahan pengetahuan dan kemahiran,
berkemahiran dalam pengurusan, bertanggungjawab dan bersedia dengan beban tugas
yang bertambah. Oleh itu, saya harus mula mengajar murid mengikut keperluan
pendidikan pada masa kini, dimana murid-murid perlu sentiasa cakna dengan info-info
terkini. Dalam era globalisasi ini, pelajar-pelajar perlulah mempunyai kebolehan untuk
mendapatkan maklumat atau ilmu melalui pelbagai pelbagai kemudahan teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) yang wujud di negara kita. Selain itu, saya juga perlu
memastikan saya sentiasa menyalurkan pendidikan yang harus dipelajari oleh pelajar
mengikut aras usia. Saya tidak patut bersikap tidak adil atau memilih kasih semasa
pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan salah satu nilai yang amat penting dalam
memainkan peranan sebagai seorang pemimpin guru.
Seterusnya, saya juga akan merancang pengajaran subjek saya dan memastikan
perancangan tersebut mengandungi elemen-elemen yang mampu melahirkan generasi
setaraf dengan masa kini. Selain pandai membuat perancangan, saya harus pakar
dalam subjek saya atau dalam sesuatu bidang kursus. Kepakaran (expertise) adalah
pengetahuan yang ekstensif dan spesifik yang diperoleh melalui rangkaian latihan,
membaca, dan pengalaman. Melalui kepakaran yang saya miliki, saya dapat mengajar
murid dengan lebih efektif dan saya juga dapat mencapai objektif pengajaran saya
melalui kepakaran yang saya miliki itu. Contohnya, saya harus mahir dalam
penggunaan ICT kerana perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT) telah memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang termasuk bidang
pendidikan. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad (1996), kewujudan teknologi maklumat
dan teknologi multimedia meninggalkan impak yang kuat dan mengundang pelbagai
cabaran dan perubahan berkaitan dengan keperluan pendidikan dan latihan di sekolah
serta institusi pengajian tinggi. Kementerian Pendidikan Malaysia turut menggalakkan
penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti computer riba, cakera padat,
penggunaan perisian pendidikan, dan cakera padat semasa pengajaran guru. Dengan
adanya ilmu yang mendalam dalam bidang ICT ini, saya akan menggunakan ICT
semasa pengajaran saya pada setiap sesi perjumpaan. Dengan penggunaan visual
grafik, animasi, video dan audio yang meluas, suasana yang sebenar boleh ditunjukkan
kepada para murid kerana murid dapat didedahkan dengan gambaran dan
persembahan menarik menjadikan konsep dan idea mudah untuk difahami. Pengajaran
melalui ICT juga membantu murid-murid dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian
akademik dan memajukan diri mereka. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan
pembelajaran (P&P) juga akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan
inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Sebelum mula menggunakan ICT, saya
perlu mempelajari selok belok yang terdapat dalam bidang tersebut dan sentiasa cakna
dalam bidang itu. Semasa menggunakan ICT, saya harus memastikan penggunaannya
menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan murid
menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang
bertepatan. Disamping itu, saya juga boleh memberi peluang pembelajaran yang sama
kepada semua murid di dalam sebuah kelas dengan adanya penggunaan ICT semasa
P&P saya.
Selain aktif dalam bidang kurikulum, saya juga akan menjadi aktif dalam bidang
kokurikulum di sekolah. Kokurikulum merupakan elemen yang sama penting dengan
kurikulum akademik dalam pendidikan di negara kita selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara yang berobjektif untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Abdullah (1985) berpendapat bahawa tumpuan
yang lebih harus diberikan dalam bidang kokurikulum bagi memantapkan lagi sistem
pendidikan di negara kita. Ini sejajar dengan pendapat yang menyatakan bahawa
penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum boleh meningkatkan lagi proses
pendidikan murid. Saya perlu memastikan semua murid melibatkan diri secara aktif
dalam bidang ini dan menjelaskan kepentingan penglibatan mereka dalam kokurikulum
yang boleh menjadi satu bidang yang boleh memajukan kehidupan mereka.
Seterusnya, saya boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti kokurikulum di dalam dan di luar
sekolah. Melalui perancangan aktiviti, saya dapat meningkatkan lagi kemahiran murid
dalam sesuatu permainan khusus. Contohnya, jika saya ingin membawa murid-murid
sekolah saya bagi mewakili daerah dalam permainan hoki, saya akan memberikan
latihan dan panduan khas kepada murid-murid tersebut agar mereka dapat bermain
dengan lebih efektif. Ini dapat meningkatkan kemahiran murid dalam permainan hoki
dan mereka akan mengenali cara yang betul dan tepat untuk bermain hoki. Selain itu,
penganjuran aktiviti-aktiviti sebegini juga dapat memberi peluang kepada murid untuk
menerokai dunia luar dan membina hubungan baik bersama-sama orang lain dan
rakan-rakan sekalian. Pada masa yang sama, saya harus memastikan saya
menyediakan peluang yang sama rata kepada semua murid di sekolah dan tidak
menyinggung perasaan para murid lain. Melalui ini juga saya boleh mengenali murid
yang mempunyai minat dalam permainan dan membantu mereka untuk meneruskan
bakat mereka dalam sesuatu bidang sukan atau permainan. Bagi berbuat demikian,
saya perlulah mendapat pendedahan mengenai pelbagai jenis permainan dan
mendapat sekurang-kurangnya kemahiran asas permainan-permainan dominan atau
biasa dimainkan di sekolah. Selain membawa murid ke aktiviti luar, saya harus
menyediakan dan mengemaskini data-data dan membuat laporan mengenai aktiviti
supaya boleh menjadi rujukan dan panduan kepada guru lain apabila mereka
menganjurkan sesuatu aktiviti pada masa akan datang.
Seterusnya, sebagai seorang pemimpin guru, saya haruslah membina hubungan
yang positif kepada semua warga sekolah. Seorang pemimpin adalah efekktif jika dapat
bekerja bersama ahli-ahlinya. Dengan berteraskan prinsip ini, saya perlulah sentiasa
perlu menjaga dan memastikan rapo atau hubungan saya dengan guru-guru dan
semua staf di sekolah sentiasa positif. Saya perlu sentiasa peka terhadap isu-isu yang
mampu menjejaskan hubungan saya dengan guru-guru lain. Perkara ini dapat
dilaksanakan dengan sentiasa mengadakan interaksi formal dan tidak formal bersama
ahli-ahli dalam sekolah. Selain itu, saya haruslah sentiasa sedia untuk membantu guru-
guru lain tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada mereka. Ini merupakan
salah satu cara bagi menjaga hubungan yang baik dengan guru-guru lain. Selain
meningkatkan produktiviti, hubungan yang baik bersama guru-guru dapat
mengurangkan tekanan kerja yang mungkin membebankan saya. Saya akan
mempunyai satu saluran bagi meringankan tugas yang dipikul jika saya dapat
menjalinkan hubungan yang baik dan positif dengan guru-guru di sekolah.
Tambahan pula, sebagai seorang pemimpin guru, saya boleh melakukan kajian
terhadap masalah disiplin di sekolah, masalah murid dalam sesuatu subjek, kajian bagi
memantapkan lagi pengajaran guru dan lain-lain lagi. Kajian atau penyelidikan yang
dilaksanakan oleh guru boleh dinamakan sebagai penyelidikan tindakan. Kurt Lewin
(1940) berpendapat bahawa, sumbangan penyelidik dalam inkuiri tidak boleh diabaikan
jika ingin memahami dan menambah baik efesien pembelajaran atau dalam
penyelesaian sesuatu masalah. Melalui proses kajian di sekolah, saya dapat
meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dimana saya dapat mengenal pasti
masalah sebenar sehingga pengajaran seorang guru tidak memberi manfaat kepada
murid. Dengan ini, saya dapat memberi pendedahan kepada guru-guru lain dan juga
diri sendiri dalam penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
saya juga boleh mempelbagaikan kaedah yang efektif dalam pengajaran harian guru.
Kajian saya bukan sahaja memberi kesan kepada pengajaran guru, malah dapat
meningkatkan prestasi murid dan membantu murid untuk mencapai tahap cemerlang
dalam satu mata pelajaran. Saya dapat melakukan pengubahsuaian secara berterusan
bagi mengurangkan bilangan murid buta huruf dan meningkatkan pencapaian murid
pada tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya. Ini akan menambahakan lagi
modal insan di negara kita yang dapat membantu dalam pembangunan negara.
Satu lagi sumbangan yang saya dapat berikan kepada pendidikan sebagai
pemimpin guru ialah menyediakan modul pengajaran kepada para murid. Dalam sistem
pendidikan masa kini, penggunaan bahan dan media dalam pengajaran dan
pembelajaran sudah menjadi perkara yang wajib, yang mana ianya wajib digunakan
setiap kali berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran ini
merupakan alat bantu mengajar para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Apabila penggunaan bahan diberi keutamaan, penghasilan
modul dapat memberi kesan yang positif bukan sahaja kepada murid malah kepada
seluruh warga sekolah. Modul ini harus disediakan kepada murid mengikut semua aras
bagi memantapkan lagi pencapaian mereka. Contohnya, jika saya menyediakan modul
bacaan kepada murid, saya harus memilih bahan bacaan mengikut tahap murid kerana
murid yang lemah tidak dapat membaca teks yang panjang, dan murid pandai akan
menjadi bosan jika mereka diberi bahan bacaan terlalu pendek. Selain itu, modul
tersebut juga harus berkaitan dengan objektif dan kandungan pengajaran. Modul ini
harus digunakan semasa waktu P&P dan saya harus sentiasa mencatat peningkatan
murid dalam pelajaran selepas penggunaan modul tersebut. Jika modul tersebut tidak
berkesan, saya harus membuat satu lagi modul sehingga murid-murid dapat mencapai
tahap yang dikehendaki. Saya boleh berkongsi modul tersebut bersama guru-guru di
sekolah lain agar prestasi murid-murid di sekolah mereka dapat dipertingkatkan.
Tambahan pula, sebagai seorang pemimpin guru, saya harus mengajar atau
berkongsi bakat yang terdapat dalam diri saya kepada murid dan rakan sekerja yang
lain. Bakat merupakan kelebihan semulajadi yang dimiliki oleh setiap individu yang
mana perlu dikenalpasti dan dibangunkan untuk meningkatkan potensi mereka dan
orang lain. Oleh itu, saya boleh berkongsi bakat saya kepada warga lain agar mereka
dapat mempraktikkan bakat tersebut dalam diri mereka dan memanfaatkannya.
Contohnya, jika saya memiliki bakat dalam seni, saya boleh mengadakan kelas seni
selepas sekolah kepada para murid dan mengajar mereka cara yang betul untuk
melukis gambar, menggunakan warna air, cara mewarna mengikut ton dan lain-lain
berkaitan dengan bakat tersebut. Dengan ini, seseorang murid itu boleh melahirkan
bakat seni lukis dalam diri mereka. Dengan adanya bakat tambahan ini, murid-murid
boleh menceburi bakat yang telah dicungkil dan cuba untuk memperluas bakat tersebut.
Bakat yang dimiliki oleh seseorang tidak boleh dikatakan akan dimiliki oleh semua
orang. Begitu juga dengan murid-murid. Selain itu, murid juga boleh menggunakan
bakat tersebut sebagai kerja sampingan untuk mencari nafkah tambahan. Perkara ini
secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah penganguran di negara kita
kerana walaupun murid-murid tidak dapat kerja pada masa akan datang, mereka akan
menggunakan bakat mereka bagi meneruskan hidup mereka. Selain murid, saya harus
mengadakan satu kursus kepada guru dan memberi pendedahan kepada mereka
mengenai pendidikan seni. Saya boleh memberikan idea kepada guru lain dalam
proses pelaksanaan kelas seni secara lebih efektif, teknik-teknik baru dalam seni, cara-
cara penggunaan alat-alat seni agar mereka dapat mengaplikasikan dalam pengajaran
mereka. Saya juga harus menggalakkan guru-guru lain bagi mendedahkan bakat
mereka agar semua warga sekolah dapat memenuhi diri mereka dengan pelbagai
bakat.
Seterusnya, sebagai seorang pemimpin guru, saya harus menyertai pelbagai kursus
yang di anjurkan di dalam atau di luar sekolah secara sukarela. Penyertaan saya dalam
kursus bukan sahaja memberi faedah kepada saya malah dapat memberi manfaat
kepada seluruh warga sekolah. Contohnya, jika saya mengambil bahagian dalam
kursus atau motivasi yang di anjurkan Pejabat Pendidikan Daerah mengenai langkah-
langkah efektif dalam menangani masalah murid pemulihan boleh menganjurkan satu
taklimat kepada guru-guru sekolah dan berkongsi idea dan teknik-teknik yang telah
saya miliki melalui kursus yang telah disertai. Melalui ini, semua guru di sekolah dapat
tahu tentang ilmu dan cara menangani masalah murid pemulihan.. Dengan penggunaan
teknik-teknik baharu yang telah dipelajari, semua warga pendidik akan dapat menarik
minat murid dan proses pengajaran yang dilaksanakan juga tidak akan menjadi bosan
kepada mereka. Tambahan lagi, ilmu pengetahuan saya dalam bidang keguruan juga
akan meningkat.
Disamping itu, saya harus menyertai pelbagai pertandingan yang dapat membantu
dalam perkembangan modal insan negara kita. Kerajaan kita telah memperuntukkan
RM53.8 juta dalam Bajet 2014 bagi program pembangunan modal insan (Sinar Harian).
Ini menunjukkan bahawa perkembangan modal insan diutamakan dan ia merupakan
sesuatu yang perlu dilaksanakan bagi perkembangan negara dalam pelbagai aspek.
Berdasarkan tema hari guru tahun 2012, iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi
Pendidikan Negara” saya haruslah menjadi guru yang berpengetahuan, kreatif dan
inovatif dalam membuat pembaharuan dalam bidang pendidikan dan melahirkan produk
yang berkualiti bagi masa hadapan. Bidang pendidikan mesti melalui pembaharuan
agar bidang ini tidak ketinggalan jauh apabila dibandingkan dengan bidang-bidang lain.
Selain itu, bidang ini merupakan satu sistem dinamik yang memerlukan perubahan dari
semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan aspirasi negara kita. Dengan
merealisasikan hasrat ini, saya harus melibatkan diri dalam mencipta sesuatu bahan
atau kaedah baru dalam pendidikan yang dapat menyumbang sedikit sebanyak dalam
perkembangan modal insan. Hasil ciptaan saya boleh didedahkan kepada dunia luar
dengan mennyertai pertandingan seperti pertandingan inovasi dan pameran akademik.
Dengan menyertai program sebegini, ciptaan saya dapat diketahui oleh orang ramai
dan mereka boleh mengaplikasikannya kepada murid-murid atau anak mereka. Jika
ciptaan saya itu dapat memberi impak yang baik dalam pendidikan murid, ia boleh
dijadikan sebagai satu kaedah dalam pendidikan yang boleh memberi faedah secara
luas.
Sebagai seorang pemimpin guru, saya harus mengambil berat tentang masa depan
anak murid dan memastikan mereka tidak melibatkan diri dalam perkara yang tidak
sesuai dan boleh membahayakan diri mereka. Oleh itu, saya akan menganjurkan
ceramah dan taklimat motivasi bagi memberi kesedaran dan meningkatkan lagi potensi
murid dalam pendidikan. Contohnya, saya boleh menganjurkan ceramah anti dadah
kepada para murid kerana penyalahgunaan dadah di negara kita semakin meningkat
saban hari. Dadah merupakan masalah sosial paling rumit yang sedang merebak di
Negara kita. Dadah boleh dikatakan sebagai sejenis bahan yang mendatangkan
kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi
serta tingkah laku pengguna apabila digunakan. Kesan dadah kepada seseorang dapat
ditunjukan kepada murid melalui ceramah tersebut. Bukan berhenti sekadar ceramah,
saya juga akan mengendalikan minggu anti dadah dan menganjurkan pelbagai aktiviti
seperti membuat folio, mewarnakan gambar, melukis poster anti-dadah, dan saya juga
akan berusaha untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pakar yang dapat
membantu dalam perjuangan ini.
Selain ceramah, saya juga akan menganjurkan sesi motivasi kepada murid yang
dapat memberikan banyak faedah yang berguna untuk kehidupan mereka. Melalui
motivasi, murid-murid dapat mempelajari teknik-teknik dan kaedah belajar secara
berkesan. Jika murid mengenali cara atau kaedah belajar yang berkesan, mereka akan
lebih seronok untuk mengulang kaji pelajaran mereka. Ini dapat membantu murid dalam
mencapai kejayaan lebih cemerlang dalam ujian-ujian yang diduduki. Penceramah juga
akan memberikan tunjuk ajar secara intensif tentang cara mengurus masa secara
bijaksana. Dengan ini, murid-murid dapat mengurus masa mereka untuk belajar dan
juga untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar dan kokurikulum. Secara tidak langsung,
saya dapat melahirkan anak murid yang seimbang dari segi JERIS.
Seterusnya, saya sebagai pemimpin guru akan menganjurkan kelas tambahan
kepada semua murid Tahap 2. Kelas tambahan yang dilaksanakan berbentuk kelas
P&P yang akan dijalankan di luar waktu persekolahan. Bagi menjalankan kelas
tambahan, saya akan meminta pertolongan daripada guru-guru lain untuk
mengendalikan pengajaran dan pembelajaran tersebut. Kelas tambahan ini akan
diadakan mengikut aras murid dimana murid tahap rendah, sederhana dan baik dari
sesebuah kelas akan dipecahkan mengikut kumpulan dan latihan akan diberikan
mengikut tahap mereka. Dengan ini, saya juga dapat mengenal pasti masalah sebenar
murid kerana mendapat peluang untuk berbual dan dapat menyelesaikan masalah
mereka secara individu. Semasa kelas tambahan, saya akan menyediakan bahan-
bahan pembelajaran dan maklumat-maklumat tambahan yang mungkin tidak terdapat
dalam buku teks. Ini dapat meningkatkan lagi pemahaman para murid mengenai
sesuatu subjek yang dipelajari di dalam kelas. Dengan menjalankan kelas tambahan
juga, saya dapat memberikan banyak latihan tambahan yang boleh meningkatkan
keupayaan murid untuk menjawab soalan. Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi
dimana ia dapat memberi pengalaman kepada murid sebelum menghadapi peperiksaan
sebenar. Selain itu, kelas tambahan mampu membendung murid daripada terlibat
dalam gejala-gejala negatif seperti melepak, bergaul dengan rakan, menonton
televisyen dan sebagainya. Hal ini kerana, masa yang terluang akan diisi dengan waktu
pembelajaran iaitu semasa menghadiri kelas tambahan di sekolah. Ibu bapa juga tidak
perlu risau akan keselamatan anak mereka, kerana murid-murid akan sentiasa berada
dibawah perhatian guru.
Tambahan pula, saya juga akan merancang projek-projek yang memberi faedah
kepada murid sekolah. Projek-projek ini akan melibatkan semua warga sekolah dan
akan dijalankan di bawah tiga komponen iaitu unit beruniform, kelab dan persatuan dan
sukan dan permainan. Contohnya, saya akan melaksanakan projek ‘Bumi Hijau’ di
sekolah sebagai satu aktiviti pendidikan yang menitik beratkan pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar dalam aspek kokurikulum dan seterusnya meningkatkan
tahap kesedaran warga sekolah tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Penganjuran projek alam semula dapat menggalakkan warga sekolah melaksanakan
aktiviti mesra alam dengan berkesan dan juga melahirkan warga sekolah yang
mempraktikkan amalan hidup lestari. Seterusnya, saya juga dapat merancang projek
pemuliharaan dan pemeliharaan taman-taman di sekolah di persekitaran sekolah
seperti Taman Herba, Taman Kemahiran Hidup, Taman Persatuan Sains & Matematik,
Taman Persatuan Agama Islam dan Taman Kokurikulum yang akan menjadikan
persekitaran sekolah lebih cantik dan bebas daripada kekotoran. Dengan mewujudkan
taman-taman ini, secara tidak langsung saya dapat memperkembangkan ilmu
pengetahuan murid. Di samping itu, penglibatan guru dan pelajar dalam menyelenggara
taman-taman tersebut akan memupuk nilai murni ‘cintai alam sekitar’, menggalakkan
kerjasama dan meningkatkan tahap kesedaran di kalangan warga sekolah semasa
melaksanakan aktiviti mesra alam. Saya juga akan mengadakan projek kitar semula
sebagai satu sumbangan kepada kerajaan dalam pelupusan sampah. Saya akan
memberi kesedaran kepada murid bahawa kitar semula adalah sangat penting.
Seterusnya, sebagai seorang pemimpin guru, saya juga akan menganjurkan kem
kepimpinan kepada murid. Kepimpinan merupakan satu proses yang dilakukan oleh
seorang pengurus untuk mempengaruhi orang lain iaitu pengikutnya agar mereka
melaksanakan tugas yang diberikan bagi mencapai matlamat atau objektif satu
kumpulan atau organisasi. Melalui kem kepimpinan saya dapat membentuk disiplin
murid dari peringkat awal. Disiplin merupakan perkara asas untuk mencapai kejayaan
dalam hidup. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti berkawad, beratur semasa
mengambil makanan, tunggu giliran untuk mandi akan menanamkan displin diri murid
secara tidak langsung. Selain itu, murid juga akan menjadi lebih bertanggungjawab
terhadap amanah yang diberikan kepada mereka. Masyarakat yang memiliki disiplin
dan tanggungjawab yang baik tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial dan akan
menghulurkan tangan kepada pembangunan negara. Melalui kem ini juga saya dapat
memperkukuhkan integrasi nasional dimana murid daripada berbilang kaum,
kebudayaan dan agama dapat dihimpunkan sekali bagi menyuburkan perpaduan kaum.
Semasa berada dalam kem ini, murid-murid akan melakukan kebanyakkan kerja
bersama-sama rakan mereka. Ini membantu mereka dalam pemahaman pelbagai
budaya dan agama rakan-rakan lain.
Sebagaimana yang tekah dihuraikan; guru adalah pendidik dan pengasuh kanak-
kanak. Sebagai seorang guru saya harus memainkan peranan sebagai menyebar ilmu
pengetahuan dan kebudayaan bangsa. Selain itu, guru merupakan pelita kepada murid-
muridnya. Jadi saya haruslah mempunyai segala sifat dan kualiti yang murni dan
bernilai seperti mana yang dihuraikan di atas. Guru haruslah menyemai dam memupuk
sifat yang positif dalam usaha menjalankan tugasnya bersamaan dengan seorang
pendidik, pengasuh serta penyebar ilmu pengetahuan dan kebudayaan negara. Hanya
guru yang memiliki sifat dan kualiti yang murni dan bernilai sahaja dapat menjalankan
tugas dan memikul tanggungjawab dengan sempurna dan penuh dedikasi. Saya
berharap agar dapat menjadi guru yang mempunyai sifat-sifat baik dan sentiasa
bertungkus lumus bagi melahirkan generasi yang merupakan tiang negara pada masa
hadapan.