pentaksiran autentik bm
DESCRIPTION
bmTRANSCRIPT
Pentaksiran autentik merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada pentaksiran di
peringkat sekolah. Ini adalah kerana sifat pentaksiran autentik yang menyeluruh boleh diguna
pakai dalam menaksir setiap perkembangan murid-murid melalui instrumen yang pelbagai.
Pentaksiran autentik ini seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh meliputi persekolahan
peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi. Penggunaan pentaksiran autentik ini merentasi
semua peringkat pendidikan. Dengan ini, diharap pihak kementerian atau badan-badan
berkanun dan swasta dapat menghasilkan sesuatu garis panduan baru tentang bentuk
pentaksiran yang lebih sejagat dan mantap.
Pentaksiran yang berkesan bukan hanya bergantung kepada bagaimana tafsiran dan
analisis dilakukan tetapi bagaimana menggunakan instrumen terhadap sesuatu domain
perkembangan kanak-kanak itu juga amatlah penting. Sehubungan dengan itu, diharap agar
guru-guru dapat memahami, mahir, dan berupaya mengamalkan penggunaan pelbagai jenis
instrumen pentaksiran yang sesuai. Guru-guru juga diharap agar dapat melakukan refleksi
kritikal terhadap amalan yang digunakan agar dapat mengenal pasti kelemahan yang wujud
ketika sesi pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran.
Menurut Ratcliff (1995) dan Reynolds (1982), menyatakan bahawa lebih muda usia
kanak-kanak itu, maka lebih cenderung untuk mereka membuat kesilapan disebabkan
kekeliruan atau kegusaran akibat suasana ujian. Secara tidak langsung ini menjadikan
keputusan serta kebolehgunaan sesuatu penilaian itu diragui. Di samping itu, ramai pendidik
merasakan ujian bertulis tidak menepati garis panduan Amalan Bersesuaian Perkembangan
(Bredekamp dll., 1992; Katz, 1997; Meisels, 1995; Mindes, Ireton & Mardell-Czudnowski, 1995).
Walaupun ujian bertulis didapati dapat meramalkan pencapaian kanak-kanak dan di tahap awal
pendidikan formal, penilaian seumpama ini dirasakan tidak betul-betul memenuhi kehendak dan
tujuan pentaksiran diadakan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Untuk itu, konsep
pentaksiran autentik telah diunjurkan.
Pentaksiran autentik menurut Pert (1990) merupakan bentuk penilaian yang
berdasarkan pencapaian sebenar yang ditunjukkan oleh kanak-kanak di dalam bilik darjah
setiap hari. Pentaksiran autentik ini meliputi pentaksiran dari pelbagai aspek merangkumi
pengetahuan pelajar, pemahaman mendalam, penyelesaian masalah, kemahiran sosial, sikap
terhadap persekitaran, dan simulasi terhadap situasi dunia sebenar. Dalam erti kata lain,
pentaksiran autentik ini juga merupakan suatu proses yang melibatkan pelbagai bentuk
pengukuran prestasi yang boleh mereflek tahap pembelajaran pelajar, kejayaan, motivasi dan
sikap pada aktiviti yang releven. Menurut Grace, (1992), penilaian autentik ini merupakan
amalan yang membabitkan kanak-kanak secara realistik dalam menilai kemajuan mereka
1
sendiri. Ia juga melibatkan pentaksiran yang dilakukan secara berterusan. ‘Realistik’ dan
‘bermakna’ merupakan terma yang sering digunakan dalam pentaksiran autentik. (Sumber:
Buku Educational Assessment of Students)
Melalui pentaksiran autentik ini, ia dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk
mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang ada pada mereka melalui cara yang
berkaitan dengan kehidupan mereka dan tidak tertakluk kepada kemahiran dan pengetahuan di
prasekolah sahaja. Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan untuk
menjalankan pentaksiran autentik ini contohnya melalui portfolio, pemerhatian, rekod anekdot
dan pelbagai lagi. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, pentaksiran autentik ini adalah subset
kepada alternatif proses pentaksiran yang mana ia menggunakan spektrum yang lebih luas
untuk melihat perkembangan pelajar dengan lebih menyeluruh dan bukan hanya tertakluk
kepada ujian semata-mata..
Prosedur pentaksiran yang sedia ada kini iaitu yang berasaskan kepada peperiksaan
ujian semata tidak dapat mengukur keseluruhan potensi pelajar yang meliputi sahsiah, emosi,
rohani dan jasmani. Peperiksaan berbentuk objektif contohnya, hanya menekankan pentaksiran
berbentuk kemahiran diskret dan tidak mengandungi kejituan dalam menilai penglibatan pelajar
di dalam aktiviti kelas, interaksi sosial atau situasi sebenar kehidupan. Menurut Wiggins (1990),
peralihan bentuk pentaksiran kepada pentaksiran autentik adalah bertujuan untuk:
• menghendaki pelajar menggunakan pengetahuan dengan bermakna.
• menghendaki pelajar mahir menggunakan pelbagai kemahiran (contohnya, penulisan,
penyelidikan, perdebatan, kemahiran komunikasi dan kemahiran berfikir secara kritis)
• memberi pelajar peluang untuk memperbaiki dan melakukan penambahbaikkan melalui
pemikiran kritis dari masa ke semasa dalam memperoleh kejayaan pada masa hadapan
• merangsang pelajar menggunakan kombinasi kemahiran, pengetahuan, kemampuan yang
ada dalam dunia sebenar
(Sumber: Buku Educational Assessment of Students)
Sehubungan dengan itu, pentaksiran autentik ini juga dapat mencungkil kemahiran
pelajar di samping memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki diri agar dapat dinilai
dengan lebih baik lagi pada masa hadapan. J. Michael O’ Malley merupakan seorang penyelia
pentaksiran di Prince William County Public School, Virginia dan Lorraine Valdez Pierce,
siswazah dari School of Education di Universiti George Mason telah menyenaraikan ciri-ciri
prestasi pelajar yang perlu dipertimbangkan dalam pentaksiran autentik iaitu:
2
• Membentuk reaksi
(Constructed Response) Pelajar membentuk atau memberi reaksi berdasarkan kepada
pengalaman mereka terhadap situasi dan menerokai pelbagai sumber baru dalam
menghasilkan produk
• Tahap pemikiran tinggi
(Higher-Order Thinking) Reaksi terhadap soalan terbuka memerlukan kemahiran menganalisis,
mensintesis dan penilaian
• Kejituan
(Authenticity) Tugasan yang bermakna, mencabar, dan melibatkan aktiviti dalam konteks
kehidupan sebenar
• Integratif
(Integrative) Tugasan meliputi kombinasi kemahiran kesusateraan dengan pelbagai kandungan
lain yang merentasi kurikulum
• Proses dan produk
(Process and Product) Strategi dan prosedur yang boleh membawa kepada peningkatan
potensi dan meneroka pelbagai penyelesaian terhadap masalah yang kompleks
Dalam melaksanakan pentaksiran yang jitu, perkara di atas perlu dipertimbang dengan
teliti agar matlamat pentaksiran autentik sebagai pentaksiran yang holistik dapat dicapai.
Sehubungan dengan itu, tahap perkembangan kanak-kanak yang berbeza perlu
dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum menggunakan pentaksiran autentik ini.
O’ Malley dan Pierce telah mengkategorikan kepelbagaian kaedah pentaksiran autentik
dan tingkahlaku kanak-kanak yang boleh diperhatikan dan didokumentasikan. Teknik-teknik ini
juga boleh digunakan oleh guru untuk menjalankan pentaksiran autentik untuk mata pelajaran
Bahasa Melayu.
1. Temubual
Guru bertanya kepada kanak-kanak tentang latar belakang, aktiviti, minat dan lain-lain
lagi. Kaedah ini sesuai digunakan bagi semua elemen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Pada tahun 2011, murid-murid Tahun Satu secara keseluruhannya akan dinilai prestasi mereka
melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Melalui kaedah ini, guru boleh menilai tahap
kefahaman murid sebaik sahaja selesai proses pengajaran dan pembelajaran atau di luar waktu
pembelajaran. Murid akan dinilai secara individu dengan menggunakan instrumen yang
berkaitan. Markah akan diberi berdasarkan jawapan yang diberi oleh murid dan saya akan
3
menanda tahap prestasi mengikut aras (band) yang telah ditetapkan. Semua standard prestasi
murid bagi semua mata pelajaran akan di ‘key in’ ke dalam satu program PBS secara offline .
Berdasarkan pengalaman, kaedah ini memudahkan tugas guru kerana ia tidak mengambil
masa yang panjang dan juga tidak membebankan murid. Murid akan dikategorikan mengikut
tahap masing-masing. Dalam hal ini, guru akan memberi aktiviti pengukuhan dan pengayaan
kepada murid yang telah menguasai kemahiran dan pemulihan kepada murid yang belum
menguasai kemahiran.
2. Penceritaan semula / Bercerita:
Murid-murid bercerita melalui pengalaman atau melalui pembacaan mereka. Guru
akan meminta murid untuk membaca beberapa buah buku cerita untuk satu jangka masa yang
ditetapkan. Setelah itu, murid akan diminta untuk menceritakan semula apa yang telah mereka
baca tanpa melihat kepada teks. Melalui aktiviti ini, guru akan dapat menilai tahap kefasihan
murid menyampaikan sesuatu dan dapat menilai tahap kefahaman mereka terhadap apa yang
telah mereka alami. Murid akan dinilai secara individu dengan menggunakan instrumen yang
berkaitan. Markah akan diberi berdasarkan kefasihan dan kefahaman murid dalam
menyampaikan penceritaan mereka dan saya akan menanda tahap prestasi mengikut aras
(band) yang telah ditetapkan.
3. Sampel penulisan :
Murid-murid bercerita, memberikan penjelasan melalui penulisan.
4. Projek/ Pameran :
Murid-murid bekerjasama dalam kumpulan untuk melaksanakan projek atau pameran
melibatkan persembahan atau pameran Guru akan memberikan satu tugasan kepada setiap
kumpulan untuk satu jangka masa tertentu. Murid akan diminta menyediakan satu pameran
berdasarkan tajuk tugasan yang diberikan. Apabila jangka masa yang ditetapkan sudah tiba,
setiap kumpulan akan menyediakan pameran tersebut di satu sudut dalam kelas mereka.
Aktiviti ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menanamkan nilai
bekerjasama dan untuk menerajui sesuatu kepimpinan kerana aktiviti ini memerlukan seorang
ketua yang akan memimpin mereka untuk melaksanakan tugasan tersebut. Dalam konteks
PBS, aktiviti ini mungkin berada pada band 6 kerana ia sudah melibatkan kemahiran murid
untuk melaksanakan sesuatu projek secara berkumpulan.
5. Eksperimen/ Demostrasi:
4
Kanak-kanak mendemostrasikan eksperimen, melaksanakan prosedur mengikut
langkah yang ditetapkan dan mendokumentasikan hasil eksperimen.
6. Pemerhatian :
Guru melakukan pemerhatian dengan mendokumentasikan tumpuan dan interaksi
pelajar di dalam kelas dan kerjasama di dalam aktiviti kelas. Melalui teknik ini, guru akan
membuat pemerhatian terhadap tumpuan dan interaksi murid terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran yang saya laksanakan. Guru akan menggunakan instrumen berkaitan seperti
borang pemerhatian. Hasil pemerhatian ini boleh digunakan untuk menilai keperibadian mereka
dan sejauh mana mereka melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik ini
juga boleh digunakan untuk menilai murid semasa berada di luar bilik darjah seperti aktiviti
gotong-royong, kesanggupan mereka membantu guru, sifat tanggungjawab terhadap semua
aspek, keperihatinan mereka terhadap sesuatu, dan penglibatan mereka dalam gerak kerja
kokurikulum. Hasil pemerhatian ini akan direkodkan dan disimpan untuk kegunaan pada masa
akan datang.
7. Portfolio :-
Guru mengumpul koleksi hasil kerja murid-murid untuk melihat perkembangan dari
masa ke semasa Guru mengumpul koleksi hasil kerja kanak-kanak untuk melihat
perkembangan dari masa ke semasa. Guru akan menyediakan satu fail ( portfolio) untuk setiap
murid. Portfolio ini bertujuan untuk menyimpan semua hasil kerja mereka sepanjang tahun.
Teknik ini akan memberi peluang kepada murid untuk mengumpul hasil kerja mereka sepanjang
tahun persekolahan dengan tujuan untuk melihat perkembangan mereka dari masa ke semasa.
Dengan adanya portfolio ini, saya akan dapat menilai hasil kerja mereka. Saya akan membuat
pemeriksaan terhadap portfolio tersebut pada setiap hujung bulan. Portfolio ini akan saya
simpan untuk mengelakkan berlakunya kerosakan atau kehilangan. Dengan yang demikian,
proses untuk memberi markah akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan teratur. Melalui
teknik ini juga, saya akan dapat menilai hasil kerja mereka dan dapat membandingkan murid
mana yang mempunyai hasil kerja yang bermutu. Hasil penilaian akan direkodkan dan disimpan
untuk kegunaan pada masa akan datang.
Kaedah yang dinyatakan di atas merupakan beberapa kaedah yang boleh digunakan
dalam pentaksiran autentik. Melalui kaedah di atas, guru dapat melihat perkembangan kanak-
kanak secara menyeluruh contohnya dari segi kemahiran berkomunikasi, bekerjasama, sahsiah
5
dan lain lain lagi.
Adalah di sarankan agar pentaksiran autentik ini digunakan dalam sistem pendidikan di
Malaysia secara meluas. Pentaksiran ini juga boleh mencungkil bakat yang ada pada kanak-
kanak khususnya kerana jenis sifatnya yang merentasi pelbagai kaedah pentaksiran. Ini terbukti
dengan kenyataan Ratcliff dan Nancy (2002), kemahiran literasi kanak-kanak yang diukur
menggunakan pentaksiran autentik didapati memberi kesan yang positif dalam mengenalpasti
dan melapor proses perkembangan kanak-kanak dalam kemahiran literasi. Seperti yang sedia
maklum, perkembangan literasi merangkumi beberapa aspek perkembangan iaitu, membaca,
menulis, mengeja dan mendengar. Ternyata, dengan penggunaan pentaksiran autentik ini, ia
dapat menilai keempat-empat aspek perkembangan literasi kanak-kanak itu.
Selain dari itu, melalui laporan dari pentaksiran autentik ini, ia dapat membantu guru
dalam memperbaiki penyediaan guru dalam proses pembelajaran dan perkembangan kanak-
kanak untuk ke alam persekolahan yang lebih tinggi. Pentaksiran autentik juga disarankan oleh
segelintir pakar psikologi sebagai satu sistem penilaian yang berbentuk kontekstual, kolaboratif,
dan konstruktif. Menurut Rudner dan Boston (1994), pentaksiran autentik adalah proses yang
memerlukan kanak-kanak mendemonstrasikan pengetahuan, kemahiran dan strategi dengan
memberi maklum balas atau hasilan dalam kontek realiti yang bermakna. Pentaksiran ini
ternyata dapat menggarapkan dan mengabungkan aspek ilmu pengetahuan dengan keadaan
kehidupan sebenar dunia. Dengan ini, ia dapat membuka minda kanak-kanak tentang
bagaimana ilmu pengetahuan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Pendidikan di Malaysia memerlukan satu sistem pentaksiran yang holistik dan ini selari dengan
objektif pentaksiran autentik yang mana ia bersifat menyeluruh meliputi kehidupan dunia yang
sebenar. Pentaksiran autentik ini juga merupakan pentaksiran yang telus yang dapat memberi
maklumat terus kepada ibu bapa tentang setiap perkembangan anak-anak mereka.
Pentaksiran yang baik dapat memberikan maklumat yang tepat tentang perkembangan
kanak-kanak sama ada positif atau negatif. Dengan ini, satu sistem pentaksiran yang telus perlu
diwujudkan agar kanak-kanak ini mendapat pendidikan yang seimbang.
6