“penulisan laporan sesi kaunseling individu”

37
1.0 PENGENALAN Masalah disiplin di kalangan murid merupakan isu yang hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak dan didapati semakin meruncing. Disiplin adalah satu eleman yang penting di dalam menentukan kejayaan sesuatu sistem (Sofian, Habibah, Noreen, Rahil, Samsilah, Maria & Maimunah, 2005). Beberapa kes pergaduhan telah banyak dilaporkan. Zaleha (n.d) merekodkan empat orang pelajar perempuan terlibat kes buli digantung serta merta. Perkara yang sama juga dilaporkan di Alor Setar (2011), dimana lima pelajar ditahan kerana memukul seorang rakan hingga mengakibatkan kecederaan. Ini jelas membuktikan persekitaran bilik darjah di Malaysia juga tidak lari dari masalah pergaduhan pelajar. Pengurusan bilik darjah menurut Noraini & Shuki (2009), melibatkan kemahiran guru untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif, hubungan yang baik di dalam kelas, pemupukan motivasi diri dan pengurusan disiplin yang baik. Menurut Kamaruddin (2010), persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dapat menarik perhatian murid di dalam kelas. Merujuk pada Teori Bimbingan dan Kaunseling Pemusatan Perorangan oleh Carl Rogers, manusia mempunyai keupayaan diri untuk mengembang dengan positif jika didedahkan dengan situasi yang positif dan memberansangkan serta mendapat keperluan asas mereka (Myint, Luordusamy, Quek & Angela, 2005). Ini bertujuan mengembangkan tahap kendiri murid dengan cara memenuhi empat keperluan psikologi mereka iaitu keperluan kasih sayang, mempunyai kuasa dan kawalan, kebebasan dan keperluan keseronokan (Haliza & Samuel, 2009). Penulisan ini akan memberi tumpuan kepada Teori Pemusatan Perorangan Humanistik yang digunakan semasa menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling bersama seorang klien. Perbincangan yang lebih mendalam dan kritikal dimantapkan dengan melihat 1/27

Upload: salwa-samsudin

Post on 11-Jan-2017

4.214 views

Category:

Education


45 download

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALAN

Masalah disiplin di kalangan murid merupakan isu yang hangat diperkatakan oleh

pelbagai pihak dan didapati semakin meruncing. Disiplin adalah satu eleman yang penting di

dalam menentukan kejayaan sesuatu sistem (Sofian, Habibah, Noreen, Rahil, Samsilah,

Maria & Maimunah, 2005). Beberapa kes pergaduhan telah banyak dilaporkan. Zaleha (n.d)

merekodkan empat orang pelajar perempuan terlibat kes buli digantung serta merta. Perkara

yang sama juga dilaporkan di Alor Setar (2011), dimana lima pelajar ditahan kerana

memukul seorang rakan hingga mengakibatkan kecederaan. Ini jelas membuktikan

persekitaran bilik darjah di Malaysia juga tidak lari dari masalah pergaduhan pelajar.

Pengurusan bilik darjah menurut Noraini & Shuki (2009), melibatkan kemahiran guru

untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif, hubungan yang baik di dalam

kelas, pemupukan motivasi diri dan pengurusan disiplin yang baik. Menurut Kamaruddin

(2010), persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dapat menarik perhatian murid di

dalam kelas. Merujuk pada Teori Bimbingan dan Kaunseling Pemusatan Perorangan oleh

Carl Rogers, manusia mempunyai keupayaan diri untuk mengembang dengan positif jika

didedahkan dengan situasi yang positif dan memberansangkan serta mendapat keperluan

asas mereka (Myint, Luordusamy, Quek & Angela, 2005). Ini bertujuan mengembangkan

tahap kendiri murid dengan cara memenuhi empat keperluan psikologi mereka iaitu

keperluan kasih sayang, mempunyai kuasa dan kawalan, kebebasan dan keperluan

keseronokan (Haliza & Samuel, 2009). Penulisan ini akan memberi tumpuan kepada Teori

Pemusatan Perorangan Humanistik yang digunakan semasa menjalankan sesi bimbingan

dan kaunseling bersama seorang klien. Perbincangan yang lebih mendalam dan kritikal

dimantapkan dengan melihat kemahiran-kemahiran yang digunakan semasa melaksanakan

sesi kaunseling ini.

1/27

2.0 SESI KAUNSELING BERSAMA KLIEN

Sebelum saya menceritakan dengan lebih lanjut sesi kaunseling saya bersama klien

saya, saya ingin memberikan sedikit info berkaitan latar belakang klien yang telah ditemui.

Klien saya merupakan seorang murid lelaki berumur 12 tahun, yang bersekolah di SK

Taman Desa, Bandar Country Homes. Klien ini dari kelas 6 Uranus, iaitu kelas ketujuh

daripada lapan buah kelas pada setiap peringkat darjah. Saya mengesan masalah disiplin

klien ini daripada hari pertama saya memasuki kelas ini lagi. Sepanjang empat minggu

berada di sekolah berkenaan, pelbagai maklumat dan informasi yang saya perolehi daripada

warga sekolah berkenaan klien tersebut.

Klien ini mempunyai latar belakang keluarga yang berpendidikan dan hidup dalam

keadaan ekonomi keluarga yang sederhana. Ini dikategorikan berdasarkan paras garis

keminkinan di Malaysia dan berdasarkan pendapatan bulanan keluarganya. Ini merujuk

kepada Unit Perancang Ekonomi yang dipetik dari Kementerian Pembangunan Wanita,

Keluarga dan Masyarakat (2014), Paras Garis Kemiskinan Tahun 2012 selaras dengan

Rancangan Ekonomi Kesepuluh (RMK-10), Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan yang

telah ditetapkan untuk isi rumah miskin tegar berdasarkan kepada kiraan di atas adalah

RM520 seisi rumah.

Berdasarkan rekod disiplinnya yang kurang baik, saya telah memilih klien ini sebagai

responden saya. Saya telah menjalankan satu sesi kaunseling individu bersamanya. Seperti

yang dinyatakan oleh Cottle & Downie (1970, seperti yang dinyatakan oleh Syarif, Roslee &

Hamdan, 2006) ianya bagi membantu klien mamahami diri sendiri, menerima masalah yang

dihadapi, sehingga dia membuat pertimbangan dan mengambil keputusan bagi mengatasi

masalah hidupnya.

Berikut ialah sesi dialog yang telah dijalankan bersama klien tersebut. Kaunselor

merujuk kepada saya sebagai guru pembimbing manakala klien merujuk kepada murid

tersebut.

2/27

Sesi 1Hari : Jumaat

Tarikh : 07 Februari 2014

Tempoh masa : 30 minit

Kaunselor : Assalammualaikum, Adi. Adi sudah makan?

Klien : Dah cikgu.

Kaunselor : Sekarang mata pelajaran apa? Ada cikgu di dalam kelas?

Klien : Sekarang masa Pendidikan Seni, saya dah minta izin cikgu Sarah

untuk keluar kelas. Kenapa cikgu panggil saya?

Kaunselor : Baiklah Adi, duduk elok-elok, jangan takut, cikgu panggil Adi ini bukan

untuk marah Adi atau nak hantar Adi ke bilik disiplin. Cikgu nak jumpa

Adi kerana cikgu nak berkenalan dengan Adi. Boleh cikgu berkenalan

dengan Adi?

Klien : Boleh. Kenapa cikgu nak berkenalan dengan saya?

Kaunselor : Cikgu lihat Adi ini murid yang baik, jadi cikgu nak kenal dengan Adi.

Boleh cikgu tahu Adi ada berapa orang bilangan adik beradik?

Klien : Lima orang cikgu. Saya anak nombor dua.

Kaunselor : Jika Adi anak ke dua, adik beradik Adi yang sulung lelaki atau

perempuan?

Klien : Saya ada abang lelaki dan tiga orang adik perempuan.

Kaunselor : Oh (Mengangguk). Berapa umur abang dan adik perempuan Adi?

Klien : Abang saya berumur lima belas tahun, tingkatan tiga. Adik saya

nombor tiga darjah empat, yang lagi dua orang saya tak tahu, mereka

masih kecil.

Kaunselor : Adik perempuan Adi sekolah dimana?

Klien : Sekolah di sini la, dia duduk kelas 4 Zuhrah.

3/27

Kaunselor : Baiklah. Adi selalu bawa duit belanja pergi sekolah berapa ringgit?

Klien : Selalunya ayah bagi RM10.

Kaunselor : RM10 sehari? Banyaknya Adi bawak duit belanja pergi sekolah. Adi

guna duit tu sampai habis ke?

Klien : Saya kongsi dengan adik saya cikgu. Adik saya akan rehat dahulu,

kemudian baki duit tersebut akan diberikan kepada saya. Kadang-

kadang habis, kadang-kadang tak juga.

Kaunselor : Ok baiklah cikgu faham. Boleh cikgu tahu, ayah Adi kerja apa? Ibu

bekerja atau tidak?

Klien : Ayah kerja sendiri, ibu kerja dekat Damansara.

Kaunselor : Baiklah, jadi setiap kali balik dari sekolah, siapa datang jemput Adi?

Klien : Saya balik jalan kaki je dengan adik saya. Rumah saya kat Apartmen

Raya.

Kaunselor : Apartment Raya tu jauh ke dekat? Berapa minit dari sekolah?

Klien : Tu dekat je, dah selalu jalan, 15 minit sampai la jalan kaki.

Kaunselor : Balik sekolah nanti, siapa ada di rumah?

Klien : Tiada siapa. Adik saya pergi sekolah agama. Abang saya keluar

biasanya. Kenapa cikgu?

Kaunselor : Kalau begitu, Adi makan tengahari dimana? Siapa masakkan?

Klien : Saya beli makanan kat kedai la cikgu. Duit ayah bagi belanja tu, saya

beli nasi kat kedai kat bawah rumah. Tapi kadang-kadang saya tak

makan pun.

Kaunselor : Kenapa tak makan?

Klien : Kalau saya malas nak beli, saya tak makan la.

Kaunselor : Adik-adik Adi yang lain siapa jaga? Rumah Adi ada bibik ke?

Klien : Tak la. Ibu hantar adik kat rumah jiran. Jiran tolong jagakan adik.

Kaunselor : Ayah Adi kerja sendiri, kerja apa? Adi tahu tak?

4/27

Klien : Ayah kerja jual kereta. Ayah ada kedai sendiri.

Kaunselor : Ibu Adi kerja apa?

Klien : Tak tahu, ibu kerja ofis.

Kaunselor : Selalunya ibu dan ayah balik rumah jam berapa?

Klien : Tak tentu. Kalau awal, awal la. Ayah balik petang. Ibu balik pukul

lapan malam selalunya.

Kaunselor : Setiap petang lepas sekolah Adi buat apa? Main bola dengan kawan?

Klien : Tak la. Saya selalu pergi memancing. Saya tak suka main bola.

Kaunselor : Adi memancing dengan siapa? Ayah dan ibu tahu tak?

Klien : Dengan kawan la. Ayah tahu saya suka memancing.

Kaunselor : Jauh ke dekat tempat memancing tu?

Klien : Kat belakang rumah je cikgu. Jalan nanti nampak la sungai.

Kaunselor : Adi, lepas ini kalau nak pergi memancing pastikan ibu dan ayah tahu.

Jika terjadi apa-apa senang keluarga nak cari. Dan pastikan jangan

pergi berseorangan. Bahaya tu, cikgu risau.

Klien : Tak apa la cikgu, saya dah biasa memancing kat situ.

Kaunselor : Adi tak pergi bersama abang ke memancing?

Klien : Tak la. Abang saya tak suka memancing. Dia selalu keluar je.

Kaunselor : Abang keluar pergi mana?

Klien : Tak tahu. Dia jalan jauh-jauh. Kadang-kadang pergi KL.

Kaunselor : Adi rapat tak dengan abang?

Klien : Biasa je.

Kaunselor` : Adi ada apa-apa nak kongsi dengan cikgu ke? Mungkin ada yang

cikgu boleh tolong.

Klien : Saya tak suka abang saya. Dia tu berlagak. Suka pakai barang

mahal-mahal.

5/27

Kaunselor : Mana abang Adi dapat duit beli barang mahal-mahal?

Klien : Dia minta dengan ibu dan ayah la. Dia selalu beli barang mahal-

mahal. Beli kasut Dr Martin, beli jam mahal, baju mahal.

Kaunselor : Adi tak suka abang sebab ayah dan ibu tak belikan Adi barang mahal-

mahal juga ke?

Klien : Tak la. Saya tak suka sangat. Saya minta dengan ibu jam je yang

paling mahal. Saya paling sayang jam ini. Abang saya selalu cakap

saya tiada gaya sebab tak beli baju macam dia. Saya tak suka.

Kaunselor : Tak apa Adi. Gaya Adi sekarang sesuai dengan umur Adi. Cikgu suka

gaya Adi sekarang, kemas dan bersih. Adi jangan ambil hati dengan

abang Adi ye.

Klien : Dia memang suka ejek saya. Saya rapat dengan adik saya je.

Kaunselor : Oh yeke (mengangguk). Adi rapat dengan adik yang mana?

Klien : Dengan semua adik saya. Saya paling suka adik nombor empat saya.

Dia comel.

Kaunselor : Oh yeke siapa nama adik Adi tu?

Klien : Batrisya. Saya selalu jaga dia. Kadang-kadang saya yang buatkan dia

susu kalau dia menangis.

Kaunselor : Bagusnya Adi. Cikgu bangga Adi ada rasa tanggungjawab dan

perasaan sayang. Begitu la Adi, dalam keluarga kita mesti tolong

menolong dan berkasih sayang. Baru seronok bersama.

Klien : Mestila sayang cikgu, dia kan adik saya.

Kaunselor : Adi, petang ini ada kelas tambahan ke?

Klien : Petang ini ada, mula pukul 2. Saya tak balik.

Kaunselor : Baiklah kalau macam tu, Adi masuk kelas dulu lah. Lagi 5 minit dah

habis waktu sekolah, jadi Adi boleh rehat dan makan sebelum kelas

tambahan bermula.

Klien : Cikgu, kenapa cikgu tanya saya semua tadi?

6/27

Kaunselor : Tak ada apa pun Adi, saja cikgu nak kenal dan tolong Adi. Selepas ini,

Adi jangan la segan-segan nak jumpa cikgu. Adi boleh datang ke

tempat cikgu dan kongsi masalah dengan cikgu.

Klien : Ok terima kasih cikgu.

Sesi yang pertama ini saya lebih memfokuskan kepada perkenalan bersama klien

bagi membina hubungan bersamanya. Saya hanya menyentuh sedikit sahaja masalah

peribadi klien dan tidak memfokuskan masalah besar klien. Ini bertujuan mengelakkan klien

berasa terancam atau tidak selesa semasa sesi tersebut. Oleh yang demikian saya

mengambil keputusan untuk berkenalan dengan klien sebelum membantu beliau

menguruskan masalah disiplinnya.

7/27

Sesi 2Hari : Rabu

Tarikh : 12 Februari 2014

Tempoh masa : 40 minit

Klien : Assalammualaikum, cikgu. Kenapa cikgu nak jumpa saya?

Kaunselor : Waalaikumsalam Adi. Silakan duduk. Adi dah makan?

Klien : Dah cikgu.

Kaunselor : Adi pergi memancing ke petang semalam? (Tersenyum)

Klien : Saya pergi memancing petang semalam cikgu. Dengan Hasif.

Kaunselor : Banyak ke Adi dapat ikan?

Klien : Tak banyak pun cikgu. Sikit je. Lima ekor sahaja. Saya bawak balik

rumah, ibu saya masak.

Kaunselor : Oh seronoknya. Tentu ibu Adi suka. Semalam cikgu nampak Adi kena

berdiri diluar kelas, boleh cikgu tahu kenapa Adi kena berdiri di luar

kelas?

Klien : Saya kena denda dengan cikgu Ananthy.

Kaunselor : Kenapa cikgu Ananthy denda awak?

Klien : Saya tak siapkan kerja matematik.

Kaunselor : Mengapa Adi tak siapkan kerja matematik tu, Adi tak ingat ke cikgu

Ananthy bagi kerja rumah?

Klien : Saya tak reti la cikgu nak buat. Matematik susah.

Kaunselor : Baiklah Adi, boleh kongsi dengan cikgu, kenapa ramai guru-guru

mengadu Adi selalu tak siapkan kerja sekolah, bising dalam kelas,

usik kawan dalam kelas? Betul ke aduan ini semua?

Klien : Saya memang jahat cikgu. Dulu masa saya darjah tiga, darjah empat

saya selalu bergaduh. Semua cikgu tahu.

8/27

Kaunselor : Cikgu percaya mesti ada sebab ada berselisih pendapat dengan

kawan-kawan dan akhirnya menjadi pergaduhan. Boleh cikgu tahu

kenapa Adi bergaduh?

Klien : Saya pun tak tahu kenapa, saya tak boleh orang usik saya. Saya

lawan la balik.

Kaunselor : Adi sepatutnya tak boleh bertindak macam tu, kena cakap elok-elok.

Bergaduh kan tak selesaikan apa-apa masalah.

Klien : Lepas dari tu, semua cikgu anggap saya jahat. Sebab tu saya selalu

bergaduh. Semua orang ingat saya jahat.

Kaunselor : Cikgu tak anggap Adi macam tu pun. Jadi mana ada cikgu yang

anggap Adi jahat. Adi tak jahat, Adi cuma perlukan bimbingan sahaja.

(Senyum)

Klien : Iye la cikgu. Macam dalam kelas Sains, cikgu selalu asingkan meja

saya dari kawan-kawan lain. Saya kena duduk sorang-sorang kat

belakang sekali. Lepas tu tak bagi saya kertas. Bila saya pergi kat

meja kawan lain nak kongsi, cikgu cakap tak payah kongsi dengan

saya, biarkan je dia. Dia tak bagi saya belajar sekali.

Kaunselor : Oh kalau begitu cikgu nampak Adi memang semangat nak belajar.

Tetapi kenapa pula cikgu asingkan Adi? Adi nak mengambil UPSR

tahun ini, Adi tak boleh main-main dah dalam kelas.

Klien : Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya tak

boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM boleh la

sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya, bila saya

duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya tanya kenapa

saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya melawan.

Kaunselor : Ok baiklah Adi, cikgu nampak Adi memang nak belajar. Cikgu suka

semangat Adi yang tak mudah mengalah tu. Adi kena kuat semangat.

Mesti ada sebab kenapa cikgu Adi buat macam tu. Boleh Adi berjanji

dengan cikgu sesuatu?

Klien : Janji apa cikgu?

9/27

Kaunselor : Selepas ini, Adi jangan melawan apa pun yang cikgu cakap. Tak kisah

siapa pun cikgu tersebut. Kalau cikgu marah pun Adi diam je, jangan

melawan. Allah sentiasa bagi kelebihan pada hamba-Nya yang

bersabar. Jadi Adi sebagai murid, Adi kena belajar dan jangan

melawan. Biarpun bukan salah Adi. InsyaAllah nanti cikgu-cikgu akan

sayang Adi.

Klien : Boleh ke macam tu cikgu?

Kaunselor : Mesti la boleh Adi. (Tersenyum). Cikgu percaya Adi boleh. Adi pun

mesti percaya Adi boleh. Adi kena buktikan pada semua orang Adi ini

anak yang baik. Ok cuba Adi tengok kata-kata hikmat ni.

Klien : “When someone tells you, you can’t, turn around and say, ‘Watch

Me!’”

Kaunselor : Adi tahu apa maksud kata hikmah tu?

Klien : Tak boleh berputus asa ke cikgu?

Kaunselor : Lebih kurang macam tu. Tapi sebenarnya ia lebih kepada motivasi diri

untuk menggerakkan diri dan membuktikan pada semua orang

bahawa kita boleh berjaya. Ramai orang yang tak nampak kehebatan

diri kita, kebolehan diri kita, mungkin disebabkan ia masih

bersembunyi dalam diri kita. Inilah masanya kita keluarkan

kehebatankita dan buktikannya. Adi tahu tak cikgu suka kata-kata

hikmah ni. Setiap kali cikgu rasa tak kuat dan hampir putus asa, cikgu

akan imbas kembali impian cikgu dan fikir cara untuk mencapainya.

Jadi cikgu yakin Adi pun pasti boleh.

Klien : Saya ada impian sebenarnya cikgu, saya selalu dimarahi oleh ayah

saya kerana kedegilan saya. Saya tak tahu kenapa saya degil sangat.

Semua orang cakap saya nakal, saya tahu. Saya teringin untuk

buktikan pada keluarga saya, saya anak yang berguna.

Kaunselor : Peperiksaan UPSR dah makin hampir, Adi pasti boleh buktikan pada

ibu dan ayah.

Klien : Cikgu, cikgu boleh ajar saya matematik?

Kaunselor : Kelas tambahan matematik Adi datang tak? Siapa ajar?

10/27

Klien : Cikgu Ananthy ajar. Saya datang tapi saya tak boleh nak faham.

Matematik terlalu sukar bagi saya.

Kaunselor : Baiklah Adi, Adi betul-betul mahu belajar matematik?

Klien : Betul cikgu. Saya nak belajar matematik. Saya nak buktikan pada

keluarga. Saya sebenarnya mampu lakukan.

Kaunselor : Adi, InsyaAllah awak boleh. Cikgu akan bantu awak. Awak perlu yakin

dengan diri sendiri. Dan Adi perlu tahu, tiada siapa yang akan

tentukan kejayaan hari esok kita, jika bukan diri kita sendiri.

Klien : Cikgu, terima kasih. Tak pernah ada orang yang mahu memahami

saya. Saya berasa lebih yakin sekarang.

Kaunselor : Adi, cikgu percaya Adi murid yang baik, anak yang baik. Sebab tu

cikgu tak mahu Adi sia-siakan masa depan Adi.

Klien : Cikgu selepas ini, saya berazam untuk berubah. Saya tak mahu

susahkan ibu bapa saya lagi, susahkan guru-guru lagi.

Kaunselor : Adi, jika Adi perlukan pertolongan cikgu, Adi boleh datang kepada

cikgu bila-bila masa sahaja. Kerusi cikgu ni sentiasa menunggu

kedatangan anak-anak murid yang ingin berkongsi masalah mereka.

Cikgu pasti cikgu akan berbangga dengan Adi. (Senyum)

Klien : Terima kasih cikgu. Saya nak minta izin masuk ke kelas boleh cikgu?

Kaunselor : Boleh Adi, silakan.

Pada sesi kedua ini, saya dan klien sudah boleh berbual panjang dan klien kelihatan

sangat selesa bersama kaunselor. Oleh itu murid boleh berkongsi masalahnya bersama

kaunselor dan memudahkan kaunselor untuk membantu klien.

11/27

3.0 KEBERKESANAN PENGAPLIKASIAN TEORI & KEMAHIRAN KAUNSELING

3.1) Pengaplikasian Teori Pemusatan Perorangan - Humanistik

Sepanjang menjalankan sesi kaunseling ini, pelbagai maklumat dapat saya

kumpulkan berkenaan klien tersebut. Antara masalah-masalah ketara yang dihadapi klien

ialah sering bergaduh di sekolah dan tidak berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran

didalam kelas. Maklumat ini diperolehi dari guru-guru sekolah ini dan dari guru disiplin SK

Taman Desa, En. Mohd Yusuf. Saya difahamkan, Adi merupakan seorang murid yang agak

nakal dan sering bergaduh. Di dalam kelas juga, murid ini sering menimbulkan masalah

disiplin seperti bergaduh, dan tidak menghormati kawan-kawan sekelas. Ada juga beberapa

orang guru yang menyatakan, murid ini tidak berminat mengikuti pembelajaran di dalam

kelas dan sering mengganggu rakan yang lain. Oleh yang demikian, saya mengambil

langkah untuk menyelami masalah yang dihadapi oleh murid tersebut dengan menjalankan

beberapa sesi kaunseling bersamanya. Saya juga telah menggunakan pendekatan yang

telah diperkenalkan oleh Carl Rogers melalui teorinya, Teori Pemusatan Perorangan

(Humanistik).

Teori Pemusatan Perorangan menurut Suradi (1997), manusia dianggap mempunyai

sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk “berfungsi penuh”, iaitu untuk hidup

dengan seberapa berkesan yang boleh. Ini disokong oleh Khoo (2014), yang menyatakan

manusia mempunyai desakan semulajadi untuk memajukan diri dan sentiasa bergerak

kearah kesejahteraan diri. Oleh yang demikian, teori ini menekankan seseorang yang

dibenarkan untuk berkembang dengan bebas akan berkembang dengan sempurna dan

akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Jika diberikan atau disediakan dengan

persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke arah nirwana

diri menjadi apa sahaja yang dia mahu (Sipora dan Ruhaya, 2008).

Sikap kaunselor amat penting semasa menjalankan sesi kaunseling. Menurut Suradi

(1997), kaunselor harus menyedari beliau dipandu oleh hipotesis bahawa “individu

mempunyai cukup keupayaan untuk menghadapi dengan membina semua aspek

kehidupannya yang terpendam dan dia boleh di bawa keluar ke alam kesedaran”. Oleh itu

kaunselor perlu membantu klien mambuat keputusannya sendiri dengan membantunya

melihat masalah tersebut dengan sudut yang lebih baik. Malah menurut Rogers (n.d, dalam

Khoo, 2014) manusia sepatutnya diberikan hak untuk mempunyai pendapat dan pemikiran

dan juga mengawal destinasi hidup, bebas mengejar minat sendiri asalkan tidak

mengganggu hal orang lain. Ini berkait rapat dengan objektif kaunseling itu sendiri untuk

12/27

membebaskan individu daripada kebimbingan dan keraguan yang menghalang individu

daripada memperkembangkan potensinya. Justeru, kaunseling yang berasaskan teori

Pemusatan Perorangan mampu membimbing klien mencari sumber kekuatan diri yang

maksimum sama ada secara dalaman dan luaran (Satir, 1991; seperti yang dinyatakan

dalam Khoo, 2014).

Disiplin Adi semasa di dalam kelas merupakan salah satu masalah yang dihadapi

oleh guru-guru. Disebabkan guru-guru kerap mengadu Adi tidak berminat semasa sesi

pembelajaran, Adi kerap mengusik kawannya dan menimbulkan masalah di dalam kelas.

Namun setelah menjalankan sesi kaunseling, saya mendapati Adi menjadi begitu

disebabkan guru-guru tidak memberikan perhatian terhadapnya. Malah persepsi warga

sekolah terhadapnya juga telah menghukum dirinya sendirinya dan di asingkan dari

rakannya. Rekod dialog dari sesi kaunseling tersebut menunjukkan Adi mempunyai

keinginan untuk mengikuti pembelajaran, namun layanan yang diterima dari guru-guru

menyebabkannya menjadi bosan dan terasing.

13/27

Klien : Iye la cikgu. Macam dalam kelas Sains, cikgu selalu asingkan

meja saya dari kawan-kawan lain. Saya kena duduk sorang-

sorang kat belakang sekali. Lepas tu tak bagi saya kertas. Bila

saya pergi kat meja kawan lain nak kongsi, cikgu cakap tak payah

kongsi dengan saya, biarkan je dia. Dia tak bagi saya belajar

sekali.

Kaunselor : Oh kalau begitu cikgu nampak Adi memang semangat nak belajar.

Tetapi kenapa pula cikgu asingkan Adi? Adi nak mengambil UPSR

tahun ini, Adi tak boleh main-main dah dalam kelas.

Klien : Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya

tak boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM

boleh la sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya,

bila saya duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya

tanya kenapa saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya

melawan.

3.2) Kemahiran Kaunseling yang Digunakan

Dalam kemahiran kaunseling pemusatan perorangan, yang paling ditekankan ialah

perhubungan antara kaunselor dengan klien sepanjanjg proses kaunseling tersebut.

Seseorang kaunselor juga harus mengikuti garis panduan semasa berada dalam

perhubungan kaunseling. Menurut Haris (2004), dalam proses membina hubungan teraputik,

kaunselor perlulah menjadi pemudahcara kepada permasalahan yang dihadapi klien dan

berusaha mewujudkan suasana yang dapat menimbulkan perasaan bebas pada klien untuk

meneroka dirinya dan masalahnya.

Terdapat tujuh jenis kemahiran kaunseling yang digunakan dalam Teori Pemusatan

Perorangan ini, namun tidak kesemua kemahiran tersebut saya aplikasikan. Antaranya

ialah, soalan terbuka dan tertutup, dorongan minima, parafrasa, rumusan, refleksi perasaan,

konfrontasi dan memfokus. Hanya beberapa kemahiran sahaja yang telah saya aplikasikan

dan melihat keberkesanannya terhadap klien tersebut.

Kemahiran pertama yang saya aplikasikan ialah dengan mengemukakan soalan

terbuka dan tertutup kepada klien saya bagi mendalami permasalahannya. Soalan terbuka

memberi kebebasan kepada klien untuk merespon kepada soalan yang diajukan (Khoo,

2014). Semasa bersama klien, saya mengemukan soalan terbuka bagi mengetahui dengan

lebih banyak perasaan dan masalah tersembunyi mereka. Dibawah ini menunjukkan satu

potongan dialog yang menunjukkan penggunaan kemahiran penyoalan soalan terbuka:

Namun soalan tertutup menurut Sapora & Ruhayu (2008), ianya mengehadkan

respon klien terhadap soalan yang bakal diujarkan guru. Dalam erti kata lain, soalan tertutup

hanya menjerumus kepada soalan yang ditanya sahaja tanpa perkembangan terhadap

soalan lain.

14/27

Kaunselor : Baiklah Adi, boleh kongsi dengan cikgu, kenapa ramai guru-guru

mengadu Adi selalu tak siapkan kerja sekolah, bising dalam

kelas, usik kawan dalam kelas? Betul ke aduan ini semua?

Klien : Saya memang jahat cikgu. Dulu masa saya darjah tiga, darjah

empat saya selalu bergaduh. Semua cikgu tahu.

Pengaplikasian kemahiran teknik-teknik kemahiran dengan dorongan yang minima

yang diterima oleh guru amat sedikit. Dorongan minima merupakan respon yang mengikuti

dan memahami perkara yag di sampaikan oleh klien (Sapora & Ruhaya, 2008). Kemahiran

ini turut memberi galakan kepada klien agar meluahkan lagi masalah dengan lebih

mendalam lagi. Contohnya, dorongan minima ini seperti anggukan kepala, perkataan “ya,

teruskan”, “Saya paham”.

Semasa bersama sesi kaunseling bersama Adi, kaunselor amat peka terhadap

perubahan murid-murid. Setelah menganalisi dan memahami Adi, guru memilih untuk

mengetengahkan beberapa situasi kaunseling yang menunjukkan penerapan kemahiran

sesi di sekolah.

Selain daripada teknik dan kemahiran di atas, saya juga menggunakan kemahiran

prafrasa. Prafrasa bermaksud, pengulangan sesuatu perkara yang telah dikemukakan oleh

klien secara ringkas dan tepat (Khoo, 2014).Pengulangan ini bertujuan agar menyemak

kefahaman kaunselor yang sepenuhnya mengenai masalah yang disampaikan.

15/27

Klien : Dia memang suka ejek saya. Saya rapat dengan adik saya je.

Kaunselor : Oh yeke (mengangguk). Adi rapat dengan adik yang mana?

Klien : Saya kongsi dengan adik saya cikgu. Adik saya akan rehat dahulu,

kemudian baki duit tersebut akan diberikan kepada saya. Kadang-

kadang habis, kadang-kadang tak juga.

Kaunselor : Ok baiklah cikgu faham. Boleh cikgu tahu, ayah Adi kerja apa? Ibu

bekerja atau tidak?

Klien : Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya

tak boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM boleh

la sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya, bila

saya duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya tanya

kenapa saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya melawan.

Kaunselor : Ok baiklah Adi, cikgu nampak Adi memang nak belajar. Cikgu suka

semangat Adi yang tak mudah mengalah tu. Adi kena kuat

semangat. Mesti ada sebab kenapa cikgu Adi buat macam tu.

Boleh Adi berjanji dengan cikgu sesuatu?

Selain itu, saya turut menggunakan kemahiran refleksi perasaan. Refleksi perasaan

ini bermaksud kaunselor cuba meyakinkan klien bahawa beliau memahami perasaannya

dan mendalami bersama masalahnya (Syarif, Roslee & Hamdan, 2006). Hal ini turut

dinyatakan oleh Khoo (2014), refleksi perasaan merupakan salah satu cara kaunselor untuk

meyakinkan klien yang menunjukkan kaunselor memahami apa yang dirasainya. Apabila

klien menyedari kaunselor memahami apa yang dilaluinya, klien akan menceritakan dengan

lebih mendalam perasaan terpendam mereka (Khoo, 2014). Refleksi perasaan ini menurut

Shoba (2007), membayangkan semula perasaan klien dan meletakkan diri dalam situasi

yang dibayangkan supaya dapat mendalami perasaan yang dihadapi oleh klien tersebut.

Kaunselor akan menyebut semula apa yang sudah diperkatakan atau disebut oleh klien

dalam satu rangkaian kat ayang pendek dan padat. Kaunselor sebagai agen pembayang

yang mencerminkan perasaan atau keseluruhan isi yang diberitahu oleh klien. Contohnya

seperti berikut:

16/27

Klien : Betul cikgu. Saya nak belajar matematik. Saya nak buktikan pada

keluarga. Saya sebenarnya mampu lakukan.

Kaunselor : Adi, InsyaAllah awak boleh. Cikgu akan bantu awak. Awak perlu

yakin dengan diri sendiri. Dan Adi perlu tahu, tiada siapa yang

akan tentukan kejayaan hari esok kita, jika bukan diri kita sendiri.

Klien : Cikgu, terima kasih. Tak pernah ada orang yang mahu memahami

saya. Saya berasa lebih yakin sekarang.

Kaunselor : Adi, cikgu percaya Adi murid yang baik, anak yang baik. Sebab tu

cikgu tak mahu Adi sia-siakan masa depan Adi.

Akhir sekali kemahiran kaunseling yang saya gunakan ialah kemahiran memfokus

iaitu dengan memberikan sepenuh tumpuan terhadap perkara yang disampaikan oleh klien.

Dengan memberikan tumpuan penuh, kaunselor dapat mengelakkan kekeliruan maklumat

dan dapat memahami permasalahan klien dengan tepat (Shoba, 2007). Saya cuba

mengaplikasikan kemahiran ini dengan memfokuskan persoalan dan tumpuan saya semasa

klien meluahkan perasaannya seperti dialog berikut:

17/27

Kaunselor : Adi tak suka abang sebab ayah dan ibu tak belikan Adi barang

mahal-mahal juga ke?

Klien : Tak la. Saya tak suka sangat. Saya minta dengan ibu jam je yang

paling mahal. Saya paling sayang jam ini. Abang saya selalu

cakap saya tiada gaya sebab tak beli baju macam dia. Saya tak

suka.

Kaunselor : Tak apa Adi. Gaya Adi sekarang sesuai dengan umur Adi. Cikgu

suka gaya Adi sekarang, kemas dan bersih. Adi jangan ambil hati

dengan abang Adi ye.

3.3) Intervensi Kaunseling Kanak-Kanak

Selepas selesai sesi bimbingan dan kaunseling, saya telah menjalankan sedikit

terapminda untuk klien dengan mengaplikasikan kaedah terapi seni. Melalui terapi ini, klien

diminta melukis atau menggambarkan sesuatu perasaan yang gembira melalui lukisan

dengan pensil warna.

Menurut Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia (2003), terapi telah

didefinisikan dengan rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghidapi sebarang

penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan bertujuan mengembalikan kefungsian badan

secara normal. Namun dari sudut pendidikan pula, terapi ialah kaedah yang membantu

seseorang anak murid untuk bergerak balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran

(Academia, 2014).

Intervensi yang berasaskan pendekatan kaunseling merupakan tindakan yang

dilakaukan oleh kaunselor dalam membina program bimbingan dan kaunseling yang lebih

komprehensif (Rozman, 2008). Bentuk intervensi kaunseling yang dijalankan juga perlulah

bersesuaian dengan jenis permasalahan yang dihadapi oleh klien dalam meningkatkan

keberkesanan program kaunseling yang dijalankan.

Menurut Academia (2014), terapi seni bermaksud bantuan rawatan tanpa ubatan dan

pembedahan dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan cabang ilmu Pendidikan Seni

Visual. Terapi batiniah ini merawat mental melalui kaedah kognitif, psikomotor dan afektif.

Seni visual pula sebagai instrumen yang membantu pelajar mengatasi kekeliruan dan

kekalutan emosi dan tekanan bertindan bukan sahaja dalam menghadapi proses pengajran

dan pembeljaran tetapi juga kehidupan seharian (Rozman, 2008). Menurut Eve C. Jorboe

(2002; dalam Rozman, 2008), terapi seni adalah penggunaan teraputik dalam menghasilkan

seni untuk mempromosi rawatan dan perkembangan dalam satu perhubungan profesional.

Jorboe (2002, dalam Rozman, 2008) turut menegaskan bahawa pengasasan terapi seni

dalam sistem persekolahan kini adalah satu keperluan bagi memenuhi permintaan pelajar

yang mahukan bantuan klinikal. Di barat, terapi seni telah mempunyai permintaan yang

tinggi termasuk di hospital, psikiataris, hospital perubatan dan pemulihan serta sekolah

awam dan persendirian (Judith A. Rubin, 1998; dalam Rozman, 2008).

Terapi bukan sahaja berguna untuk mendapatkan maklumat tetapi juga memainkan

peranan penting dalam memproses maklumat tersebut. Conothnya semasa pelajar berkarya

ia akan mempamerkan dirinya sendiri. Pengalaman yang dihasilkan di atas kertas dpat

membantu guru diagnosis murid tersebut. Kesannya, melalui terapi seni murid boleh

18/27

berhubung dengan benda-benda di sekelilingnya. Lukisannya juga membayangkan

perasaan dan fikirannya sendiri.

Lowenford merupakan salah seorang pakar terapi seni yang paling terkenal. Beliau

percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Beliau turut menjelaskan bahawa

kreativiti seseorang murid itu boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu kelancaran

(secara spontan serta pantas), fleksibel (mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai

keadaan dan situasi), keaslian (mencari idea baru dan asli), kepekaan (penggunaan deria

pancaindera seperti melihat, merasa, mendengar, menghidu, dan sentuhan digunakan

secara sepenuhnya sebagai proses pengamatan dan merekod) (Bandi, n.d).

Gambar 1 : Objek yang penting seperti “Ibu” dilukis dengan lebih besar.

Sumber: Dokumentasi Peribadi

Ini merupakan hasil lukisan yang dihasilkan oleh klien semasa sesi terapi dijalankan.

Guru hanya meminta murid melukis apa sahaja bayangan yang di gambarkan di fikirannya.

Maka lukisan ini telah terhasil. Pada peringkat ini, kanak-kanak telah menyedari tentang

bentuk-bentuk sebenar seperti apa yang di perhatikan. Kanak-kanak boleh melukis ikan

19/27

dengan menspeasifikkan cirinya seperti bersisik. Lukisannya lebih natural dan mula

mamahami konsep ruang. Objek yang jauh bersaiz kecil berbanding objek yang lebih dekat.

Objek atau gambar yang dilukis berdasarkan kepada kesedaran tamak sahaja bukan

melalui pegamatan. Menggunakan warna bagi menggambarkan sesuatu objek seperti hijau

untuk pokok, biru untuk awan dan sebagainya. Kanak-kanak pada tahap ini memasukkan

lebih banyak objek dalam lukisan mereka. Garisan yang digunakan oleh Adi bagi

menghasilkan lukisannya ialah garisan halus dan juga garisan tebal. Garisan tebal yang

digunakan bertujuan untuk memberi fokus kepada objek yang dilukis di dalam garisan

tersebut. Penggunaan warna pula ialah warna-warna yang menunjukkan suasana ceria,

terdapat juga warna-warna panas seperti merah, jingga dan kuning digunakan serta warna

sejuk seperti warna biru. Warna yang digunakan juga merupakan warna yangharmoni. Adi

telah menggunakan pemandangan pantai kerana kampungnya berdekatan pantai lalu

melalui imaginasinya beliau melukis pemandangan sebuah keluarga yang sedang berkelah

di tepi pantai sambil memberi ikan-ikan makan.

20/27

4.0 PENUTUP

Jelaslah bahawa bimbingan dan kaunseling merupakan tugas penting yang

memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi

memperoleh kesan yang maksimum. Persediaan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek,

Sosial) guru yang lengkap akan membolehkan bimbingan dijalankan dengan cemerlang.

Pelbagai persediaan lain juga penting terutama membina dan menjaga hubungan baik

dengan pelajar, mempelajari kemahiran-kemahiran yang perlu dilaksanakan, menyedari

pelbagai teori dan pendekatan yang boleh digunakan serta yang paling penting ialah mampu

menjalankan tugas sebagai seorang guru pembimbing kepada seorang klien. Klien yang

menaruh kepercayaan kepada seorang kaunselor atau guru pembimbing, akan

menceritakan segala massalahnya. Hubungan teraputik yang terbina akan memudahkan

lagi proses mempelajari diri klien. Berdasarkan kes yang telah dikaji, saya berharap klien

yang dibimbing dapat memuhasabah diri dan melakukan satu keajaiban dalam hidupnya.

Kesimpulannya, walau apa sekalipun teori dan pendekatan yang guru gunakan untuk

mengawal membimbing muridnya, pertimbangan dan tolak ansur adalah sangat penting bagi

mewujudkan persekitaran yang menyenangkan dan murid dapat keluar dari kepompong

masalahnya.

21/27

5.0 SENARAI RUJUKAN

Academia (2014). Refleksi bab pembelajaran intervensi kaunseling. Diperoleh pada 18 Mac, 2014 dari http://www.academia.edu/4614025/REFLEKSI_BAB_PEMBELAJARAN#

Bandi Sobandi. (n.d). Mengenal priodisasi perkembangan seni rupa anak-anak. Diperoleh pada 18 Mac, 2014 dari http://file.upi.edu/Direktori/FPBS/JUR._PEND._SENI_RUPA/197206131999031-BANDI_SOBANDI/MENGENAL_PERKEMBANGAN_SENI_RUPA_ANAK-ANAK_(Materi).pdf

Bernama (2011, Jan 11). Kes buli pelajar di Kedah, 5 pelajar ditahan. Malaysia Kini Online. Diperoleh pada April 6, 2012 dari http://www.malaysiakini.com/news/153125

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2009). Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar Sdn Bhd.

Kamaruddin Hj. Husin (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2014). Diperolehi pada 19 Mac 2014 dari http://www.kpwkm.gov.my/nkra/definisi

Khoo Bee Lee. (2014). Siri kaunseling bimbingan dan kaunseling kanak-kanak edisi kedua. Puchong, Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

K. Shoba A/P C. Karuppaya (2007). Faktor-faktor yang mempengaruhi kemerosotan disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di Johor. Tesis Kedoktoran Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor, Malaysia.

Mohamed Sharif b. Mustafa., Roslee b. Ahmad, dan Hamdan Abd. Kadir (2006). Teori dan praktis kaunseling kelompok kontemporari. Johor Bharu: Cetak Ratu Sdn. Bhd.

Myint Swe Khine., A. Lourdusamy., Quek Choon Lang., and Angela F.L Wong (2005). Classroom management faciliting teaching and learning. Singapore: Prentice Hall.

Noraini Idris dan Shuki Osman (2009). Pengajaran dan Pembelajaran, Teori dan Praktis. Malaysia: Mc Graw Hill Education

Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Terapi. Diperoleh pada 18 Mac, 2014 dari http://librarykpm.moe.gov.my/

Prof. Madya Dr. Mohd Sofian Omar Fauzee, Prof. Dr Habibah Elias, Dr. Noreen Noordin, Prof. Madya Dr. Rahil Mahyuddin, Dr. Samsilah Roslan, Maria Chong & Dr. Maimunah Muda (2005). The behavior problems of at-risk school children: Jurnal Penyelidikan Pendidikan, Vol.7 (Dis. 2005)

Rozman bin Shafie. (2008). Pemahaman guru seni sekolah rendah terhadap terapi seni dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni visual. Tesis Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sipora Sipon dan Ruhaya Hussin. (2008). Teori-teori kaunseling dan psikoterapi. Nilai, Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.

22/27

Suradi Salim. (1997). Siri pengajian dan pendidikan utusan bimbingan dan kaunseling. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zaleha Sulaiman (n.d). Pengurusan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah di luar bandar: kes empat buah sekolah menengah di negeri Kedah Darul Aman. Tesis siswazah Pendidikan, Universiti Utara Malaysia: Kedah.

23/27

6.0 LAMPIRAN

Gambar 2: Sesi bimbingan dan kaunseling pertama yang dijalankan.

Gambar 2: Sesi bimbingan dan kaunseling kali kedua yang dijalankan.

24/27

25/27

Gambar 3: Gambar sebelum sesi terapi seni dijalankan bersama klien.

Gambar 4: Hasil lukisan yang telah dihasilkan oleh klien.

26/27

7.0 REFLEKSI

Kerja kursus berasaskan ilmu bagi subjek Bimbingan dan Kaunseling Kanak-

Kanak pada semester ini mengkehendaki pelajar membuat penulisan kritis

berdasarkan teori pembelajaran yang dipelajari. Tidak dapat dinafikan, pada

mulanya, saya menghadapi kesukaran untuk memahami secara khusus kehendak

dalam penulisan ini. Malah saya juga akui saya sedikit tertekan untuk memahami

teori-teori apatah lagi mengolah idea kerana sibuk dengan urusan berpraktikum di

sekolah. Realiti disekolah sebagai seorang guru praktikum sebenarnya masih

dibebani dengan pelbagai kerja sehingga menjadi kelewatan untuk memulakan

penulisan kerja kursus ini. Namun, siapa sangka sebenarnya saya mampu

menyempurnakan penulisan ini dan saya juga berasa bertambah yakin terhadap

kefahaman saya walaupun saya terpaksa bercengkang mata tiap malam, mencari

bahan dari pelbagai sumber, tetapi saya cukup berpuas hati dengan hasil yang saya

perolehi. Hari ini saya akui kebenaran kata-kata En. Tahir Kamarulzaman, bekas

Ketua Jabatan HEP, ‘seseorang yang sanggup berusaha dua kali ganda dari orang

lain, pasti akan menemui apa yang dikehendaki’.

Saya akui bukan mudah untuk menjadi guru pembimibing dan kaunseling

apatah lagi apabila berhadapan dengan murid dari pelbagai bangsa dan budaya.

Selepas menjalani praktikum tiga fasa berpraktikum dan mengajar di kelas yang

mempunyai pelbagai murid bermasalah disiplin, saya dapat mempraktikkan usaha

yang harus dilakukan sebagai seorang guru pembimbing bagi mewujudkan

persekitaran yang positif dan membantu mengembangkan potensi individu. Seorang

murid dikelas saya yang bermasalah disiplin selalu menimbulkan masalah baik di

dalam kelas mahupun diluar kelas. Pelbagai aduan berkenaannya telah saya terima

malah apabila merujuk kepada guru disiplin dan guru kaunseling sekolah, mereka

juga mengesahkan perkara yang sama. Namun setelah mencuba mendekati murid

tersebut dan menjalankan beberapa sesi kaunseling bersamanya, barulah murid ini

menunjukkan minat dalam pengajaran dan pembeljaran dalam bilik darjah. Malah

beliau sudah mula menunjukkan perubahan positif dengan bergaul dengan membina

hubungan baik bersama beberapa rakan kelas. Jika saya tidak melakukan kerja

kursus ini, saya pasti ilmu saya tidak akan bertambah dan saya akan menjadi guru

yang biasa-biasa sahaja.

27/27

Malah saya akui, apabila murid mula merasakan satu unit ahli didalam kelas

tersebut ialah ahli kelaurganya, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dapat

dijalankan. Seperti cerita Ron Clark, cerita ini amat mengingatkan saya dalam situasi

persekitaran bilik darjahyang berbeza agama dan budaya, berlatarbelakang kanak-

kanak bermasalah disiplin, beliau satukan menjadi sebuah keluarga. Dan murid-

murid itu sendiri merasakan nilai keluarga itu sesama mereka. Cerita tersebut juga

banyak memberikan saya refleksi kepada diri sendiri dalam menghadapi situasi bilik

darjah yang akan datang sebagai seorang guru.

Kefahaman saya juga tidak akan mantap sekiranya saya tidak di bantu oleh

rakan-rakan yang lainnya. Saya benar-benar terharu dan berterima kasih kepada

rakan-rakan yang sudi meluangkan masa untuk membantu saya. Saya sedar setelah

membuat perbincangan bersama, akhirnya saya mendapat idea untuk membuat

penulisan ini. Walaupun penat kerana perlu memperbetulkan penulisan ini beberapa

kali, dan draf saya berkali-kali perlu di perbaiki, tetapi saya tahu dan sedar semua ini

adalah untuk kebaikan saya.

Nilai-nilai murni seperti inilah perlu diterapkan dalam diri saya apabila menjadi

guru kelak. Kerana untuk mendidik manusia, saya perlu berkorban dan berusaha

gigih dan jangan pernah sama sekali berputus asa. Semoga dengan sempurnanya

tugasan ini, saya akan mengambil iktibar dan segala ilmu yang penting agar dapat

saya aplikasikan apabila saya sudah bergelar ‘guru’ kelak.

28/27